Thursday, March 24, 2016

Surah At Taubah Ayat 81 - 100






Surah At Taubah Ayat 81

فَرِحَ الْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَافَ رَسُولِ اللَّهِ وَكَرِهُوا أَنْ يُجَاهِدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَالُوا لَا تَنْفِرُوا فِي الْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَوْ كَانُوا يَفْقَهُونَ
“Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: "Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini". Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. “

Semasa peperangan Tabuk, orang-orang munafik ini bergembira kerana tidak ikut pergi berperang. Mereka gembira kerana tidak ikut memikul tanggungjawab yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka supaya berperang di bawah pimpinan Rasulullah saw. Mereka bergembira????? Alangkah rusaknya jiwa yang seperti ini. Gembira kerana tidak ikut memikul kewajiban.

Mereka gembira kerana melupakan bahwa keluar itu adalah kewajiban. Dan mereka gembira kerana tidak ingat betapa lebih gembiranya perasaan kelak kalau pulang dengan selamat, atau mati di medan jihad? Di bawah pimpinan rasul? Dan dengan tekanan kata di dalam ayat ini, lebih nyatalah lagi bagaimana nilainya kegembiraan mereka lantaran tidak pergi itu. Gembira kerana tidak mengurbankan harta benda pada jalan Allah.

Bagaimana jadinya orang yang seperti ini? Mengakui diri Islam tetapi tidak mahu berjihad? Dan gembira dengan sikap yang sedemikian? Bukankah ini suatu kemunfikan yang sudah sangat keterlaluan? Malah mereka mengajak pula orang lain supaya tidak ikut pergi berperang. Alasan yang mereka kemukakan ialah kerana musim panas yang terik.  

Katakanlah (wahai Muhammad): "Api neraka Jahannam lebih panas membakar", kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami. “
Maksud ayat ini ialah katakanlah oleh mu wahai Rasul Allah, bahwasanya neraka jahannam yang disediakan buat orang-orang yang menderhakai perintah Rasul, buat orang yang mengemukakan berbagai dusta untuk melepaskan diri dari tanggungjawab. Sedang neraka jahannam itu adalah beribu kali ganda panasnya daripada terik matahari di padang pasir. Apa ertinya panas terik di padang pasir jika nak dibandingkan dengan panasnya api neraka yang kelak akan menghancurkan mereka?

Jika terlalu panas di dalam perjalanan, sehingga sangat haus dan badan pun terbakar, orangpun mati kepanasan, tetapi ketahuilah mati mereka itu adalah mati di dalam jihad. Sedangkan menderhakai perintah Allah akan masuk ke dalam neraka, yang panasnya tidak dapt digambarkan dan diberi perbandingan dengan seksaan panas di dunia sekarang. Di dalam neraka, betapa pun sakitnya penderitaan, orang tidaklah akan dimatikan, melainkan akan diseksa terus. Kalau orang merasa susah dan menderita di dalam hidup ini kerapkali orang ingin mati saja. Tetapi betapa susah di neraka?Berkali-kali meminta mati, kerana amat seksanya penderitaan, namun mati tidak akan diberi. Alangkah ngerinya.

Maka kalau mereka fikirkan hal ini, tidakalh mereka patut bergembira kerana tidak ikut pergi berperang dengan Rasulullah melainkan selayaknya mereka menangisi diri kerana kesalahan mereka berfikir. Dan ayat ini adalah sebagai pengasah fikiran untuk kita di dalam perjuangan hidup. Jangan terlalu terpesona oleh duduk diam tidak bergerak, tidak mahu ikut berjuang menegakkan agama Allah, enggan menghadapi bahaya, kerana takut mati atau hati terikat kepada harta.







Surah At Taubah Ayat 82

فَلْيَضْحَكُوا قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا كَثِيرًا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.

Biarlah orang-orang munafik itu cuba untuk duduk bermenung dan berfikir, untuk meneliti kembali cara berfikir mereka yang salah itu. Kalau sekiranya tadi mereka merasa gembira kerana ditinggalkan, sambil tertawa-tertawa kerana telah lepas dari tanggungjawab. Bilamana mereka berfikir dengan fikiran yang tenang, tidaklah mereka akan sempat kertawa dengan banyak, melainkan kian lama mereka akan menangisi dengan banyak pula dan menyesali diri.

Mereka akan menangis menyesali diri di atas perbuatan mereka dan jiwa mereka yang bodoh itu. Apatah lagi setelah rahsia mereka dibuka, jiwa mereka dibukakan rahsia untuk pengetahuan semua di akhirat kelak. Mereka akan menangis dan tak sempat ketawa lagi.

Kalaulah di dalam jiwa mereka itu ada perasaan, maka apakah yang akan mereka rasakan, apabila melihat kejayaan Rasulullah dan orang-orang mukmin di dalam peperangan menegakkan agama Allah, sedangkan mereka tidak ada terlibat sedikit pun di dalam usaha tersebut. Malahan mereka kelak akan dipandang sebagai orang yang ditinggalkan. Kerana mereka memang tidak mahu ikut serta kononnya kerana tidak tahan panas? Alangkah ruginya mereka.

Nasihat Rasulullah saw agar kita banyak berfikir dan banyak merenung jauh, lebih banyak menangis daripada tertawa, tertulis di dalam sabda beliau yang berbunyi:
“kalaulah kamu ketahui apa yang aku ketahui, nescaya akan sedikit kamu tertawa, dan akan banyak kamu menangis. Sebab kemunafikan akan terlihat nyata, amanat akan hilang sirna, rahmat akan tercabut. Orang yang dipercaya akan mendapat tuduhan, dan orang yang tidak dapat dipercayai akan memikul kepercayaan. Unta tua hitam akan terpaut di hadapanmu, dan fitnah-fitnah akan datang laksana malam gelap gulita.”
(H.R. Bukhari dan Muslim - Hadith dari Abu Hurairah)






Surah At Taubah Ayat 83

فَإِنْ رَجَعَكَ اللَّهُ إِلَى طَائِفَةٍ مِنْهُمْ فَاسْتَأْذَنُوكَ لِلْخُرُوجِ فَقُلْ لَنْ تَخْرُجُوا مَعِيَ أَبَدًا وَلَنْ تُقَاتِلُوا مَعِيَ عَدُوًّا إِنَّكُمْ رَضِيتُمْ بِالْقُعُودِ أَوَّلَ مَرَّةٍ فَاقْعُدُوا مَعَ الْخَالِفِينَ
Maka jika Allah mengembalikan engkau kepada segolongan dari mereka (orang-orang yang munafik itu di Madinah), kemudian mereka meminta izin kepadamu untuk keluar (turut berperang), maka katakanlah: "Kamu tidak sekali-kali akan keluar bersama-samaku selama-lamanya, dan kamu tidak sekali-kali akan memerangi musuh bersama-samaku; sesungguhnya kamu telah bersetuju tinggal pada kali yang pertama, oleh itu duduklah kamu bersama-sama orang-orang yang tinggal".

Allah swt. memberikan peringatan kepada Rasulullah agar berhati-hati terhadap orang munafik bila telah kembali dari peperangan Tabuk. Orang-orang munafik itu akan merencanakan minta maaf kepada Rasulullah saw. dan menyatakan penyesalan mereka kerana tidak dapat turut berperang bersama Nabi ke Tabuk.

Padahal mulanya mereka merasa beruntung tidak ikut berperang ke Tabuk itu dan terhindar dari bahaya. Tetapi setelah Rasulullah saw. bersama kaum Muslimin kembali dari medan peperangan dengan selamat, mereka merasa malu dan terhina, dan berjanji dalam hati mereka akan turut berperang bersama Rasulullah.

Maka Allah swt. mengingatkan Nabi agar orang-orang munafik itu jangan diberi izin turut serta berperang kerana mereka tetap tidak akan jujur dalam peperangan. Mereka pasti akan melakukan tindakan-tindakan untuk memecahbelahkan Rasulullah dan kaum Muslimin.

Oleh kerana itu Rasulullah saw. diperintahkan untuk menyatakan dengan tegas bahwa mereka tidak dibenarkan turut berperang bersama Rasulullah saw. buat selama-lamanya. Mereka tidak akan sanggup memerangi musuh bersama Rasulullah seperti halnya kaum muslimin yang dengan rela mengorbankan harta dan jiwanya untuk berperang fisabilillah. Sikap mereka sewaktu menghadapi perang Tabuk menunjukkan bahwa mereka lebih senang tidak turut berperang dan tetap tinggal di Madinah bersama orang-orang yang uzur seperti anak-anak, wanita-wanita dan orang-orang tua yang sudah lemah.







Surah At Taubah Ayat 84

وَلَا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَى قَبْرِهِ إِنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَاتُوا وَهُمْ فَاسِقُونَ
Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).”

Allah menegah rasulNya iaiatu jangan sekali-kali menyembahyangkan seorang pun daripada mayat orang-orang munafik yang tidak turut serta berperang bersama rasulullah. Iaitu larangan untuk selama-lamanya mulai dari saat itu. Dan jangan diselenggarakan pengebumian mayat mereka serta mendoakan supaya tetap iman mereka. Jelasnya Nabi saw telah dilarang menyembahyangkan mayat orang munafik dan mendoakan tetap iman kepada mereka sebagaimana yang biasa dilakukan kepada mayat orang-orang mukmin.

Setelah ayat ini turun maka semenjak itu tidak pernah Rasulullah saw menyembahyangkan mayat orang-orang munafik dan tidak pula beridir di atas kubur mereka untuk berdoa untuk mereka.



Surah At Taubah Ayat 85

وَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَأَوْلَادُهُمْ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُعَذِّبَهُمْ بِهَا فِي الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنْفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُونَ
“Dan janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengannya di dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka dalam keadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula).

Ayat 85 ini sudah pun terdahulu dihuraikan pada ayat 55 yang lalu. Ianya melarang orang-orang Islam supaya jangan merasa takjub atau kagum melihat banyaknya harta kekayaan orang-orang munafik dan ramainya bilangan anak-anak mereka.

Perlunya ayat ini diulang ialah kerana menambahkan kuatnya larangan itu, memandang kepada besarnya pengaruh harta dan anak kerana dapat mempesonakan hati setiap orang untuk bermegah-megah sehingga melupakan Allah, lalu terputus dari mengingati Allah.

Tetapi janganlah bahwa kedua-duanya, iaitu harta kekayaan dan anak pulalah yang boleh menyebabkan tuan yang empunya itu terseksa di dunia ini dan nyawanya kelak tercabut dalam keadaan ia kufur dan ingkar kepada Allah.







Surah At Taubah Ayat 86

وَإِذَا أُنْزِلَتْ سُورَةٌ أَنْ آمِنُوا بِاللَّهِ وَجَاهِدُوا مَعَ رَسُولِهِ اسْتَأْذَنَكَ أُولُو الطَّوْلِ مِنْهُمْ وَقَالُوا ذَرْنَا نَكُنْ مَعَ الْقَاعِدِينَ
Dan apabila diturunkan satu surah Al-Quran (yang menyuruh mereka): "Berimanlah kamu kepada Allah, dan berjihadlah bersama-sama dengan RasulNya", nescaya orang-orang yang kaya di antara mereka meminta izin kepadamu dengan berkata: "Biarkanlah kami tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal (tidak turut berperang)".

Allah menerangkan apabila sesuatu surah Al Quran itu telah diturunkan yang sebahagian kandungannya menyeru supaya orang-orang munafik itu beriman kepada Allah dan ikut berjuang bersama rasulNya, maka datanglah orang-orang yang meminta izin supaya dibenarkan tinggal sahaja di Madinah, padahal mereka ada mempunyai harta dan mampu untuk pergi berperang. Seraya mereka mengatakan: “biarkanlah kami dan benarkanlah kami tinggal di rumah bersma-sama orang yang lemah, sakit, kanak-kanak dan kaum wanita yang tidak diwajibkan berperang.” Dengan kata-kata demikian, jelas menunjukkan kebaculan mereka dan terang-terang mereka itu pengecut.






Surah At Taubah Ayat 87

رَضُوا بِأَنْ يَكُونُوا مَعَ الْخَوَالِفِ وَطُبِعَ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَفْقَهُونَ
Mereka suka tinggal bersama-sama orang-orang yang ditinggalkan (kerana uzur), dan (dengan sebab itu) hati mereka dimeteraikan atasnya, sehingga mereka tidak dapat memahami sesuatu.”

Mereka rela meletakkan diri mereka dalam taraf yang lebih rendah seperti taraf kaum wanita yang bersifat lemah, dan rela kedudukan mereka menjadi hina kerana suka menjadi pengecut.

Orang-orang yang seperti itu sebenarnya hati mereka telah dicap dan ditutup oleh Allah, sehingga tidak dapat menerima sinaran cahaya ilmu pengetahuan, nasihat yang baik dan pengajaran yang berguna. Mereka tidak memahami langsung apakah kebaikan yang terdapat dalam berjihad itu dan keburukan orang-orang yang tidak ikut berjihad.






Surat At Taubah Ayat 88 Dan 89

لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya. “ (88)

أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Allah telah menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; yang demikian itulah kemenangan yang besar.” (89)

Kalau pada ayat-ayat terdahulu telah disebutkan bahwa orang-orang munafik itu enggan menyahut seruan untuk berperang, walhal mereka termasuk golongan orang-orang yang mampu dan berdaya kerana mereka itu kaya dan berharta tetapi  tetap juga mereka ingkar kepada perintah berperang, maka pada ayat-ayat ini 88 dan 89, disebutkan pula bahwa RAsulullah saw dan para mukmin yang lain telah pergi beperang menyahut seruan menegakkan agama, berjuang mengorbankan harta benda, tenaga dan nyawa mereka, bagi melaksanakan perintah Allah dengan sebaik-baiknya.

Golongan ini pasti akan memperoleh kebaikan, seperti penaklukan ke atas negeri musuh dan menguasainya serta menawan orang-orang tawanan dan menikmati harta rampasan perang, sebagai hasil dari perjuangan merka, sehingga mereka menjadi beruntung.

Di samping itu Allah sediakan pula bagi mereka syurga, yang berupa taman atau perkebunan di mana air-air sungai mengalir di dalamnya yang akan menambahkan pula keindahan dan kecantikannya. Di sana mereka akan hidup kekal untuk selama-lamanya. Dan itu adalah merupakan kejayaan yang paling benar bagi mereka.






Surah At Taubah Ayat 90

وَجَاءَ الْمُعَذِّرُونَ مِنَ الْأَعْرَابِ لِيُؤْذَنَ لَهُمْ وَقَعَدَ الَّذِينَ كَذَبُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ سَيُصِيبُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Dan datanglah pula orang-orang yang menyatakan uzurnya dari orang-orang "A'raab", memohon supaya mereka diizinkan (tidak turut berperang), sedang orang-orang (munafik di antara mereka) yang mendustakan Allah dan RasulNya, duduk (mendiamkan diri). (Oleh itu) orang-orang yang kafir di antara mereka, akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ada dua golongan yang disebut di dalam ayat ini. Pertama, orang-orang arab dusun, yang telah datang menemui Rasulullah saw. Mereka merasa keberatan untuk pergi berperang, lalu meminta izin dari Rasulullah saw supaya dibenarkan tidak ikut berperang.

Mengikut riwayat, golongan Arab dusun kampung ini adalah dari pimpinan Amir bin at-Tufail. Beliau telah datang dan meminta izin kepada Rasulullah agar dibenarkan untuk tidak ikut berperang disebabkan kerana beberapa halangan. Maka Rasulullah saw telah mengizinkan mereka untuk tidak pergi berperang.

Kedua, ialah orang-orang munafik yang mendustakan Allah dan rasulNya seperti yang disebutkan pada ayat ini iaitu ‘mereka duduk mendiamkan diri’ maksudnya tinggal diam di rumah saja. sengaja enggan untuk pergi beperang dan tidak pula datang minta izin kepada Rasulullah saw supaya dibenarkan untuk tidak pergi.

Allah mengancam orang-orang munafik yang telah kufur, iaitu akan ditimpakan ke atas mereka seksa yang pedih. Kalau di dunia mereka akan tewas terbunuh, maka di akhirat pula mereka akan dimasukkan ke dalam neraka.






Surah At Taubah Ayat 91


لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَى وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Orang-orang yang lemah dan orang-orang yang sakit, dan juga orang-orang yang tidak mempunyai sesuatu yang akan dibelanjakan, tidaklah menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya. Tidak ada jalan sedikitpun bagi menyalahkan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya; dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Kemudian dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa ada  terdapat 3 golongan yang diterima keuzurannya, iaitu:
1 . orang-orang yang lemah iaitu orang yang sihat badannya tetapi tidak berdaya beperang dan tidak sanggup menanggung kepayahan-kepayahan dalam pelayaran, seperti orang yang sudah tua, kanak-kanak dan kaum wanita. Atau pun orang-orang yang asal kejadiannya bertubuh lemah dan kurus kering. Mereka ini tidak diwajibkan beperang.
2 . Orang-orang yang sakit, termasuklah orang yang buta, pincang, sakit merana dan setiap persakit yang tidak membolehkan ia pergi berperang.
3 . Orang-orang fakir yang tidak mendapat kelengkapan perang seperti ketiadaan bekalan, makanan, kenderaan, senjata dan wang untuk pelayaran. Bermakna ketiadaan wang perbelanjaan untuk peperanan itu adalah juga dikira sebagai uzur.

Maka ketiga-tiga golongan ini jika tida turut berperang tidaklah berdosa asalkan saja mereka tetap jujur terhadap Allah dan rasulNya.

Maksudnya sekiranya mereka tinggal di dalam negeri, hendaklah mereka teguh memyimpan rahsia, jangan membocorkannya, jangan membuat fitnah yang menyebabkan berpecah belah  sesama sendiri, bahkan hendaklah masing-masing memelihara keselamatan rumahtangan dan negerinya, dan berusaha mengikut kemampuan masing-masing untuk membuat segala kebaikan yang dpat mendatangkan faedah. Semua yang disebutkan tadi adalah termasuk di dalam pengertian, “kejujuran terhdap Allah dan rasulNya.”

Orang-orang yang jujur terhadap Allah dan rasulNya, meskipun mereka tidak ikut pergi berperang kerana syarak telah memberi kebenaran demikian, maka tidak ada jalan untuk menyeksa mereka yang telah berbuat baik itu. Dan Allah mengampunkan mereka. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada sekalian hambaNya, termasuk orang-orang munafik yang telah bertaubat dan membuang sifat nifak mereka.






Surah At Taubah Ayat 92

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ
Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”

di sini Allah menyebutkan tentang sekumpulan sahbat-sahabat nabi saw yang fakir, kerana mereka tidak mampu mengeluarkan wang atau belanja untuk pergi berjuang dan tidak mempunyai kenderaan yang akan membawa mereka pergi berperang. Mereka telah menemui Nabi saw dan menyatakan keinginan mereka yang bukan alang kepalang agar dapatlah kiranya mereka dibawa pergi bersama ke medan perang, mengingatkan betapa besarnya pahala berjihad ke jalan Allah.

Maka dijawab baginda dengan rasa dukacita dengan sabdanya, “aku tidak mempunyai kenderaan untuk membawa kamu semua.” Maka dengan sedih dan pilu beredarlah mereka dan tinggal di Madinah dengan kesedihan. Dinyatakan di dalam ayat ini, mereka ini juga tidak bersalah dan tidak berdosa kerana tidak ikut berperang.






Surah At Taubah Ayat 93

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ وَهُمْ أَغْنِيَاءُ رَضُوا بِأَنْ يَكُونُوا مَعَ الْخَوَالِفِ وَطَبَعَ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
“Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan mengenakan seksa) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu sedang mereka kaya dan mampu. Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang ditinggalkan (kerana uzur) dan (dengan sebab itu) Allah meteraikan atas hati mereka, sehingga mereka tidak dapat mengetahui (perkara yang baik).”

Hanya yang boleh disalahkan dan akan menerima seksa, ialah orang-orang kaya dan mampu untuk pergi berperang tetapi mereka meminta supaya tidak ikut berperang. Malahan mereka rela menjadi hina dan di dalam kerendahan, kerana suka untuk tinggal bersama-sama orang-orang yang tinggal iaitu seperti kaum wanita dan kanak-kanak.

Orang yang sifatnya demikian Allah telah mencop hati mereka, sehingga mereka tidak tahu akan kebaikan yang terdapat dalam perintah berjihad tadi. Kebaikannya di dunia ialah yang merupakan keuntungan mendapat harta rampasan perang dan menawan musuh. Manakala kebaikan di akhirat pula ialah yang merupakan pahala dan kenikmatan yang kekal abadi.





JUZUK 11



Surah At Taubah Ayat 94

يَعْتَذِرُونَ إِلَيْكُمْ إِذَا رَجَعْتُمْ إِلَيْهِمْ قُلْ لَا تَعْتَذِرُوا لَنْ نُؤْمِنَ لَكُمْ قَدْ نَبَّأَنَا اللَّهُ مِنْ أَخْبَارِكُمْ وَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Mereka akan menyatakan uzur kepada kamu, apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang). Katakanlah (wahai Muhammad): "Janganlah kamu menyatakan uzur lagi, kami tidak sekali-kali akan percaya kepada kamu. Kerana sesungguhnya Allah telah menerangkan kepada kami akan berita-berita perihal kamu; dan Allah serta RasulNya akan melihat amal kamu (sama ada kamu kembali beriman atau tetap kufur); kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata (untuk menerima balasan), lalu Ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Ayat ini menjelaskan bahawasanya orang-orang munafik itu telah meminta maaf kepada Nabi saw dan kepada orang-orang mukmin disebabkan mereka tinggal di Madinah dan tidak ikut berperang. Mereka bagi alasan kononnya mereka uzur walhal sebenarnya mereka bohong dan dusta belaka. Mereka akan meminta maaf sebaik saja angkatan perang Nabi saw kembali ke Madinah. Maka Allah menyuruh rasulNya supaya mengatakan kepada mereka, “jangan kamu meminta maaf. Kami tidak percaya lagi kepada kamu.”

Kemudian diterangkan sebabnya mereka tidak boleh dipercaya. Ini adalah kerana Allah menyuruh rasulNya mengatakan, “Allah sudah pun memberitahu kepada kami tentang perkhabaran kamu.” Iaitu Allah telah menurunkan wahyu kepada RasulNya yang mendedahkan rahsia yang mereka sembunyikan, iaitu keengganan mereka untuk pergi berperang dengan berpura-pura menyatakan uzur. Dan apa yang diberitakan oleh Allah semuanya benar, tidak dapat diragukan lagi. Maka sesiapa telah tahu akan yang benar, tentulah tidak mahu menerima yang salah dan seterusnya tidak akan percaya kepada orang-orang yang pendusta, seperti orang-orang munafik itu.

Selanjutnya Allah menyuruh mengatakan, “bahawa Allah dan rasulNya akan melihat pekerjaan kamu.”
Maksudnya orang-orang munafik itu mungkin telah berjanji akan menolong orang-orang mukmin pada masa akan datang. Jadi seolah-olah maksudnya: adakah kamu akan tepati janji itu ataupun tidak? adakah kamu akan bertaubat kepada Allah ataupun tetap bersifat munafik? kalau kamu bertaubat, Allah akan melihatnya kemudian diterima taubat kamu dan diampunkan dosa kamu.

Sedang rasulNya pula akan memperlakukan kamu sebagaimana baginda memperlakukan orang mukmin yang ikhlas dan benar keimanannya. Sebaliknya jika kamu masih juga degil dan berterusan bersifat munafik dan pendusta nescaya rasulNya akan memperlakukan kamu mengikut yang diperintahkan Allah kepadanya, iaitu akan memerangi kamu dan akan bertindak keras terhadap kamu sebagaimana yang dilakukannya kepada orang-orang kafir.”

Semua manusia termasuk orang-orang munafik akan dikembalikan di akhirat keapda Alalh untuk menerima pembalasana daripadaNya mengenai semua perkara. Samada yang kamu sembunyikan mahupun yang kamu nyatakan. Iaitu pembalasan yang layak kamu terima sebagaimana firmannya di dalam ayat 145 surah An Nisaa’ yang bermaksud:
“sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah di dlaam api neraka.”






Surah At Taubah Ayat 95

سَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ إِذَا انْقَلَبْتُمْ إِلَيْهِمْ لِتُعْرِضُوا عَنْهُمْ فَأَعْرِضُوا عَنْهُمْ إِنَّهُمْ رِجْسٌ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Mereka akan bersumpah dengan nama Allah kepada kamu apabila kamu kembali kepada mereka (dari medan perang), supaya kamu berpaling dari mereka (tidak menempelak mereka); oleh itu berpalinglah dari mereka kerana sesungguhnya mereka itu kotor (disebabkan mereka telah sebati dengan kufur); dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahannam, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan. “

Ayat ini menyatakan orang munafik itu betapa beraninya bersumpah dengan nama Allah sebaik saja angkatan perang Nabi saw pulang ke Madinah dari Tabuk. Tujuan mereka bersumpah, ialah untuk menguatkan bahwa mereka benar-benar uzur, dan diharap mereka itu supaya dibiarkan saja, jangan dicela dan sebagainya. Oleh kerana mereka memilih tinggal di Madinah bersama-sama golongan yang lemah, kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak diwajibkan perang. Maka Allah pun menyuruh rasulNya dan orang mukmin supaya jangan menghiraukan mereka lagi.

Mengikut Muqotil: bahwa nabi saw setelah sampai ke Madinah, baginda bersabda yang maksudnya:
“jangan kamu duduk-duduk bersama mereka dan jangan mengggalak mereka bercakap-cakap.”

Maksudnya mereka itu mesti disingkirkan. Sebabnya ialah kerana mereka dianggap sebagai orang-orang yang kotor peribadinya. Jiwa mereka telah dihinggapi penyakit nifak dan syirik. jadi janganlah didekati, supaya jangkitanya tidak pula menular kepada orang-orang mukmin yang lain. Hal ini selari dengan apa yang terdapat dalam firman Allah:
“Hai orang-orang yang beriman sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis.”
(Q.S. At Taubah: 28)

Mereka akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam sebagai balasan atas perbuatan nifak yang mereka lakukan di dunia.







Surah At Taubah Ayat 96

يَحْلِفُونَ لَكُمْ لِتَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنْ تَرْضَوْا عَنْهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَرْضَى عَنِ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ
“Mereka bersumpah kepada kamu supaya kamu reda akan mereka; oleh itu jika kamu reda akan mereka, maka sesungguhnya Allah tidak reda akan kaum yang fasik.”

Allah swt. menegaskan sekali lagi bahwa kaum munafik itu akan bersumpah dengan nama Allah untuk meminta maaf kepada Rasulullah dan kaum muslimin agar beliau dan kaum muslimin redha (senang) kepada mereka serta memaafkan segala kesalahan mereka. Sesudah itu Allah swt. menegaskan, maka tidaklah sepatutnya Rasulullah dan kaum Muslimin senang dan redha kepada kaum munafik itu kerana Allah sendiri tidak suka kepada kaum yang fasik.

Kemurkaan Allah swt. kepada kaum munafik itu adalah disebabkan kerana keingkaran dan sifat-sifat jelek mereka. Andaikata ada di antara orang-orang mukmin itu orang yang bersimpati kepada kaum munafik, maka orang itu pun akan ditimpa kemurkaan Allah. Akan tetapi bila kaum munafik itu bertaubat dan memohon ampun kepada Allah swt. serta meninggalkan kemunafikan dan sifat-sifat jelek mereka, maka Allah akan menerima taubat mereka dan memberikan keampunan atas dosa-dosa yang telah mereka lakukan.






Surah At Taubah Ayat 97

الْأَعْرَابُ أَشَدُّ كُفْرًا وَنِفَاقًا وَأَجْدَرُ أَلَّا يَعْلَمُوا حُدُودَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Orang-orang A'raab lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum Syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah swt. menjelaskan bahwa kekafiran dan kemunafikan orang-orang Arab Badui itu lebih hebat daripada kekafiran dan kemunafikan orang-orang Arab yang telah berbudaya yang hidup menetap di kota-kota dan di desa-desa. Orang Arab Badui itu hidup di padang pasir, selalu berpindah-pindah dalam lingkungan alam yang tandus, jauh dari sebab-sebab kemajuan, dan jauh dari bimbingan para ulama sehingga mereka jarang mendapatkan pelajaran mengenai Alquran dan Hadis.

Oleh kerana itu tidaklah menghairankan bila mereka itu tidak mengetahui hukum-hukum yang telah diturunkan Allah kepada Rasul-Nya. Dalam keterangan ini terdapat suatu sindiran bagi orang-orang yang hidup di kota, bahwa mereka itu seharusnya lebih berpengetahuan dan lebih berkemajuan dari orang-orang Badui. Sebab mereka itu senantiasa bergaul dan mendapat pelajaran dari kaum cendekiawan. Apabila tidak demikian halnya, maka samalah mereka ini dengan orang-orang Badui yang hidupnya mengembara dan jauh dari bimbingan para ulama.

Ibnu Kasir mengatakan bahwa orang-orang Arab Badui itu bersifat kasar dan keras, maka Allah mengutus seorang rasul pun dari kalangan mereka itu. Dalam hal ini Allah swt. telah berfirman:
“Kami tidak mengutus sebelum kamu melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri.”
(Q.S. Yusuf: 109)

Pada akhir ayat ini Allah menegaskan bahwa Allah sangat luas pengetahuan-Nya mengenai hal-ehwal hamba-Nya, beriman atau pun kafir, jujur mahupun munafik, dan Allah amat bijaksana dalam menetapkan syariat dan hukum-hukum-Nya dan dalam memberikan balasan kepada hamba-hamba-Nya, baik berupa syurga Jannatunnaim atau pun azab neraka Jahannam.







Surah At Taubah Ayat 98

وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَنْ يَتَّخِذُ مَا يُنْفِقُ مَغْرَمًا وَيَتَرَبَّصُ بِكُمُ الدَّوَائِرَ عَلَيْهِمْ دَائِرَةُ السَّوْءِ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan sebahagian dari orang-orang A'raab (yang munafik) itu memandang apa yang mereka belanjakan (dermakan pada jalan Allah) sebagai satu bayaran yang memberatkan, sambil menunggu peredaran zaman (yang membawa bala bencana) menimpa kamu; atas merekalah (tertimpanya bala bencana yang dibawa oleh) peredaran zaman yang buruk itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”  

Allah swt. menerangkan satu hal lagi mengenai orang Badui yang munafik, yaitu mereka yang menyumbangkan sebahagian dari harta benda mereka untuk berjihad di jalan Allah, akan tetapi dengan jalan (cara) yang riak. Mereka menganggap harta benda yang mereka berikan, baik secara taat mahupun kerana dipaksa, untuk menjaga keselamatan diri dan kaum mereka dari hal-hal yang tidak mereka inginkan. Mereka memandang bahwa infak tersebut sama sekali tidak mendatangkan kemanfaatan apa pun bagi mereka di akhirat kelak kerana mereka tidak beriman tentang adanya hari kimat, di mana setiap orang akan menerima balasan atas segala perbuatan yang telah dilakukannya di dunia ini. Menurut keterangan Ibnu Zaid, orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Asad dan Bani Gatfan.

Selain itu orang-orang munafik tersebut selalu mengharapkan dan menanti-nanti datangnya malapetaka yang menimpa kaum Muslimin sehingga kekuatan mereka menjadi lemah. Bila hal itu terjadi, maka orang-orang munafik itu tak perlu lagi menyumbangkan harta benda mereka untuk kepentingan jihad. Dalam kenyataannya, mereka selalu menunggu-nunggu agar kaum musyrik dan Yahudi dapat mengalahkan kaum Muslimin. Akan tetapi setelah tipu daya mereka itu tidak membawa hasil, maka mereka menunggu wafatnya Rasulullah saw. kerana mereka menganggap bahwa dengan wafatnya Rasulullah agama Islam pun akan lenyap.

Kerana adanya sikap dan pandangan mereka yang seperti itu, maka dalam ayat ini Allah swt. menegaskan bahwa merekalah yang akan ditimpa malapetaka itu, sedang kaum Muslimin tidak akan mengalami malapetaka. Bahkan mereka akan memperoleh pertolongan dari Allah swt. Di samping itu musuh-musuh akan menemui kegagalan serta ditimpa azab di dunia ini sebelum mendapat azab yang lebih hebat di akhirat kelak.

Pada akhir ayat ini Allah swt. menegaskan bahwa Dia amat mendengar segala ucapan hamba-Nya yang mencerminkan perasaan hatinya. Di samping itu Allah sangat mengetahui rahsia yang terkandung dalam hati mereka apakah keimanan atau kekafiran, keikhlasan atau kemunafikan. Allah akan memberikan balasan kepada mereka terhadap ucapan dan perbuatan mereka itu.






Surah At Taubah Ayat 99


وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَنْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنْفِقُ قُرُبَاتٍ عِنْدَ اللَّهِ وَصَلَوَاتِ الرَّسُولِ أَلَا إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَهُمْ سَيُدْخِلُهُمُ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Dan sebahagian dari orang-orang A'raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Dalam ayat ini dijelaskan bahwa tidak semua orang-orang Arab Badui itu mempunyai sifat-sifat kekufuran dan kemunafikan seperti tersebut di atas tadi. Bahkan sebahagian dari mereka itu adalah orang-orang yang beriman kepada Allah swt. dan hari akhirat dengan keimanan yang teguh. Mereka yakin tentang kemahakuasaan Allah atas semua makhluk-Nya. Dan yakin pula tentang adanya hari akhirat di mana setiap orang akan menerima balasan atas semua perbuatan yang telah dilakukannya selama di dunia.

Di samping keimanan kepada Allah dan hari kiamat, mereka juga menafkahkan harta benda mereka di jalan Allah. Dan apa-apa yang mereka nafkahkan itu mereka pandang sebagai suatu jalan atau cara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. dan untuk mendapatkan doa Rasulullah saw. kerana Rasulullah senantiasa mendoakan kebaikan untuk orang-orang yang suka bersedekah dan menafkahkan harta bendanya di jalan Allah, dan Rasulullah saw. juga selalu memohon ampun kepada Allah swt. untuk mereka itu. Doa kepada Allah adalah salah satu perbuatan baik yang dapat dilakukan oleh seseorang untuk memberi manfaat kepada orang lain. Misalnya doa dari anak yang saleh untuk ibu bapaknya. Menurut keterangan Mujahid, orang-orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Bani Muqarrin dari kabilah Muzainah.

Selanjutnya dalam ayat ini Allah swt. menjelaskan bahwa keimanan dan keikhlasan mereka serta infak yang mereka lakukan dengan niat yang suci diterima Allah sebagai amal saleh yang mendekatkan diri mereka kepada-Nya, dan bahwa Dia akan memberikan pahala kepada mereka, yaitu dengan mengurniakan kepada mereka rahmat yang khusus diberikannya kepada orang-orang yang diredhai-Nya, yaitu petunjuk kepada jalan yang lurus yang akan menyampaikan mereka kepada syurga Jannatunna'im. Mereka akan hidup bahagia dalam kandungan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Adanya orang-orang Arab Badui yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kerana menggunakan fikiran dan hati nurani, menunjukkan betapa rendahnya kedudukan orang-orang kafir dan orang-orang munafik yang berdiam di kota-kota yang selalu hidup bergaul dengan orang-orang pandai dan mendengar pelajaran-pelajaran baik, namun hati mereka tetap tertutup tidak mahu beriman.

Pada akhir ayat ini Allah swt. menegaskan bahwa Dia amat luas rahmat dan ampunan-Nya untuk orang-orang yang ikhlas dalam beramal. Dan akan mengampuni mereka dari dosa-dosa dan kelalaian yang telah mereka perbuat; Dia akan memimpin mereka kepada perbuatan yang baik dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat.







Surah At Taubah Ayat 100

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Allah menyebutkan dalam ayat ini, ada 3 tingkatan umat Islam yang dikira sebagai golongan yang terbaik sekali.

1 . orang-orang yang terdahulu yang mula-mula memeluk Islam daripda kaum Muhajirin.
Yang dimaksud dengan "As-Sabiqunal Awwalun" dari kalangan Muhajirin ialah mereka telah berhijrah dari Mekah ke Madinah sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah kerana pada saat ini kaum musyrikin senantiasa mengusir kaum Muslimin dari kampung halaman mereka, dan membunuh sebahagian dari mereka, serta menghalang siapa saja yang ingin berhijrah. Tidak ada cara lain bagi seorang mukmin untuk menyelamatkan diri dari kejahatan kaum musyrikin itu, kecuali menjauhkan diri dari mereka, atau menyerah kepada kehendak dan kemahuan mereka.

Maka orang-orang yang memilih cara yang pertama, yaitu meninggalkan kota Mekah dan berhijrah ke Madinah sebelum terjadinya "Perdamaian Hudaibiyah" pada tahun keenam hijriah, serta berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga mereka. Semuanya adalah orang-orang yang benar-benar beriman, tak seorang munafik pun terdapat di antara mereka ini, kerana pada masa itu belumlah timbul hal-hal yang mendorong orang untuk bersikap munafik, lain di mulut lain di hati. Demikian pula sebaliknya, tak ada faktor lain yang mendorong seseorang untuk meninggalkan kampung halamannya kecuali keimanan yang murni dan keikhlasan dan perjuangan untuk menegakkan agama Islam.

Orang yang mula-mula masuk Islam dan menyatakan imannya kepada Nabi Muhammad saw. dari kalangan keluarganya adalah Siti Khadijah, Ali bin Abu Talib dan Zaid bin Harisah. Sedang dari kalangan luar keluarga Rasulullah saw., orang yang mula-mula masuk Islam ialah Abu Bakar As-Siddiq yang juga dikenal sebagai orang yang menemani Rasulullah saw. waktu beliau berhijrah ke Madinah, dan yang mula-mula melakukan dakwah Islamiah bersama Rasulullah.

Di samping itu terdapat pula para sahabat yang oleh Rasulullah saw. telah dinyatakan sebagai orang-orang yang dijamin Allah masuk syurga. Selain itu banyak pula sahabat-sahabat lainnya yang mengikuti jejak mereka itu dalam keteguhan iman dan keikhlasan berjuang untuk menegakkan agama Allah tanpa mengutamakan kepentingan pribadi dan harta benda.

2 . orang yang mula-mula masuk Islam dari kaum Ansar.
Yang dimaksud dengan "As-Sabiqunal Awwalun" dari kalangan Ansar ialah penduduk kota Madinah yang telah menyatakan ikrar kesetiaan mereka kepada pimpinan Rasulullah saw. di Aqabah, iaitu suatu tempat di Mina pada kali yang pertama pada tahun kesebelas dari kerasulan Muhammad saw. Ketika itu mereka berjumlah tujuh orang. Kemudian pada kali yang kedua, yaitu pada tahun kedua belas terjadi pulalah ikrar kesetiaan di Aqabah itu juga, dan kali ini mereka berjumlah tujuh puluh orang lelaki dan dua orang perempuan.

Sesudah itu diikuti pula oleh orang-orang lainnya setelah mereka didatangi oleh utusan Rasulullah yang bernama Abu Zarrah Musab bin Umar bin Hasyim yang membacakan ayat-ayat Alquran dan mengajarkan pengetahuan agama kepada mereka, dan yang diutus oleh Rasulullah dalam rombongan orang-orang yang mengucapkan ikrar kesetiaan di Aqabah di kali yang kedua itu, di waktu mereka hendak pulang kembali ke Madinah.

Demikian pula mereka yang telah beriman pada saat tibanya Rasulullah di Madinah, yaitu sebelum kaum muslimin memiliki kekuatan yang cukup tangguh. Kekuatan itu barulah tumbuh setelah beberapa waktu sesudah berhijrahnya Rasulullah ke Madinah itu. Daripada saat itu pulalah munculnya kaum munafik yang berpura-pura menyokong agama Islam. Hal ini dijelaskan dalam firman Allah yang turun mengenai hal-ihwal peperangan Badar yang terjadi pada tahun kedua Hijriah. Firman Allah swt.:
“(Ingatlah) ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata: "Mereka itu (orang-orang mukmin) ditipu oleh agamanya."
(Q.S. Al-Anfal: 49)
Dalam kelompok orang-orang munafik yang disebutkan dalam ayat ini, tak terdapat seorang pun dari kalangan kaum Muhajirin dan kaum Ansar yang paling dahulu masuk Islam seperti yang tersebut di atas, walaupun kaum Ansar itu semuanya berasal dari Bani Aus dan Khazraj.

3 . orang yang mengikuti jejak langkah orang-orang yang terdahulu yang mula-mula masuk Islam daripada kaum Muhajirin dan Ansar.
Yang dimaksud dengan "Allazinat tabu'uhum bi ihsan" (orang-orang yang telah mengikuti kaum As-Sabiqunal Awwalun dari kalangan Muhajirin dan Ansar itu dengan baik) ialah mereka yang ikut berhijrah ke Madinah dan berjuang menegakkan agama Islam; atau mereka yang membuktikan kebaikan mereka dalam perbuatan dan perkataan setelah mendapatkan bimbingan dan pelajaran dari kaum As-Sabiqunal Awwalun dari kalangan Muhajirin dan Ansar itu yang merupakan pemimpin-pemimpin yang diikuti dan dijadikan suri teladan dalam tingkah laku, perbuatan, ucapan dan perjuangan menegakkan agama Allah atau orang-orang yang mengikuti mereka ini dalam ketaatan dan ketakwaan sampai hari kiamat. Sedang orang-orang yang munafik hanya mengikuti secara lahiriah semata-mata, atau hanya mengikutinya dalam beberapa hal saja, sedang dalam hal-hal lainnya mereka mengingkarinya

Ketiga-tiga golongan ini merupakan orang-orang mukmin yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah disebabkan keimanan mereka yang teguh serta amal perbuatan mereka yang baik dan ikhlas sesuai dengan tuntunan Rasulullah saw. Allah swt. senang dan redha kepada mereka, dan mereka pun juga redha kepada Allah. Dan Allah menyediakan pahala yang amat mulia bagi mereka, yaitu syurga Jannatunna'im yang mengalir sungai-sungai di dalamnya, dan di sana mereka akan memperoleh kenikmatan yang tak terhingga. Mereka akan kekal di sana selama-lamanya. Itulah kemenangan besar yang akan mereka peroleh.






No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.