Saturday, May 30, 2015

Surah Yusuf Ayat 1 Hingga Ayat 20

Pengenalan


Surah Yusuf ini mengandungi 111 ayat, semuanya diturunkan di Mekah. dan hubungannya dengan surah yang sebelumnya iaitu Surah Hud adalah surah ini menjadi penamat daripada kisah-kisah para rasul yang membuktikan bahwa Al Quran itu adalah wahyu kepaa Allah sebagai bukti perutusanNya kepada Nabi Muhammad saw yang menajdi nabi terakhir.


Adapun perbezaan di antara kisah yang tersebut dalam surah ini dengan kisah-kisah yang tersebut dalam surah-surah yang terdahulu iaitu, kalau dalam surah-surah terdahulu ada disebutkan kisah-kisah para rasul yang semuanya hidup di kalangan kaum mereka masing-masing dengan tugas menyampaikan dakwah. Iaitu seruan agama dan memberikan hujah dalma seruan itu serta kesudahan yang baik bagi mereka yang beriman dan akibat buruk kesudahan bagi mereka yang mendustakan para rasul.


Maka dalam surah inii pula diterangkan kisah seorang nabi yang semenjak kecil lagi dibela dan dipelihara dalam keluarga yang bukan keluarga dan kaumnya, sehingga ia meningkat muda remaja dan dewasa lalu dilantik menjadi nabi dan rasul yang ditugaskan untuk menyerukan agama Allah. Kemudian dapat mengendalikan suatu pemerintahakan di sebuah negeri yang besar dengan pentadbiran dan siasahnya yang bijaksana yang patut dijadikan contoh dan tauladan.


Yang pentingnya, Nabi Yusuf bersama bapa dan saudara-saudaranya adalah terhimpun dalam suatu keluarga kenabian. Dan sebagai himah Allah pula seluruh kisahnya dimuatkan dalam sebuah surah. Dan demikian pula kisah Nabi Yusuf merupakan kisah yang paling panjang pernah disebutkan di dalam kitab AlQuran.







Surah Yusuf ayat 1


Alif, Laam, Raa'. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang nyata.”


Pembukaan surah Yusuf ini adalah sama dengan pembukaan surah Yunus yang terdahulu. Hanya bezanya, kalau surah Yunus, AlQuran disifatkan sebagai kitab yang memberi penerangan secara bijaksana (al Hakim). Maka surah Yusuf pula, AlQuran disifatkan sebagai kitab yang berhikmah dan nyata (al Mubin). Dan kalau surah ini tajuknya menceritakan kisah seorang Nabi dengan segala suka dukanya yang mengalami pada mulanya kepahitan hidup, dan akhirnya kemanisannya, yang telah besakit-sakit dahulu dan bersenang-senang kemudian, semuanya itu menjadi contoh yang baik, adalah sesuai disifatkan sebagai kitab yang memberikan hikmah.


Maka Surah Yunus pula, tajuknya berkisar di sekeliling dasar-dasar agama, iaitu tentang mengesakan Allah, penetapan wahyu, kerasulan, hari kebangkitan dan pembalasan, semuanya adalah sesuai disifatkan sebagai kitab yang membawa penerangan.


Allah membuka Surah Yusuf ini dengan huruf Hija’, iaitu alif, lam dan ra, yang hanya Allah saja yang mengetahui akan maksudnya.


“...Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang nyata.”
Ayat-ayat dalam surah ini, merupakan ayat-ayat AlQuran yang dapat memberikan penerangan dalam perkara halal dan haram, tentang batas-batas agama serta hukum-hukumnya. Atau juga dimaksudkan dengan yang menerangkan perkara yang hak dariapda yang batil dan yang hala daripada yang haram. Ia juga menerangkan kisah purbakala dan keadaan mereka pada zaman dahulu.





Surah Yusuf ayat 2


Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”


Pada ayat ini Allah menegaskan bahwa Dia menurunkan AlQuran dalam bahasa Arab yang fasih agar dapat direnungkan dan difikirkan semua isi dan maknanya. Memang AlQuran diturunkan untuk semua manusia, bahkan juga untuk jin tetapi kerana yang pertama-tama menerimanya ialah penduduk Mekah, maka wajarlah bila firman itu ditujukan lebih dahulu kepada mereka dan seterusnya barulah untuk semua umat manusia.


Pertama-tama Allah menuntut perhatian orang-orang Quraisy dan orang-orang Arab seluruhnya supaya mereka memerhatikan isinya dengan sebaik-baiknya kerana di dalamnya terkandung bermacam-macam ilmu pengetahuan yang bermanfaat bagi mereka di dunia dan akhirat seperti hukum-hukum agama, kisah nabi-nabi dan Rasul-rasul, hal-hal yang bertalian dengan pembangunan masyarakat, asas kemakmuran, akhlak, filsafat, tata cara berpolitik baik yang bersifat nasional mahupun yang bersifat internasional dan lain sebagainya. Semuanya itu diutarakan dalam bahasa Arab yang indah susunannya mudah difahami oleh mereka.




Surah Yusuf ayat 3


“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.”


Di dalam ayat ini Allah menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahwa Allah akan menceritakan sebuah kisah yang indah dan terbaik tentang umat yang terdahulu. Sebabnya dikatakan ianya kisah indah dan terbaik adalah kerana di dalamnya mengandungi tamsil dan ibarat, pelbagai hukum dan faedah yang berguna dalam agama dan dunia, begitu pula tentang perjalanan raja-raja yang berkuasa, ulama, tipu daya perempuan dan sifat kesabaran dalam menghadapi penganiayaan musuh dan lain-lain pengajaran yang sangat baik untuk dicontohi.


Kata Khalid bin Ma’dan, surah Yusuf dan surah Maryam kedua-duanya menjadi buah mulut yang didiperkatakan oleh penduduk syurga. Dan kata ‘Ato’ pula apabila surah Yusuf didengarkan kepada orang yang sedang berdukacita tidak dapat tidak ia akan berasa lega.


Sebelum Allah menurunkan wahyu ini, Allah kata bahawa Nabi Muhammad adalah di antara orangyang tidak mengetahui akan kisah ini. Ini kerana Nabi Muhammad hidup di kalangan kaum yang masih ummiy iaitu buta huruf. Mereka tidak pernah mendengar berita yang dibawa oleh para nabi, juga tidak mendengar keterangan mengenai agama dan syariat Yaakub dan anak-anak mereka. Dan kaum Nabi Muhammad yang bersifat kekampungan dan tidak tahu kemajuan yang sudah dicapai oleh orang-orang yang di negeri Mesir, di mana Nabi Yusuf itu hidup dan tinggal di kalangan mereka yang telah mencapai tingkat kemajuan , siasah pemerintahan dan mengendalikannya dengan baik.




Surah Yusuf ayat 4


(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku".  


Allah menyuruh Nabi Muhammad saw mengingat tentang kisah Nabi Yusuf as supaya ianya dapat diceritakan pula kepada kaumnya tentang kata-kata Nabi Yusuf kepada bapanya iaitu Nabi Yaakub bin Ishak bin Ibrahim as. Nama Yusuf adalah perkataan dari bahasa Ibrani.


Nabi Yaakub mempunyai dua isteri iaitu Lea dan Rakhel. Kedua-duanya adalah anak perempuan Laban. Laban itu adalah orang Arami saudara daripada ibu Nabi Yaakub yang bernama Ribkah, isteri kepada Nabi Ishak. Dari Lea, Nabi Yaakub memdapat sepuluh orang anak. Dan dari Rakhel, Nabi Yaakub mendapat 2 orang anak saja iaitu Yusuf dan Bunyamin.. Itupun setelah Nabi Yaakub beransur tua. Setelah bersalinkan anak yang kedua, Rakhel meninggal dunia.


Disebabkan tiada ibu maka kasih sayang Nabi Yaakub banyak tertumpah kepada Yusuf dan Bunyamin. Terutama sekali Yusuf kerana mempunyai rupa paras yang segak dan cantik dan menjadi perhatian orang ramai. Anak Nabi Yaakub yang seramai 12 orang ramainya maka besarlah harapan Nabi Yaakub agar Allah mengurniakan apa yang telah diwarisi oleh ayahnya Nabi Ishak dan datuknya Nabi Ibrahim itu kepada anak-anaknya pula, iaiatu menjadi rasul Allah untuk menegakkan kepercayaan dan keesaan Allah.


Dan sekarang nabi Yaakub mendengar sendiri dari anaknya Nabi Yusuf yang mengatakan bahwa beliau telah berimimpi. Mimpinya ganjil, sebelas bintang, serta matahari dan bulan datang bersujud di hadapannya. Lalu Nabi Yaakub mendapat firasat bahwa Nabi Yusuf inilah agaknya yang akan menerima waris Nubuwwat dan Risalat itu. Sebab itulah beliau merasa akan terjadi bahaya kalau kisah mimpi itu diceritakan oleh Nabi Yusuf kepada saudara-saudaranya yang lain.





Surah Yusuf ayat 5


Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”


Lalu Nabi Yaakub terus berpesan dan menegah nabi Yusuf, supaya beliau tidak menceritakan hal mimpi yang dialaminya itu kepada orang lain. Nabi Yaakub khuatir kalau mimpi itu diketahui oleh saudara-saudara Nabi Yusuf yang lain, mereka akan merasa dengki dan akan mula membuat tipu daya untuk mencelakakan Nabi Yusuf.


Syaitan yang telah sedia mengetahui permusuhan di antara mereka itu, atau kedengkian yang bersarang di hati saudara-saudara Nabi Yusuf yang lain itu, akan mula mencari kesempatan. Memang syaitan benci melihat orang berkasih-kasihan bersaudara, dan memang suka sekali untuk menanamkan bibit permusuhan di hati mereka dan membiarkan ia berlarut-larutan. Sudah tentu syaitan nanti akan campur tangan, menghasut suadara-suadara Nabi Yusuf dengan halus, sehingga persaudaraan mereka akan jadi hancur. Dengan itu adalah lebih baik sekiranya Nabi Yusuf berdiam diri saja dan tidak menceritakan mimpi yang dialami kepada mereka.




Surah Yusuf ayat 6


Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".


Dan oleh kerana Nabi Yusuf yang bermimpi, maka tahulah Nabi Yaakub bahawa Nabi Yusuf lah yang dipilih oleh Allah untuk meneeruskan tugas yang telah dimulai oleh moyangnya Nabi Ibrahim dan datuknya Nabi Ishak dan juga Nabi Yaakub. Dengan itu Allah telah meninggikan kedudukan Nabi Yusuf dengan memilih Nabi Yusuf sebagai Nabi yang akan menyebabkan beliau beroleh karamah (kehormatan yang diperolehi dari seoang hamba tanpa bersusah payah) yang dikhaskan kepada para Nabi dan sebahagian para siddiqin, para syuhada dan para solihin.


Maka setiap nabi yang terpilih , akan diberi kelebihan masing-masing dan keisitimewaannya. Keistimewaan Nabi Yusuf kelak menurut renungan ayahnya, ialah kesanggupan mentadbirkan mimpi-mimpi. Nabi Yaakub beritahu lagi kepada anaknya Nabi Yusuf bahwa beliau telah dipilih menjadi nabi dan beliau akan menjadi rasul dan kemuliaan yang lain pun akan beliau terima juga dari Allah. Ini adalah kerana nikmat kemuliaan yang dilimpahkan kepada beliau, keluarga Nabi Yaakub, atau saudara-saudara beliau, dan segala cabang keturunan beliau yang lain pun akan dilimpahkan nikmat itu juga. Nabi Ibrahim telah dilimpahkan Allah kepadanya sebagai pendiri ka’bah sesudah terlepas dari dibakar dengan api. Nabi Ibrahim itulah yang diberi gelaran Khalilullah oleh Allah yang membawa makna teman Allah kerana sangat setianya Nabi Ibrahim kepada Ilahi. Dan Nabi Ishak juga adalah seorang yang salih sepertimana ayahnya juga Nabi Ibrahim.


Dari kata-kata Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf ini dapatlah kita fahami bahwa kata-kata Nabi Yaakub itu bukanlah berdasarkan kepada buah fikirannya semata-mata tetapi ianya berupa wahyu yang membayangkan kepada Nabi Yusuf apa yang bakal terjadi. Pandangan jauh, meskipun secara garis kasar. Di antara perktaan Nabi Yaakub ialah berkenaan dengan kemuliaan yang dilimpahkan Allah kepada Nabi Yusuf kelak akan melimpah juga kepada keluarga Nabi Yaakub seluruhnya. Meskipun pada hari beliau bercakap itu seluruh saudara Nabi Yusuf kecuali Bunyamin, telah menaruh rasa benci dan dengki terhadap Nabi Yusuf. Dapatlah kita meraba dalam perkataan beliau bahwa pada hari ini janganlah hal mimpi itu mereka ketahui, kerana mereka sedang berdengki. Padahal di hari ke depan nanti kelak, mereka juga akan mendapat kelimpahan dari nikmat Allah kepada Nabi Yusuf.  Benar sekali, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.





Surah Yusuf ayat 7


Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).”


Allah menyatakan bahwa kisah Nabi Yusuf dan saudara-saudaranya ada mengandungi keterangan. Iaitu contoh tauladan, pengajaran dan hikmat yang sangat besar. Di antaranya ialah mimpi Nabi Yusuf kemudian menjadi kenyataan, adanya hasad dengki dari saudara-saudaranya kepadanya dan penderitaan pahit yang dialaminya akibat daripada kedengkian mereka. Juga terdapat dalam kisah itu kesabaran Nabi Yusuf dalam menghadapi bermacam-macam cubaan dan bala yang menimpa beliau seperti dicampakkan ke dalam perigi buta, dijual sebagai abdi dan dihukum penjara sebagai seorangyang bersalah besar, akhirnya ia mendapat jawatan tinggi di dalam kerajaan Mesir.


Juga tentang perasaan yang amat mendukacitakan Nabi Yaakub kerana kehilangan Nabi Yusuf sebagai anaka yang sangat disayanginya, tetapi akhirnya Nabi Yaakub telah dapat bertemu dengannya, dan lain-lain kesan yang amat baik sebagai keterangan dari Allah jika manusia mahu memikirkannya untuk dijadikan tauladan dan pengajaran.


Menurut Kitab Perjanjian Lama (Kejadian Fasal 35) disebutkan anak Nabi Yaakub iaitu:


a ) Anak lelaki bersama Lea ada 6 orang:
Rubin, Sameon, Lewi, Yahudza, Isakhar dan Zabulon.


b ) Anak lelaki bersama Rakhel ada 2 orang:
Nabi Yusuf dan Bunyamin


c ) Anak lelaki bersama Bilha, dayang yang dihadiahkan isterinya Lea kepadanya ada 2 orang:
Dan dan Naftali


d ) Anak lelaki bersama Zilfa, dayang dihadiahkan isterinya Rakhel ada 2 orang:
Gad dan Asyir


Jumlah kesemuanya jadi 12 orang anak lelaki.






Surah Yusuf ayat 8


(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata."


Adalah diceritakan bahwa saudara-saudara nabi Yusuf telah bercakap-cakap sesama mereka dengan mengatakan bahwa Nabi Yusuf dan Bunyamin itu lebih dikasihi oleh ayahanda mereka Nabi Yaakub, padahal mereka adalah satu kumpulan. Mereka berkata demikian adalah didorong oleh perasaan hasad dan dengki terhadap Nabi Yusuf dan Bunyamin. Mereka berpendapat, apalah perlunya ayahanda mereka melebihkan kasih sayang kepada kanak-kanak yang masih kecil yang kurang berguna, sedangkan mereka sekumpulan daripada kanak-kanak yang lebih besar lagi sanggup bekerja untuk menolong mencari rezeki.


Mereka menganggap bahwa NabiYaakub telah keliru kerana menyayangi Nabi Yusuf dan Bunyamin lebih daripada menyayangi mereka. Mereka menempelak ayahanda mereka dengan tuduhan orang yang bersalah dan keliru, hanya disebabkan rasa kasih sayang yang lebih kepada adik mereka daripada mereka. Mereka tidak mengerti mengapa Nabi Yaakub berbuat demikian? tidak lain ailah kerana rasa kasih semata-mata. Dan perasaan kasih yang tertanam di dalam hati tidak seorang manusia pun yang sanggup hendak menolaknya dan tidak pula terdaya membahagikan kepada semua anaknya dengan sama rata.


Mungkin seorang ayah lebih mengasihi anak sulungnya lebih dariapda yang lain, atau anak bongsunya lebih daripada yang lain. Seterusnya mengasihi salah seorang dari mereka lebih daripada yang lain pula. Itu tidaklah boleh dianggap sebagai perbuatan yang tidak adil. Perasaan kasih dan sayang adalah naluri yang menjadi tabiat semula jadi bagi manusia. yang tidak dapat dipaksa utnuk menumpahkannya kepada seseorang atau memberikannyakepada ramai dengan cara yang sama rata. Tentulah sukar untuk menumpukan kasih sayang hanya kepada seorang atau membahagikannya kepada semua orang dengan adil dan sama rata.


Mungkin Nabi Yaakub mengasihi Nabi Yusuf lebih daripada mengasihi yang lain kerana memikirkan Nabi Yusuf telah ditinggal mati oleh ibunya sedangkan ia masih lagi kecil, dan dilihatnya ada tanda-tanda kebijaksanaan dan kecerdikan yang terdapat pada diri Nabi Yusuf, tidak terdapat pada diri saudara-saudaranya.


Jelas dari sini bahwa mereka masih dalam lingkungan kanak-kanak lagi, maka perasaan dengki terhadap Nabi Yusuf begitu besar dan rasa cemburu mereka tidak dapt dibendung hingga menimbulkan kemarahan yang berkobar-kobar terhadap ayah mereka, dan sehingga tergamak mereka menuduh ayah mereka sebagai orangyang telah keliru kerana melebihkan Nabi Yusuf daripada yang lain.





Surah Yusuf ayat 9


“(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".


Oleh kerana mereka terlampau geram, terdapat di antara mereka orang yang telah hilang fikiran lalu menghasut saudaranya yang lain supaya menghapuskan Nabi Yusuf dari muka bumi, untuk menghindarkannya dari pandangan ayahnya. Caranya hanyalah dua, samada membunuhnya sekaligus atau membuangnya jauh jauh ke negeri yang lain biar dimakan singa atau binatang buas atau mati tidak tentu kuburnya.


Dengan melenyapkan Nabi Yusuf secara demikian , kata mereka, perhatian ayah mereka akan tertumpu kepada mereka saja, dan sesudah itu mereka akan menjadi kaum yang baik. Iaitu mereka akan bertaubat kepada Allah dan meminta ampun kepadaNya setelah melakukan dosa yang besar, yang tentunya Allah akan menerima taubat mereka dan menjadilah mereka yang baik-baik semula.


Demikianlah kata-kata hasutan yang mereka suarakan. iaitu salah seorang dari saudara nabi Yusuf.




Surah Yusuf ayat 10


“Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".


Tetapi salah seorang dari mereka telah menegah supaya jangan dibunuh Nabi Yusuf kerana perbuatan membunuh orang itu amaltlah besar dosanya. Ternyata di dalam kalangan mereka ada juga yang berfikiran waras sedikit. Ada setengah qaul mengatakan saudara yang melarang itu adalah Yahudza manakala mengikut Qatadah, saudara itu ialah Rubil saudara Nabi Yusuf yang paling tua.


Dan mengikut qaul yang sahih, orang yang berkata itu adalah Yahudza, kerana umurnya sebaya dengan Nabi Yusuf dan mempunyai timbang rasa. Yahudza mencadangkan agar Nabi Yusuf dicampakkan saja di dalam perigi buta, iaiatu sebuah perigi yang amat gelap tidak dapat dilihat oleh orang sampai ke dasarnya.


Mengikut Muqatil, perigi itu terletak di tanah Urdun kira-kira tiga farsakh jauhnya dari rumah Nabi Yaakub. Sebabnya si pembicara tadi mencadangkan tempat itu menjadi tempat pembuangan Nabi Yusuf, ialah kerana ianya merupakan tempat lalu lintas bagi peniaga-peniaga dan orang dalam pelayaran. Tujuannya ialah supaya Nabi Yusuf itu dapat dipungut oleh mana-mana orang dalam pelayaran yang lalu lalang di situ. Memandangkan tempat tersebut menjadi lalu lintas orang-orang musafir atau dalam pelayaran, maka besarlah kemungkinan Nabi Yusuf akan dipungut oleh mereka, lalu dibawa pergi sehingga mereka berasa lega daripada memikirkan akan keselamatannya.




Surah Yusuf ayat 11 Hingga ayat 14


Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya? “  - 11


“Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya". - 12


“Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".  - 13


“Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi". - 14


Kemudian mereka pun berkumpullah pulang, lalu mereka pergi menemui ayah mereka. Mereka berkata kepada ayah mereka, wahai ayah, mengapa engkau tidak percaya keapda kami darihal Yusuf, padahal kami sungguh ikhlas menjaganya, sepertimana yang dijelaskan di dalam ayat 11 ini.


Inilah alasan mereka memujuk ayah mereka. Mengapa ayah tidak mahu mempercayai mereka bergaul dengan Yusuf. mengapa dia hanya dalam pelukan ayah saja, tidak dibebaskan bergaul dengan kami. Padahal dia adalah adik kami, saudara kecil kami. Manakan kami akan menyia-nyiakan dia.


Mungkin juga Nabi Yusuf sendiri pun banyak berubah dan banyak merenggangkan diri dengan saudara-saudaranya. itu. terutama sejak ayahnya memberinya nasihat supaya rahsia mimpi itu jangan diberitahu kepada saudara-saudaranya. Sehingga hari kian hari kerenggangan itu makin terasa. Kalau dia bermain, dia hanya bermain dengan saudara seibunya yang paling kecil saja iaitu Bunyamin.


Saudara-saudara Yusuf berkata lagi, supaya ayah mereka tidak merasa khuatir dan percayakan Nabi yusuf kepada mereka dapat bermain bersama-sama dan jangan dikongkong di dalam rumah saja. Biarlah nabi Yusuf juga dapat melihat temasya alam yang indah-indah bersama mereka,makan-makan, bermain-main, bersenda gurau. Dan mereka berjanji untuk menjaga Nabi Yusuf dengan baik.


Sekiranya ada bahaya yang datang mengancam, mereka berjanji untuk mempertahankan Nabi Yusuf dan melindungi beliau dari ancaman tersebut. Itulah usul yang mereka ajukan kepada ayah mereka Nabi Yaakub.


Sebagaimana yang telah maklum bahwa Nabi Yaakub amatlah sayang kepada Nabi Yusuf menyebabkan saudara-saudara Nabi Yusuf menaruh dengki dan iri hati. Nabi Yaakub memang menyedari akan hal itu. Justeru kerana itulah hatinya berasa bimbang untuk melepaskan pegi dan mempercayai saudara-saudara Nabi Yusuf itu semua.


Nabi Yaakub tidak mahu bercerai dengan Nabi Yusuf walau sekejap, tetapi apa yang disukai oleh Nabi Yusuf tidak pula ia mahu mencegahnya. Beliau tidak mahu berpisah dengan Nabi Yusuf tetapi Nabi Yusuf pula suka hendak menyertai saudara-saudaranya pergi bertemasya.


Nabi Yaakub tidak suka untuk berpisah dengan Nabi Yusuf kerana bimbangkan akan keselamatan nabi Yusuf tetapi terpaksa juga melepaskannya walaupun dengan separuh hati semata-mata memenuhi keinginan Nabi Yusuf yang mahu berpergian bersama saudaranya. Hati beliau terus bimbang  dan perasaan beliau menjadi gelisah apalagi jika mengenangkan mimpi Nabi Yusuf yang diceritakan kepadanya tempoh hari.


Nabi Yaakub pun mengatakan kesedihannya yang tidak terkira mengenangkan pemergian Nabi Yusuf bersama saudaranya. Pertama, sedih menyerahkan Nabi Yusuf untuk dibawa pergi dan kedua, sedih kerana tidak tahan berpisah dengan Nabi Yusuf walau sesaat pun.


Nabi Yaakub menyatakan juga kebimbangan beliau bila mengingatkan di dusun mereka itu banyak terdapat serigala yang suka menyerang manusia. Beliau takut kalau-kalau Nabi Yusuf akan dimakan oleh serigala bilamana mereka sedang asyik bermain, sehingga cuai menjaga keselamatannya.


Lalu saudara-saudara pun meyakinkan kepada Nabi Yusuf supaya jangan takut untuk bepergian bersama mereka. Apalah yang nak ditakutkan kepada seekor serigala, sedangkan bilangan mereka ramai dan kuat-kuat, yang selama ini mereka telah dipercayakan untuk mengembala kambing yang begitu banyak, tidak seekor pun kambing mereka yang berjaya dimakan serigala sebab semuanya mereka jaga dengan sempurna. Inikan pula Nabi Yusuf terlebih lagi hendak mereka jaga dan awasi sepanjang masa.


Mereka menegaskan pula, tetapi jikalau ini berlaku umpamanya dengan tidak semena-mena Nabi Yusuf dimakan oleh serigala, maka ini  adalah suatu kerugian yang besar. Betapa tidak rugi? Kerana menunjukkan kelemahan mereka yang tidak berjaya menjaga binatang ternakan, hal ini tidak mungkin, bukankah selama ini mereka telah memeliharanya dengan baik?


Ibnu Katsir menceritakan lagi perkataan setengah ahli tafsir bahwa ketika akan berpisah itu, Nabi Yaakub telah memeluk Nabi Yusuf dan menciuminya, dan mendoakan semoga nabi Yusuf selamat. As Suddi menceritakan pula, bahwa ketika masih di hadapan Nabi Yaakub, saudara-saudara Nabi Yusuf itu memperlihatkan bahwa mereka kasih kepada Nabi Yusuf. Tetapi baru sja lepas dari penglihatan orang tua itu, mulailah mereka melepaskan sakit hati kepadanya, dengan maki-makian dan penghinaan.





Surah Yusuf Ayat 15


Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:" Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) ".


Setelah berjaya memujuk Nabi Yaakub untuk melepaskan Nabi Yusuf pergi bersama mereka, maka mereka pun beredar dari rumah dan pergi meninggalkannya. Mula-mula Nabi Yusuf mereka bawa dengan baik. Mereka tunjukkan tingkah laku yang lemah lembut dan menarik hati, sambil mendukung Nabi Yusuf bergilir-gilir di sepanjang jalan denganmemberikan pula sepenuh layanan.


Tetapi apabila perjalanan mereka telah jauh, sampai di tengah padang pasir mulailah mereka bersikap kasar kepada Nabi Yusuf. Mereka campakkan Nabi Yusuf ke tanah, lalu mereka tengking dan maki hamun, dan ada pula yang memukul Nabi Yusuf bergilir-gilir sehingga Nabi Yusuf menangis dan meraung kesakitan. Nabi Yusuf meminta tolong dan memanggil-manggil ayahnya, Nabi Yusuf mencaci dan mencela saudara-saudaranya  yang sebenatar tadi memberikan layanan yang baik dan berlemah lembut tetapi sekejap saja telah bertukar menjadi kasar, bengis dan melupakan segala pujuk rayu dan janji-janji mereka yang manis.


Malang bagi Nabi Yusuf, kerana tidak ada seorang pun yang datang menolong. Malahan Nabi Yusuf terus diseksa oleh saudara-saudaranya, ditendang dan ditolakkan ke sana ke mari seperti bola, sehingga Nabi Yusuf menyedari tindakan mereka yang begitu kejam tidak lain hanyalah hendak membunuhnya.


Tetapi sebagaimana terdahulu disebutkan bahwa salah seorang saudaranya yang bernama Yahudza telah menasihatkan mereka jangan membunuh nabi Yusuf, dan memberi satu jalan untuk menyingkirkan nabi Yusuf dengan mencampakkannya ke dalam perigi buta.


Setelah fikiran mereka bulat dan sepakat lalu Nabi Yusuf mereka campakkan ke dalam perigi buta sesudah mereka melucutkan baju Nabi Yusuf. Kemudian Allah mengatakan dengan firmanNya yang bermaksud:
“dan Kami (Allah) wahyukan kepadanya (Yusuf): sesungguhnya engkau nanti akan memberitakan kepada mereka perkara yang mereka lakukan ini. “ maksudnya pada masa Nabi Yusuf dicampakkan ke dalam perigi itulah Allah mewahyukan kepadanya, iaitu wahyu yang berupa ilham, sebaba waktu itu Nabi Yusuf belum lagi menjadi Nabi. Ini adalah sebagai hiburan kepada Nabi Yusuf, untuk meringankan perasaannya yang duka nestapa dan menetapkan fikirannya dari kebingungan. Allahu rabbi!


Nabi Yusuf dihiburkan kerana ditinggalkan seorang diri di dalam perigi buta yang gelap gelita, agar hilang ketakutan beliau yang seolah-olah maksud kandungan wahyu itu, janganlah engkau bersusah hati kerana dianiaya saudara-saudaramu. Percayalah pada suatu masa nanti engkau akan dpat berjumpa lagi dengan mereka, dan akan engkau ceritakan bailik pada mereka apa yang mereka lakukan kepadamu, dan engkau akan beri balasan atas kekejaman mereka. Ketika itu mereka tidak menyedari bahwa Nabi Yusuf itu adalah saudara mereka Yusuf yang telah mereka campakkan ke dalam perigi. Mereka sudah lupa apa yang telah mereka lakukan. kerana segalanya telah berubah pada saat mereka tidak kenal lagi kepadamu.




Surah Yusuf ayat 16 Hingga 18


Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.” - 16


“Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar". - 17


“Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: "Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolonganNya, mengenai apa yang kamu katakan itu."  - 18


Mengikut para Mufassirin, setelah saudara-saudara Nabi Yusuf mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam perigi buta mereka pun kembali menemui ayah mereka, Nabi Yaakub. Mereka sengaja pulang pada waktu Isyak di mana malam telah menjadi gelap, untuk memberanikan mereka memberi alasan-alasan bohong kepada ayah mereka.


Tatkala mereka telah dekat ke rumah, mulailah mereka semua menangis meraung-raung yang dibuat-buat. Apabila Nabi Yaakub mendengar suara merek ayang riuh rendah itu, ia terperanjat terus keluar dari rumah mendapatkan mereka lalu bertanya, apakah yang telah terjadi kepada mereka dan kambing-kambing mereka.


mereka mengatakan kambing-kambing mereka tidak apa-apa. Lalu Nabi Yaakub bertanya lagi apa yang telah terjadi dan di manakah Nabi Yusuf?


Mereka pun mengadu, sesungguhnya mereka telah pergi berlumba lari ke suatu tempat dan beradu memanah. Mereka terpaksa meninggalkan Nabi Yusuf supaya menjaga pakaian dan barang-barang mereka, kerana Nabi Yusuf dikatakan tidak sanggup berlawan dengan mereka dalam pertandingan itu. tiba-tiba nabi Yusuf telah dimakan oleh serigala. Oleh kerana mereka jauh daripadanya tentulah mereka tidak dapat mendengar teriakannya meminta tolong. Inilah kejadian yang sebenarnya, dan mereka tahu tentulah ayah mereka tidak mempercayai apa yang mereka ceritakan itu. Kalau ayah mereka tidak percaya kepada mereka, apa boleh buat, kerana ayah mereka tidak nampak bukti tentang benarnya kata-kata mereka itu.


Begitulah kata-kata pendusta. Meskipun seberapa daya kata-kata dusta itu cuba untuk dinampakkan seolah-olah benar-benar berlaku, dengan tidak disedari telah keluar di hujung kata-kata mereka yang terkandung di dalam hati, bahwa ayah mereka tentu tidak akan percaya kepada mereka. Dan kata-kata dusta yang ditutup dengan kegugupan akan kebenaran diri sendiri diiringi pula dengan dusta yang lain, untuk membuktikan kebenaran kononnya, tetapi dengan tidak sengaja dan tidak disedari oleh si pendusta, bahwa memang terserlah akan kedustaan mereka.


Lalu mereka memberikan kepada Nabi Yaakub baju Nabi Yusuf yang berlumuran darah. Mengikut Ibnu Abbas, bahwasanya mereka telah menyembelih seekor anak kambing biri-biri, lalu darahnya mereka lumurkan ke atas baju kemeja Nabi Yusuf. Kemudian baju itu mereka bawa dan tunjukkan kepada Nabi Yaakub kononnya sebagai bukti Nabi Yusuf telah dibaham serigala.


Mengikut ceritanya, mereka hanya melumuri baju kemeja nabi Yusuf itu dengan darah dan tidak pula mengoyak-ngoyakkannya. Apabila Nabi Yaakub melihatnya dia berkata, “bagaimana boleh terjadi, kamu katakan Yusuf dimakan serigala tetapi bajunya sedikit pun tidak ada yang koyak.” maka yakinlah nabi Yaakub bahawasanya alasan yang mereka berikan dan bukti yang mereka bawa itu semuanya adlah dusta dan palsu.


Dengan itu nabi Yaakub berkata seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam ayat 18 ini iaitu maksudnya, “bahkan diri kamu sendiri yang menunjukkan perbuatan perkara itu.” maksudnya perkara yang telah berlaku adalah bukan sepertimana yang mereka dakwakan, mereka mereka-reka cerita dusta, dan sudahnya mereka sendiri pula yang menunjukkan bahwa mereka telah membuat perkara yang lain dari apa yang mereka ceritakan itu.


Nabi Yaakub pun mengatakan bahwa tidak ada jalan lain baginya hanyalah untuk bersabar saja. Kerana kesabaran itu perkara yang baik. Adapun dikatakan kesabaran yang baik itu pula ialah tidak perlu mengadu dan tidak usah terperanjat. dan nabi Yaakub hanya meminta pertolongan dari Allah supaya memelihara dirinya daripada tipu daya dan dusta yang telah mereka ceritakan itu.




Surah Yusuf ayat 19


Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.


Telah kita ketahui bahwa Nabi Yusuf telah dimasukkan oleh saudara-saudaranya sendiri ke dalam perigi yang dalam. Setelah beberapa lama kemudian satu kabilah datang dari negeri Madyan hendak menujuk ke negeri Mesir telah melintas di kawasan itu. Orang pelayaran dalam kabilah itu berhenti dekat perigi buta tersebut untuk berehat. Lalu mereka menyuruh salah seorang daripada tukang mengambil air untuk mencari air untuk minuman mereka. Apabila pengambil air itu menghulurkan timba ke dalam perigi itu, maka berpautlah Nabi Yusuf pada tali timba tersebut dan kemudian ia ditarik dan diangkat sampai ke atas.


Pada waktu orang itu melihat melihat akan Nabi Yusuf yang bergantung di tali timba itu, dia bersorak kesukaan, menandakan kegembiraannya seraya berkata, ‘Alangkah untungnya. Ini adalah seorang anak lelaki.”


Adalah dikatakan bahwa Nabi Yusuf itu adalah seorang yang sangat cantik paras dan mukanya. Dikatakan pula dia telah mewarisi kecantikan itu daripada nenek beliau iaitu Siti Sarah iaitu isteri kepada Nabi Ibrahim. Siti Sarah memeanglah cantik orangnya. Ia dikurniakan satu perenam dari kecantikan, sedangkan Nabi Yusuf dan ibunya Rekhal dikurniakan dua pertiga dari kecantikan.


Ath Tha’labi meriwayatkan bahwa Nabi Yusuf itu mempunyai rupa paras yang cantik, rambutnya kerinting, kedua belah matanya besar, perwakannya sederhana, kedua belah lengan dan betisnya gempal, perutnya kempis, dan pustanya pula kecil. Apabila Nabi Yusuf tersenyum membayangkan nur cahaya dari air mukanya, dan apabila dia bercakap bersinar-sinar giginya, tidak seorang dapat mensifatinya. Kecantikannya sungguh berseri seperti sinar siang pada waktu malam hari. rupanya mirip sekali dengan rupa Nabi Adam as pada hari dia mula-mula dijadikan oleh Allah dan dibentuk rupanya, iaitu sebelum ia melakukan kesalahan.


Demikianlah sebaik sahaja Nabi Yusuf dikeluarkan dari perigi dan melihat rupanya maka tukang mencari air tadi terperanjat lalu bersorak. Lalu Nabi Yusuf terus dipimpinnya, dibawa keapda ketua kabilah. Lalu mereka kurung Nabi Yusuf untuk dijadikan barang dagangan. Mereka menyembunyikan Nabi Yusuf, kerana khuatir takut kalau-kalau nanti akan ada orang yang datang menuntut Nabi yusuf daripada mereka. Mereka berniat untuk melarikan nabi Yusuf untuk dijual sebagai hamba. Kerana kalau nanti ada orang yang menuntut dan mengaku sebagai orang tua Nabi Yusuf sudah tentulah mereka mesti mengembalikan Nabi Yusuf kepada yang berhak. Maka dengan sebab itu mereka menyembunyikan Nabi yusuf dari pengetahuan orang ramai.


Allah mengatakan bahwa Allah mengetahui apa yang dilakukan oleh orang pelayaran itu kepada Nabi Yusuf, dan Allah mengetahui apa yang dilakukan oleh masing-masing pihak yang mempunyai tujuan tersendiri terhadap Nabi Yusuf. Allah tahu bahwa orang pelayaran membuat dakwaan palsu kernaa mendakwakan bahwa Nabi Yusuf adalah seorang hamba, lalu meniagakannya. Saudara-saudara Nabi Yusuf ingin menyembunyikan Nabi Yusuf dari ayah mereka, lalu mendakwakan Nabi Yusuf telah dimakan serigala. Semuanya itu adalah tipu helah dan hukumlah adalah salah, yang mana kelak akan diperlihatkan kepada Nabi Yusuf, saudara-saudaranya dan ayah mereka tentang kudrat Allah dan kekuasaanNya yang diperlakukan mengikut sekehendakNya.




Surah Yusuf Ayat 20


Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.”


Orang-orang musafir itu pun membawa Nabi Yusuf ke Mesir lalu menjualkannya di sana dengan harga yang murah hanya beberapa dirham saja. Nabi Yusuf dijual sangat kurang dari harga penjualan seorang hamba. Ini adalah kerana mereka kurang suka kepada nabi Yusuf. Iaitu hendak mengelakkan dari dituduh menjual orang merdeka untuk dijadikan hamba abdi. Mereka ingin agar cepat Nabi Yusuf lepas dari tangan mereka, sehinga kalau ada orang yang datang bertanya kelak, mereka akan mudah saja mengatakan tidak tahu menahu. Itulah sebabnya maka mereka menjual Nabi Yusuf dengan harga yang murah saja, suapya lekas dibawa orang pergi dari mereka.


Kabilah Bani Ismail, atau orang Arab itupu meneruskan perjlanan mereka ke Mesir. Sesampai di sana nabi Yusuf dibawa ke pasar hamba. Temapt orang menawar dengan harga yang mahal. Yang membelinya itu ialah orang yang berpangkat tinggi dalam kerajaan Firaun. Ada yang menyebutnya sebagai Aziz Meshir, Paduka Raja Muda, Pejabat Tinggi, orang yang kedua berkuasa di bawah Firaun.


Di dalam Surah Yusuf ini tidak disebut bahwa Raja Mesir bergelar Firaun. Padahal kelak di zaman Nabi Musa gelaran Firaun itulah yang selalu disebut. Ahli sejarah mengatakan bahwa raja yang menguasai Mesir pada masa Nabi Yusuf itu bukanlah memakai gelaran Firaun. Kerana mereka adlah keturunan bangsa hyckson, iaitu bangsa Arab purbakala yang mengembara sampai menakluk Mesir.