Thursday, May 7, 2015

Surah Al An'am ayat 71 Hingga 89

Surah Al An’am Ayat 71


Katakanlah: “Patutkah kita menyeru serta menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi manfaat kepada kita dan tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kita; dan (patutkah) kita dikembalikan undur ke belakang (menjadi kafir musyrik) setelah kita diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan ugama Islam), seperti orang yang telah disesatkan oleh Syaitan-syaitan di bumi (di tempat yang lengang) dalam keadaan bingung, sedang ia pula mempunyai sahabat-sahabat yang mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan berkata kepadanya): “Marilah bersama-sama kami. “Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah sebenar-benar petunjuk, dan kita diperintahkan supaya berserah diri kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.


Allah menyuruh rasulNya mengatakan kepada kaum musyrikin yang telah mengajaknya supaya menganut agama nenek moyang mereka yang sesat itu, adakah patut mereka menyembah selain Allah? sedangkan yang mereka nak sembah itu hanyalah berupa patung tegak tak bergerak? Padahal benda-benda itu tidak dapat menolong mereka untuk mendatangkan manafaat atau sebarang faedah. Dan tidak juga mendatangkan mudharat kepada sesiapa yang tak mahu menyembahnya. Dalam erti kata lain, tidak dapat berbuat apa-apa.


Allah juga menyuruh rasulNya berkata kepada mereka, adakah patut mereka berbalik menjadi syirik atau dengan jelasnya murtad, sedangkan Allah sudahpun memberikan mereka petunjuk yang baik dengan kedatangan agama Islam yang berdasarkan tauhid?


Orang yang undur ke belakang dengan berbalik kepada syirik atau murtad itu adalah umpama seperti orang yang kena rasuk syaitan. Atau diganggu jin, hantu, jembalang atau puaka. Kerana berada di dalam kebingungan tak tentu arah ke mana harus dituju.


Selepas itu Allah bagi pula dua jalan dalam bentuk kawan-kawan kepada orang yang undur ke belakang tadi. Kawan yang pertama ialah orang yang mengajak kepada penyembahan berhala, kekufuran yang tidak mendatangkan manafaat sebaliknya mendatangkan mudharat kepada orang yang undur tersebut. Manakala kawan yang kedua pula ialah orang yang mengajak kembali ke jalan yang lurus, jalan yang mentauhidkan Allah.


Maka orang tersebut menjadi bingung, tidak tahu ke pihak mana ia harus ikut. Kalau dia ikut syaitan, maka sesatlah ia. Dan kalau dia ikut ajakan teman ke jalan lurus, maka selamatlah ia.


Ayat ini mengingatkan kita supaya jangan tinggalkan kawan-kawan kita walaupun mereka sudah lama tinggalkan agama. Walaupun sudah lama tidak kisah tentang agama. Kita kena cari mereka dan ingatkan mereka.


Petunjuk di dalam ayat ini adalah merujuk kepada ayat-ayat Allah dan hujah-hujah yang kuat serta keterangan yang dapat diterima akal. Allah lah petunjuk yang benar yang tidak didatangi kepalsuan, samada di masa lampau, masa sekarang atau pun masa akan datang.  Kita disuruh mengikuti perintah Allah, Tuhan sekalian alam, agar kita terselamat. Bukannya mengikuti ajaran nenek moyang secara membabi buta sahaja.

Surah Al An’am Ayat 72


Dan (diperintahkan): Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang dan bertaqwa kepadaNya, dan Dia lah Tuhan yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan (pada hari akhirat kelak).


Selain dari kita disuruh patuh kepada Allah agar selamat, kita juga disuruh mendirikan sembahyang dan bertakwa kepada Allah. Maknanya kita disuruh beramal selain dari kita mengaku beriman. Bukan sekadar dengan mengaku saja. kena tunjukkan amal kita tanda kita beriman. Dan amalan yang paling penting adalah ‘mendirikan’ sembahyang. Maksud ‘mendirikan’ sembahyang bermaksud, sembahyang itu bukan hanya perbuatan takbiratul ihram sampai kepada salam sahaja. Ada benda-benda lain lagi yang perlu dipenuhi.


‘Mendirikan’ juga bermaksud kita kena mementingkan solat itu dari segala perbuatan lain. Bayangkan kalau solat itu ‘tiang rumah’ kita. Kita pun selalu dengar yang solat itu adalah tiang agama. Kalau tiang rumah, ianya adalah perkara pertama yang perlu dibina di sesebuah rumah. Iaitu sebelum dimasukkan perabot dan benda lain lagi dalam rumah itu. Kalau kita beli perabot, kita kena susun perabot itu dengan mengambilkira tiang rumah itu. Kerana kita tidak boleh nak ubah tiang. Katakanlah kita nak letak kerusi di tengah rumah, tapi tiang dah ada di tengah rumah. Tak boleh kita nak ubah tiang itu, kerusi itu yang kena mengalah.


Maka, begitu juga dengan solat. Solat itu telah ditetapkan waktunya. Perkara lain dalam kehidupan kita yang kena mengalah dengan solat. Tidak boleh solat yang digenjak-genjak kerana nak jalankan keperluan hidup kita. Sebagai contoh, kerja, appointment, makan minum, bersukan dan sebagainya. Semua itu boleh dibuat, tapi solat mengambil keutamaan. Islam telah memberikan kelapangan dalam banyak hal berkenaan dengan waktu solat itu, maka hendaklah kita menggunakan kemudahan yang telah diberikan dalam agama itu.


Bertaqwa bermaksud menjaga hukum Allah. Jaga dari buat syirik. Dalam setiap pekerjaan kita, kita kena tahu, apakah hukum Allah dalam perkara itu. Supaya kita berhati-hati dan tidaklah kita menjalani kehidupan kita ikut suka kita sahaja. Kena fikirkan hukum agama dalam setiap hal.


Sentiasa kita diingatkan dalam ayat-ayat Quran yang kita akan dihimpunkan dan akan dibicarakan di hadapan Allah nanti. Supaya kita sentiasa beringat yang kita akan mati dan kita akan melalui perbicaraan Mahsyar yang amat menggerunkan.


Surah Al An’am Ayat 73


Dan Dia lah yang menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar, dan (Dia lah juga) pada masa (hendak menjadikan sesuatu) berfirman: “Jadilah”, lalu terjadilah ia. FirmanNya itu adalah benar. Dan bagiNyalah kuasa pemerintahan pada hari ditiupkan sangkakala. Ia yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, dan Dia lah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.


Allah mencipta alam ini untuk menzahirkan ‘kebenaran’. ‘Kebenaran’ itu bermaksud bahawa Allah lah yang mencipta semua sekali. Oleh itu, kenalah kita sentiasa memuji Allah sahaja. Beribadah kepada Dia sahaja. Dan berdoa kepada Dia sahaja.


Hari’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘hari kebangkitan’. Pada hari itu Allah akan memberi arahan kepada semua makhluk untuk bangun dan semuanya akan bangun. Dan dari waktu itu bermulalah hari kebangkitan. Apabila Allah memberikan arahan untuk memulakan hari Kiamat, ianya akan pasti berlaku kerana perkataan Allah adalah perkataan yang haq. Tidak ada ragu-ragu lagi bahawa ianya pasti akan berlaku. Tidak ada sesiapa pun yang boleh menolak arahan Allah itu.


“..dan di tangan-Nya-lah segala kekuasaan..”
Segala kehendak Allah akan dipenuhi kerana Dialah yang memiliki segala kerajaan dan segala kekuasaan. al-Mulk bermaksud kerajaan. Dalam dunia, ada manusia yang menguasai kerajaan, satu-satu negara, negeri dan sebagainya. Tapi kekuasaan mereka itu tidaklah mutlak. Kekuasaan Allah lah yang mutlaq. Dan ianya akan terzahir di akhirat kelak. Waktu itu, semua makhluk akan mengakui kekuasaan Allah tanpa syak lagi.


Bila hari kiamat telah berlaku, maka akan jelaslah bahawa kekuasaan hanya berada di tangan Allah sahaja. Kalau dalam dunia sekarang, ada manusia yang rasa mereka ada kuasa sedikit. Contohnya seorang raja atau pemimpin sangka mereka ada kuasa tetapi pada hari Kiamat kelak mereka akan tahu bahawa mereka langsung tidak ada kuasa pada waktu itu. Hanya Allah sahaja yang berkuasa pada hari itu.


Dari segi bahasa, potongan ayat يُنفَخُ فِي الصُّورِ ini bukanlah bermaksud ‘sangkakala ditiup’. Lebih tepat lagi, ia bermaksud ‘sesuatu akan ditiup ke dalam sangkakala’. Kita tidak tahu apakah yang akan ditiup itu. Tidak ada dalil yang sampai kepada kita untuk menceritakannya. Maka, kita terima dengan seadanya.
Terdapat hikmah dalam setiap perbuatan dan keputusan Allah termasuk di dalam keputusan Allah untuk menjadikan hari kebangkitan. Antara hikmahnya adalah setiap makhluk akan dibalas atas perbuatan mereka selama mereka berada di dunia. Segala keadilan akan diberikan pada hari itu.


Allah maha tahu tentang segala-galanya dan tentang setiap makhlukNya. Maka apabila Allah memberi keputusan kepada semua makhluk pada hari kiamat nanti, ianya adalah keputusan yang adil. Tidaklah Allah akan hukum makhluk atas perkara yang mereka tidak lakukan.

Surah Al An’am Ayat 74


“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: "Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata".


Allah menurunkan ayat ini yang mengandungi kisah Nabi Ibrahim as. Tujuannya ialah supaya rasulNya Nabi Muhammad saw mengingatkan kepada orang-oran musyrik penyembah berhala, hendaklah mereka meninggalkan perbuatan penyembahan itu. Tetapi mereka ini degil, tidak mahu menurut kata. Malahan kononnya mereka menganut agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as dan menyanjung tinggi dan memuliakannya. Adakah mereka tahu pendirian Nabi Ibrahim di ketika itu? Kisahnya dibawakan di sini untuk memberitahu kepada mereka bahawasanya Nabi Ibrahim itu sebenarnya telah mencela perbuatan bapanya dan kaumnya yang menyembah berhala, iaitu perbuatan yang sama sesatnya dengan perbuatan orang-orang musyrik itu.


Dalam ayat ini diceritakan Nabi Ibrahim telah berkata, patutkah mereka semua itu jadikan berhala itu sebagai Tuhan selain Allah yang menjadikan manusia dan memberinya rezeki? kata-kata kepada bapanya itu adalah kata-kata yang bersopan santun tiada mengandungi kata-kata kesat atau pun kasar walaupun mengandungi erti celaan terhadap perbuatan bapanya sebagai penyembah berhala.


⛵ Terdapat khilaf dikalangan ulama tafsir samada ‘Aazar’ adalah nama sebenar bapa Nabi Ibrahim atau hanya laqab (gelaran) sahaja. Kalau nama ‘Aazar’ adalah laqab sahaja, maka ada nama bapa Ibrahim yang lain. Tapi kita tidak tahu dengan pasti kerana tidak disebut lagi dalam ayat lain dalam Quran.


⛵Terdapat juga khilaf samada Aazar itu adalah bapa Nabi Ibrahim, atau pakciknya atau datuknya. Ini kerana ada pendapat yang tidak mahu menerima bahawa bapa seorang Nabi adalah seorang yang jahat. Jadi kerana itulah ada pendapat yang mengatakan Aazar itu bukanlah bapa sebenar Nabi Ibrahim. Tapi kita terima apa yang Allah sebutkan dalam Quran sendiri, iaitu Aazar adalah nama ‘bapa’ Nabi Ibrahim.


⛵ Selalunya Quran tidak menyebut nama seseorang melainkan ianya adalah satu maklumat yang penting. Dalam sejarah Bani Israil, mereka ada nama lain bagi bapa Nabi Ibrahim a.s. Jadi apabila Allah menyebut nama beliau dengan spesifik, ianya seperti Allah hendak memperbetulkan maklumat salah yang disampaikan oleh bangsa Yahudi yang memang terkenal suka mengubah Kitab Taurat. Perangai mereka amat teruk sekali sampaikan sejarah Nabi mereka pun mereka nak ubah.


Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?"
Yang dimaksudkan dengan berhala ialah patung-patung yang berupa manusia atau lainnnya, diperbuat daripada kayu, batu, besi, emas, perak dan sebagainya. Lalu dipuja disembah sebagai Tuhan.


⛵ Pertanyaan Nabi Ibrahim kepada ayahnya itu adalah dalam bentuk kehairanan. Macam kita hairan kalau seseorang sedang buat sesuatu yang bodoh. Nabi Ibrahim hairan kenapa mereka bersungguh-sungguh menyembah berhala-berhala itu sedangkan berhala itu mereka sendiri yang buat? Mereka buat, kemudian mereka sembah. Ini tidak masuk akal langsung. Ini mengajar kita bahawa salah satu cara dakwah adalah dengan menggunakan soalan yang menyebabkan mereka berfikir. Nabi Ibrahim banyak menggunakan soalan dalam dakwahnya.


⛵ Bukan bapa Nabi Ibrahim sahaja yang menyembah berhala, tapi kaumnya juga. Nabi Ibrahim hidup di dalam masyarakat yang mengamalkan syirik terang-terangan.


⛵ Mereka dalam kesesatan yang nyata. Ayat ini dibacakan kepada penduduk Mekah yang juga memuja dan menyembah berhala. Sudah 13 tahun mereka diberikan dakwah oleh Nabi. Sekarang kisah Nabi Ibrahim dibawakan kepada mereka sebagai satu contoh kebodohan yang dilakukan oleh masyarakat yang dahulu. Semoga mereka boleh mendapat pengajaran dari kaum itu.

Surah Al An’am Ayat 75


Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.


Allah menyatakan, “sebagaimana Kami telah memperlihatkan kepada Ibrahim akan agama yang baik lagi benar, dan memperlihatkan pula akan agama kaumnya yang sesat tersebab mereka menyembah berhala, demkian pulalah Kami memperlihatkan kepadanya akan kebesaran langit dan bumi.”


Adapun maksud kebesaran langit dan bumi ialah tanda-tanda kerajaan Allah dan kekayaanNya. Mengikut setengah riwayat, Nabi Ibrahim telah beridir di atas sebuah bukit, dan diperlihatkan oleh Allah akan rahsia langit sehingga dapat melihat arasy, kursi dan benda-benda ajaib lainnya di langit, malah tempat tinggalnya di syurga pun dapat dilihatnya. Begitu pula telah diperlihatkan benda-benda yang ajaib hingga ke dasar bumi.


Kata Qatadah, kebesaran langit ialah matahari, bulan dan bintang. Kebesaran bumi ialah gunung ganang, pohon-pohon dan lautan.


Para ulama telah bertelingkah tentang penglihatan Nabi Ibrahim itu. Ada yang mengatakan melihat dengan menggunakan mata kasar, ada yang mengatakan melihat dengan menggunakan mata hati. Jelasnya merenungkan kejadian alam itu dengan segenap panca inderanya dan akal yang dikurniakan oleh Allah kepadanya.


Pemandangan yang diperlihatkan kepada Nabi Ibrahim itu tujuannya supaya ia tahu akan perjalanan alam dan peraturan Allah terhadap makhlukNya, sehingga kemudiannya yakinlah ia akan adanya kekuasaan Allah dan jadilah ia seorang yang yakin.


Surah Al An;am Ayat 76


Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: "Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang". (76)


Sebagaimana Allah telah menunjukkan alam ini dan pemahaman tentang alam itu kepada baginda, Nabi Ibrahim telah panggil kaumnya ramai-ramai. Baginda henddak menggunakan cara yang sama untuk berdakwah kepada kaumnya. Iaitu  dengan melihat kepada alam ini dan memikirkan apakah maksudnya. Baginda hendak menunjukkan kepada mereka bahawa apa yang mereka sembah itu salah. Bolehlah difahamkan bahawa mereka ramai-ramai duduk melihat langit bersama dengan Nabi Ibrahim.


⛵Perkataan جَنَّ digunakan apabila sesuatu perkara itu ditutup dari segala pancaindera manusia. Iaitu tidak boleh nampak, dengar, hidu dan sebagainya. Nama jin juga diambil dari kata ini. Kerana jin itu tidak dapat dirasa dengan pancaindera kita. Janin yang di dalam perut ibu mengandung pun diambil dari perkataan ini kerana janin itu berada dalam perut ibu. Tak nampak dan tak nampak dirasa oleh pancaindera.


⛵Apabila malam datang, segalanya tidak nampak lagi kepada Nabi Ibrahim dan kaumnya. Melainkan bintang dan bulan sahaja. Langit itu gelap, tapi dengan jelas hanya bintang yang kelihatan.


⛵ Nabi Ibrahim berkata kepada kaumnya bahawa ‘bintang itulah tuhannya’. Ini kena difahami dengan jelas. Kerana kalau tidak, kita akan salah faham.


⛵Kita kena ingat yang ini adalah kata-kata helah dari Nabi Ibrahim. Bukanlah Nabi ibrshim menerima yang bintang itu sebagai tuhan pula. Jangan kita fikir macam itu. Nabi Ibrahim hendak memberikan hujah kepada kaumnya bahawa apa yang mereka syirik kan itu adalah perbuatan yang bodoh. Tambahan pula, perkataan yang digunakan dalam ayat ini adalah قَالَ yang bermaksud ‘berkata’. Tidak digunakan perkataan ‘fikir’ kerana Nabi Ibrahim pun tak pernah terima yang bintang itu sebagai tuhan. Baginda cuma cakap di mulut sahaja dan tidak sampai ke hati baginda pun.


⛵Jadi, ini adalah satu cara Nabi Ibrahim hendak mempersembahkan cara memahami sifat Tuhan kepada masyarakatnya. Maka, baginda nak tolak satu-satu tuhan sembahan mereka kerana semuanya tidak memiliki sifat Tuhan. Baginda mulakan dengan bintang.


"... Kemudian apabila bintang itu terbenam,.."
⛵ Nabi Ibrahim adalah seorang yang dikatakan amat bijak. Cuba fikirkan: adalah perlu baginda tunggu sampai bintang itu hilang baru dia perasan yang bintang itu akan hilang? Tentulah tidak. Kita yang tak berapa pandai ini pun tahu yang bintang itu akan hilang juga malam itu. Jadi kita kena faham apakah maksud Nabi Ibrahim menjalankan proses melihat bintang dalam ayat ini. Dan kemudian nanti melihat bulan dan matahari. Itu semua adalah helah dan lakonan baginda sahaja untuk ditunjukkan kepada kaumnya.


⛵ Takkan sifat Tuhan itu timbul dan tenggelam? Datang sekejap-sekejap sahaja? Nabi Ibrahim berhujah bahawa dia tidak suka tuhan yang timbul sekejap-sekejap sahaja. Tuhan itu hendaklah sentiasa ada untuk mendengar doa kita. Kalau sekejap ada dan sekejap hilang, itu bukanlah satu sifat yang bagus. Kalau kita ada kawan, kawan macam mana yang kita suka? Yang selalu ada dengan kita atau selalu hilang?


⛵Oleh kerana bintang itu boleh hilang, maka Nabi Ibrahim kata yang dia tidak akan sembah bintang sebagai tuhan. Oleh itu, baginda dah tolak satu contoh sembahan kaumnya.







Surah Al An’am Ayat 77


Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: "Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: "Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat".  (77)


Dalam ayat ini kata-kata Nabi Ibrahim ini adalah sebagai lakonan sahaja, seperti yang kita telah sebutkan sebelum ini. Bukanlah benar-benar baginda mengatakan yang bulan itu adalah Tuhannya.


⛵Boleh dikatakan bahawa kata baginda itu adalah satu cemuhan sahaja  “adakah ini tuhanku?”


⛵ Tentulah setelah sekian lama, bulan itu akan hilang sinarnya dan akan tenggelam.


⛵ Nabi Ibrahim mengajar kaumnya bagaimana menggunakan akal dalam memilih Tuhan. Kalau Allah tak beri petunjuk, kita semua akan sesat. Maka, baginda juga menunjukkan kepada mereka bagaimana berdoa kepada Allah untuk mendapatkan hidayah. Kerana baginda telah membacakan doa itu di hadapan mereka. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk memberikan hidayah kepada kita.


⛵Doa itu bukan sahaja kepada orang yang Islam, tapi orang yang kafir pun boleh baca. Kalau tidak, bagaimanakah ramai orang yang asalnya lahir dalam kekafiran tapi telah mendapat jalan Islam? Itu adalah kerana mereka pernah memohon petunjuk kepada Tuhan untuk beri hidayah kepada mereka. Mereka tidak tahu manakah Tuhan yang sebenar, maka mereka telah baca doa mereka dengan harapan untuk mendapatkan kebenaran. Mereka boleh baca dalam bahasa mereka, dalam cara yang mereka senang. Allah maha mendengar apakah permintaan mereka. Tidak semestinya mereka bukan orang Islam, Allah tak dengar doa mereka.

Surah Al An’am Ayat 78


Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: ` Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya). “ (78)


Dalam ayat menunjukkan bahawa kaum Nabi Ibrahim masih lagi tidak mahu terima, maka baginda teruskan dengan cara yang lain. Kali ini baginda berhujah dengan menggunakan contoh matahari pula.


⛵ Ayat ini menunjukkan bahawa memang Nabi Ibrahim sedang bercakap cakap dengan kaumnya. Iaitu mereka bermula dengan melihat bintang, kemudian bulan dan matahari.


⛵Tidaklah Nabi Ibrahim meneruskan hujahnya dengan mencari pula makhluk masuk yang lain. Ini menunjukkan bahawa Baginda hanya hendak tunjukkan beberapa contoh sahaja. Tujuan baginda adalah untuk menggerakkan kaumnya berfikir.


⛵ Nabi Ibrahim beritahu kepada kaumnya bahawa apa yang mereka sembah itu adalah amat salah sekali. Oleh itu, Baginda tidak mahu kena mengena dengan amalan sesat mereka. Baginda kata baginda nak sembah Allah sahaja. Hanya Allah sahaja yang kekal sentiasa ada.


⛵ Ayat ini mengajar kita untuk melihat alam ini dan memikirkan siapakah penciptanya. Kadang-kadang kita hanya melihat benda-benda yang besar sahaja dan kita lupa benda-benda yang kita biasa lihat seperti bulan, bintang dan juga matahari. Sebagai contoh, pertukaran siang dan malam pun ada tanda kekuasaan Allah. Begitu juga dengan semua benda-benda seperti semut yang kecil dan begitu juga dengan makanan yang kita makan setiap hari. Kalau kita fikirkan tentang alam, ianya akan memberikan kita satu pemahaman bahawa semuanya telah diberikan kepada kita dengan segala keindahan. Semuanya telah diberikan kepada kita sebagai nikmat dari Allah.


⛵Ayat ini juga mengajar bahawa kita perlu meluangkan masa untuk memikirkan tentang alam ini. Lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim menunggu sehingga bintang tenggelam. Kemudian baginda menunggu sehingga bulan muncul dan kemudian menunggu pula sehingga matahari muncul dan terbenam. Bukanlah kita hanya luangkan masa yang sekejap sahaja dan kita ingat kita boleh terus faham tentang alam ini. Dalam surah al-Mulk, telah disebut bagaimana Allah mengajar kita untuk sentiasa melihat kepada alam. Dan kena buat berkali-kali.


⛵Ayat ini juga mengajar kita bahawa semua makhluk samada kecil atau besar, mereka semuanya akan hancur dan yang tinggal hanyalah Allah yang maha kuasa.


Surah Al An’am ayat 79


“"Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)".  (79)
" Sesungguhnya aku menghadapkan wajahku.."
⛵ Kenapa digunakan perkataan ‘wajah’? Kerana pada wajah itu merangkumi semua pancaindera seperti penglihatan, pendengaran, percakapan, minda dan juga hati. Oleh itu ia bermaksud untuk memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang kita hadapkan itu.

⛵Kepada siapa Nabi Ibrahim a.s. hadapkan?
kepada yang menciptakan langit dan bumi. Ayat ini bermaksud Nabi Ibrahim memberikan sepenuh perhatian kepada Allah yang telah mencipta dan menjadikan alam ini.

⛵ Bermaksud seseorang yang fokus pada tujuannya dan tidak dialihkan oleh benda-benda lain. Maknanya Nabi Ibrahim fokus kepada menyembah Allah sahaja.

⛵Ini mengajar kita bahawa dalam kita melakukan sesuatu benda yang penting, maka hendaklah kita focus kepada apa yang kita lakukan. Jangan kita biar diri kita diganggu dengan perkara-perkara yang tidak penting. Macam juga kita kena focus kalau kita buat kerja. Kalau kita tidak fokus, maka kita akan banyak membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak penting. Sama juga apabila kita memandu kereta. Amat bahaya kalau kita tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya semasa kita memandu.

⛵Masalah yang kita hadapi dalam zaman moden ini adalah kita senang diganggu oleh banyak perkara-perkara yang boleh menghilangkan fokus kita. Bahan hiburan terlalu banyak. Dengan TV, radio, YouTube dan macam macam lagi. Ianya pula amat senang untuk dicari. Tak payah cari pun dah ada depan mata kita. Tidak sama dengan masyarakat zaman dulu yang tidak dicemari dengan bahan-bahan seperti itu. Oleh kerana dah banyak sangat bahan hiburan, banyak masa kita terbuang dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kita kena pandai untuk menghilangkan gangguan-gangguan itu. Kita tidak akan mencapai kejayaan kalau kita tidak fokus di dalam tugas dan kerja.

⛵Kadang-kadang pula, kita mahu melakukan berbagai-bagai perkara sampaikan kita tidak fokus kepada satu perkara dan sampaikan perkara yang penting itu tidak dapat dilakukan. Bila kita hendak melakukan banyak sangat perkara, maka satu perkara pun tidak dapat diselesaikan dengan baik.

⛵Sebab itu kita disuruh untuk khusyuk di dalam solat. Ini mengajar kita setiap hari untuk fokus. Kita disuruh untuk tidak memikirkan kepada benda lain melainkan kepada Allah sahaja semasa kita dalam solat. Sampaikan kita disuruh untuk melihat kepada tempat sujud sahaja – supaya bukan sahaja hati kita, tapi mata kita pun fokus kepada satu tempat sahaja.

⛵Kita diberitahu di dalam ayat ini bahawa salah satu sebab kejayaan Nabi Ibrahim ialah kerana baginda fokus dalam ibadahnya dan di dalam dakwahnya.

⛵Fokus kepada Allah bermaksud kita ikhlas beribadat kepadaNya. Iaitu tidak ada perkara yang akan melencongkan kita daripada Allah.

⛵ Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim tidak pernah melakukan syirik. Ini adalah kerana penggunaan kata ما dalam ayat ini. Apabila ما digunakan, ia bukan sahaja bermaksud ‘tidak’ tetapi ia juga menidakkan kata-kata orang lain tentang sesuatu. Ini penting kerana ada agama-agama yang mengatakan Nabi Ibrahim pernah melakukan syirik. Sebagai contoh, dalam Injil, ada dikatakan yang Nabi Ibrahim telah melakukan syirik di hujung hayatnya. Jadi, Allah hendak membersihkan nama Nabi Ibrahim dalam ayat ini.

Surah Al An’am Ayat 80


Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: "Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran? “
 
Allah swt. menerangkan bahwa ajakan-ajakan Nabi Ibrahim a.s. kepada jalan yang benar itu, mendapat tantangan yang berat dari kaumnya. Ibrahim a.s. dibantah oleh kaumnya pada waktu beliau menyampaikan agama tauhid. Mereka membantah oleh kerana Nabi Ibrahim a.s. membongkarkan  kebatilan agama mereka yaitu menyembah berhala dan mendewakan bintang bintang.


Bukti-bukti yang dikemukakan oleh Ibrahim a.s. itu melemahkan, bahkan membatalkan akidah mereka, kerana akidah mereka hanyalah didasarkan pada taqlid kepada nenek moyang mereka. Itulah sebabnya Ibrahim a.s. menanyakan kepada mereka mengapa mereka itu membantah dalam hal tauhid, padahal Ibrahim a.s. telah mengemukakan dalil-dalil kebenaran agama tauhid itu sesuai dengan petunjuk-petunjuk Allah dan keyakinan Ibrahim a.s. sendiri. Bukankah mereka mengetahui bahwa patung-patung dan bintang-bintang yang mereka puja itu mempunyai kekurangan sedangkan Yang Maha Sempurna ialah Pencipta jagat raya dan isinya. Maka seharusnyalah mereka tidak menyembah tuhan yang mempunyai sifat kekurangan itu.


Kemudian Nabi Ibrahim a.s. menegaskan pendiriannya terhadap bantahan mereka itu yaitu beliau tidak gentar menghadapi malapetaka dan akibat-akibat dari mengingkari berhala-berhala dan bintang-bintang yang disembah itu. Kerana sembahan-sembahan mereka itu adalah benda-benda mati yang tidak dapat menolak mudarat dan tidak dapat pula memberikan manfaat. Tentangan Nabi Ibrahim a.s. itu adalah merupakan jawaban terhadap sikap orang-orang musyrik dan menakut-nakuti Ibrahim a.s. akan mendapat bencana sebab mengingkari sesembahan mereka, seperti dialami Nabi Hud a.s. pada ketika menghadapi kaumnya, firman Allah:
“Kami tidak mengatakan melainkan bahwa sebagian sembahan-sembahan kami telah menimpakan penyakit gila atas dirimu.”
(Q.S Hud: 54)


Mereka menyangka sembahan-sembahan mereka akan menimpakan bencana kepada Nabi Ibrahim as padahal sembahan-sembahan itu tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat menjadi perantara dan juga tidak dapat memberikan syafaat pun. Ianya hanyalah patung tegak yang tidak bergerak. Kecuali kalau Allah menghendaki bencana yang timbul kerana patung itu.


Dan kalaulah Allah menurunkan bencana sepertimana yang mereka sangkakan akan turun itu, mereka akan lagi percaya bahawa bencana itu datangnya dari patung berhala yang mereka puja itu, dan bukannya dari Allah. Walaupun pada hakikatnya Allah lah yang berkuasa menurunkan bala atau bencana dengan sekehendakNya sahaja.


Pada akhir ayat ini Allah swt. memberikan alasan dan pengecualian yang terdapat dalam ayat ini yaitu Allah swt. mempunyai pengetahuan yang sangat luas, meliputi benda-benda yang ada.




Surah Al An’am Ayat 81


“"Dan bagaimanakah aku hendak takutkan apa yang kamu sekutukan dengan Allah itu (yang tidak dapat mendatangkan sesuatu bahaya), padahal kamu tidak takut bahawa kamu telah sekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan kepada kamu mengenainya? Maka yang manakah di antara dua puak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari bahaya), jika betul kamu mengetahui?"


Kemudian Ibrahim a.s. menegaskan bahawa ia tidak takut kepada sembahan-sembahan mereka. Nabi Ibrahim hanya takut kepada Allah. Sikap Nabi  Ibrahim a.s. yang demikian itu menarik perhatian mereka.


Dalam pada itu Nabi Ibrahim a.s. mengatakan bahwa mengapa ia harus takut kepada sembahan sembahan yang mereka persekutukan dengan Allah dan dijadikan perantara yang dianggap dapat memberikan manfaat dan menolak mudarat?. Sedangkan mereka itu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan ciptaan mereka sendiri.


Seharusnya yang ditakuti ialah kedegilan mereka terhadap Allah dan dugaan mereka yang salah yaitu menganggap patung-patung dan bintang-bintang itu sebagai Tuhan. Itulah sebabnya Allah swt. mencela sikap mereka. Allah menjelaskan kepada mereka bahawa agama yang dapat diterima ialah agama yang mempunyai alasan-alasan yang kuat dan bukti-bukti yang dapat diterima. Tetapi sebaliknya mereka hanya memeluk agama dengan jalan taklid saja kepada nenek moyang mereka. Perbuatan demikian tidak didasarkan pada hidayah dan tidak pula didasarkan kepada ilmu.


Kemudian mereka itu dihadapkan kepada dua pilihan untuk memilih mana di antara kedua golongan yaitu mereka yang memeluk agama tauhid dan mereka yang memeluk kemusyrikan yang lebih berhak Allah mendapatkan perlindungan. Sedangkan mereka sudah mengetahui bahwa Allah swt. mempunyai kekuasaan menciptakan dan memusnahkan, menghidupkan dan mematikan, sedangkan patung-patung itu tidak dapat memberikan manfaat dan mudarat sedikitpun. Kemudian di akhir ayat ini Allah swt. menyuruh Nabi Ibrahim a.s. agar supaya meminta jawaban kepada mereka apabila mereka sanggup menjawabnya.

Surah Al An’am Ayat 82


Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.


Ayat ini adalah jawapan kepada ayat sebelum ini tentang siapakah yang lebih layak mendapat aman daripada dua golongan? Allah jawap soalan itu dalam ayat ini.


Orang yang mendapat keamanan adalah orang yang beriman. Iaitu yang ‘beriman sempurna’. Mereka yang ‘beriman sempurna’ itu adalah mereka yang tidak melakukan syirik. Ini penting kerana ada masyarakat yang memang beriman, iaitu mereka memang percaya kepada Allah, kepada Nabi dan sebagainya, tapi dalam masa yang sama, mereka percaya kepada perkara khurafat, tahyul dan sebagainya. Itu bukanlah jenis yang ‘beriman sempurna’. Sia-sia sahaja iman mereka. Kerana hakikatnya mereka sedang melakukan syirik kepada Allah.


Kita tahu bahawa Allah lah sahaja yang berhak disembah. Tidak boleh kita sembah dan menghambakan diri kepada selain dari Allah. Tapi masih banyak lagi yang menyembah selain Allah. Itu bermakna, mereka tidak memberikan hak Allah. Maka apabila manusia tidak memberikan hak Allah, maka mereka sebenarnya telah melakukan ‘kezaliman’. Oleh itu, kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ‘kesyirikan’. Itulah yang kita katakan sebelum ini, ramai yang beriman, tapi mereka tidak beriman sempurna. Kerana mereka mencampuradukkan iman mereka kepada Allah dengan iman mereka kepada selain dari Allah.


Orang yang zalim dalam dunia ini tidak akan merasa aman di dunia dan juga di akhirat. Kalau dalam dunia ini mereka dikenakan dengan masalah-masalah kecil yang mereka tidak suka pun mereka akan rasa resah gelisah. Tapi kalau perkara yang sama terjadi kepada orang beriman, mereka akan rasa tenang sahaja. Mereka akan rasa aman sahaja. Sebagai contoh, sekarang kita sedang mengalami krisis harga barang naik dan subsidi petrol telah dikurangkan. Kalau orang tidak beriman, mereka akan berarak keliling kampung menceritakan tentang ketidakpuasan hati mereka. Tapi kepada mereka yang beriman, mereka sabar sahaja dan tenang sahaja.


Apabila kita ada iman dan aman, maka ianya akan menyebabkan aman di luar. Kita akan jadi ‘duta keamanan’ kepada orang lain juga. Iaitu kita akan bermuamalat dengna baik dengan orang lain, kita tak kacau orang lain, kita tak sakitkan hati orang lain dan sebagainya. Maka, keamanan akan dapat dicapai kalau semua orang beriman. Malangnya, tidak ramai yang mahu beriman.


Zalim yang paling besar adalah melakukan syirik kepada Allah. Tetapi, mereka yang melakukan kezaliman kepada makhluk lain pun akan rasa resah gelisah juga. Contohnya, mereka akan rasa takut sahaja kalau-kalau mereka akan dibalas dengan kezaliman yang telah mereka lakukan kepada orang lain itu. Allah tidak akan masukkan rasa aman dalam diri mereka.


Apabila ayat ini diturunkan kepada Nabi dan para sahabat, sahabat yang mendengarnya merasa amat risau sekali, kerana mereka tahu yang serba sedikit mereka pun ada juga melakukan kezaliman. Kalau tidak kezaliman kepada orang lain, tentu mereka ada melakukan kezaliman kepada diri sendiri. Maka Nabi memberitahu kepada mereka bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kezaliman kepada Allah iaitu melakukan syirik kepada Allah. Dan Nabi membacakan sepotong ayat dari Luqman:13 yang bermaksud:
“sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar”.


Oleh kerana konteks ayat ini adalah tentang kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Ibrahim. Oleh itu, ‘zalim’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah zalim kepada Allah, iaitu syirik.


Mereka yang tidak mencampurkan iman dengan syirik akan merasa aman. Apa saja yang berlaku pada mereka yang beriman, mereka akan berasa aman. Walau apa sahaja yang terjadi kepada mereka dalam dunia ini. Samada dari segi kesusahan dan kesenangan, kekurangan dan kematian yang mereka sayangi dan macam-macam lagi.
Tidakkah kita mahukan keamanan dan ketenangan ini?


“....dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk...’
Mereka akan diberikan dengan taufiq dan hidayah. Dengan taufiq dan hidayah itu, mereka akan menjalani kehidupan yang terpimpin.



Surah Al An’am Ayat 83


Dan itulah hujah (bukti) Kami, yang Kami berikan kepada Nabi Ibrahim untuk mengalahkan kaumnya. Kami tinggikan pangkat-pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.


Ayat ini memberitahu kepada kita bawa hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim kepada kaum itu adalah wahyu daripada Allah kepada baginda. Dengan hujah-hujah itu Nabi Ibrahim membawa dalil kepada kaumnya tentang tauhid kepada Allah. Bukanlah Nabi Ibrahim dapat memikirkan sendiri hujah-hujah itu.


Hujah yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah hujah-hujah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, antaranya hujah yang baginda bawa tentang bintang, bulan dan matahari dan juga kehilangan mereka. Selain dari hujah itu, ada lagi hujah-hujah lain yang disampaikan oleh baginda dalam dakwah baginda kepada kaumnya. Itu semua adalah wahyu dari Allah kepada Nabi Ibrahim.


Bagaimanakah Allah meninggikan darjat sesiapa yang dikehendakiNya? Allah meninggikan darjat mereka itu dengan memberikan ilmu dan hikmah kepada mereka. Sebagaimana Nabi Ibrahim dalam ayat-ayat ini telah diberikan dengan ilmu dan hikmah dari Allah Ta’ala.


Allah lah yang menentukan siapakah yang akan mendapat derajat. Bukan kita yang boleh menetapkannya. Kita pun tidak tahu siapakah yang dinaikkan darjatnya oleh Allah. Tapi kita boleh berharap dan berdoa supaya kita dinaikkan darjat oleh Allah.


Pada akhir ayat ini Allah menegaskan bahwa Dia Maha Bijaksana dalam mengangkat darjat seseorang atau menjatuhkannya. Allah juga Maha Mengetahui keadaan orang yang patut diberi darjat itu samada dia layak atau tidak untuk menerimanya.


Surah Al An’am Ayat 84


Dan Kami telah kurniakan kepada Nabi Ibrahim: (anaknya) Ishak (dari isterinya Sarah), dan (cucunya) Yaakub. Tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami telah berikan petunjuk, dan Nabi Nuh juga Kami telah berikan petunjuk dahulu sebelum itu; dan dari keturunannya Nabi Ibrahim itu (ialah Nabi-nabi): Daud, dan Sulaiman, dan Ayub, dan Yusuf, dan Musa, dan Harun. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amal perbuatannya.


Ayat ini menceritakan tentang pemberian-pemberian yang diberikan kepada Nabi Ibrahim setelah baginda berkorban dalam usaha dakwah baginda. Dalam ayat yang lalu, telah diceritakan bagaimana baginda terpaksa meninggalkan kaumnya yang tidak menerima tauhid itu. Terutama selepas baginda memecahkan berhala mereka (diceritakan dalam ayat yang lain). Baginda terpaksa meninggalkan negeri dan keluarga baginda. Itu adalah satu pengorbanan yang amat besar. Maka, atas pengorbanan baginda itu, Allah ganti pengorbanan baginda itu dengan sesuatu yang lebih baik.


Pemberian Nabi Ishak kepada Nabi Ibrahim adalah amat besari kerana baginda dianugerahkan Ishak pada usia baginda yang lanjut. Ishak adalah anak baginda Nabi Ibrahim bersama Siti Sarah. Sementera Nabi Ismail adalah anak Nabi Ibrahim bersama Siti Hajar yang telah lahir lama sebelum Nabi Ishak. Ini juga menunjukkan bahawa Ishak adalah adik kepada Nabi Ismail. Dan bukan sahaja baginda dapat melihat anaknya Nabi Ishak itu, tapi baginda diberikan peluang untuk melihat cucunya juga. Ini juga adalah pemberian yang amat besar. Kerana seorang ayah belum tentu dapat melihat cucunya sendiri. Ini bermakna, Nabi Ibrahim telah dilanjutkan usia sampai baginda dapat menimang cucunya Ya’qub.


Dua anugerah besar ini diberikan kepada baginda atas pengorbanan baginda. Malah yang lebih besar lagi, bukan sahaja dapat anak dan cucu, tapi mereka diberikan dengan pangkat kenabian yang tinggi dan mulia. Ini adalah satu penghormatan yang amat tinggi kepada Nabi Ibrahim a.s. Kalau anak kita jadi anak yang baik, anak yang alim pun kita sudah gembira sangat. Bayangkan kalau anak kita seorang Nabi, tentu lebih lagi.


“....dan kepada Nuh sebelum itu (juga) telah Kami beri petunjuk,..”
Sebelum Nabi Ibrahim lahir ke dunia dan diutus menjadi rasul, Nabi Nuh as telah terlebih dahulu diutus oleh Allah dengan memberinya juga petunjuk supaya mengajak manusia menyembah Allah dan mengesakanNya , agar mereka dapat dipandu ke jalan yang selamat dan kebahagiaan hidup.


Perkataan ‘keturunannya’ dalam ayat ini  boleh bermaksud keturunan Nabi Ibrahim ataupun keturunan Nabi Nuh. Dua-dua boleh pakai. Nabi Ibrahim pun dari keturunan Nabi Nuh. Nabi Sulaiman pula adalah anak Nabi Daud. Kedua-dua mereka itu telah dilantik menjadi raja. Nabi Ayyub, Nabi Yusuf dan Nabi Musa pula dikenali sebagai penyabar.


Mereka semuanya diberikan dengan balasan yang baik. Nabi Ibrahim telah diberikan dengan berita gembira yang baginda akan mendapat anak. Diberitahu dulu sebelum dapat. Dan diberitahu terus yang anak dan cucunya akan dijadikan Nabi dan rasul. Ini adalah satu berita yang amat menggembirakan kerana waktu itu, Sarah dan baginda sudah tua. Sebab itulah, apabila malaikat datang memberitahu kepada mereka yang mereka akan dapat anak, mereka amat hairan. Kisah ini disebut dalam ayat yang lain.


Ini mengajar kita kalau kita terpaksa menderita kerana Allah, kerana menyebarkan agama Allah, maka kita akan mendapat balasan yang baik. Sebagai contoh, kadang-kadang kita ditinggalkan kawan kita kalau kita hendak menjaga agama, kerana kita pakai tudung, tinggalkan perkara dosa dan sebagainya, kita akan dibalas dengan kebaikan. Kena percaya dengan Allah tentang perkara ini. Percaya yang Allah akan balas dengan kebaikan. Mungkin kita hilang kawan sekarang, tapi in sha Allah kita akan dapat kawan yang lebih baik.


Allah akan membalas dengan baik sesiapa yang melakukan ihsan. Ihsan itu adalah mereka yang memperbaiki agama mereka.


Surah Al An’am Ayat 85


Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Zakaria, dan Yahya, dan Isa, dan Ilyas; semuanya dari orang-orang yang soleh.


Kemudian daripada itu, Allah swt. menjelaskan tentang orang-orang yang diberi petunjuk. Hal ini sebagai penambahan dari pada ayat yang lalu, yaitu menerangkan macam-macam nikmat yang telah diberikan kepada keturunan Nabi Ibrahim a.s. yang saleh. Mereka itu berjuang membela tauhid dan menghancurkan kemusyrikan.


Mereka itu ialah Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas a.s. yang lebih mementingkan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia, sehingga mereka mempunyai keistimewaan yaitu disebutkan bahwa mereka adalah hamba-hamba-Nya yang salih. Mereka itu memang selayaknya diberi sebutan yang demikian, meskipun Nabi-nabi yang lain diberi pula gelaran saleh dan terkenal kebaikannya.

Surah Al An’am Ayat 86


Dan (dari keturunannya juga ialah Nabi-nabi): Ismail, dan Alyasak dan Yunus, dan Lut; dan mereka itu semuanya, Kami lebihkan darjat mereka atas umat-umat (yang ada pada zamannya).


Kemudian Ismail. Nabi Ismail ialah anak Nabi Ibrahim dari isterinya yang bernama Siti Hajar. Di sini Ismail telah dikemudiankan sebutannya kerana hendak menyebutkan tentang Nabi Ishak bersama-sama dengan keturunannya sekali dalam satu susunan sebagai satu teknik dalam menyusun ayat supaya susunan keturunan Nabi Ibrahim itu disebutkan dalam bentuk yang teratur.


Kemudian Ilyasa’. Nabi Ilyasa’ ialah anak Ukhtub bin Al - Ajuz.
Kemudian Yunus. Nabi Yunus ialah anak Matta.
Kemudian Lut. Nabi Lut ialah anak suadara Nabi Ibrahim. Mereka yang disebutkan namanya dalam ayat ini adalah dariapda orang yang dikurniakan kemuliaan yang melebihi daripada seisi alam. Maksudnya ialah isi alam yang satu zaman dengan mereka.


Kata setengah ulamak, ayat ini membuktikan bahwa para Nabi itu lebih mulia dari para malaikat. Kerana yang dikatakan alam itu ialah nama bagi sekalian yang maujud - dikecualikan Allah taala - mak termasuklah di dalam alam itu para malaikat. Dengan demikian ayat ini menunjukkan para nabi lebih mulia dari para malaikat.


Apabila nama-nama Nabi ini disebut, puak Musyrikin Mekah tak tahu pun nama-nama Nabi itu. Tapi yang mengenali mereka adalah puak Yahudi. Tentulah mereka kehairanan bagaimana Nabi Muhammad boleh tahu. Kerana mereka tahu yang Nabi Muhammad itu dari bangsa Arab dan bangsa Arab tidak ada pengetahuan tentang Nabi-nabi terdahulu.


Jadi, ayat-ayat yang menyebut tentang senarai Nabi-nabi ini adalah ditujukan kepada bangsa Yahudi yang hidup di zaman Nabi Muhammad. Kerana mereka yang kenal Nabi-nabi ini kerana Nabi-nabi ini ada dalam senarai Nabi-nabi yang mereka kenali. Ini bermakna, puak Yahudi telah disentuh semasa Nabi masih lagi di Mekah. Ini adalah kerana sudah ada perhubungan antara puak Arab Mekah dan puak Yahudi di Madinah. Iaitu apabila puak Musyrikin Mekah telah kehabisan idea untuk menentang Nabi, mereka telah pergi bertanya kepada kaum Yahudi yang waktu itu sudah bermastautin di Madinah (dikenali dengan nama Yathrib waktu itu). Jadi Allah sudah mula sentuh mereka. Sudah ada ayat-ayat yang menyebabkan mereka tertanya-tanya.




Penjelasan Ayat 84 Hingga Ayat 86.


Allah telah menyebutkan di dalam ketiga-tiga ayat tadi bahawa Allah telah mengurniakan darjat kenabian kepada 18 orang yang dipilihNya. Mereka telah disebutkan namanya satu persatu tidak mengikut susunan tertibnya, atau susunan zamannya, ataupun susunan kelebihannya. Cuma terdapat pengertian di dalam ayat-ayat ini iaitu para rasul dan nabi yang diutus ini mempunyai suatu jenis kemuliaan dan kelebihan.


Mula-mula Allah telah menyebutkan nabi Nuh, Ibrahim, Ishak, Yaakub. golongan ini adlah merupakan pokok atau asal-usul para nabi. Kerana kebanyakan nabi itu berasal daripada keturunan mereka berempat ini.


Kemudian Allah menyebutkan tentang martabah atau pangkat yang diakui sebagai martabat yang mulia sesudah martabah kenabian, iaitu martabat kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan. Allah telah pun mengurniakan kepada Daud dan Sulaiman pangkat tersebut dan keduanya telah meninkmatinya dan mempergunakannya dengan seluas-luasnya.


Setelah itu Allah menyebutkan tentang martabat kesabaran semasa ditimpa malapetaka dan menerima cubaan serta ujian yang sangat berat. Allah telah pun mengkhaskan bahagian ini kepada nabi Ayub as. Begitu juga kpeada Nabi Yusuf, sehingga kerana kesabarannya Allah telah menganugerahkan kepada Nabi Yusuf jawatan pemerintahan di Mesir sebagai orang besar, di samping pangkat kenabian yang telah disandangnya.


Kemudian Allah menyebutkan di antara martabat yang mulia tentang kelebihan para nabi itu ialah adanya beberapa macam mukjizat dan kekuatan hujah yang dikhaskan oleh Allah kepada Nabi Musa dan Harun as semasa mereka berdua memimpin kaum Bani Israel.


Begitu pula tentang zuhud, iaitu menahan diri dari melayani tuntutan untuk menikmati kemewahan dunia. Maka martabat zuhud ini telah dikhaskan oleh Allah kepada Nabi Zakaria, Yahya, Isa dan Ilyas. Disebabkan sikap mereka yang sangat zuhud inilah maka mereka digelar oleh Allah sebagai orang-orang yang salihin.


Kemudian Allah telah menyebutkan pula para nabi yang lain, yang tidak mempunyai peninggalan selepas mereka, samada yang berupa pengikut-penngikut mahupun yang berupa syariat. Mereka itu ialah nabi Ismail, Ilyasa’, Yunus dan Lut.


Sekiranya kita memahami akan pengertian yang tersembunyi di sebalik susunan ketiga-tiga ayat tadi, sebagai yang telah dijelaskan di atas, maka ternyatalah susunannya merupakan sebaik-baik susunan yang pernah disebutkan. Allah jualah yang lebih tahu akan maksud yang sebenarnya tentang susunan ayat-ayat yang terkandung di dalam kitabNya.


Surah Al An’am Ayat 87


Dan (Kami juga lebihkan darjat) sebahagian daripada datuk nenek mereka, dan keturunan mereka, dan mereka, dan keturunan mereka, dan saudara-saudara mereka; dan Kami telah pilih mereka, serta Kami tunjukkan mereka ke jalan yang lurus.


 Dalam ayat ini ‘sebahagian’ bererti ada di antara anak atau bapa atau ibu atau adik beradik yang tidak beriman kepada Allah dan tidak percaya kepadaNya. Ada juga anak cucu mereka yang telah mengingkari Allah dan kufur kepadaNya. Jadi ini bererti bukanlah semua keturunan iaitu ibu bapa, adik beradik sanak saudara dari nabi dan rasul itu yang mendapat hidayah daripada allah. Dan tak semua juga yang menurut hidayah dan mengikut perjalanan bapa-bapa mereka, anak-anak mereka ataupun saudara-saudara mereka. Contohnya Nabi Ibrahim, bapanya tidak beriman kepada Allah. Nabi Nuh, anak dan isterinya kufur kepada Allah.


Dengan kehendak Allah, maka sebahagian mereka menerima kurnia yang merupakan kenikmatan yang khas dari Allah, iaitu menjadi orang-orang pilihan sebagai para Nabi, Siddiqin dan syuhada serta terpandu mereka ke jalan yang selamat kerana mereka menganut agama yang benar.


Apakah jalan yang lurus? Jalan yang lurus adalah jalan yang menuju kepada syurga. Menuju ke Syurga adalah tuntutan setiap orang Muslim kerana di situlah tempatnya untuk kita bertemu dengan Allah. Kita sebagai seorang Muslim kena menyimpan niat untuk bertemu dengan Allah. Tapi Allah hanya mahu bertemu dengan hambaNya di dalam syurga. Jadi, untuk bertemu dengan Allah, maka kita hendaklah masuk ke dalam syurga dahulu. Untuk masuk ke dalam syurga, maka kita kena lalui jalan yang lurus.
Apakah yang boleh yang dimaksudkan dengan jalan yang lurus. Seperti telah disebut di dalam ayat Yaasin:61:
dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.


Dari ayat ini, fahamlah kita yang jalan yang lurus adalah dengan menyembah Allah sahaja. Dan hendak kita beribadat dan puja kepada Allah sahaja. Kalau kita sembah Allah, tetapi dalam masa yang sama kita sembah kepada entiti yang lain, itu bermaksud kita telah melakukan syirik kepada Allah.

Surah Al An’am Ayat 88


Yang demikian itu ialah petunjuk Allah, yang dengannya Ia memimpin sesiapa yang dihendakiNya dari hamba-hambaNya; dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik).


Nabi-nabi dan rasul-rasul ini, dengan adanya pimpinan dari Allah dan petunjukNya , maka mereka ini telah dpandu ke jalan yang selamat, kerana menganut agama yang hak, iaitu agama yang diredhai oleh Allah. Dengan pimpinan Allah juga, mereka telah menjadi orang-orang kenamaan di dunia dan memperolehi kemuliaan di akhirat. Semua ini adalah berkat hidayah Allah yang dikhaskan kepada orang-orang yang dipilihNya. iaitu orang yang menghambakan diri kepadaNya. Orang yang patuh kepada suruhanNya dengan ikhlas dalam segala amalannnya.


Hidayah atau pimpinan itu ada dua jenis. Pertama, hidayah yang tidak payah diusahakan untuk mencarinya, malahan ia datang dengan sendiri sesuai dengan kehendak Allah. Hidayah tersebut ialah pangkat kenabian yang dikurniakan oleh Allah kepada seseorang yang dipilihNya. Hal ini tersebut di dalam surah Ad-Dhuha ayat 7 yang bermaksud:
“dan engkau didapatiNya seorang yang tiada tahu jalan, maka ditunjukkanNya jalan.”


Kedua ialah hidyaah yang didapati dengan usaha dan daya upaya yang kebetulan pula dengan adanya kurnia Allah bagi memudahkan memperolehinya.


Sekiranya mereka yang telah disebutkan tadi itu atau sesiapa saja yang diberikan hidayah tetapi ada mengamalkan syirik, maka akan terhapuslah pahala amalan mereka. Kerana Alalh tidak sekali-kali mahu menerima sesuatu ibaat jika bercampur dengan perkara yang syirik.

Surah Al An’am Ayat 89


Mereka itulah orang-orang yang telah Kami berikan kepadanya Kitab Suci, dan Hikmah (ilmu pengetahuan), serta pangkat kenabian. Oleh itu, jika orang-orang (kafir) itu mengingkarinya, maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum (lain) yang tidak akan mengingkarinya.


Yang dimaksudkan dengan kitab dalam ayat ini ialah kitab-kitab Allah dahulu kala, iaiatu as-suhuf yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa, kitab Zabur kepada Nabi Daud, kitab injil kepada nabi Isa. Dan yang dimaksudkan dengan Al - Hukma ialah ilmu pengetahuan dalam memahami hukum agama Allah.


Maka para nabi semuanya diberi ilmu yang sebenarnya dan dapat memahami hukum-hukum agama serta tahu menjalankan segala urusan. Malah setengah para nabi ada yang diberi hukum (kebijaksanaan) semasa dia masih kecil lagi seprti Nabi Isa dan Yahaya.


Adapun hukum atau undang-undang bagi menyelesaikan perselisihan dan pertikaian antara manusia, ianya tidaklah diberikan oleh Allah kepada semua nabi. Bahkan hanya sebahagian dari mereka sahaja. Kitab-kitab inilah yang melambangkan ketinggian ilmu pengetahuan yang ada pada setiap nabi yang memilikinya.  


Sekiranya orang-orang musyrikin mekah mengingkari akan kitab, ilmu pengetahuan dan kenabian ini, sesungguhnya Allah akan memberikannya kepada kaum lain yang lebih lagi, samada mereka itu telah beriman mahupun yang sedia untuk beriman bila seruan agama telah sampai kepada mereka.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.