Tuesday, January 5, 2016

Surah As Saffaat Ayat 58 - 76







As Saffaat Ayat 58 Hingga 61

أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ
58 - Maka apakah kita tidak akan mati?

إِلَّا مَوْتَتَنَا الْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ
59 - melainkan hanya kematian kita yang pertama saja (di dunia), dan kita tidak akan disiksa (di akhirat ini)?

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
60 - Sesungguhnya ini benar-benar kemenangan yang besar.

لِمِثْلِ هَٰذَا فَلْيَعْمَلِ الْعَامِلُونَ
61 - Untuk kemenangan serupa ini hendaklah berusaha orang-orang yang bekerja.

Satu riwayat menyatakan bahwa setelah ahli syurga tenteram berada di dalam syurganya dan ahli neraka, menderita azab dalam neraka, maka waktu itu datanglah malaikat atas perintah dari Allah azza wajalla membawa ‘mati’ yang diberikan tubuh sebagai seekor domba, lalu dibawa ke tengah-tengah medan luas yang terletak di antara syurga dan neraka.

Sampai di tengah-tengah itu dipanggillah semua penghuni syurga dan neraka lalu disuruh melihat kejadian yang bakal berlaku. Apa yang mereka saksikan ialah ‘Mati’ itu telah dipotong lehernya. Lalu kedengaranlah suara malaikat ‘mulai dari sekarang ‘mati’ sudah tidak ada lagi. ‘Mati’ itu sendiri sudah mati. Sebab itu mulai sekarang tidak ada lagi mati. Semuanya akan terus hidup dan tidak akan mati-mati lagi.’

Mendengarkan itu maka timbullah pertanyaan dari ahli syurga, “apakah kita tidak akan mati lagi?” mereka bertanya dengan rasa terharu, kagum, gembira dan syukur. Ahli neraka pun demikian juga. Bila mereka mendengar penjelasan itu maka betambahlah kesedihan mereka. Kerana kebiasaan semasa di dunia, sekiranya penderitaan itu terlalu memuncak, dengan mati maka habislah penderitaan itu. Sekarang mereka di neraka, betapa pun sakit penderitaan mereka, tetap tidak akan terlepas penderitaan itu dengan mati. Kerana mati sudah tidak ada lagi.  

“melainkan hanya kematian kita yang pertama saja (di dunia), dan kita tidak akan disiksa (di akhirat ini)?”
Sesudah merasakan kematian di dunia maka di akhirat mereka tidak akan lagi meraskan kematian. Dan tiadalah mereka akan diseksa kecuali mereka yang kafir. Orang-orang kafir ini akan diseksa dalam neraka jahanam. Dan kerana tidak tahan menderita seksa, setiap saat mereka ingin untuk mati tetapi hakikatnya mati sudah tidak ada lagi.

Hasan al Basri mentafsirkan “ ahli ahli syurga itu telah merasakan betapa besar dan berlipat gandanya nikmat allah yang mereka rasakan dalam syurga. Dan ngeri memikirkan teman yang meringkuk menderita azab di neraka itu. Lalu merka teringat zaman dahulu zaman hidup di dunia. Iaitu bahw anikmat itu bilaman telah sampai memuncak, akhiranya akan terputus dengan datangnya maut. Itulah sebabnya mereka bertanya, untuk meyakinkan diri, benarkah bahwa mati hanya sekali, iaitu mati yang dahulu itu saja. Sesudah itu tidak ada lagi yang bernama mati. Maka datanglah jawaban dari malaikat atas suruhan Allah mengatkan bahwa mati tidak akan ada lagi. Bahkan mereka akan hidup terus selama-lamanya.

Maka terasalah kebesaran akan kemenangan itu setelah diingatkan bagaimana hebatnya perjuangan menegakkan fi sabilillah, jalan Allah yang lurus selama hidup di dunia dahulu. Kesana ke mari, ke pinggir jalan kiri dan kanan, kita selalu ditarik-tarik, ditolak-tolak dengan kasar dan juga dengan halus, oleh musuh-musuh kita, iaitu hawa nafsu kita sendiri, rayuan dunia dan juga perdayaan syaitan.

Dan untuk mencapai kemenangan yang besar, diperlukan usaha yang sungguh-sungguh penuh keikhlasan dan pengabdian kepada Allah SWT di dunia. Adakalanya seakan-akan hendak gelap jalan, hampir jatuh tersungkur kerana jalan yang licin penuh dengan batu-batu penghalang ke arah kebaikan. Tetapi setelah lepas dari kepayahan, kita akan kembali tegak meneruskan perjalanan. Dan akhirnya sampailah ke tempat yang dituju, di dalam syurga Jannatun Na’im.







As Saffaat Ayat 62 hingga 65

أَذَٰلِكَ خَيْرٌ نُزُلًا أَمْ شَجَرَةُ الزَّقُّومِ
62 - Apakah itu hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.

إِنَّا جَعَلْنَاهَا فِتْنَةً لِلظَّالِمِينَ
63 - Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai siksaan bagi orang-orang yang zalim.

إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِي أَصْلِ الْجَحِيمِ
64 - Sesungguhnya dia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka Jahim.

طَلْعُهَا كَأَنَّهُ رُءُوسُ الشَّيَاطِينِ
65 - Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan.

Di dalam ayat sebelum ini,  Allah menerangkan keadaan penduduk syurga dengan segala macam kesenangan, makan minum serta isteri yang mereka nikmati, Dijelaskan juga bahwa penduduk syurga diberi minuman air jernih menghilangkan haus dan dahaga, tidak ada minuman keras dan tidak pula mereka akan menjadi mabuk. Itulah hidangan sajian yang istimewa di dalam syurga. Sekarang Allah tanya kepada mereka, yang manakah yang lebih baik, hidangan yang demikian ataupun hidangan pohon zaqqum?

Di dalam kitab-kitab tafsir banyak disebutkan tentang pokok zaqqum ini. Yang tumbuhnya hanyalah di neraka. Jika kita fahami di dalam ayat 41 yang lalu dinyatakan bahwa, di dalam syurga tumbuh berbagai macam pohon yangmenghasilkan buah-buahan yang lazat. Ini kerana kesuburan pohon syurga itu ialah kerana adanya air yang mencukupi. Dengan air yang mencukupi maka tumbuhlah segala jenis pohon-pohon yang mengeluarkan buah yang lazat-lazat. Tetapi zaqqum ini tumbuh di neraka. Di tengah-tengah api yang panas dan marak menyala. Dan buah ini akan menjadi makanan kepada para penghuni neraka yang terdiri daripada mereka yang kufur dan mengingkari perintah Allah.

Sesungguhnya Allah telah menjadikan pohon zaqquum ini sebagai ujian kepada orang-orang kafir yang menganiaya diri mereka sendiri. Mereka itu apabila mendengar pohon zaqquum tumbuh di dalam neraka, mereka merasa kehairanan. Bagaimana boleh ia tumbuh di dalam panas neraka? Sedangkan neraka adalah tempat di mana api-api marak menyala membakar apa saja yang berada di dalam neraka.

Jawapannya, tidak usahlah merasa hairan kerana ianya tidak mustahil bagi Allah yang Maha Berkuasa menghidupkan binatang-binatang yang ada di dalam neraka dengan mudah sekali. Maka dengan itu Allah juga Maha Berkuasa menjadikan pohon zaqquum itu hidup dan terpelihara di dalam neraka.

Pohon zaqquum itu keluar tumbuh dari dasar neraka dan cabang-cabangnya naik ke atas bersama lidah api yang menjulang. Buahnya sangatlah hodoh rupanya, dan akan benci orang melihatnya. Kelihatannya seperti kepala syaitan. Ia dibahasakan demikian di dalam ayat ini kerana dalam khayalan orang-orang Arab, kepala syaitan itu adalah gambaran makhluk yang sehabis-habis hodoh, buruk lagi menyeramkan. Dan bagi mereka lawannya kepada syaitan yang hodoh itu adalah malaikat. Malaikat adalah bandingan bagi mereka untuk gambaran makhluk yang sehabis-habis cantik dan mulia.








As Saffaat Ayat 66 Hingga 68

فَإِنَّهُمْ لَآكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِئُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ
66 - Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu.

ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِنْ حَمِيمٍ
67 - Kemudian sesudah makan buah pohon zaqqum itu pasti mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas.

ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى الْجَحِيمِ
68 - Kemudian sesungguhnya tempat kembali mereka benar-benar ke neraka Jahim.

Allah menerangkan bahwa makanan yang disediakan bagi penduduk neraka pada umumnya adalah buah-buahan dari pohon zaqquum itu yang rasanya terlalu pahit dan baunya pula tersangat busuk. Namun demikian mereka tetap memakannya juga, disebabkan oleh kerana tersangat lapar dan juga kerana terpaksa.

Maka perut yang kosong itu, mereka isilah dengan buah dari pohon zaqquum sehingga penuh. Ngeri benar kalau melihat mereka memakan dengan begitu lahap dan gelojoh, sehingga terasa tekak mereka tersangat haus yang sangat-sangat, mereka meminta tolong pula agar diberikan minuman. Lalu minuman itu pun didatangkan kepada mereka. Minuman itu adalah campuran makanan, iaitu dari jenis air leburan api neraka yang sangat panas. Baru saja air itu didekatkan ke mulut, ia sudah pun membakar muka mereka. Dan apabila air itu masuk ke perut, tali usus mereka menjadi cair dan terputus-putus. Astaghfirullahal ‘aziiim.

Dan setelah makan dan minum, mereka tidak dapat pergi ke mana-mana. Hanya berada di neraka Jahiim itu sajalah tempat yang sesuai untuk menetap bagi mereka. Kerana di dalam neraka yang apinya sentiasa menyala-nyala itu, di situlah disediakan rumah-rumah untuk kediaman untuk mereka.









As Saffaat Ayat 69 Dan 70

إِنَّهُمْ أَلْفَوْا آبَاءَهُمْ ضَالِّينَ
69 - Karena sesungguhnya mereka mendapati bapak-bapak mereka dalam keadaan sesat.

فَهُمْ عَلَىٰ آثَارِهِمْ يُهْرَعُونَ
70 - Lalu mereka sangat tergesa-gesa mengikuti jejak orang-orang tua mereka itu.

Di ayat ini diterangkan kenapakah sebabnya mereka itu diseksa dalam keadaan yang begitu sengsara. Ialah kerana mereka telah menjadi pak turut. Iaitu apabila melihat nenek moyang mereka berada di dalam agama yang sesat, mereka tanpa berfikir dan tanpa mencari bukti tentang benarnya agama tersebut mereka terus saja meniru membuta tuli (bertaklid) dan menuruti jejak langkah nenek moyang mereka dengan tidak berfikir lagi. Ini adalah kononnya hendak memelihara pegangan hidup dan mengekalkan warisan yang telah diberikan secara tradisional.

Ayat ini menjadi dalil bahwa meniru dengan cara membuta tuli tanpa menyiasat dan mengkaji terlebih dahulu adalah merupakan suatu bencana bagi orang yang ditiru dan juga orang yang meniru. Manusia tidak akan hidup bahagia, melainkan mestilah terlebih dahulu ia berfikir dan menyelidik dengan sehalus-halusnya tentang hakikat sesuatu itu samada mengenai urusan dunia mahupun akhirat.








As Saffaat Ayat 71 Hingga 74

وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ الْأَوَّلِينَ
71 - Dan sesungguhnya telah sesat sebelum mereka (Quraisy) sebagian besar dari orang-orang yang dahulu,

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا فِيهِمْ مُنْذِرِينَ
72 - dan sesungguhnya telah Kami utus pemberi-pemberi peringatan (rasul-rasul) di kalangan mereka.

فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنْذَرِينَ
73 - Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang diberi peringatan itu.

إِلَّا عِبَادَ الَّهِ الْمُخْلَصِينَ
74 - Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan (dari dosa tidak akan diazab).

Allah menerangkan bahawa sebahagian besar umat-umat zaman dahulu sebelum zaman Nabi Muhammad lagi, telah ada yang sesat. Mereka menyembah berhala dan menyekutukan Allah dan seringkali berbuat kerosakan di atas bumi dengan mengadakan peperangan-peperangan. Hidup mereka didasarkan atas hawa nafsu dan angkara murka. Pemimpin-pemimpin mereka dan pembesar-pembesar negara selalu melakukan perbuatan aniaya dan menindas rakyat dengan kerja paksa membangun istana-istana dan kuil-kuil tempat penyembahan berhala dan makam-makam raja. Bahkan ada di antara mereka yang sanggup pula mengaku sebagai Tuhan dan rakyat pula dipaksa untuk menyembah mereka. Demikianlah kisah-kisah umat-umat zaman dahulu seperti kaum 'Ad, Samud, raja Namruz, Firaun dan lain-lainnya.

Lalu Allah pun mengutuskan kepada mereka Nabi-nabi dan Rasul-rasul untuk menegakkan agama tauhid, menjalankan amar makruf nahi mungkar. Nabi-nabi itu merupakan kekuatan moral yang berjuang untuk meluruskan jalan hidup manusia yang menyimpang dari fitrah kejadiannya. Mereka menunjukkan kepada kaumnya mana jalan yang hak dan mana jalan yang batil. Mana jalan yang baik dan mana jalan yang buruk. Serta mereka mengingatkan kepada kaumnya akan azab yang akan menimpa mereka sekiranya mereka tidak mahu berpaling dari kesesatan dan tidak mahu tunduk kepada kebenaran yang dibawa Rasul-rasul.

Tetapi Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu ditentang, didustakan dan dimusuhi, bahkan ada di antara mereka yang dianiaya sampai dibunuh. Kehadiran para Rasul di tengah-tengah mereka itu dipandang sebagai gangguan dalam kehidupan mereka. Kerana itulah mereka jadi tetap dalam kesesatan dan kegelapan. Kesudahannya datanglah azab Allah lalu menimpa mereka.

Maka mana yang tidak mahu menerima kebenaran dan melaksanakan pimpinan yang diberikan oleh Rasul-Rasul dan nabi-nabi, mereka akan ditimpalah dengan kebinasaan dan kehancuran. Ada yang terbakar negerinya, ada yang hancur dihancurkan oleh gempa, dihembus angin puting beliung, ditunggang terbalikkan, ataupun ada juga yang dilanda banjir dan mendengar pekikan yang sangat dahsyat. Sisters boleh rujuk kepada surah-surah terdahulu tentang kaum-kaum yang dibinasakan Allah kerana kekufuran mereka.

Adapun hamba-hamba Allah yang dibersihkan , maka terlepaslah mereka dari azab seksaan itu berkat amalan dan kepatuhan mereka. Jiwa mereka telah dibersihkan dari syirik dan penyembahan dan pemujaan yang lain selain dari Allah. Ada juga di kalangan mereka ini yang disuruh Allah supaya berpindah terlebih dahulu sebelum azab dijatuhkan kepada mereka yang menderhaka,sepertimana kaum nabi Lut, Nabi Saleh, Nabi Nuh. Bahkan mereka ini setelah berpindah, mereka akan ditolong dan dibantu pula untuk melanjutkan hidup dengan penuh bahagian dan penuh keimanan.








As Saffaat Ayat 75 Dan 76

وَلَقَدْ نَادَانَا نُوحٌ فَلَنِعْمَ الْمُجِيبُونَ
75 - Sesungguhnya Nuh telah menyeru Kami: maka sesungguhnya Dilah yang sebaik-baik yang memperkenankan.

وَنَجَّيْنَاهُ وَأَهْلَهُ مِنَ الْكَرْبِ الْعَظِيمِ
76 - Dan Kami telah menyelamatkannya dan pengikutnya dari bencana yang besar.

Bermula dari ayat 75 hingga ke ayat 82 ini Allah menceritakan sebahagian dari kisah Nabi Nuh.

Nabi Nuh alaihissalam telah memohon dan berdoa kepada Allah supaya menolongnya dari disakiti oleh kaumnya, yang telah melampaui batasan bahkan mereka mengancam hendak membunuh Nabi Nuh sekiranya Nabi Nuh tidak berhenti dari berdakwah mengajak mereka ke jalan Allah. Sudah barang tentulah bahwa Allah adalah sebaik-baik Tuhan yang memperkenankan doanya dan menyahut pertolongannya, lalu Allah pun membinasakanlah kaum yang telah kufur itu.

Untuk melaksanakan permohonan Nabi Nuh itu, Allah telah memerintahkan Nabi Nuh supaya membuat sebuah bahtera. Bahtera itu bukan dibuat di tepi laut, tetapi di tengah padang, jauh dari laut. Perkara ini telah menjadi ejekan dari kaumnya yang kaifr itu. Mereka mentertawakan Nabi Nuh kerana tidak pernah dibuat dek orang, membina bahtera di tengah-tengah padang padahal bahtera itu kegunaannya adalah untuk berlayar di laut.

Setelah bahtera itu siap dan sedia, maka Allah memerintahkan hujan agar menyirami perkampungan mereka sehingga banyaknya hujan turun itu menyebabkan banjir. Terendam seluruh bumi sampai ke kemuncak gunung selama enam bulan lamanya. Lalu bahtera yang didirikan di tengah padang itu pun boleh lah berlayar dek banjir yang tinggi setinggi gunung itu. Terapunglah bahtera tersebut di permukaan air. Berlayar di lautan banjir sehinggalah akhirnya air pun surut dan bahtera itu tersadai di puncak Gunung Judy. Maka berlabuhlah bahtera Nabi Nuh dan segala isinya dengan selamat.

Inilah yang disimpulkan dalam sedikit hujung firman Allah di dalam ayat 75, bahwa Dia adalah sebaik-baik tempat untuk memohon pertolongan dan yang sebaik-baik yang mengabulkan permohonan.

“Dan Kami telah menyelamatkannya dan pengikutnya dari bencana yang besar.”
Banjir atau lautan yang telah menyelubungi seluruh permukaan bumi, sehingga puncak gunung-gunung pun hilang tidak kelihatan lagi, adalah benar-benar bencana atau bahaya yang paling besar. Semua manusia yang tidak berada di dalam bahtera nabi Nuh itu semuanya mati tenggelam dihanyutkan banjir tidak ada seorang pun yang tinggal. Ini termasuklah seorang anak lelaki Nabi Nuh yang enggan menaiki bahtera apabila diajak.

Maka pada ayat 76 ini Allah nak jelaskan kepada kita bahwa Allah adalah sebaik-baik yang memperkenankan setiap permintaan kita. Jadi mintalah kepada Allah. Bukan kepada yang lain. Sepertimana Nabi Nuh yang telah meminta kepada Allah supaya dihapuskan semua yang telah menderhaka kepada Allah. Jangan tinggal satu pun. Maka Allah telah memperkenankan permintaan Nabi Nuh dengan menenggelamkan semua manusia. Ini kerana sekiranya kalau mereka dibiarkan hidup pun mereka tetap akan melakukan kemungkaran kepada Allah dan kelak akan melahirkan zuriat-zuriat yang kufur juga.









No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.