Tuesday, February 23, 2016

Surah Al Fath Ayat 1 - 15






Pengenalan

Al Fath maksudnya adalah kemenangan. Allah memberikan kemenangan kepada rasulNya dapat menakluki dan sekali gus membuka  Kota Mekah untuk dimasukki oleh kaum muslimin semula pada tahun 7 Hijrah.

Al Fath juga membawa maksud Pejanjian Damai Al Hudaibiyah yang dimeterai pada tahun 6 Hijrah. Kerana adanya perjanjian itu maka ianya menjadi sebab kepada tertakluknya Kota Mekah setahun kemudian.

Surah ini adalah surah Madaniyyah yang mengandungi 29 ayat dan diturunkan selepas turunnya surah Al Jumuah. Surah ini diturunkan semasa baginda nabi kembali ke Madinah setelah memeterai perjanjian Hudaibiyah. Walaupun perjanjian Hudaibiyah ini tidaklah cukup untuk memuaskan hati bagi pihak kaum muslimin kerana mereka gagal mengerjakan umrah pada tahun itu, maka untuk menggembirakan hati mereka, dan menghilangkan rasa dukacita kerana tidak dapat mengerjakan umrah, dalam perjalanan pulang Allah telah turunkan surah Al Fath ini pada suatu malam di sebuah lembah di kawasan Asafan, sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dengan Madinah.

Untuk penerangan lanjut mengenai kekecewaan para muslimin ini, sisters semua bolehlah baca di dalam kitab sirah dan kitab tafsir ye.  Di sana ada menjelaskan secara terperinci.





Al Fath ayat 1 Hingga 3

1 - sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata,

2 - supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus,

3 - dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

Allah bagitahu bahwa sesungguhnya Allah telah memberikan kemenangan kepada pihak Nabi Muhammad menerusi perjanjian Hudaibiyah yang telah mereka tandatangani untuk membuka kota Mekah dengan menaklukinya. Ianya adalah sebagai kemenangan yang jelas lagi nyata. Dan Allah telah melantik Nabi Muhammad s.a.w. menjadi pemerintah Kota Mekah dengan penaklukan tersebut ke atas musuh-musuhnya.

Inilah janji Allah, untuk menggembirakan hati rasulNya dan juga kepada kaum muslimin. Sebelum penaklukan itu berlaku, Allah dah pun bagitahu bahwa kemenangan mereka sudah pun pasti. Maka tidak lama kemudian setelah penaklukan kota Mekah itu, ramailah orang-orang datang untuk memeluk agama Islam secara berduyun-duyun ramainya. Maha Suci Allah lagi Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana di atas semua percaturanNya.

Dan ayat kedua ini adalah keistimewaan khusus nabi Muhammad s.a.w. yagn tidak dimiliki oleh orang lain. Tidak ada satu pun hadis sahih yang menyebutkan akan diampunkan dosa yang telah lalu dan yang akan datang yang ditujukan kepada orang lain selain baginda saja. Ini merupakan penghormatan besar bagi Rasulullah s.a.w. Baginda dalam segala keadaannya selalu cekal dan tetap di dalam ketaatan kepada Allah, selalu istiqamah ke arah kebaikan yang tidak dilakukan oleh orang lain selain dirinya. Baik dari generasi yang telah lalu mahupun yang akan datang.

Baginda adalah manusia yang paling sempurna secara mutlak, dan baginda adalah pemimpin kepada seluruh umat manusia. Baik di dunia mahupun di akhirat. Baginda adalah hamba Allah yang paling menghormati perintah-perintah dan larangan-larangan Allah.

Kerana baginda telah mentaati Allah di dalam perjanjian Hudaibiyah serta mengabulkan perjanjian tersebut maka Allah telah berfirman sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu , iaitu yang di dunia mahupun di akhirat. dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus dengan syariat yang luhur dan agama yang lurus, yang telah diberikan kepada baginda.

dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).
Maksudnya disebabkan kepatuhan Rasulullah terhadap perintah-perintah Allah itu, maka Allah telah mengangkat darjat baginda dan menolong baginda serta para mukmin dalam melawan musuh-musuh.








Al Fath Ayat 4

Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada). Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,

Allah lah yang memasukkan ke dalam hati sanubari orang-orang mukmin, suatu perasaan tenang dan pendirian tetap semasa menghadapi musuh di dalam pertempuran, iaitu apa yang dinamakan semangat kepahlawanan. Allah kuatkan keimanan mereka yang telah sedia ada di dalam hati mereka supaya mereka jadi bertambah kuat keyakinan mereka terhadap agama yang mereka anuti dan perjuangkan. Apalagi dalam menghadapi cabaran musuh dari kaum musyrikin, yang telah menyekat perjalanan mereka dan menghalang mereka dari meneruskan tujuan mereka hendak masuk ke masjidil Haram di Mekah, untuk mengerjakan umrah. Cabaran inilah yang menambahkan kuatnya azam mereka, sedikit pun iman mereka tidak luntur.

Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi
Sekalian bala tentera yang ada di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah. Berupa malaikat, bangsa jin, segala jenis haiwan, adanya suara petir dan halilintar yang berdentum dan membakar, ledakan gunung berapi, ombak besar yang menenggelamkan dan bermacam-macam bala tentera yang tidak terhitung banyaknya lagi itu tidak akan dapat dikalahkan. Semuanya itu dikuasai oleh Yang Maha Berkuasa untuk ditimpakan kepada sesiapa saja yang disukaiNya.

Kata Ibnu Katsir, Allah boleh saja mengutuskan seorang saja malaikat kepada mereka, nescaya akan dimusnahkan semua kesenangan yang ada pada mereka. Tetapi Allah Azza Wajalla  tetap mensyariatkan kepada hamba-hambaNya untuk berjihad dan berjuang. Ini kerana yang demikian itu ada mengandungi hujah pemutus dan hikmah yang sangat halus.

dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,
Allah lebih mengetahui hal ehwal hambaNya. Lagi Maha Bijaksana dalam mentakdir dan mentadbirkannya. Dalam hubungan ini, para mufassirin menyebutkan, bahwa semasa perjanjian damai Hudaibiyah ditandatangani, ramai dari kalangan para sahabat nabi yang tidak berpuas hati. Di antaranya adalah Umar Ibnu Khattab sendiri. Namun nabi tetap berpegang kepada perintah Allah dan meyakini janji-janji Allah. Tidak sedikit pun baginda berganjak dengan keputusan baginda untuk mentaati perintahNya walaupun sahabat-sahabat yang lain merasa tidak senang. Dari perkara ini dapatlah dibayangkan bahwa baginda nabi adalah sebaik-baik manusia dan setaat-taat hamba. Sesungguhnya Allah itu sememangnya Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.  





Al Fath Ayat 5

supaya Dia memasukkan orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya dan supaya Dia menutupi kesalahan-kesalahan mereka. Dan yang demikian itu adalah keberuntungan yang besar di sisi Allah,

Segala sesuatu yang telah diatur oleh Allah itu dengan sedemikian rupa, adalah supaya orang-orang yang beriman mengetahui sendiri akan hikmah Allah selama ini dan mensyukurinya. Maka Allah akan masukkan mereka, baik lelaki mahupun perempuan ke dalam syurga dan tinggallah mereka di sana selama-lamanya, disebabkan ketaatan mereka dan jihad yang telah mereka lakukan.

Dan Allah tutup segala dosa dari kejahatan mereka, disebabnya adanya amalan-amalan mereka yang baik dan kesyukuran yang mereka tunjukkan kepada Tuhan mereka di atas nikmat yang dikurniakan. Dan itulah merupakan kejayaan yang berupa kebahagiaan hidup di dalam syurga yang tidak ada tolok bandingannya.






Al Fath Ayat 6

Dan supaya Dia mengazab orang-orang munafik laki-laki dan perempuan dan orang-orang musyrik laki-laki dan perempuan yang mereka itu berprasangka buruk terhadap Allah. Mereka akan mendapat giliran (kebinasaan) yang amat buruk dan Allah memurkai dan mengutuk mereka serta menyediakan bagi mereka neraka Jahannam. Dan (neraka Jahannam) itulah sejahat-jahat tempat kembali.

Di dalam ayat ini kita bertemu dengan dua jenis musuh. Yang pertama adalah lelaki dan perempuan yang munafik. Kedua ialah lelaki dan perempuan yang kafir. Ayat ini menjadi bukti bahwa munafik adalah lebih besar mudharatnya berbanding dengan kafir. Kalau kafir sudah tentu dan jelas kita tahu bahwa ianya adalah musuh. Tetapi kalau munafik, pada lahirnya mereka ini serupa saja dengan kawan. Tetapi pada batinnya mereka sentiasa saja melihat-lihat dan meninjau-ninjau peluang dan kesempatan untuk memudharatkan kaum muslimin. Ibarat kata ‘lempar batu sembunyi tangan’. Mereka ini disangka kawan, padahal sebenarnya mereka ini adalah musuh yang paling berbahaya sekali. Perjalanan dan tujuan mereka tidak kita nampak dan kita agak.  

Orang munafik ini mereka mempunyai prasangka buruk terhadap Allah, kononnya Allah tidak akan menolong rasulNya dan kaum mukmin. Dan kononnya mereka tidak akan dapat pulang ke Madinah dari Hudaibiyah. Inilah prasangka buruk mereka. Maka dalam ayat ini Allah bersumpah bahwa kelak mereka akan mendapat giliran seksa yang buruk dengan menimpakan kecelakaan.

Dan sememangnya mereka layak untuk menerima kemurkaan Allah. Iaitu dijauhkan dari rahmatNya, malahan disediakan pula untuk mereka neraka jahanam pada hari kiamat. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali bagi orang-orang munafik dan para kafir musyrikin.





Al Fath Ayat 7

7 - Dan kepunyaan Allah-lah tentara langit dan bumi. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah mengulang ayat ke 4 tadi di ayat ke 7 ini sebagai menguatkan kenyataanNya untuk menyeksa merka dengan perantaraan bala tenteraNya yang terdiri daripada malaikat, manusia dan juga jin, begitu juga halilintar, gempa bumi dan lain-lain bencana lain. Dan ini merupakan hakikat iaitu kalau orang-orang mukmin mendapat rahmat dari bala tentera rahmat Allah, maka orang-orang kafir dan munafik juga akan mendapat azab dari bala tentera azab disebabkan memusuhi Islam dan kaum mukmin yang bertakwa kepada Allah.


Al Fath Ayat 8 dan 9

8 - Sesungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan,

9 - supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, menguatkan (agama)Nya, membesarkan-Nya. Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.

Allah menyatakan bahwa Dia melantik Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusanNya yang akan menjadi saksi ke atas semua makhluk pada hari kiamat, bertugas sebagai memberikan khabar gembira kepada sekalian manusia tentang adanya syurga untuk kaum mukminin yang bertakwa kepada Allah. Juga menyampaikan khabar ancaman kepada orang-orang kafir yang bakal diseksa di dalam neraka. Rasul itu diutus untuk menyampaikan perutusan Allah, agar manusia seluruhnya beriman serta percaya kepada Allah dan rasulNya dengan sepenuh hati, tidak ada syak dan keraguan.

Mereka juga diperintahkan agar mengagungkan agama Allah supaya ianya menjadi kuat dan dimuliakan dengan penuh penghormatan.  Meneguh dan mengagungkan agama dan menguatkannya, tidak boleh diserahkan kepada orang lain. Mesti bergantung kepada kemahuan dan tenaga diri sendiri, yang didorong oleh rasa iman dan ketakwaan. Di dalam surah Al Baqarah ayat 63, ayat 93 dan surah al A’raaf ayat 171 ada menyatakan bahwa Allah menyuruh hamba-hambaNya mengambil apa yang Allah berikan kepada mereka itu dengan segenap kekuatan. Maksudnya, dengan bersungguh-sungguh, tidak main-main, tidak sewenang-wenangnya saja. Hendaklah dengan hati yang teguh. Dengan memuliakan Allah, memuliakan Nabi, menghormati baginda. Di samping itu dengan menghormati sewaktu hidup baginda, dan juga setelah wafatnya baginda.

Maka kalau ada perintahnya, baik yang disebut di dalam Al Quran ataupun yang disebut di dalam hadis-hadis, maka hendaklah disambut dengan baik dan penuh hormat. Jangan sengaja mencari dalih untuk meringankan perintah tersebut dan mengurangkan disiplin kita terhadapnya.

Inilah yang banyak dilakukan di zaman moden kini oleh kaum barat orientalis terhadap agama Islam. Kononnya mereka lebih ilmiah dan berpengetahuan dan agama Islam adalah jauh ketinggalan arus kemodenannya sehingga tidak dapat diguna pakai lagi untuk disesuaikan dengan zaman kini. Dan kita? kita yang tidak berapa faham dengan perjuangan agama dan goyah dari segi iman dan ketakwaan, terus akan menerima saja saranan mereka. Dan kita menolak apa yang disuruh dan diajarkan oleh nabi kita. Ketahuilah,  secara sedar atau tidak kita telah mencemuh agama kita sendiri, memandang remeh akan peraturan yang ditetapkan Allah serta kita telah menghina nabi kita sendiri akhirnya.

Maka kalau nak bandingkan kita dengan kaum kafir Quraisy yang mengatakan bahwa Al Quran itu adalah bukan dari wahyu Allah tetapi cuma ciptaan nabi, … kita ni tak ubah melainkan SAMA SAJA  dengan mereka.  

Dan bertasbih kepada-Nya di waktu pagi dan petang.
Bertasbih ini adalah mengucapkan kesucian terhadap Allah dengan mengerjakan solat pada pagi hari iaitu pada waktu Subuh dan petang hari iaitu pada waktu Asar. Maka di dalam mengerjakan solat tadi akan selalu jugalah kita akan terbawa-bawa rasa hormat kepada junjungan nabi Muhammad s.a.w. tadi, baik ketika kita mengucapkan salam di dalam tahiyat mahupun ketika mengucapkan dua kalimah syahadah.





Al Fath Ayat 10

Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.

Allah menyatakan bahwa sesungguhnya mereka yang bersumpah setiap kepada nabi Muhammad di perjanjian Hudaibiyah itu yang dinamakan sebagai Bai’atur Ridhwan, pada hakikatnya mereka telah bersumpah setia kepada Allah.

Ini merupakan penghormatan untuk Nabi s.a.w. Yang kedudukan baginda adalah bertaraf tinggi. Kerana baginda itu adalah diibiratkan sebagai duta kepada syiar Allah.

Kata Mufassirin bahwa yang dimaksudkan dengan sumpah setia di sini ialah berakad sumpah, untuk taat setia kepada pemimpinnya, semasa nabi membai’at sahabat-sahabatnya untuk bersama-sama mati, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim. Mereka mengatakan bahwa mereka membai’at (bersumpah setia) kepada nabi untuk sama-sama mati.

Admin terangkan secara ringkas serba sedikit mengenai terjadi Perjanjian Hudaibiyah dan Bai’atur Ridhwan ni ye, sisters. Untuk pengetahuan lanjut sisters bolehlah rujuk kepada kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab sirah yang lain.

Sepertimana yang kita tahu bahwa pada bulan Zulkaedah tahun 6 Hijrah, nabi bersama dengan 1400 orang sahabat hendak mengerjakan umrah ke Mekah di samping mengunjungi sanak saudara yang telah lama terpisah. Tetapi malangnya, apabila mereka sampai di tempat yang dipanggil nama Al Hudaibiyah, mereka telah disekat oleh kaum musyrikin Quraisy. Baginda pun telah mengutuskan Sayidina Uthman Bin Affan supaya menemui orang-orang Quraisy di Mekah untuk menerangkan maksud kedatangan mereka ke Mekah adalah untuk berumrah.

Setelah lama menanti, Uthman tidak juga kembali. Kerana beliau telah ditahan oleh musuh. Dan diberitakan kemudian bahwa Uthman telah dibunuh. Oleh itu nabi pun menganjurkan agar kaum muslimin melakukan bai’at iaitu bersumpah setia kepada baginda. Mereka pun bersumpah setia dengan nabi di bawah sepohon kayu, iaitu mereka akan memerangi kaum Quraisy bersama-sama nabi sehidup semati tidak akan melarikan diri, sehinggalah kemenangan tercapai.

Dengan adanya Bai’atur Ridhwan ini menyebabkan kaum Quraisy merasa gentar, sehingga mereka telah melepaskan Sayidina Uthman. Maka berlakulah peristiwa apa yang dinamakan sebagai perjanjian Hudaibiyah.

“Tangan Allah di atas tangan mereka,”
Allah telah memberikan pujian terbesar kepada mereka yang telah berbai’at sesama mereka, yang sanggup mati untuk berjuang menegakkan agama Allah bersama-sama dengan nabi. Berbai’at sesama mereka adalah bermakna berbai’at dengan Allah dan tangan Allah adalah di atas tangan mereka. Maksudnya bahwa tangan mereka semuanya menjadi kuat dan teguh, sebab semuanya direstui oleh kekuasaan Allah.

“ maka barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri’
Maksudnya kalau ada orang yang kemudian setelah berbai’at, mereka tiba-tiba telah belot dari tujuan asal, tidak tahan penderitaan sehingga menyebabkan mereka berpaling tadah, maka sama ertinya dengan mereka memungkiri janji diri mereka sendiri. Merosakkan diri mereka sendiri.

“dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar. ‘ Iaitu syurga Darul Abar yang merupakan tempat kenikmatan yang abadi, yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia. Hujung ayat ini menegaskan bahwa seorang yang imannya telah memenuhi hatinya, tidaklah ia akan berhenti untuk berjuang sampai nyawanya bercerai dari badan.





Al Fath Ayat 11

Orang-orang Badwi (dusun) yang tertinggal (tidak turut ke Hudaibiyah) akan mengatakan: "Harta dan keluarga kami telah merintangi kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami"; mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya. Katakanlah: "Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu? Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Kita sebutkan sebagai orang-orang Badwi yang bererti dusun. Orang-orang ini boleh juga dikenal sebagai orang-orang kampung. Mereka ini belum memahami erti perjuangan dalam menegakkan agama. Yang penting bagi mereka adalah sekadar masalah harian saja. Iaitu makan dan minum. Mereka belum mengenal erti cita-cita. Maka mereka hanya akan turut ikut berperang sekiranya ianya dapat menguntungkan merka saja. Mereka tidak sanggup mati dalam peperangan. Maksudnya kalau kemungkinan dengan berperang itu akan membawa kemenangan, maka mereka akan ikut. Kalau kemungkinan besar peperangan itu mereka akan kalah, maka mereka tidak mahu turut serta. Mereka akan mencari dalih untuk mengelakkan diri mereka dengan mengatakan "Harta dan keluarga kami telah merintangi kami, maka mohonkanlah ampunan untuk kami" Inilah jawapan untuk membersihkan diri mereka sebagai orang yang penakut dan tidak bertanggung jawab. Mereka telah mula-mula lagi merasa takut dan kecut perut melihat besar musuh yang sedang menunggu mereka, sebab itu mereka berundur dan tidak mahu turut serta dari mula-mula lagi.

Tetapi kemudian setelah mereka lihat pihak kaum muslimin sesudah berbai’at itu telah bulat hati mereka untuk menghadapi maut, dan pihak musuh pula telah sudi untuk bermusyawwarah sehingga telah memberi izin untuk para muslimin menunaikan haji pada tahun berikutnya, setelah ini, barulah mereka kaum badwi itu semuanya datang meminta maaf. Meminta maaf sebab tidak turut serta ketika baginda Rasulullah memanggil mereka.

“mereka mengucapkan dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya.’
Pengakuan mereka ini bukanlah dengan hati yang ikhlas dan jujur sebenarnya. Mereka ini semuanya telah berdusta. Mereka katakan bahwa harta benda dan anak-anak telah menghalangi mereka, sehinga mereka tidak dapat turut serta dengan perjuangan nabi. Padahal orang-orang yang turut serta dengan baginda nabi pun juga mempunyai harta benda dan anak-anak juga.

Sebab itu lah maka baginda nabi disuruh menjawab ucapan ‘excuse’ mereka dengan ucapan "Maka siapakah (gerangan) yang dapat menghalang-halangi kehendak Allah jika Dia menghendaki kemudharatan bagimu atau jika Dia menghendaki manfaat bagimu?”

Pertanyaan yang disuruh Allah kepada nabiNya menanyakan kepada kaum badwi itu telah membukakan rahsia sebenarnya mengapa merka tidak mahu membawa harta benda atau keluarga mereka kalau sememangnya sudah patut dibawa, ataupun meninggalkannya kalau sudah sememangnya patut ditinggalkan. Sebabnya ialah kerana di dalam hati mereka masih ada keraguan, nak dibawa atau tidak! Kalau nak dibawa, mereka masih ragu-ragu apakah mereka akan selamat dalam perjalanan itu nanti. Kalau jelas akan selamat, pasti mereka akan membawa bersama. Maka kalau mereka mempunyai iman yang teguh terhadap Allah, mereka pasti akan pergi dengan tidak ada rasa ragu-ragu lagi. Keselamatan ataupun bahaya yang akan menimpa, semuanya itu datang dari Allah dan tidak ada orang yang sanggup menahannya atau pun menolaknya.

“Sebenarnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’
Dari hujung ayat ini, Allah telah membayangkan bahwa Allah sudah tahu apa yang bermain di hati mereka ketika mereka menyatakan alasan mereka untuk tidak turut serta. Ianya adalah dari kelemahan peribadi mereka sendiri. Sebab itulah hendaklah seseorang muslimin itu menjaga ketulusan hati dan memelihara jangan sampai keimanan mereka rosak kerana sikap penakut mereka.





Al Fath Ayat 12

Tetapi kamu menyangka bahwa Rasul dan orang-orang mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya dan syaitan telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa.

Di dalam ayat ini Allah telah membongkarkan sifat munafik yang tersembunyi di dalam hati mereka kaum badwi tentang kenapa mereka tidak mahu turut serta berperang sejak dari mula-mula lagi.

Orang-orang Badwi yang penakut ini telah meneka terlebih dahulu bahwa kaum muslimin tidak akan menang di dalam peperangan tersebut. Mereka menyangka bahwa pastinya baginda nabi dan para sahabat akan kalah teruk di medan peperangan dan tidak ada harapan untuk kembali kepada keluarga mereka di rumah. Kaum Badwi ini memang takut mati. Maka daripada mati, adalah lebih baik mereka mengelak untuk turut serta dari awal lagi.

Setelah kemudiannya, peperangan itu tidak terjadi. Sebaliknya sebuah perjanjian telah dimeterai , maka baginda nabi dan para sahabat telah mendapat kemenangan dari segi diplomatik. Di waktu inilah mereka kaum badwi  ini datang untuk meminta maaf kerana tidak ikut serta dari mula disebabkan harta benda mereka dan anak pinak yang perlu mereka uruskan.

Sebenarnya itulah yang terfikir di benak mereka sejak dari mula iaitu menyangka bahwa kaum muslimin akan kalah teruk di dalam peperangan itu nanti. Sesungguhnya persangkaan buruk mereka itu adalah kerana syaitan telah memperindahkan hati mereka dengan godaan yang menyesatkan. Syaitan telah membisikkan di dalam hati mereka bahwa kaum muslimin adlalah kaum yang lemah dan mereka akan kalah. Mereka nanti akan dibunuh bersama-sama kaum muslimin sekiranya mereka turut serta bersama nabi nanti. Persangkaan buruk inilah yang telah mewarnai hati mereka. Sehingga mereka tidak dapat melihat betapa tingginya masyarakat yang telah dibentuk oleh nabi s.a.w. Pada waktu itu. Sehingga menyebabkan mereka sendiri telah menjadi kaum yang rosak. Rosak kerana kaum munafik ini adalah kaum yang dimurkai Allah. Di mana mereka nanti akan Allah binasakan, iaitu ditewaskan di dalam medan peperangan dan kemudiannya akan diseksa.






Al Fath Ayat 13

Dan barangsiapa yang tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya Kami menyediakan untuk orang-orang yang kafir neraka yang bernyala-nyala.

Ayat ini menggesa supaya kaum Badwi tadi agar segera beriman kepada Allah dan rasulNya, dan segera bertaubat. Sekiranya iman mereka tidak ikhlas dan tidak teguh, maka mereka akan disifatkan sebagai orang-orang kafir juga dan akan disediakan kepada mereka azab neraka yang apinya menyala-nyala. Inilah suatu amaran keras kepada orang-orang munafik.  

Ayat ini juga menjadi tonggak disiplin yang kuat yang akan mengikat orang-orang yang beriman supaya jangan menyerah. Kerana kemunduran, lari meninggalkan medan pertempuran kerana alasan ragu-ragu, kerana pengecut, adalah menandakan bahwa iman mereka tidak teguh, iman yang tidak kuat, iman yang hanya sekadar sorak sorai saja selama ini. Seorang muslimin yang sejati disuruh teguh setia di kala suka dan duka, setia pada setiap keadaan paht dan getir. Jangan berpaling tadah walau sekelumit di dalam hati. Kerana Allah lebih mengetahui segala apa yang mereka kerjakan.






Al Fath Ayat 14

Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia memberikan ampun kepada siapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sesungguhnya semua medan perjuangan ini Allah yang punya. Sebab itu tidak usahlah merasa takut. Allah akan memberikan keampunan kepada sesiapa saja yang Dia kehendaki. Oleh sebab itu siap yang pernah merasa ragu-ragu, maka banteraslah keraguan itu dan bertaubatlah.

“dan mengazab siapa yang dikehendaki-Nya.’
Orang yang tidak berusaha untuk melenyapkan keraguan di dalam hati mereka, yang terus hanyut di dalam keraguan mereka sendiri, orang-orang ini bakal menerima azab Allah.

Namun demikian pintu taubat masih lagi terbuka selagi mana hayat dikandung badan. Janganlah lupa bahwa Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Maka segeralah bertaubat.






Al Fath Ayat 15

Orang-orang Badwi yang tertinggal itu akan berkata apabila kamu berangkat untuk mengambil barang rampasan: "Biarkanlah kami, niscaya kami mengikuti kamu"; mereka hendak merubah janji Allah. Katakanlah: "Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami; demikian Allah telah menetapkan sebelumnya"; mereka akan mengatakan: "Sebenarnya kamu dengki kepada kami". Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.

Orang-orang badwi ini apabila mereka melihat bahwa kaum muslimin hendak beredar untuk memerangi kaum Yahudi di peperangan Khaibar dengan memperolehi harta rampasan perang di sana, maka mereka beramai-ramai pula meminta kepada baginda nabi agar mereka diberikan peluang untuk ikut serta berperang bersama-sama dengan kaum muslimin. Ini adalah dengan tujuan supaya mereka dapat mengambil bahagian dari harta rampasan perang tersebut.

Yang dimaksudkan harta rampasan ghanimah di sini adalah harta rampasan dalam peperangan Khaibar. Yang demikian itu sekembalinya baginda nabi dari Hudaibiyah, maka pada bulan Zulhijjah tahun ke 6 Hijrah , baginda telah menyerang kota Khaibar, kubu paling kuat kaum Yahudi. Baginda telah pergi bersama-sama dengan para sahabat yang menyertai baginda di perjanjian Hudabiyah dahulu. Kota itu tleah ditawan oleh baginda dengan memperoleh harta rampasan yang begitu banyak sekali.

Ayat ini merupakan janji yang menggembirakan iaitu mendapat harta rampasan, bagi mereka yang bersumpah setia berbai’at,. Ayat ini juga adalah sesuatu yang mengecewakan kepada mereka yang lari dari peperangan semasa termeterainya perjanjian Hudaibiyah itu.

‘mereka hendak merubah janji Allah.’
Janji Allah kepada orang-orang yang menghadiri perjanjian Hudaibiyah itu hendak mereka ubah, supaya mereka saja yang dapat memonopoli harta rampasan itu khusu buat mereka tidak seorang pun yang akan berkongsi dengan mereka. Padahal Allah telah menguntukkan harta rampasan perang Khaibar ini kepada mereka yang pergi ke perjanjian Hudaibiyah saja sebagai ganti terhalangnya mereka hendak menunaikan umrah di Mekah tempoh hari.

“Katakanlah: "Kamu sekali-kali tidak (boleh) mengikuti kami;’
Mereka dilarang sama sekali untuk mengambil kesempatan ikut serta dalam peperangan Khaibar dan tidak berhak sama sekali memeperoleh bahagian dari harta rampasan perang. Begitulah Allah telah membuat hukum sebelumnya, menerusi kata-kataNya bahwa harta rampasan Khaibar adalah bagi merka yang hadir di perjanjian Hudaibiyah saja. Dan tidak boleh orang lain turut mendapat bahagian.

Tetapi orang-orang badwi yang tertinggal dari pergi menunaikan umarh itu tidak percaya bahwa Allah ada menetapkan hukum sebelum itu. Sebaliknya mereka menuduh pula rasul dan orang-orang muslimin yang lain dengki, sebagaimana Allah ceritakan "Sebenarnya kamu dengki kepada kami". Bahkan mereka tidak mengerti melainkan sedikit sekali.” Maksudnya mereka menuduh orang-orang Islam dengki dengan mencari-cari alasan. Mereka menuduh orang-orang Islam tidak suka berkongsi harta rampasan bersama mereka.

Allah menyuruh rasulNya menolak tuduhan merka yang tidak berasas itu dan menyifatkan sebagai orang-orang badwi yang munafik. Disebabkan mereka tidak faham tentang selok belok agama Islam. Hanya sedikit saja yang mereka ketahui, kerana itu semua adalah kerana kejahilan mereka sendiri.






Saturday, February 20, 2016

Surah Al Ahqaaf Ayat 21 - 35











Al Ahqaaf Ayat 21

21 - Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah "Al-Ahqaaf", - sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya - (dengan berkata): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)".

Ad adalah nama dari suatu kaum yang termasuk dalam bangsa Arab zaman purbakala di tanah Hadramaut. Nabi Hud adalah saudara mereka yang diutus untuk menyampaikan petunjuk dan peringatan Allah kepada mereka. Di dalam ayat 21 ini disebutkan Nabi Hud sebagai saudara. Maksudnya Nabi Hud ini bukanlah orang lain kepada mereka. Nabi Hud adalah ahli keluarga mereka sendiri.

Sepertimana yang kita ketahui tanah Arab kebanyakan adalah padang-padang pasir dan bukti-bukit pasir yang tandus yang dikumpulkan oleh perkisaran angin. Namun di Hadramaut ini terdapatlah tanah yang ada sedikit air berbanding dengan tempat lain.

“....sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya…”
Maksud ayat ini adalah, Nabi Hud bukanlah nabi pertama yang datang untuk memberikan peringatan kepada mereka. Ada lagi nabi-nabi terdahulu yang juga telah memberikan mereka peringatan agar mereka jangan terlalu bersenang lenang, berlaku zalim, berlaku penipuan dan mengambil harta orang lain dengan jalan penipuan. Semua perkara ini dilakukan adalah kerana mereka tidak ada pegangan teguh, tidak ada keperayaan yang bulat kepada Tuhan.

"Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)".
Inilah yang menjadi asas ajaran iaitu seruan untuk menyembah Allah Yang Maha Esa. Selama mereka masih menurutkan hawa nafsu mereka, kehendak selera yang tiada batasannya, lupa akan kekuasaan Allah atas sekian alam dan terutamanya diri mereka sendiri, maka selama itulah mereka akan hidup dengan tidak ada pedoman dan kucar kacir. Apabila ini berlaku maka mereka sendiri yang akan hancur kerana seksaan batin yang tidak pernah aman dan tenteram semasa hayat di dunia. Dan di akhirat pula mereka bakal dicampakkan ke dalam neraka.

Begitulah seruan saudara mereka yang bernama Hud ke atas mereka. Seruan dari saudara kandung mereka sendiri. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. pun adalah saudara kandung dari orang-orang Quraisy dan saudara sebangsa dan sekaum dengan Arab seluruhnya dan manusia seumumnya. Namun mereka tidak mahu menerima. Dan mereka tidak peduli.






Al Ahqaaf Ayat 22 Dan 23

22 - Mereka menjawab: "Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

23 - Nabi Hud berkata: "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!"

Kaum Ad itu bertanya, tetapi tanya dengan penuh bantahan. Nabi Hud telah menyeru mereka supaya menyembah Allah Tuhan yang Esa. Jadi mereka tanya balik, adakah kedatangan Nabi Hud itu adalah untuk menghalang mereka dari menyembah tuhan-tuhan mereka yang banyak itu? Kalau betul, datangkanlah seksaan yang dijanjikan kepada mereka sekiranya betul benar mereka akan diazab. Mereka tidak percaya sama sekali bahwa mereka akan diseksa.

Ini adalah tentangan yang benar-benar timbul dari kesombongan. Namun sebagai seorang rasul yang benar-benar tahu akan tugasnya, Nabi Hud tidak lupa dan tidak pula marah. Nabi Hud sendiri tidak berkuasa untuk menjawab tentangan mereka itu. Nabi Hud insaf bhwa beliau juga adalah manusia biasa. Kerana itulah Nabi Hud telah berkata, "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!"

Menyekutukan Allah dengan benda adalah suatu kebodohan. Inilah yang telah mulai dijelaskan di dalam ayat ini. Kaum yang menyekutukan Allah dengan benda lain seumpama orang Hindu Brahma di India, yang sangat banyak yang mereka anggap suci, yang mereka anggap dewa, sehingga sampai kepada lembu sapi, sampai kepada kera yang mereka beri nama Hanuman, sampailah kepada kayu kayan dan tempat-tempat yang mereka anggap sakti. Namun sekiranya didalami agama Hindu dengan mendalam mereka tetap mengakui bahwa sumber kekuasaan itu adalah yang satu jua, yang mereka namai Brahma.

Seperti mana juga orang Pesia, mereka juga ada banyak tuhan, Tuhan dari sinar terang, tuhan dari siang dan malam, tuhan dari buruk dan baik. Namun pada hakikat sejati, mereka mengakui bahwa akhirnya yang menang dan paling berkuasa ialah Tuhan sinar terang juga. Di Indonesia juga ada yang menganut agama Hindu Bali yang percaya kepada dewa, mambang dan peri. Namun mereka juga mengetahui bahwa Tuhan yang menjadi sumber dari segala kekuasaan ialah Tuhan yang Maha Esa.

Ini bermakna fikiran mereka telah menjalar, hanyut berkhayal dan adakalanya berfalsafah sehingga sampai kepada berpuluh-puluh dan beratus-ratus tuhan. Padahal mereka juga mengakui akan adanya Yang Maha Esa. Oleh sebab itu menambah dan membanyakkan Tuhan adalah satu dari sebab kebodohan saja, hanya menurutkan khayal fikiran yang tidak berpenghujung. Dan kalau ini dibiarkan lama-lama akan diakui sebagai suatu kenyataan.

Mereka menentang Nabi Hud dan meminta diturunkan azab itu sekarang juga, kalau betul azab itu ada. nabi Hud dengan segala kerendahan diri dan hati mengakui bahwa kekuasaan untuk menurunkan azab hanyalah di tangan Allah. Nabi Hud sendiri tidak berkuasa untuk berbuat demikian. Inilah kenyataan dan kesabaran dari seorang nabi yang harus menjadi perbandingan bagi tiap-tiap pejuang yang menegakkan Kebenaran.





Al Ahqaaf Ayat 24 Dan 25

24 - Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: "Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!" (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): "Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

25 - "Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya". (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) - tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

Nabi Hud dengan kerendahan hati telah mengatakan bahwa beliau tidaklah ada kuasa apa-apa untuk menurunkan azab sebagaimana yang mereka minta. Mendengar jawapan dari Nabi Hud, tentu saja mereka bertambah sombong dan mempertahankan pendirian mereka membuat tuhan-tuhan, atau dewa-dewa dengan tangan mereka sendiri.

Tiba-tiba awan mendung di langit amat tebal sekali. Mereka telah bergembira kerana menyangka bila awan telah kelihatan tebal dan mendung, mereka sangka itulah tanda hari akan hujan. Melihat mendung yang menebal, mereka gembira sekali, kerana sudah lama mereka tidak dituruni hujan.

Tetapi apa yang terjadi? Hujan memang turun. Tetapi bukan hujan rahmat yang menyuburi bumi. Tetapi hujan laknat yang menghancurkan bumi. Inilah dia permintaan mereka yang telah dikabulkan Allah sebagaimana yang disebut terdahulu di dalam ayat 22 tadi. “Datangkan kepada kami apa yang engkau ancamkan itu” Sekarang azab itu sudah datang. Hujan lebat disertai dengan taufan halilintar, kilat sabung menyabung, guruh yang dahsyat lagi menakutkan. “Angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;”

Badai pun tiba, angin menderu, hujan tidak berhenti-henti. Segala sesuatu yang menjadi kepunyaan kaum Ad itu samada nyawa mahupun harta kekayaan, semuanya hancur lebur oleh tiupan angin ribut dengan perintah Allah yang mengizinkannya. Habislah semuanya punah mati tenggelam, mati hanyut, mati dilanda air dan ribut. Mati dihimpit batu runtuh. Dan ianya berlaku selama tujuh hari sebagaimana yang disebutkan terdahulu di dalam ayat 6 dan 7 dari Surah Al Haqqah.

“Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa. “
Maka kebesaran, kesombongan kerana kekayaan yang diberikan Allah selama ini, sampai juga mereka disebut kaum Iram. Yang membawa maksud kaum yang mempunyai tonggak yang tinggi, tonggak kemegahan, baik kerana rumah dan bangunan yang mereka dirikan yang menjulang tinggi hingga ke langit ataupun diri mereka sendiri kaum Ad yang memang berbadan tinggi dan gagah perkasa. Tetapi apalah ertinya tinggi dan gagah perkasa di hadapan Allah sekiranya mereka sendiri tidak upaya untuk menghentikan hujan yang selama tujuh malam lapan hari yang menimpa mereka siang dan malam itu.






Al Ahqaaf Ayat 26

26 - Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
Kemudian Allah memberikan peringatan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w pula. Di awal ayat 26 ini Rasulullah s.a.w. disuruh menjelaskan lagi kepada kaum Quraisy untuk membandingkan diri mereka dengan kaum Ad yang telah diazab itu. Dikatakan bahwa kaum Ad ini adalah kaum yang jauh lebih tinggi kedudukan mereka, peradaban dan kebudayaan mereka kalau nak dibandingkan dengan kaum Quraisy itu. Maksud perkataan “Kami telah meneguhkan kedudukan mereka” adalah keadaan ekonomi kaum Ad yang jauh lebih tinggi pesat membangun, sehingga mereka terkenal dengan kepakaran membuat bangunan yang tinggi dan indah, yang orang Quraisy sendiri belum dapat capai lagi. Jauh ketinggalan.

Ayat ini menjelaskan bahwasanya kaum Ad itu telah mencapai tahap kecerdasan yang tinggi sekali. Mereka dikurniakan pancaindera, iaitu pendengaran, penglihatan dan hati yang dengannya dapatlah digunakan untuk mengenal nikmat-nikmat Allah. Penglihatan melihat keindahan alam, campuran warna dari langit, gunung yang menghijau, langit yang membiru, bunga yang berkembang dan air yang mengalir. Pendengaran pula mendengarkan bunyi yang indah, yang merdu, dan mengasyikkan kalbu. Kedua pancaindera inilah yang akan mengangkat segala keindahan warna dan bunyi itu dalam hati supaya hati pula boleh meresapkan dan merasakan suatu keindahan. Dengan keindahan yang dirasakan itu manusia pun akan berusaha untuk menyesuaikan penglihatan dan pendengaran dengan perasaan yang tumbuh dari dalam hati.

Tetapi sayangnya kaum Ad ini, walaupun mereka mempunyai kecerdasan fikiran serta tajamnya penglihatan dan pendengaran, tetapi “...pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; “

Itulah malang yang sebesar-besar malang. Kenapa? Kerana kecerdasan pendengaran dan penglihatan serta keindahan yang dirasakan oleh hati mereka itu tidak dapat membawa mereka kepada melihat siapakah PENCIPTA keindahan itu sebenarnya. Setiap sesuatu yang indah pastinya ada tersembunyi satu kebenaran. Kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Tetapi kaum Ad tidak sampai untuk memikirkan kebenaran di sebalik keindahan tersebut. Sebaliknya keindahan itu disia-siakan dengan menggunakannya semata-mata untuk mencari kepuasan hidup di dunia dan kelazatannya sahaja. Sebab itulah maka ditegaskan bahwa penglihatan dan pendengaran dan hati mereka tidak memberi apa-apa faedah pun kepada mereka. Dan kerana itu jugalah “mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.”





Al Ahqaaf Ayat 27

27 - Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

Allah menakut-nakutkan lagi kaum Quraisy, bahwa mereka juga bakal akan ditimpakan azab di sekitar negeri mereka, sebagaimana yang telah ditimpakan kepada penduduk negeri yang ada di dunia ini sepertimana kaum Ad, kaum Thamud, Saba’ dan kaum Lut. Padahal mereka itu kerap diberikan peringatan dan penerangan yang bermacam-macam bukti dan tanda tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Diharap menjadi pengajaran, agar mereka kembali ke pangkal jalan dari kesesatan mereka itu.







Al Ahqaaf Ayat 28

28 - Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Mengapa berhala yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka untuk menolak seksaan Allah? Padahal siang malam mereka tunggang langgang memuja, membakar kemenyan, bersimpuh liuh meletakkan kepercayaan dan pengharapan kepada berhala tersebut, kepercayan dan pengharapan yang selain dari Allah.

Sekarang mereka telah kena murka dari Allah sendiri. Telah dihancurkan, dihanyutkan dan dibinasakan dengan badai dan berbagai azab seksaan. Mana dia yang mereka sembah itu selain dari Allah? Mana dia? Mengapa dia tidak datang menolong dan membela? Mereka membisu? ...bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka.”

Berhala-berhala dan segala macam yang mereka sembah selain dari Allah itu telah diam seribu bahasa. Ini kerana berhala-berhala itu memang tidak mempunyai kuasa apa-apa. Bahkan yang menyembah dan memuja mereka itulah yang lebih berkuasa dari mereka. Dan yang lebih berupaya bergerak.  Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Begitulah di dalam ayat ini dijelaskan sebab-sebab datangnya azab dan seksa sehingga semuanya hancur, tinggal bekasnya saja. Hanya tinggal rumah-rumah dan sisa-sisa bangunan yang kosong. Semua rakyatnya telah dihancurkan dengan seksaan. Sebab utama semuanya ini terjadi adalah kerana luapanya manusia akan keadaan diri mereka sendiri, lupa akan kelemahan diri sendiri, akan masa yang terbatas di dunia ini. Yang tidak benar, yang khayal itulah yang mereka percayai, mereka pegang, tetapi kebenaran sejati mereka singkirkan. Maka datanglah kebinasaan. Dan bila kebinasaan itu datang, tidaklah dapat ditolak lagi. Tidaklah juga dapat diperbaiki lagi. Cuma orang yang datang setelah mereka itu semestinyalah mengambil iktibar dan tidak menempuh jalan yang salah seperti mereka itu lagi.






Al Ahqaaf Ayat 29

29 - Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Sisters yang dikasihi,
Pada ayat 29 ini kita akan membincangkan suatu soal ghaib yang termasuk kepada asas kepercayaan di dalam Islam iaitu soal jin. Ada tersebut bahwa makhluk Allah ada yang kasar tubuhnya dan nampak pada pada pandangan mata, iaitu manusia. Dan ada pula yang halus, tidak nampak oleh mata manusia, tetapi disebut namanya dan diakui adanya di dalam Al Quran sendiri. Iaitu malaikat, syaitan, iblis dan jin.

Dikatakan bahwa manusia itu terjadi daripada tanah, sebagai manusia pertama iaitu Nabi Adam dan jenis keturunan manusia selanjutnya, keturunan dari Adam adalah dari percampuran mani jenis lelaki dan perempuan. Tetapi ianya boleh juga disebut dari tanah, kerana suburnya mani dalam tubuh manusia pun berasal dari subur makanannya yang diambil dari tanah juga.

Kemudian disebutkanlah pula bahwsanya asal kejadian jin dan asal kejadian syaitan adalah satu pula. Iaitu terjadi dari api. Maka tersebutlah nama jin di dalam Al Quran, tidak kurang dari 22 ayat.

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran;
Baik, permulaan ayat 29 ini pun telah menyatakan dengan tegas, daripada Allah kepada rasulNya, Nabi Muhammad s.a.w. bahwsanya jin itu terang dan jelas sekali ada. Sampai ada di antara mereka itu yang datang menghadiri majlis nabi dan mendengarkan ayat Al Quran yang dibaca oleh nabi. Dan alQuran dengan sendirinya pula telah menjelaskan bahwa jin itu mengerti bahasa yang dipakai oleh nabi iaitu bahasa Arab.

Sisters boleh membaca kitab-kitab tafsir untuk mengetahui penerangan lanjut mengenai makhluk jin ini ye. Tidak dapat admin huraikan di sini kerana ianya tersangatlah panjang.

“setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!"
Diberitahukan di dalam ayat ini bahwa jin tersebut telah mendengarkan Nabi membaca Al Quran di dalam sembahyang dengan kyusyuk sekali. Lalu setengah dari mereka memberi ingat kepada setengah kawannya yang lain, yang mungkin masih berbisik-bisik kurang patuh itu supaya mendengarkan bacaan nabi itu dengan diam-diam. Supaya mereka dapat menyemak dan menghayati Al Quran yang indah itu. Maka setelah Nabi selesai mengerjakan sembahyang maka, kembalilah mereka kepada kaumnya , iaitu jin-jin tersebut untuk menyampaikan peringatan.

Hujung ayat ini membuktikan bahwasanya jin yang mendengar itu tertarik oleh bacaan nabi dan terpesona oleh sembahyang nabi s.a.w. lalu semuanya menyatakan diri untuk masuk Islam. Kemudian semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing, untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka pula supaya patuh dan taat kepada apa yang tersebut di dalam bunyi ayat-ayat yang dibaca oleh Nabi s.a.w.





Al Ahqaaf Ayat 30 Dan 31

30 - Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)

31 - "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa sebagaimana yang kita ketahui adalah kitab Taurat. Dan rupa-rupanya jin-jin itu dahulunya pun telah mendengar risalah dari Taurat itu juga. Kitab yang datang sesudah nabi Musa adalah kitab Al Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. Kitab Al Quran ini telah membenarkan apa yang ada di dalam kitab Taurat. Semua isi kandungannya, memberikan petunjuk manusia kepada jalan yang benar. Petunjuk dan hidayah.

Apa yang mereka dengar dari bacaan Nabi Muhammad s.a.w. tadi telah benar-benar menarik perhatian mereka dan membuat mereka percaya. Dan hati mereka belum puas sekirannya kaum mereka belum percaya sebagaimana mereka pula. Sebab itu lah mereka segera pulang mendapatkan kaum mereka untuk menyampaikan berita ini. Mereka memberikan harapan keselematan bagi sesiapa yang mahu percaya dengan seruan dakwah mereka.

“serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Inilah harapan yagn pertama iaitu supaya mereka beriman kepada apa yang mereka telah dengar dariapda nabi Muhammad tadi. Sekiranya selama ini mereka telah melakukan banyak dosa, maka dengan taubat dan kembali kepada jalan yang benar, maka dosa itu akan diampunkan. Maka dengan itu dada akan menjadi lapang dan fikiran akan terbuka untuk menerima kebenaran. Dengan beriman dan bertaubat di atas segala perbuatan dosa, maka mereka akan dibebaskan dari seksaan yang pedih. Itu pun satu lagi nikmat dari Tuhan yang menyebabkan dunia ini menjadi lapang dan aman tempat kita berdiri.

Ayat 31 ini memberikan isyarat bahwa bangsa jin adalah sama sepertimana bangsa manusia di dalam menerima hukum-hukum Allah samada pahala, seksa, ibadat, perintah mahupun tegahan. Dan menjadi dalil bahwa Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada bangsa manusia dan jin seluruhnya.






Al Ahqaaf Ayat 32

32 - "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata".

Seterusnya juga jin itu berkata kepada kaumnya sebagai amaran, sekiranya sesiapa engkar tidak mahu menyahut seruan rasul yang diperintahkan Allah dalam perkara tauhid dan beramal dengan mentaatiNya, maka dia tidak akan terlepas untuk menyelamatkan diri dari azab Allah. Dan tidak akan ada orang yang akan menolongnya untuk menahan seksa tersebut.

Tentulah orang yang demikian terang sekali sesatnya dan akan rugi di akhirat. Kerana jalan yang hak dan terang serta mudah ditempuh untuk sampai ke tempat bahagia telah ditinggalkannya. Maka sudah selayaknyalah ia dapat balasan yang sewajarnya. Sampai di sini selesai apayang dikatakan oleh serombongan jin yang mendengarkan bacaan Al Quran itu setelah mereka pulang menemui kaum mereka.



Al Ahqaaf Ayat 33

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Di dalam ayat ini Allah memberikan dalil tentang adanya hari kebangkitan dalam bentuk pertanyaan. Iaitu adakah orang yang mengingkari adanya hari kebangkitan itu tidak memerhatikan? Bagaimana kudrat Allah dapat menciptakan 7 petala langit dan  7 petala bumi? Dan Dia tidka pula merasakan payah untuk mengadakannya? Inikan pula unutk menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati dengan membangkitkan mereka dari kubur. Tentulah senang saja dengan adanya kudratNya.

Jawapan kepada pertanyaan ini adalah sebaliknya Dia berkuasa di atas segala sesuatu. Maksudnya Allah mempunyai kudrat atau kuasa penuh untuk menciptakan segala sesuatu tanpa merasakan payah atau sebarang kelemahan. Sebagaimana Allah juga berkuasa mengadakan makhluk pada pertama kali dan berkuasa pula mengulanginya.






Al Ahqaaf Ayat 34

34 - Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada mereka): "Bukankah (azab) neraka ini benar?" Mereka menjawab: "Ya, benar, demi Tuhan kami!" (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): "Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. "

Allah menyuruh nabi Muhammad s.a.w. ingatkan kepada kaumnya bahwa pada hari kiamat nanti akan kelihatan orang-orang kafir yang mendustakan hari kebangkitan. Orang-orang kafir ni , akan dipamerkan di hadapan mereka, neraka api yang sedang menyala-nyala seraya dikatakan kepada mereka dengan cacian dan celaan, "Bukankah (azab) neraka ini benar?" Bukankah seksaan yang disediakan untuk menyeksa kamu dalam neraka ini pada hari ini telah kamu dustakan semasa kamu hidup di dunia dahulu? sekarang ini benar-benar telah menjadi kenyataan bukan?

Mereka akan menjawab dengan segera, "Ya, benar, demi Tuhan kami!" Maka Allah pun berkata kepada mereka,  "Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. " Inilah seksa neraka yang kamu telah sangkalkan dahulu dan enggan mempercayainya. Jadilah ia balasan dan hukuman yang dikenakan ke atas kamu.






Al Ahqaaf Ayat 35

35 - (Oleh sebab itu, wahai Muhammad) maka bersabarlah! Sebagaimana telah bersabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik - derhaka.

Allah menyeru rasulNya agar bersabar dalam berdakwah. Bersabar dalam menyeru perkara yang benar dan tahan menderita rintangan dan penentangan kaum Quraisy yang mendustakan baginda sebagaimana saudara-saudaranya dari golongan para rasul yang terdahulu. Merka itu adalah golongan yang mempunyai keteguhan hati, betul-betul menjalankan perintah Allah dan berhabis-habisan dalam mentaatiNya, maka tirulah perjuangan mereka.

Kata Ibnu Abbas, dan Qatadah, yang mempunyai keteguhan hati dan ulul azmi adalah nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Masing-masing membawa syariat, mereka itu bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Allah juga menegah nabi supaya jangan bersikap terburu-buru untuk mengenakan hukuman kepada mereka yang engkar dan degil. Ini kerana sesungguhnya dakwah itu memakan masa untuk diterima oleh mereka. Pasti ada yang akan menerimanya secara perlahan-lahan. Dan kepada mereka yang terus berdegil dan tidak mahu mendengar kata, bencana itu lambat laut akan segera datang juga kepada mereka.

Dan apabila azab itu datang kepada mereka, mereka akan merasa bahwa seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekejap saja, kira-kira sesaat pada siang hari. Ini adalah kerana terlampau sakitnya mereka merasakan seksa yang menimpa mereka. Sehingga mereka lupa bahawa mereka telah tinggal di dunia dan membuat segala kejahatan sekian lamanya. Maka sabarlah wahai rasul Allah dalam menghadapi sikap mereka itu.

Sesungguhnya kitab Al Quran merupakan penjelasan untuk disampaikan keapda mereka dan cukuplah dengannya saja kalau mereka mahu berfikir dan mengambil pelajaran dariapdanya. Ia adalah sebaik-baik bekal yang dapat menyampaikan seseorang ke syurga dan memelihara seseorang dari neraka. AlQuran juga merupakan bekal paling utama yang harus dipegang oleh seseorang agar sampai ke sana, dan merupakan nikmat yang paling besar yang Allah anugerahkan kepada mereka.

Allah tidak akan membinasakan dengan seksaanNya melainkan orang-orang yang terkeluar dari mentaati Allah, yang menyalahi perintah dan tegahanNya kerana tidak akan diseksa kecuali orang-orang yang layak menerima seksaan.