Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am Ayat 90 Hingga 110

Surah Al An’am Ayat 90


Mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka; Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya.


Para Nabi yang 18 orang itu telah dikhaskan oleh Allah dengan hidayah atau pimpinan yang berupa kitab, ilmu pengetahuan dan kenabian, sehingga mereka menjadi orang-orang yang terpimpin dengan sempurnanya. Maka turutlah wahai Muhammad akan hidayat mereka, iaitu ikutilah jejak langkah mereka, perjalanan mereka, misalnya dalam perjuangan menyiarkan agama Allah, bersedia memberikan hujah-hujah yang tepat dalam perdebatan, bersabar menerima pelbagai halangan dan ancaman musuh, orang yang ingkar dan yang keras kepala.


Lakukanlah apa yang patut dilakukan sebagai contoh budi pekerti yang baik, adab sopan yang halus dan akhlak yang tinggi seperti bertabah hati, murah hati, berani kerana benar, menjalankan hukum dengan adil dan saksama, ringan tangan, berterima kasih dan lain-lain sebagainya.


Dan benarlah junjungan Nabi Muhammad saw telah mengikuti jejak langkah para rasul yang terdahulu sehingga mendapat pujian daripada Allah sebagaimana yang difirmankan pada ayat 4 dari surah Al Qalam yang berbunyi:
“dan engkau Ya Muhammad sesungguhnya mempunyai budi pekerti yang tinggi.”


Para ulamak telah berdalilkan ayat 90 ini bahawa Rasulullah saw adalah yang paling utama di antara sekalian para Rasul. Ini adalah kerana di dalam diri baginda terhimpun segala sifat-sifat kepujian dan sifat-sifat kesempurnaan. Sifat-sifat tersebut telah pun berpecah-pecah di kalangan para rasul.


Misalnya; Nabi Nuh seorang rasul yang terkenal dengan kuatnya menderita penganiayaan kaumnya. Nabi Ibrahim terkenal sangat murah hati dan rela berkorban kerana Allah. Nabi Ishak dan Yaakub terkenal sangat tabah hati dalam menghadapi cubaan. Nabi Daud dan Sulaiman tekenal dengan sifat mereka yang suka bersyukur terhadap nikmat-nikmat Allah. Nabi Ayub terkenal dengan sifat kesabarannya kerana tahan menerima ujian. Nabi Yusuf mempunyai kedua-duanya sekali iaitu suka bersyukur dan bersabar. Nabi Musa terkenal dengan syariat dan mukjizatnya yang mengagumkan. Nabi Zakaria, Yahya, Ismail terkenal dengan kejujurannya. Dan Nabi yunus pula terkenal dengan sifatnya yang sangat merendah diri.


Maka Allah telah menyuruh pula rasulNya Nabi Muhammad saw supaya mengikuti segala sifat-sifat kepujian yang dipunyai oleh para rasul tersebut. Sehingga terhimpunlah pada diri baginda semua sifat itu, yang dahulunya telah terbahagi-bahagi dan berpecah-pecah di kalangan para rasul. Jadi, dengan ini jelaslah bahawa baginda paling mulia di atnara para rasul.


“...Katakanlah: "Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu…”
Allah menyuruh katakan kepada umat Nabi Muhammad saw bahawa segala jerih perih dan penat lelah yang ditumpahkan untuk menyampaikan dakwah, tabligh dan pengajraran agama adalah merupakan tugas yang suci tanpa mengharapkan upah atau balasan dari sesiapa, kecuali balasan dari sisi Allah sahaja.


Al Quran adalah merupakan syariat am bagi seluruh alam, baik manusia mahupun jinnya. Semuanya diseru agar beramal dengannya. Kerana Al Quran mengandungi peringatan dan pengajaran yang membawa kepada kebahaigaan hidup di dunia dan akhirat.




๐ŸŒผ๐ŸŒผSurah Al An’am Ayat 91


๐Ÿ“š“Dan tiadalah mereka (kaum Yahudi) menghormati Allah sesuai dengan penghormatan yang sebenarnya ketika mereka berkata: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun kepada manusia". Bertanyalah (kepada kaum Yahudi yang ingkar itu): "Siapakah yang menurunkan Kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia, yang kamu jadikan dia lembaran-lembaran kertas, sambil kamu perlihatkan (kepada orang ramai sebahagian kecil daripadanya) dan kamu sembunyikan kebanyakannya; sedang kamu pula diajarkan (dengan pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalamnya), yang tidak diketahui oleh kamu (sebelum itu) dan tidak juga oleh datuk nenek kamu?" Katakanlah (kepada mereka): "Allah jualah (yang menurunkannya)", kemudian, biarkanlah mereka leka bermain-main dalam kesesatannya. “


Orang-orang yang tidak beriman kepada Allah adalah orang-orang yang tidak menghormati Allah. siapa mereka ini ? orang-orang Yahudi. Kerana mereka tahu bahwa AlQuran itu diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammaad saw tetapi mereka tidak juga mahu menerimanya. Orang kafir Quraisy juga termasuk di dalam golongan yang tidak menghormati Allah ini. Mereka ada juga terdiri dari sanak saudara Rasulullah sendiri.


Pelajaran yang dapat diambil dari ayat ini, kita sebagai orang yang mengaku beriman kepada Allah hendaklah percaya kepada apa yang tertulis dan tercatat di dalam Al Quran. Di dalam Al Quran itu terdapat bimbingan untuk kita di dalam mencari redha Allah. Al Quran juga merupakan cahaya di dalam hidup kita agar kita dapat mengetahui dengan jelas bahwa sesuatu yang benar itu benar dan yang salah itu adalah salah. Dengan Al Quran juga akan nampak jelas jalan menuju syurga dan juga jalan yang boleh membawa kita ke neraka.


“....di kala mereka berkata: “Allah tidak menurunkan sesuatupun kepada manusia”.
Orang-orang Yahudi dan Musyrikin Mekah ini  sanggup kata bahawa Allah tidak menurunkan apa-apa wahyu kepada manusia. Dari bahasa yang digunakan dalam ayat ini menunjukkan bahawa mereka menolak langsung bahawa Allah ada menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia.


Inilah yang dikatakan mereka tidak menghargai dan tidak menghormati Allah.. Kerana kalau mereka tahu dan kenal Allah dengan yang sepatutnya, tentulah mereka tahu bahawa Allah lah yang memberi hidayah yang mendidik manusia. Takkan Allah biarkan manusia begitu sahaja selepas Dia menciptakan mereka. Allah bersifat Rahman yang bermaksud Allah sangat sayang kepada hambaNya. Apabila Allah sayang makhlukNya, Allah beri pedoman bagaimana menjalani hidup yang boleh membawa ke syurga.


Sebenarnya, mereka tidak mahu terima bahawa Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad. Oleh kerana mereka nak tolak wahyu kepada Nabi, sampai sanggup mereka kata yang Allah tak pernah turunkan wahyu kepada sesiapa pun.


...Katakanlah: “Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Musa..”
Di dalam ayat ini kisah Nabi Musa telah disebut. Ini kerana Allah nak tujukan soalan ini kepada kaum Yahudi. Seperti kita telah sebutkan sebelum ini, puak Musyrikin Mekah sudah ada interaksi dengan Kaum Yahudi di Madinah. Merekalah yang memberikan soalan-soalan kepada Musyrikin Mekah untuk ditanya kepada Nabi Muhammad untuk menjatuhkan baginda.


Kalau mereka kata Allah tidak pernah menurunkan wahyu dan pedoman kepada manusia, lalu bagaimana mereka boleh terima bahawa Nabi Musa telah menerima Kitab Taurat dari Allah? Kenapa mereka ada double standard? Kalau Nabi Musa terima wahyu dan kitab, mereka boleh terima tapi apabila Nabi Muhammad diberikan Quran, mereka tak boleh terima pula.


Sememangnya kitab Taurat itu menjadi petunjuk dan pedoman kepada umat Nabi Musa dan bangsa Yahudi. Sebagaimana Quran, ia adalah cahaya dan pertunjuk kepada kita juga. Kitab Taurat mempunyai persamaan dengan Quran iaitu mengandungi ajaran tentang tauhid. Cuma berbeza daripada segi syariat yang disampaikan kerana syariat Nabi Musa dan Nabi Muhammad tidak sama.


Kitab Taurat tu asalnya diturunkan sudah siap tertulis dalam bentuk kitab dan diberikan kepada umat Nabi Musa. Ianya berlainan dengan Quran yang diturunkan sedikit demi sedikit kepada Nabi Muhammad yang mengambil masa hampir 23 tahun. Nabi Musa a.s. sebenarnya telah mendapat kitab Taurat itu dalam satu buku yang lengkap tetapi pendita–pendita itu kemudiannya telah memecah-mecahkannya. Mereka pecah-pecahkan jadi lembaran.


Kita kena faham bahawa penganut Yahudi yang biasa tidak dapat memegang pun kitab Taurat sepenuhnya. Ianya hanya ada pada pendita-pendita Yahudi. Mereka simpan dalam tempat arkib mereka seperti yang kita boleh bayangkan kerana kita selalu melihat filem-filem yang melibatkan paderi mereka. Mereka amat jaga supaya jangan jatuh ke tangan penganut umum. Tidaklah macam Quran kita ini, yang semua orang dengan senang sahaja boleh dapat tengok dan pegang. Apabila kitab Taurat itu tidak ada pada tangan penganut Yahudi yang biasa, maka senanglah para pendita nak kawal maklumat yang sampai kepada mereka. Apabila kitab Taurat itu telah dipecah-pecahkan, jadi ramai yang tidak dapat membaca keseluruhan kitab Taurat. Oleh itu mereka tidak dapat cerita yang penuh tentang agama. Maka senanglah pendita-pendita Yahudi itu untuk mereka-reka hal agama.


Ada bahagian-bahagian daripada kitab Taurat itu yang pendita-pendita Yahudi rasa mereka boleh tunjukkan kepada pengikut-pengikut mereka. Tapi ada banyak bahagian lagi yang mereka sembunyikan daripada penganut Yahudi. Mereka simpan dalam arkib-arkib mereka. Orang tertentu sahaja yang boleh tengok. Mereka sorok banyak maklumat dari penganut mereka. Antara yang mereka sorokkan antaranya ialah tentang kedatangan Nabi Muhammad. Dan tentang sifat-sifat dan tanda kedatangan baginda.


“...telah diajarkan kepadamu apa yang kamu sendiri tidak tahu..
Allah mengingatkan kepada mereka bahawa apa yang Taurat itu sampaikan adalah perkara-perkara yang mereka sendiri tidak tahu sebelum itu. Mereka telah diajar dengan ilmu yang ada dalam Taurat itu. Yang dulu mereka tiada pengetahuan tentangnya. Allah lah yang beritahu kepada mereka.


Ayat ini juga adalah tentang Quran dan ditujukan kepada umat Nabi Muhammad. Ianya mengingatkan kepada kita bahawa Allah telah mengajar kita dengan Quran. Mengajar kita tentang perkara-perkara yang kalau Allah tak ajar, kita tidak akan dapat untuk mencapainya. Ayat ini hendak mengingatkan kepada manusia bahawa di dalam Quran itu mengandungi banyak pengetahuan-pengetahuan yang berguna dan diperlukan oleh manusia. Yang dulunya kita tidak ada pun pengetahuan itu.


Orang Yahudi memandang rendah bangsa Arab. Sebab mereka kata orang-orang Arab tidak pernah mendapat kitab dan tidak ada agama. Tetapi bagaimana pula dengan mereka? Bukankah mereka dulu sebelum mendapat kitab Taurat pun mereka tidak tahu apa-apa? Keturunan mereka dahulu pun tidak tahu apa-apa. Maknanya, semua manusia ini bermula daripada tidak tahu sehinggalah Allah telah memberikan sedikit dari ilmuNya kepada kita. Oleh itu janganlah pandang rendah kepada mereka yang tidak tahu agama lagi, kerana dulu pun kita bermula dari tidak tahu. Kita yang baru belajar tafsir ini pun dulunya berasal dengan buat benda-benda syirik juga. Alhamdulillah, Allah telah memberi kita hidayat dan ditunjukkan kita dengan ilmu pengetahuan.


Allah menyebut sebelum ini tentang Musyrikin Mekah dan bangsa Yahudi yang sesat. Bagaimana pula dengan kita sekarang? Adakah kita telah faham Quran? Adakah kita telah selamat? Belum tentu lagi. Kalau kita tidak belajar tafsir Quran, samalah juga kita dengan mereka yang tidak pernah mengenal Quran.


๐ŸŒผ๐ŸŒผ Surah Al An’am Ayat 92


๐Ÿ“š“Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat (banyak faedah-faedah dan manfaatnya), lagi mengesahkan kebenaran (Kitab-kitab Suci) yang diturunkan sebelumnya, dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya; dan orang-orang yang beriman kepada hari akhirat, mereka beriman kepada Al-Quran, dan mereka tetap mengerjakan dan memelihara sembahyangnya.


Allah swt. menjelaskan bahwa Al-Quran itu adalah kitab yang bernilai tinggi, diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. penutup para Rasul. Kitab itu turun dari Allah sepertimana Taurat yang diturunkan kepada Musa a.s. Bezanya ialah Alquran itu mempunyai nilai-nilai yang lebih sempurna kerana ia akan kekal abadi untuk sepanjang masa. Alquran itu selain ianya sebagai petunjuk, ia juga sebagai pembenar kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya dalam urusan tauhid, melenyapkan kemusyrikan dan mengandungi ajaran-ajaran asas hukum syarak yang abadi yang tidak berubah ubah sepanjang masa.


Oleh itu Quran bukan sahaja mengandungi kebaikan tetapi ia juga menjadi sumber kebaikan untuk kita semua, asalkan kita membuka minda kita untuk mempelajarinya. Bila kita belajar Quran dan memahami tafsir Qur’an dengan baik, maka kita akan mendapat banyak kebaikan didalamnya. Ianya akan mengajar kita bagaimana menjalani kehidupan di dunia ini supaya kita selamat di dunia dan di akhirat.


“...dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah)..”
Kenapakah Mekah digelar Ummul Qura?
Pertamanya, Mekah itu adalah kiblat kepada semua pekan dan bandar. Walau di mana pun kita berada, kita akan mengadap kepada Mekah dalam solat kita.
Keduanya, kerana Mekah itu ialah tempat datangnya mereka yang hendak melakukan Tawaf dan Haji. Manusia datang dari merata tempat untuk melawat Kaabah. Mekah adalah tempat yang mula-mula sekali mempunyai penduduk yang ramai dalam Semenanjung Arab. Kerana di situlah terletaknya Kaabah dari dulu lagi. Dan Allah telah memberitahu kita bahawa memang Kaabah adalah rumah ibadat yang pertama dalam dunia. Ianya juga dikatakan sebagai Ummul Qura kerana ianya adalah tempat yang disayangi oleh semua orang yang memang seperti ibu negara tanah Arab waktu itu. .


Al Quran ini  juga dijadikan sebagai pegangan bagi Rasulullah saw. untuk memperingatkan umatnya, baik yang berada di Mekah atau di sekitar kota Mekah iaitu maksudnya orang-orang yang berada di seluruh pelusuk dunia. Dan sehingga kini lihatlah bagaimana Al Quran telah sampai kepada kita. Oleh itu hendaklah kita tahu bahawa ada tugas dakwah yang perlu dijalankan untuk seluruh manusia dalam dunia ini. Mesej AlQuran harus disampaikan kepada semua orang. Sama ada mereka itu Islam ataupun belum masuk Islam lagi.


Allah swt. menjelaskan bahwa orang-orang yang percaya kepada hari kiamat dan kehidupan di akhirat, sudah pasti mereka percaya kepada AlQuran, kerana orang-orang yang percaya kepada kehidupan akhirat itu percaya pula akan akibat yang diterima pada hari itu. Itulah sebabnya maka mereka selalu mencari petunjuk-petunjuk yang dapat menyelamatkan diri mereka di akhirat kelak.


Petunjuk-petunjuk itu terdapat dalam AlQuran, maka mereka tentu akan mempercayai Alquran itu, percaya pada Rasulullah saw. yang menerima kitab itu dan taat kepada perintah-Nya, melaksanakan sembahyang pada waktunya secara terus menerus.


Disebutkan sembahyang di dalam ayat ini, kerana sembahyang itu adalah tiang agama dan asas dari semua ibadah. Orang yang melaksanakan sembahyang dengan sebaik-baiknya adalah pertanda bahawa orang itu suka melaksanakan ibadah lainnya serta dapat mengendalikan hawa nafsunya untuk tidak melakukan larangan larangan Allah.

Surah Al An’am Ayat 93


Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara yang dusta terhadap Allah, atau orang yang berkata: “Telah diberi wahyu kepadaku”, padahal tidak diberikan sesuatu wahyupunr kepadanya; dan orang yang berkata: “Aku akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”. Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang zalim itu dalam penderitaan “sakratul-maut” (ketika hendak putus nyawa), sedang malaikat-malaikat pula menghulurkan tangan mereka (memukul dan menyeksa orang-orang itu) sambil berkata (dengan menengking dan mengejek): “Keluarkanlah nyawa kamu (dari tubuh kamu sendiri); pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang menghina (kamu) sehina-hinanya, disebabkan apa yang telah kamu katakan terhadap Allah dengan tidak benar, dan kamu pula (menolak dengan) sombong takbur akan ayat-ayat keteranganNya”. .


Maksud ayat ‘siapakah yang lebih zalim’ adalah: tidak ada orang lain lagi yang lebih zalim daripada mereka yang mencipta dusta terhadap Allah. Merekalah yang paling zalim. Ada tiga jenis kezaliman yang disebut dalam ayat ini. Yang pertama adalah: membuat kedustaan terhadap Allah. Kalau kita berdusta tentang seseorang, itu adalah fitnah. Kalau fitnah dengan manusia pun sudah dosa yang besar, apatah lagi kalau kita fitnah tentang Allah? Itulah sebab dikatakan mereka yang berdusta terhadap Allah adalah yang paling zalim.


Apakah dimaksudkan dengan pendustaan itu? Pendustaan terhadap Allah yang paling besar adalah mengatakan yang ada tuhan lain selain dari Allah. Ataupun dengan mengatakan bahawa Allah ada anak. Itu adalah suatu pernyataan yang syirik. Ini banyak dilakukan oleh agama-agama yang lain.


“...atau yang berkata: “Telah diwahyukan kepada saya”, padahal tidak ada diwahyukan sesuatupun kepadanya,..”
Ini adalah sifat kedua mereka yang paling zalim.
Satu pendustaan yang besar juga adalah apabila seseorang mengaku sebagai Nabi. Itulah yang dimaksudkan dengan mereka mendapat wahyu. Dari zaman Nabi sampai zaman sekarang, masih ada lagi manusia sesat yang mengaku mereka itu Nabi yang dilantik oleh Allah. Pada zaman Nabi, ada seorang yang bernama Musailamah al Kazzab. Dalam sejarah, ada ramai manusia yang mengaku sebagai Nabi dan mengaku menerima wahyu, walaupun tidak berlaku sedemikian. Itu hanyalah kata-kata mereka untuk menipu manusia jahil sahaja.


“....dan orang yang berkata: “Saya akan menurunkan seperti apa yang diturunkan Allah”...”
Ini pula adalah sifat ketiga mereka yang paling zalim. Mereka berkata sebagaimana Allah menurunkan ayat Quran itu, mereka juga boleh membuat ayat-ayat seperti itu juga. Mereka ini menghina ayat-ayat Allah dengan berkata begitu. Dengan mengatakan yang mereka boleh membuat ayat Quran juga, mereka sebenarnya hendak mengatakan bahawa tidak ada apa apa kelebihan dengan Quran itu, sampai mereka sendiri pun boleh buat.


Sifat mereka ini ada disebutkan di dalam Surah Al Anfal Ayat 31 yang bermaksud:
“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: "Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang-orang dahulu kala".


Ayat Quran bukanlah ayat-ayat yang biasa kerana ianya adalah kalam dari Allah, bukan dari manusia. Bahasa yang digunakan adalah amat hebat sekali. Tidak mungkin manusia boleh melakukan sedemikian. Ini diakui oleh penentang-penentang Islam pun. Pada zaman Nabi, walaupun mereka tidak suka Islam, tapi mereka tidak dapat mengutuk ayat Quran kerana mereka sendiri sedar tentang kehebatan ayat-ayat Quran itu. Walaupun mereka tak suka, tapi mereka suka mendengar Quran dibacakan. Abu Sufyan, Abu Jahal dan Akhnaz selalu mendengar Quran dibacakan oleh Nabi Muhammad secara rahsia. Walaupun mereka menentang Islam, tapi mereka suka mendengar Quran dibacakan.


Sebab itulah Allah telah mencabar sesiapa sahaja yang rasa boleh untuk buat seperti Quran  itu untuk membawakan surah atau ayat lain yang seperti itu. Cabaran itu Allah telah berikan pada zaman Nabi dan masih lagi cabaran hidup ada pada zaman ini.


Memang ada manusia yang telah cuba buat ayat seperti ayat Quran itu, tetapi tidak sama langsung ayat-ayat itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Manusia boleh cuba buat macam ayat Quran, tapi tidak mencapai tahap kehebatan Quran.


“..Alangkah dahsyatnya sekiranya kamu melihat di waktu orang-orang yang zalim berada dalam tekanan sakratul maut,..”
Dalam ayat ini disebut Ghamaratil-maut, yang dalam bahasa kita dapat diertikan sebagai orang yang telah berada di dalam suasana  huru hara maut, kelemasan, ketika nyawanya akan terlepas dari badan, resah dan gelisah, sebab maut sudah terbayang di hadapan mata. Badan sudah terdampar menunggu ajal. Hanya badan saja yang lemah tetapi fikiran menerawang memikirkan dosa yang telah lalu dan memikirkan hari depan yang gelap. Hati tidak mahu bercerai dari dunia dan takut untuk berhadapan dengan Allah dengan dosa yang sudah terlalu banyak.


Ketika itu juga malaikat menghulurkan tangannya yang ngeri dan menakutkan. Orang yang berdiri di kiri kanan tidak dapat melihat tetapi dia sendiri yang dapat melihat. Malaikat yang mencabut nyawa orang-orang zalim itu, dalam mencabut nyawa mereka, tidaklah mencabut dengan lembut tetapi ia merentap dengan amat kasar sekali. Sebab itulah orang-orang yang zalim itu amat merasa kesakitan maut itu. Dalam ayat Muhammad:27 ada menceritakan bagaimana malaikat pada waktu itu memukul-mukulkan roh orang-orang zalim itu.


“(Kalaulah mereka terlepas sekarang dari bencana kejahatan mereka) maka bagaimanakah (mereka dapat menolak azab seksa) apabila malaikat mengambil nyawa mereka sambil memukul muka dan punggung mereka? “


Orang-orang yang zalim ini, semasa mereka hidup, mereka sombong untuk menerima ayat-ayat Allah, jadi sebagai balasannya mereka akan dihinakan di akhirat kelak. Semasa nyawa mereka dicabut, mereka diberitahu apakah nasib mereka. Ini bermakna, kepada orang-orang zalim itu telah diberitahu kepada mereka tentang azab yang mereka akan dapat. Bila mati sahaja seorang manusia, bermakna sudah bermulalah hari kiamat bagi mereka. Dan mereka akan mula dikenakan dengan azab-azab yang mereka akan dapat. Maknanya, bukan di neraka sahaja kena azab. Semasa nyawa mereka dicabut pun, sudah dikenakan dengan azab kepada mereka.


Ayat ini memberitahukan kepada kita bahawa apabila kita hampir mati, kita akan diberitahu dengan apa yang kita akan dibalas. Apabila mati sahaja, dah tahu dah ke mana kita akan pergi. Kalau kita orang soleh, kita akan diberitahu dengan kebaikan-kebaikan yang kita akan dapat. Dan kalau kita orang zalim, kita juga akan diberitahu dengan apa yang kita akan dapat. Waktu itu sudah terlambat dah untuk memperbaiki diri. Maka hendaklah kita memperbaiki diri kita semasa hayat kita ada lagi sekarang ini sebelum ianya terlambat.


Surah Al An’am Ayat 94


Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).  


Maksud ayat ini adalah sesungguhnya pada hari kiamat kamu datang kepada kami seorang-seorang, iaitu sendiri-sendiri tanpa berkawan dengan keluarga, atau saudara, anak, isteri, khadam, harta benda atau kekayaan. semuanya telah kamu tinggalkan. Kamu berbalik seeprti asal mula kamu dijadikan dahulu, iaiatu semasa kamu keluar dari perut ibumu. Keadaan kamu telanjang bulat tak memakai seurat benang pun. Maka begitulah keadaan kamu semasa dihimpunkan di padang mahsyar, semuanya bertelanjang bulat, berkaki ayam tidak beralas, dan berbalik semula kulup seperti keadaannya sebelum berkhatan.


Ini adalah sesuatu yang menakutkan. Iaitu, kita akan datang berjumpa Tuhan bersendirian tanpa ditemani oleh sesiapa pun lagi. Bayangkan kalau kita kena jumpa orang besar berseorangan pun sudah risau dan takut, ini apatah lagi Tuhan kita.


Kata-kata ini merupakan celaan kepada mereka yang telah menghabiskan umurnya di dunia semata-mata untuk mengumpulkan harta, memperbanyakkan isteri dan anak, mengejar pangkat dan nama, memuja patung dan menyembah berhala. Maka seterlah datang hari akhirat, semuanya tadi tidak mendatangkan guna dan tidak akan menolong mereka, kerana mereka akan datang sendiri-sendiri, akan mementingkan diri sendiri saja dan akan mengatakan nafsi-nafsi.


Ayat ini sepatutnya mengingatkan kita: kalau kita tidak bawa harta kita, kenapa kita luangkan masa sangat dengan segala harta itu? Sebagai contoh, tidak perlulah kita beriya sangat nak pilih karpet di rumah kita, tapi ianya tidak penting langsung. Maka jangan kita berlebih sangat dengan harta harta itu.


Maka, tidak ada harta lagi pada masa itu, kecualilah apa yang kita telah sedekahkan. Kerana apa sahaja yang kita ada di dunia dulu sudah ditinggalkan. Yang ada hanyalah harta kita yang kita sedekahkan kerana ianya akan menjadi pahala kepada kita. Itulah sebabnya harta yang sebenar harta kepada kita adalah harta yang kita telah sedekahkan.


Kalau dalam dunia ini walaupun kita berseorangan, tetapi sekurang-kurangnya mungkin ada orang yang boleh membantu dan menyokong kita apabila kita perlukan. Mungkin ayah kita, keluarga kita atau kawan-kawan kita. Tetapi apabila di akhirat nanti tidak ada sesiapa yang boleh tolong dan sokong kita.


Oleh itu ingatlah bahawa jikalau hubungan kita dengan Allah tidak baik, maka tidak ada sesiapa pun lagi yang boleh membantu kita pada waktu kita bertemu dengan Allah. Oleh itu tidaklah berguna kepada kita jikalau kita bersungguh-sungguh menggembirakan hati orang lain jikalau di dalam masa yang sama kita menentang arahan Allah. Oleh itu, untuk mendapat hubungan yang baik dengan Allah, kenalah kita ikut arahanNya dan meninggalkan laranganNya.


“...dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kuruniakan kepadamu;..”
Kalau kita ada harta yang banyak, sebenarnya kita lah yang kena jaga harta itu. Tetapi  ianya akan menyusahkan kita sebenarnya. Tapi kalau kita ada ilmu, ilmu itulah nanti yang akan menjaga kita. Itulah bezanya harta dan ilmu. Harta akan berkurang, tapi ilmu tidak akan hilang, malahan akan bertambah dari masa ke semasa. Maka carilah ilmu sebanyak mungkin.


Maka janganlah hati kita tertarik sangat dengan dunia. Jangan sangkut kan hati kita dengan harta. Semuanya tidak ada makna nanti. Malangnya, kalau kita hilang harta kita, sangatlah kita terasa sangat sampaikan hilang semangat. Ingatlah bahawa harta itu pun pemberian dari Allah, dan apa yang Allah beri, Allah boleh tarik balik. Segala kenikmatan yang kita ada di dunia ini adalah seperti selimut yang menyeliputi kita. Kita pun tak perasan nikmat itu sebagaimana kita tak perasan sangat selimut yang menyeliputi kita.


“..dan Kami tiada melihat besertamu pemberi syafa’at..”
Kaum musyrikin mendakwakan bahawa mereka menyembah berhala dengan harapan supaya berhala itu dapat memintakan syafaat dan pertolongan kepada Allah pada hari kiamat nanti. Tetapi setelah mereka berada pada hari kimat, berhala yang mereka sekutukan dengan Allah itu tidak akan bersama mereka. Allah telah mencela dan mengeji perbuatan mereka, yang seolah-olahnya bertanya : “mana dia berhala yang kamu sembah itu? Kami tidak nampak bersama-sama kamu sebagai pihak yang akan menjadi penolong kamu.”


Dan Allah mencela mereka lagi dengan firman di dalam ayat ini yang terakhir yang bermaksud : “Semasa itu terputuslah sudah hubungan yang terjalin antara kamu dengan pihak yang kamu harap-harapkan itu, kerana telah nyata dan jelas kelirunya anggapan yang kamu dakwakan di dunia dahulu. “

Surah Al An’am Ayat 95


“Sesungguhnya Allah jualah yang membelah (menumbuhkan) butir (tumbuh-tumbuhan) dan biji (buah-buahan). Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup. Yang sedemikian itu kekuasaannya ialah Allah. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya (oleh benda-benda yang kamu jadikan sekutuNya)?
Dalam ayat ini dan seterusnya untuk beberapa ayat, Allah memperkenalkan DiriNya kepada kita. Allah menceritakan tentang kekuasaanNya. Dalam ayat sebelum ini telah disebut bagaimana manusia ada yang tidak menghargai Allah sebagaimana Allah sepatutnya dihargai. Manusia tidak menghargai Allah itu kerana mereka tidak mengenal Allah dan sifat-sifatNya. Jadi di dalam ayat ini Allah memberitahu apakah perbuatanNya supaya manusia lebih mengenali Allah. Iaitu Allah menceritakan apakah yang dilakukanNya.


Maksud ‘membelah’ di dalam ayat ini ialah ianya digunakan untuk menerangkan perbuatan ‘membelah sesuatu yang tidak bernyawa’ sebagai contohnya batu. Perkataan itu bermaksud membelah dan memisahkan menjadi dua bahagian dan bukanlah bermaksud memecahkan. Kalau Surah al-Falaq itu, dinamakan begitu kerana Allah membelah kegelapan malam.


Manakala maksud ‘biji-bijian tanaman’ pula adalah dari jenis tumbuhan yang boleh dimakan. Ini adalah jenis tumbuhan yang berbentuk bijian. Seperti contohnya, makanan kita iaitu gandum dan beras. Allah lah yang menumbuhkannya. Tidak ada yang lain. Allah jugalah yang mengajar manusia bagaimana menanam dan memasaknya. Iaitu diajarkan kepada Nabi Adam a.s. semasa baginda di syurga lagi. Perkara ini tidak dapat kita nak tahu kalau kita nak belajar sendiri.


Biji-biji buahan pula adalah jenis bijian yang tidak dimakan. Seperti biji pada limau, biji pada Epal dan sebagainya. Ianya jenis biji juga, tapi kita tak makan bijinya. Kita makan yang luar dari biji itu. Sebagai contoh, buah durian dan buah rambutan. Kita tak makan biji buah rambutan dan durian itu bukan? Tapi kita makan isi yang menyaluti biji itu.
Allah menceritakan bagaimana Allah membelah biji-biji itu yang darinya menjadi benih dan bertambah banyak pokok yang tumbuh.


Ini semua adalah untuk menceritakan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita. Ini untuk menyatakan kepada kita bahwa Allah yang buat semua itu. Tidak ada sesiapa yang boleh buat seperti apa yang Allah lakukan itu. Kalau kita buat sendiri, tak akan tumbuh pokok itu.


“..Ia mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup…”
Mengeluarkan yang hidup dari yang mati adalah berlaku sehari-hari. Iaitu jenis yang hidup, sebagaimana yang kita saksikan, dapat tumbuh dengan adanya makanan yang dimakannya dari jenis yang mati. Misalnya tiap-tiap sesuatu yang masih anak atau kecil pada mulanya dapatlah ia hidup dan tumbuh kerana memakan susu atau bahan lainnya, lalu menjadi besar, sedang bahan makanan itu adalah benda-benda yang mati.


Manakala mengeluarkan yang mati dari yang hidup pula juga berlaku sehari seperti mengeluarkan telur, susu dan sebagainya dari jenis hidup-hidupan. Adapun berkenaan sel mani dari air lelaki dan sel terul dari air perempuan mengikut pendapat ulama Ilmu Tasyrih kedua-dua sel tersebut dikatakan sebagai benda-benda yang hidup, bukanlah sel yang mati. Ini mereka dasarkan bahwa sel mani itu mengandungi benih yang mereka namakan ‘hayawan manawi’. Sekalipun hayawan manwi itu hidup tidak lama, hanya beberapa jam sahaja lepas tu dia kan mati, tetapi jika seekor sahaja dapat bertemu dengan sebutir sel telur di dalam rahim perempuan, maka keduanya akan berpadu dan terus hidup. Inilah yang dinamakan ‘talqih’ atau pembenihan.


Kedua-dua sel mani dan sel telur yang telah berpadu menjadi satu serta hidup dan kemudiannya telah berpecah dua, yang satu menjadi lembaga yang bakal menjadi bayi dan yang satu lagi menjadi uri-uri yang menyediakan makanan untuk bayi tersebut. Tali pusat yang menghubungkan kedua lembaga itulah yang menghidupkan dan menyebabkan pertumbuhan bayi tersebut semakin lama semakin besar, sehingga sampai masa ditiupkan kepadanya roh atau nyawa dan akhirnya bayi itu dilahirkan ke dunia.


“...Maka bagaimanakah kamu dipalingkan dari menyembahNya ..”
Setelah kita mengetahui bahawa Pencipta yang Maha Berkuasa menjadikan segala-galanya itu ialah Allah swt, tetapi mengapa masih ada di antara kita manusia yang tidak percaya kepada Allah? Mengapa masih ada ragu-ragu untuk menyembah dan mengabdikan diri kepadaNya? Malah ada pula yang sanggup menyekutukanNya dengan yang lain?


Ayat ini jelas membuktikan bahwa adanya hari ba’ath itu adalah benar, kerana jika Allah berkuasa mengeluarkan tubuh badan dari setitis mani, tentulah Allah berkuasa pula untuk mengeluarkannya dari perut bumi untuk diperhitungkan dan dihisab segala amalannya.

Surah Al An’am Ayat 96


Allah jualah Yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.  “


Maksud ‘membelah pagi’ di sini ialah memecahkan kegelapan malan dengan terbitnya fajar sadiq waktu dinihari, sehingga langit yang disebelah timur, tempat terbitnya matahari menjadi terang benderang. Cahaya fajar itu kelihatan melintang di kaki langit (ufuk)) di sebelah timur, memanjang dari selatan ke utara, berkekalan terangnya sehingga terbit matahari. Waktu itulah yang dinamakan waktu subuh.


Para ulamak mengatakan bahwa waktu subuh itu ada dua. Pertama, subuh yang diterangi oleh fajar kazib, iaitu fajar yang menerangi kaki langit di sebelah timur, cahayanya membumbung tinggi naik ke langit, tetapi tak lama kemudian cahaya itu pun hilang dan jadilah gelap semula. Kedua, subuh yang diterangi oleh fajar sadiq, iaitu fajar yang terbit sesudah fajar kazib, sedang cahayanya pula melintang di kaki langit di sebelah timur.


Apakah rahsia Allah menyebutkan ayat ini? Tentulah rahsianya amat banyak. Antaranya Allah ingin memberitahu bahwa Allah lah yang mengeluarkan siang. Allah lah yang membelah malam dan mengeluarkan siang pada tiap-tiap waktu subuh dan tiap-tiap waktu senja.  Kedua-dua waktu subuh dan senja ini adalah merupakan waktu yang melahirkan pemandangan-pemandangan alam yang sangat indah, yang dapat menyenangkan mata memandang, melapangkan perasaan yang sedang gelisah dan menyegarkan fikiran yang sedang buntu.


Keindahan alam pada waktu subuh dan senja ini akan dinikmati oleh pendudu-penduduk yang berada di kawasan yang jauh dari negeri khatulistiwa seperti di kawasan garis balik utara dan garis balik selatan. Lebih -lebih lagi penduduk di lingkaran kutub utara dan di lingkaran kutub selatan. Kerana Allah itu Maha Adil, iaitu di mana matahari itu sangat kuat cahyanya bersinar, maka di kawasan itu amat kurang diberikanNya pemandangan alam yang indah pada waktu subuh dan senja seperti di negara kita yang terletak di kawasan khatulistiwa ini. Tetapi di negeri yang mana matahari sangat kurang cahaya sinarnya, maka di kawasan itu amat berlebih-lebihan pula diberikanNya pemandangan alam yang indah pada waktu subuh dan senja. Demikianlah sifat Allah, bukan saja Maha Berkuasa, tetapi juga Maha Adil untuk membahagi-bahagikan nikmatNya kepada sekalian hamba-hambaNya.


“...dan menjadikan malam untuk beristirehat,”
Allah menjadikan malam itu untuk istirehat kepada diri kita, tetapi dalam masa yang sama, untuk beribadat juga kepada Allah. Bayangkan kalau matahari bersinar sepanjang siang dan malam, tentu susah manusia nak berehat, susah nak tidur. Maka lihatlah bagaimana Allah gelapkan malam untuk memudahkan kita berehat di malam hari.
Oleh itu apabila Allah telah jadikan malam sebagai tempat masa untuk berehat, maka hendaklah kita berehat malam hari. Kalau kita lawan ketetapan itu dengan tidak tidur, buat kerja, main game dan sebagainya, kita akan ada masalah dengan kesihatan kita nanti. Jangan lawan ketetapan yang telah Allah letakkan dalam diri kita.


“...dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan…”
Allah jadikan matahari dan bulan itu untuk mudah kita mengira waktu. Untuk kira bila masuknya waktu solat dan juga untuk mengira apabila telah masuk bulan baru dan apabila telah habis bulan itu. Allah sebut ‘bulan dan matahari’. Bulan dijadikan sebagai tanda untuk mengira waktu dalam ibadah dalam Islam. Sebagai contoh, kita selalu nak pastikan anak bulan apabila nak pastikan Ramadhan dan Syawal. Bulan jenis ini dinamakan kalendar Qamariah.


Tapi Allah juga sebut matahari juga digunakan untuk pengiraan. Ini adalah bulan Syamsiah atau Lunar Calender. Selalunya, orang Melayu akan panggil bulan Qamariah sebagai ‘Bulan Islam’, seolah-olah hendak mengatakan yang Bulan Syamsiah bukan Islam pula. Tapi lihatlah bagaimana Allah mengatakan bahawa dua-dua bulan dan matahari itu dijadikan oleh Allah sebagai pengira waktu. Maknanya, dua-dua adalah ‘Bulan Islam’.


Tidakkah kita lihat bagaimana kita memerlukan matahati juga untuk menentukan waktu solat? Keluar matahari, masuk waktu subuh, matahari tergelincir dari tegak menandakan masuk waktu zuhur dan sebagainya. Memang zaman sekarang kita banyak bergantung dengan jam untuk tentukan waktu solat. Tapi apa kata kalau tidak ada jam?


Segala kejadian baik yang di langit mahupun yang di bumi itu adalah menjadi ketetapan Allah yang telah diatur olehNya dengan cukup sempurna dan dengan cara yang serapi-rapinya. Kerana Allah bersifat perkasa yang tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalang kemahuanNya, lagi mengetahui segala sesuatu yang mendatangkan maslahat kepada sekalian makhlukNya.

Surah Al An’am Ayat 97


Dan Dia lah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”


Ayat ini menerangkan dalil ketiga yang Allah berikan kepada kita untuk menunjukkan bahawa hanya Allah sahaja yang boleh disembah. Dalam ayat ini menyebutkan bahwa Allah lah yang menjadikan bintang-bintang di langit untuk manusia jadikan pedoman semasa di dalam perjalanan. Baik di darat mahupun di laut. Orang yang berpergian mestilah ada arah yang ditujunya. dan arah itu tidak dapat dipastikan kedudukannya tanpa pedoman yang dipakainya. Jika tidak ada pedoman, nescaya jalan yang akan ditempoh menjadi gelap sehingga tersesat jalan, akhirnya tidak akan smpai ke tempat yang dituju.


Orang-orang zaman dahulu telah menjadikan bintang-bintang sebagai pedoman untuk mengetahui arah dalam perjalanan. Manakala orang zaman moden sekarang ini menggunakan kompas untuk perjalanan mereka. Kompas ialah suatu alat seperti jam yang mempunyai dua jarum. Jarumnya yang berbesi berani sentiasa menunjuk ke arah utara. Bila satu saja arah telah diketahui, maka semua arah mata angin yang lain pun dapat diketahui juga.


Jika pada waktu siang matahari dapat dijadikan pedoman untuk mengetahui arah mata angin yang empat, iaitu timur tempat terbitnya, barat tempat terbenamnya, kemudian utara dan selatan. Dan pada waktu malam bintanglah pula yang dijadikan pedoman untuk mengetahui arah-arah tersebut. Dengan berpandukan bintang Kutub Utara yang sentiasa berada di atas ufuk (kaki langit) di sebelah utara dan tidak akan berganjak dari tempatnya, ianya dijadikan sebagai kompas di waktu malam untuk mengetahui arah mata angin.


Antara kegunaan lain pula, bintang-bintang itu dijadikan oleh Allah sebagai perhiasan di langit dan pelontar syaitan sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam surah al Mulk ayat 5 yang bermaksud:
“sesungguhnya Kami menghiasi langit (bahagian yang terdekat) di dunia dengan beberapa banyak lampu (bintang-bintang) dan Kami jadikan dia (tahi-tahi bintang) untuk pelontar syaitan-syaitan.”


“..Sesungguhnya Kami telah menjelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) kepada orang-orang yang mahu mengetahui.”
Sesungguhnya orang-orang yang berpengetahuan dalam ilmu Kajibintang atau pun yang dipanggil astronomi itu semenjak dahulu hingga sekarang tidak berhenti-henti mempelajari benda-benda atau jirim-jirim yang ada di langit (Al Ajramus Samawiyah), dan sedikit demi sedikit mulalah tersingkap rahsia langit dan benda-benda yang terapung-apung di angkasa luas itu sehingga menjadi semakin jelas betapa luasnya alam ini. Dan setelah itu akan terasalah betapa kecil dan hinanya jirim-jirim manusia ini jika dibandingkan dengan jirim-jirim seperti matahari, bumi, bulan dan bintang tadi.


Ilmu alam ini semua merupakan satu nikmat tersendiri dari Allah bagi manusia, tidak ada yang mampu memberikannya kecuali Allah ta’ala. Lalu mengapa mereka masih kafir terhadapNya bahkan menyembah selainNya?


Ayat ini juga memberitahu kepada kita bahawa semua benda yang Allah jadikan ada gunanya. Tidaklah apa yang Allah jadikan dalam dunia ini yang sia-sia. Tidak ada yang sia-sia. Kalau kita lihat bintang itu, ianya amat jauh sekali dari kita, tapi ada juga gunanya kepada kita. Kita sahaja yang tidak nampak kegunaan dan sebab Allah jadikan sesuatu itu kerana akal kita yang lemah.

Surah Al An’am Ayat 98


Dan Dia lah yang mencipta kamu dari diri yang satu (Adam), maka (bagi kamu) disediakan tempat tetap (dalam tulang sulbi bapa kamu atau di bumi), dan tempat simpanan (dalam rahim ibu atau dalam kubur). Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu persatu bagi orang-orang yang mengerti (secara mendalam).


Allah menyatakan tentang kekuasaanNya menjadikan manusia dan memantau perkembangannya. Manusia telah dijadikan oleh Allah mula-mula sekali dari diri yang satu iaitu dari nabi Adam as sebagaimana yang telah dijelaskan pada ayat 1 surah An Nisa’ kemudian dijelaskanNya pula akan perkembangan dan pertumbuhan manusia itu. Manusia diberi tempat tinggal yang tetap dan tempat tinggal sementara.


Ada banyak pendapat ulama tafsir tentang beza antara dua makna ayat ini. Kita berikan beberapa sahaja:
1. Tempat yang tetap adalah dunia ini. Dan tempat sementara adalah dalam perut ibu kita. Kerana kita sekejap sahaja dalam perut ibu kita. Selepas sembilan bulan, kita akan dikeluarkan.
2. Tempat yang tetap adalah akhirat dan tempat sementara adalah kubur kita. Apabila kita mati, kita dikuburkan dalam tanah dan apabila kiamat, semua akan bangun dan berada di Mahsyar dan Akhirat akan bermula bagi semua orang. Akhirat itulah tempat akhir kita. Kubur itu sementara sahaja, menunggu Kiamat.
3. Tempat yang tetap itu adalah akhirat dan tempat yang sementara adalah dunia ini. Kita pun tahu kita sekejap sahaja tinggal di dunia ini. Kalau dibandingkan masa di dunia ini dengan masa di akhirat yang kekal, masa di dunia seperti tidak ada apa-apa.
Ini mengajar kita bahawa manusia itu ada mula dan ada akhirnya. Kita tidak kekal dalam dunia ini. Maka, hendaklah kita bersedia dengan persediaan untuk ke akhirat.


Keterangan ini merupakan keterangan lanjut dari ayat-ayat yang lalu agar manusia mendapat penjelasan secara lebih terperinci, bahawa kekuasaan Allah tidak hanya berlaku pada benda-benda mati tetapi juga berlaku bagi makhluk makhluk yang hidup. Ianya sengaja dijelaskan oleh Allah untuk menjadi keterangan dan sebagai bukti yang dapat difahami oleh orang-orang yang mengerti.


Surah Al An’am Ayat 99


Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman.


Di dalam ayat ini Allah menerangkan tentang kepentingan air yang turun dari langit dalam berbagai cara. Ada yang turun dalam bentuk hujan dan ada yang turun dalam bentuk salji. Dari air yang sama, tapi menjadi berbagai-bagai jenis tanaman. Begitu hebatnya Allah jadikan alam ini. Semuanya dapat hidup dari air yang satu jenis sahaja. Tapi darinya macam-macam boleh hidup. Bandingkan dengan kita: kalau cipta minyak untuk kereta, macam-macam jenis minyak kena buat. Ada minyak untuk jalankan kereta, ada minyak untuk brek, untuk minyak untuk enjin dan sebagainya.


Kemudian disebutkan pula perincian dari tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam itu; di antaranya ialah rumput-rumput yang tumbuh berumpun-rumpun. Dari tumbuh-tumbuhan itu, maka menghijaulah alam ini. Tanaman itu berbentuk butiran yang bersusun di tangkai macam yang kita nampak pada beras dan juga gandum. Bijian itu berkumpul dan bersusun atas satu sama lain. Juga ada yang bergugus-gugus seperti biji-biji jagung dan sebagainya. Ada juga dari jenis yang lain dari tumbuh-tumbuhan itu ialah pohon palma yang mengeluarkan buah yang terhimpun dalam sebuah tandan yang menjulai rendah sehingga mudah dipetik.


Jenis yang lain lagi dan jenis tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam itu ialah anggur, zaitun, dan delima. Ketika jenis buah-buahan ini disebutkan secara beruntun, kerana masing-masing ada yang mempunyai persamaan dan perbezaan, sifat, bentuk dan rasanya, sehingga ada yang berwarna kehitam-hitaman dan ada pula yang berwarna kehijau-hijauan; ada yang berdaun agak lebar, dan ada pula yang berdaun agak kecil; begitu pula ada yang rasanya manis dan ada juga yang asam. Kesemuanya itu adalah untuk menunjukkan kekuasaan Allah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan yang beraneka ragam itu.


Allah swt. memerintahkan kepada manusia agar memerhatikan tumbuh tumbuhan yang beraneka ragam itu pada masa ia berbuah. Bagaimana buah-buahan itu tersembul dari batang atau rantingnya, kemudian merekah sebagai bunga. Setelah nampak buahnya, akhirnya menjadi buah yang sempurna (matang).


Semua kejadian yang telah diterangkan oleh ayat ini dan ayat-ayat yang sebelunya merupakan bukti, tanda dan keterangan tentang adanya Allah serta kekuasaan dan kemahiranNya dalam mengurus serta mentadbirkan segala sesuatu yang ada di alam maya ini. Orang yang rajin menyelidiki ciptaan Allah ini pasti akan percaya akan adanya Allah. Bahkan semakin dalam penyelidikannya akan semakin kuat pula iman dan kepercayaannya kepada Allah.


Tetapi mestilah diingat bahwa orang yang percaya akan adanya Allah itu bukanlah selamanya akan mendapat hidayah, petunjuk atau pimpinan. Hidayah Allah adalah merupakan sesuatu kurnia yang sangat berharaga. Hidayah bukanlah barang murah yang senang didapat. Tidak. Ia tidak akan datang, dan tidak ada sesiapa yang akan mendapatkannya melainkan dengan dicari, dengan rajin dan penuh kesungguhan, itupun jika diizinkan oleh Allah.


Sesungguhnya amatlah keliru pendapat orang yang menyangka bahwa Tuhan belum lagi memberinya hidayah yang dengan alasan inilah maka ia belum mahu mengerjakan sembahyang, menutup aurat, berpuasa, bersedekah walhal yang sebenarnya dirinya sendirilah yang kurang berusaha dan kurang rajin mencari hidayah itu dan mengerjakannya. Itulah sebabnya ramai orang yang percaya kepada Allah tetapi tidak mendapat hidayah, maka rugilah ia.


Surah Al An’am Ayat 100


Dan mereka menjadikan jin sekutu bagi Allah, padahal Allah jualah yang mencipta jin-jin itu; dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Ia dari apa yang mereka sifatkan!


Tujuan Allah menyebutkan ayat ini ialah untuk menggambarkan adanya jenis-jenis syirik yang biasa dilakukan oleh orang-orang Arab dan umat lainnya semenjak dahulu hingga sekarang. Di antara jenis-jenis syirik itu ialah mereka memuja jin samada dengan mantera atau semasa menjampi untuk sesuatu maksiat, dan tunduk kepada perintahnya, serta mempercayai jin itu mempunyai kuasa ghaib yang boleh mendatangkan manfaat atau mudharat yang seolah-olah seperti tuhan.


Sekalipun disebutkan dalam ayat ini bahwa yang menjadi sekutu Allah itu hanyalah jin, tetapi para mufassirin telah memaknakan dengan lebih luas lagi, bahwa dalam lafaz al Jinn itu meliputi erti iblis, syaitan, malaikat, dewa-dewa dan apa saja yang mereka sekutukan Allah dengannya. Yang bermakna mereka telah menyekutukan Allah dengan jin, iblis, syaitan, malaikat dan dewa-dewa.


Kata Ibnu Abbas, ayat ini ditujukan kepada orang-orang zindiq (zahirnya dia Islam batinnya kafir) yang mengatakan bahwa Allah itulah yang menciptakan sekalian manusia, makhluk yang melata, ternak dan semua haiwan. Adapun iblis, dialah yang mencipta binatang buas, ular, kala dan segala kejahatan.


Pendapat Ibnu Abbas ini telah diperkuatkanlah oleh ar-Razi dengan keterangannya bahwa yang dimaksudkan dengan orang-orang zindiq itu ialah orang-orang Majusi yang mengatakan bahwa tiap-tiap yang baik dalam alam ini adalah terbitnya dari yazdan, maksudnya Nur (cahaya), dan tiap-tiap kejahatan dalam alam ini adalah terbitnya dari ahriman, ertinya iblis.


Jadi dengan ini maknanya mereka telah menjadikan jin sebagai sekutu Allah. Keterangan di atas adalah sebagai salah satu perbuatan syirik yang digambarkan oleh Allah. Iaitu mengikut apa yang dikatakan oleh orang-orang zindiq atau orang-orang majusi : ada tuhan, atau dewa yang menjadikan kebaikan. Dan ada pula tuhan atau iblis yang menjadikan kejahatan. Semua sekutu-sekutu ini telah disifatkan oleh Allah sebagai jin, sedangkan sekutu ini pula Allah lah yang menjadikannya.


“...dan mereka berdusta terhadap Allah dengan mengada-adakan bagiNya anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan…”
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah iaitu rekaan yang dibuat secara jahil dan membuta tuli, sedikit pun tidak ada berdasarkan ilmu pengetahuan yang diterima oleh akal. Mereka yang dimaksudkan itu ialah :
-  golongan musyrikin Arab yang mengatakan malaikat itu anak-anak perempuan Allah.
- golongan Yahudi yang mengatakan Uzair itu anak lelaki Allah.
- golongan Nasrani yang mengatakan Isa al Masih itu anak Allah.


Allah menafikan dakwaan mereka ini semua, dan kata-kata yang mereka ada-adakan itu adalah dusta semata-mata. Ini telah dinyatakan oleh Allah di penghujung ayat ini.









Surah Al An’am Ayat 101


(Dia lah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Ia mempunyai anak sedang Ia tidak mempunyai isteri? Ia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.


Allah swt. menerangkan bahawa Dialah Pencipta langit dan bumi. Dalam penciptaan jagat raya dan segala isinya, Dia tidaklah meniru dari ciptaan-ciptaan sebelumnya. Dia menciptakan dari tidak ada menjadi ada.


Dalam hal ini bererti bahawa Dia menciptakannya secara mutlak tidak memerlukan bantuan tenaga ataupun benda-benda lainnya. Macam mana Allah boleh ada isteri, kerana selain dariNya, semuanya adalah makhluk. Tidak ada yang sama dan setaraf dengan Allah. Kerana kalau kita kahwin, tentulah kita kahwin dengan spesis yang sama dengan kita. Lalu bagaimana Allah nak ada pasangan sedang Dia hanya satu sahaja.


Musyrikin Mekah sampai mengatakan yang pasangan Allah adalah jin dan malaikat adalah anak perempuan mereka. Ma sha Allah! Teruk sekali dakwaan mereka. Tidak mungkin Allah akan berpasangan dengan Jin! Itulah sebabnya dalam ayat sebelum ini Allah tekankan yang Dia yang menciptakan jin itu. Jadi konsep ‘anak Tuhan’ itu tidak masuk akal. Ini adalah satu dakwaan yang sangat berat sampaikan langit hampir terpecah, bumi terbelah dan gunung ganang hancur. Inilah yang tersebut dalam ayat Maryam:88-90 yang bermaksud:
“Dan mereka berkata: “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak”. - 88
“Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar,” - 89
“hampir-hampir langit pecah karena ucapan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh,” - 90
Pada akhir ayat ini Allah swt. menegaskan bahwa Dia lah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Ilmu Nya tiada dibatasi oleh ruang dan waktu. Ilmu Nya azali dan abadi. Hal ini merupakan ketetapan Allah untuk menguatkan alasan-alasan yang dikemukakan sebelumnya serta membatalkan tuduhan orang musyrikin yang tidak pada tempatnya.


Surah Al An’am Ayat 102


Yang demikian (sifat-sifatNya dan kekuasaanNya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepadaNya. Dan (ingatlah) Dia lah yang mentadbirkan segala-galanya.


Dalam ayat-ayat sebelum ini, Allah telah menerangkan tentang DiriNya. Itulah Allah. Hanya Dia sahaja yang mempunyai kekuasaan seperti itu. Allah lah yang memberi segala keperluan hidup kepada kita. Itulah maksud ‘Rabb’. Perkataan ‘Rabb’ bukan sahaja bermaksud ‘Tuhan’ sahaja, tetapi bermaksud Tuhan yang mencipta, memelihara, menjaga dan tuan kepada seluruh makhluk.


Dalam ayat sebelum ini, disebut bagaimana puak musyrik mengatakan Allah mempunyai anak. Anak itu pula disembah, dipuja dan diibadati. Jadi dalam ayat ini, ditegaskan bahawa tidak ada tuhan yang disembang, dipuja dan diibadati melainkan Allah. Iaitu satu penekanan akidah untuk menolak kesyirikan yang dilakukan oleh manusia. Allah lah sahaja yang boleh mencipta segala sesuatu. Jin dan makhluk lain adalah makhluk sahaja, tidak boleh menjadikan apa-apa.


Apabila Tuhan itu hanya Allah, Allah sahaja yang berkuasa penuh mencipta sesuatu, maka sembah dan doa hanya kepada Allah sahaja. Kenapa nak sembah kepada selain dari Allah? Sedangkan selain dari Allah tidak berkuasa untuk mencipta seekor nyamuk pun.


Di akhir ayat ini Allah swt. menegaskan bahawa Dialah pemelihara segala sesuatu yaitu menguasai segala urusan, mengurus jagat raya dan isinya dengan ilmu, hikmah dan kekuasaan Nya.


Surah Al An’am Ayat 103


Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.”


Allah menegaskan bahawa hakikat yang besar iaitu bahwa Allah swt adalah berbeza dengan makhluk-makhlukNya baik dari zatNya mahupun dari segi sifat-sifatNya. Tidak ada sesuatu apa pun yang menyerupai Allah. Allah tidak dapat dilihat atau ditembusi dengan pandangan dan penglihatan mata tetapi Allah dapat menembusi berbagai macam penglihatan mata. Allah dapat menembusinya kerana Allah adalah bersifat Maha Halus, yang menerapkan ilmu dan kekuasaanNya kepada semua unsur alam ini, baik yang di langit mahupun di bumi.


Jadi, manusia, termasuk Nabi Muhammad tidak pernah melihat Allah dalam dunia. Begitu juga kita boleh lihat kisah Nabi Musa a.s. dalam A’raf:143 bilamana Nabi Musa meminta untuk melihat Allah. Baginda sudah dapat bercakap-cakap dengan Allah, maka baginda mahu juga melihat Allah. Allah jawap yang baginda tidak mampu untuk melihat Allah. Dari ayat ini, dapatlah kita tahu bahawa di dunia, kita tidak dapat melihat Allah. Akan tetapi apabila kita telah mati, kita akan dapat melihat Allah.
Nabi Muhammad saw. bersabda:
“Sebenarnya kamu akan melihat Tuhanmu di hari kiamat seperti kamu melihat bulan di malam bulan purnama, dan seperti kamu melihat matahari di kala langit tidak berawan"
(HR Bukhari dari Jarir, Sahih Bukhari jilid IV, 283)


Allah swt. berfirman:
“Wajah-wajah (orang mukmin) pada hari itu berseri-seri kepada Tuhannyalah mereka melihat.
(Q.S Al Qiyamah: 22-23)


Kemungkinan untuk dapat melihat Allah di hari kiamat nanti adalah khusus bagi orang-orang mukmin saja sedangkan orang-orang kafir, mereka tetap tidak akan dapat  melihat Allah. Sepertimana firman Allah yang bermaksud:
"Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang dari (melihat Tuhan mereka)".
(Q.S Al Mutaffifin: 15)


Surah Al An’am Ayat 104


(Katakanlah wahai Muhammad): "Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu; oleh itu sesiapa melihat (kebenaran itu serta menerimanya) maka faedahnya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa buta (dan enggan menerimanya) maka bahayanya tertimpalah ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah aku berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu".


Allah swt. menjelaskan kepada kaum Muslimin bahwasanya tanda-tanda bukti kebenaran dan dalil-dalil yang kuat telah datang kepada mereka daripada Allah. Tanda-tanda bukti kebenaran dan dalil-dalil yang kuat itu dapat diketahui oleh mereka baik berupa tanda-tanda kekuasaan Allah di jagat raya mahupun petunjuk Allah yang diberikan kepada mereka dengan perantaraan Nabi Muhammad saw. berupa wahyu iaitu AlQuran. Sebab itu Allah suruh kita lihat alam ini dan kaitkan dengan apa yang tertera di dalam AlQuran.. Kerana dengan melihat alam ini, ianya akan mendekatkan diri kita dengan Allah.. Kedua bukti itu dapat memperkuat keyakinan kita tentang adanya Allah.


Ayat ini mengingatkan kepada kita untuk menggunakan pemikiran kita dalam melihat. Janganlah kita melihat ayat-ayat Quran dan tanda-tanda pada alam ini dengan mata yang kosong sahaja. Tetapi hendaklah kita memikirkan bagaimana tanda-tanda itu semuanya menunjuk kepada kewujudan dan kebesaran Allah.


Barangsiapa yang dapat melihat kebenaran dengan jalan memerhatikan kedua bukti itu, dan meyakini adanya Allah serta melakukan amal yang baik, maka beruntunglah mereka. Mereka telah dapat memahami kebenaran yang telah Allah tunjukkan di dalam Quran ini. Ianya hanya akan diberikan kepada mereka yang mahu mencari kebenaran.


Akan tetapi barangsiapa yang tidak mahu melihat kebenaran atau berpura-pura tidak mengerti, maka akibat buruk dari sikapnya itu akan menimpa dirinya sendiri. Ramai dari kalangan manusia yang buta dari melihat kebenaran. Mereka-mereka itu melihat Quran dan mungkin selalu membaca Quran. Tapi mata hati mereka buta dari melihat kebenaran yang ada di dalam Quran itu. Samada mereka tidak mendapat manfaat dari Quran ataupun mereka membaca dan belajar Quran sekadar untuk pangkat dan dunia sahaja.Sedangkan segala apa yang ada di dalam Quran tidak menjadi amalan harian mereka. Mereka inilah orang yang rugi. Dan balasan untuk orang yang rugi ini adalah neraka. .


Allah swt. berfirman:
“"Barangsiapa mengerjakan amal yang saleh maka (pahalanya) untuk dirinya sendiri dan barangsiapa yang berbuat jahat maka (dosanya) atas dirinya sendiri".
(Q.S Fussilat: 46)


Dan Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad saw. untuk mengatakan kepada kaumnya bahwa Muhammad saw sekali-kali bukanlah pemelihara mereka, maksudnya Nabi Muhammad bukanlah ditugaskan untuk memantau amal-amal mereka malah baginda tidak dapat memberi hidayah kepada mereka dan membuat mereka menjadi mukmin. Baginda hanyalah seorang utusan Allah yang ditugaskan untuk menyampaikan wahyu yang telah diterimanya.


Dan begitu juga kita sebagai pendakwah bukanlah penjaga dan pemelihara kepada manusia. Oleh itu, kita tidak boleh memaksa mereka untuk menerima hidayah. Kita hanya boleh menyampaikan sahaja. Bayangkan, Nabi Muhammad sendiri pun tidak dapat menjadikan bapa saudaranya yang amat disayanginya, iaitu Abu Talib, untuk beriman.


Kadang-kadang sebagai pendakwah kita rasa berat hati jikalau dakwah yang kita sampaikan tidak diterima oleh orang. Kita ada rasa macam buang masa sahaja untuk bercerita kepada orang lain tetapi akhirnya mereka menolak. Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh memberi hidayah kepada manusia dan tidak boleh memaksa mereka untuk menerima dakwah kita.


Ingatlah bahawa Allah hanya hendak melihat usaha kita untuk menyampaikan sahaja, bukan melihat kejayaan kita. Hanya dengan menyampaikan sahaja, kita sudah mendapat pahala.


Surah Al An’am Ayat 105


Dan demikianlah Kami menerangkan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (dengan berbagai cara, untuk menimbulkan keingkaran mereka) dan supaya mereka (yang ingkar itu menuduhmu dengan) berkata: "Engkau telah mempelajarinya (dari orang-orang lain) ", dan supaya kami menerangkan (Al-Quran) itu kepada orang-orang yang (mahu) mengetahui.


Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah memberikan bukti-bukti kebenaran secara berulang-ulang di dalam ayat-ayat Nya untuk memberitahu tentang sesuatu perkara yang penting. Dengan gaya bahasa yang beraneka ragam dengan maksud supaya dapat memberikan keyakinan yang penuh kepada sekalian manusia. Dan untuk menghilangkan keraguan mereka kepada keesaan Allah.  Berbagai-bagai cara dan berbagai-bagai ayat telah diberikan supaya mereka dapat mengenali Allah.


Sebab itulah apabila kita mengkaji Qur’an, kita akan melihat bagaimana ada ayat-ayat yang hampir serupa. Ada ayat-ayat yang memperkatakan perkara yang sama yang diulang-ulang penerangannya. Ayat-ayat itu hampir serupa, tapi tidak sama kerana penekanan yang berbeza pada ayat-ayat itu. Allah menerangkan sesuatu perkara itu dari sudut berbeza.


Akan tetapi kaum Musyrikin Mekah ini telah mendakwa yang Nabi mendapat semua maklumat itu dari kitab-kitab agama Yahudi dan Nasrani. Iaitu mereka kata baginda belajar ilmu-ilmu itu dari ahli kitab dan mempersembahkannya kepada penduduk Mekah sebagai Quran. Maknanya, mereka tidak mahu menerima yang Nabi mendapat wahyu.
Mereka kata begitu kerana apa yang Nabi bawa itu berlainan dengan pemahaman syirik mereka yang mereka telah pegang selama hari ini.


Sebelum ini, Allah telah memberitahu kita bahawa Allah telah ‘tasrif’ ayat-ayat Quran. Iaitu ayat-ayat Quran ada yang berulang-ulang dalam berbagai-bagai cara. Tujuannya adalah untuk memberi penjelasan kepada manusia. Tapi salah satu kesannya adalah: musyrikin Mekah mendakwa yang Nabi telah belajar dari ahli Kitab. Antaranya, mereka kata baginda belajar dari hamba-hamba dari bangsa Rom yang ada di Mekah. Mereka kata oleh kerana baginda belajar dari ramai orang, sebab itulah ayat Quran itu sekejap begini, sekejap begitu. Itulah salah faham mereka. Dari sini, tahulah kita bahawa musyrikin Mekah tidak dapat menerima wahyu yang dibawa oleh Nabi. Hati mereka memang tidak mahu terima dan kerana itu, mereka akan memberi berbagai-bagai alasan.


Namun demikian kesan daripada ‘tasrif’ tadi, iaiatu kesan dari Allah mengulang-ulang ayat dari berbagai-bagai cara, orang-orang mukmin akan lebih memahami maksud yang hendak disampaikan oleh Allah. Menjadikan pemahaman itu lebih mantap dan mendalam serta akan lebih memberi keinsafan kepada kaum mukmin.


Surah Al An’am Ayat 106
Ikutlah apa yang telah diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.


Nabi Muhammad disuruh dalam ayat ini untuk mengikut sahaja apa yang telah diwahyukan kepada baginda. Dan jangan ambil kisah dengan pandangan musyrikin Mekah itu, yang pasti baginda kena ikut sahaja Quran itu.


Allah ialah Tuhan yang mencipta, memelihara, memberi rezeki dan tempat bergantung. Tiada yang lain selain Allah. Oleh kerana itu, haruslah mengabaikan yang lain, jangan menghiraukan, jangan terpengaruh sedikit pun terhadap sikap dan pendapat-pendapat mereka orang-orang musyrikin kerna pendapat mereka hanyalah diibaratkan rabaan orang yang buta, pekak dan bodoh.


Tidak ada tuhan yang layak disembah, melaikan Allah sahaja. Kita sebagai hambaNya jangan buat perkara syirik yang akan merugikan kita. Belajarlah apa maksud syahadah yang kita sebut setiap hari itu. Masyarakat kita senang sahaja sebut dua kalimah syahadah tapi mereka tidak faham apa yang mereka sebut. Sebab itu, mereka sebut syahadah, tapi dalam masa yang sama, mereka buat juga perkara syirik.


“....berpalinglah dari orang-orang musyrik…”
Ayat ini bermaksud: Allah menyuruh baginda nabi memaafkan mereka orang-orang musyrik itu, lupakan apa yang mereka lakukan dan katakan. Surah ini diturunkan di hujung-hujung waktu baginda di Mekah. Waktu itu mereka sedang kuat menentang baginda. Abu Talib sudah tiada untuk membela baginda. Baginda pun telah pergi mencuba dakwah di Taif dan di situ pun baginda tidak mendapat sokongan. Jadi, ada banyak tentangan yang diberikan kepada baginda. Tentunya ianya amat menyusahkan kepada Nabi dan sahabat. Allah beri pujukan dan nasihat kepada mereka untuk melupakan tentangan mereka itu.


Keduanya, ia bermaksud, biarkan mereka sehinggalah Allah akan memberikan pertolongan. Allah tidak biarkan Nabi dan sahabat begitu sahaja. Pertolongan akan tiba tidak lama lagi. Dan ayat ini juga bermaksud tinggalkan mereka dan jangan campur dengan perbuatan mereka. Jangan ikut mereka buat syirik.


Surah Al An’am Ayat 107


Dan kalau Allah menghendaki, nescaya mereka tidak mempersekutukanNya; dan Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka, dan engkau pula bukanlah wakil yang menguruskan hal-hal mereka (kerana semuanya itu terserah kepada Allah semata-mata). “


Allah boleh sahaja menjadikan semua mahklukNya beriman dan tidak melakukan syirik. Allah boleh jadikan semua makhluk taat sahaja kepadaNya. Tetapi Allah tidak mahu berbuat begitu kerana ianya berlawanan dengan ketentuan yang Allah telah tetapkan iaitu sunnatullah. Bukan begitu cara Allah. Allah beri kebebasan kepada makhlukNya memilih jalan mana yang mereka hendak.


Orang Islam waktu zaman Nabi berfikir bahawa mungkin kerana orang-orang Musyrik itu tidak ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta, sebab itu mereka tidak beriman. Dan mereka rasa kalaulah ditunjukkan dengan mukjizat yang mereka pinta itu, mungkin mereka akan beriman. Allah nak kata, tidak begitu caranya. Kalau Allah nak beri mereka semuanya beriman, Allah boleh buat. Allah mampu nak buat. Allah boleh tunjukkan dengan segala mukjizat sampaikan mereka tidak berani nak lawan lagi. Tapi Allah tidak mahu begitu.


Kalau mereka nak buat syirik, Allah biarkan. Ini bukanlah bermaksud Allah redha atau terima perbuatan syirik itu. Tetapi Allah telah memberikan manusia dengan kebebasan untuk memilih jalan mana yang mereka kehendak. Allah tidak memaksa manusia untuk beriman kepadanya. Kalau mereka memilih jalan untuk melakukan syirik, mereka boleh buat, tapi mereka akan dibalas dengan keburukan atas kesyirikan yang mereka lakukan. Mereka tidak akan dibiarkan begitu sahaja.


Umpamanya, di dunia ini, selama kita hidup,  Allah telah memberikan segala keperluan hidup kita, oksigen, makanan, pakaian, masa dan sebagainya. Tapi di samping itu Allah suruh kita gunakan segala nikmat itu untuk kebaikan. Allah suruh kita ikut suruhanNya dan tinggalkan laranganNya. Allah beri kebebasan untuk kita gunakan segala nikmat itu. Dan kalau kita salah gunakan segala nikmat itu, adakah salah kalau Allah hukum kita nanti?


“....Kami tidak menjadikan engkau (wahai Muhammad) penjaga dan pengawal mereka,;..”
Bukanlah tugas Nabi Muhammad dan bukanlah juga tugas kita untuk mengawasi apa yang orang-orang lain kata dan berbuat. Tugas Nabi Muhammad dan tugas kita adalah hanya untuk menyampaikan dakwah sahaja kepada mereka. Bukan untuk awasi mereka. Kalau kita nak awasi pun, kita tidak akan mampu untuk menjaga dan memelihara manusia daripada melakukan perbuatan yang salah. Kalau kita cuba buat begitu maka kita akan sentiasa gagal. Macam anak kita, kalau depan mata kita, bolehlah kita marah mereka kalau buat salah. Tapi kalau belakang kita?


Kita sebagai manusia tidak mampu untuk mengawasi perbuatan orang lain dan percakapan mereka. Tetapi Allah mampu untuk mengawasi dan ingatlah bahawa Allah akan membalas dari setiap perbuatan kita dan percakapan kita.


Ini bermaksud kita tidak bertanggungjawab untuk memaksa orang lain beriman. Kita hanyalah sebagai pemberi ingatan sahaja. Tidak ada paksaan dalam Islam. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa pun untuk beriman, walaupun anak-anak kita sendiri pun. Kerana iman itu kena datang dari hati mereka sendiri.




Surah Al An’am Ayat 108


Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.  ‘


Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Islam. Mereka dulunya juga orang-orang musyrik tetapi mereka telah beriman. Mereka telah nampak kebenaran Islam. Mereka tentunya sakit hati melihat kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang masih lagi melakukan perbuatan syirik. Mereka tahu kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik itu kerana mereka sendiri dulu pun berbuat benda yang sama juga.


Dalam ayat ini orang Islam dilarang untuk mengejek dan mengutuk sembahan-sembahan puak musyrik. Ianya mungkin dalam bentuk berhala mereka, matahari, bulan, bintang, Nabi, malaikat, wali-wali dan sebagainya. Kita dilarang dari berbuat begitu walaupun sembahan-sembahan mereka itu bukanlah tuhan yang sebenarnya. Kita harus berbuat baik dan menganggap orang itu sebagai saudara yang masih sesat yang harus dipimpin ke jalan yang benar.


Ayat ini membawa dua larangan: Larangan pertama adalah jangan keji dan kutuk ‘sembahan-sembahan’ orang musyrik; Larangan yang kedua adalah jangan mengutuk dan mengeji ‘orang-orang yang menyembah’ itu.


Dunia ini tidak pernah sunyi dari pertentangan antara hak dan batil. Ada saja pertentangan antara pihak yang benar dan pihak yang salah. Kedua-dua pihak ini ada ‘senjata’nya masing-masing. Puak yang hak akan menggunakan kebenaran dan hujah-hujah yang sahih untuk menyokong dakwaan mereka. Manakala pihak yang batil akan menggunakan hujah yang kosong dan juga kata-kata yang kasar. Oleh itu kedua-dua pihak akan menggunakan senjata masing-masing. Selagi kita dipihak yang benar, kita hendaklah menggunakan dalil-dalil yang sah sebagai hujah kita. Yang menggunakan kata-kata kesat hanyalah mereka yang tidak mempunyai dalil. Apabila mereka kehabisan hujah, mereka akan mula menggunakan kata-kata keji kepada lawan mereka. Oleh itu, jikalau kita pun menggunakan kata-kata yang kesat, bermakna kita pun tidak ada dalil.


Kenapakah kita dilarang dari berbuat begitu?
Kita dilarang dari mengeji sembahan mereka kerana kalau kita berbuat begitu, mereka akan balas dengan mengejek dan memaki-maki Allah. Dan disebabkan oleh kita, Allah yang kena keji dan maki. Itulah yang terjadi kalau kita melakukan sesuatu tanpa memikirkan kesannya.


Mereka akan keji Tuhan kita kerana mereka rasa bermusuh dengan kita. Mereka akan maki Allah kerana mereka marah kepada kita. Yang mereka marah adalah kita, tapi yang mereka akan keji adalah Allah. Mereka buat begitu tanpa mereka kenal siapa Allah dan tanpa mereka mengetahui apakah balasan dari perbuatan mereka itu. Mengeji Allah adalah satu dosa yang amat besar. Tapi mereka tak tahu kerana mereka tak kenal Allah.


Mereka berkata begitu kerana mereka tidak ada ilmu pengetahuan. Apa yang mereka lakukan adalah daripada emosi mereka sahaja. Bila kita kutuk mereka atau sembahan-sembahan mereka, selalunya mereka akan cuba mempertahankan sembahan-sembahan mereka itu.


Sebagai contoh lihatlah apa yang terjadi di dalam perlawanan sukan antara negara. Orang-orang yang dulunya tidak berapa sayang kepada negara tiba-tiba akan mengebarkan bendera negara mereka dan rasa amat sayang kepada negara. Itu adalah kerana mereka sedang berlawan dengan pasukan daripada negara lain. Tiba-tiba sahaja naik semangat kenegaraan mereka. Begitulah juga jikalau kita kutuk sembahan mereka. Tiba-tiba mereka akan rasa hendak mempertahankan sembahan mereka dan semakin sayang kepada sembahan mereka. Padahal, asalnya mereka bukan sayang sangat pun sembahan mereka itu. Ini mengajar kita, kalau perbuatan kita itu akan lebih membawa kepada keburukan, maka jangan kita lakukan. Kelak ianya boleh mengakibatkan kemusnahan umat Islam.


Ayat ini juga mengajar kita supaya sentiasa bersabar dan untuk tidak menyakitkan hati orang lain. Mungkin apa yang mereka lakukan adalah satu kesalahan yang besar, tapi janganlah kita berkata-kata kepada mereka dengan cara yang boleh menyakitkan hati mereka. Kita kena menggunakan cara yang berhemah. Kita boleh sahaja tegur mereka untuk memperbaiki mereka, tetapi hendaklah dengan kata-kata yang lembut dan berhemah.


Sesungguhnya samada kita mahu atau tidak, kita semua akan dikembalikan kepada Allah. Semasa di dunia, orang musyrik itu nampak apa yang mereka lakukan itu adalah benar. Tetapi di akhirat nanti, mereka akan nampak apakah kebenaran itu dan bagaimana kesalahan yang mereka telah lakukan. Apabila di sana, barulah mereka akan menyesal atas amalan syirik mereka semasa di dunia. Tetapi penyesalan waktu itu tidak berguna lagi.


Surah Al An’am Ayat 109
Dan mereka pula bersumpah dengan nama Allah, dengan menegaskan sumpah mereka bersungguh-sungguh, bahawa sesungguhnya jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat (sebagaimana yang mereka minta itu), tentulah mereka akan beriman kepadanya. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bahawa soal mendatangkan mukjizat-mukjizat itu hanyalah Allah yang menentukannya, dan kamu tidak menyedari (wahai orang-orang Islam), bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
Allah swt. menjelaskan bahawa orang-orang musyrikin yang bersikap degil lagi keras kepala ini, mereka telah  bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan bahwa seandainya Nabi saw. dapat mendatangkan mukjizat seperti yang mereka harapkan, pasti mereka akan percaya bahwa ayat-ayat yang diterima Nabi saw itu benar-benar datang dari Allah dan mereka akan mengakui bahwa Muhammad saw. adalah utusan Allah.
Tujuan mereka bersumpah dengan nama Allah itu sebenarnya hanyalah untuk berlagak, untuk pemanis-pemanis kata dan untuk menyedapkan hati kepada orang yang diberikan janji, iaitu suatu cara yang biasa dilakukan oleh sesetengah pihak sebagai cara untuk berdiplomasi. Cara ini memang selalu digunakan baik pada zaman dahulu mahupun pada zaman moden ini. Tetapi hakikat yang sebenarnya, mereka ini tetap tidak akan beriman walaupun mereka diberikan dengan mukjizat-mukjizat itu. Allah tahu apa yang dalam hati mereka.


Allah menyuruh Nabi memberitahukan kpeada mereka semua bahawa sesungguhnya tanda-tanda Allah yang berupa mukjizat itu, hanya Allah saja yang berkuasa mengadakannya. Dan hanya Allah saja yang berkuasa untuk diberikan kepada siapa-siapa yang disukaiNya. Segala-galanya bergantung kepada Allah. Nabi Muhammad tidak berkuasa malah tidak berupaya untuk mengadakan mukjizat tersebut.
Kita kena faham bahawa mukjizat yang diberikan kepada semua Nabi itu adalah anugerah. Bukan mereka boleh suka-suka nak buat. Sebagai contoh, bukanlah Nabi Musa boleh gunakan tongkat baginda sesuka hati untuk membelah laut. Hanya apabila Allah suruh ketuk, barulah terjadi. Kalau baginda ketuk sendiri, ianya tidak akan jadi apa-apa.
“...bahawa apabila mukjizat-mukjizat (yang mereka minta) itu datang, mereka juga tidak akan beriman.
Allah hendak beritahu kepada orang Islam bahawa walaupun mukjizat-mukjizat itu ditunjukkan kepada orang-orang musyrik itu, mereka masih tidak akan beriman. Mungkin ada orang-orang Islam yang berpandangan bahawa jikalau ditunjukkan segala mukjizat yang mereka minta itu, mungkin mereka akan beriman. Tetapi Allah beritahu kepada kita bahawa mereka tidak akan beriman.
Allah tahu isi hati mereka. Permintaan dan sumpah mereka itu bukanlah bermakna yang mereka hendak beriman. Hati mereka sebenarnya tidak mahu beriman akan tetapi mereka gunakan alasan mukjizat itu kerana hendak mempermain-mainkan Nabi Muhammad sahaja.
Orang yang meletakkan syarat untuk beriman, mereka tidak akan beriman. Mukjizat-mukjizat dan tanda-tanda kebesaran Allah yang mereka minta itu sebenarnya sudah banyak kelihatan di alam ini. Mereka sahaja yang tidak mahu membuka hati mereka untuk melihatnya. Itu adalah kerana hati dan mata mereka telah dipalingkan dari nampak tanda-tanda itu.


Surah Al An’amAyat 110
“Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung. “
Allah bagitahu kepada orang-orang mukmin bahwa mereka tidak mengetahui bahwa Allah swt. berkuasa untuk memalingkan hati dan penglihatan orang-orang musyrikin. Maka sebagaimana mereka tidak beriman sebelum mereka meminta mukjizat itu, begitu jugalah mereka tidak mahu beriman sesudah datangnya mukjizat, kerana hati mereka telah dipalingkan dari kebenaran. Allah telah palingkan hati mereka dari merasai kebenaran. Hati mereka langsung tidak tersentuh dengan kebenaran yang ada di depan mata mereka.
Bukan saja hati malah Allah juga boleh memalingkan penglihatan mereka. Maksud penglihatan di sini adalah pemahaman mereka terhadap ayat-ayat Allah. Kita beri ayat Quran sebagai hujah kepada mereka tapi mereka tidak memahaminya.Apabila hati dan penglihatan mereka dipalingkan, ia bermaksud mereka akan dihalang untuk beriman. Walaupun mereka melihat tanda-tanda Allah pada alam, tetapi mereka tidak dapat melihatnya dan tidak dapat merasanya di dalam hati mereka.
Tetapi kenapakah Allah buat begitu kepada mereka?
“...mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya”
Hati dan penglihatan mereka telah ditutup daripada beriman kerana mereka tidak beriman apabila mukjizat telah ditunjukkan kepada mereka pada kali pertama.
Ini bermaksud musyrikin Mekah pernah ditunjukkan dengan mukjizat sebelum itu. Mereka selalu meminta diberikan mukjizat kononnya supaya mereka beriman. Tapi, mereka sebenarnya telah pernah ditunjuk dengan mukjizat dah pun. Apakah mukjizat itu? Ianya merujuk kepada peristiwa pembelahan bulan. Apabila pembelahan bulan ditunjukkan kepada mereka, mereka kata itu adalah sihir Nabi Muhammad. Mereka tidak mahu beriman juga rupanya.
Ini bermakna, apabila seseorang itu tidak mengambil peluang yang Allah telah berikan, mereka tidak diberi dengan peluang itu lagi. Orang yang degil tidak akan mendapat peluang.
Ayat ini merupakan bukti atau dalil bahwasanya Allah itu memberi petunjuk kpeada sesiapa yang disukaiNya dan menyesatkan pula sesiapa yang disukaiNya. dan bahwasanya hati dan pemandangan manusia itu adalah di dalam kekuasaan dan kawalanNya. Allah bebas memperlakukannya, kalau suka boleh diluruskanNya, dan kalau tak suka boleh dibengkokkanNya. Itulah sebabnya Nabi kerab berdoa dengan doa ini :
ูŠَุง ู…ُู‚َู„ِّุจَ ุงู„ْู‚ُู„ُูˆุจِ ุซَุจِّุชْ ู‚َู„ْุจِูŠ ุนَู„َู‰ ุฏِูŠู†ِูƒَ ูˆَ ุนَู„َู‰ ุทَุงุนَุชِูƒَ
YAA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QALBII 'ALAA DIINIKA WA ‘ALAA THOO'ATHIK.
Maksudnya ; Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu dan di atas ketaatan kepada-Mu.
Ini kerana hati manusia itu selalu berubah-rubah tidak tetap pendirian maka perlulah hatinya ditetapkan dengan memohonkan pertolongan kepada Allah, seperti pengajaran Nabi saw yang terkandung di dalam doa ini.


Orang musyrik yang lebih dahulu telah diketahui oleh Allah bahwa mereka tidak akan mahu beriman, bahkan tetap berdegil dan ingkar serta derhaka pula terhadap Allah. Allah akan membiarkan mereka berlarut-larut di dalam keraguan dan teragak-agak hatinya semasa menghadapi petunjuk dan kebenaran, sehingga mereka itu akan terus hidup di dalam kegelapan.


Allhamdulillah kita sudah selesai Juzuk ke 7 ye, sisters.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.