Thursday, September 3, 2015

Surah Al Anbiya Ayat 58 - 81





Al Anbiya Ayat 58 Hingga 63

21:58 > Lalu ia memecahkan semuanya berketul-ketul, kecuali sebuah berhala mereka yang besar (dibiarkannya), supaya mereka kembali kepadanya. 

21:59 > (Setelah melihat kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim". 

21:60 > (Setengah dari) mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya".

21:61 > (Ketua-ketua) mereka berkata: "Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya). 

21:62 > (Setelah ia dibawa ke situ) mereka bertanya: "Engkaukah yang melakukan demikian kepada tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?" 

21:63 > Ia menjawab: "(Tidak) bahkan yang melakukannya ialah (berhala) yang besar di antara mereka ini! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata".

Menurut riwayat As Suddi, pada suatu ketika kaum Nabi Ibrahim yang menjadi penyembah berhala ini sedang menghadiri satu perayaan yang diadakan oleh Raja Namrud, Nabi Ibrahim telah masuk ke tempat pemujaan berhala mereka dengan membawa alat untuk menghancurkan berhala-berhala itu. Ianya berbentuk seperti kapak. Dicincangnya satu demi satu sehingga berhala itu menjadi berkeping-keping. Nabi Ibrahim menghancurkan semua berhala kecuali tinggal satu berhala saja yang tidak dicincang hancur, iaitu berhala yang besar.

Apabila kaum Nabi Ibrahim kembali ke tempat pemujaan berhala tersebut, alangkah terkejutnya mereka melihat semua berhala telah hancur musnah kecuali yang berhala yang besar. Mereka bertanya sesama sendiri siapakah yang berani melakukan demikian?

Oleh kerana ada orang yang mendengar ketika Nabi Ibrahim bersumpah hendak membinasakan berhala-berhala mereka, lalu mereka mula mengesyaki Nabi Ibrahim yang melakukannya. Tak ada orang lain yang berkata seperti itu melainkan dia. Maka perkara itu pun sampailah ke pengetahuan Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya.

Lalu Raja Namrud pun memerintahkan supaya Nabi Ibrahim dibawa ke muka pengadilan, untuk dibicarakan di hadapan khalayak ramai. Setelah Nabi Ibrahim dihadapkan ke khalayak  ramai, mereka pun bertanya kepada Nabi Ibrahim adakah beliau yang membinasakan patung-patung berhala mereka? Mereka memaksa Nabi Ibrahim supaya mengaku akan kesalahannya dan menyangka tentulah Nabi Ibrahim tidak dapat membuat helah lagi.

Nabi Ibrahim adalah seorang yang sangat pintar dalam membuat helah. Dan selalu memberikan jawapan yang sangat tepat berdasarkan alasan-alasan  dan hujah yang bakal menjerat lawannya sehingga akan membuatkan mereka terpinga-pinga. Nabi Ibrahim mengatakan bahwa yang membinasakan berhala semua itu adalah patung yang besar yang berdiri itu. Kata Nabi Ibrahim lagi bahwa patung itu sangat murka dengan mereka kerana telah menyembah patung lain bersama dengan patung besar itu. Padahal ia adalah patung yang paling besar. Maka kerana murka maka patung besar itu telah menghancurkan patung-patung kecil yang lain. Lalu Nabi Ibrahim menyindir mereka lagi dengan mengatakan kalau mereka tidak percaya, tanyakanlah kepada patung besar itu sekiranya benar patung itu boleh bercakap.  

Difahamkan daripada kata-kata Nabi Ibrahim tadi, bahwa patung-patung tersebut tentu saja tidak boleh bercakap. Tetapi Nabi Ibrahim telah memperolok-olokkan kaumnya, padahal Nabi Ibrahim lah yang telah melakukan perbuatan itu.  Nabi Ibrahim menyindir mereka. Ini bukanlah bermakna Nabi Ibrahim telah berbohong. Tetapi Nabi Ibrahim berbuat begini adalah untuk menyedarkan kaumnya akan hakikat bahwa patung itu memang terang-terang tidak boleh bercakap. Malah tidak boleh berbuat apa-apa pun untuk mereka ataupun untuk dirinya sendiri.







 Al Anbiya Ayat 64 Hingga 67

21:64 > Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim". 

21:65 >Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?" 

21:66 > Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? 

21:67 > "Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?"

Setelah mendengar kata-kata nabi Ibrahim yang merupakan hujah yang kuat dan sangat menusuk ke dalam hati dan akal fikiran mereka, maka orang-orang penyembah berhala tadi menjadi terpinga-pinga dan tertanya-tanya. Sejurus, mereka merasa tersangat malu dengan hujah Nabi Ibrahim. Kerana mereka tahu dan menyedari, bahwa berhala yang mereka sembah itu memang terang-terang tidak boleh berbuat apa-apa. Apatah lagi bercakap untuk menerangkan hal sebenar. Jagi bagaimana berhala itu layak untuk dijadikan Tuhan mereka untuk disembah?

Dengan menyedari hakikat ini, mereka telah mula mencela antara satu sama lain, dengan mengatakan mereka memanglah salah dan telah menganiaya diri mereka sendiri kerana telah menyembah benda yang tidak boleh bercakap. Perbuatan itu menunjukkan suatu kebodohan yang tidak tidak patut mereka lakukan.

Setelah jelas keadaan mereka sudah mula mengakui bahwa mereka telah menganiaya diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tetap tidak mahu mengakui kesalahan mereka di depan Nabi Ibrahim. Orang yang sudah tahu ia salah tapi masih berdegil tidak mahu mengaku salah. Di sinilah Allah telah menyatakan di dalam ayat 65 di mana mereka telah diterbalikkan fikiran mereka dalam kesesatan semula. Mereka masih mahu menegakkan pendirian mereka yang penuh kekufuran. Mereka tidak mahu sedar, bahkan mereka berdegil untuk tetap berkeadaan kufur seperti mula-mula. Maka Allah terbalikkan fikiran mereka untuk tetap di dalam kesesatan.

Lalu mereka pun berkata kepada Nabi Ibrahim dengan nada menentang, bukankah engkau sudah tahu, wahai Ibrahim bahwa berhala-berhala itu tidak pandai bercakap, mengapa pula kami disuruh menanyakan kepadanya? Mereka tetap mahu meletakkan kesalahan ke atas Nabi Ibrahim. Memang tidak masuk akal berhala yang besar yang menghancurkan berhala yang kecil. Ini bukan perbuatan berhala yang tidak dapat berbuat apa-apa. Ini sudah pasti perbuatan manusia. Berhala itu bisu, tidak bergerak, usahkan nak menghancurkan berhala lain! Dan manusia yang menghancurkan berhala-berhala itu sudah pastinya adalah Nabi Ibrahim.

Mendengarkan pertanyaan mereka yang berupa penentangan itu, Nabi Ibrahim mencela dan mencaci perbuatan mereka. Mereka sendiri tidak dapat nak percaya bahwa berhala besar itu dapat menghancurkan berhala kecil, kerana ia tidak dapat bergerak dari tempatnya. Dan mustahil ia dapat menjawab pertanyaan mereka, kerana berhala itu adalah suatu benda yang mati. Jadi mengapakah mereka menyembah semuanya itu??

Yang mereka sembah itu adalah sesuatu yang amat buruk, amat tercela sekali. Jadi perbuatan mereka menyembah sesuatu yang buruk dan tercela, juga perbuatan yang amat buruk dan tercela.  Tidak mereka terfikir bahwa mereka dalam kesesatan dan kekufuran. Padahal mereka adalah orang-orang yang sudah cukup dewasa yang mempunyai banyak pengalaman tentang kehidupan. Tidaklah patut sekali mereka menjadi orang yang siuman, yang akan berterusan berada di dalam kesesatan. Tidaklah patut bagi mereka sebagai orang yang berakal  melakukan perbuatan dengan menyembah kepada sesuatu benda, yang sedikit pun tidak daapt mendatangkan manafaat dan bahaya kepada mereka.






Al Anbiya Ayat 68

21:68 > (Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya!"

Setelah mereka tidak dapat lagi membalas hujah Nabi Ibrahim, mereka menentang pula dengan kekerasan. Lalu mereka mengeluarkan arahan supaya Nabi Ibrahim dibakar. Itulah hukuman yang dikenakan ke atas Nabi Ibrahim kerana telah menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Jadi demi untuk menuntut bela ke atas tuhan mereka, maka orang yang menghancurkan tuhan mereka harus dibakar. Kalau tidak diadakan pembelaan, mereka khuatir takut pemikiran kaum mereka akan berpindah kepada yang lain. Jadi pembelaan harus dilakukan segera.

Nabi Ibrahim sejak mula lagi sudah pun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Bila diteliti dari perbuatan Nabi Ibrahim yang berani menghancurkan berhala-berhala yang kelak sudah pasti akan menimbulkan kemarahan ramai, dan bakal menerima tentangan hebat, juga bakal menerima hukuman yang berat, dari sini kita dapat memahamii bahwa keyakinan Nabi Ibrahim terhadap agama yang dianuti beliau adalah sangat kukuh dan mantap sekali. Tertanam utuh di dalam diri Nabi Ibrahim a.s. Sehingga beliau sanggup menghadapi sebarang kemungkinan yang dahsyat. Pendirian beliau tetap dan tidak akan berganjak lagi. Subhanallah!

Inilah sebab maka orang yang berjihad pada jalan Allah, lalu tewas kerana keyakinannya, diberi penghormatan tertinggi oleh Allah dengan diberi kemuliaan syahid.

Nabi Ibrahim telah bersedia menerima hukuman.






Al Anbiya Ayat 69 Hingga 70

21:69 > Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ". 

21:70 > Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya).

Atas kehendak Allah, setelah Nabi Ibrahim dilemparkan ke dalam api, api itu menjadi dingin, walaupun masih tetap marak bernyala. Dinginnya bukan dingin yang membahayakan, tetapi dingin yang membawa kesejahteraan.

Menurut Qatadah, tidak ada yang terbakar dari tubuh Nabi Ibrahim ketika itu kecuali tali-tali pengikatnya. Menurut riwayat, Raja Namrud dan pembesar-pembesarnya melihat dengan penuh kehairan. Seketika api telah mulai padam kerana kayu-kayu apinya telah habis dibakar menjadi abu, jelas kelihatan Nabi Ibrahim sembahyang menyembah mensyukuri Allah. Maka akhirnya raja menitahkan menghentikan pembakaran itu dan membebaskan Nabi Ibrahim.

Orang-orang penyembah berhala ini, mereka telah membuat tipu daya kepada Nabi Ibrahim, untuk mencelakan beliau. Tetapi Allah telah menjadikan mereka orang-orang yang rugi dan sengsara. Rugi yang sangat besar bagi mereka, kerana gagalnya usaha membakar nabi Ibrahim dengan disaksikan oleh sekalian rakyat yang ramai. Kejadian yang luar biasa ini menyebabkan tuah kebesaran berhala semakin terhakis. Ditambah lagi kewibawaan pemerintah juga akan terhakis juga. Rakyat mula mengerti bahwa apa yang diagung-agungkan selama ini adalah ternyata palsu belaka.  





Al Anbiya Ayat 71

21:71 > Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

Setelah gagal cubaan membunuh Nabi Ibrahim dengan cara membakarnya, Nabi Ibrahim pun diselamatkan oleh Allah bersama dengan Nabi Lut dengan cara mengeluarkan beliau dari negeri itu. Nabi Lut adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim. Menurut tafsir ulamak, mereka telah berpindah ke satu tanah yang diberi nama Syam.  Oleh kerana tidak dinyatakan di dalam ayat daerah mana yang dimaksudkan Allah dengan bumi yang diberi berkat itu, maka ada juga yang mengatakan tanah yang dimaksudkan itu adalah tanah Iraq kerana di situ mengalir dua anak sungai besar iaitu Sungai Furat dan Sungai Tigris.

Namun kebanyakan ahli tafsir mengatakan menyebutkan bahwa negeri itu adalah Syam. Bumi Syam yang sekarang ini meliputi negeri-negeri seeprti Syria, Jordan, Lebanon dan Palestin. Tanahnya amat subur dan makmur kerana banyak ditumbuhi pohon dan tanaman yang menghasilkan buahan dan bijian. Bumi Syam itu diberkati kerana dari sanalah juga nabi-nabi ramai dibangkitkan, dari sana diturunkan syariat-syariat yang akan menuntun manusia ke jalan bahagia dunia dan akhirat.






Al Anbiya Ayat 72

21:72 > Dan Kami kurniakan kepadanya: Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan; dan tiap-tiap seorang (dari mereka) Kami jadikan orang yang soleh.

Sebagaimana yang disebutkan di dalam surah Hud ayat 69 hingga 73, dan surah As Saffatt ayat 37, malaikat telah datang memberikan khabar gembira kepada Nabi Ibrahim bahwa permohonannya ingin mendapatkan seorang lagi putera yang saleh, akan dikabulkan. Lama sebelum kelahiran Nabi Ishak, Allah telah memberikan kepada Nabi Ibrahim anak sulung yang diberi nama Nabi Ismail dari isterinya Siti Hajar.





Al Anbiya Ayat 73

21:73 > Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan, dan mendirikan sembahyang, serta memberi zakat; dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.

Allah memberikan tambahan kurnia-Nya kepada Nabi Ibrahim, selain kurnia yang telah diterangkan pada ayat yang lalu, bahawa keturunan Ibrahim itu tidak hanya merupakan orang-orang yang saleh, bahkan juga akan menjadi imam atau pemimpin umat yang mengajak orang untuk menerima dan melaksanakan agama Allah, dan mengajak kepada perbuatan-perbuatan yang baik dan bermanfaat, berdasarkan perintah dan izin Allah.

Nabi Ibrahim yang diberi gelar "Khalilullah" juga merupakan bapa dari beberapa Nabi kerana ramai di antara Nabi-nabi yang datang sesudahnya adalah dari keturunannya, sampailah kepada  Nabi dan Rasul yang terakhir, yaitu Muhammad termasuk cucu-cucu Nabi Ibrahim as melalui Nabi Ismail.

Kerana ada beberapa di antara keturunan Nabi Ibrahim itu yang dipilih Allah menjadi Nabi, maka mereka memperolehi wahyu Allah yang berisi ajaran-ajaran dan petunjuk ke arah kebaikan, terutama menaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Di samping itu Allah SWT juga mewahyukan kepada mereka agar mendirikan solat dan membayar zakat. Kedua  ibadah ini disebutkan Allah secara khusus, sebab ibadah solat memiliki keistimewaan sebagai ibadah jasmaniah yang amat mulia, manakala zakat pula mempunyai keistimewaan sebagai ibadah harta yang paling utama.

Kedua ibadah ini, walaupun harus dilengkapi dengan ibadah-ibadat lainnya, namun ia telah mencerminkan dua sifat utama pada diri manusia yaitu: taat kepada Allah, dan kasih sayang kepada sesama manusia.






Al Anbiya Ayat 74 Hingga 75

21:74 > Dan kepada Nabi Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu; dan Kami selamatkan dia dari bandar yang penduduknya selalu melakukan perkara-perkara yang keji; sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat, yang fasik, derhaka. 

21:75 > Dan Kami masukkan Nabi Lut dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh.

Allah menerangkan tentang rahmat dan limpahan kurnia yang Allah berikan kepada Nabi Lut as. 

1: Nabi Lut telah dikurniakan hukum-hukum, iaitu tentang bagaimana menyelesaikan perselisihan di antara orang-orang yang berselisih dan memberikan hukumnya di dalam perbicaraan dengan cara yang sebaik-baiknya. 

2: Nabi Lut juga dikurniakan ilmu pengetahuan yang sangat berguna, terutama tentang agama, sehingga ia dapat mengetahui dan melaksanakan dengan baik kewajiban-kewajibannya terhadap Allah dan terhadap sesama makhluk.  Syarat ini sangat penting bagi orang-orang yang akan diutus Allah sebagai seorang Nabi dan Rasul. 

3: Nabi Lut telah diselamatkan Allah ketika negeri tempat tinggalnya, yaitu Sodom ditimpa azab Allah kerana penduduknya banyak berbuat kejahatan secara terang-terangan. Perbuatan-perbuatan keji yang mereka kerjakan di antaranya melakukan hubungan kelamin antara jenis lelaki (homosex), mengganggu lalu lintas perniagaan dengan merompak barang-barang perniagaan itu, menderhakai Nabi Lut, dan tidak mengindahkan ancaman Allah SWT. dan lain-lain. Maka kota Sodom itu dimusnahkan Allah. Nabi Lut beserta keluarganya kecuali isterinya yang turut menderhakai telah diselamatkan Allah dari bencana.

Kaum Lut itu sanggup melakukan perbuatan jahat dan keji seperti itu, adalah kerana mereka telah menjadi orang-orang jahat dan fasik. Mereka sudah tidak mengindahkan hukum-hukum Allah, dan suka melakukan hal-hal yang telah dilarangnya. Sehingga akhirnya mereka bergelumang dalam perbuatan-perbuatan dosa dan ucapan-ucapan yang tidak senonoh yang semuanya itu dilakukan oleh mereka dengan terang-terangan, tanpa rasa malu. Maka tidak hairanlah kalau mereka berterusan dalam kesesatan.

Nabi Lut telah dimasukkan Allah ke dalam rahmatNya adalah kerana Nabi Lut adalah termasuk dalam golongan orang-orang saleh. Iaitu yang taat kepada Allah dengan mengerjakan perintahNya dan meninggalkan laranganNya.






Al Anbiya Ayat 76

21:76 > Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Nuh, ketika ia menyeru (berdoa kepada Kami) sebelum (Nabi-nabi yang tersebut) itu, lalu Kami perkenankan doanya serta Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya dari kesusahan yang besar.

Sebelum Nabi Ibrahim dan Nabi Lut diutus Allah kepada manusia, Nabi Nuh adalah nabi terdahulu yang telah diutus Allah. Permohonan Nabi Nuh dapat kita rujuk dalam surah Al Qamar ayat 10, di mana Nabi Nuh telah mengadu kepada Allah bahwa beliau telah dikalahkan dan disisih oleh kaumnya sendiri. Dan Nabi Nuh telah memohon pertolongan Allah agar Allah membinasakan kaumnya yang degil dan engkar itu. Lalu Allah telah mengabulkan permintaan Nabi Nuh. Bumi telah ditenggelamkan dan digenangi air setinggi gunung. Dan Allah selamatkan Nabi Nuh bersama kaumnya yang beriman.

Malangnya anak kandung Nabi Nuh juga telah ditenggelami air bah besar itu. Lalu Nabi Nuh memohon bertanya kepada Allah mengapa anak kandungnya tidak termasuk dalam orang-orang yang diselamatkan Allah. Padahal itulah adalah putera beliau. Allah menjawab bahwa anaknya itu bukanlah dari golongan orang-orang yang diselamatkan Allah. Bukan dari golongan Nabi Nuh.  

Isteri Nabi Nuh pun antara orang yang tidak diselamatkan Allah juga. Di dalam surah At Tahrim ayat 10, isteri Nabi Nuh telah disamakan dengan isteri Nabi Lut yang juga tidak diselamatkan Allah. Ini adalah kerana kehidupan mereka telah dihiasi dengan keengkaran keapda ajaran dan seruan yang dibawa olelh Nabi Nuh dan Nabi Lut. Lalu mereka tidak tergolong dalam orang-orang yang saleh dan mereka juga tidak tergolong dalam golongan yang diselamatkan Allah.





Al Anbiya ayat 77

21:77 > Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan ayat-ayat Kami; sesungguhnya adalah mereka kaum yang jahat; lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya (sehingga mati lemas dengan taufan).

Nabi Nuh telah dipertahankan oleh Allah dariapda bencana kaum yang mendustakan keterangannya. Sedangkan keterangan itu merupakan bukti, yang menunjukkan kebenaran Nabi Nuh sebagai rasul, sehingga mereka tidak dapat menimpakan sebarang bahaya. Tak lain kerana mereka adalah kaum yang berkelakuan buruk, dan menderhakai Allah maka mereka pun ditenggelamkan semuanya dalam bencana alam yang berupa air bah yang besar dan dahsyat.





Al Anbiya Ayat 78

21:78 > Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Daud dengan Nabi Sulaiman, ketika mereka berdua menghukum mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya pada waktu malam; dan sememangnya Kamilah yang memerhati dan mengesahkan hukuman mereka.

Beralih pula kepada kisah Nabi Daud dan puteranya Nabi Sulaiman. Maka tersebutlah di dalam kitab-kitab tafsir bahwa Nabi Daud selain menjadi nabi dan rasul, beliau juga diangkat oleh kaumnya Bani Israel sebagai raja. Selama pemerintahan Nabi Daud, anaknya Nabi Sulaiman adalah sebagai pembantu beliau.

Di dalam kisah kedua-dua Nabi Ini, Allah telah memberitahu bagaimana kedua-duanya menjadi hakim untuk mengadili suatu perbicaraan dalam kes ladang yang dimasuki oleh kambing pada waktu malam, dan kambing itu telah memakan tanaman itu sehingga habis rosak semuanya. Allah beritahu bahawa Allah telah menyaksikan bagaimana kedua-dua rasul itu menjalankan perbicaraan kemudiannya menjatuhkan hukuman, semuanya Allah ketahui.

Lalu Allah iilhamkan kepada Nabi Sulaiman tentang bagaimana untuk memberi fatwa yang betul. Fatwa ini tidak pula Allah ilhamkan kepada Nabi Daud. Namun kedua-dua rasul ini telah menjalankan perbicaraan mengikut ijtihad masing-masing dengan hukuman yang berlainan.

Menurut Ibnu Abbas, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman telah menerima satu aduan menyatakan bahawa tanaman mereka telah dirosakkan oleh kambing-kambing dari jiran tetangga mereka. Tuan punya kebun tanaman yang rosak itu telah pergi mengadu kepada Nabi Daud. Maka diadakan satu persidangan bagi menyelesaikan masalah ini. Dan Nabi Sulaiman juga turut hadir dalam persidangan ini.

Setelah mendapati bahwa tanaman kurma pekebun itu telah habis dibaham dek kambing, maka Nabi Daud pun memutuskan supaya tuan punya kambing membayar sejumlah ganti rugi kepada tuan punya kebun dengan menyerahkan kambing-kambing itu semua kepada pekebun tadi. Ini kearana kerosakan ladang tersebut menyamai harga kambing-kambing itu semua. Maka kedua-kedua pekebun dan penternak kambing itu pun beredar.

Kemudian pekebun dan penternak kambing itu pergi pula menemui Nabi Sulaiman dan minta untuk dibicarakan. Nabi Sulaiman bertanya kepada mereka, apakah hukuman yang telah dijatuhkan oleh Nabi Daud. Kedua-duanya menceritakan kepada Nabi Sulaiman akan apa yang berlaku. Lalu Nabi Sulaiman pun berkata bahwa kalaulah beliau dilantik menjadi hakim untuk mengadili mereka berdua, nescaya beliau akan jatuhakn hukuman yang berlainan bahkan ianya lebih bertimbang rasa keapda kedua belah pihak.

Berita itu telah disampaikan orang kepada Nabi Daud. Lalu Nabi Daud telah memanggil Nabi Sulaiman dan bertanyakan tentang hukuman yang bakal Nabi Sulaiman jatuhkan sekiranya beliau menjadi hakim. Nabi Sulaiman tampil menerangkan kepada Nabi Daud perihal hukuman yang akan dijatuhkannya. Hukuman itu adalah hendaklah kambing itu diserahkan kepada tuan punya ladang, supaya ia dapat mengambil faedah dairapda kambing tersebut, dengan memerah susunya, mendapatkan hasil dariapda anak-anak kambingnya, mengambil bulunya dan kegunaan lain yang dapat diambil faedah daripadanya.

Adapun tuan punya kambing itu pula, hendaklah ia bekerja menanam semula ladang itu sampai mendapat hasil seprti mula-mula dahulu waktu ladang itu dimakan kambing. Kemudian barulah diseerahkan kepada tuan punya ladang, dan dia mengambil semula kambing-kambingnya itu.

Mendengarkan hukuman yang diterangkan oleh Nabi Sulaiman itu, Nabi Daud terus bersetuju dan membenarkan hukuman Nabi Sulaiman. Lalu kedua-dua orang yang berselisih dalam perbicaraan itu dikenakan hukuman seprtimana yang telah ditetapkan oleh Nabi Sulaiman as.







Al Anbiya ayat 79 dan 80

21:79 > Maka Kami beri Nabi Sulaiman memahami hukum yang lebih tepat bagi masalah itu; dan masing-masing (dari mereka berdua) Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu (yang banyak); dan Kami mudahkan gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama dengan Nabi Daud; dan adalah Kami berkuasa melakukan semuanya itu. 

21:80 > Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam mana-mana peperangan kamu, maka adakah kamu sentiasa bersyukur?

Allah telah memberikan ilham kepada Nabi Sulaiman tentang bagaimana caranya untuk menjatuhkan hukuman dengan betul dan saksama. Sedangkan kedua-dua rasul itu telah menghukum mengikut ijtihad masing-masing kemudian Nabi Daud telah menarik balik hukumannya itu dan beliau telah bersetuju dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Nabi Sulaiman.

Setengah ulamak berpendapat bahwa kedua-dua rasul itu masing-masing telah menghukum dengan perantaraan wahyu daripada Allah, dan wahyu yang kemudian diturunkan kepada Nabi Sulaiman telah membatalkan hukum yang mula-mula diwahyukan kepada Nabi Daud. Kerana para Nabi tidak boleh menghukum mengikut ijtihadnya sendiri, sebab mereka sudah mencukupi dengan mendapat wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada mereka.

Meskipun Allah telah melebihkan Nabi Sulaiman dengan kebijaksanaannya dalam menjatuhkan hukum, iaitu menjadi hakim, namun Allah tidak pula mengurangi kurniaNya kepada Nabi Daud. Allah telah mengurniakan gunung-gunung dan burung-burung semuanya patuh dibawah perintah Nabi Daud. Apabila saja Nabi Daud melalui gunung-gunung dan menemui burung-burung lalu diajaknya bertasbih, maka mereka pun menyahut mengikut Nabi Daud mengucapkan tasbih kepada Allah bersama-sama.

Dengan gunung-gunung itu bertasbih, tentulah menggunakan ucapan yang dijadikan oleh Allah. Ia pandai mengucapkannya, sebagaimana batu kerikil yang bertasbih di atas tapak tangan Rasulullah saw dan orang-orang telah mendengarnya bertasbih. Maka demikianlah pula Nabi Daud seorang diri saja yang mendengar gunung-gunung itu bertasbih.

Perlulah difahami di sini, bahwa Nabi Daud mempunyai kuasa untuk menyuruh gunung-gunung dan burung-buruung itu bertasbih adalah dengan kudhrat Allah semata-mata. Kalau nak difikirkan ianya adalah suatu perkara yang pelik dan ajaib bagi manusia. Kalau kita lihat burung, memanglah ia pandai berkicau. Dan itulah tasbihnya. Tetapi yang lebih menghairankan lagi gunung-gunung adalah benda yang tidak bergerak dan bersuara. Tetapi ia pandai bertasbih mengikut tasbih Nabi Daud.

Selain itu, Allah juga mengurniakan kepada Nabi Daud cara-cara untuk membuat baju besi. Mengikut riwayat, Nabi Daudlah orang yang mula-mula sekali membuat baju besi, untuk dijadikan perisai dalam peperangan. Menurut Qatadah, sebelum Allah mengajar Nabi Daud membuat baju besi, orang di dalam peperangan telah menggunakan besi nipis dipasangkan di dada sebagai perisai. Sukar dan kaku untuk dibawa bergerak ketika dalam pepeerangan.

Pada ayat 10 dan 11 dari Surah Saba’ Allah menjelaskan bahwa Allah telah melunakkan besi itu untuk Nabi Daud, dan diperintahkan Allah kepada Nabi Daud untuk membuat baju besi. Jadi jelaslah bagaimana Allah telah mengajarkan nabi Daud membuat baju besi yang mempnyai keistimewaan iaitu ringan dan boleh dilentur untuk dipakai dan kebal untuk dijadikan sebagai perisai untuk melindungi badan agar tidak ditembusi senjata tajam.

Dengan penghasilan rekaan baju besi Nabi Daud itu, ianya telah diguna pakai sehingga ke zaman Nabi Muhammad saw di dalam setiap peperangan. Maka Allah menyeru semua manusia hendaklah sentiasa bersyukur di atas kemudahan yang dikurniakan kepada kita, kerana kita dapat membuat rekaan yang seperti itu.






 Al Anbiya ayat 81

21:81 > Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Pada ayat 81 ini akan dibincangkan pula tentang kurniaan dan kelebihan yang Allah berikan terhadap Nabi Sulaiman as.  Allah telah menundukkan angin bagi Nabi Sulaiman sehingga angin tersebut menjadi patuh melakukan apa yang diperintahkan oleh Nabi Sulaiman. Misalnya, angin tersebut berembus ke arah negeri tertentu, dengan hembusan yang keras dan kencang ataupun lunak dan lambat, sesuai dengan kehendak Nabi Sulaiman.

Sesungguhnya Allah senantiasa mengetahui segala sesuatu, sehingga tidak sesuatu pun yang tersembunyi dariNya.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.