Friday, June 26, 2015

Surah Yusuf Ayat 51 Hingga 69

Surah Yusuf ayat 51

“Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?" Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". Isteri Al-Aziz pun berkata: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.”

Sebaik saja raja mendengar apa yang diceritakan oleh pemuda itu, raja terus perintahkan sekalian kaum perempuan yang terlibat dalam perkara Nabi Yusuf, termasuklah isteri kepada Al Aziz, supaya datang mengadapnya di istana. Raja bertanya, apakah yang sudah terjadi ketika mereka cuba memujuk Nabi Yusuf supaya mengikut kemahuan mereka itu?  Pertanyaan ini ditujukan secara umum , kerana raja sudah mengetahui isteri pembesar Al Aziz telah menggoda Nabi Yusuf supaya mengikuti kemahuannya sedangkan perempuan yang lain pula menyuruh Nabi Yusuf supaya mengikuti kemahuan tuannya, bererti kesemuanya telah terlibat di dalam perkara ini.

Maka kaum perempuan itu semuanya menjawab bahawa, “Maha Suci Allah! Tidak ada kejahatan pada Yusuf. Dia tidak berkhianat sedikit pun sebagaimana yang kami tahu.”

Apabila mendengar akan pengakuan kaum perempuan itu, isteri Al Aziz lalu mengaku pula dengan berterus terang. Sekarang jelaslah siapa yang benar dan siapa yang salah. Isteri Al Azi mengaku yang memang dia yang cuba memujuk Nabi Yusuf supaya mengikuti kemahuannya tetapi Nabi Yusuf enggan. Sesungguhnya Nabi Yusuf adalah daripada orang-orang yang benar.

Isteri Al Aziz mengaku demikian kerana sudah insaf akan kesalahannya, pengakuannya itu sebagai membalas atas kejujuran Nabi Yusuf kerana tidak pernah membuat sesuatu yang melanggar kesopanan, atau memberi malu kepadanya, apalaagi mencaci dan memburuk-burukkan dirinya. Sikap isteri Al Aziz yang mengakui kejujuran Nabi Yusuf merupakan penghargaan yang sebesar-besarnya kepada Nabi Yusuf.



Surah Yusuf ayat 52

"(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.”

Setengah para Mufassirin mengatakan ayati ni adalah sambungan daripada kata-kata isteri Al Aziz terdahulu iaiatu, “sekarang jelaslah yang benar. Aku yang mencuba memujuk Nabi Yusuf suapya mengikut kemahuanku. Dan sesungguhnya dia daripada orang yang benar. Yang demikian ini supaya diketahui orang bahwasanya aku belum pernah mengkhianati Yusuf secara sulit.”

Bermakna di sini, biarlah nabi Yusuf tahu bahwasanya isteri Al Aziz itu tidak mengkhianati beliau dengan menuturkan kata-kata secara sulit iaitu pada masa ketiadaannya kerana beliau sekarang di dalam penjara dan isteri Al Aziz tidak berdusta ke atasnya. bahkan isteri Al Azizlah yang sebenarnya yang memujuk Nabi Yusuf dan Nabi Yusuf adalah orang yang benar.

Namun ada kebanyakan para Mufassirin mengatakan maksud ayat ini adalah daripada kata-kata Nabi Yusuf sendiri. Setelah isteri Al Aziz telah mengaku kesalahannya dan Nabi Yusuf di pihak yang benar, di hadapan raja, maka datanglah pemuda itu pada kali ketiga menemui Nabi Yusuf. Ia mengkhabarkan tentang pengakuan isteir Al Azi bersama perempuan-perempuan isteri pembesar yang lain, supaya Nabi Yusuf yang sedang dipenjarakan itu mengetahuinya. Mendengar perkhabaran ini Nabi Yusuf pun berkata sepertimana yang tersebut di dalam ayat ini.

Yang demikian itu, Nabi Yusuf telah menyuruh pemuda utusan itu kembali kepada raja supaya diketahui oleh pembesar Al Aziz,  bahwasanya Nabi Yusuf tidak pernah mengkhianatinya dengan melakukan perbuatan curang terhadap isterinya secara sulit pada masa ketiadaan pembesar Al Aziz.

Dan kata Nabi Yusuf lagi, kalaulah beliau berkhianat, sesungguhnya Allah tidak akan memimpin orang-orang yang bekhianat, dan nescaya Allah tidak akan membebaskan Nabi Yusuf daripada kesusahan yang beliau alami, kerana Allah tidak akan memimpin orang yang berkhianat.



J U Z U K  13


Ayat 53: Hawa nafsu mendorong kepada kejahatan kecuali nafsu yang dijaga oleh Allah

Surah Yusuf Ayat 53

“"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Isteri pembesar Al Aziz itu berkata lagi bahwa dia sebenarnya bukanlah hendak mengelak dari kesalahannya. Dia memang bersalah kerana dia tidak dapat menahan diri dari menurutkan hawanafsu, sehingga merayu Nabi Yusuf. Dengan pengakuan yang tertulis di dalam ayat ini, dapatlah kita fahami dan sentiasa ingat bahwa bahwa nafsu amarah, iaitu nafsu syahwat manusia, syahwat perut dan syahwat faraj  memang tidak akan dapat dipisahkan sama sekali dari diri manusia, selama mana manusia itu masih hidup.

Isteri pembesar Al Aziz telah memberikan pengakuan secara terus terang, sehingga telah menunjukkan kematangan jiwanya, sesudah kesalahan yang pertama dengan merayu Nabi Yusuf sehinggalah kepada berbohong kepada suaminya tentang peristiwa itu. Perubahan zaman dan turun naiknya masa, semuanya telah menambahkan kematangan. Dikatakan oleh isterim pembesar Al Aziz itu bahwa nafsu manusia lah yang mendorongnya hingga membuatkan ia tergelincir dalam meniti titian hidup.

Sesungguhnya hanya orang-orang yang dikasihani allah saja yang diberi petunjuk dan hidayah. Orang yang semacam intulah yang terlepas dari rangsangan hawa nafsunya. Dan di sini dengan secara tidak langsung isteri Al Aziz telah memuji kemuliaan dan keluhuran budi Nabi Yusuf. Walaupun mereka sama-sama telah digoda dan diamuk oleh hawa nafsu tetapi Nabi Yusuf telah selamat dari godaan nafsu ammarahnya itu. Ini adalah kerana beliau telah melihat tanda-tanda kebesaran Allah. Sementara isteri pembesar Al Aziz pula tidak dapat melihat akan tanda-tanda kebesaran itu.

Oleh sebab itu maka perkataan isteri pembesar Al Aziz, “kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku” adalah sebagai pujian kepada Nabi Yusuf. Malahan di hadapan kaum perempuan yang lain yang hadir semasa majlis makan sehingga mereka semua telah terluka tangan akibat terhiris pisau sendiri, telah dipuji juga Nabi Yusuf sepertimana ayat 32 yang telah kita pelajari sebelum ini yang berbunyi “telah aku rayu dia, inginkan dirinya, namun dia tetap berteguh hati.”

Isteri pembesar Al Aziz telah benar-benar mengakui kesalahannya kerana tidak dapat mengawal nafsu sendiri. Sekarang dia telah menyesal dan telah bertaubat. Ini jelas di hujung ayat 53 ini yang berbunyi, “Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Ayat 54-57: Nabi Yusuf ‘alaihis salam diberi kekuasaan di bumi

Surah Yusuf Ayat 54

Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami " - 54

Apbila raja mengetahui bahwa Nabi Yusuf tidak bersalah, sebaliknya beliau adalah orang yang amanah dan mempunyai kepandaian, maka raja itupun memintalah supaya beliau keluar dari penjara dan mengadapnya di istana. Dan sebagai orang yang dipilih , dia meminta berjumpa secara sendirian dengan Nabi Yusuf. Sebab ada raja-raja apabila menemui sesuatu yang berharga dan besar gunanya, dia mahu mengambil tahu dengan lebih lanjut lagi tanpa dicampuri oleh orang lain.

Lalu pergilah pemuda utusan menemui Nabi Yusuf yang masih di dalam penjara buat kali keempat. Diberitahukan kepada Nabi Yusuf yang beliau tidak bersalah dan disuruh mengadap raja dengan segera. Maka pergilah Nabi Yusuf keluar dari penjara. Nabi Yusuf diberikan persalinan yang baik-baik lalu diiringkan bersama dengan serba kebesaran ke dalam majlis raja.

Setelah Nabi Yusuf berhadapan dengan raja, lalu raja mengeluarkan titahnya yang mulai hari itu, raja telah melantik Nabi Yusuf sebagai orang besar kerajaan dengan pangkat tertinggi di dalam istana dan juga akan diberi tanggungjawab kerana beliau telah menjadi orang kepercayaan raja. Semua urusan negara diletakkan di bawah pimpinan dan tanggungjawab Nabi Yusuf, beliaulah yang berhak sepenuhnya mengendalikan pemerintahan dan beliaulah satu-satunya orang yang dapat berhubungan langsung dengan raja.


Surah Yusuf Ayat 55

“Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". - 55

Nabi Yusuf meminta supaya raja melantiknya menjadi pegawai negeri yang akan menguruskan hal ehwal makanan dan harta kekayaan meliputi seluruh negeri Mesir yang diperintah oleh raja itu. Diminta oleh Nabi Yusuf supaya raja percayakan diri beliau mengendalikan seluruh sumber ekonomi supaya dapat beliau mengatur mana yang patut dibelanjakan dan mana yang patut dihematkan. Dan dengan tidak menyombong diri dan penuh keyakinan Nabi Yusuf menyatakan kesanggupannya dalam mengatur semua perihal negara.



Surah Yusuf ayat 56

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.” - 56

Kekuasaan yang penuh telah diserahkan oleh raja kepada Nabi Yusuf. Mulai hari itu Nabi Yusuf telah dapat berbuat sekehendak hatinya di seluruh negeri Mesir. Ke mana dia pergi, di mana dia hendak bermalam, di bahagian mana hendak mendirikan istana peranginan, tidak ada yang akan menghalangi beliau. Ini semua adalah sebagai imbal balik daripada apa yang telah dideritai beliau selama ini, bertahun-tahun meringkuk di dalam penjara, dinafikan kebebasan sama sekali.

Menurut Al Qurtubi di dalam tafsirnya, setelah raja menyerahkan seluruh kekuasaannya di bumi Mesir, Nabi Yusuf telah menyeru seluruh manusia supaya memeluk agama Islam dan ditunjukkan sifat belas kasihan beliau kepada seluruh penduduk Mesir. Menurut keterangan Mujahid dalam tafsirnya, raja Ar-Rayyan bin Al Walid itu sendiri pun akhirnya telah memeluk Islam. Maka ditegakkannyalah keadilan, sehingga seluruh penduduk lelaki dan perempuan di dalam negeri Mesir itu sayang kepada beliau.

Mengikut kata As Suddi dan Ibnu Abbas, maka datanglah tahun-tahun yang subur dan musim yang makmur itu. Lalu Nabi Yusuf memerintahkan orang supaya memperbaiki pertanian mereka dan memperluaskannya. Dan apabila datang musim menuai, beliau menyuruh pula ahli menuai supaya mengumpul makanan telah dituai sehingga penuh berlimpah persediaan makanan, berlebih-lebihan selama tujuh tahun. Dilakukan sepertimana yang difatwakan oleh Nabi Yusuf dalam mentadbirkan mimpi raja, iaitu makanan yang diambil hanya sekadar akan dimakan, lebihnya disimpan bersama tangkai supaya tahan lama.

Setelah itu datanglah pula tahun yang ditakuti, tujuh tahun kemarau dan kekurangan makanan. Sehingga mulalah orang menderita kelaparan. Menurut Imam Al Qurtubi di dalam tafsirnya, setelah ramai rakyat yang telah kehabisan makanan dan bekalan, mereka mula lah akan meminta kepada perbendaharaan negara Mesir pula yang pada masa itu masih banyak lagi simpanan bekalan makanan. Di sinilah terserlah kebijaksanaan Nabi Yusuf kerana telah menyiapsediakan simpanan bekalan makanan yang banyak untuk rakyat-rakyatnya. Rakyat pun berpusu-pusu membeli makanan dari simpanan kerajaan. Kekayaan negara menjadi berlimpah ruah kerana dalam masa tujuh tahun kelaparan, segala kekayaan telah dijual orang kepada kerajaan untuk menghindarkan dari kelaparan yang besar itu.

Namun Nabi Yusuf sangat bijaksanan. Beliau tidak pernah menjadi tamak sehingga sanggup mengambil kesempatan di atas kesusahan rakyat Mesir. Walaupun orang yang lapar itu sudah sanggup menjadi hamba kepada beliau kerana sudah kehabisan hartabenda, namun Nabi Yusuf tidaklah suka untuk menghambakan mereka. Kerana kepandaian beliau mengatur perbendaharaan negara, hendak menolong rakyat dan tidak menghalang kemuliaan dan kebesarannya sendiri. Lalu di dalam hujung ayat ini Allah telah berfirman , “Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Di sini diulang sekali pujian terhadap Nabi Yusuf sebagai seorang yang selama ini hidupnya selalu menjadi Muhsinin, orang yang selalu berbuat kebajikan. Walaupun sekarang beliau telah menjadi orang kenamaan dan berpangkat besar, Allah tetap memuji beliau kerana sifat beliau yang Muhsinin itu.

Nabi Yusuf tetap seorang yang Muhsinin. Selalu membuat kebajikan. Seorang manusia yang tidak berubah sikapnya kerana perubahan nasib dan keadaan, tidak berkecil hati ketika bernasib buruk dan tidak menyombong ketika bernasib baik.



Surah Yusuf ayat 57

“Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.” - 57  

Sesungguhnya pahala yang ada di akhirat, iaitu balasan yang merupakan segala kenikmatan di akhirat itu adalah diperuntukkan bagi orang-orang yang beriman lagi bertakwa kepada Allah. Pahala tersebut adalah lebih baik bagi mereka dariapda pahala atau balasan yang mereka terima di dunia betapa pun besarnya mereka peroleh.

Ini menjadi dalil bahwa balasan yang akan diterima oleh Nabi Yusuf as di akhirat nanti adalah lebih besar lagi daripada yang diterima semasa di dunia.


Ayat 58-62: Pertemuan Yusuf ‘alaihis salam dengan saudara-saudaranya, dan dialog yang terjadi antara Beliau dengan mereka

Surah Yusuf Ayat 58

“Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya. “

Tahun-tahun susah yang melanda, bukan setakat negeri Mesir sahaja tetapi juga melanda negeri berdekatan Mesir juga. Termasuklah negeri Kan’an, Palestin dan Syam. Keluarga Nabi Yaakub juga tidak terlepas dari bencana kekurangan makanan itu, kerana mereka tinggal di sebuah kawasan yang berhampiran dengan negeri Mesir. Nabi Yaakub dan keluarganya yang telah kekurangan makanan mendapat tahu bahwa negeri Mesir lah satu-satunya negeri yang masih dapat menjual gandumnya kepada orang ramai. Nabi Yaakub pun menyuruh putera-puteranya pergi ke Mesir untuk membeli gandung atau bertukar barter hasil di negerinya dengan gandum Mesir.

Lalu pergilah putera-putera Nabi Yaakub ke negeri Mesir. Apabilah sepuluh orang saudaranya itu masuk mengadap Nabi Yusuf yang sedang duduk di atas kerusi kebesarannya, beliau segera dapat mengenali mereka satu persatu, namun mereka semua tidak mengenali beliau dan sama sekali tidak terlintas dalam fikiran mereka bahwa adik kecil mereka Nabi Yusuf yang mereka khianati suatu ketika dahulu berada di depan mereka.

Perpisahan sudah lebih kurang 25 tahun dan rupa Nabi Yusuf sudah sangat berubah. Dahulu kecil, sekrang sudah menjadi dewasa. Dan ditambah lagi dengan pakaian yang dipakai oleh Nabi Yusuf iaitu pakaian kerajaan, sedangkan pakaian saudara beliau semuanya adalah pakaian dusun saja. Maka bertambah mudahlah untuk Nabi Yusuf menanyakan kepada mereka anak siapa, datang dari mana, tidak ada di antara mereka yang akan berani menanyakan beliau siapa orang besar itu. Pada zaman purbakala itu, nama orang besar tidak boleh disebut-sebut dengan sewenang-wenangnya. Cukup dengan menyebut Al Aziz saja yang bermakna ‘Yang Mulia’.

Menurut As Suddi, Muhammad bin Ishaq dan beberapa tafsir lain, Nabi Yusuf telah menayakan mereka , berkata dengan sikap seakan-akan curiga, “mengapa kamu masuk ke dalam negeriku? Apakah kamu semua ini adalah penyiasat?” Saudara Nabi Yusuf menjawab “Yang mulia, maksud kedatangan kami ini ialah hendak membeli bekalan. Kami bukanlah penyiasat, dijauhkan oleh Allah swt dari pekerjaan itu. Kami datang dari Kan’an dan ayah kami Nabi Allah Yaakub.”

Nabi Yusuf bertanya lagi, “adakah dia mempunyai putera-putera lain selain kamu?”

“Ya” jawab mereka, “kami semuanya dua belas orang adik beradaik. Yang paling muda di antara kami telah meninggal dan dialah yang paling dicintai oleh ayah kami dan menahan adik kandungnya sekarang di rumah dan tidak membiarkannya turut bersama kami ke mari. Dialah yang menjadi penghibur ayah satu-satunya menggantikan abangnya yang telah meninggal.”



Surah Yusuf Ayat 59 Dan 62

Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:" (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu? “ - 59

“Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi". - 60

Mereka menjawab: "Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya". - 61

“Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. "Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)". - 62

Kemudian Nabi Yusuf pun memerintahkan agar mereka diberikan tempat penginapan dan diberi penghormatan. Tatkala Nabi Yusuf menyiapkan bekal makanan dan barang-barang itu dimuatkan di atas unta-unta mereka, Nabi Yusuf menyuruh mereka agar membawakan kepada beliau saudara mereka yang sebapa yang ditinggalkan di rumah. Iaitu Bunyamin yang tinggal bersama Nabi Yaakub.

“Bukankah kamu tahu bahwa aku menyukat dengan cukup?” Maksudnya Nabi Yusuf telah memberi mereka makanan yang cukup sukatannya sedikit pun tidak dikurangi. Malahan Nabi Yusuf ada banyak lagi tambahan makanan yang akan diberi yang diletakkan bebanan itu di atas unta untuk saudara mereka itu.

“Dan aku sebaik-baik orang yang menerima tetamu.” maksudnya Nabi Yusuf telah memberi layanan dan keraian yang cukup selama mereka berada di Mesir. “Maka sekiranya kamu tidak membawanya (Bunyamin) ke mari, nescaya aku tidak akan memberi lagi bahan makanan kepada kamu pada masa akan datang. Malah jangan kamu datang lagi ke negeri kami.” demikian Nabi Yusuf menakut-nakutkan mereka.

Oleh kerana mereka takut tidak mendapat makanan lagi pada masa akan datang lalu mereka berjanji akan memujuk bapa mereka Nabi Yaakub supaya melepaskan Bunyamin untuk mengikut mereka ke Mesir sepertimana yang diperintahkan oleh Nabi Yusuf.

Tatkala Nabi Yusuf menyediakan bekalan makanan untuk mereka, Nabi Yusuf berpesan kepada khadam-khadamnya supaya memasukkan semula wang harga makanan itu bersama bekalan makanan ke dalam karung secra sembunyi, biarlah nanti mereka tahu bahwa wang itu telah dikembalikan kepada mereka apabila sampai ke negeri mereka. Dengan demikian diharap mereka menyedari lalu segera kembali ke Mesir.

Sesetengah para Mufassirin mengatakan, bahwa wang harga makanan itu ialah sejumlah kasut dan kulit binatang yang dibayar sebagai harga makanan.

Sebabnya Nabi Yusuf menyuruh kembalikan wang mereka dengan memasukkan ke dalam karung itu adalah sebagai muslihat beliau. Di antaranya ialah sebagai tanda kemurahan hatinya, untuk membantu bapa dan sudara-saudaranya dan tidak patut kalau dia mengambil pembayaran dari mereka yang pada masa itu sedang mengalami kekurangan wang dan kekurangan makanan. Juga tujuannya apabila mereka mengetahui entang wang mereka berada di dalam karung mudah-mudahan mereka akan segera datang ke Mesir untuk mengembalikannya. Ini kerana mereka semua adalah keturunan Nabi yang bersifat amanah dan jujur, tentulah mengembalikan setiap amanah kepada tuannya.


Ayat 63-66: Tidak mengapa menggunakan siasat untuk mencapai tujuan selama masyru’ (disyariatkan), dan pentingnya bersikap hati-hati dan waspada


Surah Yusuf Ayat 63

“Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

Setelah saudara-saudara Nabi Yusuf kembali ke Kan’an, mereka berkata kepada ayah mereka, “wahai ayah, kami tidak akan dilayani lagi untuk mendapat gandum, jika kami tidak membawa adik Bunyamin bersama kami pergi ke Mesir. Maka biarkanlah dia ikut bersama kami kelak, apabila kami ingin membeli gandum lagi. Percayalah wahai ayah, bahwa kami akan menjaganya sebaik mungkin.”



Surah Yusuf Ayat 64

“Bapa mereka berkata: "(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".

Nabi Yaakub berkata kepada anak-anaknya, bagaimana aku akan percaya lagi kepada kamu untuk membenarkan Bunyamin pergi bersama kamu, padahal kamu dahulu telah memperlakukan Yusuf yang aku percayakan kepada kamu. Semasa itu kamu telah menyebutkan kata-kata yang sama dengan yang kamu sebutkan pada hari ini serta kamu berjanji hendak menjaganya baik-baik dan membawanya pulang dengan selamat, tetapi hasilnya sangat mengecewakan. Kalau kamu tidak boleh dipercayai untuk menjaga Yusuf, bagaimana pula kamu boleh dipercayai untuk menjaga saudaranya Bunyamin.

Kemudian kata Nabi Yaakub lagi, ‘hanya Allah jualah sebaik-baik pemelihara yang dapat dipercayai dan Dia jualah yang paling pengasih daripada sekalian yang pengasih.

Kata-kata beliau yang akhir ini menunjukkan pada zahirnya bahwa ia terpaksa menyerahkan Bunyamin untuk dibawa ke Mesir, dan dia berserah kepada Allah dalam segala perkara dan percaya Tuhan itu bersifat belas kasihan keapda hambaNya. Ia terpaksa melepaskan anak yang disayanginya, kerana mengenangkan kesulitan hidup untuk mendapatkan makanan pada masa itu.




Surah Yusuf Ayat 65 Dan  66

“Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: "Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya". - 65

Bapa mereka berkata:" Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu." - 66

Apabila mereka membuka bekalan makanan yang mereka bawa dari Mesir, dengan tidak disangka-sangka mereka telah berjumpa dengan wang mereka. Rupa-rupanya telah dipulangkan kembali kepada mereka padahal dahulu telah dibayarkan kepada Nabi Yusuf sebagai harga makanan itu, tetapi sekarang ada di seludupkan di dalam makanan tersebut. Mereka menjadi tercengang dan teringat kembali akan kebaikan budi Nabi Yusuf kepada mereka. Lalu mereka berkata kepada Nabi Yaakub, “wahai ayah kami! Apa lagi yang kita kehendaki?”

Maksudnya apa lagi yang kita hendak cakapkan setelah kita saksikan segala kebaikan, layanan dan bekalan makanan yang kita terima serta wang harga makanan itu pula dikembalikan kepada kita?” Kata-kata yang mereka ucapkan itu untuk menyedapkan hati bapa mereka. Jelasnya wang mereka dikembalikan, makanan mereka diberikan. Oleh sebab itu, janganlah ayah mereka takut dan bimbang tentang Bunyamin, mereka akan menjaganya dengan baik. Lagi pula, sekiranya Bunyamin dibawa ke Mesir, mereka akan kelak mendapat lagi tambahan makanan satu bebanan unta.

Nabi Yaakub berkata kepada mereka dengan cara yang bersungguh-sungguh. iaitu dia tidak sekali-kali membenarkan Bunyamin dibawa ke Mesir sehingga mereka berjanji terlebih dahulu serta bersumpah dengan nama Allah bahwa mereka akan kembalikan Bunyamin kepada ayahnya dengan selamat. Kecuali kalau mereka terhalang oleh sesuatu keadaan yang tidak dapat dielakkan yang menyebabkan mereka semua terbinasa, maka terpaksalah tidak membawanya pulang.

Kemudian setelah mereka berjanji dengan bersumpah seperti yang dikehendaki oleh Nabi Yaakub, maka Nabi Yaakub berkata, “ "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu”  
Ayat 67-69: Nabi Ya’qub ‘alaihis salam berpesan kepada anak-anaknya, pentingnya orang tua memiliki sikap perhatian kepada anak-anaknya, serta memberitahukan kepada mereka cara agar selamat dari bahaya

Surah Yusuf Ayat 67

“Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". - 67

Maka bersiaplah mereka semua adik beradik termasuk Bunyamin hendak berangkat kembali ke Mesir. Nabi Yaakub telah berpesan kepada mereka apabila hendak masuk ke negeri Mesir nanti janganlah mereka memasuki sebuah pintu dengan bersama-sama. Iaitu jangan melalui sebatang jalan saja untuk menuju ke kota, tetapi hendaklah melalui beberapa batang jalan berlainan dengan berpecah dan berasingan. Ini kerana Nabi Yaakub khuatir atas keselamatan mereka dari terkena ain oleh orang-orang Mesir yang dengki, sebab mereka dikurniakan perawakan yang kacak, kuat dan tinggi lampai, lagi pula semuanya dilahirkan dari seorang bapa. Maka kalau mereka masuk melalui berlainan jalan dan lorong ke dalam kota besar itu, tidaklah menarik benar perhatian orang yang memandang.

Ain ialah pandangan mata orang yang denki,, yang boleh menyebabkan orang yang terkena pandangan ini akan jadi binasa. Setengah berpendapat, bahwa mata ada mempunyai kuasa sebagai bisa yang beracun. Orang yang binasa atau rosak apabila terkena pendangannya, adalah sepertimana dia terkena bisa ular atau kala jengking yang beracun, akan binasa apabila terkena gigit atau sengat olehnya. Maka orang yang binasa hanya disebabkan terkena pandangan mata, orang itu dikatakan terkena ain. Adanya ain ini merupakan suatu perkara yang benar.

Dan Nabi Yaakub berkata lagi bahwa sekiranya Allah telah mentakdirkan sesuatu perkara yang buruk akan menimpa ke tas mereka dengan hukum atau keputusanNya, samada mereka masuk ke kota bersama-sama atau dengan cara berpecah dan berlainan jalan, nescaya apa yang ditakdirkanNya itu akan berlaku juga. Kerana tiap-tiap perkara yang sudah ditakdirkan oleh Allah pasti akan berlaku.

Hanya Allah saja yang berhak menghukum dan menetapkan sesuatu perkara. Tiada ada sesiapa bersekutu untuk campur tangan denganNya. Kata-kata ini menunjukkan bahwa Nabi Yaakub menyerahkan segala urusannya hanya kepada Allah, tidak pada orang lain, dan mempercayakan apa yang baik mengikut takdir Allah, serta menyuruh pula orang lain turut bertawakkal dengan berkata seprtimana ayat 67, “..kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri"


Surah Yusuf ayat 68

“Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan). “ - 68


Kemudian mereka pun menuju ke kota Mesir dengan melalui arah pintu yang berlainan. Tetapi walaupun mereka masuk secara demikian, apa yang dikatakan oleh Nabi Yaakub itu telah diakui kebenarannya oleh Allah sendiri di mana Nabi Yaakub mengatakan, “aku tidak dapat menghalang kamu dari hukum Allah sedikit pun.” Maksudnya apabila sudah takdir, tidak berguna lagi tadbir. Bererti apabila Allah sudah memutuskan sesuatu dan menetapkannya , ia tidak dapt diubah-ubah meskipun berjaga-jaga dan berhati-hati.

Sesungguhnya Nabi Yaakub adalah orang yang berilmu. Dia mengamalkan ilmu yang diajarkan oleh Allah berupa wahyu dan kepandaian mentadbirkan mimpi dengan betul, serta mempunyai iktikad, bahwasanya manusia itu mestilah menyediakan apa yang menjadi sebab tercapainya cita-citanya, lalu bertawakkal kepada Allah samda berhasil atau tidak.

Tetapi kebanyakan orang tidak mengetahui bagaimana mestinya setiap orang bersedia, berusaha dan berikhtiar untuk mencapai maksud yang dicita-citakannya dan bagaimana caranya bertawakkal kepada Allah, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Yaakub.



Surah Yusuf Ayat 69

“Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:" Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan".  - 69

Para Mufassirin menyebutkan, setelah sampai di Mesir  mereka terus menemui Nabi Yusuf. Mereka berkata, “wahai tuanku! Inilah saudara kami yang tuanku suruh kami bawa ke mari.” Diwajab oleh Nabi Yusuf, “baguslah apa yang sudah kamu buat. Kamu akan dapati balasannya yang bagus pula daripadaku.” Kemudian mereka semua telah diberikan keraian dan layanan yang baik.

Dengan secara ringkas demikian AlQuran menerangkan betapa pertemuan adik beradik yang telah terpisah lebih dari 25 tahun itu. Tidaklah dapat lagi Nabi Yusuf menyimpan rahsia daripada adik kandungnya, Bunyamin. Setelah mereka dapat duduk berdua di satu tempat yang agak terpencil dari saudara-saudara mereka yang lain, Nabi Yusuf pun memberitahukan kepada Bunyamin bahwa beliau adalah saudaranya, seibu sebapa dan juga hal sebenar yang telah terjadi pada dirinya. Namun Nabi Yusuf juga bepesan kepada Bunyamin supaya janganlah Bunyamin menyesali apa yang terjadi kepada diri beliau dan apa yang telah diperbuat oleh saudara-saudara mereka terhadap Nabi Yusuf.

Kemudian Nabi Yusuf menyuruh agar Bunyamin dapat merahsiakan dahulu hal tersebut dari pengetahuan saudara-saudara mereka yang lain.Tidak memberitahukan apa yang telah terjadi kepadanya bahwa beliau adalah saudara mereka. Selanjutnya Nabi Yusuf sepakat bersama Bunyamin untuk memasang helah agar dapat membuatkan Bunyamin tinggal di sisi Nabi Yusuf dalam keadaan mulia dan terhormat. Bahkan ayah dan bondanya dan saudara-saudaranya juga kelak yang akan disuruh datang ke Mesir semula, supaya nanti akan terlepas dari kemiskinan hidup di kampung.



Ayat 70-76: Kelanjutan kisah Yusuf bersama saudara-saudaranya, dan bahwa Allah Subhaanahu wa Ta’aala meninggikan siapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya dengan ilmu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.