Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am ayat 32 Hingga 55




Al An’am Ayat 32

وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الْآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Dalam ayat ini Allah menegaskan gambaran kehidupan duniawi dan ukhrawi. Kehidupan dunia ini sesungguhnya tidaklah lain hanyalah permainan dan hiburan. Bagi mereka yang mengingkari hari kebangkitan dan kiamat memang demikianlah mereka sangat mencintai hidup duniawi ini. Seperti anak-anak bermain-main mereka memperoleh kesenangan dan kepuasan sewaktu dalam permainan itu. Semakin pandai dia mempergunakan waktu bermain itu semakin banyak kesenangan dan kepuasan yang mereka peroleh. Sehabis bermain itu mereka tidak memperoleh apa-apa.

Atau seperti ketagihan arak, mereka mendapatkan hiburan-hiburan yang mengasyikkan sewaktu tenggelam dalam kemabukan arak itu. Hilanglah segala gangguan-gangguan fikiran yang tidak menyenangkan, lenyaplah kelelahan dan kelesuan rohani dan jasmani pada waktu itu. Tetapi sebentar kemudian, bila racun arak itu sudah hilang, hiburan yang menyenangkan itupun lenyap dan dia menderita kelelahan lebih berat dari sebelum minum arak. Begitulah keadaan orang-orang yang ingkar terhadap hari berbangkit dan hidup sesudah mati itu. Mereka membatasi diri mereka dalam kesempatan pendek itu. Hidup bagi mereka adalah permainan dan hiburan.

Bagi orang-orang yang mukmin dan takwa tentulah mereka berfikir tidak seperti orang-orang yang ingkar itu. Tidaklah patut mereka membatasi diri pada garis kehidupan yang pendek. Apakah erti kesenangan dan kenikmatan yang hanya sebentar saja, untuk kemudian menderita dengan tidak memperoleh apa apa. Oleh kerana itu orang-orang mukmin, hendaklah memilih garis kehidupan. yang lebih panjang yakni kehidupan ukhrawi, sebab itulah kehidupan yang paling baik dan untuk garis kehidupan yang panjang ini hendaklah dia mempersiapkan diri dengan amal kebaikan dan ketaatan kepada Allah.






Al An’am Ayat 33

قَدْ نَعْلَمُ إِنَّهُ لَيَحْزُنُكَ الَّذِي يَقُولُونَ فَإِنَّهُمْ لَا يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ
Sesungguhnya Kami mengetahui bahawa apa yang mereka katakan itu menyebabkan engkau (wahai Muhammad) berdukacita; (maka janganlah engkau berdukacita) kerana sebenarnya mereka bukan mendustakanmu, tetapi orang-orang yang zalim itu mengingkari ayat-ayat keterangan Allah sebenarnya.

Allah menenangkan hati Nabi dengan memberitahu baginda bahawa Allah dengar, Allah tahu yang Nabi dalam kesedihan. Bukan Allah tak tahu. Kalau seseorang itu tahu yang ada yang mendengar keluhan hatinya, faham apa yang dirasainya, bukankah ada kurang sikit rasa resahnya itu? Allah nak mengurangkan kesedihan baginda.

Nabi kena ejek dengan teruk sekali. Musyrikin kata macam-macam kepada baginda. Kata baginda ahli sihir lah, gila lah, pemecah belah masyarakat lah dan macam-macam lagi. Allah kata mereka sebenarnya bukan mendustakan dan mengejek Nabi Muhammad tapi mereka sebenarnya mendusta dan mengejek Allah. Kerana Nabi Muhammad hanya menyampaikan ayat-ayat dari Allah. Oleh itu, Allah ingatkan Nabi supaya jangan bersedih.

Yang mereka debat dan lawan adalah ayat-ayat Allah. Mereka menentang Allah sebenarnya.
Musyrikin Mekah memang tahu bahawa Nabi itu rasul dan ayat Quran itu dari Allah, tapi mereka masih juga menolak. Kerana mereka sombong dan keras kepala.

Yang sebenarnya ialah orang-orang kafir itu tidak mempercayai kenabian Muhammad saw. Ayat-ayat Alquran yang diturunkan Allah, adanya hari kiamat, hari berbangkit serta semua yang dibawa dan disampaikan Nabi Muhammad.

Ar Razi dalam tafsirnya menerangkan empat bentuk keingkaran orang-orang kafir Mekah itu, yaitu:
1. Hati mereka mengaku Muhammad sebagai seorang yang dapat dipercaya, tetapi mulut mereka mendustakannya, karena mereka mengingkari Alquran dan kenabian Muhammad saw.
2. Mereka tidak mahu menyatakan bahwa Muhammad seorang pendusta karena mereka mengetahui betul keadaan Muhammad yang sebenarnya yang tidak pernah berdusta. Menurut mereka Muhammad sendirilah yang mengkhayalkan di dalam fikirannya bahwa Allah telah mengangkatnya menjadi nabi dan rasul, lalu ia menyeru manusia.
3. Mereka selalu mendustakan kenabian dan risalah, sekalipun telah dikemukakan mukjizat-mukjizat dan dalil-dalil yang kuat mereka tetap mendustakan ayat-ayat Allah.
4. Mereka tidak mahu percaya kepada mukjizat dan dalil-dalil itu, bahkan mereka mengatakan bahwa mukjizat itu adalah sihir belaka.
Dari susunan kalimat ayat ini difahami bahwa Allah swt. meninggikan darjat Nabi Muhammad saw. Darjat itu tidak akan turun walaupun orang kafir Mekah mendustakan dan mengingkarinya.

Asbabun Nuzul
Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari As Suddy, ia berkata, "telah bertemu Akhnas bin Syuraiq dengan Abu Jahal bin Hisyam, maka berkata Akhnas kepada Abu Jahal, "Hai Abul Hakam! Terangkanlah kepadaku tentang Muhammad, apakah ia seorang yang benar atau seorang pendusta. Sesungguhnya tidak ada orang yang lain di sini mendengar perkataanmu selain aku". Abu Jahal menjawab, "Demi Allah, sesungguhnya Muhammad adalah seorang yang benar, tidak pernah ia berdusta. Tetapi apabila Banu Qusay telah menguasai panji-panji, pelayanan air minum, urusan kunci Kakbah, urusan permusyawaratan (Nadwah) dan kenabian, maka apa lagi yang akan dimiliki orang-orang Quraisy yang lain". Maka Allah menurunkan ayat ini.

Dari Abu Maisarah, ia berkata, "Sesungguhnya Rasulullah saw lewat di hadapan Abu Jahal dan teman-temannya, mereka berkata, 'Hai Muhammad! Demi Allah, tidaklah kami mendustakan engkau dan sesungguhnya engkau menurut kami adalah orang yang benar tetapi kami mendustakan risalah yang engkau bawa'". Maka turunlah ayat ini.






 Al An’am Ayat 34

وَلَقَدْ كُذِّبَتْ رُسُلٌ مِنْ قَبْلِكَ فَصَبَرُوا عَلَى مَا كُذِّبُوا وَأُوذُوا حَتَّى أَتَاهُمْ نَصْرُنَا وَلَا مُبَدِّلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ وَلَقَدْ جَاءَكَ مِنْ نَبَإِ الْمُرْسَلِينَ
Dan demi sesungguhnya, Rasul-rasul sebelummu pernah juga didustakan, maka mereka sabar terhadap perbuatan orang-orang yang mendustakan mereka dan menyakiti mereka, sehingga datanglah pertolongan Kami kepada mereka; dan sememangnyalah tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah (janji-janjiNya); dan demi sesungguhnya, telah datang kepadamu sebahagian dari khabar berita Rasul-rasul itu.

Nabi dan Rasul sebelum ini pun dah didustakan. Ini bukan perkara baru. Itulah sebabnya Allah ceritakan tentang Nabi-Nabi dahulu kepada Nabi dan kepada kita. Supaya kita tahu apa yang telah terjadi kepada.

Mereka tahan dengan penuh kesabaran. Mereka tak marah dengan apa yang kena kepada mereka. Kerana apa yang mereka lakukan adalah kerana Allah. Mereka tidak mengharapkan balasan dari umat yang mereka dakwahkan itu, tapi mereka hanya mengharapkan balasan dari Allah sahaja. Mereka terus berdakwah dan tidak tinggalkan kaum mereka.

Mereka disakiti dengan kata-kata dan juga dengan fizikal. Apabila umat yang kufur itu tidak dapat melawan dengan kata-kata kerana mereka tidak ada hujah, mereka akan menggunakan keganasan fizikal pula.

Allah beri pertolongan kepada rasul-rasul itu dimana mereka telah diberikan kemenangan dan musuh mereka telah dihancurkan. Allah beri isyarat kepada Nabi dalam ayat ini bahawa pertolongan Allah akan tiba. Tunggu sahaja.

“....dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Kalimah-kalimah Allah;..”
Dalam surah Kahfi telah disebut bahawa kalaulah kalimat-kalimat Allah ditulis, tidak akan habis walaupun dua kali ganda air lautan di dunia ini dijadikan dakwat untuk menulisnya. Termasuk dalam kalimat-kalimat Allah adalah janji-janjiNya. JanjiNya untuk rasulNya dan para pendakwah.
Kalimat Allah juga termasuk segala puji-pujian untukNya. Amat banyak sekali. Termasuk juga hukum-hukum.

Hukum-hukum Allah tidak boleh diubah. Ianya tak boleh tukar. Walaupun ayat-ayat itu keras, ramai orang tak suka, tapi begitulah. Kena sampaikan macam itu juga. Jangan tengok orang tak suka, maka diubah tafsir ayat itu untuk ‘sesuaikan’ dengan keadaan semasa. Tak boleh macam tu. Atau pun disimpan, tak disebarkan ayat-ayat yang dirasakan orang tak suka dengar. Diajar ayat-ayat yang tak menyebabkan orang sakit hati sahaja. Sepertimana ahli Kitab lakukan terdahulu.

Ada banyak kisah yang telah disampaikan kepada Nabi Muhammad. Banyak lagi yang tidak diberitahu. Kisah-kisah itu sepatutnya boleh menenangkan Nabi. Bagaimana dalam kisah itu telah disebutkan bagaimana Nabi-Nabi dulu telah diselamatkan dan diberikan kemenangan. Pertolongan Allah pasti datang.






Al An’am Ayat 35

وَإِنْ كَانَ كَبُرَ عَلَيْكَ إِعْرَاضُهُمْ فَإِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تَبْتَغِيَ نَفَقًا فِي الْأَرْضِ أَوْ سُلَّمًا فِي السَّمَاءِ فَتَأْتِيَهُمْ بِآيَةٍ وَلَوْ شَاءَ اللَّهُ لَجَمَعَهُمْ عَلَى الْهُدَى فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْجَاهِلِينَ
Dan jika perbuatan mereka berpaling (daripada menerima apa yang engkau bawa wahai Muhammad) terasa amat berat kepadamu; maka sekiranya engkau sanggup mencari satu lubang di bumi (untuk menembusi ke bawahnya) atau satu tangga untuk naik ke langit, supaya engkau dapat bawakan mukjizat kepada mereka, (cubalah lakukan jika engkau sanggup). Dan sekiranya Allah menghendaki, tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk. (Tetapi Allah tidak menghendakinya), oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang jahil. “

Sebelum ini telah disebut bagaimana Nabi pun sedih dengan penolakan kaumnya terhadap dakwahnya. Sampai baginda hampir rasa tak larat nak tahan. Sebab dah banyak sangat dah. Kalau sikit-sikit boleh tahan lagi. Tapi kalau dah lama, banyak sangat, tentu memberi kesan kepada baginda. Tambahan pula baginda seorang yang hatinya lembut. Baginda tahu tanggungjawab baginda menyampaikan risalah ini dan baginda sayang kepada umatnya. Dan baginda juga manusia biasa juga, bukan macam malaikat. Baginda pun ada emosi macam manusia biasa juga.

Oleh kerana itu, dia memang terasa sangat dengan penolakan dan ejekan kaumnya. Baginda dalam masa yang sama, teramat ingin supaya kaumnya selamat dari neraka. Macam kita dengan ibubapa kita, tentu kita tak mahu mereka masuk neraka atas kesalahan syirik yang mereka lakukan bukan? Oleh itu, kita sedih sangat kalau kita dakwah kepada ibubapa kita, tapi mereka tak mahu terima.

Apabila musyrik Mekah tidak mahu ikut, mungkin Nabi ada perasaan kalaulah baginda tunjukkan mukjizat, seperti yang mereka minta, mungkin mereka akan beriman sebab nampak keajaiban yang ada pada baginda. Maka Allah tegur Nabi Muhammad dalam ayat ini.

Allah kata Kalau kamu Muhammad tak tahan dengan penolakan mereka dan mahu bawakan mukjizat kepada mereka, buatlah. Allah mencabar Nabi untuk cari lubang di dalam bumi dan kalau tidak ada, gali sendiri lubang itu. Atau pun buatlah tangga yang boleh sampai ke langit. Untuk apa? Untuk cari mukjizat itu di langit.

Kalau Allah dah cabar begini, maknanya memang tak boleh cari dan buat sendiri. Kalau kita fikir sendiri pun, kita dah tahu yang itu tidak mungkin akan berlaku. Nabi diingatkan untuk tunggu pertolongan dari  Allah. Allah yang tentukan bila ianya akan diberi. Bukan terletak di tangan Nabi Muhammad.

“...tentulah Dia himpunkan mereka atas hidayah petunjuk…
Allah boleh buat semua kaumnya beriman, sampai Nabi tak payah dakwah pun, tunggu sahaja mereka beriman. Tapi Allah tak hendak macam itu. Allah memang boleh buat macam itu. Lihatlah bagaimana Allah menjadikan seluruh para malaikat itu beriman belaka, taat belaka kepadaNya.

Allah juga boleh sahaja berikan segala mukjizat yang diminta oleh musyrikin Mekah itu sampai mereka beriman. Tapi Allah tak mahu macam tu. Allah hendak kita beriman dengan perkara yang ghaib. Barulah ada nilai dengan iman itu. Kalau kita beriman kerana dah nampak dengan mata kepala kita, ianya tidak bernilai sangat.

Jadi janganlah kita nak harap semua orang akan senang nak beriman. Kalau semua orang senang sahaja beriman, maka tidaklah ada pahala dakwah untuk kita lagi. Allah nak beritahu kepada Nabi supaya jangan ikut emosi yang inginkan semua umatnya beriman. Dan jangan baginda jadi jahil dengan berharap supaya segala permintaan mereka dipenuhi. Allah tegur Nabi dalam ayat ini.

Hendaklah kita ingat bahawa ada perkara yang diluar kuasa kita. Allah yang lebih tahu apakah yang kita perlukan. Kadang-kadang kita tak suka dengan rumah kita contohnya. Tapi tak jumpa rumah lain yang kita rasa sesuai. Kita tak sabar. Kalau nak ikut emosi kita, kita nak cepat-cepat selesai masalah kita. Tapi ingatlah bahawa Allah lah al-Hakeem – Maha Bijaksana – Dia tahu macam mana nak selesaikan masalah kita. Kita cuma kena bersabar. Orang yang tak sabar adalah orang yang jahil. Kerana kalau kita tak sabar pun, tidak ada apa yang akan berubah.
Sekurang-kurangnya kalau kita bersabar, kita akan dapat pahala. Kerana semua dugaan dalam dunia adalah satu ujian kepada kita. Dan apabila kita bersabar, kita akan dikurniakan dengan pahala atas kesabaran kita itu.






Al An’am Ayat 36

إِنَّمَا يَسْتَجِيبُ الَّذِينَ يَسْمَعُونَ وَالْمَوْتَى يَبْعَثُهُمُ اللَّهُ ثُمَّ إِلَيْهِ يُرْجَعُونَ
Hanyasanya orang-orang yang menyahut seruanmu itu ialah mereka yang mendengar (yang mahu menurut kebenaran); sedang orang-orang yang mati, Allah bangkitkan mereka semula (pada hari kiamat kelak), kemudian mereka dikembalikan kepadaNya untuk menerima balasan.

Pada ayat ini Allah menerangkan tentang keadaan dua golongan manusia semasa disampaikan seruan Allah dan rasulNya kepada mereka.

1. Golongan manusia yang hidup jiwanya. Golongan ini menggunakan akal, fikiran, perasaan dan kehendak serta pilihan yang telah dianugerahkan Allah kepada mereka. Dengan anugerah itu mereka melihat, memperhatikan dan menilai segala sesuatu yang dikemukakan kepada mereka. Yang baik mereka ambil, sedang yang buruk mereka buang. Kerana itu hati dan fikiran mereka terbuka untuk menerima petunjuk Allah. Mereka ibarat tanah yang subur. Sedikit saja dituangi air, tanah itu akan menumbuhkan tanaman-tanaman subur. Inilah golongan yang telah menyahut seruan Allah.
2. Golongan manusia yang mati jiwanya. Golongan ini tidak mau menggunakan akal, fikiran, perasaan, pilihan dan mata hati yang telah dianugerahkan Allah kepada mereka. Hati mereka telah dikunci mati oleh rasa dengki yang ada di dalamnya. Kerana itu segala keterangan apapun yang dikemukakan Nabi kepada mereka tidak akan mereka dengar dan perhatikan. Seandainya mereka dapat melihat dan memperhatikan dalil-dalil dan bukti-bukti yang dikemukakan Rasul dan fikiran mereka menerimanya, namun semuanya itu akan ditolak dan tidak akan diterima karena rasa dengki yang telah ada itu. Mereka diibaratkan seperti tanah yang tandus, berapapun air dialirkan kepadanya, namun tanah itu tidak akan menumbuhkan sesuatu. Kerana itu mustahil tanah itu akan dapat menumbuhkan tanaman-tanaman yang diharapkan.

Golongan orang yang disifatkan sebagai orang yang telah mati itu urusannya akan terserah kepada Allah. Allah sajalah nanti yang akan membangkitkan mereka dari kubur dan dihidupkanNya semula untuk dikira segala amalan mereka selama di dunia. Kemudian balasan kekufuran mereka itu tetaplah akan mereka terima jugak nnti.





Al An’am Ayat 37

وَقَالُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ آيَةٌ مِنْ رَبِّهِ قُلْ إِنَّ اللَّهَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يُنَزِّلَ آيَةً وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Dan mereka (golongan kafir musyrik) berkata: “Alangkah eloknya kalau diturunkan kepada Muhammad satu mukjizat dari Tuhannya” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah berkuasa menurunkan mukjizat”, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (balasan yang akan menimpa mereka kalau mereka enggan beriman). “

Ayat ini menegaskan lagi tentang sikap orang-orang musyrik yang sangat ingkar kepada seruan Nabi Muhammad saw dan kepada ayat-ayat Allah. Mereka meminta agar diturunkan kepada mereka bukti-bukti dan keterangan-keterangan tentang kebenaran kenabian Muhammad saw. sebagaimana yang pernah diturunkan kepada Rasul-rasul dahulu.

Mereka tidak merasa cukup dengan bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang terdapat di dalam Alquran, pada hal bukti dan keterangan yang terdapat di dalam Al-Quran itu adalah yang paling tinggi nilainya bagi orang-orang yang mahu menggunakan akal, fikiran dan mata hatinya. Mereka tetap menuntut agar diturunkan bukti dan keterangan seperti telah diturunkan kepada umat-umat yang dahulu.

Tetapi mereka tidak mahu pula untuk memikirkan dan mengambil pelajaran dari sunah Allah yang berlaku bagi orang-orang yang menerima bukti dan keterangan seperti itu serta akibat yang dialami oleh orang-orang dahulu, yaitu mereka dihancur leburkan di dunia dan di akhirat mendapat azab yang pedih, kerana mereka tetap dalam keingkaran dan tidak memperhatikan bukti-bukti dan keterangan-keterangan itu.

Seakan-akan orang-orang musyrikin Mekah itu tidak mahu tahu bagaimana kasih sayangnya Allah kepada mereka, yaitu Allah tidak menurunkan bukti dan keterangan seperti yang diturunkan kepada umat yang dahulu, agar mereka tidak dihancurkan di dunia ini. Yang dengan demikian itu mereka mendapat kesempatan untuk bertaubat dan berbuat baik. Tetapi mereka tidak mahu juga mensyukuri nikmat Allah yang telah diturunkan kepada mereka itu, malah tetap ingkar dan membangkang.

Sebenarnya Allah Maha Kuasa menurunkan apa yang mereka minta tetapi Allah swt berbuat menurut kehendak-Nya. Dia tidak menurunkan bukti dan keterangan berdasarkan permintaan dan hawa nafsu orang-orang musyrik, apa lagi bila permintaan itu adalah semata-mata untuk melemahkan dan menyulitkan Nabi.






 Al An’am Ayat 38

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Allah swt menyatakan bahawa Dia menguasai segala sesuatu, ilmu-Nya meliputi seluruh makhluk yang ada, Dialah yang mengatur alam semesta. Semua yang melata di permukaan bumi, semua yang terbang di udara, semua yang hidup di lautan, sejak dari yang kecil sampai yang besar, sejak dari yang nampak sampai kepada yang tidak nampak, hanya Dialah yang menciptakan, mengembangkan, mengatur dan memeliharanya.

Binatang melata (dabbah) dalam ayat ini maksudnya ialah: segala makhluk yang diciptakan Allah swt, di bumi. Disebut "binatang melata di bumi" saja kerana binatang melata di bumi itulah yang mudah dilihat dan diperhatikan oleh manusia. Pada ayat yang lain Allah swt menyebutkan bahwa selain di bumi, juga di planet-planet yang lainpun terdapat makhluk hidup.

Kenapa tiba-tiba disebutkan tentang hidupan di daratan dan langit ini pula? Ini adalah kerana musyrikin Mekah telah meminta mukjizat untuk ditunjukkan kepada mereka. Mereka nak tengok dulu mukjizat, baru nak beriman kononnya. Maka Allah alihkan pandangan mereka untuk melihat alam ini. Kehidupan yang berbagai-bagai ini pun sebenarnya adalah keajaiban Allah. Kenapa mereka tak nampak? Tengok yang sudah ada ini pun dah cukup ajaib dan takjub sebenarnya.
Keduanya, kita disuruh melihat sendiri dan memerhatikan bagaimana binatang itu tahu apa yang mereka perlu buat. Mereka taat dengan Allah. Manusia pula macam mana? Adakah mereka taat?

Dengan ayat ini Allah swt. menyatakan bahawa di dalam Al-Quran itu telah ada rukun-rukun agama, hukum-hukum, hikmah-hikmah dan pimpinan untuk kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat dan kebahagiaan makhluk umumnya.

Menurut Ibnu Abbas yang dimaksud dengan "Al Kitab dalam ayat ini ialah "Ummul Kitab", yakni lohmahfuz. Kerana maksud ayat ini menurut beliau ialah segala sesuatu telah dituliskan dalam Lohmahfuz. Menurut Ibnu Kasir tiada suatu makhluk pun yang dilupakan Allah memberi rezekinya, sebagaimana firman Allah swt. yang bermaksud:
“Dan tidak ada suatu binatang melatapun di bumi, melainkan Allah lah yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lohmahfuz).”  (Q.S Hud: 6)

Semua makhluk yang diciptakan Allah itu akan lenyap atau mati dan kembali kepada pemiliknya, yaitu Allah swt, kemudian Dia akan membangkitkannya dan menghimpunnya untuk memberi pahala terhadap perbuatan yang baik dan memberi seksaan terhadap perbuatan yang buruk.





 Al An’am Ayat 39


وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا صُمٌّ وَبُكْمٌ فِي الظُّلُمَاتِ مَنْ يَشَأِ اللَّهُ يُضْلِلْهُ وَمَنْ يَشَأْ يَجْعَلْهُ عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka adalah bisu dan tuli, di dalam gelap-gelita. Sesiapa yang Allah kehendaki: akan disesatkannya (menurut peraturan tetapNya), dan sesiapa yang Ia kehendaki: akan dijadikannya atas jalan yang betul lurus.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘mendustakan’? Tentulah kita tidak boleh mendustakan. Tapi, dalam ayat ini, mendustakan itu bermaksud menolak. Tidak mahu menerima.  Orang-orang kafir ini telah menolak dan tidak mahu menerima ayat-ayat Allah yang telah diturunkan kepada rasul-rasul-Nya. Mereka telah menolak ayat-ayat yang membuktikan kekuasaan dan keesaan Allah, kebenaran risalah yang dibawa Nabi Muhammad saw.

Mereka itu diibarat seperti orang pekak, tidak mendengarkan seruan kepada kebenaran, tidak mengacuhkan petunjuk-petunjuk kepada jalan yang benar. Mereka itu juga seperti orang bisu kerana tidak membicarakan dan menyampaikan yang hak yang telah mereka ketahui dan mereka telah tenggelam dalam kegelapan yaitu kegelapan kepercayaan menyembah berhala, kegelapan taklid kepada nenek moyang mereka dan kegelapan kebodohan.

Firman Allah swt di dalam Surah Al A’raf ayat 179 bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah), mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.”

Orang-orang yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka Allah membiarkan mereka menempuh jalan yang sesat kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan tidak mahu memahami petunjuk-petunjuk-Nya. Orang-orang yang dikehendaki Allah untuk mendapat taufik, maka Dia menjadikan mereka pengikut jalan yang lurus, jalan kebenaran kerana mereka memerhatikan dan memahami ayat-ayat Allah kemudian mereka amalkan sesuai dengan sunatullah yang berlaku di alam ini.

Pengajarannya: hidayah adalah di tangan Allah. Allah yang tentukan siapakah yang akan mendapat hidayah. Bolehkah kita salahkan Allah? Tentulah kita tidak boleh nak salahkan Allah. Kerana Allah itu Tuhan dan kita hambaNya. Tambahan pula, Allah beri hidayah kepada mereka yang mahukan hidayah.

Banyaklah salah faham tentang ayat ini pula. Jangan kata Allah yang hendak kita jadi sesat. Ramai yang dah beranggapan begitu. Mereka salahkan Allah kerana mereka tidak beriman. Mereka kata: “Apa nak buat, Allah dah takdirkan aku begini”. Itu adalah fahaman sesat yang syaitan dah masukkan dalam hati kita. Kita tak boleh baca satu-satu ayat dan terus sampai kepada satu keputusani. Kena baca dengan ayat-ayat lain. Kena baca dengan konteks. Kita semua ada usaha untuk mendapatkan hidayah. Kalau kita sendiri tidak berusaha, kita tentang hidayah apabila sampai kepada kita, Allah akan tutup pintu hidayah daripada kita.

Jangan kita kata kita tidak ada usaha atau tidak ada upaya untuk mendapatkan hidayah. Jangan kita kata ‘itu takdir Allah’. Kita semua kena berusaha. Seperti juga kita kalau nak makan, kita akan berusaha untuk cari makan bukan? Kita boleh angkat tangan kita, bukan? Kalau kita tampar seseorang, adakah orang yang kena tampar itu akan salahkan Allah atau dia akan salahkan kita kerana tampar dia? Tentulah dia akan salahkan kita. Begitu juga dengan hidayah, kena ada usaha dari pihak kita. Apabila kita ada usaha, Allah akan bantu dengan beri hidayah itu kepada kita.





 Al An’Am Ayat 40


قُلْ أَرَأَيْتَكُمْ إِنْ أَتَاكُمْ عَذَابُ اللَّهِ أَوْ أَتَتْكُمُ السَّاعَةُ أَغَيْرَ اللَّهِ تَدْعُونَ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ 
Katakanlah (wahai Muhammad): “Khabarkanlah kepadaku, jika datang kepada kamu azab Allah, atau datang kepada kamu hari kiamat, adakah kamu akan menyeru yang lain dari Allah (untuk menolong kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar?”
Orang-orang yang kufur itu bila nanti ditimpa bencana dan bala, biasanya akan teringat semula kepada Allah. Mereka akan memohon dan berdoa kepada Allah, sehingga lupa kepada patung yang dipujanya, lupa kepada behala yang disembahnya. Ketika tiu pulangkanlah paku buah keras kepada mereka.

Katakanlah begini kepada mereka, “Cakap betul-betul, dari hati kamu sendiri: siapakah yang kamu akan panggil? Lihatlah dalam diri kamu, kalau ada bala yang tiba-tiba datang, agaknya siapakah yang kamu seru?” Jawapnya tentulah mereka akan menyeru Allah dalam keadaan macam itu. Kerana mereka tahu yang Allah sahaja yang boleh menyelamatkan mereka. Kalau begitu, kalau waktu susah mereka seru Allah, kenapa tidak mereka seru Allah dalam waktu senang juga? Itulah hujjah yang hendak disampaikan.

Musyrikin Mekah kenal Allah. Mereka terima Allah adalah Tuhan. Tapi dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan kecil’. Waktu senang, kalau ada keperluan, mereka doa kepada tuhan-tuhan mereka seperti Latta, Uzza dan banyak lagi. Tapi kalau benda berat, mereka akan doa terus kepada Allah. Orang yang tak percaya Allah pun kadang kadang dalam keadaan terdesak akan doa kepada Allah. Antaranya mereka akan cakap: “ya Tuhan, kalau Kamu benar ada, tolong lah aku.”  Kadang-kadang mereka diberi pertolongan dan ada juga tidak diberi pertolongan. Semuanya terpulanglah kepada kehendak Allah.






Al An’am Ayat 41

بَلْ إِيَّاهُ تَدْعُونَ فَيَكْشِفُ مَا تَدْعُونَ إِلَيْهِ إِنْ شَاءَ وَتَنْسَوْنَ مَا تُشْرِكُونَ
Bahkan Dia lah (Allah) yang kamu seru lalu Ia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya jika Ia kehendaki; dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).

Allah nak beritahu kepada kita, apakah jawapan mereka. Mereka mungkin tak jawap dengan mulut mereka, tapi Allah nak beritahu apakah yang dalam hati mereka. Kerana Allah tahu apa yang ada dalam hati manusia. Ya, betul. Allah sahaja yang mereka akan doa. Memang mereka akan hanya seru Allah sahaja, tidak ada yang lain. Oleh itu, ingatlah, serulah hanya kepada  Allah sahaja. Jangan lagi menyeru kepada selain Allah.. Itu adalah perbuatan syirik. Allah sahaja yang boleh hilangkan bala yang menimpa kita kerana bala itu dari Dia juga. Maka Dia lah sahaja yang akan menyelesaikan masalah. Maka minta doa kepadaNya untuk menyelesaikan masalah.

Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa kadang-kadang Allah akan menolong juga orang kafir walaupun mereka buat syirik kepada Allah. Terpulang kepada Allah. Kalau Allah menjawab doa orang kafir pun, tentu kita lebih lagi Allah akan layan. Jadi sentiasa lah kita berdoa kepada Allah. Dan yakinlah dalam doa kita itu bahawa Allah mendengar doa kita dan Allah akan membuat yang terbaik untuk kita. Dalam susah dan dalam senang, teruskan berdoa kepada Allah sahaja.





Al An’am Ayat 42

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ
Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Ini adalah sunnatullah. Allah akan mengutuskan Rasul kepada manusia untuk mengingatkan mereka. Tidaklah Allah membiarkan manusia tanpa didikan dan peringatan. Peringatan dan ajaran akan diberikan supaya nanti manusia tidak ada lagi alasan untuk kata mereka tak tahu tentang agama. Sebab Allah sudah pun menghantar Rasul Nya sebagai utusan Allah.Ini menunjukkan kepentingan rasul sebagai pendakwah. Kalau tidak ada rasul, bagaimana kita nak tahu bagaimana menjalani kehidupan kita? Inilah rahmat dari Allah.

Tapi apabila rasul dihantar kepada manusia, manusia menolak pula rasul dan ajaran yang dibawa olehnya. Maka, Allah akan balas pekerti buruk manusia yang menolak itu dengan menghantar kepada mereka kesusahan dalam bentuk fizikal. Umpamanya perpecahan, kesengsaraan, peperangan dan sebagainya. Kesusahan-kesusahan ini adalah sebagai ujian supaya ianya menjadi pelajaran bagi mereka, sehingga mereka bertaubat dan mengikuti seruan Rasul-rasul semula.

Kesusahan-kesusahan itu sebenarnya adalah rahmat dari Allah. Kerana tujuan diberikan kesusahan itu adalah untuk memecahkan ego mereka. Supaya mereka sedar bahawa mereka memerlukan pertolongan Allah. Sebagai contoh, apabila Firaun menolak Nabi Musa, Firaun dan kaumnya telah dikenakan dengan bala untuk menundukkan mereka.





Al An’am Ayat 43

فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Tapi kenapa mereka tidak berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.

Sebenarnya yang paling baik bagi umat-umat yang dahulu itu ialah mengikuti seruan para rasul yang diutus Allah kepada mereka, tunduk dan patuh kepada Allah swt di kala datang azab, malapetaka atau penderitaan yang ditimpakan itu, agar Allah mengampuni dosa-dosa mereka serta memberikan nikmat dan rahmat kepada mereka.

Akan tetapi hati mereka telah sesat dan terkunci mati, tidak dapat lagi menerima peringatan dan pelajaran apapun yang disampaikan kepada mereka. Dalam pada itu setan menanamkan ke dalam hati dan pikiran mereka rasa senang dan gembira mengerjakan perbuatan-perbuatan dosa dan syirik, serta mendorong mereka agar selalu melakukan perbuatan-perbuatan yang tercela itu.




 Al An’am Ayat 44

فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُوا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى إِذَا فَرِحُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُمْ بَغْتَةً فَإِذَا هُمْ مُبْلِسُونَ
Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan).  “

Manakala orang-orang yang sesat hatinya dan telah dipalingkan oleh syaitan itu melupakan peringatan-peringatan dan ancaman-ancaman Allah dan keingkaran mereka bertambah. Lalu Allah swt menguji mereka dengan, mendatangkan kebaikan, menambah rezeki, menyihatkan jasmani mereka, menjaga keamanan diri mereka dan membukakan pintu-pintu kesenangan, sehingga mereka lupa bahawa nikmat yang mereka terima dan rasakan itu datang dari Allah tetapi adalah semata-mata kerana hasil usaha mereka sendiri. Dan kerana itu mereka bertambah sombong dan takabur, tidak bersyukur kepada Allah, bahkan nikmat itu mereka jadikan sebagai alat untuk menambah kekuasaan dan kekasaran mereka.

Bila orang-orang yang ingkar itu telah bergembira dan bersenang hati dengan nikmat yang telah diberikan Allah itu dan beranggapan bahawa yang mereka peroleh itu benar-benar merupakan hak mereka, maka Allah swt menimpakan azab kepada mereka dengan tiba-tiba, sehingga mereka berdukacita dan putus asa dari rahmat Allah.

Rasulullah saw. bersabda yang maksudnya;
“Keadaan orang-orang yang beriman itu benar-benar aneh. Sesungguhnya semua keadaan yang menimpanya adalah baik baginya, tiadalah yang demikian itu terdapat pada seseorangpun. kecuali bagi orang-orang yang beriman. Jika kegembiraan menimpanya ia bersyukur, maka itu adalah baik baginya. Jika kesukaran menimpanya ia bersabar, maka yang demikian adalah baik baginya pula.” (HR Muslim dari Suhaib)



Al An’am Ayat 45

فَقُطِعَ دَابِرُ الْقَوْمِ الَّذِينَ ظَلَمُوا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Lalu kaum yang zalim itu dibinasakan sehingga terputus keturunannya. Dan (dengan itu bersyukurlah kerana musnahnya kezaliman, dengan menyebut): “Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian Alam”.

Ayat ini menerangkan bahwa orang-orang yang ingkar dan mendustakan Rasul-rasul ini akan dibinasakan kerana diri mereka sendiri, tidak seorangpun yang luput dari azab ini. Termasuk keturunan mereka sekali. Setelah Allah menyebut yang Dia telah memusnahkan segala keturunan, Allah terus memuji DiriNya. Ini adalah kerana Allah musnahkan mereka itu bukannya kerana Allah zalim dan suka-suka nak buat, tapi Allah lakukan begitu kerana kezaliman yang mereka telah lakukan. Allah maha adil, kerana itulah Allah memuji DiriNya.

Allah juga dipuji kerana Allah telah menghancurkan mereka yang zalim. Maknanya, kita kena puji Allah bukan hanya kalau kita dapat sesuatu yang baik, tapi kita juga kena puji Allah kalau Allah telah memusnahkan sesuatu yang buruk dari kita. Sebagai contoh, kalau kita berjaya menyelesaikan hutang kita, kita juga mengucapkan alhamdulillah.

Segala puji juga bagi Allah yang menangguhkan azabNya kepada kita supaya kita sempat lagi untuk berdakwah kepada manusia. Kerana rahmat Allah lah yang tidak memusnahkan masyarakat kita yang banyak buat syirik sekarang. Kalau Allah dah musnahkan kita semunya, bagaimana? Tentu kita tidak ada peluang untuk bertaubat lagi.

Walaupun Allah musnahkan seluruh kaum, kehebatan Allah tidak berkurang. Allah tidak memerlukan umat manusia pun. Allah tidak ada masalah kalau Allah musnahkan seluruh makhluk pun.





Al An’am Ayat 46

قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِنْ أَخَذَ اللَّهُ سَمْعَكُمْ وَأَبْصَارَكُمْ وَخَتَمَ عَلَى قُلُوبِكُمْ مَنْ إِلَهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُمْ بِهِ انْظُرْ كَيْفَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ ثُمَّ هُمْ يَصْدِفُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Bagaimana fikiran kamu, jika Allah melenyapkan pendengaran serta penglihatan kamu, dan Ia pula memeteraikan atas hati kamu? Siapakah Tuhan selain Allah yang berkuasa mengembalikannya kepada kamu?” Lihatlah bagaimana Kami berulang-ulang menerangkan tanda-tanda kebesaran Kami (dengan berbagai cara), dalam pada itu, mereka tetap juga berpaling – ingkar.

Allah menyuruh RasulNya Nabi Muhammad saw supaya bertanya kepada orang-orang Musyrikin Mekah itu apakah rasenya sekiranya Allah takdirkan telinga mereka menjadi pekak dan tak boleh mendengar sebarang suara, atau mata mereka menjadi buta dan tak boleh melihat semua benda, atau hati mereka tertutup dan tidak dapat memahami sesuatu perkara yang berlaku di dunia? Apakah kesudahannya nanti bila berlakunya demikian?

Ketiga-tiga anggota yang disebutkan tadi adalah semulia-mulia anggota badan yang Allah kurniakan kepada manusia di muka bumi ini. Kalau ketiga-tiga itu rosak, maka akan rosaklah juga perjalanan hidup manusia tersebut kerana tidak ada lagi faedah yang akan mereka perolehi dari agama yang mereka peluk semasa hidup di dunia.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa Allah mengawal segala-galanya tentang kita. Allah boleh sahaja menghilangkan pancaindera kita. Kalau kita tidak beriman dan tidak taat kepada suruhan Allah, Allah boleh sahaja lakukan semua itu. Ini adalah ayat yang diturunkan sebagai amaran. Kerana Dia yang berikan kepada kita pancaindera itu, Dia boleh tarik balik. Kalau Allah tarik, tidak ada yang kita boleh buat apa-apa.

Ayat ini juga mengingatkan kita supaya bersyukur dengan apa yang Allah telah berikan kepada kita. Bayangkan kalau Allah tak beri salah satu pancaindera itu kepada kita? Alangkah susahnya hidup kita, bukan? Kalau kita bersyukur dan sedar yang Allah telah berbudi dengan kita, sepatutnya kita kenalah taat kepada Allah. Bayangkan kalau kita duduk di sesuatu negara itu, kenalah kita ikut undang-undang negara itu bukan? Maka, apabila kita telah menerima rahmat dari Allah, duduk pula di alam yang Allah ciptakan, tentunya kita kena taat kepada ketetapan dan hukum yang Allah telah tetapkan.

Kemudian Allah mengalihkan firmanNya kepada Nabi saw dan juga kepada yang lain, dan mengatakan bahawa telah berkali-kali Allah telah memberikan dalil kepada kekuasaan Allah. Ayat-ayat Quran memberi peringatan kepada manusia dalam berbagai-bagai cara. Selalu ayat Quran memperkatakan perkara yang sama tapi dalam cara yang berlainan. Diulang-ulang peringatan yang sama untuk meneguhkan hati kita. Supaya iman kita makin mantap. Supaya iman bertambah dan ilmu kita juga bertambah kerana diulang perkara yang sama.

Allah menegaskan kepada kita bahawa mengulang-ngulang ayat-ayat Quran untuk topik yang sama tapi dalam berbagai cara. Lalu apa lagi alasan manusia untuk kata mereka tidak faham atau tidak jumpa peringatan dari Allah lagi? Sebab dah banyak peringatan yang diberi dan dalam berbagai cara.

Allah beri macam-macam cara dan tanda kerana manusia belajar berlainan cara. Ada yang begini dan ada yang begitu. Ada orang yang faham kalau dipersembahkan ayat dalam bentuk amaran dan ada yang lebih terkesan dengan ayat yang berbentuk motivasi. Maka, Allah telah berikan semua cara-cara itu. Akan tetapi mereka ini tetap juga berpaling dari kebenaran. Mereka buat tak tahu sahaja. Walaupun telah diterangkan, masih lagi nak amalkan syirik. Masih lagi berpaling dan mendustakan kata-kata Allah.




 Al An’am Ayat 47

قُلْ أَرَأَيْتَكُمْ إِنْ أَتَاكُمْ عَذَابُ اللَّهِ بَغْتَةً أَوْ جَهْرَةً هَلْ يُهْلَكُ إِلَّا الْقَوْمُ الظَّالِمُونَ
Katakanlah:” Bagaimana fikiran kamu, jika datang kepada kamu azab Allah dengan tiba-tiba, atau dengan terang-terang (setelah diperlihatkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangannya), siapakah yang akan binasa, selain dari kaum yang zalim?”.

Allah hendak memberi amaran kepada mereka yang melakukan kezaliman. Allah suruh mereka yang melakukan kezaliman menggunakan fikiran mereka. Allah suruh Musyrikin Mekah itu memikirkan, kalau Dia berikan azab bala kepada mereka dengan tiba-tiba, bagaimana?

Contohnya, kemalangan yang datang dengan tiba-tiba. Tak sedar pun kita kemalangan. Celik-celik mata dah ada dalam kubur. Bagaimana keadaan waktu itu? Apa perasaan kamu? Kerana ini selalu berlaku dan ianya boleh sahaja berlaku kepada kamu. Ada orang yang dapat bala masa sedang tidur. Tiba-tiba rumah terbakar. Atau dia sedang tidur dalam kereta dan kena langgar tanpa sedar. Ada orang yang tidur tak bangun-bangun dah.

Ini mengingatkan kita bahawa kita sentiasa ke ingat bahawa kita boleh sahaja didatangkan dengan bala dengan tidak disangka-sangka. Kita ingat kita nak pergi ke tempat kerja macam biasa, tapi hari itu mungkin telah ditakdirkan bahawa kita kemalangan. Samada kita jatuh sakit sahaja atau kita boleh mati terus. Sesiapa yang selalu ingat mati, akan mudah dapat kebenaran. Sebab selalu sedar dengan apa yang kita lakukan kerana kita akan sentiasa memikirkan: “macam mana kalau aku mati hari ini”?

Ayat tadi berkenaan azab bala yang datang tanpa kita sedar. Bagaimana pula kalau kita sempat nampak azab itu mendekat kepada kita. Contohnya, sebelum kemalangan, kita boleh nampak kereta yang akan langgar kita. Tapi tak boleh nak buat apa-apa.

Walaupun ayat ini sebagai amaran kepada mereka yang berbuat zalim, tapi kita masih boleh mengambil pengajaran secara umum. Ayat Ini mengajar kita supaya jangan leka dalam kehidupan kita. Kerana dalam keadaan apa sahaja, bala boleh kena kepada kita. Kita kena sentiasa bersedia untuk mati. Oleh itu, jangan rasa yang kita ada masa-masa tertentu boleh buat maksiat. Sebagai contoh, ada yang apabila rasa orang tak nampak, dia berzina.

Contohnya, dia pergi ke Thailand. Kalau di Malaysia, dia takut nak berzina sebab ada kemungkinan ada orang kenal dia. Tapi bila di negara orang, dia rasa lega dan tanpa segan silu lagi buat benda tak elok. Jangan begitu, kerana Allah boleh berikan azab kepadanya bila-bila masa sahaja. Apa akan jadi kalau dia mati semasa dia berzina itu? Sempatkah dia nak minta ampun kepada Allah?

Maka, kita kenalah lakukan semua perkara seperti ianya adalah perbuatan kita yang terakhir. Takut-takut itulah kali terakhir kita hidup. Jangan hujung kehidupan kita diakhiri dengan perkara tak baik.

Hanya mereka yang berbuat zalim sahaja yang akan diazab. Konteks ayat ini adalah tentang mereka yang berbuat kezaliman. Atas kezaliman yang mereka lakukan, mereka diberikan azab samada secara senyap atau secara jelas. Walaupun mereka dapat amaran, mereka akan kena juga azab itu. Kalau dapat amaran dan mereka cuba lari pun, mereka tidak dapat lari. Ke mana pun mereka lari, mereka akan dikenakan dengan azab itu. Zalim itu bermaksud mereka yang buat syirik kepada Allah.




Al An’am Ayat 48

وَمَا نُرْسِلُ الْمُرْسَلِينَ إِلَّا مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ فَمَنْ آمَنَ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Dan tiadalah Kami utuskan Rasul-rasul itu melainkan sebagai pembawa berita gembira dan pembawa amaran; kemudian sesiapa yang beramal soleh, maka tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka tidak akan berdukacita.

Tidaklah sia-sia sahaja Allan utuskan Rasul-rasul itu. Ada sebab yang penting yang Allah telah tetapkan. Apakah tujuan itu? Mereka ditugaskan untuk memberi berita gembira kepada sesiapa yang terima akidah tauhid dan berbuat kebaikan. Kepada mereka dijanjikan syurga yang kekal abadi. Kepada mereka dijanjikan kebahagiaan yang tiada penghujungnya. Berita gembira itu diberikan kepada umat manusia dan jin untuk memberi motivasi kepada mereka supaya beriman dan beramal soleh. Kerana apabila kita ada sesuatu yang boleh dicapai, ia akan memberi semangat kepada kita untuk berbuat sesuatu.

Selain daripada memberi berita gembira, Rasul juga diutuskan untuk memberi ancaman. Ancaman itu kepada mereka yang tidak terima tauhid dan buat syirik. Ada orang yang apabila diberikan motivasi, mereka tak gerak, mereka tak sedar. Kepada mereka yang seperti ini, peringatan dalam bentuk ancaman baru mereka terasa.

Inilah juga tujuan Quran: beri berita gembira dan beri ancaman. Sekarang kita tidak ada Rasul, tapi berita gembira dan ancaman itu ada dalam Quran. Allah menghantar rasul sebagai rahmat dariNya. Untuk memberitahu kita manakah yang boleh dilakukan dan mana yang tidak. Itu adalah ahkam atau hukum. Mana yang wajib, halal haram dan sebagainya. Tapi bukan setakat itu sahaja. Bersama dengan hukum, diberikan juga berita gembira dan berita yang menakutkan. Iaitu kalau buat baik akan dibalas baik dan kalau tak ikut hukum, akan diazab. Kerana kalau tidak ada peringatan itu, manusia tidak ada motivasi nak buat amal baik dan tidak takut untuk buat maksiat.

Maka barangsiapa yang beriman dan beramal soleh, yang ditujukan semata-mata kerana Allah nescaya dia tidak akan merasa ketakutan seperti yang dirasakan oleh orang-oran kafir. Baik semasa di dunia mahupun di akhirat. Begitu juga mereka tidak akan merasa dukacita kalau ditakdirkan ditimpa kemalangan, kerana kesabarannya dan ketabahannya dalam mengalami kemalangan itu. Dia tidak seperti orang-orang kafir yang merana dan berdukacita yang berpanjangan apabila ditimpa musibah.





Al An’am Ayat 49

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, mereka akan dikenakan azab seksa dengan sebab mereka berlaku fasik.

Orang yang mendustakan keterangan-keterangan Allah dengan tidak mahu mempercayainya, mereka kelak akan diseksa. Adakalanya seksa itu akan dirasakannya di dunia sekali sekala, sedang di akhirat pula akan dirasakan berterus terusan. Demikianlah balasan orang yang fasik, iaitu orang yang telah terkeluar dari mentaati Alalh.

Ayat ini mengingatkan kita bahawa dengan sebab kefasikan yang kita lakukan, kita boleh mendapat azab. Oleh itu, dalam setiap perbuatan kita, hendaklah kita berhati-hati. Kenalah kita fikirkan samada ianya dibenarkan oleh Allah atau tidak.






 Al An’am Ayat 50


قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Katakanlah (wahai Muhammad); “Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku”. Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?

Para Rasul yang diutus adalah manusia biasa, mereka bertugas menyampaikan agama Allah kepada umat mereka masing-masing. Berlainan dengan Nabi Muhammad saw. beliau bertugas menyampaikan agama Allah kepada seluruh umat manusia. Mereka memberi khabar gembira kepada orang orang yang mengikuti seruannya dengan balasan pahala yang berlipat ganda dan Allah swt, memberi peringatan dan ancaman kepada orang yang mengingkari risalah dengan balasan azab yang besar.

Para Rasul itu bukanlah seperti para Rasul yang diinginkan oleh orang-orang kafir, yaitu orang-orang yang dapat melakukan keajaiban, magik magik yang luar biasa, mempunyai kemampuan di luar kemampuan manusia biasa, mempunyai ilmu yang melebihi ilmu manusia, ia bukan manusia tetapi seperti malaikat, atau mempunyai kekuasaan seperti kekuasaan Allah dan sebagainya.

Dalam ayat ini Allah swt. memerintahkan agar nabi Muhammad saw. menerangkan kepada orang-orang musyrik itu bahawa dia adalah rasul yang diutus Allah, ia adalah manusia biasa, padanya tidak ada perbendaharaan Allah, ia tidak mengetahui yang ghaib dan ia bukan pula malaikat. Hanya manusia biasa.

Yang dimaksud dengan perbendaharaan ialah suatu tempat penyimpanan barang-barang atau wang terutama barang-barang berharga kepunyaan diri sendiri atau orang lain yang mengamanatkan kepada orang yang memegang perbendaharaan itu. Kerana itu bendahara berkewajiban dan berkuasa memelihara simpanan itu, mencegah dan menghalang orang lain yang hendak mempergunakan atau merosak harta simpanan itu.

Orang-orang kafir beranggapan bahawa Nabi Muhammad saw. jika ia benar-benar seorang rasul Allah tentu ia adalah bendahara Allah. Kerana itu mereka meminta agar Nabi Muhammad saw. memberi dan membagi-bagikan kepada mereka barang-barang yang berharga yang disimpan dalam perbendaharaan itu serta memanfaatkannya.

Anggapan orang-orang kafir itu adalah anggapan yang sangat jauh dari kebenaran kerana Allah lah pemilik semesta alam ini, sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al Ma’idah ayat 120 yang bermaksud:
“Kepunyaan Allah lah kerajaan langit dan bumi dan apa yang ada di dalamnya dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Dalam mengurus dan mengatur milik-Nya itu Allah swt. tidak memerlukan sesuatupun, sebagaimana firman Allah swt. di dalam Surah Al Baqarah Ayat 255 yang bermaksud:
“...Dan Allah tidak merasa berat memelihara keduanya dan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Dan Allah swt menegaskan bahwa Dia lah yang memiliki perbendaharaan langit dan bumi, firman-Nya di dalam Surah Al Munafiqun ayat 7 yang bermaksud:
“Pada hal kepunyaan Allah lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.”

Kerana Allah pemilik semesta alam, pemilik perbendaharaan langit dan bumi, maka Dia pulalah yang berhak memberikan sesuatu kepada siapa yang dikehendaki-Nya, menyampaikan dan melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya; menetapkan penggunaan dan kegunaan sesuatu. Bukannya Rasul sebagaimana yang dikehendaki orang-orang musyrik itu.

Tugas Rasul hanyalah menyampaikan agama Allah kepada manusia sesuai dengan kesanggupannya sebagai seorang manusia. Dia tidak dapat melakukan sesuatu yang tidak sanggup manusia melakukannya, kecuali jika Allah menghendakinya. Kerana itu ia tidak akan dapat memberi rezeki pengikut pengikutnya yang miskin, tidak dapat memenangkan pengikut-pengikutnya dalam peperangan semata-mata kerana kekuasaannya. Ia juga tidak upaya untuk mengetahui apakah seseorang telah benar-benar beriman kepadanya atau belum dan ia tidak upaya menjadikan seseorang beriman kepadanya setelah ditunjukinya atau menjadikan seseorang itu tetap di dalam kekafiran.
Allah swt berfirman di dalam surah Al Baqarah Ayat 272 yang bermaksud:
“Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah lah yang memberi petunjuk, (memberi taufik) siapa yang dikehendaki-Nya.”

Dan juga firman Allah swt. di dalam surah Al Qasas ayat 56 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mau menerima petunjuk.”

Dan Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad agar menegaskan kepada orang-orang kafir bahawa ia tidak pernah mengatakan ia mengetahui perkara-perkara ghaib yang tidak diketahui manusia, kerana ia tidak diberi persediaan dan keupayaan untuk mengetahuinya.

Perkara ghaib itu ada dua jenis:
a. Ghaib yang hakiki yang tidak diketahui oleh suatu makhlukpun, termasuk malaikat. Hanya Allah sajalah yang mengetahuinya. Inilah gaib yang dimaksud dalam ayat di atas.
Allah swt berfirman di dalam ayat 65 surah An Naml yang bermaksdu:
“Katakanlah, "Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang gaib kecuali Allah Dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan".

Jika Allah swt menghendaki, maka Dia memberi tahu perkara ghaib ini kepada para Rasulnya. Sepertimana Allah memberitahu kepada Nabi Musa siapa orang Bani Israel yang membunuh saudaranya, setelah saudaranya yang terbunuh itu hidup kembali, setelah dipukul dengan bahagian dari sapi betina yang telah disembelih. Orang yang terbunuh yang telah hidup kembali itu memberitahukan siapa yang membunuhnya. Dan sepertimana Allah  memberitahu kepada Nabi Isa as bahawa sesudah dia, Allah swt akan mengutus seorang Rasul dari keturunan Ismail dan sebagainya.

b. Ghaib yang tidak hakiki, yaitu yang tidak diketahui oleh sebahagian makhluk tetapi diketahui oleh yang lain. Sebab-sebab sebahagian makhluk mengetahuinya dan sebahagian yang lain tidak mengetahuinya, di antaranya adalah kerana:
1. Persediaan ilmu pengetahuan. Orang-orang yang berilmu lebih dapat mengetahui hakikat sesuatu sesuai dengan bidang ilmu pengetahuannya dibanding dengan orang yang tidak berilmu.
2. Pengalaman mengerjakan sesuatu pekerjaan, seperti bergeraknya sesuatu menandakan ada tenaga yang menggerakkannya dan sebagainya.
3. Firasat atau suara hati, tentang ada dan tidaknya sesuatu, Firasat atan suara hati ini diperoleh seseorang kerana kebersihan jiwanya, atau kerana latihan-latihan yang biasa dilakukannya untuk itu perkara ghaib yang tidak hakiki ini bukanlah termasuk ghaib yang disebutkan di atas yang hanya Allah saja yang mengetahuinya.

Kemudian Allah memerintahkan pula agar Nabi Muhammad saw mengatakan bahawa ia bukanlah Malaikat, sebagaimana Rasul yang dikehendaki oleh orang orang kafir itu.
Sebagian ahli tafsir, menjadikan ayat, "wala aqulu lakum inni malak" sebagai menguatkan pendapat mereka yang mengatakan bahawa malaikat itu lebih tinggi tingkatannya dari manusia. Tetapi bila diperhatikan benar benar, nyatalah bahawa ayat ini maksudnya bukanlah untuk menerangkan mana yang lebih utama antara malaikat dengan manusia. Ayat ini hanyalah menerangkan siapa dan bagaimana sebenarnya seorang Rasul itu.

Sebagaimana diketahui bahawa menurut kepercayaan orang-orang Arab Jahiliah waktu itu: malaikat adalah suatu makhluk Allah yang lebih tinggi tingkatannya dibanding dengan tingkatan manusia. Malaikat mengetahui yang ghaib dan yang tidak diketahui manusia sehingga ada di antara mereka ada yang mengatakan bahawa malaikat adalah anak Allah. Kerana itu mereka berpendapat bahwa Nabi dan Rasul itu bukanlah dari manusia biasa, hendaklah sekurang-kurangnya sama tingkatannya dengan tingkatan malaikat. Dan mereka minta kepada Nabi Muhammad agar diperlihatkan kepada mereka malaikat itu dan hendaklah Allah mengutus malaikat kepada mereka.

Untuk membantah dan memberi penjelasan kepada orang-orang musyrik itu, maka seakan-akan Nabi Muhammad saw menyuruh mengikuti pendapat mereka itu lebih dahulu dengan mengatakan, "wala aqulu lakum inni malak" (dan tidaklah aku mengatakan kepadamu bahwa aku ini adalah malaikat), kemudian membantahnya dengan mengatakan bahwa nabi itu tidak mempunyai kekuasaan dan pengetahuan seperti kekuasaan Allah dan pengetahuan-Nya, kerana itu. Maka janganlah ditanyakan kepadanya apa yang tidak diketahuinya dan janganlah ditanyakan sesuatu yang ghaib yang hanya Allah saja yang mengetahuinya, tetapi katakanlah bahwa Muhammad itu adalah hamba Allah dan Rasul-Nya. Tugas seorang hamba itu ialah taat dan patuh kepada Allah, sedang tugas seorang Rasul itu adalah menyampaikan agama Allah kepada manusia. Kerana itu tugasku ialah patuh dan taat kepada Allah serta menyampaikan agama-Nya.

Kerana itu ayat di atas tidak bertentangan dengan ayat-ayat berikut
Firman Allah swt di dalam surah At Tin ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.”

Dan firman Allah swt di dalam surah Al Isra’ ayat 70 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”

Kemudian Allah memerintahkan agar Nabi Muhammad saw menegaskan kepada orang-orang musyrik itu bahawa yang disampaikannya itu tidak lain hanyalah wahyu dari Allah, bukan sesuatu yang dibuat-buat oleh Nabi.

Kemudian Allah swt menegaskan bahawa tidak sama antara orang yang buta dengan orang yang melihat, orang yang mendapat petunjuk dengan orang yang tidak mendapat petunjuk, tidak sama sifat Allah dengan sifat manusia, demikian pula antara sifat dan tugas malaikat dengan sifat dan tugas Rasul. Hendaklah diperhatikan perbezaan-perbezaan yang demikian, agar nyata mana yang benar, mana yang salah, mana yang harus diikuti dan mana yang harus dihindari. Hanya orang-orang yang tidak mahu menggunakan akallah yang tidak dapat melihat perbezaan-perbezaan itu.






Al An’am Ayat 51


وَأَنْذِرْ بِهِ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْ يُحْشَرُوا إِلَى رَبِّهِمْ لَيْسَ لَهُمْ مِنْ دُونِهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.

Pada ayat ini Allah swt memerintahkan Rasul-Nya agar memberi peringatan dan menyampaikan ancaman Allah kepada orang-orang yang mengingkari seruannya. Pada ayat-ayat yang lalu Allah memerintahkan agar menyampaikan risalahnya. Hal ini adalah wajar, kerana orang yang diberi peringatan dan ancaman itu telah sampai kepadanya seruan Rasul dan pelajarannya, dan mereka dapat mengambil manfaat dari ajaran itu, sesuai dengan firman Allah swt di dalam Surah Fatir ayat 18 yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanyalah orang-orang yang takut kepada azab Tuhannya (sekalipun) mereka tidak melihatnya dan mereka mendirikan salat dan barang siapa yang menyucikan dirinya, sesungguhnya ia menyucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri dan kepada Allah lah kembali (mu).”

Orang-orang yang telah benar-benar beriman selalu berusaha menyempurnakan takwanya kepada Allah, selalu mencari keredhaan-Nya, tanpa menggantungkan diri kepada orang lain seperti wali-wali dan orang saleh. Mereka yakin dan percaya bahawa iman, amal dan kebersihan jiwa dapat membebaskan mereka dari segala siksaan Allah.

Adapun orang-orang kafir, mereka tidak perlu diberi peringatan itu kerana peringatan dan ancaman itu tidak berfaedah bagi mereka. mereka tidak percaya sedikitpun bahwa iman, amal dan kebersihan jiwa dapat membebaskan mereka dari siksaan Allah.





Al An’am Ayat 52

وَلَا تَطْرُدِ الَّذِينَ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ بِالْغَدَاةِ وَالْعَشِيِّ يُرِيدُونَ وَجْهَهُ مَا عَلَيْكَ مِنْ حِسَابِهِمْ مِنْ شَيْءٍ وَمَا مِنْ حِسَابِكَ عَلَيْهِمْ مِنْ شَيْءٍ فَتَطْرُدَهُمْ فَتَكُونَ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan janganlah engkau usir orang-orang yang beribadat dan berdoa kepada Tuhan mereka pagi dan petang, sedang mereka menghendaki keredaanNya semata-mata. Tiadalah engkau bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amal mereka, dan mereka juga tidak bertanggungjawab sesuatu pun mengenai hitungan amalmu. Maka (sekiranya) engkau usir mereka, nescaya menjadilah engkau dari orang-orang yang zalim.

Diriwayatkan oleh Ahmad, Ibnu Jarir, Ibnu Hatim dan Tabrani dari Abdullah bin Mas'ud, ia berkata, "Para pembesar Quraisy lewat di hadapan Rasulullah saw. dan di dekat Nabi ada sahabat nabi yang dianggap rendah kedudukannya oleh orang-orang Quraisy, seperti Suhaib, Ammar, Khabbab dan yang lainnya. Para pembesar quraisy itu berkata, "Ya Muhammad! Apakah kamu rela mereka yang rendah darjat itu menjadi pengganti kami? Apakah mereka itu orang-orang yang dikurniakan Allah di antara kita? Apakah kami akan menjadi pengikut mereka? Maka singkirkanlah mereka dari kamu, mudah-mudahan jika mereka telah tersingkir, kami akan mengikuti "engkau". Maka Allah menurunkan ayat 50, 52 dan 53 surah ini.

Allah swt. memperingatkan agar Rasulullah jangan sekali-kali mengabaikan orang-orang yang menyembah dan menyeru Allah pagi dan petang, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dengan memurnikan ketaatan kepadanya, walaupun mereka itu adalah orang-orang miskin atau orang-orang yang termasuk orang-orang yang rendah di dalam masyarakat.

Mereka beribadah, beramal dan bersedekah semata-mata kerana Allah, tidak menginginkan puja dan puji dari manusia, sebagaimana tersebut dalam firman Allah swt. di dalam surah  Al Insan ayat 9 yang bermaksud:
“Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu, hanyalah untuk mengharapkan keridaan Allah. Kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.”
Ayat di atas dan asbabnuzulnya mengisyaratkan pada Nabi Muhammad saw. bahwa telah berlaku pula sunah Allah pada beliau seperti yang telah berlaku pada Rasul-rasul yang terdahulu, yaitu kebanyakan dari orang-orang yang mula-mula beriman dan mengikuti seruan mereka adalah orang-orang yang mempergunakan akal pikirannya tetapi mereka adalah orang-orang yarg miskin atau orang-orang yang dipandang hina oleh masyarakatnya, sedang pemuka-pemuka masyarakat dan orang-orang kaya memusuhi dan mengingkari seruan Rasul, sebagaimana firman Allah swt.

Surah Saba’ ayat 34 - 35 yang bermaksud:
“Dan kami tidak mengutus kepada suatu negeri seoang pemberi peringatanpun, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negara itu berkata, "Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya." Dan mereka berkata, "Kami lebih banyak mempunyai harta dan anak-anak (dari pada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab".

Dan Allah swt, memperingatkan Nabi Muhammad saw. bahawa dia tidak boleh menilai perbuatan orang-orang yang menyeru dan menyembah Allah pagi dan petang itu dengan sewenang-wenangnya, sebagaimana mereka tidak boleh menilai perbuatan Rasul. Yang boleh menilai semuanya hanyalah Allah kerana Dia Pemilik dan Penguasa Semesta Alam. Orang-orang Mukmin bukanlah hamba Rasul dan bukan pula pesuruh atau pegawai Rasul. Mereka adalah hamba Allah bertugas menyampaikan wahyu-Nya kepada manusia.
Allah swt berfirman di dalam surah Al Ghasiyah ayat 21 - 22 yang bermaksud:
“Maka berilah peringatan karena sesungguhnya kami hanyalah orang-orang memberi peringatan. Kamu bukanlah orang yang berkuasa alas mereka.”

Oleh sebab itu janganlah sekali-sekali Nabi Muhammad mengusir orang-orang yang menyembah dan menghambakan diri pagi atau petang itu. Jika Nabi saw. melakukannya maka bererti ia termasuk orang-orang yang zalim kerana yang boleh  menilai dan memberi balasan itu hanyalah Allah semata.





Al An’am Ayat 53

وَكَذَلِكَ فَتَنَّا بَعْضَهُمْ بِبَعْضٍ لِيَقُولُوا أَهَؤُلَاءِ مَنَّ اللَّهُ عَلَيْهِمْ مِنْ بَيْنِنَا أَلَيْسَ اللَّهُ بِأَعْلَمَ بِالشَّاكِرِينَ
Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): “Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? ” (Allah berfirman): “Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?”

Sebahagian manusia menjadi ujian kepada sebahagian yang lain. Dalam ayat sebelum ini, orang Islam yang lemah dan miskin menjadi ujian kepada musyrikin yang kaya. Iaitu, kerana yang miskin telah beriman, menyebabkan musyrikin yang kaya tidak mahu duduk bersama Nabi. Mereka rasa kedudukan mereka tinggi sampai mereka tak layak duduk bersama orang-orang yang lemah dan miskin.

Kita sema diuji dengan orang lain. Kita juga akan menjadi ujian kepada orang lain juga. Mungkin keluarga kita, kawan kita, guru kita, bos kita di tempat kerja dan sebagainya. Kita juga diuji dengan orang-orang yang jahat. Kita juga diuji dengan orang-orang yang tidak berniat jahat pun dengan kita.

Ingatlah kalau kita sedang diuji dengan perbuatan manusia lain, maka kenalah kita ingat ayat ini. Sedarlah bahawa mereka itu adalah ujian dari Allah. Kita kena selesaikan ujian itu. Pertamanya, kita kena berikan hak mereka. Jangan buat tak tahu sahaja. Kalau kita tidak berikan hak mereka, bermakna kita yang menjadi ujian bagi mereka.

Dari ayat ini juga kita dapat tahu bahawa memang selalunya orang yang miskin dan lemah yang mengikut Nabi. Bukan Nabi Muhammad sahaja tapi Nabi-Nabi yang terdahulu pun. Pengikut mereka adalah orang-orang yang miskin-miskin belaka. Kerana yang kaya selalunya akan sibuk dengan harta mereka dan sombong dengan kedudukan mereka. Maka mereka tidak mahu merendah diri. Yang mula-mula mahu menerima iman selalunya adalah orang-orang yang lemah dan miskin.

Mereka rasa mereka lebih layak untuk mendapat iman. Kerana mereka lebih pandai dan mereka lebih kaya. Mereka macam nak kata yang Allah silap beri rahmat pula kepada manusia.
Kenapa mereka tak puas hati? Kerana banyak dari sahabat-sahabat dah masuk Islam itu tidak pandai membaca dan menulis pun. Mereka juga miskin dan lemah kedudukan di sisi masyarakat. Jadi puak musyrik itu rasa mereka lebih layak untuk dapat kelebihan kalau ada pun. Mereka rasa kalau orang orang miskin itu sudah beriman, mereka tak mahu beriman sebab mereka tak mahu bercampur dengan mereka. Kalau sekarang mereka beriman, bermaksud mereka membenarkan apa yang telah diimani oleh mereka yang lemah itu. Tapi, kalau begitu, mereka rasa malu sebab macam mereka lambat dapat kebenaran. Mereka punyalah teruk fikiran, sampaikan mereka sanggup tidak beriman kerana takut mereka akan dikatakan begitu nanti.

Maka ayat ini, tahulah kita bahawa tidaklah semestinya orang-orang yang beriman itu daripada kalangan orang-orang kaya. Allah pilih sesiapa yang Dia hendak pilih. Tidak ada kelebihan samada kamu kaya atau berkuasa. Yang penting adalah iman.

“...“Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?
Ayat ini bermaksud Allah lebih mengetahui siapakah yang lebih patut diberikan taufiq dan hidayah. Allah tak salah beri nikmat. Mereka yang telah beriman itu mungkin miskin, lemah dan tidak tahu membaca dan menulis, tapi mereka yang sebenarnya layak. Kerana mereka bersyukur. Kerana itu Allah berikan iman kepada mereka dan bukan kepada musyrikin yang kaya dan berkedudukan itu. Kita sebagai manusia tidak layak untuk mempersoalkan keputusan Allah. Adakah kita layak untuk mempersoalkan? Tentu tidak.

Mereka yang mempersoalkan keputusan Allah seperti yang dikatakan oleh musyrikin Mekah itu amatlah kurang ajar.

Siapakah orang yang bersyukur? Mereka itu adalah orang-orang yang tidak buat syirik kepada Allah. Mereka juga doa terus kepada Allah. Ibadah pula ikut cara ajaran Nabi. Bermakna, mereka mengikut semuanya arahan dan pendoman dari Allah dan Nabi. Selepas itu barulah mereka menyebut Alhamdulillah. Bukanlah hanya menyebut ‘Alhamdulillah’ berkali-kali, tapi perintah dan arahanNya tidak diikuti.







 Al An’am Ayat 54

وَإِذَا جَاءَكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا فَقُلْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ أَنَّهُ مَنْ عَمِلَ مِنْكُمْ سُوءًا بِجَهَالَةٍ ثُمَّ تَابَ مِنْ بَعْدِهِ وَأَصْلَحَ فَأَنَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Dan apabila orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami itu datang kepadamu (dengan tujuan hendak bertaubat dari dosa-dosa mereka), maka katakanlah: “Mudah-mudahan kamu beroleh selamat! Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat (yang melimpah-limpah): bahawasanya sesiapa di antara kamu yang melakukan kejahatan dengan sebab kejahilannya, kemudian ia bertaubat sesudah itu, dan berusaha memperbaiki (amalannya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Siapa yang dimaksudkan datang kepada Nabi dalam ayat ini?
Mereka itulah orang-orang yang beriman. Yang kebanyakan mereka adalah orang-orang yang miskin dan lemah. Tapi mereka telah percaya kepada Quran dan kepada ajaran yang disampaikan oleh Nabi. Tidak kira siapa mereka dan apa kedudukan mereka, kalau mereka beriman, maka berikan doa dan salam kepada mereka.

Dalam ayat ini, Nabi yang disuruh memberi salam kepada mereka. Sepatutnya sahabat lah yang kena beri salam dulu. Tapi lihatlah Allah telah memuliakan mereka. Mereka layak dapat salam daripada Nabi sendiri. Nabi sendiri telah mengajar kepada sahabat bahawa mengikut protokol, mereka yang datang kena memberi salam kepada mereka yang sudah ada; mereka yang sikit memberi salam kepada yang ramai; mereka yang muda memberi salam kepada yang tua; Tapi mereka tidak berpeluang buat begitu, kena Nabi Muhammad sendiri akan sentiasa terkehadapan dalam memberi salam – walaupun mereka yang hendak datang berjumpa Nabi, tapi belum sempat mereka memberi salam, Nabi dah beri salam dah.

Ayat ini mengajar kita, apabila kita berjumpa orang Islam, kita kena berikan salam. Selalunya kita hanya beri salam kepada orang yang kita kenal sahaja. Jangan buat begitu. Ayat ini suruh kita beri salam kepada orang Islam tidak kira siapa mereka.

“...Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya sifat rahmat:..
Kerana sifat rahmat Allah lah yang menerima sesiapa sahaja yang mahu beriman. Tidak kira apakah kesalahan yang mereka telah lakukan sebelum ini. Ini kerana Allah telah mewajibkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Dalam kalangan kita pun ramai yang macam itu. Walaupun dari kecil sepatutnya dah Islam dah, tapi bila dah dewasa dan lanjut usia, baru nak masuk Islam dengan sebenarnya kerana baru nak mula beribadat, baru nak belajar tafsir Quran, baru nak masuk kelas agama. Tapi yang penting, dia dah ada kehendak. Kalau dulu, entah berapa banyak kesalahan yang dia telah lakukan, entah perbuatan syirik yang mana yang dia telah amalkan; Allah akan ampunkan segala dosanya kalau dia mahu bertaubat, kerana Allah telah menetapkan sifat rahmah kepada DiriNya.

Ayat ini juga mengajar kita untuk bersifat rahmah dengan orang lain. Mula-mula kita kena beri salam kepada mereka. Jangan buat tak kenal mereka. Ataupun kadang-kadang ada orang yang kita kenal tapi kita marah dengan mereka dan sebagainya, kita tak beri salam pun kepada mereka. Jangan begitu, hendaklah kita memulakan memberi salam.

Dalam ayat ini, Nabi disuruh memberitahu tentang sifat rahmah Allah kepada makhlukNya. Begitu juga kita dalam berdakwah. Memang kita kena beri amaran kepada manusia. Tapi janganlah hanya menakutkan mereka dengan azab neraka sahaja. Ingatkan juga sifat Rahman Allah yang mempunyai belas kasihan yang melimpah ruah. Ingatkan manusia, bahawa walau bagaimana banyak dosa yang telah mereka lakukan, Allah masih sanggup untuk mengampunkannya asalkan mereka mahu bertaubat dan memperbaiki diri mereka. Dan mereka bertaubat dengan sesungguh sungguh taubat dan berazam untuk meninggalkan semua larangan-larangan Allah. Maka Allah sanggup beri ampun kepadanya. Allah ni sangat suka melihat kita meminta ampun kepadaNya.






Al An’am Ayat 55

وَكَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ وَلِتَسْتَبِينَ سَبِيلُ الْمُجْرِمِينَ
Dan demikianlah Kami terangkan ayat-ayat Al-Quran satu persatu (supaya jelas jalan yang benar), dan supaya jelas pula jalan orang-orang yang berdosa.

Apabila kita baca dan tadabbur Quran, macam-macam kita akan dapat faham. Akan jelas sesuatu perkara. Tapi kena belajar tafsir Quran dahulu, kerana kalau baca sendiri, tidak boleh faham. Jangan jadi segelintir yang baca terjemahan dan ingat mereka dah boleh faham Quran. Kita kena pergi belajar tafsir dengan berguru. Tak boleh cukup dengan membaca tafsir sahaja.

Quran memberitahu kita manakah jalan yang benar dan mana jalan yang salah, supaya kita boleh tinggalkan jalan yang salah dan ikut jalan yang betul saja. Semua jalan benar dan salah ini disertakan dalil-dalil dan contoh-contoh sekali supaya manusia belajar dan faham. Apabila kita belajar tafsir Quran, kita dah boleh tahu manakah amalan yang benar dan mana amalan yang salah. Kenapakah jalan-jalan orang yang berdosa perlu diperjelaskan? Supaya menjadi sempadan kepada kita. Supaya kita tak buat macam mereka. Apabila kita dah tahu apa yang salah, maka kita boleh elak dari melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.