Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am Ayat 111 Hingga 130

JUZUK KE 8


Surah Al An’am Ayat 111


Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar). “


Ayat sebelum ini telah diceritakan bagaimana mereka minta ditunjukkan mukjizat, baru mereka nak beriman. Kali ini disebut bagaimana mereka minta malaikat diturunkan dan orang mati dihidupkan semula. Supaya malaikat itu membenarkan apa yang Nabi katakan dan supaya orang mati yang hidup balik itu boleh cakap apakah yang terjadi selepas mereka mati.


Sunggu buruk sekali pekerti orang-orang musyrikin yang enggan beriman ini. Allah kata kalau Allah luluskan semua permintaan mereka untuk menurunkan malaikat untuk menjadi saksi Nabi Muhammad saw sebagai seorang rasul, dan orang mati dapat bercakap-cakap dengan mereka untuk membuktikan kenabiannya, malah jika dikumpulkan sesuatu di hadapan mata mereka untuk bukti kenabian itu, mereka ini semua tetapi tidak mahu beriman juga kepada Allah dan kepada Nabi Muhammad saw. Buatlah apa pun mereka tetap tidak mahu beriman. Kerana Allah sudah tetapkan bahawa mereka tidak akan beriman.  Melainkan… jika Allah sendiri yang menghendaki supaya orang-orang musyrikin itu beriman maka barulah mereka akan mahu beriman.


Allah mengatakan demikian adalah kerana sifat degil orang-orang musyrikin itu yang tidak berubah. Mereka hanya berpura-pura sahaja kononnya mahu beriman tetapi sebenarnya mereka hanya memperolok-olokkan Nabi saw sahaja. Selama mana mereka berada di dalam kedegilan dan tidak mahu berubah, maka selama itu jugalah mereka tidak akan ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang yang benar-benar beriman. Tentu sekali Allah tidak akan mentakdirkan demikian kerana itu adalah berlawanan dengan sunnatullah iaitu peraturan Allah yang berlaku pada tabiat semulajadi manusia. Kita telah belajar berkenaan dengan sunnatullah ini  di dalam ayat 137 dari Surah Ali Imran yang lalu (masih ingat lagi tak? ).  Kalau tabiat semulajadi manusia yang memang bersedia menerima iman, tetapi manusia itu sendiri yang merosakkan kelengkapannya, maka sampai bila-bila masa pun dia tidak akan dapat menerima iman. Jika dipaksakan juga untuk menerima, ini bererti ia menyalahi peraturan Allah, sedangkan Allah tidak menghendaki peraturanNya diubah-ubah.


Ramai di antara orang mukmin yang tidak tahu akan hakikat orang-orang musyrik yang tidak mahu beriman walaupun didatangi bukti dan keterangan. Ini adalah kerana mereka (orang-orang mukmin tadi) masih jahil lagi tentang sunnatullah yang berlaku ke atas hamba-hambaNya. Bahawa perlaksanaan sunnatullah pasti akan berlaku, baik ke atas perseorangan mahupun dalam sesuatu kaum.  


Itulah sebabnya, bila terdapat orang-orang mukmin yang mengharap agar permintaan orang-orang musyrikin mengenai mukjizat itu agar dapat diluluskan dan ditunjukkan oleh Allah sepertimana kemahuan orang-orang musyrikin dengan harapan orang-orang musyrikin itu akhirnya mahu beriman.


Marilah kita renungkan dengan saksama akan persoalan ini.


Kalau Allah mahu, Dia boleh saja meletakkan iman dalam hati setiap orang dengan tidak perlu lagi orang itu beramal dan berikhtiar. Maka dengan sendirinya orang itu tidak berhajatkan kepada rasul sesuai dengan yang Allah mahu. Namun ini bererti keadaan ini telah menyalahi tabiat semulajadi manusia yang diwajibkan supaya beriman. Apabila iman itu telah dipaksakan ke atas manusia tersebut maknanya iman itu  bukan lagi dengan pilihan atau ikhtiarnya. Allah tidak mahu melaksanakan sunnahNya iaitu peraturanNya menjadi seperti itu. Apa yang Allah mahu ialah iman itu diberi apabila manusia itu menghendakinya dan berusaha untuk mencarinya.


Maka sebab itulah Allah tidak memberikan apa yang orang-orang musyirikin minta kepada Allah dan nabi Muhammad saw. Sepertimana firman Allah di dalam Surah Al Baqarah ayat 256:
“tidak ada paksaan dalam beragama (Islam). Telah ternyata (perbezaan) yang iman dariapda yang kufur.”


Asbabun Nuzul
Kata Ibnu Abbas, ada lima orang yang suka mengejek Al-Quran. Mereka ialah Al Walid bin al Mughirah Al Makhzumi, Al As bin Wa’il as Sahmi, Al Aswad bin Yaghuth az Zuhri, Al Aswad bin Al Muttalib, Al Harith bin Al Handzolah.


Mereka dengan satu rombongan penduduk mekah telah menemui Nabi saw seraya berkata, “perlihatkanlah kepada kami akan malaikat supaya mereka menyaksikan bahwa tuan adalah rasul Allah. Atau bangkitkanlah orang-orang kami yang telah mati supaya dapat kami tanya adakah kata-kata tuan benar atau palsu. Atau bawakkanlah Allah dan malaikat ke hadapan kami,”
maka turunlah ayat 111 ini.

Surah Al An’am Ayat 112


Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.


Dalam ayat ini Allah melanjutkan keteranganNya. iaitu sebagaimana para Nabi yang sebelum Nabi Muhammad saw, Allah telah adakan bagi mereka musuh-musuh, maka oleh itu, Allah adakan juga untuk Nabi Muhammad saw musuh-musuh. Tujuannya ialah supaya semakin besar pahala yang akan diterima setimpal dengan rintangan dan halangan yang dihadapi daripada musuh-musuh tersebut.


Musuh-musuh itu ialah yang terdiri dari syaitan berupa manusia dan syaitan yang berupa jin. Sebabnya disebutkan demikian, kerana manusia dan jin itu masing-masing ada penghasutnya iaitu syaitan. Kerja syaitan itu ialah menggoda manusia dan jin untuk mencelakakan mereka semua. Syaitan ini adalah anak cucu Iblis.


Sepertimana sabda nabi riwayat oleh Abu Dzar, :”Wahai Abu Dzar, adakah engkau telah berlindung kepada Allah dari bencana syaitan berupa manusia dan jin?” Abu Dzar pun berkata, “wahai Rasulullah, adakah pada manusia itu syaitan?” Baginda Rasulullah menjawab: “Ya.”


Kata Malik bin Dinar, sesungguhnya syaitan manusia lebih jahat daripda syaitan jin. Kerana jika aku berlindung kepada Allah, maka berundurlah syaitan jin itu, sedangkan syaitan manusia pula datang kepadaku lalu menarik diriku ke dalam maksiat.


Kata ibnu Abbas : Iblis telah membahagi-bahagikan tentera-tenteranya kepada dua pasukan. Satu pasukan dihantarnya kepada bangsa jin dan satu pasukan lagi kepada bangsa manusia. Kedua-dua pasukan ini lah syaitan bangsa jin dan manusia. Mereka ini ditugaskan untuk menggoda dan mencelakakan manusia dan jin. Dan mereka ini semuanya menjadi musush kepada nabi saw dan musuh para aulianya dariapda orang-orang mukmin dan orang-orang saleh.


“...setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya...’
Antara mereka sesama mereka membisikkan kata-kata indah dan manis seperti madu tetapi yang sebenarnya ialah palsu. Sedangkan orang yang terpikat kepada bisikan itu telah tertipu lalu bebaslah ia menjalankan segala tindakan dan kelakuan.  


Sepertimana yang kita ketahui Adam dan Hawa adalah manusia yang mula-mula sekali yang terpedaya dengan pujuk rayu dan tipuan syaitan. Kedua-duanya telah terpesona dengan keindahan kata-kata Iblis yang palsu. Lalu akhirnya mereka telah diturunkan ke dunia.


“...Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu.”
Kalau Allah mahu supaya mereka tidak terpedaya tentulah mereka tidak akan terpedaya, tetapi Allah tidak mahu merosakkan ketetapanNya yang telah diatur, iaitu sunnatullah. Baik manusia mahupun jin, masing-masing telah dijadikan dengan persediaannya untuk menerima yang benar dan yang palsu, yang baik dengan yang buruk, yang menguntungkan dengan yang merugikan. Tidak sekali-kali akan dipaksa suapya menerima tiap-tiap satunya. Malah diberi kesempatan memilih dan berikhtiar akan apa yang disukainya berdasarkan pertimbangan akal yang sihat dan fikiran yang waras.


Jadi, dengan mengetahui hakikat itu, Allah menyuruh Nabi Muhammad saw jangan pedulikan orang-orang musyrikin itu lagi. Allah menyuruh Nabi saw teruskan saja dengan tugas menyampaikan dan menyiarkan agama. Kerana nantinya Allah sendiri yang akan menguruskan pembalasan atas perbuatan mereka yang mengejek-ngejek Al-Quran.

Surah Al An’am Ayat 113


Dan juga supaya hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat cenderung kepada bisikan itu, dan supaya disetujui oleh mereka, dan juga supaya mereka (terus) melakukan apa yang mereka lakukan itu.


Selain kerja syaitan itu memperdayakan manusia, syaitan juga berusaha menarik hati orang yang lemah imannya, yang tidak ingat bahwa nanti hari pembalasan dan tidak percaya bahwa nanti ada hari akhirat. Dan selain hati mereka ditarik dengan bermacam-macam tipu daya dan pujukan, mereka juga diberikan keseronokan yang berbagai-bagai gaya dan bentuk sehingga mereka berpuas hati. Dan akhirnya mereka pun ikut bersama-sama dengan syaitan untuk mengerjakan berbagai maksiat dan dosa.


Bukan semua orang akan terpedaya dengan penipuan-penipuan syaitan dari kalangan jin dan manusia itu. Hanya mereka yang lalai dan tidak percaya kepada kehidupan akhirat sahaja yang akan percaya.


Apakah maksud ‘tidak percaya’ itu? Takkan orang yang mengaku Islam tidak percaya kepada hari Akhirat? Maksud tidak percaya itu adalah mereka tidak kisah tentang apa yang akan terjadi di hari akhirat nanti. Mereka tidak takut dengan balasan Allah kepada mereka. Mereka tidak tahu bahawa di akhirat nanti mereka kena jawab tentang kata-kata mereka dan amalan-amalan mereka semasa di dunia dulu. Mereka tidak terfikir bahawa nanti mereka tidak akan ada hujah untuk membenarkan amalan-amalan mereka lakukan itu.



Surah Al An’am Ayat 114


(Katakanlah wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.


Orang-orang musyrikin ini tidak puas-puasnya berdalih dengan meminta keapda Nabi saw berbagai-bagai permintaan untuk mengelak dari beriman kepada nabi saw. Kali ini mereka nak  supaya nabi saw mencarikan hakim pula yang boleh menjatuhkan hukum untuk mengadili pertikaian yang sedang berlaku di antara  mereka. Maka Allah telah menyuruh nabi saw memberikan jawapan kepada mereka dengan ayat ini 112 ini. Bahawa nabi saw tidak akan memilih hakim yang lain selain dari Allah. Kerana tidak ada hukum yang paling adil selain dari hukumNya. Dan tidak ada kata-kata pemutus yang paling benar selain dari kata-kataNya.


Orang-orang Musyrikin ini sudah pun tahu bahawa Al-Quran yang diturunkan Allah kepada mereka dan seluruh umat manusia itu telah cukup jelas menerangakan tentang adanya perintah dan tegahan dari Allah. Tentang adanya balasan pahala dan seksa, juga tentang adanya hukum-hukum yang dapat mengadili pertikaian yang terjadi antara mereka.


Ayat ini ada juga telah merujuk kepada ahli Kitab. Surah ini diturunkan di Mekah, tapi penglibatan ahli Kitab sudah nampak walaupun Nabi belum berhijrah ke Madinah. Ini adalah kerana Quraish Mekah sudah pergi ke Madinah (waktu itu bernama Yathrib) untuk mendapatkan hujah-hujah baru dari Yahudi di sana. Bangsa Quraish sudah tidak tahu bagaimana lagi hendak berhujah dengan Nabi Muhammad, jadi mereka bertanyakan kepada Yahudi yang ada di Madinah sebab mereka memandang tinggi kepada orang Yahudi, kerana mereka ada kitab.


Pendeta-pendeta Ahli Kitab Yahudi dan Nasrani ini, telah mengetahui dengan sebenar-benarnya bahwa Al-Quran itu diturunkan oleh Allah kepada mereka. Mereka memang memahami segala-galanya tentang wahyu. Iaitu tentang siapa yang menurunkan wahyu dan kepada siapa diturunkan wahyu. Sebab di dalam kitab-kitab Taurat dan Injil telah termaktub perkara kenabian dan juga sifat-sifat nabi akhir zaman.


Mereka yang memberi maklumat kepada musyrikin Mekah sendiri tahu bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad adalah benar. Allah buka apa yang ada dalam hati mereka dalam ayat ini. Allah beritahu kita yang walaupun mereka itu menentang Nabi, tapi sebenarnya mereka tahu kebenaran yang ada dalam Quran itu.


Quran itu diturunkan untuk menzahirkan ‘kebenaran’, tetapi kebenaran apa? Kebenaran bahawa Allah adalah Tuhan sekelian alam dan Allah lah yang menjadikan alam ini. Maka oleh itu kepada Allah lah sahaja yang kita sembah, kepada Allah lah sahaja kita lakukan ibadat dan kepada Allah sahaja yang kita berdoa.


Surah Al An;am Ayat 115


Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (Al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janjiNya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari Kalimah-kalimahNya; dan Dia lah yang sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui. “


Ayat ini menyatakan bahawa sudah sempurnalah semua perkataan dan janji-janji  Allah kepada Nabi Muhammad saw. Kalimah dari Allah telah sempurna dan lengkap. Tidak ada keraguan padanya. Agama ini telah sempurna dan sepatutnya dijadikan sebagai ikutan para mukminin.


Perkataan dan janji yang dimaksudkan adalah janji Allah akan mempertahankan dan menolong Nabi Muhamamd serta pengikut-pengikutnya sehingga mereka memerolehi kemenangan dan kejayaan. Dan juga Allah berjanji akan  membinasakan orang-orang yang menghina Nabi saw dan yang mengejek-ngejek Al-Quran. Mereka akan dihinakan dan diazabkan. Sepertimana Firman Allah:
"Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi Rasul (yaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan dan sesungguhnya tentara Kami itulah yang pasti menang".
(Q.S As Saffat: 171-173)


Ayat ini membawa maksud bahawa Al-Quran telah sempurna diturunkan kepada Nabi Muhammad saw yang mengandungi kisah-kisah dan hukum-hukum. Semua kisah mengenai umat-umat di masa lampau diceritakanNya dengan benar. Begitu pula peristiwa-peristiwa yang akan datang menjelang ketibaan hari kiamat adalah benar. Janji Allah tentang adanya balasan pahala dan seksa juga benar. Dan Allah adalah adil iaitu adil di dalam memerintah, menegah, menghalalkan, mengharamkan dan adil dalam seluruh hukumNya.


Perkataan Allah yang berupa Al-Quran itu adalah terpelihara daripada diubah, diganti, dipinda atau dirosakkan. Bahkan akan kekal selama-lamanya sampai hari kiamat. Begitu juga tentang ketetapan Allah tidak akan berubah-rubah.


Ayat ini menjadi dalil, bahawa orang yang nasibnya bahagia tidak berubah menjadi orang yang celaka. Dan orang yang celaka tidak akan berubah menjadi bahagia. Adapun orang yang bahagia, kebahagiaannya telah ditetapkan di dalam azali dan orang yang celaka, kecelakaannya juga telah ditetapkan sejak azali.


Seorang yang kafir menjadi celaka disebabkan kekufurannya. Tetapi kemudian ia telah masuk Islam, maka berubahlah ia menjadi bahgia disebabkan oleh keIslamannya. Jadi bagaimanakah kedudukan persoalan ini? Jawapannya : Tiap-tiap sesuatu itu yang dikira ialah kesudahannya (khatimahnya). Siapa yang kesudahannya menjadi bahagia bererti ia telah ditulis di dalam azali sebagai orang yang bahagia. Walaupun di dalam hayat hidupnya telah hidup di dalam kekufuran. Tetapi pada saat akhir ia telah masuk Islam dan bertaubat dan melakukan ketakwaan kepada Allah, maka ketahuilah bahwa telah tertulis sejak azali bahawa dia adalah seoarng yang mendapat kebahagiaan.


Begitu juga dengan sesorang yang telah memeluk Islam ia dikira sebagai orang yang bahagia. Tetapi pada saat-saat akhir ia telah kufur dan tidak beriman keapda Allah maka  kesudahannya ialah celaka. Bererti ia telah ditulis sejak azali bahawa ia adalah sebagai orang yang celaka. Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui apakah kesudahan hidup untuk seseorang itu. Hanya Allah sajalh yang lebih mengetahui akan hal ini.

Surah Al An’am Ayat 116


Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.


Allah menurunkan ayat ini dengan tujuan untuk mengingatkan rasulNya supaya rasulNya dan juga kaum mukmin berhati-hati dan jangan sampai terpengaruh dengan majoriti kaum musyrikin kafir itu. Ini kerana pada masa itu kaum musyrikin kafir jumlahnya lebih dari kaum mukmin. Jadi kaum mukmin akan mudah terpengaruh dengan amalan yang dilakukan oleh kaum musyrikin kafir.  Jika kaum Mukmin menuruti kemahuan kebanyakan orang yang bukan Islam yang berada di muka bumi, pasti mereka akan mengambil peluang untuk menyesatkan kaum Mukmin dari jalan Allah. Mereka pasti menyesatkan kaum Mukmin dari jalan yang benar.


Oleh kerana itu Allah melarang keras kaum mukmin dari mengikuti hukum-hukum selain yang diturunkan oleh Allah Taala sendiri. Sebenarnya amalan yang dilakukan oleh kaum musyrikin itu hanyalah sekadar mengikut sangkaan belaka dalam akidah perbuatan mereka. Mereka hanya mengikut ajakan-ajakan hawa nafsu dan mereka selalu berdusta terhadap Allah.  


Sejarah telah membuktikan tentang timbulnya kesesatan dan sebahagian besar penghuni dunia kerana mengikutkan hawa nafsu dan prasangka. Ahli Kitab telah meninggalkan petunjuk Nabi-nabinya dan tersesat jauh sekali dari kebenaran. Demikian juga orang-orang penyembah berhala yang tindak tanduknya lebih jauh lagi dari petunjuk Nabi-nabi itu. Nabi Muhammad saw diberitahu oleh Allah tentang keadaan umat-umat yang terdahulu itu dan ini membuktikan kebenaran beliau sebagai Rasul. Kerana baginda telah mengetahui keadaan umat-umat terdahulu, padahal baginda belum pernah mempelajari sejarah.

Surah Al An’am Ayat 117


Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan sesiapa yang sesat dari jalannya, dan Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.


Ayat ini menegaskan bahwa yang mengetahui sungguh-sungguh siapakah yang benar dipimpin atau yang tersesat itu hanyalah Allah sahaja. Manusia tidak akan tahu. Kerana mereka selalunya akan mudah terpengaruh oleh bayangan yang tidak diketahui betul benar hakikatnya. Hanya Allah lah yang lebih tahu akan orang-orang yang mendapat petunjuk. Iaitu yang terpandu ke jalan yang hak lagi benar.


Oleh sebab itu hendaknya serahkan sajalah urusan mereka kepada yang Maha Berkuasa, supaya masing-masing diberikan balasan yang setimpal dengan perbuatannya.


Surah Al An’am Ayat 118


Maka makanlah dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya. “ (118)


Allah menuntut kepada hambaNya yang beriman supaya mereka makan makanan yang halal iaitu binatang yang disembelih dengan menyebut nama Allah. Ketika menyembelihnya yang tidak menyebut nama Allah, ianya tidaklah boleh dimakan. Sebagaimana biasa orang-orang kafir yang menyembelih binatang dengan menyebut nama berhalanya.


Walaupun ayat ayat hukum banyak dikeluarkan pada surah Madiniah, tapi telah ada pengharaman untuk memakan binatang yang disembelih dengan menyebut nama berhala-berhala. Orang-orang musyrikin Mekah memang menyembelih binatang dan dikhususkan menyebut berhala mereka. Binatang sebegitu tidak boleh dimakan.


Sebelum pengharaman itu, orang-orang Islam dan orang-orang musyrikin duduk serumah dan mereka makan makanan yang sama. Dan apabila telah diharamkan untuk memakan binatang yang disembelih atas nama berhala, mereka sudah tidak boleh berkongsi makanan dengan ahli keluarga mereka yng musyrik lagi. Ini sebenarnya adalah satu hukum yang berat kepada orang-orang Islam waktu itu. Kita mungkin tidak terasa keberatan itu kerana kita hidup sekarang ini di dalam keadaan di mana tidak ada masalah untuk kita mencari makanan yang halal. Kita pun duduk dengan ahli keluarga kita yang semuanya beragama Islam. Tetapi bayangkan para sahabat yang waktu itu mereka tidak ramai dan mereka sedang duduk bersama-sama dengan ahli keluarga mereka yang musyrik.


Musyrikin Mekah apabila lihat orang Islam tidak mahu makan binatang yang mereka sembelih,  mereka ada satu hujah yang diberikan kepada orang Islam. Mereka kata kepada kaum Islam, “kamu hanya makan binatang yang kamu bunuh, tapi kamu tak mahu makan makanan yang Allah matikan? Adakah kamu lebih baik dari Allah?” Mereka merujuk kepada bangkai binatang yang telah mati. Mungkin mati di tengah jalan dan sebagainya. Mereka kata binatang-binatang itu dimatikan oleh Allah. Takkan tak boleh makan, mereka kata. Mereka mengejek kaum muslim dengan berkata begitu. Mereka kata kita berlagak dengan Allah. Itu adalah buah fikiran mereka sahaja yang rasa mereka pandai.


Yang menghalalkan dan mengharamkan adalah Allah. Semasa Nabi Adam tinggal di syurga, baginda boleh makan apa sahaja makanan yang di syurga. Tapi dengan satu syarat: tidak boleh hampiri dan makan dari satu pokok. Begitulah Allah uji kita sebagai manusia. Apabila ada halal dimakan, Allah jadikan yang haram sebagai ujian untuk kita. Kerana nak tengok samada kita mentaati perintah Allah dan samada kita tinggalkan apa yang Allah larang.


“.... jika betul kamu beriman kepada ayat-ayatNya.
Jika kamu betul-betul beriman, maka tunjukkan iman kamu dengan hanya memakan sembelihan yang disebut nama Allah. Ini adalah satu ujian. Lebih-lebih lagi dalam masyarakat yang mengamalkan syirik pada zaman Nabi dulu. Waktu itu umat Islam sedikit. Makanan pun tidak banyak. Tapi sudah ada larangan sebegitu. Jadi, makanan untuk mereka sudah berkurang. Ianya amat menguji keimanan. Hanya mereka yang beriman sahaja yang boleh taat.


Zaman sekarang pun ada ujian juga. Makanan sekarang bermacam-macam jenis. Yang sedap-sedap terjual di merata tempat. Tapi, sebelum makan, kita kena pastikan yang makanan itu adalah makanan yang halal. Jadi, makanan kita dah jadi terhad. Ada makanan yang kita tahu sedap, ramai orang makan, tapi kerana iman kita, kita tahan diri kita dari memakannya. Kita sanggup bersusah payah mencari makanan yang halal. Itulah tanda iman dalam hati.


Surah Al An’am Ayat 119


Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampaui batas.


Ayat ini walaupun berbentuk pertanyaan, iaitu apakah yang menegahkan kamu dari memakan binatang sembelihan yang dibacakan dengan nama Allah padanya, tetapi ianya bertujuan untuk menguatkan lagi suruhan yang terkandung di dalam ayat yang lalu.


Allah kata Allah telah jelaskan kepada kita mana-mana makanan yang halal boleh dimakan dan mana-mana makanan yang haram tak boleh dimakan. Ingat lagi tak kita belajar di dalam Surah Al Maidah ayat 3 yang bermaksud :
“Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


Di dalam ayat ini ada lagi menyebut bahawa melainkan jika ada darurat yang memaksa untuk menahankan diri daripada mati kelaparan , maka tidak mengapa untuk memakan makanan jenis yang diharamkan itu. Maksudnya perbuatan itu adalah dimaafkan. Sebab dalam agama ada suatu kaedah yang disebut sebagai “masa darurat dibenarkan melampaui larangan”. Tujuannya adalah untuk menghindarkan dari kebinasaan. Sebagai contoh, pergi ke ke suatu tempat lalu tersesat beberapa lama dan tak boleh keluar, dan didapati tidak ada makanan lain, yang ada hanya kucing sahaja. Kalau dia tak makan juga, boleh mengakibatkan mati. Waktu itu, dia wajib makanan yang telah diharamkan. Asalkan jangan makan dengan berlebihan.


“...Dan sesungguhnya kebanyakan manusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. ..”
Banyak terdapat manusia yang menyesatkan orang lain kerana dipengaruhi oleh hawa nafsu yang keji tanpa mengetahui baik buruk tutur kata dan tindakan mereka itu. Perbuatan menyesatkan itu terang-terang menyalahi perintah dan larangan Allah.


Umpamanya, Amr bin Luhai dan kaumnya, walaupun telah memeluk Islam tetapi masih lagi berpegang kepada adat nenek moyang mereka semasa zaman jahiliyah. Mereka masih lagi mempersembahkan beberapa ekor binatang ternak sebagai hadiah, korban untuk berhala-berhala mereka yang diberi nama Bahirah, Saibah, Wasilah dan Ham. Mereka mendakwa bahwa perbuatan itu mengikut syariat agama yang patut dipelihara. Padahal semuanya adalah rekaan belaka. Dari sinilah timbulnya agama menyembah berhala.


Kalau kita di zaman sekarang, kalau dalam perkahwinan masih lagi mahu mengekalkan persandingan. Kononnya ianya satu budaya yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Tetapi sesungguhnya upacara persandingan dan tepung tawar di khalayak ramai itu adalah mengikut-ngikut budaya hindu yang kita sebagai orang Islam yang beriman haram untuk meniru adat budaya agama lain. Inilah yang dikatakan sesuatu perbuatan yang menyesatkan yang dipengaruhi oleh hawa nafsu semata.  


Di dalam ayat ini Allah memberi amaran kepada kaum mukmin di zaman Rasulullah termasuk juga kita semua, Allah akan menyeksa orang-orang yang melanggar perintahNya. Jadi janganlah kita lakukan juga apa-apa yang Allah larang kalau kita tidak mahu menerima azab.




Surah Al An’am Ayat 120


Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan.


Dosa dari segi bahasa ialah sesuatu yang buruk. Dari segi syarak, ialah sesuatu yang diharamkan oleh Allah. Ia adalah sesuatu perbuatan yang salah yang dalam hati kita pun kita dah tahu ianya salah dan kita tidak mahu orang lain mengetahui tentangnya. Hati kita sendiri dah tahu yang ianya adalah satu perbuatan yang salah kerana ianya telah ada dalam fitrah kita.


Allah tidak akan mengharamkan sesuatu perkara kepada hambanNya melainkan perkara tersebut akan membawa mudharat kepada perseorangan mahupun kepada dirinya, hartanya, nama baik dan juga kepada agama. Atau mendatangkan mudharat kepada masyarakat baik yang mengenai urusan politik, ekonomi mahupun pergaulan.


Dosa yang jelas atau pun dosa lahiriah ialah segala keburukan yang dilakukan oleh anggota lahiriah, iaitu kaki tangan, mulut, mata dan telingat. Ianya dilakukan dengan tanpa rasa takut. Umpamanya seperti berdusta, melihat yang haram, mencederakan, merosakkan harta benda, membunuh atau mengambil nyawa dan sebagainya. Ini merupakan perbuatan dosa yang kita nampak. Juga ianya bermaksud perbuatan dosa yang orang tak kisah pun kalau kita buat. Mereka yang tengok macam tidak ada apa-apa kalau kita buat. Sebab dah biasa sangat dalam masyarakat. Sebagai contoh,  orang tak pakai tudung dan berpakaian ketat sehingga menjolok mata di depan kita, kita tak kisah pun, sebab dah biasa sangat dan ramai sangat yang tak pakai tudung dan yang pakai pakaian sebegitu.


Dosa tersembunyi atau dosa batin ialah segala keburukan yang dilakukan dosa secara tersembunyi. Tak nampak. Dan bukan di depan orang. Ia dilakukan oleh anggota batin iaitu hati seperti takabbur, dengki, dendam, merancang pakatan jahat dan seumpamanya.


Maka semua dosa-dosa yang jelas dan tersebunyi, samada lahir dan batin ini, Allah perintahkan orang-orang Mukmin supaya meninggalkannya. Dan Allah mengancam siapa-siapa yang mengerjakannya akan diberi balasan yang setimpal dengan keburukan dan kejahatan yang dilakukannya.


Walau bagaimanapun orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kebodohannya (jahil) kemudian menyedarinya lalu segera dia bertaubat, malah ditebusnya dengan beramal yang baik, maka Allah bersedia mengampunkan dosanya. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dengan firmanNya di dalam Surah Hud ayat 114 yang bermaksud :
“Sesungguhnya amalan yang baik dapat menghilangkan amalan yang jahat.”

Surah Al An’am Ayat 121


Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa); dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu; dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.


Kata Ibnu Abbas, ayat ini merupakan pengharaman memakan bangkai binatang (yang mati tidak disembelih secara syarak) dan yang serupa hukumnya dengannya seperti binatang yang mati tercekik dan sebagainya.


Kata Ata’, ayat ini merupakan pengharaman memakan binatang sembelihan atas nama berhala.


Para ulamak telah bertelingkah pendapat mengenai sembelihan orang Islam jika tidak ada dibacakan nama Allah padanya. Pendapat Imam Malik, tiap-tiap sembelihan yang tidak dibacakan nama Allah padanya baik sengaja atau terlupa, hukum memakannya adalah haram.


Pendapat Imam Abu Hanifah, jika tidak dibacakan nama Allah padanya dengan sengaja, hukum memakannya adalah haram. Tetapi jika terlupa, hukum memakannya adalah halal.


Adapun Imam Syafie pula berpendapat, sembelihan itu adalah halal samada sengaja atau terlupa (tidak) membacakan Basmallah semasa menyembelihnya.


Jadi difahamkan di dalam ayat ini, Allah sekali lagi telah menegah orang-orang mukmin supaya jangan memakan bangkai binatang yang matinya tidak disembelih atau memakan binatang yang disembelih atas nama berhala. Sesungguhnya perlanggaran terhadap larangan ini dikira kejahatan dan maksiat.


Syarat untuk kita boleh makan sembelihan itu ada dua:
1. Semasa sembelih itu, nama Allah disebut. Tidak disebut nama selain dari Allah ketika penyembelihan, seperti nama al-Masih dan seumpamanya.
2. Penyembelihan dilakukan seperti sembelihan muslim, diputuskan urat halqum dan mari’ sehingga menumpahkan darah. Jika binatang tersebut mati kerana dijerut atau dikenakan kejutan elektrik, dibenam ke dalam air atau seumpamanya, maka binatang tersebut tidak halal dimakan. Apabila disembelih dengan cara yang betul, maka darah binatang itu akan dikeluarkan. Dan bersama darah itu akan keluar sekali bahan yang kotor yang boleh membahayakan kesihatan.


Kemudian Allah menjelaskan pula, yang sesungguhnya syaitan-syaitan itu akan membisikkan kepada pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada orang-orang musyrikin supaya melawan kata-kata dan ajaran Nabi saw dengan mendakwa bahawa bangkai itu adalah halal untuk dimakan.


Akhirnya Allah mengancam sekiranya orang-orang mukmin mengikut kata-kata mereka yang menghalalkan makanan bangkai, maka pastilah orang-orang mukmin itu akan menjadi seperti orang-orang musyrikin juga yang menyekutukan Allah kerana menyembelih binatang atas nama berhala. Ini termasuklah dalam golongan yang syirik.


Dalam hubungan ini az-Zajjaj mengatakan, bahawa ayat ini merupakan dalil bahawa orang yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dia dikira telah jatuh syirik.

Surah Al An’am Ayat 122


Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).


Di sini Allah membuat perbandingan yang berupa pertanyaan, adakah sama orang mukmin yang mendapat pimpinan Allah dengan orang kafir yang telah tersesat jalan? Tentulah tidak sama. Adapun orang kafir ini telah disifatkan sebagai mati kerana kekufurannya, sedangkan orang mukmin pula disifatkan sebagai orang yang hidup kerana keimanannya. Dan keimanan itu dapat memimpin seseorang ke jalan hidup yang selamat lagi bahagia selama-lamanya. Itulah sebabnya Allah mensifatkan orang yang beriman itu sebagai orang yang telah dihidupkanNya.


Kata ‘cahaya yang menerangi’ di dalam ayat ini ialah bermaksud kepada Al-Quran. Allah telah mengurniakan keapda orang-orang yang beriman sebuah cahaya iaitu Al-Quran, sebagai pegangan hidup yang berupa agama Islam. Dengan cahaya tadi orang-orang mukmin dapat hidup dengan selamat di kalangan umat manusia, kerana mereka mengetahui hal ehwal agamanya dan mengamalkan ajaran berpadukan Al-Quran.


Perbandingan orang-orang mukmin tadi adakah sama dengan orang kafir yang telah tersesat? Adakah sama dengan orang yang disifatkan oleh Allah sebagai hidup di dalam kejahilan dan kekufuran, di dalam suasana gelap gelita, tidak mendapat cahaya sehingga orang yang tersesat itu tidak dapat mencari jalan keluar dari kegelapannya.


Ayat ini menuntut agar tiap-tiap orang mukmin hendaklah bersifat hidup (dinamik) dan berpengetahuan serta memahami benar-benar akan agamanya, beramal dengan suruhannya dan berakhlak dengan pengajarannya. dan hendaklah seorang muslim itu menjadi contoh yang baik dan tauladan yang memikat hati kepada segenap manusia, supaya mereka memahami akan gambaran Islam yang sebenarnya.


Orang yang suka melakukan keburukan, sekiranya telah terbiasa, maka perkara yang buruk itu dipandangnya suatu perkara yang baik, samada dosa, maksiat atau kederhakaan, semuanya dipandangnya baik saja. Apalagi jika orang itu telah kufur dan mengingkari adanya Allah, maka berasalah dirinya sudah tidak mempunyai pantang larang lagi. Malah dosa dan maksiat itu dijadikannya sebagai perhiasan hidup yang dipamerkan dan diperadukan di sana sini.

Surah Al An’am Ayat 123


Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap negeri orang-orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu, padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri (kerana merekalah yang akan menerima akibatnya yang buruk), sedang mereka tidak menyedarinya.


Allah memberi contoh iaitu sebagaimana di Mekah ada dijadikanNya pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin. Begitu juga pada tiap-tiap negeri, kota dan desa ada dijadikanNya pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin. Akan tetapi sayang, di antara mereka ada yang menjadi penjahat, kerana membuat tipu daya yang berbentuk peraturan-peraturan dan undang-undang tetapi yang sebenarnya adalah putar belit, dan tindakan-tindakan yang zalim dengan memeras, menekan, menindas dan menyusahkan rakyat dan orang ramai, untuk mencari keuntungan dan kepentingan diri sendiri.


Bagaimana boleh terjadi begitu? Dalam satu hadis yang soheh, ada disebut bahawa pemimpin yang jahat dari rakyat yang jahat. Jadi kalau kita lihat pemimpin kita jahat, zalim, teruk, kita kena lihat diri kita. Sebab kita perangai macam itulah yang menyebabkan mereka boleh naik. Mereka yang jahat itu berada di kedudukan yang tinggi, sama ada mereka itu orang yang tinggi di dalam masyarakat kerana kedudukan pangkat mereka ataupun kerana kekayaan mereka. Kerana kadang-kadang orang yang kaya tidak ada post kepimpinan, tapi kerana mereka orang yang paling kaya, maka mereka dipandang sebagai orang yang tinggi kedudukan juga.


Apakah masalah dengan mereka ini? Kalau mereka orang yang baik tidak mengapa. Tapi, selalunya yang menentang kebenaran dan menentang jalan Sunnah adalah mereka yang mempunyai kedudukan elit dalam masyarakat. Sebagai contohnya, Firaun, Abu Lahab dan Abu Jahal memegang kedudukan yang tinggi. Maka, dalam zaman sekarang pun begitu juga. Mereka tidak suka agama berkembang kerana kalau agama berkembang, kedudukan mereka akan tergugat.


Bukanlah semua pemimpin itu jahat balaka. Kita boleh lihat contoh Dzulkarnain dan Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf, Muhammad Al Fateh dan sebagainya yang berada di kedudukan yang tinggi, tapi mereka itu orang yang beriman dan memimpin dengan baik. Yang kita sebut dalam tulisan ini adalah kebanyakan pemimpin yang ada adalah berperangai begitu.


Kalau pembesar-pembesar dan pemimpin-pemimpin itu bertindak sebagai orang jahat, ini bererti mereka sudah menjadi penjahat -penjahat besar. Allah menyifatkan mereka sebagai penjahat-penjahat besar disebabkan pangkat dan kebesaran mereka telah mereka pakai untuk menipu dan mereka gunakan untuk berkhianat dengan sewenang-wenangnya. Kerana segala kuat kuasa dan undang-undang ada di tangan mereka. Dan semakin besar kekuasaan mereka di negeri itu, semakin besar pulalah kejahatan yang  mereka lakukan.


Allah memberi amaran, janganlah orang yang membuat tipu daya, putar belit, janji palsu dan segala perkara yang mendatangkan bencana itu menyangka bahawa perbuatan itu, mendatangkan keuntungan kepada mereka. Tidak. Tidak sama sekali! Malahan mereka itu sebenarnya telah menipu diri mereka sendiri.  Dan bencana yang akan menimpa ke atas mereka adalah ibarat kata peribahasa, menggali lubang kubur, dan masuk sendiri ke dalamnya. Mereka akan masuk kedalam perangkap yang mereka sendiri lakukan. Dan tentunya mereka akan masuk ke dalam Neraka Jahannam atas usaha jahat mereka sendiri itu.

Surah Al An’am Ayat 124


Dan apabila datang kepada mereka sesuatu keterangan, mereka berkata: "Kami tidak akan beriman sehingga kami juga diberi (wahyu) sama seperti yang telah diberikan kepada pesuruh-pesuruh Allah". Allah lebih mengetahui di mana (dan kepada siapakah yang sepatutnya) Ia berikan jawatan Rasul (dan wahyu) yang diberikanNya itu. Orang-orang yang melakukan perbuatan yang salah itu akan ditimpa kehinaan di sisi Allah, dan azab seksa yang amat berat, disebabkan perbuatan tipu daya yang mereka lakukan.


Sebabnya ayat ini duturunkan ialah kerana Walid bin Mughirah ada mengatakan kepada Nabi saw , kalau kenabian itu suatu yang benar, nescaya dialah yang lebih layak untuk mendapatkan pangkat kenabian itu dariapda Nabi saw. Kerana dia lebih tua daripada nabi dan lebih banyak harta dan lebih baik keturunannya. Maka Allah turunkan ayat ini.


Dan menurut kat Muqotil, ayat ini ditujukan kepada Abu Jahal yang mengatakan kepada Nabi saw, “demi Allah! Kami tidak percaya kepadamu dan tidak sekali-kali mengikutmu, melainkan kami telah didatangi wahyu sebagaimana engkau didatangi wahyu, “ maka turunlah ayat ini.


Maksud ayat ini, Allah menceritakan tentang kedengkian hati orang-orang musyrikin Quraisy terhadap nabi saw yang telah diutus oleh Allah sebagai rasul. Samada kedengkian itu semata-mata kerana enggan beriman dengannya, ataupun mereka sendiri inginkan pangkat kenabian itu.


Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa Dia lebih mengetahui siapakah orang yang layak menerima pangkat kenabian, dan siapa yang tidak layak menyandangnya. Sesungguhnya perutusan Allah atau pangkat kenabian itu tidak akan diberikan terutama kepada golongan yang sifatnya hasad dan dengki seperti orang-orang musyrikin Quraisy itu. Pangkat kenabian itu adlah suatu kurnia yang mulia di sisi Allah, hanya orang-orang yang dikehendaki Allah saja yang akan dipilih untuk menerimanya. Kenabian tidak akan didapat dengan sebab usaha seseorang. Bukan juga mengikut kekayaan atau keturunannya. Yang menerimanya ialah orang yang berkelayakan, disebabkan mempunyai peribadi yang sempurna, hati yang bersih, cinta kepada kebaikan dan kepada perkara yang hak.


Maka jelaslah sudah, bahwa Allah lebih tahu untuk memilih orangyang layak menjadi rasulNya dengan memilih junjungan kita Nabi Muhammad saw. Dan bukannya al Walid bin al Mughirah dan bukan juga Abu Jahal Amr bin Hisyam sebagai penjahat-penjahat besar negeri Mekah.


Allah telah memberikan amaran keras kepada penjahat-penjahat besar itu bahawa mereka akan ditimpa kehinaan dan kerendahan sehingga diri mereka kelak menjadi kecil tidak ada harganya lagi. Inilah suatu hukuman yang telah pasti di sisi Allah. Hanya menunggu perlaksanaannya sahaja di dunia. Begitu pula mereka akan ditimpakan seksa yang keras di akhirat, sebagai balasan atas perbuatan mereka melakukan tipu daya.


Dan benarlah tidak lama kemudian sesudah Nabi saw berhijrah ke Madinah berlakulah Perang Badar, maka di antara penjahat-penjahat besar negeri Mekah itu, banyak yang telah tewas dibunuh oleh tentera Islam.

Surah Al An’am Ayat 125


Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan kekotoran kepada orang-orang yang tidak beriman.


Hidayah adalah satu perkara yang susah untuk kita dapat melainkan dengan keinginan Allah. Kita amat berharap semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diberikan hidayah oleh Allah. Kalau Allah tidak mahu beri hidayah kepada kita, tentulah kita antara mereka yang amat malang sekali.


Hidayah ini bukan boleh diberi dengan kehendak kita. Sebagai contoh, tentu kita sayangkan ahli keluarga kita, dan kita hendak mereka mendapat hidayah. Tapi hidayah tidak boleh dipaksa dan diberikan kepada mereka. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja ajakan dakwah tauhid ini kepada mereka. Tapi, samada mereka terima atau tolak, bukan kita yang boleh kawal.


Pernah Rasulullah saw ditanya orang ramai mengenai ayat ini, iaiatu “Bagaimana Allah membukakan hati seseorang itu ya Rasulullah?” Jawab baginda, “Ada cahya yang disinarkan ke dalam hatinya, sehingga terbukalah ia dan menjadi lapang.” Lalu tanya orang ramai lagi, “adakah yang demikian itu mempunyai tanda yang boleh kita kenal?” jawab baginda lagi, “kembali ke negeri yang kekal, menjauhi tegahan dari negeri yang memperdayakan dan bersedia pula untuk mati sebelum kedatangan ajal.”


Maksud hadis ini ialah tanda-tanda mereka terbuka hatinya dan mendapat cahya itu adalah mereka sentiasa memikirkan bagaimana kehidupan mereka di akhirat nanti. Dan mereka lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia. Mereka bersedia untuk mati sebelum mati itu sendiri datang. Mereka sudah bersiap sedia untuk menyerah diri. Itulah tanda-tandanya.


Allah lah yang membuka dan melapangkan dada manusia untuk menerima Islam sebagaimana Allah telah melapangkan dada Nabi Muhammad seperti yang disebut dalam ayat pertama surah Ash-Sharh yang bermaksud : “Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk) ? “


Ayat ini bermaksud Allah lapangkan dada mereka yang Allah kehendaki untuk faham Islam. Untuk terima ajaran Islam. Maka apabila dia faham Islam, maka dia mudah untuk terima. Apabila dia terima, dia senang untuk melakukan suruhan Allah. Senang sahaja untuk buat amal ibadat. Ringan sahaja badannya untuk solat dan ringan juga mulutnya untuk berzikir. Kalau tidak, payah sangat. Kalau main sukan senang sahaja, tapi nak bangun solat, amatlah payah kepada mereka yang tidak dilapangkan dadanya kepada Islam.


Mereka ini mudah untuk menyerahkan diri mereka untuk agama Islam kerana perkataan Islam pun sudah bermaksud ‘serah diri’. Serah diri itu bermaksud taat sepenuhnya. Apa sahaja yang Allah suruh buat, mereka akan senang untuk buat. Tidaklah mereka tertanya-tanya kenapa Allah suruh solat, kenapa nak kena buat haji, kenapa tak boleh makan babi dan minum arak dan sebagainya. Yang banyak bertanya itu adalah mereka yang belum serah diri lagi kepada Islam. Itulah sebabnya mereka banyak bertanya.


Islam juga bermaksud ‘selamat’. Apabila Allah telah buka hati seseorang itu kepada Islam maka dia akan rasa selamat dan selesa dengan agama Islam sebagai agamanya. Dia tahu bahawa apa yang Islam suruh buat itu adalah untuk kebaikan dirinya dan agamanya. Apabila ada amalan yang dibuat tapi tidak bertepatan dengan nas syarak, mereka akan senang nak tolak. Tidaklah mereka berat hati nak terima ajaran dalam Quran.


“...dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya,..”
Ini adalah keterbalikan dari kehendak Allah untuk memberikan hidayah kepada manusia. Kenapa pula Allah mengkehendaki manusia itu jadi sesat? Takkan Allah suka makhluk jadi sesat pula?


Sesiapa yang telah rosak keperibadiannya, disebabkan oleh syirik yang menyesatkan, dan jiwanya telah diselaputi noda disebabkan dosa yang dilakukannya, sudah tentu orang itu akan tertutup pintu hatinya dari menerima cahaya kebenaran, sempat pandangannya dari menerima petunjuk dan keterangan. Dan amat berat pula untuk menerima seruan Islam untuk dijadikan sebagai pegangan hidup dan agamanya.


Oleh itu Allah bawa mereka kepada kesesatan kerana mereka degil untuk menerima ajakan tauhid. Setelah berkali-kali mereka diajak untuk menerima tauhid, mereka menolak. Dan mereka tidak segan-segan pula melakukan kejahatan. Apabila telah banyak kali menolak ajakan tauhid, maka Allah akan kunci mati hati mereka dari menerima iman dan Allah akan bawa mereka kepada kesesatan.


Orang yang telah disempitkan dadanya susah untuk belajar agama. Mereka mungkin datang belajar tetapi mereka tidak faham. Berat untuk mereka untuk menerima apa yang telah diajar. Mereka ada sahaja alasan untuk tidak datang belajar. Kerana kalau mereka dalam kelas pembelajaran agama, mereka rasa tak selesa. Mereka rasa nak keluar sahaja.


Mereka ini kalau kita lihat, tidak dapat meluangkan masa untuk beribadat kerana mereka telah penuhkan masa mereka dengan hal-hal keduniaan yang melekakan. Hatinya telah penuh dengan kecintaan kepada dunia. Itulah sebabnya hati mereka sempit. Kalau hati telah penuh dengan keduniaan, bagaimana lagi hendak masuk hal akhirat?


“...seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). “
Allah berikan perumpamaan kepada kita supaya kita lebih faham. Kepayahan yang mereka rasai itu amat susah bagaikan seseorang yang sedang mendaki tempat yang tinggi. Bayangkan kalau seseorang yang sedang mendaki bukit yang tinggi tentunya mereka akan susah untuk bernafas kerana tercungap-cungap.


Dan daripada segi sains juga kalau kita naik ke tempat yang tinggi, kita pun akan susah untuk bernafas kerana Oksigen sudah berkurangan. Apabila oksigen kurang, dada kita rasa sempit, dan nak bernafas pun susah. Dalam keadaan dada mereka yang sempit dan rasa susah untuk bernafas, maka mereka akan melarikan diri. Itulah sebabnya kadang-kadang kita boleh lihat bagaimana kalau kita menceritakan tentang agama kepada seseorang mereka akan rasa tidak sedap duduk dan mereka akan mencari alasan untuk melarikan diri. Mereka rasa tak selesa. Kalau kita bersembang hal lain, mereka tak kisah, asalkan jangan bercerita tentang agama.


Sebagaimana Allah telah menyempitkan dada mereka, begitulah juga Allah akan memberikan kekotoran ke atas mereka kerana mereka tidak mahu beriman. ‘Kekotoran’ yang dimaksudkan di dalam potongan ayat ini adalah kekotoran dalam hati. Apabila sudah ada kekotoran dalam hati, ia akan membawa kepada kekotoran didalam minda dan juga kekotoran di dalam perbuatan mereka.



Surah Al An’am Ayat 126


Dan inilah jalan Tuhanmu (ugama Islam) yang betul lurus. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat keterangan (Kami) satu persatu, bagi kaum yang mahu beringat - insaf.


Jalan agama Islam lah yang tegak lurus. Iaitu jalan yang tidak ada syirik dan bidaah. Berapa ramai yang mengaku mereka beragama Islam, tapi dalam masa yang sama, mereka mengamalkan amalan syirik di dalam agama.


Ayat-ayat dari Allah telah jelas di hadapan mata kita. Yang nampak jelas itu hanyalah mereka yang mahu mengenal agamanya. Dan untuk mengenal agama Islam, kenalah tahu apakah yang hendak disampaikan oleh Allah. Allah telah memberi kita Kitab panduan, iaitu Kitab al-Quran ini. Maka untuk memahaminya, kenalah belajar tafsir Quran kerana kita tidak akan dapat faham Quran ini kalau kita tidak belajar tafsir.


Sesungguhnya Kami (Allah) telah kemukakan keterangan-keterangan ayat-ayat Al-Quran itu apa-apa yang berkenaan dengan janji Allah dan ancamanNya, balasan pahala dan seksaanNya, apa -apa yang dihalalkan dan diharamkanNya, yang disuruh dan yang ditegahNya, dan lain-lain hukum yang terkandung dalam Al-Quran.


Ayat-ayat itu diberikan kepada semua manusia tetapi yang mahu menerimanya adalah mereka-mereka yang mahu mengambil pelajaran sahaja. Iaitu mereka yang mahu mencari jalan kebenaran. Kepada mereka yang tidak mahu, tidak memikirkan tentang kebenaran, mereka tidak akan terkesan dengan ayat-ayat Quran yang mereka baca.


Penjelasan ini adalah untuk difikirkan dan dijadikan tauladan kepada orang-orang yang suka mengambil peringatan.

Surah Al An’am Ayat 127


Bagi merekalah Syurga Darus-Salaam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka, dan Dia lah Penolong mereka, disebabkan amal-amal (yang baik) yang mereka telah kerjakan.


“Darussalam’ ialah nama salah satu dari tujuh buah syurga. Lafaz ‘as-Salam’ ertinya ‘kesejahteraan’ adalah salah satu nama-nama Allah sebanyak 99. Sebabnya syurga itu dinamakan “Darussalam’, kerana ia senantiasa diliputi oleh suasana kesejahteraan. Ini banyak dinyatakan oleh Allah dalam firmannya di dalam Al-Quran. Maka syurga tersebut telah disediakan oleh Allah bagi mereka yang mengambil peringatan itu.


Dalam ayat sebelum ini telah di sebut tentang orang yang Allah telah bukakan hatinya untuk Islam dan apabila hatinya telah dibuka untuk Islam, maka dia akan mendapat tempat di Darussalam. Ianya adalah tempat yang kita akan rasa selamat dan kita berasa aman. Ianya dinamakan ‘Darussalam’ kerana penghuni syurga tidak akan ada perasaan takut. Tidak ada kerisauan tentang apa yang mereka akan hadapi. Tidak ada sesiapa yang akan mengganggu mereka. Tidak ada bunyi-bunyi yang tidak enak untuk didengar. Tidak ada kata-kata marah dan tidak ada kata-kata yang sia-sia.


Berbeza sangat dengan keadaan di dunia. Kerana tidak kira betapa tinggi kedudukan kita, kita tidak terlepas dari merasa segala kerisauan itu semua. Akan ada sahaja rasa takut dan gundah gulana tentang keselamatan kita dan sebagainya.


Ini adalah satu nikmat yang amat besar sekali! Mereka akan duduk di tempat yang berdekatan dengan Allah. Bukan sahaja mereka dapat duduk di rumah yang indah dan aman tetapi mereka juga duduk di kawasan yang berdekatan dengan Tuhan.


Apakah yang dimaksudkan kita tinggal berdekatan dengan Allah? Sebagaimana kita pun telah tahu, syurga Firdaus itu berada betul-betul di bawah Arasy Allah. Itulah yang dimaksudkan kita berdekatan dengan Tuhan. Dan penghuni Syurga akan mempunyai satu kelebihan – mereka akan dapat melihat Allah di akhirat kelak. Allah akan datang ke Syurga untuk bertemu dengan penghuni Syurga. Oleh itu, kalau hendak melihat Allah yang telah menjadikan kita, maka berusahalah untuk masuk ke dalam Syurga.


Ayat ini mengajar kita bahawa untuk masuk syurga, kita hendaklah melakukan amal ibadat yang soleh. Kita kena berusaha untuk mendapatkannya dan bukan hanya dengan goyang kaki sahaja. Tidaklah dikatakan kita beriman tapi tidak melakukan amal ibadat yang soleh.


Kalau kita duduk di dunia pun dan ingin mendapat rumah yang cantik, maka kita hendaklah juga membayar harganya. Kena belajar tinggi-tinggi dan bekerja keras untuk dapat cukup wang untuk membeli rumah besar dan cantik itu. Begitulah juga untuk mendapat rumah di Syurga, hendaklah kita berusaha dengan melakukan amal-amal ibadat.




Surah Al An’am Ayat 128


Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan kami telah sampailah kepada masa kami (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami". (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah". Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.


Allah sekarang menceritakan keadaan di akhirat kelak. Iaitu di Mahsyar. Waktu itu, semua sekali makhluk dikumpul di hadapan Allah. Tidak ada yang tertinggal. Samada makhluk itu beriman atau tidak. Mereka semua ini nanti akan dibicarakan di hadapan Allah mengenai amalan-amalan mereka.


Dalam mahkamah pengadilan di akhirat nanti, bila sampai gilirannya, para jin akan didakwa, bahwa mereka adalah bersalah, kerana telah banyak menyesatkan bangsa manusia dengan godaan-godaan yang dilakukan ke atas mereka, manakal bangsa manusia pula dengan secara kebetulan mahu pula digoda. Jin-jin yang jahat telah banyak menyesatkan manusia ini, pada hari akhirat itu nanti, mereka akan membawa bersama mereka golongan-golongan manusia yang telah mereka goda dan perdaya itu.


Ayat ini, samalah bandingannya dengan ayat 60 hingga 62 dari surah Yasin yang bermaksud:
“"Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu. Dan hendaklah kamu menyembah Ku; inilah jalan yang lurus. Sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan sebahagian besar di antaramu, maka apakah kamu tidak memikirkan?".
(Q.S Yasin: 60, 61, 62)


Ayat ini merupakan celaan Allah kepada anak cucu Adam. Allah bagitahu bahwa di akhirat nanti mereka akan turut didakwa dan akan didapati bersalah kerana mengikut ajakan dan godaan jin dan syaitan tadi.


Dalam ayat ini Allah memberikan penjelasan, bahawa setiap manusia senantiasa didampingi syaitan yang berusaha untuk memujuknya dengan bisikan yang mengajaknya kepada kefasikan dan kedurhakaan kepada Allah. Sehingga ia tidak menyedari, bahwa hal itu adalah tipu muslihat daripada syaitan tersebut. Pujukan jin dan syaitan ini diatur sehabis rapi untuk mempengaruhi manusia supaya terpedaya. Dan setelah terpedaya mereka akan bekerjasama memenuhi keperluan nafsu syahwat masing-masing.


Jelasnya  baik  manusia dan jin, mereka ini bersekongkol untuk mendapat kesenangan sesama mereka. Ini bermakna jin pun ada mendapat sesuatu dengan perhubungan mereka dengan manusia. Apakah yang jin dapat? Jin dapat sesatkan manusia. Itulah tujuan mereka. Selain dari itu, mereka mendapat kebanggaan bila manusia merendahkan diri kepada mereka. Dengan itu kedua-dua pihak akan menghadapi tuduhan yang sama. Iaitu jin dan syaitan akan dituduh menyesatkan dan manusia pula dituduh telah rela disesatkan.  


Orang-orang yang menjadi pengikut jin dan syaitan itu berkata; dengan penuh kesedihan dan penyesalan: "Ya Tuhan, kami telah sampai kepada waktu yang telah Engkau tentukan bagi kami, setelah kami menerima kelazatan dunia kerana mengikuti ajakan jin dan syaitan itu dan kami telah mengakui dosa-dosa kami, maka kami berserah diri kepada Mu untuk menerima hukuman Mu yang seadil-adilnya.


Yang mereka maksudkan dengan ucapannya itu tidak lain hanyalah untuk melahirkan penyesalan dan keterlaluan mereka dalam mengikuti hawa nafsu dan sekarang mereka berserah diri pada Allah Taala Yang mengetahui segala perbuatan mereka. Tapi, penyesalan waktu itu sudah terlambat. Tidak boleh buat apa-apa lagi. Sekarang mereka merasa amat menyesal tetapi sayang beribu kali sayang, semuanya sudah terlambat.


Setelah nyata bahwa mereka benar-benar bersalah, maka Allah jatuhkan hukuman dengan memasukkan mereka ke dalam api neraka. Iaitu tempat penyeksaan yang kekal bagi mereka untuk tinggal di sana. Kecualilah sekiranya Allah menghendaki supaya mereka kemudiannya dikeluarkan dari neraka itu, maka barulah mereka dapat terlepas dari seksaan dan hukuman. Jika tidak, maka tetaplah mereka tinggal di dalam neraka selama-lamanya.


Allah sajalah yang mempunyai kekuasaan penuh untuk membuat hukuman dan keputusan. Dan Dia pulalah yang dapat mengubah sesuatu hukuman dan keputusan. Allah lebih tahu akan apa yang patut dilakukanNya tentang balasan pahala dan seksa yang akan dikenakanNya ke atas hambaNya. Sedangkan manusia ini tidak akan sampai pengetahuan mereka kepada perkara-perkara tersebut itu.



Surah Al An’am Ayat 129


Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian dari orang-orang yang zalim itu kawan rapat dengan sebahagian yang lain, disebabkan apa yang mereka telah usahakan (dari perbuatan-perbuatan kufur dan maksiat itu).


Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat yang lalu, maksud ayat ini ialah, sebagaimana Allah menimpakan seksa dan azab ke atas bangsa jin dan manusia, maka begitulah juga Allah akan timpakan azab dan seksa juga kepada orang-orang yang zalim iaitu penganiaya-penganiaya yang berkuasa ke atas sebahagian yang lain. Maksud penganiaya-penganiaya itu adalah orang-orang yang berkuasa dan mempunyai jawatan untuk memimpin tetapi dia telah memimpin dengan zalim dan aniaya. Dan rakyat yang dipimpin dengan zalim dan aniaya itu pula telah menyokong mereka untuk memimpin dengan zalim dan aniaya juga. Ini menepati sebuah “athar” yang berbunyi:
“sesiapa menyokong kezaliman, nescaya Allah akan timpakan kezaliman itu ke atasnya juga.”


Dalam mentafsirkan ayat ini, Ibnu Abbas ada mengatakan, sesungguhnya Allah itu, jika menghendaki sesuatu kaum menjadi baik, Dia akan menjadikan pemimpin mereka orang yang paling baik dari kalangan mereka. Dan jika Allah menghendaki sesuatu kaum itu menjadi jahat, Dia sendiri yang akan menjadikan pemimpin mereka orang yang paling jahat daripada kalangan mereka.


Diriwayatkan dari Qatadah bahawa dalam mentafsirkan ayat ini dia berkata: "Sesungguhnya Allah menjadikan manusia berteman akrab sesamanya dengan sebab persamaan perbuatannya. Seorang mukmin adalah wali (teman akrab) bagi orang mukmin, bila dan di mana dia berada. Seorang kafir adalah wali orang kafir lainnya, bila dan di manapun ia berada. Iman itu bukanlah dengan angan-angan dan bukan pula dengan tanda atau pakaian. Demi umur Ku! Bila engkau taat kepada Allah, sedang engkau tidak mengenal seorangpun di antara orang yang taat kepada Nya, maka hal itu tidak membahayakan kepadamu. Dan bila engkau berbuat durhaka dan maksiat yang dilarang Allah sedang engkau berteman akrab dengan orang yang taat dan takwa kepada Nya, maka hal itu tidak akan berguna sedikit pun bagimu.


Abe Syaikhi meriwayatkan bahwa Masykur bin Abil Aswad berkata: "Aku bertanya kepada Al A'masy tentang maksud ayat 129 ini: "Apakah yang engkau dengar dari para sahabat dan ulama tabiin? Al A'masy menjawab: "Aku dengar mereka berkata: "Apabila akhlak manusia telah rusak, maka mereka akan diperintah oleh manusia-manusia yang jahat.


Meneliti dari keterangan-keterangan dan riwayat hadis di atas, jelaslah bahwasanya sesuatu umat itu apabila telah banyak melakukan perbuatan zalim dan aniaya, pasti Allah akan utus kepada mereka seorang pemimpin yang zalim pula sepertimana mereka juga. Atau sesuatu kerajaan yang memerintah mereka dengan peraturan-peraturan yang zalim dan aniaya. Dan siapa yang ingin terlepas dari kezaliman ini, maka janganlah dia berlaku zalim. Adanya pihak penganiaya-penganiaya yang berkuasa ke atas sesuatu umat atau bangsa, baik jin mahupun manusia, adalah disebabkan kejahatan dan keburukan yang dilakukan oleh umat itu sendiri.


Allah berfirman:
"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya".
(Q.S Al Isra': 16)


Firman Allah”
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebagian yang lainnya, Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan salat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Q.S At Taubah: 71)



Surah Al An’am Ayat 130


Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: "Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)". Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).


Di akhirat nanti, penganiaya-penganiaya dari bangsa jin dan manusia itu akan ditanya oleh Allah, tentang seruan para rasul yang menjadi utusan-utusan Allah kepda mereka, adakah seruan-seruan tersebut tidak sampai kepada mereka, maka mereka tidak mahu beriman? Aya ini adalah hujah untuk menolak sekiranya mereka memberi alsan tidak pernah mendengar seruan rasul, walhal para rasul itu sebenarnya telah pun diutus kepada mereka semua.


Para ulamak kebanyakannya berpendapat : bahwasanya para rasul atau utusan-utusan Allah itu tidak ada yang terdiri daripada bangsa jin, tetapi semuanya daripada bangsa manusia. Tetapi Allah tetap menyeru kepada bangsa jin supaya mendengar kata-kata rasul itu, kemudian mereka diseru pula menemui kaum mereka, untuk mengkhabarkan apa yang mereka dengar sebagai memperingatkan kaum sebangsanya. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah di dalam ayat 29 dari Surah Al Ahqaf yang bermaksud:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.”


Jelaslah di dalam ayat di atas menyebut bahawa junjungan kita Nabi Muhammad saw adalah Rasulullah (utusan Allah) yang diutus kepada sekalian manusia dan jin, dan sekumpulan jin yang mendengar pembacaan Al Quran daripada baginda itu, mereka adalah menjadi utusan atau wakil baginda kepada kaum bangsanya pula.


Para utusan Alalh itu membacakan keterangan-keterangan yang bersangkutan dengan dasar-dasar keimanan dan adab-adab pergaulan yang baik serta hukum-hukum syarak yang mendatangkan kesejahteraan hidup. Dan mereka juga memberikan peringatan tentang adanya hari kiamat nanti. Di mana balasan baik dan jahat akan dirasakan oleh setiap dari mereka.


Di ketika itu bangsa jin dan manusia yang bersifat zalim dan aniaya itu akan mengakui, bahawa mereka sebenarnya telah pun didatangi oleh para rasul yang menyampaikan seruan agama Islam yang diredhai Allah. Dan ada pula di ayat lain yang menceritakan bahwa mereka yang mengaku telah mendustakan para rasul itu dan tidak mahu beriman. Ini telah dinyatakan oleh Allah pada ayat ke 9 di dalam surah Al Mulk yang bermaksud:
“Mereka menjawab: "Benar ada", sesungguhnya telah datang kepada kami mendustakan (nya) dan kami sesuatupun; kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar".


Ini adalah kerana kemewahan hidup di dunia dan keseronokan pada mementingkan hawa nafsu semata, isteri-isteri, anak-anak, harta kekayaan dan nama, pangkat dan pengaruh, semuanya itulah yang melalaikan mereka. Sehingga hati mereka telah menjadi beku, mata mereka telah menjadi buta, dan tidak dapat lagi membezakan mana yang baik, mana yang buruk. Dan tidak dapat lagi melihat cahaya ajaran Ilahi yang akan membawa mereka ke dalam kebahagiaan dunia dan akhirat.


Para Rasul itu telah membacakan kepada mereka ayat-ayat yang diturunkan Allah dan telah memperingatkan mereka bahawa di akhirat nanti akan ada hari pembalasan di mana orang-orang yang berbuat baik akan masuk syurga dan orang-orang yang kafir akan disiksa dalam neraka. Di kala itulah mereka mengaku terus terang bahawa mereka dahulu (di dunia) memang ingkar dan kafir, mendustakan rasul-rasul dan tidak percaya dengan adanya hari akhirat.


Oleh kerana pada hari akhirat nanti masa perbicaraannya tersangatlah panjang, jadi berlakulah bermacam-macam keadaan yang berubah-ubah. Orang-orang yang kufur, syirik, zalim, aniaya dan sebagainya ini, ketika disoal di dalam mahkamah pengadilan, mereka akan memberikan jawapan yang berbagai. Terkadang tidak mengaku bersalah. Dan terkadang mengaku salah pula. Misalnya ketika mereka melihat orang-orang mukmin mendapat balasan yang baik dan menerima layanan yang menyenangkan lalu mereka pun tidak mahu mengaku salah. Ini kerana mereka ingin berkeadaan seperti orang-orang mukmin itu.


Tetapi di saat itu juga, mereka dapati mulut mereka akan terkunci, tidak dapat hendak berkata-kata lagi, sedangkan anggota-anggota mereka yang lain telah berkata-kata menjadi saksi atas setiap perbuatan diri mereka. Tidak boleh tidak, mereka akhirnya terpaksa akur dengan persaksian yang diberikan oleh anggota tubuh badan mereka itu. Itulah sebabnya mereka kemudiannya telah mengaku salah pula akhirnya. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di akhir ayat 129 ini yang bermaksud :
“.... sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).”





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.