Thursday, January 7, 2016

Surah As Saffaat Ayat 133 - 153







As Saffaat Ayat 133  Hingga 138

وَإِنَّ لُوطًا لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ
133 - Sesungguhnya Luth benar-benar salah seorang rasul.

إِذْ نَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ أَجْمَعِينَ
134 - (Ingatlah) ketika Kami selamatkan dia dan keluarganya (pengikut-pengikutnya) semua.

إِلَّا عَجُوزًا فِي الْغَابِرِينَ
135 - kecuali seorang perempuan tua (isterinya yang berada) bersama-sama orang yang tinggal.

ثُمَّ دَمَّرْنَا الْآخَرِينَ
136 - Kemudian Kami binasakan orang-orang yang lain.

وَإِنَّكُمْ لَتَمُرُّونَ عَلَيْهِمْ مُصْبِحِينَ
137 - Dan sesungguhnya kamu (hai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas) mereka di waktu pagi,

وَبِالَّيْلِ ۗأَفَلَا تَعْقِلُونَ
138 - dan di waktu malam. Maka apakah kamu tidak memikirkan?

Bermula dari ayat 133 ini Allah bagitahu kita tentang kisah Nabi Lut pula. Tersebut di dalam sejarah bahwa ayah kepada nabi Lut adalah saudara kepada Nabi Ibrahim. Sebab itu maka Nabi Lut adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim. Ketika meninggalkan kampung halaman, setelah nabi Ibrahim diselematkan Allah dari pembakaran unggun api, Nabi Ibrahim telah mengajak Nabi Lut berangkat meninggalkan kampung halaman bersama beliau.

Maka Allah bagitahu di dalam ayat 133 bahwa nabi Lut pun juga adalah di antara orang-orang yang diutus oleh Allah juga. Beliau juga adalah salah seorang dari rasul Allah. Di dalam surah-surah yang lain telah banyak diterangkan tentang kisah Nabi Lut ini. Bahwa kaumnya telah berbuat kejahatan yang sebelum ini belum pernah dibuat dek orang, iaitu lelaki berkeinginan kepada sesama lelaki yang lebih muda. Di zaman sekarang dipanggil homoseksual. Penyakit ganjil ini juga telah dipanggil orang sebagai penyakit kaum Lut.

“(Ingatlah) ketika Kami selamatkan dia dan keluarganya (pengikut-pengikutnya) semua.”
Ketika Allah mengutuskan malaikat-malaikat yang menyerupai lelaki-lelaki muda yang berbadan sado untuk turun menemui Nabi Lut di rumah beliau, ianya telah menimbulkan kekecohan di kalangan kaum Nabi Lut . Malaikat-malaikat itu datang menemui Nabi Lut untuk memberitahu bahwa Allah akan menurunkan azab kepada kaumnya dan meminta agar nabi Lut dan keluarga serta orang-orang yang beriman agar meninggalkan negeri itu sebelum waktu Subuh. Maka keluarlah Nabi Lut bersama keluarga dan pengikut-pengikutnya yang lain. Mereka semua ini telah terlepas dari bahaya azab Allah.

“kecuali seorang perempuan tua (isterinya yang berada) bersama-sama orang yang tinggal.”
Isteri Nabi Lut ini telah tertinggal ke belakang adalah di atas kehendaknya sendiri. Kerana dia tidak percaya kepada seruan suaminya. Maka samalah nasibnya dengan isteri Nabi Nuh ,kerana sama-sama tidak mahu percaya kepada suami yang telah menjadi utusan Allah. Dan mereka juga menentang dakwah suami mereka.

Di dalam surah At Tahrim ayat 10 dijelaskan oleh Allah bahwa isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut sama-sama mengkhianati suami mereka. Maka meskipun suami mereka nabi, tidaklah bermakna kenabian suami mereka itu akan dapat menolong mereka dari azab Allah. Azab Allah akan diterima oleh sesiapa saja bergantung kepada amalan buruk yang telah mereka lakukan. Jadi di sini isteri Nabi Lut telah mengengkari seruan Nabi Lut sendiri maka layaklah untuk dia masuk ke neraka bersama-sama orang-orang yang lain yang turut menzalimi diri mereka sendiri.

“Kemudian Kami binasakan orang-orang yang lain.’
Setelah Nabi Lut dan pengikutnya telah meninggalkan perkampungan mereka, maka datanglah azab Allah terhadap mereka yang telah berbuat keji dan nista itu. Para ahli tafsir mengatakan bahwa orang-orang perempuan yang telah turut dihancurkan juga, kerana di kalangan perempuan itu telah berjangkit pula penyakit yang sama terhadap sesama perempuan. Di zaman ini dipanggil lesbian.

“Dan sesungguhnya kamu (hai penduduk Mekah) benar-benar akan melalui (bekas-bekas) mereka di waktu pagi,’
Allah menggesa kaum musyrikin Mekah agar mereka pergi melihat sendiri dan mengambil tauladan dari peristiwa kebinasaan negeri Sadom tersebut disebabkan penduduknya yang derhaka kepada Allah dan mendustakan Rasulnya. Perkara ini ditekankan kepada kaum Quraisy Mekah kerana mereka sebagai pedagang  amat kerap berlayar dari Mekah ke negeri Syam dan melintasi kawasan itu samda pada waktu pagi mahupun malam. Maka akan kelihatanlah bekas negeri Sadom yang telah dibinasakan itu dengan jelas sekali. Oleh sebab itu perhatian mereka ditarik supaya memikirkannya, untuk dijadikan tauladan dan pengajaran kepada mereka.








As Saffaat Ayat 139 Hingga 144

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ الْمُرْسَلِينَ
139 - Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul,

إِذْ أَبَقَ إِلَى الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ
140 - (ingatlah) ketika ia lari, ke kapal yang penuh muatan,

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ الْمُدْحَضِينَ
141 - kemudian ia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.

فَالْتَقَمَهُ الْحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٌ
142 - Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela.

فَلَوْلَا أَنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُسَبِّحِينَ
143 - Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah,

لَلَبِثَ فِي بَطْنِهِ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ
144 - niscaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.

Di dalam ayat ini Allah memberitahukan kisah Nabi Yunus pula. Sesungguhnya Nabi Yunus ini adalah seorang Rasul Allah. Dialah yang bernama Dzin Nun bin Matta. yang berbangsa Ninive, iaitu bangsa purba yang hidup di sekitar Mausir, di pinggir laut.

(ingatlah) ketika ia lari, ke kapal yang penuh muatan,
Maksud lari di sini adalah lari ataupun mengelakkan diri dari kewajipan. Seumpama seorang perajurit, ketika menghadapi musuh di medan perang besar, tiba-tiba ia menghilang keluar dari barisan lalu menyembunyikan diri entah ke mana.

Maka diceritakanlah bahwa Nabi Yunus ini telah diperintahkan Allah untuk melakukan dakwah kepada kaumnya di negeri Ninive itu. Tetapi rupanya seruan beliau tidak dipedulikan oleh kaumnya. Sehingga beliau telah menjadi jauh hati, lalu merajuk dan segera pergi meninggalkan kaumnya. Meninggalkan negeri itu dengan rasa kecewa dan marah. Ataupun mungkin juga Nabi Yunus tidak kuat menghadapi rintangan dan keingkaran dan kederhakaan oleh kaumnya yang tidak mahu menerima teguran itu. Lalu beliau pun terus meninggalkan negeri itu dan berjalan menuju ke tepi laut.

Sesampai di tepi laut kelihatan sebuah kapal yang hendak membongkarkan sauhnya untuk memulakan pelayaran ke laut lepas. Sebenarnya kapal itu telah sangat sarat dengan barang-barang dan dengan penumpang lain. Tetapi Nabi Yunus tidak terfikirkan hal itu. Beliau hanya memikirkan untuk lekas-lekas pergi meninggalkan negeri itu. Oleh kerana kapal itu hendak berlayar maka beliau pun segera naik untuk menumpang.

Lalu berlayarlah kapal itu dengan muatan yang sangat sarat. Di tengah pelayaran, datanglah ombak dan gelombang yang kian lama kian besar. Saratnya kapal dengan muatan akan menyebabkan bahaya kepada kapal itu. Jika datang alun dan gelombang yang besar, kapal itu kemungkinan akan tenggelam. Maka berkatalah nakhoda kapal tersebut bahwa supaya selamat, hendaklah dibuang isi kapal yang ada. Isi kapal yang dimaksudkan adalah barang muatan dan termasuklah penumpang kapal itu sendiri. Dan untuk menentukan siap ayang mesti dikeluarkan maka akan diadakan undian.

Maka penumpang-penumpang itu termasuk Nabi Yunus sendiri pun mengundilah, Siapa yang kalah mengundi dialah yang terpaksa terjun dari kapal itu. Sekali mengundi nama Nabi Yunus naik sebagai orang yang kalah. Dua kali untuk nama Nabi Yunus juga yang naik sebagai orang yang kalah. Jadi beliaulah yang terpaksa terjun keluar dari kapal itu. Maka tahulah Nabi Yunus bahwa disebabkan kerana kepergian beliau meninggalkan negeri dan kaumnya dengan perasaan kecewa dan marah, dengan tanpa izin Allah, maka terpaksalah dia terjun ke laut.

Sebaik saja Nabi Yunus terjun ke laut, beliau telah disambar oleh seekor ikan nun yang besar, terus saja ditelan oleh ikan itu dan masuklah Nabi Yunus ke dalam perut ikan nun itu. Di dalam keadaan gelap gulita dan tercela. Akibat dari meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah. Tahulah beliau, bahwasanya sepatutnya beliau harus bersabar semasa menderita menghadapi penganiayaan kaumnya sebagaimana bersabarnya para rasul yang lain terhadap kaum masing-masing.

Maka duduklah Nabi Yunus di dalam perut ikan nun itu dengan bertasbih memohon keampunan dari Allah. Diberitahukan bahwa Nabi Yunus ini adalah seorang nabi yang suka bertasbih kepada Allah. Bahkan di dalam perut ikan nun itu pun Nabi Yunus duduk bertasbih tidak lepas-lepas.

Tasbih dan doa Nabi Yunus semasa berada di dalam perut ikan nun adalah sepertimana ayat 87 surah Al Anbiya  :

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim" (QS Al Anbiya’ : 87)

Doa ini telah didengar oleh Allah maka Nabi Yunus pun dibebaskan dari perut ikan nun. Kalau tidak, “ niscaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.”

Itulah kata-kata yang halus sebagai ganti untuk kata ‘mati’. Sebab ikan itu sendiri pun tentu tidak akan hidup sampai hari kiamat. Oleh kerana itu maka badannya akan hancur dalam perut ikan nun. Tidak diberitahukan berapa lama Nabi Yunus berada di dalam perut ikan nun itu. Allah tidak memberitahu di dalam Al Quran dan tidak pula ada hadis yang sahih dari Rasulullah sendiri.









As Saffaat Ayat 145 Hingga 148

اهُ بِالْعَرَاءِ وَهُوَ سَقِيمٌ
145 - Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit.

وَأَنْبَتْنَا عَلَيْهِ شَجَرَةً مِنْ يَقْطِينٍ
146 - Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu.

وَأَرْسَلْنَاهُ إِلَىٰ مِائَةِ أَلْفٍ أَوْ يَزِيدُونَ
147 - Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih.

فَآمَنُوا فَمَتَّعْنَاهُمْ إِلَىٰ حِينٍ
148 - Lalu mereka beriman, karena itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.

Maka keluarlah Nabi Yunus dari perut ikan nun itu. Nabi Yunus didamparkan di tepi lautan yang tanahnya tandus, jarang terdapat tempat yang subur ditumbuhi kayu kayan. Yang ada di sana hanyalah pasir sahaja. Setibanya di daratan Nabi Yunus berada di dalam keadaan lemah dan sakit. Hal ini disebabkan penderitaan selama dalam perut ikan.

Untuk memelihara Nabi Yunus dari kepanasan matahari dan kedinginan malam, maka Allah telah menumbuhkan sebatang pohon yang berjenis rimbun dan rendang. Ada juga yang kata pokok itu adalah pokok kundur ataupun pokok labu batang. Jadi Nabi Yunus telah dapat menyelimuti badannya dan berlindung dari panas matahari dengan daun dari pokok tersebut. Buahnya pula boleh dimakan untuk memenuhi keperluan hidup.

Setelah pulih kesihatannya, lalu Allah memerintahkan Nabi Yunus supaya segera kembali kepada kaumnya di negeri Ninive itu, yang jumlah penduduknya adalah menjangkau 100,000 orang atau lebih. Nabi Yunus pun segera menuruti perintah Allah dengan baik kerana tidak mahu mengulangi kesalahan yang telah dilakukan dahulu.

Kali ini dakwah Nabi Yunus telah diterima dan mendapat sambutan dari kaumnya. Mereka semuanya telah beriman. Mereka telah sama-sama insaf akan kesalahan masing-masing. Baik pengikutnya mahupun Nabi Yunus sendiri. Nabi Yunus pun tidak suka marah-marah lagi. Dengan itu berhasillah usaha Nabi Yunus untuk mengajak kaumnya ke jalan tauhid dek kerana pengalaman yang pahit yang telah dilaluinya itu. Sehingga mereka telah dikurniakan Allah dengan kenikmatan hidup yang banyak sewaktu hidup di dunia sampailah mereka mati.

Sisters,
Apabila kita renungkan ayat-ayat yang menceritakan kisah Nabi Yunus ini, ada dua perkara yang ditonjolkan tentang kelebihan Nabi Yunus ini. Pertama ialah Nabi Yunus ini selalu saja duduk bertasbih kepada Allah. Maka dengan sebab itulah beliau telah selamat dari bahaya. Kedua ialah setelah Nabi Yunus pulih dari sakit, beliau pun bersegera  kembali kepada kaumnya dan mereka semua pun  beriman.

Jelas di sini bahwa kedudukan beliau adalah tidak sama dengan nabi-nabi yang sebelum ini yang diceritakan seperti nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Harun, Nabi Lut dan Nabi Ilyas. Kalau sisters boleh ingat, di ayat-ayat terdahulu yang menceritakan nabi-nabi ini, ada diucapkan ‘selamat sejahtera’ kepada setiap seorang dari mereka semua.  Tetapi Nabi Yunus tidak diucapkan ‘selamat sejahtera’.

Barangkali sebabnya ialah kerana beliau telah meninggalkan kaumnya dari terus menyeru mereka kepada Allah. Akan tetapi martabat belaiu sebagai seorang rasul Allah telah dapat beliau tebus dan perbaiki semula setelah beliau sembuh. Dan beliau telah berhasil menyeru ajaran tauhid itu kepada lebih seratus ribu orang kaumnya. Dan mereka semua ini telah beriman. Ini telah memperbaiki kedudukan beliau sebagai seorang Rasul. Namun cacat yang bermula tadi dengan secara adil telah disebutkan juga oleh Allah, untuk  dijadikan peringatan bagi tiap-tiap pejuang yang menyambung tugas rasul dan nabi Allah.








As Saffaat Ayat 149 Hingga 153

فَاسْتَفْتِهِمْ أَلِرَبِّكَ الْبَنَاتُ وَلَهُمُ الْبَنُونَ
149 - Tanyakanlah (ya Muhammad) kepada mereka (orang-orang kafir Mekah): "Apakah untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak laki-laki,

أَمْ خَلَقْنَا الْمَلَائِكَةَ إِنَاثًا وَهُمْ شَاهِدُونَ
150 - atau apakah Kami menciptakan malaikat-malaikat berupa perempuan dan mereka menyaksikan (nya)?

أَلَا إِنَّهُمْ مِنْ إِفْكِهِمْ لَيَقُولُونَ
151 - Ketahuilah bahwa sesungguhnya mereka dengan kebohongannya benar-benar mengatakan:

وَلَدَ الَّهُ وَإِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
152 - "Allah beranak". Dan sesungguhnya mereka benar-benar orang yang berdusta.

أَصْطَفَى الْبَنَاتِ عَلَى الْبَنِينَ
153 - Apakah Tuhan memilih (mengutamakan) anak-anak perempuan daripada anak laki-laki?

Setelah memberikan contoh teladan dari kisah para nabi dan rasul Allah, kini Allah berbalik semula kepada orang-orang musyrikin. Orang-orang musyrikin ini mengatakan bahwa malaikat-malaikat itu adalah anak perempuan Allah. Ada juga yang lancang mulut mengatakan bahwa berhala-berhala yang mereka sembah itu bangsa dan jenisnya adalah perempuan. Sebab itulah nama-nama berhala itu semua adalah nama perempuan dan tidak ada yang nama lelaki. Umpamanya Latta, Uzza, Manaata, semuanya adalah nama perempuan.

Sekarang Nabi Muhammad s.a.w. disuruh bertanya kepada orang-orang musyrikin ini "Apakah untuk Tuhanmu anak-anak perempuan dan untuk mereka anak laki-laki,” Mereka kata bahwa malaikat itu anak Allah dan malaikat itu semuanya perempuan. Jadi anak Allah itu perempuan semuanya?

Dan mereka pula tidak senang kalau mereka mendapat anak perempuan. Mereka merasa malu dan marah kalau dapat anak perempuan. Bahkan ada yang membunuh anak perempuan mereka, ditanah hidup-hidup kerana sangat bencinya mereka kepada anak perempuan.

Sekarang ini bagaimanakah perasaan mereka kepada Allah kalau mereka kata bahwa anak Allah adalah perempuan dan malaikat itu adalah perempuan. Bukankah dengan berbuat zalim kepada anak perempuan mereka itu bermakna mereka telah menghina Allah?

Apakah Allah itu mereka anggap hina, kerana anakNya adalah perempuan semuanya? Dan mereka itu lebih mulia dari Allah kerana mereka ada yang mendapat anak lelaki? Atau mereka sendiri yang berjantina lelaki, adakah mereka lebih mulia dari malaikat yang mereka kata semuanya perempuan?

“apakah Kami menciptakan malaikat-malaikat berupa perempuan dan mereka menyaksikan (nya)?”
Inipun satu dongeng yang mereka reka-reka sesuka hati mereka sendiri. Mereka kata bahwa malaikat itu adalah perempuan. Dari manaaa la mereka dapat berita ini? Adakah mereka turut sama menyaksikan saat malaikat itu lahir ke dunia? Atau adakah di antara mereka yang pernah melihat malaikat, sehingga jelas bagi mereka bahwa memang malaikat itu berjantina perempuan?

Sangat jelas betapa buruk dan palsunya iktikad orang-orang musyrikin itu. Sesungguhnya sudah jelas kebohongan apa yang mereka dakwakan itu, dan betapa dustanya iktikad mereka kerana mengatakan Allah itu mempunyai anak. Ianya adalah kata-kata bohong dan tidak boleh dipercayai.

Malahan mereka itulah yang sebenar-benarnya pendusta dan pembohong. Sememangnya tidak masuk akal langsung tindakan mereka memilih dengan mengutamakan anak-anak perempuan itu bagi Allah. Dan tidak meletakkan anak lelaki bagi Allah. Walhal kalau mereka sendiri yang terkena untuk memilih, mereka akan memilih anak lelaki dan mereka sama sekali tidak mahu anak-anak perempuan. Sisters boleh rujuk surah Al Isra’ ayat 40 untuk keterangan lanjut mengenai pemilihan anak perempuan dan anak lelaki ini.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.