Saturday, May 16, 2015

Surah Hud Ayat 1 Hingga Ayat 20



Surah Hud ayat 1


“Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.


Sebagaimana surah yang terdahulu, surah Hud ini juga dibuka dengan tiga huruf hija’ iaitu alif, lam dan raa. Tatkala menyebutkan tentang kitab AlQuran dan menyebutkan peranan Rasul yang ditugas oleh Allah untuk menerangkan tugasnya, dengan tujuan mengingatkan pendengar atau pembaca, supaya memahami pengajarannya agar jangan ada yang tercicir. Selanjutnya tujuan menyebutkan alif, lam dan ra itu, hanya Allah yang mengetahui maksudnya.


“...Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh,..”


Kitab Al Quran ini, mengandungi ayat-ayat yang amat rapi buatannya, kemas dan tepat susunannya, tidak dapat hendak diragukan kebenarannya, tidak dapat hendak diputarbelitkan maksudnya, dan tidak dapt diubah atau ditukarganti dengan yang lain kerana teramat kukuh, ibarat benteng yang kuat dan teguh tidak dapat ditembusi musuh.


Walaupun ayat-ayat Quran itu pendek-pendek sahaja, tapi pengajaran di dalamnya amat padat sekali. Ianya tersusun dengan amat indah sekali. Ianya membawa maksud kesempurnaan, bijaksana. Bahasa Quran adalah bahasa yang tepat. Tidak berpusing-pusing sampai mengelirukan. Senang untuk difahami oleh banyak peringkat umur, peringkat pendidikan. Boleh difahami oleh orang biasa, dan boleh difahami oleh seorang professor. Itulah satu kehebatan Quran.


Untuk memperjelaskan sesuatu perkara yang besar dan rumit, sesuatu topik itu perlu dipisahkan satu persatu, supaya dapat difahami. Sebagai contoh, untuk memahami biologi tubuh manusia, pembelajaran biologi di sekolah akan memecahkan tubuh badan manusia ikut bahagian-bahagian tubuh manusia – kepala, tangan, kaki dan sebagainya. Kemudian diperbincangkan tentang kepala, kemudian tangan dan kemudian baru kaki. Lihatlah juga bagaimana Quran itu dipecahkan mengikut ayat-ayat dan surah-surah yang membincangkan satu-satu topik utama.


Ayat-ayat Quran bukan sahaja indah dibaca, tapi setiap ayatnya menjelaskan sesuatu. Ianya jelas kepada mereka yang belajar dan mahu memahami. Penyampaiannya juga adalah tepat. Ianya menjelaskan apakah yang baik dan tidak, apa yang patut dilakukan dan apa yang patut ditinggalkan. Apa sahaja yang Allah hendak sampaikan kepada manusia sebagai hidayah telah dijelaskan dalam 30 juzuk Quran ini.


Ayat-ayat Quran adalah jelas kerana ianya dari Allah yang Maha Bijaksana dan mendalam pengetahuanNya. Dia amat tahu dengan makhlukNya. Allah tahu luar dan dalam tentang kita. Oleh itu, Allah tahu apa yang kita perlukan, dan Allah tahu bagaimana hendak menyampaikannya kepada kita.


Surah Hud ayat 2


“(Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang (ingkar), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang (beriman).”


Inilah maksud surah ini – iaitu hendaklah kita hanya menyembah Allah sahaja. Iaitu kita hendaklah menghambakan diri kepada Allah sahaja. Semua Nabi nabi dan rasul-rasul membawa mesej yang sama iaitu hanya menyembah Allah sahaja. Berdoa hanya kepada Allah sahaja. Selain dari itu, kita mestilah hanya taat kepada Allah sahaja. Berharap kepada Allah sahaja. Takut hanya kepada Allah sahaja.


Tugas utama Nabi ada dua: memberi peringatan dan memberi berita gembira. Dalam ayat ini, apabila نَذِيرٌ (peringatan) disebut sebelum بَشِيرٌ (berita gembira), bermaksud surah Hud ini akan ada lebih banyak ancaman dari berita gembira. Kerana itulah surah ini banyak mengandungi kisah-kisah tentang umat terdahulu yang telah dihancurkan kerana mereka menolak ajakan dakwah dari Nabi-Nabi mereka. Kisah-kisah itu untuk memberi ancaman kepada kita.


Dalam ayat-ayat seterusnya, akan diberikan dengan lebih banyak lagi tentang ancaman-ancaman dan berita gembira yang dimaksudkan. Maknanya, ayat ini masih lagi ayat pengenalan tentang apakah yang akan disampaikan seterusnya dalam surah Hud ini nanti.


Surah Hud ayat 3


Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).”


Hendaklah kita sentiasa meminta ampun kepada Allah. Kadang-kadang kita tahu perbuatan salah yang kita lakukan dan kadang kita tidak tahu. Kita tidak tahu itu mungkin kerana kita tidak belajar lagi dan oleh kerana itu kita tidak tahu manakah kesalahan yang kita telah lakukan. Kita hendaklah meminta ampun segalanya sekali. ‘Istighfar’ bermaksud kita meminta ampun kepada kesalahan ‘telah lalu‘ yang kita telah lakukan. Yang masa depan kita tidak tahu lagi, tapi kita minta ampun dari kesalahan lalu.


Bertaubat itu pula bermaksud sedar tentang kesalahan yang ‘sedang’ kita lakukan dan berazam untuk tidak akan buat lagi dosa yang kita telah buat. Bukan itu sahaja, kita hendaklah mengubah cara hidup kita selepas bertaubat itu.
Selalu kita ingatkan ‘istighfar’ dan ‘taubat’ adalah perkara yang sama. Tapi Allah letak dalam ayat ini bermaksud yang keduanya berbeza. Jikalau Allah letakkan dua perkataan itu sekali, bermaksud ianya tidak sama. Tentu ada perbezaan antara keduanya. Dalam ayat ini, Allah sebut ‘istighfar’ dulu sebelum ‘taubat’. Jadi, ini memberi isyarat bahawa kita kena istighfar dulu.


Istighfar adalah kita sedar bahawa kita sudah bersalah, kita sudah banyak buat dosa. Kita menyesal dengan perbuatan salah yang kita telah buat selama ini. Kemudian, setelah kita istighfar, barulah kita bertaubat – kembali kepada Allah. Jangan buat lagi apa dosa yang kita telah buat.
Kalau kita buat perkara-perkara yang telah disebut diatas, iaitu istighfar dan taubat, Allah akan memberi nikmat hidup kepada kita semasa di dunia lagi. Kerana balasan besar diberikan kepada mereka yang istighfar dan taubat, sedangkan bukankah mereka yang istighfar dan taubat itu bermaksud mereka telah melakukan kesalahan? Ini adalah kerana mereka yang istighfar dan taubat itu adalah mereka yang mengaku mereka telah melakukan kesalahan. Ini adalah satu perkara yang susah hendak dilakukan.


Ramai yang buat salah, tapi mereka tidak mahu mengaku. Mereka hendak juga mengatakan yang mereka tidak melakukan kesalahan. Kalau ditegur, mereka akan beri berbagai-bagai alasan untuk menjustifikasikan kesalahan yang mereka telah lakukan. Oleh itu, mengaku bersalah bukanlah satu perkara yang mudah. Oleh kerana ianya susah, maka itulah sebabnya Allah memberikan balasan yang baik kepada mereka yang sebegitu.


Kebaikan yang Allah berikan itu, bukan perlu tunggu di Akhirat nanti baru dibalas. Di dunia lagi, Allah akan balas perbuatan istighfar dan taubat mereka itu. Maknanya, mereka akan dapat kebaikan di dunia, dan juga kebaikan di akhirat.


Berbagai maksud ‘nikmat’ itu. Mungkin dalam bentuk harta benda dan mungkin tidak. kita selalunya fikirkan nikmat dalam bentuk harta sahaja. Mungkin mereka akan dapat lebih lagi dari harta kekayaan. Contohnya, mereka tidak akan berasa kosong dalam hidupnya. Mereka akan puas hati dengan apa yang Allah berikan kepada mereka.


Atau seseorang itu tidak berasa dukacita sangat dengan musibah yang kena padanya. Ada orang yang walaupun kita lihat dari segi harta, mereka kurang dari segi kebendaan, tapi dari segi emosi mereka, mereka rasa cukup dan selesa. Kita lihat mereka tenang sahaja dalam hidup mereka.


Sebagai contoh, Nabi hidup dalam serba kekurangan tapi baginda puas hati. Begitu juga dengan para sahabat. Nabi sebenarnya dapat banyak harta tapi baginda sentiasa sedekah. Dapat sahaja harta, terus infak. Maka mereka tidak ada harta yang mereka simpan.


Berapa ramai yang kita lihat banyak hartanya, tapi mereka tak tenang sahaja. Ada sahaja masalah mereka yang tak selesai. Walaupun hidup mereka mewah, tapi kita lihat mereka tidak senang, tidak gembira dan tidak tenang. Ada orang yang kaya tapi jiwanya kosong. Kena pergi ke sana sini mencari ketenangan. Dah beli barang banyak pun beli lagi. Bukan dia guna pun. Beli barang yang mahal-mahal pula tu. Hanya kerana hendak mencari ketenangan dan mengisi hatinya. Tapi masih lagi ada kekosongan. Masalah pun banyak. Macam masalah keluarga yang menyesakkan hati mereka.


Semua manusia memang menghadapi dugaan dalam hidup. Memang itulah lumrah alam ini kerana alam dunia ini adalah tempat ujian. Samada beriman atau tidak. Tapi bezanya, mereka yang mengharap balasan dari Allah, akan ada rasa lega sedikit. Kerana mereka tahu, kalau pun mereka susah di dunia ini, mereka akan senang di akhirat kelak. Kerana hidup dan kesusahan yang di dunia adalah sementara. Tidak kekal. Dan yang kekal hanyalah di akhirat.


Kalau mereka yang terus melakukan dosa di atas dunia, Allah boleh kenakan azab. Kerana perbuatan dosa boleh menyebabkan kita kena azab di dunia lagi. Orang-orang yang melakukan dosa mereka sendiri memang tak takut dah kerana mereka tidak percaya kepada hari kiamat, tapi Nabi Muhammad yang takut untuk diri mereka. Kerana Nabi mahu supaya mereka selamat tapi mereka tidak mahu terima. Macam orang kita yang macam tak kisah sahaja dengan nasib mereka di akhirat kelak. Mereka macam tak percaya ada hari kebangkitan selepas kematian. Mereka buat apa yang mereka suka sahaja. Kita yang tahu ini sahaja, risau nasib mereka nanti. Kerana mereka ahli keluarga kita, kawan-kawan kita dan saudara seislam kita.


Surah Hud ayat 4


“Kepada Allah jualah kembalinya kamu, dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.


Tidak kita apa sahaja kita buat semasa di dunia, kita akan kembali bertemu Allah. Samada kita kaya atau miskin; samada ibadat atau tidak, kita akan kembali. Samada kita suka atau tidak. Samada kita bersedia atau tidak.


Oleh kerana itu, kita kenalah fikirkan, apakah yang kita akan bawa bekal apabila bertemu dengan Allah nanti? Adakah kita hendak bawa dosa kita yang tinggi menggunung, atau kita hendak bawa pahala amalan-amalan yang kita lakukan semasa kita di dunia.


Allah berkuasa dalam setiap perkara. Allah berkuasa hendak menjadikan Hari Kiamat itu. Dan Allah berkuasa untuk menghukum kita atau memberi nikmat kepada kita. Kita tidak boleh nak halang Allah, kita tidak boleh nak tentang kehendak Allah.


Surah Hud ayat 5


Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Ia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.”


Kata Ibnu Abbas, ayat ini ditujukan kepada al Akhnas bin Syuraiq seorang yang manis mulutnya dan manis rupanya apakala berjumpa dengan nabi saw dia menunjukkan kononnya menyukai, padahal di sebalik hatinya membenci, maka turunlah ayat ini.


Kata Abdullah bin Syaddad pula ayat ini diturunkan untuk ditujukan kepada sesetengah kaum munafik. Ketika mereka berjumpa dengan nabi saw mereka membongkok dan menundukkan kepala sambil menudung pula muka mereka, supaya tidak dilihat oleh nabi saw.


Maka kepada orang kafir yang menyembunyikan rasa permusuhan mereka terhadap Rasulullah saw itu Allah memaklumkan, bahwa apa yang mereka sembunyikan itu akan diketahui Allah jua walaupun dalam apa keadaan sekalipun.


Surah Hud ayat 6


Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata.


Allah bukan sahaja menguruskan manusia, tetapi Allah menguruskan semua makhluk yang hidup dan bergerak di alam ini. Samada melata di bumi ataupun terbang di langit. Dari sekecil-kecil bakteria hingga kepada sebesar-besar makhluk ciptaanNya. Bilangannya pun kita tidak tahu.


Bayangkan, semua makhluk yang entah berapa banyak, entah berapa jenis itu, semuanya Allah yang berikan rezeki kepada mereka. Ke mana sahaja binatang itu pergi, makanannya telah ada disitu. Makanan itu telah menunggunya di situ. Begitu juga manusia, pagi makan di kedai itu dan petang di kedai lain pula. Semuanya telah ditetapkan.


Kenapa sebut tentang rezeki pula dalam ayat ini? Allah nak beritahu bahawa tak payah tunggu pun hari pembalasan untuk Allah beri azab kepada mereka yang menolak ajakan dakwah. Kerana Allah yang memberi rezeki, dan kalau Allah menahan rezekiNya dari sampai kepada mereka, mereka dah dapat seksa di dunia lagi dah. Janganlah mereka nak sombong dengan Allah, padahal segala rezeki yang mereka ada dan mereka dapat makan, pakai dan segalanya diberi oleh Allah.


Maka, janganlah sombong dengan Allah. Allah boleh tahan rezeki yang diberinya itu dengan tiba-tiba sahaja. Siapa lagi yang boleh beri rezeki kepada kita kalau Allah dah tahan?


Allah Maha Tahu di manakah tempat kediaman, tempat bermastautin semua makhlukNya, termasuklah kita. Iaitu tempat yang kita tinggal lama. Kalau manusia, bermaksud rumahnya. Allah tahu di mana kita tinggal, walaupun kita hendak menyorok macam mana pun. Kadang-kadang kita pergi ke merata tempat, tapi kita akan pulang juga ke tempat tinggal kita yang tetap, ke kampung halaman kita. Allah tahu segala-galanya. Allah tahu di mana kita berada pada setiap ketika, tidak kira untuk masa yang lama ataupun sekejap sahaja.


Allah tahu di mana sahaja kita tinggal sebelum kita berpindah-randah. Bukan sahaja kita, tetapi segala makhluk-makhlukNya yang kecil ataupun besar. Kalau kita jenis orang yang berpindah-randah pun, tentu kita lupa di mana kita tinggal dahulu tetapi Allah tahu. Tempat tempat dan tempat kita pernah singgah di dalam hidup kita pun kita tidak ingat, tetapi Allah tahu kemana-mana sahaja tempat yang kita pernah pergi.


Ayat ini mengingatkan kepada kita tentang ilmu Allah yang maha luas. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana Musyrikin Mekah cuba menyembunyikan apa yang ada di dalam hati mereka daripada diketahui Allah. Mana mungkin mereka boleh menyembunyikannya sedangkan Allah tahu segala-galanya.


Surah Hud ayat 7


Dan Dia lah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “ArasyNya, berada di atas air (Ia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: “Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati” tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: “Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya)”.”


Allah mengingatkan kita yang Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi ini. Maka, kalau begitu, hendaklah kita hanya menyembahNya sahaja. Allah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari, iaitu dimaksudkan hari yang menjadi perkiraan Allah pada masa menciptakan alam wujud ini, bukanlah mengikuti ukuran hari dunia yang ukurannya 24 jam sehari. Hal ini telah kita bincangkan di dalam surah Al A’raf ayat 54 dahulu. Dapatlah difahamkan di sini, bahwa Allah menjadikan beberapa langit dan bumi selama enam hari itu, dapat diertikan telah mengambil masa selama enam kali perkembangan yang sesuai mengikut pertumbuhan langit dan bumi tersebut, yang mengambil masa beribu-ribu tahun.


Waktu Allah ciptakan dunia, Arash Allah itu berada di atas air. Bagaimana keadaannya pun kita tidak tahu. Yang pasti, ianya bukan air yang dunia. Kerana itu tidak mungkin kerana Arash itu sendiri merangkumi seluruh alam ini dan bukan hanya bumi sahaja. Ini adalah perkara yang akal kita tidak akan mampu untuk mengetahuinya.  Tidak perlu difikirkan dengan panjang lebar kerana ini adalah perkara diluar jangkauan akal fikiran kita untuk memahaminya.


“...Dia menjadikan semuanya itu untuk menguji kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya..”
Allah memberitahu tujuan kenapa Dia buat langit bumi adalah untuk menguji manusia. Apabila ujian itu besar, maka perkara yang hendak diuji itu adalah besar juga. Ujian bulanan tidak sama dengan Peperiksaan PMR contohnya. Lihatlah bagaimana Allah jadikan dunia ini dengan segala kehebatannya. Kerana ujian yang akan diberikan kepada kita juga adalah besar juga. Kenangkan bahawa segala dunia yang besar ini adalah untuk kita. Memang kita kecil kalau dibandingkan dengan alam ini. Tapi alam ini untuk kita dan sebab kita sebenarnya. Maknanya, fokus penciptaan alam ini bukanlah alam itu, tetapi kita.


Dalam ayat ini, Allah kata Dia hendak menguji hambaNya, siapakah yang ‘lebih baik amalnya’. Bukan ‘lebih banyak amalnya’. Oleh kerana itu, kita kena faham apakah amal yang baik itu. Amal yang baik itu adalah amal yang ikhlas kerana Allah. Bukannya untuk ditunjuk kepada orang lain, bukan kerana hendak mendapatkan sesuatu perkara, tapi kerana ianya semata-mata kerana Allah.


Dan sekiranya Nabi Muhammad saw mengkhabarkan kepada kaum musyrikin itu bahwa Allah akan membangkitkan manusia selepas mati di kemudian hari dan akan menghidupkan semula seperti sedia kala kerana hendak memberikan pembalasan, nescaya mereka akan memberikan jawapan seperti jawapan orang yang kufur, yang mengejek dan memperolok-olokkan alQuran. Mereka akan kata bahawa AlQuran itu hanyalah sihir yang nyata, kerana hendak menyihir fikiran mereka supaya patuh kepada Allah dan Nabi Muhammad dan membenci kesenangan dunia yang mereka sedang nikmati.


Surah Hud ayat 8


Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): “Apakah yang menghalangnya?” Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka, dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.


Allah telah beri berbagai-bagai ancaman tentang azab, tapi Allah tak terus turunkan azab itu. Ini adalah kerana Allah hendak memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat. Kerana ramai dari Musyrikin Mekah itu yang mulanya menentang Nabi Muhammad, tapi akhirnya mereka telah bertaubat dan masuk Islam seperti Abu Sufyan, Khalid al Walid dan ramai lagi.


Sesungguhnya dunia dan alam ini telah ada masa yang ditetapkan oleh Allah akan hancur. Tunggu masanya untuk sampai sahaja. Allah lengahkan, tapi ianya tetap akan terjadi. Orang musyrikin ini apabila mereka engkar kepada Tuhan tapi mereka tidak dikenakan azab, mereka akan mengejek kenapa mereka tak kena azab lagi? Berlagak sungguh mereka kerana mereka tidak dikenakan dengan azab. Mereka meminta azab disegerakan kepada mereka dengan cara mengejek.  


Azab itu pasti akan sampai kepada mereka. Mereka tidak akan dapat nak elak azab itu apabila ianya sampai kepada mereka nanti. Begitulah orang musyrikin, apabila manusia tidak mahu terima sesuatu perkara itu, mereka akan mengejeknya.  Mereka sangka yang azab itu lemah sampaikan boleh ditahan-tahan. Tidak, tidak begitu. Azab itu adalah amat besar dan kuat sekali sampaikan ianya akan meliputi mereka. Waktu itu mereka tak dapat nak elak lagi.


Surah Hud ayat 9


Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur.”


Allah menyebutkan dalam ayat ini tentang tabiat manusia. Iaitu apabila ia diberi Tuhan kurnia seperti hidup mewah, rezeki murah, tubuh badan sihat, suasana rumahtangga aman sentosa, mempunyai anak-anak yang baik dan berbakti dan lain sebagainya, semuanya itu merupakan rahmat yang dapat dirasakan betapa lazatnya yang tentunya dia merasa amat senang.


Tetapi kemudian Allah telah mencabut rahmat tersebut daripadanya dengan cara dan sebab yang telah ditakdirkan Allah kepada makhlukNya, umpamanya, sakit, kematian, kesempitan hidup. Maka manusia itu pun akan putus asa dariapda rahmat Allah, kecewa dan hampa untuk mengharapkan kembalinya lagi rahmat tersebut.


Mereka akan terus menerus mengingkari nikmat yang masih ada apalagi yang telah lenyap daripada dirinya. Kesimpulannya tabiat manusia selalu berputus asa daripada rahmat Allah setelah rahmat itu telah tercabut daripada mereka. Hal ini tidak lain ialah kerana kurangnya rasa bersabar dan tidak berterima kasih kepada Tuhan.


Surah Hud ayat 10


Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”. Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai).”


Allah menerangkan keadaan dimana selepas manusia ditimpa bala atau musibah, kemudian Allah angkat musibah itu. Dia dah jadi lega sekarang. Masalah yang dihadapinya sebelum itu telah tiada. Mereka akan berkata, “Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku”.


Itulah kata-kata lega dari orang itu. Dulu dia tidak ada kerja tetap, tapi sekarang dia dah dapat kerja. Dia tak cakap pun Allah telah menghilangkan kesusahan darinya. Dia tak ingat pun taqdir Allah dalam hal menghilangkan masalahnya itu. Kalau dia cakap alhamdulilah pun, sebab dia dah biasa cakap dah. Secara otomatik sahaja terpancul keluar dari mulutnya, tapi dia tidak terfikir pun rasa syukur kepada Allah itu. Ini kita kena ingat kerana mungkin kita selalu buat.


Musibah yang telah terjadi kepadanya tidak menjadikan dia rendah diri. Dia cuma rasa putus asa, tidak keruan sahaja. Dia tidak pun menyerah diri kepada Allah. Dia tidak pun berdoa kepada Allah. Dan apabila dia dapat nikmat, dia tak ingat Allah pun. Dia hanya jadi kesukaan sahaja. Dia gembira kerana dia hanya melihat kepada keduniaan sahaja. Apabila hal dunianya sudah selesai, tidak ada masalah lagi, dia jadi gembira. Fokusnya kepada dunia sahaja.
Dan dia bermegah-megah dengan orang lain. Dia pun bercerita dengan orang lain bagaimana dulu dia ada masalah, tapi sekarang tidak lagi. Tidak pun dia hendak berterima kasih kepada Allah dan beritahu kepada orang lain yang Allah telah menyelesaikan masalahnya itu.


Ayat ini mengingatkan kita supaya apabila masalah kita selesai, maka bersyukurlah kepada Allah. Kalau ada masalah, berdoalah kepada Allah. Apabila kita berdoa kepada Allah, itu menunjukkan kebergantungan kita kepada Allah. Dan Allah suka kalau kita bergantung kepadaNya.


Surah Hud ayat 11


Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.”


Di sini Allah menjelaskan pula jenis manusia yang dikecualikan dari dua golongan yang terdahulu sebutannya di dalam ayat 9 itu. Iaitu dikecualikan mereka yang sabar dan yang beramal soleh. Sabar itu maksudnya yang berhati tabah dalam menghadapi segala malapetaka yang didukacitainya, semata-mata percaya kepada Allah yang telah menguji dan mengharapkan pula pahala di atas ujian tersebut. Apabila nikmat ditarik dari mereka yang tidak beriman, mereka putus asa dan jadi kufur nikmat. Tetapi orang yang beriman, apabila nikmat ditarik, apabila mereka ditimpa musibah, mereka akan sabar.


Sabar itu mengawal diri kita dalam masa susah dan senang. Kawal diri dari putus asa masa susah. Dan kawal diri dari bermegah-megah dalam keadaan senang. Kerana mereka yang sabar itu sedar bahawa apa sahaja yang terjadi, ianya hanya sementara sahaja. Kalau sedang susah, ianya sementara. Dan kalau dalam senang pun, sementara juga.


Manakala orang yang beramal soleh pula ialah berbuat kebajikan apabila kesusahannya bertukar menjadi kesenangan, dan berterima kasih kepada Allah dengan mengamalkan pekerjaan yang diredhai Allah serta berbuat kebajikan kepada sesama makhluk.


Surah Hud ayat 12


“Jangan-jangan engkau (wahai Muhammad) tidak menyampaikan sebahagian dari apa yang diwahyukan kepadamu serta merasa sempit dada untuk menyampaikannya disebabkan orang-orang yang ingkar itu berkata: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad) perbendaharaan (harta benda yang banyak), ataupun datang bersama-sama dengannya malaikat (untuk menolongnya menyiarkan Islam)?” Kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada orang-orang yang ingkar, dan Allah jualah Pentadbir yang menguruskan tiap-tiap sesuatu (maka berserahlah diri kepadaNya).”


Di ketika orang-orang musyrikin itu tidak mahu mempercayai wahyu yang turun kepada Nabi Muhammad saw, tibullah rasa di dalam hati baginda, kalau begini mahu rasanya ditahan dulu wahyu ini, dada baginda menjadi sempit atau fikiran menjadi stress. Ada-ada saja permintaan dari orang-orang kafir ini supaya didatangkan bukti kebenaran wahyu itu diturunkan. Ada yang meminta barang-barang turun dari langit untuk sebagai bukti bahwa wahyu itu memang ada. Bukan kebendaan saja, malah malaikat yang membawa wahyu itu juga mereka nak tengok.


Mereka ni tidak hendak menilai ajaran dan petunjuk yang terkandung dalam wahyu, tetapi mereka meminta bukti tanda berupa benda. Sikap yang seperti ini pasti menimbulkan rasa kecewa dalam hati baginda sebagai rasul Allah. Timbul perasaan supaya tidak usah seluruh wahyu itu disampaikan, sebab tidak juga mereka akan menerimanya. Hati baginda menjadi jengkel dan dada merasa sesak.


Maka datanglah  ayat ini sebagai pengubat hati baginda yang kecewa itu. Allah kata kepada Nabi saw, ‘sesungguhnya, engkau tidak lain, hanyalah sebagai pembawa ancaman.’


Maksudnya ialah supaya Rasulullah saw meneruskan tugasnya, menyampaikan ancaman kerana kekafiran mereka itu, jangan separuh-separuh, jangan ada yang disembunyikan dan jangan dada menjadi sesak. Teruskan!


Memang ada setengah wahyu itu yang menyakitkan hati kaum kafir itu. Di antaranya ialah kerana di dalam wahyu tersebut ada celaan kepada berhala-berhala yang mereka sembah dan perubatan mereka yang keji. Maka janganlah celaan terhadap berhala itu disembunyikan dari penyampaian wahyu, terangkan semuanya, sampaikan semuanya kepada mereka! Jangan ditahan-tahan, kerana itulah tugasmu.


Allah memberikan pula jaminan kepada baginda nabi saw, supaya janganlah baginda bimbang. Walaupun apa yang terjadi, teruskan untuk menyampaikan wahyu. Allah akan sentiasa menjadi penjaga atau pelindung baginda. Kerana segala yang baginda kerjakan itu adalah atas kehendak Allah dan atas suruhan Allah. Allah tidak akan mengecewakan hambaNya yang diberiNya kepercayaan yang seberat itu.


Surah Hud ayat 13


Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar”.


Orang-orang musyrikin ini ada yang menuduh bahawa Nabi sendiri mereka-reka ayat-ayat dalam Quran itu. Mereka kata Nabi yang tulis sendiri Quran itu. Kerana mereka kononnya berpegang dengan syariat Nabi Ibrahim dan mereka kata Nabi Muhammad bawa benda yang baru pula. Padahal, syariat Nabi Ibrahim itu mereka telah ubah-ubah dan tambah sendiri.


Memang ada persamaan sedikit syariat Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Seperti nikah kahwin dan cerai, memang ada persamaan. Banyak persamaan yang masih lagi diamalkan pada zaman Nabi Muhammad pun. Maka, ada yang Nabi teruskan dan ada yang Nabi tukar.


“.. katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, “
Kalau kamu kata Quran itu buatan manusia, maka tentu kamu boleh buatkan yang sama macam itu juga bukan? Kamu tentu lagi pandai dari Muhammad. Kerana kamu lebih pandai tentang bahasa dan syair dari Nabi. Maka, buatlah surah-surah yang sama macam itu juga. Bukan banyak, buat sepuluh surah sahaja. Surah yang pendek-pendek pun tidak mengapa. Kalau kamu kata Nabi yang buat, tentu kamu pun boleh buat juga, bukan?


Di dalam ayat ini, Allah hendak mengingatkan kita kepada ketinggian al-Quran itu. Dalam ayat pertama surah ini, telah diberitahu kepada kita bagaimana ayat-ayat Quran itu bersifat kukuh dan jelas. Maka, mereka kenalah bawa surah yang bersifat begitu juga.


Mereka tidak akan boleh hendak membawakan sepuluh surah sepertinya. Jangan kata sepuluh surah, satu surah pun tidak mampu. Kerana ayat-ayat dalam Quran itu bukanlah dari percakapan manusia sepertimana Allah itu tidak sama dengan makhluk. Mereka sendiri mengaku betapa ayat-ayat Quran itu menakjubkan. Sampai ada antara mereka tak mahu dengar Nabi baca ayat-ayat Quran kepada mereka. Kerana mereka rasa, kalau mereka dengar, mereka akan terpesona dan akan masuk Islam akhirnya. Mereka pun tak bagi orang lain dengar ayat-ayat Quran dibacakan. Kerana mereka tahu, ramai yang akan masuk Islam dan ikut Nabi Muhammad kalau dengar ayat-ayat Quran yang menakjubkan itu.


Panggillah sesiapa sahaja yang kamu nak panggil. Kalau nak panggil penyair yang terkenal kah, nak panggil orang Yahudi atau Nasrani kah, nak panggil jin atau tuhan-tuhan berhala yang kamu sembah itu, panggillah mereka untuk tolong kamu.

Ini adalah ayat cabaran dari Allah kepada mereka. Ada lagi ayat cabaran yang diberikan dalam Quran. Ada yang masuk Islam disebabkan oleh ayat cabaran ini. Kerana kalau ada cabaran yang sebegini, tentunya ianya sesuatu yang benar. Bayangkan, kalau kita menulis satu buku, satu thesis atau seumpamanya, beranikah kita nak beri cabaran kepada manusia lain untuk challenge tulisan kita itu? Kita pun tak berani sebab kita tahu takkan sempurna penulisan kita itu. Salah eja, salah fakta dan sebagainya. Tapi Allah, dengan segala kesempurnaannya, tidak takut untuk mencabar manusia. Subhanallah!!!!





Surah Hud ayat 14


Oleh itu, jika mereka (penolong-penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah-surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya?”  


Orang-orang musyrikin telah cuba untuk membuat seperti Quran itu tetapi tidak berjaya. Surah Hud ini diturunkan di hujung zaman Nabi di Mekah. Jadi telah banyak perkara yang telah berlaku sebelum ayat ini diturunkan. Antaranya, mereka telah melakukan usaha untuk mencipta ayat-ayat seperti ayat-ayat Quran itu. Tapi tidak berjaya.


Memang mereka tidak mampu buat. Dari dulu sampai sekarang. Dan memang ada sampai kepada kita surah-surah cubaan mereka itu. Ada kalangan orang kafir yang cuba buat ayat-ayat Quran. Tapi, tidak sama bahasa yang digunakan dan tidak sama kesempurnaan yang mereka hendak sampaikan. Manusia tidak akan mampu.


Allah beritahu dalam ayat ini bahawa Quran itu diturunkan dengan ‘ilmu’ Allah. Kalau ianya diturunkan dengan ilmu Allah, maka tentunya tidak ada salah dan cacat cela dalam ayat-ayat Quran itu. Maka, terimalah hakikah bahawa tidak ada tuhan selain Allah.


“...Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu hendak berserah diri?..”
Iaitu berserah diri hendak menerima tauhid? Soalan ini kena jawap: ‘Ya!’ Apa lagi yang hendak kamu lawan? Masih lagi kamu tidak mahu terima Islam yang benar ini? Kenapa kamu tidak mahu terima? Hanya kerana ianya lain dari pemahaman kamu selama ini? Kamu sanggup tidak terima kebenaran, hanya kerana ianya lain dengan apa yang kamu faham dan kamu amalkan?


Dan kalau tidak mahu juga menyerah, padahal sudah bertemu dengan kebenaran, itulah yang disebut sebagai menolak kebenaran. Bahasa Arabnya : KAFIR!


Surah Hud ayat 15


“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya.”


Allah menerangkan bahwa yang mendorong kaum musyrikin itu menentang dan mendustakan alQuran tidak lain ialah kerana mengikuti kemahuan nafsu mereka yang ingin kepada kemewahan dunia, walhal agama islam menyeru mereka agar mementingkan akhirat lebih daripada mementingkan dunia.


Ini diterangkanNya , sesiapa yang inginkan kepada kehidupan dunia, iaitu bersuka-suka dan bersenang lenang dengan makan dan minum, dan inginkan perhiasan dunia, berupa pakaian, perabot, alat kelengkapan, harta benda dan anak pinak, tanpa mempunyai persediaan mencari bekalan untuk hari akhirat kelak iaitu dengan beramal kebajikan, membersihkan rohani dengan mengerjakan ketaatan kepada Allah dan menambahkan keimanan, maka orang yang seperti ini akan diberi juga balasan dengan menadapat hasil dari usaha mereka itu dengan sempurna, sesuai dengan sunnatullah yang Allah tetapkan, walaupun mereka berlaku kufur kepada Allah.


Kerana pembahagian rezeki adalah bergantung kepada usaha , bukan bergantung kepada niat dan cita-cita sekalipun petunjuk agama lebih mementingkan supaya seseorang itu bersikap jujur, bercakap benar, menjauhi pengkhianatan dan sebagainya.


Maka dari sini difahami bahwasanya balasan amalan seseorang di dunia ini bergantung kepada dua perkara iaitu pertama usaha seseorang dan kedua kepada qadak dan qadar Allah yang telah ditetapkanNya. Adapun balasan di akhirat adalah bergantung pada perbuatan Allah semata tanpa seorang pun menjadi perantaraannya. Hal ini dilakukan kerana Allah tidak akan menganiaya seorang pun, sepertimana firman Allah di dalam surah Al Kahfi yang bermaksud:
“tidaklah Tuhanmu itu menganiaya seorang pun.”

Surah Hud ayat 16


Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batalah apa yang mereka telah kerjakan.”


Mereka yang hidup di dunia hanya bercita-cita untuk mencari kemewahan dunia, tidak akan mendapat sesuatu apa pun di akhirat nanti, kecuali yang ia dapat hanyalah neraka. Kerana balasan di akhirat itu mengikut amalan seperti balasan di dunia juga. Apabila seseorang itu tidak beramal untuk akhirat, maka ia tidak akan mendapat balasan untuk akhirat. Sesungguhnya beramal untuk akhirat itu ialah dengan membersihkan rohani, dengan beriman dan bertakwa serta menjauhi segala amalan maksiat dan kejahatan.


Apa yang telah mereka lakukan di dunia dahulu, yang ada lahirnya mereka ada berbuat kebajikan dan kebaikan, seperti menderma dan bersedekah, menghubungkan tali silaturrahim dan berbaik-baik dengan berbagai kaum secara harmoni, semua yang dilakukan itu bukanlah untuk membersihkan rohani yang dapat mendampingkan diri kepada Allah, bahkan mereka melakukannya oleh tujuan lain. Hanya untuk memenuhi kehendak nafsu mereka seperti riyak, bermuka-muka dan bermegah-megah. Sebenarnya ia dilakukan dengan jalan yang salah. Maka perbuatan yang demikian tidak ada balasannya, bahkan akan terputus cukup di dunia saja di akhirat tidak.


Patut diingat, bahwa sesuatu kebajikan yang dilakukan oleh seseorang itu jika salah meniatkannya tidaklah ada balasannya di akhirat, sesuai dengan hadis yang berbunyi:
“tiap-tiap amal hendaklah disertakan niat, dant tiap-tiap seorang akan mendapat balasan sekadar apa yang diniatkannya.”


Surah Hud ayat 17


“Adakah sama mereka itu dengan orang-orang yang keadaannya sentiasa berdasarkan bukti yang terdapat dari (benda-benda yang diciptakan oleh) Tuhannya, dan diikuti oleh Kitab Suci Al-Quran memberi kenyataan – sebagai saksi dari pihak Tuhan meneguhkan bukti yang tersebut; dan sebelum itu, kenyataan yang serupa diberi oleh Kitab Nabi Musa yang menjadi ikutan dan rahmat (kepada umatnya)? Orang-orang yang berkeadaan demikian, mengakui – menerima Al-Quran; dan sesiapa ingkar akan Al-Quran itu dari kumpulan-kumpulan kaum kafir, maka nerakalah dijanjikan menjadi tempatnya. Oleh itu, janganlah engkau (wahai Muhammad) menaruh perasaan ragu-ragu terhadap Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu adalah perkara yang benar dari Tuhanmu, tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepadanya.”


Di sini ada lanjutan pertanyaan yang tersembunyi, tetapi jelas, kerana telah terbayang pada dua ayat yang sebelumnya. Iaitu apakah orang yang begitu indah pendiriannya dan kuat imannya akan sama dengan orang yang beramal hanya kerana mengharapkan dunia dan perhiasannya? Iaitu orang yang hidup di dunia tetapi tidak mempunyai tujuan hidup?


Atau dalam maksud yang lain, adakah sama mereka yang berpegang dengan fitrah yang telah ada dalam diri mereka itu dengan orang yang tidak mengiktirafnya? Iaitu mereka yang dapat merasa kepercayaan kepada Tuhan yang telah sedia ada dalam diri mereka. Allah bandingkan mereka ini dengan orang-orang yang tidak mengiktiraf perasaan itu dalam diri mereka. Ada orang yang ada rasa itu tapi mereka ‘bunuh’ perasaan itu.


Sebelum Quran diturunkan, Kitab Taurat telah diturunkan kepada manusia. Ianya juga adalah kalam Allah. Ianya menjadi pedoman dan pegangan manusia juga.Kepada mereka yang betul-betul beriman dan berpegang dengan Taurat, mereka tidak boleh lari dari beriman dengan kalam Allah yang diturunkan selepasnya: Quran.


Orang-orang agama dalam Yahudi sudah tahu bahawa akan turun Rasul terakhir di tanah Arab. Lebih tepat lagi, di Madinah. Sebab berita itu telah tertulis dalam kitab-kitab mereka. Sebab itulah mereka ramai yang telah berada di Madinah. Kerana tanda-tanda dalam kitab mereka menunjukkan bahawa Rasul baru itu akan turun di Madinah. Dan tanda-tanda pengenalan Nabi Muhammad juga mereka sudah tahu. Cuma mereka tidak mahu terima sahaja setelah nyata bahawa Rasul yang dimaksudkan itu adalah Nabi Muhammad. Mereka tidak dapat terima kerana Rasul yang baru itu bukan dari bangsa mereka tapi dari bangsa Arab. Tapi mereka yang benar-benar beriman dengan Kitab Taurat, mereka akan terima Quran dan terima Nabi Muhammad. Antara yang kita selalu dengar adalah seorang sahabat yang bernama Abdullah bin Salam.


Sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Nabi pun, sudah ada mereka yang mencari-cari Tuhan. Mereka tidak percaya dengan amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat Musyrikin Mekah itu. Mereka ini dinamakan golongan Hunafa’ – golongan yang Hanif – mereka yang condong kepada kebenaran – condong kepada Tauhid. Mereka mengiktiraf fitrah yang telah ada dalam diri mereka dan mereka menolak perbuatan syirik kaum mereka. Kebanyakan mereka mengamalkan saki baki ajaran Nabi Ibrahim.


Ada juga dari kalangan mereka yang pergi berjumpa dengan Ahli-Ahli Kitab dari kalangan Yahudi dan Nasara kerana hendak belajar agama dari mereka. Sebagai contoh, kita pun tahu telah Waraqah bin Naufal yang bersaudara dengan Siti Khadijah. Beliaulah tempat rujukan yang Khadijah rujuk apabila Nabi Muhammad menerima wahyu kali yang pertama. Khadijah telah bawa Nabi Muhammad bertemu dengan Waraqah itu.


Di dalam diri manusia itu memang dah ada iman (iaitu fitrah yang telah disebutkan sebelum ini) dan iman itu dibenarkan oleh Quran pula. Itulah sebabnya, apabila Quran dibacakan kepada mereka, mereka terus percaya. Mereka ‘ikut’ apa yang disampaikan. Quran telah membenarkan apa yang telah diketahui oleh hati mereka. Iman itu adalah apa yang sudah ada dalam hati.


Mereka yang tidak mahu beriman dengan Nabi Muhammad, dijanjikan neraka bagi mereka. Untuk masuk syurga, salah satu syaratnya adalah beriman dengan kenabian Nabi Muhammad. Imam Muslim ada meriwayatkan satu hadis dari Nabi:
“Demi Dzat yang jiwaku berada di TanganNya, tidak seorang pun dari umat ini, baik Yahudi mahupun Nasrani yang mendengarku kemudian dia tidak beriman kepadaku melainkan dia akan masuk neraka.”


Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa kebanyakan manusia tidak beriman. Ada yang kata kalau Islam itu benar, kenapa tak ramai ikut? Mereka kata sepatutnya kalau ianya adalah kebenaran, tentu ramai yang akan beriman dengannya. Itu hanya logik akal mereka sahaja. Kerana faham mereka, kalau sesuatu itu baik, tentulah ramai yang akan menyokongnya, bukan? Jadi, Allah dah jawab dalam ayat ini, memang telah ditakdirkan tak ramai umat manusia yang beriman.




Surah Hud ayat 18


“Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah! Orang-orang yang demikian sifatnya akan dibawa mengadap Tuhan mereka, dan pada hari itu akan berkatalah saksi-saksi (dari malaikat-malaikat, Nabi-nabi, dan anggota-anggota tubuh mereka sendiri): “Inilah orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Tuhan mereka”. Ketahuilah (sesungguhnya) laknat Allah tertimpa kepada orang-orang yang zalim!”


Dalam ayat sebelum-sebelum ini, Musyrikin Mekah ada yang mengatakan Nabi Muhammad mereka-reka ayat Quran dan mereka-reka perkara baru dalam agama. Itu adalah satu pembohongan yang besar. Allah menyatakan di dalam ayat ini bahwasanya tidak ada orang yang lebih aniaya kepada dirinya sendiri dan kepada orang lain daripada orang yang berdusta terhadap Allah, samada dengan perkataan mahupun perbuatannya.


Umpamanya dengan mendakwa bahawa malaikat itu anak perempuan Allah seperti yang didakwakan oleh kaum musyrikin Arab, ataupun mendakwakan Isa itu anak Allah seperti dakwaan kaum Nasarani. Maka orang yang demikianlah yang paling aniaya.


Orang yang mengadakan dusta, pada hari akhirat akan ditanya oleh Allah tentang amalan yang mereka lakukan di dunia, yang mana amalan itu ada diperlihatkan dan dipamerkan di khalayak ramai untuk dihisabkan.


Pada masa amalan mereka diperlihatkan di khalayak ramai maka tampillah para saksi yang terdiri dari malaikat yang mencatat amalan mereka pada masa di dunia, dan nabi-nabi yang telah menyampaikan seruan Allah, juga orang mukmin yang saleh, mereka itu akan berkata sebagai saksi bahwa mereka itulah yang telah berdusta terhadap Allah. Iaitu kata-kata yang mendedahkan keburukan mereka. Dan begitulah setiap  orang yang membuat dusta terhadap Allah akan didedahkan di akhirat di khalayak ramai. Pada hari akhirat mereka pun dilaknat Allah  iaitu dihalau dan disingkirkan daripada kawasan rahmatNya.


Surah Hud ayat 19


‘Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan ugama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat;”


Orang yang paling aniaya itu, merekalah juga yang menjadi penghalang kepada orang lain yang ingin menuju ke jalan Allah. Iaitu yang akan menganut agama Islam, atau menyekat kebebasan orang yang hendak menjalankan dan mengamalkan agamanya.


Dan mereka jugalah yang mengkehendaki supaya jalan itu menjadi bengkok, umpamanya dengan memberikan gambaran yang salah atau mengeluarkan pendapat yang mengelirukan terhadap kebenaran dan kesucian agama Islam. Kerana yang sebenarnya mereka itu tidak juga percaya akan adanya hari akhirat di mana manusia akan dibangkitkan semula dari kuburnya untuk menerima pembalasan.


Surah Hud ayat 20


Mereka itu tidak akan dapat melemahkan kekuasaan Allah daripada menimpakan mereka dengan azab di dunia, dan tidak ada pula bagi mereka, yang lain dari Allah, sesiapapun yang dapat menolong melepaskan mereka dari seksaNya. Azab untuk mereka akan digandakan (kerana mereka sangat bencikan jalan ugama Allah), sehingga mereka tidak tahan mendengarnya, dan tidak pula suka melihat tanda-tanda kebenarannya.”


Apabila Allah biarkan mereka dengan perbuatan ingkar mereka, mereka ingat Allah lemah sampai tak boleh nak beri azab kepada mereka. Tapi sebenarnya Allah biar sahaja sebab Allah nak azab mereka di akhirat kelak. Allah nak beritahu dalam ayat ini, bahawa Allah boleh sahaja untuk beri azab kepada mereka semasa di dunia lagi, cuma Allah tak buat sahaja.


Ada satu lagi pendapat tentang ayat ini. Iaitu mereka tidak dapat melemahkan. Melemahkan apa? Melemahkan Allah dan menghalang manusia daripada Quran. Mereka tidak mahu manusia belajar Quran, tapi ianya akan sampai kepada manusia juga. Sebelum ini telah diberitahu bahawa ayat ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah dan waktu itu tekanan mereka kepada orang-orang Islam amatlah kuat. Sampaikan Abu Bakar pun telah memikirkan untuk meninggalkan Mekah kerana tidak tahan. Kalau dulunya, hanya mereka yang lemah di mata masyarakat sahaja yang ditindas, tapi apabila mereka tidak dapat menghalang Islam dari berkembang, mereka juga telah menindas dan memberi tekanan kepada mereka-mereka yang ada kedudukan pun.


Disebut bagaimana mereka tidak dapat menghalang kuasa Allah di bumi. Bukan hanya di bumi sahaja, tapi di akhirat juga tentunya. Tapi disebut ‘bumi’ dalam ayat ini, kerana mereka sangka mereka ada kuasa di bumi. Kalau di bumi sudah tidak berkuasa, apatah lagi di akhirat nanti.


Mereka sangka tuhan-tuhan mereka yang mereka sembah akan dapat melepaskan mereka nanti, tapi tidak sama sekali. Mereka akan dapat azab yang berganda. Kenapa? Kerana bukan sahaja tidak mahu beriman dengan Quran, tetapi mereka menghalang orang lain juga dari Quran dan kerana mereka hendak menjadikan agama itu bengkok. Mereka dilipatgandakan azab kepada mereka kerana mereka telah berusaha untuk merosakkan agama ini. Seperti yang disebut dalam surah Fussilat ayat ke 26 :
“Dan orang-orang yang kafir berkata: “Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!””


Oleh itu, jikalau ada kalangan kita yang menghalang manusia dari mempelajari Quran, maka mereka pun akan mempunyai nasib yang sama. Terdapat banyak halangan-halangan dari masyarakat kita yang menghalang manusia dari memahami Quran. Mereka tidak benarkan Tafsir Quran diajar. Mereka kata orang awam tidak perlu mempelajar Tafsir Quran. Kerana mereka kata orang awam tidak mampu memahaminya. Maka, manusia pun ramai yang tidak belajar.


Mereka semasa di dunia tidak mendengar wahyu dari Allah. Mereka tidak mampu mendengarnya. Pelajaran perlu didapati dengan menggunakan pendengaran, dan apabila mereka tidak mahu mendengar ayat-ayat Quran yang disampaikan, maka mereka tidak dapat memasukkan ilmu agama dalam hati mereka.


Allah perli mereka dalam ayat ini: “adakah mereka semasa di dunia dulu, tidak mampu mendengar?”
Tentulah mereka boleh mendengar kerana Allah sudah memberi kebolehan mendengar kepada manusia. Tapi mereka sendiri tidak mahu menggunakannya untuk mencari kebenaran. Padahal, mendengar itu adalah jalan yang paling senang untuk mendapat ilmu. Bayangkan, kalau nak membaca, kena buka buku, kena baca, kena duduk di tempat yang sesuai, kena dalam kedudukan yang selesa. Tapi, kalau nak mendengar, tak perlu buka apa-apa sebab memang telinga sudah tersedia terbuka.

Walaupun tanda-tanda kebenaran sudah ada di depan mata mereka, mereka akan menolaknya. Allah juga perli dalam ayat ini: adakah mereka tidak mampu melihat dahulu? Tentulah mereka boleh mendengar dan melihat, tapi mereka tidak mahu menggunakannya untuk mencari kebenaran.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.