Monday, June 29, 2015

Surah Al Hijr Ayat 52 Hingga 70

Surah Al Hijr Ayat 52 Hingga 56


“Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Selamat sejahtera kepadamu!" Ia berkata: "Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu". - 52


“Mereka menjawab: "Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu".  - 53


“Nabi Ibrahim berkata: "Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?" - 54


“Mereka menjawab: "Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa". - 55


“Nabi Ibrahim berkata: "Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat". - 56


Nabi Ibrahim ini sifatnya suka sangat untuk melayan tetamu. Setiap hari akan ada tetamu yang hadir di rumahnya. Dan pada setiap kali itulah Nabi Ibrahim akan menyediakan hidangan untuk tetamu makan. Beliau akan merasa bahagia bila tetamu makan bersama beliau. Dan beliau akan berhiba hati sekiranya pada sesehari itu tidak ada tetamu untuk dibawa makan bersama-sama.


Lalu pada hari itu Nabi Ibrahim didatangi tetamu yang tidak dikenali. Mereka mengucapkan salam kepada Nabi Ibrahim dan isteri beliau. Siti Sarah disuruh oleh Nabi Ibrahim untuk menyediakan makanan. Setengah riwayat menceritakan hidangan itu adalah berupa daging yang lembut dan enak dari seekor anak lembu. Tetapi apabila Siti Sarah menghidangkan juadah tersebut, tetamu yang hadir itu tidak menjamah makanan tersebut. Timbullah firasat lain di dalam diri Nabi Ibrahim. Bulu roma beliau berdiri merasakan sesuatu yang aneh. Nabi Ibrahim merasa risau dan takut. Terdetik di dalam hatinya bahwa tetamu beliau itu bukanlah manusia! Jin kah? atau malaikat?


Tetamu Nabi Ibrahim pun menjelaskan supaya Nabi Ibrahim tidak merasa takut kepada mereka kerana mereka adalah malaikat yang diutuskan Allah untuk menyampaikan berita gembira kepada beliau. Tentang siapakah malaikat itu yang diutuskan oleh Allah, tidaklah kita ketahui samada Jibril ke, Mikail ke, kerana Allah tidak menceritakan di sini. Jadi kita terima saja yang ianya adalah terdiri dari beberapa para malaikat. Berita gembira tersebut adalah bahwa Nabi Ibrahim kelak akan dianugerahkan seorang anak laki-laki. Anak itulah kemudiannya diberi nama Ishak. Iaitu anak yang kedua kerana anak pertama Nabi Ibrahim ialah Ismail bersama hamba beliau Siti Hajar.


Nabi Ibrahim berasa hairan, bagaimana beliau akan mendapat anak sedangkan dia dan isterinya siti Sarah telah sangat tua dan lanjut usia. Memandang kepada keadaannya yang telah tua itu seolah-olahnya beliau menyangkal kebenaran berita gembira yang dibawa oleh malaikat tersebut.


Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada malaikat tersebut untuk meminta kepastian apakah berita gembira yang dibawa itu pasti akan berlaku. Selain faktor usia yang telah sangat lanjut mencecah 100 tahun, isteri beliau Siti Sarah pula adalah mandul pula. Lalu bagaimanakah jalan untuk mereka mendapatkan anak?


Malaikat menjelaskan bahawa mereka bercakap bukan perkara yang main-main. Dan janganlah kiranya Nabi Ibrahim menganggap faktor usia dan kemandulan isterinya itu makan beliau sudah berputus harap terhadap kekuasaan Allah.


Mendengar penjelasan itu, sedarlah Nabi Ibrahim bahwa sebagai seorang rasul Allah beliau telah tersalah bicara. Sesungguhnya bagi Allah adalah tersangat mudah untuk menjadikan dan melakukan sesuatu perkara, lalu mengapa harus beliau berfikiran yang ianya mustahil dan berputus harap terhadap Allah. Orang-orang yang berputus harapan terhadap Allah adalah tergolong di dalam orang-orang yang sesat. Sedangkan beliau adalah rasul Allah lalu tidak sewajarnya beliau berfikiran demikian. Yakin Nabi Ibrahim kali ini bahwa belaiu bakal mendapat zuriat lagi.



Surah Al Hijr Ayat 57 Hingga Ayat 60


“Nabi Ibrahim bertanya pula: "Apa hal kamu wahai Utusan Tuhan?" - 57


“Mereka menjawab: "Kami diutus kepada suatu kaum yang berdosa (untuk membinasakan mereka)". - 58


“"Melainkan keluarga Nabi Lut; sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya, - 59


“"Kecuali isterinya; kami telah tentukan (menurut keputusan Tuhan) sesungguhnya ia dari orang-orang yang tinggal (menerima kebinasaan)". - 60


Setelah hilangnya rasa takut dan ditambah pula lagi dengan rasa gembira menerima berita yang tak diduga itu, Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada para malaikat, apakah urusan mereka yang sebenarnya selain dari membawa berita gembira keapdanya itu. Pada pendapatnya boleh jadi mereka diutus kerana sesuatu urusan yang lain. Sebab kalau hanya sekadar membawa berita gembira tidaklah begitu mustahak untuk Allah mengirimkan utusan sedemikian ramai, cukuplah kalau dengan seorang utusan saja.


Para malaikat menjelaskan bahwa mereka juga diutuskan oleh Allah untuk membinasakan kaum Sodom iaitu kaum Nabi Lut yang berdosa lagi durjana. Mereka ini telah melakukan satu dosa besar yang terlaknat iaitu melakukan penzinaan antara sesama lelaki yang disebut sebagai homoseksual. Maka semua kaum yang berdosa itu menurut keterangan malaikat kepada Nabi Ibrahim, akan dibinasakan.


Malaikat-malaikat utusan Allah akan membinasakan semua kaum yang berdosa itu kecuali Nabi Lut dan keluarganya, dan pengikut-pengikutnya yang beriman. Di dalam surah Adz-Dzariyat ayat 36 mengatakan bahwa pengikut Nabi Lut tidaklah ramai. Hanya sebuah saja keluarga orang muslim.


Oleh kerana AlQuran benar-benar wahyu yang membawa kebenaran, tidak bercampur dengan kata-kata lain, walaupun dari buah fikiran Nabi Muhammad sendiri, maka kita kerapkali akan bertemu di dalam AlQuran yang mengatakan bahwa isteri Nabi Lut itu termasuk dalam golongan orang yang dibinasakan, yang tidak turut diselamatkan dari azab. Tetapi harus diingat bahwa tidak ada satu pun di dalam ayat AlQuran yang membuka rahsia perempuan tersebut, iaitu isteri Nabi Lut. Apa sebab maka dia turut diazab? Padahal dia adalah isteri seorang rasul. Apakah kesalahannya dengan jelas? Apakah dia berzina? Apakah dia turut melakukan juga di dalam perbuatan keji itu?


Hanya disebut saja di akhir surah At Tahrim ayat 10 bahwa dia mengkhianati suaminya. Apa pengkhianatan itu pun tidak disebut. Maka nyatalah bahwa hukuman seberat itu yang ditimpakan kepada diri isteri Nabi Lut itu nescaya sepadan dengan dosanya. Kita perlu fahami sampai di situ saja. Tak perlulah nak menyungkil secara detail apa yang telah diperbuat olehnya sehingga menyebabkan dia menerima azab sedemikian.


Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu: perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan (sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan): "Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk (ke situ)".  
(Surah At Tahrim ayat 10)


Surah Al Hijr Ayat 61 Hingga


Maka apabila (malaikat-malaikat) utusan itu datang kepada kaum Nabi Lut, - 61


“Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)". - 62


“Mereka menjawab: "(Kedatangan kami bukan untuk mendukacitakanmu) bahkan kami datang kepadamu untuk membawa azab yang mereka ragu-ragukan kebenarannya.” - 63


“"Juga membawa kepadamu perkara yang benar (tentang kebinasaan mereka); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar ". - 64


“"Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada waktu malam serta ikutlah di belakang mereka; dan janganlah seseorang pun di antara kamu berpaling (ke belakang); serta pergilah terus ke arah yang diperintahkan kamu menujunya". - 65


Berangkatlah para malaikat menuju ke rumah Nabi Lut pula. Apabila sampai di rumah Nabi Lut, maka Nabi Lut mengenali mereka dan merasa curiga kalau -kalau mereka datang membawa akibat yang buruk. Nabi Lut menegur mereka kerana mereka datang sebagai orang yang tak dikenali ke daerah tersebut dengan perawakan yang muda belia, berbadan segak dan tampan lagi rupawan.


"Sesungguhnya kamu suatu kaum yang tidak dikenali (serta tidak diketahui baiknya kedatangan kamu)".
Nabi lut takut sekiranya mereka nanti akan dikerumuni oleh penduduk negeri Sodom yang berahi kepada kaum lelaki dan akan mencabuli mereka. Dengan kata-katanya itu seolah-olahnya Nabi Lut tidak bersedia menerima kedatangan mereka untuk menjadi tetamu, kerana tidak sanggup melindungi mereka jika ada bahaya yang menimpa.


Para malaikat itu mengatakan supaya janganlah Nabi Lut khuatir di atas kedatangan mereka kerana mereka datang itu pun untuk membawa bencana dan kecelakaan kepada kaum Nabi Lut yang berbuat dosa terlaknat. Percayalah! mereka datang membawa tugas yang kebenarannya pasti diyakini, dan tidak ada jalan hendak meragu-ragukannya lagi, kerana mereka adalah orang yang benar mengenai apa yang mereka beritakan kepada Nabi Lut tadi.


Rombongan malaikat itu pun menyuruh Nabi Lut membuat persiapan ntuk menyelamatkan diri dan keluarganya serta para muslimin yang beriman  untuk meninggalkan negeri itu pada akhir waktu tengah malam iaitu pada waktu dinihari menjelang subuh.


Nabi Lut disuruh berjalan di belakang dan pengikutnya berjalan di hadaapn. Ini adalah supaya Nabi Lut dapat memastikan yang tidak seorang pun yang akan ketinggalan dalam perjalanan itu. Mereka juga dilarang untuk berpaling melihat ke belakang, agar mereka tidak menyaksikan kejadian ngeri, seksa dan azab yang dijatuhkan kepada kaum itu.


Itulah tindakan yang perlu diambil oleh mereka nanti di tengah malam dan Nabi pun telah menyampaikan perintah-perintah itu keapda para keluarganya dan pengikutnya.



Surah Al Hijr Ayat 66 Hingga 70


“Dan Kami wahyukan kepadanya tentang kesudahan perkara itu; iaitu mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga mereka punah ranah dan terputus keturunannya.” - 66


“Dan (semasa kedatangan mereka) datanglah penduduk bandar itu dengan gembira.” - 67


“Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memberi malu kepadaku".  - 68


“"Dan takutlah kamu kepada Allah serta janganlah kamu menghinakan daku". - 69


“Mereka menjawab: "Bukankah kami telah melarangmu jangan menerima sebarang tetamu dari orang ramai (atau memberi perlindungan kepada mereka)?" - 70  


Nabi Lut mewahyukan kepada Nabi Lut bahwa perkara yang dihukumkan kepada kaumnya itu sudah pun diputuskan dan tidak akan ditarik kembali dan bahwa pada pagi esok semua kaumnya akan dibinasakan, tidak akan ada yang tinggal. Dan tidak akan ada lagi yang hidup.


Itulah rahsia yang telah disampaikan oleh malaikat-malaikat itu apabila sampai di rumah Nabi Lut. Kemudian mereka pun duduk dengan tenang. Apabila penduduk kota Sodom mendengar berita tentang kedatangan belia-belia segak dan tampan yang sedang bertamu di rumah Nabi Lut, mereka pun bersegera menerpa ke rumah beliau dengan perasaan yang sangat gembira. Berduyun-duyun, berkerumun ke rumah Nabi Lut untuk melihat sendiri wajah lelaki kacak yang ada di rumah Nabi Lut. Demikianlah runtuhnya budi dan maruah mereka.


Nabi Lut telah menegaskan kepada kaumnya bahwa lelaki kacak itu adalah tetamunya maka haruslah dihormati dan  janganlah mereka melakukan perkara yang akan memalukan. Janganlah hendaknya tetamu itu diganggu apalagi hendak menceroboh mereka. Hendaklah mereka takut kepada Allah iaitu seksaan yang akan menimpa ke atas mereka sekiranya mereka terus berdegil hendak mencabuli tetamu tersebut. Janganlah hendaknya juga kaum nabi Lut itu memalukan Nabi Lut dengan perbuatan keji mereka.


Kaum Nabi Lut ini bukan saja tidak boleh dilarang dan tidak makan nasihat, malah menyalahkan Nabi Lut pula. Mereka menempelak Nabi Lut dengan mengatakan bahwa bukankah mereka telah melarang Nabi Lut untuk menerima tetamu dari luar?


Dengan pertanyaan demikian, rupanya sudah ada peraturan yang dibuat oleh mereka. Peraturan itu adalah tidak boleh seseorang itu menerima tetamu lelaki dengan senyap-senyap. Kalau ada tetamu lelaki mestilah dilaporkan kepada pemerintah negeri. Sekarang ini Nabi Lut sudah ada tetamu, tetapi tidak dilaporkan tentang mereka keapda pemerintah negeri. Itu adalah suatu kesalahan besar. Maka hukumannya tetamu-tetamunya ini mesti diserahkan  kepada mereka. Dan bagi Nabi Lut sendiri adalah suatu kehinaan besar kalau tetamunya hendak ditangkap di hadapan matanya sendiri. Nabi Lut memujuk mereka lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.