Tuesday, June 2, 2015

Surah Yusuf Ayat 31 Hingga Ayat 40



Surah Yusuf ayat 31


Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun minutemen mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!"


Akhirnya sampai juga ke pengetahuan Zulaikha bawa dirinya telah menjadi buah mulut orang di kalangan semua para bangsawan terkemuka. Pastilah hatinya tidak senang mendengar khabar itu. Tetapi Zulaikha ini juga seorang perempuan yang cerdik. Dia mengetahui bahwa segala tohmahan dan kata-kata tidak enak dari semua perempuan yang mengumpat dirinya itu adalah juga sebagai tipu daya semata. Mereka semua itu sebenarnya berasa iri hati kepada Zulaikha dan ingin hendak menyaksikan sendiri akan ketampanan Nabi Yusuf.


Oleh kerana itu Zulaikha telah menjemput mereka semua untuk datang ke rumahnya untuk menghadiri suatu majlis jamuan makan-makan. Tetamu-tetamu itu terdiri daripada isteri-isteri pembesar negara yang juga rakan-rakannya. Untuk setiap tamu disediakan kerusi panjang yang mempunyai sandaran yang indah untuk berbaring bercengkerama, dibuat dari kayu-kayan yang mahal. Kemudian dihidangkan makanan dan minuman berbagai warna, dibawa oleh pelayan-pelayan yang cantik manis, lelaki dan perempuan.


Diberikan pula kepada setiap tetamu itu, masing-masing sebilah pisau untuk mengerat buah-buahan yang akan dihidangkan sesudah makan, seumpama buah epal, buah delima dan sebagainya.


Setelah majlis makan-makan itu dimulai, sedang para tetamu itu duduk bersandar-sandar pada kerusi panjang sambil bergurau-gurau, isteri Al Aziz tadi iaitu Zulaikha telah memerintahkan Nabi Yusuf supaya keluar di tengah majlis itu. Maka keluarlah Nabi Yusuf, seorang pemuda yang tampan, gagah, menarik hari, raut wajah yang bersinar, dan mempunyai bentuk badan yang kacak dan segak.


Sebelum Nabi Yusuf keluar, para tetamu sudah diberikan sebilah pisau untuk memotong buah-buahan yang terhidang. Dan Nabi Yusuf pun keluar! Semua para hadirin tetamu semuanya tercengang-cengang, terpinga-pinga, ternganga-nganga melihatkan kerupawanan Nabi Yusuf. Sehingga secara tidak sedar, bukan buah-buahan yang mereka potong, tetapi tangan mereka sendiri! Mereka mengerat-ngerat tangan dan jari mereka sendiri tanpa sedar! Ada yang luka di telapak tangan, pedih pun tak terasa agaknya, kerana mata tertuju dan terpukau kepada kekacakan dan kecantikan Nabi Yusuf. Dan mereka berkata, “Maha Suci Allah!”


Dengan kata-kata Maha Suci Allah itu saja, maka dengan tidak mereka sedari mereka telah memagari diri mereka sendiri. Kalaulah bukan kesucian Allah, atau Yang Maha Kuasa menurut agama mereka pada masa itu, yang mereka tetap percaya Tuhan dari segala Tuhan adalah Allah yang Maha Tunggal, kalaulah bukan kerana mereka mengingati kemuliaan Tuhan, mereka akan segera memeluk pemuda kacak itu.


Menurut mereka, kalau Nabi Yusuf itu dikatakan manusia, mana cacatnya sebagai manusia. Kelengkapan diri dan tubuh badannya benar-benar membuatkan semua orang kagum. Bagi mereka, hanya malaikatlah yang tiada cacat yang menjelma sebagai pemudah itu.


Sekarang mereka telah lihat sendiri mereka menjadi sangat kagum, agung dan hebat yang belum pernah mereka lihat seumur hidup mereka seorang pemuda yang segagah, setampan dan secantik itu. sampaikan mereka tidak sedar yang tangan mereka luka, sebab mata hanya tertuju kepada Nabi Yusuf.













Surah Yusuf Ayat 32


Dia berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."


Di waktu itulah Zulaikha mula membela dirinya. Katanya, inilah dia orang yang kamu mencela aku kerananya. Inilah dia orangnya yang menyebabkan hatiku tertawan, sehingga aku seakan-akan tergila-gila kepadanya. Kamu baru sekali ini melihatnya, kamu sudah kagum, sampaikan tangan kamu luka pun kamu tidak sedar. Bahkan kamu mengakui kecantikan dan ketampanan yang ada bukanlah dari jenis manusia tetapi malaikat. Sekarang aku hendak bertanya kepada kamu semua, salahkah kalau aku jadi jatuh cinta, tergila-gila kepadanya padahal sejak masih kanak-kanak lagi aku melihatnya membesar sehingga menjadi begini tampan? Aku mengaku secara terus terang bahwa aku telah merayu dan menggoda dirinya, menginginkan dirinya, tetapi dia masih tetap teguh pendirian tidak melayaniku.


Di dalam ayat ini, dibayangkan Nabi Yusuf sebagai seorang yang tetap pendirian iaitu orang yang ada pegangan hidup sehingga beliau tidak mudah terumbang ambing dibawa arus ganas hawa nafsunya sendiri. Nabi Yusuf yang teguh hatinya tidak mudah dirayu, digoda dan dipujuk, meskipun pada waktu itu dia hanyalah seorang hamba yang dibeli di tepi perigi dengan harga yang murah. Sementara isteri pembesar Al Aziz pula adalah seorang wanita yang sangat cantik jelita, penuh menggoda.


Wahai pemuda pemudi di luar sana! Berapa banyak anak muda yang menjadi pelayan, pekerja bawahan, selalu terlepas dari pegangan apabila digoda dan dipujuk rayu oleh majikan atau isteri majikannya, seorang hartawan, berpangkat besar. Dek kerana mahukan kemewahan dan keduniaan yang serba indah, menjadi tergadai semua maruah dan harga diri.


Sungguh besar dan hebat ujian ini, sehingga ianya juga disebutkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang mereka terima dari Abu Hurairah:
“berkata Nabi saw, ‘adalah tujuha yang akan diberi perlindungan oleh Allah kelak, pada hari yang tidak ada tempat berlindung, kecuali perlindunganNya, iaitu:
1 . Iman yang adil.
2 , pemuda yang sejak awal lagi telah kuat beribadat kepada Allah.
3 . seorang yang hatinya terikat kepada masjid, sehingga walaupun dia telah keluar dari masjid itu, dia akan kembali juga ke masjid.
4 . orang yang cinta mencintai, berkumpul atas nama Allah dan berpisah pun atas nama Allah.
5 . seorang yang bersedekah, selalu menyembunyikan sedekahnya, sehigga tangan kiri pun tidak tahu berapa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.
6 . seorang yang digoda oleh perempuan yang mempunyai kedudukan tinggi lagi cantik, lalu dia menolaknya dengan mengatakan, “aku takut kepada Allah”
7 . seorang yang ingat kepada Allah di waktu dia sunyi bersendirian, lalu menitislah airmatanya.


Seorang majikan yang apabila hambanya tidak mahu mengikuti apa yang diperintahkan kepadanya memanglah akan membuatkan majikan itu marah dan akan dikenakan hukuman. Zulaikha mula mengancam Nabi Yusuf dan bersumpah demi jika Nabi Yusuf tidak melakukan apa yang diperintahkan kepadanya, pasti beliau akan dipenjarakan sebagai hukuman mengingkari perintah, dan jadilah beliau darpada orang yang hina sesudah ia dahulunya mulia. Kata-kata ini membayangkan betapa besarnya pengaruh Zulaikha di kalangan para pembesar negeri Mesir ketika itu yang dengan mudah kemahuannya akan terlaksana.


Mendengar ancaman itu, para perempuan itu pun amat belas kepada Nabi Yusuf dan menyuruh beliau supaya mengikuti saja kemahuan Zulaikha sebagai tuannya. Tetapi Nabi Yusuf lebih suka untuk memilih hukuman penjara daripada berbuat maksiat, seprti yang diterangkan oleh Allah pada ayat seterusnya.





Surah Yusuf ayat 33 dan 34


“Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya". - 33


“Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” - 34


Inilah satu pendirian yang tegas. Nabi Yusuf berkeyakinan bahwa hidupnya akan senang, kalau dia mahu melacurkan diri, menjadi gula-gula kepada perempuan-perempuan bangsawan itu. Kata ‘perempuan-perempuan itu’ adalah menunjukkan bahwa bukan sekadar Zulaikha seorang saja tetapi untuk semua para perempuan bangsawan yang menyukai Nabi Yusuf. Bagi Nabi Yusuf  kepentingan untuk menjadi seorang jejaka suci bersih dari kotoran zina adalah sama juga dengan kepentingan untuk menjaga keperawanan seorang gadis. Sekali terjebak dengan zina, maka tidak ada apa lagi yang akan dipertahankan di dalam diri.


Kerana itulah nabi Yusuf menegaskan sikapnya, daripada menurutkan pujuk rayu para perempuan bangsawan demi untuk sebuah kehidupan mewah di istana, beliau lebih suka untuk masuk penjara saja.


Lalu Nabi Yusuf terus bermunajat kepada Allah ta’ala. Di dalam munajat itu, Nabi Yusuf mengakui secara terus terang di hadapan Tuhannya, bahwasanya keamanan dan kesucian tidak akan terjamin kalau beliau tidak dipisahkan Tuhan dari kehidupan neraka itu. Ini adalah kerana beliau masih muda, tampan, dan beliau adalah seorang lelaki. Kalau beliau masih tinggal berdekatan dengan mereka semua, beliau takut yang beliau akan rebah dan kecundang.


Nabi Yusuf memohon agar Allah melepaskan dirinya dari bahaya itu. Nabi Yusuf juga bimbang sekiranya nafsu shahwatnya akan dapat mengalahkan akalnya  yang murni, maka akan hancurlah hidup beliau seterusnya kerana mengikutkan hawa nafsu yang tidak dapat dikawal lagi oleh akalnya. Kelak beliau akan terperangkap menjadi seperti orang yang jahil, bodoh dan bebal, iaitu sifat orang yang suka tunduk di bawah telunjuk perempuan yang kegemaran mereka hanyalah mencari kepuasan dan kemewahan semata.


Allah telah memperkenankan doa Nabi Yusuf dengan menghindarkan tipu daya kaum perempuan itu dari dirinya, dan memeliharanya dari termasuk menjadi orang yang jahil yang mengikut kemahuan hawa nafsu perempuan. Kerana Allah mendengar permohonan hamba-hambaNya yang berdoa kepadaNya, lagi mengetahui benar tidaknya keimanan mereka dan apa yang sesuai dengan kepentingan mereka






Surah Yusuf ayat 35


Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.” - 35


Mulut manusia tidak dapat ditutup. Di sana sini sudah tersebar berita, bahwa isteri pembesar telah jatuh hati kepada Nabi Yusuf. Mulanya isteri-isteri orang-orang besar yang lain menyalahkan isteri pembesar tersebut. Kemudian bertukar keadaan. Isteri-isteri pembesar yang lain pun jatuh hati, kagum, dan menaruh hati kepada Nabi Yusuf yang disifatkan mereka mempunyai kecantikan yang sempurna bak malaikat.


Orang-orang pembesar pun mula lah menyelidiki dengan lebih serius lagi akan hal ini. nampaklah tanda-tanda bahwa kalau orang muda ini dibiarkan juga berada di dalam keluarga pembesar Al Aziz, maka fitnah akan terus tersebar dengan meluas. Pembesar Al Aziz itu pernah berpesan kepada Nabi Yusuf supaya hal ini jangan disebarkan kepada orang lain dan supaya beliau menutup mulut. Namun walaupun Nabi Yusuf tidak pernah berkata apa-apa, tetapi mulut orang lain tidak dapat ditutup.


Maka kalau hal ini tidak segera diatasi, kemungkinan kewibawaan dan keamanan Kerajaan tersebut akan terganggu. Kepercayaan rakyat akan hilang terhadap pemerintah. Maka timbullah satu fikiran di kalangan pembesar-pembesar. Fikiran itu ialah supaya Nabi Yusuf disingkirkan ke dalam penjara. Mudah-mudahan apabila beliau telah dipenjarakan beberapa lama, ditahan sampai ke suatu waktu yang kelak Raja akan berkenan untuk melepaskan beliau semula.


Mudah-mudahan dengan penahana Nabi Yusuf di dalam penjara, berita desas desus berbahaya ini akan reda dengan sendirinya. Dengan demikian nama kerajaan akan terpelihara, nama pembesar Al Aziz pula tidak akan dicemari lagi, dan isteri Al Aziz tetapi dihormati orang ramai, dan juga seorang pemuda yang membuat hampir semua perempuan dari kalangan pembesar menjadi ‘gila’ sudah tidak nampak lagi. Dengan itu keadaan mungkin akan kembali pulih seperti sedia kala.


Lalu Nabi yusuf pun dipenjarakan. Sengaja orang menyingkirkan beliau kerana ingin memelihara nama baik kerajaan. Dan bagi Nabi Yusuf pula, itulah yang beliau kehendaki.


.



Surah Yusuf Ayat 36 Dan 37


Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".  - 36


“Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.” - 37


Menurut riwayat Qatadah dan As Suddi, dua orang teman sepenjara dengan Nabi Yusuf telah dituduh menyediakan makanan dan minuman beracun untuk raja. Maka setelah mereka masuk ke dalam penjara, lalu mereka pun berkenalanlah dengan Nabi Yusuf. Mereka bertiga menjadi begitu rapat, saling sayang menyayangi dan cinta mencintai.


Di suatu hari berkatalah salah seorang daripada mereka, ‘sesungguhnya aku bermimpi memeras anggur.’ Menurut keternagan Ikrimah, dia berkata kepada nabi Yusuf bahwa dia telah bermimpi menanam sebiji anggur, maka anggur itu tumbuh dengan suburnya sampai berbuah, lalu buah yang lebat itu telah dia petik, diperam dan dihidangkan kepada Raja. Dan berkata pula yang seorang lagi, bahwa dia telah bermimpi menjunjung roti di atas kepalanya, tiba-tiba datang burung yang ganas telah memakannya.


Kedua-dua mimpi ini telah didengari oleh Nabi Yusuf dengan teliti. Lalu kedua orang sahabat itu meminta kepada Nabi Yusuf sekiranya Nabi Yusuf dapat mentafsirkan mimpi-mimpi mereka. Ini adalah kerana bagi mereka melihat Nabi Yusuf sebagai orang yang baik-baik dan suka pula membuat kebaikan.


Ini adalah kali kedua Nabi Yusuf mendapat mendapat pujian kerana baik budi pekertinya, baik tingkah lakunya dan baik tutur katanya. Pujian pertama adalah sepertimana yng telah dipelajari di dalam ayat 22 sebelum ini. Dengan ayat ini terbuktilah bahawa walaupun Nabi Yusuf berada di dalam penjara, Nabi Yusuf tetap kekal berbuat baik kepada sesama manusia.


Nabi Yusuf mengetahui tadbir mimpi kedua pemuda itu tetapi enggan memberitahu sebab ada perkara yang tidak disukai oleh salah seorang daripada keduanya. Lalu Nabi Yusuf mengubah haluan percakapan ke arah memperlihatkan mukjizat dan kebesaran Allah. Beliau berkata sepertimana firman Allah di dalam ayat 37 yang bermaksud, “tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu.”


Maksudnya, janganlah mereka berdua menyangka bahwa sulit benar untuk metadbir mimpi mereka berdua itu, yang seorang menyediakan minuman dan yang seorang menyediakan makanan untuk raja. Jangankan makanan yang mereka lihat dalam mimpi saja yang Nabi Yusuf dapat tadbir, bahkan makanan yang akan diberikan kepada mereka sekejap lagi oleh pengawal penjara pun Nabi Yusuf tahu sisinya, sayurnya, samada roti ataupun daging. Sebelum diangkat kemari kepada mereka, semuanya Nabi Yusuf sudah tahu. Lalu Nabi Yusuf pun menerangkan lagi sebab apa beliau tahu, dan kenapa beliau boleh mentadbir mimpi. Nabi Yusuf berkata  “itulah yang telah diajarkan Tuhanku kepadaku.”.




Surah Yusuf ayat 38


“"Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”


Nabi Yusuf menyatakan selanjutnya, bahwa agama yang diikutinya ialah agama Islam, agama yang dianut oleh para nabi daripada leluhurnya, iaitu Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub. Semua mereka ini mempunyai darjat yang tinggi di sisi makhluk di dunia, dan kedudukan yang mulia di akhirat.


Tujuan Nabi Yusuf menyebutkan nama leluhurnya itu ialah untuk menarik dan menggemarkan kedua pemuda tadi kepada beriman dan mentauhidkan Allah serta menjauhkan kedua-duanya dariapda syirik dan kesesatan.


Kemudian Nabi Yusuf menerangkan tentang asas agama yang dianut dan diwarisinya dariapda nenek moyangnya, iaitu mereka nabi-nabi tidak pernah menyekutukan Allah sedikit pun. Dan tidak patut Allah itu disekutukan. Umpamanya dengan malaikat, atau manusia. Apatah lagi dengan haiwan seperti lembu dan benda-benda seperti berhala, matahari, bulan dan seumpamanya yang dianggap sebagai Tuhan.


Nabi Yusuf menambah lagi bahwa keyakinan pada mentauhidkan Allah dan tidak menyekutukanNya itu adalah dariapda kelebihan Allah yang dikurniakan ke atas mereka dan sekalian manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak mahu berterima kasih di atas nikmat Allah. Ini kerana mereka tidak menyembah Allah sebaliknya pula menyembah kepada yang lain.






Surah Yusuf Ayat 39


“"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?”


Sebagaimana yang telah dinyatakan dahulu Nabi Yusuf tidak terus segera mentadbirkan mimpi kepada kedua pemuda itu malah mengalihkan percakapan beliau ke arah memperlihatkan mukjizat dan mengajak mentauhidkan Allah. Ini bererti tugasnya sebagai seorang nabi bukanlah hanya mentadbir mimpi saja tetapi yang penting ialah menjalankan dakwah meskipun berada di dalam penjara. Beliau haruslah menanam dan menyebarkan dakwah Islam yang berdasarkan tauhid di kalangan orang-orang yang tinggal di dalam penjara.


Dakwah inilah yang didahulukan. Itulah sebabnya beliau tidak menyegerakan untuk mentadbir mimpi kedua pemuda itu. Beliau mendahulukian dengan mengajar mereka tentang betapa sesatnya orang yang menyekutukan Allah dan yang tidak percaya kepada hari kiamat.


Dengan terus terang Nabi Yusuf menyatakan bahwa beliau adalah pengikut agama yang dianuti oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ishak dan Nabi Yaakub. Serta menekankan bahwa keyakinan pada mentauhidkan Allah  dengan tidak menyekutukanNya dengan apa-apa jua pun. Itu adalah kelebihan Allah yang dikurniakan ke atas hambaNya, namun masih ramai manusia yang tidak berterima kasih.


Seterusnya Nabi Yusuf menyeru lagi kepada kedua sahabat sepenjaranya. Nabi Yusuf menggunakan kata ‘penghuni penjara’ kerana penjara adalah tempat orang yang sentiasa sedih dan berduka, kerana mengenangkan nasib masing-masing yang dirundung malang. Dengan itu suasana yang demikian sayu itu akan menyebabkan persahabatan di dalam penjara menjadi lekas mesra, mudah mendengar serta mudah pula untuk menerima apa yang dinasihatkan. Dan hati-hati mereka akan mudah berpaling daripada mengenangkan dunia di luar penjara yang penuh dengan kelazatan dan kemewahan.


Nabi Yusuf meneruskan lagi dakwah beliau yang berupa pertanyaan tetapi mengandungi ikrar yang bermaksud, bahwa Tuhan yang satu lagi perkasa adalah lebih baik dari Tuhan yang banyak lagi bermacam-macam jenis. Tidak ada kebaikannya pada Tuhan yang bermacam-macam zatnya dan beragam sifatnya yang digambarkan seperti berhala, patung yang disembah dan diperbuat dariapda emas, perak, besi, kayu, batu dan sebagainya.


Ini kerana semuanya itu tidak dapat mendatangkan manafaat atau mudarat. Bukankah Tuhan yang sebaik-baiknya itu ialah yang Maha Esa, iaitu esa pada zatNya, sifatNya, dan perbuatanNya lagi perkasa iaitu yang tidak akan dikalahkan oleh sesiapa dan apa jua pun.




Surah Yusuf ayat 40


Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”


Nabi Yusuf terus berdakwah. Kali ini bukan hanya kepada dua orang pemuda itu saja tetapi kepada semua penghuni dalam penjara pula. Nabi Yusuf menyatakan bahwa apa yang disembah oleh mereka dan nenek moyang mereka selama ini hanyalah nama-nama buatan yang mereka berikan keapda berhala yang diperbuat dariapda batu dan benda-benda yang tidak mempunyai hakikat yang sebenarnya. Hanya mereka dan bapa-bapa merekalah yang telah memberikan nama kepada patung-patung dan berhala itu sebagai Tuhan. Bererti Tuhan pada nama, sedangkan ia hanyalah batu dan benda-benda yang tidak boleh dijadikan sesuatu apalagi untuk memberi rezeki. Ia juga tidak akan mendatangkan apa-apa mudarat dan manafaat langsung kepada mereka.


Dengan memberikan nama patung itu sebagai Tuhan, mereka tidak dapat memberikan bukti dan alasan yang kukuh. Kerana Allah tidak ada memerintahkan dan tidak memberi kuasa sedemikian pun kepada apa-apa juga. Sebabnya Allah menyatakan begini adalah kerana mereka telah mengatakan bahwa Allah itulah yang memerintahkan supaya memberi nama sedemikian kepada patung-patung mereka.


Hukum dan ketetapan serta perintah dan larangan, tidak ada sesiapa pun yang boleh menguatkuasakannya melainkan Allah sendiri. Dan tidak ada yang bersekutu denganNya. Hanya Allah lah yang berhak disembah. Tiada yang lain selain Allah. Maka dengan itu, rukuk dan sujudlah kepada Nya saja. Jangan kepada berhala yang mereka sembah dan beri nama buatan dan reka-rekaan mereka saja.


Itulah agama yang lurus yang tidak menyeleweng dari kebenaran. Tetapi hakikatnya kebanyakan manusia tidak mengetahui perkara itu maka mereka pun tidak mahu menganutinya dan mengikutinya. 





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.