Friday, June 26, 2015

Surah Yusuf Ayat 101 Hingga Ayat 111

Surah Yusuf ayat 101


“"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".  - 101
Setelah Nabi Yusuf bertemu semula dengan ibu bapa dan saudar-saudara beliau lalu termbentang segala kurnia, nikmat dan kemuliaan di ruang matanya dengan mempunyai kedudukan yang baik di bumi Mesir, dia pun berdoa, ‘wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan aku kerajaan Mesir dan berkuasa di atasnya. Walaupun aku yang bekerja sedang orang lain yang dapat nama, namun aku tidak akan dengki dan aniaya kerana segala urusan telah aku jalankan secara adil dan bjijaksana. ‘


Inilah doa Nabi Yusuf as yang diucapkan sebagai tanda syukur terhadap nikmat Allah swt. Nabi Yusf berdoa kepada Allah swt sebagaimana telah menyempurnakan nimat yang dikurniakan kepadanya di dunia, diteruskannya kelak di akhirat dengan diwafatkannya di dalam keadaan Islam bersma-sama dengan hamba-hamba yang soleh, termasuk golongan para nabi dan rasul.


Menurut Ibnu Abbas, Nabi Yusuf as ialah nabi yang pertama yang berdoa memohon diwafatkan di dalam keadaan Islam, sebagaimana Nabi Nuh adalah Nabi pertama yang berdoa supaya diampunkan beliau dan ibu bapa beliau dan siapa saja yang memasuki rumah beliau sebagai seorang mukmin.



Ayat 102-107: Pelajaran yang dapat diambil dari kisah Yusuf ‘alaihis salam, apa yang Allah Subhaanahu wa Ta’aala beritakan kepada Nabi-Nya termasuk perkara gaib yang tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah Subhaanahu wa Ta’aal


Surah Yusuf Ayat 102 hingga 103


“(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya). “ - 102


“Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).”- 103


Lalu di dalam ayat 102, Allah menyebutkan bahwa inilah kisah Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya yang telah diceitakan secara lengkap semenjak menjadi hamba sehingga lah beliau menjadi raja. Beliau adalah sebahagian dariapda berita ghaib, yang mana Nabi Muhammad saw tidak mengetahui sebelum ini. Jadi Allah telah menceritakannya melalui wahyu Allah kepada baginda.


Ayat ini menjadi dalil yang jelas untuk membuktikan benarnya Nabi Muhammad saw itu adlah seorang nabi. Padahal bagindaitu adalah seorang yang ummiy tidak tahu menulis dan membaca, tidak pernah mendatangi guru-guru atau ulamak untuk belajar, tidka pernah berlayar ke lain-lain negeri untuk menuntut ilmu kecuali tinggal di negeri di mana baginda dibersarkan dan hidup di kalangan umat yang sama-sama ummiy.


Kemudian baginda telah dibawa sebuah kisah yang panjang, jalan cerita teratur begitu rapi, yang mengandungi makna teramat jelas dengan susunan katanya yang sangat fasih dan indah. Tentulah orang yang faham bahwa apa yang dibawakan kepada baginda tidak lain hanyalah wahyu Ilahi, sesuatu nur yang suci datang dari langit, dan ia merupakan mukjizat baginya yang akan tinggal kekal sehingga akhir zaman.


Allah menyebutkan pula, ‘dan tiadalah engkau, ya Muhammad, di dekat mereka, iaitu tiada hadir bersama anak-anak Nabi Yaakub pada masa itu ketika mereka berpakat merundingkan perkara mereka untuk mencampakkan Nabi Yusuf ke dalam perigi buta, iaiatu suatu tipu daya yang mereka rancangkan terhadap Nabi Yusuf.


Setelah Allah mengkisahkan tentang Nabi Yusuf, Allah pun kembali memngingatkan Nabi Muhammad saw bahwa usah menegakkan ajaran Allah di atas dunia ini bukanlah mudah. Ini kerana kebanyakan manusia, tidaklah mahu beriman dan menerima ajaran meskipun Nabi Muhammad sangat-sangat mengharapkan keimana mereka. Ini adalah kerana orang-orang Yahudi dan musyrikin Arab telah memintanya supaya menceritakan kisah Nabi Yusuf, kemudian apabila baginda telah menceritakannya kepada mereka menepati sepertimana yang tersebut di dalam kitab Taurat, mereka tidak juga mahu masuk Islam. Maka merasa dukacitalah nabi Muhammad saw di atas sikap mereka itu.

Surah Yusuf Ayat 104 Hingga 105


“Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya. “


“Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.” - 105


Di dalam ayat 104 ini Allah memberitahukan kepada Nabi Muhammad saw, bahwa manusia-manusia yang degil itu tidak akan mahu beriman dan tidak akan mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah, walaupun sebenarnya Rasulullah telah membawakan risalah itu dengan tidak meminta upah walau satu sen pun dari mereka. Rasulullah tidak mengenakan apa-apa ganjaran pun sekiranya mereka mengikuti seruan itu. Malah Rasulullah telah berusaha siang malam pagi dan petang menyiarkan risalah Allah ini dengan menghabiskan seluruh tenaga dan hartabenda baginda sendiri tanpa melibatkan hartabenda orang lain. Sesungguhnya Rasulullah melakukan itu semua adalah semata-mata untuk mengharapkan redha Allah dan segala balasan di atas usaha jerih perih Rasulullah itu akan ditanggung oleh Allah.


Allah juga menjelaskan di sini bahwa AlQuran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu adalah tidak lain merupakan peringatan , pengajaran dan menjadi petunjuk kepada sekalian penduduk alam dan bukanlah khas untuk kaum dan bangsa Arab sewaktu di zaman Rasulullah sahaja. Keran dengan AlQuran itulah akan terpimpinnya mereka dengan selamat di dunia hingga ke akhirat. Ayat ini menjadi dalil tentang risalah dan misi Nabi Muhammad saw yang meliputi kepada umum.


Allah swt. menerangkan bahwa tidak sedikit yang terdapat di langit dan di bumi sebagai tanda-tanda yang menunjukkan keesaanNya, kesempurnaan kekuasaanNya, seperti matahari, bulan, bintang-bintang, gunung-gunung, lautan, tanam-tanaman dan lain-lain yang dilihat dan disaksikan oleh mata kepala manusia, tetapi mereka tidak memerhatikannya, tidak memikirkan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya, yang kesemuanya itu menunjukkan bahwa Allah itu Maha Esa tiada Tuhan melainkan Dia, Dialah yang menciptakan semua makhluk dengan rapi dan teratur.


Kalau pun ada di antara mereka yang sibuk dan berusaha ingin mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, tetapi mereka lupa kepada Penciptanya, tidak diingatnya sama sekali. Dengan akal mereka, mereka asyik menikmati ilmunya, mengembangkan dan meningkatkannya. Tetapi sayang jiwa mereka kosong dari mengingat Allah, tidak mendalami tentang makrifah kepada Allah.


Berfikir dengan saja-saja meskipun ianya ada gunanya tetapi ia tidak akan membawa manfaat yang banyak untuk akhirat. Kecuali sekiranya kalau manusia itu berfikir kemudian disertai dengan keinsafan, ketundukan kepada Allah lalu ia berzikir mengingat Allah.


Berzikir itu walaupun ianya berguna untuk dunia dan akhirat tetapi kalau manusia itu berzikir saja-saja, ianya tidaklah akan sempurna juga. Kecuali sekiranya ia disertakan dengan menggunakan akal dan fikiran. Jadi jelas di sini bahwa berzikir dan berfikir ke arah kebesaran Allah haruslah selari. Harus datang bersama-sama. Zikir tidak boleh dengan cuma berzikir. Berfikir akan kebesaran Allah tidak boleh dengan cuma berfikir. Harus ada kedua-duanya.


Maka bila ada kedua-duanya, dilakukan kedua-duanya sekali, maka barulah akan timbul keinsafan. Maka barulah akan terasa satu detik di dalam hati bahwa manusia ini lemah dan tidak punya apa-apa dan sesungguhnya Allah lah yang paling berkuasa ke atas semua makhluk.


Maka alangkah berbahagianya orang yang dapat menjalin keduanya, berfikir dan berzikir, atau berzikir dan berfikir. Orang itulah yang kelak nanti,  akan memperoleh kebaikan di dunia, kebaikan di akhirat dan selamat dari azab api neraka.


 


Surah Yusuf Ayat 106 Hingga 107


“Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.” - 106


“(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya? “ - 107


Orang-orang Quraisy ini di zaman Rasulullah saw, mereka itu ada yang percaya bahwa Allah itu ada, tetapi mereka tidak menyembah Allah. Malah mereka menyekutukan Allah dengan benda lain, yang mereka bina yang mereka cipta yang mereka buat sendiri dengan tangan mereka, seperti patung berhala untuk dijadikan sembahan pula.


Sungguh pelik mereka ini. Mengakui Allah itu ada tetapi mereka menyembah selain Allah. Apabila ditanya, siapakah yang menjadikan langit dan bumi? mereka akan jawab Allah. Siapa yang menurunkan hujan? mereka juga akan jawab Allah. Tetapi dalam pada masa yang sama mereka menyembah patung dan berhala yang tidak dapat bergerak atau berbuat apa-apa itu.


Diriwayatkan dariapda Ibnu Abbas mengatakan, mereka mengakui bahwa Allah lah yang menjadikan mereka, dan ini menunjukkan mereka beriman. Dalam pada itu mereka juga menyembah selain Allah, dan ini menunjukkan mereka telah syirik.  


Sepertimana kita pada zaman ini, kita mengaku beragama Islam, kita sembahyang, kita berpuasa dan kita mengaku Allah itu sebaik-baik yang layak disembah, tetapi dalam masa yang sama, kita akan pergi berjumpa dukun sekiranya kita ditimpa kesusahan dalam hidup. Ataupun kita percaya bahwa tangkal azimat yang kita pakai itulah yang menyelamatkan kita dari bencana. Ataupun kita percaya kalau anak-anak kita mesti belajar sehingga ke peringkat tertinggi, kalau tidak, mereka tidak akan dapat kerja dan hidup mereka akan susah. Inilah salah satu bentuk syirik. Kita percaya Allah itu ada, tetapi kita menyembah dukun dan kita percaya kepada azimat tangkal. Kita percaya Allah itu wujud, tetapi kita bergantung kepada ijazah dan sijil.  


Orang-orang musyrik yang mengaku Allah ada, tetapi menyembah selain Allah ini, mereka merasa aman saja, seola-olah mereka tidak percaya bahwa suatu hari nanti mereka akan menerima seksaan yang pedih dari Allah. Mereka seakan-akan merasa bahwa pendirian mereka itu betul dan akan kekal teguh sampai bila-bila. Mereka ini sebenarnya hanyalah menurutkan hawa nafsu mereka saja, bermegah-megah dengan kehidupan mereka, padahal kehidupan mereka itu adalah satu kehidupan yang kosong kerana mereka hanya memikirkan kemegahan harta benda dan anak keturunan saja. Padahal kalaulah seksaan Allah itu menimpa diri mereka dengan tiba-tiba, dapatkah mereka mengekalkan keamanan yang mereka rasa selama ini? Dapatkah mereka kekalkan kemegahan mereka dengan harta benda mereka?


Bagiamana nanti kalau mereka telah mati? Apakah mereka tidak akan disoal ataupun dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas semua yang telah mereka lakukan? Bagaimana kalau di saat mereka asyik dengan pekerjaan syirik mereka serta leka dengan kesenagan, lalu hari yang pasti datang itu, iaitu hari kiamat, telah sampai? apakah yang akan dapat mereka pertahankan di hadapan kemurkaan Allah nanti?


Di dalam ayat 107 ini dapatlah kita fahami bahwa manusia yang sedang asyik dengan urusan masing-masing, lalu kiamat itu akan datang dengan mengejut dan tiba-tiba tanpa mereka sedari. Bilakah kiamat itu akan datang? Tiada siapa yang akan tahu kecuali Allah. Kedatangannya sengaja disamarkan. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa takut kepada sekalian manusia sepanjang zaman, supaya berhati-hati did alam segala pekerjaan mereka, agar membuat perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang jahat dan maksiat, kerana tidak diketahui bilakah kiamat itu akan tiba, kerana datangnya di dalam masa yang tidak disangka-sangka.


Ayat ini diturunkan semasa Rasulullah berada di Mekah dan musyrikin pada masa itu masih kuat dan pengikut Rasulullah masih sedikit.

Surah Yusuf Ayat 108 Hingga


“Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." - 108


“Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?” - 109
Allah menyuruh Nabi Muhammad saw mengatakan kepada kaum musyrikin yang degil itu bahwa inilah pendirian dan peganganku. Kamu boleh lihat dan perhatikan, dan langkah ini telah aku mulai langkahkan, pendirian dan pegangan yang lengkap dengan bukti-bukti dan dibelakangku mengikut orang-orang yang percaya kepada Allah. Kami akan jalan terus, kami akan tetap menyeru di muka bumi ini bahwa Allah adalah Maha Esa Maha Agung tidak ada sekutu yang lain denganNya.


Dengan kata-kata yang begini RAsulullah saw telah meletakkan garis pemisah yang nyata di antara tauhid yang beliau tegakkan dengan kesyirikan yang dipertahankan oleh kaum musyrikin itu. Garis pemisah itu adalah di antara yang hak dengan yang batil. Yang sekali-kali tidak akan dapat digabungkan. Kerana yang benar dan yang salah adalah berasing kedudukannya. Tidak sama langsung. Dan ianya tidak boleh didamaikan.


Walaupun di waktu itu golongan pengikut Rasulullah belum ramai lagi dan golongan musyrikin sedang menguasai kedudukan di dalam masyarakat, namun pegangan teguh ini telah dipancakkan di atas petala bumi dengan penuh iman dan keyakinan, berani menanggung segala akibat. RAsulullah tidak akan mengenal apa erti menyerah dan memberi muka kepada pihak musuh disebabkan kedudukan baginda yang lemah pada masa itu. Keyakinan itulah yang membentuk semangat kehidupan dan memberikan isi kepada kehidupan, bagi tiap-tiap orang yang beriman pada masa itu.


Allah menegaskan bahwa Allah tidak pernah mengutuskan seorang rasul pun sebelum Nabi Muhammad saw, melainkan para rasul itu terdiiri dariapda golongan orang-orang lelaki yang diturunkan wahyu kepada mereka, iaitu daripada bangsa manusia, bukan daripada bangsa malaikat. Ini sebagai menjawab soalan orang-orang musyrik Mekah yang bertanya mengapa Allah tidak menurunkan malaikat sebagai rasul untuk mereka.


Para Rasul itu adalah dariapda penduduk negeri atau bandar, dan bukanlah daripada penduduk dusun atau kampung. Kerana orang-orang bandar lebih bertamadun, lebih pandai dan lebih sempurna fikiran mereka daripada penduduk dusun.


Al Hasan mengatakan tidak pernah dibangkitkan seorang nabi daripada penduduk dusun,ataupun dari bangsa jin ataupun daripada kaum wanita. Adapun qaul yang menyebutkan, bahwasanya Allah tidak membangkitkan seorang nabi dariapda penduduk dusun, kerana mereka kasar-kasar dan kurang mesra.


Kemudian Allah mengingatkan orang yang mendustakan para rasul itu dengan berupa sebuah ancaman. Orang-orang musyrik Mekah yang mengingkari dan mendustakan kenabian itu tidakkah mereka pernah berjalan melihat-lihat negeri-negeri dan berjumpa dengan peninggalan umat zaman dahulu kala sepertimana peninggalan zaman kaum Lut, kaum Salih dan lain-lain yang telah dibinasakan dan ditimpakan seksaan oleh Allah? apakah mereka tidak mahu mengambil pengajaran?


Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebh baik bagi orang yang bertakwa, iaitu orang yang takut kepada Allah dan tidak menyekutukanNya kerana perbuatan seperti itu adalah berdosa dan derhaka. Negeri akhirat lebih baik daripada dunia yang orang-orang kafir dan musyrik bersenang-senang menikmati kelazatannya. Dan sesungguhnya kenikmatan jasmani di akhirat itu lebih sempurna dariapda kenikmatan di dunia sebab ia terus kekal tidak akan merasakan kesusahan dan kesakitan. Apalagi tentang kenikmatan rohani lebih-lebihlah lagi sebaba dapat bertemu dengan Allah dan beroleh keredhaanNya.

Surah Yusuf Ayat 110 dan 111


“(Orang-orang yang mendustakan ugama Allah itu telah diberi tempoh yang lanjut sebelum ditimpakan dengan azab) hingga apabila Rasul-rasul berputus asa terhadap kaumnya yang ingkar dan menyangka bahawa mereka telah disifatkan oleh kaumnya sebagai orang-orang yang berdusta, datanglah pertolongan Kami kepada mereka, lalu diselamatkanlah sesiapa yang Kami kehendaki. Dan (ingatlah bahawa) azab Kami tidak akan dapat ditolak oleh sesiapapun daripada menimpa kaum yang berdosa.” - 110


“Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. “ 111


Ayat 110 menegaskan bahwa rasul-rasul itu kadang-kadang pun menghadapi bahaya -bahaya yang ngeri dari sebab persengketaan kaumnya. Kadang-kadang mereka mendapati bahwa pengikut mereka adalah sedikit dan mereka yang melawan dan engkar kepada ajaran rasul adalah di dalam golongan besar, nyarislah rasul-rasul itu berputus asa. Namun apabila tiba di saat genting ini, dengan tiba-tiba saja pertolongan Allah sampai.


Inilah yang dibayangkan oleh Allah di dalam ayat 110 ini. Rasulullah saw sendiri pernah menderita sehingga baginda terpaksa meninggalkan Mekah disebabkan puak musyrikin telah berpakat untuk membunuh baginda. Tetapi pada malam mereka hendak melakukan pembunuhan itu, Nabi Muhammad saw telah diperintahkan oleh Allah supaya berhijrah ke Madinah.


Dan memang selepas tak berapa lepas itu seksaan Allah terhadap kaum musyrikin Quraisy telah datang. Dan mereka tidak dapat menolaknya lagi. Ini terbukti apabila berlakunya peperangan Badar bilamana semua pemimpin-pemimpin Quraisy yang berlaku jahat terhadap baginda Nabi telah dibunuh dan dipenggal leher mereka semuanya. Peperangan Badar itulah yang memberikan keputusan bahwa mulai saat itu bangsa Arab terpaksa mengakui bahwa sudah ada kekuatan Islam di Tanah Arab, yang berpusat di Madinah.


Baik kisah Nabi Yusuf bersama saudara-saudaranya, atau kisah para rasul yang lain yang telah diwahyukan Allah di dalam alQuran, semuanya adalah untuk dijadikan perbandingan dan pengajaran kepada orang-orang yang mahu menggunakan akal fikiran mereka bagaimana para Rasul telah diselamatkan oleh Allah dari tipudaya dan perbuatan jahat orang-orang kafir. Bagaimana orang-orang kafir pula menentang dan mendustakan para rasul itu akan dibinasakan Allah akibat dari kekafiran mereka.


Dalam maksud kata lain, sebuah kebenaran itu walaupun pada mulanya ia kelihatan lemah, tetapi kemenangan terakhir tetap akan berpihak kepada kebenaran. Kebatilan yang walaupun ianya nampak berdiri teguh dan gagah, namun akhirnya akan hancur juga ditimpa seksaan.


Kitab AlQuran itu adalah sebuh kitab Allah yang bukannya direka-reka ceritanya. Ia adalah benar-benar firman dari Allah untuk membenarkan kitab-kitab Allah yang sebelumnya dan menghapuskan serta membongkar apa yang telah terjadi di dalam kitab-kitab itu berupa perubahan-perubahan dan penyimpangan yang dilakukan oleh tangan-tangan hamba-hamba Allah yang jahil. Ini bererti bahwa kisah Nabi Yusuf yang diceritakan di dalam AlQuran ini adlaah menepati dengan yang diceritakan di dalam kitab Taurat.


Di samping itu AlQuran ini juga menjelaskan dengan seterang-terangnya segala sesuatu, mengenai perintah-perintah dan larangan-larangan agama, apa yang dihalalkan dan apa yang diharamkan serta perkara yang ghaib yang telah berlaku atau yang akan berlaku, juga mengenai zat Allah yang Maha Esa, sifat-sifatNya, hikmah kebijaksanaan qadak dan qadarNya.


Kerana itu maka AlQuran ini menjadi petunjuk ke jalan yang lurus dan benar serta merupakan rahmat dari sisi Allah swt bagi menggolongkan kita semua ke dalam golongan mereka di dunia mahupun di akhirat.


Selesailah sudah tafsir Surah Yusuf. Mudah-mudahan Allah memberikan kita taufik dan hidayahNya untuk beramal dengan suruhanNya, sesuai dengan yang disyariatkanNya. Allah lah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.