Thursday, January 7, 2016

Surah As Saffaat Ayat 171 - 182








As Saffaat Ayat 171 Hingga 173

وَلَقَدْ سَبَقَتْ كَلِمَتُنَا لِعِبَادِنَا الْمُرْسَلِينَ
171 - Dan sesungguhnya telah tetap janji Kami kepada hamba-hamba Kami yang menjadi rasul,

إِنَّهُمْ لَهُمُ الْمَنْصُورُونَ
172 - (yaitu) sesungguhnya mereka itulah yang pasti mendapat pertolongan.

وَإِنَّ جُنْدَنَا لَهُمُ الْغَالِبُونَ
173 - Dan sesungguhnya tentara Kami itulah yang pasti menang.

Dengan ayat 171 dan 172 Allah telah memaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai mengubati jerih payah baginda di dalam berjuang, bahwasanya bagiamana susah sekali pun, bagiamana hebat sekali pun penderitaan yang baginda hadapi, bagaimana hebat sekali pun tentangan yang baginda terima dari kaum baginda sendiri, namun kemenangan terakhir adalah tetap akan ada pada Nabi Muhammad s.a.w.

Kerana begitulah yang telah ditentukan oleh Allah terlebih dahulu sebelum Allah mengutuskan seorang Rasul. Mereak pasti akan disakiti, mereka akan dicemuh, mereka akan didustakan. Pada ayat-ayat yang telah lalu diterangkan secara ringkas tentang perjuangan beberapa orang rasul, betapa hebat perjuangan mereka itu, namun kemenangan terakhir tetap di pihak mereka juga. Allah memberikan kepastian bahwa mereka pasti akan ditolong.

Semua mereka yang berjuang menegakkan agama Alalh semasa di dunia ini, adalah disebut sebagai tentera Allah. Ataupun Jundullah ataupun Hizbullah. Iaitu orang yang telah mengorbankan diri mereka semata-mata untuk menyampaikan seruan Allah, menuntun manusia ke jalan Allah. Ketahuilah yang perjuangan mereka itu pasti akan menang.

Ini membawa erti bahwa setiap perjuangan akan pasti menempuh pengorbanan. Bila peperangan telah terjadi yang akan tewas akan mencapai shahid. Walaupun di dunia mereka shahid tetapi kemenangan terakhir akan tetap tercapai oleh mereka. Inilah janji Allah yang pasti.







As Saffaat Ayat 174 Hingga 179

فَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ
174 - Maka berpalinglah kamu (Muhammad) dari mereka sampai suatu ketika.

وَأَبْصِرْهُمْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ
175 - Dan lihatlah mereka, maka kelak mereka akan melihat (azab itu).

أَفَبِعَذَابِنَا يَسْتَعْجِلُونَ
176 - Maka apakah mereka meminta supaya siksa Kami disegerakan?

فَإِذَا نَزَلَ بِسَاحَتِهِمْ فَسَاءَ صَبَاحُ الْمُنْذَرِينَ
177 - Maka apabila siksaan itu turun di halaman mereka, maka amat buruklah pagi hari yang dialami oleh orang-orang yang diperingatkan itu.

وَتَوَلَّ عَنْهُمْ حَتَّىٰ حِينٍ
178 - Dan berpalinglah kamu dari mereka hingga suatu ketika.

وَأَبْصِرْ فَسَوْفَ يُبْصِرُونَ
179 - Dan lihatlah, maka kelak mereka juga akan melihat.
Allah mengingatkan RasulNya, Nabi Muhammad s.a.w. suapya baginda berpaling dari mereka. Maksud berpaling ini adalah jangan mengendahkan halangan dan gangguan mereka terhadap baginda dan kaum mukmin. Jangan pedulikan sikap mereka yang menyakitkan itu, pandang seakan-akan tidak ada saja.

Sehinggalah “sampai suatu ketika.” di mana akan datang masanya Allah akan membalas segala perbuatan mereka samada di dunia ataupun di akhirat nanti. Ini kerana sudah semestinya segala rancangan jahat pihak musyrikin itu pastilah akan gagal juga. Sebab mereka memperjuangkan kebatilan. Bukannya memperjuangkan jalan yang benar. Sudah semestinya yang batil akan kalah dan yang benar akan menang. Dan sepertimana yang kita tahu  Allah telah mengalahkan mereka di dalam perang Badar di mana ramai para pembesar Quraisy telah mati di dalam peperangan itu.

Allah menyuruh supaya baginda melihat akan keadaan kaum musyrikin itu. Hayat mereka semasa di dunia lagi sudah hidup di dalam kebatilan, kesesatan, maka di dunia lagi Allah sudah memberikan pembalasan. Mereka hidup di dalam keadaan berpecah belah. Dan mereka tewas di dalam peperangan menentang kaum mukmin. Itu semasa hayat mereka di dunia. Di akhirat pula tidak usahlah disangkalkan lagi kerana mereka bakal menerima azab yang tak terperi dari Allah.

Dan tidak lama lagi kaum musyrikin Quraisy ini pula akan melihat bahwa agama Islam akan tertegak dan berkembang dengan pesat yang akan menakjubkan seluruh penduduk dunia. Agama Islam yang selama ini mereka tindas dan mereka hina. Ianya akan menjadi agama terbesar di kalangan penduduk bumi.

“Maka apakah mereka meminta supaya siksa Kami disegerakan?”
Dengan bongkak dan sombongnya mereka yang pernah menentang nabi telah meminta, kalau benar ada azab seksaan neraka nanti, maka cubalah bawakan sekarang juga.

Lalu Allah mengingatkan mereka dengan ayat 177 ini, iaitu apabila azab yagn mereka minta disegerakan itu diturunkan Allah di halaman rumah mereka, atau di tempat lapang mereka sedang berkumpul “maka amat buruklah pagi hari yang dialami oleh orang-orang yang diperingatkan itu.”  

Maksudnya kalau permohonan nak ditunjukkan azab neraka itu kepada mereka Allah tunaikan, sudah pasti semua mereka akan mati terkejut. Ataupun terbongkang biji mata melihatkan azab yang dahsyat itu. Tidak akan ada yang sanggup bertahan, tidak akan ada yang sanggup melarikan diri ke mana jua pun. Pendekata, pada pagi hari azab itu datang adalah pagi yang penuh kucar kacir dan pagi yang panik bagi mereka.

Sesungguhnya azab itu memang datang juga di peperangan Badar. Seramai 70 orang pembesar utama dan perajurit kaum musyrikin Quraisy telah tewas di dalam peperangan itu.

Maka Allah menasihati nabi, sekiranya kaum musyrikin ini datang kepada nabi dan meminta supaya disegerakan azab turun kepada mereka, janganlah baginda marah dan panas hati terhadap mereka. Kerana apa yang mereka pinta itu pasti akan diberi juga kepada mereka. Mereka pasti akan dapat merasakan sendiri azab itu kelak.

Dan pada waktu datangnya azab itu suruhlah mereka melihat akan bencana yang menimpa mereka dari Allah. Yang mana pada waktu itu tidak akan diterima lagi taubat mereka.  








As Saffaat Ayat 180 Hingga 182

سُبْحَانَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ
180 - Maha Suci Tuhanmu Yang mempunyai keperkasaan dari apa yang mereka katakan.

وَسَلَامٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ
181 - Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
182 - Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam.

Maha Suci Allah , wahai Rasul, iaitu Tuhan yang Maha Perkasa dan Penakluk dari dicermarkan oleh kaum musyrikin Mekah yang mengatakan Allah itu beranak. Dan ada pula yang mengatakan malaikat itu anak perempuan Allah. Maha Suci Allah dari disifatkan oleh mereka yang sedemikian.

“Dan kesejahteraan dilimpahkan atas para rasul.”
Ucapan selamat sejahtera iaitu ucapan kehormatan dan penghargaan setinggi penghargaan terhadap jasa RAsul-Rasul Allah yang telah diutus ke dunia ini untuk menyampaikan bimbingan dan tuntunan kepada manusia seluruhnya.

Pada ayat 89 telah diucapkan selamat sejahtera untuk Nabi Nuh.
Pada ayat 109 telah diucapkan selamat sejahtera untuk Nabi Ibrahim.
Pada ayat 120 telah diucapkan selamat sejahtera untuk Nabi Musa dan Nabi Harun.
Pada ayat 130 telah diucapkan selamat sejahtera untuk Nabi Ilyas .
Dan sekarang di ayat 181 diucapkan selamat sejahtera buat seluruh Rasul Allah, baik yang disebut namanya dalam surah ini ataupun yang tidak disebut namanya. Baik yang disebut kisahnya di dalam surah ini mahupun yang tidak disebut kisahnya. Semuanya telah berjuang memegang amanat, menyampaikan risalah an menjalankan tugas sehingga selesai.

“Dan segala puji bagi Allah Tuhan seru sekalian alam”
 Segala puji bagi Allah kerana dengan diutusnya Rasul-rasul dan para nabi ke muka bumi ini, dipilih dari kalangan manusia juga, semua ini adalah tanda belas kasihan Allah yang paling utama kepada kita manusia. Untuk menuntun manusia meninggalkan hidup yang gelap gelita tidak tentu arah, kepada hidup yang terang benderang dengan pimpinan wahyuNya.

Maka tidaklah Allah menciptakan manusia itu dan membiarkannya saja. Tetapi Allah menciptakan manusia dan memberikan mereka akal dan Allah menuntun mereka dengan bimbingan wahyuNya. Maka sangatlah besar nikmat Ilahi kepada manusia. Kerana di samping memberikan kenikmatan untuk hidup di atas muka bumi ini, Alah berikan juga mereka tuntunan jiwa. Hidup adalah gabungan jasmani dan rohani. Yang nampak pada lahir dan terasa pada batin. Allah yang menciptakan kita dan Dia pula yang memberitahukan kita tentang Dia dengan perantaraan Rasul.

Oleh sebab itu maka ucapan selamat sejahtera kepada RAsul-rasul utusan Allah dan ucapan puji-pujian kepada Allah yang mengutuskan rasul itu adalah yang wajar dan ianya sebagai intisari kepada kehidupan.  

Rasulullah s.a.w. bersabda :
“barangsiapa yang gembira jika pahalanya ditimbang dengan timbangan yang betul di hari kiamat, maka tiap-tiap penutup dari majlisnya bacalah ketiga ayat ini, “Subhaana rabbika rabbil izzati ammaa yasifuun, wasalaamun alal mursaliin, walhamdu lillahi rabbil aalamiin.”
(Riwayat al Mawardi dari Ibnu Abi Hatim dari Hadis Asy-Sya’bi)

Itulah sebabnya maka selalu jika seseorang membaca sesuatu doa mengharapkan sesuatu dari Allah, lafaz doa itu senantiasa ditutup dengan ketiga ayat ayat penutup dari Surah As Saffaat ini. Walhamdulillahi rabbil ‘alamiin.

Wallahua’lamu bissawaab. Selesai sudah tafsir surah As Saffaat. Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.