Wednesday, April 1, 2015

Surah Al Anfal Ayat 21 - 40





Al Anfal Ayat 21

وَلا تَكونوا كَالَّذينَ قالوا سَمِعنا وَهُم لا يَسمَعونَ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: "Kami dengar", padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

Dalam ayat ini Allah swt. melarang orang-orang mukmin meniru tabiat orang-orang munafik dan orang-orang kafir. Iaitu apabila mendengar seruan Rasul, orang-orang munafik dan orang-orang kafir ini berbuat seolah-olah mendengar seruan itu, tetapi sebenarnya hati mereka mengingkarinya. Maka orang-orang mukmin dilarang berbuat seperti mereka. Mereka ini yang kelihatannya mendengarkan seruan Nabi dengan penuh perhatian padahal mereka tidak menaruh perhatian sedikit pun apalagi melaksanakannya.

Dalam ayat ini orang-orang munafik dinyatakan sebagai orang yang tidak mahu mendengarkan perkataan Nabi, yaitu memeluk agama Islam, hal ini memberikan petunjuk bahawa mereka tidak mahu membenarkan sama sekali apa yang diserukan Nabi itu.
Allah swt. berfirman:
“Dan di antara mereka ada orang yang mendengarkan perkataanmu sehingga apabila mereka keluar dari sisimu mereka berkata kepada orang yang telah diberi ilmu pengetahuan (sahabat-sahabat Nabi): "Apakah yang dikatakannya tadi?" Mereka itulah orang-orang yang dikunci mati hati mereka oleh Allah dan mengikuti hawa nafsu mereka.”
(Q.S Muhammad: 16)

Al Anfal Ayat 22

إِنَّ شَرَّ الدَّوابِّ عِندَ اللَّهِ الصُّمُّ البُكمُ الَّذينَ لا يَعقِلونَ
Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

Dalam pada itu Allah swt. menyamakan orang-orang munafik itu dengan binatang yang paling buruk kerana mereka itu tidak mahu menggunakan pendengarannya untuk mengetahui seruan-seruan yang benar dan tidak  mendengar nasihat-nasihat yang baik.

Orang-orang munafik disamakan dengan binatang dalam ayat ini, bukanlah maksudnya rupa mereka seperti binatang, tetapi sifat rohani merekalah yang seperti binatang. Mereka menolak pengertian dari firman Allah dan tidak mahu memikirkan dan memahami kebenaran. Dalam hal ini mereka tidak mahu membezakan mana seruan yang hak dan mana ajakan yang batil dan mana iktikad yang benar serta mana kepercayaan yang salah.

Sebagai alasan yang lain disamakannya pula mereka dengan binatang adalah kerana mereka tidak mahu menuturkan kebenaran, seolah-olah mereka tidak berfikir, kerana mereka mensia-siakan akal mereka sehingga tidak dapat menuturkan kebenaran itu sebagaimana mestinya. Seandainya mereka menggunakan akal tentulah mereka mahu mendengarkan seruan Rasul serta mahu mengikutinya.

Di dalam ayat ini atau ayat yang lain Allah swt. menerangkan bahawa orang-orang munafik itu lebih sesat dari binatang.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak diperguankannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu bagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. ‘
(Q.S Al A'raf: 179)



Al Anfal Ayat 23

وَلَو عَلِمَ اللَّهُ فيهِم خَيرًا لَأَسمَعَهُم ۖ وَلَو أَسمَعَهُم لَتَوَلَّوا وَهُم مُعرِضونَ
Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.

Allah swt. menyatakan kepada orang-orang munafik dan orang-orang musyrik ini bahwa sekiranya mereka berkeinginan untuk beriman dan mempunyai harapan untuk mengikuti petunjuk yang disampaikan oleh Rasulullah, tentulah mereka diberi pendengaran yang boleh memahami dan dapat memikirkan isi Kitab Allah dan pengajaran yang terkandung di dalamnya. Tetapi Allah tahu, sekiranya berbuat demikian pun tidak ada kebaikannya bagi mereka kerana ianya adalah sia-sia belaka. Ini adalah kerana  di dalam hati mereka telah bersarang keingkaran dan kekafiran.

Dari firman Allah itu dapat difahami bahawa darjat orang yang mendengarkan seruan Rasul itu bertingkat-tingkat.
1. Ada orang yang sengaja tidak mahu mendengarkan seruan Rasul secara terang-terangan dan menyambutnya dengan permusuhan dari sejak mula-mula lagi, kerana mereka merasa bahawa seruannya itu akan menghancurkan keyakinannya.
2. Ada orang yang mendengarkan seruan Rasul akan tetapi tidak berniat untuk memahami dan memikirkan apa yang diserukan, ini adalah seperti orang-orang munafik.
3. Ada orang yang mendengarkan seruan Rasul dengan maksud untuk mencari kesempatan buat membantah dan menolaknya. Hal serupa ini dilakukan oleh orang-orang musyrik dan ahli kitab yang mengingkari kebenaran ayat Alquran.
4. Ada orang yang mendengarkan dengan maksud ingin memahami dan memikirkan seruan Rasul. Tetapi adakalanya ajaran Islam itu dijadikan sebagai pengetahuan yang digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu dan adakalanya ajaran Islam itu dijadikan bahan pembicaraan dan sasaran kritikan. Perbuatan ini dilakukan oleh kebanyakan orang-orang ahli orientalis.



Al Anfal Ayat 24

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنُوا استَجيبوا لِلَّهِ وَلِلرَّسولِ إِذا دَعاكُم لِما يُحييكُم ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ يَحولُ بَينَ المَرءِ وَقَلبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيهِ تُحشَرونَ
Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

Dalam ayat ini Allah menyebutkan agar umat Islam bersedia untuk menyahut bila mana Allah dan rasulNya membuat sesuatu seruan. Maksudnya segala seruan dan ajaran oleh Rasulullah saw kepada umatnya adalah merupakan seruan Allah. Maka hal ini adalah wajib ditunaikan dan dipatuhi oleh umat Islam tidaklah boleh sekali-kali mendiamkan diri atau mengambil remeh seruan ini. Ini adalah kerana seruan itu mengandungi ajaran-ajaran yang berguna bagi kehidupan mereka.

Umpamanya seperti mengetahui hukum-hukum Allah yang diberikan kepada makhluk-Nya, mengenai tauladan hidup yang dapat dijadikan contoh dan pelajaran yang utama untuk meningkatkan nilai-nilai kemanusiaan serta mengangkat kehidupan mereka kepada martabat yang sempurna, sehingga mereka dapat menempuh jalan lurus yang mendekatkan diri kepada Tuhan. Akhirnya mereka kelak akan hidup di dalam keredhaan Allah. Di dunia mereka akan berbahagia dan di akhirat akan mendapat syurga.

Di dalam ayat lain perintah mengikuti Rasul itu disertai dengan perintah memegang dengan teguh tanpa meremehkannya.
Allah berfirman:
“Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah.”
(Q.S Al Baqarah: 93)

Mentaati Rasul hukumnya wajib, baik di waktu beliau hidup mahupun setelah beliau wafat. Mentaati Rasul maksudnya ialah mentaati segala macam perintahnya dan menjauhi larangannya yang termuat dalam Kitab Alquran dan yang termuat dalam kitab-kitab hadis yang diketahui kesahihannya.

Dan Allah swt. memerintahkan kepada kaum Muslimin agar mereka betul-betul mengetahui maksud kata ‘Allah menyekat seseorang itu dengan hatinya’ di dalam ayat ini. Maksudnya ialah:
1. Bahwa Allah swt. menguasai hati seseorang, maka Allahlah yang menentukan kecenderungan hati itu menurut kehendak-Nya. Dalam pada itu Allah swt. berkuasa untuk mengarahkan hati orang kafir apabila Ia menghendaki orang kafir itu mendapat hidayah. Dan Allah berkuasa untuk menguasai hati seseorang yang beriman untuk menyesatkannya pula apabila Ia berkehendak untuk menyesatkan. Pengertian serupa ini terdapat pula dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Kitab Al-Mustadrak dari Ibnu Abbas dan dari sebagian besar ulama salaf.
Hadis-hadis yang menguatkan pengertian ini ialah bahwa Nabi Muhammad saw. seringkali mengatakan:
“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku atas agamamu. Lalu Rasulullah ditanya: "Ya Rasulullah, kami telah beriman kepadamu dan kepada Kitab yang engkau bawa, maka apakah yang engkau khawatirkan terhadap kami?" Maka Rasulullah saw. menjawab: "Ya! Sungguh hati itu berada di antara dua jari dari jari-jari Tuhan, Dialah Yang membolak-balikkannya.”
(H.R Imam Ahmad dan At Turmuzi dari Anas)

2. Bahwa Allah swt. menyuruh hambanya untuk bersegera mentaati Allah sebelum terlepasnya jiwa, tetapi mereka tidak mempedulikan perintah itu. Ini bererti bahwa Allah mematikan hatinya hingga hilanglah kesempatan yang baik itu. Hilangnya kesempatan ini maksudnya ialah hilangnya kesempatan seseorang untuk melakukan amal yang baik dan usaha untuk mengubati hati dengan penawar jiwa sehingga jiwanya menjadi sihat sesuai dengan kehendak Allah. Kata-kata’menyekat’ dalam ayat ini adalah merupakan kata persamaan yang digunakan untuk pengertian mati, kerana hati itulah biasanya yang dapat memahami sesuatu, maka apabila dikatakan hati seseorang telah mati bermakna hilanglah kesempatan seseorang untuk memanfaatkan ilmu pengetahuannya.

3. Kata ‘menyekat’ itu adalah merupakan kata-kata majaz yang menggambarkan batas terdekat kepada hamba. Kerana sesuatu yang memisahkan antara dua buah barang adalah sangat dekat kepada dua barang itu. Pengertian serupa ini dinukilkan dari Qatadah, kerana pada saat membicarakan makna ayat ia membawakan firman Allah:
“Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.”
(Q.S Qaf: 16)

Maka memang patutlah kalau di dalam ayat ini dikatakan, bahwa Allah menyekat antara seseorang dengan hatinya, kerana Allahlah Yang lebih mengetahui hati nurani seseorang. Dan Dialah Yang menguasai hati itu, kerana Dialah pula yang menciptakan bakat-bakat yang terdapat dalam hati dan Dia pula yang paling dapat menentukan ke mana hati itu mengarah.

Kemudian di akhir ayat Allah swt. menegaskan, bahwa sesungguhnya seluruh manusia itu akan dikumpulkan kepada Allah swt. Maksudnya mereka pada hari akhir akan dikumpulkan di padang Mahsyar untuk dipertanggungjawabkan segala amalnya dan menerima pembalasan yang setimpal dengan amal perbuatan mereka.




Al Anfal Ayat 25

وَاتَّقوا فِتنَةً لا تُصيبَنَّ الَّذينَ ظَلَموا مِنكُم خاصَّةً ۖ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Allah swt. menyerukan kepada orang-orang beriman agar memelihara diri mereka dari seksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang zalim itu saja di antara orang-orang beriman. Maksudnya ialah apabila di dalam suatu kaum perbuatan maksiat telah merata maka Allah swt. akan menyeksa mereka itu secara keseluruhan. Seksaan itu tidak hanya bagi orang yang melakukan kemaksiatan itu saja, akan tetapi seksaan itu akan menimpa mereka secara merata tanpa pilih kasih, meskipun di dalamnya terdapat juga orang-orang yang saleh yang berada di antara mereka itu.
Rasulullah saw. bersabda:
“Tidak ada siksaan yang pantas dijatuhkan kepada suatu kaum yang sebagian besar orang-orangnya melakukan kemaksiatan kemudian mereka tidak mau mengubahnya selain Allah akan menyiksa mereka dengan siksaan yang merata.”
(H.R Ahmad dari Jabir)

Oleh sebab itulah di dalam masyarakat ada satu badan pertubuhan yang mengurus kemaslahatan dan mengurus amar makruf dan nahi mungkar. Badan pertubuhan ini hendaknya bertugas meneliti kemaksiatan yang timbul dalam masyarakat, serta berusaha pula untuk mencari cara-cara pencegahannya. Badan pertubuhan ini juga harus berusaha untuk menggiatkan masyarakat melakukan segala yang diperintahkan oleh agama dan menghentikan segala sesuatu yang dilarang. Sebab apabila kemaksiatan itu telah merata, dan masyarakat telah melupakan agama, maka bencana yang menimpa masyarakat itu tidak hanya akan menimpa sesuatu kelompok atau golongan tertentu saja, tetapi bencana itu akan dirasakan oleh anggota masyarakat secara keseluruhan dan merata.

Di ahkir ayat Allah swt. mengingatkan orang-orang mukmin agar mereka itu mengetahui bahwa Allah amat keras seksaan-Nya. Seksaan Allah ditimpakan atas siapa saja yang melanggar hukum-Nya, baik oleh anggota-anggota masyarakat. Ancaman Tuhan yang sangat keras ini mencakup ancaman di dunia akan berlaku apabila kejahatan itu telah merajalela dan merata di segenap anggota masyarakat itu tanpa mengira sesiapa. Sedangkan ancaman-ancamannya di akhirat ditimpakan kepada orang-orang yang melakukannya secara sendiri-sendiri atau pun bersama-sama sesuai dengan berat ringannya perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu.




 Al Anfal Ayat 26

وَاذكُروا إِذ أَنتُم قَليلٌ مُستَضعَفونَ فِي الأَرضِ تَخافونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النّاسُ فَآواكُم وَأَيَّدَكُم بِنَصرِهِ وَرَزَقَكُم مِنَ الطَّيِّباتِ لَعَلَّكُم تَشكُرونَ
Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkanNya kamu dengan pertolonganNya, serta dikurniakanNya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.

Setelah Allah memerintahkan orang-orang mukmin supaya taat kepada Allah dan rasulNya, kemudian Allah mengingatkan mereka supaya takut akan fitnah, yakni malapetaka yang akan menimpa dengan merata kepada umum, maka pada ayat ini Allah mengingatkan pula supaya mereka mengenang akan nikmat yang dikurnikan kepada mereka. Adapun mereka yang dimaksudkan it ialah orang-orang mukmin kaum Muhajirin. Allah menyuruh orang-orang Muhajirin ini mengenang semasa mereka dahulu masih sedikit bilangannya, lagi lemah kerana dianiaya dan ditindas oleh kaum musyrikin Mekah pada permulaan tersiarnya Islam dahulu.

Allah juga menjelaskan dalam ayat ini bahawa pada permulaan Islam dahulu kaum Muhajirin ini bimbang dan takut akan diculik oleh musuh-musuh mereka dari kaum kafir musyrikin, orang-orang Rom mahupun orang-orang Parsi untuk memusnahkan kaum Muhajirin ini dan menarik mereka keluar dari agama Islam.

Tetapi dengan rahmat dan kurniaan Allah, tiba-tiba kaum Muhajirin ini telah ditempatkan di negeri Madinah, dan mereka telah dibela oleh Allah dengan memberikan pertolonganNya iaitu kaum Ansar telah menerima mereka untuk tinggal bersama-sama di negeri mereka dengan baik dan dengan hati yang terbuka serta membantu kaum Muhajiriin ini dalam segala lapangan hidup, sehingga mereka menjadi kuat, dan seterusnya dapat mengalahkan orang-orang kafir musyrikin mekah di dalam peperangan Badar dengan bantuan para malaikat yang menjadi tentera-tentera Allah dalam pepeerangan tersebut.

Di dalam peperangan itu kaum Muhajirin dibenarkan memiliki harta rampasan perang sebagai rezeki yang biak, sedangkan umat yang sebelum mereka tidak pernah dibenarkan demikian. Maka dengan adanya nikmat-nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka itu, mudah-mudahan mereka akan berterima kasih kepada Allah swt.



Al Anfal Ayat 27

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا لا تَخونُوا اللَّهَ وَالرَّسولَ وَتَخونوا أَماناتِكُم وَأَنتُم تَعلَمونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Ayat ini adalah teguran keras kepada Abu Lababah, kerana dia telah mengkhianati Allah dan Rasul. Dia telah membuka rahsia kepada Yahubi Bani Quraisy apabila mereka disuruh turun dari benteng pertahanan yang tidak akan dpat lagi mereka pertahankan itu. Mengapa Abu Lababah melarang Bani Quraisy tadi turun?

Dalam riwayat yang dibawa oleh Abd bin Humaid, dari al Kalbi, bahwa Abu Lababah itu diutus oleh Nabi Muhammad saw kepada Bani Quraisy kerana selama ini dia adalah sahabat baik dari suku kaum Yahudi itu. Diriwayatkan pula bahwa Abu Lababah pun mengirimkan harta benda dan anak-anaknya kepada Bani Quraisy. Maka setelah bertemu dengan pembesar-pembesar Quraisy itu dia sampaikanlah cadangan Nabi supaya mereka turun dari benteng dan menyerah diri kepada keputusan Saad Bin Mu’az. Lalu pembesar Quraisy bertanya, kalau mereka turun, apakah hukuman yang akan mereka perolehi nanti. 

Lalu dengan tidak berfikir panjang Abu Lababah membawa tangannya ke belakang leher, mengisyaratkan bahwa leher mereka akan kelak dipenggal semua. Kelancangannya inilah yang ditegur oleh Allah di dalam ayat ini. Dan setelah ayat ini turun maka terasalah oleh Abu Lababah perasaan kesal yang amat sangat kerana telah membuka rahsia itu kepada Bani Quraisy, sehingga dia merasa bumi yang dipijaknya seolah-olah bergoyang kerana Allah telah menuduhnya berkhianat dan membuka rahsia.

Ya, sememangnya ini adalah memang satu pengkhianatan. Walaupun Abu Lababah melakukan demikian adalah semata-mata merasa kasihan terhadap sahbatnya yang dari kaum Quraisy dan sebenarnya dia bukanlah seorang munafik, tetapi kelancangannya itu menyebabkan dia telah berkhianat.

Daptlah difahami bahwa ayat ini diturunkan adalah untuk mengajar kita tentang bab amanah dan larangan berkhianat.  Di antara ciri-ciri keimanan seseorang adalah sejauh mana dia mampu melaksanakan amanah. Demikian pula sebaliknya bahwa ciri khas orang munafik adalah khianat dan melalaikankan amanah-amanahnya. Amanah ini dapat dikaitkan dengan tugas, dan juga sejauh mana keupayaan seseorang menunaikan tugas. Sehingga amanah ini seringkali dihubungkan dengan kekuatan. Firman Allah: “Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”
(QS Al-Qhashash 27).

Hendaklah kita jangan mengkhianati perkara yang telah diamanahkan kepada kita, baik yang bersangkutan dengan harta mahupun yang lainnya umpamanya menjalankan kewajipan -kewajipan dan tanggungjawab yang dipikul, memelihara rahsia, terutama rahsia rumahtangga.

Adapun perbuatan meringankan kewajipan, tugas dan tanggungjawab itu adalah bererti berkhianat. Bagitu pula perbuatan membuka rahsia dan menyiar-nyiarkannya adalah juga berkhianat, kerana perbuatan-perbuatan tersebut akan merugikan, mengaibkan dan membahayakan. Lebih-lebih lagi apabila ianya bersangkutan dengan rahsia negara. Sekiranya rahsia itu terlepas kepada musuh maka akibatnya negara tersebut akan mudah dikuasai oleh musuh.

Itulah sebabnya maka Allah swt. melarang kaum Muslimin mengkhianati amanat kerana apabila amanat sudah tidak terpelihara lagi bererti hilanglah kepercayaan. Dan apabila kepercayaan telah hilang maka ketenangan hidup bermasyarakat tidak dapat dinikmati lagi.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa bahaya yang akan menimpa masyarakat lantaran mengkhianati amanat yang telah diketahui, baik bahaya yang akan menimpa mereka di dunia, yaitu berleluasanya kejahatan dan kemaksiatan yang menggoncangkan hidup bermasyarakat, ataupun penyesalan yang abadi dan siksaan api neraka yang akan menimpa mereka di akhirat nanti.

Khianat adalah sifat orang-orang munafik, sedang amanah adalah sifat orang-orang mukmin. Maka orang mukmin harus menjauhi sifat khianat itu agar tidak berjangkit penyakit nifak yang dapat mengikis habis imannya.

Anas bin Malik berkata:
“Rasulullah saw. pada setiap khutbahnya bersabda: "Tidak beriman orang yang tak dapat dipercaya dan tidak beragama orang yang tak dapat dipercaya.”
(H.R Ahmad dan Ibnu Hibban dari Anas bin Malik)

Sabda Nabi saw.:
“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Apabila menuturkan kata-kata ia berdusta, dan apabila berjanji ia menyalahi, dan apabila diberi kepercayaan ia berkhianat.”
(H.R Muslim dari Abu Hurairah)


Al Anfal Ayat 28

وَاعلَموا أَنَّما أَموالُكُم وَأَولادُكُم فِتنَةٌ وَأَنَّ اللَّهَ عِندَهُ أَجرٌ عَظيمٌ
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

Allah mengiingatkan kaum Muslimin supaya mereka mengetahui bahwasanya harta dan anak-anak mereka itu adalah cubaan dari Allah semata-mata. Maksudnya ialah bahwa Allah menganugerahkan harta benda dan anak-anak kepada kaum Muslimin sebagai ujian bagi mereka itu apakah harta dan anak-anak banyak itu menambah ketakwaan kepada Allah, mensyukuri nikmat serta melaksanakan hak dan kewajiban seperti yang telah ditentukan Allah.

Apabila seorang muslim diberi harta kekayaan oleh Allah, kemudian ia mensyukuri Allah atas kekayaan itu dengan membelanjakannya menurut ketentuan-ketentuan Allah bererti memenuhi kewajiban-kewajiban yang telah ditentukan Allah terhadap mereka. Tetapi apabila dengan kekayaan yang mereka peroleh kemudian mereka bertambah tamak dan berusaha menambah kekayaannya dengan jalan yang tidak halal serta enggan menafkahkan hartanya bererti orang yang demikian ini adalah orang yang mengingkari nikmat Allah.

Demikian juga kehidupan manusia dalam masyarakat harta benda adalah merupakan kebanggaan dalam kehidupan dunia. Sering orang lupa bahwa harta benda itu hanyalah amanah dari Allah yang dipinjamkan kepada mereka, sehingga mereka kebanyakan tertarik kepada harta kekayaan itu dan melupakan kewajiban-kewajiban yang harus dilaksanakan.

Demikian juga anak adalah salah satu kesenangan hidup dan menjadi kebanggaan seseorang. Hal ini merupakan cubaan pula terhadap kaum Muslimin. Anak itu harus dididik dengan pendidikan yang baik sehingga menjadi anak yang saleh. Maka apabila seseorang berhasil mendidik anak-anaknya menurut tuntunan agama, bererti anak itu akan menjadi rahmat yang tak ternilai harganya. Akan tetapi apabila anak itu dibiarkan sehingga menjadi anak yang menuruti hawa nafsunya, tidak mahu melaksanakan perintah-perintah agama, maka hal ini menjadi bencana, tidak saja kepada kedua orang tuanya, bahkan kepada masyarakat seluruhnya.

Oleh sebab itu wajiblah bagi seorang muslim memelihara diri dari kedua cubaan tersebut. Hendaklah dia mengendalikan harta dan anak untuk digunakan dan dididik sesuai dengan panduan agama serta menjauhkan diri dari bencana yang ditimbulkan oleh harta dan anak tadi.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa sesungguhnya di sisi Allahlah pahala yang besar. Maksudnya ialah barang siapa yang mengutamakan keredhaan Allah daripada mencintai harta dan anak-anaknya, maka ia akan mendapat pahala yang besar dari sisi Allah. Peringatan Allah agar manusia tidak lupa kepada ketentuan agama lantaran harta yang banyak dan anak yang banyak disebutkan pula dalam ayat yang lain.
Firman Allah swt.:
“Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Q.S Al Munafiqun: 9)




Al Anfal Ayat 29

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِن تَتَّقُوا اللَّهَ يَجعَل لَكُم فُرقانًا وَيُكَفِّر عَنكُم سَيِّئَاتِكُم وَيَغفِر لَكُم ۗ وَاللَّهُ ذُو الفَضلِ العَظيمِ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah swt. menyeru orang-orang yang beriman bahawa apabila mereka bertakwa kepada Allah yaitu memelihara diri mereka dengan melaksanakan apa yang mereka tetapkan berdasar hukum-hukum Allah serta menjauhi segala macam larangan-Nya seperti tidak mahu berkhianat, lebih mengutamakan hukum-hukum Allah akan memberikan kepada mereka petunjuk yang dapat membedakan antara yang hak dengan yang batil, dan petunjuk itu merupakan penolong bagi mereka di kala kesusahan dan sebagai pelita di kala kegelapan.
Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman (kepada para Rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, niscaya Allah memberikan rahmat-Nya kepadamu dua bagian dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Q.S Al Hadid: 28)

Di samping itu Allah swt. menjanjikan kepada mereka bahwa Allah akan menghapus segala kesalahan mereka dan mengampuni dosa-dosa mereka kerana mereka itu bertakwa, dan diberi pula furqan, sehingga mereka dapat mengetahui mana perbuatan yang harus dijauhi kerana ianya dilarang Allah, serta dapat pula memelihara dirinya dari hal-hal yang menjatuhkan kepada kerusakan. Orang-orang yang mendapat pengampunan Allah bererti ia hidup bahagia. Hal yang demikian ini dapat mereka capai adalah kerana kurniaan Allah semata-mata.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa Allah mempunyai kurniaan yang besar kerana Dialah yang dapat memberikan keutamaan yang besar kepada makhluk-Nya, baik keutamaan yang merata kepada hamba-Nya di dunia atau pun magfirah dan syurga-Nya yang diberikan kepada hamba-Nya yang dikasihi di akhirat.





 Al Anfal Ayat 30

وَإِذ يَمكُرُ بِكَ الَّذينَ كَفَروا لِيُثبِتوكَ أَو يَقتُلوكَ أَو يُخرِجوكَ ۚ وَيَمكُرونَ وَيَمكُرُ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيرُ الماكِرينَ
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”

Allah swt. mengingatkan Nabi Muhammad dan sahabatnya tentang suatu peristiwa yang pernah mereka alami pada masa mereka berada di Mekah. Mereka diselamatkan dari siksaan orang-orang musyrikin. Pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy merencanakan tipu daya yang harus dilakukan terhadap Nabi, yaitu menawan Nabi sehingga ia tidak dapat bertemu dengan manusia dan tidak dapat lagi menyebarkan agama Islam, atau membunuh Nabi dengan cara yang menyukarkan kabilahnya untuk menuntut balas, sehingga tidak menyebabkan bahaya bagi siapa yang membunuhnya, atau mengusir Nabi dan mengasingkan ke tempat yang terpencil.

Diriwayatkan dari ahli-ahli tafsir bahwasanya Abu Talib berkata kepada Nabi:

“Abu Talib bertanya kepada Nabi saw.: "Apa yang dirundingkan oleh kaummu?" Nabi menjawab: "Mereka menginginkan untuk memenjarakanku, membunuhku, atau mengusirku." Abu Talib bertanya: "Siapa yang memberitahukan hal ini kepadamu?" Nabi Muhammad menjawab: "Tuhanku." Abu Talib berkata: "Tuhan itu adalah Tuhanmu, maka perintahkanlah Dia (menjagamu) baik-baik." Nabi Muhammad menjawab: "Apakah aku akan memerintah Tuhanku?" Abu Talib menjawab: "Ya. Bahkan Tuhanmu telah memerintahkan kepadaku (supaya menjagamu)." Kemudian turunlah ayat ini."
(H.R Ibnu Juraij dan 'Ata)

Pada saat itu orang-orang kafir Quraisy merencanakan tipu daya. Allah swt. memberikan bantuan-Nya kepada Nabi Muhammad saw. yaitu Allah swt. menggagalkan usaha mereka dengan jalan memerintahkan Nabi dan sahabatnya berhijrah ke Madinah sehingga Nabi dan para sahabatnya selamat dari tipu daya orang musyrikin.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa Dia adalah sebaik-baik pembalas tipu daya, yaitu dapat mengalahkan tipu daya orang-orang musyrikin, dan orang-orang kafir Quraisy yang ingin mencelakakan Nabi.



 Al Anfal Ayat 31

وَإِذا تُتلىٰ عَلَيهِم آياتُنا قالوا قَد سَمِعنا لَو نَشاءُ لَقُلنا مِثلَ هٰذا ۙ إِن هٰذا إِلّا أَساطيرُ الأَوَّلينَ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

Allah swt. menjelaskan keingkaran orang-orang Quraisy serta kesombongan mereka terhadap seruan Nabi, terutama pada ketika mendengar ayat-ayat yang dibacakan oleh Nabi. Mereka dengan sombongnya menganggap diri mereka dapat membacakan ayat yang sama seperti itu. Perkataan ini adalah perkataan yang keluar dari An-Nadar bin Al-Haris dari Bani Abdid Dar. Ia pulang pergi ke Persia dan mendengar dari mereka tentang Rustam dan Isfandiar dan dari beberapa orang terkemuka orang-orang ajam. Dan dia sering bertemu dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani, maka dia mendengar dari mereka isi Kitab Taurat dan Injil.

Lalu Allah swt. menerangkan sebab-sebab mengapa orang-orang Quraisy itu mengemukakan anggapan demikian, yaitu lantaran mereka menganggap ayat- ayat Alquran yang dibacakan Nabi Muhammad saw. dan pengikut-pengikutnya menyerupai kisah-kisah yang terdapat dalam Kitab Taurat dan Injil. Itulah sebabnya, maka mereka merasa berkesanggupan untuk membacakan ayat-ayat yang dibaca oleh Nabi. Mereka beranggapan bahwa ayat-ayat yang dibaca oleh Muhammad itu bukanlah wahyu, melainkan dongengan-dongengan orang-orang purbakala. Namun demikian, boleh jadi yang mengeluarkan kata-kata itu ialah An-Nadar kemudian diikuti oleh yang lain. Tetapi mereka itu tidak meyakini bahwa ayat-ayat yang dibaca itu adalah dongengan-dongengan orang-orang purbakala yang bersimpang siur dan tidak pula beranggapan bahwa Muhammad yang membuat-buatnya, kerana mereka tidak pernah menuduh Muhammad seorang pendusta.

Allah berfirman:
“Kerana mereka sesungguhnya bukan mendustakan kamu akan tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat Allah.”
(Al An'am: 33)

Dan firman Allah:
“Dan mereka berkata: "Dongengan-dongengan orang dahulu, dimintanya supaya dituliskan, maka dibacakan dongengan itu kepadanya setiap pagi dan petang."
(Q.S Al Furqan: 5)

Sebenarnya mereka bukanlah tidak meyakini kebenaran ayat-ayat itu. Ini adalah kerana mereka sebenarnya telah mengetahui bahwa Nabi Muhammad saw. itu adalah ummi tetapi mereka mengatakan demikian itu hanyalah untuk merintangi orang-orang agar tidak mahu mendengarkan Alquran.

Dan ada pula yang beranggapan bahwa pemimpin-pemimpin Quraisy seperti An-Nadar bin Al-Haris, Abu Jahal dan Al-Walid bin Al-Mugirah sama-sama bersepakat untuk menyuruh orang agar tidak mendengarkan Alquran itu. Kemudian mereka ini datang ke rumah Nabi pada waktu malam untuk mendengarkannya dan mereka tertarik kepada Alquran itu. Kerana begitu berkesannya Alquran pada hati mereka sehingga Al-Walid bin Mugirah mengucapkan kata-kala yang terkenal: "Sesungguhnya Alquran itu bernilai tinggi daripadanya." Itulah sebabnya mereka menghalang orang-orang Arab dari mendengar ayat-ayat Alquran. Dan untuk menjauhkan orang-orang Arab dari Alquran mereka mengatakan bahwa Alquran itu sihir.




 Al Anfal Ayat 32

وَإِذ قالُوا اللَّهُمَّ إِن كانَ هٰذا هُوَ الحَقَّ مِن عِندِكَ فَأَمطِر عَلَينا حِجارَةً مِنَ السَّماءِ أَوِ ائتِنا بِعَذابٍ أَليمٍ
Dan (ingatlah) ketika mereka (kaum musyrik Makkah) berkata: "Wahai tuhan kami! Jika betul (Al-Quran) itu ialah yang benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

Allah swt. mengingatkan kepada orang-orang mukmin tentang suatu peristiwa, di mana orang-orang kafir Quraisy menentang Nabi Muhammad saw. bahwa apabila benar Alquran yang disebarlkan oleh Muhammad itu betul-betul diturunkan dari Allah, seperti dikatakan oleh Nabi sendiri dan dijadikan dasar agamanya, maka orang-orang Quraisy meminta kepada Allah supaya diberikan bukti sebagai penguat perkataannya itu. Mereka minta agar diturunkan hujan batu dari langit atau diberi seksaan yang pedih kepada mereka.

Di dalam ayat ini terdapat satu isyarat, sebenarnya orang-orang kafir Quraisy tidak akan mahu menjadi pengikut Nabi Muhammad saw. meskipun apa yang dikatakan Muhammad itu benar-benar ayat-ayat yang diturunkan dari Allah. Hal ini membuktikan bahwa mereka lebih menyukai kehancuran daripada beriman kepada Muhammad. Mereka meminta kepada Allah supaya dihujani batu dari langit atau diseksa mereka dengan seksaan yang pedih.  



 Al Anfal Ayat 33

وَما كانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُم وَأَنتَ فيهِم ۚ وَما كانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُم وَهُم يَستَغفِرونَ
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).

Di dalam ayat ini Allah swt. menerangkan kepada kaum muslimin bagaimana sikap mereka menghadapi tindakan kaum musyrikin itu. Dia menyuruh kaum Muslimin agar membiarkan sikap mereka, kerana Allah tidak akan memenuhi permintaan mereka. Sebabnya ialah permintaan itu tidak sesuai dengan sunnatullah dan tidak sesuai pula dengan sifat-sifat Allah yang sangat bijaksana dan Maha Pengasih.

Allah tidak akan mengazab mereka, sebab Nabi saw. diutus untuk memberikan petunjuk kepada mereka, untuk menginsafkan mereka dari kekafiran, hingga mereka mempunyai penyesalan atas perbuatan mereka. Dan Nabi Muhammad saw adalah diutus sebagai rahmat bukan sebagai bencana. Allah swt. tidak akan mengazab mereka selama Rasulullah berada di antara mereka. Allah hanya akan mengazab mereka setelah Rasulullah berhijrah.

Kemudian daripada itu Allah menjelaskan lagi, bahwa Dia tidak akan menurunkan siksa kepada mereka bilamana mereka telah menghentikan keingkaran dan mahu bertobat, yaitu mengikuti petunjuk yang telah diberikan oleh Rasulullah dan mereka mahu memeluk agama Islam.




 Al Anfal Ayat 34

وَما لَهُم أَلّا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُم يَصُدّونَ عَنِ المَسجِدِ الحَرامِ وَما كانوا أَولِياءَهُ ۚ إِن أَولِياؤُهُ إِلَّا المُتَّقونَ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ
Dan mengapa mereka tidak patut diseksa oleh Allah, sedang mereka menyekat (orang-orang Islam) dari masjid Al-Haraam, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya (kerana mereka kafir musyrik)? Sebenarnya orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertaqwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Sesudah itu Allah swt. menjelaskan bahwa Allah tidak akan menurunkan azab kepada mereka, meskipun mereka sudah berhak diberi azab lantaran mereka telah menghalangi orang-orang mukmin memasuki Masjidil Haram untuk menunaikan ibadah haji. Ini adalah kerana Nabi Muhammad saw. berada di antara mereka, dan masih ada orang-orang mukmin yang memohon ampun kepada Allah bersama Nabi Muhammad saw.

Seterusnya Allah swt. menjelaskan bahwa orang-orang kafir itu tidak berhak menguasai Baitullah dan daerah-daerah haram, kerana mereka telah berbuat syirik dan telah mengadakan kerusakan-kerusakan di daerah itu. Akan tetapi yang sebenarnya berhak menguasai Baitullah dan daerah-daerah haram itu hanyalah orang-orang yang bertakwa, yaitu Nabi Muhammad saw. dan pengikut-pengikutnya.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa kebanyakan orang-orang kafir itu tidak mengetahui bahwa mereka tidak layak menguasai Baitullah dan daerah-daerah haram kerama mereka bukanlah penolong-penolong agama. Dan yang berhak menguasai Baitullah itu hanya orang-orang yang bertakwa.



Al Anfal Ayat 35

وَما كانَ صَلاتُهُم عِندَ البَيتِ إِلّا مُكاءً وَتَصدِيَةً ۚ فَذوقُوا العَذابَ بِما كُنتُم تَكفُرونَ
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.

Seterusnya Allah swt. menerangkan sebab-sebab mereka tidak berhak menguasai Baitullah, dan daerah haram, yaitu kerana mereka dalam waktu beribadat, mereka telah mengerjakan tawaf dengan bertelanjang dan bersiul-siul serta bertepuk tangan.
Sabda Rasulullah :
“Orang-orang Quraisy mengitari Baitullah dalam keadaan telanjang, bertepuk tangan dan bersiul-siul”.
(H.R Ibnu Abi Hatim dari Ibnu 'Abbas)

Dan sabda Rasulullah lagi:
“Bahwa orang-orang Quraisy itu baik laki-laki maupun perempuan, mengelilingi Kakbah dalam keadaan telanjang. Mereka saling berbimbingan tangan, bersiul-siul dan bertepuk tangan.”
(H.R Ibnu Abi Hatim dari Ibnu 'Abbas)

At-Tasti meriwayatkan sebuah riwayat di antara riwayat-riwayat yang ditanyakan Nafi' bin Al-Azraq bahwasanya dia berkata kepada Nabi:
Artinya:
“Beritahukanlah kepadaku tentang makna firman Allah Azza wa Jalla "illaa mukaa'an wa tashdiyah". Ia berkata: "Al-Mukaa'u ialah suara burung Qunburah dan Tashdiyah ialah suara burung pipit sama dengan bertepuk tangan. Dan demikian itu ialah pada ketika Rasulullah saw. mengerjakan salat sedang beliau pada tempat di antara hajar aswad dan rukun yamani (yaitu beliau menghadap ke utara agar dapat mempersatukan arah Kakbah dan Baitul Makdis pada suatu arah tujuan). Maka datanglah dua orang laki-laki dari Bani Sahm yang seorang berdiri di sebelah kanan Nabi sedang yang lain bertepuk tangan seramai suara burung pipit mengganggu salat Nabi saw."
(H.R At Tasti dari Nafi' bin Azzraq)

Kemudian Allah swt. mengancam perbuatan mereka itu dengan ancaman yang keras, yaitu mereka akan merasakan azab kerana kekafiran mereka itu. Seksaan ini meliputi seksaan dunia dan seksaan akhirat. Seksaan dunia yang mereka alami ialah tewasnya pemimpin-pemimpin mereka dan tertawannya tentera mereka pada waktu perang Badar serta kekalahan total mereka pada saat penaklukan Mekah. Sedangkan seksaan mereka di akhirat ialah penyesalan yang tak berkesudahan akibat mereka merasakan dahsyatnya api neraka.




Al Anfal Ayat 36

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا يُنفِقونَ أَموالَهُم لِيَصُدّوا عَن سَبيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنفِقونَها ثُمَّ تَكونُ عَلَيهِم حَسرَةً ثُمَّ يُغلَبونَ ۗ وَالَّذينَ كَفَروا إِلىٰ جَهَنَّمَ يُحشَرونَ
Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.

Dalam ayat ini Allah menjelaskan persiapan-persiapan orang-orang kafir Quraisy pada saat menjelang terjadinya perang Badar, yaitu mereka mengerahkan tenaga dan harta benda mereka untuk menghalang-halangi tersebarnya agama Islam dan perjuangan Rasulullah saw.

Para mufassirin meriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, Sa'id bin Jubair dan lain-lainnya sebagai berikut:
"Ayat ini turun mengenai diri Abu Sufyan dan harta bendanya yang diserahkan untuk membiayai orang-orang musyrikin pada waktu perang Badar serta bantuannya terhadap mereka pada waktu perang Uhud dan lainnya. Dalam sebahagian riwayat disebutkan bahwa: "Setelah Abu Sufyan dapat menyelamatkan kabilahnya (dalam perang Badar) dengan menempuh jalan pantai menuju Mekah ia berjalan dengan disertai satu regu dari tentara kaum musyrikin menghasung orang-orang agar tidak memerangi mereka. 

Maka datanglah mereka kepada orang-orang yang mempunyai barang dagangan dalam kabilah seraya berkata: "Wahai orang-orang Quraisy, ketahuilah bahwa Muhammad telah memencilkan kamu dan membunuh pemimpin-pemimpinmu. Maka bantulah kami dengan mengorbankan harta bendamu untuk memerangi Muhammad. Barangkali kami dapat mencapai kemenangan daripadanya. 

Kemudian mereka melaksanakan anjuran itu. Sa'id bin Jubair berkata: "Bahwasanya Abu Sufyan pada waktu perang Uhud menyewa 2.000 orang dari suku Bani Kinanah untuk memerangi Rasulullah saw. selain orang Arab yang sudah menjadi tentera.

Betapa kekuatan bala tentara yang mereka miliki dan harta benda yang mereka gunakan namun mereka akan mengalami kegagalan dalam menafkahkan harta benda itu tiada lain hanyalah seperti perbuatan syaitan yang tidak disandarkan pada pendirian yang benar yang akibatnya ialah penyesalan belaka kerana kekuatan jiwa dan harta mereka hilang tanpa faedah dan perjuangan mereka sia-sia. Kemudian perjuangan mereka secara berturut-turut akan dipatahkan sehingga akhirnya yang menjulang tinggi hanyalah kalimat Allah semata.

Kemudian Allah swt. mengancam orang-orang kafir dengan ancaman yang keras, bahwa pada hari kiamat nanti mereka akan dipanggang ke dalam api neraka.




 Al Anfal Ayat 37

لِيَميزَ اللَّهُ الخَبيثَ مِنَ الطَّيِّبِ وَيَجعَلَ الخَبيثَ بَعضَهُ عَلىٰ بَعضٍ فَيَركُمَهُ جَميعًا فَيَجعَلَهُ في جَهَنَّمَ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الخاسِرونَ
Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman), dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi. “

Allah akan memisahkan antara orang-orang kafir iaitu pihak yang kotor dari orang-orang mukmin iaitu pihak yang bersih. Maksudnya dipisahkan yang kufur itu dari yang iman, yang salah dari yang benar, dan yang zalim dari yang adil lagi saksama. Iaitu Allah akan memberi balasan neraka kepada yang kafir sebagai golongan orang-orang yang celaka, dan memberi balasan syurga kepada orang mukmin sebagai golongan orang-orang yang berbahagia.

Atau maksudnya di sini: Allah akan memisahkan pihak yang kotor itu, iaitu orang-orang yang membelanjakan harta mereka ke jalan syaitan, dipisahkan dari golongan orang-orang yang membelanjakan harta mereka ke jalan Allah dan mentaatiNya.

“...dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam neraka Jahanam…”
Maksudnya mana-mana yang kotor itu Allah akan kumpulkannya, sehingga berlonggok menjadi satu. Dan dimasukkan kesemua itu ke neraka jahannam sebagai tempat kediamannya. Kerana yang kotor di dunia tetap juga kotor di akhirat.

Orang-orang yang membelanjakan harta mereka ke jalan syaitan untuk menyekat orang yang hendak menuju ke jalan Allah, mereka akan rugi di dunia dan akhirat, iaitu kerugian yang telah mereka tempah dan beli dari harta yang telah mereka belanjakan.




Al Anfal Ayat 38

قُل لِلَّذينَ كَفَروا إِن يَنتَهوا يُغفَر لَهُم ما قَد سَلَفَ وَإِن يَعودوا فَقَد مَضَت سُنَّتُ الأَوَّلينَ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang kafir itu, jika mereka berhenti (dari kekufurannya), nescaya akan diampunkan dosa mereka yang telah lalu, dan jika mereka kembali lagi (ingkar maka Kami akan menyeksa mereka), kerana sesungguhnya telah berlakulah kebinasaan orang-orang (yang kufur ingkar) dahulu kala.

Allah swt. memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw. dan pengikut-pengikutnya untuk menyatakan kepada orang-orang kafir Quraisy, yaitu Abu Sufyan dan pengikut-pengikutnya bahwa Allah memberikan tawaran kepada mereka, apabila mereka mahu menghentikan permusuhannya kepada seruan Nabi Muhammad saw. dan menghentikan tipu dayanya dalam menghalang tersebarnya agama Allah, mereka masih diberi kesempatan untuk bertaubat. Dan Allah swt. akan mengampuni dosa-dosa mereka yang sudah mereka lakukan dan mereka tidak akan mengalami siksaan di akhirat.

Demikian juga Rasulullah tidak akan memerangi mereka dan tidak akan menuntut balas terhadap tindakan-tindakan mereka yang telah mereka lakukan baik berupa penyiksaan, pengusiran, pembunuhan, perampasan, mahupun lain-lainnya.

Hal ini adalah merupakan ketentuan Islam yaitu mencintai perdamaian selama ajaran Islam dapat berjalan di muka bumi dan tidak terhalang. Akan tetapi apabila seruan agama Islam telah dihalang, maka Islam akan bertindak terhadap orang-orang yang telah menghalang.

Dan selanjutnya Allah swt. memberikan ancaman dan peringatan bahawa apabila mereka tetap tidak menghiraukan seruan itu dan mereka tetap bersikap keras dalam memusuhi ajaran Islam, serta menghalang dan memerangi kaum muslimin, maka berlakulah sunah Allah yang telah berlaku terhadap orang-orang dahulu, yaitu Allah swt. akan membantu perjuangan orang-orang mukmin dan menghancurkan tipu daya orang-orang kafir.

Allah berfirman:

إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الْأَشْهَادُ (51)
Artinya:
Sesungguhnya kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).
(Q.S Al Mu'min: 51)

Untuk memberikan gambaran bahawa apabila orang-orang musyrikin itu betul-betul menghentikan tindak-tindakan mereka yang memusuhi Nabi Muhammad dan menerima seruannya, nescaya mereka akan mendapat pengampunan dari Allah. Dapatlah dikemukakan sebuah hadis, Amr bin Al-Ash berkata:
“Setelah Allah swt. meresapkan agama Islam betul-betul ke dalam hatiku, aku pun datang kepada Nabi saw. dan berkata: "Ulurkan tanganmu, aku akan membaiat kamu." Maka Rasulullah saw. mengulurkan tangan kanannya, lalu aku menarik tanganku. Nabi bertanya: "Mengapa engkau menarik tanganmu?" Aku menjawab: "Aku akan menentukan suatu syarat." Rasulullah bertanya: "Engkau akan mensyaratkan apa?" Aku menjawab: "Aku ingin supaya Allah mengampuni aku." Rasulullah saw. bersabda: "Tidakkah engkau mengetahui hai Amr, bahwasanya Islam itu menghapuskan apa yang terjadi sebelumnya, dan bahwasanya hijrah itu telah menghapuskan apa yang sebelumnya dan haji itu menghilangkan dosa-dosa yang sebelumnya?"
(H.R Muslim dari Amr Ibn Al Bas)




Al Anfal Ayat 39

وَقاتِلوهُم حَتّىٰ لا تَكونَ فِتنَةٌ وَيَكونَ الدّينُ كُلُّهُ لِلَّهِ ۚ فَإِنِ انتَهَوا فَإِنَّ اللَّهَ بِما يَعمَلونَ بَصيرٌ
“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik) kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.

Allah swt. memberikan semangat kepada orang-orang mukmin yaitu apabila orang-orang musyrikin tetap menolak seruan menghentikan permusuhan, maka Allah akan memerintahkan Rasulullah dan pengikut-pengikutnya supaya memerangi mereka agar tidak terdapat lagi fitnah yang mengganggu umat Islam dan agamanya. Dan tidak akan ada lagi rasa takut dan kekhuatiran yang mencekam hati sanubari seseorang bila masuk agama Islam. Hal ini adalah jaminan bagi manusia bahawa mereka mempunyai kemerdekaan di dalam memeluk agama.
Allah berfirman:
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah.”
(Q.S Al Baqarah: 256)

Kemudian Allah swt. menawarkan sekali lagi kepada orang-orang musyrikin bahawa apabila mereka menghentikan kekafiran dan permusuhan, maka Allah swt. Maha Melihat apa yang mereka kerjakan, dan akan memberikan balasan kepada mereka terhadap amalan-amalan mereka.
Rasulullah saw. bersabda:
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka itu mengucapkan "laa ilaaha illallaahu". Apabila mereka mengatakan kalimat itu, mereka telah memelihara darah dan harta benda mereka dari tindakanku, terkecuali kerana ada alasan yang benar sedang perhitungan amal mereka terserah kepada Allah Azza wa Jalla.”
(H.R Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar)



Al Anfal Ayat 40

  وَإِن تَوَلَّوا فَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ مَولاكُم ۚ نِعمَ المَولىٰ وَنِعمَ النَّصيرُ
Dan jika mereka berpaling (enggan beriman dan tidak berhenti daripada menceroboh) maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu; Dia lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong (yang menyelamatkan dan menjayakan kamu).

Sesudah itu Allah swt. mengancam mereka bahawa apabila mereka tetap juga menolak seruan damai Rasulullah dan tetap tidak menghentikan keingkaran terhadap seruan Rasul serta tetap memerangi dan memusuhi kaum muslim, maka Allah swt. memerintahkan kepada kaum muslimin agar memberitahukan kepada mereka bahwa Allah swt. tetap akan menjadi pelindung dan membantu kaum Muslimin. Dan Allah menjamin kemenangan kepada kaum Muslimin. Dan Allah melarang orang-orang Islam menyerah dan merasa takut kepada trntangan kaum musyrikin itu.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan kepada kaum Muslimin bahwa Dialah Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka tidak akan sia-sialah yang meminta perlindungan-Nya. Dan memang demikianlah selalu terjadi dalam kehidupan manusia ini baik dari zaman dahulu sampai datangnya agama Islam, yaitu yang berhak menguasai bumi Allah hanyalah orang-orang yang saleh-saleh di antara hamba-Nya.
Firman Allah:
“Dan sesungguhnya telah Kami tulis di dalam Zabur sesudah (Kami tulis dalam) Lauh Mahfuz, bahwasanya bumi ini dipusakai hamba-hamba-Ku yang saleh.”
(Q.S Al Anbiya': 105)