Thursday, May 14, 2015

Surah Yunus Ayat 61 Hingga Ayat 83

Surah Yunus ayat 61

“Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.”

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad saw mengenai urusannya baik yang khas mahupun yang am, dalam tugasnya menyeru umat manusia ke jalan Allah dengan bijaksana dan pengajaran yang baik. Dan juga mengenai ayat AlQuran yang dibacanya sebagai panduan dalam menyampaikan tugasnya atau membacanya kerana beribadat dengannya.

Dalam ayat sebelum ini, ia hanya ditujukan kepada Nabi Muhammad tetapi sekarang Allah sedang berkata dengan kita semua. Allah memberitahu kepada kita bahawa di dalam setiap perbuatan kita, sama ada baik atau pun tidak, samada sedang membaca Qur’an ataupun tidak, Allah sedang menyaksikan perbuatan kita.

Apabila sesuatu bekas tu penuh dan air yang di dalamnya ditambah, ia akan melimpah. Bila air melimpah dan terkeluar dari bekasnya, air itu dan merebak ke merata tempat. Kenapa digunakan perumpamaan ini? Sebagai contoh, kadang-kadang apabila kita bersembang dengan orang lain, topik yang kita sembang itu akan melarut menjadi macam-macam perkara seumpama melimpah ke merata tempat sampai tidak terkawal dan tidak tahu ke mana lagi.

Oleh itu, perkataan ini merujuk kepada perbuatan kita yang kita lakukan sampaikan kita boleh lupa diri kita. Sebagai contoh, seseorang yang sedang sibuk berkerja sampai dia terlupa yang dia belum makan lagi. Atau seseorang yang sibuk bersembang sampaikan dia lupa yang dia sedang sakit. Kalau dalam keadaan begitu, adakah dia akan ingat Allah? Sedangkan diri sendiri pun dia boleh lupa, apatah lagi Allah?

Oleh itu, waktu kita sibuk bersembang, sibuk dengan kerja, sibuk dengan menonton TV, mendengar lagu dan sebagainya, Allah memberitahu bahawa Dia sedang menyaksikan kita. Kita sudah lupa diri, kita sudah tidak ingat Allah, tapi Allah ingat kepada kita.

Tidak ada satu perkara pun yang tersembunyi daripada Allah. Lalu bagaimana Allah boleh tidak tahu apa yang kita lakukan, sedangkan tidak ada apa pun yang tersembunyi dari pengetahuanNya? Barang yang sekecil atom pun tidak tersembunyi daripada Allah. Sedangkan kalau atom itu berada di depan mata kita pun kita tidak akan nampak. Tapi Allah tahu. Tidak kira sama ada benda itu berada di langit atau pun di bumi, Allah boleh tahu. Benda yang lebih kecil daripada atom pun Allah boleh tahu. Tidak tersembunyi daripada Allah. Kalau perkara sekecil atom Allah boleh nampak apatah lagi kita? Ke mana lagi kita hendak lari dan menyorok supaya Allah tidak nampak kita? Tidak ada tempat lain lagi.

melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.”
Kitab yang dimaksudkan adalah Lauh Mahfuz. Tidak ada perkara langsung yang tersembunyi daripada Allah. Tidak ada apa-apa perbuatan kita yang Allah tidak tahu. Dan dalam ayat ini secara spesifik di sebut tentang pembacaan Qur’an. Ini menunjukkan kepentingan membaca Qur’an. Oleh itu kita kena nilai diri kita samaada kita selalu baca Qur’an ataupun tidak.

Semasa kita sedang membaca Qur’an, kita kena ingat dan sedar bahawa Allah sedang memerhatikan kita. Memang Allah sentiasa melihat kita, tetapi di dalam pembacaan Quran, kita kena lebih berhati-hati lagi. Hadhirkan perasaan ini semasa kita membaca Qur’an di mana-mana sahaja, sama ada di rumah, di dalam kelas tafsir, dalam kelas tajwid kita, atau di mana-mana sahaja.

Kalau kita sedang belajar tajwid Qur’an, belajar tafsir, membaca Qur’an dalam solat dan diluar solat, dan kita rasa bosan, sebab rasa sangat lama atau sebagainya, maka hendaklah kita rasa dan ingat bawa Allah sedang memerhatikan kita.

Bila kita rasa orang lain melihat kita, lebih-lebih lagi jikalau Allah yang melihat kita, itu akan membuatkan kita melakukan perkara itu dengan lebih baik lagi.


Surah Yunus ayat 62

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

‘Wali’ adalah seseorang yang rapat dengan kita. Yang berkawan rapat dengan kita. Yang tahu segala-galanya tentang kita. Sepertimana wali untuk pernikahan adalah bapa atau ahli keluarga yang rapat dengan pengantin perempuan itu. Maka, ‘Wali Allah’ adalah mereka yang rapat dengan Allah.

Al Khazin dalam tafsirnya mengatakan bahwa para ulama bertelingkah pendapat mengenai orang yang layak digelar wali itu. Diantaranya ialah Ibnu Abbas dalam tafsir ayat ini berkata, mereka itu ialah orang yang mengingat Allah dalam melihat.

At Tobari pula mengatakan bahawa wali itu adalah mereka yang apabila melihat, mereka mengingati Allah.

Kata Abu Bakar al Asom, wali-wali Allah itu ialah orang yang diberi hidayat oleh Allah dan mereka pula menjalankan kewajipan penghambaan terhadap Allah serta menjalankan dakwah kepada Allah.

Bagaimana mereka boleh rapat dengan Allah? Kerana mereka kenal dengan Qur’an. Dalam ayat-ayat sebelum ini telah banyak disebut tentang Quran dan kepentingan membaca dan mempelajarinya. Dengan belajar tafsir Quran, memahami, mengamalkan ajarannya dan menyampaikannya kepada masyarakat dengan mengajar, mereka menjadi Wali Allah.
Mereka tidak akan takut apabila mereka mati. Mereka juga tidak takut di Hari Mahsyar dan akhirat. Kerana Allah akan menyelamatkan mereka. Semasa di dunia, kita ada banyak perasaan takut yang tidak akan habis. Sebagai contoh, takut lapar, takut sakit, takut hilang harta dan sebagainya. Tapi para Wali Allah tidak akan ada langsung rasa takut.

Mereka tidak akan merasa dukacita kerana semasa mereka hidup di dunia, mereka tidak mengumpul harta, tetapi mengumpul amalan kebaikan. Oleh kerana itu, Allah akan memberi segala nikmat kepada mereka sampaikan tidak ada lagi rasa sedih pada mereka.

Kenapa manusia bersedih? Kerana ada perkara yang mereka rasa kurang, ada benda yang mereka tiada, hilang dan sebagainya. Di akhirat kelak, Allah akan balas kepada mereka dengan yang lebih baik lagi, sampaikan tidak ada kesedihan lagi. Kesedihan mereka itu ditutupi dengan kegembiraan menerima nikmat yang Allah berikan. Mereka sudah tidak ingat kekurangan mereka semasa di dunia. Mereka akan hanya ada perasaan gembira sahaja.


Surah Yunus ayat 63

“(Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.”

Ayat ini memberikan definisi ‘Wali Allah’. Allah sendiri beritahu kita dalam Quran apakah sifat Wali Allah itu. Ini juga adalah sifat-sifat yang kita perlu ada dan kita perlu usaha untuk mencapainya. Dan jikalau kita mempunyai sifat-sifat ini, maka kita pun boleh mencapai taraf Wali Allah.

Wali-wali Allah itu ialah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang beriman sempurna. Akidah mereka sempurna. Tidak melakukan syirik. Dari segi akhlak pula, mereka tidak melakukan maksiat.

Kita kenalah beriman sempurna. Bukan setakat beriman sahaja. Kerana ada manusia yang beriman dengan Allah, beriman dengan Nabi dan sebagainya. Tapi mereka ada juga beriman dengan perkara lain. Mereka beriman bahawa ada benda-benda atau tok dukun yang lain yang mempunyai sifat Allah. Itulah syirik – meletakkan sesuatu yang sama taraf dengan Allah dari segi sifatNya.

Wali Allah juga adalah orang yang bertakwa kepada Allah. Taqwa bermaksud menjaga hukum yang telah diberikan oleh Allah. Dalam setiap perbuatan dan amalan mereka, mereka akan periksa samada amalan itu Allah suka ataupun tidak. Mereka akan berhati-hati dalam setiap perbuatan mereka. Mereka buat itu semua kerana mereka takut dengan Allah.


Surah Yunus ayat 64

“Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji-janji Allah, yang demikian itulah kejayaan yang besar.”

Ayat ini merupakan jawapan dari suatu pertanyaan, yang seolah-olahnya jika dikemukakan pertanyaa, apakah yang disediakan bagi wali-wali Allah baik di dunia mahupun di akhirat? maka jawabnya ialah , mereka akan mendapat berita gembira atau Busyra.

Para  ulamak telah bertelingkah pendapat dalam mentafsirkan lafaz busyra atau berita gembira dalam kehidupan dunia. Ada yang mentafsirkan, Dianya ialah ar-Ru’ya as Solihah, ertinya mimpi yang baik. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang dikeluarkan oleh At Tarmizi yangmengatakan bahwa , Dianya ialah mimpi yang baik yang dilihat oleh seorang mukmin atau diperlihatkan kepadanya.

Ada pula yang mengatakan , yang dimaksudkan dengan berita gembira itu ialah dalam kehidupan dunia ialah puji-pujian yang baik. Dan berita gembira dalam kehidupan akhirat pula ialah syurga.

Dan ada pula yang mentafsirkan bahwa para malaikat akan turun membawa berita gembira pada masa orang itu akan mati kerana telah sampai ajal mereka.

Allah tidak akan mengubah apa yang telah dikatakanNya, dan tidak menyalahi dengan apa yang sudah dijanjikanNya, termasuklah di antaranya janji memberi berita gembira kepada orang yang beriman dan bertakwa itu, dan janji memberi mereka syurga dengan segala kesenangan  yang ada di dalamnya. Apa yang dijanjikan kepada mereka di akhirat nanti, adlaah merupakan sebesar-besar keuntungan yang tidak ada bandingannya.


Surah Yunus ayat 65

Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) merasa dukacita disebabkan kata-kata mereka yang ingkar itu; kerana sesungguhnya segala kekuasaan tertentu bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha Mengetahui.”

Allah memberitahukan RasulNya Muhammad saw supaya baginda tidak merasa sedih kerana mendengar kata-kata orang-orang musyrik yang tidak baik dan tujuannya untuk menyakiti atau menakut-nakutkan baginda. Tetapi ingatlah bahwa kekuasaan, kemenangan dan kemuliaan itu kepunyaan Allah semuanya. Dia sendiri yang empunya dan diberikanNya kekuasaan itu kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya sehingga orang itu menjadi mulia. Dan dilucutkanNya pula kemuliaan itu dari sesiapa saja yang disukaiNya sehingga orang itu menjuadi rendah dan hina.

Maka di sini untuk pengajaran bagi kita, Janganlah kita merasa dukacita dengan kata-kata hina mereka kepada orang yang sebar tauhid. Ingatlah bahawa Nabi Muhammad pun telah ditolak dan dihina oleh kaumnya. Begitu juga dengan kita yang menyebar tauhid ini. Mereka kata kita sesat dan sebagainya. Pedih rasa hati kita. Tapi Allah kata, jangan berdukacita dengan kata mereka.

Kemuliaan yang sebenarnya milik Allah. Apabila kita dihina dan dikeji, kita akan rasa hina, kita rasa kita tidak dihormati. Apa Allah kata dalam ayat ini? Kekuasaan dan kemuliaan itu memang milik Allah pun. Sepenuhnya milik Allah. Bukan milik kita. Jangan kita rasa yang kita hilang sesuatu apabila orang hina kita.

Allah Maha mendengar apa yang orang engkar itu kata kepada kita dan Allah tahu apa perasaan kita. Kalau Nabi Muhammad pun kena hina dan kena caci apatahlagi kita yang hendak menyebarkan dakwah ini.



Surah Yunus ayat 66

“Ingatlah! Sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bahawa mereka yang menyembah sesuatu yang lain Allah sebagai sekutuNya, mereka tidak menurut (sesuatu keyakinan), mereka hanya menurut sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah orang-orang yang sentiasa berdusta.”

Allah memiliki sesiapa sahaja yang ada di langit. Allah juga memiliki sesiapa saja yang ada di bumi. Orang-orang yang musyrik akan menyembah tuhan tuhan selain Allah yang mereka anggap sebagai ‘sekutu sekutu’ Allah. Tetapi tidaklah sembahan-sembahan mereka itu sama taraf ataupun sekutu kepada Allah sebenarnya. Itu hanya lah anggapan mereka sahaja. Apa yang mereka sembah itu sebenarnya tidak ada.

Mereka sahaja yang anggap ada benda lain yang mempunyai kuasa yang sama seperti Allah. Tetapi benda yang mereka sembah itu tidak wujud seperti berhala-berhala itu. Ataupun sesuatu yang mereka sembah sebagai tuhan itu tidaklah sama kedudukan dengan Allah dan tidak layak menjadi sekutu kepada Allah. Allah tidak ada sekutu. Allah tidak memerlukan sekutu dalam mentadbir alam ini. Mereka hanya agak-agak saja tanpa mempunyai dalil bukti.

Mereka itu diumpamakan dengan perbuatan mengira-ngira buah kurma untuk dijual. Sebelum pokok itu berbuah, mereka dah anggarkan berapa banyak buah yang pokok itu akan keluarkan. Mereka yang melakukan begitu hanya kira dengan agak-agak sahaja. Dalam agama tidak boleh agak-agak begitu, tapi memerlukan dalil dan bukti yang sahih.




Surah Yunus ayat 67

“Dia lah yang menjadikan malam bagi kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya perubahan malam dan siang itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu mendengar (keterangan-keterangan yang tersebut dan mengambil pelajaran daripadanya). “

Ketahuilah Allah lah yang menjadikan malam yang keadaannya adalah gelap, supaya manusia dapat berehat semasa itu, menghilangkan penat, melepaskan lelah dan tidur nyenyak setelah bekerja mencari nafkah hidupnya sepanjang siang. Juga Dialah yang menjadikan siang yang keadaannya terang benderang, yang membolehkan manusia melihat dan pergi ke mana-mana untuk menunaikan segala tugas yang mendatangkan kemakmuran di muka bumi dan dapat pula bersyukur kepada Tuhannya.

Maka daaptlah kita fahami di sini,  malam untuk berehat dan siang untuk bekerja; dan bukan sebaliknya. Kalau kita buat yang sebaliknya, maka kita telah melanggar fitrah yang telah dibuat oleh Allah. Apabila kita langgar, maka ada kesannya kepada diri kita sendiri.

Nabi telah memberi nasihat kepada kita untuk berhati-hati pada waktu malam kerana pada waktu malam lah banyak keburukan akan berlaku. Sebagai contoh, perompak-perompak selalunya keluar pada waktu malam. Kita kena kurangkan aktiviti malam kita. Jangan kita selalu keluar tak tentu hala. Tetapi inilah masalah yang dihadapi oleh pemuda-pemudi kita. Mereka suka sangat keluar malam berpoya-poya. Dengan tidak melakukan perkara berfaedah. Lainlah kalau mereka memang ada kerja, pergi kuliah dan sebagainya. Tapi tidak, yang mereka buat adalah hal-hal yang lagha.

Siang itu diserahkan supaya kita dapat cari rezeki, dan dengan rezeki itu kita dapat sebar agama ini. Bukan hanya mencari rezeki untuk hidup sahaja, kerana bukan itu tujuan hidup kita. Tujuan hidup kita adalah untuk membesarkan nama Tuhan.

Kejadian malam dan siang ini adalah menjadi keterangan tentang adanya Tuhan yang menciptakannya, yang hanya Dia saja yang kita layak untuk sembah, iaitu keterangan sebagai bukti bagi kaum yang mahu mendengarkan. Maksud kaum yang mahu mendengarkan ini adalah yang suka mengambil berfikir, mengkaji dan mengambil iktibar daripada kejadian-kejadian alam dan dikaitkan dengan pengajaran Allah yang dibacakan kepada mereka.


Surah Yunus ayat 68

Mereka berkata: “Allah mempunyai anak” Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu)! Dia lah Yang Maha Kaya; segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaanNya; tidaklah ada sebarang keterangan di sisi kamu yang membuktikan apa yang kamu dakwakan itu. Mengapa kamu berani mengatakan terhadap Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya?

Ini adalah ditujukan kepada para musyrikin yang mengatakan bahwa mempunyai anak. Para Nasrani mengatakan Nabi Isa itu anak Tuhan. Begitu juga dengan kaum Yahudi mengatakan Uzair anak Allah. Musyrikin Mekah pula mengatakan yang malaikat-malaikat itu semua adalah anak perempuan Allah. Maha Suci Allah dari bersifat demikian, iaitu sifat yang tidak layak dengan sifat ketuhananNya.

Malahan Allah adalah bersifat Maha Kaya , kerana apa yang ada di langit dan di bumi ini adalah kepunyaanNya. Allah tidak berhajat pun kepada anak atau mengambil anak, kerana Allah Maha Kaya dan tidak berhaja keapda makhluk sedangkan selama ini dan bila-bila pun makhluk lah yang akan selalu berhajat kepada Allah.

Kata-kata mereka yang Allah mempunyai anak ini adalah kata-kata yang sedap di mulut mereka saja. Tidak mempunyai dalil dan bukti yang sahih langsung untuk dipegang. Ketahuilah setiap kata-kata yang tidak mempunyai bukti dan sandaran yang jelas dan sahih adalah dianggap suatu kejahilan. Dan tiap-tiap kepercayaan agama mestilah mempunyai bukti pemutus, sedangkan perbuatan meniru-niru amalan agama lain itu pula tidaklah boleh diterima.


Surah Yunus ayat 69 Dan 70

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, tidak akan berjaya”.  - 61

“(Apa yang mereka beroleh hanya) kesenangan di dunia, kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya mereka. Kemudian Kami akan rasakan mereka azab yang berat disebabkan perbuatan kufur yang mereka lakukan. “ - 70

Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya mengatakan kepada mereka yang membuat dusta terhadap Allah itu, bahwa sesuatu yang salah terhadap Allah kerana mendakwa Allah mempunyai anak, maka mereka itu tidak akan beroleh keberuntungan. Bahkan mereka akan kecewa dan rugi, meskipun mereka bermegah-megah dengan kesejahteraan dan kenikmatan yang mereka rasai dalam masa yang agak lama di dunia. Namun yang pasti, seksaan akhirat telah menanti mereka.

Mereka hanya merasakan kesenangan semasa mereka hidup di dunia saja. Selama hayat mereka di dunia sampailah mereka mati. Masa hidup di dunia amatlah pendek sebenarnya jika dibandingkan dengan masa tinggal di akhirat yang amat panjang. Dan apabila mereka mati maka bermakna mereka akan dikembalikan kepada Tuhan. Dan dari situ bermulalah azab dan seksaan untuk mereka. Mereka akan merasa sendiri betapa azab dan seksaan Allah itu amat berat disebabkan perbuatan mereka yang kufur semasa di dunia.

Bukan mereka sahaja yang akan dikembalikan, tapi kita juga. Ayat ini mengingatkan kita kepada mati yang kita semua akan hadapi. Kita semua kena sentiasa ingat mati. Ianya adalah satu perkara yang semua orang malas nak fikir. Tapi ianya akan terjadi samada kita fikirkan atau tidak, bersedia atau tidak. Kita fikirkan tentang mati supaya kita buat persediaan untuk mati.


Surah Yunus ayat 71

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad) perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka (buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka); sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu tunggu-tunggu lagi.”

Di sini Allah menceritakan pula kisah para rasul bersama kaum masing-masing, yang pernah mendustakan rasul tersebut. Tujuannya ialah untuk memaklumkan dan menghiburkan hati Nabi Muhammad saw bahwa perbuatan kaumnya yang mendustakannya itu bukanlah perkara baru, malahan perkara biasa saja dan telah lebih dahulu dilakukan orang pada masa lampau.

Tetapi akhirnya, Allah tetap akan memberi kemenangan dan kejayaan kepada pihak para rasul, sedangkan kekalahan dan kebinasaan telah ditimpakan kepada umat-umat yang memusuhi para rasulNya. Hal ini hendaklah menjadi tauladan bagi semua manusia agar mereka segera beriman dan mempercayainya sebelum datangnya waktu luput dan ditimpakan kebinasaan ke atas mereka. Supaya mereka tidak menyesal di kemudian hari, kerana penyesalahan itu adalah tidak berguna langsung akhirnya.

Maka kisah-kisah para Rasul ini diperintahkan oleh Allah supaya Nabi Muhammad saw menceritakannya kepada kaum musyrikin Mekah atau sesiapa saja yang cuba mendustakannya… termasuklah kita di zaman ini juga, tidak ketinggalan.

Mula-mula Allah menceritakan kisah Nabi Nuh. Nabi Nuh telah berkata kepada kaum yang mendustakan kenabiannya, ““Wahai kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat keterangan Allah itu,..” Lihatlah kata-kata baginda kepada kaumnya itu. Ini adalah kata-kata terakhir dari baginda kepada kaumnya sebelum Banjir Besar berlaku. Iaitu selepas 950 tahun baginda berdakwah kepada mereka.

Nabi Nuh telah hidup di kalangan kaumnya, iaitu bani Qabil selama hampir 1000 tahun hanya kurang 50 saja. Ia telah bekerja siang malam dengan tidak jemu-jemu memberi nasihat dan pengajaran serta mengingatkan mereka dengan keterangan-keterangan dan bukti-bukti daripada Allah, biarpun kaumnya tidak mengendahkannya. Malahan mereka telah cuba hendak membunuh beliau dan menghalaunya.

Nabi Nuh hanya bertawakal kepada Allah sahaja. Apa-apa sahaja yang mereka hendak buat kepada baginda, baginda telah menyerah dirinya kepada Allah. Terpulang kepada Allah. Baginda akan terima sahaja apa yang Allah telah tentukan untuknya.

Kata Nabi Nuh kepada kaumnya, ““Kalau kamu tidak suka aku berada bersama kamu dan dengan kedudukan aku sebagai Rasul kamu, dan dengan aku memberi peringatan kepada kamu, maka kamu buatlah rancangan kamu. Teruskan rancangan untuk melakukan rancangan jahat kamu terhadapku.”
Sebelum itu, sudah kedengaran kepada Nabi Nuh yang kaumnya mahu membunuhnya. Maka Nabi Nuh suruh mereka buat apa yang mereka nak buat kepada baginda.

“Jangan kamu rahsiakan rancangan kamu itu. Tak perlu buat planning sembunyi-sembunyi . Kamu buatlah rancangan kamu itu dengan cara terbuka. Buat rancangan itu di depan aku dan di depan semua orang.” Sebab kalau mereka buat rancangan tersembunyi, nanti ada kalangan mereka yang tak tahu apa nak buat, bukan? Maka, berpakatlah molek-molek dan terang-terang, supaya perancangan mereka betul-betul mantap.

Ini adalah cabaran Nabi Nuh kepada mereka. Selalunya rancangan jahat akan dilakukan dengan sembunyi dan rahsia. Tapi Nabi Nuh dah beri mereka peluang untuk buat rancangan secara terbuka. Supaya semua tahu apa yang hendak dibuat kepada baginda. Tidak ada yang tertinggal dari mendapat maklumat. Nabi Nuh sudah bersedia untuk menerima apakah keputusan dan tindakan mereka.

“Jangan beri tangguh kepada aku. Buat terus apa yang kamu telah rancangkan. Jangan beri peluang untuk aku melarikan diri atau apa-apa sahaja.” Nabi Nuh berkata begitu kerana baginda tidak takut kepada mereka dan baginda telah bertaqwa kepada Allah. Baginda hanya takut kepada Allah sahaja. Baginda juga amat yakin dengan apa yang baginda lakukan.


Surah Yunus ayat 72

““Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.  

Nabi Nuh mengingatkan mereka yang baginda tidak pernah meminta upah kepada mereka atas dakwahnya itu. Kerana memang sudah tugas baginda untuk menyampaikan. Maka Nabi Nuh di dalam ayat ini memberitahu kepada mereka bahawa jika mereka menolak dakwah daripada baginda, baginda tidak terkesan dengan penolakan mereka itu. Kerana baginda tidak pernah meminta upah daripada mereka pun. Maknanya, kalau mereka beriman, tidaklah baginda mendapat wang daripada mereka. Begitu juga kalau mereka tidak mahu beriman, baginda tidak rugi apa-apa. Kerana baginda berdakwah bukanlah kerana mahukan upah daripada mereka.

Yang rugi hanyalah mereka sahaja kerana menolak jalan tauhid yang baginda sampaikan. Yang baginda harapkan hanyalah balasan dari Allah yang lebih baik dari dunia dan segala isinya. Pahala sebar tauhid itu adalah seperti jihad fisabilillah. Menjadi seorang Muslim bermaksud berserah diri kepada Allah dengan mengesakanNya. Iaitu, tak kira apa yang mereka nak lakukan kepada baginda, baginda akan berserah kepada Allah semata.


Surah Yunus ayat 73

“Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.”

Kaumnya masih juga menolak ajakan dakwah daripada Nabi Nuh. Apabila kaumnya engkar, mereka telah dikenakan dengan azab dalam bentuk banjir yang besar. Banjir itu menenggelamkan seluruh dunia. Tapi Nabi Nuh diselamatkan. Dalam surah ini diceritakan dengan ringkas sahaja kisah baginda kerana kisah itu banyak disebut dalam surah-surah yang lain.

Yang selamat bersama baginda hanyalah mereka yang beriman. Ada riwayat kata dalam 40 orang dan ada riwayat yang kata dalam 80 orang. Allahu a’lam. Allah menyelamatkan mereka dengan memasukkan mereka ke dalam bahtera. Apabila semua tempat telah dibanjirkan, maka yang selamat hanyalah mereka yang di dalam bahtera itu.

Merekalah yang menggantikan penghuni dunia yang semuanya telah mati dalam banjir itu. Selepas kejadian banjir besar itu hanya mereka sahaja tinggal di bumi dan meneruskan kelangsungan hidup manusia. Keturunan merekalah yang selepas itu merebak keserata dunia. Ada juga pendapat yang mengatakan hanya keturunan Nabi Nuh sahaja yang hidup. Selain daripada bahtera itu, segala yang lain tidak selamat. Mereka semua ditenggelamkan.

“Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran.”
Mereka diberikan dengan azab semasa di dunia lagi. Mereka telah diberi peringatan dengan banyak sekali tapi mereka masih lagi engkar. Maka, Allah telah beri azab kepada mereka. Oleh itu, jangan kita rasa senang lenang sangat. Kalau Allah nak turunkan azab kepada kita, boleh. Dengan semakin banyak kemungkaran yang dilakukan manusia sekarang, kita takut kalau-kalau Allah buat keputusan turunkan azab. Kalau Allah turunkan azab yang menyeluruh, dengan kita sekali pun boleh kena azab itu. Semoga Allah selamatkan kita semua sebagaimana Allah selamatkan Nabi Nuh dan pengikut baginda.



Surah Yunus ayat 74

“Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu. Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui batas.”

Allah menyatakan bahawa setelah Allah mengutuskan Nabi Nuh, Allah mengutuskan pula beberapa rasul yang lain. di sini tidak disebutkan nama-nama mereka. Adapun rasul-rasul yang diutus selepas Nabi Nuh ialah Nabi Hud dan Nabi Salih, kemudian nabi-nabi yang lain pula.

Nabi Hud diutus kepada kaum Ad dan Nabi Salih siutus kepada kaum Thamud. Rasul-rasul tersebut tidak diutus kepada kaumnya sendiri yang sezaman dengannya, kecuali Nabi Syu’aib.Nabi Syu’aib telah diutus oleh Allah kepada kaumnya di negeri Madyan, dan juga kepada negeri yang berjiran dengannya dari Ashabul Mu’tafikah (penduduk negeri yang sudah runtuh), iaitu negeri tempat tinggal kaum Nabi Lut, yang mana semuanya mempunyai satu bahasa dan satu tanahair.

Semua Rasul yang disebutkan oleh Allah itu masing-masing membawa bukti-bukti yang terang dan mukjizat-mukjizat yagn mengagumkan, tujuannya untuk membenarkan kerasulan mereka. namun kaum mereka dan umat-umat yang mereka seru itu tidak juga mahu beriman. Mereka masih meniru dan mengikut-ngikut jejak langkah serta tabiat kaum nabi-nabi yang terdahulu yang mana tabiat mereka suka mendustakan rasul, bersikap kufur dan ingkar.

Tabiat-tabiat buruk itu, Allah paterikan semuanya menjadi seperti cap yang tidak akan dapat hilang di dalam hati mereka sebagai sifat orang-orang yang melanggar batasan. Dan sedemikian itu pula Allah akan mencap di dalam hati orang-orang yang meniru dan mengikut-ngikut jejak mereka.



Surah Yunus ayat 75

“Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya dengan membawa ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan pembesar-pembesarnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa melakukan dosa.”

Banyak sekali kisah Nabi Musa dalam Quran. Ini adalah kerana banyak pengajaran yang kita boleh dapat kisah baginda. Apa yang baginda lalui, ada banyak persamaan dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad dan pendakwah-pendakwah kita.

Kenapakah Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada Firaun dan golongan pembesar-pembesar yang kaya, berkuasa dan elite itu? Seolah-olah Nabi Musa dan Nabi Harun itu dihantar kepada mereka sahaja. Tidakkah nampak seperti mereka hanya berdakwah pada orang-orang kaya sahaja? Bagaimana pula dengan golongan-golongan miskin dan hamba? Bagaimana pula dengan Bani Israil? Bukankah agama itu untuk semua orang?

Kita kena faham bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya itu kerana merekalah kepala yang diikuti oleh rakyat jelata. Apa-apa sahaja pegangan mereka akan diikuti dan dituruti oleh masyarakat umum. Tambahan pula waktu zaman Firaun itu, masyarakat tidak mempunyai kebebasan untuk memilih agama. Mereka kena ikut apa yang pemimpin mereka kata. Jadi, kena dakwah kepada kepala dahulu.

Masyarakat Mesir pada waktu itu terbahagi kepada dua golongan. Bangsa Qibti dan juga Bani Israil. Para pembesar dan orang-orang kaya adalah dari bangsa Qibti dan Bani Israil adalah golongan hamba. Nabi Musa dan Nabi Harun dihantar kepada dua-dua golongan itu, bukan kepada Firaun dan pembesar sahaja. Kedua-dua Nabi itu mempunyai misi yang berbeza untuk bangsa Qibti dan kepada Bani Israil. Ini adalah kerana bangsa Qibti masih kafir dan Bani Israil sudah Muslim sebenarnya. Jadi, tidak sama pendekatan yang digunakan untuk Firaun dan pendekatan yang digunakan kepada Bani Israil.

Kita juga kena tahu bahawa pembesar pada zaman Firaun itu ada dua jenis: ada dari bangsa Qibti dan ada dari Bani Israil. Kenapa begitu? Bukankah Bani Israil itu adalah golongan hamba? Dalam kalangan mereka juga ada pembesar, kerana untuk mengawal Bani Israil, Firaun memerlukan ‘Orang Dalam’. Maka, mereka melantik ketua-ketua dari Bani Israil sendiri menjadi pembesar. Tapi pembesar dari Bani Israil itu sebenarnya dibawah telunjuk Firaun. Mereka diletakkan di tempat mereka supaya mereka senang mengawal Bani Israil itu.

Allah hantar mereka Nabi Musa dan Nabi Harun ini dengan membawa mukjizat. Iaitu mukjizat yang utama sekali adalah tangan Nabi Musa yang bercahaya dan tongkat baginda. Selain dari itu, ada beberapa lagi mukjizat. Kesemua sekali ada sembilan tanda yang telah diberikan kepada penduduk Mesir. Tanda-tanda itu jelas. Mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk melihat tanda-tanda itu. Jadi, kalau mereka tolak itu, bukanlah kerana mereka tak nampak atau tidak faham, tapi kerana sombong sahaja.

Maksud ‘sombong’ dalam ayat ini adalah sombong nak terima ajaran tauhid. Mereka memandang rendah kepada Nabi Musa dan Harun. Mereka berdua itu dari Bani Israil dan kerana itu Firaun dan pembesar-pembesarnya tidak memandang mereka berdua. Mereka tidak memandang apakah yang dibawa oleh kedua Nabi itu, tetapi mereka melihat status kedua-dua mereka.

Lalu Allah menyatakan bahwa sebenarnya mereka itulah kaum penjenayah yang sebenarnya. Lihatlah bagaimana mereka telah menghambakan Bani Israil sekian lama. Itulah dosa mereka selain daripada dosa syirik yang mereka lakukan. Dan apabila Nabi Musa dan Harun datang, mereka tak mahu beriman.


Surah Yunus ayat 76 Hingga 78

“Oleh sebab itu ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, berkatalah mereka: “Sesungguhnya ini ialah sihir yang nyata”.  - 76
“(Mendengarkan yang demikian), Nabi Musa bertanya: Patutkah kamu berkata demikian terhadap sesuatu kebenaran ketika datangnya kepada kamu? Adakah bawaanku ini sihir? Sedang ahli-ahli sihir itu sudah tetap tidak akan berjaya”.  - 77
“Mereka pula berkata: “Adakah engkau datang (wahai Musa) untuk memesongkan kami dari penyembahan berhala yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? Dan (ketahuilah) sebenarnya kami tidak akan beriman kepada kamu berdua”.  - 78

Di ketika Nabi Musa datang membawakan hujah-hujah dan keterangan-keterangan yang membuktikan tentang adanya Tuhan yang Maha Esa, mereka berdegil juga seraya mengatakan bahwa apa yang Nabi Musa bawakan itu adalah sihir semata dan mereka tidak akan menerimanya.

Nabi Musa berkata kepada mereka dengan yakin dan sabar. Tidak kelam kabut. Baginda bercakap dengan berani kerana baginda diberikan keberanian oleh Allah. Nabi Musa berkata: “patutkah kamu kata begini tentang kebenaran selepas kau melihatnya?”. Iaitu mereka nampak kebenaran itu, tapi mereka tak mahu terima, dan kata ianya benda lain, bukan kebenaran. Mereka pusing cerita.

Kebenaran telah dibawa kepada mereka, tapi mereka kata ianya sihir? Adakah patut mereka berkata begitu? Sebenarnya tidak sama sihir dan mukjizat. Yang tukang sihir lakukan itu adalah sihir. Ketahuilah sihir itu sebenarnya mengelabui mata mereka yang melihat sahaja. Apabila mereka baling tongkat dan tali mereka, ‘nampak’ macam tongkat dan tali itu jadi ular. Tapi sebenarnya tidak jadi ular pun – masih tongkat dan tali sahaja. Tapi mata mereka yang melihat telah dikelabukan. Itulah kadangkala sihir dipanggil ‘Silap Mata’ dalam bahasa kita. Kerana mata kita telah disilapkan dalam melihat. Tetapi apa yang dilakukan oleh Nabi Musa dengan tongkat baginda itu bukanlah sihir. Kerana tongkat itu benar-benar bertukar menjadi ular.

Ahli sihir tidak akan berjaya. Kalau Nabi Musa itu bawa sihir, baginda juga tidak akan berjaya. Memang Allah dah tetapkan begitu. Mereka yang mengamalkan sihir itu sahaja yang sangka mereka hebat dan mereka boleh buat macam-macam. Mereka tak tahu yang mereka tidak akan berjaya. Samada di dunia, dan juga di akhirat.

Firaun dan pembesar-pembesarnya berhujah dengan Nabi Musa dan Harun. Mereka buat tuduhan palsu kepada baginda. Bila mereka kata begitu, dan di hadapan khalayak rakyat pula, mereka nak mainkan fikiran rakyat supaya melihat Nabi Musa dan Harun sebenarnya hendak kejar pangkat sahaja. Mereka kata Nabi Musa dan Harun bawa ajaran sesat pula. Mereka kata Nabi Musa nak ubah apa yang mereka telah lama lakukan dari nenek moyang mereka lagi.

Mereka juga menuduh Nabi Musa hendak mengambilalih kerajaan negeri Mesir. Inilah yang mereka takut sangat dengan Nabi Musa. Mereka takut mereka akan kehilangan kuasa. Beginilah juga sifat diktator. Mereka nak terus berkuasa sahaja.

Tuduhan mereka itu amat tidak berasas sekali. Kalau betul Nabi Musa hendak mengambilalih kerajaan Mesir, tentu baginda sepatunya meneruskan tradisi perhambaan dan kezaliman ke atas kaum Bani Israel itu, bukan? Tapi sebaliknya, apa yang Nabi Musa suruh Firaun lakukan? Baginda suruh Firaun bebaskan Bani Israil dari kekangan perhambaan dan lepaskan mereka, bukan? Amat tidak kena dengan tuduhan Firaun dan kaumnya itu.

Keduanya, kalau seseorang itu hendak mengambilalih sesuatu kerajaan, tentu dia akan datang dengan tentera yang ramai dan kuat, bukan? Tapi Musa datang dengan siapa? Dia seorang diri dan Nabi Harun sahaja. Adakah dua orang boleh nak rampas kuasa?

Firaun dan pembesar-pembesar Mesir itu tidak juga mahu percaya kepada Nabi Musa dan Nabi Harun. Kerana mereka tuduh yang Musa dan Harun itu hanya hendak mendapatkan kuasa dan kekayaan sahaja. Tapi sebenarnya tidaklah para Nabi itu mengkehendaki kuasa dan kekayaan. Seperti yang telah disebut tentang Nabi Nuh, baginda telah memberitahu bahawa baginda tidak pernah meminta upah kepada kaumnya atas dakwahnya. Kelebihan dunia bukanlah apa yang mereka cari. Maka samalah juga dengan Nabi Musa – baginda bukannya datang hendak meminta upah. Baginda bukan datang berdakwah kerana hendakkan kuasa.


Surah Yunus ayat 79 Hingga 82

“Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Bawalah kamu kepadaku semua ahli sihir yang mahir”. - 79
“Setelah datang ahli-ahli sihir itu, Nabi Musa berkata kepada mereka:” Campakkanlah kamu dahulu apa yang kamu hendak campakkan (diri benda-benda yang kamu jadikan sihir itu)!” “ - 80
‘Setelah mereka campakkan (benda-benda itu), Nabi Musa berkata:” Apa yang kamu datangkan itu, itulah sihir; sesungguhnya Allah akan mendedahkan kepalsuannya (dengan mukjizat yang dikurniakanNya kepadaku); sesungguhnya Allah tidak akan menjayakan perbuatan orang-orang yang melakukan kerosakan.” - 81
““Dan Allah juga sentiasa menetapkan perkara yang benar dengan kalimah-kalimah perintahNya, walaupun yang demikian dibenci oleh orang-orang yang melakukan dosa”.  - 82
“Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dengan keadaan takut kepada Firaun dan ketua-ketua kaum mereka menyeksa mereka; kerana sesungguhnya Firaun bermaharajalela di bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas.’ - 83

Firaun hendak menentang mukjizat Nabi Musa dengan perkara-perkara yang mengelirukan untuk menunjukkan bahwa apa yang dibawa oleh Nabi Musa adalah sihir. Oleh itu dipanggilnya segala tukang-tukang sihir supaya mereka berlawan bermain sihir dengan Nabi Musa.

Orang-orang yang ahli bermain sihir itu pun datanglah ke Mesir untuk beradu kekuatan sihir dengan Nabi Musa. Lalu Nabi Musa pun menyuruh supaya mereka memulakan dulu permainan sihir mereka. Setelah ahli-ahli sihir itu memperlihatkan permainan mereka dengan mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat sihir mereka, maka dengan tidak mempedulikan apa yang sedang berlaku di hadapan orang ramai, Nabi Musa pun berkata bahwa sesungguhnya apa yang mereka perlihatkan di hadapan orang ramai itu adlah permainan sihir, bukan keterangan-keterangan yang datangnya dari Allah, sepertimana keterangan yang Nabi Musa bawakan kepada mereka. Dan pastinya Allah akan melenyapkan semua sihir yang ditunjukkan itu apabila nanti Nabi Musa tunjukkan pula mukjizat yang Allah berikan kepadanya.

Allah tetap akan menegakkan kebenaran. Kerana Allah telah berjanji dengan kalimahNya untuk menegakkan kebenaran dan itu pasti akan terjadi. Kerana Allah yang kata sendiri. Kalimah yang dimaksudkan adalah wahyuNya. Orang yang berdosa tidak suka dengan kebenaran. Tapi Allah tak kira samada mereka suka atau tidak. Walaupun mereka tak suka, Allah akan memenangkan kebenaran juga.

Ramai yang tidak beriman dengan Nabi Musa dan Nabi Harun, walaupun mereka sendiri nampak bagaimana ahli-ahli sihir mereka telah dikalahkan dengan mukjizat Nabi Musa. Walaupun mereka nampak kebenaran dengan mata mereka sendiri, tapi mereka masih tidak beriman.

Walaupun ramai yang tidak beriman, tapi ada juga antara mereka yang melihat pertarungan itu yang telah beriman. Antara yang beriman itu adalah ahli-ahli sihir yang bertarung dengan Nabi Musa itu. Oleh kerana mereka orang yang berilmu, maka mereka tahu bahawa apa yang Nabi Musa lakukan itu bukanlah sihir tetapi ianya adalah mukjizat. Dan mereka juga tahu bahawa mukjizat itu yang hanya boleh dilakukan oleh seorang Nabi sahaja. Jadi, mereka tahu yang apa yang dikatakan oleh Nabi Musa itu adalah kebenaran. Oleh kerana itu mereka terus beriman tanpa berasa sangsi lagi walaupun telah diancam bunuh oleh Firaun.

Selain daripada ahli-ahli sihir itu, ada lagi yang beriman. Antaranya;
1. Asiah isteri Firaun.
2. Seorang lelaki dari golongan istana yang disebutkan dalam surah Mukmin. Hanya disebut tentangnya, tanpa diberitahu namanya.
3. Menteri kewangan Firaun.

Seperti yang telah disebut sebelum ini, yang sanggup beriman adalah golongan-golongan yang muda. Dalam setiap zaman, golongan muda lah yang berani menentang arus pemahaman kolot sesuatu masyarakat itu dan sanggup untuk beriman, walaupun berlainan dengan pendapat golongan-golongan yang tua. Walaupun mereka tahu bahawa pemikiran itu akan menyebabkan mereka susah, tetapi mereka sanggup untuk menghadapinya. Kerana mereka mahukan perubahan. Mereka juga lebih bertenaga dan lebih bersemangat untuk membawa arus pembaharuan. Kalau kita lihat penyokong penyokong Nabi Muhammad pun kebanyakannya adalah golongan golongan yang muda.

Kenapa ramai takut beriman? Kerana mereka takut kepada Firaun dan pembesar-pembesarnya. Kaum Firaun takut kena seksa dengan Firaun kerana Firaun amat zalim dan sanggup lakukan apa sahaja. Seksaan yang diberikannya amat teruk sekali. Firaun mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Allah sendiri memberitahu kita kedudukan tinggi beliau. Dia boleh buat apa sahaja yang dia mahu.

Tiada kebebasan beragama atau apa kebebasan pun waktu itu. Itulah perangai Firaun yang ganas dan mengongkong kaumnya. Oleh itu, kita janganlah ikut sunnah Firaun ini. Janganlah kita dalam memimpin orang bawahan kita, menggunakan cara kepimpinan kuku besi seperti yang dilakukan oleh Firaun ini. Sebagai contoh, kalau kita seorang bapa, janganlah anak isteri kita tidak boleh bercakap langsung untuk memberikan pendapat mereka. Begitulah juga kalau kita ketua di tempat kerja kita. Berikan mereka kebebasan untuk bersuara.

Seksaan yang diberikan oleh Firaun kepada mereka yang menentang beliau amat teruk sekali. Lihatlah bagaimana beliau sanggup membunuh isterinya Asiah apabila Asiah beriman – Firaun telah mengikat kaki tangan Asiah dan menghempaskan batu ke atas Asiah; Lihatlah juga bagaimana beliu membunuh Ahli-ahli sihir yang beriman itu – dia telah memotong kaki dan tangan mereka bersilang dan digantung di pokok kurma ramai-ramai. Memang Firaun tiada hati perut. Tak kisah apa pun dengan apa yang dilakukankan. Sebelum Nabi Musa lahir pun, bukankah dia telah mengarahkan seluruh anak lelaki Bani Israil dibunuh? Pernahkah ada lagi manusia lain sekejam beliau?

Dalam hal agama pula, Firaun sanggup mengaku tuhan dan tidak membenarkan kaumnya menyembah mana-mana tuhan lain. Dia amat melampaui batas.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.