Saturday, June 27, 2015

Surah Al Hijr - Pengenalan

Pengenalan Surah Al Hijr

Surah Al Hijr ini mengandungi 99 ayat jenis Makkiyah iaitu diturunkan di Mekah. Erti asal dari kalimah Al Hijr ini adalah bermaksud “Batu Besar’ atau “Batu Gunung”. Kemudian ia menjadi nama suatu negeri yang terletak di sebelah utara Madinah, yang menghubungkan jalan dari Tanah Hijaz ke Suria, dan dahulu kala didiami oleh kaum Thamud yang didatangi oleh Nabi Salih as. Kita akan dapati di dalam ayat 80 hingga ayat 85 dari surah ini ada disebutkan tentang penduduk negeri Al Hijr tersebut. Dan kisah kaum Thamud itu telah pun terdahulu disebutkan di dalam ayat 73 hingga 79 surah Al A'raf dan dalam ayat 61 hingga 68 surah Hud.

Disebutkan ianya sebagai tempat tinggal bagi kaum Thamud kerana negeri mereka terjadi dari lembah-lembah dan gunung-gunung batu. Kaum Thamud ini mempunyai kepintaran mendirikan rumah dan bangunan-bangunan pasar yang indah megah di lereng-lereng bukit dan lembah tersebut. Mereka mahir dalam memahat batu-batu gunung untuk dijadikan sebagai bangunan.

Dalam surah ini kita akan dapati betapa hebat tentangan dan sikap permusuhan yang ditunjukkan oleh kaum Quraish terhadap ajaran Islam. Dan juga kita akan pelajari bagaimana cepat dan tangkasnya sikap Nabi Muhammad saw dalam mengemukakan dalil-dalil ajaran Allah dengan mengadakan perbandingan dengan kaum terdahulu yang telah diazab oleh Allah kerana keingakaran mereka.

Surah ini dengan surah yang sebelumnya mempunyai banyak persamaan, umpamanya, pembukaannya mengenai kitab Al Quran, ada disebutkan keadaan orang-orang kafir di akhirat nanti, tentang kejadian langit dan bumi, sedikit tentang kisah nabi Ibrahim as dan hal-hal yang menjadikan hati Nabi saw terhibur.



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.