Monday, June 1, 2015

Surah Yusuf Ayat 21 Hingga Ayat 30

Surah Yusuf Ayat 21


Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.


Di sini Allah tidak menyebutkan siapakah nama orang yang membeli Nabi Yusuf di negeri Mesir itu, juga tidak menyebutkan nama gelaran atau pangkatnya, mahupun nama isterinya, kerana nama-nama di dalam kisah tidak begitu penting untuk dijadikan tauladan atau menambahkan pengajaran. Tetapi di dalam ayat yang berikutnya nanti ada disebutkan bahwa wanita-wanita Mesir menggelarkannya dengan panggilan Al Aziz iaitu gelaran bagi seorang pegawai yang mentadbir pejabat Raja Mesir, yang nampaknya dialah ketua menteri dalam kerajaan Mesir.


Di dalam Kitab Kejadian disebutkan bahwa Al Aziz itu ialah pembesar negara, atau pun ketua kerajaan ataupun ketua menteri ataupun menjadi pengawal raja. Al Aziz inilah yang telah membeli Yusuf kerana mengikut firasatnya Yusuf adalah seorang anak yang mempunyai sifat-sifat yang baik. Maka berpesanlah ia kepada isterinya supaya melayan Nabi Yusuf dengan secukupnya dan memeliharanya dengan sebaik-baiknya dengan diberi makan minum dan pakaian serta melayannya sebagai salah seorang ahli rumah itu sendiri. bukannya sebagai hamba atau khadam.


Ketua menteri yang bergelar Al Aziz itu juga mengharapkan agar nabi Yusuf menjadi orang yang berguna di suatu hari kepada kerajaan dan negara jika dia diberi pelajaran, didikan dan latihan yang secukupnya. Ini kerana adanya tanda-tanda kecerdikan pada diri Nabi Yusuf yang membuatkan Al Aziz berhasrat pula untuk mengambil Nabi Yusuf sebagai anak angkat yang bakal mewarisi kekayaan dan kemuliaannya apabila telah dewasa nanti.


Maka kesan dari ayat ini menunjukkan bahawa Al Aziz itu adalah seorang yang tidak mempunyai anak dan seorang yang mempunyai firasat yang tepat, kerana nyata sekali bahwa Nabi Yusuf yang cukup mendapat didikan, jagaan dan pergaulan yang baik itu kemudian bukan saja dia mempunyai bentuk badan dan raut wajah yang baik, tetapi beliau juga mempunyai budi bahasa yang baik, malahan berilmu pengetahuan yang tinggi.


Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam ayat ini yang bermaksud “..Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf,,” Maksudnya mempunyai kedudukan yang tinggi di Mesir di mana beliau mula-mula dikasihi oleh Al Aziz sebagai anak angkat, kemudian disebabkan sesuatu tragedi beliau dipenjara yang membawa kepada perkenalan dengan tukang memberi minum raja langsung berhubung pula dengan raja itu sendiri.


Nabi Yusuf berupaya dan berkebolehan untuk mentadbir mimpi serta tahu akan erti hakikat sesuatu perkara, yang menjadikan beliau semakin teguh kedudukannya di sisi raja. Kisah suka duka yang dialami oleh Nabi Yusuf semuanya diceritakan oleh Allah mengikut kehendakNya dan menghukum mengikut sesukaNya kerana tiada sesiapa yang dapat menghalangNya.





Surah Yusuf ayat 22


Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.


Ada dua tiga pendapat tentang umur dewasa Nabi Yusuf. Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Mujahid dan Qatadah, usia dewasa Nabi Yusuf ialah 33 tahun. riwayat yang lain mengatakan 30 tahun . Adh -Dhahhak mengatakan 20 tahun. Said bin Jubair mengatakan 18 tahun.


Jadi Nabi Yusuf ini, di dalam usia 12 tahun, beliau telah diambil menjadi anak angkat, diberi kepercayaan, disayangi dan dikasihi, dan Allah pun mulai sedikit demi sedikit mengajar Nabi Yusuf perihal tadbir mimpi. Maka beliau pun telah tumbuh menjadi orang yang lebih dewasa. Setelah meningkat dewasa dijelaskan pula di dalam ayat ini bahwa beliau telah mulai dianugerahkan Allah kesanggupan dalam menentukan hukum.


Hukum ialah hasil penilaian terhadap sesuatu persoalan di antara benar dan salah, di antara adil dan zalim, di antara indah dan buruk sesuatu perkara. Sebagai anak angkat kepada seorang yang berpangkat tinggi di dalam kerajaan, pastilah tiap-tiap hari Nabi Yusuf akan dapat melihat dan menyaksikan sendiri bagaimana ayah angkat beliau memutuskan sesuatu perkara, dan beliau akan menyemaknya semula, mendengar dan meneliti. Di samping itu beliau dapat menetukan nilai sesuatu dan perihal hukum hakam. Maka dengan itu sedikit demi sedikit ilmu secara umum pun bertambah di dalam diri beliau.


Di hujung ayat ini, Allah telah memuji Nabi Yusuf sebagai seorang yang Muhsinin. Orang yang muhsinin ialah orang yang selalu berbuat kebajikan dan selalu memperbaiki diri. Selalu berusaha untuk meningkat naikkan mutu usahanya. 

Muhsinin adalah asal dari perkataan Ihsan. Rasulullah saw pernah bertanya kepada Malaikat Jibril apakah itu ihsan? Malaikat Jibril telah menjawab, “ihsan ialah bahwa kamu memperhambakan diri kepada Allah, seakan-akan kamu dapat melihat Allah. Maka jika kamu tidak dapat melihat Allah, namun Dia tetap dapat melihat kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari No. 50, Muslim No. 9)


Ihsan dari kecil sampai dewasa dan sampai tua inilah yang menjadi rahsia kemajuan hidup Nabi Yusuf as. Kepada orang yang membencinya, beliau juga berbuat ihsan. Apatah lagi kepada orang yang berbuat baik dan menyayanginya.












Surah Yusuf ayat 23


Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya tuanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".


Ayat ini masih menceritakan tentang Nabi Yusuf dan kejadian-kejadian yang menimpa beliau semasa berada di rumah Al Aziz yang telah membelinya. Al Aziz telah memberikan pesanan kepada isterinya supaya memperlakukan Nabi Yusuf dengan baik. Lalu isterinya bersegera melayan Nabi Yusuf dengan baik sepertimana yang diperintahkan. Dia menyediakan makanan, minuman, pakaian dan tempat tidur yang baik untuk Nabi Yusuf.


Isteri Al Aziz ini telah melihat akan perkembangan Nabi Yusuf yang tangkas ini sejak usianya 12 tahun lagi sehinggalah meningkat dewasa. Hari demi hari tubuh badan Nabi Yusuf bertambah tegap, tampan, bertambah menimbulkan nafsu bila melihat diri anak ini yang telah meningkat remaja.


Maka dari sehari ke sehari bertambah tertariklah isteri Al Aziz ini kepada Nabi Yusuf. Lama kelamaan isteri Al Aziz telah menjadi lebih tergila-gilakan Nabi Yusuf. Kerana kebanyakan hari, Al Aziz tiada di rumah kerana pergi menjalankan tugas. Maka akan tinggal berdualah isteri Al Aziz bersama dengan Nabi Yusuf.


Dan di suatu hari, rupanya isteri Al Aziz tidak lagi dapat menahan dirinya. Maka kisah ini difirmankan oleh Allah di dalam ayat ini yang bermaksud, “Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya;”


Memang pada dasarnya perempuan yang telah berpengalaman sangat payah untuk mengawal nafsunya bila melihat anak muda yang tampan yang belum mengerti apa-apa itu. Isteri Al Aziz memujuk dengan menyuruh Nabi Yusuf kemari dan mendekati dirinya. Namun Nabi Yusuf tetap bertahan. Panggilan isteri Al Aziz tidak ia turuti. Malahan Nabi Yusuf berkata, “ Aku berlindung kepada Allah…..” Dalam menghadapi keadaan yang demikian, insaflah nabi Yusuf atas kelemahan dirinya, sebab itulah beliau mengingati Allah dan beliau berlindung dirinya kepada Allah.  


“...sesungguhnya tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; ..”
Yang dimaksudkan dengan tuhanku di sini adalah Al Aziz yang telah membelinya dan memeliharanya dengan baik bahkan telah memerintahkan pula isterinya supaya melayan Nabi Yusuf dengan baik dan dianggap sebagai anak. Ataupun lafaz ‘rabbi’ di dalam ayat ini adalah diertikan sebagai Tuhanku, yang bermaksud sebagai tuhanku telah memberi kedudukan yang baik kepadaku kerana menyelamatkan aku dari mati di dalam perigi buta. Ini adalah kerana guna kata ‘rabbi’ pada zaman dahulu juga digunakan untuk majikan atau raja yang bererti Tuhanku. Kerana guna kata bahasa inilah maka Firaun telah cenderung untuk merasakan dirinya benar-benar telah menjadi Rabbun, iaitu Tuhan.


“...sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya"
Nabi Yusuf berlindung kepada Allah, agar janganlah beliau hancur dengan godaan isteri Al Aziz ini. Tidaklah layak bagi diri beliau yang telah disambut dan dimuliakan sebagai anak kandung, bukan sebagai hamba oleh tuan yang membelinya, akan berlaku pengkhianatan kepada isterinya, yang selama ini beliau tinggal di dalam istana itu yang sudah dianggap sebagai ibu angkat beliau pula.


Kalau hendak diturutkan rayuan isteri Al Aziz tersebut, maka akan berlakulah kezaliman, berlaku penganiayaan yang tidak sewajarnya. Segala perbuatan yang berada di luar garis fikiran yang sihat akan dinamakan kezaliman dan penganiyaan. Maka kalau sekali telah berlaku zalim, aniaya, iaitu berzina dengan isteri penjaga sendiri, ianya bererti beliau telah menempuh jalan yang gelap untuk hari yang akan datang. Ini adalah kerana apa saja perlakuan yang zalim ianya seolah-olah berbau busuk dan semestinya dapat dihidu akhirnya. Menyebabkan harga diri sudah musnah dan tidak ada lagi.







Surah Yusuf ayat 24


Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.”
 
Setengah Mufassirin memaknakan ayat ini, bahwa isteri Al Aziz yang bernama Zulaikha ini menginginkan Nabi Yusuf. Dan demikian juga Nabi Yusuf. Masing-masing telah bergelora hatinya melihatkan satu sama lain. Tetapi kalaulah bukan kerana beliau nampak akan tanda-tanda keesaan Tuhan dan selalu menyedari akan keadaan dirinya, sudah tentulah Nabi Yusuf akan cenderung untuk mengikut nafsu lelaki mudanya terhadap seorang perempuan cantik di waktu tidak ada orang lain berada di situ. Dan perempuan itu yang mengajak dan merayunya terus, dapat ditahannya.


Dari sini dapatlah kita fahami bahwa Nabi Yusuf senantiasa menjaga dirinya supaya selalu bersifat Muhsinin. Betapa tidak. Nabi Yusuf telah dididik sejak kecil oleh ayahnya Nabi Yaakub dan menanamkan di dalam diri beliau supaya adanya perasaan takut kepada Tuhan. Didikan itu telah bersemi dan ada di dalam diri Nabi Yusuf dan menjadi petanda bahwa adanya Tuhan yang Maha Kuasa yang selalu melindungi beliau sehingga beliau tidak akan terperosok ke dalam lembah yang hina. Sesuai dengan ayat ini yang bermaksud “ ..Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji,..” Dengan demikian telepaslah Nabi Yusuf dari melakukan perbuatan yang hina kerana menyedari hakikat bahwa Allah itu Ada.


“..sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.”
Inilah pujian yang amat tinggi dari Allah untuk NabiNya. Bahwa Nabi Yusuf telah dibentengi dengan iman dan ihsan sejak dari mula lagi, sehingga beliau teguh dan tabah menghadapi cubaan yang sehebat itu di dalam usia yang muda yang penuh pancaroba. Sebenarnya kalau nak ikutkan, tiada apa yang menghalang beliau untuk berbuat sesuka hati di saat itu kerana tiada siapa yang melihat. Boleh saja Nabi Yusuf bermesraan dengan Zulaikha dengan semahu-mahunya. Pada waktu itu Al Aziz juga tiada di rumah, ayah dan saudaranya juga jauh dari dirinya. Dan waktu itu tiada siapa yang melihat. Semua pintu rumah tertutup semuanya.


Namun dek kerana sifat Muhsinin Nabi Yusuf yang sentiasa merasakan bahwa Allah itu Ada di mana-mana, senantiasa ada memerhatikan beliau, maka dengan ihsan yang murni yang ada di dalam diri Nabi Yusuf itu sendiri telah mengekang hawa nafsu beliau. Inilah suatu kemenangan yang sangat besar pada nabi Yusuf.






Surah Yusuf ayat 25


Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".


Maksud berkejaran ke pintu itu kedua-duanya bersama-sama berlari menuju pintu. Dapatlah kita bayangkan, bahwa waktu itu Nabi Yusuf berlari menuju ke pintu kerana hendak segera keluar dari dalam rumah. Waktu itu pintu-pintu rumah dan tingkap semuanya telah ditutup oleh isteri Al Aziz tersebut. Dan begitu juga isteri Al Aziz turut juga berlari ke pintu mengejar Nabi Yusuf supaya jangan sampai membuka pintu dan dapat bolos lari keluar.


Ditariknya kemeja Nabi Yusuf dari belakang supaya jangan lari, supaya dapat memenuhi kehendaknya, namun Nabi Yusuf lari juga. Sampaikan kemeja Nabi Yusuf terkoyak. Di ketika Nabi Yusuf berlari menuju ke pintu dan di ketika isteri Al Aziz dapat mencapai dan mengoyakkan baju kemeja Nabi Yusuf, tiba-tiba pintu itu terbuka. Mereka telah terserempak dengan Al Aziz yang baru pulang. Al Aziz telah melihat dengan mata kepalanya sendiri akan hal yang tidak menyenangkan perasaan itu.  


Bilamana melihatkan akan suaminya, Zulaikha merasa cemas dan takut dituduh berlaku curang. Oleh sebab itu, dia pun mendahului Nabi Yusuf dengan berkata sepertimana yang termaktub di dalam ayat ini iaitu “...Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".


Seorang yang berjawatan tinggi di dalam kerajaan, yang telah banyak mengetahui rahsia manusia, pergolakan jiwa perempuan atau gelora jiwa orang muda, tidak akan lekas terpengaruh oleh perkataan isterinya itu. Al Aziz tidak mengambil keputusan segera untuk menyalahkan mana-mana pihak lagi. Menurut pengamatan Al Aziz, isterinya seorang yang cantik sementara Nabi Yusuf adalah seorang pemuda yang tampan dan segak. Umpama minyak petrol yang diletak dekat saja dengan api.


Al aziz seorang yang bijak dan tidak cepat melatah. Dia mendengar dulu pengaduan dari pihak isterinya yang terang-terang telah menyalahkan Nabi Yusuf. Dan giliran Nabi Yusuf untuk memberi pengaduan dan keterangan juga bakal tiba.







Surah Yusuf ayat 26 Dan 27


Yusuf pula berkata: "Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:" "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.” - 26


“Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar". - 27


Nabi Yusuf tidak banyak bercakap. Beliau hanya memberi keterangan dengan pendek dan tegas. Perkataan dari orang yang tidak bersalah. Sebab itu tidak berbelit-belit. ‘Dia yang memujuk dan merayu saya.’ Al Aziz terdiam. Kedua-dua hujah masuk juga di kepala Al Aziz kerana kedua-duanya memberikan alasan yang munasabah.  
“.. dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:"
Di dalam ayat Al Quran tidak menjelaskan secara terperinci dari mana timbulnya dan bila datanganya seorang saksi itu. Saksi itu berkata, “Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.”


Jika kemeja koyak di sebelah hadapan, benarlah aduan isteri Al Aziz itu. Sebab ini bererti bahwa Nabi Yusuf yang hendak menggoda isteri Al Aziz, atau bermaksud buruk terhadapnya. Dan sebagai dakwaan dia mempertahankan diri sehingga dia harus menolak Nabi Yusuf dengan keras dan lalu mengoyakkan kemeja di bahagian depan. Kalau demikian keadaannya, benarlah seperti dakwaan isteri Al Aziz dan dustalah Nabi Yusuf yang mengatakan bahwa perempuan cuba menggodanya.


Sebaliknya sekiranya koyakkan itu di sebelah belakang, membawa makna yang kemeja itu telah ditarik-tarik dari belakang oleh isteri Al Aziz disebabkan Nabi Yusuf tidak mahu mengikut kehendaknya. Dengan demikian benarlah dakwaan Nabi Yusuf, bahwa dirinyalah yang digoda, bukannya beliau yang menggoda.




Surah Yusuf Ayat 28


“Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.”


Setelah Al Aziz, majikan dan ayah angkat kepada Nabi Yusuf serta suami kepada Zulaikha melihat bukti bahwa kemeja yang koyak itu adalah di sebelah belakang, bukannya di sebelah hadapan, maka taksiran saksi itu dapat diterima oleh fikirannya.   


Dengan demikian jelaslah siapa yang patut disalahkan. Yang dia patut salahkan ialah isterinya sendiri. Lalu ia mengatakan sesungguhnya peristiwa ini adalah merupakan tipu daya kamu kaum wanita yang amat pandai membuat helah yang tidak sanggup kaum lelaki melakukannya dan jarang pula mereka dapat menolaknya.


Al aziz ini adalah seorang yang bijak dan banyak pengalaman dengan perempuan. Ia bukanlah hendak menyalahkan isterinya semata-mata, tetapi ia katakan bahwa ini adalah termasuk tipudaya kaum wanita itu maksudnya adalah sudah lumrah bagi kaum wanita, jarang yang tidak mengenakan tipu daya terhadap lelaki. Sesungguhnya tipu daya kaum wanita amat besar pengaruhnya dan besar pula bahayanya.


Kaum wanita disebut sebagai kaum yang lemah. Namun apabila ia telah mengatur suatu strategi, ianya akan jadi besar dan hebat! Atau mengagumkan kerana kecerdikan dan kepintarannya, sehingga membuatkan kaum lelaki menggeleng kepala. Lelaki akan menjadi kagum, kerana yang ianya tidak akan terlintas pun di fikiran lelaki untuk melakukannya. Dan kaum wanita sajalah yang dapat melakukannya. Padahal dia yang salah. Dalam sekelip mata saja pintu telah terbuka, sepatutnya dia akan jadi hilang akal. Tetapi di saat itu juga dia telah dapat mengatur kata-kata menuding jari menyalahkan Nabi Yusuf. Mujurlah ada saksi yang mempertahankan kebenaran Nabi Yusuf dan menyalahkan Zulaikha.







Surah Yusuf ayat 29


“Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!"


Maksud ayat ini adalah kata-kata ayah angkatnya supaya Nabi Yusuf berjiwa besar dan bersabar kerana ini semua adalah tipu daya kaum perempuan yang Nabi Yusuf harus fahami sendiri. Bersabar, dan lupakan saja dan jangan dikenang-kenang lagi. Jangan juga ceritakan kepada orang lain, supaya perkara ini tidak menjadi heboh diperkatakan orang. Dan jelas sekali bahawa Nabi Yusuf adalah bersih dari segala tohmahan.


Lalu Al Aziz itu berkata pula kepada Zulaikha menyuruhnya supaya bertaubat kepada Allah, meminta ampun di atas kesalahannya kerana melemparkan tuduhan keji kepada Nabi Yusuf sedangkan beliau adalah besih dari tuduhan dan beliau memang tidak bersalah.


Setengah qaul mengatakan bahwa saksi itu menyuruh Zulaikha meminta ampun kepada suaminya supaya tidak menjatuhkan hukuman ke atasnya disebabkan dosa yang telah ia lakukan. Kesalahan pertama ialah kerana ia telah mengkhianati suaminya dan kedua ialah kerana ia telah melemparkan tuduhan keji kepada Nabi Yusuf padahal beliau tidak bersalah.








Surah Yusuf ayat 30


Dan bercakaplah perempuan-perempuan dalam kota:  Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata."


Menjadi perbualan hebat di kalangan perempuan-perempuan, atau isteri-isteri pembesar, menjadi buah mulut di dalam pertemuan-pertemuan, dari rumah menteri ke rumah menteri yang lain, di kalangan isteri-isteri orang atasan. Ianya menjadi perbualan hebat di mana-mana saja terutama di kalangan perempuan.


Sudah menjadi kebiasaan kepada perempuan yang lain yang menghadapi persaingan dalam perkara kecantikan atau kedudukan, menyebabkan perkara seburuk itu mudah tersebar dengan luasnya. Kata-kata dia sudah jatuh cinta dengan anak angkat bujangnya sendiri, tidak kita sangka dia berkelakuan begitu, selama ini kita menyangka dia seorang yang jujur dan salih, rupa-rupanya sudah mendalam cintanya kepada anak bujangnya itu sehingga dia lupa mengawal dirinya sendiri. Lupa kepada kedudukan yang tinggi. Masakan isteri orang besar boleh berperangai teruk begitu.

Demikianlah semuanya menyalahkan isteri Al Aziz, semua menuduhnya dan mengatakan bahwa dia telah menempuh jalan yang sesat. Inilah sikap yang biasa dinamakan orang sebagai hipokrit, munafik. Seakan mereka sendiri tidak pernah membuat kesalahan, mereka berlagak mulia dan suci. Padahal belum tentu mereka akan teguh mengawal diri kalau mereka sendir yang menghadapi situasi demikian.







No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.