Monday, December 21, 2015

Surah Saba' Ayat 42 - 54







Saba’ Ayat 42

فَالْيَوْمَ لَا يَمْلِكُ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ نَفْعًا وَلَا ضَرًّا وَنَقُولُ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّتِي كُنْتُمْ بِهَا تُكَذِّبُونَ
Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa (untuk memberikan) kemanfaatan dan tidak pula kemudharatan kepada sebahagian yang lain. Dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim: "Rasakanlah olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakan itu".

Bilamana tibanya hari kiamat, sesiapa pun tidak mempunyai kuasa untuk memberi syafaat dan mudharat sesama mereka. Malaikat tidak dapat menolong manusia mahupun menjatuhkan manusia ke dalam kemudharatan. Jin pun tidak. Sesama manusia pun tidak. Sedangkan di atas dunia ini lagi mereka semua tidak mempunyai kuasa untuk medatangkan manfaat mahupun mudharat maka apa tah lagi bila berada di sana nanti.

Allah mencela mereka golongan musyrik ini dengan mengatakan bahwa rasailah seksa api neraka yang mereka dustakan semasa di dunia dahulu kerana tidak mempercayainya. Sekarang barulah mereka benar-benar telah menemui neraka tersebut dan mendengar sendiri sorak sorainya, untuk menyambut mereka sebagai ahli. Nyatalah yang didengar tak sama dengan yang dilihat. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa melainkan menggigit jari mereka sendiri tanda penyesalan. Tetapi.. seperti yang sudah diingatkan sebelum ini, penyesalan yang datang kemudian tiadalah berguna lagi.









Saba’ Ayat 43

وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالُوا مَا هَٰذَا إِلَّا رَجُلٌ يُرِيدُ أَنْ يَصُدَّكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُكُمْ وَقَالُوا مَا هَٰذَا إِلَّا إِفْكٌ مُفْتَرًى ۚوَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ إِنْ هَٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُبِينٌ
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang terang, mereka berkata: "Orang ini tiada lain hanyalah seorang laki-laki yang ingin menghalangi kamu dari apa yang disembah oleh bapak-bapakmu", dan mereka berkata: "(Al Qur'an) ini tidak lain hanyalah kebohongan yang diada-adakan saja". Dan orang-orang kafir berkata terhadap kebenaran tatkala kebenaran itu datang kepada mereka: "Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata".

Ayat-ayat yang dibacakan kepada mereka itu adalah ayat-ayat Al Quran. Dan yang membacakannya adalah Rasul Allah sendiri. Isinya sudah sangat jelas, dengan menggunakan bahasa mereka sendiri iaitu bahasa Arab Quraisy. Tetapi mereka mengatakan bahwa  "Orang ini tiada lain hanyalah seorang laki-laki yang ingin menghalangi kamu dari apa yang disembah oleh bapak-bapakmu"  Inilah anggapan mereka terhadap Nabi Muhammad s.a.w. Iaitu bahwa isi Al Quran yang dibacakan nabi kepada mereka itu yang mengandungi ajaran Tauhid dan menyeru mereka untuk menyembah Allah yang maha Esa, adalah untuk mengubah adat pusaka yang telah diterima turun temurun dari nenek moyang mereka.

Bagi mereka penyembahan berhala telah menjadi darah daging mereka. Meninggalkan kebiasaan itu bermakna mengubah petua dan pusaka nenek moyang mereka sendiri. Dan bagi mereka itu tidak betul. Lalu mereka menuduh dan mendakwa bahawa Al Quran itu hanyalah kata-kata bohong yan dibuat-buat, dikarang oleh nabi dan bukannya diturunkan dari langit oleh Allah.

Dan mereka juga mendakwa bahwa semua yang dibacakan itu adalah sihir yang nyata belaka. Yang memukau mereka untuk memalingkan mereka dari kebisingan yang mereka pakai selama ini, untuk mengacau hubungan mereka dengan adat istiadat, pusaka dan tradisi yang telah diterima dari nenek moyang mereka. Oleh sebab itu mereka menganggap bahawa Nabi adalah sebagai pembawa sihir dan hendaklah semua orang menjauhi nabi. Jangan dekat dan jangan berhubungan dengan nabi.

Sisters yang dirahmati,
Perkataan-perkataan di dalam Al Quran apabila dibaca memanglah ianya hebat, memukau dan memikat. Ini kerana ianya adalah satu kebenaran dari Allah. Al Quran berupaya membuka mata yang selama ini tertutup. Dan berupaya membuka fikiran yang selama ini terbelenggu di dalam kegelapan.









Saba’ Ayat 44 Dan 45

وَمَا آتَيْنَاهُمْ مِنْ كُتُبٍ يَدْرُسُونَهَا ۖوَمَا أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمْ قَبْلَكَ مِنْ نَذِيرٍ
44 - Dan Kami tidak pernah memberikan kepada mereka kitab-kitab yang mereka baca dan sekali-kali tidak pernah (pula) mengutus kepada mereka sebelum kamu seorang pemberi peringatanpun.

وَكَذَّبَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَمَا بَلَغُوا مِعْشَارَ مَا آتَيْنَاهُمْ فَكَذَّبُوا رُسُلِي ۖفَكَيْفَ كَانَ نَكِيرِ
45 - Dan orang-orang yang sebelum mereka telah mendustakan sedang orang-orang kafir Mekah itu belum sampai menerima sepersepuluh dari apa yang telah Kami berikan kepada orang-orang dahulu itu lalu mereka mendustakan rasul-rasulKu. Maka alangkah hebatnya akibat kemurkaan-Ku.

Allah lalu menolak dakwaan mereka bahwa agama nenek moyang mereka itu adalah agama yang benar. Ini kerana sebelum ini Allah belum pernah menurunkan suatu kitab pun kepada bangsa Arab sebelum diturunkanNya Al-Qur'an. Allah juga belum pernah mengutus seorang nabi pun kepada mereka sebelum Nabi Muhammad Saw.

Dan sebelum itu mereka selalu mengharapkannya dan mereka mengatakan, "Seandainya datang kepada kami seorang pemberi peringatan atau diturunkan kepada kami sebuah kitab, tentulah kami menjadi orang-orang yang lebih mendapat petunjuk daripada selain kami." Tetapi setelah Allah menganugerahkan hal itu yang mereka harapkan, ternyata mereka mendustakannya, mengingkarinya, dan menentangnya.

Jadi dengan itu Allah memberitahu kepada Rasulullah, sekiranya umatnya kini iaitu kaum Quraisy tidak mahu menerima seruannya, tidak mahu beriman dengannya, memungkirinya, mendustakannya, maka perangai mereka itu adalah sama juga dengan orang-orang terdahulu sebelum mereka. Orang-orang terdahulu juga ada didatangkan oleh nabi-nabi tentang seruan kepada mereka. Tetapi mereka berpaling dan mendustakannya. Sepertimana kaum Quraisy ini.

Malah orang-orang terdahulu iaitu kaum terdahulu kedudukan mereka lebih hebat dari kaum Quraisy. Yang dimaksudkan ialah kaum Ad, kaum Thamud dan kaum nabi Nuh yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, mempunyai kekayaan yang melimpah. Kalau nak dibandingkan dengan kaum Quraisy ni sangatlah jauh perbezaannya.  Apa yang dimiliki dan dimegahkan oleh kaum Quraisy itu tidak pun mencapai satu persepuluh pun lagi dari kehebatan kaum terdahulu.

Tetapi oleh kerana kaum terdahulu itu selalu membangkang dan menentang seruan yang dibawa oleh Rasul yang diutuskan Allah kepada mereka, maka Allah membinasakan mereka semuanya hancur tidak tinggal seorang pun jua. Pendekata kekuatan, keberanian, ilmu pengetahuan serta kekayaan yang dimiliki umat yang terdahulu itu tidak sedikit pun dapat menolong mereka. Dan tidak mampu untuk mengelak azab dan seksaan yang ditimpakan Allah kepada mereka. Bekas-bekas kehancuran umat terdahulu itu dengan mudah dapat orang-orang Quraisy itu saksikan di mana saja dan bila-bila masa saja, sewaktu mereka pergi berlayar atau singgah di suatu negeri semasa perjalanan mereka.










Saba’ Ayat 46

قُلْ إِنَّمَا أَعِظُكُمْ بِوَاحِدَةٍ ۖأَنْ تَقُومُوا لِلَّهِ مَثْنَىٰ وَفُرَادَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُوا ۚمَا بِصَاحِبِكُمْ مِنْ جِنَّةٍ ۚإِنْ هُوَ إِلَّا نَذِيرٌ لَكُمْ بَيْنَ يَدَيْ عَذَابٍ شَدِيدٍ
Katakanlah: "Sesungguhnya aku hendak memperingatkan kepadamu suatu hal saja, yaitu supaya kamu menghadap Allah (dengan ikhlas) berdua-dua atau sendiri-sendiri; kemudian kamu fikirkan (tentang Muhammad) tidak ada penyakit gila sedikitpun pada kawanmu itu. Dia tidak lain hanyalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum (menghadapi) azab yang keras.

Dalam lima ayat seterusnya iaitu ayat 46 hingga 50 dimulai dengan kata ‘Katakanlah” iaitu sebagai bimbingan kepada  Nabi Muhammad s.a.w. sebagai utusanNya dalam menghadapi manusia, terutama kaumnya sendiri yang mula-mula sekali disampaikan dakwah.

Dalam ayat ini nabi menyuruh kaumnya supaya berfikiir sendiri-sendiri, renungkan dan tinjau dengan mendalam segala apa yang ada di dalam hati mereka sendiri. Ini kerana semua mereka memang percaya bahwa Allah itu Yang Maha Esa dan tidak ada duanya. Mereka menyembah berhala hanyalah sebagai perantara saja. Maka nabi menganjurkan kepada mereka supaya berfikir secara sendiri dengan teliti dan secara halus. Serta disuruh mereka menghadap terus kepada Allah. Dan juga tinggalkan pengaruh-pengaruh yang lain yang selama ini memujuk mereka. Fikirlah secara mendalam.

Mereka disuruh terlebih dahulu memusatkan persembahan semata-mata kepada Allah secara bersendriian. Kalau mereka melakukannya secara berkumpulan nanti akan ada hasutan dan pengaruh dari teman-teman yang sedang dihasut dengan propaganda yang bukan-bukan. Maka nanti hasil pemikiran tidak akan memusat kepada Allah yang Esa.

Mereka diminta memikirkan sehalus-halusnya untuk mengetahui salah betulnya mengenai seruan agama yang disampaikan oleh RAsul mereka. Mereka diajak untuk  memikirkan kenyataan Allah bahwa Nabi Muhammad sa..w itu adalah sebagai rakan sama-sama hidup dan tinggal senegeri dengan mereka. Dan baginda tidak pernah pun menghidap penyakit gila. Bahkan mereka telah menyaksikan sendiri bahwa baginda adalah orang yang paling tajam akal fikirannya di kalangan kaum Quraisy itu. Paling benar, paling jujur katanya, paling tinggi keperibadiannya dan cukup sempurna sekali dari segi fizikal dan mentalnya. Maka dengan itu takkanlah baginda boleh dikatakan sebagai orang gila pula. Kerana apa yang disampaikan oleh baginda juga semuanya berbentuk kebenaran. Seharusnya lah mereka membenarkan dan meneriman seruan baginda nabi. Apatah lagi baginda juga ada dibekalkan dengan mukjizat bagi menguatkan kebenarannya.

Maka dengan itu akan timbullah di fikiran mereka suatu kebenaran bahwa dialah sesungguhnya rasul yang diutus Allah untuk memberikan amaran kepada mereka tentang azab yang keras di akhirat nanti. Azab itu telah menanti kedatangan mereka disebabkan mereka telah kufur dan menderhaka kepada Allah.









Saba’ Ayat 47

قُلْ مَا سَأَلْتُكُمْ مِنْ أَجْرٍ فَهُوَ لَكُمْ ۖإِنْ أَجْرِيَ إِلَّا عَلَى الَّهِ ۖوَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ
Katakanlah: "Upah apapun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah dari Allah, dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu".

Ayat ini bukanlah bererti bahwa RAsulullah meminta upah dari mereka semasa baginda berdakwah. Ibarat kata ayat ini adalah bantahan dan penafian kepada mereka yang menilai dakwah nabi akan meminta imbuhan atau disuruh membalas jasa. Kepada orang yang seperti ni nabi disuruh mengatakan bahwa baginda tidak memerlukan upah. Upah baginda di dalam melaksanakan semuanya itu adalah berupa pahala dari Allah saja.

Kalaupun baginda meminta sesuatu kepada mereka sebagai upah dari kegiatan dan susah payahnya itu, maka yang diminta itu tidak lain supaya mereka itu beriman kepada Allah dan iman itu adalah untuk kebaikan mereka sendiri. Di dalam melaksanakan tugasnya, nabi sama sekali tidak mengharapkan keuntungan duniawi. Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, mengetahui sejauh mana akan kebenaran dan keikhlasan baginda di dalam melaksanakan tugasnya sebagai Rasul Allah.









Saba’ Ayat 48 Dan 49

قُلْ إِنَّ رَبِّي يَقْذِفُ بِالْحَقِّ عَلَّامُ الْغُيُوبِ
48 - Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku mewahyukan kebenaran. Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib".

قُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَمَا يُبْدِئُ الْبَاطِلُ وَمَا يُعِيدُ
49 - Katakanlah: "Kebenaran telah datang dan yang batil itu tidak akan memulai dan tidak (pula) akan mengulangi".

Allah juga menyuruh nabi memberitahukan kepada mereka bahwa baginda nabi adalah utusan Allah yang sebenar-benarnya, rasul pilihan yang diturunkan wahyu, iaitu sesuatu perkara yang hak untuk menolak yang semua perkara yang batil. Wahyu adalah kebenaran yang akan menolak dan menghapuskan semua perkara yang salah sehingga hilang bekasnya sama sekali. Dan kebenaran itu akan tersebar ke seluruh alam.

Sesungguhnya Allah itu mengetahui segala perkara yang ghaib sehingga kemungkaran dan kebatilan itu tidak dapat lagi dilindungi dan disembunyikan dari pengetahuanNya walau sedikit pun.

Baginda nabi disuruh mengkhabarkan juga bahwa agama Islam itu nanti bakal mengatasi segala agama di dunia sedangkan agama-agama lain akan pudar dan lenyap dengan kekuasaanNya. Islam kini telah datang kepada mereka menjulang cogan yang berupa kebenaran, dan dengan kedatangannya ini maka akan lenyaplah kebatilan, iaitu agama yang syirik yang dianuti oleh orang-orang kafir.
Bilamana Islam iaitu kebenaran yang mutlak telah datang, maka daulat kebatilan berhala dengan sendirinya akan hancur dan pastinya akan kalah. Untuk menegakkan berhala yang baru menggantikan yang lama sebagai ganti juga pasti tidak akan berhasil. Dan misi untuk mewujudkan suasana perhambaan kepada berhala sepertimana dulu pun tidak akan tercapai.  

Sisters,  please take note!
Ingatlah baik-baik bahwa ayat-ayat ini adalah wahyu! Telah disampaikan Allah kepada RasulNya sewaktu masih berada di Mekah. Pada ketika itu pengikut Islam masih dalam bilangan yang sedikit jumlahnya. Dan kekuasaan negeri Mekah masih lagi berada di tangan kaum musyrikin Quraisy. Tetapi wahyu telah menegaskan kepastian akan sebuah kemenangan KEBENARAN, iaitu ISLAM!









Saba’ Ayat 50

قُلْ إِنْ ضَلَلْتُ فَإِنَّمَا أَضِلُّ عَلَىٰ نَفْسِي ۖوَإِنِ اهْتَدَيْتُ فَبِمَا يُوحِي إِلَيَّ رَبِّي ۚإِنَّهُ سَمِيعٌ قَرِيبٌ
Katakanlah: "Jika aku sesat maka sesungguhnya aku sesat atas kemudharatan diriku sendiri; dan jika aku mendapat petunjuk maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Dekat".

Di kala orang-orang kufur tidak dapat memberikan jawapan kecuali dengan berdegil dengan mendakwakan bahwa baginda nabi telah sesat, Allah telah menyuruh rasul Nya mengatakan kepada mereka bahwa sekiranya nabi itu tersesat jalan tidak melalui jalan yang benar, maaka yang akan mendapat bahaya adalah diri nabi sendiri.

Dan sekiranya baginda beroleh petunjuk untuk melalui jalan yang benar maka jalan itulah yang diwahyukan oleh Allah kepada nabi agar semua orang melaluinya. Kerana hanya Allah saja yang maha mendengar akan setiap apa yang nabi akan katakan dan sampaikan kepada mereka semua.

Dan Allah juga maha mendengar akan setiap apa yang mereka katakan. Dan Allah akan memberikan pembalasan kepada masing-masing dengan balasan yang selayaknya. Lagi pula Allah itu amat dekat kepada orang yang berdoa untuk memperkenankan doanya.









Saba’ Ayat 51

وَلَوْ تَرَىٰ إِذْ فَزِعُوا فَلَا فَوْتَ وَأُخِذُوا مِنْ مَكَانٍ قَرِيبٍ
51 - Dan (alangkah hebatnya) jikalau kamu melihat ketika mereka (orang-orang kafir) terperanjat ketakutan (pada hari kiamat); maka mereka tidak dapat melepaskan diri dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat (untuk dibawa ke neraka).

وَقَالُوا آمَنَّا بِهِ وَأَنَّىٰ لَهُمُ التَّنَاوُشُ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ
52 - dan (di waktu itu) mereka berkata: "Kami beriman kepada Allah", bagaimanakah mereka dapat mencapai (keimanan) dari tempat yang jauh itu.
Setelah Allah memberikan keterangan-keterangan yang dapat menolak dan menghapuskan segala keraguan orang-orang kafir mengenai keraguan baginda nabi, maka di ayat ini Allah menambah pula dengan ancaman yang akan menyeksa mereka. Allah kata kepada baginda bahwa sekiranya baginda nabi dapat melihat bagaimana nanti keadaan mereka yang berterusan kufur itu, yang sombong dan yang degil itu mulai dikumpulkan semasa di akhirat nanti. Berbondong-bondong, entah berapa ramainya, hanya Allah saja yang tahu.

Mereka itu semua akan terkejut dan ketakutan. Mereka terkejut kerana mereka tidak menyangka sama sekali yang masa itu akan datang juga. Kerana kejadian itu sesungguhnya cepat sekali berlaku. Di antara mereka semua itu, tidak ada seorang pun yang terlepas ataupun terkecuali dari dikumpulkan.  

“dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat (untuk dibawa ke neraka).’
Bagi malaikat yang diberi tugas oleh Allah tidak ada yang jauh, semuanya dekat. Malaikat-malaikat itu akan melihat rombongan manusia yang kafir itu semua sama ibaratnya kita melihat setompok sarang semut. Setompok sarang semut itu sangat kecil dan dekat saja kita rasa. Senang saja untuk kita capai. Begitulah malaikat melihat rombongan manusia yang kafir itu. Sebaliknya semut itu akan melihat kita yang besar ini seperti jauh saja dari mereka. Begitulah juga manusia kafir itu melihat akan malikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah. Walaupun mereka hendak lari tetapi mereka tidak akan dapat lari dan segera akan dapat ditangkap oleh malaikat-malaikat.

“dan (di waktu itu) mereka berkata: "Kami beriman kepada Allah",  
Setelah datang hari yang ditakuti itu, setelah mereka tidak daapt melepaskan diri mereka lagi, setelah azab dan seksaan telah terbayang nyata di hadapan mereka, barulah mereka nak kata,bahwa mereka telah beriman kepada Allah. Mereka baru nak kata yang mereka percaya kepada Allah Tuhan sekalian alam. Dialah Tuhan yang mereka sembah dan kepadaNyalah mereka kata mereka akan berlindung. Dan lain-lain lagi.

Apalah ertinya lagi kalau di hari yang mula-mula dulu telah diberikan peringatan itu baru mereka nak mengaku beriman?Padahal peringatan menyuruh beriman itu telah ada sejak manusia mulai datang ke dunia sampai dunia itu kiamat, atau pun sampai kepada setiap orang itu menemui ajal masing-masing.

“bagaimanakah mereka dapat mencapai (keimanan) dari tempat yang jauh itu.”
Bagaimana merek akan dapat mengakui beriman kepada hari akhirat, setelah mereka menemui maut, setelah mereka masuk ke dalam kubur, padahal seruan iman adalah semasa hidup di dunia? Jarak di antara dunia dan alam kubur itu  memanglah jauh dan tidak boleh dicantumkan menjadi satu. Jadi bagaimana mereka akan dapat menjangkau jarak yang sejauh itu?

Sedangkan seorang nenek yang telah tua, jika dia mengeluh ingin kembali muda, tidaklah dapat ia menjadi muda kembali, kerana jaraknya sudah jauh. Sudah habis. Sedangkan orang muda ingin kembali hendak menjadi kecil dalam dakapan ibunya pun tidak dapat ia sampai ke situ. Maka bagaimanakah orang yang sudah hidup di alam akhirat hendak mengaku mereka beriman kepada Allah sebagaimana yang dituntut kepada mereka sewaktu di dunia?

Dunia adalah tempat untuk memupuk iman dan amal yang soleh, manakala akhirat pula adalah negeri dan tempat untuk menerima hasil dari keimanan dan amal soleh mereka itu. Maka sepatutnya semasa hayat di dunia lagi lah mereka sepatutnya mengaku beriman dan merialisasikan keimanan mereka dengan amal soleh. Dan bila mana mereka sudah menginjak kaki di akhirat nanti mereka sudah boleh menuai hasil dari keimanan dan amal soleh yang telah mereka lakukan semasa di dunia. Itulah baru betul-betul dikatakan dan diakui mereka orang yang beriman.









Saba’ Ayat 53 Dan 54

وَقَدْ كَفَرُوا بِهِ مِنْ قَبْلُ ۖوَيَقْذِفُونَ بِالْغَيْبِ مِنْ مَكَانٍ بَعِيدٍ
53 - Dan sesungguhnya mereka telah mengingkari Allah sebelum itu; dan mereka menduga-duga tentang yang ghaib dari tempat yang jauh.

وَحِيلَ بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ مَا يَشْتَهُونَ كَمَا فُعِلَ بِأَشْيَاعِهِمْ مِنْ قَبْلُ ۚإِنَّهُمْ كَانُوا فِي شَكٍّ مُرِيبٍ
54 - Dan dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini sebagaimana yang dilakukan terhadap orang-orang yang serupa dengan mereka pada masa dahulu. Sesungguhnya mereka dahulu (di dunia) dalam keraguan yang mendalam.

Tetapi mereka semasa di dunia mereka tidak mengaku yang mereka beriman. Mereka tidak mahu pun beriman. Malah mereka mengingkari semua perintah Allah. Mereka menentang Allah semasa di dunia. Mereka menentang RAsul Allah. Mereka kata Rasul Allah itu adalah pendusta, tukang sihir, orang gila dan mendakwa bahwa AlQuran itu adalah rekaan dan buatan nabi semata-mata. Mereka membuat sangkaan tanpa sandaran yang benar, hanya main agak-agak saja, menuduh yang bukan-bukan kerana mereka sengaja untuk merendah-rendahkan Rasul Allah. Mereka juga mendustai akan adanya hari pembalasan. Mereka tidak mempercayainya dan memperolok-olokkannya. Itulah perangai mereka semasa hidup di dunia.

“Dan dihalangi antara mereka dengan apa yang mereka ingini “
Tetapi bila tibanya hari akhiat, bilamana mereka sudah dikumpulkan di padang mahsyar, setelah mereka melihat sendiri adanya hari pembalasan dan azab-azab telah dipertontonkan di hadapan mereka, mereka nak pula mengaku yang mereka beriman. Bersungguh-sungguh mereka mengaku bahwa mereka kini telah beriman. Dan mereka berharap sangat bahwa pengakuan mereka beriman itu diterima Allah.

Tetapi maksud mereka itu dihalang. Tidak dikabulkan. Keinginan mereka tidak tercapai. Apa yang menghalang keinginan mereka? tidak lain ialah keadilan Allah sendiri. Sebab,kalau iman mereka diterima setelah mereka berada di alam akhirat, maka apakah bezanya orang yang taat dengan orang yang kufur? apakah bezanya orang beriman dengan orang kafir? Apakah bezanya orang yang bekerja keras, membanting tulang, berjihad menegakkan agama Allah dengan orang yang menderhaka kepada Allah, siang malam berusaha menjatuhkan agama Allah?

Kalau di dunia ini orang yang jujur kerapkali teraniaya kerana mata hati manusia tidaklah setajam mata Allah untuk mengenali sesuatu kebenaran, dan kalau orang yang mengadu untung, orang yang pandai memberikan alasan dapat terlepas dari kesalahan mereka padahal benar-benar ia bersalah, mengapa di akhirat nanti masih akan begitu juga? Kalau di dunia orang miskin akan selalu ditindas dan dihina , tidak diberikan keadilan yang sewajarnya, maka akankah di akhirat pun sama juga?

Maka dengan sebab itulah , Allah menghalang segala kehendak mereka. Tidak akan diberikan  apa yang mereka inginkan itu. “sebagaimana yang dilakukan terhadap orang-orang yang serupa dengan mereka pada masa dahulu.”  Orang-orang yang terdahulu pun juga ingin beriman setelah mereka melihat seksa yang datang mengancam mereka ketika itu. Tetapi keimanan mereka tidak akan diterima. Dan ini adalah merupakan peraturan Allah terhadap orang-orang yang mendustakan Rasul.

Maka sehingga kini pun keraguan itulah yang menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi mereka semasa di dunia. Dan di akhirat nanti mereka akan terkejut, ketakutan dan panik setelah bertemu dengan kenyataan. Mereka akan menyesal pada hari yang sudah tidak berguna lagi akan sebuah penyesalan.

Selesai sudah Tafsir Surah Saba’ dengan izin Allah , alhamdulillah. Semoga kita semua tergolong di dalam orang yang mengaku beriman dan membuktikan keimanan kita dengan amal soleh.  Amin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.