Thursday, May 14, 2015

Surah Yunus Ayat 21 Hingga 40

Surah Yunus Ayat 21

“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka dengan serta-merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!" Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya yang kamu jalankan itu.

Allah menyatakan bahawasanya kaum musyrikin itu apabila mereka memperolehi kesenagnan dan nikmat sesudah mereka ditimpa kesusahan dan penderitaan, maka mula lah merka ini membuat tipu daya untuk menentang keterangan Allah. Iaitu dengan mendustakan keterangan tersebut dan mengejek-ngejeknya.

Pernah kaum musyrikin dahulu di Mekah mengalami musim kemarau selama tujuh tahun, sehingga mereka menderita kelaparan, kerana tidak ada tumbuhan yang hidup dan kekurangan bahan makanan. Kemudian dengan belas kasihan Allah swt menurunkan hujan yang banyak, maka negeri mereka pun kembali subur dan hiduplah mereka dengan senang, sesudah menderita beberapa ketika.

Tetapi mereka ini tidak mahu mengambil tauladan dari peristiwa sedih yang menimpa mereka. Sebaliknya mereka kembali membuat kejahatan, bersikap kufur dan melakukan tipu daya. Sepatutnya mereka ini mesti bersyukur, tetapi tidak. Sebaliknya mereka memberi alasan yang bukan-bukan pula. Kononnya kesenagan yang mereka nikmati itu adalah datang dari kuasa ghaib yang terjadi daripada peredaran bintang, atau berkat dari berhala yang mereka sembah. Ataupun mereka memberi alasan yang kesenangan yang mereka perolehii itu adalah secara kebetulan saja.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah lebih cepat melakukan rancangan”
Allah lebih cepat lagi dalam merancang. Apakah maksudnya? Itulah rancangan Allah untuk beri masa kepada mereka untuk melakukan dosa. Allah beri sahaja mereka buat apa yang mereka nak buat. Tapi nanti, bila dah mati, baru mereka tahu apakah salah mereka dan mereka akan diazab dengan sebesar-besar azab. Itulah rancangan Allah dan rancangan Allah pasti akan menang. Rancangan Allah tidak boleh dikalahkan.

Allah menyuruh rasulNya mengetakan kepada kaum musyrikin, bahwa Allah lebih cepat lagi daripada mereka untuk membuat tipu daya, dengan mengaturkan seksaanNya untuk mereka terlebih dahulu dari tipu daya yang mereka aturkan untuk memadamkan cahaya Islam dan menyekat pengamal pemeluknya. DitetapkanNya balsan unutk menyeksa mereka di dunia sebelum di akhirat. Dia lebih tahu apa yang mereka lakukan, sedikit pun tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuanNya.

“Sesungguhnya malaikat-malaikat Kami sentiasa menulis akan rancangan jahat mereka itu.”
Selalunya rancangan jahat dibuat dengan cara sembunyi-sembunyi, bukan? Tapi Allah beritahu dalam ayat ini yang Dia tahu rancangan jahat mereka itu. Tak rahsia mana pun. Mereka sahaja yang ingat rancangan mereka itu tidak diketahui. Bukan sahaja Allah, malah malaikat yang menulis amalan manusia juga tahu apakah rancangan jahat mereka itu.

Ingatlah yang ada malaikat yang sentiasa menulis segala perbuatan kita. Jangan ingat kita akan lepas dari kesalahan kita. Adakah kita ingat kita akan lepas? Tentu tidak. Kita tahu, tapi selalunya kita lupa.



Surah Yunus ayat 22

“Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.

Di dalam ayat ini Allah membuat suatu perumpamaan yang sangat tepat mengenai kehidupan manusia di mana mereka itu telah dikurniakan Allah kudrat atau kuasa yang membolehkan mereka berjalan, baik di darat mahu;pun di laut. Ini kerana Allah telah menjadikan binatang tunggangan untuk mereka seperti unta, kuda, keldai dan sebagainya.

Kemudian Allah ciptakan kenderaan darat yang lebih memberi kemudahan lagi cepat seperti kereta, motor, keretapi dan sebagainya. Begitu pula kenderaan di air dan udara yang dapat merentasi benua seperti kapal laut, kpal selam, kapal terbang, jet. Dengan adanya kenderaan tersebut, dpatlah manusia mencari penghidupan dengan lebih mudah dan senang serta bebas berjalan ke mana saja mereka suka.

.Sehingga apabila mereka berada di dalam kapal dengan membawa penumpangnya, kalaulah dia berlayar dengan kapal layar, kebetulan angin bertiup baik serta keadaan cuaca pun bagus dan langit pun cerah, maka berlayarlah kapal itu membelah lautan dengan lajunya. Manakala penumpang merasa senang dan gembira menikmati keindahan pemandangan alam semesta itu.

“...tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya...;”
Tetapi dengan tidak semena-mena kemudian datanglah angin ribut memukul kapal mereka dengan hebatnya, diikuti pula oleh gelombang besar yang mengaun, datang dari pelbagai arah melambungkan kapal itu dengan tidak berhenti-henti. Maka apabila di ketika itu, para penumpang yang ada di dalam kapal itu merasa cemas dan ketakutan yang amat sangat. Yakinlah yang mereka akan mati ditenggelamkan oleh gelombang yang mengelilingi mereka.

“....pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”.

Sedang mereka di dalam keadaan mencemaskan itu, barulah mereka teringat akan Allah, lalu mereka berdoa kepadaNya dengan mengikhlaskan agama semata-mata kerana Allah, dan taat setia mereka kepada Allah dengan tidak berbelah bagi dan tidak terlintas di hati mereka untuk meminta pertolongan kepada berhala agar mereka dilepaskan daripada bahaya tersebut.

Mereka berdoa dengan doa ““Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur”. Mereka dah insaf dah. Dah berniat nak jadi orang baik dah. Berjanji nak buat perkara baik-baik sahaja. Tak mahu nak buat perkara khurafat dah. Tak mahu nak buat syirik dah. Mereka nak bersyukur sentiasa. Dan memang mereka benar-benar ikhlas waktu itu.

Tapi, hanya waktu itu sahaja. Nanti kita lihat apakah yang mereka akan lakukan selepas mereka selamat nanti.

Ayat ini juga mengingatkan kita untuk mensyukuri nikmat alat alat pengangkutan yang Allah telah mudahkan untuk kita. Janganlah kita hanya bersyukur kepada Allah apabila kita selamat daripada malapetaka sahaja. Tetapi hendaklah kita juga bersyukur kepada Allah atas nikmat kemudahan yang telah diberikanNya kepada kita.



Surah Yunus Ayat 23

“Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada Kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan.

Dengan rahmat Allah, Allah selamatkan mereka yang berdoa kepadaNya. Ingatlah bahawa Allah sahaja yang dapat menyelamatkan sesiapa sahaja. Dalam ayat sebelum diceritakan bagaimana mereka benar benar berdoa kepada Allah dan berjanji dengan ikhlas yang mereka akan jadi orang baik, orang yang bersyukur. Tapi lihatlah apa yang terjadi. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah kerana menyelamatkan mereka, tetapi sebaliknya mereka bukan saja tidak berterima kasih, malahan mereka juga terus menderhaka kepada Allah di muka bumi dengan membuat aniaya dan kezaliman kepada manusia. Mereka ini sanggup buat apa sahaja untuk mendapatkan apa yang mereka mahukan. Yang kadang-kadang sampai melakukan kezaliman. Kerana disebabkan ianya lebih dari apa yang patut kita dapat, maka kita akan ambil bahagian orang lain. Tidak ada sesiapa boleh melakukan kezaliman dengan haq. Kerana tidak adil yang membenarkan kezaliman.

Maknanya, kalau kita derhaka dan zalim, kita sendiri yang akan dapat kesan keburukan darinya. Kita akan dibalas di akhirat kelak kalau tidak dibalas di dunia lagi. Kita tidak dapat lari dari balasan itu. Kita sangka, apabila kita zalim kepada orang lain, kita dapat kelebihan. Contohnya, kita ambil harta orang lain, maka kita sangka kita untung kerana kita akan dapat harta itu. Tetapi berapa banyak sangatkah harta itu kalau dibandingkan dengan azab yang kita akan dapat di akhirat nanti. Ianya langsung tidak berbaloi. Hanya untuk keuntungan di dunia, sanggup kita menanggung azab di akhirat?

Ini adalah ayat yang ditujukan kepada semua manusia. Kerana mesej yang disampaikan adalah mesej sejagat. Di dalam ayat ini Allah berseru, ‘ hai manusia yang cuai terhadap diri sendiri! Tidakkah cukup kamu berlagak sombong dengan melakukan kezaliman kepada orang yang lemah dengan bersandarkan kekuatan dan kesombongan? Tidak lain kederhakaan dan kezalimanmu itu secara tidak langsung kamu tujukan kepada dirimu sendiri, maka kamulah yang menganiaya dirimu sendiri.

Kederhakaan dan kezaliman yang kamu lakukan yang kamu anggap mungkin sebagai satu cara hidup yang menyenangkan di dunia ini sebenarnya tidak lama, hanya sebentar sahaja dapat kamu rasakan, kemudia ianya akan lenyap. Tetapi seksaannya tetap akan tinggal, setidak-tidaknya hatimu akan terseksa.

Kemudian nanti, kamu tidak dapat hendak melepaskan diri dari seksaan Tuhan, kerana kamu akan kembali juga kepadaNya untuk menerima balasan, iaitu seksa yang setimpal dengan kederhakaan dan kezaliman yang telah kamu lakukan dahulu.’



Surah Yunus ayat 24

“Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang – bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

Oleh kerana kederhakaan dan kezaliman manusia di dunia ini disebabkan manusia itu terlampau tamak, cintakan dunia dan kemewahan, maka Allah membuat perumpaan di dalam ayat ini kepada orang yang berakal agar mereka menghindarkan diri dari perasaan megah terhadap perkara keduniaan. Dan menganjurkan supaya bersikap sederhana dalam hidup di dunia ini dengan meninggalkan langsung sikap derhaka dan aniaya di muka bumi.

Allah memisalkan kehidupan ini hanyalah seperti air hujan yang turun langit. Air hujan didalam ayat ini adalah isyarat kepada rahmat yang Allah berikan kepada manusia. Bila Allah berikan rahmat kepada makhluk, segala-galanya akan nampak indah-indah belaka. Sebagai contoh, katalah kita mendapat kerja yang bagus. Tentu kita rasa suka dan kita rasa kehidupan kita lebih indah dan lebih bermakna. Tetapi ingatlah bahawa kesenangan itu boleh ditarik oleh Allah serta merta.

Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Kita lahir, membesar jadi dewasa dan sampai ke usia tua. Seperti tumbuhan yang akhirnya akan layu dan mati, begitulah juga dengan kita. Kita pun setiap hari tahu entah berapa ramai yang meninggalkan dunia ini. Itu adalah isyarat bahawa kita pun akan meninggalkan dunia ini juga.

Pengajaran dalam ayat ini: Jikalau dunia ini hanya untuk sekejap sahaja, maka janganlah habiskan seluruh usaha kita untuknya. Beri yang patut-patut sahaja. Jangan kita lupa amalan untuk bekalan akhirat kita. Bekalan untuk akhirat lah yang perlu dikumpul sebanyak mungkin kerana ianya akan kekal, sedangkan dunia tidak kekal. Jangan hanyut dalam dunia. Memang dunia nampak indah dan kita pun terpesona. Tapi lama kelamaan, ianya akan pudar. Kalau kita dapat kereta baru, memang mula-mula cantik, tapi lama kelamaan ada kemek sana dan sini. Itu tanda yang apa sahaja dalam dunia tidak kekal.

Kalau kita dapat apa sahaja dalam dunia ini, ingatlah kepada SIAPA yang memberikannya kepada kita. Itulah ALLAH! Selalu sangat kita lupa. Kadang-kadang kita lupakan solat kerana hal dunia. Itu bermakna kita melebihkan dunia dari akhirat. Padahal solat itu adalah tanda kita bersyukur dengan nikmat yang kita dapat dalam dunia.


Surah Yunus ayat 25

(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu). “

Apabila Allah menyeru, bermaksud Allah mengajak kita. Ada jemputan khas dari Allah. Seruan untuk masuk ke dalam syurga Darussalam. Atau ianya dipanggil ‘selamat sentosa’ kerana di sana, kita akan mendapat keamanan yang sempurna. Tidak ada kekurangan langsung di sana. Tidak akan dapat nikmat itu kalau di dunia. Kalau di dunia, ada sahaja barang yang rosak, ada sahaja barang yang luput. Dalam syurga, tidak ada ketakutan akan adanya kekurangan dalam nikmatNya. Tidak ada perasaan takut. Yang ada ada hanya aman.

Oleh itu, kenapa kita lebihkan kehidupan dunia yang tidak kekal dan banyak kekurangan ini sedangkan kita boleh dapat kehidupan yang kekal abadi yang penuh dengan kesempurnaan?

Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena ikut petunjuk. Dan dari mana datangnya petunjuk itu? Dari Allah SWT. Kena ikut ajaran dari Allah dan disampaikan oleh Nabi. Dan yang mendapat petunjuk itu adalah sesiapa yang Allah kehendaki sahaja. Bukannya semua orang boleh masuk. Semoga kita termasuk mereka yang Allah berikan hidayah itu. Hendaklah kita sentiasa berdoa supaya Allah berikan hidayah kepada kita.


Surah Yunus ayat 26

“Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. “

Dalam ayat ini Allah kata yang Allah akan memberikan pahala sesuai dengan amal perbuatan mereka, bahkan untuk menggalakkan mereka agar beramal dengan lebih giat, dan Allah menjanjikan pahala sepuluh kali ganda atau lebih banyak daripada itu. Orang-orang yang melakukan amal yang baik akan mendapat imbalan pahala melebihi pahala yang seharusnya diterima. Mereka itu akan menerima pahala yang berlipat ganda.

Dan mereka akan mendapat tambahan pahala lagi yang tidak ternilai harganya yaitu mereka akan mengetahui dengan sebenarnya bahwa Allahlah Yang Maha Mulia. Pengetahuan ini adalah pengetahuan yang paling tinggi kerana mereka mengetahui dengan sebenarnya dengan lebih dekat siapa Pencipta alam semesta ini, dan membenarkan terjadinya hari akhirat. Mereka akan mendapat pahala yang berlipat ganda dan mendapat pengetahuan yang tinggi, mereka hidup bahagia, dari wajah mereka tampak cahaya yang berseri-seri, sedikit pun tidak terlihat kemurungan dan kemuraman lantaran mereka itu tidak merasa kecewa atas keyakinannya yang telah dipegang kuat-kuat, dan tidak merasa bersusah hati.

Di akhir ayat ini Allah swt. menegaskan bahwa mereka inilah orang-orang yang berhak menjadi penghuni syurga. Mereka akan bertempat tinggal di dalamnya selama-lamanya. Di situlah mereka mengalami kebahagiaan yang abadi, kerana tidak akan merasa bosan dan jemu akan kenikmatan yang mereka rasakan dan tidak pula mereka takut akan berkurangnya kenikmatan atau dikeluarkan dari syurga.



Surah Yunus ayat 27

Dan untuk orang-orang yang melakukan kejahatan (syirik dan maksiat), balasan tiap-tiap satu kejahatan mereka ialah kejahatan yang sebanding dengannya serta akan ditimpakan kehinaan; tiadalah bagi mereka pelindung dari (seksa) Allah; muka mereka (hitam legam) seolah-olahnya ditutup dengan beberapa bahagian (yang gelap-gelita) dari malam yang gelap-gelita. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Ayat ini diterangkan pula tentang orang-orang yang melakukan kejahatan. Mereka yang dimaksudkan di sini ialah orang yang kufur, derhaka kepada Allah dan mengingkari rasulNya. Balasan untuk mereka ialah seksaan yang setimpal dengan perbuatan jahat mereka semasa di dunia, sedikit pun Allah tidak melebihkannya.

Jika kita teliti ayat ini dan yang sebelumnya, nyatakalah perbezaan yang jauh di antara balasan kepada orang yang berbuat baik dengan balasan orang yang berbuat jahat. Adapaun orang yang berbuat baik, bukan saja dibalas dengan baik malahan ada tambahannya. Tiap-tiap satu kebajikan yang dilakukannya di dunia, ia akan mendapat  balasan di akhirat sepuluh kali ganda hingga ke 700 kali ganda. Malah tidak akan terkira lagi banyaknya. Ini adalah menunjukkan sifat pemurah dan kelebihan Allah swt.

Sedangkan orang yagn jahat pula, ia akan mendapat balasan sekadar kejahatan yang pernah dilakukannya di dunia. Sedikit pun tidak akan dilebihkan supaya ianya tidak akan teraniaya. Dan ini menunjukkan akan sifat adil Allah swt. Dan sebagai hukuman dari Allah, mereka yang jahat ini akan diselubungi oleh rasa kehinaan yang amat memalukan. Dan apabila seksa Allah menimpa ke atas mereka di akhirat kelak, tidaka ada sesiapa yang berdaya menahannya sebagai usaha untuk menolong mereka.

Mereka dikiaskan sebagai orang yang amat buruk dan gelap nasibnya, seumpama gelapnya malam yang hitam lagi tebal menutupi muka mereka sehingga tidak ada harapan langsung bagi mereka untuk mendapat cahaya yang cerah pada masa hadapan.

Mereka yang disebutkan sifat-sifatnya itu adalah orang yang akan menjadi pengisi neraka yang kekal tinggal di dalamnya untuk selama-lamanya. Dan jangan menghara akan dapt keluar dariapdanya, kerana tidak ada lagi tempat lain yang disediakan utnuk mereka.

Di dalam ayat yang lain ada disebutkan mengenai sifat kedua golongan yang diperkatakan oleh ayat ini, di antaranya ialah ayat 38 - 42 dari surah Abasa dan ayat 22 - 25 dari surah Al Qiyamah.



Surah Yunus ayat 28

Dan (ingatlah) masa Kami himpunkan mereka semua (pada hari kiamat), kemudian Kami berfirman kepada orang-orang musyrik: “Tunggulah di tempat kamu semua, kamu dan makhluk-makhluk yang kamu jadikan sekutu”; sesudah itu Kami putuskan perhubungan baik di antara mereka. Dan berkatalah makhluk-makhluk yang mereka sembah itu (sebagai berlepas diri): “Bukanlah kami – yang kamu puja dan taat (sebenarnya kamu hanya memuja dan mentaati hawa nafsu kamu sendiri)!

Allah mengingatkan Rasulullah saw bahawa dua golongan yagn berbuat kebaikan dan kejahatan itu akan dikumpulkan di padang mahsyar, untuk diadakan perkiraan sehingga tidak seorang yang pun yang dikecualikan.

Kemudian Allah akan mengatakan kepada orang yang menyekutukan Allah, iaiatu setelah tidak ditegur dan tidak disapa beberapa lama, tetaplah kamu dan sekutu-sekutu kamu di tempat kamu! Maksudnya kamu bergerak dariapda tempat kamu, sehingga kamu diperiksa tentang apayang telah kamu lakukan di dunia mengenai ibadat dan pengabdian kamu masing-masing.

Maka kata-kata ini merupakan suatu amaran yang keras di hadapan khayalak ramai. Lalu mereka pun dipisahkan dan diceraikan antara satu dengan lainnya, sepihak yang menyekutukan Tuhan disebabkan menyembah berhala, dan sepihak pula berhala yang mereka sembah, agar terputus hubungan antara kedua-duanya yang pernah terjalin pada masa di dunia.

Pada masa itu berhala yang mereka sembah akan berkata kepada orang yang pernah menyembah dan memujanya, ‘tidak ada kamu menyembah kami.’ Maksudnya kata-kata ini diucapkan oleh berhala-berhala yang pada masa itu telah ditakdirkan Allah hanya pandai bercakap, untuk melepaskan diri dengan memberikan alasan, bahawa mereka hanyalah patung-patung daripada batu dan kayu yang tidak dapat bergerak, tidak mendengar dan tidak melihat. Bahkan tidak dpat berbuat sesuatu apa pun, maka tidaklah patut mereka itu disembah dan dipertuhankan, tetapi yang berhak disembah hanyalah Allah swt.

Surah Yunus ayat 29

““(Allah mengetahui apa yang sebenarnya); oleh itu, cukuplah Allah sebagai saksi antara kami dengan kamu, bahawa sesungguhnya kami tidak menyedari pujaan atau penyembahan kamu (kepada kami)”. “

Seterusnya patung-patung dan berhala-berhala itu mengatakan kepada para pemujanya. Bahwsanya cukuplah Allah sajalah yang menjadi saksi dan Dialah saja yang menjalankan pengadilan di antara kita. Kerana Dialah yang lebih tahu akan hal keadaan kita semua. Sesungguhnya kami tidak ingat dan tidak menyedari yang kami dahulu telah kamu puja dan kamu sembah.


Surah Yunus ayat 30

“Pada masa itu tiap-tiap diri dapatlah mengetahui (dan merasai) akan apa yang telah dikerjakan dan mereka dikembalikan kepada Allah Tuhan mereka yang sebenar-benarnya (yang akan membalas dengan adilnya); dan (dengan itu) hilang lenyaplah dari mereka apa yang mereka ada-adakan.

Allah menyatakan bahawa di sanalah diadakan perkiraan atau hisab. Setiap diri diuji samada yang menyembah atau yang disembah, beriman atau engkar tentang apa yang telah dikerjakannya di dunia. Samada pekerjaan itu baik atau jahat tentulah akan diberi balasan yang setimpal dengan pekerjaannya. Atau juga dimaksudkan di sini ialah, setiap seorang itu akan membaca isi yang tertulis di dalam kitab catatan amalan masing-masing, samada ianya baik atau buruk.

Orang yang menyekutukan Allah itu tidak akan dapat melepaskan diri mereka untuk pergi mendapatkan pertolongan daripada berhala yang mereka sembah. Bahkan mereka akan dikembalikan kepada Allah jua, kerana Allah sajalah yang menjadi pemilik mereka yang sebenarnya.

Dusta yang mereka ada-adakan di dunia dahulu dengan mengatakan bahawa berhala inilah yang akan menolong mereka semuanya kinin telah hilang lenyap. Kerana ketika itu tiada seorang pun yang akan menolong dan menyelamatkan mereka daripada seksaan.



Surah Yunus ayat 31

“Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): “Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? “(Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: “Allah jualah yang menguasai segala-galanya! “Oleh itu, katakanlah: “(Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?

‘Mereka’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah golongan musyrik. Ayat ini mula-mula diberikan kepada musyrikin Mekah. Tapi sekarang ianya ditujukan kepada mana-mana musyrik termasuklah musyrik yang mengaku beragama Islam. Jangan kita ingat kita terselamat kerana kita orang Islam. Rezeki dari langit adalah seperti air hujan dan cahaya matahari. Dan rezeki dari bumi adalah seperti makanan dari tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

Kita memerlukan rezeki dari langit dan bumi ini untuk hidup. Dua-dua kita perlukan. Sebagai contoh, air hujan turun ke tanah dan kemudian naik ke atas dalam kitaran yang berterusan. Tumbuhan memerlukan air hujan dan cahaya matahari untuk membuat makanan. Memerlukan simbiosis yang tetap. Ini adalah sebagai dalil bahawa Tuhan itu satu sahaja, tidak ramai. Kerana kalau ada lebih dari satu Tuhan, sebagai contoh, kalau Tuhan di langit lain dan Tuhan di bumi lain, tentu kacau bilau jadinya. Sebagai contoh, katakanlah yang di bumi memerlukan hujan, tapi tuhan langit lambat bagi air hujan, dah tak boleh nak buat tumbuhan, Tapi kalau kita lihat, ianya ada simbiosis yang mantap, menunjukkan tuhan yang sama.

Maka, siapakah yang menurunkan rezeki dari langit dan mengeluarkan rezeki dari bumi? Jawapnya tentulah Allah.

Siapakah yang menciptakan pendengaran dan penglihatan? Yang memberikan keduanya kepada makhluk? Dan kalau Dia beri, tentulah Dia juga boleh ambil balik. Siapakah?

Kita sebagai makhluk amat memerlukan kedua-duanya deria itu untuk hidup dengan sempurna. Kalau kurang satu atau keduanya, memang boleh hidup, tapi akan banyak bergantung kepada orang lain.

Juga bermaksud memiliki pendengaran dan penglihatan untuk DiriNya. Yang boleh memberi pendengaran dan penglihatan kepada makhluk mestilah DiriNya sendiri pun mempunyai pendengaran dan penglihatan. Allah memiliki kedua-daunnya. Bandingkan dengan tuhan berhala musyrikin Mekah. Berhala-berhala itu tidak boleh mendengar dan tidak boleh melihat. Kalau mereka pun tidak boleh mendengar dan melihat, bagaimanakah mereka boleh memberi pengarah dan penglihatan kepada makhluk yang menyembahnya? Ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Maka, siapakah yang memiliki pendengaran dan penglihatan, boleh memberinya kepada makhluk dan menguasai kedua-duanya?Jawapnya tentulah Allah.

Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati?
Contohnya mengeluarkan anak ayam dari telur yang mati. Begitu juga biji benih yang nampaknya mati tetapi bila ditanam boleh mengeluarkan tumbuh tumbuhan yang hidup.

dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup?
Contohnya mengeluarkan telur ayam dari ibu ayam. Begitu juga seperti yang kita tahu, semua yang hidup di akan mati. Siapakah yang menentukan kematian? Adakah berhala yang mereka sembah boleh memberikan kehidupan dan boleh mematikan yang hidup? Tentu tidak. Siapakah yang boleh buat begitu? Jawapnya tentulah Allah.

Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? Siapakah yang menguruskan segala perkara dalam alam ini dari yang sekecil-kecilnya hingga ke yang sebesar-besarnya? Perkataan الْأَمْرَ dengan huruf ال bermaksud SEMUA perkara. Allah menguruskan kehidupan kita dan juga kehidupan makhluk yang lain dan segala yang hidup mahupun yang mati. Siapakah yang menguruskan segalanya dalam alam ini? Jawapnya tentulah Allah.

Semua orang musyrik didunia ini akan berkata tentunya Allah. Tapi bagaimana pula penganut agama yang kufur boleh jawap begitu? Sebenarnya kebanyakan agama kafir di dunia ini percaya kepada kewujudan ‘Tuhan yang satu’. Nama sahaja mereka tidak sebut sebagai ‘Allah’. Mereka sebenarnya tahu ada Tuhan yang bersifat seperti sifat yang telah disebut diatas. Tetapi dalam masa yang sama, mereka menyembah juga sembahan-sembahan yang lain.

Ini disebut dalam Surah  Yusuf ayat ke 106 yang bermaksud :
“Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.”

Ayat ini bermaksud ramai di kalangan manusia yang percaya kepada kewujudan Allah dan beriman kepada Allah, tapi dalam masa yang sama mereka juga menyembah selain Allah. Inilah yang banyak terjadi kepada masyarakat kita. Mereka percaya bahawa Allah itu Tuhan yang memberi rezeki dan Allah itu yang menguruskan segala-galanya tetapi di dalam masa yang sama mereka sembah kepada makhluk yang lain. Mereka sembah kepada Nabi, wali dan malaikat. Mereka buat ibadat kepada mereka dengan beri salam kepada mereka dan hadiah Fatihah kepada mereka, dan macam-macam lagi.
Kalau mereka sudah tahu yang Allah berkuasa penuh, tanya kepada mereka mengapa mereka tidak takut kepadaNya dan menjaga hukum yang telah diberikan?

Musyrikin Mekah percaya kepada ketuhanan Allah. Mereka tahu bahawa Allah lah yang memberi rezki, Allah lah yang mencipta segala-galanya. Ini bermakna mereka ada Tauhid Rububiyyah. Tetapi mereka menjadi musyrik kerana selain daripada menyembah Allah, mereka juga menyembah entiti-entiti lain yang mereka anggap seperti ilah. Maknanya, mereka tidak ada Tauhid Uluhiyyah.


Surah Yunus ayat 32

“Maka yang demikian (sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu yang sebenar-benarnya; sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran? “

Allah memberitahukan bahwa yang menciptakan sesuatu dengan diberi pula ketetapanNya iaitu takdirNya yang telah disebutkanNya dahulu, Dialah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya, iaitu Tuhan yang berhak disembah, bukannya berhala.

Apabila tetaplah sudah dengan keterangan yang jelas dan dalil pemutus bahwa Allah itu Dialah Tuhan yang hak dan sebenar, maka beribadat dan menyembah kepada selain Allah itu menjadi suatu perkara yang batil dan sesat. Sesiapa yang menyembah selain Allah jadilah ia orang yang syirik, perbuatannya adalah salah dan sesat. Maka mengaplah kamu berpaling juga dengan memilih kesesatan dariapda kebenaran?





Surah Yunus ayat 33

“(Sebagaimana benarnya ketuhanan itu bagi Allah sahaja) demikianlah benarnya kalimah ketetapan hukum Tuhanmu, terhadap orang-orang yang fasik kerana bahawasanya mereka tidak beriman. “

Sebagaimana telah sabit bahwa tidak ada lagi selepas kebenaran melainkan kesesatan, begitulah pula halnya kalimah iaitu keputusan Tuhanmu di dalam azal yang berupa seksaan pasti berlaku ke atas orang yang fasik, iaitu yang melampau dan melanggar batasan agama.

Setelah qaul mengatakan kalimah Allah di sini dimaksudkan qadak Allah ke atas mereka yang tertulis di dalam Luhmahfuz, bahawasanya mereka tidak beriman, dan qadak Allah itu tidak dapat ditarik ataupun ditolak.


Surah Yunus ayat 34

“Bertanyalah (kepada mereka wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian kemudian ia mengembalikan adanya semula (pada hari kiamat)? “Katakanlah: Allah jualah yang mula menciptakan sekalian makhluk kemudian Ia mengembalikan adanya semula (untuk menerima balasan); oleh itu, mengapa kamu rela dipalingkan (kepada menyembah yang lain)?”

Asal ayat ini memang ditujukan kepada Nabi Muhammad, tapi sekarang ditujukan kepada kita. Kita pun boleh tanya kepada mereka yang melakukan syirik kepada Allah dengan soalan ini: “siapa yang mula menciptakan sesuatu kejadian?

Adakah sesiapa yang boleh memulakan penciptaan? Iaitu mencipta perkara yang tidak pernah ada lagi. Sebagaimana Allah menjadikan alam ini tanpa ada contoh alam lain sebelum ada alam ini. Tidak dijadikan contoh mana-mana alam.
Tidak sama penciptaan kita dengan penciptaan Allah. Manusia pun ada juga mencipta tetapi segala penciptaan manusia bukanlah boleh dikatakan ‘memulakan penciptaan’. Kerana kita tiru sahaja apa yang telah ada. Macam kalau kita cipta kereta, ianya mengikut penciptaan alat pengangkutan yang telah ada. Begitu juga, apabila kita cipta kereta, pakai besi yang Allah ciptakan, getah yang Allah ciptakan dan macam-macam lagi. Maknanya, bukanlah kita cipta dengan sendiri, tetapi kita gunakan ciptaan Allah.

Adakah ada tuhan yang boleh memulakan kembali proses kejadian itu? Iaitu apabila makhluk itu mati, Allah boleh menjadikan semula makhluk itu. Allah lah sahaja yang boleh memulakan kembali kehidupan selepas kiamat nanti. Yang telah mati, Allah boleh hidupkan kembali.

Kesimpulannya ; Hanya Allah sahaja yang boleh buat penciptaan yang mula-mula sekali. Kita tidak boleh nak cipta macam Allah cipta.

Dan hanya Allah sahaja yang boleh menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Tidaklah susah untuk Allah menjadikan semula penciptaan kerana Dia juga yang menjadikan penciptaan itu pada pertama kali. Kalau Allah boleh cipta untuk kali pertama, tentulah Allah juga boleh menjadikannya semula. Tentulah lebih mudah bagi Allah kalau dikira-kirakan.
Kalau hanya Allah sahaja yang boleh mencipta dan menjadikan semula, kenapa sembah selain dari Allah? Kenapa ada yang beramal ibadat kepada selain Allah?

Agama yang lain walaupun mereka tidak kenal nama ‘Allah’, tapi mereka tahu tentang ‘Tuhan yang satu’ yang menjadikan alam ini dan segala makhluk. Cuma nama Allah sahaja mereka sudah tidak tahu. Tanyalah kepada agama-agama lain kalau tidak percaya. Oleh kerana itu, kenapa mereka tidak hanya sembah Tuhan yang menjadikan alam ini? Apakah hebat entiti-entiti yang lain sampaikan mereka nak sembah juga? Itu adalah kerja yang bodoh.



Surah Yunus ayat 35

“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Adakah di antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Tuhan itu, sesiapa yang dengan memberi petunjuk kepada kebenaran? “Katakanlah: “Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian) maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi hidayah petunjuk? Maka apakah alasan sikap kamu itu ? Bagaimana kamu sanggup mengambil keputusan (dengan perkara yang salah, yang tidak dapat diterima oleh akal)?

Ini adalah hujah kedua yang Allah suruh Nabi Muhammad dan  kita juga pada zaman ini untuk tanya kepada kaum musyrikin.

Allahlah yang telah memberi arahan kepada setiap kejadian. Bagaimana makhluk itu hidup dan menjalankan kehidupannya, semuanya adalah arahan Allah. Semua makhluk termasuklah kepada atom yang amat kecil itu pun tertakluk kepada arahan dan kehendak Allah. Semua perlakuan makhluk telah ditetapkan oleh Allah.

Hidayah dalam maksud agama pula adalah membawa seseorang dari kesesatan kepada iman. Dan membawa itu kepada iman itu adalah dengan memberi panduan agama tentang bagaimana menjalani kehidupan kita dalam dunia ini. Adakah entiti lain yang dapat memberi arahan dan panduan tentang kebenaran?

Hanya Allah sahaja yang boleh beri hidayah. Kerana ilmu Allah yang lengkap. Kita tidak ada pengetahuan sepenuhnya. Apa sahaja yang kita tahu, ianya diberi oleh Allah. Kalau kita tidak tahu tanpa pengetahuan yang diberikan Allah, bagaimana kita hendak memberi petunjuk?

Di akhir ayat Allah swt. mencela perbuatan mereka apakah gerangan yang menimpa mereka, maka mereka menjadikan berhala-berhala itu sebagai perantara yang dapat menyampaikan ibadah mereka kepada Allah, padahal berhala-berhala itu bukanlah tuhan yang menciptakan, dan bukan yang memberi rezeki serta bukan pula tuhan yang memberi petunjuk. Maka mengapa mereka mengambil keputusan yang tidak adil yaitu menganggap tuhan-tuhan yang mereka persekutukan itu sebagai Tuhan Yang berhak disembah, berhak dimintai pertolongan tanpa izin dari Zat Yang menciptakan. Dari segi ini tampaklah kesesatan orang-orang musyrikin itu dan kejelekan tindakan mereka.


Surah Yunus ayat 36

Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. “

Sesungguhnya kebanyakan orang musyrik itu hanya mengikut sesuatu perkara yang mereka sendiri tidak mengetahui hakikatnya dengan pasti, hanya persangkaan atau ragu dan sebagai pak turut saja. Umpamanya menyembah berhala yang diamalkan oleh nenek moyang mereka, mereka sangkakan baik dan dapat menolong lalu mereka ikut pula menyembah berhala. Atau adanya hari kebangkitan itu mereka sangkah mustahil akan berlaku, dan terutusnya Muhammad saw sebagai rasul, mereka ragu lalu mendustakannya.

Sedikit benar dari mereka yang mengakui bahwa apa yang telah dibawa oleh Nabi saw itu adalah perkara yang hak lagi benar. Malah, kebanyakan mereka mendustakannya kerana takut pengaruh mereka hilang, yang selama ini mereka sebagai ketua yang diikut enggan bertukar menjadi pengikut.

Allah kemudiannya menjelaskan, sesungguhnya persangkaan itu tidak dapat menggantikan kebenaran sedikit jua pun. Maksudnya setiap yang hak atau kebenaran, pasti akan berdiri tetap dan tidak akan dapat dirobohkan oleh syak atau persangkaan, apalagi hendak menggantikannya. Jelasnya, keraguan tidak dapat menggantikan tempat keyakinan walau sedikit pun.

Allah mengetahui tentang kepercayaan orang yang didasarkan di atas persangkaan dan meniru-niru secara buta, yang tentunya Allah akan memberi balasan di atas perbuatan mereka itu.


Surah Yunus ayat 37

Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.

Quran itu tidak mungkin boleh direka oleh makhluk. Tidak boleh dibuat oleh makhluk yang lemah akalnya. Ianya hanya dari Allah. Kalau ianya bukan dari Allah, tentulah ada banyak kekeliruan dalam ayat-ayat Quran ini. Tentulah ada kesalahan di mana-mana. Tapi kita yang belajar Quran ini, tidak jumpa lagi manakah bahagian yang salah dalam Quran ini. Dan kita tidak akan berjumpa kerana ianya adalah dari Allah.

Sebelum Quran turun, telah ada kitab-kitab dari Kalam Allah seperti Taurat, Injil dan Zabur. Sama sahaja perkara berkenaan akidah dan tauhid dalam kitab dulu dan Quran. Quran membenarkan apa yang telah disebut dalam kitab-kitab itu. Banyak topik-topik yang ada dalam kitab-kitab terdahulu dan Quran memperjelaskannya lagi.

Quran diturunkan dalam masa 23 tahun. Tidak ada kekeliruan dalam Quran. Sama sahaja topik dan hukum yang diberikan dari mula sampai habis. Tidak ada pertukaran hukum. Kalau kita menulis karangan, dan kita ambil masa seminggu, tentulah akan ada banyak perubahan yang kita lakukan. Kerana sekejap kita berfikir begini, tapi sekejap kita akan berfikir lain pula. Tapi, walaupun Quran itu diturunkan dalam masa 23 tahun, tidak ada percanggahan atau pertukaran informasi yang diberikan. Kerana ianya dari Allah dan Allah tidak keliru dan berubah fikiran.

Quran itu datangnya dari Allah, bukan dari makhluk. Allah yang telah menjadikan kita. Dia yang Maha Berkuasa. Jadi, jangan kita ambil sambil lewa sahaja Quran ini. Ianya adalah panduan hidup kita yang diberikan oleh yang menjadikan kita. Kalau kita terima surat pos, kalau kita tidak baca pun, tidak mengapa. Tapi Quran ini telah diberikan khas kepada kita, dari Allah, maka kita kena baca dengan teliti.



Surah Yunus ayat 38

“(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: “Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!”.

Musyrikin Mekah mengatakan Quran itu bukannya dari Allah tetapi daripada Nabi Muhammad sendiri. Mereka kata Nabi reka sendiri. Ini adalah cabaran yang Allah berikan kepada mereka yang tidak percaya bahawa Quran itu dari Allah dan kata Nabi Muhammad buat sendiri Quran itu. Kalau mereka kata yang manusia boleh buat Quran, seperti mereka tuduh Nabi Muhammad buat sendiri Quran itu, maka cubalah mereka buat sendiri satu surah yang sama dengan Quran. Tentulah kalau ikut logik, mereka pun boleh buat juga, kerana kalau Nabi Muhammad itu orang Arab, mereka pun orang Arab juga. Nabi Muhammad pula bukan penyair, tetapi mereka ramai yang penyair terkenal dan pandai, maka kalau dikirakan, tentulah lebih baik lagi surah yang mereka buat. Hah!, maka kau buatlah satu surah yang sama juga.

Dan kalau mereka rasa mereka tidak boleh buat berseorangan sahaja surah macam Quran itu, maka mereka boleh ajak sesiapa sahaja yang mereka boleh ajak untuk menjadi pasukan komiti mereka untuk mencipta surah yang sama seperti yang ada di dalam Quran. Kalau mereka kata Nabi Muhammad boleh buat Qur’an itu seorang diri, maka tentulah kalau mereka ramai, mereka boleh buat Quran yang lebih baik daripada apa yang Nabi Muhamad buat. Hah!, maka kau buatlah satu surah yang sama juga.

Kalau kamu rasa kamu betul, maka buatlah satu surah yang sama macam yang ada dalam Quran itu. Jangan cakap-cakap sahaja, tapi tunjuklah yang manusia pun boleh buat ayat-ayat Qur’an.

Cabaran ini Allah ulang di dalam Surah Al Baqarah Ayat ke 23 yang bermaksud:
“Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

Quran itu adalah satu mukjizat daripada Allah kepada Nabi Muhammad. Macam-macam sifat yang ada pada Quran itu yang melayakkannya dipanggil mukjizat. Salah satu mukjizat Quran yang kita belajar di sini adalah, Quran itu tidak boleh ditiru. Tidak boleh dibuat oleh makhluk pun, walau satu ayat pun yang sama seperti sifat Quran yang dibuat oleh Allah.


Surah Yunus ayat 39

Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka). “

Mereka tak tahu tentang Quran tapi mereka dah tolak dah. Mereka hanya tahu sedikit sahaja tentang Quran itu, dan kerana mereka tak tahu, mereka tolak. Manusia memang memusuhi apa yang mereka tak tahu. Kalau mereka tahu, mereka akan sayang. Macam peribahasa Melayu, “Tak kenal maka tak cinta”.

Orang-orang kafir ramai yang menolak agama Islam dan menolak Quran tanpa mereka sendiri pernah membaca Qur’an itu. Sampai ada yang benci sangat sampai hendak buat kempen membakar Qur’an. Padahal jikalau ditanya kepada mereka, adakah pernah mereka membaca Qur’an dan mempelajari Qur’an, mereka akan kata tidak pernah lagi.

Macam orang kita juga. Mereka amat jahil tentang Quran. Memang mereka kenal apakah Quran itu. Mereka tahu membaca Quran itu memang bagus. Dan mereka pun mungkin setiap hari membaca Quran. Tapi mereka tak belajar tafsir jadi apabila diberitahu apakah maksud ayat-ayat Quran itu, mereka kehairanan. Mereka kata tak sama macam apa yang mereka faham tentang agama. Mereka kata mereka tak pernah dengar ajaran macam itu. Sudah sememangnya mereka tak pernah dengar sebab mereka tak pernah belajar. Dan apabila mereka tak biasa dengar, maka mereka tolak. Mereka kata kita tafsir salah. Padahal mereka tak pernah belajar pun lagi tafsir Quran. Mereka tolak mentah-mentah kerana mereka tak pernah dengar.

Di dalam Quran banyak menyebut tentang perkara yang akan terjadi. Mereka telah menolak Quran itu sebelum perkara yang Quran kata akan terjadi belum terjadi. Maknanya, mereka terburu-buru menolak. Menolak kerana tak jadi lagi. Sebagai contoh, musyrikin Mekah selalu tanya kepada Nabi, bilakah Hari Kiamat. Nabi akan menjawab yang baginda tidak tahu. Kerana memang Nabi tak tahu. Kerana Nabi jawap begitu, mereka jadikan itu sebagai alasan untuk tidak beriman.

Musyrikin Mekah juga selalu mencabar Nabi untuk menurunkan azab kepada mereka. Dan azab tidak terus diturunkan kepada mereka dan kerana itu mereka tidak mahu beriman. Maknanya, mereka tak beriman kerana mereka tak kena azab.

Oleh yang demikian, Allah bagitahu Rasulullah bahwa setiap insan harus memperhatikan dan melihat diri sendiri sebagaimana kesudahan umat yang zalim itu menerima akibat dariapda kezalimannya, maka janganlah melakukan seperti yang mereka lakukan.


Surah Yunus ayat 40

Dan di antara mereka ada yang beriman kepada Al-Quran, dan ada di antaranya yang tidak beriman langsung kepadanya; dan (ingatlah), Tuhanmu lebih mengetahui akan orang-orang yang melakukan kerosakan.

Allah menerangkan bahwa di antara kaum Nabi Muhammad saw nanti ada yang mahu beriman dengan AlQuran dan percaya kepada kebenarannya, iaitu sesudah datang kepada mereka takwa tentang benarnya ancaman Allah. Dan di antaranya pula langsung kufur dan tidak mahu percaya kerana telah terdahulu dalam ilmu Allah bahawa mereka tidak beriman.

Allah tahu apa yang patut dilakukannya dan tahu pula balasan yang akan diberikanNya kepada orang yang berbuat kerosakan di muka bumi disebabkan kekufuran dan kezaliman yang mereka lakukan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.