Wednesday, July 1, 2015

Surah Al Hijr Ayat 71 Hingga 99

Surah Al Hijr Ayat 71 Hingga Ayat 77


“Nabi Lut berkata: "Di sini ada anak-anak perempuanku, kalaulah kamu mahu melakukan (secara halal).” - 71


“Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka.” - 72


“Akhirnya merekapun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. “ - 73


“Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang-balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.” 74


“Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya.” - 75


“Dan sesungguhnya negeri kaum Lut yang telah dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui orang).”- 76


“Sesungguhnya keadaan yang demikian, mengandungi satu tanda yang memberi kesedaran kepada orang-orang yang beriman. “ - 77


Kaum Nabi Lut terus berdegil tidak mengendahkan teguran Nabi Lut. Mereka terus juga ingin menerpa ke arah tetamu Nabi Lut. Sesungguhnya mereka ini sudah hilang perasaan malu mereka. Demi untuk memujuk kaumnya Nabi Lut menawarkan dan menganjurkan anak-anak perempuan yang ada di bandar itu untuk dikahwini sekiranya mereka betul-betul ingin melakukannya. Ini adalah salah satu cara untuk mengelakkan dari mengerjakan perbuatan yang diharamkan oleh Allah.


Di dalam ayat 72 ini Allah telah bersumpah dengan umur Nabi Muhammad saw. Ini adalah sebagai tanda Allah memuliakan Nabi Muhammad saw. Tujuan Allah bersumpah ialah untuk menguatkan lagi firmanNya bahwa kaum Nabi Lut yang gila syahwat itu telah benar-benar kemabukan. Telah benar-benar dimabukkan dengan hawa nafsu mereka sendiri. Mereka hidup di dalam kebingungan kerana mereka tidak lagi dapat membezakan dan mengenal mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang benar dan maan yang salah.


Telah buta mata hati mereka kerana tidak dapat menilai dan memikirkan jalan mana yang slamat dan jalan mana yang sesat, juga mereka sudah tidak peduli kepada bala yang akan menimpa dan seksaan yang sedang mengancam mereka.


Di dalam huru-hara kaum Nabi Lut yang semakin ramai datang berkerumun untuk memasuki rumah Nabi Lut, para malaikat yang menjadi tetamu Nabi Lut tadi telah menarik tangan Nabi Lut yang berada di muka pintu supaya masuk ke dalam rumah. Dan kemudian pintu dikunci. Segala macam usaha dilakukan oleh kaum Nabi Lut supaya dapat masuk ke dalam rumah. Tetapi tidak berhasil. Ini kerana mata mereka telah dibutakan Allah sehingga mereka tidak tentu arah. Ini ada disebutkan di dalam ayat 37 dari Surah Al Qamar.


Kerana sudah tidak berjaya untuk masuk, maka lama kelamaan satu demi satu dari mereka pun bersurai. Apabila suasana sudah lengang, maka para malaikat itu pun menyuruh Nabi Lut supaya bersiap untuk berangkat bersama keluarganya dan juga para mukminin meninggalkan negeri Sodom. Maka berangkatlah mereka.


Di waktu matahari mulai terbit di ufuk timur, maka azab dari Allah pun turun. Negeri Sodom dijadikan tunggang terbalik, dibongkar urat akarnya, seumpama pohon kayu besar yang ditumbangkan angin yang kuat dengan pekikan suara yang kuat lagi dahsyat.


Allah menerangkan bahwa negeri Sodom telah dihancurkan dengan membalikkan permukaannya yang di atas menjadi terbenam ke bawah. Di samping itu dihujani dengan batu kerikil yang tajam yang bercampur dengan belerang yang mengandungi api yang berasal dari api neraka.


Sewaktu hujan batu api menghujani penduduk Negeri Sodom, di saat itu pula isteri Nabi Lut telah terpegun dan melihat kejadian itu dengan tercengang-cengang. Padahal sebelum ini mereka sudah diberitahu agar mereka terus berjalan dan jangan sekali-kali menoleh ke belakang. Sisters, sila rujuk surah Hud ayat 81 hingga 83 di mana ianya telah menerangkan dengan lanjut tentang perihal ini.


Disebabkan kerana isteri Nabi Lut telah melihat kejadian maha dahsyat itu, dan berada di dalam keadaan tercengang-cengang, maka dengan tidak semena-mena tiba-tiba jatuhlah sebuah batu berapi mengenai tepat ke atas kepala isteri Nabi Lut. Maka hancur terbakarlah seluruh badannya sampai hangus menjadi abu. Nabi Lut dan anak-anaknya pun meneruskan perjalanan.


Daripada kisah kaum Nabi Lut ini dapatlah diambil contoh dan tauladan oelh orang-orang yang mahu berfikir, untuk memerhatikan keterangan-keterangan Allah, yang mana orang-orang yang kufur dan derhaka itu akhirnya akan menerima seksaan yang mengerikan.


Negeri Sodom yang ditimpakan malapetaka disebabkan penduduknya yang melakukan pekerjaan keji lagi terkutuk itu terletak di jalan yang menghubungkan Hijaz dan negeri Syam. Para musafir dan pengembala yang lalu lalang melintasi bekas tapak negeri Sodom ini akan daapt melihat bekas-bekas peninggalan yang masih tinggal di sana hingga ke hari ini masih ada lagi.


Orang-orang yang mempunyai kepercayaan terhadap Allah, apabila ia lalu dekat runtuhan negeri yang telah diterbalikkan ini, ia akan dapat merenung dan insaf akan kekuasaan Allah dan akan bertambahlah keimanannya. Allah berupaya meruntuhkan sesebuah negeri kerana dosa penduduknya, dan itu adalah perkara senang saja bagi Allah. Menurunkan hujan api dan berbelerang pun mudah saja bagiNya. Sebuah negeri yang subur dan ramai penghuninya, tetapi dalam sekelip mata saja dapat Allah terbalikkan dan tenggelamkan. Allahu akbar!


Surah Al Hijr Ayat 78 Hingga 79


Dan sebenarnya penduduk kampung "Aikah" adalah orang-orang yang berlaku zalim.” - 78


“Maka Kami membalas kezaliman mereka itu dengan azab yang membinasakan; dan sesungguhnya kedua-duanya itu terletak di jalan yang terang (yang masih dilalui orang).” - 79  


Kini Allah menceritakan tentang penduduk Aikah dari kaum Nabi Syu’aib. Telah dinyatakan sebelum ini bahwa Nabi Syu’aib telah didatangkan keapda dua kaum iaitu kaum Madyan dan Aikah. Hanya Nabi Syu’aib seorang saja yang didatangkan keapda dua kaum.


Penduduk Aikah ini adalah penduduk yang zalim. Kerana kezaliman kaum Aikah ini mereka telah mendapat balasan Allah yang setimpal, sebagaimana telah diterangkan di dalam Surah Hud dan surah-surah yang lain. Allah menimpakan kepada mereka ini panas matahari yang terik selama tujuh hari, sedikit pun tidak redup dan tidak ada awan yang menahan panas atau melindungi mereka untuk berteduh. Kemudian barulah dikirimkan awan maka mereka pun berlindung di bwah awan itu. Tetapi rupa-rupanya dari awan itu Allah kirimkan api yang menyala dan dengan segera telah membakar mereka semuanya. Itulah seksaan hari yang tidak ada perlindungan dan seksaan pada hari yang agung.


Surah Al Hijr Ayat 80 Hingga Ayat 84


“Dan demi sesungguhnya penduduk "Al-Hijr" telah mendustakan Rasul-rasul.” - 80


“Dan Kami telah berikan kepada mereka tanda-tanda (yang membuktikan kebenaran ugama dan Rasul Kami); dalam pada itu, mereka terus juga berpaling (mengingkarinya). “ - 81


“Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dengan keadaan aman (dari sesuatu bahaya). - 82


“Meskipun demikian, mereka dibinasakan juga oleh letusan suara yang menggempakan pada bumi waktu pagi.” - 83


“ Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikit pun. “ - 84


Sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam pengenalan surah Al Hijr terdahulu, maksud Al Hijr ialah batu gunung atau batu besar. Tetapi menjadi nama sebuah negeri tempat kediaman kaum Thamud. Kaum ini terkenal dalam kemahiran memahat batu menjadi bangunan rumah yang tersergam indah.


Kaum Thamud ini telah disebutkan di dalam Alquran sebagai kaum yang juga menderhaka kepada Allah dan rasul-rasulNya. Di dalam ayat 80 disebutkan kata ‘menderhaka rasul-rasul.’. Padahal rasul yang didatangkan untuk kaum Thamud ini adalah Nabi Salih seorang saja. Maksud ayat ini adalah setiap rasul mendatangi kaum mereka semuanya mengajak kepada seruan yang sama iaitu mentauhidkan Allah. Semua rasul membawa ajaran yang sama. Jadi bila kaum Thamud ini menderhakai rasulNya, itu bermakna kaum itu juga menderhakai semua rasul. Ini kerana ajaran yang dibawa oleh semua rasul adalah mentauhidkan Allah.


Kaum Thamud ini memalingkan diri dari menerima peringatan dari rasul mereka adalah disebabkan oleh hidup mereka yang serba mewah dan mereka juga mempunyai kepandaian yang tinggi. Sehingga mereka menjadi sombong dan memandang rendah kepada seruan Nabi Salih.


Kum Thamud memang sangat mahir dalam memahat batu-batu menjadi rumah, hingga batu di gunung-gunung yang keras itu meraka dapat pahat menjadi tempat tinggal yang cantik untuk mereka. Buatannya sangat kukuh, rapi lagi indah. Tidak mudah dimasuki pencuri, atau ditembusi musuh atau dirosakkan oleh angin ribut sehingga mereka tinggal di dalamnya dengan aman sentosa. Ini semua telah pun dinyatakan terdahulu di dalam ayat 74 dari Surah Al A’raf.


Bilamana tempoh untuk membinasakan mereka telah tiba, maka Allah telah tinmpakan ke atas mereka suara gemuruh pada waktu pagi. Suara gemuruh itu berupa letusan halilintar yang dahsyat bunyinya dan gegaran gempa yang menggoncangkan negeri Hijr. Ia menyebabkan kemusnahan penduduknya.


Kejadian itu berlaku pada pagi hari yang keempat, iaitu hari yang dijanjikan oleh Nabi Salih kepada mereka untuk menerima seksaan. Hal ini juga Allah telah nyatakan di dalam surah Hud ayat 65 terdahulu.


Walaupun mereka membina rumah-rumah yang kukuh di lereng-lereng gunung ganang, mengumpulkan harta kekayaan yang banyak dan mempunyai ramai anak pinak, tetapi itu semua tidak ada gunanya bagi mereka apabila mereka telah mati berpakaran ditimpa malapetakan dan menerima seksaan dari Allah.


Terdapat beberapa hadis, Al Bukhari yang diriwayatkan dari Ibnu Umar bahwa Nabi saw telah melalui negeri Hijr dalam perjalanannya ke Tabuk, ditudungnya kepalanya dan dipercepatkan perjalanan baginda seraya berkata keapda sahabat-sahabatnya, “jangan kamu memasuki tempat tinggal orang-orang yang mendapat seksaan itu iaitu penduduk Hijr kecuali kalau kamu berkeadaan menangis. Sekiranya kamu tidak menangis, buat-buatlah menangis, kerana ditakuti kamu akan ditimpa malapetaka sepertimana yang telah menimpa mereka.”


Surah Al Hijr Ayat 85 Hingga 86


“Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu maffkanlah mereka dengan pemaafan yang elok. “ - 85


Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui (akan hal mereka). - 86


Allah menerangkan tentang makhluk-makhluk yang dijadikanNya baik berupa langit dengan segala isinya yang ada di kolong langit itu mahupun yang berupa bumi dengan segala isi penghuninya, semuanya itu tidak diciptakanNya melainkan untuk memperlihatkan akan kebenaran dan menegakkan keadilan serta timbang tara. Dan bukanlah untuk menunjukkan kezaliman dan bentuk penganiayaan.


Adapun malapetaka yang menimpa keapda umat yang mendustakan para Rasul, sebagaimana yang Allah ceritakan kisah mereka di dalam AlQuran ini, bukanlah sekali-kali untuk menandakan kezaliman. Bahkan ianya untuk menunjukkan keadilan dan kebijaksanaan Allah. Begitu juga dengan seksaan yang dikenakan ke atas seseorang itu semasa di akhirat kelak. Ianya juga adalah untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.


Allah juga menyatakan bahwa hari kiamat itu pasti akan datang. Baik kiamat kecil dengan lahirnya seseorang ke dunia dan kemudiannya ia mati, ataupun kiamat kubra, iaitu semua langit dan bumi dan apa yang ada di antaranya pun akan hancur. Ini adalah kerana semua yang Allah jadikan di dalam alam ini ada permulaan, dan pasti ada kesudahannya. Ada masa naik dan ada masa ia turun, ada masa datang dan ada masa ia pergi. Maka dapatlah segala kejadian di sekeliling kita ini ditinjau dengan ukuran yang demikian. Kalau kiranya orang kafir itu tidak mahu percaya kepada kebenaran dan berkeras untuk bertahan pada pendiriannya yang salah, Allah sudah nyatakan di sini bahwa ianya pasti akan ada kesudahan dan kejatuhan kepada sikap mereka.


“......oleh itu maffkanlah mereka dengan pemaafan yang elok.”
Inilah peringatan Allah kepada RasulNya. Memberi maaf dan berlapang dadalah terhadap orang-orang musyrik yang selalu menyakiti baginda. Serulah mereka ke jalan Allah dengan sikap lemah lembut dan dengan cara bijaksana. Jangan lekas marah melihat keras kepala mereka. Mereka bersikap demikian ialah kerana mereka tidak ingat bahwa segala sesuatu itu adalah menunggu saat pengakhiran. Mereka pasti akan kalah. Pendirian mereka pasti akan datang saatnya bilamana ianya sudah tidak dapat dipertahankan lagi. Betapa pun mereka berkeras mulut, namun di hujung perjalanan mereka sudah kelihatan akan sebuah kehancuran.


Sesungguhnya Allah itulah yang menjadikan semua penduduk di bumi ini. Maka Allah lebih mengetahui apa yang dihadapi oleh RasulNya dan juga sekuat mana penentangan dari mereka. Maka berserah sajalah kepada Allah , supaya Allah sendiri yang menghukum mereka. Kerana Allah tahu, bahwa kemaafan yang baik itu lebih utama didahulukan kepada mereka, sehingga nanti datangnya perintah menghunus pedang untuk memerangi mereka.


Surah Al Hijr Ayat 87


“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.” - 87


Allah menyatakan kepada Nabi Muhammad saw bahwa dalm kehebatan perjuangan menegakkan ajaran Allah dan dalam menghadapi tentangan dari kaum baginda sendiri, Nabi Muhammad saw telah diberi bekalan atau senjata rohani oleh Allah iaitu “tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya”. Kata tujuh ‘masani’ ataupun tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya ini adalah merujuk kepada surah Al Fatihah yang terdiri daripada tujuh ayat.


Al Fatihah adalah kandungan tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya di dalam solat pada setiap rakaat. Maka surah ini dibaca tidak kurang dari tujuh belas kali sehari semalaman kalau mengikut perkiraan untuk solat fardhu sahaja. Tidak termasuk solat sunat. Ia juga dipanggil pembuka dari AlQuran, dan juga sebagai Ummul Kitab. Sebab itulah makanya apabila kita mahu mulai membaca AlQuran kita disuruh memulakan dengan bacaan AlFatihah.   


Al Fatihah merupakan sebahagian dari AlQuran walaupun pada hakikatnya ianya adalah satu surah saja di dalam AlQuran. Ini kerana apa yang terkandung di dalam surah ini adalah merangkumi hampir keseluruhan maksud yang terkandung di dalam AlQuran. Segala isi AlQuran itu pada hakikatnya telah pun dihimpunkan di dalam surah Al Fatihah iaitu membawa kepada ajaran Tauhid. Sisters boleh rujuk balik tafsir Surah Al Fatihah yang telah kita tadabbur dahulu.  Maka di dalam menghadapi kewajipan dalam memimpin kaum baginda, Allah telah menyuruh baginda jangan sesekali melupakan Al Fatihah sebagai pendirian hidup.  




Surah Al Hijr Ayat 88 Hingga 90


“Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin). “  88


“Dan katakanlah: "Sesungguhnya aku ini, adalah seorang Rasul pemberi amaran dengan bukti-bukti yang nyata (tentang turunnya azab ke atas orang-orang yang ingkar)". - 89


“(Kami berikan kepadamu Al-Faatihah dan Al-Quran) samalah seperti Kami menurunkan (Kitab-kitab) kepada orang-orang yang membahagi-bahagi. “ - 90


Allah menyuruh baginda Nabi Muhammad saw supaya jangan menghiraukan sangat kekayaan dan kemwahan harta benda dan kekuasaan yang diperolehi oleh puak penentang. Janganlah dipandang semua kesenangan yang diperolehi oleh mereka. Ini kerana Allah telah menganugerahkan mukjizat AlQuran yang mulia kepada Nabi Muhammad saw. Kandungan Alquran ini adalah jauh lebih berharga daripada segala mata benda yang mereka semua perolehi dalam bentuk material.


Oleh itu janganlah hendaknya baginda menumpukan sangat harapan kepada kesenangan dunia yang mana segolongan orang kafir yang kaya dari kaum Yahudi, Nasrani dan musyrikin ada yang sedang menikmati kesenangan tersebut kerana Allah telah mengurniakannya kepada mereka. Selama mana baginda tidak tunduk kepada mereka disebabkan kekayaan dan kemewahan mereka, maka selama itulah pula mereka tidak akan dapat memasukkan pengaruh mereka kepada baginda.


Kebanyakan orang yang lemah imannya, menjadi kendur perjuangannya dek kerana terpengaruh dengan kemewahan dan kesenangan hidup yang ditunjukkan oleh para musuh. Ada yang menjadi rasa rendah diri dan terasa kecil apabila berhadapan dengan mereka yang kaya raya. Si kaya akan merasakan dirinya tinggi dan lebih hebat berbanding si miskin.


Allah melarang baginda nabi Muhammad dari merasakan sedemikian. Allah memerintahkan agar Nabi Muhammad tetap dengan keimanan dan keteguhan dalam menyebarkan seruanNya. Dan apabila mereka tahu yang Nabi Muhammad ini tidak boleh dibeli dengan wang dan harta dan pangkat serta kuasa, maka akhirnya nanti mereka juga akan tunduk kepada Nabi. Dan seandainya mereka masih tetap tidak mahu mengikuti ajaran Nabi, maka biarkanlahlah saja mereka. Biarkan saja mereka dengan dunia mereka yang penuh kesesatan dan kesombongan.


Sebaliknya Nabi disuruh merendahkan diri, menunjukkan kasih dan sayang kepada mereka yang mahu beriman. Tidak peduli samada ia kaya ataupun miskin. Atau apakah ia seorang tuan mahupun hamba sahaya. Ini kerana orang-orang yang telah beriman inilah yang akan bersedia untuk sehidup dan semati dengan Nabi dalam menempuh suka dan duka, ranjau dan onak dalam menyebarkan seruan Allah.


Rasul adalah sebagai pelindung kepada umatnya dengan sayap rahmatnya, terutama umat-umat yang lemah. Hendaklah Nabi hidup di tengah-tengah mereka, merasakan apa yang mereka rasa. Dan inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw, sehingga beliau menganggap sahabat-sahabat yang kaya raya mahupun yang miskin dan kedana, adalah sama saja. tidak ada perbezaan atau dibezakan layanannya oleh baginda nabi.


Di ayat 89 Rasul disuruh menegaskan bahwa baginda wajib menyampaikan ancaman Allah kepada sesiapa yang menentang hukum Allah. Dalam hal ini baginda harus bersikap terus terang. Mengancam dengan terang. Dan ancaman ini pun telah pernah juga baginda disuruh menyampaikannya dengan terus terang kepada orang ramai. Siapakah orang ramai itu? Mereka ialah pembesar-pembesar Quraisy, orang-orang hartawan, yang disegani dan sangat berpengaruh. Merekalah yang dengan keras menentang Rasulullah saw semasa di Mekah. Di antara mereka itu adalah Al Asy bin Wail, Utaibah dan Syaibah yang kedua-duanya anak Rabi’ah, Abu Jahal bin Hisyam, An Nadhr bin Al Haris, Umaiyyah bin Khalaf dan beberapa lagi yang lain.


Surah Al Hijr Ayat 91 Hingga Ayat 98


“(Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian (lalu mereka percaya kepada sebahagian dan menolak sebahagian yang lain).” - 91


“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka (yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak), - 92


“Mengenai apa yang mereka telah lakukan.” - 93


“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” - 94


“Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu, -” - 95


“(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka mereka akan mengetahui kelak (akibatnya). - 96


“Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. “ - 97


“Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.” - 98


Para pembesar Quraisy  ini dengan sombongnya telah membahagi-bahagikan pengaruh di dalam kota Mekah itu. Si fulan menguasai daerah si fulan. Si fulan lain menguasai daerah lain pula. Daerah yang tidak ditentukan bagi mereka masing-masing, mereka bertanggungjawab menghalang sesiapa saja yang hendak datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendengar Al Quran. Terutama orang-orang yang datang dari tempat yang jauh, mereka akan memburuk-burukkan AlQuran di depan orang-orang itu. Mereka kata Alquran adalah ilmu sihir, syair yang dapat memukau orang dan sebagainya.


Orang-orang ini, iaitu pembesar Quraisy ini telah diberikan ancaman secara terus terang oleh RAsulullah saw, bahwa kalau mereka masih terus menerus bersikap menentang dan menghalang seruan Rasulullah begini, kelak mereka akan ditimpa celaka. Pasti celaka. Dan benarlah ancaman itu ditimpakan juga ke atas mereka semasa peperangan Badar.


Setelah kesengsaraan dunia dan kekalahan yang mereka deritai di perang Badar, sampai tewas semuanya, di akhirat kelak mereka juga akan ditanya dan diperiksa darihal apa yang telah mereka kerjakan untuk menentang agama Allah.


Dan kerana itulah Allah menyuruh RasulNya untuk terus meneruslah dalam menyampaikan seruan agama Allah. Jangan peduli tentang hambatan, ejekan dan rintangan dari mereka yang engkar. Ini kerana walau bagaimana bersungguhnya  seruan yang hendak disampaikan oleh Rasul, sekiranya mereka tidak mahu beriman, mereka tetap tidak akan beriman.


Betapa mereka memperolok dan mengejek akan nabi, Allah akan memastikan bahwa semua itu tidak akan memberi kesan pun terhadap perjuangan yang besar dan murni ini. Melahan merekalah yang akan hancur dan binasa akibat dari perbuatan mereka yang sering menyakiti Nabi. Mereka kelak akan tahu sendiri dari sebab mereka menyekutukan Allah dengan yang lain, betapa azab seksa yang akan mereka terima di akhirat esok. Menyekutukan Allah dengan yang lain adalah dosa yang utama dari segala dosa. Sehingga ianya tidak dapat diampuni sekiranya tidak segera bertaubat bersungguh-sungguh.


Kemudian sebagai penawar hati kepada Rasulullah saw, Allah memujuk baginda di dalam ayat 97. Rasulullah dituduh gila, tukang sihir, tukang tenung, dikatakan akan putus keturuanan kerana ketiadaan anak laki-laki, dikatakan sebagai penyebar berita bohong dan sebagainya. Sebagai manusia, sudah pasti Rasulullah ada juga akan merasa sempit dada, sakit hati, hiba hati, kerana ditohmah dan dilemparkan fitnah sedemikian. Malahan di dalam beberapa ayat telah kita ketahui, pernah terlintas di dalam fikiran baginda, lebih baik untuk mati saja, melompat tebing curam. Semuanya itu tidaklah dianggap sebagai kesalahan dari baginda, kerana rasa-rasa yang demikian adalah termasuk dalam lintasan hati manusia. Ini akan pasti berlaku kepada setiap manusia yang mempunyai naluri dan perasaan.


Rasa sedih kehilangan orang tersayang, rasa hiba hati kerana diejek dan diperolok, rasa marah kerana dihina, semuanya itu termasuk dalam perangai semulajadi manusia yang tidak dapat dikikis dan dihilangkan. Cuma akal budi manusia disuruh mengendalikan dirinya, sehingga rasa-rasa sedemikian jangan sampai mendorong untuk bersikap salah laku.


Maka perasaan hati luka, atau sempit dada lantaran celaan itu tidak terlepas dari diketahui Allah. Dan Allah tetap melindungi baginda. Dan memujuk hati baginda. Allah menguatkan jiwa baginda dalam menghadapi perjuangan. Allah ingatkan kepada baginda, “ “Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud.”  sepertimana ayat 98 ini.


Bertasbih memuji Allah, sujud padaNya. Dekati Allah dalam doanya. Asalkan baginda tetap melakukan hubungan rapat dengan Allah, maka tentu tidak akan ada suatu apa pun di dunia ini yang akan dapat menggoncangkan baginda dan mengganggu baginda.


Sisters, ayat ini bukanlah untuk baginda Nabi Muhammad saw saja ye. Ianya juga  untuk kita. Sekiranya kita bersedih hati, kecewa dan berhiba hati akibat suasana sekeliling yang membuatkan kita di dalam kesusahan dan kekecewaan, maka kenanglah ayat ini. Kita disuruh mengingati Allah banyak-banyak, bertasbih memujiNya, bersolat menghadapNya dan memanjat doa kepadaNya. Tidak perlulah kita mewar-warkan kesedihan kita kepada orang lain, ataupun mencurahkannya di fesbuk atau di internet. Cukup sekadar Allah sebagai tempat kita mengadu dan bergantung harap.  


Sepertimana Allah kata kepada Nabi Muhammad yang sekiranya baginda melakukan hubungan rapat dengan Allah, maka tidak akan ada satu pun yang dapat mengganggu gugat baginda, maka begitu jugalah kita. Sekiranya kita selalu bermunajat kepada Allah, mengadu padaNya, bertasbih padaNya, maka in shaa Allah, kita juga akan dilindungi Allah dari semua yang mendukacitakan kita.


Surah Al Hijr Ayat 99


“Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara yang tetap) yakin.”
Apakah maksud yakin di dalam ayat ini? Keterangan yang mahsyur dari ahli-ahli tafsir ialah yakin maksudnya sampai datang maut. Ini kerana maut itu yakin dan pasti akan datang, pasti akan ditermpuhi. Jadi maksud ayat ini adalah biar sampai mati jangan kita lepas dari beribadat. Terus dan terus beribadat sehingga kita mati. Jangan tinggal beribadat kepada Allah.


Dengan demikian jiwa yang lemah akan menjadi kuat. Biarpun banyak penderitaan yang tidak mampu untuk diatasi oleh kita sebagai manusia biasa yang serba kekurangan, namun dengan beribadat kepada Allah, jiwa kita akan menjadi tabah, kerana sandaran kita adalah Allah. Kita mendapat keyakinan bahwa segala yang terjadi ini adlaah atas kehendak Allah, barulah kita akan merasa senang dan redha. Allah tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. Dengan itu kita harus memegang pendirian ini sehingga kita mati.


Bandingan ayat ini, samalah dengan ayat dari Surah Maryam ayat 31 yang bermaksud:
“dan diperintahkanNya kepadaku mengerjakan sembahyang dan mengeluarkan zakat selama aku hidup.”


Menurut sebuah hadis yang dirawikan oleh Ad Dailami dan al Hakim dan lain-lain dari Abu Muslim Al Khaulani, setelah RAsulullah saw menerima wahyu ayat-ayat ini, beliau berkata:
“tidaklah Tuhan mewahyukan kepadaku supaya aku mengumpulkan harta dan supaya aku masuk menjadi salah seorang saudagar, tetapi diwahyukanNya kepadaku supaya engkau bertasbih memuji Tuhan engkau, dan hendaklah engkau termasuk dari orang-orang yang bersujud, dan sembahlah Tuhanmu smapai datang kepadamu yakin.”


Demikianlah wahyu Allah kepada RasulNya yang akan menjadi pegangan dan pedoman di dalam menghadapi kewajipan menegakkan syiar Allah di muka orang-orang yang engkar dan tidak percaya. Pedoman dan pegangan yang diberikan Allah kepada RasulNya ini pulalah yang selalu patut menjadi pegangan kita umat Muhammad saw yang tidak akan padam dalam usaha mencapai cita-cita menegakkan agama Allah di dalam dunia ini. Sampailah datang keyakinan yang sejati… iaitu mati.


Selesailah sudah tadabbur Surah Al Hijr.