Monday, March 7, 2016

Surah At Thur Ayat 22 - 49





At Thur Ayat 22 Hingga 28

22. dan Kami beri mereka tambahan dengan buah-buahan dan daging dari segala jenis yang mereka ingini.

23. di dalam surga mereka saling memperebutkan piala (gelas) yang isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.

24. dan berkeliling di sekitar mereka anak-anak muda untuk (melayani) mereka, seakan-akan mereka itu mutiara yang tersimpan.

25. dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya.

26. mereka berkata: “Sesungguhnya Kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga Kami merasa takut (akan diazab)”.

27. Maka Allah memberikan kurnia kepada Kami dan memelihara Kami dari azab neraka.

28. Sesungguhnya Kami dahulu menyembah-Nya. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang.

Allah menjanjikan tambahan untuk mereka daripada buah-buahan yang beraneka macam amat lazat citarasanya, apa jua yang mereka ingini akan mereka perolehi. Betapa penting buah-buahan dapat kita rasakan selama kita berada di dunia ini. Maka buah-buahan di akhirat, yang tempatnya di syurga itu jauh lagi lebih pentingnya. Di dalam surah Al Baqarah ayat 25 dijelaskan bahwa buah-buahan di akhirat, kalau dilihat sepintas lalu serupa saja dengan buah-buahan yang dilihat di dunia. Tetapi setelah dirasai, dimakan ternyata rasanya lain, almaklumlah buah-buah syurga.

Dan di syurga juga disediakan makanan daging. Daging yang dari segala macam jenis daging yang diingini oleh hamba Allah yang telah mendapat nikmat syurga itu.

Di dalam syurga itu nanti, mereka saling berebut-rebut, bertukar-tukar gelas daripada jenis minuman arak ayng sangat lazat rasanya dengan riang gembira seperti riangnya penggemar-penggemar minuman keras yang ada di dunia. Mereka berebut-rebut bukanlah kerana sempit tempatnya. Tetapi mereka hendak merasa nikmat minuman yang istimewa dari Allah untuk mereka.

isinya tidak (menimbulkan) kata-kata yang tidak berfaedah dan tiada pula perbuatan dosa.
Percakapan mereka para ahli syurga sangat berbeza dengan percakapan semasa di dunia. Di dunia apa yang menjadi topik perbincangan selalunya bagiamana cara hendak mengejar kedudukan dan pangkat, cara bagaimana untuk menindas orang lain supaya kita dapat kedudukan yang bagus. Tiada juga ucapan-ucapan kotor yang menjatuhkan maruah orang lain ataupun membuka aib orang lain. Di syurga tidak ada pertengkaran yang seperti itu.

Qatadah mengatakan bahwa "Allah memurnikan keadaan arak itu di akhirat berbanding dari kekotoran arak yang ada di dunia dan juga bersih dari kemudharatannya. Orang yang meminumnya tidak akan berasa pening, mabuk, sakit perut dan hilang akal. Dan Allah mengkhabarkan bahwa arak itu tidak menyebabkan orang bercakap kosong yang tidak berfaedah atau yang membawa kata-kata lucah dan cabul, malahan mensifatkannya amat bagus rupanya dan sedap rasanya. Hal ini sebagaimana disebutkan di dalam ayat 46 dan 47 dari Surah As Saffat yang bermaksud;
“Warnanya putih bersih sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya. Tidak ada dalam arak itu alkohol dan mereka tidak mabuk.”

Kemudian Allah mengatakan bahwa mereka dikelilingi oleh anak-anak muda milik mereka, khusus untuk melayani mereka. Rupa mereka tersangat lawa berkulit putih melepak, bagaikan permata mutiara yang tersimpan dengan baik di dalam lokan.

Kata Imam Al Qurtubi,  anak-anak muda itu dikatakan asalnya anak-anak kepada orang-orang musyrikin, yang menjadi khadam bagi ahli syurga, dan di dalam syurga tidak terdapat kepayahan dan tidak pula memerlukan perkhidmatan, akan tetapi diberitakan bahwa mereka sangat bersenang-lenang.

dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain saling tanya-menanya.
Adapun penduduk syurga itu duduk saling mengadap berhadapan dengan sebahagian ahli syurga yang lain. Mereka saling bertanyakan hal ehwal masing-masing semasa di duniadahulu dengan asyik memperkatakan dan mengakui akan nikmat yang diberikan kepada mereka. Mereka berkata, “Sesungguhnya Kami dahulu, sewaktu berada di tengah-tengah keluarga Kami merasa takut (akan diazab)”. Sebagaimana yang disebutkan di dalam tafsir Ibnu Katsir, bahwa sewaktu hidup di dunia, tidaklah mereka merasa akan diberi nikmat oleh Allah akan masuk syurga, memikirkan serba kekurangan yang ada pada diri, amalan yang kurang. Ketika hidup di dunia, hidup di antara kaum keluarga, terasa takut akan seksa dan azab dari Allah.

Maka Allah memberikan kurnia kepada mereka iaitu kehormatan mendapat keampunan dan nikmat syurga. Dan Allah pelihara mereka dari seksa azab neraka. Ini bermakna penduduk syurga itu sedar dan tahu apa yang sudah berlaku ke atas diri mereka di dunia dahulu. Begitu juga orang-orang kafir tidak melupakan kenikmatan yang mereka rasakan semasa di dunia dahulu. Orang-orang beriman akan bertambah merasakan kelazatan dengan berpindahnya mereka dari tempat yang sempit di dunia ke tempat yang lapang dan indah semasa di syurga. Sedangkan orang-orang kafir pula akan bertambah-tambah merasakan kesakitan apabila melihat diri mereka berpindah dari tempat kesenangan di dunia masuk pula ke neraka jahanam yang mencelakakan.

Maka kata penduduk syurga itu, Sesungguhnya Kami dahulu menyembah-Nya. Kami dulu berdoa kepada Allah dengan penuh pengharapan dan permohonan yang timbul dari hati yang tulus dan ikhlas. Oleh kerana permohonan itu betul-betul tertuju kepada Allah, dan tidak bercampur dengan yang lain, maka permohonan itu pun telah diperkenankan oleh Allah. Sesungguhnya Dia-lah yang melimpahkan kebaikan lagi Maha Penyayang. Dalam ayat-ayat ini dibayangkan kesyukuran orang-orang yang beriman itu atas kurnia yang diberikan Allah kepada mereka.







At Thur ayat 29 Hingga 31

29. Maka tetaplah memberi peringatan, dan kamu disebabkan nikmat Tuhanmu bukanlah seorang tukang tenun dan bukan pula seorang gila.

30. bahkan mereka mengatakan: “Dia adalah seorang penyair yang Kami tunggu-tunggu kecelakaan menimpanya”.

31. Katakanlah: “Tunggulah, Maka Sesungguhnya akupun Termasuk orang yang menunggu (pula) bersama kamu”.

Allah menyuruh rasulNya, Nabi Muhammad s.a.w. supaya tetaplah memberikan peringatan kepada umat manusia di mana baginda diutuskan. Berilah peringatan kepada mereka itu dengan pengajaran daripada ayat-ayat Al Quran dan nasihatilah mereka. Janganlah hiraukan kata-kata kaum musyrikin Quraisy yang salah yang tidak ada kebaikannya itu.

Sesungguhnya baginda nabi sememangnya mendapat nikmat Allah berupa kenabian dan diberi penghormatan berjawatan Rasul Allah. Bukanlah baginda itu seorang ahli tenung, yang kerjanya meramalkan nasib perkara-perkara ghaib tanpa wahyu. Nabi juga bukanlah orang gila, sebagaimana yang didakwakan oleh orang-orang musyrikin itu. Mereka hanya menunggu-nunggu saja mengharapkan baginda nabi akan binasa oleh kecelakaan zaman maka barulah mereka akan berasa senang hati.

Kepada mereka ini Allah telah menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan kepada mereka, “Tunggulah, Maka Sesungguhnya akupun Termasuk orang yang menunggu (pula) bersama kamu” Maksudnya sesungguhnya nabi pun menunggu juga kematian kaum musyrikin sepertimana kaum musyrikin menunggu kematian baginda nabi. Dan kemudiannya dapatlah mereka mengetahui siapakah yang mendapat kesudahan yang baik lagi berjaya dan siapa pula yang tidak mendapatnya di dunia mahupun di akhirat.








At Thur ayat 32 Hingga 34

32. Apakah mereka diperintah oleh fikiran-fikiran mereka untuk mengucapkan tuduhan-tuduhan ini ataukah mereka kaum yang melampaui batas?

33. ataukah mereka mengatakan: “Dia (Muhammad) membuat-buatnya”. sebenarnya mereka tidak beriman.

34. Maka hendaklah mereka mendatangkan kalimat yang semisal Al Quran itu jika mereka orang-orang yang benar.

Allah bertanya kepada mereka dengan tujuan mengejek, apakah mereka diperintahkan oleh akal fikiran mereka untuk mengucapkan dan melancarkan tuduuhan-tuduhan palsu ke atas baginda nabi? Sedangkan mereka sendiri mengetahui bahwa tuduhan tersebut adalah dusta dan tidak benar.

Sesungguhnya amatlah jauh perbezaan di antara orang gila yang hilang akalnya dengan penyair tersusun indah rangkaian kata-katanya, dan juga di antara tukang tenung yang pandai meramal perkara ghaib. Pendekata orang-orang kafir Quraisy itu sebenarnya tidak berakal dan berfikiran sekiranya mengatakan pendustaan mereka yang berlawanan itu. Ataupun mereka menjadi orang yang melampaui batas, di dalam kekufuran, kesesatan, derhaka dan sombong terhadap kebenaran.

Mereka ini telah menuduh Nabi Muhammad membuat rekaan Al Quran dan dikatakannya Al Quran itu adalah rekaan dan karangan baginda sendiri. Tetapi sebenarnya kekufuran mereka itulah yang menghalang mereka dari beriman, untuk menunjukkan betapa kedegilan dan kesombongan mereka.

Oleh sebab itu Allah mencabar mereka, supaya mendatangkan kata-kata ataupun kalimat dengan membuat karangan seumpama al Quran yang sama bagusnya di dalam susunan dan kebagusan karangannya sekiranya tuduhan mereka benar. Sudah pastilah mereka tidak berdaya berbuat itu semua, dan cabaran ini sebenarnya merupakan celaan saja bagi diri mereka.








At Thur Ayat 35 Hingga 38

35 . (Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri?

36 . Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (Sudah tentu tidak!) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).

37 . Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?

38 . Adakah mereka mempunyai tangga (untuk naik ke langit), yang dengannya mereka dapat mendengar (apa yang diperintahkan dan ditetapkan oleh Allah? Jika ada) maka biarlah orang mereka yang mendengar itu membawa sesuatu bukti yang menyatakan kebenarannya.

Allah terus melemparkan cabaran yang mengandungi ejekan dan celaan kepada orang-orang kafir Quraisy yang degil itu. Allah tanya mereka, adakah mereka akan wujud di dunia tanpa Tuhan yang menjadikan mereka? Atau mereka dapat menciptakan wujudnya diri sendiri, sehingga berani pula mereka mengingkari wujudnya Allah yang Maha Agung lagi Tinggi? Adakah mereka yang menciptakan langit dan bumi dari jenis makhluk yang teragung itu dengan segala isinya seperti yang kelihatan itu?

Tentulah saja jawapannya tidak. Bukanlah mereka yang menciptakannya , sebaliknya Allah lah yang menciptakan mereka. Namun mereka tidak yakin akan kekuasaan dan keesaan Allah. Manakan dapat makhluk itu terjadi tanpa Khalik iaitu Tuhan yang menjadikannya. Tentulah amat mustahil sesuatu itu terjadi dengan sendirinya.

Atau adakalh mereka memiliki perbendaharaan Allah , iaitu yang berupa hujan yang menjadi sumber rezeki dan kenabian yang menjadi rahmat yan dikurniakan Tuhan kepad umat manusia? Atau adakah mereka pula yang berkuasa, untuk membuat sesuka mereka, sehingga terlepas tidak lagi di bawah perintah dan tegahan?

Atau .. adakah mereka mempunyai tangga sebagai alat untuk naik ke langit, untuk mendengar perkara-perkara ghaibdari tutur kata para malaikat dan wahyu Allah yang dibawanya, sehingga mereka mengetahui bahwa mereka adalah di pihak yang benar?

Kalau begitu, maka hendaklah orang-orang yang mendakwakan bahwa dirinya ada mendengarkan hujah-hujah yang benar itu mendatangkan bukti dan dalil sebagaimana dalil dan bukti yang dibwakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari Tuhannya.

Cabaran ini sudah terang mereka tidak akan berdaya untuk menyahut dan mengadakannya.







At Thur Ayat 39 Dan 40

39 . Adilkah (kamu sediakan) bagi Allah - anak-anak perempuan (yang kamu benci), dan untuk kamu - anak-anak lelaki (yang kamu sukai)?

40 . Pernahkah engkau (wahai Muhammad) meminta sebarang bayaran kepada mereka (mengenai ajaran Islam yang engkau sampaikan), lalu mereka merasa berat menanggung bayaran itu (sehingga menjauhkan diri daripada menyahut seruanmu)?  

Di sini Allah mencela tanggapan mereka yang keji terhadap Allah, kerana membangsakan para malaikat itu sebagai anak-anak perempuan Allah. Sedangkan mereka sendiri membenci dan berasa terhina jika mereka memperolehi anak-anak perempuan. Maka Allah mencaci mereka. Tentulah hal itu tidak logik.

Sesungguhnya orang-orang yang berfikiran sebegini adalah orang yang tidak waras akal fikirannya. Orang-orang sebegini tidak mungkin akan sampai ke arah alam Malakut iaitu kerajaan Allah yang besar, untuk mengetahui rahsia perkara-perkara ghaib, apalagi mendengarkan firman Allah.

Allah kemudiannya mengajukan pertanyaan kepada RasulNya, adakah nabi Muhammad itu meminta apa-apa upah dalam menjalankan tugas dakwah dan pengajaran hukum-hukum agama kepada orang-orang kafir ini? Adakah disebabkan upah yang Rasulullah itu minta maka menjadikan mereka semakin teruk dan payah untuk menjadi pengikut baginda nabi dan tidak mahu masuk Islam? Adakah orang-orang kafir ini telah dibebani dengan denda yang RAsulullah kenakan maka mereka semua berat untuk menerima Islam dan tidak suka untuk mematuhi kata-kata nabi?

Namun bagi baginda nabi s.a.w., baginda tidaklah meminta sebarang upah walau sedikit pun dari mereka. Dengan ajaran yang disebarkan oleh baginda dan mereka mengikutinya, cukuplah itu bagi baginda nabi. Berbahagialah baginda nabi lantaran itu, dan akalu hendak dinamakan sebagai upah pun, itulah upah baginda. Iaitu rasa syukur dalam hati baginda kerana ajaran dan seruan yang baginda berikan telah diterima dengan baik.







At Thur Ayat 41

41 . Adakah pada sisi mereka (Lauh Mahfuz yang mengandungi) perkara-perkara yang ghaib, lalu mereka menyalin (daripadanya untuk menentang ajaran dan peringatanmu)?

Allah tanya lagi kepada kaum kafir Quraisy ini, adakah mereka ini mempunyai ilmu ghaib,sehingga tahu pula apa yang diberitakan oleh baginda nabi mengenai urusan akhirat dan hari perhimpunan di padang mahsyar itu perkara palsu dan batil. Lalu mereka tuliskan dengan berpengetahuan dan meyakinkan?

Jika mereka percaya ada orang yang mengetahui perkara ghaib ini, atuapun apa yang akan terjadi di kemudian hari, beranikah mereka menuliskannya? Bawakanlah dan tuliskanlah dengan tegas dan yakin.

Sudah tentulah mereka tidak berani untuk menuliskannya. Kerana apa yang tertulis di sisi Allah adalah perkara ghaib di sisi manusia. Sedangkan lagi, apa yang kita jangkakan esok akan berlaku, boleh saja ianya tidak berlaku dan ianya berada di luar pengetahuan kita apa yang akan berlaku. Inikan pula tentang hari pembalasan dan padang mahsyar? Maka sebab itulah Allah telah berfirman di dalam surah al Kahfi ayat 23 yang bermaksud:
“ Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".  




At Thur Ayat 42 Hingga 43

42 . (Mereka tidak cukup dengan kata-kata dan tuduhan-tuduhan yang buruk sahaja) bahkan mereka hendak melakukan rancangan jahat (terhadapmu wahai Muhammad; tetapi mereka tidak akan berjaya) kerana orang-orang yang kafir itulah yang akan ditimpa balasan rancangan jahatnya.

43 . (Apabila datangnya balasan rancangan jahat itu maka) adakah bagi mereka Tuhan (yang dapat menyelamatkan mereka) selain dari Allah? Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.

Orang-orang kafir Quraisy ini telah menyebarkan kepada berita di kalangan orang-orang yang jujur tetapi kurang pengetahuan, bahwa segala dakwah yang dibawa oleh baginda nabi adalah tipu belaka. Al Quran hanya buatan baginda, bukannya wahyu Allah. Nabi Muhammad itu bukan rasul, tetapi penyair, tukang sihir ataupun orang gila. Tetapi apakah hasil daripada usaha mereka itu berjaya?

Mereka ini telah menuduh seruan baginda itu hanya tipuan belaka. Padahal meraka yang pergi memujuk orang itulah yang menipu. Mereka menipu orang ramai agar jangan menerima dakwah dari baginda nabi. Orang-orang yang mendengar rayuan mereka itu lalu telah menolak ajaran baginda. Manakala orang-orang yang mendekati baginda nabi mendapat hidup yang berbahagia kerana telah mendapat ajaran kebenaran. Mereka terlepas dari hidup yang gelap gelita kepada hidup yang terang benderang. Dan orang-orang yang tertipu oleh mulut manis dan rayuan orang-orang kafir Quraisy itu tetaplah berada di dalam kegelapan.

Yang dikatakan Tuhan ialah yang menguasai jalan hidup manusia. Yang menjadikan manusia daripada tiada kepada ada. Yang mendatangkan manafaat atau menghindarkan mudharat, yang menganugerahkan makan dan minum, dan menentukan hidup dan mati.

Adakah selain dari Allah yang layak yang patut dianggap sebagai Tuhan?

Adakah keris dianggap sebagai tuhan sedangkan keris itu sendiri manusia yang ciptakan. Adakah sapi ataupun lembu yang akan dipuja sebagai tuhan, padahal kalau tidak manusia yang menyediakan rumput sebagai makanannya, lembu itu pasti akan mati kelaparan. Maha Suci Allah daripada apa yang disekutukan itu. Fikiran yang sihat akan menolak sekeras-kerasnya jika ada yang lain bersekutu kekuasaan dengan kekuasaan Allah yang mutlak.







At Thur Ayat 44 Hingga 46

44 . Dan kiranya mereka melihat sepotong besar dari langit gugur (untuk menimpa mereka), mereka akan berkata: "(Itu adalah) awan yang bertompok - berlapis-lapis!"

45 . (Kalau keingkaran dan kedegilan mereka sampai begitu sekali) maka biarkanlah mereka (wahai Muhammad, dan janganlah dihiraukan) sehingga mereka menemui hari yang padanya mereka akan binasa -

46 . (Iaitu) hari segala rancangan jahat dan tipu daya mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah kepada mereka, dan mereka pula tidak diberikan pertolongan.

Sekiranya orang-orang kafir itu melihat seksa atau malapetaka yang turun dari langit, tidak juga mereka berhenti dari melakukan kekufuran dan tidak juga kembali ke pangkal jalan yang selamat, malahan mereka mengejek-ngejek mendustakannya dengan berkata, "(Itu adalah) awan yang bertompok - berlapis-lapis!" Maka fahamilah oleh kita bahwa sesungguhnya, mereka ini, hati mereka ini, telah dicap oleh Allah dengan dibutakan matanya. Lalu mereka akan menolak kebenaran yang mereka lihat dan kebenaran yang didengar oleh telinga semuanya dikatakan bohong belaka.

Kemudian Allah menyuruh Rasul Nya membiarkan mereka dengan urusan-urusan yang mereka sukai, jangan ambil peduli sehingga nanti akan datangnya hari yang dijanjikan. Berupa hari pembalasan di atas kejahatan mereka. Perkara ini boleh juga diertikan sebagai Perang Badar ataupun hari kiamat. Nantinya mereka akan diseksa dengan seksaan, yang akan menghilangkan akal kerana terlampau kerasnya seksaan itu.

Itulah hari yang tidak berguna lagi bagi mereka tipudaya memusuhi baginda nabi s.a.w. Seperti yang mereka lakukan dahulu di dunia. Dan mereka ini tidak akan ditolong untuk menolak seksa Allah di akhirat nanti.








At Thur Ayat 47

47 . Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa selain dari azab yang tersebut, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Sesungguhnya kaum musyrikin yang menganiaya diri mereka sendiri disebabkan kufur, berbuat maksiat dan derhaka terhadap Allah, akan disediakan kepada mereka seksa yang lain. Apa yang mereka terima itu hanyalah baru permulaan. Kelak akan ada azab yang lebih besar lagi untuk mereka. Dan lebih dahsyat lagi.

Umpamanya orang-orang kafir Quraisy ini telah menderita kelaparan selama 7 tahun di Mekah sebelum berlakunya perang Badar kira-kira 2 tahun sesudah hijrah. Azab kelaparan itu hanyalah permulaan, dan akan nantinya bila sudah terjadinya Perang Badar, mereka semua bakal menerima azab kekalahan dan kematian. Dan kelak bila sudah mati, mereka akan menerima pembalasan di atas segala perbuatan jahat mereka.

Itulah yang dikatakan oleh Allah tentang tambahan azab seksa selain dari azab yang telah mereka perolehi itu. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui apa yang akan berlaku mengenai azab Allah dan apa yang dijanjikanNya untuk mereka di dunia dan di akhirat.








At Thur Ayat 48

48 . Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau tegak berdiri.

Inilah peringatan Allah kepada RasulNya. Allah menyuruh baginda bersabar menghadapi semua sikap para musyrikin yang menolak, merasa ragu-ragu dan sikap menentang yang sangat kasar, sebagaimana yang telah dihuraikan pada ayat-ayat yang terdahulu. Allah menyuruh baginda nabi bersabar, berlapang dada menghadapi semua ini.

Allah memberikan jaminan kepada baginda nabi bahwa apa pun yang akan terjadi kepada baginda nabi, tidaklah semua itu akan terlepas dari pandangan dan pengetahuan Allah. Allah akan selalu memelihara baginda nabi. Dan untuk menguatkan perasaan bahwa Allah selalu memerhati keadaan baginda, Allah menyuruh baginda nabi supaya sentiasa bertasbih memuji Allah semasa di dalam keadaan berdiri.

Yang dimaksudkan dengan tegak berdiri itu ialah berdiri dalam sembahyang. Untuk menguatkan jiwa menghadapi berbagai ujian dalam hidup, hendaklah sentiasa bersembahyang. Sembahyang adalah senjata yang paling kuat dapat mempengaruhi jiwa agar sentiasa cekal dan tabah serta sabar.








At Thur Ayat 49

49 . Dan juga hendaklah engkau bertasbih kepadaNya pada waktu malam, dan ketika bintang-bintang tenggelam (pada waktu subuh).

Maksudnya berzikirlah dan sembahlah Allah selalu melalui bacaan Al-Qur'an dan salat di tengah malam. Ayat ini mengandungi maksud yang sama dengan ayat 79 surah Al Isra’ yang bermaksud :
Dan pada sebahagian malam hari salat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”

Sembahyang malam yang dimaksudkan ialah baik sembahyang Isyak ataupun sembahyang tahajud. Maka selain dari sembahyang isyak perlulah kita juga melakukan sembahyang tahajud untuk mencapai tingkat yang tertinggi dan terpuji.

Ketika bintang-bintang tenggelam adalah maksudnya fajar yang sudah mulai menyinsing. Hari akan mula menjadi siang, waktu Subuh pun menjelang. Bila sudah masuk waktu Subuh maka mulailah dengan azan memberitahukan waktu Subuh telah datang. Setelah azan selesai, mulai dengan sembahyang sunat fajar, dan kemudian barulah sembahyang Subuh.

Ibnu Sailan telah meriwayatkan dari Abu Hurairah secara marfu' "Janganlah kamu meninggalkan kedua rakaat salat sunat tersebut sekalipun kamu dikejar oleh pasukan berkuda."  Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud.

Melalui kitab Sahihain, dari Siti Aisyah r.a. suatu hadis yang menyebutkan bahwa Aisyah r.a. pernah mengatakan, "Tiada suatu sembahyang sunat pun yang lebih kerap dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. selain dari sembahyang sunat subuh."

Sampai di sini selesailah tafsir Surah At-Thur. Semoga diterima Allah dan diberikanNya taufiq kepada kita semua yang mentadaburinya. Amiin.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.