Thursday, March 24, 2016

Surah At Taubah Ayat 101 - 129






Surah At Taubah Ayat 101

Dan di antara orang-orang yang di sekeliling kamu dari orang-orang "A'raab" ada yang bersifat munafik dan (demikian juga) sebahagian dari penduduk Madinah; mereka telah berkeras dengan sifat munafik; engkau tidak mengetahui mereka (bahkan) Kamilah yang mengetahui mereka. Kami akan azabkan mereka berulang-ulang, kemudian mereka dikembalikan kepada azab yang besar.

Allah menyebutkan bahwa di luar kota Madianah dan sekitarnya ada beberapa kabilah (suku kaum) yang tinggal di dusun. Mengikut riwayat mereka ialah suku kaum Muzzainah, Juhainah, Asyja’, Aslam dan Ghiffar. di antara suku kaum ini di kalangan mereka tidaklah menunjukkan suatu bilangan yang terbanyak, bahkan sedikit saja. sedikit saja. Kerana suku kaum tadi pernah dipuji dan didoakan oleh Nabi saw. Maka adanya pujian dan doa Nabi kepada mereka, jelas menunjukkan bahwa orang yang baik dalam kalangan mereka lebih ramai.

Di antara suku kaum Aus dan Khazraj dari penduduk kota Madinah itu terdapat juga orang-orang munafik. Di antara penduduk dusun sekeliling Madinah dan di antara orang-orang penduduk Madianh sendiri telah terasuh menjadi orang yang bersifat munafik dan tidak mahu bertaubat membuang sifat terkeji itu.

Walaupun bagaimana pandai pun Rasulullah menangani mereka, namun baginda tidak akan dapat mengesan sifat munafik mereka sehinggalah Allah memberitahu kepada baginda akan mereka. Maksudnya sebahagian orang munafik saja yang didedahkan keburukannya yang terbit dari apa yang mereka katakan dan yang mereka lakukan, sedang sebahagian lainnya tidak didedahkan keburukannya. Hikmatnya ialah untuk menjadi peringatan kepada orang-orang munafik yang lain yang belum didedahkan rahsianya dengan harapan spaya mereka kelak mahu bertaubat dari kesalahan mereka.

Orang-orang munafik itu akan diseksa di dalam dunia sebanyak dua kali iaitu:
pertama - akan ditimpa bencana yang mendedahkan keburukan pekerti mereka yang akan memalukan, bererti batin merekalah yang terseksa oleh berbagai-bagai perasaan malu dan ketakutan.
kedua - seksa kematian ketika nyawa mereka dicabut oleh malaikat yang memukul muka dan belakang mereka pada masa itu, disambung pula dengan seksa kubur. Kemudian mereka akan dikembalikan hidup di akhirat, untuk menerima seksa yang lebih besar lagi dengan memasuki neraka jahanam iaitu tempat yang paling celaka dan lebih teruk.






Surah At Taubah Ayat 102

Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dalam ayat ini dijelaskan suatu golongan yang lain, di antara orang-orang yang ada di sekitar Rasulullah ketika itu, baik dari kalangan Badui atau pun dari penduduk Madinah. Tetapi golongan ini tidak termasuk golongan munafik atau pun As-Sabiqunal Awwalun dan tidak pula termasuk golongan "orang-orang yang mengikuti dengan baik jejak As-Sabiqunal Awwalun".

Mereka ini adalah orang-orang mukmin yang berdosa dan mereka mengakui dengan jujur dosa-dosa mereka. Mereka ini telah mencampur-adukkan antara perbuatan-perbuatan yang baik dengan perbuatan-perbuatan yang buruk, sehingga perbuatan mereka itu tidak seluruhnya baik dan tidak pula seluruhnya buruk.

Dengan demikian mereka ini tidak merupakan orang-orang saleh yang murni, dan tidak pula termasuk golongan yang fasik atau munafik, kerana dalam kenyataannya mereka suka berbuat yang baik tetapi sering pula berbuat buruk.

Di antara keburukan mereka ialah tidak ikut serta dalam perang Tabuk bersama kaum Muslimin lainnya padahal mereka tidak mempunyai keuzuran yang benar kerana mereka bukanlah orang-orang yang lemah atau sakit dan mereka tidak pula mengemukakan alasan-alasan yang bohong seperti yang dilakukan oleh kaum munafik. Dan mereka juga tidak pula meminta izin seperti yang dilakukan orang-orang yang ragu-ragu.

Akan tetapi mereka itu menyedari kesalahan itu pada saat mereka tidak ikut beperang dalam peperangan itu dan hati mereka takut kepada Allah swt. Dengan demikian di satu pihak mereka tidak mahu melakukan kewajiban dan di pihak lain mereka menyedari kesalahan serta merasa takut kepada Allah swt.

Selanjutnya dalam ayat ini diterangkan bahwa golongan ini masih mempunyai harapan bahwa taubat mereka akan diterima Allah swt. Taubat mereka adalah kunci untuk memperoleh keampunan dan rahmat-Nya. Dan tobat yang benar hanya dapat dicapai bila seseorang telah mengetahui keburukan dosa serta akibatnya dan timbullah rasa takut ketika mengingat kemurkaan Allah serta siksaan-Nya. Dan  kemudian timbullah keinginan yang sedaya upaya untuk membersihkan diri dari segala hal yang menimbulkan dosa.  Di samping itu timbullah juga niat dan tekad yang kuat untuk tidak kembali kepada perbuatan itu dan berusaha keras melakukan kebajikan-kebajikan untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah terjadi dan akibat-akibatnya yang buruk bagi masyarakat serta bekas-bekas yang melekat pada diri sendiri.

Pada akhir ayat ini dijelaskan alasan tentang adanya harapan bagi golongan ini bahwa taubat mereka akan diterima Allah swt., yaitu kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang mahu bertaubat dengan sebenar-benarnya dan Allah adalah Maha Penyayang kepada hamba-Nya yang mahu berbuat kebajikan.





Surah At Taubah Ayat 103

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Ayat ini menerangkan tentang faedah bersedekah dan suruhan kepada RAsulullah saw supaya mengutipnya. Iaitu ambillah oleh wahai rasul sebahgian harta dari orang berkenaan yang menjadi sebab turunnya ayat ini, dan juga daripada orang mukmin yang lain.

Harta yang diambil itu ialah dari jenis wang tunai (emas dan perak), binatang ternakan, harta perniagaan, buah-buahan, biji-bijian, galian dan harta terpendam, untuk menjadi sedekah fardhu iaitu zakat. Ianya dikeluarkan mengikut kadar yang ditentukan dalam hukum zakat atau menjadi sedekah sunat mengikut kadar yang tidak ditentukan banyaknya.

Tujuannya ialah supaya harta itu dapat membersihkan mereka dari sifat kotor yang berupa bakhil, tamak dan kekejaman terhadap orang-orang miskin dan sengsara. Dan juga supaya dapat mensucikan diri mereka, agar mereka itu terangkat darjatnya ke tingkat orang-orang yang taat dan baik disebabkan kebajikan mereka. Sehingga melayakkan diri mereka itu menjadi orang-orang yang memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Selama zakat itu belum dibayarkan oleh pemilik harta tersebut, maka selama itu pula harta bendanya tetap bercampur dengan hak orang lain yang haram untuk dimakannya. Akan tetapi, bila ia mengeluarkan zakat dari hartanya itu, maka bersihlah harta tersebut dari hak orang lain.

Perlu diketahui, bahwa walaupun perintah Allah swt. dalam ayat ini pada lahirnya ditujukan kepada Rasul-Nya dan turunnya ayat ini ialah berkenaan dengan peristiwa Abu Lubabah dan kawan-kawannya namun ia juga berlaku terhadap semua pemimpin atau penguasa dalam setiap masyarakat kaum Muslimin untuk melaksanakan perintah Allah dalam masalah zakat ini. Orang-orang Islam yang wajib berzakat akan membagi-bagikan zakat itu kepada yang berhak menerimanya. Dengan demikian, maka zakat akan dapat memenuhi fungsinya sebagai sarana yang efektif untuk membina kesejahteraan masyarakat.

Selanjutnya dalam ayat ini Allah swt. memerintahkan kepada Rasul-Nya dan juga kepada setiap pemimpin dan penguasa dalam masyarakat agar setelah melakukan pemungutan dan pembagian zakat itu, mereka berdoa kepada Allah bagi keselamatan dan kebahagiaan pembayar zakat kerana doa tersebut akan menenangkan jiwa mereka, dan akan menenteramkan hati mereka, serta menimbulkan kepercayaan dalam hati mereka bahwa Allah swt. benar-benar telah menerima tobat mereka.

Pada akhir ayat ini diterangkan bahwa Allah swt. Maha Mendengar setiap ucapan hamba-Nya, antara lain ucapan pengakuan dosa serta ucapan doa. Dan Allah Maha Mengetahui semua yang tersimpan dalam hati sanubari hamba-Nya antara lain ialah rasa penyesalan dan kegelisahan yang timbul karena kesadaran atas kesalahan yang telah diperbuatnya.






Surah At Taubah Ayat 104

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?”

Dengan ayat ini Allah swt. memberikan dorongan kepada hamba-Nya yang telah sedar dai kesalahannya untuk bertaubat dan bersedekah bagi tujuan untuk menghapuskan dosa-dosa mereka. Selain itu ayat ini juga menegaskan, bahawa sesiapa pun yang bertaubat kepada Allah maka Dia akan menerima taubatnya dan siapa yang bersedekah dengan ikhlas maka Allah akan menerima sedekah itu sebagai amal salehnya dan akan memberinya ganjaran pahala.

Ayat ini berbentuk suatu kalimat pertanyaan. Tetapi bangsa Arab telah biasa mengemukakan kalimat yang berbentuk pertanyaan itu untuk menetapkan dan memberikan tekanan tentang sesuatu pengertian yang dalam hubungannya ia adalah kepastian bahwa Allah swt. benar-benar akan menerima tobat orang-orang yang insaf, juga akan menerima sedekah yang mereka berikan kerana mengharapkan keredhaan Allah semata-mata untuk menghapuskan dosa-dosa yang sudah telanjur mereka lakukan.

Ayat ini juga merupakan celaan keras terhadap orang-orang yang bersalah tetapi tidak mengakui kesalahan mereka, tidak mahu bertaubat dan tidak berbuat, dan tidak mahu berbuat kebajikan dan amal saleh untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah mereka lakukan.

Pada akhir ayat ini Allah swt. menegaskan pula bahwa Dialah yang Maha Penerima taubat dan yang Maha Pengasih terhadap hamba-Nya. Oleh sebab itu, maka Allah senantiasa akan menerima taubat hamba-Nya kerana sifat tersebut merupakan sifat yang tetap bagi-Nya, dan menjadi sunnah yang berlaku selama-lamanya. Dan Allah senantiasa mengasihi hamba-Nya.

Oleh sebab itu Allah akan mengampunkan dosa-dosa hamba-hamba-Nya, dan menerima amal saleh yang mereka kerjakan, serta memberi balasan yang setimpal.






Surah At Taubah Ayat 105

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Allah menyuruh rasulNya mengatakan kepada umatnya, hendaklah kamu bekerja, berusaha dan beramal. kerana dalam Islam bukanlah umatnya digalakkan supaya beriman sahaja, atau memperbanyakkan menuntut ilmu dan bercita-cita tinggi semata-mata dengan tidak diamalkan dan dikerjakan. Bahkan Islam menyuruh seseorang itu beramal dengan apa yang diimankannya dan mengamalkan akan ilmu yang dituntutnya serta melaksanakan apa yang dicita-citakannya.

Amatlah salah orang yang beriman tetapi tidak beramal, dan tidak menggunakan ilmu yang dipelajari. Hendaklah kamu bekerja untuk duniamu, dan hendaklah pula beramal untuk akhiratmu. Bekerjalah untuk kepentingan diri sendiri dan juga untuk kepentingan diri orang lain. Kerana sesungguhnya kebahagiaan dan kesenangan itu hanya akan dicapai dengan jalan bekerja.

Segala pekerjaan samada baik atau buruk, tetap akan dilihat oleh Allah, oleh rasulNya dan juga oleh orang-orang yang beriman. Maka dalam bekerja itu hendaklah berhati-hati, dengan sungguh-sungguh dan sempurna. Kerana setiap pekerjaan itu kelak akan dinilai dan dipertimbangkan sehingga diketahui pula adakah dia ikhlas, terpaksa atau bermuka-muka.

Dalam hubungan ini sebuah hadis riwayat Ahmad dan Al Baihaqi- bahawasanya Nabi saw telah bersabda:
“kalau seseorang kamu ada beramal di dalam sebuah batu yang pejal tidak berpintu dan tidak pula berlobang, nescaya Allah akan memperlihatkan amalannya itu kepada manusia di mana saja dia berada.”

Dalam pada itu sebarang perbuatan yang difikirkan baik untuk dikerjakan adalah merupakan perkara yang baik, kerana Ibnu Abbas ada berkata: “ada yang pada pendapat umat Islam itu baik, juga di sisi Allah dianya baik.”

Selanjutnya Allah menyatakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Yang Maha Tahu akan perkara yang tersembunyi dan yang terang, di sanalah nanti kamu diberitahukan apa yang telah kamu kerjakan dahulu. Bererti kalau di dunia ini belum sempat kamu terima upah atau balasannya, maka di akhirat akan pasti kamu terimanya.







Surah At Taubah Ayat 106

“Dan segolongan yang lain (dari orang-orang yang tidak turut berperang); ditempohkan keputusan mengenai mereka kerana menunggu perintah Allah; sama ada dia mengazabkan mereka ataupun Ia menerima taubat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini kembali menerangkan tentang orang-orang yang tidak turut pergi berperang ke Tabuk, mereka itu ada tiga golongan:
1 .  orang-orang munafik yang terasuh di dalam nifak, dan merekalah golongan yang terbanyak.
2 . orang-orang mukmin yang mengakui dosa mereka dan bertaubat serta berbuat sedekah untuk mensucikan diri dari dosa dan memohon agar rasul mendoakan mereka, maka baginda pun meminta ampun kepada Allah, lalu Allah terima taubat mereka. Mereka adalah Abu Lubabah dan kawannya.
3 . orang-orang mukmin yang keadaannya dalam kebingungan. Mereka tidak menguzurkan diri kepada Rasul kerana tidak mempunyai uzur yang benar, malah melambat-lambatkan diri untuk bertaubat kerana masih menunggu-nunggu hukum Allah, maka Allah pun melambatkan pula memberikan keputusanNya oleh sebab yang akan diterangkan pada ayat-ayat yang akan datang.

Menurut tafsir Ibnu Abbas, orang-orang yang ditangguhkan untuk bertaubat untuk menunggu keputusan Allah itu adalah Kaab bin Malik, Marrarah bin ar-RAbi’ dan Hilal bin Umaiyah. Mereka adalah termask orang-orang yang tidak ikut berperang semasa perang Tabuk dengan kelalaian mereka dan juga sifat malas. Oleh krana mereka berterus terang dan mengakui bahwa perbuatan mereka itu adalah satu kesalahan, tidak mencari-cari dusta dan berdalih, maka keputusan memeberikan ampun terhadap mereka ditangguhkan. Maksudnya diserahkan keputusan itu kepada Allah sendiri samada untuk menyeksa mereka ataupun menerima taubat dan mengapunkan mereka.







Surah At TAubah Ayat 107

“Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata ". Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.”

Dalam riwayat mengenai sebab turunnya ayat-ayat ini disebutkan bahwa di Madinah sebelum Rasulullah berhijrah ke sana ada seorang lelaki bernama Amir Rahib dari suku Khazraj. Dia pernah menganut agama Nasrani dan mengajarkan ilmu-ilmu ahlul kitab serta mempunyai kedudukan yang penting dalam kalangan mereka.

Setelah Rasulullah saw. berhijrah ke Madinah dan memperoleh pengikut yang banyak dari penduduk Madinah itu, sehingga kaum Muslimin telah menjadi kuat, dan Allah telah memenangkan kaum muslimin  terhadap kaum musyrik, maka Abu Amir keluar dari kota Madinah melarikan diri ke Mekah. Ia memujuk kaum musyrikin untuk mencederakan Rasulullah dalam perang Uhud. Bahkan ia berpidato kepada kaumnya yang terdiri dari orang-orang Ansar supaya mereka berpihak kepadanya. Akan tetapi kaumnya ini menolak.

Dan setelah peperangan itu selesai, maka Abu Amir melarikan diri serta meminta perlindungan kepada Heracleus, raja Romawi. Dia meminta bantuan kepada raja tersebut untuk memerangi Rasulullah dan kaum Muslimin. Raja tersebut mengabulkan permintaannya, serta menjanjikan kepadanya untuk memberikan bantuan. Abu Amir lalu berkirim surat kepada sekelompok kaumnya yang terdiri dari orang-orang munafik mengabarkan kepada mereka bahwa ia akan datang membawa pasukan untuk memerangi dan mengalahkan Nabi Muhammad saw., dan ia memerintahkan agar mereka membuat sebuah benteng sebagai tempat perlindungan bagi orang-orangnya yang nanti akan datang kepada mereka dengan membawa surat-suratnya; dan tempat itu kelak akan digunakannya sebagai kubu pertahanan apabila nantinya ia datang kepada mereka.

Maka mulailah para pengikutnya itu membangun sebuah mesjid yang berdekatan letaknya dengan Masjid Quba. Mereka membuat bangunan itu sedemikian rupa kukuhnya dan selesai mereka kerjakan sebelum berangkatnya Rasulullah ke peperangan Tabuk. Mereka datang kepada Rasulullah saw. dan meminta agar baginda bersembahyang di masjid tersebut sebagai tanda bahwa beliau merestui pembangunan masjid itu.
Mereka memberitahu kepada Rasulullah saw. bahwa bangunan tersebut mereka dirikan hanyalah semata-mata untuk menampung orang-orang lemah di antara mereka dan orang-orang yang menderita sakit pada malam-malam musim dingin.

Mujur pada saat itu Rasulullah mendapat perlindungan dari Allah SWT. sehingga baginda terhindar dari tipu daya orang-orang munafik itu dan tidak bersembahyang di tempat itu. Rasulullah menjawab tawaran mereka untuk sembahyang di dalam masjid tersebut dengan katanya: "Kami sekarang ini sedang dalam perjalanan; Insya Allah nantilah bila kami pulang dari peperangan."

Pada waktu Rasulullah dalam perjalanan pulang ke Madinah dari peperangan Tabuk, dan berada pada jarak sehari perjalanan atau kurang, dari tempat bangunan itu, turunlah malaikat Jibril memberitahukan kepada Rasulullah mengenai masjid celaka yang dibangun oleh para pengkhianat itu dengan maksud untuk memecah belahkan kaum muslimin yang beribadah di masjid Quba yang didirikan sejak semula atas dasar ketakwaan kepada Allah semata-mata. Setelah mendapat berita itu, maka Rasulullah saw. mengirim orang-orang untuk meruntuhkan dan membakar bangunan itu sebelum beliau sendiri sampai ke Madinah. Maka pengikut Rasulullah pun melaksanakan perintah itu, sehingga bangunan tersebut dijadikan tempat pembuangan sampah.

Diriwayatkan, bahwa orang-orang yang mendirikan bangunan tersebut dan menjadikannya sebagai masjid adalah terdiri dari dua belas orang dari kalangan kaum munafik suku Aus dan Khazraj. Dalam ayat ini Allah swt. menjelaskan maksud-maksud mereka mendirikan mesjid tersebut yaitu:
1. Untuk mencelakakan orang-orang mukmin yang biasa beribadah di masjid Quba, yaitu masjid yang dibangun sendiri oleh Rasulullah saw. ketika beliau berhijrah dari Mekah sebelum sampai ke Madinah.
2. Untuk mengukuhkan kekufuran mereka, dengan cara mempermudahkan dan mencuaikan kewajiban agama, umpamanya, meninggalkan sembahyang secara sembunyi agar tidak diketahui oleh orang-orang mukmin. Kerana mereka tidak lagi berkumpul dan berjumpa sesama mereka di dalam masjid.  Di samping itu mereka dapat pula bermesyuarat di dalam masjid mereka sesama orang-orang munafik, untuk membuat tipu daya terhadap Rasulullah saw dan lain-lain maksud jahat lain yang mereka rancangkan.  
3. Orang-orang mukmin yang dahulunya sembahayng dalam sebuah masjid saja, iaitu masjid Quba. Di sana mereka dapat bersatu padu dan sebulat kata dalam menjalankan urusan mereka. Maka dengan terbinanya masjid Dhirar mereka akan berpecah menjadi dua golongan yang bertentangan. Sepatutnya, sewajibnya orang-orang Islam mendirikan sembahyang Jumaat itu di dalam sebuah masjid saja seberapa daya. Kalau sengaja berpecah belah begitu, adalah dianggap berdosa.
4. Mereka membina masjid itu untuk menunggu kedatangan orang yang dari dahulu lagi telah bertindak untuk memerangi agama Allah dan menentang rasulNYa, iaitu Abu Amir ar Rohib yang telah disebutkan di dalam kisah ini, sehingga masjid itu kelak dijadikan tempat sembahyang olehnya setiba dari negeri Syam selain sebagai kubu untuk pertahanan dan persiapan melancarkan peperangan dengan umat Islam. Tetapi kemudian mengikut riwayat, Abu Amir itu telah mati di negeri Syam berkeadaan terasing dan sebatang kara. Ini menepati dengan sumpah yang diucapkan dahulu di depan Rasulullah saw sebagai seorang yang fasik lagi pendusta.


Dalam ayat ini selanjutnya diterangkan, bahwa orang-orang munafik itu bersumpah untuk memperkuat ucapan mereka, bahwa bangunan itu mereka dirikan hanyalah semata-mata untuk memperoleh kebaikan misalnya untuk memudahkan bagi orang-orang yang lemah melakukan sembahyang Jumaat dekat dari tempat tinggal mereka dan sebagainya. Akan tetapi sumpah tersebut hanyalah untuk menyelimuti maksud-maksud jahat yang tersimpan dalam hati mereka.
Pada akhir ayat tersebut Allah swt. menegaskan, bahwa Dia menyaksikan mereka itu adalah orang-orang yang benar-benar pendusta.








Surah At Taubah Ayat 108

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”

Allah menegah rasulNya, jangan sekali-kali mendirikan sembahayng di dalam masjid dhirar yang membahyakan itu, suatu tegahan untuk selama-lamanya. Bahkan yang lebih patut dan berhak didirikan sembahyang ialah pada masjid Quba yang telah dibina di atas dasar takwa kepada Allah, sebagaiamana dinyatakan Allah dengan firmanNya di dalam ayat ini yang bermaksud :
sesungguhnya masjid (Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya…”

Masjid tersebut telah diramaikan oleh orang-orang yang mendirikan sembhyang untuk mengingati Allah dan bertasbih kepadaNya sepanjang waktu pagi dan petang. Mereka amat suka membersihkan diri baik dalam segi kebersihan pakaian dan tubuh badan yang disucikan pula dengan wuduk dan mandi, mahupun dalma segi kebersihan rohani daripada membuat dosa dan maksiat yang disucikan dengan berbuat sedekah dan bertaubat.

“...Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).”
Ini merupakan pujian Allah kepada mereka dan juga keredhaanNya. Kerana mereka telah melazimkan diri di dalam kebersihan baik dalam segi jasmani mahupun rohani.








Surah At Taubah Ayat 109

“Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.”

Allah memberikan perbandingan di antara dua masjid. Perbandingan itu dibayangkanNya dalma kata perumpamaan. Iaitu ada sebuah masjid yang diasaskan binaannya di atas dasar takwa kepada Allah dan keredhaanNya. Ini dikiaskan bahwa si pembina itu bertujuan membinanya kerana berbakti kepada Allah dan memohonkan keredhaan serta pahala daripadaNya. Maka sudah tentu binaan yang berasaskan takwa dan keredhaan Allah adalah yang lebih kukuh dan kuat.

Dan ada pula sebuah masjid lagi adalah diasaskan binaannya di tepi sebuah jurang yang selalunya juran gitu dimakan oleh air yang mengalir ke bawahnya. Bilamana air bah mendatang maka tepi jurang itu pun gugur lalu runtuhlah bersama masjid itu sekali. Ini dikiaskan bahwa si pembina masjid itu bertujuan membinanya kerana dasar kufur kepada Allah, serta nifak dan membahayakan orang-orang mukmin.


Maka sudah tentu binaan yang berasaskan kekufuran, nifak dan angkara yang membahayakan itu amatlah lemah dan rapuh dan akan menghumbankan si pembinanya ke dalam neraka Jahannam.

Cubalah fikirkan yang mana satu di antara kedua masjid itu yang lebih baik?hanya orang-orang yang diberikan hidayah, petunjuk dan pimpinan dariapda Allah sajalah yang dapt membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Di antara yang hak dengan yang batil. Sedangkan orang-orang yang zalim dan aniaya, Allah tidak akan memberikan kepada mereka sebarang petunjuk.







Surah At Taubah Ayat 110

“(Keruntuhan masjid) yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh-kesah (lebih daripada yang sedia ada) dalam hati mereka, (dan tidak akan habis) kecuali (apabila) hati mereka hancur-luluh (dalam tanah). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sejak masjid itu siap dibina oleh orang-orang munafik, sejak itu juga hati mereka menjadi sentiasa dalam keraguan dan kegelisahan. Kerana sebaik saja masjid mereka siap terbina mereka amatlah sangat suka. Tetapi kemudian apabila masjid itu telah dirobohkan atas perintah Rasulullah saw mereka merasa amatlah sedih dan dukacita. Ini menambahkan lagi akan kebencian mereka kepada Rasulullah saw. Dan di samping itu mereka merasa bertambah ragu-ragu pula adakah pendirian mereka ini benar ataupu salah. Adakah kehidupan mereka nanti akan selamat ataupun terancam. Sehingga membuatkan mereka hidup di dalam kegelisahan dan keluh kesah.

Perasaan ragu dan kegelisahan ini akan terus menyeksa jiwa dan hati mereka selamat denyut jantung mereka masih berjalan dengan baik. Kecuali apabila hati mereka telah terpotong-potong, denyut jantung mereka telah putus dan berhenti iaitu mati, barulah segala perasaan yang menyeksa mereka itu akan berhenti.

Dan Allah itu Maha Mengetahui akan hal ehwal sekalian hambaNya, lagi Maha Bijaksana dalam melaksanakan hukum-hukumNya kepada mereka.







Surah At Taubah Ayat 111

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.

Pada ayat ini diterangkan bahwa Allah swt. telah membeli diri dan harta benda kaum mukmin dari mereka sendiri yang dibayar-Nya dengan syurga Jannatunna'im. Maksudnya: "Allah membalas segala perjuangan dan pengorbanan yang telah diberikan kaum mukmin itu, baik jiwa raga maupun harta benda, dengan balasan yang sebaik-baiknya, yaitu kenikmatan dan kebahagiaan di syurga di akhirat kelak. Ini merupakan ungkapan yang sangat indah dalam menimbulkan keghairahan bagi umat manusia untuk berjihad, kerana ianya menggambarkan suatu ikatan jual beli yang sangat menguntungkan manusia, sebab pengorbanan yang telah mereka berikan berupa harta benda dan jiwa raga akan ditukar dengan sesuatu yang sangat berharga, yang tak pernah dilihat oleh mata manusia, dan tak pernah didengar oleh telinga. Dan nilainya jauh lebih tinggi daripada harta benda dan apa saja yang telah dikorbankan.

Di samping itu jual beli yang terjadi antara Allah dan kaum Muslimin ini tak akan pernah dibatalkan. Tidaklah seperti ikatan jual beli yang terjadi antara sesama manusia yang kadang-kadang dapat dibatalkan. Lagi pula jual beli antara sesama manusia adalah berupa pertukaran antara barang dan wang yang sama nilainya. Sedangkan balasan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya yang beriman jauh lebih tinggi nilainya daripada pengorbanan yang telah diberikan atau perjuangan yang telah dilakukannya.

Balasan yang berlipat ganda yang dianugerahkan Allah kepada hamba-Nya itu adalah semata-mata kerana kasih sayang-Nya dan merupakan kehormatan yang diberi kepada hamba-Nya yang beriman, sebab pada hakikatnya diri manusia itu adalah milik Allah, kerana Dialah Penciptanya dan harta benda mereka itu pun adalah milik-Nya, kerana Dialah yang menganugerahkan kepada mereka. Namun demikian, bila manusia berjihad dengan mengorbankan harta benda dan jiwa raga mereka yang dianugerahkan-Nya kepada mereka, maka Allah tetap memberikan balasan yang berlipat ganda nilainya padahal Allah sendiri pada hakikatnya tidak memerlukan harta benda dan jiwa raga itu.

Selanjutnya dalam ayat ini Allah swt. menerangkan bagaimana caranya orang-orang mukmin menyerahkan diri dan harta mereka yang dibeli oleh Allah swt. dengan syurga Jannatunna'im itu, yaitu dengan berperang pada jalan Allah untuk membela kebenaran dan keadilan yang akan menyampaikan mereka kepada keredhaan-Nya; adakalanya mereka dapat menumpas musuh-musuh Allah yang selalu menghambat jalan dakwah Islam, dan adakalanva mereka gugur dalam peperangan sebagai syuhada dalam membela agama Allah.

Namun tak ada perbezaan antara keduanya dalam menerima pahala dan balasan dari Allah swt.
Kemudian Allah swt. menegaskan, bahwa janji-Nya untuk memberikan balasan pahala yang disebutkan itu adalah merupakan janji yang akan ditepati-Nya, dan telah ditetapkan-Nya sedemikian rupa dalam kitab Taurat dan Injil. Dan walaupun janji itu telah dihapuskan dari kedua kitab suci itu oleh kaum Yahudi dan Nasrani namun masih tetap ada dalam Alquran, dan tak akan dapat dihapuskan oleh sesiapa pun juga, kerana Allah telah menjamin keselamatan Alquran itu dari tangan-tangan yang jahil.

Selanjutnya Allah swt. menegaskan, bahwa tidak ada seorang pun yang melebihi Allah dalam hal menepati janji, kerana Allah Maha Kuasa untuk menepati janji-Nya, dan tidak pernah lupa atau pun ragu pada hamba-Nya. Oleh sebab itu, Allah menyuruh mereka untuk menampakkan kegembiraan atau keberuntungan yang pasti akan mereka perolehi dari jual beli yang terjadi antara mereka dan Allah swt.

Pada akhir ayat ini Allah swt. kembali memberikan penegasan bahawa keberuntungan yang akan diperoleh mereka itu benar-benar suatu keberuntungan yang amat besar tidak ada yang melebihinya. Sedang keberuntungan yang telah mereka peroleh sebelumnya yang berupa kemenangan terhadap musuh-musuh Islam, serta kepemimpinan, kekuasaan dan kerajaan, hanyalah keberuntungan yang merupakan jalan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Jakfar As-Sadiq, seorang yang mempunyai pengetahuan luas tentang Alquran, dalam menafsirkan ayat ini mengatakan: "Badan manusia ini nilai tukarannya adalah syurga, oleh sebab itu kita tidak boleh menjualnya kecuali jika untuk mendapatkan syurga. Orang yang mati dalam membela agama Allah bererti dia mengorbankan tubuh kasarnya yang bersifat fana, bukan mengorbankan jiwanya yang bersifat kekal. Bila tubuh kasarnya mati, maka rohnya kembali ke hadirat Allah Yang Maha Kuasa."








Surah At Taubah Ayat 112

“(Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian).”
Setelah Allah menawarkan pembelian diri atau nyawa dan harta orang-orang yang beriman dengan bayaran syurga, maka pada ayat ini Allah menjanjikan juga syurga itu kepada orang-orang mukmin yang disebutkan sifatnya dalam ayat ini, walaupun mereka itu tidak berjihad atau berperang, asalkan saja mereka tidak menentang atau bermaksud mengelakkan diri.

Mereka yang dijanjikan syurga itu ialah orang-orang yang bersifat seperti berikut:
1 . orang-orang yang taubat kepada Tuhan, iaitu bertaubat daripada syirik, belepas diri dari sifat munafik dan daripada melakukan segala maksiat.
2 . orang yang menyembah Tuhan, iaitu mengerjakan segala amal ibadat yang dipersembahkan kepada Allah dengan setulus-tulusnya.
3 . Orang yang sentiasa memuji Allah pada masa senang mahupun pada masa susah dan selalu bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka.
4 . orang-orang yang berpuasa iaitu menahan diri dan mengekang kehendak nafsu yang sentiasa ingin kepada kelazatan makan, minum dan berkelamin. Orang yang juga mengembara kerana menuntut ilmu yang berguna untuk kebaikan agamanya dan dunianya. Ataupun orang yang melawat-lawat sesuatu tempat, suatu negara atau sesuatu bangsa dan umat, untuk menjadi iktibar, contoh dan teladan yang baik, yang kesannya kelak akan menambahkan lagi keyakinan terhadap kekuasaan Allah dan keesaanNya.
5 . orang-orang yang rukuk, orang-orang yang sujud. iaitu di dalam menunaikan sembahyang fardhu adalah pekerjaan rukuk dan sujud itu merupakan perbuatan merendah diri yang ditujukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya.
6 . orang-orang yang menyuruh mengerjakan perbuatan baik dan orang-orang yang melarang dari melakukan kejahatan. Iaitu mengajak orang supaya beriman kepada Allah dan menyeru untuk berbuat kebajikan, serta menegah pula dari melakukan syirik dan dari berbuat maksiat atau kederhakaan.
7 . orang yang memelihara akan batas-batas peraturan Allah. Iaitu mereka memelihara dengan mengamalkan hukum Allah yang telah diterangkanNya , maha halal dan mana haram. Mana yang disuruh dan dilarang.

Allah menyuruh RasulNya supaya menyampaikan berita gembira kepada orang-orang mukmin yang telah diterangkan sifat-sifatnya di atas bahawa mereka juga dijanjikan oleh Allah akan mendapat syurga meski pun tidak berjuang ke medan perang.







Surah At Taubah Ayat 113

Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

Allah swt. menjelaskan dalam ayat ini, bahwa tidaklah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang mukmin untuk mengajukan permohonan kepada Allah agar Dia memberikan ampun kepada orang yang musyrik walaupun mereka adalah kerabat Nabi atau kerabat dari orang-orang mukmin. Lebih-lebih apabila Nabi dan orang-orang mukmin telah mendapatkan bukti yang jelas, bahwa mereka yang dimohonkan ampunan itu adalah calon-calon penghuni neraka kerana perbuatan dan tindak-tanduk mereka telah menunjukkan keingkaran mereka kepada Allah swt.

Pada ayat ke 80 surat At-Taubah ini juga, Allah swt. telah menerangkan bahwa Dia tidak akan memberikan keampunan bagi orang-orang munafik, kerana mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya walaupun Rasulullah memintakan ampun untuk mereka. Dan dalam ayat ke 48 dan 116 surat An-Nisa Allah telah menegaskan pula, bahwa Dia tidak akan memberikan ampun kepada siapa saja yang menjadi musyrik, yaitu mempersekutukan Allah dengan yang lain.

Orang-orang yang mempersekutukan Allah walaupun mereka mengaku beriman dan menyembah kepada Allah, namun di samping itu mereka beriman dan menyembah selain Allah. Hal ini menunjukkan bahwa mereka tidak mempunyai iman tentang kesempurnaan dan kekuasaan Allah swt. Oleh sebab itu dalam ayat lain Allah menegaskan bahwa kemusyrikan itu adalah suatu kezaliman yang besar, dan merupakan dosa yang tidak akan diampuni sekiranya tidak segera bertaubat. Itulah sebabnya, maka Lukman Al-Hakim memberikan pelajaran kepada putranya, beliau berkata:
“Janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kelaliman yang besar.”
(Q.S. Lukman: 13)

Dalam riwayat yang menjelaskan sebab turunnya ayat ini yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ibnu Jarir dan lain-lain dari Said Ibnu Musayyab, dari ayahnya, diterangkan bahwa ketika bapa saudara Nabi Muhammad, Abu Talib, akan meninggal dunia maka Nabi datang mengunjunginya, dan ketika itu Abu Jahal dan Abdullah Ibnu Abu Umayyah berada pula di sampingnya, Nabi lalu berkata kepada pakciknya: "Hai Pakcik, ucapkanlah kalimat "la ilaha illallah" dengan kalimat itu kelak di hari kiamat aku akan mempunyai alasan untuk memintakan ampunan bagimu kepada Allah swt." Mendengar ucapan Nabi kepada pakciknya itu, maka Abu Jahal dan Abdullah segera pula berkata kepada Abu Talib: "Apakah engkau tidak senang kepada agama Abdul Muttalib?"

Kemudian Nabi senantiasa mengulangi permintaannya itu kepada Abu Talib, tetapi kedua pembesar kaum kafir Quraisy itu segera pula mengulangi ucapan mereka seperti tersebut di atas, sehingga akhirnya Abu Talib mengucapkan kata-katanya yang terakhir kepada mereka: "Aku tetap dalam agama Abdul Muttalib." Ia enggan mengucapkan kalimat "la ilaha illallah". Maka Rasulullah saw. bersabda: "Demi Allah, aku akan memohonkan ampun untukmu kepada Allah selama aku tidak dilarang untuk berbuat demikian." Maka turunlah ayat ini yang dengan tegas melarang Nabi dan kaum muslimin untuk memohonkan ampun kepada Allah bagi orang-orang musyrik, walaupun mereka termasuk keluarga terdekat.

Dan khusus mengenai Abu Talib, maka Allah swt. telah berfirman kepada Rasulullah sebagai berikut:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya.”
(Q.S. Al-Qasas: 56)

Abu Talib ini meninggal dunia di kota Mekah kira-kira tiga tahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Oleh sebab itu sebahagian ulama menganggap tidak benar turunnya ayat ini mengenai Abu Talib sebab ayat ini terdapat dalam surat At-Taubah yang termasuk kelompok surat-surat Madaniah. Akan tetapi ulama-ulama lain mengatakan bahwa mengenai turunnya ayat ini ada dua macam kemungkinan, yaitu:
Pertama: ayat ini turun tak lama sesudah meninggalnya Abu Talib, kemudian ayat tersebut digabungkan kepada surat Bara`ah (At-Taubah), akibat ada kesamaannya mengenai hukum-hukum yang khusus tentang lrangan orang-orang mukmin mendoakan ampunan bagi orang-orang kafir, di samping persamaan mengenai celaan terhadap orang-orang musyrik.

Kedua: Mungkin juga ayat tersebut turun bersamaan ayat-ayat lainnya dalam surat Bara'ah (At-Taubah) ini yang menjelaskan bahwa tentang permintaan ampunan oleh Rasulullah saw. untuk Abu Talib semenjak wafatnya Abu Talib sampai pada saat turunnya ayat tersebut Rasulullah senantiasa memohonkan ampun kepada Allah untuk pakcikya itu, sebab sikap yang keras terhadap orang-orang kafir, dan melepaskan hubungan dari mereka hanyalah terdapat dalam ayat-ayat surat At-Taubah ini.

Dalam ayat di atas terdapat isyarat bahawa mendoakan orang-orang yang telah mati dalam kekafirannya agar mereka memperoleh ampunan dan rahmat Allah adalah terlarang. Dan larangan ini mencakup segala cara berdoa, baik doa-doa yang biasa dilakukan sesudah salat dan dalam upacara tertentu mahupun doa yang hanya berupa sebutan "almarhum" atau "almagfur lahu" di samping nama seseorang. Yang sebenarnya kata-kata tersebut hanya boleh dihubungkan kepada orang-orang mukmin, dan tidak boleh dihubungkan kepada orang-orang yang telah mati dalam kekafiran. Tetapi ini sering kali kurang disedari oleh sebagian kaum muslim, baik di kalangan orang-orang awam mahupun kalangan terpelajar.

Dengan adanya larangan Allah dalam ayat ini kepada Nabi dan orang-orang mukmin untuk memintakan ampun bagi orang-orang musyrik, dapatlah diambil kesimpulan bahwa kenabian dan keimanan yang sejati tidak membolehkan seseorang untuk memanjatkan doa ke hadirat Allah swt. untuk mengampuni orang-orang musyrik itu dalam keadaan bagaimana juga walaupun mereka adalah termasuk kaum kerabat yang dicintai. Hal itu disebabkan kerana bagi Nabi dan orang-orang mukmin sudah cukup jelas dari berbagai bukti kenyataan, bahwa orang-orang musyrik itu telah mati dalam kekafiran sehingga dengan demikian mereka adalah merupakan calon-calon penghuni neraka, maka tidaklah selayaknya untuk dimintakan ampun kepada Allah, kerana perbuatan mereka tidak diredhai-Nya.








Surah At Taubah Ayat 114

Dan bukanlah istighfar Nabi Ibrahim bagi bapanya (dibuat) melainkan kerana adanya janji yang dijanjikan kepadanya; dan apabila ternyata kepada Nabi Ibrahim bahawa bapanya musuh bagi Allah, ia pun berlepas diri daripadanya. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar.

Dari keterangan-keterangan yang terdapat dalam ayat di atas mungkin terlintas pertanyaan dalam fikiran kita, apakah sebabnya Allah melarang Nabi Muhammad saw. dan kaum muslimin untuk memohon ampun bagi orang-orang yang telah mati dalam kemusyrikan dan kekafiran itu, walaupun kaum kerabat dan ibu bapanya sendiri padahal Nabi Ibrahim pernah memohonkan ampun bagi bapanya yang juga seorang musyrik yang mati dalam kemusyrikan dan kekafiran.

Maka dalam ayat ini Allah swt. memberikan jawaban-Nya bahwa benar Nabi Ibrahim pernah memohonkan ampun kepada Allah bagi bapanya yang bernama Azar dengan mengucapkan doa sebagai berikut:
“Dan ampunilah bapakku karena sesungguhnya dia adalah termasuk golongan orang-orang yang sesat.”
(Q.S. Asy Syura: 86)

Akan tetapi Nabi Ibrahim berbuat demikian itu adalah kerana ia pernah menjanjikan kepada bapanya untuk mendoakannya dengan harapan agar Allah swt. memberikan taufik kepadanya untuk beriman, dan memberikan petunjuk kepadanya jalan yang benar yang telah dibentangkannya. Janjinya itu menunjukkan bahwa Nabi Ibrahim sudah meyakini bahwa kemampuannya hanyalah sekadar mendoakan kepada Allah sedang ia sendiri tidak sewenang-wenangnya memberikan petunjuk atau pun keselamatan, apalagi mengampuni dosanya.

Dengan demikian, Ibrahim telah memenuhi janjinya akan tetapi hanya sekadar pemenuhan janji. Hal ini juga disebutkan Allah dalam firman-Nya:
“Dan (lembaran-lembaran) Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji.”
(Q.S. An Najm: 37)

Dalam ayat ini selanjutnya, Allah swt. menjelaskan bahwa walaupun Ibrahim telah memohonkan keampunan bagi ayahnya sebagai pemenuhan janjinya namun kemudian setelah nyata baginya bahwa bapaknya benar-benar memusuhi Allah dan mati dalam kemusyrikan, maka Ibrahim tidak lagi mendoakan bapaknya itu setelah matinya, dan ia telah berlepas tangan. Jadi Nabi Ibrahim mendoakan bapaknya itu adalah di kala bapaknya itu masih hidup dengan harapan semoga bapaknya mendapat hidayah dan taufik dari Allah dan meninggalkan kemusyrikannya dan bertaubat kepada Allah dan doa yang semacam ini tidaklah terlarang.

Keimanan seseorang kepada Allah dan hari akhir tidak akan membiarkannya mengasihi orang-orang yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya. Hal ini telah ditegaskan Allah dalam firman-Nya pada ayat-ayat lain:
“Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang itu bapak-bapak atau anak-anak atau saudara-saudara atau pun keluarga mereka.”
(Q.S. Al-Mujadalah: 22)

Pada masa bapanya masih hidup, Nabi Ibrahim sudah tahu juga tentang tingkah lakunya yang tidak diredhai Allah, sehingga ia sendiri pernah diancamnya dengan kata-kata yang kasar yang tersebut dalam ayat sebagai berikut:
“Berkata bapaknya: "Bencikah kamu kepada tuhan-tuhanku, hai Ibrahim? Jika kamu tidak berhenti, maka niscaya kamu akan kurajam, dan tinggalkanlah aku buat waktu yang lama."
(Q.S. Maryam: 46)

Namun demikian Ibrahim juga berjanji kepada bapanya untuk mendoakannya kepada Allah agar memberi ampun dan rahmat serta petunjuk. Akan tetapi, setelah bapanya ini meninggal, nyatalah bagi Ibrahim bahwa dia benar-benar memusuhi Allah pada masa hidupnya. Dan setelah meyakini hal itu, maka Ibrahim segera berlepas diri dari dia, dan tidak lagi berdoa untuknya. Apakah gerangan sebab yang demikian?
Maka dalam akhir ayat ini Allah swt. menerangkan jawaban atas pertanyaan tersebut, yaitu kerana Ibrahim adalah manusia yang amat takut kepada Allah, serta taat dan patuh kepada-Nya, ia juga terkenal sebagai seorang penyantun dan tetap pendiriannya dalam segala hal.

Itulah sebabnya ia segera menghentikan doanya untuk bapanya setelah ia mengetahui bahwa dia benar-benar seorang musyrik yang dalam hatinya telah tertanam dengan kuat kepercayaan syirik dan permusuhan terhadap Allah swt. Nabi Ibrahim berhati lembut kerana sangat takutnya kepada Allah, dan di samping itu ia sangat menyesalkan sikap orang-orang musyrik di kalangan kaumnya termasuk bapaknya sendiri.







Surah At Taubah Ayat 115

Dan Allah tidak sekali-kali menjadikan sesuatu kaum itu sesat sesudah Ia memberi hidayah petunjuk kepada mereka, sebelum Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka wajib memelihara dan melindungi diri daripadanya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

Larangan memintakan ampun bagi orang-orang musyrikkin ini telah menyebabkan banyak orang-orang mukmin yang ketakutan kalau-kalau perbuatan mereka yang lampau dikira sebagai berdosa sebab setengah orang-orang mukmin sudah meninggal dunia sebelum turun larangan ini. Lalu Allah menurunkan ayat ini yang maksudnya sepertimana di atas. Jadi jelaslah bahwa sebelum adanya larangan ini dan turunnya ayat ini, maka apa jua perbuatan yang lepas tidaklah akan dikira sebagai berdosa.

Allah maha Mengetahui perasaan khuatir dan takut dalam diri orang-orang mukmin ketika melakukan perbuatan memintakan ampun bagi orang-orang musyrikin, dan Allah juga tahu tentang perintah dan larangan yang diterangkan kepada mereka itu.








Surah At Taubah Ayat 116

Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala alam langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan tidaklah ada bagi kamu selain dari Allah sesiapa pun yang menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong”
.
Allah menyatakan tentang kekuasaanNya dalam memerintahkan kerajaan langit dan bumi serta segala isinya yang menjadi hak milikNya. Mereka itu diperintah adalah mengikut hukum yang telah ditetapkan dan mengikut apa yang dikehendakiNya.

Allah lah yang menghidupkan seseorang itu supaya ia dapat beriman dan seterusnya mematikan di dalam iman. Juga dialah yang menghidupkan seseorang itu di dalam kufur dan mematikan ia di dalam kufur pula. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalang pemerintahanNya.

tidak ada seorang pun yang dapat melindungi manusia dari musuh dan tidak seorang pun yang menolong seseorang itu untuk mengalahkan musuh, hanya Allah sajalah yang dapat berbuat demikian.







Surah At Taubah Ayat 117

"Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi dan orang-orang Muhajirin dan Ansar yang mengikutnya (berjuang) dalam masa kesukaran, sesudah hampir-hampir terpesong hati segolongan dari mereka (daripada menurut Nabi untuk berjuang); kemudian Allah menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Amat belas, lagi Maha Mengasihani terhadap mereka."

Maksud "Allah menerima taubat Nabi saw" di sini ialah tidak mengambil tindakan ke atas nabi ataupun telah memaafkannya disebabkan baginda telah mengizinkan orang-orang munafik dan setengah orang-orang mukmin tinggal di Madinah tidak berperang di peperangan Tabuk. Ini samalah seprti firman Allah pada ayat 43 yang terdahulu.

Perbuatan baginda itu hanya dianggap sebagai meninggalkan perkara yang afdhal iaitu utama saja dan tidaklah dianggap sebagai dosa yang mesti dihukum.

Dan maksud " Allah menerima taubat orang-orang muhajirin dan Ansar" itu pula, ialah disebabkan dalam hati mereka ada keinginan untuk tinggal saja tidak mahu pergi berperang ke Tabuk. Kerana pada masa itu musim panas yang amat terik, mungkin terlintas dalam hati mereka mengatakan ketidak sanggupan memerangi orang-orang Rom dan tidak dapat melepaskan diri dari mereka. Maka Allah pun menerima taubat mereka dan memaafkan apa yang terlintas di hati mereka.

Manusia ini tidak luput dari melakukan kesilapan dalam hidupnya, samada tersilap melakukan dosa yang kecil ataupun kerana meninggalkan perkara yang afdhal. Kemudian apabila Nabi saw dan orang-orang mukmin yang mengikutinya itu tahan menderita kesusahan dalam pelayaran dan sabar menghadapinya, itulah sebabnya Allah mengampunkan dan menerima taubat mereka.
Pada masa perang TAbuk, orang-orang musyrikin berada di dalam kesulitan , kerana tidak cukup kenderaan, bekalan makanan yang sedikit dan kekurangan air pula. Pernah 10 orang mengenderai seekor unta dengan bergilir-gilir. Mereka beraada di dalam keadaan demikian selama berhari-hari namun mereka sedikit pun tidak mengurangkan keyakinan mereka terhdap nabi saw.

Namun keadaan genting yang sedemikian, ada juga membuatkan hati sebahagian orang-orang mukmin hampir menyimpang dari kebenaran. Ada setengah dari mereka hendak menyimpang dari nabi saw kerana tidak tahan dengan cubaan Allah yang begitu dahsyat. Tetapi kemudian mereka berjaya juga untuk bersabar dan akhirnya menyesal atas niat yang terlintas di hati mereka. Oleh sebab itulah Allah menyatakan di dalam ayat ini bahwa Allah menerima taubat mereka kerana sesungguhnya Allah itu maha Penyayang dan Maha mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka.

Allah mengetahui keikhlasan hati mereka kerana mereka telah benar-benar bertaubat. Allah tidak akan memberati dan membebani perkara-perkara yang tidak terdaya oleh hambaNya untuk memikulnya.








Surah At Taubah Ayat 118

Dan (Allah menerima pula taubat) tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka) hingga apabila bumi yang luas ini (terasa) sempit kepada mereka (kerana mereka dipulaukan), dan hati mereka pula menjadi sempit (kerana menanggung dukacita), serta mereka yakin bahawa tidak ada tempat untuk mereka lari dari (kemurkaan) Allah melainkan (kembali bertaubat) kepadaNya; kemudian Allah (memberi taufiq serta) menerima taubat mereka supaya mereka kekal bertaubat. Sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.

Selain Allah menerima taubat Nabi, kaum Muhajirin dan Ansar, Allah juga telah  menerima taubat tiga orang yang dahulunya telah tertinggal tidak mahu melaporkan diri kepada Nabi saw untuk bertaubat. Mereka ialah :

1 . Ka'ab Bin Malik
2 . Hilal bin Abi Umaiyah
3 . Mararah bin ar-Rabi'

Kesemuanya dari kaum Ansar dan mereka inilah yang dimaksudkan di dalam ayat 106 yang terdahulu yang bermaksud:
"dan yang alin masih menunggu keputusan Allah"

Mereka ini tidak menguzurkan diri kepada Rasulullah saw kerana tidak mempunyai keuzuran yang benar, malah melambatkan diri untuk bertaubat kerena masih menunggu keputusan dari Allah. Maka Allah pun melambatkan pula dalam memberikan keputusanNya.

Mereka tidak turut berperang ke Tabuk kerana lebih suka tinggal bersama kumpulan orang yang sengaja bermalas-malas dan bersenang diri sambil menunggu menikmati musim buah-buahan. Mereka tidaklah seperti kumpulan Abi Lubahah dan kawan-kawannya yang mengikat diri masihg-masing kepada tiang masjid, kerana segera bertaubat lalu Allah terima taubat mereka. Sedang ketiga-tiga orang yang disebutkan ini, Allah telah melambatkan keputusan menghukumnya.

Oleh itu Rasulullah saw telah memulaukan mereka selama 50 hari dan melarang para sahabat untuk tidak mengajak mereka bercakap. Malah mereka disuruh berpisah daripada Isteri masing-masing. Maka tindakan Rasulullah saw kepada mereka menyebabkan mereka hidup dalam kebingungan tidak tentu arah hinggakan terasa bumi yang luas ini sempit untuk mereka.

Mereka mula menyedari bahwa Allah benar-benar telah murka kepada mereka, dan hanya kepada Allah jualah merka mesti bertaubat dan memohon rahmat.

Akhirnya Allah telah berkenan juga untuk menerima taubat mereka agar mereka kembali ke pangkal jalan, pergi semuala mengikuti Nabi saw kerana Allah sifatNya penerima taubat bagi orang-orang yang bertaubat, dan luas rahmat serta belas kasihanNya.

Maka hendaklah kisah ketiga-tiga orang ini dijadikan tauladan oleh orang-orang yang beriman agar menambahkan lagi khyusyuk mereka kepada Allah.







Surah At Taubah Ayat 119

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

Ayat ini menggesa orang-orang mukmin agar mereka itu di dunia ini menjadi orang yang bertakwa kepada Allah iaitu patuh, taat dan berbakti kepadaNya agar di akhirat pula bersama-sama dengan golongan orang-orang yang benar keimanannya yang ditempatkan di syurga.

Dan janganlah pula mereka menjadi golongan orang-orang munafik yang akan dimasukkan ke dalam neraka, disebabkan dosa mereka berdusta dan menguatkan pula dosanya itu dengan bersumpah.








Surah At Taubah Ayat 120

Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang-orang yang di sekeliling mereka dari orang-orang "A'raab" ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah; dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri dengan tidak menghiraukan Rasulullah. Yang demikian kerana sesungguhnya (tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Allah menyebutkan keadaan orang-orang yang tinggal saja di Madinah dengan tidak ikut beperang, yang kemudian Allah terima taubat mereka, kerana niat mereka yang baik dan tidak lagi mengekalkan perbuatan mereka itu sedang mereka mengetahui, maka di sini Allah menguatkan lagi perihal tentang wajibnya mengikuti perintah Rasulullah saw dengan menyertainya dalam peperangan. Allah mengecam orang-orang yang cuba meninggalkannya tanpa uzur.

Memanglah tidak patut bagi orang-orang yang tinggal duduk saja di Madinah dari kaum Muhajirin dan Ansar, dan juga orang-orang yang tinggal di dusun speerti suku Muzainah, Juhainah, Asyja’, Ghiffar dan Aslam kalau mereka tidak ikut berperang bersama Rasulullah saw seperti dalam perang TAbuk itu.

Tidaklah patut untuk mereka semua mementingkan kerehatan diri sendiri dengan bersenang-lenang tanpa mengorbankan sesuatu yang mesti mereka korbankan, iaitu kepentingan yang melebihi dari kecintaan mereka terhadap RAsulullah saw dengan turut bersama ke medan perang. Kerana keimanan seseorang itu tidak akan sempurna selagi tidak mencintai Rasulullah saw lebihd ari mencintai diri mereka sendiri.

Tidak patut mereka tinggal tidak berperang, kerana mereka tidak merasakan betapa peritnya tekak mereka kehausan dipadang pasir  yang panas disebabkan oleh kekurangan air. Betapa payah dan sengsaranya mereka bergerak menuju ke medan perang disebabkan oleh kekurangan alat pengangkutan dan kenderaan. Juga mereka tidak merasa betapa pedihnya perut mereka digigit kebuluran disebabkan kekurangan bekalan makanan dalam perjalanan memerangi musuh di jalan Allah.

Mereka juga tidak merasakan memijak bumi musuh dengan tapak kaki mereka yang dapat membangkitkan kemrahan, kedukaan dan kesedihan orang-orang kafir sebab tanah mereka telah dapat diinjak. Seterusnya tidak mengalami penderitaan yang berupa pembunuhan, penyerangan, penawanan dan perampasan harta daripada musuh, yang mana kelima-lima perkara yang disebutkan di atas tadi masing-masing akan dituliskan menjadi amal salih yang berkebajikan bagi mereka yang turut berperang.

Ayat ini menjadi dalil atas orang yang bermaksud mentaati Alalh , maka apa pun yang dilakukannya olehnya, baik berdiri, duduk, berjalan, bergerak dan diamnya, semuanya menjadi kebajikan pahala yang akan dituliskan oleh Allah bagi orang itu. Sebaliknya, juga menjadi dalil atas orang yang bertujuan maksiat (derhaka) kepada Allah, maka sebarang perbuatan yang dilakukannya baik berdiri, duduk berjalan, bergerak dan diamnya, semuanya menjadi kejahatan iaitu dosa. Kecuali kalaulah Allah berkenan dengan kurnia dan kemurahanNya untuk mengampuninya, barulah hapus dosanya.








Surah At Taubah Ayat 121

Dan tidak pula mereka membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil, atau yang besar; dan tidak mereka melintas sesuatu lembah, melainkan ditulis pahala bagi mereka, supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Selain perkara yang telah disebutkan di dalam ayat yang lalu, di sini dinyatakan bahwa setiap mereka membelanjakan sesuatu yang ada pada mereka, baik daripada benda yang sekecil-kecilnya walaupun hanya sebiji buah kurma hinggalah kepada yang sebesar-besarnya dan sebanyak-banyaknya. Bagitu pula setiap mereka melintasi lembah atau jurang di mana sahaja di muka bumi ini, samada pada masa perginya mahupun ketika kembali, Allah telah menjamin untuk menuliskannya sebagai pahala sebanyak tiap langkah yang dilangkahkannya dan tiap-tiap sesuatu yang dibelanjakannya.

Allah akan mencatat dalam buku amalan mereka masing-masing dengan sebaik-baik balasan tentang amalan yang telah mereka kerjakan. Dan ayat ini pula menjadi dalil tentang kelebihan berperang atau berjihad, iaitu ia merupakan sebaik-baik amalan bagi seorang hamba yang hendak berbakti kepada Tuhannya.







Surah At Taubah Ayat 122

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Dalam ayat ini, Allah swt. menerangkan bahwa tidak perlu semua orang mukmin berangkat ke medan perang, bila peperangan itu dapat dilakukan oleh sebahagian kaum muslimin saja. Tetapi harus ada pembahagian tugas dalam masyarakat, sebahagian berangkat ke medan perang, dan sebahagian lagi menuntut ilmu dan mendalami ilmu-ilmu agama Islam supaya ajaran-ajaran agama itu dapat diajarkan secara merata, dan dakwah dapat dilakukan dengan cara yang lebih efektif dan bermanfaat serta kecerdasan umat Islam dapat ditingkatkan.

Orang-orang yang berjuang di bidang pengetahuan agama Islam disamakan nilainya dengan orang-orang yang berjuang di medan perang. Dalam hal ini Rasulullah saw. telah bersabda:
“Di hari kiamat kelak tinta yang digunakan untuk menulis oleh para ulama akan ditimbang dengan darah para syuhada (yang gugur di medan perang).”

Tugas ulama umat Islam adalah untuk mempelajari agamanya, serta mengamalkannya dengan baik, kemudian menyampaikan pengetahuan agama itu kepada yang belum mengetahuinya. Tugas-tugas tersebut adalah merupakan tugas umat dan tugas setiap pribadi muslim sesuai dengan kemampuan dan pengetahuan masing-masing, karena Rasulullah saw. telah bersabda;
“Sampaikanlah olehmu (apa-apa yang telah kamu peroleh) daripadaku walaupun hanya satu ayat Alquran saja.”

Akan tetapi tentu saja tidak setiap umat Islam mendapat kesempatan untuk menuntut dan mendalami ilmu pengetahuan serta mendalami ilmu agama, kerana sebahagiannya sibuk dengan tugas di medan perang, di ladang, di pejabat dan sebagainya. Oleh sebab itu harus ada sebahagian dari umat Islam yang menggunakan waktu dan tenaganya untuk menuntut ilmu dan mendalami ilmu-ilmu agama agar kemudian setelah mereka selesai dan kembali ke masyarakat, mereka dapat menyebarkan ilmu tersebut, serta menjalankan dakwah Islam dengan cara atau kaedah yang baik sehingga mencapai hasil yang lebih baik pula.

Apabila umat Islam telah memahami ajaran-ajaran agamanya, dan telah mengerti hukum halal dan haram, serta perintah dan larangan agama, tentulah mereka akan lebih dapat menjaga diri dari kesesatan dan kemaksiatan, dapat melaksanakan perintah agama dengan baik dan dapat menjauhi larangan-Nya. Dengan demikian umat Islam menjadi umat yang baik, sejahtera dunia dan akhirat.

Di samping itu perlu diingat, bahwa apabila umat Islam menghadapi peperangan besar yang memerlukan tenaga manusia yang banyak, maka dalam hal ini seluruh umat Islam harus dikerahkan untuk menghadapi musuh. Tetapi bila peperangan itu sudah selesai, maka masing-masing harus kembali kepada tugas masing-masing semula, kecuali sejumlah orang yang diberi tugas khusus untuk menjaga keamanan dan ketenteraan.

Oleh kerana ayat ini telah menetapkan bahwa fungsi ilmu tersebut adalah untuk mencerdaskan umat, maka tidaklah dapat dibenarkan bila ada orang-orang Islam yang menuntut ilmu pengetahuannya hanya untuk mengejar pangkat dan kedudukan atau keuntungan pribadi saja, apalagi untuk menggunakan ilmu pengetahuan sebagai kebanggaan dan kesombongan diri terhadap golongan yang belum menerima pengetahuan.

Orang-orang yang telah memiliki ilmu pengetahuan haruslah menjadi pembimbing bagi umatnya. Ia harus menyebarluaskan ilmunya, dan membimbing orang lain agar memiliki ilmu pengetahuan pula. Selain itu, ia sendiri juga harus mengamalkan ilmunya agar menjadi contoh dan tauladan bagi orang-orang sekitarnya dalam ketaatan menjalankan peraturan dan ajaran-ajaran agama.

Dengan demikian dapat diambil suatu pengertian, bahwa dalam bidang ilmu pengetahuan, setiap orang mukmin mempunyai tiga kewajiban, iaitu: menuntut ilmu, mengamalkannya dan mengajarkannya kepada orang lain.

Menurut pengertian yang tersurat dari ayat ini kewajiban menuntut ilmu pengetahuan yang ditekankan di sisi Allah adalah dalam bidang ilmu agama. Akan tetapi agama adalah suatu sistem hidup yang mencakup seluruh aspek dan mencerdaskan kehidupan mereka, dan tidak bertentangan dengan norma-norma segi kehidupan manusia.

Setiap ilmu pengetahuan yang berguna dan dapat mencerdaskan kehidupan mereka dan tidak bertentangan dengan norma-norma agama, wajib dipelajari. Umat Islam diperintahkan Allah untuk memakmurkan bumi ini dan menciptakan kehidupan yang baik. Sedang ilmu pengetahuan adalah sarana untuk mencapai tujuan tersebut. Setiap sarana yang diperlukan untuk melaksanakan kewajiban adalah wajib pula hukumnya. Dalam hal ini, para ulama Islam telah menetapkan suatu kaidah yang berbunyi:
“Setiap sarana yang diperlukan untuk melaksanakan yang wajib, maka ia wajib pula hukumnya.”

Kerana pentingnya fungsi ilmu dan para sarjana, maka beberapa negara Islam telah membebaskan para ulama (sarjana) dan mahasiswa kepada perguruan agama dari kewajipan ketenteraan agar pengajaran dan pengembangan ilmu senantiasa dapat berjalan dengan lancar, kecuali bila negara sedang menghadapi bahaya besar yang harus dihadapi oleh segala lapisan masyarakat.








Surah At Taubah Ayat 123

“Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolonganNya).

Allah memerintahkan orang-orang mukmin supaya berpeerang tujuannya ialah untuk melindungi seruan agama Islam agar berjalan terus dan mempertahankan penganutnya agar selamat.

Adapun perintah Allah supaya memerangi orang-orang kafir seluruhnya, hal ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekaligus. Maka ayat ini menjelaskan bahawa perlaksanaannya hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat, iaitu hendaklah bermula dari yang dekat, di sekeliling kawasaan yang ada terlebih dahulu.

Memulakan sesuatu dari yang dekat ini adalah merupakan panduan yang baik dalam banyak perkara, supaya seseorang itu tertib. Umpamanya, dalma perkara memberi nafkah dan sedekah, mulakanlah dengan memberikannya kepada kerabat yang dekat lebih dahulu, kemudian yang jauh dan seterusnya baharulah kepada orang lain. Ketika mengedarkan minuman dan sebagainya, Nabi saw mengedarkan mula-mula kepada orang yang berada di sebelah kanannya, meskipun bukan orang kenamaan dalam majlis itu, kemudian mengedarkan kepada orang yang disebelahnya lagi dan kemudian terus ke kanan.

Nabi saw pada masa beperang mula-mula memerangi kaumnya, kemudian berpindah memerangi suku Arab yang lain. Setelah itu berpindah pula memerangi Ahli Kitab. Kemudian berpindah lagi memerangi orang-orang Rom di negeri Syam kemudian para sahabat pula pergi memerangi negeri Iraq, selepas itu baharulah pergi menakluki lain-lain negeri. Dengan demikian terlaksanalah perintah memerangi seluruh orang kafir.

Dengan memerangi orang-orang kafir itu maka orang-orang kafir tersebut akan dapat menemui dan mengalami tentang kekerasan dan kekasaran sikap orang-orang mukmin pada masa berjuang dan keberanian serta kesabaran dalam menghadapi peperangan. Sesungguhnya sikap yang keras dan kasar adalah wajar, untuk diperlakukan dalam peperangan. Kerana hal itu boleh meredakan segala kekacauan dan keburukan yang ditimbulkan oleh musuh.







Surah At Taubah Ayat 124

“Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). “

Allah menyebutkan pula salah satu keburukan orang-orang munafik, iaitu apabila Allah menurunkan sesuatu surah dari al-Quran kepada rasul-Nya maka orang-orang munafik tersebut akan mengatakan kepada kawannya dengan cara mengejek untuk menghinakan al-Quran, supaya pendirian kawannya itu tetap sebagai orang munafik. Dan juga berkata kepada orang-orang Mukmin yang lemah imannya supaya hati mereka menjadi syak dan ragu-ragu pula, kata mereka: “Siapa diantara kamu yang bertambah imannya oleh surah ini?” Seolah-olah maksudnya mereka menyangkal, masakan orang-orang akan bertambah yakin kepada al-Quran dan bertambah percaya kepada agama Islam oleh sebab turunnya surah al-Quran itu.

Kata-kata penghinaan itu telah dijawab oleh Allah dengan tegas, bahawa bagi orang-orang yang beriman dengan sebenar-benar sememangnya setiap turun surah al-Quran keimanan mereka semakin bertambah dan keyakinan mereka semakin kuat, sehingga mereka merasa gembira untuk lebih banyak lagi beramal dan semakin ingin mendampingkan diri kepada Allah.






Surah At  Taubah Ayat 125

“Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir.’


Bagi mereka yang jiwanya sedang dihinggap penyakit ragu-ragu, syak dan kufur dengan Allah, maka setiap surah al-Quran diturunkan akan menambahkan lagi kotornya jiwa mereka yang pada mulanya telah sedia ada diselaputi oleh kekotoran kufur sehingga menjadi tebal - tidak mungkin dapat dibersihkan lagi - akhirnya matilah mereka berkeadaan kufur.







Surah At  Taubah Ayat 126

Dan (patutkah) mereka (berdegil) tidak mahu memperhatikan, bahawa mereka dicuba (dengan berbagai-bagai bencana) pada tiap-tiap tahun, sekali atau dua kali; kemudian mereka tidak juga bertaubat, dan tidak pula mereka mahu beringat (dan insaf)?

Agak menghairankan juga mengenangkan pekerti orang-orang munafik itu. Adakah mereka tidak memperhatikan? Atau sengaja tidak mengambil tahu, bahawa mereka pada setiap tahun telah pun dicubai oleh Allah sebanyak sekali atau dua kali dengan berbagai-bagai ujian, umpamanya: ditimpa penyakit, kesengsaraan, kebuluran, peperangan, atau didedahkan rahsia munafik mereka. Tetapi mereka tidak juga mahu bertaubat untuk meninggalkan sifat munafik dan kembali ke jalan yang benar. Dan mereka tidak pula mahu beringat, untuk mengambil teladan dari segala cubaan Allah dan ujian yang dikenakan kepada mereka.


Surah At  Taubah Ayat 127

Dan apabila diturunkan satu surah dari Al-Quran (mendedahkan keburukan orang-orang munafik itu) setengah mereka memandang kepada setengahnya yang lain sambil berkata: "Adakah sesiapa nampak kamu (kalau kita undur dari sini)?" Kemudian mereka berpaling pergi (dengan meninggalkan majlis Nabi); Allah memalingkan hati mereka (daripada iman), disebabkan mereka kaum yang tidak (mahu) mengerti.

Setelah Allah menerangkan - pada ayat yang terdahulu kesan dari turunnya surah al-Quran mengenai pekerti orang-orang munafik yang surah itu diturunkan adalah pada masa ketiadaan mereka, maka di sini diterangkan pula akan kesan dari turunnya surah al-Quran tentang pekerti mereka juga, iaitu pada masa mereka hadir di majlis Rasulullah (s.a.w.). Apabila diturunkan surah dari al-Quran, lalu sesetengahnya memandang kepada sesetengah yang lain.

Disebabkan surah yang diturunkan itu, mengandungi celaan terhadap sifat munafik mereka, maka merekla pun berpandang-pandangan sesama mereka sambil mengenyitkan mata sebagai isyarat supaya segera beredar dari majlis itu seorang demi seorang dengan sembunyi-sembunyi dan senyap-senyap, supaya tidak ketara oleh orang lain, seraya berkata: “Adakah seseorang yang melihat kamu?” Yakni, adakah Rasul dan orang-orang Mukmin melihat kepergian kamu? Dan akhirnya mereka pun beredar meninggalkan majlis tersebut.

Dengan beredarnya mereka dari majlis Rasulullah (s.a.w.) itu, kemudian Allah mentakdirkan hati mereka akan terpaling dari memperoleh iman yang sejati lalu tersesat. Mereka menjadi kaum yang tidak dapat memahami lansung apa yang mereka dengar daripada keterangan Allah yang diturunkan kepada mereka. Mereka akan ditakdirkan tidak memahami mana yang benar  dan mana yang salah, mana yang baik dan mana yang buruk. Betapa akan faham kalau masih demikian pekerti mereka?








Surah At  Taubah Ayat 128

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. “

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Arab yang bermaksud bahwa Allah telah menurunkan seorang rasul iaitu Nabi Muhammad saw itu adalah dari kalangan mereka. Perkataan “dari golongan kamu sendiri’ dalam ayat ini ialah untuk menggalakkan orang-orang Arab, supaya saling suka membantu dan mempercayai Rasulullah saw. Kerana ketinggian martabat bangsa Arab, akan menjadi sempurna dengan ketinggian martabat Nabi Muhammad saw. Dan kemuliaan dan kemegahan mereka juga akan menjadi sempurna juga dengan kemuliaan dan kemegahan yang ada pada Nabi Muhammad saw. Semua ini adalah kerana Nabi Muhammad saw adalah dari bangsa mereka juga yang mana mereka mengenalinya sebagai seorang yang jujur, amanah, tahu memelihara diri, bersih dari kejahatan.

Ayat ini bukan saja ditujukan kepada orang Arab saja. Malah ditujukan kepada semua umat manusia. Sesungguhnya telah datang kepada manusia seorang utusan yang berasal dari manusia juga. Kerana kalau utusan itu dari bangsa malaikat, nescaya manusia  itu tidaklah akan terdaya untuk mendengar tutur katanya  dan tidak tahan untuk menerima pengajarannya.

Sebagian mufassir menafsirkan perkataan "rasulun min anfusikum" dengan hadis:
“Bersabda Rasulullah saw.: "Sesungguhnya Allah telah memilih Bani Kinanah dari keturunan Ismail, dan memilih suku Quraisy dari Bani Kinanah, dan memilih Bani Hasyim dari suku Quraisy, dan Allah telah memilihku dari Bani Hasyim."
(H.R. Muslim dan Tirmizi dari Wasilah bin Asqa')

Dari ayat dan hadis di atas dapat difahami tentang kesucian keturunan Muhammad saw. yang berasal dari suku-suku pilihan dari suku-suku bangsa Arab. Dan orang-orang Arab mengetahui benar tentang hal ini. Nabi Muhammad saw. berasal dari keturunan orang-orang yang baik dan terhormat mempunyai sifat-sifat yang tinggi dan agung pula, yaitu:
1. Dia merasa tidak senang jika umatnya ditimpa sesuatu yang tidak diingini, seperti ditimpa kehinaan kerana dikuasai dan dijadikan hamba oleh musuh-musuh kaum muslimin, sebagaimana ia tidak senang pula melihat umatnya ditimpa azab yang pedih di akhirat nanti.
2. Sangat menginginkan agar umatnya mendapat taufik dari Allah, bertambah kuat imannya dan bertambah baik keadaannya.
3. Sangat belas kasihan dan amat penyayang kepada kaum muslimin. Keinginannya ini nampak pada tujuan risalah yang disampaikannya, yaitu agar manusia hidup berbahagia di dunia dan di akhirat nanti.

Dalam ayat ini Allah memberikan dua sifat Nabi Muhammad saw. yang kedua sifat itu merupakan sifat-Nya sendiri, termasuk di antara "asmaulhusna", yaitu sifat "rauf" (amat belas kasihan) dan sifat "rahim" (penyayang) sebagai tersebut dalam firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah benar-benar amat Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia.”
(Q.S. Al-Baqarah: 143)

Pemberian kedua sifat ini kepada Muhammad saw. menunjukkan bahwa Allah swt. menjadikan Muhammad saw. sebagai rasul yang dimuliakan-Nya.









Surah At Taubah Ayat 129

Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."

Sekiranya orang -orang munafik dan orang-orang kafir berpaling, iaitu enggan untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan emreka itu terus bersikap menentangmu (Muhammad), maka katakanlah kepada mereka: Cukuplah Allah menjaga aku. Maksudnya memadailah Allah saja yang akan menolong baginda untuk mengalahkan mereka semua. Tiada Tuhan melainkan Dia, kepadaNya aku berserah. Maksudnya, tidak ada tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah, dan aku tidak sekali-kali akan berserah kepada selain Allah.

Arasy atau singgahsana yang dipunyai oleh Allah adalah menunjukkan tentang kebesaran Tuhan, dan ketiadaan ‘Arasy tidak pula akan mengurangi kebesaran Tuhan. Hanya ‘Arasy dijadikan sebagai pusat tempat pentadbiran alam, dan dari sanalah alam ini ditakdirkan. ‘Arasy juga bersifat Maha Besar. Tidak lain  kerana kebesarannya itu bergantung dengan kebesaran Allah Ta’ala juga.

Mengikut riwayat oleh Ubai bin Ka’ab: bahwasanya kedua-dua ayat 128 dan 129 ini adalah bahagian Quran yang akhir sekali diturunkan. Wallahu a’lam.

Sebagai penutup dari surah At Taubah ini, ingin juga kita menyalin isi dari sebuah hadis dari RAsulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Abu Darda’ dan dari riwayat lain yang dirawikan oleh Ibnus Sunni dari Abu Darda’ juga. Rasulullah saw bersabda:
“barangsiapa yang menyebut seketika pagi dan seketika petang, “hasbiallahu la ilaha illa huwa’alaihi tawakkaltu, wa huwa rabuul arsyil ‘aziim” sebanyak 7 kali , akan dicukupkan oleh Allah atasnya apa yang membuatnya susah dalam urusan dunia dan akhirat.”