Saturday, June 27, 2015

Surah Al Hijr Ayat 32 Hingga 50

Surah Al Hijr Ayat 32 Hingga 36


Allah berfirman: Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?". - 32


“Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya". - 33


“Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.’ - 34


“"Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat". - 35


“Iblis berkata:" Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat)".  - 36


Apabila disuruh untuk sujud kepada makhluk yang bergelas manusia, maka malaikat pun mengikut perintah Allah untuk sujud. Semuanya merendah diri kepada manusia yang pertama yang diberi nama Nabi Adam dengan serentak tanpa bantahan.


Kecuali iblis. Dengan jawapan yang terserlah kesombongannya, iblis merasakan yang sujud kepada makhluk yang bernama manusia itu adalah satu penghinaan baginya. Iblis merasa ia mempunyai kelebihan berbanding manusia itu. Pertama, iblis dijadikan daripada api berbanding manusia yang hanya diciptakan dariapda tanah yang berbau. Kedua, iblis dijadikan lebih dahulu daripada manusia. Dan ketiga, menurut hadis-hadis sahih, iblis ini adalah makhluk yang sangat taat pada mulanya. Berjuta-juta tahun ia telah beribadat kepada Allah. Tidak ada sejengkal langit pun yang tidak dijadikannya sebagai tempat sujud keapda Allah.


Tiba-tiba di saat penting ini, dia disuruh untuk sujud kepada makhluk yang hina pada pandangan matanya sendiri. Ini berbeza dengan para malaikat yang terus sujud memberi hormat kerana mentaati perintah Allah. Malaikat tunduk sujud walaupun kedudukan mereka lebih mulia dari manusia dan juga daripada iblis.


Maka timbullah sifat-sifat buruk, ketakaburran, keengganan menjalankan perintah dan kedengkian pada diri yang berasal dari api beracun itu. Dan timbullah murka Allah sepertimana yang difirmankan  di dalam ayat 34. Iblis telah bertukar menjadi makhluk yang terkutuk lantaran ia sombong, angkuh dan enggan menuruti perintah, merasakan dirinya lebih hebat dari makhluk lain. Iblis itu sebenarnya menilai makhluk manusia ini yang asalnya dari tanah saja. Bukannya ia menilai sifat-sifat yang ada pada makhluk manusia itu dan keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada manusia.


Ok, bukankah perkara begini selalu terjadi di kalangan manusia sesama manusia sendiri? Ini sebenarnya adalah pengaruh dari iblis yang telah masuk ke dalam diri mereka. Ramai manusia yang membanggakan keturunannya dan asal usulnya, lalu sehingga sanggup menghina manusia lain yang tidak stinggi darjat dan keturunan sepertimana ia. Sehinggakan apa-apa saja yang diilhamkan dan usaha yang murni yang dilakukan oleh seseorang itu dipandang hina dan tidak bernilai oleh mereka semata-mata kerana asal keturunan yang rendah.


Dengan firman Allah yang sedemikian di dalam ayt 35 ini, maka sejak waktu itu, Allah telah melaknat makhluk yang bernama iblis. Dan sejak itu pula manusia telah mempunyai musuh yang hebat lagi dilaknat, yang menyebabkan manusia itu wajib berwaspada menghadapinya.


Iblis telah disuruh keluar dari syurga kerana kesombongannya itu. Namun sebelum keluar dari syurga, iblis telah membuat satu permohonan keapda Allah sepertimana ayat 36. Permohonannya ialah supaya diberi tangguh, iaitu janganlah dimatikan sehingga hari kiamat tiba, di mana sekalian makhluk dibangkitkan dari kuburnya. Ini bererti dia ingin hidup terus menerus, kerana apabila dia ditangguhkan hingga hari kiamat kerana pada hari kiamat tidak seorang pun akan mati pada hari itu. Dengan demikian dia akan terus menerus tidak mati selamanya. Itulah sebabnya ia meminta tangguh sampai datangnya hari kiamat.


Surah Al hijr Ayat 37 Hingga Ayat


“Allah berfirman: "Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.” - 37


“"Hingga ke hari - masa yang termaklum".  - 38


‘Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, “ - 39


“"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik". - 40


Allah menjawab dengan mengatakan, bahwa permintaan iblis untuk tidak dimatikan sehingga ke hari kiamat itu perlulah ada batasannya. Iblis hanya diberi masa sehingga waktu yang termaklum saja. Selepas itu iblis juga harus dimatikan sepertimana makhluk-makhluk yang lain.


Adapun waktu yang termaklum itu ialah waktu di mana sekalian makhluk dimatikan semuanya oleh Allah. Iaitu ketika serunai sangkakala ditiupkan pada kali yang pertama. Dan iblis tidak akan ditangguhkan sampai kepada waktu di mana serunai sangkakala kedua ditiupkan. Ini kerana pada masa tiupan kedua itu semua makhluk akan dibangkitkan semula dan tidak ada siapa lagi yang akan mati setelah saat itu.


Allah memperkenan rayuan iblis meminta tangguh bukanlah satu penghormatan kepadanya. Tetapi penangguhan yang diberikan itu adalah untuk menambah bala kepadanya dan kesengsaraan serta seksaan yang berpanjangan kepadanya.


Pada ayat 39 ini iblis telah bertekad. Disebabkan Allah telah mentakdirkan ia sesat, maka sebagai balasan dia pula akan menyesatkan anak cucu Adam dengan memujuk mereka untuk memandang baik segala perbuatan maksiat  dan mendorong mereka dengan segala tipu muslihat agar mereka menjauhi segala perintah dan suruhan Allah. Kemudian iblis juga bertekad bahawa segala usaha untuk menyesatkan anak cucu Adam ini pasti akan berhasil dan berjaya kecuali terhadap hamba-hamba yang tulus di dalam mentaati perintah Allah , tulus daalam bertauhid dan beribadat kepada Allah, serta mereka yang mendapat taufik dan hidayat dari Allah. Mereka ini tidak akan dapat digoda oleh iblis dan tidak ada daya iblis untuk berbuat demikian keapda mereka.



Surah Al Hijr Ayat 41 Hingga 43


“Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.” - 41


“"Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri). ‘ - 42


“"Dan sesungguhnya neraka Jahannam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka (yang menurutmu).’  43


“"Ia mempunyai tujuh pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)". - 44


Allah mengatakan kepada iblis bahwa inilah jalan yang lurus yang akan kembali kepadaKu. Maka tiap-tiap seorang akan Aku beri pembalasan mengenai amalannya, jika baik dibalas dengan baik, dan jika jahat dibalas dengan jahat. Maksudnya Allah nak kata bahwa sesiapa pun jua, makhluk apa pun jua, tak kira manusia iblis atau malaikat, semuanya akan kembali kepada Allah, semuanya akan menemui Allah akhirnya. Jadi tiada gunalah sikap sombong yang ditunjukkan oleh iblis selama ini yang ingin melepaskan diri dan tidak mahu dimatikan untuk dikembalikan kepada Allah.


Dan dengan tegas dan sombong juga Allah berkata kepada iblis lagi bahwa mana-mana hamba yang sejati mentaati Allah, tidak akan dapat senang-senang dipengaruhi oleh iblis. Ini kerana mereka telah memilih jalan yang benar iaitu jalan Allah. Dan mereka tidak memilih jalan yang lain yang akan menyesatkan mereka mengikuti Iblis.


Ada juga di kalangan hamba itu yang berlengah, terlalai dalam perjalanan. Ia merasa bingung dan keliru untuk membelok ke kiri atau pun ke kanan. Lalu inilah kesempatan untuk iblis itu merayu dan memujuk mereka supaya mereka kehilangan pertimbangan lalu mereka pun mengikuti rayuan iblis. Ditinggalkannyalah jalan yang lurus itu. Menyeleweng ke jalan yang salah dan sesat lagi gelap. Hamba-hamba yang beginilah yang dapat iblis tarik.


Tetapi sekiranya hamba yang melencong dan menyeleweng itu tadi telah sedar kembali sebelum terlambat, lalu dia kembali ke jalan yang lurus semula iaitu jalan yang benar lagi cerah, dan iblis itu ditinggalkannya, maka hamba itu masih tetap akan diterima taubatnya oleh Allah. Kecewalah iblis dengan orang yang mahu kembali ke jalan yang lurus. Tetapi sekiranya hamba-hamba ini tidak sedar masih terus menerus mengikuti jalan yang sesat yang tidak tentu penghujungnya, maka celakalah hamba ini. Mereka ini akan ditermpatkan di dalam tempat yang paling teruk sebagai pembalasan ke atas kederhakaan mereka. Iaitu neraka.


Demikianlah dibayangkan perjuangan yang harus dihadapi oleh manusia di dalam hidup mereka. Seawal dari lahir ke dunia, manusia sudah mula diingatkan bahwasanya di mana-mana saja sudah ada musuh yang menunggu, iaitu iblis. Dan memang begitulah keseronokan dalam hidup dan kehebatan dalam berjuang menjalani kehidupan. Kemenangan di dalam perjuangan itulah yang akan meninggikan nilai kehidupan seseorang. Dan nilai jugalah yang akan ditempuh selepas kehidupan di dunia, iaitu samada pulang kepada Allah dengan gembira iaitu Jannatun Naim ataupun ke lubuk penyesalan yang tidak berkesudahan iaitu neraka jahanam.


Allah memberitahu bahwa neraka itu memiliki tujuh pintu. Maksudnya setiap pintu dari pintu-pintu neraka itu telah ditetapkan bagi golongan-golongan pengikut iblis yang akan memasukinya. (semoga Allah melindungi kita semua dari memasukinya. Amin!) Tiap-tiap golongan itu masuk dan kekal tinggal di dalamnya sesuai dengan amal perbuatan mereka.


Sebuah hadis ada menyebutkan bahwa :
“Dan telah meriwayatkan Ibnu Mandawaihi dan Al Khathib dalam tarikhnya, dari Ans, : Berkata Rasulullah saw tentang firman Allah , “dari tiap-tiap pintu bagi mereka, ada bahagian yang tertentu itu. Satu bahgian buat yang menyekutukan Allah, satu bhagian untuk yang ragu-ragu keapda Allah, dan satu bahagian lagi tempat orangyang lalai dari Allah.”


 


Surah Al Hijr Ayat 45 Hingga 50


"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. ". - 45


“(Mereka dipersilakan oleh malaikat dengan berkata): "Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman".  - 46


“Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas pelamin masing-masing.” - 47


“Mereka tidak akan disentuh susah payah dalam Syurga itu, dan mereka pula tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.” - 48


“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).” - 49


“Dan bahawa azabKu, ialah azab yang tidak terperi sakitnya, (bagi mereka yang tetap dalam kederhakaannya).’ - 50


Sekarang ini diterangkan pula tentang orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Mereka itu adalah orang yang bertakwa, yang yakin dan takut menderhakai Allah, takut kepada seksaanNya, patuh kepada suruhanNya, perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mereka ini akan dimasukkan ke dalam syurga yang terdapat di dalamnya pancutan-pancutan mata air yang indah, untuk kesenangan merka bersama-sama dengan bidadari yang dikhaskan berkhidmat untuk mereka.


Kelak akan dikatakan kepada mereka, masuklah kamu ke dalam syurga dengan sejahtera. Iaitu selamat sejahtera, lagi aman sentosa dari kematian dan malapetaka. Kata-kata tersebut samada datang dari Allah atau setengah para malaikat, sebagai tanda penghormatan kepada mereka.


Di dalam syurga nanti, di dalam diri setiap penghuni syurga itu, Allah telah siap-siap membuang segala bentuk perasaan yang tidak baik umpamanya dengki, hasad, benci dan permusuhan dari dalam hati mereka. Inilah nikmat syurga yang paling penting sekali untuk diperhatikan. Dan inilah puncak segala nikmat. Memang ada syurga yang indah, dengan mengalir sungai-sungai yang jernih di bawahnya, tetapi lebih daripada itu semua adalah hilangnya rasa dengki di dalam syurga nanti.


Adanya syurga tetapi kalau tidak dibuang rasa dengki, dendam kesumat dan permusuhan yang ada di dalam diri, syurga pun akan boleh bertukar menjadi neraka. Bahkan salah satu sebab yang menjadikan kita hidup di dunia ini kerap kali merasa sukar dan seperti di dalam neraka adalah kerana sifat-sifat inilah. Di dalam perlumbaan hidup mencari kesenangan dan kedudukan, mencari kekayaan, lebih-lebih lagi di zaman ekonomi yang sedang tenat sekarang ini, cita-cita dan kemahuan hawa nafsu menjadi pengaruh besar dalam hidup kita. Kita sering didorong oleh perasaan tamak dan mementingkan kesenangan diri sendiri. Bukan tidak ada di dalam jiwa kita sesuatu yang baik seperti amal soleh, hidup berbakti dan tolong menolong dengan ikhlas. Tetapi hakikatnya tidak semua orang menyenangi kejayaan yang kita perolehi.


Di samping usaha kita hendak naik, pasti ada orang yang akan menarik kita ke bawah. Di samping kejayaan yang telah kita capai, pasti ada orang yang sakit hati. Dan itu sedikit sebanyak mempengaruhi jiwa kita. Ada kalanya kita yakin yang kita telah berbuat baik, namun perasaan benci orang kepada kita masih ada. Bagaimana carapun untuk kita memujuk hati kita supaya bersabar, tetapi perasaan benci yang hadir di dalam hati kita pasti tetap ada.


Jadi di dalam ayat ini, Allah nak terangkan bahwa perasaan benci, dendam dan permusuhan inilah yang dicabut dari dalam dada apabila nanti manusia itu dimasukkan ke dalam syurga. Tidak ada lagi perasaan tidak baik di dlaam setiap ahli syurga. Dulu-dulu kita ada membenci seseorang semasa kita di dunia. Ditakdirkan kita telah masuk syurga juga akhirnya. Dan orang yang kita benci itu pun masuk syurga juga. Dan kita bertemu dengan dia di dalam syurga. Di kala itu, kita tidak akan lagi merasa benci atau marah padanya. Perasaan itu sudah hilang. Sudah dicabut oleh Allah. Yang ada cuma perasaan berkasih sayang sesama ahli syurga. Maka duduk-duduklah sesama kita ahli syurga, di tilam empuk di dalam mahligai yang serba indah, bersenda gurau merasakan nikmat Ilahi. Allahu rabbi!


Penghuni syurga juga tidak akan merasakan lesu, penat atapun letih. Bahkan mereka sentiasa sihat, cantik, segar dan cerdas. Mereka dijamin oleh Allah akan hidup di dalam syurga berkeadaan kekal, sempurna dan berjaya tidak kecewa.


Di dalam ayat 49 ini , kata hamba digunakan untuk menunjukkan bahwa ianya ditujukan kepada semua umat manusia. Tak kira mukmin ataupun kafir.  Allah menyuruh RasulNya supaya memberitahukan kepada seluruh hamba-hambaNya itu bahawa Allah akan mengampunkan dosa mereka sekiranya mereka mahu bertaubat kepada Allah dan kembali kepada kebenaran dengan tidak akan membukakan keburukan dosa mereka pada hari kiamat. Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang tidak akan menyeksa hambaNya yang sudah pun bertaubat.


Dan beritahukanlah kepada mereka juga bahwa Allah akan pasti menyeksa mereka sekiranya mereka terus derhaka dan berbuat maksiat. Dan seksa Allah adalah tersangat pedih.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.