Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am ayat 131 Hingga 150

Surah Al An’am Ayat 131


Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedang penduduknya leka lalai.


Allah menjelaskan bahawa telah terjadi sunah dan ketetapan Nya sesuai dengan hikmah kebijaksanaan dan keadilan Nya, apabila Dia hendak membinasakan suatu umat kerana kederhakaan dan kezalimannya. Terlebih dahulu Dia mengutus seorang Rasul yang akan memberi peringatan kepada mereka. Allah tidak akan menurunkan azab dan siksa Nya kepada sesuatu umat selagi Allah tidak datangkan kepada mereka seorang Rasul untuk memberi petunjuk.


Seksaan yang diturunkan Allah kepada hamba Nya yang derhaka memanglah amat keras sekali. Iaitu seksaan yang akan melenyapkan kaum itu sepenuhnya dari mukabumi Allah ini. Umpamanya seksaan yang pernah diturunkan kepada kaum `Ad dan Samud. Dan ada juga seksaan yang menghina mereka dengan cara mengusir dan mencerai beraikan mereka, seperti yang terjadi kepada kaum Bani Israel di zaman Nabi Musa as.  Dan ada juga seksaan yang menghancurkan kekuatan mereka, seperti yang terjadi kepada kaum musyrikin Mekah.


Setelah Nabi Muhammad diutus kepada manusia akhir zaman, seksaan yang berupa menghancurkan dan memusnahkan itu tidak ada lagi. Kalau ada pun, setiap malapetaka yang terjadi, seperti gempa, taufan, banjir dan sebagainya, adalah cubaan dan ujian bagi umat manusia agar mereka insaf dan sedar akan kekuasaan Allah dan agar mereka selalu ingat kepada Nya. Tidak berpaling dari petunjuk dan ajaran yang diturunkan Nya dengan perantaraan Rasul Nya.


Allah sekali-kali tidak akan menganiaya hambanya, tetapi bahkan merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri dengan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan sunah dan ketetapan Nya. Melanggar sahsiah peraturan yang telah diberikan Nya untuk kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat. Mungkin kita ada melihat ada beberapa negara atau umat yang nampak kedudukannya senang, kuat dan berjaya padahal umat itu telah tidak mengamalkan sifat-sifat keadilan dan perikemanusiaan sepertimana yang diperintahkan, bahkan ada yang mengingkari kekuasaan Allah dan menganggap agama Islam itu sebagai racun yang membunuh manusia.


Ketahuilah bahawa semua perkara itu adalah berupa istidraj dari Allah. Istidraj yang kelak akan membiarkan mereka tenggelam dalam fahaman kebendaan, sombong dan takabur atas hasil yang mereka capai. Namun akhirnya mereka akan mengalami nasib seperti orang yang sombong dan takabur.


Terserahlah kepada manusia itu sendiri apakah ia akan menjadi orang yang beriman, mematuhi dan menjalankan semua aturan dan ajaran yang diturunkan Nya melalui RasulNya, dan dengan demikian dia akan hidup berbahagia jasmani dan rohaninya. Ataupun apakah dia akan menganggap dirinya lebih berkuasa atau lebih pintar serta menganggap ajaran-ajaran agama itu sudah ketinggalan zaman.


Dia bebas berfikir, berbuat dan menetapkan sesuatu menurut kehendaknya dan akhirnya akan terumbang ambing antara teori-teori yang tidak tentu hujung pangkalnya serta terjerumus ke jurang kehancuran dan kerusakan. Allah telah membentangkan di hadapan manusia jalan yang baik dan jalan yang buruk; terserah kepada mereka untuk memilih  jalan mana yang akan ditempuh.


Surah Al An’am Ayat 132


Dan bagi tiap-tiap seorang (dari manusia atau jin), beberapa darjat (tingkatan balasan) disebabkan (amal baik atau jahat) yang mereka telah kerjakan; dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan.”


Ayat ini memberitahu kita bahawa setiap manusia dan jin akan diberikan dengan kedudukan masing-masing berdasarkan kepada amalan mereka. Samada mereka tinggal di Syurga atau di Neraka. Jikalau semasa mereka di dunia, banyak amalan baik yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang tinggi di Syurga kelak. Jikalau semasa mereka di dunia terdapat banyak perbuatan dosa yang mereka lakukan, maka mereka akan mendapat kedudukan yang hina semasa di Neraka kelak.


Semuanya ada Darjat atau kedudukan masing-masing. Dan darjat-darjat itu ada banyak tingkatan. Kalau dalam neraka, kedudukan mereka tidak sama, ada yang lagi teruk dari yang lain. Setiap kali melakukan perbuatan jahat ataupun syirik, sama ada orang itu Islam ataupun orang kafir, mereka akan menambah keburukan yang mereka akan dapat di Neraka nanti.


Begitu juga kedudukan ahli syurga di akhirat nanti, tidaklah sama semuanya. Ada yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada orang lain walaupun mereka semuanya sudah di dalam syurga. Lebih banyak kebaikan yang mereka lakukan di dunia dengan seikhlas hati lillahi taala, akan menambah tingkatan mereka ataupun darjat mereka di dalam syurga. Sebagaimana yang Allah sebut di dalam ayat 21 Surah Al Isra’ yang bermaksud :
“Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.”


Ayat ini memberitahu kepada kita, bahawa dalam dunia ini pun sudah ada perbezaan darjat atau tingkatan antara manusia. Ada yang lagi tinggi dari yang lain. Ada yang lebih pandai, lebih kaya, lebih kuat dan sebagainya. Tapi darjat di syurga nanti akan lebih lagi. Kerana ianya berbeza dengan tingkatan darjat di dunia. Di syurga nanti tingkatan darjat yang diperolehi adalah bersifat kekal, berbanding dengan tingkatan darjat di dunia yang tidak kekal dan selalu berubah-rubah. Tambahan lagi, perbezaan di dunia tidaklah besar sangat sebenarnya. Kerana manusia sama sahaja sebenarnya, semuanya kena makan, kena tidur dan sebagainya. Tapi perbezaan darjat di syurga nanti amatlah besar.


Ayat ini memberi peringatan kepada kita bahawa kita perlu berusaha untuk mendapatkan darjat yang tinggi di akhirat kelak. Seperti juga kita perlu berusaha semasa kita di dunia untuk mendapatkan kedudukan di dunia, maka begitulah juga kita perlu beramal dengan amalan yang soleh yang banyak untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat. Sebagai contoh, kalau kita hendak menjadi doktor, maka hendaklah kita belajar besungguh-sungguh. Kalau hendak mendapat kedudukan di Syurga Firdaus, maka hendaklah kita beramal dengan amalan ahli Syurga Firdaus.


Ini menunjukkan keadilan Allah di mana Allah membalas manusia berdasarkan kepada ‘usaha’ mereka. Dan Allah tidak memberi hukuman kepada manusia melainkan apa yang mereka lakukan sahaja. Oleh itu, kalau di dalam dunia kita berusaha bersunguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi, dapat gaji yang besar, rumah yang indah, kenapa kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kedudukan yang tinggi di akhirat? Bukankah kedudukan di akhirat nanti lebih penting kerana kita tidak tetap di dunia, tapi kita akan kekal di akhirat. Oleh itu, tingkatkanlah usaha dan amalan kita dalam dunia ini untuk mendapatkan balasan akhirat.


“...dan (ingatlah) Tuhanmu tiadalah lalai dari apa yang mereka lakukan…”
Maksud Allah memberitahu bahawa Dia tidak lalai adalah untuk beritahu kita bahawa semua perbuatan kita akan dibalas. Perbuatan baik akan dibalas baik dan perbuatan jahat akan dibalas dengan buruk.


Ayat ini juga memberi tahu kepada kita bahawa Allah membalas ‘usaha’ yang kita telah lakukan. Balasan Allah tidak sama seperti balasan yang kita dapat di dunia. Sebagai contoh, kadang-kadang kita telah berusaha bersungguh-sungguh di dunia, tetapi hasil yang kita dapat tidak setimpal dengan usaha kita. Sebagai contoh, mungkin kita berusaha dengan membaca dan mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan. Tetapi malangnya, mungkin semasa peperiksaan kita tidak dapat menjawab dengan baik. Dan kerana itu, kita akan mendapat markah yang rendah. Ini adalah kerana tukang periksa peperiksaan hanya memberi markah berdasarkan kepada apa yang kita jawab. Dia tidak tahu apakah usaha yang banyak yang telah kita lakukan.


Tetapi Allah yang Maha Tahu tahu apa usaha yang kita telah lakukan dan Allah akan membalas berdasarkan kepada usaha itu dan tidak semestinya berdasarkan kepada kejayaan semata-mata. Sebagai contoh, mungkin kita telah melakukan banyak usaha dakwah tetapi tidak ramai yang mengikuti dan menerima ajakan kita. Walaupun tidak ramai yang ikut kita, tetapi Allah akan membalas dan memberi pahala kepada kita berdasarkan usaha dakwah kita itu. Inilah salah satu dari rahmat Allah.


Surah Al An’am Ayat 133


Dan Tuhanmu Maha Kaya, lagi Melimpah-limpah rahmatNya. Jika Ia kehendaki, nescaya Ia binasakan kamu dan menggantikan sesudah (binasanya) kamu dengan sesiapa yang dikehendakiNya, sebagaimana Ia telah menjadikan kamu dari keturunan kaum yang lain.


Permulaan ayat ini Allah menyatakan bahawa Allah Maha Kaya lagi Maha Melimpah ruah rahmatNya. Maksud ‘kaya’ adalah ‘tidak memerlukan apa-apa lagi’. Oleh itu, Maksud Allah Maha Kaya dalam ayat ini adalah: Allah tidak memerlukan ibadah kita. Tidaklah Allah jadi kurus kalau kita tidak menyembahNya. Tidaklah juga Allah terkesan dengan perbuatan dosa yang kita lakukan. Oleh itu jangan kita sangka yang Allah membalas usaha kita dengan pahala kerana dia memerlukan ibadah kita. Allah balas ibadah yang kita buat kerana sifat RahmahNya.


Allah lah yang sebenar-benar kaya. Kalau ada orang kaya dalam dunia ini pun, mereka mereka masih lagi memerlukan orang lain untuk hidup. Dia tidak boleh hidup sendiri. Tetapi Allah langsung tidak memerlukan sesiapa pun. Jadi, Allah tidak memerlukan ibadah kita. Tetapi Allah telah tetapkan kita untuk melakukan ibadat kepadaNya dan meninggalkan segala perbuatan perbuatan yang buruk. Itu adalah arahan dari Allah. Jangan kita ingat yang Allah tidak perlukan ibadah kita, kita tak buat pula ibadah itu.


Allah bukan sahaja bersifat kaya tetapi Allah bersifat Rahmah. Selalunya dua sifat ini tidak duduk bersama-sama pada makhluk. Kerana kalau kita lihat manusia yang kaya, selalunya mereka tidak bersifat belas kasihan kepada orang lain. Tetapi dua sifat ini ada pada Allah.


Tidak terkira betapa banyaknya Rahmah yang telah Allah berikan kepada kita. Kita tidak akan dapat membalas Allah atas segala nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Dan tidaklah Allah suruh kita beribadat sepanjang kita hidup sehari semalam. Kalaulah kita kira, berapa lama kita beribadah kepada Allah dalam sehari semalam, tentulah kita akan dapati bahawa ibadah kita itu mungkin tidak sampai sejam pun dalam sehari. Terlalu sedikit kalau dibandingkan dengan segala pemberian Allah kepada kita. Tetapi dari amalan soleh yang sedikit yang kita lakukan itu kerana mengikut arahanNya, apa yang Allah akan balas kepada kita? Bukankah Dia akan membalas kita dengan syurga yang kita akan kekal di dalamnya? Sebab itulah benar sekali hadis Nabi yang mengatakan bahawa kita tidak masuk syurga kerana amalan kita, tapi kerana Rahmat dari Allah semata-mata.


Ada lagi rahmat dari Allah: Kalau kita berbuat satu dosa, kita akan dibalas dengan satu dosa juga. Tetapi jikalau kita berbuat satu kebaikan, kita akan dibayar dengan gandaan 10 kali ganda sekurang-kurangnya. Dan Allah boleh gandakan lagi 100 kali atau lebih lagi untuk dibalasNya kepada kita. Itu semua terpulang kepada Allah.


Dan rahmah Allah ini amat besar sampaikan Allah boleh balas berdasarkan ‘usaha’ kita sahaja. Kita mungkin tidak mendapat kejayaan dari usaha kita itu, tapi Allah dah balas dah. Sebagai contoh, Allah akan balas dengan pahala atas usaha dakwah yang kita lakukan, walaupun tidak ada yang ikut kita.


Satu lagi sifat Rahmah Allah yang boleh kita sebutkan disini adalah bagaimana Allah membenarkan kita untuk terus hidup di dunia ini sepanjang hayat kita walaupun kita telah melakukan banyak dosa. Allah beri peluang kepada kita untuk bertaubat dan melakukan amal ibadat sepanjang kita hidup ini. Mungkin kita ada buat salah dan dosa dalam kehidupan kita. Kalau umur kita panjang, ada kemungkinan kita sempat bertaubat. Tapi kalau kita dimatikan awal, tentu kita akan mendapat nasib yang malang sekali.


Kalau Allah mahu Allah boleh saja musnahkan semua sekali makhluk yang melakukan dosa dan berbuat kufur kepadaNya. Memang Allah boleh buat dan Allah pun dah pernah buat kepada kaum-kaum yang terdahulu. Lihatlah apa yang terjadi kepada kaum Aad dan Tsamud. Dan kalau Allah takdirkan untuk memusnahkan semua makhluk, Allah boleh saja membangkitkan makhluk yang lain untuk mengganti kita. Tidak ada masalah buat Allah untuk berbuat begitu.


Allah telah ceritakan tentang kaum-kaum dahulu seperti Aad dan Tsamud. Orang Arab telah mengganti mereka dalam kehidupan selepas mereka. Kita pun sekarang ini menggantikan keturunan-keturunan tok nenek kita yang dahulu. Mereka sekarang sudah tiada. Kita nanti akan mati dan kita akan digantikan dengan keturunan-keturunan selepas kita. Inilah pusingan kehidupan. Tidak ada sesiapa pun yang akan hidup di dunia ini selama lamanya.


Maknanya, Allah boleh gantikan kita dengan kaum lain kalau Allah mahu. Macam juga Allah gantikan kaum dulu dengan kita. Ini mengingatkan kita bahawa kita hanya hidup di dunia ini untuk waktu yang singkat sahaja. Oleh itu kita hendaklah mengambil peluang ini untuk melakukan amal ibadah yang soleh sebanyak-banyaknya supaya kita boleh mendapat Darjat yang tinggi di akhirat kelak. Jika tidak kita hanya membuang masa yang singkat ini sahaja.


Surah Al An’am Ayat 134


Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepada kamu (hari kiamat dan balasannya) tetap akan datang, dan kamu tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan itu). “


Banyak janji Allah yang telah diberikan dalam Quran dan dari hadis Nabi. Antaranya adalah tentang kematian kita. Semua makhluk akan mati. Jadi dalam ayat ini Allah mengingatkan kita tentang janji Allah untuk orang-orang yang engkar di akhirat kelak. Semasa mereka di dunia ini mereka telah mendapat seksaan tetapi di akhirat kelak mereka juga akan dapat lebih teruk lagi. Seksaan akhirat yang diancamkan kepada mereka ialah api neraka yang menyala-nyala.


Apa yang Allah janjikan itu pasti akan datang dan pasti akan terjadi juga..Sehingga mereka semuanya tidak berupaya untuk menolak atau menghindarinya, apa lagi untuk melarikan diri.


Sesungguhnya perkara sebegini tidaklah sulit bagi Allah Yang Maha Kuasa untuk melaksanakannya. Sebagaimana Dia Berkuasa menciptakan makhluk-makhlukNya dari tiada kepada ada, maka sudah  tentulah Dia juga Maha Berkuasa untuk menghidupkan kembali makhluk-makhluk yang telah mati dan menjadi tulang-belulang yang hancur lebur. Dalil ini berulang kali disebutkan dalam Alquran di antaranya firman Allah:
“Dan dia membuat perumpamaan bagi Kami dan dia lupa kepada kejadiannya; ia berkata: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah, "Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. Dan Dia Maha Mengetahui tentang segala makhluk."
(Q.S Yasin: 78-79)

Surah Al An’am Ayat 135


Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai kaumku (yang masih kafir), buatlah sedaya upaya kamu (untuk menentang Islam), sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya.


Firman ini ditujukan kepada nabi saw agar memberitahu kepada kaumnya yang engkar itu, supaya membuat apa yang boleh mereka buat dan biarlah mereka tetap dengan pendirian mereka berkeadaan kufur dan degil.


Ayat ini bukanlah bermakna, bahwa Nabi saw menyuruh mereka supaya tetap dalam kufur, bukanlah demikian maksudnya. Kerana ini tidak mungkin akan berlaku sama sekali. Tetapi tujuannya ialah untuk menyindir mereka sebagai ugutan dan ancaman yang seolah-olah maksudnya, ‘kalau kamu masih tetap dengan pendirian kamu mengikut cara hidup kamu yang kufur itu, teruskanlah.’


Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa semasa kita di dunia, kita boleh buat apa saja yang kita suka. Kalau kita mahu kepada kesesatan, Allah akan biarkan kita berada di dalam kesesatan itu. Kalau kita mahukan kepada maksiat, Allah akan biarkan kita berada di dalam maksiat.  Tetapi kena ingat satu perkara. Apabila kita mati kelak, Allah akan balas perbuatan sesat dan maksiat kita itu dengan azab yang pedih.


“..sesungguhnya aku juga tetap beramal (berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan Islam); kemudian kamu akan ketahui siapakah yang akan beroleh kebaikan dan kejayaan di dunia ini.”
Nabi juga disuruh untuk memberitahu kepada kaumnya bahwa Nabi juga akan tetap dengan pendiriannya untuk tetap di dalam Islam, mengikut petunjuk dan hidayat yang Allah berikan kepadanya. Dan baginda tidak akan sekali-kali menyimpang daripadanya. Maka nanti mereka akan ketahui sendiri, pendirian siapakah yang benar dan pekerjaan siapakah yang bakal diterima oleh Allah. Kesudahannya siapa pula nanti yang memperoleh syurga sebagai tempat tinggalnya. Sama-samalah di akhirat nanti kita saksikan.


Dari pengertian ayat ini kita disuruh untuk terus mengamalkan amal ibadat yang soleh. Kita perlu menguatkan usaha kita dan tetap di dalam melakukan amal yang baik. Kelak kita akan mengetahui apakah kesan dari perbuatan amalan kita itu apabila dah mati nanti. Kalau kita berbuat amalan baik, akan dibalas baik. Tapi kalau kita berbuat amalan yang salah, yang kufur, yang syirik, maka amat malang nasib kita. Tapi waktu itu, kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana pintu taubat sudah tertutup buat kita.


Kebenaran sesuatu perkara itu kadang-kadang kita tidak nampak di dunia ini. Allah tak balas di dunia tetapi Allah tunggu untuk balas di akhirat kelak. Jadi dunia ini bukanlah tempat untuk ditunjukkan akibat kepada sesuatu. Kalau kita lihat ramai yang buat amalan ibadah yang bukan termasuk di dalam syariat yang diajarkan oleh Nabi, itu bukanlah tanda bahawa mereka itu benar. Kerana majoriti tidak menentukan yang ianya benar.


Di akhir ayat ini Allah memberitahu bahwa orang-orang yang zalim tidak akan mendapat kejayaan. Maksudnya orang-orang zalim ini pasti tidak akan mendapat kemenangan baik di dunia mahupun di akhirat. Allah juga berjanji bahawa kaum mukmin ini akan selamat sepanjang masa sampai akhir zaman selama mana mereka benar-benar beriman dan bertakwa, benar-benar menjalankan ajaran-ajaran agamanya secara keseluruhan dan benar-benar berjuang dengan ikhlas untuk menegakkan kalimat Allah. Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”
(Q.S Muhammad: 7)

Surah Al An’am Ayat 136


Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.


Dalam ayat ini, diceritakan bagaimana Musyrikin Mekah telah memperuntukkan sebahagian dari tanaman atau binatang ternak mereka kepada Allah dan juga tuhan-tuhan sembahan mereka selain Allah. Lihatlah kebodohan mereka: tanaman dan binatang ternak itu dijadikan oleh Allah, tapi mereka masih juga nak beri sebahagiannya untuk tuhan-tuhan berhala mereka.


Ayat ini juga adalah tentang ‘nazar’. Nazar berlaku apabila seseorang berjanji dengan Allah, kalau mereka dapat sesuatu, mereka akan buat sesuatu. Mereka akan beri makan fakir miskin, berpuasa seminggu dan sebagainya. Konsep nazar memang ada dalam Islam. Tapi ada masalah sikit dengan perbuatan ini. Mereka-mereka yang bernazar adalah orang yang ‘kedekut’. Kerana mereka berjanji, yang kalau Allah beri, baru nak buat ibadat. Padahal ibadat itu memang sudah patut dibuat. Jadi, walaupun nazar itu boleh dibuat, tapi ianya adalah satu perkara yang tidak elok sebenarnya.


Berbalik kepada ayat ini , diberitahukan bahwa orang-orang musyrik pada zaman jahiliyah dahulu, telah menetapkan sebahagian hasil tanam tanaman, buah-buahan dan binatang-binatang ternak mereka untuk Allah dan sebahagian pula untuk berhala-berhala. Bahagian yang mereka tetapkan untuk Allah mereka gunakan untuk meraikan tetamu dan membantu orang miskin. Dan bahagian yang mereka tetapkan untuk berhala, mereka belanjakan untuk kepentingan berhala dan pemeliharaannya.


Sekiranya ada yang tercicir mana-mana yang dipunyai Allah untuk dibahagikan kepada berhala mereka biarkan sahaja. Tetapi sekiranya tercicir mana-mana yang dipunyai berhala untuk dibahagikan kepada Allah, mereka segera memulangkannya balik kepada berhala. Ini kerana mereka menganggap bahwa Allah sudah kaya dan tidak berhajat kepada semua itu.Sementara berhala pula berhajat.


Begitu juga sekiranya bahagian untuk Allah itu didapati binasa, mereka akan membiarkan saja dan tidak menggantikannya. Tetapi sekiranya bahagian untuk berhala yang didapati telah hilang atau binasa, mereka cepat-cepat akan menggantikannya.


Itulah sebabnya kenapa Allah menurunkan ayat ini, yang menceritakan orang musyrik itu telah membahagikan hasil tanaman dan ternakan mereka, sebahagian untuk Allah dan sebahagian lagi untuk berhala mereka.


Mereka membuat peraturan dan pembahagian demikian kerana kononnya supaya mereka dapat berbakti dan berkorban kepada Allah dan kepada berhala. Anggapan mereka tentang peraturan itu merupakan hukum yang benar lagi menepati dan kemudian mereka telah jadikan ia sebagai adat yang mesti dijunjung dan dipertahankan turun temurun. Padahal, anggapan mereka itu adalah keliru lagi sesat, hanya berdasarkan bayangan dan angan-angan saja. Kerana sesungguhnya tidak keterangan atau bukti yang menunjukkan bahwa peraturan pembahagian yang mereka lakukan itu ditetapkan oleh Allah.


Ini adalah suatu agama yang diada-adakan oleh para pemimpin dan pemuka-pemuka bangsa Arab di kala itu untuk mempengaruhi orang-orang awam agar mereka tetap mengagungkan dan memuliakan pemimpin itu sebagai pengawal dan pemelihara berhala-berhala itu dan sebagai orang-orang yang terdekat kepadanya. Dengan demikian mereka dapat berkuasa atas orang-orang awam itu dan memeras mereka dengan menyuruh berbakti dengan mengorbankan harta benda kepada berhala-berhala yang mereka anggap berkuasa atas kehidupan mereka dan dapat mendatangkan nikmat atau bencana kepada siapa yang dikehendakinya.


Bahagian pertama yang mereka peruntukkan untuk Allah, mereka pergunakan untuk memberi makan tetamu-tetamu, anak-anak dan orang-orang miskin; sedangkan bahagian kedua yang mereka peruntukkan bagi berhala-berhala dikuasai sepenuhnya oleh penjaga-penjaga dan pemelihara-pemeliharanya. Tetapi kerana mereka telah dikuasai oleh sifat tamak dan serakah, maka bahagian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala itu tidak boleh diambil sedikit pun untuk digabungkan kepada bahagian yang diperuntukkan bagi Allah.


Sebaliknya bahagian yang diperuntukkan bagi Allah boleh diambil untuk digabungkan kepada bahagian berhala-berhala kerana bahagian Allah itu adalah hak fakir miskin dan orang-orang yang sangat memerlukan makanan sedangkan bahagian berhala adalah sepenuhnya menjadi hak mereka.


Demikianlah ketentuan yang mereka tetapkan dan alangkah jahatnya ketentuan itu. Selain ketetapan itu ketetapan yang sesat dan menyesatkan, ia pun merupakan pencabulan ke atas hak fakir miskin dan orang-orang yang sangat memerlukan bantuan.


Antara keburukan ketetapan mereka adalah sebagai berikut:
a. Mereka telah melanggar hak Allah kerana hanya Dialah yang berhak membuat ketentuan dalam masalah-masalah ibadat.
b. Mereka telah mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala padahal hanya Allahlah yang berhak disembah dan kepada-Nyalah segala kebaktian harus dipersembahkan.
c. Mereka lebih mengutamakan hak berhala daripada hak Allah .
d. Ketetapan itu tidak berdasarkan akal yang waras dan tidak pula berdasarkan petunjuk atau syariat-syariat yang ada sebelumnya hanya berdasarkan keinginan hawa nafsu belaka.


Diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib dan Al-`Auf bahwa Abbas berkata tentang tafsir ayat ini yang maksudnya sebagai berikut: "Sesungguhnya musuh-musuh Allah, apabila mereka bercucuk tanam atau memetik hasil tanaman, mereka membahaginya kepada dua bahagian, yaitu sebahagian untuk Allah dan sebahagian lagi untuk berhala. Apabila bahagian yang disediakan untuk Allah tercicir kemudian bercampur atau tidak dengan bahagian yang diperuntukkan untuk berhala, maka yang tercicir itu mereka gabungkan dengan bahagian berhala. Selanjutnya jika air yang diperuntukkan bagi tanaman bahagian berhala mengalir ke tanaman bahagian Allah, maka tanaman bahagian Allah itu mereka jadikan tanaman bahagian berhala. Demikian juga apabila air tanaman bahagian untuk Allah mengalir ke tanaman bagian berhala, maka tanaman itu dijadikan bahagian berhala juga."


Surah Al An’am Ayat 137


Dan demikianlah juga (jahatnya) ketua-ketua yang orang-orang musyrik itu jadikan sekutu bagi Allah, menghasut kebanyakan dari mereka dengan kata-kata indah yang memperlihatkan eloknya perbuatan membunuh anak-anak mereka, untuk membinasakan mereka, dan untuk mengelirukan mereka nengenai ugama mereka. Dan kalau Allah kehendaki, nescaya mereka tidak melakukannya. Oleh itu biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan itu.


Dalam ayat ini Allah menjelaskan bagaimana dengan sewenang-wenangnya pemimpin-pemimpin dan pembesar agama kaum musyrikin Mekah menganjurkan kepada pengikut-pengikutnya agar rela untuk membunuh anak-anak perempuan mereka sendiri dengan alasan yang tidak berasas. Padahal membunuh anak perempuan sendiri itu bertentangan dengan naluri manusia.


Apabila manusia sudah semakin jauh dari Allah, maka ada manusia yang sanggup membunuh manusia-manusia lain termasuk anak-anak mereka sendiri kerana mereka telah disuruh oleh syaitan. Apabila puak Musyrikin membunuh anak-anak mereka, mereka telah memusnahkan diri mereka sendiri kerana mereka membunuh keturunan mereka dan mereka telah membunuh tenaga kerja yang mereka boleh gunakan. Kalau mereka bunuh anak-anak perempuan, ini akan menyebabkan kurangnya perempuan di dalam masyarakat mereka untuk meneruskan keturunan puak mereka.


Macam-macam sebab dijadikan oleh Musyrikin untuk membunuh anak-anak mereka. Sebagai contoh, mereka akan membunuh anak perempuan mereka kerana mereka malu. Mereka tidak boleh menerima hakikat bawa ada orang lelaki lain yang akan memiliki anak perempuan mereka. Dan mereka juga membunuh anak perempuan mereka kerana pada pendapat mereka, anak perempuan itu tidak memberi faedah dari segi ekonomi. Mereka tidak kuat untuk membantu mereka berkebun atau bercucuk tanam. Juga tidak dapat membantu mereka dalam peperangan. Dan mereka adalah kaum yang mementingkan anak lelaki dan mereka berbangga jika anak-anak mereka adalah anak lelaki. Jikalau mereka mendapat anak perempuan, mereka rasa seperti ada kekurangan pada diri mereka.


Selain dari itu, mereka juga membunuh anak-anak mereka tidak kira perempuan atau lelaki kerana mereka takut mereka akan jatuh papa kedana kalau anak mereka ramai. Kerana itu, jikalau mereka dapat anak dan mereka rasa mereka tidak dapat memberi anak itu makan, atau mereka rasa anak itu akan menyebabkan mereka kekurangan makanan kerana ada bertambah mulut yang nak disuap, mereka akan membunuh anak itu waktu yang kecil lagi. Ataupun mereka akan gugurkan bayi yang dalam kandungan isteri mereka. Itu semua adalah fahaman yang salah. Allah telah berfirman dalam al-Isra':31 tentang laranganNya membunuh anak kerana takut kemiskinan.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.”
(Q.S Al Isra': 31)


Dan juga firman Allah :
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan. Kami akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka.”
(Q.S Al An'am: 151)


Dan juga  Allah berfirman:
“Apabila dari seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padam) mukanya, ia sangat marah, ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah ia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan atau menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.”
(Q.S An Nahl: 58-59)


Allah menceritakan apa yang terjadi pada Zaman Jahiliah. Adakah ia masih lagi berlaku pada zaman sekarang? Tentu kita pernah mendengar bagaimana terdapat pasangan suami isteri yang tidak mahukan anak langsung atau pun tidak mahu anak yang ramai. Cukup dengan seorang dua anak saja.  Kerana mereka rasa mereka tidak dapat memelihara anak itu kerana takut miskin. Mereka rasa mereka tak mampu nak sara hidup anak. Sampaikan mereka sanggup menggugurkan anak itu dan kalau anak itu lahir, mereka akan memberikan anak itu kepada orang lain. Sedangkan Allah telah memberitahu kepada kita bahawa Dialah yang memberi rezki kepada anak itu. Semasa anak itu di dalam perut ibu itu lagi Allah sudah memberikan rezeki kepada anak itu.


Allah boleh sahaja halang mereka yang mengamalkan amalan-amalan sesat dari melakukannya. Tetapi Allah biarkan manusia yang hendak jadi sesat untuk terus melakukannya dan itu adalah ujian bagi manusia.


Maksud ‘biarkan’ di dalam akhir ayat ini adalah kita jangan tegur terus tentang kesalahan amalan mereka itu tetapi kita ajari mereka tauhid yang benar. Nabi Muhamad pun tidak menegur kesalahan-kesalahan penyembahan berhala yang dilakukan oleh musyrikin Mekah di awal Islam. Begitu juga baginda tidak menegur perbuatan tawaf dalam keadaan telanjang yang dilakukan oleh musyrikin Mekah waktu itu. Nabi juga tidak memecahkan berhala-berhala yang mereka sembah itu. Memang ada kisah bagaimana Nabi Ibrahim memecahkan berhala-berhala kaumnya, tapi itu bukanlah syariat Nabi Muhammad.


Apabila kita mengajar tauhid yang benar, selalunya yang menerima tauhid itu sendiri akan tahu mana yang salah dan mana yang benar. Mereka akan mula berfikir tentang agama, dan mereka akan menolak perbuatan syirik dengan sendiri, tanpa paksaan dari kita. Hanya apabila berlakunya penaklukan Mekah, barulah baginda memberi arahan kepada sahabat-sahabat baginda untuk memusnahkan berhala-berhala yang berada dikeliling Kaabah itu.


Surah Al An’am Ayat 138


“Dan mereka berkata lagi: "Ini adalah binatang-binatang ternak dan tanaman-tanaman yang dilarang, yang tidak boleh seorang pun memakannya kecuali sesiapa yang kami kehendaki", - menurut anggapan mereka; dan (sejenis lagi) binatang-binatang ternak yang dilarang menunggangnya; dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; (semuanya itu mereka lakukan dengan) berdusta terhadap Allah. Allah akan membalas mereka disebabkan apa yang mereka telah ada-adakan itu.


Pada ayat ini Allah menjelaskan bahawa terdapat beberapa halangan yang ditetapkan oleh pemimpin kaum msuyrikin Mekah terhadap sesetengah binatang dan sesetengah makanan yang akan disebutkan nanti. Halangan dan larangan itu adalah hukum yang direka-reka oleh puak musyrikin. Mereka pandai-pandai melarang memakan makanan-makanan itu.


Dalam kefahaman mereka, wasilah ialah seekor kambing betina yg melahirkan anak kembar yang terdiri daripada jantan dan betina, maka yang jantan ini disebut wasilah,tidak boleh disembelih dan hanya boleh diserahkan pada berhala.


Ham pula adalah unta jantan yg tidak boleh diganggu gugat lagi, kerana telah dapat membuntingkan unta betina sepuluh kali. Binatang-binatang yang disebutkan itu dianggap haram oleh orang-orang musyrik tanpa dalil.


Zaman sekarang, kita boleh lihat amalan ini dilakukan oleh agama Hindu. Mereka tidak boleh makan lembu dan mereka cuma hanya boleh minum susu lembu sahaja. Ini adalah kerana lembu adalah binatang yang suci dalam agama mereka. Sampaikan kalau di negara India itu, kita boleh lihat lembu berkeliaran di merata-rata tempat. Tidak boleh langsung kacau lembu-lembu itu. Sampaikan orang Islam pun tidak boleh menyembelih lembu terang-terangan dan tidak boleh memakannya di khalayak ramai kerana orang-orang Hindu akan marah kepada orang-orang Islam yang berbuat begitu.


Musyirikin Makkah telah mengharamkan jenis jenis haiwan yang tidak boleh ditunggangi. Iaitu Saibah dan Haam.
Bahiirah adalah unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan, lalu unta betina itu dibelah telinganya, dilepaskan, tidak boleh ditunggangi lagi dan tidak boleh diambil air susunya.
Sa’ibah adalah unta betina yang dibiarkan ke mana sahaja lantaran sesuatu nazar. Contohnya, jika seorang Arab jahiliyyah akan melakukan sesuatu atau perjalanan yang berat, maka dia biasa bernazar akan menjadikan unta Sa’ibah apabila maksud atau perjalanannya tercapai atau selamat.


Allah ada berfirman di dalam Surah Al Maidah Ayat 103 yang bermaksud :
“Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, washiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.”


“...dan (sejenis lagi) bintang-bintang ternak yang tidak mereka sebutkan nama Allah ketika menyembelihnya; “
Ada binatang yang mereka kata tidak boleh menyebut nama Allah semasa menyembelih binatang itu. Tidak boleh sebut nama Allah kerana binatang-binatang itu telah dikhususkan kepada tuhan-tuhan mereka yang lain. Inilah jenis unta yang dipanggil al-Bahiirah itu. Kita kena ingat bahawa mereka itu kenal Allah itu Tuhan. Cuma dalam masa yang sama, mereka ada ‘tuhan-tuhan mini’ mereka yang lain dalam bentuk berhala. Latt dan Uzza yang kita selalu dengar itu adalah salah satu dari tuhan-tuhan mini mereka. Mereka pun ada juga menyembelih atas nama Allah. Tapi kalau mereka hendak memberikan sembelihan itu kepada tuhan-tuhan yang lain, mereka tidak boleh sebut nama Allah kepadanya.


Beginilah ketetapan-ketetapan yang mereka buat sendiri menurut kemahuan mereka mengenai hasil tanaman dan binatang ternak, tetapi mereka mendakwa bahawa peraturan-peraturan itu adalah dari Allah. Ini adalah suatu kebohongan terhadap Allah dan pastinya mereka akan mendapat habuan seksaan daripada Allah nantinya.


Nabi Muhammad saw. diperintahkan Allah swt. untuk mengecam mereka kerana mereka mengharamkan dan menghalalkan sesuatu dengan sesuka hati mereka dan mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Firman-Nya:
“Katakanlah, "Terangkanlah kepadaku tentang rezeki yang diturunkan Allah kepadamu lalu kamu jadikan sebagiannya haram dan (sebagiannya) halal." Katakanlah, "Apakah Allah telah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengada-adakan saja terhadap Allah?"
(Q.S Yunus: 59)


Kalau Allah menceritakan sesuatu perbuatan syirik di dalam AlQuran, ini bermaksud amalan itu masih lagi dilakukan dalam dunia ini dan sampai bila-bila hingga kiamat. Mungkin kita tidak nampak berlaku dalam masyarakat kita tetapi pastinya ia berlaku di tempat lain.


Surah Al An’am Ayat 139


Dan mereka berkata lagi: "Apa yang ada dalam perut binatang-binatang ternak itu (jika ia lahirkan hidup) adalah halal bagi lelaki-lelaki kami dan haram bagi perempuan-perempuan kami". Dan jika ia (dilahirkan) mati, maka mereka (lelaki perempuan) bersekutu padanya (bersama-sama memakannya). Allah akan membalas mereka tentang apa yang mereka tetapkan (mengenai halal dan haram) itu. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.


Pada ayat ini Allah menyebutkan bahawa senang-senang saja orang-orang musyrik itu mengharamkan dan menghalalkan sesuatu menurut kemahuan dan keinginan hawa nafsu mereka. Tetapi pandai pula mereka mendakwa bahwa peraturan itu adalah peraturan agama yang kononnya telah ditetapkan oleh Allah. Mereka menetapkan bahwa untuk binatang-binatang ternak dari bahirah dan saibah, mereka hanya membenarkan kaum laki-laki saja untuk meminum air susunya dan mengharamkan meminumnya bagi perempuan.


Apabila binatang itu melahirkan anak jantan maka anaknya itu boleh dimakan oleh laki-laki dan haram bagi perempuan. Bila anak itu lahir mati, barulah anak itu dihalalkan untuk laki-laki dan perempuan. Jikalau binatang itu melahirkan anak betina, maka anak ini dibiarkan saja sampai beranak.


Begitulah adat jahiliah yang telah mereka pusakai turun temurun dari nenek moyang mereka, tidak ada siapa yang berani menentang, walhal adat itu sedikit pun tidak ada kena mengena dengan suruhan atau larangan agama. Ianya semata-mata didasari dengan kepercayaan tahyul dan khurafat serta karut yang tidak masuk akal. Ianya hanyalah menunjukkan betapa bebal dan bodohnya mereka. Membuat dan mengikut peraturan yang tidak ada faedah untuk mereka.


Adat yang karut ini telah dikeji oleh Allah di dalam ayat ini. Allah mengancam, nanti mereka semua yang mengamalkan amalan ini akan diseksa sebagai balasan di atas kata-kata dusta mereka mengada-ngadakan dan mereka-rekakan pembohongan terhadap Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Bijaksana dalma semua tindakanNya. Lagi Maha Mengetahui setakat mana seksaan yang akan ditimpakan kepada orang yang layak menerimanya.

Surah Al An’am Ayat 140


Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan, lagi tidak berpengetahuan (sedang Allah yang memberi rezeki kepada sekalian makhluknya), dan juga (rugilah orang-orang yang) mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka, dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka, dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.


Di sini Allah mencela pekerti orang Musyrik yang telah jauh tersesat sehingga sanggup melakukan pembunuhan ke atas anak mereka sendiri. Bukan semua daripada puak bangsa Arab yang membunuh anak-anak mereka. Dikatakan bahawa hanya beberapa puak sahaja yang berbuat begitu. Termasuk yang dikatakan mengamalkan pembunuhan anak-anak adalah puak Rabi’ dan Mudhar. Amat bodoh sekali mereka kerana mereka merugikan diri mereka. Mereka rugi di dunia kerana mereka kekurangan anak – anak boleh membantu kerja-kerja dan sebagai penenang hati dan sebagainya; dan mereka akan rugi di akhirat kelak kerana mereka akan dihukum dengan amat teruk sekali.


Allah telah memberi kita dan mereka dengan berbagai-bagai rezeki, antaranya termasuklah makanan dan juga anak-anak. Tetapi mereka telah mengharamkan makanan yang boleh dimakan dan mereka juga telah membunuh anak-anak mereka. Itulah sebabnya mereka dikatakan amat rugi. Mereka rugi di dunia kerana tidak dapat menikmati rezeki itu dan mereka akan rugi di akhirat kerana mereka akan dibalas di atas perbuatan mereka mereka-reka hukum yang baru.


Perbuatan mereka itu adalah mengadakan dusta terhadap Allah. Allah tak pernah haramkan makanan yang mereka haramkan tapi mereka yang memandai haramkan. Mereka sangka mereka buat perkara yang baik dan akan mendapat pahala, tapi rupanya nanti mereka akan dihukum kerana dosa mengamalkan benda baru yang Allah tak ajar pun.


Semua yang mereka lakukan itu adalah kerana kebodohan mereka. Ibn Abbas pernah berkata, jikalau kamu hendak tahu betapa bodohnya mereka di zaman Jahiliyah, maka bacalah perbuatan-perbuatan mereka di dalam surah al-An’am ini bermula daripada ayat 136 dan seterusnya. Nantinya kita boleh nampak bagaimana bodohnya perkara-perkara yang mereka lakukan.


Akhirnya Allah menyatakan bahwa mereka telah tersesat dan tidak ada harapan bagi mereka untk mendapat pimpinan dari petunjuk ke jalan yang hak lagi benar. ayat ini mengisyaratkan bahwa orang yang tersesat jalan, kalau dia surut semula ke pangkal jalan, adalah besar harapan baginya akan terpandu semula ke jalan benar. Tetapi kalau degil dan terus saja dalam kesesatannya, mustahil dia akan terpandu ke jalan yang benar lagi selamat.


Surah Al An’am Ayat 141


Dan Dia lah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar; dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya; dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya; dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.


Allah menceritakan kepada kita nikmat-nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Dengan kita mengetahui segala nikmat-nikmat itu, maka ianya akan membuatkan kita lebih mengenali Allah dan lebih menghargai Allah. Dalam masa yang sama, Allah menceritakan tentang alam ini kepada kita. Dunia ini telah dijadikan dengan berbagai-bagai keindahan yang perlu kita amati dan kita perlu hargai kerana ianya telah diberikan kepada kita oleh Allah.


Dalam ayat ini Allah ceritakan tentang tumbuh-tumbuhan yang telah Allah ciptakan untuk kita. Dia lah yang telah menjadikan kebun-kebun dan menyebabkan kebun-kebun itu hidup subur dan berkembang biak. Kita sangka kita yang tanam pokok tu, tapi Allah beritahu yang Dia yang jadikan kebun-kebun itu. Kerana segalanya dari Allah. Tanah dari Allah, benih dari Allah dan cara tanam pun Allah yang ajarkan.


Maka, Allah lah yang menumbuhkan dan menyuburkan tanaman. Dan tanaman itu telah berkembang biak itu sedikit demi sedikit. Sebab kalau dengan tumbuhan, tidaklah kita tanam hari ini, esok dah jadi banyak. Ianya akan mengambil masa. Itu semua dalam perancangan Allah.


Antara tanaman yang Allah jadikan ialah ada yang tumbuh tinggi di atas tanah bersusun-susun seperti pokok kelapa, durian, sehingga tidak dapat melihat tanah lagi. Ada juga yang Allah jadikan tanaman yang menjalar seperti anggur, labu dan sebagainya. Samada ia berikan para atau junjung untuk ia menjalar dan bergayut dengannya, ataupun ia menjalar di atas tanah seeprtimana buah tembikai.


Kata Ibnu Abbas, yang dimaksudkan dengan perkataan ‘perkebunan-perkebunan yang berjunjung’ dalam ayat ini iaiatu tanam-tanaman yang merayap menutupi bumi, seperti anggur, labu, dan seumpamanya. dan yang dimaksudkan ‘yang tidak berjunjung’ ialah tanam-tanaman yang berpohon tidak menjalar, seperti pohon kurma dan pohon buah-buahan lain.


Buah-buahan dan biji-bijian yang dikeluarkan oleh tanaman itu ada berbagai bagai jenis dari segi warna, rasa, rupa dan sebagainya. Begitu banyak sekali jenis-jenis tanaman, sampaikan kadang-kadang kita tidak tahu apakah jenis biji-bijian dan buah-buahan yang ada di supermarket apabila kita pergi membeli belah. Ada yang kita tahu, tapi ada juga yang kita macam tak pernah tengok pun. Kita pun tidak tahu di mana ianya ditanam, dari negeri manakah ia datang dan bagaimanakah cara untuk memakannya.


Cara tanam tanaman itu dimakan juga berbeza-beza. Ada yang kena kupas kulitnya dahulu sebelum dimakan dan ada yang boleh dimakan dengan kulit-kulitnya sekali. Ada yang dimakan terus dan ada yang kena masak dahulu baru boleh dimakan. Ada pula hasil tanaman yang boleh dibuat sup dan ada pula tumbuhan yang dimakan begitu sahaja. Ada juga yang perlu dihancurkan untuk dimakan dan ada juga yang dijadikan dalam bentuk roti. Berbagai-bagai cara memakannya. Begitulah Allah telah berikan pilihan kepada kita sebagai nikmat untuk kita. Maka, makanlah dengan apa cara yang sesuai. Janganlah pula kita haramkan memakan sesuatu tanaman yang Allah telah berikan sebagai rezeki untuk kita.


Dalam ayat ini diceritakan tentang pokok tamar atau kurma. Dari pokok kurma saja kita boleh dapat berbagai manfaat darinya. Kita boleh makan buah kurma secara segar. Tak payah masak. Cuma petik saja dan terus boleh makan. di samping itu kita juga boleh makan buah kurma yang telah  dikeringkan terlebih dahulu. Ini adalah supaya ianya dapat disimpan dalam waktu yang lama. Supaya ianya dapat dibawa ke mana-mana dalam perjalanan dan tidak perlu dimasak lagi seperti makanan lain. Biji kurma pula dapat dijadikan makanan unta, batangnya, daunnya, pelepahnya dan seratnya dapat diambil manfaatnya. Kalau dibandingkan dengan pohon-pohon di negara kita, samalah pohon kurma itu dengan pohon kelapa.


Setelah itu Allah ceritakan pula tentang pohon zaitun dan delima. Pohon zaitun dan delima ini adalah buah-buahan yang nampak sama sahaja jenisnya, tetapi tidak sama dari segi sifatnya. Nampak sahaja sama. Daun pokok zaitun dan delima itu hampir serupa, tetapi buahnya berlainan rasa. Dalam erti kata lain, memang ada banyak jenis lagi tanaman yang nampak ada persamaan tapi berbeza.


Ada buah yang memang sama jenis, tetapi ada yang warna berlainan dan ada yang rasa berlainan. Sebagai contoh, buah epal ada banyak jenis Allah keluarkan untuk kita. Begitulah juga, Allah boleh jadikan dua biji dari buah yang sama tetapi tidak sama dari segi sifatnya. Mungkin ada persamaan dari segi saiz dan dari warna buah itu tetapi rasa tidak sama. Ada yang buah yang rasa manis tapi ada yang masam. Macam kalau kita makan durian, ada yang rasa lain dan ada yang rasa sama walaupun dari pokok yang sama pun.


Lalu Allah mengajar kepada kita hukum untuk memakan buah-buahan dari tanam-tanaman yang Allah telah jadikan untuk kita. Secara dasarnya, semua buah-buahan dan semua biji-bijian boleh dimakan oleh kita. Kecuali jikalau buah-buahan ataupun biji-bijian itu tidak boleh dimakan kerana akan memberi kesan tidak baik kepada kita – sebagai contoh, kita boleh terkena racun dan sebagainya. Kalau dalam keadaan itu, ia telah menjadi haram untuk dimakan.
Ada juga yang asalnya halal, tapi boleh jadi haram kalau disalahgunakan. Sebagai contoh, buah anggur itu halal dimakan tetapi apabila ia dijadikan arak maka ia sudah menjadi haram. Begitu juga barli boleh dimakan tetapi kalau diproses menjadi tuak kita tidak boleh minum kerana akan memabukkan.


“..dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya;”
Selalunya zakat dikeluarkan apabila telah cukup tempoh setahun. Tetapi zakat tanam-tanaman dikeluarkan apabila selesai menuai. Masa menuai adalah masa yang sesuai untuk menuai hasil tanaman itu, tidak terlalu awal kerana buah masih muda dan tidak terlalu lewat kerana buah sudah terlalu masak dan mungkin sudah busuk. Jadi zakat itu wajib dikeluarkan sebanyak satu persepuluh daripada hasil tanaman itu atau separuh daripadanya. Perbezaan ini perlu dipelajari dalam hukum fekah.


Ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil untuk mengatakan yang zakat pertanian hendaklah dikeluarkan pada hari yang sama tanaman itu dituai. Tetapi ada juga Ulamak yang mengatakan tidak semestinya dikeluarkan pada hari menuai itu tetapi boleh dilakukan kemudian. Seeloknya zakat itu dikeluarkan pada hari yang sama kerana apabila tanaman telah berbuah, maka mereka yang layak mendapat zakat itu mungkin telah melihatnya dan mereka telah mengharap untuk mendapatkannya pada hari itu juga. Kalau kita melengah-lengahkan mengeluarkan zakat pada hari itu, ditakuti barakah berzakat itu akan berkurangan.


Ibnu Abbas dan Qatadah mengatakan : ‘bahwa ayat ini telah diturunkan di Madinah mengenai hukum zakat dan merupakan ayat yang Muhkamah, iaitu ayat yang jelas maksudnya dan hukumnya. Setengah ulamak mengatakan bahawa ayat ini diturunkan di Makkah. Jika demikian, bererti ia adalah ayat yang Mansukhah kerana hukumnya telah dibatalkan oleh yang diturunkan di Madinah mengenai hukum zakat. dalam hubungan ini Ibnu Abbas juga aga mengatakan bahwa ayat yang mengenai hukum zakat adalah membatalkan semua hukum sedekah wajib yang disebutkan di dalam AlQuran.


Di akhir ayat ini Allah menyuruh hambaNya supaya memakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah ini dengan berpada-pada, jangan lokek dan jangan pula sampai melampaui batas. Umpamanya makan sehingga terlampau kenyang, boros, membazir sehingga tidak kehabisan lalu dibuang dan sebagainya. Kerana perbuatan itu sangat dibenci oleh Allah. Orang-orang yang melakukannya dikira sebagai kawan-kawan syaitan yang akan menjadi penduduk neraka.


Dalam ayat ini ada tiga arahan Allah kepada kita:
Pertama, makanlah dari hasil tanam-tanaman itu. Janganlah kita kononnya zuhud sangat sampaikan apabila ada makanan yang sedap, kita tidak memakannya. Ada mereka yang kononnya zuhud sangat, sampaikan tidak boleh memakan makanan yang sedap-sedap – kononnya kerana itu nikmat dunia dan nanti takut akan terlalu sangat dunia. Tiada siapa yang ajar begitu melainkan mereka yang sesat sahaja. Ingatlah bahawa segala makanan yang Allah telah berikan kepada kita ini adalah sebagai nikmat yang diberikan kepada kita. Allah dah suruh kita makan makanan itu, bermakna kalau kita makan, itupun adalah satu ibadah juga kepada diri kita.


Lihatlah bagaimana memakan hasil tanaman pun adalah satu ibadah kerana itu adalah arahan dari Allah. Bila kita mengikut arahan Allah maka ianya adalah satu ibadah. Allah mahu kita menikmati nikmat yang diberikanNya, maka itulah sebabnya Allah telah menjadikan berbagai-bagai jenis tanaman dan buah-buahan dan biji-bijian untuk kita. Allah pun tidak mengharamkan mana-mana buah-buahan atau biji-bijian. Semuanya kita boleh makan. Apabila kita menggunakan nikmat yang Allah berikan kepada kita, itu adalah satu perbuatan bersyukur sebenarnya.


Kedua, tunaikanlah zakat apabila sampai masanya, atau keluarkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.


Ketiga, jangan berlebih-lebihan dalam segala hal dan perkara.

Surah Al An’am Ayat 142


Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. Makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”


Dalam masyarakat Arab, mereka yang mempunyai binatang ternak adalah mereka yang dikira mendapat kenikmatan. Kerana mereka ada binatang yang boleh diminum susunya dan boleh diguna sebagai pengangkutan dan pengangkat barang. Dan apabila diperlukan, mereka boleh menyembelih binatang ternak itu. Selepas disembilah dan dimakan dagingnya, kulit binatang itu pula boleh digunakan. Lihatlah bagaimana banyaknya kegunaan binatang ternak itu kepada manusia.


Salah satu sifat binatang ternak itu yang ditetapkan di dalam ayat ini adalah kegunaan binatang itu untuk mengangkut barang muatan yang berat. Ini adalah binatang-binatang yang mempunyai empat kaki yang boleh digunakan untuk mengangkat muatan.


Zaman sekarang, mungkin kita tidak terasa sangat kerana kita pakai kereta sekarang. Tapi lihatlah bagaimana ada lagi di negara-negara lain yang masih lagi menggunakan binatang itu sebagai alat pengangkutan dan tunggangan.


Allah ada juga menjadikan binatang-binatang yang lebih kecil dari binatang yang boleh digunakan sebagai tunggangan. Binatang jenis ini tidak boleh digunakan untuk tunggangan dan mengangkat muatan berat kerana badan mereka lebih kecil. Tetapi hasil yang boleh diambil dari mereka adalah susu yang dikeluarkan dan mereka boleh disembelih untuk dimakan dagingnya.


Binatang ternak ini termasuk binatang ternak yang kecil seperti ayam, itik, angsa, dan sebagainya iaitu ia digunakan sebagai makanan dan tidak boleh untuk ditunggang. Kita memang ternak untuk disembelih sebagai makanan. Allah menceritakan kepada kita bagaimana Dia telah memberikan segala nikmat kepada kita dalam ayat ini. Berbagai-bagai kegunaan diberikan kepada kita.


Ayat ini mengandungi hukum kebenaran memakan binatang-binatang ternak. Walaupun ada binatang-binatang itu selalunya digunakan untuk ditunggangi ataupun digunakan untuk mengangkat muatan. Contohnya ialah seperti unta dan kuda. Oleh itu, kita boleh memakan kuda walaupun kuda itu selalunya digunakan untuk tunggangan. Tetapi kita tidak boleh makan keldai kerana ada hadis Nabi yang mengharamkannya. Begitupun keldai yang diharamkan adalah Keldai jinak yang dibela. Jikalau keldai itu jenis liar, ia masih boleh dimakan lagi. Oleh itu, kita boleh memakan Zebra kerana ianya seperti keldai yang liar.


Allah telah mencipta binatang-binatang itu sebagai rezeki untuk kita makan, maka hendaklah kita memakannya dan janganlah kita mengharamkan apa yang Allah telah halalkan kepada kita.
“...dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
Ikut langkah syaitan bermaksud: mengharamkan apa yang Allah telah halalkan. Daripada hasutan syaitanlah yang menyebabkan musyrikin Mekah mengharamkan sesetengah makanan, mengharamkan binatang digunakan untuk tunggangan, dan sebagainya.


Sentiasalah ingat bahawa Syaitan adalah musuh bagi kita. Seorang musuh tidak akan suka jikalau musuhnya mendapat sesuatu kebaikan. Kerana itulah syaitan tidak suka kita menikmati nikmat-nikmat yang telah Allah berikan kepada kita.
Kadang-kadang musuh itu tidak menentang kita dengan nyata. Apatahlagi dengan syaitan yang sudahlah kita tidak nampak, dan dalam masa yang sama dia menghasut kita secara senyap. Dia membisikkan ajaran-ajaran sesat ke dalam hati kita tanpa kita mengetahuinya.


Kadang-kadang musuh kita tidak memberitahu yang mereka memusuhi kita. Tetapi lihatlah bagaimana Iblis telah berjanji dan mengaku untuk memusuhi dan menjatuhkan kita dari dahulu lagi. Itulah maksudnya syaitan adalah ‘musuh yang nyata’ bagi kita. Kerana mereka telah menyatakan permusuhan mereka terhadap kita. Mereka tidak pernah lupa kepada kita, tapi kita yang selalu lupa kepada mereka. Oleh kerana lupa, kita tidak berhati-hati.


Ayat ini lebih kurang sama seperti ayat di dalam surah Al-Baqarah apabila Allah memperkatakan tentang makanan. Syaitan memang akan mengganggu manusia di dalam hal pemakanan. Mereka akan suruh kita makan benda yang haram dan mengharamkan memakan benda yang halal. Mereka juga akan menghasut kita untuk mendapatkan rezeki dari jalan-jalan yang haram. Dan ingatlah bagaimana Iblis memulakan karear menyesatkan manusia ini dengan menghasut Nabi Adam untuk memakan pokok yang terlarang. Dari situ sampai sekarang dan sampailah hari kiamat nanti, Iblis dan syaitan tidak akan berhenti menghasut manusia di dalam hal pemakanan.







Surah Al An’am Ayat 143


(Binatang ternak itu) delapan ekor - (empat) pasangan; dari kambing biri-biri dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari kambing biasa dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): "Adakah yang diharamkan Allah itu, dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Terangkanlah kepadaku dengan berdasarkan ilmu pengetahuan (Syarak dari Allah yang menjadi dalil tentang haramnya), jika betul kamu orang-orang yang benar".


Allah memberitahu bahawa binatang-binatang ternak tersebut ada lapan pasangan. Iaitu Allah menjadikan daripada jenis biri-biri dua pasangan, seekor jantan dan seekor betina. Biri-biri jantan disebut dalam bahasa Arab sebagai ‘kabsy’ dan biri-biri betina disebut ‘na’jah’. Daripada jenis kambing dijadikan dua pasangan pula, seekor jantan dan seekor betina. Kambing jantan disebut dalam bahasa Arab ‘tais’. dan kambing betina disebut sebgai ‘anz’. Kegunaan keempat-empat pasangan binatang ternak ini iaitu kabsy, tais, na’jah dan anz ialah untuk disembelih untuk dimakan dagingnya.


Allah menyuruh RasulNya Muhammad saw supaya bertanya kepada orang-orang musyrik yang masih berpegang dengan adat jahiliah itu, adakah Allah pernah mengharamkan binatang-binatang tersebut? Bacaan perkataan آلذَّكَرَيْنِ itu dalam tajwid adalah pembacaan yang berlainan dari biasa. Sila dengar bacaan qari dari audio. Ianya dipanjangkan kerana menekankan soalan itu. Kerana bentuk soalan itu menunjukkan kemarahan Allah. Allah amat mencela perbuatan mereka yang masih lagi nak mengharamkan memakan binatang-binatang ternak ini. Musyrikin Mekah memang saja memandai-memandai meletakkan perbezaan itu sedangkan Allah tak pernah bezakan. Dua-dua jantan atau betina boleh dimakan. Yang mengharamkan itu hanyalah adalah ajaran dari syaitan supaya mereka jadi sesat.


Allah menyuruh Nabi saw bertanya kepada mereka kenapa pula Allah nak meletakkan pengharaman kepada memakan yang betina? Sedangkan sama sahaja yang jangan dan betina itu. Atau adakah Allah pernah mengharamkan apa yang ada dalam perut binatang yang betina itu. Dalam ayat 139, telah diberitakan bagaimana mereka mengharamkan apa yang ada dalam perut binatang yang betina. Iaitu mereka mengharamkan kandungan binatang itu dari dimakan oleh perempuan. Inilah asal diskriminasi perempuan. Ini adalah soalan-soalan dari Allah untuk menunjukkan bahawa apa yang mereka haramkan tidak masuk akal.
Allah menyuruh Nabi Muhammad saw mencabar mereka, dengan menanyakan kepada mereka betulkah Allah ada mengharamkan mereka memakan binatang-binatang tersebut? kalau betul, kemukakanlah dan terangkanlah dengan sebenar-benarnya berdasarkan dalil dan bukti-bukti ilmu pengetahuan tentang pengharaman tersebut seandainya dakwaan itu benar.


Surah Al An’am Ayat 144


Dan dari unta dua ekor (sepasang jantan betina), dan dari lembu dua ekor (sepasang jantan betina). Tanyalah (wahai Muhammad): "Adakah yang diharamkan Allah itu dua jantannya atau dua betinanya, atau yang dikandung oleh rahim dua betinanya? Ataupun kamu ada menyaksikan ketika Allah menyuruh serta menentukan kepada kamu (atau kepada datuk nenek kamu) dengan yang demikian ini?" Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. “


Ayat ini pula Allah terangkan pula yang Allah jadikan jenis unta dua pasangan, seekor jantan dan seekor betina. Unta jantan disebut sebagai ‘jamal’ dan unta betina sebagai ‘naqoh’. Dan jenis lembu dijadikan dua pasangan pula, jantan dipanggil ‘thaur’ dan betina dipanggil ‘baqarah’. Kegunaan keempat-empat binatang ternak ini ialah untuk pengangkutan dan juga disembelih untuk dimakan dagingnya.


Huraian ayat ini adalah sama seperti huraian ayat 143 sebelum ini yang merupakan celaan Allah kepada orang-orang Jahiliyah yang telah mengharamkan perkara yang tidak diharamkanNya. Orang-orang jahiliyah dahulu mengatakan bahawa “inilah binatang ternak dan sawah ladang larangan”. Mereka juga mengatakan bahawa apa yang dikandung di dalam perut binatang-binatang ternak ini adalah khusu untuk kaum lelaki sahaja dan terlarang untuk kaum perempuan iaitu isteri-isteri dan anak perempuan mereka. Mereka telah mengharamkan binatang-binatang ternak seperti bahirah, saibah, wasilah dan ham. Sebahagian binatang-binatang tersebut mereka haramkan untuk dimakan oleh orang lelaki dan orang perempuan dan setengahnya mereka haramkan untuk dimakan oleh orang-orang perempuan sahaja.


Mereka telah mengharamkan sebahagian dari binatang yang dihalalkan oleh Allah untuk memakannya dengan alasan-alasan yang tidak benar dan dengan cara berbohong terhadap Allah. Maka untuk membatalkan alasan mereka dan membongkar kebohongan mereka, Allah telah mengajukan pertanyaan-pertanyaan tersebut.


Kalau mereka mengharamkan binatang ternak  yang jantan saja di antara empat jenis binatang tersebut tentulah semua binatang jantan dari biri-biri, kambing, unta dan sapi adalah haram memakannya. Kalau yang mereka haramkan itu adalah binatang ternak betina saja tentulah semua yang betina dari keempat jenis binatang itu haram untuk memakannya. Dan kalaulah binatang ternak betina yang diharamkan, sudah tentulah apa-apa juga iaitu anak yang dikandung oleh bintang ternak betina itu juga turut menjadi haram untuk dimakan. Kalaulah anak yang dikandung itu haram untuk dimakan dari keempat-empat binatang ternak itu, lalu apa lagi yang tinggal yang dibolehkan untuk memakannya?  Sebab semua binatang yang akan lahir di kemudian hari itu adalah lahir dari anak binatang diharamkan mereka untuk memakannya. Bukankah itu mustahil? Jadi tak adalah satu pun binatang ternak yang halal untuk dimakan.


Ringkasnya dalam ayat ini diterangkan dan ditegaskan oleh Allah bahawa TIDAK ADA satu pun di antara empat jenis binatang itu adalah yang diharamkan oleh Allah memakannya. Maka ketahuilah bahwa masalah mengharamkan sebahagian dari binatang itu hanya diada-adakan oleh kaum musyrikin saja.


Kemudian dengan kata-kata yang lebih tajam lagi Allah memerintahkan kepada Rasul-Nya supaya mengajukan pertanyaan kepada mereka yaitu: Apakah kamu telah menyaksikan sendiri bahawa Dia memerintahkan kepadamu untuk mengharamkan binatang itu? Kamu nampak dengan mata kepala kamu sendiri kah yang Allah telah mengharamkan kepada kamu tentang pengharaman binatang-binatang itu?


Pasti mereka tidak akan dapat menjawab pertanyaan ini kerana mereka mengharamkan sebahagian dari binatang itu hanyalah kerana mereka telah terikut-ikut dengan syaitan-syaitan dan pemimpin-pemimpin mereka atau kerana mereka mendapati bapa-bapa dan nenek moyang mereka mengharamkannya sebagaimana tersebut dalam firman Allah:
“Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata: "Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu dan Allah menyuruh kami mengerjakannya." Katakanlah: "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji."
(Q.S Al A'raf: 28)


Mengapa kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?
Setelah terbukti bahawa mereka tak dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan itu dan tidak dapat mengemukakan bukti-bukti yang nyata untuk membenarkan sikap dan perbuatan mereka dan ternyata baahwa mereka hanya membuat-buat saja ketetapan-ketetapan untuk menghalalkan dan mengharamkan sesuatu, bahkan mereka telah berdusta terhadap Allah dengan mengatakan bahwa ketetapan-ketetapan itu adalah dari Allah, maka Allah menegaskan bahawa mereka adalah kaum yang zalim dan berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dari jalan yang benar.


Kerana dari kesalahan mereka dengan sengaja berbuat kesesatan dan menyesatkan manusia, maka Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka dan nanti di akhirat mereka akan menerima balasan yang setimpal berupa siksaan yang amat pedih dalam neraka jahanam.


Surah Al An’am Ayat 145


Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Pada ayat ini Allah memerintahkan kepada Rasulullah Muhammad saw. supaya mengatakan kepada kaum musyrikin yang telah mengada-adakan peraturan sendiri dan telah berdusta terhadap Allah, dengan mengatakan kepada manusia-manusia itu  bahawa Nabi saw tidak menemukan dalam wahyu yang diwahyukan kepadanya sesuatu yang diharamkan oleh Allah memakannya kecuali empat cara saja, yaitu:
1. Bangkai iaitu binatang yang mati dengan tidak disembelih sesuai dengan peraturan syariat, di antaranya binatang yang mati sendirinya, binatang yang mati kerana tercekik, terpukul, terjatuh, dan lain-lain sebagainya.
2. Darah yang mengalir atau yang keluar dari tubuh binatang yang disembelih atau kerana luka, dan sebagainya. Tidak termasuk darah yang tidak mengalir seperti hati dan limpa. Ketentuan ini ada disebutkan dalam sebuah hadis:
“Dihalalkan untuk kami dua macam bangkai, yaitu bangkai ikan dan bangkai belalang, dan dihalalkan pula dua macam darah yaitu hati dan limpa.
(H.R Hakim dari Ibnu Umar)


3. Daging babi. Ia meliputi semua anggota tubuh badannya.
4. Binatang yang disembelih dengan tidak menyebut nama Allah, seperti disembelih dengan menyebut nama berhala atau sesembahan lainnya selain Allah.


Namun demikian,  barang siapa yang terpaksa memakan makanan tersebut kerana sangat lapar dan tidak ada makanan yang lain sedang dia tidak menginginkannya dan tidak pula melampaui batas ia boleh memakannya sekadar untuk menghilangkan laparnya dan memelihara dirinya dari bahaya kematian.


Selain dari makanan yang diharamkan di atas, di dalam hadis-hadis banyak terdapat berbagai binatang yang dilarang memakannya, seperti yang terdapat dalam hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Abu Syaibah dan Bukhari dari Ibnu Umar bahwa beliau berkata:
“Nabi saw. melarang memakan makanan daging keledai peliharaan pada peperangan Khaibar.”
(H.R Ibnu Abi Syaibah dan Bukhari dari Ibnu Umar)


Dan juga ada disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Salabah Al-Khasyani:
“Rasulullah saw. melarang memakan semua binatang yang bertaring dan semua burung yang bercakar.”
(H.R Bukhari dan Muslim)


Menurut pendapat Jumhur Ulama memakan makanan yang dilarang oleh Rasul itu adalah haram hukumnya. Adapun pendapat mereka juga mengatakan bahwa pengharaman ini tidak terbatas hanya pada empat perkara yang nasnya tersebut di dalam ayat ini saja, bahkan ada nas yang tersebut dalam hadis-hadis yang mengharamkan banyak perkara, seperti pengharaman  memakan binatang-binatang buas dan bertaring dan burung-burung yang berkuku kuat.


Perlu diingat, bahawa hukum-hukum yang terkandung di dalam ayat ini telah pun diterdahulu diterangkan huraiannya dengan lebih terperinci pada ayat 3 surah Al Maidah di mana diterangkan jenis-jenis makanan yang diharamkan oleh Allah, dan hukum orang yang terpaksa memakannya. Begitu juga pada ayat 173 surah Al Baqarah juga ada diterangkan hukum-hukum seperti itu. Sisters semua bolehlah rujuk semula untuk penjelasan lanjut ye.


Surah Al An’am Ayat 146


Dan Kami haramkan atas orang-orang Yahudi segala binatang yang berkuku, dan dari lembu dan kambing pula Kami haramkan kepada mereka lemaknya, kecuali (lemak) yang ada pada belakangnya atau yang menyelaputi perkakas dalam perutnya, atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami balas mereka dengan sebab kederhakaan mereka; dan sesungguhnya Kamilah yang benar.


Pada ayat ini Allah menerangkan pula makanan yang diharamkan bagi kaum Yahudi saja, yaitu semua binatang yang tidak berkuku. Maksudnya binatang-binatang yang jarinya tidak pernah terpisah antara yang satu dengan yang lain, seperti unta, itik, angsa, dan lain-lain sebagainya.
Dan diharamkan pula bagi mereka lemak sapi dan lemak kambing, kecuali yang melekat di punggung atau di perut besar dan usus atau lemak yang bercampur dengan tulang.


Semua makanan yang tersebut di atas diharamkan bagi kaum Yahudi saja disebabkan oleh  hukuman kederhakaan mereka. Ianya bukanlah kerana makanan itu haram zatnya seperti haramnya babi dan bangkai. Yang mengharamkan makanan itu bagi mereka bukan syariat Nabi Muhammad, tetapi semua itu adalah haram menurut syariat mereka. Nabi hanya menceritakannya dengan perantaraan wahyu dari Allah (Al-Quran).


Dengan demikian nyatalah bahwa Al-Quran itu bukanlah karya Muhammad saw. tetapi adalah wahyu dari Allah yang disampaikan kepada baginda. Sebab Nabi Muhammad saw sendiri tidak akan dapat mengetahui semua perkara yang berlaku sebelum zaman kelahirannya  kerana dia tak tahu membaca dan menulis, sedangkan kaum musyrikin Mekah tidak mengetahui pula hal yang demikian.


Kemudian Allah menekankan bahwa diharamkannya makanan-makanan itu bagi kaum Yahudi saja adalah sebagai hukuman atas kederhakaan mereka dan menegaskan bahawa Dia, Allah,  adalah Maha Benar dalam segala menyampaikan berita dan tindakan-Nya.

Surah Al An’am Ayat 147


Kemudian jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad) maka katakanlah: "Tuhan kamu mempunyai rahmat yang luas melimpah-ruah, dan azab seksaNya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa".


Musyrikin Mekah masih mendustakan Nabi setelah diberi dalil dan hujah-hujah yang bernas, mereka masih lagi berdegil. Maka, ayat ini adalah sebagai satu penenang kepada Nabi Muhammad yang terpaksa menghadapi mereka yang masih berdegil itu. Tentunya Nabi Muhammad rasa resah dan gelisah dengan kedegilan kaumnya itu. Allah memberitahu Nabi bahawa Allah tahu apa yang Nabi sedang hadapi itu.


Allah menyuruh Nabi katakan kepada mereka yang masih lagi mahu menolak itu: kenapa kamu masih nak engkar dengan Allah, padahal rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu. Antara rahmat Allah adalah melambat-lambatkan azab kepada kita semasa di dunia ini. Allah tak terus beri azab kepada kita. Allah beri peluang kepada kita untuk bertaubat. Hanya selepas mati sahaja Allah akan beri hukuman dan azab.


Bayangkan berapa rahmatNya sifat Allah. Kalau kita, anak kita buat salah kita dah marah. Tapi Allah walaupun yang mencipta kita, memberikan segalanya kepada kita, tapi apabila kita engkar kepadaNya, Allah masih beri peluang lagi kepada kita.


Setelah Allah memberikan rahmat yang banyak tidak terhingga itu, kenapa lagi masih nak menolak wahyuNya? Ini seperti seorang ayah yang mengingatkan anaknya dengan segala budi yang telah ditabur kepada anaknya. Kalau sudah banyak ayah itu berbudi, kenapa tak mahu dengar cakap lagi?


Juga Allah mengingatkan yang Allah ada banyak lagi rahmah yang boleh dilimpahkan kepada mereka yang mahu beriman. Rahmah itu boleh diberi di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Ini adalah sebagai  memberi peringatan tentang rahmat yang Allah telah berikan. Sebagai satu motivasi untuk mengikut cakap.


Tapi, selain dari memberi motivasi, Allah juga memberi peringatan dengan seksa yang menakutkan. Kalau engkar, seksa Allah tidak dapat ditolak. Ini diberikan kerana ada manusia yang lebih takut dengan ancaman daripada motivasi dengan perkara yang mereka akan dapat. Seksa yang Allah akan kenakan tidak akan dapat ditolak. Apabila seorang manusia telah mati dan dia diseksa di dalam kubur, dan kemudian di dalam neraka, dia tidak akan dapat menyelamatkan dirinya. Maknanya, dia akan diseksa dari sejak dia mati lagi dan tidak akan berhenti-henti.








Surah Al An’am Ayat 148


Orang-orang musyrik akan mengatakan: "Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain), dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun". Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata, dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta".


Allah menceritakan dalam ayat ini, tentang perkara-perkara ghaib yang akan berlaku. Maksudnya yang belum berlaku di ketika ayat itu diturunkan. Apa yang akan berlaku? Iaitu kata-kata yang akan diucapkan oleh kaum Musyrikin kepada Nabi Muhammad saw. Mereka tak cakap lagi, tapi Allah dah siap-siap beritahu apa yang mereka akan katakan. Kerana Allah dah tahu apa yang dalam hati mereka.


Mereka kata, kalau Allah tak suka dengan apa yang mereka lakukan, tentulah mereka tidak akan dibiarkan untuk menyekutukan Allah dengan benda dan berhala lain. Mestilah Allah tak akan benarkan mereka buat apa yang mereka buat. Maknanya, mereka nak kata apa yang mereka buat itu tidaklah salah. Mereka kata, kalau Allah biarkan saja mereka buat perkara syirik itu dan buat macam tak tahu sahaja dengan apa yang mereka lakukan, tentulah benar apa yang mereka buat. Dan itu bermakna Allah telah membenarkan apa yang mereka lakukan selama ini.


Dan kalau Allah menghendaki, tentulah mereka tidak akan mengharamkan sebahagian binatang. Mereka kata bahawa semua tindak-tanduk dan tingkah-laku mereka itu adalah kehendak dari Allah menurut anggapan mereka dan oleh kerana itulah mereka dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah.  Mereka mendakwa bahwa Allah lah yang menghendaki agar mereka mengharamkan saibah dan bahirah dan Allah telah meredhai ketetapan-ketetapan yang mereka tetapkan itu. Hal seperti ini tersebut pula dalam firman Allah:
“Dan berkatalah orang-orang musyrik: "Jika Allah menghendaki, pastinya kami tidak akan menyembah sesuatu apa pun selain Dia, baik kami mahupun nenek moyang kami, dan tidak pula kami mengharamkan sesuatu pun tanpa (izin)-Nya. Demikianlah yang diperbuat orang-orang sebelum mereka, maka tidak ada kewajiban atas para rasul selain dari menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.”
(Q.S An Nahl: 35)


“...Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami?”
Allah menyuruh Nabi Muhammad saw katakan kepada kaum musyrikin itu, supaya mereka mengemukakan bukti dan keterangan yang dapat diterima akal dan menepati syariat Allah atas semua kebenaran kata-kata dan dakwaan mereka itu kalau betul mereka orang yang benar. Walaupun ayat ini berupa pertanyaan, tetapi sebenarnya Allah telah mencela kaum musyrikin Mekah itu sebenarnya.


Dan Allah terus menjelaskan juga di dalam ayat ini bahwa sebenarnya memang tidak ada bukti pun akan apa yang mereka dakwakan itu. Bahkan apa yang mereka ikut dan menjadi pegangan mereka selama ini hanyalah persangkaan belaka yang berlandaskan kahyalan, bayangan dan angan-angan kosong. Fairy Tale yang mengarutlah ibaratnya. Dan sesungguhnya mereka itu semua adalah pembohong yang besar.

Surah Al An’am Ayat 149


Katakanlah (wahai Muhammad: "Kalau kamu sudah tidak ada sesuatu bukti) maka Allah mempunyai bukti yang tegas nyata. Oleh itu, jika Ia menghendaki tentulah Ia akan memberi hidayah petunjuk kepada kamu semuanya".


Allah menyuruh rasulNya Muhammad mengatakan kepada orang-orang musyrikin,  sekiranya mereka tidak sanggup mengemukakan alasan dan bukti, maka Allah mempunyai alasan yang tepat dan bukti yang cukup lagi lengkap yang dapat menghilangkan segala keraguan, iaitu adanya kitab-kitab yang diturunkanNya dan rasul-rasul yang diutusNya.


Dan kalau Allah mahu, nescaya dipimpinNya mereka semua. Iaitu kalau Dia mahu memberikan kepimpinanNya, nescaya diperkenankanNya mereka semua memperoleh pimpinan dan menjadi orang-orang beriman. Tapi sayang, Allah tidak mahu berbuat demikian.


Ayat ini menjadi dalil bahwa Allah swt tidak menghendaki orang-orang kafir itu beriman. Dan kalau Dia mahu, nescaya dimpimpinNya agar mereka beriman. Mengapa begitu? Pertanyaan begini tidak usahlah dikemukakan. Kita sebagai hamba, tidak berhak dan tidak layak untuk mengutarakan pertanyaan mengapa kepada Allah, tuan punya sekalian alam.  Kerana Allah telah ada menyatakan pada ayat 23 surah Al Anbiya yang bermaksud:
“Allah tidak boleh ditanya apa yang dilakukanNya, sedang mereka (makhluk) itulah yang akan ditanya (tentang perbuatannya).”


Surah Al  An’am Ayat 150


Katakanlah: “Bawalah saksi-saksi kamu memberi keterangan bahawa Allah mengharamkan (benda-benda yang kamu haramkan) ini”. Kemudian jika mereka (tergamak) menjadi saksi (secara dusta), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka; dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (sesuatu yang lain) dengan Tuhan mereka.


Allah menyuruh Nabi Muhammad saw supaya memberitahu kaum musyrikin supaya mereka bawalah saksi-saksi mereka yang boleh memberi persaksian yang boleh menyokong dakwaan mereka itu. Allah suruh Nabi cabar mereka untuk bawa saksi. Itupun kalau ada, tapi yang sebenarnya, tidak ada langsung.  Allah suruh Nabi Muhammad cabar mereka sebab Allah tahu yang mereka memang tidak ada saksi yang sah. Kalau mereka ada saksi, maka bawakanlah saksi-saksi itu untuk mengatakan bahawa memang Allah pernah mengharamkan makanan itu dan ini kepada orang-orang tertentu.


Lalu Allah mengingatkan Nabi Muhammad saw, sekiranya mereka itu tak punya saksi dan tidak dapat memberikan persaksian mereka, janganlah pula Nabi saw sendiri yang mempercayai mereka. Maksudnya jangan menerima persaksian palsu mereka. Dan jangan pula mendiamkan diri dengan kedustaan mereka. Tetapi sebaliknya Nabi saw disuruh untuk menerangkan kedudukan sebenarnya kesalahan mereka itu. Kerana mendiamkan diri itu bermakna kita juga telah memberikan persaksian bersama mereka, maknanya kita juga membenarkan kata-kata dusta mereka. Bak kata orang tua-tua, diam ertinya setuju. Maka jangan berbuat demikian.


Allah mengingatkan juga kepada rasulNya, supaya jangan bersifat mengikut saja kemahuan hawa nafsu orang-orang yang seperti mereka itu. Iaitu orang-orang yang mendustakan keterangan Allah, orang yang tidak percaya dengan hari akhirat dan orang yang menyekutukan Allah. Nabi saw. diperintahkan supaya bersikap tegas terhadap kaum musyrikin itu bahkan terhadap semua orang yang menyeleweng dari jalan Allah. Berlemah lembut terhadap mereka serta mengadakan kompromi dengan mereka hanyalah akan membawa kepada kesesatan yang nyata sesuai dengan firman Allah:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini, niscaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).”
(Q.S Al An'am: 116)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.