Wednesday, April 1, 2015

Surah Al Anfal Ayat 1 - 20







Al Anfal Ayat 1

يَسأَلونَكَ عَنِ الأَنفالِ ۖ قُلِ الأَنفالُ لِلَّهِ وَالرَّسولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصلِحوا ذاتَ بَينِكُم ۖ وَأَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ إِن كُنتُم مُؤمِنينَ
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang harta rampasan perang. Katakanlah: "Harta rampasan perang itu (terserah) bagi Allah dan bagi RasulNya (untuk menentukan pembahagiannya). Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu, serta taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman".

Ayat ini membicarakan persoalan harta rampasan perang yang diperolehi kaum Muslimin setelah selesainya perang Badar Kubra. Perang ini berakhir dengan kemenangan kaum Muslimin. Mereka memperoleh harta rampasan perang yang banyak.

Dari Said bin Jubair, katanya: saya bertanya kepada Abdullah bin Abbas tentang surah Al Anfal itu, dia mengatakan surah itu diturunkan mengenai peristiwa perang  Badar. Adalah diriwayatkan bahwa dalam masa peperangan Badar, Rasulullah saw pernah mengatakan kepada sahabat-sahabatnya, “barangsiapa melakukan begini-begini akan mendapat bahagian sekian-sekian, dan barangsiapa sampai ke tempat ini dan itu akan mendpat sekian-sekian, dan barangsiapa dapt membunuh sekian-sekian musih akan mendapat sekian-sekian pula.”

Kata-kata Rasulullah saw itu merupakan galakan dan perangsang agar sahabat-sahabatnya rela berjuang melawan musuh yang bilangannya jauh lebih ramai, lagi lengkap dengan alat senjata jika dibandingkan dengan bilangan orang-orang Islam yang sedikit dan kurang pula kelengkapan perangnya. Maka dalam peperangan Badar itu para pemuda daripada sahabat-sahbat itu telah berlumba-lumba menyerang musuh dan merampas harta benda mereka menjadi rampasan perang. Sedang pihak yang tua-tua pula betahan di bawah bendera, sambil mempertahankan Nabi saw.

Kemudian setelah Allah memberikan kemenangan yang gilang gemilang kepada mereka, masing-masing para pemuda itu telah menuntut kepada Nabi saw apa yang telah dijanjikan kepada mereka. Maka berkata pihak yang tua-tua kepada pemuda-pemuda tersebut,”janganlah kamu berbuat demikian dengan meninggalkan kami, hanya kerana mementingkan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamilah yang membantu kamu dengan buah fikiran kami dan arahan-arahan kami di samping kami bertapak di bawah bendera sambil menjaga keselamatan Rasulullah. Seandainya kamu ditewaskan musuh, nescaya kamu akan undur ke barisan kami untuk bertahan.”

Demikianlah pihak pemuda dengan pihak yang tua-tua itu bertengkar di hadapan Rasulullah dalam tuntutan mereka mengenai rampasan perang. Lalu turunlah ayat 1 surah Al Anfal ini.

Allah memberitahukan bahwasanya sahabat-sahabat Rasulullah telah bertanya kepada Rasulullah saw tentang hukum harta rampasan perang itu , bagaimanakah cara pembahagiannya? Adakah diperuntukkan kepada para pemuda sahaja ataupun hanya untuk pihak orang tua-tua, ataupun golongan Muhajirin, atau pun Ansar ataupun mereka semua sekali?

Lalu Allah menyuruh Nabi saw mengatakan kepada mereka bahwa harta rampsan perang yang mereka peroleh daam peperangan itu semuanya adalah kepunyaan Allah. Allah lah yang akan menghukumkan cara pembahagiannya mengikut peraturanNya. Juga harta itu adalah kepunyaan RasulNya, yang kelak akan menjalankan pembahagiannya mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Kemudian harta rampasan perang itu telah dibahagi-bahagikan oleh Rasulullah saw di kalangan sahbat-sahabatnya yang turut berperang dan ianya dibahagikan dengan sama rata.

Dalam ayat ini jelas menyatakan bahwa urusan harta rampasan perang adalah terserah kepada Allah, dan pembahagiannya pula akan dilaksanakan oleh RasulNya kepada yang berhak menerima.

Allah juga menegah adanya pertengkaran dan perselisihan antara kaum Muslimin dalam perkara rampasan perang yang boleh menyebabkan perpecahan sesama mereka, iaitu suatu perkara yang wajib ditakuti untuk berlaku. Bahkan hendaklah memperbaiki perhubungan sesama mereka seandainya berlaku perselisihan, tujuannya adalah untuk meneguhkan persatuan dan kekuatan mereka. Jelasnya  menghindarkan perselisihan sesama kaum Muslimin adalah wajib dan memperbaiki hubungan sesama mereka juga adlah wajib.  

Orang yang benar-benar beriman hendaklah patuh kepada Allah dan rasulNya dengan mengerjakan perintah dan meninggalkan yang ditegah.

 Al Anfal Ayat 2 Hingga Ayat 4

إِنَّمَا المُؤمِنونَ الَّذينَ إِذا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَت قُلوبُهُم وَإِذا تُلِيَت عَلَيهِم آياتُهُ زادَتهُم إيمانًا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” (2)

الَّذينَ يُقيمونَ الصَّلاةَ وَمِمّا رَزَقناهُم يُنفِقونَ
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. “ (3)

أُولٰئِكَ هُمُ المُؤمِنونَ حَقًّا ۚ لَهُم دَرَجاتٌ عِندَ رَبِّهِم وَمَغفِرَةٌ وَرِزقٌ كَريمٌ
Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).” (4)

Setelah Allah menyuruh hamba-hambaNya supaya patuh kepada Allah dan rasulNya sekiranya mereka benar-benar beriman, maka dalam tiga ayat ini dijelaskan pula bahwa orang-orang yang dikatakan beriman hanyalah yang terhimpun pada diri mereka 5 sifat sepertimana berikut:
1 . apabila disebut nama Allah, hati mereka penuh ketakutan, iaitu sentiasa berhati lembut dan lunak tidak berani menentang kebesaran Allah, apalagi menderhakaiNya sehinggakan setiap kali ia teringat, ia akan gementar. Gemetar hati adalah sebagai perumpamaan dari perasaan takut dan ia adalah sifat mental yang  abstrak yang hanya dapat dirasakan oleh yang bersangkutan dengan perasaan takut itu sahaja dan hanya Allah sendiri yang mengetahuinya. Orang lain pula dapat mengetahuinya hanyalah dengan memerhatikan tanda-tanda lahiriah dari orang yang merasakannya yang terlukis dalam perkataan atau gerak-gerik dalam perbuatan.
Sikap mental itu adakalanya kelihatan dalam perkataan sebagaimana tergambar dalam firman Allah:
“Dan orang-orang yang memberikan apa yang telah mereka berikan dengan hati yang takut (karena mereka tahu bahwa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.”
(Q.S Al Mu'minun: 60)

Dan adakalanya ia kelihatan pada gerak-gerik dalam perbuatan, firman Allah swt.:
“Ketika mereka masuk ke tempatnya lalu mereka mengucapkan "salam". Berkata Ibrahim: "Sesungguhnya kami merasa takut kepadamu."
(Q.S Al Hijr: 52)

2 . apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya iaitu keterangan-keterangan dari Allah dari Al Quran nescaya bertambahlah keimanan mereka. Jelasnya bertambah teguh dan kuat, terutama jika yang dibacakan itu sesuatu ayat yang baru maka akan bertambah pula dengan keimanan yang baru lagi teguh.

Yang dikatakan dengan keimanan itu ialah suatu kumpulan tiga serangkai, iaitu mempercayai dengan hati, berikrar dengan lidah dan beramal dengan anggota badan. Sebagaimana iman seseorang itu dapat bertambah, maka ia juga akan menjadi susut. Kerana mengikut kata Umar bin Abdul Aziz, iman itu ada wajib-wajibnya, syarat-syarat, peraturan-peraturan dan sunat-sunatnya, siapa yang menyempurnakannya maka akan sempurnalah imannya dan siapa tidak menyempurnakannya maka tidak sempurnalah imannya.

Rasulullah saw bersabda:
“Iman itu ada 79 cabang yang tertinggi adalah pengakuan bahwa tiada Tuhan selain Allah dan yang terendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan.”
(H.R Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)  

Dengan demikian dapatlah dikatakan bahawa bertambahnya iman seseorang adalah apabila seseorang itu lebih giat beramal. Iman dan amal adalah merupakan satu kesatuan yang bulat yang tak dapat dipisahkan.
Firman Allah swt.:
“(Yaitu) orang-orang (yang menaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan: "Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu karena itu takutlah pada mereka." Maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: "Cukuplah Allah menjadikan Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung."
(Q.S Ali Imran: 173)

Dan firman Allah lagi:
“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: "Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita." Dan memang benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.”
(Q.S Al ahzab: 22)

3 . kepada Tuhan mereka berserah, iaitu mereka serahkan semua urusan mereka kepada Allah semata-mata dan tidak mengharap kepada yang lain. Kerana orang-orang yang yakin kepada janji dan ancaman-ancaman Allah, mereka pasti berserah kepadaNya.

Maka ketiga-tiga sifat yang disebutkan di atas, iaitu hati penuh ketakutan, iman bertambah semasa mendengar bacaan ayat Quran dan berserah kepada Allah adalah amalan hati. Dan dua sifat yang akan disebutkan di bawah ini pula adalah merupakan amalan tubuh badan.

4 . Mereka tetap mengerjakan sembahyang. Iaitu menunaikannya tepat pada waktunya dengan cukup syarat rukunnya termasuk sunat-sunatnya, yang dijiwai pula dengan rasa khusyuk dan tawaduk semasa merayu Tuhannya, memikir dan merenungkan ayat-ayat Quran yang dibacanya. Maka dengan demikian daptlah dirasakan kelazatan dari hasil sembahyang yang mereka kerjakan, sehingga sembahyang itu benar-benar menjadi penahan dan penghalang dari perbuatan keji dan yang mungkar.

5 . Mereka membelanjakan sebahagian dari rezeki yang Allah kurniakan. Seperti berzakat, memberi nafkah yang wajib atau sunat dan sebagainya kepada orang-orang yang ditanggungnya dan orang lain yang berhajat kepada bantuannya, dibelanjakan harta itu semata-mata ke arah mentaati Allah.

Maka orang-orang yang disebutkan sifat-sifatnya tadi ialah orang-orang yang mukmin yang sebenarnya sebagaimana firman Allah dalam ayat 4. Ayat 4 ini merupakan pujian Allah kepada mereka yang berkenaan kerana berjaya mencapai sifat-sifat yang terpuji. Dan di samping itu mereka akan mendapat pula kehormatan dan darjat yang tinggi, keampunan dari kesalahan dan rezeki yang disediakan di syurga, iaitu suatu jaminan Allah kepada mereka di belakang hari sebagaimana firman Allah di akhir ayat 4 ini.

Firman Allah :
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
(Q.S At Taubah: 20)

“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebagian kamu atas sebagian (yang lain) beberapa derajat.”
(Q.S Al An'am: 165)



Al Anfal  Ayat 5

كَما أَخرَجَكَ رَبُّكَ مِن بَيتِكَ بِالحَقِّ وَإِنَّ فَريقًا مِنَ المُؤمِنينَ لَكارِهونَ
Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang).

Sesungguhnya harta rampasan perang itu adalah bagi Allah yang Ia sendiri akan menghukumnya. Dan bagi rasulNya yang akan membahagi-bahagikannya kepada yang berhak menerimanya. Dengan pembahagian yang sama rata, sekalipun sebahagian pihak yang merebutkan harta rampasan perang dengan anggapan merekalah yang berhak itu tidak menyukai akan pembahgian secara demikian.

Ayat ini adalah permulaan kisah yang menceritakan peristiwa Perang Badar yang besar itu sebagai permulaan kemenangan orang-orang mukmin dan kekalahan orang-orang musyrik, di samping menerangkan hukum pembahagian harta rampasan perang yang telah jatuh ke tangan orang-orang Islam.

Adalah diceritakan bahwasanya Abu Sufyan bin Harb telah mengetuai satu kabilah dalam perjalanan pulang dari negeri Syams ke negeri Mekah. Kabilah tersebut terdiri dari 40 orang musyrikin Quraisy, di antaranya ialah Amr bin Al- As dan Mahramah bin naufal az-Zuhri. Mereka membawa dagangan yang amat banyak, iaitu unta-unta yang mengangkut minyak atar dan kain-kain kapas kepunyaan orang-orang Quraisy Mekah yang ditaksirkan berharga kira-kira 50,000 dinar.

Apabila kabilah itu telah memasuki kawasan tanah Hijaz dalam perjalananya ke perkampungan yang berair bernama Badar, Abu Sufyan telah mengutus seorang perisik mendahului kabilahnya dengan tujuan supaya merisik berita-berita sepanjang jalan yang akan mereka lalui. Perisik tersebut mendapat berita dari orang-orang dusun penunggang unta yang ditemuinya mengatakan bahwa Muhammad membawa pasukannya untuk menyekat kabilah Abu Sufyan. 

Berita tersebut segera disampaikannya kepada Abu Sufyan dan mengingatkan tentang bahaya yang akan mengancam mereka. Abu Sufyan lalu mengalihkan perjalanan kabilahnya ke arah tepi pantai untuk mengelakkan dari bahaya, dan mengupah seorang yang bernama Dhomdhom bin Amr al -Ghiffari, supaya meminta bantuan ke Mekah, agar orang-orang Quraisy datang menyelamatkan harta perniagaan yang sedang dibawanya supaya tidak jatuh ke tangan orang-orang Islam.

Sesampainya Dhomdhom di Mekah, ia berteriak-teriak di hadapan Kaabah sambil memotong kedua telinga unta yang ditunggangnya, begitu pula hidungnya, dan dikoyak-koyakkannya bajunya yang di bahagian depan dan belakang sambil berkata:”hai orang-orang Quraisy!Dagangan! Harga dagangan kamu yang dibawa oleh Abu Sufyan sedang disekat oleh Muhammad bersama-sama sahabatnya. Saya tidak fikir kamu dapat menyelamatkannya. Tolong! Tolong!” teriakan ini menjadi seluruh penduduk Mekah gempar dan dalam kecemasan. Mereka segera keluar beramai-ramai untuk mengetahui berita selanjutnya.

Tidak lama kemudian terkumpullah satu pasukan orang-orang Quraisy seramai 1000 orang telah siap dengan alat-alat senjata, untuk keluar menolong Abu Sufyan dan kabilahnya. Semua ketua kaum Quraisy menyahut seruannya, tidak ada yang ketinggalan kecuali Abu Lahab, dia telah mengutus Al-As bin Hisyam menjadi wakilnya dengan upah 4000 dirham yang menyebabkan ia bankrap. Angkatan Quraisy itu pun segera keluar dari Mekah dengan diketuai oleh Abu Jahal.

Sementara itu diceritakan pula Nabi Muhammad mendengar yang Abu Sufyan dengan kabilahnya membawa barang dagangan yang banyak dari Syam kembali ke Mekah. Segelah beliau memanggil orang-orang Islam untuk segera berkumpul dan pergi menyekat kabilah tersebut. Ada setengah orang-orang Islam yang suka hendak pergi dan ada juga setengah yang keberatan,kerana menyangka Rasulullah tidak akan menghadapi peperangan.

Rasulullah saw telah keluar bersama sahabat-sahabat beliau dari Madinah pada 8 haribulan Ramadhan tahun kedua Hijrah. Bilangan mereka sebanyak 313 orang yang terdiri dari 83 orang kaum Muhajirin dan yang lainnya kaum Ansar, iaitu seramai 61 orang dari suku al-Aus dan yang selebihnya dari suku Khazraj.

Setelah Nabi Muhammad saw sampai di sebuah lembah yang bernama Dhafran, dan berhenti di sana, Rasulullah telah mendapat tahu bahwa beliau tidak lagi akan berhadapan dengan rombongan Abu Sufyan sahaja tetapi akan berhadapan dengan kekuatan kaum Quraisy yang besar dari Mekah sendiri yang akan segera tiba untuk memerangi kaum muslimin. Di ketika ini pula turunlah Malaikat Jibril memberitahukan Nabi saw dengan berkata: “sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada tuan salah satu daripada dua pasukan orang-orang Quraisy untuk menjadi kepunyaan tuan, samada kabilah ataupun angkatan bantuannya.”

Rasulullah saw telah mengajak Abu Bakar dan sahabat-sahabatnya membuat musyawwarah. Abu Bakar, Umar dan Al Miqdad bin Amir mencadangkan agar Rasulullah meneruskan dan melaksanakan perintah Allah dan mereka tetap akan berada bersama Rasulullah saw. Al Miqdad bin Amir berkata bahwa mereka sekali-kali tidak akan membiarkan Rasulullah pergi seorang diri sepertimana yang telah dilakukan oleh kaum Bani Israel yang menyuruh Nabi Musa pergi berperang sementara mereka duduk beristi rehat sepertimana yang tersurat di dalam ayat 22 dari Surah Al Maidah yang bermaksud:
“Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)".

Mereka tetap akan berada bersama RAsulullah walaupun Rasulullah membawa mereka sampai ke negeri Yaman sekalipun mereka tetap akan patuh.

Rasulullah saw. merasa gembira mendengar ikrar Miqdad bin Amir lalu beliau telah berdoa untuk Miqdad bin Amir dengan doa yang baik pula. Sesudah itu Rasulullah saw. bersabda: "berilah cadangan yang baik kepadaku!" Perkataan itu ditujukan kepada orang-orang Ansar. Hal ini kerana mereka telah berbaiat kepada Nabi di Aqabah.

Lalu tampillah Saad bin Muadz dan berkata: "Ya Rasulullah! Sebenarnya kami telah melindungi engkau hingga engkau tiba di negeri kami, maka apabila engkau telah sampai kepada kami, engkau telah berada di bawah perlindungan kami. Kami melindungi engkau sebagaimana kami melindungi anak-anak kami dan isteri-isteri kami."

Rasulullah saw. sebenarnya merasa khuatir sekiranya orang-orang Ansar merasa mereka tidak perlu membantunya, terkecuali apabila musuh menyerang ke dalam kota, dan mereka tidak merasa berkewajiban membela Nabi apabila Nabi menyerang. Maka setelah Rasulullah saw. mengatakan demikian, Sa'ad bin Mu'az berkata: "Demi Allah! Rupanya yang engkau maksud ialah kami (para Ansar)." Nabi menjawab: "Ya." Kemudian Sa'ad berkata: "Sebenarnyalah kami telah beriman kepadamu dan telah membenarkan agamamu, serta menyaksikan bahwa apa yang engkau bawa itu telah memberikan perjanjian untuk dipatuhi, maka laksanakanlah apa yang telah diperintahkan Allah. Maka demi Tuhan yang mengutusmu dengan benar, andaikata engkau mengajak kami menyeberang lautan, tentulah kami akan menyeberanginya, tidak ada seorang pun di antara kami yang berkeberatan dan tidak pula yang mengingkari apabila engkau mengajak kami menghadap musuh esok pagi. Sebenarnya kami ini adalah orang-orang yang tabah dalam peperangan serta ikhlas menghadapi musuh. Semoga Allah menampakkan kepadamu apa yang menyenangkan hatimu. Maka pergilah bersama kami di bawah lindungan Allah."

Sesudah itu Rasulullah merasa gembira dengan pendapat Sa'ad dan ketangkasannya menghadapi perang. Kemudian Rasulullah saw. bersabda: "Berangkatlah kamu di bawah lindungan Allah dan bergembiralah bahwa Allah telah menjanjikan kemenangan di antara dua barisan musuh itu, samada menemui kabilah dari Syam ataupun pasukan perang dari Mekah. Demi Allah seolah-olah kami melihat musuh dalam keadaan tersungkur."
(H.R Ibnu Ishak dari Ibnu 'Abbas)


 Al Anfal ayat 6

يُجادِلونَكَ فِي الحَقِّ بَعدَما تَبَيَّنَ كَأَنَّما يُساقونَ إِلَى المَوتِ وَهُم يَنظُرونَ
Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya).

Apabila orang-orang mukmin itu yakin, yang mereka pasti berperang sedangkan mereka tidak begitu suka berperang, lalu mereka pun berkata kepada Nabi Muhammad saw , “Tuan tidak memberitahu kami untuk menemui musuh supaya kami bersiap sediap memerangi mereka. Tuan hanyalah mengajak kami keluar untuk menawan kabilah,” Demikian mereka membantah.

Tetapi bantahan mereka tidak berguna lagi, sesudah kebenaran itu jelas bagi mereka, bahwa Nabi Muhammad saw tidak dapat berbuat sesuatu apa kecuali dengan perintah Allah. Kerana Allah menjanjikan kepada mereka mesti menemui musuh dan menguasai musuh tersebut. Bantahan mereka itu hanyalah menandakan siapa mereka yang pengecut.

Ini terbukti, oleh krana mereka tidak begitu suka dikerahkan untuk berperang, terbayanglah di ruang mata mereka seolah-olahnya mereka sedang dikerahkan untuk mati, memandangkan kekuatan musuh adalah lebih besar dari kekuatan pasukan mereka.





Al Anfal Ayat 7

وَإِذ يَعِدُكُمُ اللَّهُ إِحدَى الطّائِفَتَينِ أَنَّها لَكُم وَتَوَدّونَ أَنَّ غَيرَ ذاتِ الشَّوكَةِ تَكونُ لَكُم وَيُريدُ اللَّهُ أَن يُحِقَّ الحَقَّ بِكَلِماتِهِ وَيَقطَعَ دابِرَ الكافِرينَ
Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya;

Allah mengingatkan orang-orang mukmin itu, tentang dua golongan yang dijanjikanNya :
Pertama - kabilah yang diketuai oleh Abu Sufyan dengan 40 orang yang membawa barang-barang dagangan dan tidak pula bersenjata.
Kedua - angkatan bantuan daripada orang-orang Quraisy Mekah seramai 1000 orang yang diketuai oleh Abu Jahal.

Maka salah satu daripada kedua-dua golongan itu mestilah mereka temui untuk mereka kuasai. Sedangkan mereka lebih suka untuk menguasai kabilah yang membawa dagangan itu, kerana mereka tidak bersenjata yang tentunya mereka tidak bersedia mengadakan perlawanan dengan orang-orang Quraisy Mekah tersebut.

Dalam ayat ini lagi Allah memberitahu bahwa Allah hendak memperlihatkan kepada mereka akan perkara yang hak dan meninggikannya dengan titah yang diperintahkanNya kepada mereka orang-orang mukmin supaya mereka memerangi kaum Quraisy tersebut dan kelak Allah akan memerintahkan para malaikat supaya menolong kaum muslimin berjuang, serta mentakdirkan sebahagian kaum musyrikin itu tertawan dan sebahagiannya yang lain terguling di peperangan Badar itu nanti.

Dan Allah akan memotong (menumpaskan) orang-orang kafir yang tidak mahu beriman itu sampai kepada akar-akarnya. Maksudnya dengan kemenangan yang akan diperolehi dari peperangan Badar ini, akan menyusul pula sehingga kepada penaklukan kota Mekah oleh orang-orang mukmin.




Al Anfal Ayat 8

لِيُحِقَّ الحَقَّ وَيُبطِلَ الباطِلَ وَلَو كَرِهَ المُجرِمونَ
Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.

Kemudian Allah swt. menjelaskan kepada kaum muslimin bahawa kemenangan yang akan mereka perolehi di dalam peperangan Badar itu tiada lain melainkan akan tertegaklah kebenaran (agama Islam) dan lenyaplah kebatilan (syirik). Inilah tujuan utama yang harus dipilih oleh kaum Muslimin pada waktu meengadakan peperangan.

Namun demikian tujuan untuk menegakkan agama Islam dan menghancurkan kemusyrikan itu tidak akan tercapai, kecuali apabila kaum Muslimin dapat mengalahkan bala tentara Quraisy yang datang dari Mekah dengan membawa peralatan perang yang lengkap dengan tujuan menghancurkan kaum Muslimin.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa tujuan untuk menegakkan agama Islam dan menghancurkan kemusyrikan itu pasti terwujud betapa pun sengitnya permusuhan dan kebencian orang-orang musyrikin kepada orang-orang muslimin.




Surah Al Anfal Ayat 9

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِنَ المَلائِكَةِ مُردِفينَ
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Ia perkenankan permohonan kamu (dengan firmanNya): "Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. “

Allah mengingatkan lagi kepada orang-orang mukmin semasa mereka memohon pertolongan dengan berdoa, “wahai Tuhan kami, tolonglah kami mengalahkan musuhMu, wahai Penolong bagi orang-orang yang meminta pertolongan, tolonglah kami,” Iaitu ingatan supaya mereka menumpukan permohonan mereka kepadaNya semasa di dalam kecemasan.

Diriwayatkan dari Ibnu Jarir dan Ibnu Abi Hatim, dari Abdullah bin Abbas ra katanya, :’ Umar ra telah menghkhabarkan kepadaku, katanya, “semasa Nabi saw pada hari Badar, baginda melihat kepada sahabat-sahabatnya yang seramai 313 orang dan melihat kepada orang-orang musyrik yang berjumlah 1000 orang atau lebih, lalu baginda menghadap kiblat seraya menadahkan tangan dan menyeru: “”Wahai Tuhan! Tunaikanlah kepadaku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Tuhan! Sekiranya Engkau membinasakan kumpulan ini (orang-orang mukmin) nescaya Engkau tidak akan disembah di muka bumi.””

Baginda masih juga terus menyeru Tuhannya dengan menadahkan kedua belah tangannya sambil menghadap kiblat hinggakan jatuh serbannya. Lalu datang Abu Bakar mengambil serban itu dan diletakkannya di kedua bahu baginda kemudian Abu Bakar menyertai duduk di belakang baginda dan berkata, “Ya Nabi Allah! Cukuplah tuan merayu Tuhan, sesungguhnya Dia akan tunaikan kepada tuan apa yang dijanjikanNya itu.” Maka Allah menurunkan ayat 9 surah Al Anfal ini.  

Allahu akbar! Sayunya rasa hati… Nabi kita Muhammad saw begitu bersungguh-sungguh merayu dan memohon kepada Allah untuk sebuah pertolongan. Sedangkan kita di dalam berdoa sewaktu kali lepas sembahyang, ada yang kalanya berdoa ala kadar saja.. malah ada yang berdoa ini adalah sebagai rutin setiap kali lepas sembahyang tetapi hakikatnya kita hanya melafazkannya sahaja dan kita tidak tahu apa yang didoakan. Hanya berdoa amibl nama berdoa sahaja. Jahilnya kita dalam menghadap dan memohon pertolongan dari Yang Maha Memberi Pertolongan.  Alangkah ruginya kita….

Berbalik kepada ayat 9 ini…. Maka apabila berlakunya pertempuran pada hari itu antara kaum Quraisy dan orang-orang mukmin, maka Allah pun menurunkan beriring-iringan 1000 malaikat untuk membantu orang-orang Mukmin sehingga merka merasai seolah-olahnya mereka mempunyai lebih dari kekuatan 1000 orang tentera. Timbul keberanian dalam hati orang-orang mukmin tersebut, sebab mereka telah merasa diri mereka lebih banyak,  walaupun malikat itu tidak kelihatan oleh mata. Malaikat telah masuk ke dalam semangat dan roh mereka. Mereka merasa lebih kuat dari lawan mereka yang 1000 orang itu. Riwayat mengatakan bahwa tentera malaikat 1000 orang menyatakan diri dan sampai kelihatan oleh mata, memakai serban hijau dan turutu berperang, sebagaimana ada yang disebutkan di dalam beberapa tafsir itu tidaklah begitu kuat dan ianya termasuk di dalam kisah Israeliyat. Dan kedatangan bantuan malaikat 1000 itu adalah sebagai peneguh semangat sepertimana yang akan dijelaskan di dalam ayat seterusnya.



Al Anfal Ayat 10

وَما جَعَلَهُ اللَّهُ إِلّا بُشرىٰ وَلِتَطمَئِنَّ بِهِ قُلوبُكُم ۚ وَمَا النَّصرُ إِلّا مِن عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزيزٌ حَكيمٌ
Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Allah telah mengirimkan pasukan Malaikat yang berbaris teratur itu sebagai bantuan semangat dari Allah, semangat yang membuatkan mereka merasa kekuatan mereka adalah seperti kekuatan empat orang dalam seorang. Kedatangan para malaikat yang 1000 itu juga adalah untuk membawa berita gembira bahwa orang-orang mukmin itu akan mendapat kemenangan dan supaya hati mereka menjadi tenteram.

Sesungguhnya kemenangan itu datangnya dari Allah. Bukannya dari para malaikat atau dari sesiapa saja yang menjadi sebab memperoleh kemenangan. Kerana Allah lah yang mentakdirkan sesuatu kemengangan dan berkuasa menjadikan kemenangan itu bagi sebab-sebab yang nampak atau pun yang tidak nampak.

Istimewa pula Allah maha Berkuas menjadikan apa yang tidak boleh didapat oleh manusia, seperti mengerahkan para malaikat untuk bergaul dengan orang-orang mukmin yang menyebabkan semangat mereka menjadi teguh, berkobar-kobar untuk berjuang ataupun merasakan ketenteraman dan ketenangan.

“Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,”
Maksudnya Allah tidak boleh dikalahkan lagi Maha bijaksana meletakkan sesuatu pada tempatnya.





 Al Anfal Ayat 11

إِذ يُغَشّيكُمُ النُّعاسَ أَمَنَةً مِنهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيكُم مِنَ السَّماءِ ماءً لِيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذهِبَ عَنكُم رِجزَ الشَّيطانِ وَلِيَربِطَ عَلىٰ قُلوبِكُم وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقدامَ
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan). “

Sesudah itu Allah swt. menjelaskan kepada kaum Muslimin bahawa di samping Allah memberikan bantuan berupa malaikat yang datang secara berturut-turut, Allah juga memberikan bantuan yang lain berupa situasi yang menguntungkan bagi orang-orang mukmin. Pertolongan Allah itu ialah pada saat orang-orang mukmin berada dalam ketakutan menghadapi musuh, mereka diserang oleh rasa mengantuk sehingga mereka tidak dapat merasakan ketakutan lagi. Ketakutan itu ialah kerana mereka melihat jumlah bala tentara musuh yang banyak dan persiapannya yang lengkap. Maka dengan adanya rasa mengantuk itu, hilanglah rasa takut mereka dan kembali mereka menjadi tenteram.

Untuk memberikan gambaran yang lebih luas mengenai rasa mengantuk orang-orang mukmin saat berperang, dapatlah diikuti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ya'la dan Baihaqi dari Ali berkata:
Maksudinya:
“Kami tidaklah mempunyai bala tentara berkuda pada perang Badar kecuali Al-Miqdad. Semua kami tertidur, kecuali Rasulullah saw. beliau salat di bawah sebatang pohon sampai pagi hari.”
(H.R Abu Ya'la dan Baihaki dari Ali)

Menurut hadis ini dapat difahami bahwa datangnya rasa mengantuk itu terjadi pada saat pertempuran berlangsung. Rasa mengantuk itu menghilangkan rasa takut dan gentar. Dan dengan sendirinya hilanglah perasaan takut menghadapi bahaya.

Hal ini sama dengan peristiwa yang terjadi pada mereka sewaktu terjadinya perang Uhud seperti yang tersebut dalam firman Allah:
“Kemudian setelah kamu berduka cita Allah menurunkan kepadamu keamanan (berupa) kantuk yang meliputi segolongan daripada kamu.”
(Q.S Ali Imran: 154)

Sesudah itu Allah swt. menyebutkan pertolongan-Nya yang lain kepada orang-orang mukmin, yaitu pada saat terjadinya perang Badar Allah menurunkan hujan kepada orang-orang mukmin supaya dapat mensucikan diri dengan hujan itu. Untuk mendapat gambaran tentang maksud Allah swt. menurunkan hujan kepada orang-orang mukmin ini , dan apa pula hikmatnya dapatlah diteliti dari hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Munzir melalui Ibnu Jarir dari Ibnu `Abbas:
Maksudnya:
“Orang-orang musyrikin di permulaan peperangan telah menguasai sumber-sumber air mendahului kaum Muslimin, sehingga orang-orang Islam menjadi kehausan. Mereka salat dalam keadaan junub dan berhadas (tanpa bersuci dengan air). Sedangkan di sekitar mereka hanya pasir belaka. Kemudian mereka digoda oleh syaitan, seolah-olah syaitan itu berkata: "Apakah kamu mengira bahwa ada Nabi di antara kamu dan kamu adalah wali-wali Allah. Sedangkan kamu salat dalam keadaan junub dan berhadas?" Kerana itu maka Allah swt. pun menurunkan hujan dari langit, sehingga mengalirlah air di lembah itu. Maka kaum muslimin meminum air dan bersuci dengannya dan kuatlah hati mereka, serta hilanglah was-was mereka.
(H.R Ibnul Munzir dari Ibnu 'Abbas)

Dan Allah juga menjelaskan bahawa Dia menurunkan hujan dari langit untuk menghilangkan gangguan-gangguan syaitan untuk menghilangkan rasa takut dan was-was, lantaran orang-orang mukmin pada waktu itu berada dalam posisi yang kurang menguntungkan. Mereka berada di daerah padang pasir yang tidak baik dijadikan kubu pertahanan kerana sukar untuk menggerakkan kaki apatah lagi untuk mengadakan serangan, bahkan di daerah tersebut tidak ada sumber-sumber air.

Dari sudut lain Allah swt. menjelaskan pula bahwa dengan turunnya hujan maka mudahlah kaki mereka untuk berjalan di atas pasir, sehingga mereka mendapat kemantapan dan kepercayaan penuh agar dapat bertahan dan menyerang musuh serta dapat menguatkan daya tempur mereka.

Dengan demikian tujuan Allah menurunkan hujan dari langit dalam perang Badar itu ialah:
1. Untuk memberikan kemungkinan kepada kaum muslimin supaya mereka dapat bersuci dari junub dan hadas sehingga mereka dapat beribadat dalam keadaan suci zahir dan batin.
2. Untuk menghilangkan was-was bisikan syaitan, dan menghilangkan rasa takut akibat tidak adanya persediaan air.
3. Agar kaum muslimin dapat bebas untuk mengatur gerak dalam pertempuran, kerana mereka tidak lagi terganggu oleh pasir yang kering yang menganggu pergerakan kaki mereka.



 Al Anfal Ayat 12

إِذ يوحي رَبُّكَ إِلَى المَلائِكَةِ أَنّي مَعَكُم فَثَبِّتُوا الَّذينَ آمَنوا ۚ سَأُلقي في قُلوبِ الَّذينَ كَفَرُوا الرُّعبَ فَاضرِبوا فَوقَ الأَعناقِ وَاضرِبوا مِنهُم كُلَّ بَنانٍ
“(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka" "

Dalam ayat ini Allah swt. mewahyukan kepada para malaikat untuk memberikan bantuan kepada kaum mukmin. Malaikat-malaikat diperintahkan Allah swt. agar menyertai kaum mukmin ini untuk memberikan bantuan. Bantuan itu adalah berupa menetapkan hati kaum Mukmin dalam pertempuran. Dan meyakinkan mereka bahawa Allah swt. telah menciptakan ketakutan di dalam hati orang-orang kafir, lantaran mereka melihat jumlah malaikat yang menyertai tentara Islam itu. Dengan demikian kaum Mukmin dapat menguasai pertempuran, mereka dapat maju dengan tangkas dan memenggal kepala-kepala musuh serta dengan mudah pula mereka mematahkan serangan musuh.




Al Anfal Ayat 13

ذٰلِكَ بِأَنَّهُم شاقُّوا اللَّهَ وَرَسولَهُ ۚ وَمَن يُشاقِقِ اللَّهَ وَرَسولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَديدُ العِقابِ
(Perintah) yang demikian ialah kerana sesungguhnya mereka menentang Allah dan RasulNya; dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.”

Adapun orang yang telah terbunuh dan yang tertawan dalam perang Badar itu ialah orang-orang musyrik yang menentang Allah dan rasulNya, sebab mereka memusuhi orang-orang Mukmin dan agama Islam. Siapa yang menentang Allah dan rasulNya maka padahnya ialah menemui maut dan tertawan di medan pertempuran Badar itu. Balasan ini adalah seksaan yang kecil dan ringan jika dibandingkan dengan seksaan Allah yang keras nanti di akhirat.




Al Anfal Ayat 14

ذٰلِكُم فَذوقوهُ وَأَنَّ لِلكافِرينَ عَذابَ النّارِ
Itulah (azab dunia) maka rasalah dia (hai orang-orang kafir). Sesungguhnya orang-orang yang kafir disediakan baginya azab neraka (di akhirat). “

Begitulah rupanya pembunuhan dan penawanan yang telah menimpa mereka, maka rasakanlah lebih dahulu di dunia sebagai satu hukuman yang ringan. Nanti akan ditambah dengan hukuman yang lebih berat di akhirat kelak. Dan sesungguhnya bagi orang-orang kafir itu akan disediakan mereka sebagai seksaan di akhirat.



Al Anfal Ayat 15

يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا إِذا لَقيتُمُ الَّذينَ كَفَروا زَحفًا فَلا تُوَلّوهُمُ الأَدبارَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka.”

Allah swt. menyeru orang-orang beriman bahwa apabila berhadapan dengan orang-orang kafir yang sedang datang menyerang, orang-orang mukmin dilarang membelakangi mereka apalagi lari dari pertempuran.
Orang-orang kafir itu bergerak dari Mekah dengan membawa pasukan yang banyak. Mereka sengaja menemui orang-orang mukmin yang sudah ada di Badar. Mereka sudah mengetahui rencana kaum mukmin ini yang akan menghalang kabilah yang dipimpin Abu Sufyan dengan alasan melindungi dagangan mereka. Mereka bergerak dari Mekah padahal sebenarnya mereka berniat untuk memusnahkan kaum mukmin. Itulah sebabnya Allah swt. melarang kaum Mukmin membelakangi mereka, lebih-lebih melarikan diri dari pertempuran itu, meskipun orang-orang kafir itu membawa bala tentera yang cukup banyak dan peralatan perang yang lengkap.

Yang dimaksudkan dengan membelakangi orang-orang kafir dalam ayat ini ialah melarikan diri dari pertempuran, tanpa alasan yang dibenarkan kerana takut menghadapi musuh. Sedangkan mundur untuk mengatur siasatan dan strategi, itu bukanlah termasuk dalam larangan yang dimaksudkan dalam ayat ini.




Al Anfal Ayat 16

وَمَن يُوَلِّهِم يَومَئِذٍ دُبُرَهُ إِلّا مُتَحَرِّفًا لِقِتالٍ أَو مُتَحَيِّزًا إِلىٰ فِئَةٍ فَقَد باءَ بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ وَمَأواهُ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئسَ المَصيرُ
Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali.

Sesiapa yang untuk melarikan diri semasa berperang, mereka itu akan mendapat kemurkaan dari Allah. Dan tempatnya adalah di neraka jahannam, dan itulah tempat yang seburuk-buruknya.

Namun ayat ini ada juga menjelaskan pengecualian. Sekiranya seseorang itu melarikan diri semasa berperang dengan tujuan untuk mengatur strategi untuk memperdaya musuh, atau untuk mencari tempat yang lebih strategik agar dapat senang mengalahkan musuh, ataupun berundur untuk bergabung dengan pasukan Islam yang lain supaya menjadi lebih kuat untuk kembali berperang, ini semua adalah dibolehkan.

Ayat ini menjadi dalil, bahawa melarikan diri dalam peperangan adalah suatu dosa besar. Nabi Muhammad saw. bersabda.:
Artinya:
Jauhilah olehmu sekalian tujuh perkara yang membinasakan. Mereka bertanya: "Apakah yang tujuh perkara itu ya Rasulullah?" Nabi menjawab: "Menyekutukan Allah, melakukan sihir, membunuh seseorang yang Allah haramkan membunuhnya kecuali ada sebab-sebab yang membolehkan, makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri dari pertempuran (peperangan), dan menuduh berzina wanita mukmin yang baik-baik yang tidak berniat berbuat salah.
(H.R Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)



Al Anfal Ayat 17

فَلَم تَقتُلوهُم وَلٰكِنَّ اللَّهَ قَتَلَهُم ۚ وَما رَمَيتَ إِذ رَمَيتَ وَلٰكِنَّ اللَّهَ رَمىٰ ۚ وَلِيُبلِيَ المُؤمِنينَ مِنهُ بَلاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah swt. memberikan penjelasan mengenai alasan orang-orang mukmin dilarang membelakangi musuh ataupun lari dari medan peperangan. Ini karena kemenangan tidak akan dicapai sekiranya orang-orang mukmin tidak memenggal kepala musuh, melemparkan tombak atau melemparkan kepalan tanah kepada mereka.

Dari kemenangan dan bantuan Allah tersebut dapatlah difahami bahwa setiap kali orang muukmin menancapkan tombak untuk membunuh musuh dan setiap lemparan kepalan tanah dari mereka akan dijamin oleh Allah untuk mengenai sasaran kerana Allahlah yang menjamin dan membantu mereka.
Allah berfirman:
Ertinya:
“Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka, serta melegakan hati orang-orang yang beriman.”
(Q.S At Taubah: 14)

Di samping itu keadaan yang menguntungkan bagi orang-orang mukmin ini ialah keyakinan bahwa perjuangan mereka itu nanti pasti akan menang, dan Allah pasti akan membantu mereka. Sedangkan orang kafir tujuannya hanyalah untuk memperoleh kepuasan hidup di dunia.
Allah berfirman:
“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan (pula) sebagaimana kamu menderitanya sedangkan kamu mengharapkan dari Allah apa yang tidak mereka harapkan.”
(Q.S An nisa': 104)

Firman Allah swt.:
“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah.”
(Q.S Al Baqarah: 249)
Mengenai kepalan tanah yang dilemparkan kepada musuh oleh Nabi, diriwayatkan dalam sebuah hadis oleh Ibnu Abbas:
“Tatkala Nabi Muhamamd saw. memohon bantuan semasa perang Badar Nabi mengucapkan: "Wahai Tuhanku, apabila golongan kaum muslimin ini Engkau binasakan tentu tidak akan ada orang yang menyembah Engkau di muka bumi ini." Kemudian Jibril berkata: "Ambillah sekepal tanah kemudian lemparkanlah ke muka orang-orang kafir Quraisy!" Kemudian Nabi melakukannya sepertimana yang Jibril suruh sehingga tak seorang pun dari orang-orang kafir Quraisy yang tidak dikenai matanya, kedua lubang hidung dan mulutnya oleh lemparan tanah itu kemudian mereka pun lari tunggang-langgang.”
(H.R Ibnu 'Abbas)

Allah swt. menerangkan bahwa segala bantuan yang diberikan kepada orang-orang mukmin di dalam perang Badar itu adalah merupakan alasan yang kuat terhadap larangan Allah kepada orang-orang mukmin, iaitu dilarang lari dari pertempuran. Ianya merupakan anugerah kemenangan yang diberikan Allah kepada orang-orang mukmin, yaitu kemenangan dan harta rampasan yang banyak.

Di akhir ayat Allah swt. menegaskan bahwa Allah Maha Mendengar segala permintaan hamba-Nya yang betul-betul menjalankan perintah-Nya serta menjauhi larangan-Nya lagi Maha Mengetahui akan segala bisikan hati para hamba-Nya dan mengetahui siapakah di antara hamba-Nya yang sepatutnya mendapat kemenangan dan siapa pula yang sepatutnya menderita kekalahan.





Al Anfal Ayat 18

ذٰلِكُم وَأَنَّ اللَّهَ موهِنُ كَيدِ الكافِرينَ
Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.”

Kemudian Allah swt. menegaskan bahwa kurnia Allah yang diberikan kepada orang-orang mukmin itu bertujuan untuk melemahkan tipu daya orang-orang kafir dan melemahkan serangan mereka kepada Nabi serta orang-orang mukmin seluruhnya. Juga untuk membangun perhatian orang-orang mukmin agar tetap berjuang menegakkan agama tauhid serta berbuat baik sesama mereka dalam membela serta menegakkan agama.

Dari ayat ini dapat difahami bahwa Allah swt. selalu melindungi setiap perjuangan orang-orang mukmin dalam menegakkan agama tauhid serta akan melemahkan perjuangan orang-orang musyrikin pada setiap gerak dan langkah mereka yang ditujukan untuk memerangi orang-orang yang menegakkan agama tauhid dan menyebar luaskan agama Islam.


 


Al Anfal Ayat 19

إِن تَستَفتِحوا فَقَد جاءَكُمُ الفَتحُ ۖ وَإِن تَنتَهوا فَهُوَ خَيرٌ لَكُم ۖ وَإِن تَعودوا نَعُد وَلَن تُغنِيَ عَنكُم فِئَتُكُم شَيئًا وَلَو كَثُرَت وَأَنَّ اللَّهَ مَعَ المُؤمِنينَ
Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad, s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.

Setelah Allah menyebutkan tindakanNya, melemah dan menggagalkan tipu daya orang-orang musyrik itu, maka disebutkan Nya pula di sini celaanNya kepada orang-orang musyrik iut. Kerana orang-orang musyrik itu berharap benar agar dapat pertolongan Allah untuk mengalahkan Rasulullah saw.

Dalam hubungan ini, Muhammad bin Ishak telah meriwayatkan daripada Az-Zuhri bahwasanya Abu Jahal telah berkata dalam Perang Badar: “Ya Tuhan! Siapakah di antara kami yang lebih banyak memutuskan tali silaturrahim dan membawa perkara agama yang tidak dikenal, maka tundukkanlah dia di pagi ini.”

Yang demikian itu merupakan istiftah (minta bukakan atau meminta kemenangan) dari Abu Jahal.

Berkata As Suddi, orang-orang musyrik itu apabila keluar dari Mekah menuju Badar, mereka ambil kain-kain kelambu Kaabah seraya memohon pertolongan Allah dengan berkata:Ya Tuhan! Tolonglah salalh satu dari dua yang paling mengatasi askarnya, paling mulia pasukannya dan paling baik suku kaumnya.”

Maka Allah telah menyahut dengan firmanNya di dalam ayat 19 ini yagn bermaksud :
““Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu;...”

Jika kamu minta dimenangkan dengan memberi pertolongan bagi membantu salah satu dari dua pasukan yang paling mengatasi dan paling benar perjalanannya, sesungguhnya telah pun datang kemenangan itu dan berada di pihak yang paling mengatasi dan paling benar perjalanannya.

Tujuan firman ini menyindir kaum musyrikin, kerana sudah jelas bagi mereka bahwa orang-orang mukmin yang menang sedangkan kaum musyrikin telah kalah, maka pasukan orang-orang mukmin itulah yang mengatasi dan paling benar perjalanannya.

Kemudian Allah swt. menyeru orang-orang musyrikin setelah mereka menderita kekalahan dalam perang Badar itu agar berhenti dari memusuhi Muhammad saw. dan pengikut-pengikutnya. Dan sebenarnya itulah yang lebih baik buat mereka. Tawaran itu dikemukakan Allah kepada mereka kerana mereka telah mengalami pahit getirnya peperangan. Dari pengalaman itu mereka telah melihat kenyataan bahawa betapa pun kuatnya dan betapa pun megahnya pasukan yang mereka kerahkan dengan kelengkapan perang yang mereka yang serba cukup dan banyak namun akhirnya mereka mengalami kekalahan juga.

Tetapi apabila mereka itu membangkang seruan ini dan kembali memusuhi serta memerangi Rasul dan pengikut-pengikutnya, maka kenyataan yang mereka alami itu akan terulang kembali, yaitu Allah kembali memberi pertolongan-Nya kepada Rasulullah saw.

Allah swt. menegaskan bahawa angkatan perang kaum musyrikin betapa pun kuatnya, tidak akan dapat menolak bencana malapetaka yang akan ditimpakan oleh Allah kepada mereka. Hal ini menunjukkan bahawa jumlah tentera yang banyak tidak selalu menentukan jalannya peperangan, melainkan jumlah yang banyak itu disertai dengan kekuatan jiwa dan kepercayaan kepada Allah Azza Wa Jalla.

Betapa pun gigihnya Abu Jahal dan pengikut-pengikutnya untuk mengalahkan orang-orang mukmin dalam peperangan Badar, usaha mereka tidak akan berhasil sebagaimana diterangkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai dan Az-Zuhri:
“Wahai Tuhan, siapa di antara kami yang telah memutuskan tali persaudaraan dan membawa sesuatu agama yang tidak dikenal, maka hancurkanlah ia sebelum terbitnya fajar, maka yang demikian itu adalah sebagai permintaan kemenangan daripadanya (untuk Rasulullah).
(H.R Ahmad dan Nasa'i)

As-Suddi berkata:
“Orang-orang musyrikin pada waktu keluar dari kota Mekah menuju Badar, telah memegang tirai Kakbah kemudian mereka memohon kemenangan kepada Allah dan berkata: "Wahai Tuhan, berilah kemenangan kepada pasukan yang paling tinggi (derajatnya) kepada golongan yang paling mulia dan kepada kiblat yang paling baik." Maka turunlah ayat: Jika kamu (orang musyrikin) mencari keputusan.”



Al Anfal Ayat 20
 
يا أَيُّهَا الَّذينَ آمَنوا أَطيعُوا اللَّهَ وَرَسولَهُ وَلا تَوَلَّوا عَنهُ وَأَنتُم تَسمَعونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).

Allah swt. menyeru orang-orang mukmin agar mentaati Allah dan Rasul-Nya. Mentaati Allah dan Rasul-Nya dalam ayat ini ialah melaksanakan jihad berjuang untuk membela agama tauhid dan meninggalkan kampung halaman serta menggunakan harta benda dan jiwa apabila diperlukan, dan melarang orang-orang mukmin berpaling daripada perintah-Nya, sedang pada waktu itu mereka telah mengetahui dan mendengar seruan untuk mentaati perintah-Nya dan membantu perjuangannya.

Maksud mendengar dalam ayat ini ialah memahami seruan Rasul serta membenarkannya. Sebagai seorang mukmin semestinya ia mengatakan pada waktu mendengar seruan Rasul "Sami`naa wa atha`naa" (kami mendengar dan menaati) sebagaimana firman Allah:
“Sesungguhnya jawaban orang-orang mukmin bila mereka dipanggil Allah dan Rasul-Nya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka ialah ucapan "Kami mendengar dan kami patuh". Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Q.S An Nur: 51)

Dan firman Allah lagi:
“Kami tidak membedakan antara seseorang pun (dengan yang lain) dari rasul-rasul-Nya", dan mereka mengatakan: "Kami dengar dan kami taat."
(Q.S Al Baqarah: 285)

Maksud dengan mendengar seruan Rasul dalam ayat ini ialah mentaati semua perintah Allah yang disampaikan kepadanya dengan perantaraan wahyu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.