Wednesday, March 23, 2016

Surah At Taubah Ayat 21 - 40







Surah At Taubah Ayat 21 Dan 22

يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُمْ بِرَحْمَةٍ مِنْهُ وَرِضْوَانٍ وَجَنَّاتٍ لَهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُقِيمٌ
Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.” (21)

خَالِدِينَ فِيهَا أَبَداً إِنَّ اللّهَ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ
Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisiNya pahala yang besar.” (22)

Allah menyampaikan berita baik yang menggembirakan dan menyenangkan sehingga wajah mereka akan berseri-seri apabila mendengarnya. Mereka akan mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Iaitu kurnia dari Allah yang menjadi matlamat yang dicita-citakan oleh setiap manusia.

Seterusnya mereka akan memeperoleh syurga yang akan mereka diami, untuk tinggal bersenang-senang di dalamnya. Mereka menikmati kesenangan itu dengan tidak ada putus-putusnya, kerana mereka akan kekal di dalam syurga itu dengan keadaan bersukaria selama-lamanya. Ini kerana Allah mempunyai pahala yang sangat besar, yang disediakanNya bagi orang-orang yang taat kepadaNya dan berjuang mempertahankan agamaNya.









Surah At Taubah Ayat 23

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا لاتَتَّخِذُوا ءَابَآءَكُمْ وَإِخْوَانَكُمْ أَوْلِيَآءَ إِنِ اسْتَحَبُّوا الْكُفْرَ عَلَى الإِيمَانِ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِنكُمْ فَاُوْلَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
““Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu sebagai orang-orang yang didampingi jika mereka memilih kufur dengan meninggalkan iman; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka orang-orang yang didampingi, maka merekalah orang-orang yang zalim.

Setelah Allah mengisytiharkan diriNya dan RasulNya bebas dari ikatan janji dengan orang-orang musyrikin, hal ini telah menyebabkan kesulitan bagi setengah orang-orang Islam, sedang orang-orang yang lemah imannya pula berasa bosan, iaitu orang-orang yang kebanyakannya daripada golongan orang-orang yang diberi pengampunan oleh Nabi saw semasa menakluki kota Mekah dahulu.

Mereka ini tidak begitu suka sekiranya dikerah untuk memerangi kaum musyrikin, kerana di antara mereka dengan kaum musyrikin itu masih ada hubungan kerabat dan setengahnya pula menjadi sahabat dan akwan yang karib. Memanglah sukar bagi mereka untuk memerangi kaum kerabat mereka yang masih kufur itu. Mereka mengharapkan agar peprangan tidak akan berlaku dan hanya berharap supaya kaum musyrikin itu akan mahu beriman.

Oleh itu, Allah menerangkan pada ayat ini tentang kelebihan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad, yang mana mereka ini telah dijanjikan menerusi berita yang menggembirakan bahawa mereka akan mendpat rahmat, keredhaan dan syurga yang disediakan untuk mereka.

Kelebihan ini semuanya tidak akan sempurnah diperoleh, melainkan dengan meninggalkan perbuatan melantik orang-orang kafir itu menjadi pemimpin. Bermakna, di sini, hendaklah rasa kasih kepada Allah dan rasulNya lebih dari sesiapa pun juga dan bersedia berjuang dalam menegakkan agamaNya. Itu lah yang lebih utama daripada rasa kasih sayang kepada ayat atau anak, saudara atau isteri, keluarga atau pun harta, malah tempat tinggal dan kediaman sekalipun. Janganlah mereka ini diutamakan mengasihinya. Tetapi mengasihi Allah dan rasulNya itulah yang mesti diutamakan.

Allah melarang orang-orang mukmin untuk mengambil bapa-bapa dan saudara-saudara mereka untuk mdilantik menjadi pemimpin yang akan membantu menolong dan mempertahankan mereka dalam peperangan yang dilancarkan kepada kaum musyrikin sedang orang-orang yang dilantik menjadi pemimpin itu pula lebih suka atau lebih cenderung kepada kekufuran atau keimanan. Allah mengancam, sekiranya mereka melakukan yang demikian, nescaya mereka akan dicap sebagai orang yang zalim dan aniaya kerana meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.








Surah At Taubah Ayat 24

قُلْ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِنَ اللّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللّهُ بِأَمْرِهِ وَاللّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). “

Allah memberikan peringatan bahwa jika orang-orang yang beriman lebih mencintai dunia iaitu lebih mengutamakan bapa-bapanya, anak-anaknya, saudara-saudaranya, isteri-isterinya, kaum keluarganya, harta kekayaannya, perniagaannya dan rumah-rumahnya daripada mencintai Allah dan Rasul-Nya serta berjihad menegakkan agama Allah, maka biarlah mereka berbuat demikian sehingga akan datang saatnya, bilamana Allah akan mendatangkan seksa kepada mereka cepat atau lambat. Mereka yang bersikap demikian itu adalah orang-orang fasik yang tidak akan mendapat hidayah dari Allah swt.

Jika diperhatikan ayat ini, nyatalah ia mengandungi suatu ancaman dan ugutan, yang mana ayat ini menerangkan bahawa seseorang muslim itu akan dihadapkan dengan dua kepentingan iaitu kepentingan agama dan kepentingan dunia.  Maka wajiblah ke atasnya mengutamakan kepentingan agama, dan membuang kepentingan dunia itu jauh-jauh suapaya kesucian agama tetap terpelihara. Sekiranya tidak mengambil tindakan demikian, pastilah akan ditimpa seksa, samada cepat atau lambat ia pasti akan datang juga.

Dengan demikian ayat ini memberi peringatan sebagai berikut:
1. cinta anak terhadap bapa adalah naluri yang ada pada tiap-tiap diri manusia. Anak sebagai keturunan dari bapanya adalah mewarisi sebahagian sifat-sifat dari tabiat-tabiat bapanya.
2. cinta bapa kepada anaknya adalah naluri juga, bahkan lebih mendalam lagi kerana anak merupakan jantung hati yang diharapkan melanjutkan keturunan dan meneruskan sejarah hidupnya. Dalam hal ini bapa rela menanggung segala pengorbanan untuk kebahagiaan masa depan anaknya.
3. cinta kepada saudara dan karib kerabat adalah suatu cinta yang berjalan dalam rangka pelaksanaan hidup dan kehidupan tolong-menolong, bantu-membantu dan bela-membela baik kehidupan rumah tangga maupun kehidupan bermasyarakat. Cinta yang demikian itu akan menumbuhkan perasaan hormat-menghormati dan sayang-menyayangi.
4. cinta suami isteri adalah cinta yang terpadu antara dua jenis makhluk yang akan membina keturunan dan membangun rumah tangga untuk kebahagiaan hidup dan kehidupan dalam dunia dan akhirat. Oleh kerana itu keutuhan hubungan suami isteri yang harmoni menjadi dasar bagi kerukunan dan kebahagiaan hidup dan kehidupan yang diidam-idamkan.
5. cinta terhadap harta dalam segala jenis bentuknya baik harta usaha, warisan, perdagangan maupun rumah tempat tinggal dan lain-lain adalah cinta yang sudah menjadi tabiat manusia. Semua yang dicintai merupakan keperluan yang tidak dapat dipisahkan dari hidup dan kehidupan manusia yang diusahakannya dengan menempuh segala jalan yang dihalalkan Allah swt.

Adapun cinta kepada Allah swt. wajib didahulukan daripada segala cinta tersebut di atas kerana Dialah yang memberi hidup dan kehidupan dengan segala kurniaan-Nya kepada manusia dan Dialah yang bersifat sempurna dan Maha Suci dari segala kekurangan. Begitu juga cinta kepada Rasulullah saw. haruslah lebih dahulu diutamakan kerana Rasulullah saw. itu diutus Allah swt. untuk membawa petunjuk dan menjadi rahmat bagi alam semesta.
Firman Allah:
“Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.”
(Q.S. Ali Imran: 31)

Dan sabda Rasulullah saw.:
“Tidaklah sempurna iman salah seorang kamu sebelum ia mencintai aku lebih dari mencintai orang tuanya, anak anaknya dan manusia seluruhnya.”
(H.R. Bukhari, dan Muslim dari Anas)








Surah At Taubah Ayat 25

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئاً وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الاَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُم مُدْبِرِينَ
Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa orang-orang mukminin mendapat pertolongan yang banyak dari Allah di dalam peperangan menghadapi kaum musyrikin yang menghalang penyebaran agama Islam. Pertolongan itu adalah berupa kemenangan yang sempurna baik cepat mahupun lambat, seperti perang Badar yang mendapat kemenangan yang besar, dan perang Hunain yang pada mulanya kalah kemudian menang.

Pada perang Hunain itu kaum Muslimin memiliki tentera yang sangat banyak, sedang orang kafir memiliki tentara dalam jumlah yang lebih kecil dari tentara kaum Muslimin. Dengan jumlah tentera yang banyak itu kaum Muslimin merasa bangga dan merasa tidak akan dapat dikalahkan, tetapi kenyataan tidak demikian kaum Muslimin dapat dikalahkan oleh orang kafir, seolah-olah tentara yang banyak, harta serta persiapan perang yang demikian lengkapnya tidak berguna sedikit pun sehingga terasa oleh mereka bahwa bumi yang luas ini telah menjadi sempit yang menyebabkan mereka lari ke belakang dalam keadaan bercerai-berai.

Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Baihaqi dan lain-lain dari Aksam bin Aljan bahwa peperangan Hunain itu terjadi pada tahun ke8 Hijrah, sesudah penaklukan Mekah di suatu tempat yang bernama Hunain, yaitu suatu lembah terletak antara Mekah dan Taif. Tentara kaum Muslimin berjumlah 12.000 orang, sedang tentara orang kafir hanya 4.000 orang saja. Pada peperangan ini kaum Muslimin mengalami kekalahan sehingga terpaksa berundur, tetapi akhirnya turunlah pertolongan Allah dan menanglah kaum Muslimin.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Al-Barra' bin Azib r.a. yang menggambarkan suasana perang Hunain. Yaitu seorang laki-laki dari Qais bertanya: "Hai Abu Ammarah, apakah kamu turut meninggalkan Rasulullah pada perang Hunain?" Abu Ammarah menjawab: "Rasulullah tidak lari sekalipun orang-orang Hunain, tukang pemanah yang jitu dan pihak musuh dapat melancarkan serangannya, tetapi masih dapat kami lumpuhkan." Pada waktu kaum Muslimin sedang berebut harta rampasan, maka musuh menghujani mereka dengan anak panah sehingga kaum Muslimin menderita kekalahan dan musuh mendapat kemenangan. Di waktu itu aku lihat Rasulullah saw. berkuda tampil ke muka sambil mengatakan dengan secara gagah berani: "Akulah nabi, anak Abdul Muttalib, jangan ragu, ya Allah turunkanlah pertolongan-Mu."










Surah At Taubah Ayat 26

ثُمَّ أَنْزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُوداً لَمْ تَرَوْهَا وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَآءُ الْكَافِرِينَ
Kemudian Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, dan Allah menurunkan tentera yang kamu tidak melihatnya, serta Ia menyeksa orang-orang kafir itu (dengan kekalahan yang membawa kehancuran); dan yang demikian itu ialah balasan bagi orang-orang yang kafir.”

Allah menerangkan bahawa sesudah kaum Muslimin sedih dan duka cita akibat kekalahan dalam peperangan Hunain, maka Allah menurunkan pertolongan kepada mereka yang merupakan ketetapan hati dan mendatangkan bala tentera yang tak dapat mereka lihat. Bala tentera itu terdiri dari malaikat-malaikat yang gagah perkasa. Perasaan sedih dan berduka cita bagi kaum Muslimin berubah menjadi tenang, berani dan maju ke depan.

Akhirnya orang-orang kafir menderita kekalahan, dibunuh, ditawan dan harta mereka menjadi rampasan. Kekalahan itu merupakan azab bagi mereka. Dan itulah balasan atas kekafiran mereka dan balasan atas permusuhan mereka terhadap kaum Muslimin.
Firman Allah swt.:
“Perangilah mereka, niscaya Allah akan menyiksa mereka dengan (perantaraan) tangan-tanganmu dan Allah akan menghinakan mereka dan menolong kamu terhadap mereka.”
(Q.S. At Taubah: 14)








Surah At Taubah Ayat 27 

ثُمَّ يَتُوبُ اللّهُ مِن بَعْدِ ذَلِكَ عَلَى مَن يَشَآءُ وَاللّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Kemudian Allah menerima taubat orang-orang yang dikehendaki (dengan memberi taufiq untuk memeluk Islam), sesudah (orang-orang kafir itu ditimpakan dengan azab); dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. “ (27)

Selepas orang-orang kafir itu menderita seksa yang ditimpakan Allah ke atas mereka di dunia, kemudian Allah menerima taubat siapa-siapa yang dikehendakiNya daripada mereka, lalu diberiNya petunjuk supaya memeluk agama Islam selagi mereka tidak melakukan syirik terhadap Allah. Kerana Allah akan mengampuni kesalahan dan dosa-dosa hambaNya yang telah lalu dan Allah juga Maha Penyayang dengan memberikan pahala dan kurnia kepada mereka.








Surah At Taubah Ayat 28

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا وَإِنْ خِفْتُمْ عَيْلَةً فَسَوْفَ يُغْنِيكُمُ اللّهُ مِن فَضْلِهِ إِن شَآءَ إِنَّ اللّهَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
““Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini; dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Setelah Rasulullah saw. mengarahkan Abu Bakar menjadi Amirul Hajj, maka Rasulullah memberi tugas kepada Ali bin Abu Talib supaya mengiringi Abu Bakar membacakan ayat-ayat permulaan surat At-Taubah di hadapan para jemaah haji. Maka timbullah perasaan cemas di kalangan kaum muslimin kerana khuatir akan menghadapi kesulitan makanan akibat orang-orang musyrik tidak dibolehkan masuk ke Mekah untuk melakukan ibadah haji.

Orang-orang musyrik itu biasanya apabila datang ke Mekah untuk mengerjakan haji mereka akan membawa bahan-bahan makanan sebagai barang dagangan. Hal ini mempengaruhi orang-orang Islam sehingga mereka bertanya satu sama lain, dari manakah mereka akan mendapat makanan sekiranya orang-orang musyrik itu tidak dibolehkan lagi untuk masuk Mekah.

Maka turunlah ayat ini yang menerangkan kepada orang-orang mukmin bahwa orang-orang musyrik itu adalah hukumnya najis, disebabkan akidah mereka kotor dan rosak, mereka menyembah berhala dan patung, percaya kepada tahyul dan khurafat. Mereka makan barang yang kotor, seperti bangkai dan darah. Perjudian dan perzinaan mereka anggap perbuatan yang baik; Orang-orang yang kotor akidah dan perbuatannya dilarang datang ke Masjidil Haram. Kerana itu setelah berakhir tahun 9 hijriah mereka dilarang masuk ke tanah suci terutama memasuki Masjidil Haram.

Pada akhirnya ayat ini Allah menjamin kehidupan orang-orang mukmin dari kemelaratan. Mereka tidak perlu khuatir akan kekurangan makanan dan barang-barang dagangan akibat larangan Allah terhadap orang-orang musyrik tersebut yang biasanya datang ke tanah suci membawa barang dagangan. Jaminan Allah kepada orang-orang mukmin untuk mendapat kehidupan yang baik tergantung kepada kegiatan usaha dan ikhtiar seseorang. Namun demikian tidak terlepas daripada kehendak Allah swt. kepada siapa Allah memberikan kurnia-Nya. Oleh kerana itu orang-orang mukmin hendaklah mengukuhkan keimanan dan tawakalnya kepada Allah di samping berusaha dan berikhtiar.

Allah Taala Maha Mengetahui urusan yang akan datang, baik yang mengenai kemakmuran atau kemelaratan yang menimpa penduduk suatu negeri. Allah Maha Bijaksana dalam segala sesuatu terutama yang mengenai ketentuannya, baik merupakan perintah mahupun berupa larangan.

Allah Taala telah memenuhi janji-Nya kerana kenyataannya penduduk tanah suci Mekah tidak mengalami kesulitan kehidupan. Setelah tersebarnya larangan tersebut maka semakin banyaklah orang-orang musyrik masuk Islam, bukan saja mereka yang berada di sekitar Jazirah Arab, malahan hampir sampai ke segenap penjuru dunia. Mereka tentulah berkewajiban menunaikan ibadah haji di samping mereka bebas mengunjungi tanah suci. Hal yang demikian ini merupakan salah satu jalan bagi penduduk Mekah untuk memperolehi kemakmuran hidup.

Dengan adanya larangan Allah terhadap orang-orang musyrik memasuki Masjidil Haram maka terjadilah perselisihan pendapat antara ulama fikih sebagai berikut:
1. Orang-orang yang musyrik termasuk ahli kitab tidak dibolehkan memasuki Masjidil Haram, sedangkan masjid lainnya dibolehkan terhadap orang-orang kafir ahli kitab. Demikian menurut mazhab Imam Syafii.
2. Orang-orang musyrik termasuk Ahli Kitab tidak dibolehkan memasuki seluruh masjid. Demikian menurut mazhab Maliki.
3. Yang dilarang memasuki Masjidil Haram adalah orang-orang yang musyrik saja (tidak termasuk Ahli Kitab). Demikian menurut mazhab Hanafi.
4. Sebahagian ulama berpendapat bahwa orang-orang musyrik dilarang memasuki tanah haram dan jikalau dia datang secara diam-diam (menyamar) kemudian ia mati dan dikuburkan, maka setelah diketahui wajiblah digali mayatnya dan dikuburkan di luar tanah haram.







Surah At Taubah Ayat 29

قَاتِلُوا الَّذِينَ لايُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَلا بِالْيَوْمِ الاَخِرِ وَلايُحَرِّمُونَ مَاحَرَّمَ اللّهُ وَرَسُولُهُ وَلا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ اُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَن يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ
Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri.

Mengikut kata Mujahid, ayat ini diturunkan ketika Nabi saw diperibntahkan oleh Allah supaya memerangi orang-orang Rom, maka pergilah baginda berperang selepas turunnya ayat in yang dinamakn peperangan Tabuk.

Kata Al-Kalbi, ayat ini diturunkan untuk ditujukan kepada kaum Quraidzah dan kaum Nadzir dari bangsa Yahudi. Jelasnya Nabi saw diperintahkan supaya memerangi mereka. Setelah perintah itu dijalankan baginda pun membuat perdamaian dengan mereka. Semasa itulah mula-mulanya orang-orang Islam menerima pembayaran ufti atau jizyah, dan serentah dengan itu orang-orang Ahli Kitab menerima penghinaan dalam kekuasaan orang-orang Islam.

Ayat ini menyebutkan bahwa perangilah oleh kamu hai orang-orang beriman akan orang-orang yang tidak beriman dengan Allah dan hari kemudian. Maksud ayat ini mengikut Al-Khazin, bahwasanya orang-orang yahudi dan Nasrani itu mendakwakan diri mereka sebagai orang-orang yang beriman, iaitu yang percaya kepada Allah dan hari kemudian. Tetapi mengapa pula Allah memberitahu bahwa mereka tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian? 

Jawabnya ialah keimanan orang-orang Yahudi dan Nasrani itu bukanlah seperti keimanan orang-orang mukmin. Kerana orang-orang Yahudi itu mengiktikadkan bahwa Allah ada mempunyai jisim dan mempunyai tara atau bandingan yang menyerupaiNya. Manakala orang-orang Nasrani pula mengiktikadkan bahwa Allah itu boleh menurun ke dalam diri seseorang. Contoh yang didakwanya ialah Allah menjelmakan diri ke dalam Nabi Isa.

Barangsiapa yang mengiktikadkan demikian, bukanlah dianya dianggap beriman dengan Allah. Sesiapa yang mengiktikadkan bahwa Uzair itu anak Allah dan Isa al Masih itu anak Allah maka mereka juga bukan dari golongan yang percaya kepada Allah, bahkan mereka telah menyekutukan Allah.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani ini juga telah pun mendustakan kebanyakan para Rasul. Sesiapa yang mendustakan seseorang daripda para rasul, sesungguhnya mereka juga bukanlah dariapda orang-orangyang percaya kepada Allah. Jadi dengan ini mereka juga dikira tidak beriman kepada Allah.

Adapun keimanan mereka pada hari kiamat pula adalah tidak sama dengan keimanan orang-orang mukmin pada hari kiamat. Kerana mereka telah mengiktikadkan bahwa manusia yang akan dibangkitkan oleh Allah di akhirat nanti hanyalah rohnya sahaja, tidak bersama-sama dengan jasadnya. Jadi barangsiapa mengiktikadkan demikian, maka keimanannya tidaklah seperti keimanan orang-orang mukmin yang sebenar.

Orang-orang Yahudi dan Nasrani itu tidak mengharamkan perbuatan meminum arak dan memakan babi. Maksudnya mereka tidak melarang untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Al Quran dan rasul di dalam hadisnya. Mereka juga tidak mengamalkan apa yang tersebut di dalam kitab Taurat dan Injil bahkan mereka telah mengubah isi kedua-dua kitab tersebut, lalu membuat pula hukum-hukum mengikut kemahuan hawa nafsu mereka.

Memanglah di dalam Al Quran tercatat bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani telah menjadikan ketua-ketua agama dan pendeta mereka sebagai Tuhan selain Allah, sehingga ketua dan pendeta tersebut telah berani pula membuat pengharaman dan menghalalkan dalam agama berdasarkan kemahuan mereka sendiri, lalu mereka pun mengikut hukum tersebut.

Mereka juga tidak mahu percaya bahwa agama Islam adalah agama yang hak lagi benar datangnya dari Allah. Atau dalam erti kata lain mereka tidak mahu memeluk agama Islam padahal alasan atau dalilnya telah dinyatakan oleh Allah dengan firmanNya di dalam ayat 19 surah Ali Imran yang bermaksud:
“sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah Islam.”


“...iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar "Jizyah" dengan keadaan taat dan merendah diri.
Orang-orang yang Yahudi dan Nasrani inilah golongan yang hidup satu zaman dengan umat pada masa itu dan masing-masing ada mempunyai kitab yang diturunkan oleh Allah iaitu Taurat dan Injil. Allah menyuruh supaya memerangi orang-orang yang dimaksudkan ini jika didapati mereka berispa memusuhi orang-orang mukmin atau menceroboh negeri orang-orang mukmin, ataupun menindas dan membuat fitnah  kepada orang-orang mukmin mengenai agama atau mengancam keamanan dan keselamatan orang-orang mukmin sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang Rom yang telah menyebabkan terjadinya peperangan Tabuk. Peperangan itu hendaklah berterusan sehinggalah orang-orang mukmin merasa aman dan selamat dan tidak diganggu lagi.

Setelah itu hendaklah orang-orang Rom itu tunduk di bawah kedaulatan dan undang-undang orang-orang mukmin. Dan dikehendaki orang-orang Rom itu menerima jalan aman dengan cara pembayaran ufti atau jizyah kepada orang-orang mukmin. Dengan sikap demikian mudahlah untuk memberi petunjuk dan hidayat agar mereka rela memeluk agama Islam, disebabkan mereka telah menyaksikan keadilan yang telah orang-orang mukmin jalankan dan kelebihan yang terdapat di kalangan orang-orang mukmin.









Surah At Taubah Ayat 30

وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِاَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?

Allah swt. menjelaskan keyakinan ahli kitab yang salah, baik orang-orang Yahudi atau pun orang-orang Nasrani. Mereka berkeyakinan bahwa "Uzair itu putra Allah". Kepercayaan ini bertentangan sekali dengan pengertian iman yang sebenarnya kepada Allah. Kerana iman yang benar ialah bahwa Allah itu Esa, tunggal, tidak beranak, tidak berbapak dan tidak bersekutu dengan apa dan siapa pun. Dia Maha Sempurna, Maha Kuasa dan tidak ada satu pun yang menyerupai dan menyamai-Nya.

Uzair adalah seorang tukang tenung bangsa Yahudi, penduduk negeri Babylon, hidup di sekitar tahun 457 sebelum Masehi. Dia seorang pengarang ulung, pendiri suatu perhimpunan besar, dan rajin mengumpulkan naskah-naskah Kitab Suci dari berbagai daerah. Dialah yang memasukkan huruf-huruf Kaldaniyah sebagai pengganti huruf-huruf Ibrani kuno. Dia juga yang menulis perkara-perkara mengenai peredaran matahari, menyusun kembali kitab-kitab bermutu yang telah hancur binasa.

Semasa hidupnya dianggap sebagai zaman agama Yahudi pesat berkembang kerana dialah penyair syariat Taurat yang terkemuka, menghidupkan syariat itu kembali sesudah sekian lama dilupakan orang. Oleh kerana kaum Yahudi menganggapnya sebagai seorang suci yang lebih dekat kepada Allah bahkan sebahagian dari mereka yang fanatik menganggap dan memanggilnya dengan "anak Allah".

Meskipun hanya sebahagian dari kaum Yahudi yang percaya demikian tetapi dapat dianggap bahwa kepercayaan itu adalah kepercayaan mereka seluruhnya karena ucapan yang salah itu tidak dibantah dan diingkari oleh golongan yang lain. Hal ini disebutkan di dalam firman Allah:
“Dan peliharalah dirimu dari siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu.”
(Q.S. Al-Anfal: 25)

Demikian juga halnya kaum Nasrani terhadap Isa Al-Masih. Mereka beriktikad bahwa Isa itu anak Allah. Kepercayaan ini pun sangat bertentangan dengan iman kepada Allah swt. Sekalipun pada mulanya kata-kata "Isa itu anak Allah" hanyalah merupakan ucapan nenek moyang mereka yang bermaksud bahwa dia itu adalah seorang yang mulia, dikasihi Allah dan terhormat, dan bukanlah ucapan itu bererti anak Allah sebenarnya.

Tetapi lambat laun, terutama ketika kepercayaan agama Hindu menyusup masuk ke dalam kaum Nasrani dan kedua agama itu berdampingan rapat, tertanamlah di dalam hati mereka kepercayaan bahwa Isa Al-Masih itu adalah benar-benar anak Allah. Kemudian setelah berlalu beberapa waktu lamanya, timbullah perubahan baru di dalam kepercayaan mereka, bahwa maksud anak Allah dan Allah juga Roh Kudus (ruh suci) yang kemudian dikenal dengan "Bapak, anak dan ruh suci".

Menurut keyakinan mereka, tiga oknum tersebut yaitu "Anak Allah, Allah dan Ruh Suci" pada hakikatnya adalah satu. Ajaran Gereja ini sudah menjadi ketetapan di dalam agama Nasrani, tiga abad sepeninggalan Isa Al-Masih dan pengikutnya. Meskipun kepercayaan ini ditentang oleh sebahagian besar dari mereka, tetapi gereja-gereja Katholik, Ortodoks dan Protestan tetap dengan pendirian mereka. Bahkan orang-orang yang tidak membenarkan kepercayaan yang salah itu, dianggap tidak lagi termasuk kaum Nasrani dan telah murtad dari agamanya.

Mengatakan Isa Al-Masih anak Allah dan meyakini bahwa tiga oknum suci itu adalah hakikat Tuhan Yang Maha Esa, tidak dibenarkan oleh Allah swt. dan tidak dapat diterima oleh akal yang sihat dan belum ada satu juga agama Nabi-nabi sebelum itu menganut kepercayaan demikian. Allah swt. menegaskan bahwa ucapan mereka seperti itu adalah bohong, tidak mempunyai hakikat kebenaran sedikit pun dan tidak ada satu dalil dan bukti yang nyata dapat menguatkannya. Allah swt. berfirman:
“Alangkah buruknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka, mereka tidak mengatakan (sesuatu) kecuali dusta.”
(Q.S. Al-Kahfi: 5)


Di dalam kitab-kitab perjanjian baru sendiri tidak terdapat keterangan yang menyatakan bahwa Isa Al-Masih itu anak Allah. Sesungguhnya mereka sudah sesat jauh dari yang sebenarnya. Mereka meniru-niru ucapan orang-orang kafir sebelumnya, seperti orang-orang musyrik bangsa Arab yang mengatakan "Malaikat-malaikat itu adalah putri-putri Allah".

Sejarah mencatat bahwa kepercayaan "Tuhan beranak, Tuhan menjelma dalam tiga oknum berhakikat satu" adalah kepercayaan kaum Brahma dan Budha di India, kepercayaan bangsa-bangsa Jepun, Parsi, Mesir, Yunani dan Romawi zaman dahulu. Keadaan orang-orang Yahudi dan orang Nasrani yang mempercayai bahwa Allah swt. itu beranak, belum pernah ada seorang pun dari bangsa Arab yang mengetahuinya, begitu juga orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan setelah turunnya Al Quran barulah mereka mengetahui akan hal ini.. Sesungguhnya ini adalah salah satu mukjizat Alquran.

Allah swt. mengutuk mereka kerana mereka belum mahu menginsafi dan menyedari kekeliruan dan kesesatannya. Meskipun Rasul-rasul Allah telah menjelaskan bahawa Allah itu Maha Esa, tidak beranak dan tidak diperanakkan, namun mereka tidak mahu kembali ke akidah tauhid, bahkan tetap bertahan pada iktikadnya yang keliru, yaitu menganggap bahwa Uzair dan Isa Al-Masih adalah anak Allah. Padahal keduanya itu adalah manusia-manusia hamba-Nya seperti juga manusia-manusia lain. Sekalipun diakui bahwa keduanya itu adalah manusia yang saleh, taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mulia dan dihormati sebagaimana firman Allah:
“Dan mereka berkata: "Tuhan Yang Maha Pemurah telah mengambil (mempunyai) anak." Maha Suci Allah. Sebenarnya (malaikat-malaikat itu) adalah hamba-hamba yang dimuliakan.”
(Q.S. Al-Anbiya': 26)









Surah At Taubah Ayat 31

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَاباً مِن دُونِ اللّهِ وَالْمَسِيحَ ابْنَ مَرْيَمَ وَمَآ أُمِرُوا إِلاَّ لِيَعْبُدُوا إِلَهاً وَاحِداً لآ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ سُبْحَانَهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

Allah swt. menjelaskan bentuk kesesatan ahli kitab, baik kaum Yahudi mahupun kaum Nasrani. Masing-masing mengambil dan mengangkat Tuhan selain Allah swt. sebagaimana halnya orang-orang musyrik Arab yang ditiru-tirunya itu. Orang-orang Yahudi menjadikan pembesar agama mereka sebagai Tuhan yang mempunyai hak menetapkan hukum menghalalkan dan mengharamkan. Manakala orang-orang Nasrani menjadikan rahib-rahib mereka yaitu pembesar-pembesar agama mereka sebagai Tuhan yang harus ditaati dan disembah.

Adapun kedudukan pembesar agama, baik ia sebagai pembesar Yahudi atau sebagai rahib Nasrani mahupun sebagai alim ulama Islam, mereka itu tidak lebih dari kedudukan seorang ahli yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang syariat agamanya masing-masing. Segala pendapat dan fatwa yang dikemukakannya hanyalah sebagai penerangan dari hukum-hukum Allah yang harus disertai dan didasarkan atas dalil-dalil yang nyata dari firman Allah swt. atau sunah Rasul yang disampaikan oleh Rasul-Nya.

Mereka tidak berhak sedikit pun membuat syariat-syariat agama, kerana yang demikian itu adalah hak Allah semata-mata. Menurut penganut agama Nasrani, selain Isa Al-Masih itu dianggap sebagai Tuhan yang disembah, ada juga di kalangan mereka yang menyembah ibunya, yaitu Maryam padahal Isa itu adalah seorang rasul seperti rasul-rasul sebelumnya dan Maryam ibunya hanya seorang yang benar, dan keduanya makan dan minum juga sebagaimana halnya manusia-manusia yang lain.
Firman Allah:
“Al-Masih putra Maryam itu hanyalah seorang rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar; kedua-duanya biasa memakan makanan.”
(Q.S. Al-Ma'idah: 75)

Kaum Katolik dan orang-orang Ortodoks menyembah pengikut-pengikut Nabi Isa dan pesuruh-pesuruhnya. Begitu juga pembesar-pembesar dan ahli-ahli agama mereka yang dianggap suci, dan dijadikannya perantara yang akan menyampaikan ibadat mereka kepada Allah. Mereka juga menganggap pendeta-pendeta mereka mempunyai hak untuk mengampunkan, atau pun tidak mengampunkan sesuai dengan keinginan mereka. Padahal tidak ada yang berhak mengampuni dosa kecuali Allah swt. sebagaimana firman-Nya:
“Dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.”
(Q.S. Ali Imran: 135)

Adapun kaum Yahudi, mereka menokok tambah hukum lain kepada syariat agamanya. Mereka tidak mencukupkan dan membataskan diri pada hukum yang terdapat dalam kitab Taurat sebagai pedoman hidup mereka. Tetapi sebaliknya mereka telah menambah dan memasukkan hukum-hukum lain yang didengar oleh mereka dari ketua-ketua agama mereka sebelum hukum-hukum itu dibukukan. Dan setelah itu jadilah ia peraturan umum yang harus dituruti dan ditaati oleh kaum Yahudi.

Demikianlah kesesatan-kesesatan yang telah dilakukan oleh Ahli Kitab padahal mereka itu tidak diperintahkan kecuali untuk menyembah Allah swt iaitu Tuhan Yang Satu, Tuhan Seru sekalian alam. Karena tidak ada Tuhan Yang berhak disembah kecuali Allah; Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa tiada sekutu bagi-Nya baik mengenal zat-Nya sifat-sifat-Nya mahupun af`al-Nya.

Maha Suci Allah swt. dari apa yang mereka persekutukan. Dan apabila mereka mempercayai bahwa pemimpin-pemimpin mereka itu berhak menentukan sesuatu hukum bererti mereka mempunyai kepercayaan bahwa ada Tuhan yang disembah selain dari Allah swt. yang dapat menyakitkan dan menyembuhkan, menghidupkan dan mematikan tanpa izin dari Allah swt. dan lain sebagainya. Dan bahwa ada Tuhan yang wajib ditaati dan dipatuhi segala perintah dan larangannya, segala apa yang dihalalkan dan diharamkannya sekalipun semuanya itu hanya timbul dari kehendak hawa nafsu dan akal fikiran mereka dan bukanlah bersumber dari wahyu Ilahi.










Surah At Taubah Ayat 32

يُرِيدُونَ أَن يُطْفِئُوا نُورَ اللّهِ بِاَفْوَاهِهِمْ وَيَأْبَى اللّهُ إِلآَّ أَن يُتِمَّ نُورَهُ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). “

Ketua-ketua  orang-orang Yahudi dan Nasrani telah berusaha hendak menghapuskan agama Allah yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw dengan cara mereka mendustakan baginda. Yang dimaksudkan dengan an-Nur (cahaya) dalam ayat ini ialah bukti yang menunjukkan benarnya kenabian  Muhammad saw yang berupa:
1 . bukti yang berupa mukjizat, iaitu perkara-perkara luar biasa yang berlaku pada diri Nabi Muhammad saw.
2 . bukti yang berupa AlQuran iaitu kitab suci yang diturunkan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad saw juga sebagai mukjizat yang akan kekal selama-lamanya dan menunjukkan atas benarnya kenabian Nabi saw.
3 . bahwa agama yang diserukan oleh Nabi saw ialah agama Islam iaitu agama yang di dalamnya tidak ada sebarang perintah kecuali supaya menyanjung Allah serta tunduk kepada apa yang diperintahkan dan yang ditegahNya, samada perkara suruhan supaya beribadat hanya kepada Allah semata-mata mahupun suruhan supaya membersihkan diri dari beribadat kepada yang lainNya.

Semua perkara ini sudah cukup terang dan jelas untuk membuktikan bahwa Muhammad saw adalah sebenarnya seorang Nabi dan pesuruh Allah. Barangsiapa yang cuba menghapuskan kebenaran itu atau mendustakannya pasti akan kecewa dan usahanya tetap gagal.

Demikian percubaan hendak menghapuskan agama Islam semenjak kebangkitan Nabi Muhammad saw yang telah dilakukan oleh orang-orang Ahli Kitab baik yang berupa peperangan mahupun yang berupa fitnah dan cercaan untuk merosakkan iktikad dan kepercayaan kaum mukmin. Maka tiap-tiap satu daripadanya adalah dimaksudkan untuk memadamkan cahaya Allah dari terus bersinar. Tetapi apakah tindakan Allah terhadap mereka ini?

Jawabnya firman Allah di dalam ayat ini yang bermaksud:
“....sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). “
Maksudnya Allah berjanji kepada Nabi Muhammad saw akan menambahkan kepadanya kemenangan demi kemenangan dalam perjuangannya menyiarkan agama Islam dari semasa ke semasa sehingga sempurnalah ketinggian kalimatNya dan keunggulan agamaNya, yang seolah-olahnya bulan purnama sedang mengambang penuh untuk menyinarkan cahyanya ke seluruh permukaan bumi, meskipun orang-orang kafir itu tidak menyukainya.









Surah At Taubah Ayat 33

هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan ugama yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala ugama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

Di sini Allah menyatakan, untuk menyempurnakan cahaya Allah maka, Allah telah mengutus rasulNya Nabi Muhammad saw dengan membawa hidayat, iaitu petunjuk dan pimpinan daripada Allah, dan membawa agama yang hak lagi benar yang dinamakan agama Islam. Sedang agama Islam itu pula tidak dapat ditukar dengan sesuatu agama yang lain.

Adapun tujuan Allah mengutus Nabi Muhammad saw ialah sebagai nabi yang terakhir ialah untuk meninggikan agama tersebut sehingga mengatasi semua agama lain. Betapa tidak? Kerana Islamlah agama yang dpat mengemukakan segala hujah dan bukti, memberikan petunjuk dan ilmu pengetahuan serta menetapkan kedaulatan dan kekuasaan.

Sehingga tidak ada lagi suatu agama pun yang dapat menandingi agama Islam yang pengaruhnya sangat berkesan dalam bidang kerohanian, akal fikiran, kebendaan, pergaulan dan politik. Maka kesempurnaan cahaya Allah dan ketinggian agamaNya yang mengatasi semua agama itu akan terlaksana walaupun orang-orang kafir dan musyrik itu tidak menyukainya.








Surah At Taubah Ayat 34

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا إِنَّ كَثِيراً مِنَ الاَحْبَارِ وَالرُّهْبَانِ لَيَأْكُلُونَ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللّهِ وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendita-pendita dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. “

Kebanyakan pemimpin dan pendeta orang Yahudi dan Nasrani telah dipengaruhi oleh cinta harta dan pangkat. Kerana itu mereka tidak segan-segan menguasai harta orang lain dengan jalan yang tidak benar dan dengan terang-terangan menghalang manusia dari beriman kepada agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. Sebab kalau mereka membiarkan pengikut mereka membenarkan dan menerima dakwah Islam tentulah mereka tidak dapat lagi bersikap sewenang-wenang terhadap mereka dan akan hilanglah pengaruh dan kedudukan yang mereka nikmati selama ini.

Pemimpin-pemimpin dan pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani itu telah melakukan berbagai cara untuk mengambil harta orang lain, di antaranya:
1. Membangun makam nabi-nabi dan pendeta-pendeta dan mendirikan gereja-gereja yang dinamakan dengan nama-Nya itu. Dengan demikian mereka dapat hadiah, nazar dan wakaf-wakaf yang dihadiahkan kepada makam dan gereja itu. Mereka juga meletakkan gambar orang-orang suci mereka atau patung-patungnya. Lalu gambar-gambar, patung-patung itu disembah dan dipohon bermacam-macam permintaan dan keinginan sebagai imbalannya. Supaya permintaan mereka dikabulkan, mereka hendaklah memberikan hadiah wang dan sebagainya. Dengan demikian terkumpullah wang yang banyak dan wang itu dikuasai sepenuhnya oleh pendeta itu. Ini adalah suatu tindakan yang bertentangan dengan agama yang dibawa oleh para rasul kerana membawa kepada kemusyrikan dan mengambil harta orang dengan memakai nama nabi dan orang-orang suci.
2. Yang khusus dilakukan oleh pendeta-pendeta Nasrani yaitu menerima wang dari seseorang sebagai imbalan atas pengampunan dosa yang dilakukan oleh mereka. Seseorang yang berdosa dapat diampuni dosanya bila ia datang ke gereja menemui bapa pendeta yang selalu dipanggil “father” dan mengakui di hadapannya semua dosa dan maksiat yang dilakukannya. Mereka percaya dengan penuh keyakinan bahwa bila bapa pendeta itu telah mengampuni dosanya, ini bererti Tuhan telah mengampuninya kerana bapa pendeta itu adalah wakil Tuhan di atas bumi. Kepada mereka yang telah memberikan wang tebusan dosa itu diberikan kad pengampunan seakan-akan kad ini nanti yang akan diperlihatkannya kepada Tuhan di akhirat nanti di hari pembalasan yang menunjukkan bahwa mereka sudah bersih dari segala dosa.
3. Imbalan memberikan fatwa-fatwa baik menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal sesuai dengan keinginan raja-raja, penguasa-penguasa dan orang-orang kaya. Bila pembesar dan orang kaya itu ingin melakukan suatu tindakan yang bertentangan dengan kebenaran seperti membalas dendam dan bertindak kejam terhadap suatu golongan yang mereka anggap sebagai penghalang bagi terlaksananya keinginan mereka atau mereka anggap sebagai musuh, mereka minta kepada pendeta supaya dikeluarkan suatu fatwa yang membolehkan mereka bertindak sewenang-wenang terhadap orang-orang itu. Meskipun fatwa itu bertentangan dengan ajaran agama mereka. Jadi dengan itu seakan-akan ajaran agama itu dianggap sepi dan seakan-akan kitab Taurat itu hanyalah lembaran-lembaran kertas yang boleh diubah-ubah semahu mereka. Hal ini sangat dicela oleh Allah dalam firman-Nya:

Firman Allah:
“Katakanlah: "Siapakah yang menurunkan kitab (Taurat) yang dibawa oleh Nabi Musa sebagai cahaya dan petunjuk bagi manusia; kamu jadikan kitab itu lembaran-lembaran kertas yang bercerai-berai, kamu perlihatkan (sebagiannya) dan kamu sembunyikan sebagian besarnya, padahal telah diajarkan kepadamu apa yang kamu dan bapak-bapak kamu tidak mengetahuinya.”
(Q.S. Al-An'am: 91)

4. Mengambil harta orang lain yang bukan sebangsa atau seagama dengan mereka dengan melaksanakan kecurangan, pengkhianatan pencurian dan sebagainya dengan alasan bahawa Allah mengharamkan penipuan dan pengkhianatan hanya terhadap orang-orang Yahudi saja. Adapun terhadap orang-orang yang tidak sebangsa dan seagama dengan mereka maka hal ini dibolehkan. Hal ini dijelaskan Allah dengan firman-Nya:
“Di antara ahli kitab ada orang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu dan di antara mereka ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya satu dinar, tidak dikembalikan kepadamu kecuali jika kamu selalu menagihnya. Yang demikian itu lantaran mereka mengatakan: "Tidak ada dosa bagi kami terhadap orang-orang ummi." Mereka berkata dusta terhadap Allah, padahal mereka mengetahuinya.”
(Q.S. Ali Imran: 75)

5. Mengambil riba. Orang-orang Yahudi sangat terkenal dalam hal ini, kerana ada di antara pendeta-pendeta mereka yang menghalalkannya walaupun pada hakikatnya di dalam kitab mereka sendiri menyatakan bahwa riba itu diharamkan. Ada pula di antara pendeta-pendeta itu yang menfatwakan bahwa mengambil riba dari orang-orang Yahudi adalah halal. Demikian pula pendeta-pendeta Nasrani ada yang menghalalkan sebagian riba meskipun mengharamkan sebagian yang lain.

Demikian cara-cara yang mereka lalukan dalam mengambil dan menguasai harta orang lain untuk kepentingan diri mereka sendiri dan untuk memuaskan nafsu dan keinginan mereka. Adapun cara-cara mereka menghalang manusia dari jalan Allah ialah dengan merosakkan akidah tauhid dan merosakkan ajaran agama yang murni. Orang-orang Yahudi telah pernah menyembah patung anak sapi, pernah mengatakan bahwa Uzair adalah anak Allah, dan banyak sekali mereka memutarbelitkan ayat-ayat Allah dan mengubah-ubahnya sesuai dengan keinginan dan hawa nafsu mereka sebagaimana telah dijelaskan pada ayat-ayat yang lalu yang tersebut dalam surat Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa' dan Al-Maidah.

Mereka secara terang-terangan mengingkari Nabi Musa a.s. sebagai nabi padahal Nabi Musa lah pembawa akidah yang murni yang kemudian dirosak oleh pendeta-pendeta Yahudi. Demikian pula orang-orang Nasrani telah menyelewengkan akidah tauhid yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. sehingga mereka menganggapnya sebagai Tuhan. Oleh kerana itu mereka, baik kaum Yahudi mahupun Nasrani selalu menentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. bahkan selalu menghina beliau dengan berbagai cara dan selalu menentang dan mendustakan AlQuranul Karim. Mereka berusaha dengan sekuat tenaga untuk memadamkan cahaya Allah tetapi Allah sudah menetapkan bahwa Dia akan menyempurnakan cahaya itu. Tentulah segala usaha dan daya upaya mereka akan menemui kegagalan tetapi pastilah hanya dengan kehendak Allah lah yang berlaku dan terlaksana. Allah berfirman:
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya.”
(Q.S. At Taubah: 32)

Demikianlah tindak-tanduk kebanyakan dari pimpinan dan pendeta kaum Yahudi dan Nasrani. Mereka sememangnya tamak akan harta benda, mengumpulkan sebanyak-banyaknya dan mempergunakan sebahagian dari harta itu untuk menghalang manusia mengikuti jalan Allah. Oleh sebab itu Allah akan melemparkan mereka kelak di akhirat ke dalam neraka dan akan menyiksa mereka dengan azab yang sangat pedih.

Mengenai pengumpulan harta ini dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, walaupun ditujukan kepada kaum Yahudi dan Nasrani, tetapi para mufassirin berpendapat bahwa ayat ini mencakupi juga kaum muslimin. Maka siapa saja yang kerana tamak dan serakahnya telah berusaha mengumpulkan harta kemudian menyimpannya dan tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka ia diancam Allah akan dimasukkan ke dalam neraka tak kiralah  dia beragama Yahudi, Nasrani mahupun beragama Islam.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahwa setelah turun ayat ini, maka kaum Muslimin merasa berkeberatan dan berkata: "Kami tidak sampai hati bila kami tidak meninggalkan untuk anak-anak kami barang sedikit dari harta kami." Umar berkata: "Saya akan melapangkan hartamu." Lalu beliau pergi bersama Saban kepada Nabi dan mengatakan kepadanya: "Hai Nabi Allah, ayat ini amat terasa berat bagi sahabat engkau." Rasulullah menjawab: "Sesungguhnya Allah tidak mewajibkan zakat melainkan agar harta yang tinggal di tanganmu menjadi bersih." Allah hanya menetapkan hukum warisan terhadap harta yang masih ada sesudah matimu."

Umar telah mengucapkan takbir atas penjelasan Rasulullah itu, kemudian Nabi berkata kepada Umar: "Aku akan memberitahukan kepadamu sesuatu yang paling baik untuk dipelihara, yaitu perempuan saleh yang apabila seorang suami memandangnya dia merasa senang, dan apabila disuruh dia mematuhinya dan apabila dia berada di tempat lain perempuan itu menjaga kehormatannya."









Surah At Taubah Ayat 35

يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لاَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَاكُنْتُمْ تَكْنِزُونَ
“(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahwa orang-orang yang mengumpulkan harta dan menyimpannya tanpa dinafkahkan sebahagiannya pada jalan Allah (dibayarkan zakat) bagi orang mukmin akan dimasukkan ke dalam neraka pada hari akhirat. Di dalam neraka itu semua harta itu akan dipanaskan dengan api lalu disterikakan pada dahi pemiliknya dan juga punggungnya, lalu diucapkan kepadanya inilah harta bendamu yang kamu simpan dahulu. Sehubungan dengan ini ada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Tidak ada seorang laki-laki yang tidak menunaikan zakat hartanya melainkan hartanya itu akan dijadikan kepingan-kepingan api lalu disetrikakan pada lambung, dahi dan punggungnya.”
(H.R. Muslim dari Abu Hurairah)

Demikianlah nasib orang-orang Yahudi dan Nasrani yang mengumpulkan harta serta mempergunakan sebaghagian harta itu untuk menghalang manusia dari jalan Allah. Demikian pula nasib seorang muslim yang tidak menunaikan zakat hartanya. Harta itu sendirilah yang akan dijadikan alat penyiksanya. Bagaimana caranya apakah harta yang mereka peroleh di dunia itu dijadikan kepingan-kepingan api atau sebagai gambaran saja. Allah Yang Maha Mengetahui, kerana hal itu termasuk urusan ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah saja.








Surah At Taubah Ayat 36

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالاَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَآفَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَآفَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

Allah memberitahukan bahawa bilangan bulan dalam setahun yang biasa dipakai oleh kaum muslimin ada sebanyak 12 bulan, iaitu:
1 . Muharram         7 . Rejab                     
2 . Safar        8 . Syaaban
3 . Rabiul Awal        9 . Ramadhan
4 . Rabiul Akhir        10 . Syawal
5 . Jamadil Awal        11 . Zulkaedah
6 . Jamadil Akhir    12 . Zulhijjah

Inilah bilangan bulan dalam setahun Qamariah, iaitu tahun yang mengikuti peredaran atau perjalan bulan. Dan inilah bulan orang-orang Arab yang kaum Muslimin pakai semasa mengerjakan puasa, iabadat haji dan dalam menyelesaikan segala urusan serta hukum-hukum di kalangan mereka.

Dalam satu tahun Qamariah ada sebanyak 355 hari, sedang dalam satu tahun Syamsiah, iaitu yang mengikuti perjalanan matahari dalam peredarannya pula mengandungi 365 ¼ hari. Ini bererti dalma setahun Qamariah telah kurang 10 hari berbanding dengan setahun Syamsiah. Oleh adanya kekurangan ini, maka terjadilah keadaan musim yang tidak tetap semasa pekerjaan puasa dan ibadat haji dilaksanakan. Ada kalanya puasa atau haji itu berlangsung pada musim panas dan ada kalanya musim sejuk. Ini bererti kadang-kadang akan menyebabkan sedikit kesukaran dan kadang-kadang pula akan ringan bagi orang yang menunaikannya.

Kata Muhajirin ayat ini diturunkan kerana adanya perbuatan orang-orang Arab yang mengundur-undurkan bulan yang suci semasa jahiliah dahulu. Mereka itu kadang-kadang mengerjakan haji tepat pada waktunya iaitu di bulan Zulhijjah. Tetapi kadang-kadang mereka mengerjakannya di bulan Muharram, Safar atau lain-lain bulan. Maka Allah pun memaklumkan bahawa bilangan bulan di sisi pengetahuan dan hukum Allah ialah sebanyak 12 bulan.

Bilangan tersebut telah ditetapkan oleh Allah dalam Luhmahfuz di mana hal ehwal makhluk dan apa-apa yang mereka lakukan dan yang mereka tinggalkan, semuanya telah ditulis di sana iaitu semenjak Allah menjadikan langit dan bumi.

Keempat-empat bulan suci Allah itu ada yang 3 bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram sementara 1 bulan lagi ialah di Rejab. Dinamakan bulan haram atau bulan suci kerana Allah mewajibkan supaya menghormati bulan tersebut dan diharamkan berperang. Setelah kedatangan Islam, keempat-empat bulan ini semakin dihormati dan dimuliakan. Kerana kebajikan dan ketaatan yang dilakukan pada bulan itu akan berlipat ganda pahalanya, manakala kejahatan pula jika dilakukan pada bulan suci ini akan lebih besar lagi dosanya dariapda bulan-bulan yang lain. Oleh sebab itulah ditegah menceroboh kesucian bulan-bulan tersebut.

Allah menyatakan lagi di dalam ayat ini bahwa esungguhnya hukum-hukum yang ada di dalam agama itu tidak akan berubah atau betukar, bahkan akan kekal selamanya. Maka wajiblah kaum muslimin membuat perkiraan dan membilangnya dengan betul semasa menetapkan puasa, haji, hari raya, membuat perjanjian, menetapkan tempoh hutang dan segala urusan kaum muslimin yang bersangkut paut dengan pemakaian bulan.

“...dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya;..”
Allah menyuruh kaum muslimin memerangi kaum musyrikin seluruhnya kerana mereka telah memerangi seluruh kaum muslimin. Maksudnya kaum muslimin haruslah bersatu patu bekerjasama dan bantu membantu dalam memerangi kaum musyrikin untuk menjadikan kalimat Allah itu di atas dari segala-galanya dan meletakkan pula kalimat syaitan di bawah sekali untuk dilenyapkan. Dan semasa berada di dalam peperangan, hendaklah kaum muslimin jangan sekali-kali merasa gentar, takut atau mundur. Sesungguhnya Allah membantu mereka dan akan menolong mengalahkan musuh-musuh mereka yang juga musuh-musuh Allah.









Surah At Taubah Ayat 37

إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا يُحِلُّونَهُ عَاماً وَيُحَرِّمُونَهُ عَاماً لِيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَاحَرَّمَ اللّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوءُ أَعْمَالِهِمْ وَاللّهُ لايَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ
Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Orang-orang Arab ini telah mewarisi agama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengenai pengharaman berperang di dalam bulan-bulan suci ini untuk memelihara keamanan bagi orang-orang yang hendak mengerjakan haji dan perjalanannya.  Oleh kerana hal ini telah lama sudah berjalan, maka mereka pun mahu mengubah dan menukar hal-hal yang berkaitan dengan ibadat haji dan kesucian bulan-bulan haram, terutama sekali bulan Muharram. 

Ini kerana orang-orang Arab ini memang suka berperang. Dan denganitu mereka merasa tersangat berat untuk meninggalkan peperangan dan gerakan penyerangan dalam masa tiga bulan berturut-turut. Lalu kesucian bulan Muharram itu telah mereka ceroboh. Caranya ialah mereka telah menghalalkan peperangan di bulan Muharram dan menggantikan bulan haram beperang itu pada bulan Safar. Ini adalah supaya bilangan bulan suci itu tetap kekal sebagai 4 bulan sebagaimana biasa.

Perbuatan ini telah berlawanan dengan nas dan hikmah adanya pengharaman dalam bulan-bulan suci itu. Dan perbuatan ini juga telah mengubah perjalanan syariat Nabi Ibrahim semata-mata untuk mengikutkan hawa nafsu mereka. Ini bererti ia menambahkan kekufuran mereka yang sedia ada ketika mereka telah syirik dan menyekutukan Allah.

Mereka telah dipengaruhi oleh syaitan yang telah membisikkan kepada mereka bahwa perbuatan mereka yang buruk itu adalah dipandang indah dan baik. Sesungguhnya petunjuk itu hanyalah didapat dengan adanya keimanan dan amalan yang salih. Sedangkan orang kafir itu pula hanya mengikuti kemahuan hawa nafsu dan syaitan yang menggoda, sehingga ia diceburkan di dalam kerugian dan kecelakaan.









Surah At Taubah Ayat 38

يَآ أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انْفِرُوا فِي سَبِيلِ اللّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الاَرْضِ أَرَضِيتُمْ بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الاَخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الأَخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.

Pada tahun ke 9 hijrah Nabi Muhammad saw. memerintahkan kaum Muslimin supaya bersiap sedia untuk berperang melawan orang-orang Nasrani di Tabuk, yaitu suatu tempat yang terletak antara Madinah dan Damsyik, lebih kurang 610 km dari Madinah dan 692 km dari Damsyik.

Perintah persiapan ini didasarkan atas berita yang sampai kepada kaum Muslimin dari kaum Nibty yang membawa dagangan minyak negeri Syam, bahwa bangsa Romawi bersama kaum Nasrani Arab yang terdiri dari kaum Lakhmin, Juzam dan lain-lain yang jumlahnya kira-kira 40 ribu orang lengkap dengan persenjataan dan perbekalan serta dipimpin seorang panglima besar bernama Qubaz. Mereka telah siap untuk menyerbu kota Madinah memerangi kaum Muslimin. Barisan perintis mereka sudah sampai pada suatu tempat di perbatasan yang bernama Baqias.

Suatu kebiasaan Nabi Muhammad saw. apabila menghadapi suatu peperangan, dengan pertimbangan kemaslahatan, beliau merahasiakan hal-hal yang berhubungan dengan peperangan itu. Tetapi kali ini Nabi Besar Muhammad saw. secara terbuka memberitahukan kaum Muslimin tentang keadaan yang serba sulit dan susah, serta kekurangan, jauhnya jarak yang ditempuh, jumlah bala tentera dan kekuatan musuh yang akan dihadapi. Ini supaya mereka benar-benar mengadakan persiapan yang mantap.

Kaum Muslimin yang imannya teguh,, tanpa memikirkan keadaan yang serba sulit serta menyedihkan, bersiap-siap menunggu komando keberangkatan. Para dermawan tidak segan-segan menyumbangkan kekayaannya demi untuk kepentingan jihad fisabilillah. Sayidina Usman menyumbang 10.000 dinar, 300 unta, lengkap dengan persenjataannya dan 50 kuda. Sayidina Abu Bakar menyumbangkan semua kekayaannya yaitu 4.000 dirham. Nabi Muhammad saw. bertanya: "Apakah masih ada sesuatu yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?" Beliau menjawab: "Yang saya tinggalkan untuk keluargaku ialah Allah dan Rasul-Nya." Sayidina Umar bin Khatab menyumbang seperdua dari harta kekayaannya.

Asim bin `Adi menyumbangkan 70 wasaq kurma (satu wasaq = 60 gantang). Kaum ibu juga tidak mahu ketinggalan. Perhiasan emas mereka berupa gelang, anting-anting, kalung dan lain sebagainya disumbangkan dengan penuh keikhlasan demi untuk perjuangan kaum Muslimin. Setelah segala sesuatunya telah siap, berangkatlah Nabi Besar Muhammad saw. bersama 30.000 orang menuju Tabuk. Muhammad bin Maslamah dilantik oleh Rasulullah saw. untuk mengurus kota Madinah dan mengamanahkan kepada Ali bin Talib mengurus rumah tangganya.

Di samping itu tidak sedikit tentera kaum Muslimin yang bermalas-malas dan tidak ikut serta bersama ke Tabuk dengan dalih antara lain, bahwa belum lama mereka kembali dari perang Hunain dan Taif. Juga pada waktu musim panas sangat teriknya, musim sukar dan susah memperoleh keperluan sehari-hari seperti makanan dan lain sebagainya. Kerana sulitnya mendapat makanan,sebiji kurma untuk makanan dua orang, sedang pada waktu itu buah-buahan di Madinah seperti kurma sudah mulai masak, dan sebentar lagi akan dipetik.

Dengan ayat ini Allah swt. mencela dan mengutuk perbuatan mereka. Dan dari kejadian ini dapat diketahui dengan jelas, siapa di antara kaum Muslimin yang benar-benar beriman, dan siapa di antara mereka yang munafik, yang imannya hanya pura-pura saja. Salah satu tanda bahawa iman seseorang itu benar ialah dia rela mengorbankan harta dan kalau perlu jiwanya untuk jihad di jalan Allah, sebagaimana firman Allah swt.:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka tidak raga-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.”
(Q.S. Al-Hujurat: 15)

Sedangkan orang-orang munafik yaitu orang-orang yang imannya hanya pura-pura, mereka lebih mengutamakan kesenangan hidup di dunia yang fana ini yang segala sesuatunya bersifat sementara daripada kebahagiaan di akhirat kelak yang sifatnya kekal abadi. Padahal kesenangan di dunia bagaimanapun hebatnya tidaklah akan bererti apa-apa jika dibandingkan dengan kebahagiaan di akhirat. Sabda Rasulullah saw.:
“Demi Allah tiadalah dunia ini (jika dibandingkan) dengan akhirat kecuali (hanya) seperti salah seorang kamu yang meletakkan jarinya di dalam laut kemudian diangkatnya. Maka lihatlah apa yang hanya terbawa oleh jarinya.”
(H.R. Muslim, Ahmad, dan Tirmizi dari Al Miswar)







Surah At Taubah ayat 39

إِلاَّ تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَاباً أَلِيماً وَيَسْتَبْدِلْ قَوْماً غَيْرَكُمْ وَلا تَضُرُّوهُ شَيْئاً وَاللّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

Allah menjelaskan sekiranya orang-orang mukmin yang bermalas dan berdalih itu tidak mahu menyahut seruan Rasulullah saw untuk berangkat ke medan perang, nescaya Allah akan menghukum mereka dengan seksaan yang pedih di akhirat, ataupun yang berupa bencana seumpama musim kemarau atau mereka akan dikalahkan musuh di dunia. Dan mereka akan ditukarkan dengan kaum lain yang lebih baik kerana lebih patuh dan taat kepada Rasulullah saw. Kerana Allah telah menjanjikan kemenangan kepada RasulNya dan menjamin untuk menegakkan agamaNya lebih tinggi dari agama-agama seluruhnya. Firman Allah swt.:
“Dan jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini).”
(Q.S. Muhammad: 38)

Memanglah menjadi ketetapan Allah azza wajalla kepada makhlukNya, bahwa sesuatu bangsa yang tidak mahu mempertahankan diri dan membelanya pasti tidak akan kekal kedaulatannya, mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang akan menindas dan menjajahnya.

Dan janganlah mereka menyangka bahwa tanpa pertolongan mereka kepada Rasul akan menyusahkan pula kepada Allah atau kepada RasulNya. Tidak sama sekali. Sedikit pun tidak akan menyusahkanNya. Alalh tidak sekali-kali berhajat kepada mereka dalam apa jua pun perkara. Dia lebih berkuasa di atas semua hamba-hambaNya. Semua yang di langit dan di bumi diarahkan untuk mengikut perintahNya. Tetapi dalam pada itu manusia adalah diberi kesempatan untuk berikhtiar, dan dengan ikhtiarnya itu nanti dapatlah dijadikannya hujah semasa menerima balsan dari apa yang ia kerjakan. Sabda Rasulullah saw :
“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu tidak akan meberikan mudarat kepada-Ku hingga kamu dapat menyusahkan Aku, begitu juga kamu tidak dapat memberikan manfaat kepada-Ku hingga kamu dapat memberikan pertolongan kepada-Ku.”
\(H.R. Muslim dari Abu Zar Giffari)









Surah At Taubah Ayat 40

إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاتَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَاَنْزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang enggan menyertai Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk. Allah memeberitahu bahwa Dialah yang menjamin untuk menolong RasulNya, menegakkan agama dan meninggikan kalimah tauhidNya samada mereka mahu membantu ataupun tidak. Sedangkan dahulu semasa Rasulullah saw masih kekurangan sahabat dan teman telah pun ditolong oleh Allah, inikan pula sekarang dalam perang Tabuk ia banyak mempunyai sahabat dan persiapan.

Dalam ayat ini Allah menceritakan kembali ketika Nabi Muhammad saw yang hendak dibunuh oleh orang-orang kafir Mekah. Pada masa itu Nabi Muhamamd saw dan Sayidina Abu Bakar telah bersembunyi di dalam gua Thur setelah meninggalkan kota Meka pada malam hari semasa kaum musyrikin Quraisy bermaksud untuk membunuh baginda. Setelah kaum musyrikin Quraisy mengetahui bahwa baginda telah lari dari Mekah , mereka telah mencari baginda dengan bersungguh-sungguh dan menjanjikan hadiah kepada mereka yang dapat mencari dan menangkap baginda hidup atau mati.

Mereka yang mencari itu sampai ke gua tersebut, iaitu gua Thur. Tetapi mereka tidak dapat melihat Nabi saw dan Sayidina Abu Bakar walhal kaki mereka ternampak kerana lubang gua itu di sebelah bawah. Kalaulah mereka tunduk ke bawah pasti mereka akan dapat menjumpai baginda dan Abu Bakar.

Waktu itu Sayidina Abu Bakar ketakutan atas keselamatan diri Nabi saw maka baginda berkata kepada Abu Bakar, “janganlah engkau bersusah hati, sesungguhnya Allah bersama-sama kita.” Allah telah menurunkan perasaan tenteram ke dalam hati rasulNya sehingga ia berkeadaaan tenang. Sedikit pun tidak merasa cemas dan dikuatkan pula dengan bantuan tentera dari bangsa malaikat. Tentera malaikat inilah juga yang diturunkan oleh Allah kepada RasulNya dalam beberapa peperangan seperti perang Badar, Uhud dan Abzab.

“...Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. “
Allah telah menetapkan segala perkataan atau kepercayaan yang menyeru kepada syirik dan kufur pasti dikebawahkan dan dikalahkan dengan berterusan hingga hari kiamat. Manakala perkataan mentauhidkan Allah dan mpenyaksian di atas keesaanNya itu tetap ke atas dan berkekalan hingga ke hari kiamat. Kerana Allah itu gagah dalam kerajaanNya dan bijaksana untuk meletakkan sesuatu itu pada tempat dan kedudukannya. 










No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.