Tuesday, January 5, 2016

Surah As Saffaat Ayat 1 - 24








Pengenalan

Surah ini diturunkan di Mekah sebanyak 182 ayat dan ianya diturunkan sesudah surah Al An’am.  As Saaffaat ini bererti yang berbaris-baris. Berbaris sepertimana orang-orang bersembahyang berjemaah di dalam masjid yang membentuk saf-saf tersusun rapi. Begitulah yang digambarkan di dalam kalimah ini tentang para malaikat yang berbaris bersaf-saf mengadap Rabb mereka.

Kalimah ini adalah kalimah yang pertama disebut dari ayat yang pertama. Maksud dari yang berbaris-baris itu adalah malaikat-malaikat Allah di alam malakut yang jumlah malaikat itu tidak kita ketahui berapa banyak bilangannya. Adakah beratus, beribu ataupun berjuta. Hanya Allah saja yang mengetahui. Sedangkan pasir di pantai pun kita tidak dapat mengetahui berapakah jumlah bilangannya, bintang-bintang di langit tidak dapat kita pastikan berapakah jumlah hitungannya, inikan pula malaikat-malaikat yang ghaib.

Setelah itu dihuraikan pula tentang kejadian manusia dari manakah ianya berasal. Bahwa manusia itu terjadi daripada tanah dan akan kembali pula menjadi tanah setelah tamat tempohnya. Tetapi itu bukanlah bermksud bahwa pengakhiran bagi setiap manusia. Setelah kembali menjadi tanah manusia akan dibangkitkan semula untuk menghitung segala amalan. Di sinilah semua manusia diajak untuk percaya kepada hari kebangkitan. Diterangkan bagaimana pahit dan getirnya azab seksaan yang akan diterima oleh mereka yang tidak percaya semasa di neraka kelak, dan betapa kebahagiaan dan kenikmataan yang bakal mereka terima sekiranya mereka beriman kepada hari kebangkitan.

Dihuraikan juga di dalam surah ini tentang perjuangan beberapa orang nabi dan rasul yang berjuang bersungguh-sungguh melakukan dakwah kepada kaum masing-masing. Di dalam surah ini ada 7 nabi yang diceritakan. Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Harun, Nabi Lut, Nabi Ilyas dan Nabi Yunus. Nanti di dalam surah ini akan diceritakan lebih terperinci tentang wahyu yang diterima Nabi Ibrahim tentang perintah Allah agar mengorbankan Nabi Ismail. Bagaimana Nabi Ibrahim diuji akan kecintaan beliau kepada Allah azza wajalla.

Sisters, mari kita tadabbur surah ini. Semoga Allah permudahkan untuk kita memahami sedikit sebanyak isi kandungannya dan mengambilnya sebagai pengajaran di dalam hidup kita.











As Saffaat Ayat 1 Hingga 4


وَالصَّافَّاتِ صَفًّا
1 - Demi yang berbaris-baris dengan sebenar-benar berbaris,

فَالزَّاجِرَاتِ زَجْرًا
2 - dan demi yang mencegah dengan sebenar-benarnya mencegah,

فَالتَّالِيَاتِ ذِكْرًا
3 - dan demi (rombongan) yang membacakan pelajaran,
إِنَّ إِلَٰهَكُمْ لَوَاحِدٌ
4 - Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar Esa.

رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَرَبُّ الْمَشَارِقِ
5 - Tuhan langit dan bumi dan apa yang berada di antara keduanya dan Tuhan tempat-tempat terbit matahari.

Allah berfirman tentang tentera Allah yang bernama malaikat. Di ayat pertama dari Surah ini Allah telah menyatakan dengan memakai huruf وَ  waw qasam, sebagai sumpah yang membawa maksud Allah menyuruh kita menumpukan perhatian kita di dalam perkara ini.

Allah menjelaskan dalam ayat pertama ini bahwa malaikat-malaikat itu berdiri dengan berbaris-baris. Bagaimanakah cara barisan mereka, tidaklah kita ketahui. Tetapi di dalam ayat ini kata ‘berbaris dengan sebenar-benar berbaris’ adalah bermaksud ianya menunjukkan kewaspadaan.

Tujuan malaikat-malaikat itu berbaris dengan kewasapadaan adalah untuk mencegah roh-roh jahat supaya jangan sampai ianya mengganggu Jibril dari menghantar wahyu Allah kepada nabi Nya semasa di pertengahan jalan. Terutama sekali wahyu-wahyu Allah yang akan disampaikan Jibril kepada nabi Muhammad. Jadi ini bermakna, apa yang dibawa oleh malaikat Jibril itu dikawal rapi oleh barisan para malaikat.

Wahyu Allah yang disampaikan oleh Jibril itu adalah merupakan sumpah Allah bahwa sesungguhnya Allah sajalah Yang Maha Esa yang layak untuk diibadahi dengan sebenar-benarnya. Allah jugalah yang menguasai langit dan bumi bersama-sama dengan isinya. Dan semua arah tempat terbitnya matahari dan juga tempat terbenamnya adalah menjadi milik Allah. Semua itu telah diatur dan berada di dalam pentadbiran Allah saja.

Sisters,
Sampai di ayat ke lima ini dapatlah kita fahami bahwa tempat terbitnya matahari bukanlah pada satu tempat saja. Ini kerana putaran bumi beredar mengelilingi matahari tidaklah di satu garis saja. Di musim dingin ia lebih condong ke utara, manakala di musim panas ia condong pula ke arah selatan. Tiap-tiap hari matahari akan bergerak berubah-rubah, sehingga dapat dirasakan oleh manusia yang suka meneliti dan mengkaji akan perubahan ini.

Kita juga dapat fahami bahwa Jibril menyampaikan wahyu kepada Rasul, dan Rasul pula menyampaikan wahyu itu kepada manusia. Wahyu yang berisi tauhid iaitu Allah yang Maha Esa. Dialah Yang Maha Pencipta sekalian langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Perjalanan falak juga diatur oleh Allah, sehingga tempat terbit matahari tidak tetap di satu tempat saja. Dan untuk menyampaikan wahyu kepada rasul-rasulNya, Jibril tidaklah pergi bersendirian. Jibril dikawal dan diiring oleh barisan-barisan para malaikat.











As Saaffaat Ayat 6 

إِنَّا زَيَّنَّا السَّمَاءَ الدُّنْيَا بِزِينَةٍ الْكَوَاكِبِ
6 - Sesungguhnya Kami telah menghias langit yang terdekat dengan hiasan, yaitu bintang-bintang,

Allah menerangkan bahwasanya langit dunia iaitu angkasaraya yang terdekat ke bumi itu telah dihiasi dengan beberapa banyak bintang-bintang yang indah bergemerlapan cahayanya. Bintang-bintang tersebut ada bermcam-macam bentuk dan juga kedudukannya yang teratur rapi di langit. Ini semua hanya dapat digambarkan oleh para penyelidik dan pengkaji bintang serta ahli fikir yang membuat kiraannya.

Ini kerana mereka semua telah melihat semua keindahan ini dengan menggunakan peralatan diri yang sangat penting. Iaitu akal dan perasaan. Dengan akal, akan membawa mereka kepada berfikir, dari mana, di mana dan ke mana akhirnya perjalanan ini. Dengan perasaan mereka dapat melihat keindahan. Orang yang melihat bintang di langit dengan akal, sampai kepada ilmu pengetahuan yang lebih meluas lagi, sampai mereka mengetahui bahwa bintang-bintang yang beratus-ratus jumlahnya itu adalah rupanya lebih besar daripada bumi.

Lalu akan timbullah perasaan di dalam hati, rasa terharu melihat akan keindahan itu. Bagaimana kerlipan bintang-bintang di langit di tengah amalan yang hening sepi dapat menggetarkan hati, membuat manusia merasa sayu dan akhirnya sampai kepada pengakuan bahawa adanya Jamal (Yang Maha Indah), Kamal ( Yang Maha Sempurna), dan Jalal (Yang Maha Mulia). Dan akhirnya meresap menjadi iman, kerana meyakini bahwa Yang Indah Yang Sempurna dan Yang Mulia hanyalah milik Allah secara mutlak sahaja.

Dari sini maka tidaklah akan bosan-bosan mereka mencintai keindahan alam merenungkan bintang-bintang, sebagaimana mereka juga tidak bosan untuk meneropong dan mengkaji bintang-bintang secara ilmiah.








As Saaffaat Ayat 7 Hingga 10

وَحِفْظًا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ مَارِدٍ
7 - dan telah memeliharanya (sebenar-benarnya) dari setiap syaitan yang sangat durhaka,


لَا يَسَّمَّعُونَ إِلَى الْمَلَإِ الْأَعْلَىٰ وَيُقْذَفُونَ مِنْ كُلِّ جَانِبٍ
8 - syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) golongan tertinggi dan mereka dilempari dari segala penjuru.

دُحُورًا ۖوَلَهُمْ عَذَابٌ وَاصِبٌ
9 - Untuk mengusir mereka dan bagi mereka siksaan yang kekal,


إِلَّا مَنْ خَطِفَ الْخَطْفَةَ فَأَتْبَعَهُ شِهَابٌ ثَاقِبٌ
10 - akan tetapi barangsiapa (di antara mereka) yang mencuri-curi (pembicaraan); maka ia dikejar oleh suluh api yang cemerlang.

Maka dijelaskan pula di dalam ayat ini, bahwa selain dariapda untuk menghiasi langit dunia dengan bintang-bintang itu ada lagi kegunaannya yang lain. Iaitu untuk memelihara dan menjaga dari gangguan syaitan-syaitan yang derhaka. Kerana di antara bumi dengan langit ini akant erbentang ruang angkasa yang luas. Yang kelihatan hanyalah awan-awan berarak, kabut berkumpul dan kepulan asap. Namun di sebalik yang kelihatan itu ada lagi makhluk-makhluk yang tidak kelihatan.

Di antaranya ialah syaitan-syaitan atau roh-roh jahat, roh-roh yang tidak diterima di langit lalu berlegar-legar di dalam ruang angkasa dunia ini. Di dalam ayat 1 hingga 3 telah dijelaskan bahwa malaikat berbaris sebenar berbaris mengawal alam. Maka di bintang-bintang itu pun dipasangkan juga pengawal untuk mengelakkan syaitan-syaitan dan roh-roh jahat ini dari mengganggu.

syaitan-syaitan itu tidak dapat mendengar-dengarkan (pembicaraan) golongan tertinggi”
Golongan tertinggi yang dimaksudkan di dalam ayat ke 8 ini adalah golongan malaikat. Mereka terdiri daripada Nur, atau cahaya. Mereka diberikan Allah berbagai tugas. Di antara tugas mereka adalah mengatur penyampaian takdir yang telah ditentukan oleh Allah untuk seluruh isi bumi ini. Sampai kepada letusan gunung, aliran banjir, air laut dan sungai pasang surut, pertumbuhanan tanam tanaman, dan juga pembahagian ketentuan hari depan tiap-tiap manusia. Setiap rahsia ini dipegang teguh dan rapi oleh setiap malaikat.

Adapun syaitan ataun pun jin adalha termasuk golongan rendah ataupun dipanggil suflaa. Namun oleh kerana mereka sejak semula adalah roh jahat, dijadikan dari bahan api, maksud jahat itu tidaklah terlepas dari mereka. Mereka ingin sekali mengetahui apa saja yang sedang diatur di langit. Mereka akan pergi mengintip-ngintip, cuba mendengar-dengarkan kalau-kalau ada berita yang terlepas ke pengetahuan mereka. Berita-berita ini akan mereka segera sampaikan kepada manusia-manusia yang telah mereka pengaruhi.

Berita yang mereka dapat itu selalunya tidaklah lengkap. Adakalanya berita yang mereka perolehi adalah pada awal beritanya saja. Tetapi hujung berita itu tidak berjaya mereka perolehi. Ada juga kalanya mereka mendapat berita yang di hujung-hujung saja. Berita yang awal yang mula-mula sekali mereka tidak perolehi. Jadi ini bermakna berita yang mereka perolehi itu adalah tidak sempurna. Tidak lengkap.

Namun untuk memperolehi setiap berita tersebut adalah tidak sesenang itu. Malaikat-malaikat bertugas sentiasa berada di situ untuk berkawal. Bila saja melihat para jin dan syaitan ini yang cuba mendekati bahgian langit tersebut, mereka akan dilempari oleh para malaikat dengan nyalaan api dari segenap penjuru langit, sehingga syaitan-syaitan itu terusir dari mendapat mendapat rahmat Allah. Bahkan di akhirat nanti mereka bakal akan mendapat seksa besar yang berkekalan.

Untuk syiatan yang berjaya mencuri-curi dengar dan merisik dari kata-kata malaikat dalam persidangan puncak mereka, maka syaitan itu akan dilemparkan dengan nyalaan api yang bercahaya terang sehingga membuatkan mereka terus binasa.  








As Saffaat Ayat 11

فَاسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَمْ مَنْ خَلَقْنَا ۚإِنَّا خَلَقْنَاهُمْ مِنْ طِينٍ لَازِبٍ
11 - Maka tanyakanlah kepada mereka (musyrik Mekah): "Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?" Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari tanah liat.

Allah menyuruh RasulNya menyampaikan pertanyaan ini kepada orang-orang musyrik itu, mereka yang masih kafir dan tidak mahu percaya.  "Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya ataukah apa yang telah Kami ciptakan itu?"

Ini adalah kerana sebelum ini Allah telah menceritakan dengan jelas malah Allah telah bersumpah agar apa yang Allah bagitahu ini adalah sesuatu yang amat penting dan untuk diingat, bagaimana hebatnya kejadian malaikat, yang ada di antara mereka yang diperintahkan Allah untuk mengatur rencana tentang apa yang akan dilakukan di bumi. Malaikat-malikat ini adalah digelar sebagai “almalaul A’la” iaitu golongan tertinggi dari semua makhluk Allah. Dan Allah juga bersumpah dan bagitahu bagaimana syaitan dan iblis yang telah mencuba untuk mendekati langit, namun mereka diburu dengan bebola api yang bercahaya menembusi kegelapan malam.  

Allah kata, cubalah tanya kepada mereka yang kafir dan tidak mahu percaya itu, adakah mereka itu lebih kukuh kejadiannya dari semua makhluk? Ataukah langit yang berjumlah tujuh tingkat, ataukah bumi yang kukuh, ataukah berjuta bintang di langit, ataukah malaikat-malaikat itu sendiri yang lebih kukuh kejadiannya?  

Jawabnya tentulah malaikat-malaikat, langit dan bumi, serta bintang-bintang yang berjuta-juta itu lebih kukuh penciptaan dan kejadiannya kalau nak dibandingkan dengan kejadian manusia yang rapuh dan hanya diciptakan dari tanah liat yang kotor saja.


Sisters,
Di dalam surah Ghafir ayat 57 ada Allah berfirman bahwa : “sesungguhnya pada penciptaan banyak langit dan bumi, jauhlah lebih besar darpada ciptaan manusia, namun kebanyakan dari manusia tidaklah mengetahuinya.”

Ini bermakna mereka masih lagi tidak mahu insaf dengan memikirkan hakikat dari kejadian mereka sendiri. Padahal kalau nak dipandang dari sudut usia kehidupan, atau pun dari bahan yang diambil untuk mencipta manusia, nyatalah tersangat kecil manusia ini dibandingkan dengan alam sekelilingnya. Alam seluruhnya bermula dari langit ke tujuh hinggalah sampai ke bumi dan bintang-bintang semua ini, telah ada sejak berjuta-juta tahun sebelum manusia ada lagi. Dan setelah manusia dicipta dan dijadikan, dan setelah itu manusia ini pula akan mati, ia akan kembali menjadi hancur di dalam tanah semula.  Tetapi alam sekelilingnya tadi akan terus tetap berada di situ dan tidak berganjak mengikut peraturan dan ketentuan Allah. Tidak siapa tahu bila akan tiba waktu dibinasakan.

Ayat ini memberikan peringatan kepada kita manusia agar jangan sombong, jangan fakir menolak seruan Allah. Tetapi sebaliknya hendaklah menyerahlah dan tunduklah kepada segala titah perintahNya. Kerana sesungguhnya kita ini adalah kejadian Allah yang sangat lemah kalau nak dibandingkan dengan kejadian langit dan bumi serta bintang-bintang, apatah lagi kejadian para malaikat daripada Nur cahaya Allah.

Kita ini tersangat lemah kerana kita hanya kekal sebentar saja di atas mukabumi dan kemudian bila sampai tamat tempohnya kita akan kembali menjadi tanah semula. Sementara langit dan bumi, serta bintang-bintang malah malaikat belum lagi binasa atau sampai tamat tempohnya. Mereka akan kekal lebih lama lagi dari kita. Berapa lama itu tidak usahlah kita pertikaikan kerana hanya Allah saja yang tahu akan ketentuannya. Jadi tidak usahlah kita berbangga dan sombong sangat dengan Allah sehingga kita menganiaya diri kita sendiri dengan tidak mahu mentaati perintah Allah. Kita ini cepat sangat akan kembali kepadaNya.

Dan fikirkanlah apa nanti yang akan kita jawab di hadapan Allah kalau semasa hayat di dunia yang sebentar itu kita engkar dengan perintahNya dan kita melaksanakan laranganNya.








As Saffaat Ayat 12 Hingga 15

بَلْ عَجِبْتَ وَيَسْخَرُونَ
12 - Bahkan kamu menjadi heran (terhadap keingkaran mereka) dan mereka menghinakan kamu.

وَإِذَا ذُكِّرُوا لَا يَذْكُرُونَ
13 - Dan apabila mereka diberi pelajaran mereka tiada mengingatnya.

وَإِذَا رَأَوْا آيَةً يَسْتَسْخِرُونَ
14 - Dan apabila mereka melihat sesuatu tanda kebesaran Allah, mereka sangat menghinakan.

وَقَالُوا إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ
15 - Dan mereka berkata: "Ini tiada lain hanyalah sihir yang nyata.

Kemudian Allah berfirman kepada Rasulullah s.a..w. bahwa tak payahlah nabi meminta penjelasan dan tak berguna lagi untuk nabi tanyakan kepada kaum yang degil itu. Sebaliknya nabi sendirilah yang akan tercengang-cengang hairan melihatkan perangai mereka yang sombong dan buruk kerana tidak mahu mengakui bahwa manusia itu kelak akan mati, kelak akan pulang ke tanah semula. Padahal mereka sendiri selalu melihat akan kematian saudara mara mereka itu setiap hari. Dan mereka juga memandang rendah dan hina akan seruan dan ajakan agar mereka tunduk insaf dan mengingati akan hari kematian mereka.

Kehairanan nabi pada masa itu, bukan saja terjadi pada masa itu sahaja. Pada setiap zaman pun perkara ini tetap berlaku. Di zaman kita juga , orang-orang yang betul-betul beriman dan berfikiran jauh, orang yang percaya bahwa Allah akan mewujudkan hari pembalasan di atas setiap perbuatan, mereka juga merasa hairan apabila melihat sesetengah manusia di zaman ini yang sombong,  merasa diri sangat berkuasa dan kayaraya, sehingga lupa kepada Allah.

Akan sampai waktu bilamana mereka juga akan jatuh, runtuh dan kekuasaan mereka akan hancur, hartabenda mereka ranap lebur, tidak seorang pun yang dapat menolong. Telah banyak kita bertemu perkara demikian di dalam sejarah hidup manusia, di segala zaman, sejak dari Namrud dan Firaun atau penguasa-penguasa yang lain. Orang ramai akan tercengang melihat mereka ini tidak mahu mengambil pelajaran dari kejatuhan orang terdahulu, namun mereka sendiri merendah-rendahkan dan memandang hina akan orang-orang yang memberikan peringatan kepada mereka.

Mereka ini telah diingatkan berkali-kali bahwa jalan yang mereka tempuh adalah jalan yang sesat dan langkah yang mereka ambil adalah langkah yang salah. Mereka telah diberi penerangan dan penjelasan bahawa setelah mereka mati nanti, mereka tidak akan habis sampai di situ saja. Setelah mereka mati mereka akan bertemu pula dengan satu kehidupan yang kekal dan panjang. Di mana mereka nanti akan dihisab, dihitung dengan saksama akan perbuatan baik dan perbuatan buruk setiap mereka. Amalan baik akan diberikan ganjaran pahala dan syurga, sementara amalan perbuatan buruk akan diberikan azab seksa di neraka.

Jadi adalah lebih baik untuk mereka sewaktu masih hidup ini mereka memperbaiki diri dan mengerjakan amalan yang baik serta mereka menempuh jalan yang benar demi untuk mendapatkan pembalasan yang baik di kehidupan yang kekal setelah kematian kelak. Malangnya mereka ini tidak mahu menerima penjelasan. Mereka palingkan muka mereka dan enggan mendengarkan.  

Padahal mereka telah diperlihatkan tentang mukjizat iaitu perkara-perkara ghaib yang luar biasa, yang dibekalkan kepada para Rasul, sebagai keterangan dan bukti untuk membenarkan penjelasan dan seruan rasul. Tetapi sebaliknya mereka mentertawakan dan mempersendakan rasul-rasul tersebut dengan mengatakan bahwa mukjizat-mukjizat itu semua adalah sihir semata. Yang terang-terang dapat mengelirukan dan menipu orang ramai, sehingga mereka mendakwa yang diri mereka juga diperdayakan oleh sihir tersebut.







As Saffaat Ayat 16 Hingga 19


أَإِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَامًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ
16 - Apakah apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah serta menjadi tulang belulang, apakah benar-benar kami akan dibangkitkan (kembali)?

أَوَآبَاؤُنَا الْأَوَّلُونَ
17 - Dan apakah bapak-bapak kami yang telah terdahulu (akan dibangkitkan pula)"?


قُلْ نَعَمْ وَأَنْتُمْ دَاخِرُونَ
18 - Katakanlah: "Ya, dan kamu akan terhina".

فَإِنَّمَا هِيَ زَجْرَةٌ وَاحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ يَنْظُرُونَ
19 - Maka sesungguhnya kebangkitan itu hanya dengan satu tpekikan saja; maka tiba-tiba mereka melihatnya.

Orang-orang kafir musyrikin ini membantah pula keterangan Rasul bahwa kelak kemudian hari nanti manusia akan dibangkitkan kembali di hari kiamat. Mereka bertanya kepada Rasulullah bahwa kalau mereka telah mati, nyawa telah bercerai dari badan, dan badan pun telah menjadi tanah, sehingga yang tinggal hanya tulang belulang yang rapuh, adakah mereka tetap juga akan dihidupkan semula dengan tulang-belulang yang tinggal itu?  Mereka menjadi tersangat hairan kerana nenek moyang mereka yang telah mati dan dikuburkan terdahulu dari mereka, yang mereka juga tidak tahu entah di mana kuburan nenek moyang mereka itu, adakah mereka juga dan nenek moyang merkea itu akan dibangkitkan semula juga?

Pertanyaan ini adalah sebenarnya dipenuhi dengan cemuhan dan rasa tidak percaya. Oleh sebab itu mereka bertanya ini bukanlah sebab kerana mereka ingin mengetahui keadaan yang sebenarnya, tetapi sebaliknya mereka hanya ingin mengolok-olokkan Rasulullah saja. Bagi mereka ianya adalah satu karut marut yang tidak masuk akal belaka. Mereka mencemuh dan mempersendakan Rasulullah dengan pertanyaan, “orang yang telah mati dan yang telah hancur dimakan tanah akan hidup semula? Nenek moyang yang telah beratus tahun mati pun akan dihidupkan semula?”  Mereka ketawa mempersendakan Rasulullah.

Maka Allah memerintahkan Rasulullah untuk menjawab cemuhan mereka dengan firmanNya di ayat ke 18.

Ya! Memang! Manusia yang telah mati, yang dagingnya telah kembali menjadi tanah dan yang tinggal berserakan hanyalah tulang akan dihidupkan semula. Bahkan nenek moyang mereka yang telah meinggal beribu-ribu tahun dahulu pun juga semuanya itu kelak akan dibangkitkan semula, akan dihidupkan semula dalam keadaan yang sesuai dengan zamannya iaitu zaman kiamat.

Semua dan setiap manusia akan dibangkitkan, baik RAsulullah baik orang beriman, orang musyrikin Quraisy, orang yang baik, orang yang buruk, miskin kaya, tua muda, sempurna atau cacat, hina mulia, SEMUANYA, akan dibangkitkan semula.

Sedangkan mereka orang-orang kafir Quraisy yang mencemuh Rasulullah itu mereka akan dibangkitkan dengan keadaan yang hina. Kerana mereka sejak semula lagi tidak mahu beriman, tidak mahu percaya akan kebesaran dan kekuasaan Allah yang tidak ada batasnya. Malah mereka mencemuh dan mendustakan segala kebenaran yang datang kepada mereka. Jadilah mereka manusia yang hina!

“Maka sesungguhnya kebangkitan itu hanya dengan satu pekikan saja;”
Satu pekikan saja di sini menurut tafsir Hasan Al Basri, ialah pekikan panggilan bangun, panggilan yang kedua dengan terompet atau serunai sangkakala yang akan ditiupkan oleh Malaikat Israfil. Panggilan atau tiupan pertama ialah untuk mematikan sisa-sisa dari orang-orang yang masih hidup di kahir kehidupan dunia. Panggilan ataupun tiupan ataupun pekikan kedua  ini, yang hanya satu kali saja, ialah bertujuan untuk membangunkan segala yang bernyawa, terutama manusia, untuk hidup akhirat itu nanti.

Pada waktu itu mereka ini seumpama orang yang tersentak dari tidurnya yang nyenyak. Di waktu itulah mereka akan melihat dengan nyata akan hari Kebangkitan itu. Hari yang dinamakan hari Kiamat (yang bermaksud bangun berdiri)
ataupun hari Ba’ats (bermaksud bangkit).

Dari semasa ke semasa kehendak Allah akan berlaku. Apabila semuanya telah bangun dengan serentak , akan dimulailah Mahkamah Ilahi untuk melaksanakan perhitungan dan perhisaban. Ditimbang segala berat dan ringan (Mizan), dan juga hari menerima keputusan (Jazaa’).

Semua manusia akan melihat dengan terang dan nyata. Bukan semata-mata melihat, bahkan akan turut dihitungkan, dipertimbangkan dan menerima keputusan. Sebelum diperiksa masing-masing telah mengetahui sendiri ganjaran apa yang akan masing-masing terima. Sudah pastilah orang-orang yang di masa hidupnya adalah orang yang menolak kebenaran (kafir) dengan sendirinya akan merasa hina dina, ditekan oleh perasaaan yang amat berdosa sehingga tertunduk tidak sanggup mengangkatkan muka mereka.

  







As Saffaat Ayat 20

وَقَالُوا يَا وَيْلَنَا هَٰذَا يَوْمُ الدِّينِ
20 - Dan mereka berkata: "Aduhai celakalah kita!" Inilah hari pembalasan.

هَٰذَا يَوْمُ الْفَصْلِ الَّذِي كُنْتُمْ بِهِ تُكَذِّبُونَ
21 - Inilah hari keputusan yang kamu selalu mendustakannya.


احْشُرُوا الَّذِينَ ظَلَمُوا وَأَزْوَاجَهُمْ وَمَا كَانُوا يَعْبُدُونَ
22 - (kepada malaikat diperintahkan): "Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah,


مِنْ دُونِ الَّهِ فَاهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَاطِ الْجَحِيمِ
23 - selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka jahim.


وَقِفُوهُمْ ۖإِنَّهُمْ مَسْئُولُونَ
24 - Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) karena sesungguhnya mereka akan ditanya:

Maka setelah mendengar pekikan atau bunyi serunai sangkakala panggilan kedua itu, dijalankanlah pemeriksaan, pertimbangan dan perhitungan, dan kemudiannya diperolehilah keputusan masing-masing. Maka ternyatalah bahwa yang selama hidup di dunia hanya banyak berbuat yang jahat saja, dan sedikit pula bertujuan kebaikan, yang disembah pula bukanlah Allah tetapi berhala-berhala atau benda, maka datanglah keputusan yang adil dan saksama untuk semua. Bahwa mereka itu akan masuk ke dalam neraka. Di situlah maka timbulnya sesalan dan keluhan dari mereka.

Mereka yang pada masa di dunia dahulu tidak percayakan hari kebangkitan tetapi tiba-tiba kemudian telah berdepan dengan seksaan. Mereka akan berkata, “"Aduhai celakalah kita!" Itulah suatu sesalan nasib yang sangat menyayat hari. Mengeluh dan merasa diri telah malang. 

Betapa tidak, padahal kalau mereka melaksanakan perintah Allah sepenuhnya, mereka mengikuti jalan yang Rasul tuntuni semasa di dunia yang cuma sebentar saja berbanding dengan hidup di akhirat, tidaklah badan mereka akan menderita seperti ini di dalam panasnya api neraka. Barulah kini mereka tersedar, pada tempat yang kesedaran itu sudah tidak ada gunanya lagi. Inilah hari pembalasan.

Dan Allah berfirman di dalam ayat 21, “Inilah hari keputusan yang kamu selalu mendustakannya.” Dan keputusan itu dijatuhkan dengan adil. Tidak ada orang yang dihukum padahal mereka tidak bersalah, dan tidak ada pula kebaikan yang tersembunyi dari mata Allah. Kesalahan yang besar-besar yang dinakan sebagai Al Kabaair, dosa besar, yang berdasarkan kepada menyekutukan Allah, membunuh sesama manusia di luar keputusan hukum, berzina, bersaksi dusta untuk mencelakakan orang lain, dan berbagai lagi dosa yang telah banyak disebutkan di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w. adalah perhitungan utama tentang dosa. Yang paling hebat ialah menolak Kebenaran Agama Allah yang dibawa oleh Rasul, mendustakan apa yang Rasul sampaikan.

Lalu di ayat 22, datanglah perintah Allah kepada malaikat-malaikat yang ditugaskan. “"Kumpulkanlah orang-orang yang zalim beserta teman sejawat mereka” Kumpulkanlah mereka itu dalam bentuk ragam mereka yang sama. Si penipu bersama si penipu, munafik bersama munafik, pemakan riba bersama pemakan riba yang lain, penzina sesama penzina. Demikianlah ditafsirkan oleh Sa’id Bin Jubair dari Mujahid.

Jika yang mereka sembah itu berhala, kumpulkanlah bersama berhala itu sekali. Jika yang mereka sembah itu hartabenda, longgokkanlah hartabenda yang mereka sembah itu bersama mereka sekali. Biar mereka sama-sama hanyut masuk ke dalam neraka bersama-sama.

“selain Allah; maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka jahim.”
Hendaklah segala yang mereka sembah selain Allah itu dilonggokkan dan dikumpulkan bersama mereka untuk melenyapkan seksaan yang mereka akan deritai, kerana sudah nyata bahwa segala barang yang mereka sembah itu sedikit pun tidak ada yang akan dapat menolong mereka di hari itu.

Tentu di dalam perjalanan mereka beramai-ramai itu, seragama sama seragam, pemabuk sama pemabuk, penzina sama penzina, dan sebagainya dan disertai dengan sembahan masing-masing, maka di tengah perjalanan itu jelaslah lesu wajah mereka kerana bingung, takut, sesal dan cemas. Lalu mereka saling bertanya sesama mereka ke mana mereka ini akan dibawa. Maka datanglah keterangan pada ayat ini bahwa kepada mereka dijelaskan bahwa mereka akan dibawa, akan dihantarkan ke dalam tempat tinggal yang tleah ditentukan iaitu neraka jahim.

“Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) karena sesungguhnya mereka akan ditanya:’
Tiba-tiba di dalam perjalanan menuju jahim itu, di tengah-tengah perjalanan datanglah perintah Allah kepada malaikat, supaya mereka itu ditahan perjalanan mereka. Mereka belum dapat terus masuk ke dalam neraka itu.

Untuk mentafsirkan maksud ayat ini dapat kita tafsirkan lagi lanjutan ayat 71 dari surah Az Zumar. Di sana ditanyakan setelah rombongan itu dekat ke pintu neraka jahanam itu, pintu itu pun segera terbuka. Maka datanglah Khazanahnya iaitu malaikat-malaikat yang ditugaskan Allah untuk menjaga neraka. Malaikat itu bertanya kepada mereka , “Mengapa kamu sampai ke sini, bukanlah telah datang kepada kamu utusan-utusan Allah, yang terdiri dari kaum kamu sendiri, menyampaikan aya-ayat Allah kepada kamu, dan memberi peringatan kepada kamu bahwa kalau ajaran itu tidak kaum ikut pastinya kamu akan bertemu dengan hari yang seperti ini.”

Maka semua mereka menjawab, “ Balaa!” Maksudnya bahwa mereka mengakui terus terang bahwa memang rasul-rasul itu telah datang, danmereka itu bukan orang lain, tetapi keluarga mereka sendiri. Dan ajaran itu telah pun rasul-rasul itu sampaikan. Tetapi mereka sendiri yang mengingkari seruan itu. Maka berlakulah ketentuan Allah yang benar atas orang yang menganiaya.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.