Thursday, May 14, 2015

Surah Yunus ayat 41 Hingga Ayat 60

Surah Yunus ayat 41


Dan jika mereka terus-menerus mendustakanmu (wahai Muhammad), maka katakanlah: “Bagiku amalku, dan bagi kamu pula amal kamu. Kamu tidak bertanggungjawab akan apa yang aku kerjakan, dan aku juga tidak bertanggungjawab akan apa yang kamu kerjakan”.


Allah menyatakan kepada Rasulullah saw sekiranya kaum Nabi Muhammad mendustakan baginda dengan berterusan, maka katakanlah kepada mereka , “ bagi aku perbuatanku dan bagi kamu perbuatanmu.”


Maksudnya apa yang dilakukan adalah berupa ketaatan terhadap Tuhan akan baginda dapati balasan dan pahalaNya. Baginda hanyalah menyampaikan perintah, membawa berita gembira dan ancaman, tidak pula baginda berkuasa atau boleh memaksa. Sedangkan apa yang mereka lakukan yang berupa syirik itu, kezaliman dan kerosakan di muka bumi, mereka akan dapatkan balasan dan seksa dari Allah juga.


“Kamu tidak bertanggungjawab tentang apa yang aku buat, dan aku pun tidak bertanggungjawab tentang apa yang kamu lakukan.” maksudnya masing-masing bertanggungjawab ke atas apa yang masing-masing telah lakukan dan tidak akan membabitkan orang lain sama sekali.

Surah Yunus ayat 42


Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami perkara yang didengarnya.”


Di antara orang-orang musyrik yang mendustakan nabi itu ada yang datang untuk ‘dengar-dengar’ sahaja ajaran Nabi. Mereka dengar, tapi kemudian tidak beriman. Mereka seperti mendengar burung yang sedang berkicau di atas dahan, asyik dan tertarik oleh suaranya yang merdu dan bunyinya yang lemak manis. Tetapi adakah mereka itu faham dan mengerti maksudnya? Jawabnya tentulah tidak. Jadi serupa halnya mereka itu seperti orang yang tuli dan pekak. Tidak memberikan apa-apa kesan langsung.


Kesan ayat ini telah menjadi kenyataan dan hingga kini masih kita jumpai. Berapa ramai orang yang mendengar bacaan alQuran itu daripada Qari , mereka tertarik hanya kerana keelokan dari segi bacaannya, kemerduan suaranya dan keindahan lagunya, bukan kerana hendak mendapatkan faedah dariapda pengajarannya dan memahami kesimpulan dan hukum yang terkandung di dalamnya serta beramal dengan petunjuknya.

Surah Yunus ayat 43


“Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad) tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara yang engkau tunjukkan itu).


Dan di antara orang-orang musyrik itu juga ada yang mengalihkan pandangannya kepadamu untuk melihat ketika engkau membaca AlQuran, mereka melihat hanya dengan mata kasar. Tetapi mereka tidak nampak apa yang dikurniakan Allah kepadamu, berupa cahaya iman, budi pekerti yangmulia, tanda petunjuk dan sifat kebenaran yang engkau punyai.


Sebabnya ialah, kerana mata hati mereka sudah pun buta. Maka akan dapatkah engkau memperlihatkan AlQuran untuk menunjukkan jalan yang selamat kepada orang yang sudah buta mata hatinya kalau mereka tidak dapat melihat kebenaran?Jawabnya tentulah tidak.


Sebenarnya Allah itulah yang telah membutakan mata hati orang-orang musyrik itu, sehingga mereka tidak dapat melihat sesuatu petunjuk. Dengan ayat ini, Allah menghiburkan hati Nabi saw disebabkan kedukaannya tidak mendapat sambutan baik dari kaum yang diserunya bahkan ejekan dan celaan yang diterimanya.


Jadi seolah-olah Allah menyatakan kepada baginda, bahwa engkau ya Muhammad tidak berkuasa untuk mendengarkan kepada orang yang telah aku cabut pendengarannya, dan engkau tidak berkuasa memberikan petunjuk kepada orang yang telah Aku cabut penglihatannya dan engkau tidak berkuasa memberikan taufik untuk mereka beriman kepada orangyang telah Aku hukumkan ke atasnya tidak beriman.


Surah Yunus ayat 44


“Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikitpun, akan tetapi manusia jualah yang menganiaya diri mereka sendiri.”


Tidaklah Allah menzalimi manusia dengan tidak memberi hidayah kepada manusia. Allah sentiasa memberi hidayah, tetapi samada manusia terima atau tidak, sahaja. Ini adalah kerana Allah telah memberi pilihan kepada manusia untuk memilih jalan mana yang manusia hendak ambil. Allah tak paksa. Berbeza dengan malaikat yang semuanya hanya taat kepada Allah sahaja. Mereka tidak ada pilihan untuk tidak taat kepada Allah. Kalau manusia hendak jadi sesat, Allah akan biarkan selama mereka di dunia. Tapi di akhirat kelak, mereka akan kena azab. Itu janji Allah.


Allah tidak menzalimi makhlukNya. Tetapi makhlukNya yang tidak menerima hidayah yang telah disampaikanlah yang menzalimi diri mereka. Kerana dengan tidak menerima hidayah itu, mereka akan hidup dalam dosa dan apabila mati nanti, mereka akan diazab. Itu dinamakan zalim kepada diri sendiri.


Surah Yunus ayat 45


“Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia). “


Allah menyuruh Rasulullah saw supaya mengingatkan kepada orang-orang musyrik itu tentang adanya hari kiamat di mana sekalian manusia akan dikumpulkan di padang mahsyar, untuk dibicarakan dan diperkirakan segala amalannya. Di sana, mereka berasa seolah-olah semasa mereka tinggal di dunia dahulu hanya sebenatar saja.


Ini ditujukan kepada orang kafir. Kerana apabila mereka tidak mendapat faedah daripada umur yang mereka habiskan di dunia, maka mereka merasakan hidup di dunia itu hanya sebentar saja. Manakala bagi orang mukmin pula, mereka kelak akan mendapat faedah dairapda umur yang mereka habiskan di dunia, tidaklah terasa hidup di dunia itu sebentar.


Sebabnya orang kafir itu merasakan hidup di dunia itu sebentar, kerana selama mereka tinggal di dunia dahulu telah menghabiskan umurnya dengan mencari kesenangan dan kelazatan semata-mata dan amat sayang pula kepadanya. Sedangkan berbuat taat keapda Allah mereka tidak mahu, maka terasalah hidup di dunia itu sebentar saja baginya. Istimewa pula jiwa mereka bandingkan kesenagan itu dengan kegemparan dan ketakutan yang sedang mereka rasai pada hari kiamat nanti yang amat panjang itu, maka semakin pendeklah rasanya mereka mengenang masa hidup di dunia dahulu.


Memanglah benar, biasanya kesenangan itu walaupun lama dinikmati tetapi dirasakan baharu sebentar saja. Sedangkan kesusahan pula walaupun baru sebentar dideritai, tetapi dirasakan teramat lama pula.


Dan di akhirat nanti pada masa orang-orang itu keluar dari kubur masing-masing, akan mengenal antara satu dengan yang lain sebagaimana mereka kenal di dunia. Tetapi perkenalan itu tidak lama dan segera akan terputus, sebagik saja mereka melihat kegemparan dan kehebatan pemandangan yang menakutkan pada hari kiamat.


Orang-orang yang mementingkan kesenangan dunia tidak bersedia dengan ketaatan dan beramal saleh sebagai bekalan untuk akhirat kerana tidak percaya kepada hari pembalasan dan menemui Tuhan, pastilah mereka menjadi orang yang rugi tidak dapat kebahagiaan di akhirat. Dan tidakal mereka mendapat petunjuk utnuk memilih kesenagan palsu yang cepat lenyap dariapda kesentosaan yang kekal abadi.

Surah Yunus ayat 46


“Dan jika Kami perlihatkan kepadamu (wahai Muhammad) akan sebahagian dari balasan azab yang Kami janjikan kepada mereka, atau jika Kami wafatkan engkau sebelum itu, maka kepada Kamilah tempat kembali mereka; kemudian Allah yang memberi keterangan mengenai apa yang mereka lakukan.”


Allah memberitahukan Rasulullah saw , ‘kalau Kami memperlihatkan kepada engkau ya Muhammad sebahagian dariapda ancaman dan seksaan di dunia yang Kami janjikan kepada kaum musyrikin itu, maka seksaan itu adalah layak bagi mereka.”


Sesungguhnya Allah telah memperlihatkan kepada rasulullah saw pelbagai seksaan yang menimpa ke atas orang-orang musyrik. Seperti, berlakunya musim kemarau dan timbulanya bahaya kelaparan  di kalangan mereka, kerana didoakan oleh baginda, juga tewasnya beberapa ramai ketua-ketua mereka dalam medan perang Badar dan pelbagai kemalangan lagi yang menimpa mereka pada masa hayat baginda.


Kalau baginda telah wafat sebelum diperlihatkan seksaan itu pada masa hayatnya, maka di akhirat Allah akan memperlihatkan seksaan itu kepadanya juga. Kerana mereka yang kufur dan mendustakan itu akan dikembalikan kepada Allah juga. Kemudian Allah menjadi saksi tentang apa yang mereka kerjakan, iaitu memberi pembalasan yang setimpal dengan kesalahan mereka.


Surah Yunus ayat 47


Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya); setelah datang Rasul masing-masing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil dan mereka tetap tidak dianiaya. “


Di sini Allah menerangkan pula, bahwa dengan limpah kurnia dan rahmatNya tiap-tiap umat pada diutusNya rasul kepada mereka sehingga tidak ada satu umat pun yang dikecualikannya. Rasul itu diutus pada masa umat itu berhajat kepadanya, untuk memimpin mereka supaya beriman denga Allah dan hari kemudian, dan menunjukkan jalan yang dpat menyelamatkan mereka dariapda seksaan, iaitu dengan beramal salih dan berbakti kepada Allah, agar mendapat kebahagiaan hidup, baik di dunia mahupun di akhirat.


Maka apabila Rasul ayng menjadi utusan Allah itu telah datang kepada mereka untuk menyampaikan kewajipan agama, ketika itu tidak ada jalan untuk menyalahinya apa lagi mendustakannya. Maka pada hari perkiraan (hisab) itu nanti dihukumkan di antara merka dengan adil, sedang merka tiada teraniaya, Bererti seandainya mereka ditakdirkan Allah menerima seksaan tidaklah ia dikatakan teraniaya. Kerana mereka telah mengotori diri sendiri dengan melakukan kejahatan yang layak menerima seksaan.

Surah Yunus ayat 48


“Dan mereka (yang kafir) bertanya: “Bilakah berlakunya azab yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”


Orang - orang musyrik Quraisy bertanya kepada Nabi saw juga kepada orang mukmun, ‘bilakah datangnya ancaman yang berupa seksaan yang dijanjikan itu kepada kami, sekiranya benar apa yang kamu katakan?’ kata-kata ini mereka maksudkan untuk mendustakan tentang adanya seksaan yang juga bererti utnuk mencabar.

Surah Yunus ayat 49


“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya”.


Allah mengajar Rasulullah saw supaya menjawab pertanyaan mereka itu dengan menyuruh katakan : ‘diriku tidak berkuasa mendatangkan apa-apa mudarat dan manafaat. Kerana aku sebagai manusia , aku tidak berkuasa  untuk menurunkan seksaan skepada orang kafir yang masih berdegil, dan juga tidak bekuasa untuk memberi pertolongan ataupun kemenangan kepada orang mukmin, kecuali apa yang dikehendaki Allah. Urusan itu terpulang kepada Allah untuk melakukan dan mentakdirkannya. Bukan urusanku. Aku hanyalah sekadar menyampaikan perutusan dan seruan, bukanlah untuk menetapkan atau menentukan seksaan.’


Setiap umat yang masih berdegil untuk mendustakan rasul ada mempunyai tempoh yang menentukan azab dan seksaan bilakah masanya akan menimpa mereka. Apabila telah datang tempoh kebinasaan, tidak ada sesiapa yang sanggup mempercepat atau memperlambatkan kedatangannya walau sesaat sekalipun.

Surah Yunus ayat 50


“Katakanlah: “Sudahkah kamu nampak jalan keluar jika datang kepada kamu azab Tuhan itu, pada waktu malam atau pada waktu siang? “Azab manakah yang orang-orang berdosa itu minta disegerakan (sedang sebarang azab wajib ditakuti)?


Seterusnya Allah menyuruh Rasulullah saw mengatakan lagi kepada mereka, “cubalah kamu terangkan kalau kamu tahu. Apakah yang daapt kamu lakukan nanti sekiranya kamu ditimpa azab dan seksaan pada masa kamu sedang berehat, bersenang-senang dan tidur dengan nyenyaknya pada waktu alam, atau ketika kamu sedang sibuk dengan pekerjaan dan asyik dengan permainan kamu pada waktu siang?”


Kalau kamu tidak dapat menerangkannya, jadi apalah perlunya kamu sebagai orang yang berdosa dan bersalah begitu berani mencabar meminta disegerakan turunnya azab dan meminta dilekaskan turunnya seksaan? Azab apakah yang kamu minta segerakan itu, adakah azab dunia atau azab akhirat? semuanya telah menunggu. bukankah permintaan kamu yang kamu kemukakan sebagai mencabar itu, menunjukkan akal kamu yang tidak siuman?


Surah Yunus ayat 51


Patutkah (kamu mengingkari azab itu), kemudian apabila ia menimpa kamu, kamu mengakui benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan dikatakan kepada kamu): “Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan kedatangannya?” “


Apabila seksaan itu telah meimpa kamu sebagai orang yang bersalah dan berdosa adakah kemudian kamu bahru sedar dan percaya, dan baru pula mahu beriman dengan Allah iaitu pada masa kamu telah berputus asa untuk mendapat pertolongan daripada diazab dan diseksa.

Surah Yunus ayat 52


Patutkah (kamu mengingkari azab itu), kemudian apabila ia menimpa kamu, kamu mengakui benarnya? (Sedang pengakuan pada masa itu tidak diterima bahkan dikatakan kepada kamu): “Sekarangkah baharu kamu mengakui benarnya, padahal sebelum ini kamu telah menunjukkan keingkaran dengan meminta disegerakan kedatangannya?”


Orang yang telah menganiaya dirinya sendiri disebabkan perbuatannya yang syirik dan kufur kepada Allah seerta mendustakan Rasulullah saw itu, nanti akan dikatakan kpeada mereka oleh para malaikat yang bertugas menyeksa mereka di akhirat:“rasakanlah oleh kamu seksa yang berkekalan.” Ini bererti mereka akan diseksa selama-lamanya.


Kemudian diterangkan pula kepada mereka, bahwa kamu tidaklah diberi pembalasan yang berupa seksaan, melainkan mengikut dosa dan kejahatan yang kamu usahakan di muka bumi, sedikit pun tidak dicampuri sebarang penganiayaan dalam seksaan itu.

Surah Yunus ayat 53


Dan mereka (yang meminta disegerakan azab) itu akan bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Adakah kedatangan azab yang dijanjikan itu benar? “Jawablah: “Ya, demi Tuhanku! Sesungguhnya adalah ia benar! Dan kamu tidak sekali-kali berkuasa menahan kedatangannya”.


Allah menyatakan bahwa kaum musyrikin itu bertanya lagi kepada Muhammad saw, supaya Nabi saw mengkhabarkan kepada mereka tentang seksaan di dunia dan di akhirat itu adakah benar dan akan menimpa orang yang berdosa dan derhaka. Atau pun adakah ianya hanya satu ancaman semata-mata untuk menakut-nakutkan saja.


Maka Allah memerintahkan Nabi Muhammad menjawab pertanyaan mereka, dengan bersumpah atas nama Allah, sesungguhnya memang benar seksaan itu akan pasti berlaku, yang tidak tidak mungkin dapat ditolak, dan tidak mungkin sesiapa pun akan dapat mempertahankan mereka daripada terlepas dari seksaan.

Surah Yunus ayat 54


Dan pada masa itu, sekiranya tiap-tiap seorang yang berlaku zalim (kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain) itu mempunyai segala yang ada di bumi, tentulah ia rela menebus dirinya dengan semuanya itu (dari azab yang akan menimpanya); dan mereka tetap akan merasa sesal serta kecewa manakala mereka melihat azab itu; dan Allah putuskan hukum di antara mereka dengan adil serta mereka tidak akan dianiaya dengan keputusan itu. “


Di sini Allah menerangkan kegemparan yang amat menakutkan pada hari kiamat nanti. Sehingga kalaulah setiap orang yang dahulunya zalim dan aniaya kerana kufur terhadap Allah akan ditakdirkan pada masa itu mempunyai segala macam kekayaan dan beraneka rupa kenikmatan yang dimilikinya di bumi untuk menjadi barang penebus, nescaya dirinya akan ditebus supaya terlepas dari seksaan. Tetapi sayang, semua itu akan sia-sia dan tidak berguna, kerana tidak akan diterima oleh Allah.


Barulah mereka menyesal dan amat kesal atas kezaliman yang mereka lakukan setelah seksaan itu mereka saksikan dengan mata kepala mereka sendiri. Ketika itulah mereka lihat neraka jahanam terbuka luas untuk menyambut kedatangan mereka, dan yakinlah mereka pasti dihumbankan ke dalamnya.


Perbezaan manusia tentang agama akan diputuskan di akhirat kelak oleh Allah. Kalau dalam dunia ini sekarang, berbagai-bagai pendapat yang bercanggah antara satu sama lain. Yang tidak beriman akan menolak ajaran tauhid dan sunnah. Ada Nabi dan rasul yang ditentang oleh umatnya. Siapakah yang benar? Siapa yang benar akan diputuskan oleh Allah di akhirat kelak. Allah akan beri hukum siapakah yang benar. Dan Allah akan balas mereka yang benar dengan kebaikan dan Allah akan balas dengan keburukan siapa yang salah. Setiap makhluk akan mendapat apa yang layak untuk mereka.


Surah Yunus ayat 55


“Ingatlah! Sesungguhnya segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah. Awaslah! Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”


Oleh kerana apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi adalah milik Allah, maka Allah lah sahaja yang layak untuk menentukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Allah sahaja yang layak untuk buat keputusan itu kerana hanya dia sahaja yang memiliki alam ini. Allah tidak berkongsi pemilikan alam ini dengan sesiapa pun.


Jika ada makhluk yang tidak setuju dengan hukum yang Allah telah tetapkan, maka hendaklah dia meninggalkan alam ini dan hidup di alam yang lain. Macam kalau ada orang yang tak suka ikut peraturan rumah kita, kenalah dia keluar dari rumah kita, bukan? Tapi ke mana lagi makhluk itu hendak pergi? Adakah alam lain yang dia boleh ambil perlindungan?


Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi termasuklah Nabi, wali dan malaikat itu semuanya adalah kepunyaan Allah semata-mata. Oleh itu, kenapa kita tidak terus minta kepada Allah sahaja? Kenapa kita nak minta kepada Nabi wali dan malaikat? Kenapa perlukan perantaraan dari mereka? Allah tak pernah ajar pun.


Janji Allah bahawa kiamat dan akhirat akan berlaku; Allah janji beri syurga kepada orang beriman dan beri neraka kepada orang yang engkar dan semua itu akan benar-benar berlaku. Tetapi kebanyakan orang yang tidak beriman tentu tidak mengetahui tentang perkara akhirat, kerana kecuaian dan singkatnya pandangan mereka terhadap perkara itu. Ini adalah kerana mereka sibuk mengejar dunia.


Jadi kepada mereka yang tahu seperti orang Islam, adakah mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah itu? Apa yang kita nampak, ramai yang tidak mengendahkan langsung tentang janji-janji Allah itu. Kerana jikalau mereka selalu memikirkan tentang janji-janji Allah itu, tentunya amal perbuatan mereka berubah. Mereka tidak akan berlaku zalim kepada Allah, kepada diri sendiri atau kepada orang lain. Tidaklah mereka akan hidup di dunia ini seperti mereka akan terus hidup selama-lamanya. Tidaklah mereka buang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti mengejar dunia tanpa hujungnya.


Oleh itu, kita tahu dari ayat ini bahawa ramai manusia yang tidak tahu dan jika pun mereka tahu, ramai yang tidak memberikan perhatian kepada janji Allah itu.

Surah Yunus ayat 56


Dia lah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan untuk menerima balasan.


Di sini Allah bagitahu bahwa hanya Allah sahaja yang boleh menghidupkan dan mematikan dan tidak ada yang lain yang boleh buat perkara yang sama.


Allah mengingatkan sekali lagi di dalam ayat ini seperti dalam banyak ayat-ayat yang lain, bahawa kita semuanya akan dikembalikan kepadaNya. Waktu itu kita semua akan menerima balasan yang layak untuk kita.


Jikalau Allah yang menghidupkan kita dan Dia yang akan mematikan kita, dan kita akan bertemu denganNya, kenapa kita tidak berdoa dan menyembah padaNya sahaja? Kenapa kita buat tak kisah arahan dan larangan yang telah diberikanNya kepada kita?

Surah Yunus ayat 57


Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. “


Dalam ayat sebelum ini, disebut bahawa kita akan dibawa untuk bertemu dengan Allah akhirnya. Lalu apakah cara untuk kita selamat di akhirat nanti? Kita akan selamat kalau kita berpegang dengan Quran. Ayat sebelum ini, Allah menyebut bahawa Dia yang menghidupkan dan mematikan. Dalam ayat ini, Allah memberi isyarat bahawa Dia menghidupkan hati yang mati dengan Quran.


Quran sekarang sedang bercakap kepada semua manusia. Kerana Quran ini bukan untuk orang Islam sahaja tetapi kepada semua manusia. Semua manusia patut baca dan faham mesej Quran ini. Apakah yang kita telah lakukan untuk membawa mesej Quran ini kepada manusia sejagat?


Quran ini dapat menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh manusia sejagat. Malangnya, orang bukan Islam sudah mendapat maklumat yang salah dari media massa. Kitalah yang kena menjalankan tugas kita memperkenalkan mesej Quran yang sebenar kepada mereka.


Nasihat yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Qur’an. Nasihat dalam ayat ini adalah yang bermaksud menegur seseorang, memberi peringatan tentang kebaikan, kebenaran; Mengingatkan seseorang; Mengingatkan orang lain untuk meninggalkan syirik dan dosa-dosa yang lain; Ianya mengajak kepada kebaikan dan melarang dari keburukan.


Di dalam Al Quran terdapat dua elemen ini iaitu mengajak kepada kebaikan dan larang kepada keburukan. Kita beri nasihat itu kerana kita memang hendak seseorang itu beringat. Kerana kita hendak seseorang itu berjaya. Nasihat itu juga dilakukan dengan ikhlas. Dan ianya dilakukan dengan cara yang efektif. Ianya adalah nasihat yang memberi kesan. Bukan jenis nasihat yang diberi tapi senang dilupai selepas itu. Nasihat itu juga diberikan kena tepat pada masanya.


Itulah sifat-sifat Quran dalam memberi nasihat. Quran mengandungi semua itu malah lebih lagi. Kerana itu, kita sepatutnya menggunakan Quran sebagai pemberi nasihat kepada kita.


Nasihat itu datang daripada siapa? Ia datang dari Allah Tuhan kamu. Bukannya daripada manusia biasa. Oleh itu, ianya sepatutnya diterima dengan senang hati oleh kita. Kita kena mengambil perhatian dengan nasihat yang diberikan. Kita kena baca Quran itu dan rasa bahawa Allah sedang memberi nasihat terus kepada kita.


Quran juga adalah penawar bagi penyakit-penyakit hati. Apa yang ada dalam dada? Hati. Dan apa yang ada dalam hati? Macam-macam hal. Untuk menerima Quran, hati kita kena dibuka untuk menerima Quran. Apabila ayat ini menyebut فِي الصُّدُورِ (dalam dada) dan tidak spesifik menyebut قَلبٌ (hati), ianya merangkumi lebih lagi dari hati sahaja. Ia merangkumi apa lagi yang ada di dalam dada, termasuk was-was dari syaitan. Ini bermaksud, Quran bukan sahaja penawar kepada penyakit hati, ianya juga sebagai penawar kepada bisikan syaitan juga.


Dalam hati ada banyak penyakit, banyak masalah. Quran adalah penawar kepada apa sahaja penyakit dalam hati. Sebagai contoh, cemburu, syirik, mementingkan diri sendiri, riak, malas, sombong, sangsi kepada Allah dan agama, cinta kepada dunia, kesedihan, kemurungan, ujub, marah, bakhil, syahwat, stress dan macam-macam lagi. Semua penyakit itu memburukkan keadaan kita. Menyebabkan kita susah di dunia dan akhirat. Quran adalah penawar kepada semua penyakit hati itu.


Seperti kita pernah sebut sebelum ini, Qur’an ini adalah untuk setiap manusia. Tetapi yang boleh mengambil kebaikan darinya adalah orang-orang yang beriman sahaja.


Quran adalah sebagai hidayah petunjuk kepada kita. Apabila kita sudah menerima Quran dalam hati kita, barulah kita akan senang untuk menerima petunjuk dalam Quran itu. Barulah senang untuk kita menerima hukum-hukum yang Allah sampaikan dalam Quran. Kita tidak rasa berat untuk taat kepada arahan hukum dalam Quran.
Apabila kita sudah menerima hidayah dari Allah, barulah kita akan rasa tenang, rasa beriman, rasa manis dengan agama. Nak buat ibadat pun rasa ringan. Itu bermakna kita sudah mendapat rahmat dari Allah.

Surah Yunus Ayat 58


“Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”.


Allah menyuruh Rasulullah saw supaya mengatakan kepada mereka, “hendaklah mereka bergembira dengan kurnia Allah dan rahmatNya,” Maksudnya sekiranya orang yang tidak beriman mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya dan mereka bersukacita dengan apa yang telah mereka kumpulkan itu, maka kaum Nabi Muhammad saw sebagai orang mukmin, hendaklah mengumpulkan iman dan amal soleh, kurnia dan rahmat Ilahi dan hendaklah mereka bergembira dengannya. Kumpulkan pedoman hidup, tuntunan Tuhan, petunjuk yang kekal kerana itulah kekayaan yang sejati dan itulah yang akan didahulukan.


Kerana kalau semua kurnia Ilahi dan rahmatNya itu hilang hancur lebur, maka akan hilang jugalah segala benda yang dikumpulkan itu. Tiada erti semua harta benda. Sebagai orang beriman, seseorang mukmin itu harus percaya bahwa hidup ini tidaklah berhenti hingga setakat mati saja. Kerana ianya akan ada kelanjutannya. Maka hartabenda yang dikumpulkan itu bolehlah dijadikan jambatan untuk menempuh hidup bahgia di akhirat, dan bahagia di akhirat adalah lanjutan dari kurnia dan rahmat yang diterima di dunia.


Surah Yunus ayat 59


Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?”.


Dahulu di dalam surah Al An’am telah diingatkan Allah tentang kesalahan kaum musyrikin yang mengharamkan memakan berbagai macam binatang. Ada yang dinamakan Saibah, Wasilah dan Ham. (Lihat kembali tafsir surah Al An’am). Allah telah memberikan kurnia binatang-binatang ternah, baik kambing, unta yang halal kepada mereka. Tetapi mereka sendiri yang membuat peraturan yang mengatakan ini haram, itu halal, semata-mata untuk menghormati berhala.


Maka di dalam ayat ini pun Allah mengingatkan kembali kepada kaum musyrikin bahwa Allah telah menurunkan kurniaanNya kepada mereka, tetapi sekarang mereka mengadak-adakan peraturan yang tidak ada, ini haram ini halal. Kalau Allah yang dikatakan menentukan ini haram ini halal maka, keluarkanlah dalil dan ayatnya. Atau adakah mereka saja mengada-adakan yang tidak ada.


Adakah Allah benarkan mereka menghalalkan dan mengharamkan? Atau adakah mereka ada dalil untuk mengharam atau menghalalkan sesuatu itu? Adakah Jibril datang waktu malam-malam kepada mereka untuk memberi wahyu untuk membenarkan perbuatan mereka yang menghalalkan yang haram itu?


Oleh kerana Allah yang telah memberikan rezeki itu kepada kita, maka Dia sahaja yang layak untuk menentukan sama ada sesuatu perkara itu halal atau haram. Halal atau haram ini diberitahu oleh Allah dalam Qur’an dan juga di dalam hadis Nabi. Manusia tidak boleh suka-suka mengharamkan sesuatu yang halal dan tidak boleh suka-suka menghalalkan yang haram.

Surah Yunus ayat 60


“Dan apakah sangkaan orang-orang yang mengada-adakan kata-kata dusta terhadap Allah, (tidakkah mereka akan diazabkan) hari kiamat kelak? Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberianNya dan hukum-hukum Syarak yang diturunkanNya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. “


Apakah sangkaan mereka pada hari kiamat tentang perbuatan dusta yang mereka lakukan terhadap Allah itu? Mereka sangka yang Allah akan beri pahala kepada mereka? Adakah mereka sangka yang mereka akan selamat dan tidak dihukum dengan azab oleh Allah?


Ada dikalangan manusia yang sangka mereka tidak akan diazab walau apa pun yang mereka lakukan. Mereka rasa mereka akan diselamatkan. Mereka tidak akan selamat. Mereka akan menerima padah mereka nanti. Tidak kira siapa mereka, mereka akan dikenakan balasan. Tidak kira mereka ulama, guru tarekat, Habib atau sesiapa sahaja, kalau buat salah, akan dibalas.
Sudah tentu mereka yang berdusta atas nama Allah akan diberi dengan balasan azab dan mereka tidak akan diselamatkan di akhirat kelak. Tetapi mungkin ada yang kehairanan dan tertanya-tanya, kenapa Allah tidak memberikan azab terus kepada mereka semasa mereka di dunia ini lagi?


Mereka tidak diberikan dengan azab itu kerana Allah telah beri mereka masa untuk bertaubat. Inilah kurnia Allah. Allah melambat-lambatkan azab kepada mereka. Apabila mereka melakukan perkara syirik, perkara bidaah, mereka-reka agama dan mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, Allah tidak terus matikan mereka; Allah tidak terus azab kepada mereka. Itulah kurnia Allah kepada mereka. Limpah Kurnia Allah yang besar itu juga adalah penurunan Quran dan penurunan Nabi Muhammad untuk mengajarkannya kepada kita. Akan tetapi amat sedikit dari mereka yang bersyukur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.