Monday, June 29, 2015

Surah Al Hijr Ayat 52 Hingga 70

Surah Al Hijr Ayat 52 Hingga 56


“Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". - 52


“Mereka menjawab: "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu".  - 53


“Nabi Ibrahim berkata: "Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?" - 54


“Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa". - 55


“Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat". - 56


Nabi Ibrahim ini sifatnya suka sangat untuk melayan tetamu. Setiap hari akan ada tetamu yang hadir di rumahnya. Dan pada setiap kali itulah Nabi Ibrahim akan menyediakan hidangan untuk tetamu makan. Beliau akan merasa bahagia bila tetamu makan bersama beliau. Dan beliau akan berhiba hati sekiranya pada sesehari itu tidak ada tetamu untuk dibawa makan bersama-sama.


Lalu pada hari itu Nabi Ibrahim didatangi tetamu yang tidak dikenali. Mereka mengucapkan salam kepada Nabi Ibrahim dan isteri beliau. Siti Sarah disuruh oleh Nabi Ibrahim untuk menyediakan makanan. Setengah riwayat menceritakan hidangan itu adalah berupa daging yang lembut dan enak dari seekor anak lembu. Tetapi apabila Siti Sarah menghidangkan juadah tersebut, tetamu yang hadir itu tidak menjamah makanan tersebut. Timbullah firasat lain di dalam diri Nabi Ibrahim. Bulu roma beliau berdiri merasakan sesuatu yang aneh. Nabi Ibrahim merasa risau dan takut. Terdetik di dalam hatinya bahwa tetamu beliau itu bukanlah manusia! Jin kah? atau malaikat?


Tetamu Nabi Ibrahim pun menjelaskan supaya Nabi Ibrahim tidak merasa takut kepada mereka kerana mereka adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menyampaikan berita gembira kepada beliau. Tentang siapakah malaikat itu yang diutuskan oleh Allah, tidaklah kita ketahui samada Jibril ke, Mikail ke, kerana Allah tidak menceritakan di sini. Jadi kita terima saja yang ianya adalah terdiri dari beberapa para malaikat. Berita gembira tersebut adalah bahwa Nabi Ibrahim kelak akan dianugerahkan seorang anak laki-laki. Anak itulah kemudiannya diberi nama Ishak. Iaitu anak yang kedua kerana anak pertama Nabi Ibrahim ialah Ismail bersama hamba beliau Siti Hajar.


Nabi Ibrahim berasa hairan, bagaimana beliau akan mendapat anak sedangkan dia dan isterinya siti Sarah telah sangat tua dan lanjut usia. Memandang kepada keadaannya yang telah tua itu seolah-olahnya beliau menyangkal kebenaran berita gembira yang dibawa oleh malaikat tersebut.


Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada malaikat tersebut untuk meminta kepastian apakah berita gembira yang dibawa itu pasti akan berlaku. Selain faktor usia yang telah sangat lanjut mencecah 100 tahun, isteri beliau Siti Sarah pula adalah mandul pula. Lalu bagaimanakah jalan untuk mereka mendapatkan anak?


Malaikat menjelaskan bahawa mereka bercakap bukan perkara yang main-main. Dan janganlah kiranya Nabi Ibrahim menganggap faktor usia dan kemandulan isterinya itu makan beliau sudah berputus harap terhadap kekuasaan Allah.


Mendengar penjelasan itu, sedarlah Nabi Ibrahim bahwa sebagai seorang rasul Allah beliau telah tersalah bicara. Sesungguhnya bagi Allah adalah tersangat mudah untuk menjadikan dan melakukan sesuatu perkara, lalu mengapa harus beliau berfikiran yang ianya mustahil dan berputus harap terhadap Allah. Orang-orang yang berputus harapan terhadap Allah adalah tergolong di dalam orang-orang yang sesat. Sedangkan beliau adalah rasul Allah lalu tidak sewajarnya beliau berfikiran demikian. Yakin Nabi Ibrahim kali ini bahwa belaiu bakal mendapat zuriat lagi.



Surah Al Hijr Ayat 57 Hingga Ayat 60


“Nabi Ibrahim bertanya pula: "Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?" - 57


“Mereka menjawab: "Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka)". - 58


“"Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, - 59


“"Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)". - 60


Setelah hilangnya rasa takut dan ditambah pula lagi dengan rasa gembira menerima berita yang tak diduga itu, Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada para malaikat, apakah urusan mereka yang sebenarnya selain dari membawa berita gembira keapdanya itu. Pada pendapatnya boleh jadi mereka diutus kerana sesuatu urusan yang lain. Sebab kalau hanya sekadar membawa berita gembira tidaklah begitu mustahak untuk Allah mengirimkan utusan sedemikian ramai, cukuplah kalau dengan seorang utusan saja.


Para malaikat menjelaskan bahwa mereka juga diutuskan oleh Allah untuk membinasakan kaum Sodom iaitu kaum Nabi Lut yang berdosa lagi durjana. Mereka ini telah melakukan satu dosa besar yang terlaknat iaitu melakukan penzinaan antara sesama lelaki yang disebut sebagai homoseksual. Maka semua kaum yang berdosa itu menurut keterangan malaikat kepada Nabi Ibrahim, akan dibinasakan.


Malaikat-malaikat utusan Allah akan membinasakan semua kaum yang berdosa itu kecuali Nabi Lut dan keluarganya, dan pengikut-pengikutnya yang beriman. Di dalam surah Adz-Dzariyat ayat 36 mengatakan bahwa pengikut Nabi Lut tidaklah ramai. Hanya sebuah saja keluarga orang muslim.


Oleh kerana AlQuran benar-benar wahyu yang membawa kebenaran, tidak bercampur dengan kata-kata lain, walaupun dari buah fikiran Nabi Muhammad sendiri, maka kita kerapkali akan bertemu di dalam AlQuran yang mengatakan bahwa isteri Nabi Lut itu termasuk dalam golongan orang yang dibinasakan, yang tidak turut diselamatkan dari azab. Tetapi harus diingat bahwa tidak ada satu pun di dalam ayat AlQuran yang membuka rahsia perempuan tersebut, iaitu isteri Nabi Lut. Apa sebab maka dia turut diazab? Padahal dia adalah isteri seorang rasul. Apakah kesalahannya dengan jelas? Apakah dia berzina? Apakah dia turut melakukan juga di dalam perbuatan keji itu?


Hanya disebut saja di akhir surah At Tahrim ayat 10 bahwa dia mengkhianati suaminya. Apa pengkhianatan itu pun tidak disebut. Maka nyatalah bahwa hukuman seberat itu yang ditimpakan kepada diri isteri Nabi Lut itu nescaya sepadan dengan dosanya. Kita perlu fahami sampai di situ saja. Tak perlulah nak menyungkil secara detail apa yang telah diperbuat olehnya sehingga menyebabkan dia menerima azab sedemikian.


Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".  
(Surah At Tahrim ayat 10)


Surah Al Hijr Ayat 61 Hingga


Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut, - 61


“Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)". - 62


“Mereka menjawab: "(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya.” - 63


“"Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar ". - 64


“"Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya". - 65


Berangkatlah para malaikat menuju ke rumah Nabi Lut pula. Apabila sampai di rumah Nabi Lut, maka Nabi Lut mengenali mereka dan merasa curiga kalau -kalau mereka datang membawa akibat yang buruk. Nabi Lut menegur mereka kerana mereka datang sebagai orang yang tak dikenali ke daerah tersebut dengan perawakan yang muda belia, berbadan segak dan tampan lagi rupawan.


"Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)".
Nabi lut takut sekiranya mereka nanti akan dikerumuni oleh penduduk negeri Sodom yang berahi kepada kaum lelaki dan akan mencabuli mereka. Dengan kata-katanya itu seolah-olahnya Nabi Lut tidak bersedia menerima kedatangan mereka untuk menjadi tetamu, kerana tidak sanggup melindungi mereka jika ada bahaya yang menimpa.


Para malaikat itu mengatakan supaya janganlah Nabi Lut khuatir di atas kedatangan mereka kerana mereka datang itu pun untuk membawa bencana dan kecelakaan kepada kaum Nabi Lut yang berbuat dosa terlaknat. Percayalah! mereka datang membawa tugas yang kebenarannya pasti diyakini, dan tidak ada jalan hendak meragu-ragukannya lagi, kerana mereka adalah orang yang benar mengenai apa yang mereka beritakan kepada Nabi Lut tadi.


Rombongan malaikat itu pun menyuruh Nabi Lut membuat persiapan ntuk menyelamatkan diri dan keluarganya serta para muslimin yang beriman  untuk meninggalkan negeri itu pada akhir waktu tengah malam iaitu pada waktu dinihari menjelang subuh.


Nabi Lut disuruh berjalan di belakang dan pengikutnya berjalan di hadaapn. Ini adalah supaya Nabi Lut dapat memastikan yang tidak seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan itu. Mereka juga dilarang untuk berpaling melihat ke belakang, agar mereka tidak menyaksikan kejadian ngeri, seksa dan azab yang dijatuhkan kepada kaum itu.


Itulah tindakan yang perlu diambil oleh mereka nanti di tengah malam dan Nabi pun telah menyampaikan perintah-perintah itu keapda para keluarganya dan pengikutnya.



Surah Al Hijr Ayat 66 Hingga 70


“Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya.” - 66


“Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira.” - 67


“Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku".  - 68


“"Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". - 69


“Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" - 70  


Nabi Lut mewahyukan kepada Nabi Lut bahwa perkara yang dihukumkan kepada kaumnya itu sudah pun diputuskan dan tidak akan ditarik kembali dan bahwa pada pagi esok semua kaumnya akan dibinasakan, tidak akan ada yang tinggal. Dan tidak akan ada lagi yang hidup.


Itulah rahsia yang telah disampaikan oleh malaikat-malaikat itu apabila sampai di rumah Nabi Lut. Kemudian mereka pun duduk dengan tenang. Apabila penduduk kota Sodom mendengar berita tentang kedatangan belia-belia segak dan tampan yang sedang bertamu di rumah Nabi Lut, mereka pun bersegera menerpa ke rumah beliau dengan perasaan yang sangat gembira. Berduyun-duyun, berkerumun ke rumah Nabi Lut untuk melihat sendiri wajah lelaki kacak yang ada di rumah Nabi Lut. Demikianlah runtuhnya budi dan maruah mereka.


Nabi Lut telah menegaskan kepada kaumnya bahwa lelaki kacak itu adalah tetamunya maka haruslah dihormati dan  janganlah mereka melakukan perkara yang akan memalukan. Janganlah hendaknya tetamu itu diganggu apalagi hendak menceroboh mereka. Hendaklah mereka takut kepada Allah iaitu seksaan yang akan menimpa ke atas mereka sekiranya mereka terus berdegil hendak mencabuli tetamu tersebut. Janganlah hendaknya juga kaum nabi Lut itu memalukan Nabi Lut dengan perbuatan keji mereka.


Kaum Nabi Lut ini bukan saja tidak boleh dilarang dan tidak makan nasihat, malah menyalahkan Nabi Lut pula. Mereka menempelak Nabi Lut dengan mengatakan bahwa bukankah mereka telah melarang Nabi Lut untuk menerima tetamu dari luar?


Dengan pertanyaan demikian, rupanya sudah ada peraturan yang dibuat oleh mereka. Peraturan itu adalah tidak boleh seseorang itu menerima tetamu lelaki dengan senyap-senyap. Kalau ada tetamu lelaki mestilah dilaporkan kepada pemerintah negeri. Sekarang ini Nabi Lut sudah ada tetamu, tetapi tidak dilaporkan tentang mereka keapda pemerintah negeri. Itu adalah suatu kesalahan besar. Maka hukumannya tetamu-tetamunya ini mesti diserahkan  kepada mereka. Dan bagi Nabi Lut sendiri adalah suatu kehinaan besar kalau tetamunya hendak ditangkap di hadapan matanya sendiri. Nabi Lut memujuk mereka lagi.

Saturday, June 27, 2015

Surah Al Hijr Ayat 32 Hingga 50

Surah Al Hijr Ayat 32 Hingga 36


Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?". - 32


“Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya". - 33


“Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.’ - 34


“"Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat". - 35


“Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)".  - 36


Apabila disuruh untuk sujud kepada makhluk yang bergelas manusia, maka malaikat pun mengikut perintah Allah untuk sujud. Semuanya merendah diri kepada manusia yang pertama yang diberi nama Nabi Adam dengan serentak tanpa bantahan.


Kecuali iblis. Dengan jawapan yang terserlah kesombongannya, iblis merasakan yang sujud kepada makhluk yang bernama manusia itu adalah satu penghinaan baginya. Iblis merasa ia mempunyai kelebihan berbanding manusia itu. Pertama, iblis dijadikan daripada api berbanding manusia yang hanya diciptakan dariapda tanah yang berbau. Kedua, iblis dijadikan lebih dahulu daripada manusia. Dan ketiga, menurut hadis-hadis sahih, iblis ini adalah makhluk yang sangat taat pada mulanya. Berjuta-juta tahun ia telah beribadat kepada Allah. Tidak ada sejengkal langit pun yang tidak dijadikannya sebagai tempat sujud keapda Allah.


Tiba-tiba di saat penting ini, dia disuruh untuk sujud kepada makhluk yang hina pada pandangan matanya sendiri. Ini berbeza dengan para malaikat yang terus sujud memberi hormat kerana mentaati perintah Allah. Malaikat tunduk sujud walaupun kedudukan mereka lebih mulia dari manusia dan juga daripada iblis.


Maka timbullah sifat-sifat buruk, ketakaburran, keengganan menjalankan perintah dan kedengkian pada diri yang berasal dari api beracun itu. Dan timbullah murka Allah sepertimana yang difirmankan  di dalam ayat 34. Iblis telah bertukar menjadi makhluk yang terkutuk lantaran ia sombong, angkuh dan enggan menuruti perintah, merasakan dirinya lebih hebat dari makhluk lain. Iblis itu sebenarnya menilai makhluk manusia ini yang asalnya dari tanah saja. Bukannya ia menilai sifat-sifat yang ada pada makhluk manusia itu dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia.


Ok, bukankah perkara begini selalu terjadi di kalangan manusia sesama manusia sendiri? Ini sebenarnya adalah pengaruh dari iblis yang telah masuk ke dalam diri mereka. Ramai manusia yang membanggakan keturunannya dan asal usulnya, lalu sehingga sanggup menghina manusia lain yang tidak stinggi darjat dan keturunan sepertimana ia. Sehinggakan apa-apa saja yang diilhamkan dan usaha yang murni yang dilakukan oleh seseorang itu dipandang hina dan tidak bernilai oleh mereka semata-mata kerana asal keturunan yang rendah.


Dengan firman Allah yang sedemikian di dalam ayt 35 ini, maka sejak waktu itu, Allah telah melaknat makhluk yang bernama iblis. Dan sejak itu pula manusia telah mempunyai musuh yang hebat lagi dilaknat, yang menyebabkan manusia itu wajib berwaspada menghadapinya.


Iblis telah disuruh keluar dari syurga kerana kesombongannya itu. Namun sebelum keluar dari syurga, iblis telah membuat satu permohonan keapda Allah sepertimana ayat 36. Permohonannya ialah supaya diberi tangguh, iaitu janganlah dimatikan sehingga hari kiamat tiba, di mana sekalian makhluk dibangkitkan dari kuburnya. Ini bererti dia ingin hidup terus menerus, kerana apabila dia ditangguhkan hingga hari kiamat kerana pada hari kiamat tidak seorang pun akan mati pada hari itu. Dengan demikian dia akan terus menerus tidak mati selamanya. Itulah sebabnya ia meminta tangguh sampai datangnya hari kiamat.


Surah Al hijr Ayat 37 Hingga Ayat


“Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.” - 37


“"Hingga ke hari - masa yang termaklum".  - 38


‘Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, “ - 39


“"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". - 40


Allah menjawab dengan mengatakan, bahwa permintaan iblis untuk tidak dimatikan sehingga ke hari kiamat itu perlulah ada batasannya. Iblis hanya diberi masa sehingga waktu yang termaklum saja. Selepas itu iblis juga harus dimatikan sepertimana makhluk-makhluk yang lain.


Adapun waktu yang termaklum itu ialah waktu di mana sekalian makhluk dimatikan semuanya oleh Allah. Iaitu ketika serunai sangkakala ditiupkan pada kali yang pertama. Dan iblis tidak akan ditangguhkan sampai kepada waktu di mana serunai sangkakala kedua ditiupkan. Ini kerana pada masa tiupan kedua itu semua makhluk akan dibangkitkan semula dan tidak ada siapa lagi yang akan mati setelah saat itu.


Allah memperkenan rayuan iblis meminta tangguh bukanlah satu penghormatan kepadanya. Tetapi penangguhan yang diberikan itu adalah untuk menambah bala kepadanya dan kesengsaraan serta seksaan yang berpanjangan kepadanya.


Pada ayat 39 ini iblis telah bertekad. Disebabkan Allah telah mentakdirkan ia sesat, maka sebagai balasan dia pula akan menyesatkan anak cucu Adam dengan memujuk mereka untuk memandang baik segala perbuatan maksiat  dan mendorong mereka dengan segala tipu muslihat agar mereka menjauhi segala perintah dan suruhan Allah. Kemudian iblis juga bertekad bahawa segala usaha untuk menyesatkan anak cucu Adam ini pasti akan berhasil dan berjaya kecuali terhadap hamba-hamba yang tulus di dalam mentaati perintah Allah , tulus daalam bertauhid dan beribadat kepada Allah, serta mereka yang mendapat taufik dan hidayat dari Allah. Mereka ini tidak akan dapat digoda oleh iblis dan tidak ada daya iblis untuk berbuat demikian keapda mereka.



Surah Al Hijr Ayat 41 Hingga 43


“Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.” - 41


“"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). ‘ - 42


“"Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).’  43


“"Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)". - 44


Allah mengatakan kepada iblis bahwa inilah jalan yang lurus yang akan kembali kepadaKu. Maka tiap-tiap seorang akan Aku beri pembalasan mengenai amalannya, jika baik dibalas dengan baik, dan jika jahat dibalas dengan jahat. Maksudnya Allah nak kata bahwa sesiapa pun jua, makhluk apa pun jua, tak kira manusia iblis atau malaikat, semuanya akan kembali kepada Allah, semuanya akan menemui Allah akhirnya. Jadi tiada gunalah sikap sombong yang ditunjukkan oleh iblis selama ini yang ingin melepaskan diri dan tidak mahu dimatikan untuk dikembalikan kepada Allah.


Dan dengan tegas dan sombong juga Allah berkata kepada iblis lagi bahwa mana-mana hamba yang sejati mentaati Allah, tidak akan dapat senang-senang dipengaruhi oleh iblis. Ini kerana mereka telah memilih jalan yang benar iaitu jalan Allah. Dan mereka tidak memilih jalan yang lain yang akan menyesatkan mereka mengikuti Iblis.


Ada juga di kalangan hamba itu yang berlengah, terlalai dalam perjalanan. Ia merasa bingung dan keliru untuk membelok ke kiri atau pun ke kanan. Lalu inilah kesempatan untuk iblis itu merayu dan memujuk mereka supaya mereka kehilangan pertimbangan lalu mereka pun mengikuti rayuan iblis. Ditinggalkannyalah jalan yang lurus itu. Menyeleweng ke jalan yang salah dan sesat lagi gelap. Hamba-hamba yang beginilah yang dapat iblis tarik.


Tetapi sekiranya hamba yang melencong dan menyeleweng itu tadi telah sedar kembali sebelum terlambat, lalu dia kembali ke jalan yang lurus semula iaitu jalan yang benar lagi cerah, dan iblis itu ditinggalkannya, maka hamba itu masih tetap akan diterima taubatnya oleh Allah. Kecewalah iblis dengan orang yang mahu kembali ke jalan yang lurus. Tetapi sekiranya hamba-hamba ini tidak sedar masih terus menerus mengikuti jalan yang sesat yang tidak tentu penghujungnya, maka celakalah hamba ini. Mereka ini akan ditermpatkan di dalam tempat yang paling teruk sebagai pembalasan ke atas kederhakaan mereka. Iaitu neraka.


Demikianlah dibayangkan perjuangan yang harus dihadapi oleh manusia di dalam hidup mereka. Seawal dari lahir ke dunia, manusia sudah mula diingatkan bahwasanya di mana-mana saja sudah ada musuh yang menunggu, iaitu iblis. Dan memang begitulah keseronokan dalam hidup dan kehebatan dalam berjuang menjalani kehidupan. Kemenangan di dalam perjuangan itulah yang akan meninggikan nilai kehidupan seseorang. Dan nilai jugalah yang akan ditempuh selepas kehidupan di dunia, iaitu samada pulang kepada Allah dengan gembira iaitu Jannatun Naim ataupun ke lubuk penyesalan yang tidak berkesudahan iaitu neraka jahanam.


Allah memberitahu bahwa neraka itu memiliki tujuh pintu. Maksudnya setiap pintu dari pintu-pintu neraka itu telah ditetapkan bagi golongan-golongan pengikut iblis yang akan memasukinya. (semoga Allah melindungi kita semua dari memasukinya. Amin!) Tiap-tiap golongan itu masuk dan kekal tinggal di dalamnya sesuai dengan amal perbuatan mereka.


Sebuah hadis ada menyebutkan bahwa :
“Dan telah meriwayatkan Ibnu Mandawaihi dan Al Khathib dalam tarikhnya, dari Ans, : Berkata Rasulullah saw tentang firman Allah , “dari tiap-tiap pintu bagi mereka, ada bahagian yang tertentu itu. Satu bahgian buat yang menyekutukan Allah, satu bhagian untuk yang ragu-ragu keapda Allah, dan satu bahagian lagi tempat orangyang lalai dari Allah.”


 


Surah Al Hijr Ayat 45 Hingga 50


"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. ". - 45


“(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman".  - 46


“Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.” - 47


“Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.” - 48


“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).” - 49


“Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).’ - 50


Sekarang ini diterangkan pula tentang orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Mereka itu adalah orang yang bertakwa, yang yakin dan takut menderhakai Allah, takut kepada seksaanNya, patuh kepada suruhanNya, perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam syurga yang terdapat di dalamnya pancutan-pancutan mata air yang indah, untuk kesenangan merka bersama-sama dengan bidadari yang dikhaskan berkhidmat untuk mereka.


Kelak akan dikatakan kepada mereka, masuklah kamu ke dalam syurga dengan sejahtera. Iaitu selamat sejahtera, lagi aman sentosa dari kematian dan malapetaka. Kata-kata tersebut samada datang dari Allah atau setengah para malaikat, sebagai tanda penghormatan kepada mereka.


Di dalam syurga nanti, di dalam diri setiap penghuni syurga itu, Allah telah siap-siap membuang segala bentuk perasaan yang tidak baik umpamanya dengki, hasad, benci dan permusuhan dari dalam hati mereka. Inilah nikmat syurga yang paling penting sekali untuk diperhatikan. Dan inilah puncak segala nikmat. Memang ada syurga yang indah, dengan mengalir sungai-sungai yang jernih di bawahnya, tetapi lebih daripada itu semua adalah hilangnya rasa dengki di dalam syurga nanti.


Adanya syurga tetapi kalau tidak dibuang rasa dengki, dendam kesumat dan permusuhan yang ada di dalam diri, syurga pun akan boleh bertukar menjadi neraka. Bahkan salah satu sebab yang menjadikan kita hidup di dunia ini kerap kali merasa sukar dan seperti di dalam neraka adalah kerana sifat-sifat inilah. Di dalam perlumbaan hidup mencari kesenangan dan kedudukan, mencari kekayaan, lebih-lebih lagi di zaman ekonomi yang sedang tenat sekarang ini, cita-cita dan kemahuan hawa nafsu menjadi pengaruh besar dalam hidup kita. Kita sering didorong oleh perasaan tamak dan mementingkan kesenangan diri sendiri. Bukan tidak ada di dalam jiwa kita sesuatu yang baik seperti amal soleh, hidup berbakti dan tolong menolong dengan ikhlas. Tetapi hakikatnya tidak semua orang menyenangi kejayaan yang kita perolehi.


Di samping usaha kita hendak naik, pasti ada orang yang akan menarik kita ke bawah. Di samping kejayaan yang telah kita capai, pasti ada orang yang sakit hati. Dan itu sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa kita. Ada kalanya kita yakin yang kita telah berbuat baik, namun perasaan benci orang kepada kita masih ada. Bagaimana carapun untuk kita memujuk hati kita supaya bersabar, tetapi perasaan benci yang hadir di dalam hati kita pasti tetap ada.


Jadi di dalam ayat ini, Allah nak terangkan bahwa perasaan benci, dendam dan permusuhan inilah yang dicabut dari dalam dada apabila nanti manusia itu dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada lagi perasaan tidak baik di dlaam setiap ahli syurga. Dulu-dulu kita ada membenci seseorang semasa kita di dunia. Ditakdirkan kita telah masuk syurga juga akhirnya. Dan orang yang kita benci itu pun masuk syurga juga. Dan kita bertemu dengan dia di dalam syurga. Di kala itu, kita tidak akan lagi merasa benci atau marah padanya. Perasaan itu sudah hilang. Sudah dicabut oleh Allah. Yang ada cuma perasaan berkasih sayang sesama ahli syurga. Maka duduk-duduklah sesama kita ahli syurga, di tilam empuk di dalam mahligai yang serba indah, bersenda gurau merasakan nikmat Ilahi. Allahu rabbi!


Penghuni syurga juga tidak akan merasakan lesu, penat atapun letih. Bahkan mereka sentiasa sihat, cantik, segar dan cerdas. Mereka dijamin oleh Allah akan hidup di dalam syurga berkeadaan kekal, sempurna dan berjaya tidak kecewa.


Di dalam ayat 49 ini , kata hamba digunakan untuk menunjukkan bahwa ianya ditujukan kepada semua umat manusia. Tak kira mukmin ataupun kafir.  Allah menyuruh RasulNya supaya memberitahukan kepada seluruh hamba-hambaNya itu bahawa Allah akan mengampunkan dosa mereka sekiranya mereka mahu bertaubat kepada Allah dan kembali kepada kebenaran dengan tidak akan membukakan keburukan dosa mereka pada hari kiamat. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak akan menyeksa hambaNya yang sudah pun bertaubat.


Dan beritahukanlah kepada mereka juga bahwa Allah akan pasti menyeksa mereka sekiranya mereka terus derhaka dan berbuat maksiat. Dan seksa Allah adalah tersangat pedih.

Surah Al Hijr Ayat 22 Hingga Ayat 31

Surah Al Hijr Ayat 22

Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya.” - 22

Allah meniupkan angin yang menyebabkan awan dan pohon-pohon menjadi bunting. Caranya ialah dengan menggerakkan awan yang terdiri dari wap yang mengandungi air diterbangkan angin untuk naik ke udara yang lama kelamaan akan berkumpullah wap air itu menjadi banyak dan berat. Lalu turun sebagai hujan.

Dan pepohon pula, mayang dari bunga jantan pada pohon kurma ditiup angin, habuknya terbang lalu jatuh ke atas mayang dari bunga betina, maka jadilah seolah-olah pohon itu telah bunting, dan kemudian akan berputik dan berbuah. Proses pengadunan pendebungaan berlaku dengan tiupan angin. Ini bererti bertiupnya angin membawa faedah dan kebaikan. Dan ada kalanya juga mendatangkan kerosakan dan bencana.

Allah menurunkan hujan dari langit untuk memberi minuman kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan supaya mereka dapat hidup selama tempoh yang ditetapkan, sesuai dengan firman Allah di dalam surah Al Anbiya ayat 30 yang bermaksud:
“dan Kami jadikan daripada air segala sesuatu yang hidup.”

Jadi maksudnya di sini ialah bukanlah tugas dan kudhrat manusia untuk menyediakan air. Allah lah yang turunkan untuk manusia dan hamba-hambaNya yang lain. Kerana Allah Maha Berkuasa dan semuanya tunduk di bawah pemerintahNya. Kalau Allah mahu, Allah boleh biarkan saja bumi ini tanpa air, kering kontang. Dan juga kalau Allah mahu, Allah juga boleh menurunkan hujan setiap hari setiap masa tanpa henti. Jadi Allah berkuasa menjadikan air, menyimpannya sebagai awan, dan menurunkan air itu dari langit. Bukannya manusia yang yang berkuasa menjadikannya.


Surah Al Hijr Ayat 23 Hingga 25

“Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.” - 23

“Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.”  24

“Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya; sesungguhnya Ia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.” - 25

Allah menjelaskan bahwa Allah lah yang berkuasa menghidupkan orang yang sudah mati jika Dia berkendak. Dan Allah juga berkuasa mematikan orang yang masih hidup jika Dia berkehendak. Allah jugalah yang mewarisi bumi ini dengan segala isinya, lalu dimatikan semua penduduk bumi, sehingga tidak ada algi yang tinggal hidup kecuali Allah. Kemudian mereka semua akan dibangkitkan dari kubur untuk diadakan perkiraan. Masing-masing nanti akan mendapati balasan amalannya, samada baik mahupun jahat.

Sesungguhnya Allah mengetahui umat-umat yang terdahulu yang telah lama mati dan Allah juga tahu apa yang sudah mereka lakukan. Semuanya itu dapat dihitungNya. Allah juga tahu siapa-siapa umat yang masih hidup dan bakal lahir di kemudian hari. Semua amalan mereka diketahui satu persatu tidak ada yang Allah tidak tahu. Tidaklah menjadi sukar bagi Allah untuk menghidupkan, membuat perkiraan dan membalas amalan mereka pada hari kiamat nanti.

Pada hari kiamat Allah swt akan bangkitkan dari kubur semua orang-orang yang terdahulu, dan orang-orang yang kemudian baik yang taat mahupun yang derhaka. Semua. Masing-masing akan diberikan pembalasan yang setimpal dengan apa yang dikerjakan semasa hayat mereka hidup di dunia. Sesungguhnya Allah bijaksana dalam segala perbuatanNya lagi Maha Tahu kerana amat luas pengetahuan dan kelimpahanNya.



Surah Al Hijr Ayat 26 Hingga 30

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”- 26

“Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”- 27

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. ‘ - 28

“"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” - 29

“(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, “ - 30

“Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.” - 31
Allah menyatakan tentang kejadian manusia pertama yang diciptakanNya. Mengikut pendapat kebanyakan mufassirin, manusia pertama itu ialah Nabi Adam as. Dari tanah hitam yang berubah baunya lalu diambil lalu dijadikan tanah kering, dari sanalah asal sekali dari kejadian manusia pertama. Dari tanah yang telah berubah baunya itu, entah asalnya menjadi lumut atau danau, lalu dari sana diciptakan hidup. Entah melalu peringkat atau proses beberapa masa, Tuhan saja yang Maha Tahu. Yang pastinya dinyatakan di sini ialah asal kita manusia ini adalah dari tanah. Dan tanah itulah akhirnya yang diberi nyawa oleh Allah.

Manusia telah cuba untuk membuat penyeledikan sendiri dengan ilmu pengetahuan yang ada tentang asal usul kejadian manusia. Dengan ilmu pengetahuan yang sangat terhad itu, maka terciptalah satu teori yang cukup aneh yang dinamakan teori Darwin, yang mendakwa bahawa manusia ini sama kejadiannya dan berasal dari binatang yang berunsur seperti monyet atau kera. Tetapi Darwin tidak dapat memastikan bagaimanakah pertemuan atau percantuman manusia  dengan monyet itu. Itulah yang disebut sebagai ‘rantai yang hilang’.

Yang menerangkan dengan jelas dan yakin asal kejadian manusia hanyalah daripada AlQuran. Iaitu dari tanah hitam yang berubah bau dan menjadi tanah kering. Sebab itu maka teori Darwin diragui banyak pihak. Dan apa yang diterangkan di dalam Alquran sebaliknya ada yang menerima dan ada juga yang tidak menolak. Ianya menjadi penyeledikan yang berterusan oleh para saintis masa kini.

Namun kepercayaan yang diajar oleh agama kita harus kita terima dengan mutlak. Allah telah terang-terang menjelaskan tanpa kita perlu selidiki lagi. Allah kata manusia berasal dari tanah. Jadi kita harus terima. Sesenang itu Allah mengajar kita. Tetapi kalau kita masih lagi ragu-ragu dan merasa hendak mengadakan penyelidikan tentang ini, silakan!
  
Dalam ayat 27 pula disebut tentang jin. Jin adalah makhluk halus yang tetap ada namun tetap tidak dapat dilihat. Jin itu dijadikan terlebih dahulu daripada manusia. Di sini diterangkan bahwa kejadian jin ini adalah daripada api, iaitu api beracun. Apakah api beracun itu? Apakah ianya sama seperti api belerang? Kita tidak tahu dan kita tidak akan tahu perinciannya kerana Allah tidak bagitahu kita tentang hal ini dengan lebih lanjut. Maka kita harus terima apa yang Allah bagitahu kita saja di dalam ayat ini iaitu jin itu dijadikan dairpada api. Tak perlulah kita nak selidik dan membuat kajian sepertimana kita membuat kajian tentang asal kejadian manusia yang telah menghasilkan teori yang mengarut seperti teori Darwin itu. Hendak membuat kajian tentang manusia saja kita sudah tidak punya cukup ilmu pengetahuan inikan pula nak buat kajian tentang asal kejadian jin!

Dari ayat 28 sehingga 31 ini dipertemukanlah di antara tiga makhluk Allah. Makhluk yang bernama manusia yang terjadi dari tanah, makhluk iblis, yang berasal seperti jin, terjadi dari api beracun dan juga makluk malaikat. Dalam hal perkara ghaib, iblis dan malaikat mempunyai ciri yang sama iaitu tidak dapat dilihat oleh manusia. Tetapi asal kejadian mereka tidaklah sama. Iblis daripada api beracun manakala malaikat adalah dari cahaya atau disebut Nur.

Tubuh manusia ini dijadikan dari tanah kering dari tanah hitam yang berbau, dan di dalam tubuh ini Allah meniupkan Roh. Roh ini adalah kepunyaan Allah. Maka dapatlah kita fahami bahwa roh kita ini adalah kepunyaan Tuhan. Sebab kita ini kepunyaan Tuhan, maka setelah Allah menjadikan manusia itu, semua makhluk ghaib itu disuruh sujud kepada manusia untuk memberi hormat. Malaikat yang terjadi dari nur cahaya, semuanya sujud. Tetapi iblis yang terjadi dari api beracun yang tidak mahu sujud.

Surah Al Hijr Ayat 1 Hingga Ayat 21

Surah Al Hijr Ayat 1

"Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab (yang lengkap sempurna) dan Al-Quran yang memberi penjelasan. "

Sudah banyak kali kita jumpa dan kita bahaskan ayat-ayat muqattaah ini. Ayat muqattaah ini adalah ayat yang tidak berdaya untuk difahami oleh manusia yang hanya Allah saja yang mengetahui maksudnya. Bagi manusia ianya hanyalah tiga huruf di dalam tulisan Arab. Alif, Lam dan Ra. Akan tetapi sudah tentulah ianya mempunyai makna yang besar tersembunyi di sebalik tiga huruf tersebut. Tetapi sekiranya Allah tidak memberitahu, makanya manalah manusia mampu untuk mengetahuinya dengan sendiri. Inilah buktinya bahwa manusia itu mempunyai keterbatasan ilmu.

Di dalam ayat ini juga Allah menyebutkan tentang ayat-ayat Al Quran yang termaktub di dalam kitab.  Apa erti maktub? maknanya tertulis. Ayat yang dicatit. Dan ayat-ayat itu adalah ayt-ayat Al Quranul mubin. Adapun Quran itu adalah ayat-ayat yang dibaca. Quran adalah asal dari perkataan Qara’an, iaitu ertinya membaca. Jadi Al Quran itu merupakan kitab yang dibaca. Allah swt menyebutkan tentang Quran di sini dengan dua sebutan iaitu kitab dan Quran. Kitab maknanya tulisan dan Quran maknanya bacaan. Ianya adalah menyentuh tentang dua wasilah mencari ilmu iaitu membaca dan menulis. Firman pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi saw ialah "Iqra' " yang bermkasud bacalah. Untuk kita faham, kita harus membaca. Maka Allah swt menjadikan Quran yang namanya AlQuran sebagai satu sentuhan kepada wasilah untuk mendapatkan ilmu adalah melalui bacaaan. Dan Al Quran itu adalah kitab ilmu yang perlu untuk dibaca dan dikaji.

Yang kedua adalah kata nama kitab. Asal mulanya adalah dari perkataan 'kataba' iaitu maksudnya menulis. Dan kitab adalah juga sebagai wasilah untuk kita mendapatkan ilmu dengan cara menulis. Apa yang kita dapat, kita faham, akan kita tulis, supaya ianya menjadi kekal sepertimana AlQuran yang diturunkan oleh Allah swt, ditulis supaya ianya tidak bercanggah dan berlainan dan kekal sama dahulu kini dan akan datang. Tidak berubah. Dari ayat ini kita fahami bahwa, untuk mendapatkan ilmu adalah dengan dua cara ini. Iaitu dengan membaca dan menulis.

"...Al-Quran yang memberi penjelasan."
maksud ayat ini adalah AlQuran itu adalah kitab yang dipenuhi dengan penjelasan. Dan penjelasan yang ada di dalam AlQuran adalah penjelasan yang benar dan jelas. Tidak ada keragu-raguan. Allah ingin menyampaikan mesej kepada hambaNya bahwa semua yang termaktub dan yang ada di dalam AlQuran itu adalah semuanya perkara yang benar. Allah memulakan surah Al Hijr ini dengan memberitahukan bahawa AlQuran itu membawa mesej yang benar belaka. Ini supaya bilamana nanti disampaikan penjelasan-penjelasan, manusia sudah sedia terlekat di fikirannya bahwa semua mesej itu adalah benar. Mindset mereka sudah sedia memahami bahwa kitab AlQuran ini adlah benar. Maka bilamana mereka membacanya, mereka akan membenarkan apa saja isi kandungan di dalam AlQuran walaupun mereka tidak tahu.

Apa maksud ‘walaupun mereka tidak tahu? Umpamanya,  orang-orang yang hidup di zaman Nabi saw tidak akan tahu akan adanya kaum Thamud iaitu kaum Nabi Salih dan Nabi Hud yang engkar akan perintah Allah itu, yang hidup beratus tahun malah mungkin beribu tahun sebelum zaman mereka. Macam mana mereka tahu tentang kaum Thamud? Macam mana mereka boleh percaya tentang kewujudan kaum Thamud tersebut? Sedangkan mereka tidak hidup sezaman dengan kaum tersebut?  Sepertimana yang telah ditekankan, bahwa kitab Al Quran adalah sebuah kitab yang benar. Jadi apa yang telah dibaca dan diterangkan di dalamnya semuanya adalah benar walaupun mereka tidak tahu, walaupun mereka tidak sezaman dan walaupun mereka tidak dapat membuktikan kewujudan kaum tersebut. Tapi kitab ini adalah benar. Maka mereka semua tahu bahwa ianya benar dan apa yang terkandung di dalamnya juga pasti benar. Jadi cerita tentang kaum Thamud, iaitu kaum Nabi Salih dan Nabi Hud yang derhaka ini telah diterangkan di dalam kitab AlQuran.

Cerita-cerita sejarah yang ditulis oleh manusia, kebanyakannya akan ada perbezaan tulisan sesama penulis. Kajian yang mereka buat adalah berbeza. Dan mereka sendiri tidak pasti apakah benar tulisan mereka itu kerana mereka pun tidak hidup di zaman itu. Apa yang mereka tulis adalah berdasarkan kajian dan apa yang mereka tahu saja. Dan semua itu adalah terbatas. Berbeza dengan Al Quran yang semua apa yang terkandung di dalamnya adalah seratus peratus betul dan menyakinkan kerana ianya diturunkan sendiri oleh Allah swt melalui wahyu kepada Nabi saw.

   


Surah Al Hijr Ayat 2

Seringkali orang-orang kafir itu ingin kalau mereka menjadi orang-orang muslimin.”
Allah mengkhabarkan bahwa orang-orang kafir di akhirat nanti akan menyesal di atas kekufuran mereka, lalu mereka berharap kalau-kalau mereka dapat kembali ke dunia, mereka ingin menjadi orang Islam. Akan tetapi harapan mereka itu adalah sia-sia belaka.

Berbeza dengan ayat pertama tadi, ayat ini menceritakan tentang keadaan di masa hadapan. Di mana manusia di zaman ini juga tidak akan tahu apa yang akan jadi di masa hadapan kerana ianya belum lagi berlaku. Tetapi macam mana kita sebagai orang Islam ini telah yakin dan percaya bahawa ianya akan berlaku? ini adalah kerana ianya telah disebut di dalam kitab Al Quran dan kita pula wajib yakin dan percaya apa saja yang disebutkan di dalam AlQuran. Kerana ianya adalah sebahagian dari rukun iman.

Berbalik kepada tafsir ayat, ayat ini bercerita tentang hari kiamat nanti, bilamana Allah swt menjadi hakim kepada seluruh hambaNya dan menentukan siapa ahli syurga dan siapa ahli neraka. Di dalam neraka itu terdapat orang kafir dan juga orang-orang Islam yang berdosa dan dihukum di dalam neraka terlebih dahulu. Ini adalah satu hukuman yang ditentukan oleh Allah. Tetapi orang-orang Islam yang berdosa ini tidak akan kekal di dalam neraka selama-lamanya sepertimana orang-orang kafir. Setelah menjalani hukuman di dalam neraka, orang-orang Islam yang berdosa ini akhirnya akan dikeluarkan juga dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Banyak cerita berkenaan dengan orang Islam yang dimasukkan ke dalam neraka yang disampaikan oleh Nabi saw. Di antaranya ialah orang yang terakhir sekali yang masuk syurga. Orang itu adalah orang Islam yang di dalam hatinya ada sekelumit atau sebesar zarah keyakinan bahwa Allah itu ada tetapi tidak melakukan tanggungjawab sebagai orang Islam dan selalu melakukan maksiat dan dosa. Orang ini adalah yang terakhir sekali yang keluar dari neraka untuk dimasukkan ke dalam syurga dengan keadaan kulitnya yang hangus terbakar. Orang ini kata Rasulullah saw, akan dimandikan di dalam sungai yang bernama Nahlul Haya iaitu sungai kehidupan. Ini adlaah untuk mengembalikan dan memulihkan kulitnya yang hangus terbakar semasa di neraka. Setelah dimandikan, orang itu akan memuji Allah dengan lafaz Alhamdulillah kerana telah menyelamatkan ia dari neraka. Ini nikmat dan syukur kepada Allah kerana telah terselamat dari api neraka. Belum masuk syurga lagi. Baru lepas dari neraka sudah nikmat.

Allah bertanya kepada orang itu 'apakah ada lagi yang engkau nak dari aku?' jawab orang itu,"aku tak mahu apa-apa lagi. engkau dah keluarkan aku dari neraka pun sudah cukup. Aku tidak mahu mintak apa-apa lagi. "

Dari tempat dia berada, dia ternampak tidak jauh dari situ sebuah pokok yang rendang. Orang itu pun berkata kepada Allah, 'Ya Allah, aku nak pergi ke tempat itu untuk minum air di sana,' kata Allah, 'tadi bila aku tanya, kau jawab sudah tidak mahu apa-apa lagi,". Orang itu berkata lagi, "aku hanya mahu ke sana untuk minum saja."

Lalu didekatkan orang itu kepada pohon yang dimaksudkan. Sesudah minum air di pohon itu, orang itu telah terlihat akan sebuah tempat yang cantik. Dia pun meminta kepada Allah lagi untuk pergi ke situ. Allah pun berkata, 'tadi engkau kata sudah tidak mahu meminta apa-apa lagi." lalu orang itu berkata yang dia hanya mahu melihat-lihat saja tempat itu. …… Manusia ini, lumrahnya sentiasa tidak akan cukup dengan apa yang sudah diberikan. Sentiasa mahu meminta lagi dan lagi. Dan di sini juga menunjukkan sifat maha pemurahnya Allah terhadap hamba-hambaNya yang manja terhadap Allah swt. Lalu diberikan Allah kepada orang itu untuk pergi ke tempat yang cantik itu.

Setelah sampai di tempat itu di mana ianya telah hampir ke pintu syurga. Bermakna orang itu telah berada di luar kawasan pintu syurga. Orang itu telah melihat taman-taman syurga yang indah dari sebalik luar pintu syurga. Lalu ia berkata kepada Allah, "ya Allah, aku mahu pergi ke pintu syurga untuk melihat-lihat saja. bukan mahu masuk ke dalam syurga tetapi hanya di pintu saja."

Allah swt bertanya kepada orang itu, adakah kamu mahu masuk ke dalam itu? kata orang itu, ya aku mahu. Lalu Allah pun berkata kepada orang itu, "aku berikan kepada engkau syurga sebesar 10 kali ganda bumi yang engkau diami." Mendengar kata-kata Allah, orang itu terkejut. Kata orang itu kepada Allah, "adakah engkau bergurau kepada aku sementara aku ini orang yang paling teruk, last one keluar dari neraka dan engkau nak beri aku syurga besarnya 10 kali ganda dari bumi ini?"

Nabi saw ketika menceritakan hal ini, baginda tersenyum ketawa kecil dengan telatah orang terakhir ini. Dan sememangnya itulah yang diberikan oleh Allah kepada orang yang last one terakhir sekali yang keluar dari neraka untuk masuk syurga. Syurga sebesar 10 kali ganda bumi. Subhanallah!

Macam mana pula dengan orang yang first one pertama sekali masuk syurga? atau mungkin kut dengan orang yang selalu berada di saf yang pertama sembahyang berjamaah bersama RAsulullah? Saf yang kedua? Tak pernah terlintas di dalam hati, tak dapat nak dibayangkan dengan fikiran, tidak dapat dilihat oleh mata yang memandang bagaimana nikmatnya syurga yang diberikan kepada mereka. Allah!

Terdapat juga orang Islam yang masuk neraka oleh kerana dosanya semasa di dunia. Orang Islam ini telah ditegur oleh orang kafir yang juga berada di dalam neraka dengan berkata, ' kamu ini orang Islam tetapi masih juga kena masuk neraka? apa guna kamu masuk Islam dahulu kalau kamu kena juga masuk neraka sekarang?" setelah mendengar kata-kata orang kafir itu tadi Allah telah murka lalu Allah telah mengambil orang Islam tadi keluar dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Setelah melihatkan itu, barulah orang kafir tersedar, dan berkata, "alangkah baiknya kalau aku pun jadi orang Islam, walaupun setelah berbuat mungkar, kena masuk neraka, tetapi akhirnya aku akan dimasukkan juga ke dalam syurga." Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asyari r.a.

Fahamilah kita semua bahwa orang-orang kafir nanti di hari kiamat akan menyesal apabila melihat Allah mengeluarkan orang-orang islam yang berdosa di dalam neraka itu keluar dan dimasukkan ke dalam syurga. Penyesalan mereka adalah penyesalan yang tiada berguna. Allah mengumpamakan penyesalan mereka adalah penyesalan yang tersangat besar sehingga mereka menggigit jari-jari dan tangan-tangan mereka kerana penuh penyesalan. Dan memang itulah yang akan dilakukan oleh orang-orang kafir di dalam neraka nanti.



Surah Al Hijr Ayat 3

Biarkanlah mereka makan dan bersuka-sukaan dan berangan-angan sesuka hati mereka, nanti mereka akan tahu.”

Ada 3 perkara yang disebutkan di dalam ayat ini. Iaitu makan, bersuka-suka dan ditipu oleh angan-angan.
Allah menyuruh RasulNya saw supaya membiarkan orang-orang kafir musyrik itu leka dengan makanan dan bersuka-suka memuaskan nafsu syahwatnya di dunia dan biarkan mereka juga asyik dengan berangan-angan kosong dan mengharapkan perkara-perkara yang bukan-bukan sehingga mereka tenggelam dalam lautan impian mereka sendiri.

Allah menceritakan tentang makan dan kesukaan yang dinikmati di atas muka bumi ini. Di dalam perihal makan, bagi mereka yang kufur kepada Allah atau mereka yang makan hanya sekadar kerana lapar, atau kerana bermegah-megahan didalam kepelbagaian aneka juadah makan. Orang yang seperti ini adalah diumpamakan seperti binatang ternak. Mereka tidak mengingati tentang siapakah yang memberi rezeki makan itu, siapakah yang  menciptakan makanan yang lazat itu, siapakah yang memberikan 'taste' citarasa kepada makanan tersebut, siapakah yang menciptkan tumbuh-tumbuhan dan siapakah yang menciptakan kenyang. Di dalam Al Quran Allah memberikan perumpamaan kepada orang-orang yang tidak berfikir akan hal-hal ini, sebagai binatang ternak. ini adalah kerana binatang ternak juga makan dan ia hanya makan dan tidak berfikir tentang perihal makan tadi. Persamaan dengan binatang ternak itu adalah bermaksud Allah menghina kepada orang yang tidak memikirkan tentang siapa yang memberi makan.


Orang yang beriman kepada Allah swt, mereka makan bukan hanya kerana lapar;. Mereka makan bukan hanya sekadar untuk menikmati kepelbagaian rasa di dalam makanan. Allah telah berfirman di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:" wahai hambaKu, kamu semua lapar. Aku yang bagi makan. Minta makan kepada Aku kerana Aku yang akan bagi kamu makan."

Bukankah kita hari-hari lapar? Maksud hadis ini ialah bukannya kita disuruh meminta terus kepada Allah setiap kali kita lapar dan hendak makan,  maka makanan itu akan turun dari langit. Tidak.  Ianya adalah supaya kita berfikir dan menginsafi bahwa makan dan makanan itu adalah satu nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita. Oleh itu setiap kali kita makan kita mulakan dengan ucapan basmallah. Ucaplah dengan penuh pengertian bukan sekadar ucapan di mulut saja. Ianya supaya kita mengetahui dan mensyukuri bahwa makan dan makanan itu adalah suatu nikmat dari Allah swt. Ada juga orang yang tidak diberikan nikmat makan oleh Allah. Siapa? Orang yang sakit tak lalu makan. Orang yang tak sakit tapi tidak ada selera untuk makan pun ada. Setiap kali ia menjamah makanan ia tidak boleh merasa kelazatan makanan tersebut dan terasa bagai ia mengunyah pasir. Jadi wajib bersyukur bila Allah telah memberikan kita nikmat makan.

".... bersuka-sukaan dan berangan-angan sesuka hati mereka,..."
Allah juga menyuruh membiarkan mereka bersuka-suka. Biarkan mereka enjoy dengan kenikmatan dunia. Dengan untanya, dengan kudanya, dengan rumah besarnya... kalau di zaman sekarang biarkan mereka enjoy dengan sahamnya, rumah banglo penthouse nya, kereta besarnya, private jetnya, gedung mall besarnya, pangkat dan wangnya, dengan apa saja kenikmatan dunia. Biarkan, kata Allah.

Dan biarkan mereka ditipu oleh angan-angan mereka sendiri. Dengan duit yang banyak, dengan pangkat yang tinggi dan harta bertimbunan, mereka menyangka yang semua itu akan dapat ditukar dan membantu mereka semasa di akhirat kelak. Ketahuilah bahwasanya semuanya ini adalah dunia semata-mata dan semua itu tidak sedikitpun akan dapat membawa keuntungan kepada mereka apabila berada di negeri akhirat nanti.

Hidup di dunia, ada perhitungannya. Dari mana mendapat harta, dengan cara apa mendapat harta, ke mana dihabiskan. Semuanya ada perhitungan. Iaitu audit kunci kira-kira. Begitulah juga di akhirat nanti. Semuanya dihitung juga. Tetapi di akhirat akan dihitung dengan lebih detail terperinci. Di dunia tidak dihitung apa yang ada di hati. Tetapi di akhirat, ia mengambil kira apakah niat sebenar yang tersembunyi di dalam dada manusia. Tidak ada yang dapat manusia sembunyikan dari Allah melainkan semuanya telah Allah ketahui.



Surah Al Hijr Ayat 4 Dan 5

Dan tiadalah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan ada baginya tempoh yang tertentu dan termaklum. “ (4)

“Sesuatu umat itu tidak dapat mendahului tempohnya yang telah ditentukan, dan mereka juga tidak dapat mengundurkannya.” (5)

Apa saja yang berlaku di atas muka bumi adalah tidak keluar dari ketentuan Allah swt. Sebelum menciptakan semua makhluk, Allah terlebih dahulu menciptakan Al Qalam. Iaitu pena untuk mencatit. Jangan kita tanya, bagaimana rupa bentuk pena tersebut kerana ianya bukanlah sepertimana yang kita bayangkan. cuma kita mengetahui tentang fungsi pena tersebut. iaitu mencatat. Selebihnya ia adalah urusan Allah.

Imam Syafie, semasa remaja, dia tidak ada duit untuk beli pena jadi dia gunakan arang untuk mencatit ilmu yang dia hafal. Di mana dia tulis? Bukan di kertas. Tetapi dia tulis pada tulang-tulang makanan yang dibuang, dia kutip semua untuk dia tulis dan disimpan di dalam bilik tidurnya. Sehingga sampai satu ketika, biliknya penuh dengan tulang-tulang yang ditulis ilmu-ilmu yang dia pelajari sehingga tiada tempat untuk dia berbaring. Hari ini kita di zaman ini, beli pen sampai dua tiga pen dalam satu minggu kerana pen hari-hari hilang. Beli buku sampai dua tiga kali kerana hilang tak tahu mane letak. Paling-paling lupa bawak. Manja tak manjanya orang-orang di zaman ini. Terlalu manja sehingga banyak mengabaikan kemudahan yang sedia ada.   

Allah memerintahkan pena yang Allah ciptakan itu untuk mencatit segala yang berlaku dan yang ada di alam ini. Semua yang ada dan apa yang akan berlaku di dunia ini, semuanya telah dicatit dengan terperinci oleh Allah, sebelum dunia ini dicipta lagi. Sebelum penghuninya wujud. Sebelum kejadian nabi Adam lagi. Termasuklah kita di zaman sekarang. Termasuklah kita yang sedang belajar tentang tafsir ayat ini. Dan juga termasuk apa yang akan kita lakukan selepas ini nanti, segalanya sudah dicatit. Semuanya sudah tercatit dan disimpan di luh mahfuz. Kita tak tahu apa yang dicatit jadi kita sekarang ini menjalani hidup mengikut apa yang telah dicatitkan.

Ini bukan bermakna kita pasrah dengan apa yang telah dicatitkan untuk kita kerana kita tidak tahu. Tetapi supaya kita berinteraksi dengan semua kejadian yang ada di zaman kita sekarang adalah perkara yang sudah dicatit. Jadi tidak perlu kita risau dengan apa yang berlaku di sekeliling kita, iaitu tentang kezaliman yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Umpamanya fitnah yang berlaku di tanah Al Jazeera Arab, kriris ISIS, pembunuhan budak sekolah yang baru-baru ini yang berlaku di Pakistan, ataupun apa saja yang berlaku di atas muka bumi ini. Ini semua sudah ada dicatit. Fitnah ini mempunyai batasan waktu tertentu. Ia tidak akan kekal selama-lamanya seperti itu. Itulah yang perlu dijadikan keyakinan di dalam diri kita.

Sepertimana yang disebutkan oleh Allah di dalam ayat 4 dan 5 ini, tidak akan berlaku azab ke atas sesuatu umat atau tempat itu kecuali Allah dah tentukan ia akan berlaku. Umat itu tidak akan didahulukan daripada ketentuan Allah dan juga tidak akan dilewatkan. Bilamana tiba waktunya maka ia akan tiba juga. Dan tak seorang pun yang dapat mengelak daripada ketentuan Allah swt. Di sinilah letaknya iman kita kepada Allah swt terhadap qadak dan qadarNya. Baik dan juga buruknya. Tak seorang pun dapat mengelak kerana semuanya telah termaktub sebelum kita diciptakan oleh Allah swt.

Pada ayat-ayat ini Allah swt ingin menyentuh supaya manusia tidak bersifat tergesa-gesa. Allah swt ingin menekankan supaya manusia benar-benar beriman  kepada qadak dan qadarnya Allah swt. Tidak tergesa-gesa, pasrah kepada Allah dan serahkan semuanya kepada Allah swt.

Ayat ini juga berkait dengan beberapa cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah saw daripada kaum Musyrikin. Kaum Musyrikin ini meminta kepada Rasulullah saw supaya menyuruh Allah menurunkan azab kepada mereka sekiranya betul benar apa yang Rasulullah sampaikan selama ini. Mereka mencabar supaya Allah terus timpakan azab kepada mereka kalau betul Allah itu wujud. Allah berifirman di dalam ayat ini, yang tidak akan sesuatu tempat itu dihancurkan kecuali apabila sudah tiba ketentuannya. Kalau belum tiba ketentuannya, sejauh mana mereka minta, tetap tidak akan diturunkan azab oleh Allah. Tetapi ini bukan bermakna bahwa mereka selamat daripada azab. Dan bukan juga bermakna bahwa Nabi saw tidak mampu untuk memintak kepada Allah untuk diturunkan azab. Tidak. Tetapi ketentuannya belum tiba. Ini juga bukan bermakna, kalau azab itu tiba, bukan bermakna azab itu telah dipercepatkan oleh Allah kepada mereka. Ini juga tidak. Azab itu tiba adalah kerana ketentuan untuk diturunkan azab sudah tiba.       

Ini memberi pengajaran kepada kita bahwa tak seorang pun dariapda manusia, nabi, rasul, mahupun malaikat yang mampu untuk mengawal akan kehendak Allah swt. Mereka semuanya tunduk dan patuh kepada ketentuan Allah swt. Oleh itu apa-apa saja yang terjadi di atas mukabumi ini semuanya adalah dengan ketentuan dan kehendak Allah.



Surah Al Hijr Ayat 6

Dan mereka yang ingkar berkata (kepada Nabi Muhammad): "Wahai orang yang kepadanya diturunkan Al-Quran, sesungguhnya engkau adalah orang gila".

Ini adalah tohmahan kaum musyrikin kepada Rasulullah saw. Berapa tohmahan yang dilemparkan oleh mereka kepada Rasulullah? Ada yang mengatakan Rasulullah sebagai orang gila, tukang sihir, tukang bomoh, pendusta. Walaupun mereka tahu bahawa Rasulullah saw adalah seorang manusia yang paling jujur tetapi bagaimana mereka boleh mengatakan bahwa Rasulullah seorang pendusta? Sehingga di ketika itu Rasulullah diberi gelaran Al Amin oleh mereka. Tetapi setelah Rasulullah mengatakan bahwa baginda adalah Rasulullah pembawa amanat Allah, barulah mereka mengatakan 'celaka kamu ya Muhammad.' dan terus mengatakan bahwa Rasulullah itu pendusta.

Dari sini dapat kita fahami bahwa didalam seseorang itu memperjuangkan kebenaran, jangan impikan, jangan berkhayal bahwa ia akan selamat daripada tohmahan dan fitnah orang. Jangan mengimpikan bahwa sekiranya kita berada di dalam keadaan benar, maka tidak ada sesiapa yang kacau. Jangan berangan-angan sekiranya kita memperjuangkan kebenaran, kita tidak akan diganggu. Nakkan semuanya berjalan lancar tanpa ada halangan. Kalau orang mempertahankan kebenaran tanpa ada halangan tanpa ada cabaran, tanpa ada makian, tanpa ada cacian, maka yang berhak dapat itu semua adalah tak lain dari Rasulullah saw. Sehingga ke hari ini pun masih ada lagi tohmahan dan fitnah yang mempertikaikan tentang ajaran yang dibawa oleh Rasulullah.

Dalam mempertahankan kebenaran, kita harus istiqamah dan bersabar dengan semua gangguan dan tohmahan yang diberikan kepada kita. Tohmahan, cacian dan makian itu akan sentiasa ada. Nak pakai tudung, orang tohmah kalau pakai tudung, perangai tak elok, tidak guna juga. Kalau pergi ke majlis ilmu, orang akan tohmah, pergi dengan kuliah pun kalau tak amal apa yang dibelajar, tak guna juga. Kalau kita merasa malu dengan apa yang kita pertahankan selama ini iaitu kebenaran hanya kerana kita mendengar apa yang orang maki dan cakap kepada kita, ini bermakna kita tak strong dalam memperjuangkan kebenaran. Rasulullah saw lagi dikatakan gila oleh kaum musyrikin dan RAsulullah saw biarkan saja. Tidak membalas apa-apa pun tohmahan dari mereka. Nak cakap, cakaplah. Nak tohmah, tohmahlah semahu mereka. Kerana Rasulullah tahu apa yang baginda bawa itu adalah satu kebenaran.

Yang membela Rasulullah saw terhadap tohmahan itu adalah Allah swt. Ketika dikatakan RAsullah saw gila, Allah telah menjawab di dalam firmanNya bahwa Rasulullah bukan gila. Ketika ditohmah Rasulullah sebagai tukang sihir, Allah yang menafikan. Ketika ditohmah Rasulullah sebagai pendusta, Allah juga yang menafikannya.



Surah Al Hijr Ayat 7 Dan 8

Sepatutnya engkau membawakan malaikat kepada kami (untuk menjadi saksi tentang kerasulanmu), jika betul engkau dari orang-orang yang benar!" (7)

Tiadalah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat, dan pada ketika itu mereka (yang ingkar) tidak akan diberi tempoh lagi.” (8)

Setelah mereka tidak berjaya untuk membuktikan bahawa RAsulullah itu gila, lalu mereka pun beralih kepada muslihat lain pula. Mereka menyuruh pula Rasulullah untuk datangkan malaikat kepada mereka, sekiranya benar RAsulullah itu benar. Ini helah yang dilakukan oleh kaum musyrikin Quraisy.

Hati bilamana saja sudah keras, apa saja kebenaran yang ada di hadapan mata, mereka tidak akan mahu terima. Dalam peringkat apa saja. Individu ataupun masyarakat. Kalau hati mereka sudah ditutup dari menerima kebenaran, walaupun kebenaran itu nampak jelas terang di depan mata, mereka tetap tidak akan nampak.   

Permintaan kaum musyrikin supaya Rasulullah saw menurunkan malaikat itu dijwab oleh Allah dengan firmannya di dalam ayat 8 yang mengatakan bahwa kalau malaikat turun untuk menjadi saksi dan bukti, ia akan turun. Tetapi turunnya malaikat bukanlah untuk menjadi saksi dan bukti tetapi sebaliknya untuk membawa azab. Dan azab itu kelak akan dilemparkan kepada kaum musyrikin.

Berapa banyak ayat di dalam Al Quran yang mengisahkan turunnya malaikat ke bumi adalah untuk membawa azab kepada kaum tertentu. Malaikat turun bertamu di tempat nabi Ibrahim, dihidangkan oleh Nabi Ibrahim makanan tetapi malaikat itu tidak menjamahnya. Sehingga Nabi Ibrahim menjadi risau. Nabi Ibrahim tak tahu kalau tetamunya itu adalah malaikat. Setelah diberitahukan kepada Nabi Ibrahim bahwa mereka adalah malaikat, Nabi Ibrahim bertanya apa tujuan mereka datang ke sini. Mereka menjawab yang mereka nak ke tempat nabi Lut untuk diberikan hukuman berbentuk azab. Nabi Ibrahim memberitahu malaikat bahwa disitu masih terdapat orang saleh iaitu Nabi Lut. Lalu kata malaikat itu lagi, yang mereka akan menyelamatkan Nabi Lut dan orang-orang yang beriman, dan selepas itu orang lain yang tidak beriman akan diazab.

Kenapa malaikat turun untuk mengazab kaum Nabi Lut? Kerana kaum Nabi Lut telah melakukan satu dosa terkeji yang mengjijikkan iaitu homoseks. Di zaman kita sekarang ini pun, perkara jijik itu semakin diiktiraf dan diperjuangkan untuk mendapat kebebasan. Maka kalau bala itu turun, ianya tidak akan turun hanya kepada mereka saja. Ia akan kena pada semua orang.

Sesungguhnya zaman kita sekarang ini adalah zaman banyak orang memperjuangkan kemungkaran. Sementara kebenaran yang memang benar, adalah sangat sedikit orang memperjuangkannya. Disebabkan apa?  Cinta dunia. Takut mati. Takut miskin. Fikir-fikirkanlah.


Surah Al Hijr Ayat 9

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Yang menurunkan AlQuran adalah Allah swt. Yang menjaganya juga adalah Allah swt. Menjaga lafaznya, barisnya, maksud ayatnya, menjaga orang-orangnya, menjaga keseluruhannya. Penjagaan Allah terhadap AlQuran ini akan berkekalan selama-lamanya walaupun terdapat ramai yang berusaha untuk memalsukan AlQuran, mengubah makna AlQuran, menghilangkan sebahagian dari ayat AlQuran, tetapi itu semua tidak sedikitpun akan meruntuhkan benteng penjagaan Allah terhadap AlQuran.  
Namun akan tiba satu masa bilamana AlQuran akan diangkat oleh Allah swt. Akan ada suatu zaman di mana AlQuran itu hanyalah wujud sebagai tulisannya saja. Maksudnya terdapat ramainya orang yang mengabaikan AlQuran. Baik dari segi orang yang tidak memahami akan isi kandungan AlQuran mahupun orang yang tidak memahami langsung akan apa yang dibaca di dalam AlQuran.

Di zaman kita sekarang ini pun sudah ada orang yang hanya tahu membaca AlQuran sahaja. tetapi tidak tahu makna dan maksud yang disampaikan di dalam AlQuran. Ada juga yang tahu baca, tahu maksud AlQuran tetapi tidak menghayati, tidak mengamalkan apa yang dibaca. Dijadikan AlQuran itu sebagai bahan bacaan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran pahala sahaja tetapi tidak dijadikan sebagai panduan hidup di atas muka bumi ini.

Kitab Al Quran itu dijadikan dan diturunkan oleh Allah bukan sekadar untuk dibaca sahaja tetapi juga untuk dijadikan panduan dalam menjalani hidup dan sebagai landasan untuk orang-orang yang beriman. Bilamana AlQuran hanya menjadi kitab bacaan sahaja,  dijadikan untuk mendapat ganjaran satu huruf 10 pahala sahaja, maka fokus orang kepada pembacaan AlQuran itu hanyalah untuk pahala saja. Dan mereka tidak akan memberikan perhatian kepada penghayatan ayat-ayat Alquran.

Maka sebab itulah Rasulullah pernah berkata bahawa akan wujud suatu zaman di mana AlQuran tidak wujud kecuali tulisan-tulisannya sahaja. Dan kelak selepas itu AlQuran akan diangkat oleh Allah swt dan penghafaz AlQuran juga akan dimatikan oleh Allah swt sehingga tak seorang pun di atas muka bumi ini yang hafal Alquran ataupun yang baca Quran. Tulisannya tak ada, orangnya pun tak ada. Maka di saat itulah akan turunnya hari kiamat.    

Maka kita sebagai orang yang beriman kepada Allah, kita juga kenalah memelihara Alquran. Macam mana untuk memelihara Al Quran? Bacalah AlQuran. Hayati, insafi dan jadikan Alquran sebagai imam. Bukankah nanti kalau kita akan ditanya di dlam kubur nanti dengan soalan, 'apakah imam kamu?' Kita akan jawab imam kita adalah AlQuran. Kenapa AlQuran dijadikan imam? Sebab imam adalah sesuatu atau seseorang yang dijadikan imam itu adalah untuk diikuti. Alquran dijadikan imam juga untuk diikuti. Diikuti panduannya, ajarannya, hukumnya dan apa saja yang termaktub di dalam AlQuran.

Mulakanlah untuk menginsafi AlQuran dengan membaca dan memahami maknanya. Kemudian jadikan setiap ayat di dalam AlQuran itu mereflek kepada diri kita sendiri. Tanya pada diri kita, di manakah kedudukan kita di dalam ayat-ayat tersebut yang kita baca. Jangan menganggap ayat-ayat yang ada di dalam Quran itu adalah ditujukan kepada para sahabat Rasulullah ataupun pada orang di zaman Rasulullah sahaja. Reflek kepada diri kita sendiri di manakah kedudukan kita. Perbaiki diri sekiranya bila mendapati diri kita tidak memenuhi seperti apa yang diterangkan di dalam AlQuran.    





Surah Al Hijr ayat 10 - 15

"Dan demi sesungguhnya! Kami telah utuskan Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), dalam kalangan kaum-kaum yang telah lalu. - 10

"Dan tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya. "  - 11

"(Sebagaimana hati kaum-kaum yang telah lalu dimasuki perasaan mempersendakan Rasul-rasul) demikianlah pula Kami masukkan perasaan yang seperti itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa (yang menentangmu). - 12

"Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya). - 13

"Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada): - 14

"Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata: "Hanya mata kami telah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan (oleh Muhammad)". - 15


Ayat ini adalah merupakan salah satu cara Allah menghiburkan hati Rasulullah saw bilamana beliau sedih, susah hati, tertekan dengan sikap dan perbuatan bangsa arab ketika itu yang memusuhi nabi saw. Setiap nabi yang diutuskan oleh Allah swt, pasti akan menghadapi cabaran sebegini. Dan cabaran yang paling utama sekali ialah cabaran dalam bentuk pendustaan iaitu tidak diterima dan tidak diakui ajaran yang dibawa oleh nabi tersebut. Ini adalah realiti kepada setiap nabi yang diutus oleh Allah swt.

Dalam ayat 10 ini Allah telah memberitahukan bahwa terdapat rasul-rasul yang sebelum Nabi Muhammad saw telah diutuskan oleh Allah swt. Siapakah mereka itu?

Bilamana kita melihat sejarah kemanusiaan yang diciptakan oleh Allah swt, kekufuran itu mula terjadi di zaman Nabi Nuh as. Allah swt memberitahukan bahwa umat manusia ini pertama kali dicipta adalah semuanya untuk bertauhidkan Allah. Semuanya untuk menyembah Allah. Dan tidak ada yang menyekutukan Allah.  Lalu setelah berlakunya kekufuran, Allah menghantarkan para nabi sebagai 'mubasyirin' dan 'wamunzirin'. Mubasyirin adalah untuk menyampaikan berita gembira dari Allah swt. Apa berita gembira itu? ialah kenikmatan dan syurga yang akan diberikan kepada orang-orang yang beriman kepada Allah.

Manakala 'wamunzirin' adalah tugas dari Allah kepada rasulnya untuk memberi peringatan kepada manusia seluruhnya. Peringatan tentang apa? Kalau mereka terus menerus kufur dan tidak mahu beriman, mereka diingatkan tentang azab yang pedih yang akan mereka terima akibat dari kekufuran dan kedegilan mereka. Kalau kamu kufur, hukuman kamu berat. Kalau kamu degil, Allah sediakan azab. Kalau kamu beriman, Allah sediakan nikmat. Kalau kamu bertuhankan Allah, Allah sedikan syurga. Inilah tugas nabi. Memberi berita gembira, supaya mereka beriman. Memberi peringatan supaya mereka takut kepada Allah swt.

Ayat ini dengan jelasnya memberitahukan bahwa manusia ini ketika mula-mula diciptakan oleh Allah swt, semuanya menyembah Allah. Dan tak ada yang menyekutukan Allah. Ini bermakna Allah menciptakan manusia semuanya untuk beriman kepada Allah dan tidak seorang pun diciptakan untuk kafir kepada Allah.

Benih keimanan itu ada dan terdapat pada setiap bayi yang dilahirkan secara fitrah. Apa makna fitrah? bersih, suci, beriman dan bertauhid kepada Allah swt. Jadi maksudnya setiap bayi yang lahir ke dunia daripada dahulu sehingga sekarang ini, saat ini, dan di masa-masa akan datang, semuanya lahir dengan fitrah. Iaitu beriman kepada Allah. Akan tetapi kedua ibu bapa bayi tersebutlah yang menjadikan bayi itu beragama yahudi, nasrani ataupun majusi.

Manusia yang diciptakan oleh Allah dan turun ke muka bumi adalah Nabi Adam as. Seorang yang beriman bahkan beliau juga adalah seorang nabi dan rasul. Yang kedua adalah Siti Hawa yang juga beriman kepada Allah. Kalau begitu dapatlah difahami bahwa orang yang pertama yang menjadi penghuni bumi ini, yang menjadi khalifah di bumi ini adalah orang yang beriman.

Lalu Nabi Adam dan Siti Hawa pun berkeluarga dan mempunyai keturunan. Dan keturunan mereka berkembang sehingga sekarang ini di mana penduduk bumi telah berjumlah berbilion orang kalau hendak dikira jumlahnya daripada mula-mula dahulu sehinggalah sekarang.

Sekiranya keturunan Nabi Adam ini dari dahulu sehinggalah sekarang adalah kekal beriman, maka tidak perlulah Allah mengutuskan nabi atau rasul kepada mereka kerana mereka sudah pun beriman.  Kerana tugas nabi adalah untuk mengajak mereka beriman kepada Allah.  Akan tetapi apabila munculnya kekufuran di antara mereka, maka Allah mengutuskan nabi dan rasul kepada mereka. Ini bermakna kekufuran itu adalah suatu benda yang baru. Kekufuran ini  muncul setelah mereka beriman.
Kekufuran pertama bermula ketika di zaman nabi Nuh. Disebabkan mereka kufur lalu Allah swt telah mengutuskan Nabi Nuh kepada mereka. Dengan tujuan untuk mengajak mereka kembali kepada Allah swt dan memperbaharui ajaran yang dibawa oleh Nabi Adam as.  Nabi Nuh telah berdakwah selama 900 tahun akan tetapi hanya 70 orang saja di antara mereka yang beriman. Lalu Nabi Nuh telah berdoa kepada Allah supaya membinasakan semua mereka yang kufur dan tinggalkan hanya yang beriman sahaja di muka bumi. Doa Nabi Nuh itu telah dimakbulkan Allah lalu Allah menurunkan hujan yang mengakibatkan banjir besar melanda. Tidak seorang pun manusia yang kufur dapat bertahan. Semuanya mati ditelan banjir besar. Kecuali mereka yang beriman yang berada di dalam bahtera yang telah dibina oleh Nabi Nuh.

Doa Nabi Nuh itu telah dimakbulkan Allah lalu Allah menurunkan hujan yang mengakibatkan banjir besar melanda. Tidak seorang pun manusia yang kufur dapat bertahan. Semuanya mati ditelan banjir besar. Semuanya hancur. Tak tinggal seorang pun daripada mereka yang kufur itu tadi. Semuanya telah Allah lenyapkan dari bumi. Kecuali mereka yang beriman yang berada di dalam bahtera yang telah dibina oleh Nabi Nuh yang berjumlah lebih kurang 70 orang tadi. Inilah generasi kedua permulaan sejarah kemanusiaan.  

Keturunan yang mula dari Nabi Adam sehingga Nabi Nuh, semua mereka yang kufur kepada Allah telah Allah binasakan. Allah hancurkan. Kecuali mereka yang beriman saja yang tinggal. Subhanallah! Hanya lebih kurang 70 orang saja yang beriman kepada Allah setelah sekian lama Nabi Nuh berdakwah selama 900 tahun itu? Ramainya yang kufur kepada Allah.

Ingin ditegaskan semula di sini bahwa kekufuran itu adalah bukannya sesuatu yang Allah ciptakan terhadap manusia sejak azali lagi. Allah TIDAK menciptakan manusia untuk kufur kepadaNya. Samada dari dulu sehinggalah sekarang ini. Apa beza kekufuran zaman dahulu dengan sekarang? Kekufuran zaman dahulu wujud setelah manusia meningkat dewasa dan berupaya untuk berfikir. Sementara kekufuran zaman sekarang adalah kekufuran sejak kecil di mana anak-anak telah diasuh oleh ibu bapa mereka yang tidak menyembah Allah.  

Fasa kedua sejarah kemanusiaan adalah bermula di zaman Nabi Nuh. Setelah bencana banjir melanda, sudah tidak ada lagi orang yang kufur. Hanya tinggal orang yang beriman sahaja. Bermulalah sejarah baru bagi manusia. Dan setelah itu muncul lagi kekufuran sehinggalah sekarang ini.

Jadi dapatlah kita fahami di sini bahwa dua kali Allah menjadikan penghuni ini dimulai dengan keimanan.  Pertamanya bermula dengan Nabi Adam dan setelah itu wujud kemungkaran, lalu Allah binasakan semua. Dan yang keduanya bermula dengan Nabi Nuh. Manusia beriman, berkeluarga dan beranak pinak... lalu muncul lagi kekufuran. Sehingga lah sekarang.

Jadi untuk ayat 10 hingga 15 ini, Allah telah memberitahukan kepada Nabi Muhamamd saw. bahawa nabi-nabi terdahulu juga diutuskan oleh Allah untuk menyebarkan khabar gembira dan peringatan kepada semua manusia sepertimana juga Nabi Muhammad saw. Iaitu syurga bagi mereka yang beriman dan api neraka bagi mereka yang kufur. Mereka ini juga tidak terlepas dari dugaan yang sama sepertimana yang dihadapi oleh Rasulullah ketika itu. Mereka dimaki, dicaci, dimusuhi, didustakan, diperangi dan segala macam bentuk dugaan yang sama yang dialami oleh Rasulullah saw.  Allah nak bagitahu kepada Rasulullah saw bahwa baginda tidak keseorangan dalam menjalankan tugas ini. Semua para nabi dan Rasul adalah sealiran dan menghadapi cabaran yang sama spertimana yang Rasulullah hadapi.   

Kita.. kalau sedang berada di dalam masalah, kalau hanya kita seorang yang menghadapi maslah, kita akan merasa berat. Tapi  kalau kita mempunyai kawan yang mempunyai maslah yang sama dengan kita, kedua-duanya akan merasa ringan.  Sebab apa? Sebab kerana saling berkongsi maslah dan musibah. Berbanding dengan keseorangan yang merasa berat dan tidak boleh nak berkongsi maslaah yang dihadapi.  Jadi tujuan Allah memberitahukan perkara ini kepada RAsulullah adalah untuk menghibur hati Rasulullah supaya Rasulullah berasa tenang dan tidak keseorangan di dalam menghadapi cabaran dari manusia-manusia yang degil itu. Kerana telah Allah bagitahu bahwa rasul-rasul terdahulu juga menghadapi cabaran dan dugaan yang sama sepertimana Rasulullah.

Di dalam ayat 11 Allah berfirman:
"Dan tiadalah seseorang Rasul pun yang datang kepada mereka, melainkan mereka mempersenda dan mengejek-ejeknya."

Di dalam sirah Rasulullah saw, telah diceritakan bermacam dugaan yang dihadapi oleh Rasulullah saw. Baik secara fizikal atau pun secara mental. Secara fizikal, baginda pernah disakiti di dalam perang Uhud nabi telah dilempar batu dan diserang sehingga berdarah kepalanya dan tertanggal gigi gerahamnya. Secara mental pula, baginda telah didustakan seruan ajarannya. Malah dituduh pula gila dan tukang sihir. Pakatan boikot yang dilakukan oleh kaum Quraisy Arab begitu menduga hati Nabi saw. Selain itu kaum Quraisy ini selalu mengejek-ngejek dan mengolok-olok dan mentertawakan nabi saw dan meremehkan semua ajaran yang dibawa oleh baginda nabi saw. Cabaran secara fizikal dan mental ini, Allah memberitahukan bukan Nabi saw saja yang mengalaminya. Malah nabi dan rasul terdahulu juga mengalami cabaran fizikal dan mental yang sama sepertimana nabi saw.

Di dalam ayat 12 pula Allah memberitahukan bahwa demikianlah perangai orang-orang kafir yang memperolok-olokkan Nabi saw. Sudah memang perangai orang-orang kafir begitu. Memperolok-olokkan memang sudah perangai yang sebati dengan jiwa mereka. Jadi Allah memberitahu Nabi saw supaya tak perlu hairan dalam menghadapi sikap mereka yang demikian itu. Kerana itu adalah sifat semula jadi mereka.

Adapun sebabnya perasaan yang membawa kesesatan dan sikap kufur itu dapat tumbuh di dalam hati orang-orang kafir itu adalah disebabkan oleh kerana jiwa mereka sudah tidak lagi mahu menerima keimanan yang disampaikan oleh Nabi saw. Jiwa mereka sudah tidak dapat untuk menerima perkara yang hak dan benar. Hati mereka telah tertutup dari menerima ajaran AlQuran dan tidak dapat menerima sinaran petunjuk dan hidayat.

Ianya pun berlaku di zaman kita sekarang ini juga. Munculnya karikatur tentang Rasulullah saw sudah beberapa kali diterbitkan oleh mereka. Ianya bukanlah perkara baru sekiranya sampai sekarang pun orang kafir menghina nabi saw. Tetapi yang menjadi persoalannya sekarang ini kaum muslimin juga ada yang menghina nabi saw. Bagaimana? Terdapat banyak kaum muslimin yang mendakwa mereka beriman kepada nabi tetapi tidak mengamalkan segala ajaran dan meninggalkan segala larangan baginda. Ada di kalangan mereka yang mengaku Islam tapi tidak mengerjakan solat, tidak puasa, tidak membayar zakat. Ataupun ada yang mengaku mempraktikkan Islam tetapi tidak menutup aurat, mengamalkan riba dan sebagainya.  Itu juga adalah salah satu daripada bentuk penghinaan. Jadi adakah kita menjadi salah seorang dari kaum muslimin yang menghina Nabi saw? Cubalah cermin diri sendiri.

"Mereka tidak percaya kepada Al-Quran yang engkau bawa, padahal telahpun berlaku undang-undang membinasakan orang-orang yang telah lalu (yang mendustakan Rasul-rasulnya). - 13
Lalu ayat 13 ini adalah merupakan ancaman kepada orang-orang kafir Mekah yang tidak mahu beriman dengan Al Quran dan Nabi Muhammad saw. Sekiranya mereka masih tetap bertahan dengan kekufuran, mereka tetap tidak mahu percaya, padahal telah berulang-ulang kali dinyatkan bahwa umat-umat terdahulu, iaitu golongan terdahulu purbakala yang bertahan pada pendirian yang salah, telah pun menerima akibat dari kedegilan mereka. Mereka itu telah dimasukkan ke dalam hati mereka sikap kufur, mendustakan dan mengejek-ngejek. Kemudian mereka pun dibinasakan oleh Allah dan akhir kesudahan yang baik bagi orang yang bertaqwa dan akan diberi kemenangan di pihak rasul dan orang-orang yang beriman.

Demikianlah apa yang berlaku pada umat yang terdahulu, akan diperlakukan juga oleh Allah kepada umat yang ada sekarang ini. Iaitu umat yang bersalah, yang tidak mahu beriman dengan AlQuran dan mengejek-ngejek RasulNya akan menerima malapetaka sebagaiamana umat yang terdahulu yang telah dibinasakan. Ini memang sudah menjadi ketetapan Allah (sunnatullah) yang akan terus berjalan dari dahulu sehingga ke hari ini.  


"Dan kalau Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik melalui pintu itu (pada siang hari yang membolehkan mereka menyaksikan segala kenyataan yang ada): - 14
"Tentulah mereka akan (mengingkari kenyataan yang benar itu dengan) berkata: "Hanya mata kami telah disilapkan penglihatannya bahkan kami adalah kaum yang telah disihirkan (oleh Muhammad)". - 15

Pada ayat 7 yang kita pelajari terdahulu mereka telah meminta supaya didatangkan malaikat sebagai Rasul. Meskipun melaikat diutuskan menjadi Rasul nescaya akan ada dari kalangan mereka yang akan mencari dalih untuk menolak keimanan. Bahkan misalnya sekiranya dibuka pintu-pintu langit, dibawa mereka terbang ke atas dan disuruh melihat kenyataan, tidak juga akan mereka percaya. Nescaya mereka akan menolak juga dengan berkata bahwa mereka telah dimabukkan ketika dibawa itu, dan mereka telah terkena dibacakan mentera-mentera sehingga tidak sedarkan diri lagi. Atau dengan kata-kata lain, mereka sudah dipukau, sudah diperbodohkan, disihir dengan kata-kata manis.

Demikianlah sudah kepala batu mereka dan kerasnya hati mereka mempertahankan pendirian yang salah.  Dan perkara yang sama juga berulang di zaman kita sekarang ini. Ramai orang yang menganggapa bahawa Islam itu adalah sebagai pusaka nenek moyang sahaja. Mereka tidak ada menerapkan pengertian akan isinya, sehingga bila diseru agar kembali kepada ajaran Islam, mereka tidak mahu menerimanya. Islam hanya tinggal pada kad pengenalan mereka saja.


Surah Al Hijr Ayat 16 Hingga 18

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit: bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya”. - 16

Dan Kami pelihara (urusan) langit itu dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang kena rejam.” - 17

“Kecuali Syaitan yang curi mendengar percakapan (malaikat di langit), maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala, yang nyata kelihatan. “ - 18

Semua manusia dapat memandang ke langit dan merenungi bintang-bintang. Memang sangat indahnya bintang-bintang menghiasi langit. Akan tetapi bagi orang-orang yang mahu memerhatikan dan memikirkan setiap kejadian Allah ini, sebenarnya memang setiap apa yang dijadikan oleh Allah itu semuanya ada bersangkutan dengan manusia.

Di angkasa yang luas itu Allah telah menjadikan beberapa banyak bintang yang besar-besar dikenali sebagai buruj. Allah telah menjadikan bintang-bintang atau buruj ini di langit, samada yang tetap ataupun yang beredar di dalam  cakerawala. Orang-orang Badwi yang bergantung perjalanan mereka dengan bintang-bintang, sehinggalah ke zaman kita hari ini, telah mengenal bintang-bintang tersebut dan menghafal nama-nama bintang yang kelihatan.

Lalu di dalam ayat 17 Allah menyatakan bahwa langit itu diperlihara oleh Allah dari dihampiri oleh syaitan.. Maksudnya syaitan itu selalu berusaha untuk naik ke langit untuk menyungkil rahsia Ilahi, baik yang berkenaan dengan wahyu ataupun yang bekenaan dengan nasib manusia. Jadi Allah telah menjaga langit dengan rapi supaya syaitan tidak terbolos dapat masuk ke dalamnya.

Kata sebahagian Mufassirin, jika ada di antara syaitan-syaitan itu yang hendak menghampiri langit dengan tujuan untuk mencuri maklumat berita dari langit, maka mereka ini akan dilemparkan oleh malaikat dengan bintang-bintang yang kelihatannya sebagai nyalaan api yang terang dari langit. Lemparan itu tidak akan tersasar sama sekali dan ia pasti akan mengenai syaitan tersebut dan ada di antara syaitan itu yang terbunuh. Dan ada pula yang terbakar mukanya, badannya, atau tangannya atau apa saja yang dikehendaki Allah.

Dari ayat ini percayalah oleh kita, bahwa di sebalik yang dapat kita ketahui, masih ada terlalu banyak lagi rahsia yang tidak kita ketahui. Ianya hanya sedikit sahaja yang diceritakan di dalam AlQuran. Khabarnya, konon, apa yang melayang di tengah malam, yang dinamakan oleh para saintis sebagai “Comet” atau bintang berekor, ialah kemungkinan malaikat sedang memanah syaitan. Kita hanya percaya saja. Kerana tidaklah cukup tenaga dan ilmu manusia untuk menyelidiki kenyataan itu. Alangkah Maha Luasnya Ilmu dan Kekuasaan Allah.





Surah Al Hijr Ayat 19 Hingga 21

“Dan bumi ini Kami bentangkan, dan Kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh terdiri, serta Kami tumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu yang tertentu timbangannya. “  19

“Dan Kami jadikan untuk kamu pada bumi ini segala keperluan hidup, juga Kami jadikan makhluk-makhluk yang kamu bukanlah orang yang sebenar menyediakan rezekinya. “ - 20

“Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.” - 21

Sekarang Allah menyebutkan pula tentang kekuasaanNya di muka bumi. Bumi ini telah dijadikan keadaannya terbentang luas lagi lapang, untuk membolehkan hamba-hambaNya memperolehi segala faedah dan kegunaan. Dibentangkan bumi ini seluas-luasnya umpama membentang tikar layaknya . Dek kerana bumi ini luas dan kelihatan rata, maka tidaklah ketara sangat bentuknya yang sebenarnya bulat.

Di atas bumi ini dipacakkanNya gunung gunung yang menjadikannya teguh, supaya penduduknya tidak khuatir akan bergoncang.  Di gunung-gunung itu tumbuhlah tumbuh-tumbuhan berbagai ragam yang semuanya itu akan ada hubungan dan mempengaruhi kehidupan manusia.

Begitu pula dengan tiap-tiap galian yang terdapat di dalam gunung-gunung itu sudah ditetapkan timbangan unsur-unsurnya dan berapa beratnya. Umpamanya emas, perak, tembaga, besi, timah dan lain-lainnya semuanya ini sama-sama jenis logam, tetapi berbeza unsur dan kadar berat timbangannya.

Allah menyatakan bahwa Dialah yang menjadikan bermacam-macam penghidupan bagi manusia, dari jenis makanan, minuman, pakaian, ubat-ubatan dan lain-lain sebagainya. Semuanya itu untuk menjadi bahan hidup. Baik yang merupakan ikan di laut, burung di udara, binatang-binatang di daratan. Begitu juga tumubuh-tumbuhan di kebun ataupun di hutan, malah juga di dasar lautan, semuanya dijadikan oleh Allah untuk kehidupan manusia selama mereka hidup di dunia.

Semua itu adalah sebagai penghasilan  kepada bentuk rezeki bagi manusia-manusia yang ingin berusaha. Begitu juga dengan orang-orang yang mereka tanggung makan minum dan keperluan hidup seperti anak, isteri, khadam-khadam dan termasuk binatang-binatang yang dipelihara. Mereka itu masing-masing telah disediakan rezekinya oleh Allah. Jadi ini bermakna, bukanlah manusia yang menyediakan rezeki mereka dan rezeki dirii sendiri. Tetapi Allah. Ini adalah kelebihan Allah dan kelimpahanNya yang luas terhadap hamba-hambaNya.

Maka tiap-tiap sesuatu yang mendatangkan faedah kepada hambaNya, pasti Allah yang berkuasa mengadakannya, dan mengurniakannya pula bila Dia berkehendak dengan tidak bertangguh lagi. Ini kerana gudang perbendaharaan Allah penuh dengan aneka jenis bahan-bahan yang berharga, apa yang orang mahukan dan inginkan semuanya ada dan tersedia.

Malah kekayaan alam ini tidak dirahsiakan atau disembunyikanNya asal saja manusia itu rajin berusaha bersungguh-sungguh untuk membongkar dan mencarinya mengikut peraturan yang ditertapkanNya, pasti mereka akan dapat. Tidak akan ada sesiapa yang akan menahan atau menghalang, malahan semuanya akan berada di dalam genggaman asalkan mereka pandai mentadbirkannya dan mengusahakannya dengan baik.