Wednesday, March 2, 2016

Surah Qaaf Ayat 23 - 45





Qaaf Ayat 23 Hingga 29

23. dan yang menyertai Dia berkata : ‘ Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku’.

24. Allah berfirman : ‘Lemparkanlah olehmu berdua ke dalam neraka semua orang yang sangat ingkar dan keras kepala,

25. yang sangat menghalangi kebajikan, melanggar batas lagi ragu-ragu,

26. yang menyembah sembahan yang lain beserta Allah Maka lemparkanlah Dia ke dalam siksaan yang sangat dahsyat‘.

27. Berkatalah yang menyertainya itu: ‘Ya Tuhan Kami, aku tidak menyesatkannya tetapi Dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh’.

28. Allah berfirman : “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, Padahal Sesungguhnya aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.

29. keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan aku sekali-kali tidak Menganiaya hamba-hamba-Ku

Di dalam ayat ini, Allah menceritakan tentang malaikat yang diceritakan di dalam ayat 21 tadi. Iaitu malaikat pencatat amalan baik dan malaikat pencatat amalan buruk manusia. Kedua-dua malaikat ini kelak di hari kiamat akan menjadi saksi atas segala perbuatan manusia. Malaikat tersebut akan berkata pada manusia  Inilah (catatan amalnya) yang tersedia pada sisiku’. Semuanya yang telah tersedia dan tercatat tanpa tambahan dan pengurangan. Pada saat itulah Allah akan menghukumkan semua makhkluk dengan adil berdasarkan buku catatan yang masing-masing perolehi.

Maka setelah itu Allah memerintahkan agar kedua malaikat itu melemparkan mereka yang dijatuhi hukuman berdosa ke dalam neraka Jahannam. Sisters, cuba sisters baca dan dalami ayat 24, 25 dan 26. Firman ini sangat terang maknanya dan tidak perlu admin ulas lagi. Sangat menggerunkan. Firman ini jelas menunjukkan betapa kemurkaan Allah Yang Maha Gagah Perkasa dalam suasana yang menakutkan itu. Orang-orang yang berdosa dan terlaknat akan menerima hukuman yang berat. Orang-orang kafir, degil, penghalang kebajikan, pelampau dan meragui kebenaran dan menyembah tuhan yang lain dari Allah akan bakal dicampakkan ke dalam neraka Jahannam.

Berkatalah yang menyertainya itu: ‘Ya Tuhan Kami, aku tidak menyesatkannya tetapi Dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh’.
Maksud di sini adalah syaitan yang selalu memperdayakan manusia. Apabila telah mendengar hukuman yang telah dijatuhkan Allah itu maka syaitan pun bersuara untuk berlepas diri. Syaitan berkata bahwa bukanlah ia yang menyesatkan manusia itu tetapi manusia itu sendirilah yang berada di dalam kesesatan. Di waktu ini syaitan sendiri pun akan berlepas diri, tidak mahu memikul tanggungjawab kerana telah menyesatkan manusia. Alasan yang diberikan bahwa kesesatan itu adalah pilihan dari manusia itu sendiri.

Allah berfirman : “Janganlah kamu bertengkar di hadapan-Ku, Padahal Sesungguhnya aku dahulu telah memberikan ancaman kepadamu”.
Maksudnya Allah telah memberikan kesempatan kepada manusia dan syaitan melalui para utusanNya dan Allah telah menurunkan kitab-kitab serta menegakkan bukti dan penjelasan yang nyata kepada mereka. Masa hidup di dunia dahulu sudah banyak diberikan kepada manusia untuk mengikuti dan mentaati amanah Allah. Sudah banyak seruan dijalankan dan sudah berkali-kali amaran diberikan. Maka hari ini waktu untuk pembalasan sudah tiba, segala apa yang dikerjakan manusia semasa di dunia akan diperthitungkan dan diberikan balasan. Jadi kini sudah tidak berguna lagi sebuah penyesalan. Kerana sesungguhnya Allah tidaklah akan menghukum hambaNya dengan zalim dan aniaya.
keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan aku sekali-kali tidak Menganiaya hamba-hamba-Ku
Ini kerana segala perhitungan balasan dan hukuman ke atas setiap hambaNya telah dilakukan dengan sangat saksama. Telah dijalankan pengadilan dengan seadil-adilnya. Mustahil Allah akan melakukan aniaya kepada hamba-hambaNya. Sebab bagi Allah seluruh hamba itu adalah dicintai dan dikasihi, tiada berbeza di antara satu sama lain. Samada yang bersalah mahupun yang benar.







Qaaf Ayat 30

30. (dan ingatlah akan) hari (yang pada hari itu) Kami bertanya kepada Jahannam : “Apakah kamu sudah penuh?” Dia Menjawab : “Masih ada tambahan?”

Ayat 30 ini saja sudah membayangkan bagaimana dahsyatnya hari kiamat itu nanti. Berbondong-bondong orang-orang yang berdosa dihalau masuk ke dalam neraka, tidak henti-hentinya dan tidak putus-putusnya. Entah berapa belas ribu, ratus ribu, entah berjuta-juga orang yang dihalau masuk ke dalamnya.Sampaikan dikatakan dalam ayat bahwa Allah bertanya kepada neraka jahannam itu, “Apakah kamu sudah penuh?”

Memanglah tidak diragukan lagi bahwa sememangnya Allah Maha Mengetahui samada neraka itu telah penuh ataupun tidak. Allah bertanya itu, bukanlah bermakna Allah tidak tahu, tetapi ianya hanyalah untuk menggambarkan kepada KITA betapa dahsyat keadaan di hari itu.

Lalu neraka jahannam menjawab pertanyaan Allah, “Masih ada tambahan?” Pertanyaan ini juga bukanlah bertanya kerana belum mengetahui berapa ramai lagi tambahannya, melainkan ianya bermakna bahwa neraka jahannam masih bersedia menerima sebanyak mana pun yang akan ditambah.

Dari membaca dan memahami ayat ini, timbullah rasa ketakutan dan kengerian di hati kita sehingga menerbitkan azam dan usaha di dalam diri untuk menjauhkan diri dari perbuatan dosa yang melanggar perintah Allah. Bukankah begitu, sisters? Kerana apabila Allah telah murka, berapa ramai makhluk yang telah membuat dosa, pasti akan disumbatkan ke dalam neraka jahannam. Dan neraka jahannam ini sentiasa bersedia menerima penghuninya. Tidak pernah penuh walaupun berapa ramai yang dicampakkan ke dalamnya.







Qaaf Ayat 31 Hingga 35

31. dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka).

32. Inilah yang dijanjikan kepadamu, (yaitu) kepada Setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya)

33. (yaitu) orang yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat,

34. masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari yang kekal.

35. mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.

Lain pula ceritanya dengan orang yang bertakwa. Mereka ini tidak perlu merasa risau akan nasib mereka. Tidak perlu merasa takut dan tidak perlu merasa dukacita. Sebab bagi orang yang bertakwa, syurga itu sudah sekian lama menanti kehadiran mereka dan ianya berada dekat saja dengan mereka. Seakan-akan nampak saja di pandangan mata mereka.

Di syurga nanti mereka akan mendapat penghormatan dan kemuliaan yang berlebih-lebihan. Dikatakan kepada mereka ahli syurga ini, Inilah yang dijanjikan kepadamu, (yaitu) kepada Setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya) Inilah dia nikmat yang sangat menyenangkan bagi orang-orang yang mahu menyelurusuri jalan Allah. Walaupun dengan jerih perit terpaksa bertahan dengan seribu halangan, memperjuangkan kebenaran, maka inilah pengakhiran bagi orang-orang yang sanggup melaluinya. Pengakhiran yang penuh nikmat dan kemanisan.

(yaitu) orang yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya)
Allah Yang Rahman itu adalah tidak kelihatan. Maksudnya ghaib. Kita tidak dapat melihatNya dengan mata kita sendiri, tetapi apabila iman telah sedia ada di dalam hati kita, meskipun Allah itu ghaib, jiwa kita akan merasakan bahwa yang ghaib itu adalah nyata. Sebab Allah telah sebut bahwa Dia adalah Zahir, yang maksudnya nyata. Dan Allah juga adalah Batin, yang bermaksud bersembunyi di dalam batin. Iman kita akan bertaut di antara Zahir dan Batin ini.

Apabila kita merasakan akan dalamnya iman, kita pasti akan merasakan halawatul iman, ataupun bahasa kita kemanisan iman. Allah dirasakan menjadi kenyataan. Ini kerana hidup bukanlah semata-mata penglihatan mata dan pendengaran telinga. Hidup adalah disertai dengan timbulnya perasaan di dalam diri. Adakalanya perasaan itu akan merasa sesuatu yang tidak dapat dirasakan oleh akal.

dan dia datang dengan hati yang bertaubat,
Kita datang kepada Allah dengan perasaan taubat. Jika tersesat selama ini, kita patah balik kepada kebenaran. Jika terlanjur kita kembali kepada jalan yang benar, jika kita telah kufur, kita pun segera bertaubat dan memohon pengampunan.  Tidak ada kekusutan yang tidak dapat diselesaikan. Semua yang keruh akan dapat dijernihkan semula. Asalkan satu perkara itu tidak hilang dari hati kita. Iaitu iman dan kepercayaan kita kepada Ar-Rahman Dan Ar-Rahiim.

masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari yang kekal.
Masukilah ke dalam syurga yang telah disediakan itu dengan perasaan aman dan sentosa. Kerana syurga itu adalah negeri yang aman dan sentosa sebagai ubat penawar dari kepayahan dan kerja kerasa dan jihad tatkala hidup di dunia. Sesiapa saja yang dapat masuk ke dalamnya, itulah nikmat yang sempurna dan akan kekal di dalamnya untuk selama-lamanya.

Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.
Mereka bebas mendapat apa saja hajat yang terlintas di hati semahu dan sekehendak mereka. Apa saja. Semua akan diberikan. Pelbagai nikmat dan rahmat Allah akan dilimpahkan kepada penghuni syurga ini. Samada nikmat yang pernah kita khayalkan semasa di dunia. Mahupun nikmat yang tidak pernah terlintas pun di fikiran semasa di dunia. Inilah puncak segala kenikmatan. MasyaAllah tabarakallah.







Qaaf Ayat 36 Dan 37

36. dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, Maka mereka (yang telah dibinasakan itu) telah pernah menjelajah di beberapa negeri. Adakah tempat lari?

37. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang Dia menyaksikannya.


Allah menyuruh kita perhatikan, bahwsanya sebelum kita yang sekarang ini, telah banyak umat-umat zaman dahulu yang telah dibinasakan dan dihancurkan Allah. Sepertimana yang kita tahu dan kita telah tadabbur ayat-ayat sebelum ini kaum yang telah dibinasakan ialah kaum Thamud  yang didatangi Nabi Salih, kaum Ad yang didatangi Nabi Hud, penduduk negeri Madyan yang didatangi Nabi Syu’aib, penduduk Sodom yang didatangi Nabi Lut, Firaun dan para pembesar dan askar-askar Mesir yang telah didtangi Nabi Musa, semuanya telah Allah hancur binasakan. Sehingga ke zaman Nabi Muhammad s.a.w. masih dapat dilihat bekas negeri yang telah punah ranah itu.

Allah kata mereka yang dihancurkan ini semuanya lebih gagah dan perkasa. Dan pengetahuan mereka juga jauh lebih advance dan lebih maju. Pemikiran mereka lebih kreatif dan cerdik. Lihat saja hasil peninggalan mereka umpamanya Piramid yang tersergam di Mesir yang tingginya setinggi gunung. Semua itu dibina di zaman purbakala dan masih kekal sehingga ke hari ini.  Namun semuanya itu telah Allah hancurkan, telah Allah ranapkan dengan mudah sekali.

Maka kalau Allah hendak melakukan tindakan yang sama di zaman kita sekarang ini, bagaimana pun besar kemajuan teknologi buatan manusia, bagaimana gah kuasa nuklear yang dibina oleh manusia, kalau Allah menghendaki, dalam sekejap saja, sekelip mata, semuanya hancur binasa. Sebab itu datanglah pertanyaan di akhir ayat ini, “ Adakah tempat lari?” Ke mana kita akan lari? Apalah ertinya kekuatan manusia jika hendak berlawan dengan kekuatan Allah?

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang Dia menyaksikannya.
Ayat ini menyedarkan kita sebagai manusia agar banyak merenung dan berfikir kedudukan diri kita sendiri di tengah-tengah percaturan alam ini. Lihat alam sekeliling kita, bandingkan zaman yang lampau dengan zaman kita sekarang ini. Lihatlah sekarang kita yang ada di sini, dahulu belum ada dan kelak kita akan pergi jua. Apakah kesan yang dapat kita tinggalkan.

Diingatkan di dalam ayat ini bahwa orang yang ada hati maka orang itulah yang disebut sebagai berfikir. Ada hati, ertinya ada isi kepada fikiran dan ada akal budi. Apa yang dilihat oleh mata dan apa yang didengar oleh telinga akan dibawa ke dalam hati, setelah itu akan timbul pertimbangan dan pemikiran yang mendalam.

Oleh itu sangat tercelalah bagi orang yang mempunyai hati tetapi tidak menjalankan fikirannya. Ada mata tetapi tidak melihat dan ada telinga tetapi tidak mendengarkan. Padahal penglihatan, pendengaran dan hati itulah yang menghubungkan insan dengan alam sekelilingnya, yang meninggikan kecerdasan manusia di dunia ini.








Qaaf Ayat 38 Hingga 40

38. dan Sesungguhnya telah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, dan Kami sedikitpun tidak ditimpa keletihan.

39. Maka bersabarlah kamu terhadap apa yang mereka katakan dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam(nya).

40. dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan Setiap selesai sembahyang.

Di ayat-ayat yang lalu di dalam surah-surah yang lepas sudah banyak kita huraikan tentang kejadian alam yang dibina dalam masa enam masa ini. Ayat ini adalah untuk menolak dakwaan orang-orang Yahudi yang mengatakan bahwa Allah berasa penat setelah menjadikan alam ini dalam enam masa dari hari Ahad hingga ke hari Jumaat, dan Allah berehat pada hari Sabtu dan menyandarkan belakangnya di atas Arasy. Dakwaan ini adalah dusta semata-mata. Sebenarnya Allah tidak sekali-kali merasa penat walau sedikit pun semasa menciptakannya. Maha Suci Allah dari sifat yang tidak sempurna dan kekurangan ini.

Allah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. Bersabar di atas apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrikin mengenai hari kebangkitan itu dan mengenai apa yang mereka dakwakan Allah penat. Dakwaan itu adalah dakwaan yang salah dan jauh dari kebenarannya. Sebaliknya Allah berkuasa untuk membangkitkan mereka kemudian memberikan pembalasan kepada mereka disebabkan kebaikan dan kejahatan yang mereka lakukan.

dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan Setiap selesai sembahyang.
Ayat ini baik ditafsirkan dengan cara melakukan zikir ataupun langsung dengan mengerjakan solat, terutama solat tahajud. Kerana dengan melakukan demikian itu martabat setiap seseorang akan bertambah tinggi dan kelak akan dapat pula mencapai maqam yang terpuji di sisi Allah. Dengan beribadat kepada Allah akan menyebabkan jiwa seseorang menjadi besar, menurut bekalan amal dirinya sebagai manusia.



Qaaf Ayat 41

41. dan dengarkanlah (seruan) pada hari penyeru (malaikat) menyeru dari tempat yang dekat.

42. (yaitu) pada hari mereka mendengar teriakan dengan sebenar-benarnya Itulah hari ke luar (dari kubur).

Ini juga adalah peringatan tentang kedatangan hari kiamat. Allah akan mengarahkan Malaikat  untuk meniupkan seruan sangkakala untuk memerintahkan agar segala makhluk yang ada berhimpun di padang mahsyar.  Tiupan seruan itu adalah berupa pekikan yang sangat kuat dan dari tempat yang dekat. Maksudnya jeritan yang akan sampai kepada setiap makhluk secara yang sama, akan didengar oleh semua mereka. Sebab Yang Maha Berkuasa Allah itu adalah yang Yang Luas dan Maha Besar kudhratnya, sehingga tidak ada lagi tempat yang dapat dikatakan jauh. Seumpama kita mendengar seruan radio atau telivisyen ataupun website di internet sekarang ini. Siaran seruan itu walaupun dari satu tempat yang jauh yang merentasi lautan dan benua, merentasi langit dan cakerawala yang berjuta batu jauhnya, tetapi masih lagi kita dapat mengikutinya jelas dan terang seolah-olah ianya berada dekat saja dengan kita.

Pekikan itu akan kedengaran sebagai suatu kenyataan yang membuktikan kebenaran akan hal itu yang tidak dapat dibantah lagi. Maka akan keluarlah semua makhluk Allah pada hari itu daripada tempat perhentian mereka yang panjang, iaitu kubur. Mereka yang mana telah hancur menjadi debu, ataupun menjadi tanah, semua mereka bangun dan bangkit menjadi seperti sedia kala. Telah berkali-kali kita jelaskan di dalam pengajaran ayat kita yang lalu, bahwa ini bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi Allah untuk kembali menciptakan sesuatu yang telah tidak ada kepada ada.








Qaaf Ayat 43 Dan 45

43. Sesungguhnya Kami menghidupkan dan mematikan dan hanya kepada Kami-lah tempat kembali (semua makhluk).

44. (yaitu) pada hari bumi terbelah-belah Menampakkan mereka (lalu mereka ke luar) dengan cepat. yang demikian itu adalah pengumpulan yang mudah bagi kami.

Allah mengatakan bahwa Allah lah yang menghidupkan semua makhluk yang ada di dunia, begitu juga Allah lah yang akan mematikan mereka apabila telah sampai ajalnya. Dan kepada Allah lah jua mereka akan kembali, untuk menerima pembalasan.

Pada hari kiamat itu nanti berlaku kejadian terbelahnya bumi, iaitu tanah-tanah perkuburuan iaitu tempat pengkebumian sekalian mayat itu akan merekah, lalu menampakkan orang-orang yang sudah sekian lama terbujur kaku di sana. Dan tiba-tiba mereka semuanya bangun dari kubur, terkejut kerana mendengar jeritan serunai sangkakala, yang ditiupkan pada kali kedua. Lalu mereka semua bangkit cepat-cepat menuju ke tempat perkiraan amalan untuk dihisab sebagai menyahut seruan malaikat yang memanggil mereka.

Adapun tugas Allah menghidupkan orang-orang yang sudah mati dan lain-lain makhluk, lalu mengumpulkan mereka semua di sebuah padah mahsyar tempat berhimpun segala makhluk yang maha luas, itu bukanlah satu pekerjaan yang berat bagi Allah . Bahkan ianya sangat mudah untuk Allah mengadakannya tanpa penat dan tanpa susah payah.








Qaaf Ayat 45

45. Kami lebih mengetahui tentang apa yang mereka katakan, dan kamu sekali- kali bukanlah seorang pemaksa terhadap mereka. Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.

Allah mengetahui apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrikin Quraisy yang mengingkari adanya hari kebangkitan dan mendustakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. serta memperolok-olok dan mengejek ngejeknya. Ayat ini merupakan satu hiburan kepada baginda nabi dan merupakan satu ancaman kepada sesiapa saja yang mendustakan baginda nabi.

Allah juga memuji baginda nabi sebagai seorang yang tidak mudah putus asa dengan segala cacian dan makian mereka. Baginda nabi tetap melaksanakan tugas baginda sepertimana biasa. Baginda nabi juga tidak menggunakan kekerasan untuk memaksa mereka memeluk Islam.

Maka beri peringatanlah dengan Al Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku.
Bagaimana hebat pun cercaan dan hinaan yang baginda nabi terima, namun baginda nabi tetap berjiwa besar dan tidak mempedulikan semua itu. Ini kerana baginda nabi tersangat yakin bahwa Allah ada bersama nabi. Lantaran itu jugalah baginda nabi teruskan usaha dakwah baginda tidak mengenal lelah dan putus asa. Memahamkan semua yang mahu memahami dengan Al Quran. Kerana di kalangan mereka itu pasti ada yang takut dengan ancaman Allah.

Tidak semua yang menolak seruan dakwah baginda nabi. Tidak semua yang mahu terus hidup dalam kekafiran dan keras kepala mereka. Pasti ada di antara mereka yang mula lembut hati dan mahu mernerima setelah sekian lama diperdengarkan ayat-ayat Allah. Sepertimana besi karat. Apabila digilap hari-hari, lama kelamaan akan terserlah kilatnya. Begitulah juga manusia.

Dan bagi pengikut baginda nabi Muhammad,  kitab Al Quran akan sentiasa menjadi pedoman sampai ke akhir zaman. Walaupun ada halangan dan rintangan setiap masa. Namun selagi umat terus berpegang kepada Al Quran tidaklah ianya akan berhasil.  Sebab kebenaran itu hanya datang dari Allah saja. Dan kita sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w. tidaklah boleh merasa ragu. Kebenaran pasti menang.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.