Saturday, May 16, 2015

Surah Hud - Pengenalan

Pengenalan


Surah Hud ini mengandungi 123 ayat, diturunkan selepas turunnya surah Yunus, ayatnya semuanya diturunkan di Mekah. mengikut riwayat Ibnu Abbas, surah ini jenis Makkiah kecuali satu ayat sahaja iaitu ayat 114.


Dinamakan surah Hud kerana di dalam surah ini ada disebutkan kisah Nabi Hud as yang telah diutus oleh Allah kepada kaum Ad (ayat 50 hingga 60). Kandungannya juga berkisah di sekitar dasar agama Islam yang berdasarkan tauhid, kebangkitan para nabi, adanya hari kebangkitan, hisab (perkiraan amal seseorang) dan pembalasan akhirat.


Apa yang disampaikan dalam surah ini adalah amat berat bagi Nabi Muhammad, sampaikan rambut baginda telah beruban. Ini ada disebut dalam satu hadis riwayat Tirmidhi no. 3219:
“Telah menceritakan kepada kami Abu Kuraib telah menceritakan kepada kami Mu’awiyah bin Hisyam dari Syaiban dari Abu Ishaq dari ‘Ikrimah dari Ibnu Abbas, ia berkata; Abu Bakr radliallahu ‘anhu berkata; wahai Rasulullah, aku telah beruban. Beliau bersabda: “Aku telah dibuat beruban oleh Surat Hud, Al Waqi’ah, Al Mursalat, ‘Amma yatasaa aluun, serta idzasysyamsu kuwwirat.” Abu Isa berkata; hadits ini adalah hadits hasan gharib”.


Hadis ini memberitahu kepada kita, bagaimana antara surah yang menyebabkan baginda rasa berat untuk membawanya adalah Surah Hud ini. Kerana penekanan dan arahan yang diberikan di dalamnya amatlah berat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.