Friday, June 5, 2015

Surah Yusuf ayat 41 Hingga ayat 50

Surah Yusuf ayat 41


“"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu".


Setelah selesai menyampaikan dakwah, berbaliklah Nabi Yusuf memperkatakan tentang tadbir mimpi kedua pemuda yang bertanya tadi. Menurut riayat Ikrimah, bahwa tadbir mimpi yang pertama itu ialah ia akan segera dibebaskan dari penjara dan akan kembali bekerja sebagai pelayan sepertimana dia belum masuk penjara. Tetapi orang kedua yang bertanya tadbir mimpinya itu, ia akan dipanggil pulang ke istana bukan untuk bebas, tetapi untuk menerima hukuman atas kesalahannya. Ia akan disalib, di atas kayu palang, sampai mati.


Lalu Nabi Yusuf pun memberitahu mereka bahwa tadbir mimpi mereka telah pun beliau tafsirkan. Bahwa ianya sudah pun menjadi keputusan yang tidak boleh dibangkang lagi. Ini kerana tadbir mimpi Nabi Yusuf itu bukanlah sekedar mengikut pemikiran dari Nabi Yusuf tetapi ianya adalah wahyu agung dari Allah. Dan raja pun sudah menetapkan hukuman kepada kedua-dua pemuda yang dipenjarakan dahlu.


Surah Yusuf ayat 42


Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu". (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.”


Nabi Yusuf yakin bahwa pemuda yang bermimpi memerah anggur itu akhirnya akan dibebaskan dari penjara dan terselamat dari hukuman. Oleh itu beliau berpesan kepada pemuda itu, apabila pemuda itu telah keluar dari penjara, maka hendaklah diceritakan kepada raja tentang diri Nabi Yusuf yang berada di dalam penjara. Hendaklah pemuda itu menceritakan semua apa yang ia telah lihat dan dengar perihal tentang Nabi Yusuf. Mudah-mudahan raja tersebut akan maklum dan insaf kepada orang yang menganiaya Nabi Yusuf sehingga dapatlah Nabi Yusuf pula dikeluarkan dari penjara.


Dan yang paling lagi, ialah tentang usaha dakwah beliau dalam menegakkan agama Allah dan perihal dari mentadbir mimpi.


Demikianlah Nabi Yusuf berpesan kepada pemuda pertama yang bakal bebas itu. Tetapi malangnya pemuda itu telah dilupakan oleh syaitan sehingga ia tidak teringat sedikit pun untuk menceritakan kepada raja. Dengan demikian Nabi Yusuf tinggal di dalam penjara bebarapa tahun lama.




Surah Yusuf ayat 43


Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".


Bertahun-tahun lamanya Nabi Yusuf merengkok di dalam penjara. Kalau kita telitikan kisah Nabi Yusuf ini, kita akan fahami bahwa penahanan Nabi Yusuf di dalam penjara ini adalah lebih kepada bersifat politik. Ini kerana demi menjaga nama baik isteri-isteri pembesar-pembesar kerajaan. Maka apabila seorang telah dikenakan tahanan politik, maka tidak dipastikanlah bila masa ia akan dapat keluar dari penjara.


Kedua sahabat Nabi Yusuf semasa di dalam penjara telah pun bebas dan seorang lagi telah pun dijatuhkan hukumannya. Pesanan Nabi Yusuf kepada sahabatnya supaya memberitahu kepada raja akan keberadaan beliau di dalam penjara, namun kawan itu telah lupa, atau disengaja melupakan oleh syaitan.


Tersebutlah pada suatu hari, terjadilah suatu perkara yang kelak akan segera merubah nasib Nabi Yusuf. Raja yang pada masa itu telah bermimpi sesuatu yang pelik. Di dalam mimpinya terdapat sapi gemuk dan sapi kurus. Gemuk adalah lambang dari kesuburan dan kurus adalah lambang dari kurang makan. Didapati sapi kurus itu telah membaham sapi gemuk. Ditelan sapi gemuk itu masuk ke dalam perut sapi kurus sehingga tidak ada apa lagi yang tinggal. Namun yang menghairankan sapi kurus itu tidak pula gemuk-gemuk setelah memakan sapi gemuk itu.


Dan raja juga bermimpi bahwa dia telah melihat tujuh tankai gandum yang hijau yang amat subur dan lebat buahnya. Bersama itu ada juga tujuh tangkai gandum yang kering kerana sudah diambil buahnya. Tiba-tiba tangkai gandum yang kering itu melentur menindih ke atas tangkai gandum yang hijau itu dan menudunginya sehingga tangkai gandum yang hijau itu habis lenyap tidak ada yang tinggal sebatang pun.


Raja terperanjat dengan mimpinya itu. Lalu ia igin mengetahui apakah alamat yang menimpa ia dengan mimpi tersebut. Diperintahkannya memanggil sekalian tukang tenung, ahli sihir, dan para pendeta yang pandai yang ada di negerinya supaya datang mengadapnya untuk mentadbir mimpi nya itu.  Apabila mereka semuanya telah hadir, raja pun menceritakan apa yang telah dilihatnya di dalam mimpi nya dan supaya mereka hadir dapat mentadbir mimpinya.


Surah Yusuf ayat 44


“Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu". - 44


“Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: "Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) ". - 45


Apabila para hadirin tukang sihir, tukang tenun, para pendeta mendengar kisah mimpi raja tersebut, mereka berasa pelik memikirnya dan bingung bagaimana hendak mentadbirkan mimpi tersebut. Mereka mengatakan bahawa mimpi raja tersebut adalah mimpi yang kacau bilau, hanya igauan saja. Ianya adalah dariapda jenis mimpi yang terbit dari kekacukan fikiran lalu terbawa di dalam tidur, kemudian menjelma menjadi mimpi, sedikit pun tidak ada mengandungi makna atau maksud yang tertentu.


Kemudian mereka mengaku pula bahwa mereka tidak berdaya untuk mentadbir mimpi itu. Dan ini adalah takdir daripada Allah swt untuk menjadi sebab keluarnya Nabi Yusuf dari penjara.


Dan benarlah kemudian apabila cerita tentang mimpi raja yang tiada seorang pun dapat mentadbirnya itu telah menjadi perbualan orang ramai, maka pemuda, kawan sepenjara Nabi Yusuf yang kini telah menjadi pelayan raja, telah teringat semula akan pesanan Nabi Yusuf dahulu semasa dia masih berada di penjara bersama Nabi Yusuf. Dia teringat kembali tentang kepandaian Nabi Yusuf mentadbir mimpi. Kenangan itu telah jauh berlalu beberapa tahun lamanya kerana telah dilupakan oleh syaitan. Lalu ia pun mengadap raja dan bercerita kepada raja tentang Nabi Yusuf.


Oleh kerana pembesar-pembesar negeri Mesir yang terdiri dariapda tukang tenung, ahli sihir dan para pendeta itu semuanya tidak berdaya mentadbir mimpi raja, maka inilah peluang yang baik bagi pemuda itu untuk tampil menemui raja dan memberitahukan tentang Nabi Yusuf yang telah dilupakannya itu.


Pemuda itu memberitahu raja bahwa terdapat seorang lelaki yang alim lagi salih serta taat beribadat kepada Tuhan. Dia sangat pandai mentadbir mimpi. Orang itu pada masa ini sedang berada di dalam penjara. Sekiranya raja membenarkan maka izinkanlah dia menjadi utusan tuanku ke dalam penjara dan dia akan pergi menemui nabi Yusuf untuk meminta nabi Yusuf mentadbir mimpi raja tersebut.


Maka raja itu pun memperkenankan untuk mengutus pemuda tersebut pergi ke penjara. Di sana dia menemui Nabi Yusuf dan bertanya kepadanya tentang tadbir mimpi raja yang semua orang tidak berdaya untuk mentadbirnya.



Surah Yusuf ayat 46


(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".


Apabila pemuda itu smpai di penjara dan menemui Nabi Yusuf. Pemuda itu telah memanggil Nabi Yusuf dengan panggilan orang yang paling benar, lurus dan jujur dalam segala perkataan dan perbuatannya, serta tafisran yang diberikan untuk mimpi yang ditadbirkannya juga adalah semuanya benar.


Pemuda itu meminta Nabi Yusuf untuk menerangkan apakah maksud mimpi raja berkenaan dengan tujuh ekor lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu betina yang kurus. Dan juga tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh tangkai gandum yang kering. Tafsir tadbiran mimpi ini kelak akan dibawa oleh pemuda itu untuk dipersembahkan kepada raja yang sedang menunggu-nunggu untuk mengetahui maksud mimpinya itu.




Surah Yusuf ayat 47


Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”


Nabi Yusuf pun menerangkanlah apakah maksud mimpi tersebut. Maksud mimpi tujuh ekor lembu yang gemuk dan tujuh tangkai gandum yang hijau melambangkan tentang tujuh tahun yang mewah kerana kesuburan tanah Mesir mendatangkan hasil tanam-tanaman yang banyak. Manakala tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai gandum yang kering pula melambangkan tentang tujuh tahun yang susah untuk mendapat makanan kerana adanya musim kemarau yang menyebabkan sawah ladang tidak menjadi. Kedua-dua musim mewah dan musim susah itu masing-masing akan tiba di negeri Mesir dan negeri-negeri yang berhampiran dengannya.


Oleh sebab itu pihak kerajaan haruslah memerintahkan rakyat supaya bertanam gandum dan bahan makanan bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berterusan jangan berhenti. Kemudian hasil tanaman tersebut hendaklah semuanya disimpan bersama tangkainya sekali supaya tahan lama dan tidak lekas rosak sebab bukan biji-bijian saja dijadikan makanan untuk manusia bahkan tangkainya pun juga dapat dijadikan makanan binatang bila sampai waktu berhajat.


Kecuali sedikit saja daripada hasil tanaman itu yang boleh diambil untuk dimakan, iaitu sekadar untuk menghilangkan lapar setiap hari. Bererti di sini seberapa banyak hasil pertanaian yang diperolehi tiap-tiap tahun hendaklah disimpan, kecuali untuk keperluan makanan hendaklah dikeluarkan sedikit-sedikit secara berhemat selama tujuh tahun itu. Langkah ini dibuat tujuannya adalah untuk berjaga-jaga, sebab selepas itu akan datang pula tujuh tahun musim kemarau.

Surah Yusuf ayat 48 dan 49


“Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).” - 48


“"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". - 49


Selepas datang musim mewah akan datang pula musim susah, di merata-rata negeri Mesir dan yang berhampiran dengannya hujan pun tida turun, menyebabkan tanamana mati sehingga makanan susah untuk didapat. Keadaan ini berjalan selama 7 tahun berturut-turut, menyebabkan semua penduduk negeri dalam kesusahan.


Kalaulah tidak ada makanan yang disimpan dengan cara berlebihan nescaya ramailah manusia mati kebulur. Makanan yang mereka simpan selama tujuh tahun itu kelak akan habis semuanya, kecuali sedikit saja yang tinggal untuk benih menanam semula yang mesti disimpan jangan dikacau lagi.


Susah dan senang dalam dunia ini datangnya silih berganti, keduanya tidak ada yang kekal, masing-masing ada had dan batasnya. Setelah manusia itu mengalami kesusahan selama tujuh tahun lamanya maka tibalah pula masanya mereka diberi pertolongan oleh Tuhan dengan kedatangan musim hujan yang menyebabkan tanah menjadi subur, tanaman-tanaman mengeluarkan hasil yang sangat banyak.


Pada masa itu masing-masing memerah anggur menjadi minuman, buah zaiton dan bijan diperah menjadi minyak yang melambangkan kemakmuran dan kemewahan hidup, sehingga mereka terlepas dariapda bahaya kelaparan dan kesusahan.


Penerangan yang akhir ini bukanlah merupakan tadbir mimpi, hanya tambahan dari kata-kata Nabi Yusuf yang tentunya dikhabarkan menerusi wahyu. Dan setelah mendengar semua itu, pemuda itu pun pulanglah keluar dari penjara menemui raja yang sedang menunggu.


Surah Yusuf ayat 50


“Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:" Bawalah dia kepadaku! "Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka".


Apabila mendapat tahu tentang tadbir mimpinya daripada pemuda itu yang dihantar untuk menemui Nabi Yusuf, raja merasa amat girang sekali mendengarnya. Raja itu percaya akan tadbir mimpi yang diceritakan kepadanya itu tidak syak lagi akan menjadi kenyataan. Lalu raja itu memerintahkan kepada pemuda itu supaya pemuda itu membawakan Nabi Yusuf  datang mengadapnya, supaya raja itu dapat melihat dan bertemu dengan Nabi Yusuf sendiri.


Maka pemuda pergi lagi menemui Nabi Yusuf di dalam penjara buat kali kedua. Kali ini pemuda itu datang untuk menyampaikan titah raja yang memanggil Nabi Yusuf supaya mengadapnya. Tetapi Nabi Yusuf menjawab, “Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka".


Nabi Yusuf mengatakan demikian dengan tidak membabitkan isteri pembesar Al Aziz secara langsung sebagai kesopanan dan tanda hormat kepadanya, juga tidak mahu terburu-buru keluar dari penjara meskipun rjaa telah memerintahkan beliau untuk keluar.


Ini membuktikan sikap Nabi Yusuf yang sungguh sabar dan pendiriannya yang amat teguh. Dan Nabi Yusuf tidak mahu keluar dari penjara dengan begitu saja sebelum raja tahu apakah sebab beliau telah dipenjarakan sebegitu lama. Dan Nabi Yusuf juga enggan dibebaskan, sebelum diisytiharkan dirinya sebagai orang yang tidak besalah.


Dari sikap Nabi Yusuf ini kita mendapat pengajaran tentang wajibnya seitap kita menjaga kehormatan diri. Demi kehormatan diri itulah, Nabi Yusuf telah memohon agar raja menyelidiki dahulu dan ditanya lebih dahulu perempuan-perempuan dari kalangan isteri pembesar supaya nanti nyata Nabi Yusuf bersih dari tuduhan, dan beliau keluar dari penjara bukan kerana beliau pandai mentadbir mimpi. Ini kerana di hari ke depan, kemungkinan akan ada yang berdengki dan akan mula menyebarkan kata-kata dan fitnah bahwa Nabi Yusuf dipenjarakan adlah atas dasar kesalahan yang sangat besar.


Dalam hubungan ini Rasulullah saw telah memuji tentang kelebihan Nabi Yusuf dan kesabarannya dalam menghadapi bala dan cubaan daripada Tuhan, kerana baginda saw pernah mengatakan sebagi yang diriwayatkan dariapda Abu Hurairah yang bermaksud:
“Kalau sekiranya aku tinggal di dalam penjara selama Yusuf itu tinggal, nescaya aku segera keluar menyahut panggilan orang yang menyuruh aku keluar. “ (HR Bukhari dan Muslim)

Apabila pemuda itu mendengar kata-kata Nabi Yusuf yang enggan keluar dari penjara selagi perkaranya dengan perempuan-perempuan dan isteri Al Aziz itu belum diselesaikan, seketika itu dia pun kembali semula untuk mengadap raja.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.