Saturday, February 20, 2016

Surah Al Ahqaaf Ayat 21 - 35











Al Ahqaaf Ayat 21

21 - Dan ingatlah peristiwa (Nabi Hud) saudara kaum Aad, ketika ia memberi amaran kepada kaumnya yang tinggal di lembah "Al-Ahqaaf", - sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya - (dengan berkata): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)".

Ad adalah nama dari suatu kaum yang termasuk dalam bangsa Arab zaman purbakala di tanah Hadramaut. Nabi Hud adalah saudara mereka yang diutus untuk menyampaikan petunjuk dan peringatan Allah kepada mereka. Di dalam ayat 21 ini disebutkan Nabi Hud sebagai saudara. Maksudnya Nabi Hud ini bukanlah orang lain kepada mereka. Nabi Hud adalah ahli keluarga mereka sendiri.

Sepertimana yang kita ketahui tanah Arab kebanyakan adalah padang-padang pasir dan bukti-bukit pasir yang tandus yang dikumpulkan oleh perkisaran angin. Namun di Hadramaut ini terdapatlah tanah yang ada sedikit air berbanding dengan tempat lain.

“....sedang (amarannya itu samalah seperti) amaran-amaran yang telah diberikan oleh Rasul-rasul yang terdahulu daripadanya dan yang datang sesudahnya…”
Maksud ayat ini adalah, Nabi Hud bukanlah nabi pertama yang datang untuk memberikan peringatan kepada mereka. Ada lagi nabi-nabi terdahulu yang juga telah memberikan mereka peringatan agar mereka jangan terlalu bersenang lenang, berlaku zalim, berlaku penipuan dan mengambil harta orang lain dengan jalan penipuan. Semua perkara ini dilakukan adalah kerana mereka tidak ada pegangan teguh, tidak ada keperayaan yang bulat kepada Tuhan.

"Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar (huru-haranya)".
Inilah yang menjadi asas ajaran iaitu seruan untuk menyembah Allah Yang Maha Esa. Selama mereka masih menurutkan hawa nafsu mereka, kehendak selera yang tiada batasannya, lupa akan kekuasaan Allah atas sekian alam dan terutamanya diri mereka sendiri, maka selama itulah mereka akan hidup dengan tidak ada pedoman dan kucar kacir. Apabila ini berlaku maka mereka sendiri yang akan hancur kerana seksaan batin yang tidak pernah aman dan tenteram semasa hayat di dunia. Dan di akhirat pula mereka bakal dicampakkan ke dalam neraka.

Begitulah seruan saudara mereka yang bernama Hud ke atas mereka. Seruan dari saudara kandung mereka sendiri. Sebagaimana Nabi Muhammad s.a.w. pun adalah saudara kandung dari orang-orang Quraisy dan saudara sebangsa dan sekaum dengan Arab seluruhnya dan manusia seumumnya. Namun mereka tidak mahu menerima. Dan mereka tidak peduli.






Al Ahqaaf Ayat 22 Dan 23

22 - Mereka menjawab: "Adakah engkau datang kepada kami untuk memesongkan kami dari menyembah tuhan-tuhan kami? Maka bawalah azab seksa yang engkau janjikan kepada kami itu jika betul engkau dari orang-orang yang benar!"

23 - Nabi Hud berkata: "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!"

Kaum Ad itu bertanya, tetapi tanya dengan penuh bantahan. Nabi Hud telah menyeru mereka supaya menyembah Allah Tuhan yang Esa. Jadi mereka tanya balik, adakah kedatangan Nabi Hud itu adalah untuk menghalang mereka dari menyembah tuhan-tuhan mereka yang banyak itu? Kalau betul, datangkanlah seksaan yang dijanjikan kepada mereka sekiranya betul benar mereka akan diazab. Mereka tidak percaya sama sekali bahwa mereka akan diseksa.

Ini adalah tentangan yang benar-benar timbul dari kesombongan. Namun sebagai seorang rasul yang benar-benar tahu akan tugasnya, Nabi Hud tidak lupa dan tidak pula marah. Nabi Hud sendiri tidak berkuasa untuk menjawab tentangan mereka itu. Nabi Hud insaf bhwa beliau juga adalah manusia biasa. Kerana itulah Nabi Hud telah berkata, "Sesungguhnya ilmu pengetahuan (tentang kedatangan azab itu) hanya ada di sisi Allah, dan (tugasku hanya) menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan membawanya, tetapi aku lihat kamu satu kaum yang jahil (akan tugas Rasul)!"

Menyekutukan Allah dengan benda adalah suatu kebodohan. Inilah yang telah mulai dijelaskan di dalam ayat ini. Kaum yang menyekutukan Allah dengan benda lain seumpama orang Hindu Brahma di India, yang sangat banyak yang mereka anggap suci, yang mereka anggap dewa, sehingga sampai kepada lembu sapi, sampai kepada kera yang mereka beri nama Hanuman, sampailah kepada kayu kayan dan tempat-tempat yang mereka anggap sakti. Namun sekiranya didalami agama Hindu dengan mendalam mereka tetap mengakui bahwa sumber kekuasaan itu adalah yang satu jua, yang mereka namai Brahma.

Seperti mana juga orang Pesia, mereka juga ada banyak tuhan, Tuhan dari sinar terang, tuhan dari siang dan malam, tuhan dari buruk dan baik. Namun pada hakikat sejati, mereka mengakui bahwa akhirnya yang menang dan paling berkuasa ialah Tuhan sinar terang juga. Di Indonesia juga ada yang menganut agama Hindu Bali yang percaya kepada dewa, mambang dan peri. Namun mereka juga mengetahui bahwa Tuhan yang menjadi sumber dari segala kekuasaan ialah Tuhan yang Maha Esa.

Ini bermakna fikiran mereka telah menjalar, hanyut berkhayal dan adakalanya berfalsafah sehingga sampai kepada berpuluh-puluh dan beratus-ratus tuhan. Padahal mereka juga mengakui akan adanya Yang Maha Esa. Oleh sebab itu menambah dan membanyakkan Tuhan adalah satu dari sebab kebodohan saja, hanya menurutkan khayal fikiran yang tidak berpenghujung. Dan kalau ini dibiarkan lama-lama akan diakui sebagai suatu kenyataan.

Mereka menentang Nabi Hud dan meminta diturunkan azab itu sekarang juga, kalau betul azab itu ada. nabi Hud dengan segala kerendahan diri dan hati mengakui bahwa kekuasaan untuk menurunkan azab hanyalah di tangan Allah. Nabi Hud sendiri tidak berkuasa untuk berbuat demikian. Inilah kenyataan dan kesabaran dari seorang nabi yang harus menjadi perbandingan bagi tiap-tiap pejuang yang menegakkan Kebenaran.





Al Ahqaaf Ayat 24 Dan 25

24 - Maka apabila mereka melihat azab itu sebagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata: "Ini ialah awan yang akan membawa hujan kepada kita!" (Mendengarkan kata-kata yang demikian, Nabi Hud berkata): "Tidak! Bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan kedatangannya, iaitu angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;

25 - "Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya". (Setelah azab itu menimpa mereka) maka menjadilah mereka (punah ranah) - tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.

Nabi Hud dengan kerendahan hati telah mengatakan bahwa beliau tidaklah ada kuasa apa-apa untuk menurunkan azab sebagaimana yang mereka minta. Mendengar jawapan dari Nabi Hud, tentu saja mereka bertambah sombong dan mempertahankan pendirian mereka membuat tuhan-tuhan, atau dewa-dewa dengan tangan mereka sendiri.

Tiba-tiba awan mendung di langit amat tebal sekali. Mereka telah bergembira kerana menyangka bila awan telah kelihatan tebal dan mendung, mereka sangka itulah tanda hari akan hujan. Melihat mendung yang menebal, mereka gembira sekali, kerana sudah lama mereka tidak dituruni hujan.

Tetapi apa yang terjadi? Hujan memang turun. Tetapi bukan hujan rahmat yang menyuburi bumi. Tetapi hujan laknat yang menghancurkan bumi. Inilah dia permintaan mereka yang telah dikabulkan Allah sebagaimana yang disebut terdahulu di dalam ayat 22 tadi. “Datangkan kepada kami apa yang engkau ancamkan itu” Sekarang azab itu sudah datang. Hujan lebat disertai dengan taufan halilintar, kilat sabung menyabung, guruh yang dahsyat lagi menakutkan. “Angin yang membawa azab seksa yang tidak terperi sakitnya;”

Badai pun tiba, angin menderu, hujan tidak berhenti-henti. Segala sesuatu yang menjadi kepunyaan kaum Ad itu samada nyawa mahupun harta kekayaan, semuanya hancur lebur oleh tiupan angin ribut dengan perintah Allah yang mengizinkannya. Habislah semuanya punah mati tenggelam, mati hanyut, mati dilanda air dan ribut. Mati dihimpit batu runtuh. Dan ianya berlaku selama tujuh hari sebagaimana yang disebutkan terdahulu di dalam ayat 6 dan 7 dari Surah Al Haqqah.

“Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa. “
Maka kebesaran, kesombongan kerana kekayaan yang diberikan Allah selama ini, sampai juga mereka disebut kaum Iram. Yang membawa maksud kaum yang mempunyai tonggak yang tinggi, tonggak kemegahan, baik kerana rumah dan bangunan yang mereka dirikan yang menjulang tinggi hingga ke langit ataupun diri mereka sendiri kaum Ad yang memang berbadan tinggi dan gagah perkasa. Tetapi apalah ertinya tinggi dan gagah perkasa di hadapan Allah sekiranya mereka sendiri tidak upaya untuk menghentikan hujan yang selama tujuh malam lapan hari yang menimpa mereka siang dan malam itu.






Al Ahqaaf Ayat 26

26 - Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan kedudukan mereka (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kamu menguasainya (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran dan penglihatan serta hati; dalam pada itu, pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; dan (dengan yang demikian) mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.
Kemudian Allah memberikan peringatan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w pula. Di awal ayat 26 ini Rasulullah s.a.w. disuruh menjelaskan lagi kepada kaum Quraisy untuk membandingkan diri mereka dengan kaum Ad yang telah diazab itu. Dikatakan bahwa kaum Ad ini adalah kaum yang jauh lebih tinggi kedudukan mereka, peradaban dan kebudayaan mereka kalau nak dibandingkan dengan kaum Quraisy itu. Maksud perkataan “Kami telah meneguhkan kedudukan mereka” adalah keadaan ekonomi kaum Ad yang jauh lebih tinggi pesat membangun, sehingga mereka terkenal dengan kepakaran membuat bangunan yang tinggi dan indah, yang orang Quraisy sendiri belum dapat capai lagi. Jauh ketinggalan.

Ayat ini menjelaskan bahwasanya kaum Ad itu telah mencapai tahap kecerdasan yang tinggi sekali. Mereka dikurniakan pancaindera, iaitu pendengaran, penglihatan dan hati yang dengannya dapatlah digunakan untuk mengenal nikmat-nikmat Allah. Penglihatan melihat keindahan alam, campuran warna dari langit, gunung yang menghijau, langit yang membiru, bunga yang berkembang dan air yang mengalir. Pendengaran pula mendengarkan bunyi yang indah, yang merdu, dan mengasyikkan kalbu. Kedua pancaindera inilah yang akan mengangkat segala keindahan warna dan bunyi itu dalam hati supaya hati pula boleh meresapkan dan merasakan suatu keindahan. Dengan keindahan yang dirasakan itu manusia pun akan berusaha untuk menyesuaikan penglihatan dan pendengaran dengan perasaan yang tumbuh dari dalam hati.

Tetapi sayangnya kaum Ad ini, walaupun mereka mempunyai kecerdasan fikiran serta tajamnya penglihatan dan pendengaran, tetapi “...pendengaran dan penglihatan serta hati mereka tidak memberikan faedah sedikitpun kepada mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat keterangan Allah; “

Itulah malang yang sebesar-besar malang. Kenapa? Kerana kecerdasan pendengaran dan penglihatan serta keindahan yang dirasakan oleh hati mereka itu tidak dapat membawa mereka kepada melihat siapakah PENCIPTA keindahan itu sebenarnya. Setiap sesuatu yang indah pastinya ada tersembunyi satu kebenaran. Kebenaran tentang Yang Maha Pencipta.

Tetapi kaum Ad tidak sampai untuk memikirkan kebenaran di sebalik keindahan tersebut. Sebaliknya keindahan itu disia-siakan dengan menggunakannya semata-mata untuk mencari kepuasan hidup di dunia dan kelazatannya sahaja. Sebab itulah maka ditegaskan bahwa penglihatan dan pendengaran dan hati mereka tidak memberi apa-apa faedah pun kepada mereka. Dan kerana itu jugalah “mereka diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.”





Al Ahqaaf Ayat 27

27 - Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling (negeri) kamu (wahai kaum musyrik Makkah), dan Kami telah menerangkan tanda-tanda (kekuasaan Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka kembali (bertaubat).

Allah menakut-nakutkan lagi kaum Quraisy, bahwa mereka juga bakal akan ditimpakan azab di sekitar negeri mereka, sebagaimana yang telah ditimpakan kepada penduduk negeri yang ada di dunia ini sepertimana kaum Ad, kaum Thamud, Saba’ dan kaum Lut. Padahal mereka itu kerap diberikan peringatan dan penerangan yang bermacam-macam bukti dan tanda tentang kebesaran dan kekuasaan Allah. Diharap menjadi pengajaran, agar mereka kembali ke pangkal jalan dari kesesatan mereka itu.







Al Ahqaaf Ayat 28

28 - Maka sepatutnya mereka dibela oleh segala yang mereka sembah yang lain dari Allah sebagai penyembahan untuk mendekatkan diri (kepada Allah)? (Tetapi tidak), bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka. Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Mengapa berhala yang mereka sembah itu tidak dapat menolong mereka untuk menolak seksaan Allah? Padahal siang malam mereka tunggang langgang memuja, membakar kemenyan, bersimpuh liuh meletakkan kepercayaan dan pengharapan kepada berhala tersebut, kepercayan dan pengharapan yang selain dari Allah.

Sekarang mereka telah kena murka dari Allah sendiri. Telah dihancurkan, dihanyutkan dan dibinasakan dengan badai dan berbagai azab seksaan. Mana dia yang mereka sembah itu selain dari Allah? Mana dia? Mengapa dia tidak datang menolong dan membela? Mereka membisu? ...bahkan segala yang mereka sembah itu telah hilang lenyap dari mereka.”

Berhala-berhala dan segala macam yang mereka sembah selain dari Allah itu telah diam seribu bahasa. Ini kerana berhala-berhala itu memang tidak mempunyai kuasa apa-apa. Bahkan yang menyembah dan memuja mereka itulah yang lebih berkuasa dari mereka. Dan yang lebih berupaya bergerak.  Dan demikianlah akibat penyelewengan mereka dan kepercayaan yang mereka telah ada-adakan.

Begitulah di dalam ayat ini dijelaskan sebab-sebab datangnya azab dan seksa sehingga semuanya hancur, tinggal bekasnya saja. Hanya tinggal rumah-rumah dan sisa-sisa bangunan yang kosong. Semua rakyatnya telah dihancurkan dengan seksaan. Sebab utama semuanya ini terjadi adalah kerana luapanya manusia akan keadaan diri mereka sendiri, lupa akan kelemahan diri sendiri, akan masa yang terbatas di dunia ini. Yang tidak benar, yang khayal itulah yang mereka percayai, mereka pegang, tetapi kebenaran sejati mereka singkirkan. Maka datanglah kebinasaan. Dan bila kebinasaan itu datang, tidaklah dapat ditolak lagi. Tidaklah juga dapat diperbaiki lagi. Cuma orang yang datang setelah mereka itu semestinyalah mengambil iktibar dan tidak menempuh jalan yang salah seperti mereka itu lagi.






Al Ahqaaf Ayat 29

29 - Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Sisters yang dikasihi,
Pada ayat 29 ini kita akan membincangkan suatu soal ghaib yang termasuk kepada asas kepercayaan di dalam Islam iaitu soal jin. Ada tersebut bahwa makhluk Allah ada yang kasar tubuhnya dan nampak pada pada pandangan mata, iaitu manusia. Dan ada pula yang halus, tidak nampak oleh mata manusia, tetapi disebut namanya dan diakui adanya di dalam Al Quran sendiri. Iaitu malaikat, syaitan, iblis dan jin.

Dikatakan bahwa manusia itu terjadi daripada tanah, sebagai manusia pertama iaitu Nabi Adam dan jenis keturunan manusia selanjutnya, keturunan dari Adam adalah dari percampuran mani jenis lelaki dan perempuan. Tetapi ianya boleh juga disebut dari tanah, kerana suburnya mani dalam tubuh manusia pun berasal dari subur makanannya yang diambil dari tanah juga.

Kemudian disebutkanlah pula bahwsanya asal kejadian jin dan asal kejadian syaitan adalah satu pula. Iaitu terjadi dari api. Maka tersebutlah nama jin di dalam Al Quran, tidak kurang dari 22 ayat.

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran;
Baik, permulaan ayat 29 ini pun telah menyatakan dengan tegas, daripada Allah kepada rasulNya, Nabi Muhammad s.a.w. bahwsanya jin itu terang dan jelas sekali ada. Sampai ada di antara mereka itu yang datang menghadiri majlis nabi dan mendengarkan ayat Al Quran yang dibaca oleh nabi. Dan alQuran dengan sendirinya pula telah menjelaskan bahwa jin itu mengerti bahasa yang dipakai oleh nabi iaitu bahasa Arab.

Sisters boleh membaca kitab-kitab tafsir untuk mengetahui penerangan lanjut mengenai makhluk jin ini ye. Tidak dapat admin huraikan di sini kerana ianya tersangatlah panjang.

“setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!"
Diberitahukan di dalam ayat ini bahwa jin tersebut telah mendengarkan Nabi membaca Al Quran di dalam sembahyang dengan kyusyuk sekali. Lalu setengah dari mereka memberi ingat kepada setengah kawannya yang lain, yang mungkin masih berbisik-bisik kurang patuh itu supaya mendengarkan bacaan nabi itu dengan diam-diam. Supaya mereka dapat menyemak dan menghayati Al Quran yang indah itu. Maka setelah Nabi selesai mengerjakan sembahyang maka, kembalilah mereka kepada kaumnya , iaitu jin-jin tersebut untuk menyampaikan peringatan.

Hujung ayat ini membuktikan bahwasanya jin yang mendengar itu tertarik oleh bacaan nabi dan terpesona oleh sembahyang nabi s.a.w. lalu semuanya menyatakan diri untuk masuk Islam. Kemudian semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing, untuk memberikan peringatan kepada kaum mereka pula supaya patuh dan taat kepada apa yang tersebut di dalam bunyi ayat-ayat yang dibaca oleh Nabi s.a.w.





Al Ahqaaf Ayat 30 Dan 31

30 - Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (agama Islam)

31 - "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Kitab yang diturunkan kepada Nabi Musa sebagaimana yang kita ketahui adalah kitab Taurat. Dan rupa-rupanya jin-jin itu dahulunya pun telah mendengar risalah dari Taurat itu juga. Kitab yang datang sesudah nabi Musa adalah kitab Al Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad s.a.w. Kitab Al Quran ini telah membenarkan apa yang ada di dalam kitab Taurat. Semua isi kandungannya, memberikan petunjuk manusia kepada jalan yang benar. Petunjuk dan hidayah.

Apa yang mereka dengar dari bacaan Nabi Muhammad s.a.w. tadi telah benar-benar menarik perhatian mereka dan membuat mereka percaya. Dan hati mereka belum puas sekirannya kaum mereka belum percaya sebagaimana mereka pula. Sebab itu lah mereka segera pulang mendapatkan kaum mereka untuk menyampaikan berita ini. Mereka memberikan harapan keselematan bagi sesiapa yang mahu percaya dengan seruan dakwah mereka.

“serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Inilah harapan yagn pertama iaitu supaya mereka beriman kepada apa yang mereka telah dengar dariapda nabi Muhammad tadi. Sekiranya selama ini mereka telah melakukan banyak dosa, maka dengan taubat dan kembali kepada jalan yang benar, maka dosa itu akan diampunkan. Maka dengan itu dada akan menjadi lapang dan fikiran akan terbuka untuk menerima kebenaran. Dengan beriman dan bertaubat di atas segala perbuatan dosa, maka mereka akan dibebaskan dari seksaan yang pedih. Itu pun satu lagi nikmat dari Tuhan yang menyebabkan dunia ini menjadi lapang dan aman tempat kita berdiri.

Ayat 31 ini memberikan isyarat bahwa bangsa jin adalah sama sepertimana bangsa manusia di dalam menerima hukum-hukum Allah samada pahala, seksa, ibadat, perintah mahupun tegahan. Dan menjadi dalil bahwa Nabi Muhammad s.a.w. diutus kepada bangsa manusia dan jin seluruhnya.






Al Ahqaaf Ayat 32

32 - "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung-pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata".

Seterusnya juga jin itu berkata kepada kaumnya sebagai amaran, sekiranya sesiapa engkar tidak mahu menyahut seruan rasul yang diperintahkan Allah dalam perkara tauhid dan beramal dengan mentaatiNya, maka dia tidak akan terlepas untuk menyelamatkan diri dari azab Allah. Dan tidak akan ada orang yang akan menolongnya untuk menahan seksa tersebut.

Tentulah orang yang demikian terang sekali sesatnya dan akan rugi di akhirat. Kerana jalan yang hak dan terang serta mudah ditempuh untuk sampai ke tempat bahagia telah ditinggalkannya. Maka sudah selayaknyalah ia dapat balasan yang sewajarnya. Sampai di sini selesai apayang dikatakan oleh serombongan jin yang mendengarkan bacaan Al Quran itu setelah mereka pulang menemui kaum mereka.



Al Ahqaaf Ayat 33

Masihkah mereka ingkar dan tidak mahu memikir serta mengetahui bahawa sesungguhnya Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dengan tidak mengalami kesukaran dalam menciptakannya - berkuasa menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Sudah tentu berkuasa! Sesungguhnya Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Di dalam ayat ini Allah memberikan dalil tentang adanya hari kebangkitan dalam bentuk pertanyaan. Iaitu adakah orang yang mengingkari adanya hari kebangkitan itu tidak memerhatikan? Bagaimana kudrat Allah dapat menciptakan 7 petala langit dan  7 petala bumi? Dan Dia tidka pula merasakan payah untuk mengadakannya? Inikan pula unutk menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati dengan membangkitkan mereka dari kubur. Tentulah senang saja dengan adanya kudratNya.

Jawapan kepada pertanyaan ini adalah sebaliknya Dia berkuasa di atas segala sesuatu. Maksudnya Allah mempunyai kudrat atau kuasa penuh untuk menciptakan segala sesuatu tanpa merasakan payah atau sebarang kelemahan. Sebagaimana Allah juga berkuasa mengadakan makhluk pada pertama kali dan berkuasa pula mengulanginya.






Al Ahqaaf Ayat 34

34 - Dan (ingatlah) hari orang-orang yang kafir didedahkan kepada neraka, (lalu dikatakan kepada mereka): "Bukankah (azab) neraka ini benar?" Mereka menjawab: "Ya, benar, demi Tuhan kami!" (Setelah itu) dikatakan lagi (kepada mereka): "Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. "

Allah menyuruh nabi Muhammad s.a.w. ingatkan kepada kaumnya bahwa pada hari kiamat nanti akan kelihatan orang-orang kafir yang mendustakan hari kebangkitan. Orang-orang kafir ni , akan dipamerkan di hadapan mereka, neraka api yang sedang menyala-nyala seraya dikatakan kepada mereka dengan cacian dan celaan, "Bukankah (azab) neraka ini benar?" Bukankah seksaan yang disediakan untuk menyeksa kamu dalam neraka ini pada hari ini telah kamu dustakan semasa kamu hidup di dunia dahulu? sekarang ini benar-benar telah menjadi kenyataan bukan?

Mereka akan menjawab dengan segera, "Ya, benar, demi Tuhan kami!" Maka Allah pun berkata kepada mereka,  "Maka sekarang rasalah azab seksa dengan sebab kamu kufur ingkar di dunia dahulu. " Inilah seksa neraka yang kamu telah sangkalkan dahulu dan enggan mempercayainya. Jadilah ia balasan dan hukuman yang dikenakan ke atas kamu.






Al Ahqaaf Ayat 35

35 - (Oleh sebab itu, wahai Muhammad) maka bersabarlah! Sebagaimana telah bersabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik - derhaka.

Allah menyeru rasulNya agar bersabar dalam berdakwah. Bersabar dalam menyeru perkara yang benar dan tahan menderita rintangan dan penentangan kaum Quraisy yang mendustakan baginda sebagaimana saudara-saudaranya dari golongan para rasul yang terdahulu. Merka itu adalah golongan yang mempunyai keteguhan hati, betul-betul menjalankan perintah Allah dan berhabis-habisan dalam mentaatiNya, maka tirulah perjuangan mereka.

Kata Ibnu Abbas, dan Qatadah, yang mempunyai keteguhan hati dan ulul azmi adalah nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Masing-masing membawa syariat, mereka itu bersama-sama dengan Nabi Muhammad s.a.w.

Allah juga menegah nabi supaya jangan bersikap terburu-buru untuk mengenakan hukuman kepada mereka yang engkar dan degil. Ini kerana sesungguhnya dakwah itu memakan masa untuk diterima oleh mereka. Pasti ada yang akan menerimanya secara perlahan-lahan. Dan kepada mereka yang terus berdegil dan tidak mahu mendengar kata, bencana itu lambat laut akan segera datang juga kepada mereka.

Dan apabila azab itu datang kepada mereka, mereka akan merasa bahwa seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekejap saja, kira-kira sesaat pada siang hari. Ini adalah kerana terlampau sakitnya mereka merasakan seksa yang menimpa mereka. Sehingga mereka lupa bahawa mereka telah tinggal di dunia dan membuat segala kejahatan sekian lamanya. Maka sabarlah wahai rasul Allah dalam menghadapi sikap mereka itu.

Sesungguhnya kitab Al Quran merupakan penjelasan untuk disampaikan keapda mereka dan cukuplah dengannya saja kalau mereka mahu berfikir dan mengambil pelajaran dariapdanya. Ia adalah sebaik-baik bekal yang dapat menyampaikan seseorang ke syurga dan memelihara seseorang dari neraka. AlQuran juga merupakan bekal paling utama yang harus dipegang oleh seseorang agar sampai ke sana, dan merupakan nikmat yang paling besar yang Allah anugerahkan kepada mereka.

Allah tidak akan membinasakan dengan seksaanNya melainkan orang-orang yang terkeluar dari mentaati Allah, yang menyalahi perintah dan tegahanNya kerana tidak akan diseksa kecuali orang-orang yang layak menerima seksaan.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.