Friday, June 26, 2015

Surah Yusuf Ayat 70 Hingga Ayat 80

Surah Yusuf Ayat 70 Hingga 76


Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:" Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri ". - 70


Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda kamu yang kehilangan?"  - 71


“Orang-orang menteri menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu". - 72


“Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri". - 73


“(Orang-orang menteri) bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?"  - 74


“Mereka menjawab: "Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim". - 75


“Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,  - 76


Nabi Yusuf menyuruh khadam-khadamnya menyiapkan bekalan makanan untuk dibawa pulang oleh saudara-saudaranya. Setelah siap, lalu Nabi Yusuf telah menyeludupkan pula ke dalam karung Bunyamin sebuah bekas emas (atau setengah qaul mengatakan ianya sebuah bekas diperbuat dari perak) yang digunakan untuk menyukat gandum. Bekas itu kepunyaan beliau sendiri. Nabi Yusuf sengaja berbuat demikian sebagai helah, supaya nanti Bunyamin akan dituduh mencuri dan dengan demikian terpaksalah beliau menahan Bunyamin dan tidak akan dibenarkan pulang.


Lalu berangkatlah saudara-saudara Nabi Yusuf semuanya untuk pulang membawa bahan makanan yang dibebankan di atas kabilah unta meninggalkan negeri Mesir. Apabila sampai saja di luar kota, Nabi Yusuf memerintahkan pegawai-pegawainya supaya menahan dan memeriksa kabilah tersebut. Salah seorang daripada pegawai itu pun menahan rombongan saudara-saudara Nabi Yusuf itu dan berkata, “Hai kabilah, sesungguhnya kamu adalah orang yang mencuri.”.


Apabila saudara-saudara Nabi Yusuf ditahan daripada meneruskan perjalanan mereka kerana disyakki mencuri, lalu mereka pun menghadap pegawa-pegawai Nabi Yusuf. Mereka bertanya, “barang apakah yang kamu telah kehilangan dan belum kamu jumpai itu?”


Pegawai-pegawai itu pun menerangkan, “bahwa kami kehilangan sebuah bekas penyukat gandum kepunyaan raja.. Maka sesiapa yang dapat mengembalikannya akan diberikan hadiah bahan makanan seberat beban unta dan akulah yang akan menjadi jaminannya.”


Saudara-saudara Nabi Yusuf menyatakan dengan bersumpah, “demi Allah, kami datang ke mari bukan untuk melakukan kekacauan atau kerosakan di negeri ini, engkau tentu telah mengetahui dan bukanlah menjadi kebiasaan atau pekerjaan kami melakukan pencurian.”


Maksudnya sesungguhnya pegwai-pegawai itu telah tahu, sejak mereka mengenal saudara-saudara nabi Yusuf itu, kerana pegawai itu sendiri telah melihat kebaikan perilaku saudara Nabi Yusuf. Mereka telah diasuh di dalam kebaikan, ketaatan dan sangat berhati-hati dalam tingkah laku mereka. Maka orang yang demikian sifatnya tidak patut dikatakan sebagai orang yang membuat kacau. Lagi pula mereka bukanlah pencuri.


Buktinya mereka telah mengembalikan wang-wang harga makanan yang mereka dapati dahulu dalam karung-karung gandum yang sudah mereka beli. Sedikit pun wang itu tidak mereka ambil. Maka orang-orang yang begini sifatnya tentulah juga tidak patut dikatakan sebagai pencuri.


Untuk memastikan mereka sebenarnya tidak bersalah maka pegawai-pegawai tiu pun bertanya, “apa hukumannya orang yang mencuri bekas itu sekiranya kamu berdusta tentang dakwaan kamu, bukan hendak membuat kacau dan bukan pencuri?”


Maka saudara Nabi Yusuf pun menjawab, ‘hukuman pencuri yang dijumpai barang curian itu di dalam karungnya, hendakalh diserahkan kepada tuan punya untuk dijadikan hamba abdi selama satu tahun. Hukum ini adalah mengikut syariat Nabi Ibrahim as dan Nabi Yaakub.


Sebenarnya inilah yang dimahukan oleh Nabi Yusuf dengan helahnya, memasukkan bekas raja itu ke dalam karung adiknya Bunyamin.  Dan memang dengan sengaja, karung Bunyamin diperiksa paling akhir, apabila bekas raja itu ditemui di dalam karungnya, saudara-saudaranya tidak dapat melakukan apa-apa selain menyerahkan Bunyamin kepada Nabi Yusuf, sesuai dengan usul mereka sendiri.


Lalu Allah berkata di dalam ayat 76 bahwa helah yang seperti ini sengaja dirancangkan untuk diwahyukan kepada Nabi Yusuf, supaya dijalankannya. Tujuannya ialah untuk mengajar saudara-saudara Nabi Yusuf sebagai pembalasan kepada mereka. Biarlah mereka rasakan betapa azabnya perasaan mereka bercerai dengan Bunyamin kerana dia telah ditangkpa dan tahan.


Nabi Yusuf tidak menghukum saudaranya dengan hukum yang menyalahi undang-undang raja di negeri Mesir untuk menjadikannya hamba abdi. Kerana Allah telah mengilhamkan kepada Nabi Yusuf supaya menjalankan apa yang dirancangkan kepada beliau.


Perkara itu adlah dengan kehendak Allah yang telah diilhamkan kepada Nabi Yusuf. Dengan kelebihan ilmu yang dikurniakan maka Nabi Yusuf telah ditinggikan darjat dan kedudukannya daripada darjat dan kedudukan saudara-saudaranya beliau.


“...dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,”
Kata Ibnu Abbas ra, ‘di atas orang alim akan ada lagi yang lebih alim, di atas orang yang berilmu akan ada lagi yang lebih berilmu, demikianlah seterusnya hingga terhenti ilmu itu kepada Allah taala. Maka Allah di atas segala yang alim dan berilmu.


Qatadah pula berkata, ‘ di atas setiap orang memiliki ilmu ada orang yang lebih berilmu, hingga ilmu itu berakhir kepada Allah swt. DariNya lah ilmu itu bermula dan belajarlah para ulamak, serta kepadaNya lah ilmu itu kembali. ‘


Ayat ini mengingatkan kepada kita semua dan juga kepada orang yang berilmu, supaya jangan membanggakan diri dengan menunjuk pandai, sebab masih ada lagi orang lain yang lebih pandai daripada kita. Tetapi hendaklah semakin banyak ilmu, semakin merendah diri kepada Tuhan yang telah mengurniakan ilmu kepada kita. Itu adalah satu sifat tawadhuk.

Ayat 77-80: Kembalinya saudara-saudara Yusuf ‘alaihis salam kepada bapa mereka, pentingnya mencari redha kedua orang tua, dan berusaha menepati janji


Surah Yusuf Ayat 77


Mereka berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".
Saudara-saudara Nabi Yusuf menerangkan kepada pembesar negeri Mesir, iaitu Nabi Yusuf sendiri, dengan berkata, “sekiranya dia (Bunyamin) itu mencuri bekas kepunyaan raja, sesungguhnya saudaranya Yusuf dahulu sebelum mati juga telah mencuri. “ mereka maksudkan perbuatan mencuri itu tidak pelik kerana telah menjadi warisan yang dipusakai daripada ibu kedua-duanya. Mereka teidak mempunyai pekerti seperti kedua-duanya kerana mereka bukan seibu dengan Bunyamin dan Yusuf.


Apabila mendengar kata-kata tajam dari saudaranya itu, Nabi Yusuf menyembunyi perasaan tidak senang hati pada dirinya. Boleh saja Nabi Yusuf menempelak saudara-saudaranya itu dengan mengatakan bahwa perilaku mereka itu sendiri adalah lebih buruk lagi di sisi Allah dan hanya Allah saja yang Maha Mengetahui apa yang mereka telah terangkan itu. Namun ayat dan kata-kata ini tidak dizahirkan oleh Nabi Yusuf di hadapan saudara-saudaranya. Malah disimpan kemas di dalam hati tidak menyatakannya kepada mereka.

Surah Yusuf Ayat 78


Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".


Sesudah nyata bahwa bekas raja itu ditemui di dalam karung Bunyamin, maka dia harus ditahan dan tinggal di istana raja sesuai dengan hukuman yang diterntukan. Maka mulailah saudara-saudaranya risau dan merayu kepada Nabi Yusuf yang mereka panggil pembesar Al aziz itu supaya janganlah Bunyamin ditahan. Sebaliknya lepaskanlah dia supaya dapat dibawa pulang. Kerana Bunyamin mempunyai seorang bapa yang sudah sangat tua lagi dihormati.


Sepatutnyalah orang tua itu dikasihani dan dijaga perasaannya. Janganlah kesusahannya kerana kehilangan Nabi Yusuf ditambah lagi dengan kesusahan yang lain dengan kehilangan Bunyamin pula. Mereka bercadang biarlah yang ditahan itu salah seorang daripada mereka bersaudara yang sepuluh orang saja, menjadi ganti kepada Bunyamin.

Surah Yusuf Ayat 79


“Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".


Nabi Yusuf berkata kepada mereka yang Nabi Yusuf tidak dapat memperkenankan rayuan mereka dengan alasan bahawa orang yang tidak bersalah tidak patut  ditahan kerana tidak ada buktinya. Tetapi orang yang patut ditahan ialah orang yang telah terbukti barang yang hilang itu berada di dalam penjagaannya. Ini adalah kerana, sekiranya  mereka tidak menjalankan hukuman yang sedemikian tentulah mereka akan dikatakan tidak adil dan menjadi orang yang zalim atau aniaya.


Kesan dari ayat ini menimbulkan pertanyaan kepada kita, mengapakah Nabi Yusuf yang mempunyai kedudukan tinggi sebagai seorang nabi tergamak memperdayakan saudara-saudaranya dengan kata-katanya tadi yang tentunya telah menyakiti perasaan mereka semua? Adakah layak ia berbuat demikian?


Bagi menjawabnya telah disebutkan oleh para ulamak seprti berikut: bahwasanya Nabi Yusuf melakukan demikian semata-mata kerana menjunjung perintah Allah swt yang diwahyukan kepada beliau dan bukannya mengikut sesuka hatinya sahaja. Dan tujuannya pula ialah supaya menambahkan lagi besarnya cubaan yang ditimpakan kepada Nabi Yaakub sehingga Nabi Yaakub kelak akan menerima pahalanya dengan berlipat kali ganda banyaknya di atas kesabarannya menghadapi cubaan tersebut, supaya setingkat pula dengan darjat ketinggian bapa-bapanya yang terdahulu.


Dalam hal ini Allah mempunyai rahsia yang tersembunyi yang tidak akan diketahui oleh makhlukNya di mana Allah tidak mengkhabarkan kepada Nabi Yaakub bahwasanya Nabi Yusuf masih hidup dala masa yang begitu panjang, semata-mata kerana Allah tahu tentang apa yang sedang diatur Nya dan keadaan hamba-hamba Nya.

Surah Yusuf Ayat 80


Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.”


Apabila rayuan mereka tidak diperkenankan oleh Nabi Yusuf sehingga mereka semuanya telah putus asa kerana tidak ada harapan untuk membawa Bunyamin pulang bersama-sama, lalu mereka pun pergi menyisih untuk berunding sesama mereka apa yang patut mereka lakukan.


Berkatalah yang tertua dari mereka, mungkin Raubin atau Yahudza, ini kerana Al Quran tidak mementingkan menyebut nama mereka, hanya menerangkan kesimpulan kejadian, katanya, “tidakkah kamu ingat bahwasanya bapa kamu telah mengambil janji dari kamu atas nama Allah? padahal sebelum ini telah kamu abaikan janji terhadap Yusuf. Maka aku tidaklah sekali-kali akan meninggalkan negeri ini, sampai diberi izin oleh bapa, atau Allah menentukan hukum atas diriku dan Dia adalah yang sebaik-baik penghukum.”


Maksud katanya ialah biarlah ia tinggal di sini dan tidak akan pulang kerana ingat akan janji itu. Ia tidak sanggup melihat wajah bapa sekembalinya mereka nanti kerana Bunyamin tidak dibawa pulang bersama. Ia hanya akan pulang apabila bapanya memanggil ia pulang. Dan sekiranya ayahnya tidak memanggilnya pulang, ia menyerahkan nasibnya dan hukumnya atas dirinya itu kepada Allah, nescaya keputusan Allah adalah lebih baik dan bijaksana.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.