Wednesday, March 23, 2016

Surah At Taubah Ayat 1 - 20






Pengenalan Surah At Taubah


Surah ini ialah surah Madaniyyah diturunkan pada tahun 9 Hijrah, mengandungi 129 ayat dan merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.  Menurut Ibnu Kathir, awal surah ini diturunkan ketika Rasulullah SAW dalam perjalanan pulang dari peperangan Tabuk.

Nabi SAW memerintahkan Sayidina Abu Bakar untuk mengetuai rombongan umat Islam untuk menunaikan haji di Makkah. Kemudian Rasulullah SAW mengutuskan Sayidina Ali untuk bersama-sama dengan rombongan Sayidina Abu Bakar ke Makkah untuk membacakan isi surah At Taubah kepada kaum musyrikin Makkah. Antara kandungan surah yang dibacakan oleh Sayidina Ali kepada kaum musyrikin ialah tentang hukum mereka (orang musyrikin ) tidak lagi dibenarkan mengerjakan haji selepas tahun itu ( selepas 9 Hijrah) dan hukum-hukum syariat yang lain.

Peperangan Tabuk ialah peperangan untuk berhadapan dengan tentera Rome yang berlaku ketika musim yang sangat panas, perjalanan pula jauh, serta pada ketika itu buah-buahan sedang masak ranum menyebabkan manusia lebih suka tinggal di tempat masing-masing menikmati nikmat kehidupan. Ini menjadi ujian kepada orang-orang beriman sejauh mana keimanan mereka kepada Allah serta kepatuhan mereka kepada suruhan-Nya ketika perintah untuk berperang diisytiharkan kepada mereka.

Nama lain surah ini :
     1.       Bara’ah. - maksudnya berlepas diri. Atau tidak mahu terikat lagi dengan perjanjian.
     2.       At Taubah. - maksudnya permohonan ampun kepada Tuhan dari kesalahan.
     3.       Al Faadhihah - maksudnya yang mendedahkan keburukan/kejahatan kaum munafiq.
     4.       Al Muba’tsirah - maksudnya pembongkaran kecurangan orang yang memusuhi Islam.    
              
*Sebahagian ulama tafsir mengatakan bahawa surah ini mempunyai 14 nama. Bagaimanapun, di sini hanya disertakan 4 sahaja nama daripada nama-nama tersebut.

Kenapa surah ini tidak dimulakan dengan basmalah?
Berkata Ibnu Abbas, “ Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib kenapa surah bara’ah tidak ditulis Bismillahi rahmanirrahim? Beliau menjawab, kerana lafaz bismillahirrahmanirrahim ialah aman, dan surah bara’ah diturunkan dengan pedang yang tidak ada padanya aman.”

Berkata Sufyan bin Uyainah, “ Lafaz basmalah tidak ditulis pada permulaan surah ini kerana membaca basmalah adalah rahmat, dan rahmat adalah aman, sedangkan surah ini diturunkan tentang orang-orang munafiq dan dengan pedang, maka tidak ada keamanan bagi orang-orang munafiq. ”

Surah At Taubah ini membawa penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab. Antaranya ialah :
a.       Rasulullah SAW sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Nabi SAW malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah SAW. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah SAW dikhianati.
b.      Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Baitillahil Haram pada tahun-tahun yang seterusnya.

Surah At Taubah juga menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk memerangi Rome dalam peperangan Tabuk. Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah SAW dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka.

Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafiq serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafiq untuk menghancurkan Islam.

Kesimpulannya secara umum surah ini membicarakan tentang orang-orang munafiq yang lebih bahaya daripada orang-orang musyrikin. Dalam surah ini juga diceritakan tentang pembinaan masjid oleh golongan munafiq iaitu “ Masjid Dhirar”. Pembinaan masjid ini bertujuan memecah kesatuan orang-orang beriman. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkan supaya masjid ini diruntuhkan dan dibakar.

Allahu a’lam.




Surah At Taubah Ayat 1

بَرَآءَةٌ مِنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى الَّذِينَ عَاهَدْتُم مِنَ الْمُشْرِكِينَ
(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).
Allah menyatakan bahwa inilah ayat-ayat yang diperintahkan kepada Nabi saw dan sahabat-sahabatnya supaya mengisytiharkannya dalam musim haji kepada orang-orang musyrik yang telah mengikat janji dengan kaum Muslimin bahawasanya Allah dan rasulNya mulai pengisytiharan ini dibuat, kaum muslimin telah bebas dari ikatan tersebut, dan telah terputus hubungannya dengan kaum musyrikin. Maksdunya perjanjian damai di antara kaum muslimin dengan kaum musyrikin yang telah dimeterai dahulunya telah terbatal dan kedua-dua belah pihak tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi.

Pada tahun ke 8 Hijriyah, Mekah sudah ditakluki dan maka dengan itu terdirilah sebuah Darul Islam. Dengan jatuhnya Mekah dan kalahnya kaum musyrikin di dalam peperangan Hunaim, maka habislah segala kekuatan mereka. Malah sebahagian besar kaum musyrikin telah taubat dan memeluk Islam. Pengaruh dan kekuatan musyrikin ini hampir-hampir tidak ada. Hanya tinggal sbahagian kecil saja di sana sini yang harus dihapuskan segera oleh orang-orang mukmin.

Maka pada tahun 9 Hijriyah, Rasulullah saw telah mengutuskan Abu Bakar untuk memimpin kaum Muslimin yang seramai kira-kira 174 ribu orang mukmin untuk pergi mengerjakan Haji. Setelah Abu Bakar berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji, RAsulullah pula menyuruh Ali Bin Abi Talib menyusul Abu Bakar ke sana. Tugas Ali ra. ialah untuk menghantarkan utusan peraturan yang telah turun dari langit, untuk dibacakan oleh Abu Bakar kepada sekalian hadirin mengenai hubungan dengan kaum musyrikin.

Maka sampainya di Mekah, dan sampainya ketika Wuquf di Arafah ataupun sampainya waktu untk  bermalam di Mina,  Abu Bakar menyuruh Ali membacakan utusan Rasulullah itu kepada hadirin. Ali telah membacakan utusan dari Rasulullah saw yang diutuskan dari Allah itu dengan tidak memulaikannya dengan basmallah lagi. Ayat pertama inilah yang dibaca oleh beliau.

Maksud dari ayat ini ialah untuk memberitahukan kepada semua, bahawa semua perjanjian-perjanjian yang pernah dibuat di antara Nabi saw dengan kaum musyrikin, mulai saat itu, sudah tidak berlaku lagi. Sudah tidak ‘valid’ lagi. Semua perjanjian dengan kaum musyrikin, baik yang dibuat di Mekah atau pun di tempat lain dan dengan kabilah yang lain.

Ini adalah kerana sudah berkali-kali timbul kejadian, setelah perjanjian diikat, kaum musyrikin jualah yang selalu mencuba untuk memungkiri perjanjian tersebut. Sebagaimana yang terjadi setelah perjanjian Hudaibiah dimeterai, iaitu mereka berjanji untuk tidak mengadakan peperangan selama 10 tahun, tetapi baru nak masuk umur dua tahun perjanjian tersebut, kaum musyrikin telah bertindak tidak jujur dengan memberi bantuan kepada kabilah yang ingin berperang dengan kabilah yang dilindungi oleh nabi saw. Maka  dengan sebab itu juga pada tahun ke 8 Hijriyah RAsulullah saw telah bertindak dengan menyerang dan menakluk kota Mekah.

Begitu jugalah ketika terjadinya peperangan Tabuk ini.. Kaum munafikin telah menunjukkan sikap tidak jujur dan kaum musyrikin pula mula memungkiiri janji meraka kerana melihat bahwa persiapan peperangan Tabuk itu adalah sangat sukar. Dengan itu turunlah ayat 58 dari surah Al Anfal yang Allah berfirman maksudnya:
“Dan jika kamu mengetahui pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat. “

Dari bukti dan pengalaman-pengalaman yang telah banyak terjadi itu dapatlah disimpulkan bahawa kaum musyrikin, kalau masih dapat mencari dalih, mereka akan berusaha untuk melepaskan diri dari ikatan janji dnegan cara yan tidak jujur.  

Sekarang dengan kemenangan demi kemenangan Islam yang telah berturut-turut, sehingga keperibadian yang dipertahankan oleh kaum msuyrikin itu telah tidak ada lagi, dan seluruh kekuasaan sudah berada di tangan Rasulullah saw, maka datanglah ketentuan yang menyatkan bahawa mulai saat itu segala perjanjian yang pernah diikat di antara kaum musyrikin dengan Rasulullah saw sudah terhapus semuanya.



Surah At Taubah Ayat 2

فَسِيحُوا فِي الْأَرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللَّهِ وَأَنَّ اللَّهَ مُخْزِي الْكَافِرِينَ

Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat).

Ayat ini merupakan celaan kepada orang-orang musyrikin. Mereka diberi tempoh selama 4 bulan untuk berfikir, apakah mereka mahu terus tinggal di situ ataupun mereka akan melawan juga. Selama 4 bulan itu mereka tidak akan diganggu gugat oleh kaum muslimin. Maksudnya tidak akan diperangi. Menurut pendapat yang masyhur tempoh 4 bulan itu ialah dari tanggal 10 Zulhijah tahun ke 9 Hijrah sampai tanggal 10 Rabiul Akhir ke 10 Hijrah.

Tempoh 4 bulan itu adalah tolak ansur dari kaum mukmin kepada kaum musyrikin yang menunjukkan bahawa betapa hebat kekuatan Islam pada masa itu. Kalau diikutkan Rasulullah dan sahabat beliau boleh saja memerangi mereka dan menghalau mereka dari kota mekah pada ketika itu juga, tetapi mereka masih lagi diberi tempoh 4 bulan untuk berfikir sebelum menempuh jalan yang salah iaitu berperang.

Kalau mereka kaum musyrikin terburu-buru mengambil keputusan untuk kembali melawan Allah dan Rasul, maka sia-sia sajalah perbuatan mereka itu kerana sudah tentulah mereka akan kalah. Ini kerana kekuatan mereka sudah tidak ada lagi. Dan sesungguhnya Allah memberitahu di dalam ayat ini bahwa mereka kaum musyrikin tidak akan dapat melepas diri dari ancaman Allah.

Dan kalau mereka tidak segera memeluk Islam, mereka akan menjadi orang yang hina. Sebab selain Islam, agama yang diakui pada ketika itu hanyalah dua saja. Iaitu Islam dan Ahli Kitab, iaitu Yahudi dan Nasrani.






Surah At Taubah Ayat 3

وَأَذَانٌ مِنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ إِلَى النَّاسِ يَوْمَ الْحَجِّ الاَكْبَرِ أَنَّ اللّهَ بَرِيءٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ وَرَسُولُهُ فَإِن تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وإِن تَوَلَّيْتُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِي اللّهِ وَبَشِّرِ الَّذِينَ كَفَرُوا بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

Dalam ayat ini Allah berifrman mengumumkan dan memberi kenyataan pada hari haji Akbar, iaitu hari raya Qurban, ialah hari “nahar” jatuh pada tanggal 10 Zulhijjah yang merupakan hari yang besar dan lebih afdal di antara hari-hari ibadah haji. Pengumuman tersebut ialah pada hari tersebut bahwasanya Allah dan rasulNya adalah bersih dari campurtangan dengan perbuatan syirik  dan kesesatan orang-orang musyrik.

Kesimpulannya dari ayat ini, iaitu selain dari mengisytiharkan pembatalan perjanjian damai dari Allah dan rasulNya dengan kaum musyrikin, Allah juga mengisytiharkan bahwa Allah dan rasulNya bersih dari perbuatan syirik dan apa-apa juga yang bersangkutan dengan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik.  

Akan tetapi jika kaum musyrikin itu mahu bertaubat dari perbuatan syirik dan kesesatan mereka dan kembali kepada Allah, itu adalah lebih baik untuk mereka daripada terus dalam keadaan kesesatan. Kerana di dalam petunjukNya terdapat kebahgiaan hidup untuk mereka baik di dunia mahupun di akhirat nanti.


Namun sekiranya mereka berpaling dari menerima seruan agama dengan tidak pula mahu bertaubat, maka ketahuilah bahawasanya mereka tidak dapat melemahkan Allah dengan melepaskan diri dari hukum dan ketetapanNya yang telah dijanjikan. Dan hendaklah mereka mengetahui bahwa hukuman Allah terhadap mereka yang tetap mempertahankan keadaan kesesatan tersebut adalah tersangat dahsyat dan pedih.

Allah swt adalah Maha Berkuasa terhadap hamba-hambaNya yang kesemuanya berada di dalam genggamanNya dan di bawah kekuasaan serta kehendakNya.







Surah At Taubah Ayat 4

إلاَّ الَّذِينَ عَاهَدْتُّمْ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنقُصُوكُمْ شَيْئاً وَلَمْ يُظَاهِرُوا عَلَيْكُمْ أَحَداً فَاَتِمُّوا إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ إِلَى مُدَّتِهِمْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Ayat ini mempunyai hubungan dengan ayat 1 iaitu Allah memberikan pengecualian kepada sebahgian orang-orang musyrik yang berikat dengan perjanjian damai dengan orang-orang Islam kerana mereka tidak memungkiri janjinya, bahkan masih tetap setia dengan perjanjian tersebut.

Orang yang dimaksudkan di sini ialah suku Bani Dhumrah dari perkampungan orang-orang Kinanah. Allah telah memerintahkan Nabi Muhammad saw supaya menyempurnakan perjanjian dengan mereka sampai habis tempohnya iaitu yang masih lagi berbakti sebanyak 9 bulan.

Dan sebabnya diperintahkan untuk memenuhi perjanjian itu adalah kerana mereka tidak melanggar perjanjian tersebut. Golongan mereka ini tidaklah boleh disamakan dengan golongan kaum musyrikin yang memungkiri janji, yang mana tempoh perjanjian keamanan merka hanya dibataskan selama 4 bulan sahaja.

Golongan yang dikecualikan ini diperintahkan supaya memenuhi perjanjian dengan mereka sampai habis tempohnya, ialah golongan yang mempunyai syarat-syarat beritkut:
1 . mereka itu sedikit pun tidak mengurangi syarat-syarat perdamaian.
2 . mereka tidak pernah membantu mana-mana pihak yang akan menentang Islam.

“..Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.
Orang yang bertakwa ialah yang takut melanggar perjanjian, takut membuat dosa dan kejahatan yang merosakkan ketenteraman umum dan takut untuk menghalang tertegaknya keadilan di kalangan manusia. Ayat ini mengisyaratkan bahwa memelihara perjanjian itu termasuk dalam lingkungan takwa. Dan perbuatan mempersamakan tindakan terhdap orang yang setia dengan orang yang khianat adalah berlawanan dengan takwa, walaupun hal itu dilakukan kepada orang-orang musyrikin.



Surah At Taubah Ayat 5

فَإِذَا انسَلَخَ الاَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدتُّمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ فَإِن تَابُوا وَأَقَامُوا الْصَّلاَةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ إِنَّ اللّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang dihormati itu maka bunuhlah orang-orang musyrik itu di mana sahaja kamu menemuinya, dan tawanlah mereka, dan juga keponglah mereka, serta tunggulah mereka di tiap-tiap tempat mengintipnya. Kemudian jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Apabila bulan-bulan haram yang empat, iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram telah berakhir dan habis tempohnya, bererti tempoh pengamanan yang diberi kepada orang-orang musyrik itu pun juga telah berakhir dengan berakhirnya bulan Muharram.

Dan dengan itu bolehlah orang-orang mukmin itu melakukan kepada orang-orang musyrik tersebut apa yang patut dalam pandangan mereka mengikut siasah peperangan kerana mereka telah kembali dalam keadaan berperang dengan kaum musyrikin. Ambillah langkah-langkah seperti yang diperintahkan di dalam ayat ini iaitu;
1 . bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpai mereka, baik di Tanah Halal mahupun di Tanah Haram.
2 . Tangkaplah mereka dan jadikan sebagai orang-orang tawanan perang. Iaitu suatu kelulusan dari agama setelah orang-orang Islam telah mempunyai kekuatan dan telah banyak berjuang, sesuai dengan firman Allah di dalam ayt 67 dari surah Al Anfal bermaksdu:
“tidak patut lagi seorang nabi mempunyai beberapa orang tawanan, sehingga ia kuat berjuang di muka bumi.”

3 . kepunglah kaum musyrikin itu dan kurunglah mereka dalam kawasan tahanan, supaya mereka tidak dapat keluar atau melarikan diri, sehingglah mereka berserah iaitu memeluk Islam dan tunduk di bawah hukum yang bersyarat dengan syarat-syarat yang kamu fikirkan patut, ataupun dengan tidak bersyarat.
4 . dudukilah setiap jalan tempat pengintipan yang dilalui oleh mereka, untuk memudahkan kamu mengawasi segala pergerakan mereka di dalam negeri. Atau supaya mereka tidak dapat menyeludup masuk ke negeri Mekah.

Ayat ini dinamakan Ayatus Saif iaitu maksudnya kerahan berperang. Ia telah dikuatkuasakan dalam keadaan kaum muslimin telah kuat. Dan sebelum itu kaum muslimin yang berkeadaan lemah diminta bersabar menghadapi penganiayaan musuh.


“...jika mereka bertaubat (dari kekufurannya) dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Maka sekiranya orang-orang musyrikin itu telah melakukan 3 perkara yang disebutkan di dalam ayat ini iaitu;
1 . bertaubat dari perbuatan mereka yang syirik dan kembali kepada beriman dengan mengucapkan dua kalimah syahadat.
2 . tetap mendirikan sembahyang yang 5 waktu cukup dengan syarat rukunnya.
3 . mengeluarkan zakat denga hati yang ikhlas,

Maka hendaklah mereka dibebaskan ke mana sahaja mereka hendak pergi dengan tidak payah diamat-amati lagi. Kerana Allah mengampunkan segala apa yang telah lalu daripada perbuatan syirik dan kejahatan yang telah mereka lakukan.

Kesan dari ayat ini menunjukkan bahwa seseorang yang telah masuk Islam tidak akan dituntut apa yang telah dilakukannya sebelum ia masuk Islam.

Begitu pula perbuatan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakt itu, ianya dpat memelihara orang yang melakukannya daripada pencerobohan terhadap darah dan hartanya, melainkan ia telah melakukan sesuatu jenayah yang menyebabkan ia dihukumkan dengan had, ta’zir ataupun denda.

Dengan ini difahami bahawa ketiga-tiga perkara tersebut di atas, iaitu bertaubat, mendiriikan sembahyang dan mengeluarkan zakat adalah syarat-syarat bagi orang-orang musyrik untuk melepaskan diri dari diperangi dan dibunuh.






Surah At Taubah Ayat 6

وإِنْ أَحَدٌ مِنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَاَجِرْهُ حَتَّى يَسْمَعَ كَلاَمَ اللّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ ذَلِكَ بِاَنَّهُمْ قَوْمٌ لاَ يَعْلَمُونَ
Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).

Allah mengingatkan kepada RasulNya, sekiranya seseorang dari orang-orang musyrik itu datang kepada Nabi saw untuk meminta aman dan perlindungan, atau datang untuk mendengar firman Allah iaitu ayat-ayat Al Quran yang diturunkan kepada Nabi saw, maka berilah ia perlindungan dan perdengarkanlah kepada mereka kitab Al Quran dengan jelas supaya mereka memahami mana-mana perkara yang mendatangkan pahala dan mana pula yang mendatangkan seksa.. Ini adalah kerana mungkin ada di antara mereka orang-orang musyrik yang belum mendapat penerangan mengenainya dengan cara yang betul dan jelas.

Sekiranya mereka tidak juga mahu beriman ataupun memeluk Islam, namun Nabi saw wajib juga menghantar mereka ke tempat yang aman bagi mereka. iaitu ke negeri mereka, dan biarkanlah mereka bebas mengikut akidah dan kepercayaan mereka. Sehingga tidak ada yang akan mengatakan bahwa Islam itu mengandungi paksaan. Dan jika terpaksa Nabi saw mengulangi perang semula dengan mereka tindakan Nabi saw itu bukanlah merupakan pencerobohan dan tipu daya.

Orang-orang musyrikin ini adalah perlu untuk mendengar semula tentang agama Islam yang sebenar. Ini kerana mereka belum benar-benar memahami tentang agama islam yang berteraskan tauhid.  Apatah lagi pula mereka adalah golongan ahli bahasa yang fasih lagi mudah untuk memahami bahasa Al Quran, iaitu bahasa mereka sendiri.









Surah At Taubah Ayat 7

كَيْفَ يَكُونُ لِلْمُشْرِكِينَ عَهْدٌ عِندَ اللّهِ وَعِندَ رَسُولِهِ إِلاَّ الَّذِينَ عَاهَدْتُّمْ عِندَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ فَمَا اسْتَقَامُوا لَكُمْ فَاسْتَقِيمُوا لَهُمْ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَّقِينَ
Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.

Allah menyangkal kemampuan orang-orang musyrik itu dalam memegang janji yang terikat di antara mereka dengan Allah dan RasulNya setelah ternyata mereka melanggar janji dan menyalahinya. Atau dengan lain perkataan: bahwa orang yang tidak menepati janji tidak mungkin akan dapt menepati perjanjiannya dengan Allah dan rasulNya.

Tetapi ada pula golongan musyrikin yang dikecualikan dalam ayat ini, iaaitu mereka yang telah mengadakan perjanjian damai sewaktu di Hudaibiyah, iaitu sebuah tempat di kawasan Tanah Haram kira-kira 6 farsakh dari Masjidil Haram di Mekah. Mereka itu termasuk suku Bani Kinanah dan Bani Dhumrah, dan mereka tidak melanggar perjanjian. Maka selagi orang-orang yang seperti mereka masih jujur kepada orang-orang mukmin hendaklah orang-orang mukmin itu bersikap jujur pula dengan mereka selama perjanjian damai itu masih terikat.

Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang takwa kerana menepati janji dan takut melanggarnya.









Surah At Taubah Ayat 8

كَيْفَ وإِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ لايَرْقُبُوا فِيكُمْ إِلاًّ وَلا ذِمَّةً يُرْضُونَكُم بِاَفْوَاهِهِمْ وَتَأْبَى قُلُوبُهُمْ وَأَكْثَرُهُمْ فَاسِقُونَ
Bagaimana (boleh dikekalkan perjanjian kaum kafir musyrik itu) padahal kalau mereka dapat mengalahkan kamu, mereka tidak akan menghormati perhubungan kerabat terhadap kamu, dan tidak akan menghormati perjanjian setianya. Mereka menjadikan kamu bersenang hati hanya dengan mulut mereka, sedang hati mereka menolaknya; dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Sekali lagi Allah menyangkal perihal orang-orang musyrikin ini, iaitu mankan dapat orang-orang musyrikin itu menepati janjinya melainkan orang-orang musyrikin yang telah dikecualikan iaitu yang telah  dikenali tentang kejujurannya. Sebabnya tidak ada kemungkinan untuk mereka itu akan memenuhi janji, kerana kalau mereka dapat berkuasa ke atas orang-orang mukmin, mereka tidak akan ambil peduli lagi dan tidak mengendahkan langsung tentang perjanjian yang patut dijaga itu. Apa yang mereka akan buat ialah mereka akan terus melanggar dan terus mengkhianati perjanjian itu.

Kalaupun mereka hendak menyukakan orang-orang mukmin, itu hanyalah di mulut mereka saja, iaitu mereka akan menggunakan kata-kata yang manis sperti madu sebagai tipudaya  dariapda mereka. Sedangkan hati mereka penuh dengan segala kedengkian dan permusuhan terhadap orang-orang mukmin.
Sebab itulah hati mereka enggan untuk berbuat perkara yang benar-benar dapat menyukakan hati orang-orang mukmin. Maksudnya orang-orang musyrikin ini selalu saja mencari jalan untuk menyakiti hati kaum mukmin. Dan sememangnyalah orang-orang musyrik itu kebanyakannya jahat pekertinya kerana suka melanggar dan menyalahi janji.







Surah At Taubah Ayat 9 dan 10

اشْتَرَوْا بِاَيَاتِ اللّهِ ثَمَناً قَلِيلاً فَصَدُّوا عَن سَبِيلِهِ إِنَّهُمْ سَآءَ مَاكَانُوا يَعْمَلُونَ
9 - “Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit (dari faedah-faedah dunia), lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang-orang lain) dari ugama Allah; sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah kerjakan.”

لايَرْقُبُونَ فِي مُؤْمِنٍ إِلاًّ وَلاَ ذِمَّةً وَاُوْلَئِكَ هُمُ الْمُعْتَدُونَ
10 - “Mereka tidak menghormati pertalian kerabat dan perjanjian terhadap orang-orang yang beriman, dan merekalah orang-orang yang menceroboh.

Allah menyatakan bahwa orang-orang musyrik  yang suka melanggar perjanjian itu mempunyai pekerti yang sangat buruk. Kerana mereka seolah-olah telah menjualbelikan keterangan-keterangan Allah. Iaitu mereka telah menukarkan pengajaran baik yang terdapat di dalam Al Quran dan digantikan dengan perkara-perkara keduniaan untuk memuaskan nafsu syahwat mereka. Jelasnya mereka sanggup meninggalkan pengajaran yang terdapat di dalam Al Quran asalkan mereka dapat memuaskan tuntutan nafsu mereka yang tidak ada harganya jika dibandingkan dengan harga petunjuk dan pimpinan Al Quran. Dengan demikian mereka pun menyekat samada diri mereka sendiri mahupun diri orang lain dan dihalangnya juga supaya tidak mengikuti jalan atau seruan agama Islam.

Perbuatan mereka mengikuti kemahuan hawa nafsu mereka itu ialah berdasarkan sebuah riwayat yang mengatakan bahwasanya Abu Sufyan bercadang mengajak orang-orang Quraisy dan perikatannya untuk melanggar perjanjian damai Hudaibiyah lalu dibuatkannyalah jamuan makan agar mereka menyetujui cadangannya, kemudian orang-orang musyrik itu pun telah datang menghadiri jamuan makan itu. Ternyatalah di sini, kerana telah terhutang budi oleh jamuan makan itu sehingga mereka kemudian sanggup melanggar perjanjian damai. Inilah seburuk-buruk pekerti yang telah mereka lakukan.

Seterusnya oleh kerana kekufuran yang ada pada mereka sehingga mereka tidak mempedulikan lagi hubungan kerabat atau keluarga dengan orang yang beriman juga tidak mempedulikan perjanjian dengannya. Sepatutnya hubungan kerabat itu mereka kukuhkan dengan memupuk rasa kasih sayang. Bukanlah dengan memutuskannya. Dan perjanjian itu dipelihara dengan kesetiaan. Bukan dengan mengkhianatinya.

Tetapi oleh kerana tebalnya kekufuran yang tertanam di dalam jiwa mereka maka kalau dapat, mereka hendak membunuh dan membinasakannya saja orang-orang mukmin ini. Sesungguhnya perbuatan mereka itu adalah merupakan pencerobohan dan melampaui batas.





Surah At Taubah Ayat 11

فإِن تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلاَةَ وَءَاتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَنُفَصِّلُ الاَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui.

Pada ayat ini Allah menerangkan bahwa orang-orang musyrikin yang seharusnya dibunuh atau diperangi, jika mereka bertaubat dan mahu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan salat lima waktu dan menunaikan kewajiban zakat, maka Allah menyatakan bahawa mereka adalah saudara-saudara seagama dengan orang-orang mukmin yang mempunyai hak dan kewajiban yang sama tanpa ada perbeaaan. Ikatan persaudaraan yang demikian itu adalah ikatan yang sangat kuat dan luas yang dapat menghilangkan segala perselisihan dan permusuhan yang ditimbulkan oleh perbezaan suku, bangsa dan sebagainya yang dalam hal ini Rasulullah saw. bersabda:
“Saya diperintahkan memerangi manusia hingga mereka bersyahadat bahwa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad adalah Rasulullah, maka apabila mereka bersyahadat bahwa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad rasul Allah, mereka menghadap kiblat kita, memakan sembelihan dan salat seperti kita, maka haramlah atas kita darah mereka dan harta-harta mereka kecuali menurut haknya. Mereka mempunyai hak dan kewajiban seperti hak dan kewajiban orang-orang Islam.
(H.R. Ahmad dari Anas bin Malik)

Selanjutnya pada akhir ayat ini disebutkan bahawa Allah menujukan ayat-ayat ini kepada orang-orang yang mahu mengetahui tentang ayat-ayat Allah terutama mengenai kaum musyrikin yang bertaubat atau tidak dan bagaimana seharusnya mereka itu diperlakukan.







Surah At Taubah Ayat 12

وَإِن نَكَثُوا أَيْمَانَهُم مِن بَعْدِ عَهْدِهِمْ وَطَعَنُوا فِي دِينِكُمْ فَقَاتِلُوا أَئِمَّةَ الْكُفْرِ إِنَّهُمْ لآ أَيْمَانَ لَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَنتَهُونَ
Dan jika mereka mencabuli sumpahnya sesudah mengikat perjanjian setia, dan mereka pula mencela ugama kamu, maka perangilah ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin kaum yang kafir itu, kerana sesungguhnya mereka tidak menghormati sumpah janjinya, supaya mereka berhenti (dari kekufuran dan bertaubat).

Pada ayat ini Allah memerintahkan kaum muslimin untuk memerangi pemimpin-pemimpin kaum musyrikin karena mereka ini telah mengkhianati perjanjian dan mencerca Al Quran, Nabi dan kaum muslimin. Bukan itu siaja. Mereka malah bermusuhan pula dengan kaum muslimin dan mahu bertaubat.

Para mufassirin menerangkan bahwa yang dimaksudkan dengan mencerca agama Islam ialah mencerca Nabi, Alquran dan kaum muslimin. Dan yang dimaksudkan dengan membunuh atau memerangi pemimpin-pemimpin kafir di sini adalah termasuk juga para pengikutnya. Memerangi orang-orang musyrikin itu diperkenankanr supaya mereka berhenti dari syirik dan berhenti memusuhi kaum muslimin.









Surah At Taubah Ayat 13

أَلاَ تُقَاتِلُونَ قَوْماً نَكَثُوا أَيْمَانَهُمْ وَهَمُّوا بِاِخْرَاجِ الرَّسُولِ وَهُم بَدَءُوكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ أَتَخْشَوْنَهُمْ فَاللّهُ أَحَقُّ أَن تَخْشَوْهُ إِن كُنتُم مُؤْمِنِينَ
Mengapa kamu tidak memerangi suatu kaum yang telah mencabuli sumpah janjinya, dan mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan merekalah juga yang mula-mula memerangi kamu? Tidak patut kamu takut kepada mereka (sehingga kamu tidak mahu memeranginya) kerana Allah jualah yang berhak kamu takuti (melanggar perintahNya), jika betul kamu orang-orang yang beriman?

Pada ayat ini Allah menggalakkan semangat orang-orang mukmin supaya melaksanakan dengan sungguh-sungguh perintah memerangi kaum musyrikin. Allah menyebutkan tiga sebab utama yang membuktikan bahwa orang-orang musyrik tidak boleh didiamkan dan dibiarkan saja, yaitu:
1. Mereka melanggar perjanjian Hudaibiyah yang telah mereka adakan dengan Nabi Muhammad saw. dan para sahabatnya untuk tidak berperang selama l0 tahun, dan saling tidak boleh mengganggu antara kedua belah pihak dan sekutu-sekutunya. Tetapi kemudian tidak lama setelah perjanjian itu diadakan, pihak musyrikin Quraisy telah membantu sekutunya dari Bani Bakar untuk menganiaya suku Khuza'ah dan sekutu Nabi yang tinggal di Mekah. Oleh kerana itu Nabi merasa berkewajiban membela kaum muslimin yang akhirnya pada tahun ke 8 Hijriah, Mekah dapat ditakluki oleh kaum muslimin.
2. Sebelum Nabi Muhammad saw. hijrah ke Madinah, kaum musyrikin telah berusaha keras untuk mengusir Nabi Muhammad saw. dari Mekah, memenjarakan atau membunuhnya dengan menggunakan kekuatan dan suku Quraisy agar keluarga Nabi Muhammad saw. sukar mengadakan serangan balas.. Inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah:
“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakan, atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya.”
(Q.S. Al-Anfal: 30)

3. Merekalah yang memulai lebih dahulu memerangi kaum mukminin di Badar, Uhud, Khandaq dan lain-lainnya.


Selanjutnya setelah Allah menerangkan tiga sebab utama tersebut, maka Allah menggalakkan semangat dan perhatian orang-orang mukmin agar jangan takut terhadap orang-orang musyrikin. Ini kerana Allah lah yang lebih berhak untuk ditakuti jika benar-benar mereka beriman. Orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya harus berani berkorban demi kepentingan agama dan kebenaran tanpa dibayangi oleh suatu keraguan yang menimbulkan ketakutan dan kemunduran yang sangat merugikan mereka sendiri.









Surah At Taubah Ayat 14 Dan 15

قَاتِلُوهُمْ يُعَذِّبْهُمُ اللّهُ بِاَيْدِيكُمْ وَيُخْزِهِمْ وَيَنصُرْكُمْ عَلَيْهِمْ وَيَشْفِ صُدُورَ قَوْمٍ مُؤْمِنِينَ
Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. “ (14)
وَيُذْهِبْ غَيْظَ قُلُوبِهِمْ وَيَتُوبُ اللّهُ عَلَى مَن يَشَآءُ وَاللّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Dan Ia juga akan menghapuskan kemarahan hati orang-orang yang beriman itu, dan Allah akan menerima taubat orang-orang yang dikehendakiNya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (15)

Allah memerintahkan kaum mukmin untuk memerangi kaum musyrikin sebagaimana yang telah diperintahkan. Sekiranya mereka memerangi kaum musyrikin Allah akan menolong mereka dengan menyeksa kaum musyrikin dengan perantaraan tangan kaum mukmin dengan menggunakan senjata untuk memenggal dan menikam kaum musyrikin. Jadi maksud menyeksa di sini ialah, Allah akan membunuh mereka dengan pukulan senjata yang ada di tangan kaum mukmin. Seksaan ini adalah seksaan yang dikenakan ke atas orang-orang musyrikin yang telah memungkiir janji serta yang telah memulakan peperangan itu sahaja. Tidak termasuk kaum musyrikin yang patuh pada perjanjian. Jadi seksaan ini adalah seksaan yang dikenakan ke atas mereka yang berdosa saja.

Maksud kehinaan di dalam ayat 14 ialah yang berupa penaklukan dan penawaran ke atas orang-orang musyrik sehingga tidak dapat melawan lagi. Orang-orang mukmin akan dibantu oleh Allah untuk mengalahkan musuh-musuh mereka sehingga mendapat kemenangan.

Allah akan memusnahkan kaum musyrikin itu sama sekali dengan menggunakan tangan-tangan kaum mukmin sendiri. Ini adalah kerana, di samping mereka telah berbuat dosa dengan melanggar perjanjian, mereka juga telah menyeksa orang-orang mukmin. Jadi sebagai untuk menyenangkan hati dan melegakan hati kaum mukmin yang telah diseksa dengan hebat oleh kaum musyrikin itu, Allah telah menyeksa mereka melalui senjata-senjata yang dihunus oleh kaum mukmin itu sendiri sehinggalah kaum mukmin mendapat kemenangan. Maka nanti akan terubatlah hati orang-orang mukmin yang dahululnya telah menderita ditindaas oleh kezaliman orang-orang musyrikin.

Menurut kata Mujahid dan as-Suddi, ayat ini ditujukan kepada suku Khuza’ah, bahwa mereka telah berpuas hati mendapat pembelaan dari Nabi saw ke atas suku Bani Bakar yang telah menyerang mereka dahulunya.

Begitu pula dalam ayat 15 Allah akan melenyapkan rasa kemarahan hati kaum mukmin dari tipu daya orang-orang musyrik dan kezalimannya ditukar dengan rasa keriangan dan kegembiraan, sehingga menyebabkan hati mereka menjadi teguh.

Dan Allah akan memberi petunjuk serta hidayah kepada siapa-siapa yang dikehendakiNya supaya memeluk Islam. Begitu pula siapa-siapa yang telah bertaubat, iaitu meninggalkan syirik dan kekufuran akan diberinya petunjuk untuk memeluk agama Islam. Sebagaimana yang berlaku kepada Abu Sufyan bin Harb, Irimah bin Abu Jahal dan Suhail bin ‘Amr. Mereka adalah ketua-ketua orang kafir musyrikin. Tetapi dengan kehendak Allah mereka telah dikurniakan untuk memeluk Islam setelah kota Mekah ditakluki. Kerana Allah itu Maha Mengetahui akan segala rahsia hamba-hambaNya dan tahu siapa-siapa yang telah ditakdirkan di dalam azali untuk mendapat kebahagiaan, lalu diberiNya petunjuk agar memeluk agama Islam. Lagi pula Allah Maha Bijaksana di dalam segala KetentuanNya.








Surah At Taubah Ayat 16
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تُتْرَكُوا وَلَمَّا يَعْلَمِ اللّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنكُمْ وَلَمْ يَتَّخِذُوا مِن دُونِ اللّهِ وَلا رَسُولِهِ وَلا الْمُؤْمِنِينَ وَلِيجَةً وَاللّهُ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Adakah kamu menyangka, bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahuiNya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.

Allah menyatakan kepada orang-orang mukmin, adakah mereka menyangka bahawa Allah semasa peperangan itu tidak tahu untuk membezakan di antara orang-orang yang bersungguh-sungguh berjuang dan berperang pada jalan Allah dengan tulus ikhlas dengan orang yang sebaliknya?

Ayat ini menunjukkan bahawa pengakuan beriman saja belumlah cukup. Kaum mukmin harus menempuh ujian supaya dapat membuktikan keteguhan hati mereka dengan berjihad dan beperang ke jalan Allah. Kerahan tenaga menghadapi kaum musyrikin yang menimbulkan jihad terhadap mereka ialah untuk membuktikan apakah mereka benar-benar percaya dan tawakkal kepada Allah.

Peperangan yang berturut-turut dengan musuh kaum musyrikin itu sekali gus adalah untuk menyaring mana yang benar-benar berjihad kerana Allah dan mana yang masih ragu-ragu, yang masih tersangkut hatinya hendak berbuat hubungan baik dengan pihak yang menyekutukan Allah.

Mukmin sejati hanya mempunyai satu kepercayaan, aiatu Allah dan hanya mempunyai satu pimpinan iaitu Rasul saw. Dan mempunyai teman karib yang sejati iaitu orang-orang yang sama-sama beriman. Biarpun sedikit jumlah kaum mukmin, tetapi mereka teguh bersatu. Peperangan dan jihad itu adalah sebagai penapis, untuk menentukan siapa lawan dan siapa kawan. Yang ragu-ragu, lemah iman dan munafik akan terlempar dengan sendirinya ke luar.





Surah At Taubah Ayat 17

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَن يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِم بِالْكُفْرِ اُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ وَفِي النَّارِ هُمْ خَالِدُونَ
Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam neraka.

Allah menyatakan bahawasanya orang-orang musyrikin itu tidak berhak memakmurkan masjid-masjid yang menjadi rumah Allah atau tempat orang beribadat kepadaNya. Maksud memakmurkan di sini banyak pengertiannya. Di antaranya ialah meramalkan iaitu melazimi masjid itu dengan mengerjakan amal ibadat, suapya ramai orang yang beribadat di dalamnya dan sentiasa terisi, sehingga tidak menjadi kosong. Ataupun berkhidmat dengan mengorbankan tenaga dan harta benda kepada masjid itu. Misalnya dengan menjaga kebersihannya, memperbaikinya, meluaskan atau membesarkannya dan melengkapkannya sehingga sempurna dengan alat-alat yang akan menambahkan keindahannya.

Menurut riwayat Ibnu Abbas bahwa setelah Abbas Bin Abdul Mutalib ditawan pada perang Badar, ia dicemuhkan oleh kaum muslimin dengan mengatakan dia kafir dan memutuskan silaturahmi, dan Sayidina Ali melontarkan kata-kata yang pedas kepadanya. Lalu Abbas menjawab cemuhan dan kata-kata pedas itu dengan: "Mengapa kamu menyebut-nyebut kejahatan kami saja, dan tidak sedikit pun mengingat kebaikan yang kami perbuat." Sayidina Ali berkata lagi: "Apakah kamu mempunyai kebaikan?" Abbas menjawab: "Ada, yaitu kami mengurus dan memakmurkan Masjidil Haram, memelihara Kaabah dan memberi orang-orang haji." Maka turunlah ayat ini untuk membantahnya.

Maksud dari ayat ini adalah untuk menyatakan bahwa orang-orang musyrikin itu tidak berhak untuk memakmurkan masjid Allah, iaitu tempat yang diwajibkan kepada orang-orang Islam suapya melarang orang-orang musyrikin memasukinya. Masjid itu hanyalah layak dimakmurkan untuk dijadikan tempat beribadat kepada Allah. Barangsiapa yang kufur kepada Allah, maka tiadalah berhak ianya memakmurkan masjid itu.

Apakah sebabnya orang-orang musyrikin itu tidak berhak memakmurkan masjid Allah? Jawabnya kerana mereka menjadi saksi atas kekufuran yang ada pada diri mereka sendiri. Kata Ibnu Abbas, mereka menjadi saksi atas kekurufan dirinya sendiri disebabkan mereka sujud kepada berhala. Iaiatu orang kafir Quraisy telah meletakkan berhala-berhala mereka di luar binaan Masjidil Haram. Dan mereka tawaf mengelilingi Kaabah dengan bertelanjang pula. Setiap mereka mengelilinginya satu kali, mereka pun sujud kepada berhala. Perbuatan mereka itu sudah jelas kaan menambahkan lagi jauhnya daripada Allah.

Segala amal kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang musyrik selama mereka masih kufur, umpamanya mereka melayan tetamu, memberi minum kepada orang-orang haji dan meringankan beban orang-orang yang menderita kesusahan, maka semuanya ini bukanlah dilakukan kerana Allah taala. Jadi, tidakalh ada kesannya sedikit pun selagi perubatannya itu disertakan dengan kekufuran. Dan apabila mereka mati dalam keadaan kufur atau syirik, maka mereka akan masuk ke dalam neraka dan tinggal di sana untuk selama-lamanya.





Surah At Taubah Ayat 18

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ ءَامَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الاَخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وءَاتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى اُوْلَئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Allah menerangkan bahawa orang-orang yang berhak memakmurkan masjid ialah orang-orang yang disebutkan sifat-sifatnya dalam ayat ini:
1 . orang yang beriman, iaitu orang yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, termasuklah percaya kepada semua rukun Iman yang enam.
2 . orang yang mendirikan sembahyang tetap pada waktunya, cukup dengan syarat dan rukunnya, kerana terbinanya masjid tak lain untuk mengerjakan sembahyang di dalamnya di sampung mengerjakan ibadat-ibadat yang alin.
3 . Mengeluarkan zakat, iaitu suatu tugas yang wajib, sedangkan memakmurkan masjid itu adalah suatu tugas yang sunat. Maksudnya tidak sepatutnya seseorang itu melakukan tugas yang sunat melainkan ia sudah pun menunaikan tugas yang wajib terlebih dahulu.
4 . tidak takut kepada siapa-siapa melainkan kepada Allah. Maksudnya di dalam menegakkan agama, dia tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah semata-mata. Dan ia tidak akan meninggalkan perintah Allah tersebab takut kepada manusia.

Mereka yang mempunyai sifat-sifat yang menjamin tertegaknya rukun Islam yang terpenting itu, maka mereka ini diharapkan akan menjadi orang-orang yang mendapat petunjuk kepada perkara yang disukai dan diredhai Allah seperti memakmurkan masjid itu sehingga berhaklah pula mereka mendapat pembalasan yang dinikmati di dalam syurga. Tidaklah seperti orang-orang musyrik yang terkumpul pada diri mereka sifat-sifat yang menyalahi keimanan dan mengingkari apa yang dibawa oleh rasul serta membelanjakan harta kekayaan mereka untuk menghalang perkembangan agama Islam dan menyekat orang-orang yang akan memeluknya.

Banyak hadis-hadis yang diriwayatkan tentang fadilah memakmurkan masjid. Di antara lain ialah sabda Rasulullah saw.:
“Barang siapa membangun atau memakmurkan mesjid bagi Allah untuk mendapatkan keridaan-Nya, niscaya Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah dalam surga.”
(H.R. Bukhari, Muslim, dan Tirmizi dari Usman bin Affan)

Sabda Rasulullah saw.:
“Apabila kamu melihat seorang laki-laki membiasakan diri (beribadah) di mesjid, maka saksikanlah bahwa ia orang yang beriman.”
(H.R. Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah, dan Al-Hakim dari Abu Said Al-Khudri)


Dan sabda Rasulullah saw di dalam hadis yang lain:
“Sesungguhnya ada seorang perempuan yang biasa menyapu mesjid lalu meninggal dunia, Rasulullah saw. menanyakannya dan tatkala dikatakan kepadanya bahwa perempuan itu sudah meninggal, Rasulullah berkata: "Mengapa kamu tidak memberitahukan kepada saya agar saya salatkan ia. Tunjukkanlah kepadaku di mana kuburnya." Maka Rasulullah mendatangi kuburan itu lalu beliau salat atasnya.”
(H.R. Bukhari, Muslim, Abu Daud, dan Ibnu Majah)


sabda Rasulullah saw.:
“Membersihkan mesjid dan meramaikannya adalah mahar (maskawin) bidadari.”
(H.R. Abu Bakar Asy Syafi'i dari Abu Qursafah)

Dan sabda Rasulullah lagi:
“Barang siapa yang menyalakan penerangan dalam mesjid, niscaya para malaikat dan pemikul-pemikul Arasy senantiasa memohon ampun kepada Allah agar diampuni dosanya selama lampu itu bercahaya dalam mesjid.”
(H.R. Salim Ar Razi dari Anas ra.)








Surah At Taubah Ayat 19

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَآجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الاَخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللّهِ لاَيَسْتَوُونَ عِندَ اللّهِ وَاللّهُ لايَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. “

Imam Muslim dan Imam Abu Daud meriwayatkan dari Nu`man bin Basyir yang berkata: "Aku pernah berada didekat mimbar Rasulullah saw. bersama-sama dengan beberapa orang sahabat. Seorang dari mereka mengatakan, bahwa setelah ia masuk Islam dia tidak memperhatikan amal saleh kecuali memberi minuman kepada orang-orang yang mengerjakan haji. Seorang sahabat yang lain mengatakan, bahwa amal yang diutamakannya adalah mengurus Masjidil haram. Sedangkan seorang sahabat yang lain mengatakan, bahwa berjihad (berperang) di jalan Allah adalah lebih baik darpada yang dikemukakan oleh kedua orang temannya itu. Oleh karena percakapan tiga orang itu merupakan suatu perbantahan, maka Sayidina Umar yang kebetulan berada di tempat itu melarang dengan mengatakan: "Jangan ramai-ramai berbantah di dekat mimbar Rasulullah saw. dan kebetulan hari itu adalah hari Jumat. Nanti setelah selesai salat Jumat aku akan mohon fatwa kepada Rasulullah saw. mengenai apa-apa yang kamu perselisihkan itu." Setelah selesai sembahyang jumaat, Sayidina Umar memohon fatwa kepada Rasulullah saw., maka turunlah ayat ini."

Pertanyaan yang terkandung dalam ayat ini ditujukan kepada orang-orang mukmin yang berbantah-bantahan tentang amal saleh mana yang lebih utama sebagaimana tersebut di atas. Sebagai jawaban kepada persoalan itu, diterangkan bahawa mengurus Masjidil Haram dan menyediakan minuman bagi orang-orang yang mengerjakan haji tidak dapat disamakan keutamaannya dengan beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian serta berjihad di jalan Allah.

Amalan yang tersebut pada bahagian pertama meskipun termasuk amal kebajikan tetapi darjat dan martabatnya tidak setinggi darjat amalan yang tersebut kemudian itu, yaitu iman dan jihad di jalan Allah.

Menganggap dua amalan tersebut itu sama adalah suatu anggapan yang tidak pada tempatnya dan bertentangan dengan petunjuk dari Allah apalagi kalau dianggap bahawa amalan pertama lebih utama dari amalan kedua.








Surah At Taubah Ayat 20

الَّذِينَ ءَامَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدَوا فِي سَبِيلِ اللّهِ بِاَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللّهِ وَاُوْلَئِكَ هُمُ الْفَآئِزُونَ
(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. “

Allah menjelaskan , barangsiapa yang mempunyai sifat seperti yang tersebut di dalam ayat ini, iaitu: beriman dan berhijrah (berpindah dari keadaan yang tidak baik kepada yang baik) serta berjuang ke jalan Allah dengan membelanjakan harta dan mengorbankan diri, tenaga atau nyawa, maka ia akan mendapat darjat yang lebih tinggi dari orang-orang yang bermegah-megah dan berbangga kerana kononnya mereka itu telah berjasa memberi minum jemaah haji dan menjaga Masjidil Haram.

Yang dimaksudkan dengan “rahmatan” ialah kedudukan yang tinggi  di sisi Allah di akhirat kelak. Orang-orang yang telah disebutkan sifat-sifatnya itu akan mendapat kemenangan yang berupa kebahagiaan hidup, samada di dunia mahupun di akhirat.










No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.