Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am Ayat 151 Hingga 165

Surah Al An’am Ayat 151

“Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.

Setelah Allah menerangkan kesalahan kaum musyrikin yang telah membuat pengharaman ke atas diri mereka mengenai perkara-perkara yang tidak diharamkan oleh Allah, maka ayat ini Allah suruh Nabi Muhammad saw mengatakan kepada kaum musyrikin yang ingin tahu tentang apakah yang diharamkan oleh Allah pula, supaya datang untuk mendengar wahyu Allah yang akan nabi saw bacakan. Wahyu itu adalah mengenai perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kepada mereka. Allah sajalah yang berhak membuat pengharaman dan undang-undang syarak, sedangkan nabi saw hanyalah menyampaikannya sahaja.

Adapun maksud kata ‘apa-apa yang diharamkan’ di dalam ayat ini adalah berupa tegahan dan suruhan yang kedua-duanya terkandung di dalam ayat 151, 152 dan 153. Ada 5 ayat yang berupa tegahan dan 5 ayat berupa suruhan. Tiap-tiap perkara yang menyalahi suruhan mahupun berlawanan dengan tegahan, adalah diharamkan. jadi perkara-perkara tersebut yang hendak dibacakan kepada orang-orang musyrikin itu semuanya berjumlah 10 perkara.

1 . Larangan menyekutukan Allah
Perbuatan menyekutukan Allah atau yang dinamakan syirik itu, adalah dilarang dan merupakan dosa yang paling besar. Kerana merosakkan kewarasan fikiran dan menyalahi tabiat semulajadi manusia. Syirik ini umpamanya menyembah selain Allah, percaya benda lain lebih berkuasa lebih dari Allah, percaya benda lain boleh membawa mudharat dan manafaat lalu dipuja, disembah, selain dari Allah. contohnya bintang, matahari, api, berhala, tabib, dukun, semangat kain kuning, bomoh, malaikat, dewa dewi, nabi-nabi dan sebagainya.

2 . Perintah berbuat baik kepada ibu bapa.
Sebesar-besar nikmat kepada manusia ialah nikmat adanya Allah, kemudian nikmat adanya ibu bapa. Dengan adanya Allah, manusia yang asalnya tidak ada menjadi ada, kerana Allah itulah yang mengadakan dan menjadikannya. Dan ibu bapa pula menjadi sebab lahirnya manusia. Kedua-duanyalah yang membela dan memelihara, mengasuh dan mendidik, sehingga tidak dapat diungkapkan betap besar jasanya kepada anak.

Itulah sebabnya jasa kedua ibu bapa wajib dibalas, dengan berbuat baik kepadanya. Umpamanya menghormati mereka, bersopan santun dengan mereka dalam tutur kata dan perbuatan, taat, berbakti, menggembirakan hati mereka, membuat perkara-perkara yang diredhai mereka, menumpahkan kasih sayang dan belas kasihan dan sebagainya lagi. Hendaklah sentiasa taat kepada kedua ibu bapa di dalam apa jua perkara kecuali dalam perkara-perkara maksiat atau yang mendatangkan kemurkaan Allah.

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa ini merupakan suruhan yang mempunyai kedudukan KEDUA dalam susunan ayat ini selepas dari ayat larangan menyekutukan Allah. Bermakna ianya amatlah besar dan penting sekali untuk kita ikuti. Maka menyalahinya adalah bererti larangan. Umpamanya mengasari mereka, menengking, menyakiti hati mereka, bermasam muka dengan mereka, apa tah lagi derhaka, zalim dan bebuat aniaya kepada mereka. Itu semua akan disabitkan berdosa dan dosa ini dikira sebagai dosa besar.

3 . Larangan membunuh anak.
Oleh kerana adanya kebiasaan orang-orang Arab pada zaman jahiliah yang menanam anak-anak perempuan mereka hidup-hidup kerana takutkan papa, miskin atau malu, maka Allah melarang dan mengharamkan perbuatan mereka yang terkutuk dan hina itu.  Allah menjamin akan adanya rezeki si anak dan rezeki ibu bapanya.

Hendaklah selalu meyakini jaminan Allah ini! Jika telah tahu demikian, maka wajiblah ibu bapa itu menanggung sara hidup anak-anaknya, dan menunaikan tanggungjawabnya dalam mengasuh dan mendidik anak-anak mereka. Supaya menjadi manusia yang sempurna rohani dan jasmaninya, sambil tawakkal dan berserah kepada Allah. Caranya ialah berikhtiar dan berusaha.

Ayat ini mengandungi larangan membunuh anak, samada menanamnya hidup-hidup atau menggugurkannya semasa dalam kandungan ibunya, atau dengan apa cara sekalipun, dengan alasan kononnya tidak cukup makan, tidak terbela dan terdidik, takut ini dan takut itu, dan lain-lain alasan yang tidak dapat diterima oleh akal dan syarak.

Sebaliknya ibu bapa hendaklah berusaha dan beikhtiar dengan bersungguh-sungguh, iaitu ikhtiar dan usaha yang dapat menjamin dirinya untuk memperolehi rezeki dan sara hidup bukannya dengan hanya berserah, atau tawakkal dengan bermalas-malas dan menganggur sepanjang masa.

4 . Larangan mendekati perbuatan keji secara terang dan sembunyi.
Para mufassirin mentafsirkan kata perbuatan keji ini sebagai perbuatan zina. Perbuatan zina ini adalah perbuatan terkutuk lagi durjana yang sangat dilarang oleh agama, kerana banyak mudharatnya dan sangatlah besar akibat korasakannya. Baik dari segi akhlak, mahupun dari segi kesihatan, keturunan, nama baik dan seumpamanya. Sehingga hukuman zina itu pun besar dan teruk juga, jika dibayangkan akan menegakkan bulu roma.

Orang yang berzina hukumnya ialah didera dengan sebatan jika dara atau teruna. Jika telah berkahwin, hukumannya ialah rejam sampai mati. Oleh sebab itu didalam ayat ini disebutkan JANGAN dekati. Mendekati saja pun dilarang apatah lagi melakukannya.

Yang dimaksudkan dengan kata ‘perbuatan keji secara terang’ di sini ialah , berzina dengan pelacur yang ianya terang-terang menjajakan kehormatannya dengan tidak menolak sebarang lelaki yang suka memakai dan menyewanya. Kata ‘sembunyi’ pula ialah berzina dengan perempuan atau pelacur tertentu secara sembunyi yang ianya tidak menerima sebarang lelaki melainkan yang disukainya.

Selain zina Allah juga melarang semua perbuatan keji, baik yang dilakukan oleh anggota lahir termasuk zina, mahupun yang dilakukan oleh anggota batin yang ada sangkut pautnya dengan hati seperti hasad dengki, takbur dan buruk sangka, dan ada yang bersangkutan dengan fikiran seperti merancangkan tipu hela, pakatan jahat dan seumpamanya.  

5 . Larangan membunuh orang yang diharamkan oleh Allah.
Membunuh orang termasuk juga di dalam perbuatan keji samada membunuh orang lain mahupun diri sendiri. Dosanya amatlah besar melainkan kerana yang hak.

Maksudnya tidaklah dilarang membunuh orang, yang telah sabit hukuman oleh hakim dalam kesalahan-kesalahan seperti membunuh, berzina, murtad dan seumpamanya.

Daripada Ibnu Mas’ud mengatakan bahwa Nabi saw telah bersabda:
“tidak halal mengalirkan darah (membunuh) orang muslim yang mengakui tidak ada Tuhan selain Allah dan aku utusan Allah, melainkan dengan salah satu dari tiga sebab dibawa:
  • orang yang pernah kahwin dan ia telah berzina.
  • nyawa dibalas dengan nyawa (membunuh)
  • orang yang meninggalkan agamanya berpisah dari kumpulan orang Islam.

Lima perkara yang berupa suruhan dan tegahan tadi, telah diperintahkan oleh Allah supaya orang-orang mukmin melaksanakannya. Yang baik hendaklah dikerjakan dan yang buruk hendaklah ditinggalkan. Mudah-mudahan dapat memahami hikmat dan faedah yang tersembunyi dalam perintah yang dibebankan oleh Allah.

Surah Al An’am Ayat 152

“"Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".

Pada ayat 151 telah disebutkan lima dari sepuluh "Al-Washaya Al-Asyrah". Dalam ayat 152 ini disebutkan empat lagi (menurut sebahagian mufassirin) dan yang satu lagi (yang kesepuluh) terdapat pada ayat l53.  Empat ayat tersebut ialah :

1 .  Larangan Memakan harta anak yatim.
Ketika mereka menjadi penjaga anak yatim dan juga menguruskan harta-harta anak yatim tersebut, janganlah melakukan sebarang perkara yang akan merugikan harta anak yatim tersebut. Atau memporak perandakan kehidupannya, sehingga anak yatim itu kelak jadi teraniaya.

Hendaklah menjaga dan uruslah harta anak yatim tersebut dengan sebaik-baiknya, umpamanya dengan membuat perniagaan supaya tambah berkembang dan menjadi banyak. Atau membelanjakannya secara patut untuk kepentingan makan minum, pendidikan dan pembelajaran anak yatim tersebut, agar ia menjadi manusia yang sempurna di belakang hari.

Adh-Dhahhak mengatakan, menguruskan harta anak yatim itu hendaklah jangan mengambil untung dariapdanya sedikit pun. Ini kalau si pengurus itu kaya dan tidak berhajat. Tetapi kalau pengurus tersebut miskin, tidak mengapa memakan harta anak yatim itu secara patut, sebagai upah atau sagu hati kerana menguruskannya.

Menjaga dan mengurus harta anak yatim itu ada tempohnya. Iaitu sampai anak yatim itu dewasa, barulah diserahkan hartanya kepada anak yatim tersebut supaya diurusnya sendiri.

Para ulama telah berselisih pendapat dalam menentukan kedewasaan anak yatim tersebut. Imam Malik berpendapat, dewasa ialah baligh, di mana segala amal baik dan jahat telah mula dicatatkan ke atasnya, tidak lagi ke atas walinya.

Setengah ulamak mengatakan, dewasa ialah sehingga dia berakal dan telah terhimpun kekuatannya. Setengah ulamak lain pula berpendapat dewasa ialah sehingga berumur dua puluh tahun. Ulamak terpilih telah menetapkan bahawa dewasa maknanya ialah apabila bermula dari balighnya seseorang dan walinya berpuas hati melihat kedewasaannya. Setelah diuji kebolehannya dalam menyelenggarakan hartanya.

2 . Perintah Menyempurnakan Takaran dan timbangan.
Dalam masa membeli dan menjual barang yang disukat atau ditimbang, jangan sekali-kali mengurangi sukatan atau timbangan dan jangan pula melebihkan sedikit pun, yang sekira-kira boleh merugikan atau menganiaya mana-mana pihak. Sebaliknya kedua-dua belah pihak yang menjual mahupun yang membeli, hendaklah jujur semasa menimbang atau menyukat.

Allah tidak memaksa seseorang untuk menjalankan perkara di luar kesanggupannya, misalnya, menyuruh melebihkan atau mengurangi timbangan, beigtu pula sukatan walaupun sejemput beras sekalipun, hal ini boleh menyebabkan kerugian dan menimbulkan perasaan tidak redha. Tetapi apa yang disuruh oleh Allah ialah melakukan sesuatu sekadar kesanggupan yang ada pada seseorang. Melakukan sesuatu sekadar kesanggupan itulah yang dibebankan ke atas setiap seseorang. Jadi kalaulah semasa menyukat atau menimbang itu tersalah dengan tidak sengaja, tiadalah dianggap berdosa.  

3 . Perintah bersaksi dengan adil
Seseorang itu hendaklah betul dan adil dalam tutur katanya dalam memberikan saksi dan hukuman ke atas seseorang. Sekalipun terhadap orang-orang yang menjadi keluarga atau kerabatnya. Bukan hanya dalam perkara menjadi saksi dan menghukum sahaja mesti betul dan lurus serta jujur, mestilah juga adil dan benar, jujur dan lurus dalam perkara amal ma’ruf dan nahi munkar. Begitu juga dalam perkara menunaikan segala amanah.

4 . Perintah untuk memenuhi janji Allah
Apakah itu perjanjian dengan Allah? iaitu:
1 . Kewajiban-kewajiban yang diperintahkan oleh Allah menerusi rasulNya supaya dijalankan.
2 . penjanjian yang kita sendiri tetapkan ke atas diri sendiri, umpamanya bersumpah atau nazar.
3 . perjanjian yang dibuat dengan orang lain.

Semua perjanjian ini hendaklah ditunaikan dan harus ditepati, kerana orang yang tidak mahu menepati janji itu dikira sebagai orang munafik.





Surah Al An’am Ayat 153

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Perintah untuk mengikuti jalan yang lurus.
Allah menjelaskan bahwa perintah yang berupa tegahan dan suruhan, seperti yang telah dinyatakan di dalam dua ayat 151 dan 152 yang lalu, itulah jalan Allah atau agama Islam yang diredhaiNya untuk dijadikan pegangan hidup seluruh umat manusia. Itulah jalan yang lurus dan tidak akan ada bengkok selama-lamanya. Itulah jalan yang paling mudah untuk ditempuh yang tidak akan menyusahkan orang yang melaluinya kerana mengandungi kumpulan semua hukum-hukum syarak.

Oleh sebab itu ikutlah ia, jangan mengikut jalan lain yang bermacam-macam corak kepercayaan dan keyakinan, seperti yang dianut oleh orang-orang Yahudi, Nasrani, Majusi dan agama-agama lain. Baik yang datang dari langit mahupun yang diciptakan oleh manusia sendiri yang menyalahi agama Islam.

Apabila seseorang itu telah memilih jalan yang lain atau memilih agama lain selain dari Islam, maka terpisahlah ia dari jalan Allah dan terkeluarlah ia dari agama Islam. Mudah-mudahan orang yang mengikuti jalan Allah itu akan takut untuk membuat kejahatan dan terselamat dari kesesatan.

Kata Ibnu Abbas, Ayat-ayat dari 151 hingga 153 ini merupakan ayat-ayat yang muhkamat iaitu ayat yang jelas hukumnya dalam semua kitab-kitab yang turun dari Allah, sedikit pun tidak dibatalkan hukumnya. Ketiga-tiga ayat inilah yang merupakan pantang larang kepada seluruh anak Adam, dan ketiga-tigaknya juga merupakan ibu segala kitab, sesiapa mengerjakannya akan masuk syurga dan sesiapa meninggalkannya akan masuk neraka.


Surah Al An’am Ayat 154

Kemudian (ketahuilah pula bahawa) Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat untuk menyempurnakan (kemuliaan dan nikmat Kami) kepada orang yang telah berbuat baik (menjalankan ajaran Kitab itu iaitu Nabi Musa), dan untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi petunjuk dan rahmat, supaya mereka beriman kepada pertemuan dengan Tuhan mereka (pada hari akhirat kelak).

Jika diperhatikan, apa yang ada disebutkan di dalam Al-Quran kebanyakannya ada juga disebutkan di dalam kitab Taurat. Ini bererti banyak persamaan antara kitab Al-Quran dengan kitab Taurat. Terutama mengenai dasar-dasar agama. Masing-masing mempunyai syariat yang lengkap. Ianya sama seperti ’10 commandments’ dalam agama Yahudi juga. Ianya tidak seperti kiitab Injil dan kitab Zabur.  Kandungan kitab Injil kebanyakannya berupa nasihat dan contoh tauladan, manakala kitab Zabur pula kebanyakannya adalah pujian-pujian terhadap Allah dan rayuan kepadaNya.

Orang-orang Arab sudah tahu bahawa orang-orang Yahudi mempunyai kitab yang bernama Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa serta mengakui mereka adalah orang yang berpengetahuan. Jadi kebanyakan orang Arab terutama golongan ahli fikir mereka ingin andainya mereka juga berpeluang mendapat kitab sepertimana kitab orang Yahudi. Sekiranya mereka diturunkan kitab, sudah tentulah mereka akan lebih terpimpin daripada orang Yahudi dan mereka akan melihat adanya keisitmewaan orang Arab sebagai orang yang cerdik dan tepat pandangan.

Keinginan orang Arab itu telah diperkenankan oleh Allah dengan kedatangan agama Islam dan keterangan Al-Quran yang menggesa mereka agar menganut Islam dan mengikuti ajaranNya sebagaimana dijelaskan di dalam ayat 153 terdahulu.

Inilah syariat yang mengandungi 10 wasiat atau 10 rukun itu, yang diturunkan di Mekah terkandung di dalam 3 ayat surah Al An’am ini bandingannya terdapat juga dalam surah Al Isra’ sebelum datang penjelasannya yang lebih luas lagi pada surah-surah yang diturunkan di Madinah. Inilah juga syariat yang diturunkan kepada Nabi Musa, bahkan kesepuluh rukun tadi adalah daripada dasar-dasar agama yang dibawa oleh para rasul yang diutus oleh Allah.

Di dalam surah Asy-Sura ayat 13 Allah berfirman yang maksudnya;
“Dia (Allah) menetapkan agama kepada kamu, yang telah diperintahkanNya kepada Nuh dan apa yang Kami (Allah) wahyukan kepada engkau (ya Muhammad) dan yang telah Kami perintahkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa.

Demikianlah Allah telah memuji kitab Taurat. Dia (Taurat) itu diturunkan merupakan kesempurnaan nikmat Allah kepada Nabi Musa, kerana Nabi Musa itu telah berbuat baik, iaiatu dengan berbuat taat, beribadat dan menyampaikan tugasnya sebagai utusan Allah kepada umatnya. Ataupun merupakan kesempurnaan nikmat kepada siapa-siapa yang telah berpandukan kitab itu dengan baik.

Juga kitab Taurat itu mengandungi penjelasan bagi segala sesuatu yang diperlukan dalam agama, baik dalam urusan ibadat mahupun urusan muamalat, jinayat dan sebagainya. Seterusnya ia memimpin orang jangan sampai tersesat jalan dan merupakan rahmat Tuhan. Mudah-mudahan mereka yang diturni Taurat percaya bahwa hari ba’ath di mana pertemuan dengan Tuhan pasti akan berlaku.





Surah Al An’am Ayat 155

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Sebelum ini telah disebut dengan ciri-ciri kitab Taurat. Untuk Quran, Allah tambah dengan mengatakan yang ia hanya ‘diberkati’. Quran ini lebih lagi dari kitab-kitab terdahulu kerana ajaran dalam Quran ini mengumpulkan segala ajaran-ajaran di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Banyaklah lagi kelebihan Quran ini kalau dibandingkan dengan kitab-kitab yang lain. Ajaran dalam Quran mempunyai banyak keberkatan. Jikalau kita mengikuti ajarannya, maka hidup kita pun akan diberkati.

Keberkatan dari Quran akan didapati apabila kita membacanya, kemudian memahaminya, dan kemudian mesti mengamalkannya. Ini adalah arahan dari Allah untuk mengikuti ajaran-ajaran dalam Quran. Kita memang sudah tahu dan faham, tapi adakah kita lakukan? Sudahkah kita faham apakah ajaran Quran ini? Sudahkah kita amalkan apa-apa yang diajar di dalam AlQuran?

Allah menyeru hamba-hambaNya supaya takutlah kepada Allah. Iaitu takut dengan tidak menyalahinya. Mudah-mudahan kita akan mendapat rahmat Allah kerana mengikuti ajaran kitab AlQuran ini.


Surah Al An’am Ayat 156

Supaya kamu tidak mengatakan: "Bahawa Kitab (ugama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka".
“Kamu” di dalam ayat ini adalah merujuk kepada kaum musyrikin. ‘Dua golongan’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Yahudi dan Nasrani. Apabila Quran telah diturunkan, puak Musyrikin tidak lagi mempunyai dalil untuk mengatakan mereka tidak diberikan dengan kitab seperti yang telah diberikan kepada Yahudi dan Nasrani. Supaya mereka tidak boleh memberi alasan yang mereka tidak tahu tentang agama kerana sekarang Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab.

Mereka bangsa Arab sudah tidak boleh kata mereka lalai dengan agama kerana kitab hanya diberikan kepada Yahudi dan Nasrani sahaja. Dan bahasa kitab Taurat dan Injil pula bukan di dalam basa Arab. Supaya mereka tidak ada hujah untuk mengatakan mereka tidak faham dengan kitab-kitab itu kerana kitab-kitab itu di dalam bahasa yang mereka tidak faham. Tambahan pula bangsa Yahudi dan Nasrani tidak berkongsi kitab-kitab itu dengan bangsa lain. Mereka kata kitab itu hanya untuk mereka sahaja dan tak layak untuk bangsa Arab. Pada mereka, bangsa Arab adalah bangsa yang hina.

Oleh itu sekarang Allah mengatakan yang Allah telah menurunkan kitab Qur’an itu di dalam bahasa Arab supaya mereka memahaminya. Mereka akan menyesal kerana mereka tidak mengendahkan Quran yang telah diturunkan kepada mereka, dalam bahasa mereka dan yang membacakannya adalah Nabi Muhammad dari kalangan mereka sendiri. Jangan kita juga menyesal seperti mereka nanti.


Surah Al An’am Ayat 157

“Atau supaya kamu (tidak) mengatakan: "Sesungguhnya kalau diturunkan Kitab kepada kami tentulah kami mendapat petunjuk hidayah lebih daripada mereka". (Kamu tidak akan dapat berdalih lagi) kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan (yang cukup) dari Tuhan kamu, dan petunjuk hidayah serta rahmatNya (yang melimpah-limpah). Oleh itu, siapakah yang lebih zalim lagi daripada orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan berpaling daripadanya? Kami akan membalas orang-orang yang berpaling dari ayat-ayat keterangan Kami (dengan) azab seksa yang seburuk-buruknya, disebabkan mereka sentiasa berpaling (mengingkarinya).

Diriwayatkan bahwa sekumpulan orang musyrikin Mekah mengatakan, “kalaulah kami yang diturunkan Kitab sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani diberikan kitab kepada mereka, pasti kami akan lebih terpimpin lagi daripada mereka.” Mereka berkata begitu kerana mereka menganggap diri mereka sebagai orang-orang yang cerdik pandai, berakal tajam dan tepat pandangan lebih dari orang-orang Yahudi dan Nasrani. Bangsa Arab memang jenis bangsa yang berbangga dengan diri mereka dan bahasa Arab mereka. Sampaikan mereka panggil bangsa selain bangsa Arab sebagai ‘Ajam’, yang bermaksud ‘tidak tahu bercakap’.

Kata-kata mereka ini telah dijawab oleh Allah dengan ayat ini. Allah memberitahu mereka yang sekarang Dia telah turunkan satu kitab yang jelas ini dan ia di dalam bahasa mereka. Sekarang, samada mereka mahu terima atau tidak sahaja. Kerana mereka sudah tidak ada alasan lagi di hadapan Allah.

Walaupun Quran telah diturunkan dalam bahasa Arab, tetapi kebanyakan puak Musyrikin Arab itu tidak mahu menerima Quran itu. Mereka mendustakan dengan mengatakan yang Quran itu bukanlah dari Allah, tapi dari Nabi Muhammad. Bermacam-macam lagi alasan yang mereka gunakan untuk menolak untuk beriman dengan Quran itu.

Allah memberitahu bahawa tidak ada orang yang lebih zalim dan lebih ingkat daripada orang yang mendustakan ayat-ayat atau keterangan-keterangan Allah dan orang yang mengelak daripadanya. Maksudnya orang yang tidak mahu percaya kepada keterangan-keterangan Al-Quran adalah orang yang zalim.

Allah telah memberi amaran kepada orang-orang yang tidak mahu mempercayai keterangan-keterangan Allah itu, dan mengancam akan menyeksa mereka dengan seksaan yang sangat buruk akibatnya dan paling keras, sebagai balasan atas perbuatan mereka.


Surah Al An’am Ayat 158

Apakah (yang ditunggu-tunggu oleh mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: "Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)".

Ayat ini adalah berbentuk pertanyaan tetapi sebenarnya mempunyai maksud penafian, - ditujukan untuk mengeji orang-orang musyrik Mekah. Maksudnya seperti : apakah yang mereka tunggu lagi? Atau, apakah yang mereka tunggu sampai mereka masih lagi tidak mahu beriman?

Adakah mereka menunggu sampai malaikat datang kepada mereka baru mereka hendak beriman? Tidak lain dan tidak bukan, mereka menunggu malaikat sahaja. Malaikat yang mana yang mereka tunggu? Yang dimaksudkan mereka tunggu itu mungkin bermaksud Malaikat Maut, iaitu apabila Malaikat Maut datang makan itu bermakna mereka mati. Kerana Malaikat Maut hanya datang apabila mengambil nyawa manusia sahaja. Adakah mereka hendak tunggu sampai mereka mati baru mereka hendak beriman? Itu sudah terlambat. Tidak ada guna kalau dah nak mati baru nak beriman.

Macam masyarakat kita sekarang lah juga. Kita ajak mereka belajar tafsir Quran, mereka tak mahu. Sibuk dengan perkara-perkara lain. Sibuk dengan kerja, sibuk dengan keluarga, malah macam-macam lagi. Mereka kata kalau mereka ada kelapangan, mereka akan datang. Cuma sekarang sibuk sangat, mereka kata. Mereka Tunggu punya tunggu, tak belajar sampai mati. Tak sempat nak taubat atau beramal.

Atau adakah mereka nak tunggu kedatangan Allah sendiri. Kedatangan Allah adalah pada Hari Mahsyar seperti yang disebut dalam surah Al Fajr ayat 22 yang bermaksud :
“..dan datanglah Tuhanmu; sedang malaikat berbaris-baris.”

Kalau nak tunggu Allah datang, itu bermakna sudah sampai ke Hari Perbicaraan di Padang Mahsyar. Waktu itu sudah tidak boleh nak bertaubat atau nak beramal lagi dah.

“...sebahagian dari tanda-tanda Tuhanmu itu,..”
‘Tanda-tanda’ yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tanda-tanda hampirnya kiamat. Daripada Hadis, telah diberitahu kepada kita bahawa apabila kiamat sudah hampir, akan ada tanda-tandanya. Antaranya adalah, matahari akan terbit dari arah barat. Bila matahari sudah terbit dari arah barat, taubat sudah tidak diterima lagi. Satu lagi tanda adalah turunnya Dajjal dan keluarnya makhluk Dabbatul Ard.

Berkenaan kedatangan Kiamat, perlu rujuk kepada perbicaraan yang panjang tentang Kiamat. Adakah mereka hendak menunggu datangnya Kiamat ini, baru mereka hendak beriman? Itu sudah terlambat. Apabila datangnya kiamat, atau datangnya tanda besar kiamat, tidak berguna lagi iman mereka kalau waktu itu baru mereka hendak beriman. Ataupun, di ketika nyawa sudah di halqum. Katakanlah kita kemalangan, nyawa kita nyawa-nyawa ikan sahaja. Waktu itu juga taubat tidak diterima. Lihatlah bagaimana iman Firaun tidak diterima semasa hampir matinya.
Hanya mereka yang beriman sebelum keluar tanda-tanda itu baru diterima.
Ini bermakna amalan yang baik yang dilakukan hanya selepas datangnya tanda-tanda itu, tidak akan dikira. Takkan bila dah keluar tanda Kiamat, baru nak buat ibadat? Apa yang mereka buat selama hari ini? Ayat ini mengajar kita jangan berlengah dalam berbuat amal ibadah. Jangan ingat kita ada banyak masa lagi. Kita boleh mati bila-bila masa sahaja.

Tetapi kalau masih berdegil dan masih ada yang nak tunggu, maka tunggulah. Teruslah kamu di dalam kesyirikan dan kekufuran itu. Kita dah beri nasihat dan dakwah, tapi masih lagi berdegil. Akhirnya, ini sahaja yang kita boleh katakan kepada mereka. Seperti juga kita berkata kepada orang yang degil: “Buatlah apa yang kamu nak buat.” Sebab kita hanya boleh nasihat dan dakwah sahaja, tidak boleh nak paksa orang lain buat kebaikan. Tidak boleh nak paksa orang lain beriman. Kita sama-sama tunggulah apa yang akan terjadi di hari akhirat nanti.

Ini sesuai seperti yang diterangkan dalam firman Allah:
“Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya mereka itulah yang beriman kepadanya, dan barang siapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
(Q.S Al Baqarah: 121)



Surah Al An’am Ayat 59

Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan ugama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). “

Allah memberitahukan rasulNya bahwa baginda tidak kena mengena dan tidak bertanggungjawab atas perbuatan orang-orang ahli Kitab dari kaum Yahudi dan Nasrani yang memecah belahkan agama dengan mempercayai sebahagian perintahNya dan mengingkari sebahagian yang lain. Begitu pula menjalankan sebahagian hukum-hukum agama dan meninggalkan sebahagian yang lain. Baginda tidak bertanggungjawab terhadap semua yang terjadi sebelum ayat ini diturunkan, iaitu sebelum ada perintah jihad untuk memerangi orang-orang kafir.

Baginda juga tidak ada kena mengena dan tidak bertanggungjawab atas perbuatan umatnya yang memecah belahkan agama dan berpuak-puak, sehingga perpaduan umat Islam menjadi pecah dan kekuatannya menjadi lemah.

Tetapi ingatlah, Allah memberi amaran bahawa urusan untuk memberi balsan yang setimpal kepada orang-orang yang memecah belahkan agama itu adalah terserah kepada Allah. Kemudian Allah akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan itu pada hari akhirat kelak.

Dalam hubungan ini Nabi saw memingatkan umatnya, janganlah berpuak-puak dan berpecah belah. Baginda pernah meramalkan akan adanya perpecahyan dalam kalangan umat Islam sehingga mereka menjadi beberapa puak, semuanya akan masuk neraka, kecuali satu puak sahaja yang tidak.

Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sekalian puak yang mengikuti perjalanan baginda dan sahabat-sahabat baginda hendaknya. Amin.


Surah Al An’am Ayat 160

Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Pada ayat ini diterangkan dengan jelas bahawa barang siapa berbuat amal baik, maka Allah akan memberikan pahala balasannya di hari akhirat dengan sepuluh kali ganda amalannya. Dan barang siapa berbuat kejahatan hanya dibalas setimpal dengan kejahatannya. Kerana Allah tidak akan menganiaya sedikit pun atau merugikan mereka. Yang dimaksud dengan orang yang beramal baik di sini ialah orang-orang mukmin kerana amal baik orang kafir sebelum masuk Islam tidak akan bermanfaat bagi mereka di akhirat, seperti yang diterangkan di dalam firman Allah:
“Itulah petunjuk Allah yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Seandainya mereka mempersekutukan Allah, niscaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan.”
(Q.S Al An'am: 88)

Dan yang dimaksud dengan balasan sepuluh kali ganda di sini belum termasuk apa yang dijanjikan Allah dengan balasan yang jauh lebih banyak dan berlipat ganda dari itu lagi kepada orang-orang yang membelanjakan hartanya di jalan Allah sampai 700 kali seperti disebutkan dalam firman Allah atau hadis qudsi:
“Jika kamu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya Allah melipatgandakan (pembalasan semuanya) kepadamu dan mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pembalas jasa lagi Maha Penyantun.”
(Q.S At Taghabun: 17)

Di dalam hadis Nabi Muhammad saw. banyak dijumpai tentang balasan amal baik dan amal jahat sehingga diterangkan juga pahala balasan terhadap orang-orang yang belum mengerjakannya hanya sekadar niat atau ketetapan hatinya. Hal ini tersebut dalam sebuah hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah yang menceritakan dengan terjemahannya sebagai berikut:
Sesungguhnya Rasulullah saw. bersabda: Allah berfirman kepada malaikatnya, "Apabila hamba-Ku hendak mengerjakan sesuatu pekerjaan jahat, janganlah dituliskan (jangan dicatat) sebagai suatu kesalahan sebelum dikerjakannya. Dan apabila dikerjakannya, catatlah baginya satu kesalahan (kejahatan). Dan jika ditinggalkannya (tidak jadi diperbuatnya) kerana Aku (kerana Allah), maka tulislah baginya satu kebaikan. Dan apabila ia hendak mengerjakan kebaikan dan tidak dikerjakannya, maka tulislah baginya satu pahala kebaikan. Dan apabila dikerjakannya, maka tulislah sampai tujuh ratus kali lipat pahala kebaikan baginya."



Surah Al An’am Ayat 161

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku telah diberikan petunjuk hidayah oleh Tuhanku ke jalan yang betul lurus, (kepada) ugama yang tetap teguh, iaitu ugama Nabi Ibrahim yang ikhlas, dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik"

Apabila kaumnya masih tidak mahu ikut, maka Nabi Muhammad disuruh berkata begini kepada mereka. Kalau orang yang kita ajak kepada Islam yang benar tidak juga mahu ikut, maka beginilah kita katakan kepada mereka. Bukan kita yang buat sendiri agama ini tetapi kita telah diberi petunjuk oleh Allah. Allah yang mengajar kita melalui Quran dan hadis yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Allah lah yang akan membawa kita kepada jalan yang lurus. Iaitu jalan ke syurga. Oleh itu, jikalau kita mahu masuk syurga, maka hendaklah kita ikut Quran dan sunnah, tidak ada jalan lain lagi.

Islam adalah agama yang tegak, yang lurus, yang benar, dan ia juga adalah agama yang mengajak manusia untuk menjadi lurus. Bakal sesiapa yang mengikut agama ini akan juga berada di atas jalan yang lurus dan jalan yang selamat.

Agama yang Nabi Muhammad bawa ini adalah seperti agama Nabi Ibrahim juga. Musyrikin Mekah kata mereka ikut agama peninggalan Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad pun kata baginda mengikut agama Nabi Ibrahim juga. Tapi kenapa ada banyak perbezaan? Siapa sebenarnya yang mereka ikut? Nabi Ibrahim tidak melakukan syirik dengan menyembah entiti lain selain dari Allah. Tapi kenapa mereka buat syirik sedangkan mereka kata mereka mengikut peninggalan agama Nabi Ibrahim?

Ayat ini adalah juga untuk menolak pegangan sesetengah orang dan sesetengah agama yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim pernah melakukan syirik. Ayat ini membersihkan nama Nabi Ibrahim a.s. Bukankah ada ayat yang menceritakan bagaimana baginda mengatakan yang bintang itu tuhannya, kemudian bulan itu tuhannya dan kemudian matahari pula tuhannya? Kita telah jelaskan bahawa itu semua adalah helah Nabi Ibrahim untuk mengajar tauhid kepada kaumnya. Bukannya Nabi Ibrahim benar-benar percaya yang bintang, bulan dan matahari itu tuhannya.

Dan Allah hendak membersihkan nama baginda kerana memang ada dalam pengajaran Yahudi dan Kristian yang mengatakan yang di hujung hayat baginda, baginda telah menjadi musyrik! Ma sha Allah! Amat buruk apa yang mereka katakan tentang Nabi Ibrahim. Maka Allah membersihkan nama baginda dalam ayat ini.




Surah Al An’am Ayat 162

Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. “ (162)

Sebelum ini, telah disebut tentang Nabi Ibrahim a.s. Kalau mereka memang mengikut ajaran Nabi Ibrahim, maka hendaklah mereka juga mengikut apa yang Nabi Ibrahim lakukan. Nabi Ibrahim selalu melakukan solat, bahkan musyrikin Mekah memang ada melakukan solat sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi lagi. Ini adalah kerana memang itu adalah ajaran nabi-nabi terdahulu pun, termasuklah Nabi Ibrahim pun.

Ayat ini mengingatkan kita yang solat yang kita lakukan hari-hari itu adalah kerana Allah. Ianya adalah arahan dari Allah, dan kerana kita taat kepada Allah, maka kita melakukan ibadat solat itu. Malah bukan solat saja, tetapi ibadah-ibadah lain umpamanya puasa, haji, sedekah, zakat semuanya kerana Allah. Biar semua amal ibadah yang kita lakukan hanya untuk Allah. Jangan ada ibadat kepada selain Allah.

Adakah dalam kehidupan ini kita hidup berlandaskan Islam? Sebagai manusia, tentu kita ada cita-cita untuk menjadi apa dalam dunia ini. Ada yang nak jadi kaya, ada yang nak jadi pandai, ada yang jadi terkenal dalam masyarakat. Allah ingatkan dalam ayat ini bahawa cita-cita kita di dalam dunia ini sebenarnya adalah untuk mencari redha Allah. Jangan kita terikut-ikut dengan cara pemikiran manusia lain yang hanya mementingkan kehidupan mereka di dunia ini. Kita hidup bukanlah hanya untuk memenuhi keinginan kita kepada dunia, kepada keluarga, kepada kesenangan dan tidak juga untuk menghabiskan masa dengan kerja-kerja di pejabat. Hidup kita ini perlu dikorbankan untuk Allah.
Ini adalah supaya apabila kita mati nanti kita berada di atas jalan agama Islam yang benar. Biar kita sanggup mati untuk memperjuangkan Islam. Kemudian Allah mengajar kita untuk berkorban setiap tahun kepada Allah. Apabila sudah dilatih begitu, kita dibawa untuk menumpukan hidup kita seluruhnya untuk Allah. Kemudian sampai kepada tahap yang kita pun sanggup mati kerana Allah.

Banyak perkara kita boleh lakukan untuk Islam. Tidak semestinya semua Muslim kena mengajar, menjadi ustaz atau ulama. Kita masing-masing ada tugas kita yang kita mampu lakukan. Kita kena pandai mencari bagaimana kita boleh memberi kepada Islam. Sebagai contoh, untuk kerja dakwah, tentunya memerlukan kewangan yang besar. Mungkin kita orang itu, yang memberi wang pada jalan dakwah. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Khadijah lah yang telah membiayai dakwah Nabi di awal Islam.




Surah Al An’am Ayat 163

Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)". (163)

Allah tidak mempunyai sekutu dan Allah tidak memerlukan sekutu apa pun. Kalau kita buat kerja, mungkin kita memerlukan orang lain untuk tolong kita, bukan? Tapi Allah tidak memerlukan sesiapa untuk menolongNya.

Dan kalau kita nak bandingkan dengan ayat sebelum ini tentang memberi kehidupan kita kepada Islam, jadi ayat ini menolak kita memberikan hidup kita kepada selain Allah. Sebagai contoh, ada manusia yang memberikan seluruh usahanya untuk negaranya, sampaikan dia melupakan Allah, tidak berkhidmat untuk Allah. Ada juga yang mementingkan parti politiknya. Jangan kita jadi begitu.

Ayat ini mengajar kita kepentingan untuk menyerahkan diri kita kepada Allah. Perkataan ‘Islam’ itu sendiri bererti ‘menyerah diri’.

Ayat ini juga mengajar kita untuk menjadi orang yang mula-mula untuk menyerahkan diri kepada Allah. Kalau tidak ada orang lain yang buat, maka kita lah yang perlu menjadi contoh kepada mereka. Sebagai contoh, mungkin kitalah orang pertama dalam keluarga kita yang pergi haji atau umrah; atau kitalah orang yang pertama dalam keluarga kita yang belajar tafsir Quran dan kemudian kita ajak mereka untuk belajar juga. Maknanya, kita jangan tunggu orang lain buat dulu. Kita kena mulakan.



Surah Al An’am Ayat 164

Katakanlah: "(Sesudah aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) patutkah aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya.”

Nabi Muhammad telah disuruh oleh puak-puak musyrikin untuk menyembah juga tuhan tuhan berhala mereka. Kalau tak sujud pun, sentuh sahaja dah cukup. Inilah jawapan baginda kepada mereka. Takkan kita hendak mencari tuhan yang lain, bukan?

Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw. supaya mengatakan kepada kaumnya mengapa baginda nak cari Tuhan yang lain dengan menyekututkan Allah dalam ibadah? Sedangkan kita tahu Allah lah yang mencipta dan memelihara segala sesuatu. Kenapa kita nak kepada yang lain sedangkan semuanya adalah makhluk kepada Allah. Maha Suci Allah dari persekutuan itu. Dialah Tuhan bagi segala sesuatu, Dialah yang menciptakan semesta alam.

Setiap orang yang berbuat dosa, maka dirinya sendirilah yang akan menanggung dosanya itu. Kerana dosa seseorang itu tidak akan dipikul oleh orang lain. Masing-masing menerima pahala amal baiknya dan memikul dosa amal buruknya. Hal ini berulang-ulang disebutkan dalam Alquran.
Firman Allah swt.:
“(Yaitu) bahwasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.”
(Q.S An Najm: 38-39)

Di hujung-hujung surah ini, Allah mengingatkan kita bahawa kita semuanya akan mati. Kita semuanya akan bertemu dengan Allah nanti untuk menjawap perbuatan kita di dunia. Kita tidak akan hidup di dunia ini selama-lamanya – mati itu pasti.


Surah Al An’am Ayat 165

Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’

Sebagai penutup dari surah Al An’am, Allah mengingatkan bahwa Allah telah menjadikan manusia semua sebagai penguasa di atas bumi yang telah menggantikan umat dan masyarakat yang sebelumnya yang mana Allah telah mengangkat sebagian dari mereka beberapa darjat tingkat dari yang lain, kekuasaan dan ketinggian darjat itu tidak lain Allah akan uji mereka, bagaimana mereka menerima, mempergunakan dan menysyukuri pemberian Allah itu.

Kerana itu Allah menutup ayatNya dengan kata, sesungguhnya amat cepat hukuman seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun dan Penyayang. Maka terserah kepada kamulah berbuat untuk kepentinganmu sendiri, adakah menuju seksa Allah atau pengampunan dan rahmatNya.

Dalam penutup terakhir ini mengandungi daya penarik dan ancaman sehingga tiap-tiap orang berasa bebas untuk menentukan nasibnya dan mengerti ke mana arah tujuan hidupnya samada menurut perintah Allah atau melanggarnya untuk mencapai rahmat. Dalam surah Al Hijr ayat 50 Allah berfirman:
“Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya). “

Semoga Allah menjadikan kami bersama golongan orang yang patuh taat kepadaNya dan meninggalkan apa yang dilarang serta mempercayai semua yang diberitahukan. Sesungguhnya Tuhan itu Maha Penerima dan Maha Mendengar semua doa permintaan hambaNya.

Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda:
“seandainya seorang mukmin mengetahui seksa yang disiapkan oleh Allah, nescaya tidak ada orang yang mengharap untuk dapat masuk syurgaNya dan seandainya orang kafir mengetahui apa yang disiapkan Allah dari rahmatNya nescaya tidak akan ada seorang yang putus harapan untuk dapat masuk syurga. Allah telah menjadikan seratus rahmat, maka Allah meletakkan satu rahmat di dunia di antara makhlukNya, maka dengan itulah makhluk berbelas kasih antara yang satu pada yang lain dan disimpan di sisi Allah yang sembilan puluh sembilan.”
Hadith Riwayat Ahmad.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.