Thursday, March 24, 2016

Surah At Taubah Ayat 61 - 80





Surah At Taubah Ayat 61

وَمِنْهُمُ الَّذِينَ يُؤْذُونَ النَّبِيَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَكُمْ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِلَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang-orang yang menyakiti Nabi sambil mereka berkata: "Bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)". Katakanlah: "Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu". Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ayat ini ditujukan kepada sekumpulan orang munafik yang selalu menyakiti hati Nabi Muhammad saw dengan cacian dan perbuatan mereka yang tidak patut. Ada setengahnya mengingatkan sesama mereka dengan berkata:,”janganlah kamu lakukan kepada Muhammad perkara yang tidak patut. Kami khuatir apa yang kamu katakan nanti akan sampai kepadanya, kelak akan menyusahkan kita.” dijawab oleh Julas bin Suaid, seorang munafik yang lain dengan katanya “bahkan kita boleh berkata apa yang kita suka. Nanti kita temui dia untuk menafikan apa yang kita katakan itu sambil kita bersumpah. Dan Muhammad pasti percaya kepada kita, kerana Muhammad adalah seorang yang lekas percaya kepada apa yang didengarnya.”

Perlu diingat di sini, bahwa Nabi Muhammad saw dalam pergaulan beliau , beliau telah melayan orang-orang munafik mengikut peraturan syariat Islam, dengan memberikan layanan yang sama seperti orang-orang mukmin, iaitu berdasarkan apa yang terlahir. Maka pada sangkaan orang-orang munafik pula bahwa baginda telah percaya kepada apa-apa yang mereka katakan.

Kemudian Allah telah menerangkan tentang sifat nabi saw di dalam ayat ini. Baginda Rasulullah saw itu percaya kepada Allah dan juga kepada orang-orang mukmin, baik dari golongan muhajirin mahupun ansar kerana mereka mempunyai tanda-tanda keimanan yang sejati yang melayakkan mereka utnuk mendapat kepercayaan.  Nabi Muhammad saw telah menjadi rahmat kepada orang-orang yang benar-benar beriman, kerana dengan sebabanylah mereka mendapat pimpinan dan hidayat yang membawa kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tetapi baginda bukanlah menjadi rahmat kepada orang-orang munafik iaitu orang-orang yang pada lahirnya Islam tetapi pada batinnya kufur.

Mereka yang menyakiti Rasulullah saw samada dengan lisan mahupun perbuatan, akan dibalas oleh Allah dengan seksaan yang amat pedih.

Ayat ini menjadi dalil bahwa perbuatan menyakiti Rasulullah saw itu dikira sebagai kufur. Ini ialah sekiranya menyentuh kepada urusan kerasulannya, kerana perkara itu akan merosakkan keimanan. Tetapi kalau hanya menyentuh kepada urusan kemanusiaan dan adat kebisasaan secara duniawi sahaja, hukumnya adalah haram dan bukan kufur. Sebagaimana yang telah berlaku kepada orang-orang yang pernah menganggu kesenangan Nabi saw dengan sebab mereka berlama-lama duduk di rumahnya selepas makan di sana, sehingga turunlah ayat 53 dari surah Ahzab yang bermaksud:
“sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi, tetapi dia malu kepada kamu (untuk menyuruh keluar).”

Adapun perbuatan menyakiti Nabi saw walaupun sudah wafatnya baginda adalah serupa saja seperti menyakiti baginda semasa hayatnya. Umapanya memperkatakan tentang kedua ibu bapa dan ahli bait (keturunannya) yang dipercayai perkara itu akan menyakiti hatinya kalaulah baginda masih hidup. Maka jalan ke arah beriman dan percaya kepada Nabi saw untuk menjadi orang yang mukmin akan tersekat sama sekali, hanya disebabkan berbuat sesuatu yang boleh dianggap menyakiti nabi. Dan perbuatan itu adalah dikira sebagai dosa dan maksiat yang sebesar-besarnya.






Surah At Taubah Ayat 62

يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَكُمْ لِيُرْضُوكُمْ وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَقُّ أَنْ يُرْضُوهُ إِنْ كَانُوا مُؤْمِنِينَ

“Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mendapat keredaan kamu, padahal Allah dan RasulNya jualah yang lebih berhak mereka mendapat keredaanNya, jika betul mereka orang-orang yang beriman.

Orang-orang munafik sebagaimana halnya dengan orang-orang yang membuat suatu kesalahan, umpama mencuri dan membunuh, mereka itu selalu merasa dalam kesulitan kerana mereka selalu dibayangi oleh akibat perbuatan-perbuatan mereka yang buruk yang mereka lakukan, dan mereka takut kepalsuan mereka diketahui oleh manusia. Mereka sering bersumpah sebagai suatu cara untuk menutupi kejahatan dan kemunafikan mereka.

Demikian kelakuan orang-orang munafik, mereka bersumpah untuk meyakinkan orang-orang mukmin bahwa apa yang disampaikannya tentang kelakuan buruk mereka baik merupakan menentang mahupun memburukkan Rasulullah adalah tidak benar dengan maksud supaya orang-orang mukmin mengakui bahwa mereka adalah orang-orang yang bersih dari segala yang mereka tuduhkan.

Mereka sering bersumpah dengan maksud mendapat keredhaan serta mendapat kepercayaan dari orang-orang mukmin sehingga mereka dapat perlindungan dari orang-orang mukmin. Tetapi jika benar-benar mereka ingin menjadi orang mukmin, semestinya mereka berusaha supaya mendapat keredhaan Tuhan dan Rasul-Nya dengan iman yang sungguh-sungguh yang jauh dari kemunafikan dan keraguan.

Meskipun orang-orang mukmin dapat diyakinkan dengan jalan bersumpah, dan kebohongan mereka masih tertutup, namun Allah swt. tetap mengetahui segala sesuatu yang mereka perbuat dan sesuatu yang masih tersimpan di hati mereka. Maka ketika kemaslahatan menghendaki, Allah menurunkan kepada Rasul wahyu yang menjelaskan tentang semua yang mereka lakukan.






Surah At Taubah Ayat 63

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّهُ مَنْ يُحَادِدِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَأَنَّ لَهُ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدًا فِيهَا ذَلِكَ الْخِزْيُ الْعَظِيمُ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesiapa yang menentang (perintah-perintah) Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya adalah baginya neraka Jahannam serta ia kekal di dalamnya? Balasan yang demikian adalah kehinaan yang besar”

Allah mengingatkan orang-orang munafik tersebut tentang pengajaran yang pernah disampaikan oleh nabi saw mengenai hukum-hukum agama dan syariat Islam yang sengaja mereka tidak mengambil tahu atau meringan-ringankannya, iaitu: “ketahuilah barangsiapa yang melanggar perintah Allah dan RasulNya, iaitu menyalahi dan menentangnya, pasti akan dimasukkan ke dalam neraka jahanam untuk diseksa selama-lamanya. Hukuman seksa di dalam neraka jahanam selama-lamanya itu adalah suatu kehinaan yang paling buruk.”






Surah At Taubah ayat 64

يَحْذَرُ الْمُنَافِقُونَ أَنْ تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُمْ بِمَا فِي قُلُوبِهِمْ قُلِ اسْتَهْزِئُوا إِنَّ اللَّهَ مُخْرِجٌ مَا تَحْذَرُونَ

Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): "Ejek-ejeklah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (terdedah untuk pengetahuan ramai)"

Allah menyatakan bahwa orang-orang munafik itu walaupun ragu-ragu tentang kebenaran wahyu, namun mereka merasa cemas dan takut juga kalau-kalau nanti Allah akan menurunkan sebuah surah dari Al Quran kepada orang-orang mukmin yang memberitahukan tentang niat buruk yang mereka rahsiakan dan sembunyikan di dalam hati, yang berupa hasad dengki dan memusuhi orang-orang mukmin. Sehingga apabila rahsia keburukan mereka ini didedahkan pastilah memalukan mereka.

Allah pun menyuruh rasulNya Muhammad saw supaya mengatakan kepada mereka: “kalau mereka berani mengejek-ejek dan mendustakan Al Quran, Allah pasti akan menurunkan kepda rasulNya berita yang akan mendedahkan rahsia mereka. Iaitu suatu perkara yang sangat mereka takutkan.

Dalam hubungan ini Ibnu Abbas mengatakan Allah menyebutkan sebanyak 70 orang munafik yang nama-nama mereka dan nama bapa-bapa mereka. Kemudian nama-nama itu telah dibatalkan sebutannya kerana Allah kasihan kepada orang-orang mukmin, jangan sampai terjadi cela mencela sesama mereka disebabakan ada di antara anak-anak orang munafik itu yang menjadi mukmin.





Surah At Taubah Ayat 65

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Ayat ini menggambarkan kepada Nabi Muhammad tentang tingkah laku orang-orang munafik itu yaitu ketika Nabi Muhammad saw. bertanya kepada mereka tentang ucapan-ucapan mereka yang berupa tuduhan yang sengaja dilontarkan kepada Muhammad saw. yang mengatakan seolah-olah Nabi itu mencari pengaruh, kekuasaan dan kekayaan, pastilah mereka akan menjawab bahwa mereka mengucapkan kata-kata demikian itu sekadar bersenda-gurau tidak dengan sungguh-sungguh dan mereka mengira bahwa Nabi Muhammad saw. dapat memaafkan dan menerima dalih yang mereka kemukakan.

Tetapi Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw. supaya mengatakan kepada kaum munafik bahwa tidaklah patut dengan cara-cara sinis mereka mengejek Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya. Perbuatan demikian itu melampaui batas dan tidak ada yang melakukannya kecuali orang-orang yang ingkar kepada Allah.

Turunnya ayat ini adalah berkait rapat dengan peperangan Tabuk sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Munzir dari Qatadah, ketika Rasulullah saw. pada peperangan Tabuk melihat segolongan manusia di hadapannya mengatakan: "Apakah laki-laki ini (Muhammad) mengharapkan akan memperoleh istana dan benteng di negeri Syam, tidak mungkin, tidak mungkin." Allah memberitahukan kepada Nabi-Nya apa yang dibicarakan oleh segolongan manusia tersebut, maka Muhammad saw. berkata: "Kamu telah berkata begini begitu." Mereka menjawab: "Hai Nabi Allah, kami hanya bersenda gurau dan main-main." Maka turunlah ayat ini.





Surah At Taubah Ayat 66

لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ

Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.”

Pada Ayat ini Allah menerangkan bahawa tak ada gunanya mereka meminta maaf dengan mengemukakan dalih seperti tersebut pada ayat 65 kerana sesungguhnya orang-orang munafik itu telah kembali menjadi kafir sesudah beriman, mereka mengejek Nabi dan memandang rendah kepada beliau. Sikap demikian itu terhadap Rasul menunjukkan kekosongan jiwa mereka dari keimanan. Mereka telah melakukan dosa yang sangat besar kerana dengan sengaja menghina Nabi dan mengingkari Allah.

Jika sekiranya segolongan orang-orang munafik benar-benar bertaubat atas dorongan iman yang sesungguhnya, seperti seseorang yang bernama Mikhasy bin Humair, tentulah Allah menerima taubatnya dan Allah tetap akan mengazab orang-orang munafik yang masih terus-menerus bergelumang dalam dosa kemunafikan.





Surah At Taubah Ayat 67

الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُمْ مِنْ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنْكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُوا اللَّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.

Ayat ini menerangkan tentang persamaan di kalangan orang-orang munafik baik pria maupun wanita baik mengenai sifat-sifat mereka mahupun mengenai akhlak dan perbuatan mereka. Masing-masing saling menganjurkan kepada yang lainnya berbuat kemungkaran seperti yang diterangkan oleh Nabi saw.:
“Tanda orang munafik itu ada tiga. Apabila ia berbicara berdusta, apabila ia berjanji mungkir, dan apabila ia dipercayai berkhianat.”
(H.R. Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Demikian juga orang munafik itu masing-masing saling melarang sesama sendiri dari berbuat baik seperti melakukan jihad dan mengeluarkan harta untuk amal-amal sosial terutama perang sabil sebagaimana firman Allah:
“Merekalah orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Ansar): "Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah).”
(Q.S. Al-Munafiqun: 7)

Semua itu disebabkan mereka lupa kepada kebesaran Allah, lupa kepada petunjuk-petunjuk agama-Nya dan lupa kepada siksa-Nya. Tegasnya mereka lupa untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan mentaati perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya sebagaimana tidak terlintas di hati sanubari mereka kewajiban berterima kasih atas nikmat-nikmat yang diberikan Tuhan sehingga mereka mengikuti kehendak nafsu mereka dan godaan syaian.

Maka sewajarnyalah Allah melupakan mereka dengan menjauhkan mereka dari kurniaan taufik-Nya di dunia dan kurniaan ganjaran pahala di akhirat. Sesungguhnya orang-orang munafik yang tetap dalam kemunafikannya itu merupakan manusia yang paling fasik di dunia ini bahkan mereka lebih rendah dari orang-orang kafir biasa. Ini karena orang kafir ini sekadar jatuh pada kesalahan iktikad terhadap Tuhan mengenai keesaan atau mengenai adanya Tuhan. Berlainan pula dengan orang-orang munafik itu di mana mereka sengaja membuat kesalahan baik mengenai akidah atau pun mengenai akhlak dan tindak tanduk perbuatan yang jauh menyimpang dari fitrah manusia yang murni.





Surah At Taubah Ayat 68

وَعَدَ اللَّهُ الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللَّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُقِيمٌ

“Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.

Ayat ini menerangkan ancaman Tuhan kepada orang-orang munafik baik lelaki mahupun wanita dan ancaman-Nya kepada orang-orang kafir. Allah mengancam semua mereka itu dengan azab api neraka dan mereka kekal abadi di dalamnya. Cukuplah api neraka itu sebagai siksaan terhadap mereka di akhirat, dan mereka mendapat kutukan Tuhan di dunia dan di akhirat. Serta mereka tidak berhak mendapat rahmat Allah. Azab Tuhan terus-menerus menimpa mereka baik azab fisik mahupun siksaan batin yang tak habis-habisnya. Mereka tidak akan dapat melihat wajah Allah kerana melihat wajah Allah itu tidak dikurniakan kepada orang-orang yang mengingkarinya.







Surah At Taubah Ayat 69

كَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ كَانُوا أَشَدَّ مِنْكُمْ قُوَّةً وَأَكْثَرَ أَمْوَالًا وَأَوْلَادًا فَاسْتَمْتَعُوا بِخَلَاقِهِمْ فَاسْتَمْتَعْتُمْ بِخَلَاقِكُمْ كَمَا اسْتَمْتَعَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ بِخَلَاقِهِمْ وَخُضْتُمْ كَالَّذِي خَاضُوا أُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

“(Nasib kamu hai orang-orang munafik) adalah sama dengan nasib orang-orang sebelum kamu (yang telah dibinasakan), mereka lebih kuat serta lebih banyak harta benda dan anak pinak daripada kamu; seterusnya mereka telah bersenang-senang dengan bahagian mereka; maka kamu pula telah bersenang-senang dengan bahagian kamu sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu itu bersenang-senang dengan bahagiannya; dan kamu pula telah memperkatakan (perkara yang salah dan dusta) sebagaimana mereka memperkatakannya. Mereka yang demikian, rosak binasalah amal-amalnya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan merekalah orang-orang yang rugi.

Ayat ini menerangkan bahwa orang-orang munafik yang menyakiti Nabi Muhammad dan orang-orang mukmin, mereka itu tidak ubahnya seperti orang-orang munafik yang wujud pada masa dahulu. Jika sekiranya pada masa Nabi Muhammad saw. mereka terpedaya oleh harta kekayaan dunia dan terpengaruh oleh anak-anak mereka, maka serupa itu jugalah orang-orang munafik pada masa dahulu dalam menghadapi utusan-utusan Allah. Mereka memiliki kekuatan, kekayaan harta benda yang cukup dan anak-anak yang banyak yang menyebabkan mereka terpedaya oleh kenikmatan hidup dunia. Mereka selalu dipengaruhi oleh keinginan hidup mewah lagi ingin bebas berbuat semahu mereka untuk kepuasan hawa nafsunya.

Demikian pulalah halnya orang-orang munafik di masa Nabi, mereka mengutamakan kehidupan dunia tanpa mengendahkan petunjuk-petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan suka bercakap hal-hal yang batil. Orang-orang munafik pada masa dahulu memang wajar berlaku demikian kerana faktor-faktor yang membawa mereka kepada kejahatan lebih banyak kerana mereka mempunyai kekuatan dan kekayaan.

Berlainan halnya dengan orang-orang munafik pada zaman Nabi Muhammad saw. di samping kekurangan kekuatan dan harta kekayaan, faktor-faktor yang membawa mereka berbuat kebaikan adalah lebih banyak. Semua perbuatan orang munafik, meskipun perbuatan itu adalah perbuatan yang baik, ianya menjadi sia-sia di dunia dan di akhirat kerana mereka telah melakukannya tanpa kejujuran dan keikhlasan.

Maka seharusnya mereka menjadi orang-orang yang beruntung kerana mereka juga turut melakukan amalan kebajikan. Tetapi mereka lupa bahawa diterimanya sesuatu amalan yang baik itu adalah disertai dengan kejujuran dan keikhlasan. Kekeliruan sangkaan mereka ini digambarkan dalam firman Allah:
“Katakanlah: "Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?" Yaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
(Q.S. Al-Kahfi: 103, 104)







Surah At Taubah Ayat 70

أَلَمْ يَأْتِهِمْ نَبَأُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ قَوْمِ نُوحٍ وَعَادٍ وَثَمُودَ وَقَوْمِ إِبْرَاهِيمَ وَأَصْحَابِ مَدْيَنَ وَالْمُؤْتَفِكَاتِ أَتَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

Bukankah telah datang kepada mereka berita orang-orang yang terdahulu daripada mereka, iaitu kaum Nabi Nuh dan Aad dan Thamud dan kaum Nabi Ibrahim, dan penduduk negeri Madyan serta negeri-negeri yang telah dibinasakan? (Semuanya) telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan membawa keterangan yang jelas nyata, (lalu mereka mendustakannya dan Tuhan pula membinasakan mereka); Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.”

Allah swt. mencela orang-orang munafik mengapa mereka tidak mengetahui cerita tentang umat-umat terdahulu kala seperti umat Nabi Nuh, kaum `Ad dan Samud, kaum Ibrahim dan penduduk Madyan dan kaum Lut. Kepada mereka, Allah telah utuskan Rasul-rasul-Nya yang membawa petunjuk-petunjuk dari Allah. Tetapi mereka sambut Rasul-rasul Allah itu dengan tentangan. Dan kerana itu  Allah telah turunkan kepada mereka azab seperti taufan yang menenggelamkan kaum Nuh, angin yang membinasakan kaum Ad, dan petir yang membinasakan kaum Samud.

Hal yang demikian itu tidaklah bererti Allah telah berbuat aniaya terhadap mereka itu. Ini kerana ianya bertentangan dengan sifat keadilan Allah. Akan tetapi yang sebenarnya merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri disebabkan mereka tidak mengindahkan petunjuk-petunjuk Allah yang dibawa oleh Rasul-rasul-Nya dengan disertai janji dan ancaman-Nya.

Sunnatullah tidak akan berubah sebagaimana Allah menjatuhkan azab kepada orang-orang yang menentang rasul-Nya pada masa dahulu dan sudah pastilah pula di masa sekarang Allah akan mengazab orang-orang yang bersalah jika mereka berdegil dan tidak bertaubat.






Surah At Taubah Ayat 71

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Orang-orang mukmin, baik lelaki mahupun wanita akan saling menjadi pembela di antara mereka. Sebagai mukmin ia akan membela mukmin lainnya disebabkan hubungan seagama dan lebih-lebih lagi jika mukmin itu saudaranya kerana adanya perhubungan darah. Wanita juga sebagai mukminah turut membela saudara-saudaranya dari kalangan laki-laki mukmin kerana hubungan seagama sesuai dengan fitrah kewanitaannya sebagaimana isteri-isteri Rasulullah dan isteri-isteri para sahabat pun juga turut  ke medan perang bersama-sama tentera Islam untuk tugas menyediakan air minum dan menyiapkan makanan kerana orang-orang mukmin itu sesama mereka terikat oleh tali keimanan yang membangkitkan rasa persaudaraan, kesatuan, saling mengasihi dan saling tolong menolong.

Kesemuanya itu didorong oleh semangat setia kawan yang menjadikan mereka sebagai satu ikatan atau satu bangunan tembok yang saling kuat-menguatkan dalam menegakkan keadilan dan meninggikan kalimat Allah. Sifat mukmin yang seperti itu banyak dinyatakan oleh hadis-hadis Nabi Muhammad saw. antara lain, seperti sabdanya:
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mengasihi, saling menyantuni dan saling membantu seperti satu jasad, apabila salah satu anggota menderita seluruh anggota jasad itu saling merasakan demam dan tidak tidur.”
(H.R. Bukhari dan Muslim dari Nu'man bin Basyir)

Sifat saling membela tidak terdapat pada orang-orang munafik kerana mereka diselubungi oleh keraguan dan sifat pengecut. Persaudaraan ini di kalangan mereka sekadar ucapan permainan lidah sebagaimana diutarakan di dalam firman Allah:
“Apakah kamu tiada memperhatikan orang-orang munafik yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab: "Sesungguhnya jika kamu diusir, niscaya kami pun akan keluar bersama kamu; dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada siapa pun untuk (menyusahkan) kamu, dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu. Dan Allah menyaksikan bahwa sesungguhnya mereka benar-benar pendusta." Sesungguhnya jika mereka diusir, orang-orang munafik itu tidak akan keluar bersama mereka, dan sesungguhnya jika mereka diperangi, niscaya mereka tidak akan menolongnya, sesungguhnya jika mereka menolongnya niscaya mereka akan berpaling lari ke belakang, kemudian mereka tiada akan mendapat pertolongan.”
(Q.S. Al-Hasyr: 11, 12)

Sifat-sifat yang dimiliki orang-orang mukmin itu berlainan dengan sifat-sifat orang-orang munafik itu, yaitu:
a. Orang-orang mukmin menyuruh manusia berbuat baik (amar makruf) sedang orang-orang munafik menyuruh manusia berbuat mungkar.
b. Orang-orang mukmin melarang manusia berbuat mungkar sedangkan orang munafik melarang manusia berbuat baik.
c. Orang-orang mukmin mengerjakan salat dengan khusyuk dan tawaduk dengan hati yang ikhlas sedang orang-orang munafik mengerjakan salat dalam keadaan terpaksa dan riya.
d. Orang-orang mukmin selain mengeluarkan zakat, tangan mereka terbuka untuk kesejahteraan umat dan memberikan sumbangan sosial sedang orang-orang munafik adalah bakhil; jika mereka mengeluarkan zakat atau derma, itu adalah kerana mereka khuatir dan riya bukan kerana ikhlas kepada Allah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah:
“Dan tidak ada yang menghalangi mereka untuk diterima dari mereka nafkah-nafkahnya melainkan karena mereka kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka tidak mengerjakan salat melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka melainkan dengan rasa enggan.”
(Q.S. At Taubah: 54)

e. Orang-orang mukmin terus-menerus berada di atas ketaatan kepada Allah dengan meninggalkan perbuatan-perbuatan maksiat dan mengerjakan segala perintah menurut kesanggupan sedangkan orang-orang munafik adalah orang-orang yang terus-menerus di atas perbuatan maksiat.

Pada akhir ayat ini Allah menegaskan bahwa Dia pasti akan melimpahkan rahmat-Nya baik di dunia mahupun di akhirat kepada orang-orang mukmin. Dan kita telah iketahui pada ayat-ayat yang lalu Allah akan melaknati orang-orang munafik dan mengancam mereka dengan api neraka.

Sesungguhnya Allah swt. Maha Perkasa, tidak seorang pun yang dapat menolak hukum-Nya dan Dia adalah Maha Bijaksana melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya kepada orang-orang yang dikehendaki-Nya sesuai dengan amalan-amalan yang telah dikerjakannya.







Surah At Taubah Ayat 72

وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam "Syurga Adn" serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.

Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin baik lelaki mahupun wanita untuk mendapatkan syurga sebagai balasan terhadap amalan baik mereka. Syurga itu ialah taman yang indah yang penuh dengan sesuatu yang tak pernah dilihat oleh mata dan tak pernah didengar oleh telinga dan malahan tak pernah terlintas di hati. Semua yang dilihat dan didengar adalah asing dan baru sehingga sulit untuk dibayangi atau diumpamakan kerana ianya tak ada bandingan yang boleh dibuat di dunia ini.

Taman yang di bawah pohon-pohonnya mengalir sungai yang tidak menyerupai sungai-sungai di dunia ini baik warna mahupun rasanya; orang-orang yang tinggal di dalamnya akan menetap selama-lamanya di sana. Sabda Nabi saw. menerangkan tentang syurga:
“Pada surga terdapat seratus tingkatan. Allah menyediakannya untuk orang-orang yang berjihad menegakkan agama Allah. Jarak satu tingkat dengan tingkat yang lainnya sebagaimana jarak antara langit dan bumi. Apabila kamu memohon kepada Allah, mintalah surga Firdaus karena ini adalah surga yang tertinggi yang daripadanya terpancar sungai-sungai surga dan di atasnya Arasy Tuhan.”
(H.R. Bukkari dan Muslim dari Hurairah)

Manusia adalah jasad dan ruh. Syurga dengan segenap isinya memberikan kenikmatan paling tinggi kepada jasmani, keredhaan Allah memberikan kenikmatan yang paling tinggi kepada rohani manusia. Kedua nikmat ini adalah kurniaan Allah yang dijanjikan-Nya kepada para mukmin tak kira lelaki ataupun  wanita. Inilah kurniaan Allah yang merupakan kemenangan yang besar lagi tak ada taranya yang tak akan dapat mencapainya kecuali bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh.





Surah At Taubah Ayat 73

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

“Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. “

Allah memerintahkan kepada Nabi Muhammad supaya melakukan jihad terhadap orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan memperlakukan mereka itu dengan perlakuan yang keras. Melakukan jihad kepada orang-orang kafir adalah dengan pedang iaitu berperang, manakala melakukan jihad kepada orang-orang munafik ialah menyedarkan mereka sebaik-baiknya dengan mengemukakan hujah-hujah yang diperlukan.

Orang kafir ini adalah sepertimana orang Yahudi, mereka menyakiti Nabi saw. dengan cara yang menyakitkan perasaan; mereka mengucapkan kalimat salam kepada Nabi dengan merubah kata "assalamu `alaikum" dengan "assamu `alaikum", ucapan yang bermaksud "juga kematian atas kamu" dan Nabi pun tentulah membalasnya dengan ucapan "wa'alaikum" yang bermaksud "juga kematian atas kamu". Di samping itu mereka sering melanggar perjanjian.

Orang-orang munafik ini pula,  Nabi selalu melayan mereka dengan lemah-lembut sebagaimana nabi saw melayan orang-orang mukmin. Tetapi sebaliknya orang-orang munafik selalu menyakiti Nabi umpamanya dengan melancarkan tuduhan-tuduhan yang menyatakan bahwa Nabi itu pilih kasih dalam hal pembahagian harta rampasan perang dan zakat. Mereka juga mendakwa bahwa Nabi itu mudah percaya kepada laporan tanpa diteliti terlebih dahulu dan sebagainya lagi yang maksudnya itu untuk mengejek Nabi.

Karena itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad bertindak keras kepada mereka itu dengan maksud memberikan pelajaran kepada mereka dengan harapan supaya mereka kembali sedar.
Sikap keras yang Nabi lakukan itu adalah suatu siasat yang tinggi yang diatur oleh Allah. Dan kenyataannya berhasil kerana dengan bertindak seperti itu banyak orang-orang yang kafir dan munafik kembali bertaubat dan kembali beriman.

Tetapi terdapat juga orang-orang yang masih degil dan belum mahu sedar disebabkan mereka hanyut dan tenggelam dalam kemunafikan atau kekufuran. Orang-orang malang ini, tempat mereka adalah di neraka Jahanam untuk selama-lamanya, yang bererti mereka mendapat tempat paling buruk di akhirat.





Surah At Taubah Ayat 74


يَحْلِفُونَ بِاللَّهِ مَا قَالُوا وَلَقَدْ قَالُوا كَلِمَةَ الْكُفْرِ وَكَفَرُوا بَعْدَ إِسْلَامِهِمْ وَهَمُّوا بِمَا لَمْ يَنَالُوا وَمَا نَقَمُوا إِلَّا أَنْ أَغْنَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنْ يَتُوبُوا يَكُ خَيْرًا لَهُمْ وَإِنْ يَتَوَلَّوْا يُعَذِّبْهُمُ اللَّهُ عَذَابًا أَلِيمًا فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَا لَهُمْ فِي الْأَرْضِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا نَصِيرٍ

“Mereka bersumpah dengan nama Allah, bahawa mereka tidak mengatakan (sesuatu yang buruk terhadapmu), padahal sesungguhnya mereka telah mengatakan perkataan kufur, dan mereka pula menjadi kafir sesudah melahirkan Islam, serta mereka berazam untuk melakukan apa yang mereka tidak akan dapat mencapainya (iaitu membunuhmu). Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan RasulNya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Oleh itu, jika mereka bertaubat, mereka akan beroleh kebaikan; dan jika mereka berpaling (ingkar), Allah akan menyeksa mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan mereka tidak akan mendapat sesiapa pun di bumi ini, yang akan menjadi pelindung dan juga yang menjadi penolong.

Orang-orang munafik itu bersumpah dengan nama Allah untuk meyakinkan orang-orang mukmin dan Nabi Muhammad saw., bahwa apa yang dilaporkan kepada Nabi saw. atau orang mukmin tentang tipu muslihat yang mereka perbuat atau kalimat kufur (kata yang merendahkan martabat Nabi Muhammad atau mengurangi kemahasucian Allah SWT.) yang mereka ucapkan itu adalah tidaklah benar dan merupakan fitnahan belaka. Mereka tidak mengaku bahawa mereka mengucapkan kalimat kufur dan mengucapkan kalimat makar terhadap Nabi Muhammad saw.

Allah mendustakan pernyataan mereka itu meskipun mereka bersumpah dengan nama Allah. Sebenarnya mereka telah mengucapkan kalimat kufur yang membawa maksud bahwa mereka telah murtad dan menjadi kafir kembali sesudah Islam dan malahan mereka telah melampaui batas dengan membuat komplot untuk membinasakan Nabi sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir At-Tabary dan At-Tabrani dan Abu syekh, Ibnu Mardawaihi:
"Ketika Rasulullah sedang duduk di bawah naungan sebuah pohon beliau berkata: "Akan datang kepadamu seorang manusia yang memandang kamu dengan dua matanya seperti mata syaitan. Apabila ia datang, maka janganlah kamu berkata-kata." Kemudian tiba-tiba muncullah seorang laki-laki yang warna matanya biru langit lalu Rasulullah memanggilnya dan berkata: "Atas dasar apa engkau dan sahabat-sahabatmu memaki aku?" Lalu laki-laki itu pergi kemudian datang kembali membawa sahabat-sahabatnya seraya bersumpah dengan nama Allah bahwa mereka tidak sekali-kali mengucapkan apa yang ditanyakan oleh Nabi. Maka Nabi memaafkan mereka kemudian turunlah ayat ini."

Adapun maksud mereka yang gagal itu dalam rangka memerangkap Nabi ketika pulang kembali dari perang Tabuk ialah tatkala Nabi menuju Madinah. Di tengah perjalanan sebahagian orang munafik berkomplot untuk mencelakakan Rasulullah. Mereka telah membuat satu perancangan rahsia untuk melemparkan Nabi dari suatu bukit.

Ketika mereka sampai di bukit itu mereka hendak menempuhnya bersama-sama Nabi. Ketika nabi datang kepada mereka (yang sedang menunggu) Nabi diberitahu tentang rencana mereka itu maka Nabi berkata: "Barang siapa di antara kamu hendak menempuh jalan kembali, hal itu adalah lebih menyenangkan kamu."

Rasulullah sendiri menempuh jalan bukit dan rombongan lainnya menempuh jalan lembah kecuali orang-orang yang telah merancang hendak melakukan khianat terhadap Nabi. Mereka ini tatkala mendengar bahwa Rasul akan menempuh bukit, maka mereka bersiap-siap dan menyamar dengan menutup muka.

Sesungguhnya mereka telah membulatkan tekad untuk melakukan perbuatan yang sangat luar biasa itu. Rasulullah menyeru Huzaifah Al-Yamani dan Ammar bin Yasir supaya berjalan bersama-sama Rasulullah. Ammar ditugaskan memegang tali unta dan Huzaifah Al-Yamani ditugaskan menghalau unta.

Dalam keadaan demikian, tiba-tiba Nabi bersama Ammar dan Huzaifah mendengar suara kaki orang-orang yang datang dari belakang, maka Rasulullah menjadi marah dan menugaskan Huzaifah untuk menahan mereka. Setelah Huzaifah melihat Rasulullah marah, ia berbalik ke belakang, sedang di tangannya ada sebuah tongkat. Huzaifah menghadap ke arah orang-orang itu dan memukul kendaraan mereka dengan tongkat.

Huzaifah melihat orang-orang itu dalam keadaan menyamar yang dianggap oleh Huzaifah sekadar perbuatan biasa yang dilakukan oleh orang-orang yang sedang dalam perjalanan (musafir). Ketika orang-orang itu melihat Huzaifah, Allah menjadikan mereka ketakutan kerana menyangka bahwa rancangan jahat mereka telah diketahui.

Kerana itu komplot tersebut pun cepat-cepat pergi bergabung dengan rombongan. Huzaifah kembali menemui Rasulullah, kemudian Rasul menyuruh Huzaifah memecut untanya, dan menyuruh Ammar berjalan di belakang sehingga Rasulullah dapat melewati bukit dan menanti rombongan.

Kemudian Nabi berkata kepada Huzaifah: "Adakah engkau mengenali salah seorang dari kalangan pengendara itu?" Dia menjawab: "Aku kenal unta si Fulan. Malam terlalu gelap dan aku datang kepada mereka di mana mereka berpakaian menyamar." Rasulullah berkata: "Mereka itu telah merencanakan sesuatu pakatan khianat untuk berjalan bersama aku dan apbila mereka sampai ke bukit, mereka akan melemparkan aku."

Huzaifah merasa terkejut lalu berkata: "Tidakkah engkau (ya Rasulullah) memberikan suatu perintah di mana kami boleh terus memenggal leher mereka itu?" Rasulullah menjawab: "Aku tidak ingin menjadi tajuk perbualan manusia bahawa Muhammad telah membunuh sahabat-sahabatnya." Maka Nabi memberitahu kepada Huzaifah dan Ammar nama-nama orang yang berkomplot itu. Dan nabi beritahu supaya mereka berdua merahsiakannya. Demikianlah orang-orang munafik yang diungkapkan oleh ayat itu.


Orang-orang munafik itu ialah orang-orang yang melaksanakan rukun-rukun Islam sedang hati mereka kosong dari keimanan. Keimanan mereka adalah secara lahir tidak pada batin dan malahan mereka memusuhi Rasul dan orang-orang mukmin dengan cara yang sangat licik umpama musuh dalam selimut. Mereka adalah sangat berbahaya bagi Islam. Namun Nabi telah melayan mereka sama seperti nabi melayan orang-orang mukmin lain kerana iman tempatnya adalah di hati. Urusan hati hanya Allah yang mengetahuinya. Oleh kerana itu berlakulah hukum umum yaitu hukum yang berdasarkan kepada kenyataan lahiriah.

Maka dilayanlah orang-orang munafik itu sebagaimana orang-orang mukmin. Kepada mereka diberikan pembahagian zakat demikian juga harta rampasan (ghanimah). Kebanyakan mereka dari kalangan orang-orang yang kurang mampu (miskin) sebagaimana orang-orang Ansar. Dengan masuk Islam mereka dapat menikmati harta dunia ini. Semestinya kalau mereka orang yang insaf tentulah mereka akan meninggalkan sifat-sifat kemunafikan mereka dan bersyukur kepada Allah dengan bertaubat kepada-Nya. Kerana dengan Islamlah mereka mendapat keuntungan duniawi sesuai dengan yang mereka cari dan yang menjadi tujuan hidup mereka.

Tetapi mereka tidak menyedari. Bahkan mereka merasa tidak puas dalam menerima keuntungan dan kekayaan yang merupakan kurniaan Allah dari pembahagian harta rampasan (ganimah) atau zakat. Demikianlah keadaan orang yang telah sesat fikirannya. Maka jika mereka bertaubat dari kemunafikan dan perbuatan yang buruk baik berupa ucapan mahupun perbuatan, maka taubat mereka akan membawa kebaikan bagi mereka di dunia dan akhirat.

Di dunia mereka akan menjadi orang Islam sejati dengan iman yang murni. Mereka akan menjadi orang yang bertawakal kepada Allah dan sabar atas semua ujianNya dan banyak beramal kebaikan untuk mencapai kebahagiaan di akhirat. Mereka ini akan saling bahu-membahu, bantu-membantu, santun-menyantuni dengan orang-orang yang lebih dahulu masuk Islam. Dan di akhirat nanti mereka akan mendapat kurnia Allah berupa syurga sebagaimana yang dijanjikan Allah kepada orang-orang mukmin.

Akan tetapi jika mereka tidak bertaubat, dan berpaling menjauhkan diri dari petunjuk-petunjuk Allah dan mereka tetap melakukan perbuatan-perbuatan buruk, baik berupa ucapan-ucapan mahupun perbuatan yang menunjukkan terus-menerusnya mereka dalam kemunafikan, nescaya Allah akan mengazab mereka di dunia ini. Azab di dunia adalah berupa keadaan hati mereka yang selalu dalam kecemasan, kegelisahan dan kekhawatiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah:
"Jika mereka memperoleh tempat perlindungan atau gua-gua atau lubang-lubang (dalam tanah) niscaya mereka pergi kepadanya dengan secepatnya."
(Q.S. At Taubah: 57)

Dan juga firman Allah:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka"
(Q.S. An Nisa': 145)

Pada akhir ayat ini Allah menegaskan bahwa orang-orang munafik itu tidak akan mendapat pembelaan di dunia mahupun juga di akhirat kerana tiap-tiap orang yang telah mendapat kehinaan dari Allah tidak seorang manusia pun akan sanggup menolongnya.




Surah At Taubah Ayat 75 Dan 76

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ

Dan di antara mereka ada yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: "Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi dari orang-orang yang soleh" (75)

فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ

“Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka dari limpah kurniaNya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang-orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan).”  (76)

Dalam ayat 75 dan 76 ini Allah menerangkan pula tentang golongan orang munafik yang lain, iaitu yang ditakdirkan oleh Allah berada di dalam kekayaan yang melimpah ruah setelah menempuh kemisikinan. Semasa di dalam tempoh kesempitan hidup miskin yang serba kesusahan mereka ini barulah teringat kepada Allah dan memohon agar dikurniakan kelapangan dan kesenangan. Lalu mereka berjanji pula untuk menjadi orang yang taat dan berbakti kepada Allah sekiranya kesusahan dan penderitaan mereka itu dihilangkan.

Tetapi apakala permohonan mereka telah dikabulkan Allah dan hidup mereka telah menjadi senang lenang, mewah dengan harta, lalu mereka telah memungkiri janji dan tidak mahu menepatinya. Bahkan melupakan segala nikmat Allah yang dikurniakan kepada mereka. Bak kata pepatah, kacang lupakan kulit.

Cohtoh golongan yang seperti ini memang banyak terdapat di segala tempat dan segala zaman. Inilah yang dinyatakan oleh Allah di dalam ayat 75 dan 76 ini.

Segolongan dari kalangan orang-orang munafik di zaman Nabi saw ada yang telah ditakdirkan oleh Allah menjadi kaya walhal sebelum itu dahulunya mereka miskin, dan semasa mereka di dalam kepayahan hidup mereka menjadi ingat kepada Allah dan bermohon kepada Allah. Melakukan segala apa yang Allah suruh dan meninggalkan segala larangan Allah. Dan setelah kepayahan hidup itu Allah telah gantikan dengan kemwahan harta yang melimpah ruah, mereka terus lupa pada Allah. Mereka menjadi sombong, bakhil dan tidak mahu menunaikan janji mereka kepada Allah.




Surah At Taubah Ayat 77

فَأَعْقَبَهُمْ نِفَاقًا فِي قُلُوبِهِمْ إِلَى يَوْمِ يَلْقَوْنَهُ بِمَا أَخْلَفُوا اللَّهَ مَا وَعَدُوهُ وَبِمَا كَانُوا يَكْذِبُونَ

“Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”

Allah menerangkan, bahwa perbuatan orang-orang munafik seperti itu tidaklah akan menguntungkan tetapi akan mencelakakan diri mereka sendiri. Perbuatan menyalahi janji, bakhil, berpaling dari Allah dan mendurhakai-Nya akan membawa akibat menambah dalam penyakit kemunafikan bersarang dalam hati mereka.

Penyakit seperti demikian itu akan berlarutan sampai akhir hayatnya. Sebab kalau penyakit kemunafikan itu sudah bertambah parah, tidak ada harapan lagi bagi mereka untuk bertaubat. Telah menjadi sunah Allah di bumi ini, bahwa seorang yang telah membiasakan diri mungkir janji dan banyak berdusta, maka penyakit kemunafikan itu bertambah berakar di dalam dirinya. Begitu juga bila dia membiasakan dirinya berbuat amal saleh, berakhlak yang baik, serta taat beribadah, maka akan berakarlah iman yang kuat dalam dirinya.

Kerana itu Allah swt. menyuruh kaum Muslimin agar berhati-hati terhadap penyakit kemunafikan itu. Bila kamu berjanji dan dikuatkan dengan menyebut nama Allah, maka berusahalah agar janji itu ditepati. Telah bersabda Rasulullah saw.:
“Seseorang itu dianggap munafik bilamana tiga macam sifat ada padanya meskipun dia salat, berpuasa dan mengaku mukmin. Yaitu apabila berbicara dia berdusta, bila berjanji dia mungkir dan bila dipercayai dia khianat.”
(H.R. Bukhari dari Abu Hurairah)






Surah At Taubah Ayat 78

أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ سِرَّهُمْ وَنَجْوَاهُمْ وَأَنَّ اللَّهَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ

Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka rahsiakan serta apa yang mereka bisikkan, dan bahawasanya Allah Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib?

Allah swt. mengingatkan orang-orang munafik, bahwa bagaimanapun pintarnya mereka menyimpan rahsia dalam hati mereka dan bagaimanapun liciknya mereka berbisik-bisik mencaci orang-orang yang beriman dan memburukkan Rasulullah atau berbisik-bisik sesama mereka untuk mengatur rancangan buruk dalam memusuhi orang-orang yang beriman, namun Allah swt. akan mengetahuinya.

Tidak ada yang tersembunyi bagi Allah sesuatu pun juga, baik yang di bumi atau pun yang di langit, demikian pula yang tersembunyi dalam hati, Allah Maha Mengetahui semua yang tersembunyi.






Surah At Taubah Ayat 79

الَّذِينَ يَلْمِزُونَ الْمُطَّوِّعِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ فِي الصَّدَقَاتِ وَالَّذِينَ لَا يَجِدُونَ إِلَّا جُهْدَهُمْ فَيَسْخَرُونَ مِنْهُمْ سَخِرَ اللَّهُ مِنْهُمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian dari orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya, - Allah akan membalas ejek-ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Allah menerangkan pula pekerti orang-orang munafik yang suka mencela akan perbuatan para penderma dari kalangan orang-orang mukmin. Kalau para penderma itu orang berada maka banyaklah sedekahnya. Lalu orang-orang ini dicela oleh orang-orang munafik dengan mengatakan orang itu hendak menunjuk-nunjuk. Kalau orang yang menderma itu tidak kaya, maka tentulah sedekahnya sedikit saja. Lalu mereka pun mengejek-ejek para penderma ini dengan mengatakan, “Allah tidak berhajat kepada sedekah yang sedikit dan tak seberapa ini.”

Perbuatan orang-orang munafik yang mengejek dan mencerca orang-orang mukmin yang menderma ini samada kaya atapun tidak kaya, sesungguhnya Allah akan mengejek mereka pula, iaitu dengan memberi balasan kepada mereka dengan seksaan yang amat pedih di akhirat kelak.
.






Surah At Taubah Ayat 80

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِنْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
“(Orang-orang manufik itu) sama sahaja engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun bagi mereka. Jika engkau (wahai Muhammad) meminta ampun bagi mereka tujuh puluh kali (sekalipun) maka Allah tidak sekali-kali mengampunkan mereka; yang demikian itu, kerana mereka telah kufur kepada Allah dan RasulNya; dan Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.”

Allah swt memberitahu Nabi Muhammad saw bahawa orang-orang munafik itu adalah tidak patut untuk dipohonkan kemaafkan untuk mereka, Walaupun mereka memohon keampunan sebanyak 70 kali, sekali-kali Allah swt tidak akan mengampuni mereka.

Dikatakan bahwa disebutkan bilangan 70 dalam ayat ini bukanlah dimaksudkan secara harfiah, tetapi sekadar mengikut kebiasaan orang Arab di dalam percakapan mereka. Kalau kita melayu ni , ibaratnya kalau pun mintak keampunan 1000 kali…. ha.. macam tu lah maksud 70 ini.

Rasulullah saw ini sebagai seorang rasul dan pemimpin adalah sangat berhati rahim dan belas kasihan kepada umatnya. Terdapat orang-orang munafik itu ditunjukkannya juga belas kasihan dan harapannya moga-moga orang ini dapat segera insaf dan memperbaiki diri. Rasulullah saw memohon kepada Allah dengan harapan agar orang munafik itu diberi keampunan oleh Allah.

Maka dalam ayat ini Allah menjelaskan, baik baginda memohonkan ampun untuk orang yang semacam itu atau pun tidak memohon ampun untuk mereka, Allah tetap tidak akan memberi ampunnya lagi. Begitulah hakikatinya, bahwa orang munafik itu tidak boleh diberi ampun, tidak boleh dimintakan keampunan untuk mereka. Kerana pada hakikatnya mereka itu masih lagi kafir hatinya kepada Allah dan kepada Rasul walaupun mulut mereka telah mengaku mereka beriman.

Bandingkan ayat ini dengan ayat 5 dan 6 dari Surah Al Munafiqun, yang berbunyi:
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: " Marilah (bertaubat) supaya Rasulullah meminta ampun (kepada Allah) untuk kamu", mereka (enggan sambil) menggeleng-gelengkan kepalanya; dan engkau melihat mereka berpaling (dari bertaubat) serta mereka berlaku sombong angkuh. (5)
“(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik. “ (6)

Maksud dari kedua-dua ayat ini ialah walaupun kaum munafik ini telah dipanggil oleh Rasul saw untuk dimohonkan ampun kepada Allah, namun mereka tetap berpaling. Maka dijelaskan bahwa, meskipun rasul saw memohon ampun ataupun tidak memohon ampun untuk mereka, namun Allah tidak akan memberi ampun untuk orang-orang yang semacam itu. Lalu di dalam ayat 80 ini dijelaskan bahwa walaupun 70 kali dimintakan kemapunan, Allah tidak akan memberinya.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.