Showing posts with label 50 Qaaf. Show all posts
Showing posts with label 50 Qaaf. Show all posts

Wednesday, March 2, 2016

Surah Qaaf Ayat 23 - 45





Qaaf Ayat 23 Hingga 29

23. dan yang menyertai Dia berkata : ‘ Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku’.

24. Allah berfirman : ‘Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala,

25. yang sangat menghalangi kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu,

26. yang menyembah sembahan yang lain beserta Allah Maka lemparkanlah Dia ke dalam siksaan yang sangat dahsyat‘.

27. Berkatalah yang menyertainya itu: ‘Ya Tuhan Kami, aku tidak menyesatkannya tetapi Dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh’.

28. Allah berfirman : “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, Padahal Sesungguhnya aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.

29. keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan aku sekali-kali tidak Menganiaya hamba-hamba-Ku

Di dalam ayat ini, Allah menceritakan tentang malaikat yang diceritakan di dalam ayat 21 tadi. Iaitu malaikat pencatat amalan baik dan malaikat pencatat amalan buruk manusia. Kedua-dua malaikat ini kelak di hari kiamat akan menjadi saksi atas segala perbuatan manusia. Malaikat tersebut akan berkata pada manusia  Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku’. Semuanya yang telah tersedia dan tercatat tanpa tambahan dan pengurangan. Pada saat itulah Allah akan menghukumkan semua makhkluk dengan adil berdasarkan buku catatan yang masing-masing perolehi.

Maka setelah itu Allah memerintahkan agar kedua malaikat itu melemparkan mereka yang dijatuhi hukuman berdosa ke dalam neraka Jahannam. Sisters, cuba sisters baca dan dalami ayat 24, 25 dan 26. Firman ini sangat terang maknanya dan tidak perlu admin ulas lagi. Sangat menggerunkan. Firman ini jelas menunjukkan betapa kemurkaan Allah Yang Maha Gagah Perkasa dalam suasana yang menakutkan itu. Orang-orang yang berdosa dan terlaknat akan menerima hukuman yang berat. Orang-orang kafir, degil, penghalang kebajikan, pelampau dan meragui kebenaran dan menyembah tuhan yang lain dari Allah akan bakal dicampakkan ke dalam neraka Jahannam.

Berkatalah yang menyertainya itu: ‘Ya Tuhan Kami, aku tidak menyesatkannya tetapi Dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh’.
Maksud di sini adalah syaitan yang selalu memperdayakan manusia. Apabila telah mendengar hukuman yang telah dijatuhkan Allah itu maka syaitan pun bersuara untuk berlepas diri. Syaitan berkata bahwa bukanlah ia yang menyesatkan manusia itu tetapi manusia itu sendirilah yang berada di dalam kesesatan. Di waktu ini syaitan sendiri pun akan berlepas diri, tidak mahu memikul tanggungjawab kerana telah menyesatkan manusia. Alasan yang diberikan bahwa kesesatan itu adalah pilihan dari manusia itu sendiri.

Allah berfirman : “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, Padahal Sesungguhnya aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.
Maksudnya Allah telah memberikan kesempatan kepada manusia dan syaitan melalui para utusanNya dan Allah telah menurunkan kitab-kitab serta menegakkan bukti dan penjelasan yang nyata kepada mereka. Masa hidup di dunia dahulu sudah banyak diberikan kepada manusia untuk mengikuti dan mentaati amanah Allah. Sudah banyak seruan dijalankan dan sudah berkali-kali amaran diberikan. Maka hari ini waktu untuk pembalasan sudah tiba, segala apa yang dikerjakan manusia semasa di dunia akan diperthitungkan dan diberikan balasan. Jadi kini sudah tidak berguna lagi sebuah penyesalan. Kerana sesungguhnya Allah tidaklah akan menghukum hambaNya dengan zalim dan aniaya.
keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan aku sekali-kali tidak Menganiaya hamba-hamba-Ku
Ini kerana segala perhitungan balasan dan hukuman ke atas setiap hambaNya telah dilakukan dengan sangat saksama. Telah dijalankan pengadilan dengan seadil-adilnya. Mustahil Allah akan melakukan aniaya kepada hamba-hambaNya. Sebab bagi Allah seluruh hamba itu adalah dicintai dan dikasihi, tiada berbeza di antara satu sama lain. Samada yang bersalah mahupun yang benar.







Qaaf Ayat 30

30. (dan ingatlah akan) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada Jahannam : “Apakah kamu sudah penuh?” Dia Menjawab : “Masih ada tambahan?”

Ayat 30 ini saja sudah membayangkan bagaimana dahsyatnya hari kiamat itu nanti. Berbondong-bondong orang-orang yang berdosa dihalau masuk ke dalam neraka, tidak henti-hentinya dan tidak putus-putusnya. Entah berapa belas ribu, ratus ribu, entah berjuta-juga orang yang dihalau masuk ke dalamnya.Sampaikan dikatakan dalam ayat bahwa Allah bertanya kepada neraka jahannam itu, “Apakah kamu sudah penuh?”

Memanglah tidak diragukan lagi bahwa sememangnya Allah Maha Mengetahui samada neraka itu telah penuh ataupun tidak. Allah bertanya itu, bukanlah bermakna Allah tidak tahu, tetapi ianya hanyalah untuk menggambarkan kepada KITA betapa dahsyat keadaan di hari itu.

Lalu neraka jahannam menjawab pertanyaan Allah, “Masih ada tambahan?” Pertanyaan ini juga bukanlah bertanya kerana belum mengetahui berapa ramai lagi tambahannya, melainkan ianya bermakna bahwa neraka jahannam masih bersedia menerima sebanyak mana pun yang akan ditambah.

Dari membaca dan memahami ayat ini, timbullah rasa ketakutan dan kengerian di hati kita sehingga menerbitkan azam dan usaha di dalam diri untuk menjauhkan diri dari perbuatan dosa yang melanggar perintah Allah. Bukankah begitu, sisters? Kerana apabila Allah telah murka, berapa ramai makhluk yang telah membuat dosa, pasti akan disumbatkan ke dalam neraka jahannam. Dan neraka jahannam ini sentiasa bersedia menerima penghuninya. Tidak pernah penuh walaupun berapa ramai yang dicampakkan ke dalamnya.







Qaaf Ayat 31 Hingga 35

31. dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).

32. Inilah yang dijanjikan kepadamu, (yaitu) kepada Setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya)

33. (yaitu) orang yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat,

34. masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari yang kekal.

35. mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.

Lain pula ceritanya dengan orang yang bertakwa. Mereka ini tidak perlu merasa risau akan nasib mereka. Tidak perlu merasa takut dan tidak perlu merasa dukacita. Sebab bagi orang yang bertakwa, syurga itu sudah sekian lama menanti kehadiran mereka dan ianya berada dekat saja dengan mereka. Seakan-akan nampak saja di pandangan mata mereka.

Di syurga nanti mereka akan mendapat penghormatan dan kemuliaan yang berlebih-lebihan. Dikatakan kepada mereka ahli syurga ini, Inilah yang dijanjikan kepadamu, (yaitu) kepada Setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya) Inilah dia nikmat yang sangat menyenangkan bagi orang-orang yang mahu menyelurusuri jalan Allah. Walaupun dengan jerih perit terpaksa bertahan dengan seribu halangan, memperjuangkan kebenaran, maka inilah pengakhiran bagi orang-orang yang sanggup melaluinya. Pengakhiran yang penuh nikmat dan kemanisan.

(yaitu) orang yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya)
Allah Yang Rahman itu adalah tidak kelihatan. Maksudnya ghaib. Kita tidak dapat melihatNya dengan mata kita sendiri, tetapi apabila iman telah sedia ada di dalam hati kita, meskipun Allah itu ghaib, jiwa kita akan merasakan bahwa yang ghaib itu adalah nyata. Sebab Allah telah sebut bahwa Dia adalah Zahir, yang maksudnya nyata. Dan Allah juga adalah Batin, yang bermaksud bersembunyi di dalam batin. Iman kita akan bertaut di antara Zahir dan Batin ini.

Apabila kita merasakan akan dalamnya iman, kita pasti akan merasakan halawatul iman, ataupun bahasa kita kemanisan iman. Allah dirasakan menjadi kenyataan. Ini kerana hidup bukanlah semata-mata penglihatan mata dan pendengaran telinga. Hidup adalah disertai dengan timbulnya perasaan di dalam diri. Adakalanya perasaan itu akan merasa sesuatu yang tidak dapat dirasakan oleh akal.

dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
Kita datang kepada Allah dengan perasaan taubat. Jika tersesat selama ini, kita patah balik kepada kebenaran. Jika terlanjur kita kembali kepada jalan yang benar, jika kita telah kufur, kita pun segera bertaubat dan memohon pengampunan.  Tidak ada kekusutan yang tidak dapat diselesaikan. Semua yang keruh akan dapat dijernihkan semula. Asalkan satu perkara itu tidak hilang dari hati kita. Iaitu iman dan kepercayaan kita kepada Ar-Rahman Dan Ar-Rahiim.

masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari yang kekal.
Masukilah ke dalam syurga yang telah disediakan itu dengan perasaan aman dan sentosa. Kerana syurga itu adalah negeri yang aman dan sentosa sebagai ubat penawar dari kepayahan dan kerja kerasa dan jihad tatkala hidup di dunia. Sesiapa saja yang dapat masuk ke dalamnya, itulah nikmat yang sempurna dan akan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.
Mereka bebas mendapat apa saja hajat yang terlintas di hati semahu dan sekehendak mereka. Apa saja. Semua akan diberikan. Pelbagai nikmat dan rahmat Allah akan dilimpahkan kepada penghuni syurga ini. Samada nikmat yang pernah kita khayalkan semasa di dunia. Mahupun nikmat yang tidak pernah terlintas pun di fikiran semasa di dunia. Inilah puncak segala kenikmatan. MasyaAllah tabarakallah.







Qaaf Ayat 36 Dan 37

36. dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, Maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah tempat lari?

37. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang Dia menyaksikannya.


Allah menyuruh kita perhatikan, bahwsanya sebelum kita yang sekarang ini, telah banyak umat-umat zaman dahulu yang telah dibinasakan dan dihancurkan Allah. Sepertimana yang kita tahu dan kita telah tadabbur ayat-ayat sebelum ini kaum yang telah dibinasakan ialah kaum Thamud  yang didatangi Nabi Salih, kaum Ad yang didatangi Nabi Hud, penduduk negeri Madyan yang didatangi Nabi Syu’aib, penduduk Sodom yang didatangi Nabi Lut, Firaun dan para pembesar dan askar-askar Mesir yang telah didtangi Nabi Musa, semuanya telah Allah hancur binasakan. Sehingga ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. masih dapat dilihat bekas negeri yang telah punah ranah itu.

Allah kata mereka yang dihancurkan ini semuanya lebih gagah dan perkasa. Dan pengetahuan mereka juga jauh lebih advance dan lebih maju. Pemikiran mereka lebih kreatif dan cerdik. Lihat saja hasil peninggalan mereka umpamanya Piramid yang tersergam di Mesir yang tingginya setinggi gunung. Semua itu dibina di zaman purbakala dan masih kekal sehingga ke hari ini.  Namun semuanya itu telah Allah hancurkan, telah Allah ranapkan dengan mudah sekali.

Maka kalau Allah hendak melakukan tindakan yang sama di zaman kita sekarang ini, bagaimana pun besar kemajuan teknologi buatan manusia, bagaimana gah kuasa nuklear yang dibina oleh manusia, kalau Allah menghendaki, dalam sekejap saja, sekelip mata, semuanya hancur binasa. Sebab itu datanglah pertanyaan di akhir ayat ini, “ Adakah tempat lari?” Ke mana kita akan lari? Apalah ertinya kekuatan manusia jika hendak berlawan dengan kekuatan Allah?

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang Dia menyaksikannya.
Ayat ini menyedarkan kita sebagai manusia agar banyak merenung dan berfikir kedudukan diri kita sendiri di tengah-tengah percaturan alam ini. Lihat alam sekeliling kita, bandingkan zaman yang lampau dengan zaman kita sekarang ini. Lihatlah sekarang kita yang ada di sini, dahulu belum ada dan kelak kita akan pergi jua. Apakah kesan yang dapat kita tinggalkan.

Diingatkan di dalam ayat ini bahwa orang yang ada hati maka orang itulah yang disebut sebagai berfikir. Ada hati, ertinya ada isi kepada fikiran dan ada akal budi. Apa yang dilihat oleh mata dan apa yang didengar oleh telinga akan dibawa ke dalam hati, setelah itu akan timbul pertimbangan dan pemikiran yang mendalam.

Oleh itu sangat tercelalah bagi orang yang mempunyai hati tetapi tidak menjalankan fikirannya. Ada mata tetapi tidak melihat dan ada telinga tetapi tidak mendengarkan. Padahal penglihatan, pendengaran dan hati itulah yang menghubungkan insan dengan alam sekelilingnya, yang meninggikan kecerdasan manusia di dunia ini.








Qaaf Ayat 38 Hingga 40

38. dan Sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, dan Kami sedikitpun tidak ditimpa keletihan.

39. Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya).

40. dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan Setiap selesai sembahyang.

Di ayat-ayat yang lalu di dalam surah-surah yang lepas sudah banyak kita huraikan tentang kejadian alam yang dibina dalam masa enam masa ini. Ayat ini adalah untuk menolak dakwaan orang-orang Yahudi yang mengatakan bahwa Allah berasa penat setelah menjadikan alam ini dalam enam masa dari hari Ahad hingga ke hari Jumaat, dan Allah berehat pada hari Sabtu dan menyandarkan belakangnya di atas Arasy. Dakwaan ini adalah dusta semata-mata. Sebenarnya Allah tidak sekali-kali merasa penat walau sedikit pun semasa menciptakannya. Maha Suci Allah dari sifat yang tidak sempurna dan kekurangan ini.

Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. Bersabar di atas apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrikin mengenai hari kebangkitan itu dan mengenai apa yang mereka dakwakan Allah penat. Dakwaan itu adalah dakwaan yang salah dan jauh dari kebenarannya. Sebaliknya Allah berkuasa untuk membangkitkan mereka kemudian memberikan pembalasan kepada mereka disebabkan kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan.

dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan Setiap selesai sembahyang.
Ayat ini baik ditafsirkan dengan cara melakukan zikir ataupun langsung dengan mengerjakan solat, terutama solat tahajud. Kerana dengan melakukan demikian itu martabat setiap seseorang akan bertambah tinggi dan kelak akan dapat pula mencapai maqam yang terpuji di sisi Allah. Dengan beribadat kepada Allah akan menyebabkan jiwa seseorang menjadi besar, menurut bekalan amal dirinya sebagai manusia.



Qaaf Ayat 41

41. dan dengarkanlah (seruan) pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.

42. (yaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya Itulah hari ke luar (dari kubur).

Ini juga adalah peringatan tentang kedatangan hari kiamat. Allah akan mengarahkan Malaikat  untuk meniupkan seruan sangkakala untuk memerintahkan agar segala makhluk yang ada berhimpun di padang mahsyar.  Tiupan seruan itu adalah berupa pekikan yang sangat kuat dan dari tempat yang dekat. Maksudnya jeritan yang akan sampai kepada setiap makhluk secara yang sama, akan didengar oleh semua mereka. Sebab Yang Maha Berkuasa Allah itu adalah yang Yang Luas dan Maha Besar kudhratnya, sehingga tidak ada lagi tempat yang dapat dikatakan jauh. Seumpama kita mendengar seruan radio atau telivisyen ataupun website di internet sekarang ini. Siaran seruan itu walaupun dari satu tempat yang jauh yang merentasi lautan dan benua, merentasi langit dan cakerawala yang berjuta batu jauhnya, tetapi masih lagi kita dapat mengikutinya jelas dan terang seolah-olah ianya berada dekat saja dengan kita.

Pekikan itu akan kedengaran sebagai suatu kenyataan yang membuktikan kebenaran akan hal itu yang tidak dapat dibantah lagi. Maka akan keluarlah semua makhluk Allah pada hari itu daripada tempat perhentian mereka yang panjang, iaitu kubur. Mereka yang mana telah hancur menjadi debu, ataupun menjadi tanah, semua mereka bangun dan bangkit menjadi seperti sedia kala. Telah berkali-kali kita jelaskan di dalam pengajaran ayat kita yang lalu, bahwa ini bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi Allah untuk kembali menciptakan sesuatu yang telah tidak ada kepada ada.








Qaaf Ayat 43 Dan 45

43. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).

44. (yaitu) pada hari bumi terbelah-belah Menampakkan mereka (lalu mereka ke luar) dengan cepat. yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi kami.

Allah mengatakan bahwa Allah lah yang menghidupkan semua makhluk yang ada di dunia, begitu juga Allah lah yang akan mematikan mereka apabila telah sampai ajalnya. Dan kepada Allah lah jua mereka akan kembali, untuk menerima pembalasan.

Pada hari kiamat itu nanti berlaku kejadian terbelahnya bumi, iaitu tanah-tanah perkuburuan iaitu tempat pengkebumian sekalian mayat itu akan merekah, lalu menampakkan orang-orang yang sudah sekian lama terbujur kaku di sana. Dan tiba-tiba mereka semuanya bangun dari kubur, terkejut kerana mendengar jeritan serunai sangkakala, yang ditiupkan pada kali kedua. Lalu mereka semua bangkit cepat-cepat menuju ke tempat perkiraan amalan untuk dihisab sebagai menyahut seruan malaikat yang memanggil mereka.

Adapun tugas Allah menghidupkan orang-orang yang sudah mati dan lain-lain makhluk, lalu mengumpulkan mereka semua di sebuah padah mahsyar tempat berhimpun segala makhluk yang maha luas, itu bukanlah satu pekerjaan yang berat bagi Allah . Bahkan ianya sangat mudah untuk Allah mengadakannya tanpa penat dan tanpa susah payah.








Qaaf Ayat 45

45. Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan kamu sekali- kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.

Allah mengetahui apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrikin Quraisy yang mengingkari adanya hari kebangkitan dan mendustakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. serta memperolok-olok dan mengejek ngejeknya. Ayat ini merupakan satu hiburan kepada baginda nabi dan merupakan satu ancaman kepada sesiapa saja yang mendustakan baginda nabi.

Allah juga memuji baginda nabi sebagai seorang yang tidak mudah putus asa dengan segala cacian dan makian mereka. Baginda nabi tetap melaksanakan tugas baginda sepertimana biasa. Baginda nabi juga tidak menggunakan kekerasan untuk memaksa mereka memeluk Islam.

Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.
Bagaimana hebat pun cercaan dan hinaan yang baginda nabi terima, namun baginda nabi tetap berjiwa besar dan tidak mempedulikan semua itu. Ini kerana baginda nabi tersangat yakin bahwa Allah ada bersama nabi. Lantaran itu jugalah baginda nabi teruskan usaha dakwah baginda tidak mengenal lelah dan putus asa. Memahamkan semua yang mahu memahami dengan Al Quran. Kerana di kalangan mereka itu pasti ada yang takut dengan ancaman Allah.

Tidak semua yang menolak seruan dakwah baginda nabi. Tidak semua yang mahu terus hidup dalam kekafiran dan keras kepala mereka. Pasti ada di antara mereka yang mula lembut hati dan mahu mernerima setelah sekian lama diperdengarkan ayat-ayat Allah. Sepertimana besi karat. Apabila digilap hari-hari, lama kelamaan akan terserlah kilatnya. Begitulah juga manusia.

Dan bagi pengikut baginda nabi Muhammad,  kitab Al Quran akan sentiasa menjadi pedoman sampai ke akhir zaman. Walaupun ada halangan dan rintangan setiap masa. Namun selagi umat terus berpegang kepada Al Quran tidaklah ianya akan berhasil.  Sebab kebenaran itu hanya datang dari Allah saja. Dan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah boleh merasa ragu. Kebenaran pasti menang.






Tuesday, March 1, 2016

Surah Qaaf Ayat 1 - 22





Pengenalan

Surah ini adalah surah yang ke 50 dan mengandungi 45 ayat. Semua ayat-ayat di dalam surah ini diturunkan di Mekah kecuali ayat 38 diturunkan di Madinah. Surah ini merupakan permulaan kelompok surah Al Mufashshal iaitu kelompok surah-surah pendek menurut pendapat yang sahih. Ada juga pendapat yang tidak sahih mengatakan bahwa kelompok surah al Mufashshal ini bermula dari surah Al Hujurat. Dan ada pula yang mengatakan ianya bermula dengan surah An Naba’.

Sepertimana yang kita tahu surah yang ditrunkan di Mekah adalah berkisar tentang akidah dan kepercayaan Allah yang Maha Esa dan tiada Tuhan selain dariNya. Di dalam surah ini menekankan tentang peringatan kematian, hidup sesudah mati, tentang bahaya hari kiamat, bahawasanya jika pada masa di dunia ini umur kita sampai dan kita mati, namun urusan kita belumlah selesai sampai setakat itu sahaja. Sesudah mati kita akan dibangkitkan semula dan akan dihisab dan dihitung segala apa yang telah kita lakukan semasa hayat di dunia.

Surah ini memberitahukan kepada kita tentang gambaran-gambaran hidup, gambaran mati, gambaran reput dan hancur, kemudian bangkit semula dari kubur dan juga perhimpunan mahsyar.

Di dalam hidup ini ada lagi manusia yang tidak percaya kepada perkara-perkara yang sepertimana disebutkan di atas. Mereka hidp dengan tidak mempunyai harapan. Kalau sudah mati, kembali menjadi tanah maka habis sudah semuanya. Selesai. Tetapi ada jugayang hati mereka yang percaya tetapi mereka takut untuk menyebutnya. Kerana mereka masih takut untuk bercerai dari hidup di dunia. Bahkan ada pula yang menentang dan mengingkari jika ada orang menyebutnya. Bukan tidak percaya, tetapi mereka takut untuk menghadapi kenyataan. Inilah yang akan diterangkan di dalam surah ini.





Qaaf Ayat 1 Hingga 3

1 - Qaaf. Demi Al Quran yang sangat mulia.

2 - (mereka tidak menerimanya) bahkan mereka tercengang karena telah datang kepada mereka seorang pemberi peringatan dari (kalangan) mereka sendiri, Maka berkatalah orang-orang kafir :”Ini adalah suatu yang Amat ajaib”.

3 - Apakah Kami setelah mati dan setelah menjadi tanah (kami akan kembali lagi) ?, itu adalah suatu pengembalian yang tidak mungkin.

“Qaaf” adalah termasuk salah satu huruf Hijaiyyah yang disebutkan pada permulaan beberapa surah,  seperti firman Allah Ta’ala:  Thaa siin, haa miim, alif laam miim, nuun, shaad, dan lain sebagainya. Hanya Allah saja yang mengetahui maksud sebenar dari huruf-huruf tersebut. Demikian yang dikemukakan oleh Mujahid dan ulama lainnya.

Demi Al Quran yang sangat mulia.
Dalam ayat ini Allah telah menyatakan sumpah peringatanNya, untuk menjamin kesucian dan kemuliaan Al Quran, bahwa isinya bukanlah kata-kata yang sia-sia dan kata-kata terbuang yang tidak berfaedah. Ianya adalah peringatan, pengajaran dan pedoman hidup.

Allah telah memulakan penerangannya dengan sumpah dan ini menunjukkan bahwa apa yang akan diterangkanNya di dalam surah ini selepas ini adalah sesuatu yang amat besar dan penting sekali. Penting untuk diambil perhatian oleh orang-orang yang beriman. Bahkan lagi penting untuk para musyrikin yang tidak percaya kepada hari kebangkitan selepas mati.

Orang yang tercengang-cengang mendengar amaran dan ancaman yang diberitahukan oleh nabi ini bukanlah orang-orang kafir saja. Tetapi termasuk juga orang-orang yang beriman. Tetapi orang-orang yang beriman ini meskipun mereka tercengang, mereka tetap percaya, tetap beriman bahwasanya kejadian itu akan terjadi. Ini adalah kerana penyampainya adalah baginda nabi sendiri. Jadi mustahil kalau baginda sebagai seorang utusan Allah, menyampaikan sesuatu berita yang dusta kepada umat manusia. Tambahan lagi apabila rasul-rasul terdahulu yang diutuskan Allah, semuanya membawa berita yang benar belaka. Semua rasul-rasul itu ada membawa berita tentang kehidupan kedua, tentang manusia yang akan dihidupkan kembali setelah matinya.

Tetapi orang-orang kafir, mereka tidak percaya kepada hari kebangkitan ini. Jadi apabila mereka mendengar khabar dari baginda nabi yang menceritakan tentang hari kebangkitan ini, mereka tercengang dan tidak percaya. Mereka kata yang ini adalah sesuatu yang ajaib, sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku. Bagi mereka, kalau orang sudah mati, maknanya sudah tamatlah riwayatnya. Tidak ada apa-apa lagi. Jadi mereka amatlah berasa hairan mengapa mereka didatangi seorang rasul yang memberikan peringatan dan menakut-nakutkan mereka dengan adanya api neraka setelah mereka nanti dibangkitkan dari kubur. Bagi mereka peringatan ini sungguh ajaib. Apakah benar sesudah mati dan menjadi tanah nanti mereka akan dihidup semula? Mereka amat merasakan bahwa perkara sebegini sangat tidak dapat diterima akal.







Qaaf Ayat 4 Dan 5

4 - Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang dihancurkan oleh bumi dari (tubuh-tubuh) mereka, dan pada sisi Kamipun ada kitab yang memelihara (mencatat).

5 - sebenarnya, mereka telah mendustakan kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka, Maka mereka berada dalam Keadaan kacau balau.

Kehairanan orang-orang kafir yang menyebabkan ragu-ragu tentang hari kebangkitan itu telah diyakinkan oleh Allah dengan memberikan dalil, yang dinyatakanNya, bahwa daging dan tulang belulang dari mayat mereka yang sudah dihancurkan oleh bumi dan dimakan tanah itu, sesungguhnya diketahui Allah ke mana perginya, dan menjadi apa ia. Maka sesungguhnya dengan mudah Allah dapat mengumpulkan semuanya dan membangkitkan mereka semula seperti sedia kala. Ianya tiada apa yang menghairankan bagi Allah. Apa lagi di sisi Allah sememangna terdapat kitab catatan mengenai bilangan dan nama-nama makhluk yang sudah hancur ditelan bumi. Iaitu yang dinamakan sebagai Lauh Mahfuz, yang menyimpan segala butir maklumat segala sesuatu dari sekecil-kecilnya hinggalah ke sebesar-besarnya.

Tetapi sebaliknya orang-orang kafir ini mereka mendustakan kebenaran Al Quran. Mereka mendustakan kebenaran sebaik saja diperdengarkan bacaan kepada mereka. Walhal sangat jelas ayat-ayat yang diberikan itu dengan penerangan yang sebenar-benarnya kepada mereka. Sangat menghairankan sekali sikap mereka ini yang menolak kebenaran. Tidak mahu terima kebenaran. Sedangkan mereka ini sentiasa hidup di dalam kegelisahan kerana sering menuduh bhawa Nabi Muhammad s.a.w. Seorang ahli sihir. Mereka berada di dalam keragu-raguan kerana menuduh ayat Al Quran itu hanyalah syair yang direka-reka. Mereka sentiasa berada di dalam keresahan kerana terus-terusan menolak kebenaran yang ada di dalam Al Quran yang Nabi Muhammad s.a.w. sampaikan kepada mereka. Ini membayangkan bahwa akal mereka sudah kacau dan tidak siuman lagi. Kebenaran yang disampaikan itu sebenarnya adalah selari dengan jiwa mereka, tetapi mereka berusaha untuk menolaknya. Kerana itulah jiwa mereka menjadi kacau dan tidak siuman.







Qaaf Ayat 6 Hingga 11
6. Maka Apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikitpun ?

7. dan Kami hamparkan bumi itu dan Kami letakkan padanya gunung-gunung yang kokoh dan Kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata,

8. untuk menjadi pelajaran dan peringatan bagi tiap-tiap hamba yang kembali (mengingat Allah).

9. dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pohon-pohon dan biji-biji tanaman yang diketam,

10. dan pohon kurma yang tinggi-tinggi yang mempunyai mayang yang bersusun- susun,

11. untuk menjadi rezki bagi hamba-hamba (Kami), dan Kami hidupkan dengan air itu tanah yang mati (kering). seperti Itulah terjadinya kebangkitan.

Untuk menyuruh manusia berfikir dan mendekatkan diri mereka kepada kekuasaan dan kebesaran Allah, diajaklah mereka untuk memerhatikan keindahan yang ada di dalam alam sekelilingnya. Dalil mengenai kudhrat dan keesaan Allah diberikan menerusi ayat 6 hingga 11 ini.

Manusia disuruh memerhatikan langit yang ada di atas kepala yang begitu tinggi, tidak bertiang lagi kemas buatannya, tidak runtuh sentiasa tegap di atas, indah sekali dihiasi bintang-bintang. Ia diciptakan dengan kudhrat Allah. Tentu saja manusia yang sudah mati juga akan dihidupkan kembali dengan kudhrat Allah. Dan langit yang diciptakan itu tidak ada cacatnya, maka demikianlah pula manusia yang akan dihidupkan semula nanti. Mereka akan berkeadaan sempurnah sepertimana mereka hidup di dunia dahulu tanpa kurang sedikit pun anggotanya.

Dan lihatlah pula kepada bumi, yang diciptakan keadaan terbentang luas, dan dipacakkan gunung-gangang di atasnya untuk menetapkan agar penduduk tidak bergoncang. Serta ditumbuhkan di permukaannya bejenis-jenis tanaman yang indah menarik pemandangan mata yang melihat. Semuanya itu akan menjadi pandangan dan ingatan tentang kesempurnaan kudhrat Allah bagi setiap hambaNya yang mahu kembali memikirkan tentang keindahan ciptaan Allah.

Disuruh juga melihat betapa Allah telah menurunkan air hujan dari langit, iaitu air yang berkat kerana banyak faedah dan kegunaannya. Air adalah punca rezeki, kerana dengan air itulah akan tumbuhnya tanaman di perkebunan dan biji-bijian serta lagang-ladang yang akan dituai untuk mendapatkan hasil. Dan kebun buah-buahan yang lain, terutama kebuh buah kurma yang tinggi pohonnya dari jenis pohon berakar serabut dan mayagnya yang bersusun-susun dengan banyaknya, ia akan menjadi putik lalu kemudian akan berbuah untuk menjadi makanan kepada manusia sebagai rezeki mereka termasuk rezeki sekalian makhluk.

Dan dengan air juga Allah menghidupkan negeri yang mati kerana tanahnya kering dan gersang. Setelah ditimpa hujan ia akan melembap dan menumbuhkan berjenis-jenis tumbuh-tumbuhan dan bunga, menjadilah ia subur dan makmur kerana dapat mengeluarkan hasil untuk kehidupan penduduknya. Maka akan seperti itu pulalah keadaan orang-orang yang mati. Apabila Allah bangkitkan dari kubur mereka akan hidup semula. Tidak ubah seperti hidupnya tumbuh-tumbuhan yang dijelaskan tadi. Betapa orang-orang kafir hendak menyangkalnya?







Qaaf Ayat 12 Hingga 15

12. sebelum mereka telah mendustakan (pula) kaum Nuh dan penduduk Rass dan Tsamud,

13. dan kaum Aad, kaum Fir’aun dan kaum Luth,

14. dan penduduk Aikah serta kaum Tubba’ semuanya telah mendustakan Rasul- Rasul Maka sudah semestinyalah mereka mendapat hukuman yang sudah diancamkan.

15. Maka Apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama? sebenarnya mereka dalam Keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.

Allah mengugut bahwa kaum kafir musyrikin ini bakal ditimpakan seksa ke atas mereka sekiranya mereka mendustakan nabi Muhammad s.a.w. Sebagaimana yang telah ditimpakan ke atas umat terdahulu sepertimana kisah kaum Nabi Nuh yang telah ditimpakan kepada mereka azab banjir besar yang menenggelamkan mereka secara keseluruhan tiada yang bersisa lagi. Dan juga sepertimana penduduk Negeri Ar-Rass, kisahnya ini telah diceritakan di dalam surah al-Furqaan.

Kaum Thamud yang mendustakan nabi Salih lalu dibinasakan oleh Allah dengan panahan halilintar, Kaum Ad yang mendustakan Nabi Hud dibinasakan dengan turunnya angin ribut yang kuat. Kaum Firaun yang mendustakan Nabi Musa ditenggelamkan di dasar lautan. Kaum Lut yang mendustakan nabi Lut dibinasakan dengan diterbalikkan negeri mereka yang di atas menjadi ke bawah dan dihujani dengan batu dari tanah keras.

Penduduk Aikah di sebuah negeri perkebunan yang subur, tetapi kerana kezaliman mereka mendustakan nabi Syuaib maka Allah seksa mereka dengan menimpakan panas matahari selama 7 hari, kemudian Allah kirimkan api yang membakr dari awan tempat mereka berteduh.

Kaum Tubba’ Al Himyari, adalah nama raja negeri Yaman, yang telah masuk Islam. Dan telah menyeru rakyatnya untuk mengikutinya masuk Isalm. TEtapi mereka menolak dan mengingkari adanya hari kebangkitan sebagai orang yang berdosa. Lalu Allah binasakan mereka sehingga hancur lebur, dan keturunan mereka berserakan di merata-rata negeri.

Semua kaum yang disebutkan di atas telah mendustakan rasul sepertimana orang-orang kafir Quraisy itu. Maka  layaklah mereka untuk menerima seksaan.

Maka Apakah Kami letih dengan penciptaan yang pertama?
Ayat ini merupakan hiburan ataupun penawar kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang selalu didustakan orang-orang kafir Quraisy yang menyangkal adanya hari kebangkitan itu. Sedangkan contoh-contoh mengenai umat-umat terdahulu yang menyangkal hari kebangkitan telah pun mereka ketahui telah dimusnahkan semuanya. Bermakna itu adalah ancaman kepada mereka juga sekiranya mereka tidak menerima dan tidak percaya kepada hari kebangkitan.

Dan Allah mencela mereka dengan pertanyaan, adakah mereka menyangka yang Allah akan penat setelah menciptakan alam yang sebesar ini? Dengan tujuh petala langit dan bumi? Dengan bintang-bintang dan bulan dan matahari semuanya? Apakah mereka menyangka bahwa keputusan Allah adalah terbatas sebagaimana kekuatan manusia yang mudah merasakan penat dan letih?

sebenarnya mereka dalam Keadaan ragu-ragu tentang penciptaan yang baru.
Allah menempelak mereka dengan mengatakan bahwa sebenarnya, mereka masih ragu-ragu bahwa Allah sanggup menghidupkan kembali yang sudah mati. Mereka berfikir pastinya Allah tidak akan berupaya untuk menciptakan kembali kejadianNya yang sudah tidak ada kepada penciptaan baru. Sangkaan demikian sungguh meleset dan sangatlah tidak tepat sekali. Allah jawab, bahwa Allah tidak pernah merasa letih ataupun lemah untuk mengadakan hari kebangkitan untuk mengulang kembali ciptaanNya yang lebih baru.








Qaaf Ayat 16

16. dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,

Allah lebih tahu akan keadaan manusia dan bisikan hatinya, lebih dekat lagi kepadanya dibandingkan manusia itu sendiri dari kedua batang urat lehernya, padahal urat leher itu sudah sememangnya dekat pada diri manusia. Tetapi dibahasakan urat leher itu menandakan pengetahuan Allah yang dekat kepada manusia dan bukannya zat Allah.

Manusia ini adalah ciptaan Allah. Allah melebihkan keistimewaan manusia dari ciptaanNya yang lain di mana manusia telah dianugerahkan akal, fikiran, budi pekerti, perasaan, keinginan, cita-cita dan angan-angan. Maka segala apa yang dikenang di dalam hati manusia, segala apa yang difikir di dalam akal fikiran manusia, segala keinginan samada yang baik mahupun yang buruk, semuanya diketahui oleh Yang Maha Pencipta.

Apabila manusia memahami hakikat ini, sudah tentu manusia tidak akan berani mengeluarkan sepetah kata yang tidak diredhai Allah, malah tidak akan berani membiarkan hati membisikkan sesuatu fikiran yang tidak diperkenankan Allah. Ayat ini saja sudah cukup untuk membuat seseorang itu sentiasa takut, waspada, hati-hati dan tidak lalai dan cuai dari menghisab dan mengira setiap gerak geri sendiri.







Qaaf Ayat 17  Dan 18

17. (yaitu) ketika dua orang Malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri.

18. tiada suatu ucapanpun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya Malaikat Pengawas yang selalu hadir.

Dinyatakan di dalam dua ayat ini bahwa selain Allah berada dekat dengan kita, sedekat urat leher kita sendiri, ada lagi di kanan dan di kiri kita, terdapat dua malaikat yang selalu hadir dan sentiasa duduk berjaga dan memerhatikan gerak geri kita, desas desus kita, keluh kesah kita. Sehingga semua yang kita lakukan tidak ada yang terlepas dari catatan dan pengetahuan pengawal itu.

Satu malaikat akan berada di sebelah kanan kita untuk mencatat semua amalan baik yang kita lakukan. Dan satu malaikat lagi akan berada di sebelah kiri kita untuk mencatat segala amalan buruk yang kita lakukan. Semuanya akan dicatat dan tidak akan tertinggal satu apa jua pun.

Sebenarnya seluruh amalan manusia ini semuanya memang sedia berada di dalam pengetahuan Allah. Sebenarnya tidak perlu kepada mana-mana malaikat atau makhluk lain yang mencatatnya untuk menjadi rujukan Allah. Tetapi semua itu dibuat, segala amalan itu dicatat dengan secara terperinci titik butirannya semuanya adalah mengandungi hikmahnya.

Tujuan dua malaikat ini mencatat amalan kita adalah untuk menjadi bukti di lembaran kitab yang akan diberikan kepada setiap manusia pada hari kiamat nanti. Apa yang telah dikerjakan di dunia dahulu daripada lahir ke dunia sehinggalah menutup mata semuanya ada terkandung di dalam kitab itu. Jadi kita sebagai hambaNya yang telah mengetahui akan hal ini, sepatutnyalah kita mesti sentiasa mengawasi setiap tindak tanduk kita dan seharusnya kita memperbanyakkan melakukan amal kebaikan dan mengehentikan segala kejahatan.

Kata Al Hassan , apabila seorang anak Adam mati, dibentangkan di hadapannya pada hari kiamat, kitab amalannya dan disuruh baca. “Bacalah kitab engkau, sudah cukup dirimu sendiri pada hati ni untuk membuat perkiraan.”


Qaaf Ayat 19 Hingga 22

19. dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya.

20. dan ditiuplah sangkakala. Itulah hari terlaksananya ancaman.

21. dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan Dia seorang Malaikat penggiring dan seorang Malaikat penyaksi.

22. Sesungguhnya kamu berada dalam Keadaan lalai dari (hal) ini, Maka Kami singkapkan daripadamu tutup (yang menutupi) matamu, Maka penglihatanmu pada hari itu Amat tajam.

Allah menggambarkan kedatangan mati itu amatlah menyakitkan kepada setiap orang yang sedang berada di ambang maut. Ia dinamakan ‘Sakarat” ertinya kesengsaraan, merupakan salah satu daripada kegemparan akhirat yang amat menakutkan. Setiap orang mesti merasakan kesengsaraan mati ini dengan sebenar-benarnya. Perkara besar ini tidaklah dapat dinafikan lagi oleh semua manusia. Walaupun ada yang menyangkal, si penyangkal itu pun tidak akan terlepas dari kesengsaraan ini.

dan ditiuplah sangkakala.
Setelah semuanya mati, segala makhluk yang ada di bumi dan dilangit, tidak ada yang hidup, melainkan semuanya mati, kecuali Allah Yang Maha Esa, maka setelah sampai masanya, barulah seluruh makhluk Allah akan dibangunkan semula dari tidur mautnya Entah berapa ribu tahun entah berapa juta tahun setelah itu tiada siapa yang tahu melainkan Allah saja. Apabila serunai sangkakala itu telah berbunyi, maka akan bangunlah semua makhluk dihidupkan kembali.

Bunyi tiupan serunai sangkakakala itu adalah menandakan bahwa panggilan untuk memberikan balasan di atas semua perbuatan dan amal yang telah kita kerjakan semasa hidup di dunia dahulu. Itulah masa yang aman menakutkan dan menggerunkan yang dijanjikan Allah bakal menemui seorang makhluk yang berdosa. Tidak kira orang kafir, munafik mahupun fasik.

dan datanglah tiap-tiap diri, bersama dengan Dia seorang Malaikat penggiring dan seorang Malaikat penyaksi.
Sebaik saja manusia itu bangkit dari kematian kerana panggilan seruanai sangkakala itu, semuanya akan bersiap untuk ke tempat berkumpul. Manusia-manusia ini setiap mereka akan dikawal oleh dua orang malaikat. Seorang malaikat yang sedia mengawal, sehingga tidak ada jalan samasekali untuk lari ataupun untuk mengelakkan diri, bahkan sia-sialah sesiapa yang terlintas di fikiran mereka hendak mengelakkan diri dari panggilan ini. Sebab setiap langkah akan diperhatikan oleh malaikat pengawal tersebut. Dan seorang malaikat lagi adalah sebagai saksi. Malaikat saksi itu akan tegak berdiri menjadi saksi apabila perkara tentang seseorang manusia itu dibicarakan.

Sesungguhnya kamu berada dalam Keadaan lalai dari (hal) ini,
Maksudnya selama kita hidup di dunia yang sangat singkat ini, perkara yang seperti ini tidaklah menjadi perhatian kita. Kita berada di dalam keadaan yang lalai mengenai hari kegemparan yang menakutkan ini.  Nasihat kebenaran tidaklah kita pedulikan ataupun sengaja kita tidak mahu mendengar. Ataupun sengaja kita pura-pura buat tak tahu mengenainya. Kita hanya pandang remeh dan ringan saja. Ini kerana bagi kita ianya lambat lagi akan berlaku. Dan tidak mungkin akan berlaku dalam sehari dua ini. Betul tak, sisters?

Ya, berseronoklah semasa kita masih ada di dunia ini. Buatlah semahu kita.  Tetapi…. apabila tiba masanya kelak, Allah kata Maka Kami singkapkan penutup (yang menutupi) matamu, maka hilanglah kelalaian itu. Dan nantinya  penglihatanmu pada hari itu Amat tajam. Kelalaian itu telah hilang dan akan kelihatanlah kedahsyatan yang menakutkan itu sejelas-jelasnya.  Allahu Akbar!