Wednesday, January 6, 2016

Surah As Saffaat Ayat 95 - 113






As Saffaat Ayat 95 Hingga 98

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ
95 - Ibrahim berkata: "Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?


وَالَّهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ
96 - Padahal Allah-lah yang menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat itu".

قَالُوا ابْنُوا لَهُ بُنْيَانًا فَأَلْقُوهُ فِي الْجَحِيمِ
97 - Mereka berkata: "Dirikanlah suatu bangunan untuk (membakar) Ibrahim; lalu lemparkanlah dia ke dalam api yang menyala-nyala itu".


فَأَرَادُوا بِهِ كَيْدًا فَجَعَلْنَاهُمُ الْأَسْفَلِينَ
98 - Mereka hendak melakukan tipu muslihat kepadanya, maka Kami jadikan mereka orang-orang yang hina.

Nabi Ibrahim berkata kepada kaumnya “"Apakah kamu menyembah patung-patung yang kamu pahat itu?” Maksudnya berhala itu mereka yang buat, mereka lukis, mereka pahat dengan tangan mereka sendiri. Mereka yang memilih, menilik, memeriksa lalu mereka memahat batu atau kayu yang akan mereka jadikan berhala itu dan mereka juga mengkhayalkan dalam ingatan mereka sendiri akan rupa bentuknya.

Setelah selesai kerja mereka memahat batu dan kayu sehingga menjadi patung, mereka angkat pula patung itu ke rumah berhala , dan menegakkan patung itu di tempat yang mereka fikir layak. Sedangkan berhala itu sendiri, hanya menurut saja apa yang dibuat kepadanya, dan menurut saja di mana ianya diletakkan oleh mereka. Dan setelah itu mereka sembah pula patung yang mereka buat sendiri itu? Buah tangan mereka sendiri, mereka telah jadikan sebagai tuhan?

Ketahuilah oleh mereka bahwa Tuhan yang benar-benar layak untuk disembah itu hanyalah Allah. Kerana Dialah yang telah menjadikan mereka dan menjadikan patung-patung buatan itu. Bahkan perbuatan dan pekerjaan makhluk itu Allah jugalah yang menjadikannya.

Maka hanya Allah sajalah hendaknya yang mereka sembah sebagai Tuhan pencipta alam ini. Sedangkan patung atau berhala yang mereka puja itu adalah makhluk yang dicipta saja. Tidak ada kuasa apa-apa. Tidak syak lagi bahwa perbuatan mereka menyembah berhala itu adalah merupakan satu kesalahan besar dan dosanya juga sangat besar.

Kaum Nabi Ibrahim sudah jelas dan terang tidak dapat menangkis lagi pertanyaan demi pertanyaan yang diajukan oleh Nabi Ibrahim kepada mereka. Mereka sudah kehabisan idea dan sudah tidak ada alasan yang kukuh untuk membalas dakwaan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim yang telah dengan berani menentang semua penyembahan makhluk lain selain dari Allah. Nabi Ibrahim yang telah bersedia untuk berkorban demi kepentingan Allah, kerana beliau telah datang menghadap Allah dengan hati yang suci. hati yang telah bersih dari pengaruh yang lain. Hati yang hanya dipenuhi oleh satu ingatan saja… ALLAH!

Namun kaumnya tetap berdegil dan tidak mahu mengalah. Patah dengan hujah, mereka akan tegakkan juga pendirian bodoh mereka itu dengan kekerasan. Dan begitulah sejarah yang telah berlaku sejak di zaman dahulu lagi. Dan sehingga ke hari ini ianya tetap berlaku. Apabila kebatilan telah tersemat di hati, dan penguasa sendiri yang menjadi pelopor kepada setiap kebatilan. Tidak berjaya menegakkan kebatilan dengan hujjah, mereka tetap akan melakukannya juga dengan kekerasan.

Maka nabi Ibrahim pun telah dijatuhkan hukuman yang berat. Mereka telah mendirikan sebuah bangunan untuk membakar Nabi Ibrahim. Kayu bakar dikumpulkan sebanyaknya untuk membakar Nabi Ibrahim. Setelah api dihidupkan dan menjulang tinggi, Nabi Ibrahim pun disuruh untuk masuk ke dalam api yang sedang marak menyala itu. Habis cerita!

Sisters yang dikasihi,
Perancangan mereka ini memanglah hebat. Namun perancangan Allah lagi Maha Hebat! Dan Allah lah yang Maha Menentukan segalanya. Perancangan mereka ialah mereka telah membuat bangunan unggun api dari kayu bakar yang banyak dan api yang menjulang tinggi. Di situlah nanti Nabi Ibrahim akan dilemparkan. Sisters boleh rujuk kembali surah Al Anbiya’ ye. Dan memang itulah yang mereka lakukan. Nabi Ibrahim telah dilemparkan ke dalam api yang marak menyala itu.

Tetapi ketahuilah oleh mereka, di saat mereka melemparkan Nabi Ibrahim ke dalam api itu, bermakna mereka kini  bukan lagi berhadapan dengan Nabi Ibrahim saja, tetapi kini mereka juga berhadapan dengan ALLAH, Tuhan sekalian alam yang telah mengutuskan Nabi Ibrahim kepada mereka!

“....maka Kami jadikan mereka orang-orang yang hina.”
Api yang mereka nyalakan itu telah mendapat perintah dari Allah agar menjadi sejuk dan membawa keselamatan kepada pesuruhNya iaitu Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim ditakdirkan tidak mati di dalam api itu. Malah Nabi Ibrahim selamat dan nyaman berada di dalam api yang mereka sendiri nyalakan itu.

Adapun tipu daya mereka itu Allah telah kalahkan dan Allah kembalikan semula tipu daya itu kepada mereka sehingga mereka menjadi orang-orang yang tewas lagi hina dan berada di dalam kerendahan. Dan Nabi Ibrahim alaihissalam lah yang menang kerana telah terlepas dari bahaya dan tidak mati sepertimana yang mereka rancangkan.  

Kehendak Allah jualah yang berlaku. Khalil Allah , ataupun sahabat Allah telah diselamatkan dari aniaya kaumnya sendiri.

Allahu akbar!
Allahu akbar!
Allahu akbar!








As Saffaat Ayat 99 hingga 102

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهْدِينِ
99 - Dan Ibrahim berkata: "Sesungguhnya aku pergi menghadap kepada Tuhanku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
100 - "Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.


فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ
101 - Maka Kami beri dia kabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar.


فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚقَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖسَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ الَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ
102 - Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

Setelah pahit getir dirasakan selama bergaul dengan kaumnya itu, bahkan dengan ayahnya sendiri selalu terjadinya pertentangan, menyeru dakwah yang benar mereka enggan menerimanya, maka Nabi Ibrahim pun berhajat untuk berhijrah membawa agama tauhid yang satu ke tempat lain, agar beliau dapat mengamalkannya dengan bebas dan tenang. Sekiranya Nabi Ibrahim berlama-lama tinggal bersama kaumnya pasti tidak selamat untuk beliau beriabadah kepada Allah.

Berhijrahlah Nabi Ibrahim meninggalkan kaumnya. Tinggalkan kampung halaman, tinggalkan keluarga dan sanak saudara. Nabi Ibrahim menyerahkan diri beliau bulat-bulat kepada Allah Yang Satu. Tajarrud, bebas lepas tidak ada kaitan lagi dengan yang lain. Dengan berhijrah maka tercapailah ketenteraman jiwa Nabi Ibrahim dan bertambah teguh pula lah keyakinan. Itulah pasrah yang sejati.

Di ketika itu Nabi Ibrahim masih lagi muda beliau. Di dalam ayat 60 dari surah Al Anbiya ada mejelaskan bahwa ketika itu Nabi Ibrahim masih lagi muda remaja. Nabi Ibrahim telah mengembara sampai ke negeri Syam (Syria). Tinggal menetaplah Nabi Ibrahim di situ dengan cita-cita menyediakan hidup untuk menyerahkan diri beliau hanya kepada Allah.

Setelah lama Nabi Ibrahim tinggal di Syam dan setelah bekahwin, didapati Nabi Ibrahim tidak juga dikurniakan seorang anak pun.  Bertahun-tahun lamanya dia menunggu kehadiran seorang anak tetapi tidak juga dapat. Telah didapati bahwa isteri beliau iaitu Sarah itu mandul.

Dengan persetujuan dan atas anjuran isterinya sendiri, Nabi Ibrahim pun berkahwinlah dengan Hajar, dayang kepada Sarah, kerana untuk mendapatkan anak. Dalam usia lebih kurang 86 tahun, barulah permohonan Nabi Ibrahim terkabul. Hajar melahirkan anak lelaki yang beliau beri nama Ismail.  

Dapatlah kita bayangkan betapa hebatnya ujian yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim dalam menghadapi hidup. Setelah mengembara berpuluh tahun meninggalkan kampung halaman, berhijrah, berumahtangga dalam tempoh yang begitu lama, kini setelah tua barulah diberikan kegembiraan oleh Allah memperolehi seorang anak lelaki.

Disebut di dalam ayat 101 bahawa sifat anak beliau adalah seorang yang Halim, yang membawa maksud penyabar. Tetapi penyabar ‘halim’ dengan penyabar ‘Shabir’ adalah berbeza. Halim iaitu dari kata hilm membawa maksud sabar yang sudah menjadi tabiat atau bawaan hidup. Sudah menjadi sifat semulajadi. Sementara sabar ‘shabir’ pula maksudnya sebagai satu perisai untuk menangkis gelisah jika ujian datang dengan tiba-tiba.

Nabi Ibrahim juga mempunyai akhlak Halim itu. Beliau sangat sabar dan tenang menghadapi berbagai kesukaran dan penderitaan hidup. Dua kali nama beliau disebut di dalam Al Quran bersama dengan kedua sifat yang terpuji ini. Satu di dalam surah Hud ayat 75 dan satu lagi di dalam Surah Bara’ah ayat 114.  

Sifat ini jugalah yang diberikan Allah kepada anak yang baru lahir itu. Permohonan beliau agar diberikan keturunan yang termasuk dalam bilangan orang-orang yang saleh telah dikabulkan Allah dengan menanamkan sifat ayat ke dalam anaknya. Iaitu sifat Haliim.

Anak yang sudah dapat berjalan bersama ayahnya ialah di antara usia 10 hingga 15 tahun. Keadaan ini ditonjolkan di dalam ayat 102 ini, untuk menunjukkan betapa tertumpahnya kasih sayang Nabi Ibrahim kepada anaknya itu. Di kala anak berusia sekitar 10 hingga 15 tahun memanglah seorang ayah akan merasa sangat bangga sekali jika dapat berjalan bersama dengan anaknya itu.

Suatu ketika dibawalah Nabi Ismail berjalan-jalan bersama-sama. Di tengah jalan, Nabi Ibrahim berkata kepada Nabi Ismail, "Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" Dengan kata-kata halus dan mendalam si ayah berkata kepada anaknya, bahwa ayah telah tua, berusia lebih dari 90 tahun, dan anak yang di hadapannya itu adalah seorang anak yang telah ditunggu-tunggu kehaidrannya berpuluh tahun lamanya.

Dalam pertanyaan ini Allah telah membayangkan kepada kita bagaimana seorang manusia yang terjadi dari darah daging sendiri, terpaksa dilepaskan, tentulah akan rawan dan sedih terasa, tetapi di saat yang sama, tidak sedikit pun terselit rasa ragu atau bimbang bahwa diri adalah seorang nabi.

Disuruhlah si anak memikirkan akan mimpinya itu dan kemudiannya diharapkan agar si anak akan menyatakan pendapat. Lalu berkatalah si anak iaitu Nabi Ismail  "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar"

Alangkah terharunya mendengar jawapan ikhlas dari si anak. Benar-benar terkabul doa ayahnya selama ini yang menginginkan keturunan orang-orang soleh. Benar-benar tepat apa yang dikatakan Allah kepada Nabi Ibrahim, iaitu seorang anak yang sangat penyabar. Nabi Ismail percaya bahwa mimpi ayahnya itu adalah wahyu dari Allah, bukan sebarang mimpi. Kerana itulah dianjurkan agar ayahnya melaksanakan apa yang diperintahkan.








As Saffaat Ayat 103 Hingga 111

فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ
103 - Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis (nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ
104 - Dan Kami panggillah dia: "Hai Ibrahim,

قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚإِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
105 - sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu", sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ
106 - Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ
107 - Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ
108 - Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian,

سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ
109 - (yaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".

كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ
110 - Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ
111 - Sesungguhnya ia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.

Setelah keduanya , Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail berserah diri bulat-bulat kepada Allah, benar-benar beriman, benar-benar yakin dan penuh redha kepada Allah, maka Nabi Ismail pun dibaringkanlah di atas pipinya. Maksudnya pipi Nabi Ismail diletakkan lekap ke bumi supaya mudah untuk meletakkan pisau ke lehernya dan mudah untuk Nabi Ibrahim mengacukan pisau itu.

Sedang Nabi Ibrahim alaihissalam melakukan upacara penyembelihan itu terhadap anaknya Nabi Ismail, tiba-tiba kedengaran suara Malaikat memanggil dari belakang beliau. Ini adalah atas arahan dari Allah. "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu", sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” Maksudnya bahwa sepanjang yang Allah perintahkan kepada Nabi Ibrahim dalam mimpi telah beliau benarkan, beliau tidak ragu-ragu bahwa itu memang perintah dari Allah. Dan benarlah bahwa itu adlaah wahyu dari Allah.  

Cukuplah sudah, setakat ini pengorbanan yang telah beliau lakukan dan beliau telah memilih keredhaan Allah dari kasihkan anaknya itu, Ini berreti Nabi Ibrahim telah termasuk dalam golongan orang-orang yang berbuat kebajikan. Maka begitulah pula Allah memberikan pahala sebagai balasan kepada orang-orang yang berbuat kebajikan. Balasannya ialah dengan melepaskan Nabi Ibrahim dari kesusahan dan kedukaan.

Ganjaran kemuliaan yang tertinggi dari Allah untuk Nabi Ibrahim, sehinggakan Nabi Ibrahim telah mendapat pujian dan disebut sebagai Khalil Allah iaitu orang yang sangat dekat kepada Allah, laksana sahabatnya.

Sesungguhnya perintah penyembelihan ini sememangnya merupakan satu ujian yang jelas sekali kelihatannya amat berat untuk dipikul oleh Nabi Ibrahim. Memanglah ianya satu ujian yang berat, bilamana seorang yang sudah lanjut usia, mengharapkan kehadiran seorang anak di usia yang lanjut, dan setelah itu diperintahkan untuk mengorbankan anaknya yang sudah ditunggu lama kehadirannya. Namun perintah itu dilaksanakan juga dengan tidak ada keraguan sedikit jua pun, baik pada si ayah mahupun si anak. Lantaran itu Nabi Ibrahim dan puteranya tidak sekali-kali takut untuk menghadapi maut, kerana maut untuk melaksanakan perintah Allah adalah maut yang paling mulia, maka akan segera dilaksanakan oleh kedua anak dan ayah ini.

“Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”
Maksudnya setelah Allah memanggil Nabi Ibrahim dan memberitahukan bahwa perintah Allah itu sudah pun Nabi Ibrahim tunaikan, ketika itu tangan Nabi Ibrahim telah ditahan oleh malaikat Jibril sehingga pisau yang tajam itu tidak sampai mencecah ke leher Nabi Ismail. Dengan sepantasnya didatangkanlah seekor kibas besar dari syurga untuk menggantikan tempat Nabi Ismail untuk disembelih.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim ini kelaknya telah Allah jadikan sebagai salah satu dari syariat agama sehingga turun temurun. Bahkan sampai kepada gangguan syaitan kepada Nabi Ibrahim di tengah perjalanan ketika belaiu membimbing anaknya Nabi Ismail untuk pergi tke tempat penyembelihan telah dijadikan sebagai salah satu dari rukun Haji, iaitu melontar di jamrah di Mina.

Allah abadikan nama dan kebaikan Nabi Ibrahim supaya ianya tetap dikenang orang sehingga ke hari ini. Serta dijadikan suri tauladan bagi manusia dari angkatan yang akan datang. Adalah jelas Nabi Ibrahim dicintai oleh semua golongan agama. Kaum Yahudi memuliakannya, kaum Nasrani mengagungkannya. Dan apatah lagi kaum muslimin, menyanjungnya setiap masa. Dan kaum musyrikin juga tetap menghormatinya. Sehinggakan kaum msyirikin pula sanggup mengaku bahwa sesungguhnya mereka berada di dalam agama bapa mereka iaitu Nabi Ibrahim.

Ini semua terjadi adalah kerana doa Nabi Ibrahim di dalam surah Asy Syu’ara ayat 84 dan 85 yang bermaksud :
“Dan jadikanlah untuk ku sebutan yang baik dalam keturunan hingga ke hari kemudian. Dan jadikanlah aku dariapda golongan yang mempusakai syurga kesenangan.”

Di samping itu Allah juga memberikan ucapan selamat sejahtera, sebagai suatu penghormatan kepada Nabi Ibrahim dan menjadikan beliau hidup aman sentosa di kalangan para malaikat, dan bangsa manusia serta bangsa jin.

“Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”
Maka begitulah Allah memberikan pahala kepada Nabi Ibrahim sebagai balasan kerana telah berbuat kebajikan mentaati Allah. Dan sesungguhnya Nabi Ibrahim itu adalah termasuk dalam golongan hamba-hamba Allah yang beriman teguh kepercayaannya kepada kekuasaan Allah dan hanya kepada Allah lah beliau meminta perlindungan.







As Saffaat Ayat 112 Dan 113

وَبَشَّرْنَاهُ بِإِسْحَاقَ نَبِيًّا مِنَ الصَّالِحِينَ
112 - Dan Kami beri dia kabar gembira dengan kelahiran Ishaq, seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh.


وَبَارَكْنَا عَلَيْهِ وَعَلَىٰ إِسْحَاقَ ۚوَمِنْ ذُرِّيَّتِهِمَا مُحْسِنٌ وَظَالِمٌ لِنَفْسِهِ مُبِينٌ
113 - Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan di antara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.

Kurnia yang seterusnya diberikan Allah kepada Nabi Ibrahim ialah Allah memberikan anak lelaki yang bernama Ishak. Jelaslah dari susunan ayat ini menunjukkan ianya menjadi dalil bahwa anak Nabi Ibrahim alaihissalam yang diperintahkan oleh Allah supaya menyembelihnya itu bukanlah Ishak tetapi Nabi Ismail. Ini adalah kerana terdapatnya pertelingkahan pendapat di antara ulamak-ulamak yang mengatakan bahwa anak Nabi Ibrahim yang disembelih itu adalah Nabi Ishak.

Nabi Ishak juga telah dilantik Allah menjadi nabi, yang termasuk ke dalam golongan orang-orang yang baik. Allah telah memberikan kehidupan yang berkat kepada Nabi Ibrahim sehingga dapat menurunkan zuriat yang banyak. Begitu juga Nabi Ishak telah melahirkan zuriat yang banyak, kerana kebanyakan para nabi adalah daripada keturunan Nabi Ishak.

Dan dari Nabi Ibrahim serta Nabi Ishak pula terdapatnya keturunan yang baik-baik lantaran mereka berbuat kebaikan iaitu beriman kepada Allah. Taat akan perintahNya dan menjauhi laranganNya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.