Tuesday, January 5, 2016

Surah As Saffaat Ayat 77 - 94






As Saffaat Ayat 77 Hingga 82

وَجَعَلْنَا ذُرِّيَّتَهُ هُمُ الْبَاقِينَ
77 - Dan Kami jadikan anak cucunya orang-orang yang melanjutkan keturunan.

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ
78 - Dan Kami abadikan untuk Nuh itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian;

سَلَامٌ عَلَىٰ نُوحٍ فِي الْعَالَمِينَ
79 - "Selamat sejahteralah atas Nuh di seluruh alam".

إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
80 - Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ
81 - Sesungguhnya dia termasuk di antara hamba-hamba Kami yang beriman.

ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ
82 - Kemudian Kami tenggelamkan orang-orang yang lain.

Allah menerangkan di dalam ayat 77 bahwa keturunan Nabi Nuh lah  yang kekal tinggal di muka bumi ini. Menurut riwayat bhawa anak Nabi Nuh yang berkembang melahirkan keturunan itu adalah terdiiri dari tiga orang iaitu Saam, Haam Dan Yafits. Saam disebut sebagai Sem Eropah dan keturunannya disebut sebagai Semiet dan bakal menurunkan bangsa Semiet. Iaitu bangsa Arab, Bani Israel dan bangsa Kaldan yang menurunkan Nabi Ibrahim. Haam yang pula bakal menurunkan bangsa Habsyi atau yang dijemur jadi hitam oleh udara Afrika. Sementara Yafits pula bakal menurunkan bangsa-bangsa Rome. Yang dimaksudkan Rom di sini ialah bangsa Rom yang lebih tua, iaitu bangsa Yunani.

“Dan Kami abadikan untuk Nuh itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian”
Maksudnya ialah bahwa Allah memberikan dan mengabadikan pujian yang baik terhadap Nabi Nuh pada tiap-tiap umat di muka bumi. Maksudnya ialah bahwa kisah bahtera Nabi Nuh itu menjadi pegangan pada tiap-tiap bangsa di muka bumi. Desebutkan juga pada setengah tafsir ialah permulaan syariat yang teratur kepada seluruh manusia di muka bumi ialah dari zaman Nabi Nuh. Nabi dan juga Rasul yang membawa syariat untuk kebaikan kaumnya.

"Selamat sejahteralah atas Nuh di seluruh alam".
Ayat ini mengucapkan ucapan selamat dan penghargaan sangat tinggi kepada Nabi Nuh alaihissalam iaitu seorang di antara para nabi dan rasul kepada Allah. Seorang nabi dan juga rasul yang telah dengan gigih, keras hati dan usia panjang telah menyampaikan peringatan Allah kepada manusia. Dan selalu pula beliau menyeru kepada Allah, memohon pertolongan, kerana atas dasar insaf beliau bahwa manusia ini tidaklah akan berhasil dalam usaha besar ataupun kecil mereka kalau tidak kerana adanya taufiq dan hidayat yang diberikan oleh Allah.

Allah memuji Nabi Nuh bahwa kejayaan dan usaha beliau itu adalah kerana atas kebaikannya juga. Kerana segala perintah yang disampaikan Allah telah pun dilaksanakan dengan setia. Sampaikan Nabi Nuh sanggup mengikut perintah Allah dengan membina bahtera di tengah-tengah padang selama bertahun-tahun lamanya dan beliau tetap bersabar dan tidak peduli kepada segala cemuhan dan ejekan kaumnya sendiri.

 Semua dugaan itu beliau hadapinya dengan tenang dan sabar. Semangat beliau tidak pernah luntur dan sentiasa teguh mentaati perintah Allah. Kerana sifatnya yang mulia inilah maka Allah telah memuji Nabi Nuh.  

Oleh kerana imannya yang teguh inilah maka Nabi Nuh telah dapat memimpin kaumnya yang beriman, dan menjadi nakhoda bahtera besar pertama di dalam sejarah. Bahtera yang besar itu bukan saja membawa manusia sebagai penumpang. Malah juga binatang-binatang ternak, binatang jinak mahupun liar berpasang-pasangan di atas bahtera besar itu demi untuk meneruskan hidup berketurunan. Dan binatang-binatang ini semuanya selamat mendarat lalu meneruskan hidup dan melahirkan baka sehinggalah sampai sekarang.

“Kemudian Kami tenggelamkan orang-orang yang lain.”
Maksudnya di antara yang turut terkorban, tenggelam dipukul taufan banjir itu adalah seorang daripada putera kepada Nabi Nuh sendiri. Puteranya itu tidak percaya akan dakwah yang diserukan oleh ayahandanya dan ia memandang rendah kepada bahaya taufan banjir yang melanda. Ia menyangka bahwa ia akan dapat selamat dari taufan banjir lalu menolak pelawaan ayahandanya untuk ikut naik ke dalam bahtera. Akibatnya ia juga turut tenggelam lemas dipukul taufan. Cerita ini sisters boleh rujuk kembali dalam surah Hud ayat 45 dan 46 yang telah kita tadabbur dahulu ye.







As Saffaat Ayat 83 Hingga 87

وَإِنَّ مِنْ شِيعَتِهِ لَإِبْرَاهِيمَ
83 - Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh).

إِذْ جَاءَ رَبَّهُ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
84 - (Ingatlah) ketika ia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci.

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِ مَاذَا تَعْبُدُونَ
85 - (Ingatlah) ketika ia berkata kepada bapaknya dan kaumnya: "Apakah yang kamu sembah itu?

أَئِفْكًا آلِهَةً دُونَ الَّهِ تُرِيدُونَ
86 - Apakah kamu menghendaki sembahan-sembahan selain Allah dengan jalan berbohong?

فَمَا ظَنُّكُمْ بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
87 - Maka apakah anggapanmu terhadap Tuhan semesta alam?"

Kali ni Allah ceritakan pula tentang kisah Nabi Ibrahim. nabi Ibrahim alaihissalam adalah termasuk dalam golongan para Rasul yang mengikuti jejak langkah Nabi Nuh dengan menyerukan agama Allah yang berdasarkan tauhid dan mempercayai adanya hari kebangkitan.

Adapun jarak di antara Nabi Nuh dengan Nabi Ibrahim adalah sangat jauh. Iaitu kira-kira 2640 tahun dan telah selangi dengan kebangkitan Nabi Hud dan nabi Salih alaihissalam.

“(Ingatlah) ketika ia datang kepada Tuhannya dengan hati yang suci.”
Maksudnya Nabi Ibrahim telah mengikuti jejak Nabi Nuh dengan mendatangi Allah dengan penuh kesedaran, keinsafan, menyerahkan diri, jiwa dan raga kepada Allah dengan hati yang tulus dan ikhlas melaksanakan perintah Allah dan menolak pengertian ketuhanan yang lain selain dari Allah. Nabi Ibrahim telah membebaskan dirinya dari setiap pengarh yang akan mengikat hati beliau. Beliau pergi kepada Allah dengan hati yang suci, bebas dari syirik, bebas dari segala yang akan mempengaruhinya.

Di dalam surah Al An’am ayat 74 disebut nama ayah Nabi ibrahim iaitu Aazar. Nabi Ibrahim telah bertanya kepada ayah beliau dan juga kepada kaumnya apakah yang mereka sembah itu. Maksudnya tidak patut seorang yang berakal itu untuk menyembah benda yang tidak mendatangkan faedah kepada mereka dan tidak juga mendatangkan mudharat.

Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada kaumnya “Apakah kamu menghendaki sembahan-sembahan selain Allah dengan jalan berbohong?” maksudnya segala pemujaan kepada yang lain selain dari Allah adalah dusta, adalah bohong belak. Perbuatan yang tidak beralasan, hanyalah khayalan yang dibuat-buat, tidak ada dasarnya. Perbuatan itu adalah perbuatan yang jahil dan diada-adakan saja. Maka Nabi Ibrahim bertanya lagi kepada mereka, adakah perbuatan dusta itu yang mereka kehendaki selama ini?

Lalu Nabi Ibrahim bertanya mereka lagi, “Maka apakah anggapanmu terhadap Tuhan semesta alam?"
Maksudnya sudahkah mereka tahu siapakah Tuhan yang sebenarnya yang layak mereka sembah? Sudahkah mereka mengetahui sehingga mereka sanggup menyekutukan Tuhan yang sebenar dengan patung dan berhala itu. Adakah mereka menyangka apabila mereka ingkar untuk menyembah Allah Tuhan sekalian alam maka mereka akan dapat terlepas dari seksa Nya? Jawabnya pastilah mereka semua ini kelak akan diseksa.








As Saffaat Ayat 88 Hingga 90

فَنَظَرَ نَظْرَةً فِي النُّجُومِ
88 - Lalu ia memandang sekali pandang ke bintang-bintang.

فَقَالَ إِنِّي سَقِيمٌ
89 - Kemudian ia berkata: "Sesungguhnya aku sakit".

فَتَوَلَّوْا عَنْهُ مُدْبِرِينَ
90 - Lalu mereka berpaling daripadanya dengan membelakang.

Melihatkan kesesatan kaumnya termasuk ayahnya sendiri yang menyembah berhala itu, termenunglah Nabi Ibrahim dan lama beliau berfikir. Beliau memandang ke langit atas. Merenungkan kebesaran Allah yang Maha Besar. Beribu-ribu bintang menghiasi langit. Menunjukkan betapa kebesaran Ilahi. Betapalah tersangat sesatnya manusia kalau ia memusatkan perhatian hanya kepada patung dan berhala. Mengapa tidak mereka fikirkan akan kebesaran alam seluruhnya untuk mereka menjadi insaf akan kebesaran Kuasa Allah.

Pada suatu hari kaumnya telah menyambut satu perayaan. Datanglah kaum Nabi Ibrahim mengundangnya untuk menghadiri hari besar mereka. Nabi Ibrahim telah menolak ajakan mereka secara halus dengan alasan kesihatannya terganggu. Sebenarnya itu cuma helah Nabi Ibrahim untuk mengelakkan dirinya dari menghadirkan diri dalam perayaan mereka.

Di samping itu Nabi Ibrahim juga telah merancang untyuk melaksanakan rancangannya untuk menghancurkan patung-patung berhala yang ada di sekelilingnya. Dan sekiranya ditanya Nabi ibrahim akan memberitahu bahwa patung yang besar itulah yang telah menghancurkan patung-patung berhala yang kecil.

Kaumnya tidak mengetahui akan rancangan Nabi Ibrahim itu dan tidak pula mencurigainya. Juga tidak nampak pada sikapnya bahawa beliau tidak jujur dalam perkataannya. Dengan itu pergilah mereka menghadiri perayaan itu beramai-ramai tanpa kehadiran Nabi Ibrahim as. Alasan yang diberikan oleh Nabi Ibrahim adalah kerana kesihatannya telah terganggu yang tidak membolehkan beliau menghadiri perayaan itu. Padahal sebenarnya dia tidak sakit. Dan tidaklah pula beliau dipandang berdusta sepertimana dusta yang terlarang dalam agama. Kerana di dalam keadaan ini kehadiran itu  tidaklah sesuai dengan sifat kenabian. Maka pergilah kaumnya semuanya menghadiri perayaan itu dan meninggalkan Nabi Ibrahim seorang diri di tempat berhala itu.






As Saffaat Ayat 91 Hingga 94

فَرَاغَ إِلَىٰ آلِهَتِهِمْ فَقَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ
91 - Kemudian ia pergi dengan diam-diam kepada berhala-berhala mereka; lalu ia berkata: "Apakah kamu tidak makan?

مَا لَكُمْ لَا تَنْطِقُونَ
92 - Kenapa kamu tidak menjawab?"

فَرَاغَ عَلَيْهِمْ ضَرْبًا بِالْيَمِينِ
93 - Lalu dihadapinya berhala-berhala itu sambil memukulnya dengan tangan kanannya (dengan kuat).

فَأَقْبَلُوا إِلَيْهِ يَزِفُّونَ
94 - Kemudian kaumnya datang kepadanya dengan bergegas.

Setelah orang-orang itu pergi maka dengan cara sembunyi-sembunyi Nabi Ibrahim telah pergi kepada tuhan-tuhan mereka iaitu berhala-berhala. Walaupun diketahui semua orang telah pergi ke perayaan itu, tetapi Nabi Ibrahim masih berhati-hati takut dilihat orang beliau berada di situ. Lalu beliau telah bertanya kepada salah satu dari berhala itu, “"Apakah kamu tidak makan?”

Tentu saja dapat sama-sama kita maklumi bahwa pertanyaan Nabi Ibrahim ini adlaah semata-mata ejekan kepada berhala-berhala di sekelilingnya itu. Ini adalah kerana di situ terdapatnya berbagai hidangan yang telah dipersembahkan oleh kaumnya kepada berhala itu untuk tujuan pemujaan. Hehehe…. tentu saja berhala akan tetap jadi berhala, akan tetap bisu, beku dan kaku kerana ia hanyalah semata-mata benda yang tidak dapat berbuat apa-apa tetapi telah dianggap sebagai tuhan oleh mereka yang bodoh.

Lalu Nabi Ibrahim menambah lagi pertanyaannya , “Kenapa kamu tidak menjawab?” Pertanyaan ini pun juga sebagai satu penilaian tetnang betapa sesatnya orang yang menyembah benda-benda itu, dan kemudian dipuja, dihidang dengan makanan. Dan makanan itu terletak di situ saja, tidak disentuh pun oleh berhala-berhala itu. Ditegur pun berhala itu tidak dapat menjawab apatah lagi untuk mengambil makanan-makanan di situ untuk dimakan. Itulah yang mereka sembah selama ini.

Satu demi satu Nabi Ibrahim menghadap berhala-berhala tersebut yang ada di situ. Lalu nabi Ibrahim menghayun tangan kanannya lalu memukul dengan kuat semua berhala-berhala yang ada di situ. Satu demi satu berhala itu Nabi Ibrahm hancurkan dengan tangan kanan beliau. Disebut tangan kanan kerana tangan kanan lebih kuat dari tangan kiri, sebagai penjelasan bahwa Nabi Ibrahim telah melakukan kerja pemusnahan itu dengan bersungguh-sungguh.  

Di dalam surah Al Anbiya ayat 58 dan beberapa ayat lagi sudah dijelaskan tentang ini. Sisters boleh rujuk pengajaran ayat yang telah lalu ya.  Di dalam ayat-ayat itu telah dijelaskan bahwa berhala-berhala itu semuanya telah dimusnahkan oleh Nabi Ibrahim kecuali berhala yang paling besar. Sesudah berhala-berhala itu semuanya hancur nabi Ibrahim pun meninggalkan tempat itu.

Maka ketika kaumnya telah kembali dari perayaan itu, mereka terus ke rumah penyembahan berhala. Dan didapati benda-benda yang mereka sembah itu semuanya telah hancur. Lalu mereka pun mencari siapakah yang sanggup membuat kerja jahat ini. Rupanya ada seorang yang melihat Nabi Ibrahim keluar dari rumah berhala itu dengan tenangnya. Jadi orang itulah yang mengatakan kepada mereka bahwa Nabi Ibrahim lah yang menghancurkan behala-berhala tersebut.

Di dalam surah Al Anbiya juga ada dihuraikan tentang soal jawab yang terjadi di antara Nabi Ibrahm dengan kaumnya itu. Yang pada mulanya Nabi Ibrahim memperolok-olokkan kaumnya dengan berkata bahwa yang menghancurkan berhala-berhala kecil-kecil itu semua adalah berhala yang paling besar itu. 

Dengan demikian Nabi ibrahim memancing jawapan dari kaumnya yang kana menjelaskan kesalahan mereka. Ini adalah kerana mereka telah berkata, “mana mungkin behala yang tidak dapat bergerak dari tempatnya itu akan dapat berjalan pergi menghancurkan semua berhala-berhala yang kecil-kecil?”

Okay, di sinilah Nabi Ibrahim pun mengembalikan semula pertanyaan kepada mereka, dengan menempelak mereka balik. Nabi Ibrahim tanya,  “kalau kamu semua sudah faham bahwa berhala besar itu tidak dapat berbuat apa-apa, kenapa kamu semua menyembah juga berhala itu?”  

Dalam ayat seterusnya dijelaskan lagi tentang pertanyaan Nabi Ibrahim kepada mereka.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.