Thursday, May 14, 2015

Surah Yunus Ayat 101 Hingga Ayat 109

Surah Yunus ayat 101

Katakanlah (wahai Muhammad): “Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya.” ‘

Lihatlah keindahan alam ini dan bagaimana alam ini bergerak kerana taat kepada perintah Allah. Ianya akan meningkatkan takjub kita kepada Allah. Alam sebegini besar, tentunya ada yang menjadikannya dan menguruskannya. Mustahil semuanya bergerak sendiri. Mustahil juga ianya terjadi sendiri. Lihatlah juga bagaimana sempurnanya alam ini. Kalau makhluk pun sudah sempurna, apatah lagi Dzat yang menjadikannya, bukan?

Kalau alam yang sebegini besar pun taat kepada Allah kenapa kita tidak buat begitu juga? Sepertimana yang telah disebut dalam ayat sebelum ini, mereka yang tidak beriman tidak menggunakan akal mereka. Walaupun begitu banyak tanda dalam alam ini, mereka yang tidak beriman, masih juga tidak nampak tanda-tanda itu.

Mereka nampak tanda dalam alam itu, ayat-ayat Quran yang tepat dan indah, tapi mereka masih juga tidak mahu beriman. Mereka tidak beriman kerana mereka sendiri yang tidak mahu beriman.



Surah Yunus ayat 102

Maka orang-orang yang tersebut tidak menunggu melainkan (azab Allah) sebagaimana kejadian-kejadian yang berlaku kepada orang-orang yang ingkar yang terdahulu daripada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tunggulah, sesungguhnya aku juga bersama-sama kamu dari orang-orang yang menunggu”.

Tidaklah mereka itu menunggu-nunggu untuk beriman melainkan mereka menunggu-nunggu sesuatu. Apakah yang mereka tunggu itu? Apa yang mereka tunggu itu akan disebut dalam potongan ayat selepas ini.

Ayat ini juga boleh merujuk kepada mereka menunggu-nunggu untuk belajar. Apabila diajak belajar tafsir, ada sahaja alasan yang mereka akan berikan. Nak belajar bahasa Arab dululah, nak belajar feqah dululah, nak tunggu anak besar sikitlah, nak tunggu projek siap dululah, malah berbagai-bagai lagi. Mereka sangka mereka banyak masa untuk hidup. Padahal, tidak ada sesiapa pun yang tahu bilakah kita akan meninggalkan dunia ini untuk bertemu dengan Allah. Apakah alasan kita nanti kepada Allah apabila Allah tanya kenapa tak belajar kitabNya Quran?

Termasuk juga dalam hal ini, mereka yang menunggu-nunggu untuk bertaubat. Mereka macam tak kisah menanggung dosa. Mereka mungkin menunggu sampai dosa mereka dah banyak agaknya baru nak minta ampun sekali harung. Sekali lagi, tidak ada sesiapa yang tahu bilakah kita akan mati. Maka, jangan tunggu-tunggu untuk buat perkara yang baik.

Mereka menunggu bala diturunkan kepada mereka sama seperti yang diberikan kepada kaum kaum yang sebelum ini. Bila dah nampak bala itu baru mereka nak beriman.

Adakah apabila azab yang dijanjikan kepada mereka itu sudah benar-benar berada di depan mata mereka, baru mereka hendak beriman? Kalau azab itu sudah datang, maka tentunya mereka akan beriman bersungguh-sungguh waktu itu. Malangnya, iman mereka di waktu itu sudah tidak diterima lagi. Seperti yang telah disebut tentang iman Firaun yang hanya beriman apabila dia hampir mati. Kalau iman Firaun tidak diterima, tentulah iman mereka juga tidak akan diterima.

Katakan kepada mereka, kalau kamu nak tunggu juga sampai datang azab itu, maka kau tunggulah.Aku pun menunggu juga untuk melihat apakah balasan nasib diriku dan juga apa yang akan terjadi kepada kamu.

Ayat ini mengajar kita untuk jangan menunggu-nunggu lagi. Berimanlah dengan segera, bertaubatlah dengan segera, dan belajarlah agama dan tafsir Quran ini dengan segera.



Surah Yunus ayat 103

Kemudian Kami selamatkan Rasul Kami dan orang-orang yang beriman. Demikianlah, sebagai kewajipan Kami, Kami selamatkan orang-orang yang beriman (yang menurutmu).”

Kalau azab yang mereka tunggu itu benar-benar terjadi, maka Allah akan menyelamatkan para Rasul dan penyebar tauhid serta pengikut-pengikutnya. Orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan mengamalkan syirik akan dikenakan dengan azab dan bala itu. Maka, hendaklah kita beriman supaya kita pun terselamat juga.

Allah telah mewajibkan ke atas DiriNya untuk menyelamatkan orang-orang mukmin. Allah akan menolong mereka-mereka yang menolong agama Allah. Allah tidak akan melupakan mereka.
Ayat ini memberi harapan kepada kita, jikalau Allah benar-benar akan menurunkan azab kepada masyarakat yang bersama dengan kita.


Surah Yunus Ayat 104

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran ugamaku, maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.

Apabila Nabi Muhammad disuruh menyeru kepada semua manusia, ini menunjukkan bahawa agama Islam ini bukanlah hanya untuk orang-orang Arab sahaja tetapi untuk seluruh dunia. Itu telah meletakkan tanggungjawap melakukan dakwah kepada para sahabat dari awal Islam lagi. Mereka apabila membaca ayat ini tahu bahawa agama ini adalah untuk seluruh alam. Sebab itulah mereka telah menyebarkan ajaran tauhid ini ke merata dunia.

Sekarang, urusan dakwah itu telah jatuh kepada kita. Kitalah yang kena menyampaikan ajaran dari Allah ini kepada manusia. Dan kita kena sampaikan ajaran itu dengan menggunakan ayat-ayat Quran kerana itulah arahan dari Allah.

“....Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran ugamaku…”,
“Kalau kamu rasa syak dengan agama Islam yang lurus ini, maka ketahuilah aku sendiri tidak ada syak.”
Kita sebagai orang yang telah terima Islam dan telah terima jalan sunnah ini, jangan ragu-ragu lagi dengan jalan sunnah ini dan kita hendaklah berada di atasnya kerana ianya adalah berdasarkan kepada dalil dari Quran dan Hadis yang sahih.

Nabi Muhammad disuruh berkata lagi kepada umatnya, ‘Aku tidak akan sembah, tidak akan puja, dan tidak akan buat ibadat kepada Nabi, wali dan malaikat yang kamu sembah, puja, dan buat ibadat itu.’ maksudnya hanya Allah sahaja yang boleh disembah. Jangan disembah makhluk lain. Jangan juga disembah makhluk lain bersama Allah. Banyak sekali larangan Allah tentang perkara ini yang tidak perlu diulang di sini.

Hanya Allah lah satu-satunya yang mengawal kehidupan kita, dan kita akhirnya akan mati dan akan kembali kepadaNya. Maka, kalau Allah sahaja yang boleh mematikan kita, kenapa kita nak sembah dan puja yang lain selain dari Allah?  Sesungguhnya golongan yang beriman dengan betul-betul mengamalkan ajaran tauhid akan hanya menyembah Allah sahaja.


Surah Yunus ayat 105

““Serta (diwajibkan kepadaku): ‘ Hadapkanlah seluruh dirimu menuju (ke arah mengerjakan perintah-perintah) ugama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang musyrik ‘.”

Perkataan ‘hanifa’ di dalam ayat ini adalah bermaksud agama yang lurus dan tidak bengkang bengkok ke kiri dan ke kanan. Ianya adalah seumpama seorang yang berjalan dengan mempunyai halatuju tertentu dan tidak hiraukan ajakan di kiri kanannya. Dia akan tetap juga dalam perjalanannya yang lurus itu.

Apabila digunakan perkataan وَجْهَ (wajah) di dalam ayat ini, ia merujuk kepada keseluruhan diri kita. Kerana pada wajah kita terdapat semua pancaindera yang penting: pendengaran kita, penglihatan kita dan juga percakapan kita. jadi wajah kita, diri kita, kesemuanya kita kena hadapkan kepada jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah agama Islam yang hanifa. Yang tidak ada bengkang bengokok atau peneyelewengan ke arah syirik dan kepada yang batil dan salah. Jadi jangan sekali-kali kita melakukan perkara yang syirik.



Surah Yunus ayat 106

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

Allah melarang rasulNya dan juga umat manusia dan makhluk yang lainnya, untuk menyembah atau menyeru selain Allah.  Dengan menyeru selain Allah tidak akan memberi manafaat ataupun pertolongan walau sedikitpun dan juga tidak akan mendatangkan apa-apa mudharat atau bahaya sekiranya tidak seru atau disembah.

Sekiranya kita melakukan penyembahan selain Allah dan mengiktikadkan bahwa benda yang disembah itu boleh mendatangkan manafaat atau mudarat, sesungguhnya kita telah dikira menjadi orang yang zalim dan aniaya. Sebabnya kita telah dikira menganiaya diri kita sendiri kerana meletakkan ibadat kita bukan pada tempatnya yang kelak mengakibatkan kita menjadi syirik. Dan jadilah kita penduduk neraka untuk selama-lamanya. Bukankah itu bermakna kita telah menganiaya diri kita sendiri? Wa iyazubillah!




Surah Yunus ayat 107

“Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Kemudian Allah menguatkan larangan itu dengan penerangan selanjutnya. Kerana ada yang didapati orang yang melakukan perbuatan syirik itu terkabul pula permintaannya, atau tercapai pula cita-citanya. Umpamanya, yang sakit telah sembuh dari sakitnya, yang mandul dapat pula anak yang diidamkanya.

Maka kepada orang yang seperti itu, Allah bagitahu bahwa sekiranya Allah nak menimpakan bahaya kepada kita, umpamanya ditimpa bala bencana ataupun kesusahan maka tidak akan ada yang dapat menghalang atau menghilangkan bencana tersebut kecuali Allah. Hanya Allah yang mampu menngangkat semua bahaya tersebut dan bukanlah makhluk atau benda yang disembah itu.

Dan sekiranya Allah menghendakkan kita berada di dalam kebaikan maka Allah akan berikan kesenangan hidup dan keamanan kepada kita, dan ketahuilah tidak akan ada sesuatu benda pun yang dapat menghalang apa yang Allah nak berikan itu kepda kita. Benda yang disembah itu tidak akan dapat menyekat rezeki yang dilimpahkan oleh Allah kepada kita. Jadi suka tak suka, terima tak terima, kemudharatan itu akan ditimpakan juga ke atas kita dengan izin Allah. Apatah lagi rezeki yang melimpah-limpah dan keamanan, tiada yang dapat menyekat Allah untuk memberikanNya kepada kita sekiranya Allah berkehendak demikian.

Demikianlah juga Allah akan mengampunkan dosa orang yang mahu bertaubat kepadaNya, iaitu yang kembali ke jalan beriman dan mentaatiNya setelah berada di jalan syirik dan kufur. Allah yang Maha Penyayang kepada orang beriman. Allah tidak akan menyeksa lagi apabila mereka bertaubat. Kalaulah tidak kerana adanya keampunan Allah yang luas dan rahmatNya yang merata, nescaya binasalah sekalian manusia disebabkan banyaknya dosa mereka di dunia sebelum sampai ke akhirat.



Surah Yunus ayat 108

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (Al-Quran) dari Tuhan kamu. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepadanya), maka faedah hidayah petunjuk itu terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang sesat (mengingkarinya) maka bahaya kesesatannya itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu”.

Nabi Muhammad disuruh memberitahu kepada sekalian manusia akan semua kebenaran yang terkandung di dalam AlQuran. Mereka yang mendapat hidayah adalah mereka yang beriman kepada Quran, dengan membacanya, memahaminya dan mengamalkannya. Bukan setakat baca sahaja. Bukan setakat percaya bahawa ianya dari Allah sahaja tapi tak buat apa-apa. Itu belum beriman lagi sebenarnya. Surah ini bermula dengan menyebut tentang Qur’an dan diakhiri dihujungnya dengan menyebut tentang Quran juga.

Hidayah yang diterimanya itu akan membawa kebaikan dan faedah kepada dirinya. Faedah itu bukan untuk Allah, kerana Allah tidak memerlukan imannya itu. Begitu juga, tidaklah faedah itu kepada Nabi dan orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.

Sesiapa yang tak mahu beriman dengan Quran, tak mahu belajar tafsir Quran, seseorang itu tida akan tahu apakah kehendak Allah, maka dia akan menempuh jalan yang sesat. Seperti yang Allah telah sebut dalam Zukhruf:36-37 yang bermaksud :
“Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Jelas dalam ayat ini, mereka yang tidak kisah dengan Quran, tidak belajar untuk memahaminya, akan sesat dari jalan yang benar. Apabila seseorang itu sesat, siapakah yang akan menanggung akibatnya? Tentulah dirinya sendiri, bukan orang lain. Dia sendiri yang menimpakan akibat buruk itu kepada dirinya, bukan orang lain. Nabi tidak  akan bertanggungjawab kepada mereka yang tidak mahu beriman, tidak mahu belajar Quran.



Surah Yunus ayat 109

“Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim.”

Allah menyuruh rasulNya, supaya mengikut perintah Allah yang diturunkan kepada baginda yang berupa wahyu iaitu AlQuran. Buatlah apa sahaja yang telah diberikan oleh Allah. Ikut saja. Perintah tersebut hendaklah diamalkan dan diajarkan kepada semua umat manusia.

Ayat di atas, disentuh bagaimana kalau kita ditimpa musibah, Allah sahaja yang boleh melepaskannya. Jadi sepatutnya kita kena kembali kepada Allah, ikut apa yang Allah telah ajar bagaimana untuk menjalani kehidupan dalam dunia ini. Dan bagaimana hendak berdoa kepadanya.

Dan apabila kita mengikut perintah Allah, kita kena bersabar. Kerana apabila kita beriman, manusia lain ada yang tidak senang dengan iman kita. Mereka ada yang ejek kita dan menyusahkan hidup kita.

Dan bersabarlah dalam perjuangan mengembangkan Islam, dalam berdakwah. Selalunya, apabila kita dakwah, mereka tak mahu, mereka tolak, maka bersabarlah. Kerja dakwah ini memanglah susah. Sebagaimana Nabi juga mengalami kesusahan. Kadang-kadang kita kena hadapi ejekan, tohmahan, marah dari orang lain dan sebagainya.
Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah.

Bersabarlah sehingga Allah menjalankan apa yang Allah hendak lakukan. Samada Allah hendak memenangkan kita atau sebaliknya. Maksudnya, kita kena sabar sampai mati. Sepanjang hidup kita adalah melakukan sabar sepanjang masa. Sampai menunggu apakah keputusan yang Allah hendak lakukan. Kita usaha dengan sedaya upaya kita untuk menyelesaikan masalah itu. Dan dalam masa yang sama, hendaklah kita bersabar sambil menunggu apakah yang Allah akan lakukan. Kerana usaha kita tidak akan membuahkan hasil apa apa kalau tanpa izin dan dari Allah.

Yang penting sabar dalam menjalankan kerja-kerja dakwah ini. Kita tidak tahu apakah keputusan Allah, dan kita serahkan kepadaNya. Memang kita telah belajar sirah dan kita tahu bagaimana sahabat dan Nabi dikeji malah ada yang diseksa, kemudian mereka berhijrah, berperang dan sebagainya.

Kita tahu itu semua, tapi bayangkan apakah yang Nabi dan sahabat lalui. Mereka tidak tahu apakah yang terjadi minggu depan, bulan depan, tahun depan dan sebagainya. Lalu apakah yang mereka lakukan? Mereka terus lakukan kerja dakwah mereka sambil bersabar. Bersabar dan tunggu apa yang Allah akan lakukan.

Bukanlah ayat ini bermaksud kita duduk senyap tunggu apa Allah nak buat. Para sahabat terus menerus beramal dan menjalankan kerja dakwah mereka. Maka kita pun kena juga berbuat begitu. Kerana kita tidak tahu apa yang Allah telah tetapkan untuk kita.

Apa sahaja keputusan yang Allah buat, ianya adalah yang terbaik. Kerana keputusan Allah itu adalah kerana kebijaksanaan Allah yang tahu segalanya. Kita tidak tahu apakah yang terbaik untuk kita, jadi kita terima sahaja keputusan Allah.

Mudah-mudahan Allah memberikan kita taufik dah hidayahNya untuk beramal dengan suruhanNya sesuai dengan yang disyariatkanNya. Tuhan lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Amiin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.