Surah Al Hijr Ayat 71 Hingga Ayat 77
“Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal).” - 71
“Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.” - 72
“Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. “ - 73
“Maka
 Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang 
ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah 
yang dibakar.” 74
“Sesungguhnya
 balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi 
orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.” - 
75
“Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang).”- 76 
“Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman. “ - 77
Kaum
 Nabi Lut terus berdegil tidak mengendahkan teguran Nabi Lut. Mereka 
terus juga ingin menerpa ke arah tetamu Nabi Lut. Sesungguhnya mereka 
ini sudah hilang perasaan malu mereka. Demi untuk memujuk kaumnya Nabi 
Lut menawarkan dan menganjurkan anak-anak perempuan yang ada di bandar 
itu untuk dikahwini sekiranya mereka betul-betul ingin melakukannya. Ini
 adalah salah satu cara untuk mengelakkan dari mengerjakan perbuatan 
yang diharamkan oleh Allah. 
Di
 dalam ayat 72 ini Allah telah bersumpah dengan umur Nabi Muhammad saw. 
Ini adalah sebagai tanda Allah memuliakan Nabi Muhammad saw. Tujuan 
Allah bersumpah ialah untuk menguatkan lagi firmanNya bahwa kaum Nabi 
Lut yang gila syahwat itu telah benar-benar kemabukan. Telah benar-benar
 dimabukkan dengan hawa nafsu mereka sendiri. Mereka hidup di dalam 
kebingungan kerana mereka tidak lagi dapat membezakan dan mengenal mana 
yang baik dan mana yang buruk. Mana yang benar dan maan yang salah. 
Telah
 buta mata hati mereka kerana tidak dapat menilai dan memikirkan jalan 
mana yang slamat dan jalan mana yang sesat, juga mereka sudah tidak 
peduli kepada bala yang akan menimpa dan seksaan yang sedang mengancam 
mereka. 
Di
 dalam huru-hara kaum Nabi Lut yang semakin ramai datang berkerumun 
untuk memasuki rumah Nabi Lut, para malaikat yang menjadi tetamu Nabi 
Lut tadi telah menarik tangan Nabi Lut yang berada di muka pintu supaya 
masuk ke dalam rumah. Dan kemudian pintu dikunci. Segala macam usaha 
dilakukan oleh kaum Nabi Lut supaya dapat masuk ke dalam rumah. Tetapi 
tidak berhasil. Ini kerana mata mereka telah dibutakan Allah sehingga 
mereka tidak tentu arah. Ini ada disebutkan di dalam ayat 37 dari Surah 
Al Qamar. 
Kerana
 sudah tidak berjaya untuk masuk, maka lama kelamaan satu demi satu dari
 mereka pun bersurai. Apabila suasana sudah lengang, maka para malaikat 
itu pun menyuruh Nabi Lut supaya bersiap untuk berangkat bersama 
keluarganya dan juga para mukminin meninggalkan negeri Sodom. Maka 
berangkatlah mereka. 
Di
 waktu matahari mulai terbit di ufuk timur, maka azab dari Allah pun 
turun. Negeri Sodom dijadikan tunggang terbalik, dibongkar urat akarnya,
 seumpama pohon kayu besar yang ditumbangkan angin yang kuat dengan 
pekikan suara yang kuat lagi dahsyat. 
Allah
 menerangkan bahwa negeri Sodom telah dihancurkan dengan membalikkan 
permukaannya yang di atas menjadi terbenam ke bawah. Di samping itu 
dihujani dengan batu kerikil yang tajam yang bercampur dengan belerang 
yang mengandungi api yang berasal dari api neraka. 
Sewaktu
 hujan batu api menghujani penduduk Negeri Sodom, di saat itu pula 
isteri Nabi Lut telah terpegun dan melihat kejadian itu dengan 
tercengang-cengang. Padahal sebelum ini mereka sudah diberitahu agar 
mereka terus berjalan dan jangan sekali-kali menoleh ke belakang. 
Sisters, sila rujuk surah Hud ayat 81 hingga 83 di mana ianya telah 
menerangkan dengan lanjut tentang perihal ini. 
Disebabkan
 kerana isteri Nabi Lut telah melihat kejadian maha dahsyat itu, dan 
berada di dalam keadaan tercengang-cengang, maka dengan tidak 
semena-mena tiba-tiba jatuhlah sebuah batu berapi mengenai tepat ke atas
 kepala isteri Nabi Lut. Maka hancur terbakarlah seluruh badannya sampai
 hangus menjadi abu. Nabi Lut dan anak-anaknya pun meneruskan 
perjalanan. 
Daripada
 kisah kaum Nabi Lut ini dapatlah diambil contoh dan tauladan oelh 
orang-orang yang mahu berfikir, untuk memerhatikan keterangan-keterangan
 Allah, yang mana orang-orang yang kufur dan derhaka itu akhirnya akan 
menerima seksaan yang mengerikan. 
Negeri
 Sodom yang ditimpakan malapetaka disebabkan penduduknya yang melakukan 
pekerjaan keji lagi terkutuk itu terletak di jalan yang menghubungkan 
Hijaz dan negeri Syam. Para musafir dan pengembala yang lalu lalang 
melintasi bekas tapak negeri Sodom ini akan daapt melihat bekas-bekas 
peninggalan yang masih tinggal di sana hingga ke hari ini masih ada 
lagi. 
Orang-orang
 yang mempunyai kepercayaan terhadap Allah, apabila ia lalu dekat 
runtuhan negeri yang telah diterbalikkan ini, ia akan dapat merenung dan
 insaf akan kekuasaan Allah dan akan bertambahlah keimanannya. Allah 
berupaya meruntuhkan sesebuah negeri kerana dosa penduduknya, dan itu 
adalah perkara senang saja bagi Allah. Menurunkan hujan api dan 
berbelerang pun mudah saja bagiNya. Sebuah negeri yang subur dan ramai 
penghuninya, tetapi dalam sekelip mata saja dapat Allah terbalikkan dan 
tenggelamkan. Allahu akbar!
Surah Al Hijr Ayat 78 Hingga 79
“Dan sebenarnya penduduk kampung "Aikah" adalah orang-orang yang berlaku zalim.” - 78
“Maka
 Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan 
sesungguhnya kedua-duanya itu terletak di jalan yang terang (yang masih 
dilalui orang).” - 79  
Kini
 Allah menceritakan tentang penduduk Aikah dari kaum Nabi Syu’aib. Telah
 dinyatakan sebelum ini bahwa Nabi Syu’aib telah didatangkan keapda dua 
kaum iaitu kaum Madyan dan Aikah. Hanya Nabi Syu’aib seorang saja yang 
didatangkan keapda dua kaum. 
Penduduk
 Aikah ini adalah penduduk yang zalim. Kerana kezaliman kaum Aikah ini 
mereka telah mendapat balasan Allah yang setimpal, sebagaimana telah 
diterangkan di dalam Surah Hud dan surah-surah yang lain. Allah 
menimpakan kepada mereka ini panas matahari yang terik selama tujuh 
hari, sedikit pun tidak redup dan tidak ada awan yang menahan panas atau
 melindungi mereka untuk berteduh. Kemudian barulah dikirimkan awan maka
 mereka pun berlindung di bwah awan itu. Tetapi rupa-rupanya dari awan 
itu Allah kirimkan api yang menyala dan dengan segera telah membakar 
mereka semuanya. Itulah seksaan hari yang tidak ada perlindungan dan 
seksaan pada hari yang agung. 
Surah Al Hijr Ayat 80 Hingga Ayat 84
“Dan demi sesungguhnya penduduk "Al-Hijr" telah mendustakan Rasul-rasul.” - 80
“Dan
 Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan 
kebenaran ugama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga 
berpaling (mengingkarinya). “ - 81
“Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). - 82
“Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi.” - 83
“ Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun. “ - 84
Sebagaimana
 yang telah dinyatakan di dalam pengenalan surah Al Hijr terdahulu, 
maksud Al Hijr ialah batu gunung atau batu besar. Tetapi menjadi nama 
sebuah negeri tempat kediaman kaum Thamud. Kaum ini terkenal dalam 
kemahiran memahat batu menjadi bangunan rumah yang tersergam indah. 
Kaum
 Thamud ini telah disebutkan di dalam Alquran sebagai kaum yang juga 
menderhaka kepada Allah dan rasul-rasulNya. Di dalam ayat 80 disebutkan 
kata ‘menderhaka rasul-rasul.’. Padahal rasul yang didatangkan untuk 
kaum Thamud ini adalah Nabi Salih seorang saja. Maksud ayat ini adalah 
setiap rasul mendatangi kaum mereka semuanya mengajak kepada seruan yang
 sama iaitu mentauhidkan Allah. Semua rasul membawa ajaran yang sama. 
Jadi bila kaum Thamud ini menderhakai rasulNya, itu bermakna kaum itu 
juga menderhakai semua rasul. Ini kerana ajaran yang dibawa oleh semua 
rasul adalah mentauhidkan Allah. 
Kaum
 Thamud ini memalingkan diri dari menerima peringatan dari rasul mereka 
adalah disebabkan oleh hidup mereka yang serba mewah dan mereka juga 
mempunyai kepandaian yang tinggi. Sehingga mereka menjadi sombong dan 
memandang rendah kepada seruan Nabi Salih. 
Kum
 Thamud memang sangat mahir dalam memahat batu-batu menjadi rumah, 
hingga batu di gunung-gunung yang keras itu meraka dapat pahat menjadi 
tempat tinggal yang cantik untuk mereka. Buatannya sangat kukuh, rapi 
lagi indah. Tidak mudah dimasuki pencuri, atau ditembusi musuh atau 
dirosakkan oleh angin ribut sehingga mereka tinggal di dalamnya dengan 
aman sentosa. Ini semua telah pun dinyatakan terdahulu di dalam ayat 74 
dari Surah Al A’raf.
Bilamana
 tempoh untuk membinasakan mereka telah tiba, maka Allah telah tinmpakan
 ke atas mereka suara gemuruh pada waktu pagi. Suara gemuruh itu berupa 
letusan halilintar yang dahsyat bunyinya dan gegaran gempa yang 
menggoncangkan negeri Hijr. Ia menyebabkan kemusnahan penduduknya. 
Kejadian
 itu berlaku pada pagi hari yang keempat, iaitu hari yang dijanjikan 
oleh Nabi Salih kepada mereka untuk menerima seksaan. Hal ini juga Allah
 telah nyatakan di dalam surah Hud ayat 65 terdahulu. 
Walaupun
 mereka membina rumah-rumah yang kukuh di lereng-lereng gunung ganang, 
mengumpulkan harta kekayaan yang banyak dan mempunyai ramai anak pinak, 
tetapi itu semua tidak ada gunanya bagi mereka apabila mereka telah mati
 berpakaran ditimpa malapetakan dan menerima seksaan dari Allah. 
Terdapat
 beberapa hadis, Al Bukhari yang diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Nabi 
saw telah melalui negeri Hijr dalam perjalanannya ke Tabuk, ditudungnya 
kepalanya dan dipercepatkan perjalanan baginda seraya berkata keapda 
sahabat-sahabatnya, “jangan kamu memasuki tempat tinggal orang-orang 
yang mendapat seksaan itu iaitu penduduk Hijr kecuali kalau kamu 
berkeadaan menangis. Sekiranya kamu tidak menangis, buat-buatlah 
menangis, kerana ditakuti kamu akan ditimpa malapetaka sepertimana yang 
telah menimpa mereka.”
 Surah Al Hijr Ayat 85 Hingga 86
““Dan
 (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada
 di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan 
berhikmat; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu 
maffkanlah mereka dengan pemaafan yang elok. “ - 85
“Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui (akan hal mereka). - 86
Allah
 menerangkan tentang makhluk-makhluk yang dijadikanNya baik berupa 
langit dengan segala isinya yang ada di kolong langit itu mahupun yang 
berupa bumi dengan segala isi penghuninya, semuanya itu tidak 
diciptakanNya melainkan untuk memperlihatkan akan kebenaran dan 
menegakkan keadilan serta timbang tara. Dan bukanlah untuk menunjukkan 
kezaliman dan bentuk penganiayaan.
Adapun
 malapetaka yang menimpa keapda umat yang mendustakan para Rasul, 
sebagaimana yang Allah ceritakan kisah mereka di dalam AlQuran ini, 
bukanlah sekali-kali untuk menandakan kezaliman. Bahkan ianya untuk 
menunjukkan keadilan dan kebijaksanaan Allah. Begitu juga dengan seksaan
 yang dikenakan ke atas seseorang itu semasa di akhirat kelak. Ianya 
juga adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. 
Allah
 juga menyatakan bahwa hari kiamat itu pasti akan datang. Baik kiamat 
kecil dengan lahirnya seseorang ke dunia dan kemudiannya ia mati, 
ataupun kiamat kubra, iaitu semua langit dan bumi dan apa yang ada di 
antaranya pun akan hancur. Ini adalah kerana semua yang Allah jadikan di
 dalam alam ini ada permulaan, dan pasti ada kesudahannya. Ada masa naik
 dan ada masa ia turun, ada masa datang dan ada masa ia pergi. Maka 
dapatlah segala kejadian di sekeliling kita ini ditinjau dengan ukuran 
yang demikian. Kalau kiranya orang kafir itu tidak mahu percaya kepada 
kebenaran dan berkeras untuk bertahan pada pendiriannya yang salah, 
Allah sudah nyatakan di sini bahwa ianya pasti akan ada kesudahan dan 
kejatuhan kepada sikap mereka. 
“......oleh itu maffkanlah mereka dengan pemaafan yang elok.”
Inilah
 peringatan Allah kepada RasulNya. Memberi maaf dan berlapang dadalah 
terhadap orang-orang musyrik yang selalu menyakiti baginda. Serulah 
mereka ke jalan Allah dengan sikap lemah lembut dan dengan cara 
bijaksana. Jangan lekas marah melihat keras kepala mereka. Mereka 
bersikap demikian ialah kerana mereka tidak ingat bahwa segala sesuatu 
itu adalah menunggu saat pengakhiran. Mereka pasti akan kalah. Pendirian
 mereka pasti akan datang saatnya bilamana ianya sudah tidak dapat 
dipertahankan lagi. Betapa pun mereka berkeras mulut, namun di hujung 
perjalanan mereka sudah kelihatan akan sebuah kehancuran.
Sesungguhnya
 Allah itulah yang menjadikan semua penduduk di bumi ini. Maka Allah 
lebih mengetahui apa yang dihadapi oleh RasulNya dan juga sekuat mana 
penentangan dari mereka. Maka berserah sajalah kepada Allah , supaya 
Allah sendiri yang menghukum mereka. Kerana Allah tahu, bahwa kemaafan 
yang baik itu lebih utama didahulukan kepada mereka, sehingga nanti 
datangnya perintah menghunus pedang untuk memerangi mereka. 
Surah Al Hijr Ayat 87
“Dan
 sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat 
yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar 
kemuliaan dan faedahnya.” - 87
Allah
 menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahwa dalm kehebatan perjuangan 
menegakkan ajaran Allah dan dalam menghadapi tentangan dari kaum baginda
 sendiri, Nabi Muhammad saw telah diberi bekalan atau senjata rohani 
oleh Allah iaitu “tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya”. Kata
 tujuh ‘masani’ ataupun tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya ini 
adalah merujuk kepada surah Al Fatihah yang terdiri daripada tujuh ayat.
 
Al
 Fatihah adalah kandungan tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya di 
dalam solat pada setiap rakaat. Maka surah ini dibaca tidak kurang dari 
tujuh belas kali sehari semalaman kalau mengikut perkiraan untuk solat 
fardhu sahaja. Tidak termasuk solat sunat. Ia juga dipanggil pembuka 
dari AlQuran, dan juga sebagai Ummul Kitab. Sebab itulah makanya apabila
 kita mahu mulai membaca AlQuran kita disuruh memulakan dengan bacaan 
AlFatihah.   
Al
 Fatihah merupakan sebahagian dari AlQuran walaupun pada hakikatnya 
ianya adalah satu surah saja di dalam AlQuran. Ini kerana apa yang 
terkandung di dalam surah ini adalah merangkumi hampir keseluruhan 
maksud yang terkandung di dalam AlQuran. Segala isi AlQuran itu pada 
hakikatnya telah pun dihimpunkan di dalam surah Al Fatihah iaitu membawa
 kepada ajaran Tauhid. Sisters boleh rujuk balik tafsir Surah Al Fatihah
 yang telah kita tadabbur dahulu.  Maka di dalam menghadapi kewajipan 
dalam memimpin kaum baginda, Allah telah menyuruh baginda jangan 
sesekali melupakan Al Fatihah sebagai pendirian hidup.  
Surah Al Hijr Ayat 88 Hingga 90
“Janganlah
 engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat 
kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka 
(yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka 
(kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam 
sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau 
merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari 
golongan fakir miskin). “  88
“Dan
 katakanlah: "Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran 
dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang
 yang ingkar)". - 89
“(Kami
 berikan kepadamu Al-Faatihah dan Al-Quran) samalah seperti Kami 
menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi. “ - 
90
Allah
 menyuruh baginda Nabi Muhammad saw supaya jangan menghiraukan sangat 
kekayaan dan kemwahan harta benda dan kekuasaan yang diperolehi oleh 
puak penentang. Janganlah dipandang semua kesenangan yang diperolehi 
oleh mereka. Ini kerana Allah telah menganugerahkan mukjizat AlQuran 
yang mulia kepada Nabi Muhammad saw. Kandungan Alquran ini adalah jauh 
lebih berharga daripada segala mata benda yang mereka semua perolehi 
dalam bentuk material. 
Oleh
 itu janganlah hendaknya baginda menumpukan sangat harapan kepada 
kesenangan dunia yang mana segolongan orang kafir yang kaya dari kaum 
Yahudi, Nasrani dan musyrikin ada yang sedang menikmati kesenangan 
tersebut kerana Allah telah mengurniakannya kepada mereka. Selama mana 
baginda tidak tunduk kepada mereka disebabkan kekayaan dan kemewahan 
mereka, maka selama itulah pula mereka tidak akan dapat memasukkan 
pengaruh mereka kepada baginda. 
Kebanyakan
 orang yang lemah imannya, menjadi kendur perjuangannya dek kerana 
terpengaruh dengan kemewahan dan kesenangan hidup yang ditunjukkan oleh 
para musuh. Ada yang menjadi rasa rendah diri dan terasa kecil apabila 
berhadapan dengan mereka yang kaya raya. Si kaya akan merasakan dirinya 
tinggi dan lebih hebat berbanding si miskin. 
Allah
 melarang baginda nabi Muhammad dari merasakan sedemikian. Allah 
memerintahkan agar Nabi Muhammad tetap dengan keimanan dan keteguhan 
dalam menyebarkan seruanNya. Dan apabila mereka tahu yang Nabi Muhammad 
ini tidak boleh dibeli dengan wang dan harta dan pangkat serta kuasa, 
maka akhirnya nanti mereka juga akan tunduk kepada Nabi. Dan seandainya 
mereka masih tetap tidak mahu mengikuti ajaran Nabi, maka biarkanlahlah 
saja mereka. Biarkan saja mereka dengan dunia mereka yang penuh 
kesesatan dan kesombongan. 
Sebaliknya
 Nabi disuruh merendahkan diri, menunjukkan kasih dan sayang kepada 
mereka yang mahu beriman. Tidak peduli samada ia kaya ataupun miskin. 
Atau apakah ia seorang tuan mahupun hamba sahaya. Ini kerana orang-orang
 yang telah beriman inilah yang akan bersedia untuk sehidup dan semati 
dengan Nabi dalam menempuh suka dan duka, ranjau dan onak dalam 
menyebarkan seruan Allah. 
Rasul
 adalah sebagai pelindung kepada umatnya dengan sayap rahmatnya, 
terutama umat-umat yang lemah. Hendaklah Nabi hidup di tengah-tengah 
mereka, merasakan apa yang mereka rasa. Dan inilah yang dilakukan oleh 
Nabi Muhammad saw, sehingga beliau menganggap sahabat-sahabat yang kaya 
raya mahupun yang miskin dan kedana, adalah sama saja. tidak ada 
perbezaan atau dibezakan layanannya oleh baginda nabi. 
Di
 ayat 89 Rasul disuruh menegaskan bahwa baginda wajib menyampaikan 
ancaman Allah kepada sesiapa yang menentang hukum Allah. Dalam hal ini 
baginda harus bersikap terus terang. Mengancam dengan terang. Dan 
ancaman ini pun telah pernah juga baginda disuruh menyampaikannya dengan
 terus terang kepada orang ramai. Siapakah orang ramai itu? Mereka ialah
 pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang hartawan, yang disegani dan 
sangat berpengaruh. Merekalah yang dengan keras menentang Rasulullah saw
 semasa di Mekah. Di antara mereka itu adalah Al Asy bin Wail, Utaibah 
dan Syaibah yang kedua-duanya anak Rabi’ah, Abu Jahal bin Hisyam, An 
Nadhr bin Al Haris, Umaiyyah bin Khalaf dan beberapa lagi yang lain. 
Surah Al Hijr Ayat 91 Hingga Ayat 98
““(Iaitu)
 mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian 
(lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang 
lain).” - 91 
“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), - 92
“Mengenai apa yang mereka telah lakukan.” - 93
“Oleh
 itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan 
kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan 
tentangan kaum kafir musyrik itu.” - 94
“Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, -” - 95
“(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya). - 96
“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. “ - 97
“Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.” - 98
Para
 pembesar Quraisy  ini dengan sombongnya telah membahagi-bahagikan 
pengaruh di dalam kota Mekah itu. Si fulan menguasai daerah si fulan. Si
 fulan lain menguasai daerah lain pula. Daerah yang tidak ditentukan 
bagi mereka masing-masing, mereka bertanggungjawab menghalang sesiapa 
saja yang hendak datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendengar Al Quran.
 Terutama orang-orang yang datang dari tempat yang jauh, mereka akan 
memburuk-burukkan AlQuran di depan orang-orang itu. Mereka kata Alquran 
adalah ilmu sihir, syair yang dapat memukau orang dan sebagainya. 
Orang-orang
 ini, iaitu pembesar Quraisy ini telah diberikan ancaman secara terus 
terang oleh RAsulullah saw, bahwa kalau mereka masih terus menerus 
bersikap menentang dan menghalang seruan Rasulullah begini, kelak mereka
 akan ditimpa celaka. Pasti celaka. Dan benarlah ancaman itu ditimpakan 
juga ke atas mereka semasa peperangan Badar. 
Setelah
 kesengsaraan dunia dan kekalahan yang mereka deritai di perang Badar, 
sampai tewas semuanya, di akhirat kelak mereka juga akan ditanya dan 
diperiksa darihal apa yang telah mereka kerjakan untuk menentang agama 
Allah. 
Dan
 kerana itulah Allah menyuruh RasulNya untuk terus meneruslah dalam 
menyampaikan seruan agama Allah. Jangan peduli tentang hambatan, ejekan 
dan rintangan dari mereka yang engkar. Ini kerana walau bagaimana 
bersungguhnya  seruan yang hendak disampaikan oleh Rasul, sekiranya 
mereka tidak mahu beriman, mereka tetap tidak akan beriman. 
Betapa
 mereka memperolok dan mengejek akan nabi, Allah akan memastikan bahwa 
semua itu tidak akan memberi kesan pun terhadap perjuangan yang besar 
dan murni ini. Melahan merekalah yang akan hancur dan binasa akibat dari
 perbuatan mereka yang sering menyakiti Nabi. Mereka kelak akan tahu 
sendiri dari sebab mereka menyekutukan Allah dengan yang lain, betapa 
azab seksa yang akan mereka terima di akhirat esok. Menyekutukan Allah 
dengan yang lain adalah dosa yang utama dari segala dosa. Sehingga ianya
 tidak dapat diampuni sekiranya tidak segera bertaubat 
bersungguh-sungguh. 
Kemudian
 sebagai penawar hati kepada Rasulullah saw, Allah memujuk baginda di 
dalam ayat 97. Rasulullah dituduh gila, tukang sihir, tukang tenung, 
dikatakan akan putus keturuanan kerana ketiadaan anak laki-laki, 
dikatakan sebagai penyebar berita bohong dan sebagainya. Sebagai 
manusia, sudah pasti Rasulullah ada juga akan merasa sempit dada, sakit 
hati, hiba hati, kerana ditohmah dan dilemparkan fitnah sedemikian. 
Malahan di dalam beberapa ayat telah kita ketahui, pernah terlintas di 
dalam fikiran baginda, lebih baik untuk mati saja, melompat tebing 
curam. Semuanya itu tidaklah dianggap sebagai kesalahan dari baginda, 
kerana rasa-rasa yang demikian adalah termasuk dalam lintasan hati 
manusia. Ini akan pasti berlaku kepada setiap manusia yang mempunyai 
naluri dan perasaan. 
Rasa
 sedih kehilangan orang tersayang, rasa hiba hati kerana diejek dan 
diperolok, rasa marah kerana dihina, semuanya itu termasuk dalam 
perangai semulajadi manusia yang tidak dapat dikikis dan dihilangkan. 
Cuma akal budi manusia disuruh mengendalikan dirinya, sehingga rasa-rasa
 sedemikian jangan sampai mendorong untuk bersikap salah laku. 
Maka
 perasaan hati luka, atau sempit dada lantaran celaan itu tidak terlepas
 dari diketahui Allah. Dan Allah tetap melindungi baginda. Dan memujuk 
hati baginda. Allah menguatkan jiwa baginda dalam menghadapi perjuangan.
 Allah ingatkan kepada baginda, “ “Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.”  sepertimana ayat 98 ini.
Bertasbih
 memuji Allah, sujud padaNya. Dekati Allah dalam doanya. Asalkan baginda
 tetap melakukan hubungan rapat dengan Allah, maka tentu tidak akan ada 
suatu apa pun di dunia ini yang akan dapat menggoncangkan baginda dan 
mengganggu baginda. 
Sisters,
 ayat ini bukanlah untuk baginda Nabi Muhammad saw saja ye. Ianya juga 
 untuk kita. Sekiranya kita bersedih hati, kecewa dan berhiba hati 
akibat suasana sekeliling yang membuatkan kita di dalam kesusahan dan 
kekecewaan, maka kenanglah ayat ini. Kita disuruh mengingati Allah 
banyak-banyak, bertasbih memujiNya, bersolat menghadapNya dan memanjat 
doa kepadaNya. Tidak perlulah kita mewar-warkan kesedihan kita kepada 
orang lain, ataupun mencurahkannya di fesbuk atau di internet. Cukup 
sekadar Allah sebagai tempat kita mengadu dan bergantung harap.  
Sepertimana
 Allah kata kepada Nabi Muhammad yang sekiranya baginda melakukan 
hubungan rapat dengan Allah, maka tidak akan ada satu pun yang dapat 
mengganggu gugat baginda, maka begitu jugalah kita. Sekiranya kita 
selalu bermunajat kepada Allah, mengadu padaNya, bertasbih padaNya, maka
 in shaa Allah, kita juga akan dilindungi Allah dari semua yang 
mendukacitakan kita. 
Surah Al Hijr Ayat 99
““Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.” 
Apakah
 maksud yakin di dalam ayat ini? Keterangan yang mahsyur dari ahli-ahli 
tafsir ialah yakin maksudnya sampai datang maut. Ini kerana maut itu 
yakin dan pasti akan datang, pasti akan ditermpuhi. Jadi maksud ayat ini
 adalah biar sampai mati jangan kita lepas dari beribadat. Terus dan 
terus beribadat sehingga kita mati. Jangan tinggal beribadat kepada 
Allah. 
Dengan
 demikian jiwa yang lemah akan menjadi kuat. Biarpun banyak penderitaan 
yang tidak mampu untuk diatasi oleh kita sebagai manusia biasa yang 
serba kekurangan, namun dengan beribadat kepada Allah, jiwa kita akan 
menjadi tabah, kerana sandaran kita adalah Allah. Kita mendapat 
keyakinan bahwa segala yang terjadi ini adlaah atas kehendak Allah, 
barulah kita akan merasa senang dan redha. Allah tidak akan mengecewakan
 hamba-hambaNya. Dengan itu kita harus memegang pendirian ini sehingga 
kita mati. 
Bandingan ayat ini, samalah dengan ayat dari Surah Maryam ayat 31 yang bermaksud:
“dan diperintahkanNya kepadaku mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat selama aku hidup.”
Menurut
 sebuah hadis yang dirawikan oleh Ad Dailami dan al Hakim dan lain-lain 
dari Abu Muslim Al Khaulani, setelah RAsulullah saw menerima wahyu 
ayat-ayat ini, beliau berkata:
“tidaklah
 Tuhan mewahyukan kepadaku supaya aku mengumpulkan harta dan supaya aku 
masuk menjadi salah seorang saudagar, tetapi diwahyukanNya kepadaku 
supaya engkau bertasbih memuji Tuhan engkau, dan hendaklah engkau 
termasuk dari orang-orang yang bersujud, dan sembahlah Tuhanmu smapai 
datang kepadamu yakin.”
Demikianlah
 wahyu Allah kepada RasulNya yang akan menjadi pegangan dan pedoman di 
dalam menghadapi kewajipan menegakkan syiar Allah di muka orang-orang 
yang engkar dan tidak percaya. Pedoman dan pegangan yang diberikan Allah
 kepada RasulNya ini pulalah yang selalu patut menjadi pegangan kita 
umat Muhammad saw yang tidak akan padam dalam usaha mencapai cita-cita 
menegakkan agama Allah di dalam dunia ini. Sampailah datang keyakinan 
yang sejati… iaitu mati.
Selesailah sudah tadabbur Surah Al Hijr.