Thursday, May 14, 2015

Surah Yunus Ayat 84 Hingga Ayat 100

Surah Yunus ayat 84 Hingga 87

“Dan Nabi Musa pula berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau sungguh kamu beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika betul kamu orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)”.  - 84

Lalu mereka berkata: “Kepada Allah jualah kami berserah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami landasan fitnah kesengsaraan bagi kaum yang zalim ganas.” - 85

“” Dan selamatkanlah kami dengan rahmatMu dari angkara kaum yang kafir”. - 86

“Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”. - 87

Nabi Musa as memang menyedari bahawa pengikut-pengikutnya yang telah beriman itu senditasa dalam bahaya berikutan adanya ancaman-ancaman Firaun akan menindas dan menyeksa mereka. Oleh sebab itu Nabi Musa mengingatkan kaumnya bertawakal kepada Allah. Berharap kepada Allah sahaja. Serahkan semua urusan kepada Allah. Kerana kita adalah makhluk yang lemah.

Kalau betul-betul kamu kata kamu orang Islam, maka bertawakal sahaja kepada Allah.
Ada tiga elemen agama yang disebut di dalam ayat ini.
  • Iman
  • Tawakal
  • Islam.

Maksudnya jika seseorang itu beriman, hendaklah ia berserah diri kepada Allah, berserah nasib sepenuhnya keapda Allah. bukan kepada yang lain. Beriman ini mempunyai hubungan dengan pekerjaan anggota batin. Sedangkan yang dikatakan Islam pula ertinya mengikut, iaitu mematuhi segala yang diperintahkan oleh Allah, dan hal ini mempunyai hubungan pula dengan pekerjaan anggota lahir.

Bererti di sini percaya saja tetapi tidak patuh , tidaklah ada gunanya. Atau beriman saja tetapi tidak Islam, tidak juga ada faedahnya. Keimanan yang sejati mesti disertakan amalan yang menandakan telah tunduk dan patuh atau yang dinamakan dengan Islam.

Bertawakkal di sini ialah membanyakkan sabar di dalam hati dalam menghadapi segala penderitaan dan ujian. Kerana berdoa saja tanpa disertakan dengan usaha dan persiapan diri untuk melaksanakan usaha tersebut, maka doa itu sudah tentu tidak diperkenankan Allah.

Kemudian Allah menyatakan bahwa Nabi Musa telah diperintahkanNya menerusi wahyuNya supaya membina rumah-rumah kediaman untuk kaumnya di negeri Mesir, yang mana semuanya hendaklah menghadap ke arah yang sama di dalam menunaikan sembahyang. Dan di dalam rumah-rumah itulah mereka disuruh mengerjakan sembahyang ke arah kiblat yang satu sebagai lambang persatuan dan perpaduan mereka.

Allah berjanji akan memelihara keselamatan mereka daripada bahaya, dan kerana itulah Allah berfirman, yang maksudNya, “ gembirakanlah orang-orang yang beriman.”  Maksudnya tidak usahlah mereka merasa takut kerana Allah akan memelihara mereka dariapda fitnah Firaun dan kaumnya yang zalim daripada kezaliman mereka.


Surah Yunus Ayat 88

“Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.”

Setelah bertahun-tahun Nabi Musa berdakwah kepada Firaun dan kaumnya, inilah kata-kata dan doa baginda kepada Allah. Doa sepertimana yang tersebut di dalam ayat 88 adalah menjelaskan betapa kemarahan Nabi Musa telah memuncak, berikutan dengan keternagan-keterangan Tuhan dan bukti-bukti yang dikemukakan olehnya kepada Firaun dan kaumnya hingga berkali-kali tetapi terus saja ditolak. Begitu juga bermacam nasihat dan ancaman diberikan kepada mereka. Tetapi tidak dihiraukan dan masih lagi tetap dengan kufur.

Kerana itu Nabi Musa pun mendoakan agar dimusnahkan harta kekayaan mereka semua. Dan kemusnahan inilah menjadi salah satu ayat daripada semiblan buah keterangan yang terang yang diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa as.



Surah Yunus Ayat 89

Allah berfirman: "Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang-orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)".

Allah memberitahu kepada Nabi Musa dan Nabi Harun bahawa doa mereka telah dikabulkan. Dikatakan bahawa doa itu dimakbulkan selepas 40 tahun. Bukanlah terus dikabulkan waktu itu juga.

Kemudian Allah memerintahkan kepada kedua Nabi itu untuk tetap menjalankan perintah-Nya dan terus menyampaikan seruan ke jalan Allah dan mempersiapkan kaumnya Bani Israel untuk berjuang dan pindah meninggalkan bumi Mesir. Dan Allah melarang mereka agar jangan mengikuti jalan orang-orang yang tidak menyedari sunah Tuhan pada makhluk-Nya yaitu hukum sebab-akibat. Mereka hendaknya jangan menuntut segera kehancuran Firaun sebelum waktunya atau minta ditunda kehancuran itu pada waktu yang sudah ditetapkan. Masa keruntuhan Firaun itu pasti datang, sebab mereka tidak dapat lepas dari hukum Tuhan itu.

Ayat ini juga boleh bermaksud, mereka berdua kena tetap dalam keinginan mereka itu. Jangan selepas mereka berdoa itu, dan Allah dah kata akan makbulkan doa mereka, jangan selepas itu mereka nak tukar fikiran pula. Mereka telah doa untuk kemusnahan Firaun dan pengikutnya, maka jangan mereka nak ubah fikiran pula selepas itu.





Surah Yunus Ayat 90

“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)".

Allah kata, Dia yang telah menyelamatkan bani Israil menyeberangi laut itu. Walaupun dari zahirnya, yang bawa mereka itu adalah Nabi Musa, tapi pada hakikatnya, Allah lah yang membawa mereka.

Mereka melarikan diri pada malam hari. Ada seramai 60,000 mereka semua sekali. Sebelum ini telah disebut bagaimana mereka disuruh untuk cari penempatan yang lain dari bangsa Qibti. Apabila mereka duduk di penempatan yang lain dari tempat tinggal bangsa Qibti, maka mereka boleh bergerak senyap-senyap. Tapi mereka kena menjalani latihan dalam solat untuk menerima arahan dan fokus kepada kerja mereka. Itulah kelebihan solat, dimana ada latihan di dalam solat yang dilakukan mereka itu.

Hanya apabila siang hari, baru orang Qibti perasan bahawa Bani Israil yang menjadi hamba mereka telah tiada. Mereka tidak datang kerja hari itu. Maka, mereka telah menyampaikan kepada Firaun tentang perkara itu. Mereka telah mengejar dengan segera. Mereka amat marah sekali. Firaun mengajak semua bangsa Qibti ikut sekali untuk tengok bagaimana mereka akan tangkap semua Bani Israil itu. Mereka dapat kejar dan nampak Bani Israil sedang hendak menyeberangi laut.

Allah telah mewahyukan Nabi Musa untuk memukul laut dengan tongkat baginda. Apabila dipukul, laut itu telah terbelah dan mereka boleh melaluinya. Firaun dan tenteranya juga mengikut Bani Israil itu menyeberangi laut itu.

Mereka kejar itu kerana marah dan mereka hendak mengambil balik hamba-hamba mereka. Bukan dengan niat yang baik. Mereka nak seksa Bani Israil itu kalau mereka dapat tangkap.

Dipendekkan cerita, apabila Bani Israil sudah melepasi laut itu, Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa untuk memukul laut itu sekali lagi. Maka, laut yang terbelah itu telah bercantum kembali. Bayangkan ketinggian laut itu dan betapa beratnya air yang jatuh menimpa Firaun dan pengikutnya.

Setelah dihempap oleh air yang berat. Firaun tahu yang dia akan tenggelam. Tidak ada harapan lagi untuk dia. Apakah katanya waktu itu?

Dia bercakap dalam hati sahaja kerana mulutnya telah disumbat dengan tanah selut oleh Jibrail. Jibrail buat begitu supaya Firaun tidak boleh ucap Syahadah. Dalam hadis riwayat Tirmizi, ada disebut:
“Dari Sa’id bin Jubeir dari Ibnu ‘Abbas radhiya’l-lahu’ anhuma meriwayatkan: “dua orang Sahabat menghadap Rasulullah (bertanya tentang Firaun). Sabda Nabi SAW “Malaikat Jibril menutup mulut Firaun dengan pasir, khuatir kalau-kalau akan mengucapkan: la ‘ilaha illa’l-lah”

Ada satu lagi hadis.
“Imam Tarmizi di dalam sunannya telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawasanya Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Ketika Firaun hampir lemas maka dia telah berkata : Aku telah beriman bahawasanya tiada tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh bani Israel (maksud ayat 90 surah Yunus). Maka malaikat Jibril telah memberitahu: “Wahai Muhammad! sekiranya engkau dapat melihatku ketika aku telah mengambil sedikit daripada tanah di dasar laut. Maka aku telah menyumbatnya ke dalam mulutnya dalam keadaan bimbang dia (Firaun) akan mendapat rahmat Allah.”

bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah, melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,
Dalam kata-kata ini pun, dia masih lagi sombong. Dia tidak kata “Tidak ada tuhan melainkan Allah” tapi dia kata “Tuhan Bani Israil”. Tak sampai mulut dia hendak menyebut nama Allah. Begitu sombongnya dia, sampai nak mati pun tak mahu lagi sebut nama Allah.


Surah Yunus ayat 91

“(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

(Allah berfirman): “Adakah sekarang?!!!
Baharu sekarang engkau hendak beriman?!! Itulah tempelak Allah kepada Firaun. Allah tidak terima iman Firaun waktu itu. Padahal waktu itu Firaun belum mati lagi. Maknanya, kalau dah hujung nyawa, baru nak beriman, ia tidak diterima.

Maknanya, “baru sekejap tadi, kamu masih lagi derhaka, wahai Firaun.” Bukan lama pun. Baru sekarang kamu nak beriman? Tidak diterima iman kamu itu. Banyak sungguh kerosakan yang telah dilakukannya. Dia telah menyesatkan kaumnya. Dia telah memperhambakan Bani Israil. Dia menentang Nabi Musa dan Nabi Harun apabila mereka berdakwah kepadanya. Dia juga telah menyeksa mereka yang mahu beriman kepada Islam.


Surah Yunus ayat 92

“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

Pada hari kematian Firaun itu, kaum Bani Israel tidak begitu percaya akan kematiannya kerana mereka masih lagi terpengaruh oleh dakwaan yang mengatakan orang seperti Firaun itu tidak akan mati. Maka Allah perintahkan laut supaya menimbulkan badan (mayat) Firaun yang sudah tidak bernyawa itu, dan mendamparkannya ke tepi pantai, supaya dapat disaksikan oleh orang-orang yang tidak percaya akan kematiannya. Dan juga menjadi contoh tauladan bagi orang-orang yang datang kemudian.

Pernyataan Allah mengenai badan Firaun menjadi bukti kepada orang-orang yang kemudian seperti yang tersebut dalam ayat ini. Jasad Firaun masih ada lagi di muzium di Mesir. Dikatakan bahawa beliau adalah Ramses II. Dia telah memerintah Mesir selama 67 tahun. Satu jangka masa yang amat lama. Dia adalah seorang yang amat bijak dan kata-katanya amat hebat sekali. Sebab itulah Allah menceritakan balik kata-katanya supaya kita boleh belajar apakah hujah orang-orang yang engkar itu.

Kenapakah tubuhnya diselamatkan?  Supaya manusia boleh mengambil iktibar. Mengajar manusia bahawa inilah akibatnya mereka yang zalim, yang derhaka, yang sombong. Dia amat kaya dan berkuasa, tapi dimusnahkan akhirnya. Lihatlah bagaimana utuhnya bangunan piramid itu, sampai sekarang ada lagi, tapi kerajaannya itu tidak kekal. Firaun hendak menyelamatkan kerajaannya tapi tidak berjaya.

Allah telah menyelamatkan tubuh Firaun supaya manusia yang melihatnya boleh ambil iktibar. Tapi malangnya, ramai yang tidak mengambil pengajaran. Mereka tahu kisah Firaun, boleh nampak sekurang-kurangnya gambar jasad Firaun itu, malah mungkin ada yang telah ke Mesir dan melawat jasad itu, tapi mereka tak mengambil pengajaran. Mereka hanya melihat sahaja, mereka hanya membaca sahaja kisah Firaun itu.

Bagaimana kita tahu manusia itu kebanyakannya lalai? Kerana kebanyakan manusia itu lalai untuk belajar agama dan tafsir Quran. Mereka sibuk dengan dunia, mereka tidak memikirkan tentang akhirat.





Surah Yunus ayat 93

“Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik. Maka mereka tidak berselisihan melainkan setelah datang kepada mereka pengetahuan (dari bukti-bukti yang nyata). Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihan itu.”

Ini adalah selepas Bani Israil diselamatkan melepasi Laut Merah. Mereka telah meninggalkan rumah-rumah mereka dan segalanya di Mesir kerana mengikut Nabi Musa. Maka Allah telah memberi mereka tempat tinggal yang lebih baik.  Tempat yang subur tetapi sayangnya mereka kemudian telah bertelingkah dalam agama.

Hal ini hendaklah menjadi tauladan kepada umat Nabi Muhammad saw juga, agar tidak menerima nasib yang sama sepertimana umat yang diceritakan oleh Allah itu, kepada mereka. Dan benarlah, ramai di antara ketua-ketua kaum yang mendustakan kenabian Muhammad saw itu akhirnya telah mati dan binasa, sedangkan nabi saw bersama pengikut-pengikut baginda telah dapat berkuasa dan besar pula pengaruh mereka. Allah menyebutkan dalam ayat ini dengan firmanNya yang bermaksud :
Dan sesungguhnya Kami telah menempatkan Bani Israil di negeri yang baik (sesudah Kami binasakan Firaun), dan Kami mengurniakan mereka dengan benda-benda yang baik..

Maksudnya kami tempatkan mereka di tempat yang sesuai untuk mereka diami iaitu di selatan neberi Syam, Tanah Palestin, di mana mereka telah Allah kurniakan rezeki yang baik lagi lazat serta berkat, kerana tanahnya yang amat subuh penuh dengan hasil mahsul yang dapat mereka nikmati.

Kaum Bani Israel itu sebelum dibangkitkan Nabi Muhammad saw, telah mengakui kenabiannya dan semuanya sepakat menyakininya, tiada yang bertelingkah atau berselisih faham dalam hal ini, kerana mengetahui sifat-sifat Nabi Muhammad saw melalui kitab Taurat yang mereka baca. Tetapi apabila mereka telah didatangai oleh kenyataan iaitu kebangkitan Nabi yang sudah mereka baca dan ketahui itu, sebahagian dari mereka telah kufur kerana didorong oleh kedengkian. Tetapi janganlah dinafikan bahwa ada juga di antara mereka yang akur dan beriman.

Pertelingkahan yang demikian caranya, ternyata tidak dapat dihapuskan atau diselesaikan di dunia ini. Hanyalah akhirat Allah yang akan menyelesaikan segalanya dengan memnberi keputusan untuk menghukum sesiapa yang benar dan sesiapa yang salah. Yang benar beriman tentulah ditempatkan di dalam syurga dan yang salah kerana kufur akan dilemparkan ke dalam neraka, tempat yang seburuk-buruknya.



Surah Yunus ayat 94

“Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad) merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang ragu-ragu.

‘Engkau’ dalam ayat ini boleh diterjemahkan sebagai Nabi Muhammad. Tapi tidaklah Nabi Muhammad rasa syak dengan Quran pula, jadi yang hendak ditegur adalah kaum Nabi Muhammad saw pada zaman dan tak ketinggalan juga kita pada zaman ini. Penamaan Nabi saw di sini adalah sebagai simbol saja, atau menjadi sebagai pengantara kepada kaumnya.

Maka, kalau ada rasa syak tentang kisah-kisah yang disampaikan dalam Quran ini, maka bertanyalah kepada ahli-ahli kitab yang telah membaca kitab-kitab mereka. Mereka telah lama ada kitab suci seperti Taurat dan Injil dan mereka telah mengkaji kitab-kitab itu.

Kenapa tanya mereka? Kerana dalam kitab suci mereka pun ada diberitahu tentang kisah-kisah yang disebut dalam Quran. Dalam kitab mereka pun dah ada juga sebenarnya. Terutama sekali mereka kena bertanya kepada mereka yang beriman dengan Nabi Muhammad. Ada ahli kitab yang beriman dengan Nabi Muhammad, seperti Abdullah bin Salam. Kerana kalau tanya yang tidak beriman, mereka mungkin akan menyembunyikan ilmu.

Maksud kedua ayat ini adalah untuk kita zaman sekarang. Kalau ada tak faham tafsir mana-mana ayat Quran, kenalah tanya kepada mereka yang tahu. Iaitu mereka yang telah belajar tafsir sebelum ini. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Anbia ayat 7 yang bermaksud :
“maka bertanyalah kamu kepada mereka yang tahu, jika kamu tidak mengetahui.”

Maksud ‘mereka yang tahu’ di dalam ayat ini adalah mereka yang telah mengkaji kitab suci mereka. Dengan itu mereka akan tahu bahawa apa yang dikatakan oleh Quran ini adalah benar. Sebab itulah ramai dari kalangan orang yang terpelajar dari agama Yahudi dan Kristian telah memeluk Islam. Kerana mereka telah nampak kebenaran yang dibawa oleh Islam.

Janganlah kita termasuk didalam golongan yang ragu-ragu tentang Qur’an. Quran ini adalah dari Allah, maka ianya tidak ada keraguan padanya. Kita juga kena belajar tafsir Quran sampai faham. Mereka yang ragu-ragu itu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja. Sebab itu apabila berjumpa dengan ayat-ayat Quran yang mereka nampak berlainan dengan pemahaman mereka, mereka akan jadi ragu.


Surah Yunus ayat 95

Dan jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan yang mendustakan ayat-ayat Allah, kerana dengan itu engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi. “

Allah menegah RasulNya supaya jangan menjadi orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, iaitu keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang wujudnya alam nyata ini yang menunjukkan pula wujudnya Allah yang Maha Esa lagi Berkuasa ke atas segala-galanya.

‘Dusta’ di dalam ayat ini bermaksud tolak ayat Quran. Mereka telah diberikan dalil dari ayat Quran tapi mereka tak terima  mereka tak kata ayat itu dusta dengan mulut mereka, tapi dengan tindakan mereka. Sudah tentu mereka tidak berani nak kata ayat Quran itu dusta, tapi kalau perbuatan mereka itu berlawanan dengan perintah dalam ayat Quran, itu bermakna mereka dah tolak, mereka sudah mendustakan ayat-ayat Quran. Adakah kita berani hendak masuk ke dalam golongan itu?

Kerana bila tolak ayat Qur’an kita akan masuk neraka dan semua pahala ibadah kita akan hancur. Mereka yang menolak Quran akan rugi di dunia dan di akhirat. Alangkah ruginya, lahir dalam keluarga Islam, tapi masuk neraka.


Surah Yunus ayat 96 dan 97

“Sesungguhnya orang-orang yang telah ditetapkan atas mereka hukuman Tuhanmu (dengan azab), mereka tidak akan beriman.” - 96

“Walaupun datang kepada mereka segala jenis keterangan dan tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah dan kebenaran Rasul-rasulNya), sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya. “ - 97

Allah menyebutkan bahawa akan berlaku kepada mereka ketetapan itu. Apakah ketetapan itu?Dari ayat ini bermaksud, ada yang Allah telah tetapkan mereka akan masuk ke neraka. Tapi jangan kita salahkan Allah pula. Ada yang kata yang tidak beriman itu sebab mereka itu Allah awal-awal lagi telah tetapkan mereka takkan beriman. Sebenarnya Allah telah beri hidayah kepada mereka, cuma mereka sahaja yang tidak mahu beriman. Kerana mereka degil, sombong dan ego. Mereka yang sebegitulah yang Allah tetapkan akan masuk neraka.

Orang yang Allah sudah tetapkan akan masuk neraka itu, kita tidak dapat menghindarkannya. Kita tidak boleh nak selamatkan dia. Kerana itu adalah ketetapan Allah. Dan ketetapan allah tidak dapat dibantah. Allah sudah tahu yang mereka tidak akan beriman. Kerana mereka sendiri yang tidak mahu beriman. Walau apapun hujah dan dakwah yang diberikan kepada mereka, mereka tidak akan beriman. Sepertimana Firaun dan pembesar-pembesarnya. Mereka telah melihat begitu banyak mukjizat yang dibawa Nabi Musa, tapi mereka masih juga tidak mahu beriman. Dan mereka tidak akan beriman sampai bila-bila.

Walaupun mereka dapat melihat semua tanda-tanda dan semua ayat-ayatNya Allah telah berikan, mereka tetap juga tidak akan beriman. Ini adalah kepada mereka yang telah ditetapkan akan masuk neraka. Mereka tidak akan beriman. Sampai bila?

Apabila mereka sudah nampak azab yang mereka akan terima, waktu itu baru mereka akan beriman. Dan jikalau waktu itu mereka baru beriman, iman mereka tidak diterima lagi. Seperti yang kita sudah baca sebelum ini tentang iman Firaun yang tidak diterima. Firaun hanya mahu beriman apabila sudah melihat azab.

Yang diterima iman mereka yang sudah nampak azab hanyalah kaum Nabi Yunus. Dan kisah tentang mereka akan disebut selepas ini.



Surah Yunus ayat 98

“(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).

Kalau penduduk sesebuah negeri itu beriman awal-awal lagi, maka sudah tentu iman mereka itu akan dapat memberi manfaat kepada mereka. Kerana bila dia telah beriman, maka imannya itu akan mendidik orang itu untuk hidup dengan cara Islam. Barulah perjalanan hidupnya menjadi mulia, jadi molek. Kerana orang yang beriman akan hidup dengan cara yang seperti yang Allah kehendaki, yang Allah telah susun dengan baik. Apabila ianya baik, maka ianya akan memberi manfaat. Bukan hanya kepada orang itu sahaja, tetapi kepada mereka yang di sekelilingnya juga.

Setiap orang hendaklah beriman sebelum nyawa mereka sampai ke halqum. Ataupun sebelum mereka dinampakkan dengan azab. Kerana kalau nyawa sudah sampai ke halqum, atau telah nampak azab, dan baru waktu itu hendak beriman, iman mereka tidak akan diterima.

Itu adalah hukum yang umum. Iman kaum yang terbit hanya apabila telah melihat azab yang Allah telah turunkan kepada mereka tidak akan diterima. Kecuali sekali sahaja – iaitu kepada Kaum Nabi Yunus. Hanya kepada mereka sahaja ada pengecualian dan tidak ada lagi selepas itu.

Surah ini dinamakan Surah Yunus dan nama Yunus hanya disebut dalam ayat ini sahaja. Siapakah Nabi Yunus a.s. ini? Secara ringkasnya, baginda hidup 800 tahun sebelum datangnya Nabi Isa a.s. Kaum Nabi Yunus ini hidup di kawasan yang sekarang ini negara Iraq. Kisah baginda banyak disebut dalam ayat lain.

Hanya iman kaum Nabi Yunus sahaja yang diterima apabila mereka melihat azab. Apabila mereka telah melihat azab dan mereka beriman, iman mereka telah diterima. Tetapi kepada kaum-kaum lain yang telah diberikan azab oleh Allah, iman mereka tidak diterima.

Apakah kamu sangka yang kaum-kaum yang ditimpakan azab itu tidak beriman apabila mereka nampak azab sampai di depan mata? Apabila mereka sudah melihat azab di depan mata mereka, tentulah mereka sudah beriman. Iman mereka pula amat ikhlas waktu itu. Memang mereka sungguh-sungguh beriman. Tetapi iman mereka pada waktu itu sudah tidak diterima lagi. Sama seperti iman Firaun apabila dia hampir mati.

Kenapakah Allah terima iman kaum Nabi Yunus walaupun mereka telah melihat azab itu hampir dikenakan kepada mereka itu?

Nabi Yunus telah berdakwah setelah sekian lama kepada kaum baginda. Tetapi tidak ada yang mahu beriman. Nabi Yunus merasakan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila dan baginda tahu yang azab akan diturunkan kepada kaumnya itu. Maka baginda pun meninggalkan kaumnya itu sebelum mendapat arahan daripada Allah yang menyuruhnya untuk meninggalkan kaumnya. Maknanya, Nabi Yunus keluar tanpa perintah.

Dalam riwayat ada disebutkan bahawa baginda berpesan kepada kaumnya yang mereka akan menerima azab dalam masa tiga hari. Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dalam perasaan marah sebagaimana Allah telah berfirman di dalam surah Anbiya ayat 87 yang bermaksud:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Zun Nun dalam ayat di atas adalah Nabi Yunus. Baginda digelar demikian kerana baginda telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun. Azab dunia memang sudah ditetapkan untuk kaum Nabi Yunus itu. Selepas tiga hari Nabi Yunus meninggalkan mereka, mereka sudah nampak azab itu mendatang kepada mereka. Waktu itu mereka baru sedar kesalahan mereka dan mereka telah beriman dan bertaubat. Sepatutnya, iman mereka waktu itu tidak diterima lagi kerana azab sudah datang, sudah terlambat.

Tetapi oleh kerana Nabi Yunus telah meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan dari Allah, maka Allah telah menahan azab itu daripada mengenai mereka. Oleh kerana rasul mereka telah meninggalkan mereka maka hujah ke atas mereka sudah tidak lengkap lagi. Mereka boleh menggunakan hujah dengan mengatakan yang Rasul mereka telah meninggalkan mereka.

Keduanya, apabila mereka tahu azab sudah datang, mereka cepat-cepat telah bertaubat kepada Allah. Mereka telah bertaubat dan menyesali perbuatan mereka selama 40 hari. Allah Maha Tahu bahawa mereka benar-benar bertaubat, maka kerana itulah Allah telah menarik balik azab itu.

Ketiganya kes kaum Nabi Yunus ini tidak sama dengan kes Firaun. Pertamanya, Allah tahu yang Firaun bukan benar-benar bertaubat pun. Lihatlah penggunaan perkataan yang digunakan oleh Firaun sewaktu dia mengucapkannya (Firaun menggunakan perkataan ‘Tuhan Bani Israil’, bukan ‘Allah’). Keduanya, Firaun hanya mengucapkan imannya apabila nyawa sudah sampai ke halqum. Sedangkan kaum Nabi Yunus belum lagi ke tahap itu. Mereka baru nampak azab itu, tapi azab itu belum kena kepada mereka lagi. Seumpama mereka orang yang sakit tapi belum sakaratul maut lagi. Taubat waktu itu masih diterima lagi. Seperti sabda Nabi:
”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)

Oleh kerana mereka telah nampak azab yang telah pernah dijanjikan oleh Nabi Yunus itu kepada mereka, mereka pun beramai-ramai bertaubat dan beriman kepada Allah. Bilangan mereka seramai 120,000 orang. Mereka semuanya telah diselamatkan.

Pada waktu itu Nabi Yunus telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun. Selepas 40 hari berada didalam perut ikan itu, Nabi Yunus telah dilempar keluar ke pantai. Kaum baginda telah mencari-cari baginda dan akhirnya menjumpai baginda di tepi pantai itu. Mereka pun telah meminta Nabi Yunus untuk kembali dan mengajar agama kepada mereka.

Oleh kerana mereka telah beriman, maka Allah telah melimpahkan rahmatNya kepada mereka. Mereka telah menikmati kehidupan yang senang sehinggalah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah. Mereka hidup dalam iman.


Surah Yunus ayat 99

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Allah boleh sahaja hendak menjadikan SEMUA makhluk di bumi beriman. Allah boleh buat supaya tidak ada seorang pun makhlukNya yang kufur. Allah boleh jadikan semua makhlukNya itu taat dan baik-baik belaka. Mudah sahaja bagi Allah untuk melakukan demikian. Lihatlah bagaimana Allah menjadikan para malaikatNya taat dan patuh kepadaNya sahaja.

Tetapi Allah tidak mahu memaksa manusia untuk beriman. Kerana kehidupan dunia ini adalah ujian. Kalau makhluk itu dipaksa untuk beriman, maka di manakah ujiannya? Kerana kalau seseorang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu itu, adakah dia benar-benar hendak melakukannya? Iman dalam paksaan bukanlah iman yang sebenarnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah mampu memaksa semua manusia dan jin untuk semuanya beriman. Allah berkemampuan buat begitu. Dan tugas Nabi Muhammad saw adalah sebagai perantara saja di antara Allah dengan makhluk-makhluknya. Untuk menyampaikan risalah dan keterangan-keterangan yang Allah suruh sampaikan kepada makhluk. Bukanlah tanggungjawab Nabi untuk memastikan semua makhluk Allah itu beriman. Dan bukan tugas Nabi Muhammad saw juga untuk menjadikan seseorang itu beriman.  Nabi hanya menyampaikan saja tetapi tidak boleh memaksa. Sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Al Baqarah ayt 256 yang bermaksud:
“tidak ada paksaan di dalam beriman.”

Oleh itu jelas bahawa kita tidak boleh memaksa manusia untuk beriman. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah berdakwah kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka. Kalau kita nak paksa sesiapa untuk beriman, kita tidak akan berjaya. Bayangkan, kalau anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa, apatah lagi orang lain?



Surah Yunus ayat 100

“Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah; dan Allah menjadikan seksa ke atas orang-orang yang tidak mahu menggunakan akalnya.. “

Tidak ada seorang manusia yang akan beriman, meskipun ia diberikan Allah ikhtiar dan kebebasan bertindak, melainkan dengan kehendak Allah dan mengikut ketetapanNya jua. Dan Allah itulah yang menjadikan seksa yang berupa kerendahan, memberi malu dan kehinaan kepada orang-orang yang tidak berakal, iaitu mereka yang tidak memahami hal-hal yang diperintahkan oleh Allah dan hal-hal yang dilarangNya.

Dari ayat ini, kita dapat tahu bahawa nak beriman pun dah kena dapat izin dari Allah. Kalau Allah tak izinkan, tidak ada peluang seorang manusia itu untuk beriman. Sebab itulah ada orang yang lahir dalam Islam tapi bila mati, dia mati dalam kufur. Ada juga yang lahir dalam keluarga yang kafir, tapi dia alhamdulillah mati dalam Islam.

Oleh itu jikalau kita alhamdulillah seorang yang beriman, jangan kita sangka bahawa kita beriman kerana usaha kita dan kerana kebaikan atau kelebihan kita, tetapi ingatlah bahawa kita beriman kerana Allah yang izinkan kita beriman. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur kepada Allah banyak-banyak jikalau kita orang beriman.

Semoga Allah izinkan kita untuk mati di dalam iman. Tanda seseorang itu beriman, dia mudah sahaja untuk menjalankan perintah agama. Sebagai contoh, ringan sahaja nak solat. Tapi kalau liat sahaja, itu ada masalah. Kena belajar lagi untuk meningkatkan iman. Kerana iman boleh ditingkatkan dengan ilmu.


“..dan Allah menjadikan seksa ke atas orang-orang yang tidak mahu menggunakan akalnya.
Mungkin ada yang menyalahkan Allah apabila seseorang itu tidak beriman. Berdasarkan kepada potongan ayat diatas, mereka mungkin berhujah yang seseorang itu tidak beriman kerana Allah yang tidak mengizinkan. Nauzu billah min zaalik! Jangan kita salah anggap kepada Allah sampai begitu sekali.

Tetapi di dalam potongan ayat ini, Allah memberitahu kepada kita bahawa mereka yang tidak beriman itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Walaupun mereka telah diberi dengan berbagai hujah dan dalil, tetapi mereka masih tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkannya. Mereka buat tak tahu sahaja. Kepada mereka yang seperti itulah yang Allah tidak beri izin kepada mereka untuk beriman.

Oleh itu dari keseluruhan ayat ini, kita boleh tahu bahawa ada dua faktor untuk membolehkan seseorang itu untuk beriman:
– Keinginan seorang manusia itu sendiri untuk beriman, dan
– Izin Allah.

Hanya apabila ada kedua-dua faktor ini barulah seseorang itu boleh beriman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.