Wednesday, February 10, 2016

Surah Al Jathiyah Ayat 21 - 37







Al Jathiyah Ayat 21

21 - Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.

22 - Dan (ingatlah), Allah menciptakan langit dan bumi dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat (untuk membuktikan keesaanNya dan keadilanNya), dan supaya tiap-tiap diri diberi balasan dengan apa yang mereka telah kerjakan (baik atau jahat), sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikitpun.

Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, adalah orang yang mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan semua larangan Allah. Di samping itu di hati mereka berpegang teguh bahwa hanya  Allah sajalah tuhan mereka. Tidak ada yang lain dan tidak menyamai yang lain. Pegangan mereka adalah kepada Allah saja secara mutlak.

Dengan itu orang-orang kafir telah diingatkan di dalam ayat 21 ini, dengan pertanyaan yang mengandungi erti penafian, bahwa mereka orang-orang kafir yang telah melakukan kesalahan dan dosa serta maksiat di dunia dan menyangkal pula akan adanya Allah dan juga mendustakan RasulNya, maka jangan sekali-kali mereka menyangka bahwa mereka akan disamakan dengan orang-orang mukmin  yang membenarkan adanya Allah. Yang percaya kepada rasulNya serta beramal soleh.

Jawbnya tidak. Sekali-kali tidak sama. Tidaklah sama orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir. Baik di dunia mahupun di akhirat. Orang-orang mukmin hidup dalam keadaan bertakwa dan taatkan Allah sedangkan orang kafir hidupnya dalam keadaan menyangkal dan melakukan maksiat terhadap Allah.

Sesungguhnya Allah tidak menjadikan langit dan bumi untuk kejahatan dan kezaliman. Allah ciptakan kedua-duanya  itu untuk kebenaran dan keadilan. Dan sememangnya dalil Allah itu, adalah untuk tidak menyamakan orang-orang yang baik dengan orang-orang yang jahat. Ianya sebagai tanda kekuasaan dan keesaan Allah, samada keadilan itu dilaksanakan dalam jangakamsa yang cepat ataupun lambat.

Allah menciptakan keduanya itu juga untuk manusia diberikan balasan yang setimpal terhadap apa yang telah dikerjakan mereka. Samda baik ataupun buruk. Sedikit pun Allah tidak akan mengurangi pahala orang-orang mukmin dan sedikit pun Allah tidak akan melebihkan seksaan yang akan ditimpakan ke atas orang-orang kafir. .






Al Jathiyah ayat 23

23 - Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Asal perkataan hawa itu adalah udara. Memang dalam bahasa kita pun hawa itu adalah udara juga. Manusia dikatakan juga mempunyai hawa, sebagai menerangkan keadaan batin mereka. Hawa marah, hawa benci, hawa dendam, sayang, sedih semuanya adalah sebagai menerangkan keadaan di dalam diri. Hawa ini akan berubah-rubah mengikut keadaan sekeliling yang mempengaruhi.

Kalau hawa sedang naik, dan nafsu kita terbawa dengan pengaruh hawa itu, maka pertimbangan akal akan goyah dan hampir kalah. Umpamanya hawa marah. Sekiranya nafsu kita dipengaruhi oleh hawa marah tersebut maka akal kita tidak akan dapat berfikir dengan waras untuk mempengaruhi sikap diri.. Dan ketika hawa marah telah menurun, pada masa itulah beransur-ansur akal dapat menguasai semula sikap diri dan mula membetulkan sikap diri yang telah dipengaruhi hawa marah tadi. Lalu di sinilah akan timbulnya penyesalan.

Di dalam ayat ini digambarkan bahwa orang yang telah meluap-luap hawanafsunya, sampaikan mereka tidak menyedari bahwa hawa telah mempengaruhi mereka. Dan paling buruk lagi hawa telah mereka turuti dengan membuta tuli. Perintah Allah sendiri yang telah berisi di dalam hati sanubari, tidak lagi dipedulikan atau dengan sengaja dilanggar. Mereka telah patuh kepada hawa nafsu mereka sendiri.

Orang-orang kafir Quraisy tidak mahu beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w. kebanyakannya adalah kerana mereka telah mempertuhankan hawanafsu kedengkian mereka sendiri. Sikap pantang merendah diri kepada bangsa lain telah mengaburi kewarasan mereka. Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Memang manusia sendiri tidak akan dapat menginsafkan orang yang sebegini. Hanya Allah saja yang dapat menolong mereka. Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Sisters,
Di dalam kitab Zadul Ma’ad ada membahagikan jihad manusia kepada melawan empat musuh.
1 . jihad melawan hawa
2 . jihad melawan nafsu
3 . jihad melawan syaitan
4 . jihad melawan rayuan dunia

Musuh yang paling besar ialah hawa dan nafsu kerana kedua musuh ini berada di dalam diri kita sendiri. Dalam kita menghadapi musuh yang di luar itu, kedua-dua nafsu ini perlulah kita tentang terlebih dahulu. Dan ada dua lagi musuh besar lagi yang nampak, iaitu kaum munafik dan kafir yang hendak merosakkan agama Islam. Sekiranya kita dapat mengawal dan menundukkan musuh hawa dan nafsu di dalam diri kita ini, nescaya kita akan dapat menundukkan musuh-musuh yang lain termasuk kaum munafik dan kafir dengan mudah sahaja.








Al Jathiyah Ayat 24

24 - Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman”. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.

25 - Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nyata (mengenai soal hidup semula sesudah mati), tidaklah ada hujah mereka (untuk menolak kebenarannya) selain daripada berkata: “Bawakanlah datuk nenek kami (hidup semula) kalau betul kami orang-orang yang benar!”

Orang-orang kafir Quraisy ini tidak percaya bahwa selepas hidup di atas dunia ini sekarang mereka akan menempuh pula alam akhirat. Kata mereka, pada mulanya kita seumpama mati, sebab belum ada, dan setelah itu kita ada, dan selepas itu kita akan mati pula. Sebab apa mati? sebab masanya sudah datang untuk mati. Masanya sudah datang di mana darah di dalam tubuh kita sudah berhenti mengalir, sebab itulah kita mati, habis perkara. Yang ada hanyalah masa. Tidak ada Tuhan. Tidak ada kehidupan setelah mati. Kita mati dan giliran anak-anak pula akan hidup.

Inilah kata-kata oang-orang Quraisy yang tidak percaya kepada adanya hari kiamat. Mereka mempercayai apa yang membinasakan mereka hanyalah peredaran malam dan siang saja iaitu peredaran zaman.

Allah telah menolak anggapan orang-orang kafir yang salah itu dengan firmanNya di dalam ayat ini. Tidak ada dalil berdasarkan ilmu pengetahuan yang dapat disandarkan dari akal atau dari kitab, untuk menyokong anggapan mereka. Mereka telah menyangkal wujudnya Allah tanpa hujjah dan keterangan. Apa yang mereka ucapkan itu semuanya merupakan khayalan belaka. Hanya berdasarkan sangkaan mereka yang tidak dibina di atas keyakinan yang kukuh.

Di dalam Al Quran sendiri telah banyak kali disebut tentang adanya hari kiamat dan hari kebangkitan di mana semua manusia akan dihidupkan kembali dan akan dihitung semua amalan semasa hayat mereka di dunia. Dan apabila ayat-ayat ini dibacakan di hadapan mereka, mereka masih berdegil juga. Mereka meminta pula agar dihidupkan semula nenek moyang mereka yang telah lama mati supaya mereka percaya dengan apa yang dibacakan kepada mereka.

Sesungguhnya bantahan sedemikian tidak patut ditimbulkan oleh orang-orang yang berakal. Ini kerana tidak semestinya permintaan mereka itu akan dipenuhi dengan segera kerana hari kiamat belum lagi berlaku.








Al Jathiyah Ayat 26

26 -  Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia akan mematikan kamu, setelah itu Ia akan menghimpunkan kamu (dalam keadaan hidup semula) pada hari kiamat – (hari) yang tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (ketetapan itu)”.

Allah menyuruh Rasul Nya mengatakan kepada mereka bahwa yang menjadikan mereka dari setitis air mani asalnya adalah Dia. Allah. Maka yang akan mematikan mereka juga nanti adalah Allah, sebaik-baik setelah datangnya ajal. Bukanlah sepertimana sangkaan mereka, mati kerana masa sudah sampai dan menuruti perjalanan zaman.

Allah jugalah yang akan menghimpunkan mereka pada hari kiamat nanti, untuk membuat perhitungan dan pembalasan sebagaimana Allah telah menghidupkan mereka ke dunia dahulu. Sesungguhnya Allah lah yang berkuasa menciptakan sesuatu pada pertama kalinya dan Dia juga yang berkuasa mengulang kembali ciptaanNya dengan tujuan hendak memberikan pembalasan pada hari kiamat.

Memanglah kalau ditanyakan kepada manusia, memang lebih ramai yang tidak mengetahui akan perkara ini. Ini kerana manusia tidak ada yang pergi ke sana, iaitu ke tempat di mana hari kiamat itu berlaku, untuk menyelidik dan kemudian kembali ke bumi semula untuk diberitahukan kepada orang ramai. Para saintis dan cerdik pandai, pakar-pakar yang besar pun tidak mengetahui akan jawapannya. Sebab itulah perkara ini janganlah ditanyakan kepada manusia kerana manusia memang tidak ada yang tahu. Tanyakanlah saja kepada Allah. Dan Allah telah pun menjawab di dalam banyak ayat Quran, Kiamat itu pasti datang. Maka yakinlah. Nescaya hati kita akan tenteram.








Al Jathiyah Ayat 27

27 - Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi; dan ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itulah ruginya orang-orang yang berpegang kepada perkara yang salah.

Allah mengingatkan kembali bahwa sebagai penguasa kerajaan langit dan bumi yang didirikan di atas kebenaran dan keadilan, Allah pastinya akan mengadakan hari pembalasan. Kalau kiamat tidak diadakan, tiadalah ertinya Allah memilih manusia daripada sekian makhluk untuk menjadi KhalifahNya di bumi. Sia-sia saja perhitungan baik dan buruk, salah dan benar dari akal manusia.

Nyatalah bahwa pada hari itu kelak, akan rugilah orang-orang yang mendustakan hari pembalasan. bukan rugi kerana perbuatan jahatnya di dunia yang akan menerima hukuman, tetapi mereka juga akan rugi kerana perbuatan yang baik pun tidak akan dikira dan mendapat penghargaan.






Al Jathiyah Ayat 28
28 - Dan (pada hari kiamat) engkau akan melihat tiap-tiap umat berlutut (dalam keadaan cemas dan menunggu panggilan); tiap-tiap umat diseru untuk menerima kitab suratan amalnya (serta dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang kamu telah kerjakan!

29 - “Inilah surat (tulisan malaikat) Kami, ia memberi keterangan terhadap kamu dengan yang benar, kerana sesungguhnya Kami telah (perintahkan malaikat) menulis segala yang kamu telah lakukan (di dunia dahulu)!”

Pada hari pembalasan itu, akan kelihatanlah tiap-tiap umat dari seluruh bangsa manusia tunduk berlutut disebabkan mereka sangat takut melihat peristiwa kiamat yang menggemparkan. Seolah-olah mereka itu sekumpulan pesalah-pesalah yang menunggu untuk dijatuhi hukuman dari tuan hakim yang Maha Bijaksana. Dada mereka berdebar-debar seakan mahu pecah mengingatkan zaman kehidupan lampau semasa di dunia.

Mereka akan dipanggil satu persatu untuk menerima dan melihat kitab amalan masing-masing. Di dalam kitab itu telah dicatat semua aktiviti harian mereka semasa di dunia oleh malaikat yang bertugas. Semua catatan adalah sangat lengkap dan terperinci. Berita sejak lahir ke dunia sampailah menutup mata, lebih lengkap daripada yang diingat oleh diri sendiri.

Kalau catatannya menepati dengan apa yang diperintahkan oleh Allah maka terselamatlah ia. Tetapi jika catatan itu menyalahi maka celakalah ia. Dan jadilah ia orang yang rugi. Sebabnya telah tersesat dalam kehidupan dunia dengan menyangkakan pula bahwa amalannya adalah amalan yang baik.

Kemudian akan diberitahukan kepada setiap umat, bahwa inilah kitab catatan amalan mereka. Di dalamnya terkandung apa yang akan menjadi saksi untuk berkata-kata ke atas perbuatan mereka. Iaitu saksi yang akan menuturkan keadaan yang sebenarnya. Tidak sedikit pun akan ditokok tambah.

Lengkap catatan itu pada Allah, sedangkan catatan yang ada pada kita sendiri hanyalah ingatan saja. Sebab di sepanjang kehidupan kita, malaikat pencatat yang ditugaskan Allah sentiasa berada dekat dengan kita. Menurut kita ke mana saja kita pergi dan apa saja yang kita lakukan akan dicatat. Walaupun kita bersendiri di ketika itu tetapi sesungguhnya ada malaikat pencatat selalu mengiringi kita setiap masa. Maka janganlah kita menyangka bahwa kita menyendiri dan tidak ada orang yang melihat kita maka kita bebas melakukan apa saja sekehendak hawa nafsu kita. Malaikat pencatat sentiasa ada untuk mencatat setiap gerak laku kita, setiap langkah kaki kita, setiap gerak mata dan bibir kita bahkan yang terlahir di dalam hati kita juga akan dicatat.

Itulah sebabnya maka kita disuruh untuk selalu membersihkan batin kita. Untuk segera belajar menundukkan hawa nafsu kita. Kerana apabila jiwa sudah mulai bersih, sedikit demi sedikit kita akan terasa bahawa adanya malaikat-malaikat itu di sekeliling kita.








Al Jathiyah ayat 30 Hingga 32

30 - Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan dimasukkan oleh Tuhan mereka ke dalam rahmatNya; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar.

31 - Adapun orang-orang yang kafir, (maka mereka akan ditempelak dengan dikatakan kepada mereka): “Bukankah ayat-ayatKu telah disampaikan dan dibacakan kepada kamu, lalu kamu berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadi kaum yang sentiasa melakukan kesalahan?

32 - “Dan apabila dikatakan (kepada kamu): `Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya ‘, kamu berkata: ` Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya ‘.”

Allah menerangkan balasan kepada orang-orang mukmin lagi soleh. Kerana mereka telah bertakwa kepada Alah dalam kehidupan mereka, maka Allah akan mengurniakan meraka nikmat syurga yang digelar sebagai Darul Rahmah. Di situlah nanti tempat turunnya rahmat Allah Taa’la. Dan dengan demikian sudah teranglah bahwa mereka kelak akan mendapat kejayaan.

Manakala orang-orang kufur pula di akhirat kelak akan dicela dan dikeji dengan pertanyaan dari Allah. Allah tanya bukankah sudah datang para utusan Allah membacakan ayat-ayat Allah kepada mereka? Mengapa mereka menyombongkan diri tidak mahu beriman dan enggan mendengarkannya? Maka jadilah merka dariapda orang-orang yang tenggelam di dalam dosa mereka.

Orang-orang kufur ini apabila dikatakan kepada mereka bahwa hari kebangkitan itu adalah benar dan pasti berlaku, mereka berdegil dan mengatakan yang mereka tidak tahu bilakah kiamat itu. Apakah ianya benar-benar akan berlaku ataupun cuma perkara tahyul saja. Kata-kata ini menunjukkan kehairan tentang adanya hari kiamat dan mereka terus-menerus menyangkalnya. Mereka kata bahwa mereka percaya hari kiamat itu adalah khayalan semata-mata dan mereka tidak yakin bahwa hari kiamat itu benar.







Al Jathiyah Ayat 33 Hingga 35

33 - Dan (pada ketika itu) ternyatalah kepada mereka balasan kejahatan-kejahatan yang mereka telah lakukan, serta mereka diliputi oleh azab yang mereka ejek-ejek itu!

34 - Dan dikatakan (kepada mereka): “Pada hari ini Kami tidak hiraukan kamu (menderita di dalam azab seksa) sebagaimana kamu tidak hiraukan persediaan untuk menemui hari kamu ini; dan tempat kamu ialah neraka, dan kamu tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.

35 - “(Balasan buruk) yang demikian ini ialah kerana kamu telah menjadikan ayat-ayat keterangan Allah sebagai ejek-ejekan, dan kerana kamu telah membiarkan diri kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia”. Maka pada hari itu mereka tidak akan dikeluarkan dari neraka, dan mereka tidak diberi peluang untuk bertaubat (memperbaiki kesalahannya).

Apabilah kiamat itu datang, orang-orang yang tidak mahu mempercayainya itu akan berhadapan dengan kenyataan. Kejahatan-kejahatan yang dilakukan semasa hayat mereka di dunia, yang merugikan diri mereka sendiri dan juga merugikan orang lain, yang mereka sangka hanya akan habis sampai di situ saja, tidak akan ada orang yang menuntut balas, tiba-tiba…. ternyata Allah sendiri yang menuntutnya!!  Bayangkan betapa terkejutnya kita nanti!

Doa dan ratap tangis orang-orang yang teraniaya pun akan segera terubat pada ketika itu. Segala kepalsuan akan terbuka, penganiayaan akan diadili dan segala yang dahulunya telah diperolok-olokkan itu kini  telah menjadi kenyataan akhirnya. Dan ianya mengepung mereka untuk dilakukan pembalasan dari kiri kanan belakang dan depan.  

Semasa hayat di dunia, mereka tidak mengendahkan seruan yang disampaikan kepada mereka. Mereka tidak peduli dan mereka melupakannya. Tetapi di akhirat kelak, Allah pula yang tidak mengendahkan mereka. Allah tidak akan peduli kepada mereka dan melupakan mereka yang terperuk dan terseksa di dalam neraka. Siapa lagi yang akan menolong dan mempedulikan mereka pada hari kiamat nanti kalau bukan Allah? Oleh kerana Allah pun tidak pedulikan mereka pada hari itu, maka tinggallah mereka kekal di dalam neraka jahannam.

Sesungguhnya pembalasan yang mereka terima itu adalah hasil dari perbuatan mereka sendiri. Hukuman untuk mereka kerana telah mempersendakan ayat-ayat Allah dan mengejek-ngejek keteranganNya. Dan juga disebabkan mereka telah tertipu oleh kemewahan hidup di dunia dengan kepalsuannya, sehingga mereka menyangkakan yang mereka akan hidup setakat di dunia saja. Tidak ada hari pembalasan. Tidak ada hari kiamat dan tidak ada padang mahsyar.

Menyesal pada ketika sudah berada di alam kiamat amatlah tidak berguna lagi. Kalau hendak menyesal, di kala hidup inilah tempat untuk menyesal. Hendak bertaubat di dalam neraka, lalu hendak beriman dan taat sudah tidak lagi diterima. Masa sudah tamat. Sudah habis. Tempat bertaubat ialah semasa di dunia. Akhirat adalah tempat pembalasan.

Segala yang akan berlaku itu ialah KEBENARAN dan KEADILAN. Kesempurnaan peraturan Allah, iaitu yang taat akan mendapat rahmat dan kebahagiaan. Yang durhaka akan mendapat seksa dan sengsara. Itulah yang benar dan adil. Hukum yang tidak adil adlah mustahil ke atas Allah. Sebab itu maka manusia yang berakal dan berbudi akan tetap memuji Allah di atas kebesaran, kebenaran dan keadilanNya.







Al Jathiyah Ayat 36 dan 37

36 - (Demikianlah ajaran dan peringatan Allah Yang Maha Adil) maka bagi Allah jualah tertentu segala pujian, Tuhan yang mentadbirkan langit, dan Tuhan yang mentadbirkan bumi, – Tuhan sekalian alam.

37 - Dan bagiNyalah keagungan dan kekuasaan di langit dan di bumi; dan dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Sebagai penutup kepada surah ini Allah memberitahukan bahwa pada semua langit itu berlaku peraturanNya, pada bumi pun demikian juga. Dan berlaku pula peraturanNya pada semua makhluk isi alam. Terutamanya manusia. Daripada tidak ada, diadakanNya, dihidupkanNya, dan diberikanNya akal. Lalu dimatikanNya dan dimintaNya untuk bertanggungjawab di atas segala yang dilakukan smasa di dunia.

Maka di hadapan KebesaranNya itulah kelak di hari kiamat, umat manusia akan berlutut (jathiyah), menunggu penghisaban catatan amalan mereka. Semasa di dunia ini pun kita telah berlutut menyerahkan diri, bertaubat kerana kita tidak ada tempat untuk berlindung daripada kemurkaanNya nanti, melainkan hanyalah kepadaNya juga kita berserah diri.

Sisters,
Hayatilah ayat 28 dari surah ini,
“Dan akan engkau lihat tiap-tiap umat berlutut. Tiap-tiap umat akan dipanggil kepada kitabnya. Pada hari ini kamu akan dibalas menurut apa yang pernah kamu kerjakan.”
Ayat ini begitu mengesankan bagi orang-orang yang beriman. Untuk sentiasa mengingati bahwa kelak kita semua akan kembali kepadanya dan kelak setiap perbuatan kita akan dihisab olehNya melalui buku catatan kita sendiri yang akan menjadi saksi. Sesungguhnya kebahagiaan sejati adalah di akhirat sana. Sama-samalah kita berusaha agar buku catatan kita bersih  dan disukai penghisabnya dan kelak syurgalah untuk kita. Insya Allah. Amiin…

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.