Tuesday, February 9, 2016

Surah Al Jathiyah Ayat 1 - 20








Pengenalan 


Maksud Jathiyah adalah ‘yang berlutut’. Mengandungi 37 ayat dan ianya adalah surah Makkiyah. Surah ini dinamakan Al Jathiyah kerana di dalam surah ini ada disebutkan keadaan hari kiamat itu yang sangat menakutkan, sehingga sekalian makhluk berlutut ketakutan lantaran menunggu dihisabkan amalan mereka semasa dibicarakan di hadapan Allah nanti. Perasaan takut yang menyelubungi mereka itu tidaklah dapat digambarkan dengan perkataan.

Di permulaan surah ini adalah sama dengan permulaan surah sebelumnya iaitu surah Ad Dukhaan. Marilah kita hayati dan tadabur apakah yang terkandung di dalam surah ini yang Allah ingin bagitahu kepada kita hambaNya. Semoga kita semua diberikan kefahaman dan seterusnya beramal dengan surah ini.





Al Jathiyah Ayat 1

“ Haa Miim “

Huruf potong ini, sebagaimana yang telah terdahulu sebutannya, menjadi tanda pengingat, bahwa Al Quran itu mengandungi mukjizat. Dan hanya Allah saja yang mengetahui akan maksudnya.




Al Jathiyah Ayat 2 Dan 3

2 - ‘Kitab (ini) diturunkan dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

3 - “Sesungguhnya pada langit dan bumi benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) untuk orang-orang yang beriman. ‘

Di dalam ayat 2 ini Allah memberikan peringatan kepada kita bahwa di hadapan kita ini terpaparnya kitab Al Quran, sebuah kitab yang mulia, diturunkan kepada kita dari Allah yang Maha Perkasa di dalam kerajaanNya, lagi Maha Bijaksana di dalam menciptakan alam. Tidak ada satu perkara pun yang dilakukan oleh Allah melainkan semuanya ada mengandungi hikmah dan rahsia, yang mendatangkan maslahat dan kepentingan kepada hamba-hambaNya. Semuanya itu menjadi bukti keesaan dan kekuasaan Allah subhanahu wata’ala.

Di ayat 3 pula Allah memberikan peringatan kepada kita iaitu paparan alam. Allah menjadikan beberapa lapis langit dan juga bumi dengan segala isi keduanya, dan menjadikan makhluk-makhluk lain yang ajaib, masing-masing mempunyai peranan dan faedah-faedah yang amat berguna kepada sesiapa saja. Alam adalah satu tanda yang sangat jelas yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah yang Maha Pencipta.

Dengan itu kitab Al Quran dan alam semesta adalah saling berkait di antara satu sama lain. Untuk memahami Al Quran kita perlulah melihat dan memerhatikan alam. Untuk memahami alam kita perlu menyelidiki apa yang terkandung di dalam Al Quran. Di dalam Al Quran selalu terdapat ayat yang menyuruh kita melihat alam dengan penuh perhatian. Dengan memerhatikan alam maka akan bertambah iman kita kepada kebesaran Allah. Dan bertambah dalam kita menghayati kejadian alam maka akan bertambah yakin pula kita akan kebenaran Al Quran. Sebab itu maka di antara Al Quran dan Alam, dan di antara Alam dan Al Quran, adalah saling isi mengisi dan kait berkait.

Di sekolah-sekolah, kanak-kanak seharusnya dididik untuk belajar ilmu pengetahuan alam dan dalam masa yang sama juga belajar ilmu Al Quran. Mereka seharusnya disuruh untuk melihat keadaan alam dan mengaitkannya dengan ayat-ayat di dalam Al Quran. Lama kelamaan setapak demi setapak kanak-kanak itu akan dapat melihat bukti wujudnya Allah dan kelak keyakinan mereka akan bertambah seiring dengan keteguhan iman yang tumbuh dan berkembang di dalam dada mereka.

Dengan meneliti ayat-ayat AlQuran sambil melihat dan mengaitkannya dengan kejadian alam barulah mereka akan merasakan dan memahami apakah itu keimanan yang sebenar.  Dan bukannya keimanan itu tumbuh dengan membuta tuli tan melihat dan meneliti sesuatu sebagai bukti untuk direnungi.

Sepertimana kata-kata Einstein, “ Agama tanpa ilmu, adalah buta. Ilmu tanpa agama adalah lumpuh.”





Al Jathiyah Ayat 4

‘Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya. “

Ayat 4 ini memang sangat luas pengertiannya kalau dikembangkan. Pertama, ialah soal kejadian diri kita, manusia. Kita dijadikan dalam sebaik-baik kejadian. Padahal asal kita ini hanyalah sperma sahaja. Sebagai contoh, tengoklah kepada kehebatan kulit kita ini. Tidak ada yang dapat menandingi kehebatan penciptaan kulit kita. Itu kulit kita saja. Belum lagi tentang penciptaan organ dalam badan kita yang lain.

Kedua ialah soal kejadian segala yang disebut di dalam ayat ini ‘dabbatin’ ataupun kita terjemahkan sebagai binatang yang melata, merayap, merangkak dan menjalar di bumi ini. Terdapat entah berapa banyak jenis binatang termasuk serangga yang hidup di dalam alam ini sampaikan para Saintis pun belum lagi berjaya untuk mengenali kesemuanya. Di segenap tempat di alam dunia ini akan ada sahaja kehidupan padanya. Sama ada tempat itu sejuk ataupun panas.

Semua kejadian makhluk-makhluk ini adalah juga membuktikan tentang kekuasaan Allah, Tuhan semesta alam, yang akan diterima kebenarannya oleh kaum yang yakin dengan mempercayai kebenaran kewujudan Allah, serta mematuhi pula akan perintahNya.



Al Jathiyah ayat 5 Dan 6

5 - Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, serta keluasan rahmatNya) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran.

6 - Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu (wahai Muhammad) kerana menegakkan kebenaran; maka dengan perkataan yang manakah lagi mereka hendak beriman, sesudah penerangan Allah dan tanda-tanda kekuasaanNya (mereka tidak mahu memahami dan menelitinya)?

Di dalam ayat 5 jelas sekali betapa agungnya Allah jadikan akal manusia untuk memecahkan rahsia kejadian malam dan siang. Lihatlah dan fikirklah  bagaimana siang itu sentiasa datang selepas malam dan malam sentiasa datang selepas siang tanpa ada perubahan padanya. Fikirlah juga bagaimana sifat malam itu amat berbeza dengan sifat siang. Ada perkara yang kita lakukan pada waktu malam dan ada perkara kita lakukan khusus pada waktu siang.

Yang dimaksudkan ‘rezeki’ dalam ayat ini adalah ‘air hujan’. Air hujan diikatakan sebagai rezeki kerana dengan air hujan itu menjadi berbagai-bagai sebab untuk memenuhi keperluan-keperluan yang lain. Dengan air hujan itu, kita dapat minuman dan begitu juga dengan binatang-binatang yang melata. Dengan air hujan itu dapat menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang menjadi makanan untuk manusia dan binatang pula.

‘Bumi yang mati’ maksudnya adalah bumi yang gersang, tidak ada tumbuh-tumbuhan. Tetapi apabila Allah menurunkan hujan kepada bumi itu, maka bumi itu seperti hidup semula, tumbuh tumbuhan dapat hidup dan binatang akan datang kerana ada makanan di tempat itu.

Fikirlah bagaimana pergerakan angin itu berubah-ubah. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Kadang dari kanan dan kadang dari kiri. Kadang ianya bertiup sepoi-sepoi bahasa dan kadang-kadang kuat sampaikan boleh menumbangkan pokok.

Dengan angin itu juga menggerakkan awan yang membawa air dari satu tempat ke tempat yang lain. Dengan peredaran angin juga adalah satu rezeki juga kerana dengannya dapat menyampaikan debunga dari satu tanaman kepada tanaman yang lain yang menyebabkan penumbuhan tanaman yang berbagai.

Alangkah besarnya dan alangkah tingginya tugas akal yang diberikan oleh Allah kepada manusia untuk memikirkan dan mencari kepastian di dalam semua perkara - perkara ini. Oleh sebab itu, kalau akal hanya semata-mata digunakan untuk mencari makan sahaja, amatlah sangat sia-sia. Seharusnya akal yang diibaratkan sebagai raksaksa itu digunakan untuk meneliti semua kejadian alam dan mengaitkannya dengan manual Al Quran yang telah Allah turunkan.

Maka fikirlah, apakah belum jelas segala bukti yang menunjukkan keesaan dan kekuasaan Allah itu? Atau adakah lagi pada fikiran kita kejadian yang lebih dari ini semua? Atau adakah lagi tuhan lain yang menyamai Allah? Adakah berhala-berhala yang disembah itu sama berkuasa dan dapat menandingi kekuasaan Allah? Cubalah kita gunakan akal kita, nescaya akal kita itu dengan sendirinya akan menjawab ‘ tidak ada’.




Al Jathiyah ayat 7 dan 8

7 - Kecelakaanlah bagi tiap-tiap pendusta yang berdosa,

8 - Yang mendengar ayat-ayat Allah dibacakan kepadanya, kemudian dia terus berlagak sombong (enggan menerimanya), seolah-olah ia tidak mendengarnya; oleh itu gembirakanlah dia dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Allah memberikan ancaman kepada kaum kafir Quraisy bahwa mereka kelak akan dimasukkan ke dalam neraka sebagai hukuman kepada orang-orang yang celaka disebabkan mereka terlampau berbuat bohong dan terlampau banyak melakukan dosa.

Mereka yang disebutkan itu apabila mendengar ayat-ayat Allah, yang sengaja dibacakan kepada mereka untuk memujuk mereka supaya beriman kepada Allah, tetapi mereka tetap berdegil dan menyombongkan diri. Seolah-olahnya mereka tidak pernah mendengarnya, kononnya tidak pernah mendengar janji-janji Allah yang baik-baik, ancaman Allah yang menakutkan, perintah Allah yang mesti dikerjakan dan larangan Allah yang wajib mereka tinggalkan. Dalam erti kata lain mereka menolak untuk beriman dengan Al Quran.

Bukankah orang yang sebegini adalah orang yang pembohong dan banyak dosanya? Maka sudah selayaknyalah mereka ini digembirakan dengan seksa yang pedih. Maka Allah menyuruh RasulNya Nabi Muhammad s.a.w. supaya menggembirakan mereka ini dengan kata-kata ejekan yang mengandungi ancaman, bahwa mereka semua ini akan ke neraka Jahannam untuk menerima habuan seksa yang amat pedih di dalam neraka nanti.

Ayat ini ditujukan kepada An Nadhor bin Al Harith kerana dia telah membeli kitab-kitab dongeng orang-orang Parsi Ajam, lalu disuruhnya penduduk Mekah supaya membaca atau mendengar dongeng tersebut untuk memalingkan perhatian orang ramai terhadap pembacaan ayat-ayat Al Quran dan menghalang mereka dari mengikuti pengajian Al Quran.



Al Jathiyah Ayat 9 Dan 10

9 - Dan apabila sampai ke pengetahuannya sesuatu dari ayat-ayat Kami, ia menjadikannya ejek-ejekan; mereka yang demikian, akan beroleh azab yang menghina.

10 - Di hadapan mereka (di akhirat kelak) ada neraka Jahannam (yang disediakan untuk mereka), dan apa jua yang mereka usahakan, tidak dapat menyelematkan mereka sedikit pun; demikian juga yang mereka sembah atau puja selain Allah, tidak dapat memberikan sebarang perlindungan; dan (kesudahannya) mereka akan beroleh azab seksa yang besar.

Orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat Allah ini, apabila mendengarkan sedikit saja dari ayat-ayat Al Quran, mereka terus saja mengejek-ngejek dan mempersendakannya. Ada juga yang mengambil bait-bait dari ayat Al Quran tadi lalu dipotong-potong dan ditambah sana sini agar menjadi maksud yang tidak tidak elok. Sehinggakan ada orang yang menjadikan ayat Al Quran itu satu alasan untuk melakukan satu perbuatan yang jahat.

Di akhir ayat 9 ini Allah memberi ancaman kepada mereka. Di dunia, mereka menghina Al Quran. Di Akhirat nanti, mereka pula yang akan dihinakan. Mereka akan dimalukan di khalayak ramai di Masyhar nanti. Dan mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dalam keadaan hina dina. Dulu mereka di dunia orang yang mulia, tapi di neraka nanti mereka akan menjadi orang yang hina dina.

Di sebalik perbuatan mempersendakan ayat-Ayat Allah itu, terdapat neraka Jahannam yang sedang sedia menunggu kehadiran mereka. Pada ketika itu tidak akan ada sesiapa pun yang dapat menolak seksa yang ditimpakan ke atas mereka disebabkan oleh perbuatan keji merka sendiri. Berhala-berhala tidak akan dapat menolong mereka. Anak cucu, harta emas permata yang bertimbun juga tidak akan dapat menolong mereka. Maka jahannamlah tempat yang seelok-eloknya untuk mereka.


Al Jathiyah ayat 11 dan 12

11 - Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap; dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat penerangan Tuhannya, mereka akan beroleh azab dari jenis azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

12 - Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu, supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintahNya, dan supaya kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya, dan juga supaya kamu bersyukur.

Inilah dia Al Quran. Turunnya Al Quran ini adalah satu rahmat bagi manusia. Al Quran adalah petunjuk bagi menempuh jalan hidup. Selamatlah manusia dunia dan akhirat, apabila mereka mengambil Al Quran sebagai pegangan hidup mereka. Dan gelaplah perjalanan manusia kalau mereka tidak menerima Al Quran dengan baik.

Setelah memberikan ancaman, Allah memberikan bukti yang menunjukkan dirinya sebagai Tuhan yang Maha Esa, lalu disusuli pula di sini dengan memberikan bukti kekuasaanNya. Namun kalau kita cuba hayati ayat 12 ini betul-betul, kita akan merasakan satu perasaan halus yang meresap ke dalam hati kita  Seolah-olah Allah sedang menyatakan kasih sayangNya kepada kita. Kita hambaNya. Cuba baca dan dalami maksud ayat 12 ini.

Seolah-olah Allah berkata, yang walaupun kita selalu membangkang peraturan Allah, tetapi Allah masih lagi menyediakan lautan yang luas untuk kita. Ilmu untuk kita menyeberang lautan mengenderai kapal layar untuk sampai ke destinasi yang lain di atas muka bumi ini.

Dengan kita mengembara di lautan itu, kita boleh dapat hasil dari laut. Kita boleh menangkap ikan, mencari harta karun, mutiara, perhiasan dan sebagainya. Itu menjadi sumber pendapatan yang amat besar bagi sesetengah orang. Selain dari itu, boleh jadikan laut sebagai laluan perniagaan. Barang perniagaan yang berat dan banyak boleh diangkut dengan mudah dan cepat kalau dibandingkan dengan laluan darat.

Dengan ilmu kurniaan Allah yang besar faedahnya ini diharapkan kita dapat bersyukur dan berterima kasih kepada Allah. Bagaimanakah cara untuk berterima kasih kepada Allah? Ialah dengan cara mengabdikan diri kepada Allah dan mentaati segala perintahNya.



Al Jathiyah Ayat 13

Dan Ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

Ayat ini juga menunjukkan kasih sayang Allah kepada kita manusia sebagai hambaNya. Allah memberi ilmu tentang langit kepada manusia. Tentang bulan, bintang, awan dan sebagainya. Semua itu untuk kita. Kita gunakan ilmu itu untuk hidup. Sebagai contoh, kita gunakan ilmu tentang bintang untuk mencari perjalanan di malam hari. Dengan mengkaji tentang awan, kita dapat tahu tentang tempat-tempat yang hujan akan turun.

Allah juga telah memberi kita ilmu tentang mengurus bumi ini. Allah mengajar manusia cara menggunakan sumber yang ada dalam dunia. Banyak sekali kegunaan segala tumbuhan, binatang, mineral dan macam-macam lagi yang kita telah manfaatkan untuk kehidupan. Dan kita masih mengkaji lagi bagaimana menggunakan sumber yang Allah telah jadikan itu. Ingatlah bahawa Allah telah jadikan dunia ini untuk kita.

Itu semua adalah dalil bagi kekuasaan Allah. Dalil itu diberikan kepada semua orang tetapi yang boleh mengambil pengajaran hanyalah mereka yang menggunakan akal mereka untuk berfikir. Iaitu mereka yang melihat kepada alam ini dan mengingatkan diri mereka kepada Allah. Bahawa Allah lah yang telah menjadikan semua itu dan telah memberikannya kepada kita.






Al Jathiyah Ayat 14 dan 15

14 - Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman: hendaklah mereka memaafkan (kejahatan dan gangguan) orang-orang yang tidak menaruh ingatan kepada hari-hari (pembalasan yang telah ditentukan) Allah; (disuruh berbuat demikian), kerana Allah akan memberi kepada satu-satu puak: balasan yang patut dengan apa yang mereka telah usahakan.

15 - (Tiap-tiap balasan berdasarkan kaedah): Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang berbuat kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu.

Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. memberitahu kepada orang-orang beriman agar mereka berlapang dada dan memaafkan kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang musyrikin itu terhadap mereka. Hendaklah mereka bersabar dan tidak membalasnya. Orang-orang musyrikin ini mereka tidak takut akan seksaan Allah kerana perbuatan buruk mereka.

Ini adalah kerana kelak Allah sendiri yang akan membalas semua kejahatan mereka. Dan Allah juga akan memberikan nikmat kebaikan kepada orang-orang mukmin samada di dunia mahupun di akhirat. Mereka ini akan mendapat pahala yang besar di dalam syurga.  

Hamba-hamba Allah yang taat kepada perintahNya dan menjauhi larangannya, mereka ini akan mendapat pahala untuk diri mereka sendiri. dan sebaliknya yang berbuat jahat lantaran derhaka dan melakukan maksiat di dunia, dialah yang akan menanggung akibat dari kejahatan mereka sendiri.

Setiap mereka akan dikembalikan kepada Allah, iaitu mula-mula dimatikan kemudian akan dibangkitkan dari kubur, untuk dikirakan amalan mereka. Yang mana baik akan dibalas dengan baik, dan yang mana jahat, akan diberikan balasan setimpal.




Al Jathiyah Ayat 16 Dan 17

16 -  Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Bani Israil Kitab Taurat, dan pangkat kehakiman serta pangkat kenabian; dan Kami telah kurniakan mereka benda-benda yang baik-baik, serta Kami lebihkan (nenek moyang) mereka di atas orang-orang yang ada pada zamannya.

17 - Dan lagi Kami telah berikan mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata mengenai perkara ugama; maka mereka tidak berselisihan (dalam perkara ugama itu) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang baik dan yang sebaliknya; berlakunya yang demikian) kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.

Ayat 16 ini berceritakan tentang kaum Bani Israel. Kaum Bani Israel telah diberikan Allah kitab Taurat kepada mereka melalui Nabi Musa. Kitab itu juga mengandungi petunjuk dan hukum-hukum serta syariat bagi menjaga keselamatan manusia, agar mereka terpimpin ke jalan lurus.

Allah juga telah mengurniakan ramai nabi dari kalangan bani Israel. Umpamanya, Nabi Musa, Nabi Harun, Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Zulkifli, Nabi Zakaria, Nabi Yahaya, Nabi Yusuf serta Nabi Isa alaihissalam.

Di samping itu  Allah juga telah mengurniakan rezeki yang banyak yang membolehkan mereka hidup mewah dan bersenang lenang. Terdapat di kalangan mereka raja-raja yang berkedudukan tinggi dan luas pula daerah pemerintahannya seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman. Kedua-dua ini bukan saja Rasul tetapi juga raja.

Pendekata kaum Bani Israel ini telah dimuliakan oleh Allah melebihi kemuliaan sekalian manusia seluruh alam yang sezamannya. Kerana tidak ada satu umat yang mempunyai nabi sebegitu ramai seperti mereka, dan tidak pula terdapat sesebuah kerajaan dengan kenabian, sepertimana yang terdapat pada kaum Bani Israel. Sehingga mereka merupakan umat yang paling unggul di dalam sejarahnya.

Di dalam kitab-kitab wahyu yang mereka pegang , iaitu Taurat dan syuhuf-syuhuf yang diterima oleh nabi-nabi mereka, telah selalu diterangkan dengan jelas akan kedatangan nabi terakhir yang akan menggenapkan dan menyempurnakan syariat-syariat nabi-nabi terdahulu. Dan mereka semuanya percaya dengan apa yang diterangkan oleh nabi-nabi mereka dan mereka juga menunggu kedatangan nabi terakhir itu.

Maka setelah tiba kedatangan nabi tersebut, maka semua apa yang diberitahu oleh nabi-nabi mereka itu adalah benar belaka. Tanda-tanda dan bukti kenabian nabi terakhir sudah ditemukan, sesuai dengan apa yang diajarkan oleh nabi terdahulu dan sesuai dengan pengetahuan yang mereka terima.

Tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya. Mereka jadi berselisih. Tidak mahu beriman kepada nabi terakhir. Hanya segelintir saja yang menyatakan mereka beriman. Yang selebihnya menolak. Ini adalah kerana nabi terakhir yang mereka tunggu-tunggu itu adalah bukan dari kalangan Bani Israel tetapi dari kalangan orang Arab. Maka di sini timbulnya kedengkian di antara mereka.

Mereka berpendirian bahawa tidak akan ada satu umat pun yang layak diangkat menjadi nabi atau rasul, kecuali orang itu berdarah dan berketurunan Bani Israel. Maka Allah pun berfirman di dalam ayat 17 bahwa Sesungguhnya Tuhanmu akan menghukum di antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang mereka perselisihkan itu.




Al Jathiyah Ayat 18 dan 19

18 - Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

19 - Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkanmu sedikitpun dari (azab) Allah (kalau engkau menurut mereka); dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu setengahnya menjadi penolong dan penyokong bagi setengahnya yang lain (dalam perkara yang salah); dan (sebaliknya) Allah menjadi penolong dan pelindung bagi orang-orang yang bertaqwa (yang engkaulah pemimpinnya).

Allah memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya mengukuhkan pendirian baginda dan teruslah menyebarkan syariat yang telah disampaikan kepada baginda. Jangan pedulikan hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui itu. Sesungguhnya baginda berpegang dengan yang hak. Baginda dijadikan pelopor ke atas syariat yang disampaikan. Iaitu jalan yang terang lagi benar.

Maka turutlah jalan tersebut, iaitu agama yang benar yang diwahyukan kepada baginda. Dan jangan sekali-kali mengikuti dan melayan kehendak orang-orang musyrik lagi sesat. Ini adalah kerana Allah melarang mengikuti orang-orang yang jahil. Kerana mereka sedikit pun tidak berdaya untuk menolong melepaskan dari seksa Allah seandainya baginda turuti perjalanan mereka yang sesat itu. Dengan itu, untuk orang-orang yang bertakwa, janganlah mereka khuatir sebab pelindung mereka sesungguhnya adalah Allah sendiri.

Pada ayat ini kita menginsafi betapa beratnya tanggungjawab seorang rasul Allah itu. Mereka lebih ditekan untuk bertanggungjawab di hadapan Allah. Kalau ada sedikit saja kekhilafan pasti akan ditegur oleh Allah.

Ingat lagi tak sisters bila Nabi Sulaiman yang terlalai sedikit saja ketika beliau melihat kuda-kuda yang indah dan gagah di dalam surah Sad. Ingat lagi tak sisters tentang Nabi Yunus yang telah dicampakkan Allah ke dalam perut ikan Nun? Dan Nabi Zakariya yang mengeluh ketika gergaji telah sampai di kepalanya ketika beliau akan dibunuh, malaikat Jibril datang memberikan peringatan kepada Nabi Zakariya, “jangan merintih, kerana engkau adalah Nabi.” Dan Nabi Ibrahim juga diuji dengan disuruh menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail di dalam surah As-Saffaat. Nabi Nuh dikatakan bahwa anak kandungnya adalah bukan dari kalangan mereka, kerana anaknya itu tidak soleh. Nabi Musa sampai pengsan kerana berani meminta untuk melihat Allah. Nabi Isa juga diminta untuk bertanggungjawab kenapa pengikutnya telah bertuhankan dirinya. Dan ramai lagi nabi yang telah ditegur Allah kerana kekhilafan yang hanya sedikit sahaja.



Al Jathiyah Ayat 20

20 - Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).

Di permulaan surah ini kita telah diberikan penjelasan bahwa Al Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Bijaksana. Di ayat ini pula Allah menyebutkan pula tentang kelebihan Al Quran dan orang yang berpegang teguh dengan pengajarannya. Al Quran adalah kitab yang merupakan keterangan-keterangan dan tanda bukti yang jelas untuk manusia melihatnya dalam perkara-perkara agama yang dihajatinya. Ianya adalah umpama penrangan di dalam hati yang mengenalkan mereka kepada hidayah dan petunjuk yang sebenar.

Dan Al Quran juga adalah rahmat bagi sesiapa yang percaya dan meyakini akan kebenarannya. Dialah kitab yang diturunkan dari Allah , Tuhan semesta alam. Hanya orang-orang yang yakin saja yang mendapat petunjuk dan rahmat dari Al Quran kerana hanya mereka sajalah yang akan mendapat faedah daripadanya. Sedangkan orang-orang yang mendustakan Al Quran, mereka ini adalah orang-orang yang buta tidak dapat melihat kebenaran. Dan kerana tidak dapat melihat kebenaran, maka tidaklah mereka mendapat apa-apa faedah daripadanya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.