Tuesday, December 1, 2015

Surah As Sajdah Ayat 1 - 16





Pengenalan

Surah As Sajdah ini mengandungi sebanyak30 ayat saja, diturunkan di mekah selepas turunnya surah Al Mukminun. Sepertimana surah-surah Makkiyah yang lain, surah ini juga turut menerangkan dan membincangkan tentang tauhid, iaitu tentang mengeesakan Allah.

Dinamakan as-Sajdah yang ertinya sujud ialah menurut kalimat sujud yang terdapat dalam ayat 15. Ia  menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah itu, apabila diingatkan kepada mereka tentang ayat Allah, mereka akan tersungkur sujud dan mengucapkan tasbih sambil memuji kepada Tuhan dengan tidak ada rasa sombong.

Diterangkan juga di dalam surah ini bagaimana Allah menurunkan Kitab kepada nabi-nabiNya untuk menjadi pimpinan umat manusia yang selama ini belum pernah mendapat peringatan. Lalu diterangkan siapa Tuhan itu dan bagaimana Yang Maha Besar Kuat kuasa-Nya, sebagai pencipta 7 lapis langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, di dalam enam masa. Dan bagaimana Allah itu bersemayam di atas singgahsana kebesaranNya, mengatur ciptaanNya dari langit sampai ke bumi. Sehingga yang seribu tahun dalam hitungan kita, hanyalah sehari saja dalam perhitungan Tuhan. Ini membayangkan bagaimana cepatnya lintasan kekuatan itu.

Di dalam surah As Sajdah ini juga terdapatnya ayat-ayat yang menghuraikan kunci-kunci ghaib yang dahulu sudah pun disebutkan di penutup surah Luqman. Iaitu tentang kematian, alam akhirat, tentang kandungan seorang ibu yang bakal melahirkan dan sebagainya.

Surah ini adalah satu surah kegemaran Nabi Muhammad. Nabi selalu membacakan dalam rakaat pertama solat Subuh pada hari Jumaat. Dan pada rakaat kedua subuh pula, baginda akan membaca Surah Insan. Ini menunjukkan kepentingan surah ini kerana ianya dibaca pada hari yang mulia, Hari Jumaat. Dan Nabi tidak tidur melainkan baginda akan membaca surah Sajdah dan Surah Mulk. Jadi, ini bermakna ada pengajaran yang penting dalam surah ini sampaikan Nabi mengamalkannya setiap hari.

Marilah kita mentadabbur surah ini bersama-sama semoga kita semua mendapat berkat dan pengajaran untuk kita jadikan pedoman bagi menempuh hidup kita kelak.





As Sajdah Ayat 1Dan 2
الم
1 -  Alif, Laam Miim

تَنْزِيلُ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ
2 - Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Sesungguhnya inilah Al Quran iaitu sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad saw yang sedikit pun tidak ada keraguan. Keraguan tentang apa? Tidak ada keraguan dari segi isi kandungannya, tidak ada keraguan dari segi perintah dan larangannya, mahupun dari segi hikmah dan kebijaksaannya. Pendekata apa saja bentuk keraguan yang mungkin timbul di dalam hati manusia tentang hakikat Al Quran ini telah ditolak oleh Allah subhanahu wata’ala.

Ini kerana fungsi Al Quran ini adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Ianya sepertimana disebut di dalam banyak surah-surah di dalam Al Quran. Sisters boleh rujuk surah An Nisaa ayat 174, surah Al Baqarah ayat 257, surah Al Maidah ayat 15-16, surah Al A’raaf ayat 157, surah Ibrahim ayat 1, surah Asy-Syu’ara ayat 52 dan banyak lagi ayat-ayat lain di surah-surah yang lain di dalam Al Quran.

Sesuatu perkara yang sifatnya adalah untuk mengeluarkan manusia dari segala bentuk kegelapan kepada cahaya, ia mestilah sesuatu yang sangat hebat. Ianya mestilah sesuatu yang besar yang memberikan keyakinan kepada manusia. Ayat ini menjadi dalil untuk mendustakan kata-kata dan ucapan dari orang-orang kafir seperti yang dibayangkan oleh Allah di dalam surah Al Furqan ayat 5 yang bermaksud:
“Dan mereka katakan lagi, cerita-cerita dongeng purbakala itu telah diturlis lalu dibacakan yang didapati (Muhammad) pagi dan petang.”






As Sajdah Ayat 3

مْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ بَلْ هُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ
3 - (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar) bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu (wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga mereka beroleh hidayah petunjuk.

Allah mengkhabarkan tentang sikap orang-orang musyrikin yang mendakwa bahwa Al Quran itu adalah kitab rekaan Nabi Muhammad. Mereka kata bahwa Nabi Muhammad sengaja membuat dan mereka kitab al Quran menggunakan akal fikirannya sendiri.

Ini adalah suatu tuduhan yang dusta. Sebaliknya Al Quran ini merupakan kitab yang benar-benar datangnya dari Allah Tuhan sekelian alam. Diturunkan kepada Nabi Muhammad supaya baginda memberikan peringatan kepada kaumnya tentang kerasanya seksaan Allah yang akan ditimpakan kepada mereka disebabkan kekufuran mereka.

Dan mereka juga sebelum ini tidak pernah didatangi oleh seorang pun yang memberikan peringatan, yang akan menasihati dan menunjukkan mereka ke jalan yang benar dan terpandu. Jadi Allah utuskan nabi Muhammad untuk mereka. Bukanlah Nabi Muhammad itu seorang yang suka-suka berbuat dusta sebagaimana yang mereka katakan.

Ayat ini menjadi dalil untuk menolka tuduhan buruk dari orang-orang kafir yang mengatakan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah di dalam surah Al Furqan ayat 4 yang bermaksud:
“dan berkata orang-orang yang kufur itu, tak lain Al Quran ini dusta yang diada-adakan oleh Muhammad dan ditolong pula oleh kaumnya yang lain.”

Kata-kata dari orang kafir ini menampakkan cacian dan cercaan mereka terhadap Al Quran dan terhadap Nabi Muhammad saw. Dan kata-kata mereka ini ditolak dan dibantah oleh Allah di dalam surah As Sajdah ini pula.

Sedangkan mereka sendiri tahu bahawa mereka juga tidak berdaya untuk membuat karangan sepertimana Al Quran. Kalaulah umpamanya Al Quran itu dikarang oleh manusia, mereka pastilah dapat melakukan seperti itu juga, bahkan kalau mereka dakwa Nabi Muhammad meminta tolong kaumnya untuk mencipta Al Quran, mereka juga pun boleh berbuat yang sama juga meminta tolong dari orang lain untuk mencipta. Tetapi hakikatnya mereka tidak dapat berbuat demikian. Maka tuduhan yang mereka lemparkan selama ini itu semuanya adalah tidak benar.






As Sajdah Ayat 4 Dan 5

للَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ مَا لَكُمْ مِنْ دُونِهِ مِنْ وَلِيٍّ وَلَا شَفِيعٍ أَفَلَا تَتَذَكَّرُونَ
Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?

يُدَبِّرُ الْأَمْرَ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ ثُمَّ يَعْرُجُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ أَلْفَ سَنَةٍ مِمَّا تَعُدُّونَ
5 - Allah yang mengatur urusan (pemerintahan) dari langit ke bumi; kemudian urusan itu naik kepadaNya pada hari yang anggarannya seribu tahun mengikut perhitungan kamu.

Ayat 4 hingga 8 ini Allah menceritakan kepada kita tentang dalil-dalil kekuasaan dan keesaan Allah untuk menunjukkan bahawa  Tuhan yang menurunkan Al Quran ini bukanlah sebarangan. Dan bahwa Al Quran ini adalah dari Allah sepenuhnya. Dan sifat Al Quran ini adalah cukup besar dan cukup hebat.

Allah memperkenalkan dirinya dengan memulakan ayat 4 ini dengan mengatakan bahwa Allah lah yang telah menjadikan langit dan bumi itu dan termasuk segala makhluk yang ada pada keduanya dalam tempoh selama enam masa. Enam masa yang dimaksudkan di sini adalah ‘zaman’ atau perkembangan masa yang sangat panjang yang bukannya berukuran 24 jam seperti hari yang terdapat di dunia ini. Kerana sebelum langit dicipta, hari yang mengandungi suasana malam dan siang ini belum wujud lagi. Matahari pun tiada lagi pada kala itu.

Jelasnya enam masa itu bukanlah enam hari tetapi ianya adalah enam kali perkembangan yang sesuai dengan pertumbuhan terjadinya langit dan bumi. Dan tiap-tiap perkembangan itu mengambil masa yang amat lama. Hal ini telah pun kita bincang di dalam surah Al A’raf ayat 5, surah Yunus ayat 3, surah Hud ayat 7, surah Al Furqan ayat 59 dan banyak surah lain lagi.

Setelah terlaksana langit dan bumi dengan segala isinya yang mana merupakan Kerajaan Allah itu, maka Allah pun menjalankan urusan dan pemerintahanNya serta pentadbiranNya dari ‘arasy sebagai singgahsana bagi seorrang raja. Huraian mengenai ayat ini juga telah disebutkan terlebih dahulu di dalam surah Yunus, Surah Hud dan surah Taha. Sisters boleh rujuk di sana ye.

“......kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah..”
Kata  وَلِيٍّ di dalam ayat ini adalah bermaksud penolong. Tidak ada yang dapat mengurus dan menolong manusia kalau Allah mengkehendaki adanya bahaya yang menimpa ke atas mereka kalau hukuman yang menyeksa mereka adalah disebabkan maksiat yang mereka lakukan. Oleh kerana Dia sahaja yang menjadikan segala alam ini, maka hanya Dia sahaja yang boleh menolong dan melindungi kita. Kerana tidak ada lagi yang dapat menolong kita.

Hakikatnya manusia ini, mereka hanya perlu berhajat kepada Allah ta’ala sahaja. Kerana kalau kita fikrikan dan fahamkan bahwa Allah itu Maha Esa dan Maha Berkuasa melakukan segala-galanya, maka tidak perlu lah kita hendak menyembah benda lain selain Allah. Kita tidak perlu nak meminta tolong dari orang lain ataupun benda-benda lain selain Allah. Kita tidak perlu nak berharap kepada orang lain selain Allah. Kerana dengan menyembah Allah, memohon pertolongan kepada Allah sudah cukup untuk kita. Allah sebagai pelindung kita satu-satunya. Dan sudah pastinyalah Allah itu akan melindungi kita dari segala bala bencana dunia dan akhirat. Itu janji Allah kalau kita tidak bersyirik padaNya.

Allah menjalankan pemerintahan dan pentadbiranNya itu dari langit ke bumi. Urusan Allah itu turun dari bahagian tertinggi di antara tujuh lapis langit menuju titik paling terendah dari dasar lapisan bumi yang ke tujuh. Riwayat Ibnu Abbas yang mengatakan bahwa maksud mengatur urusan dari langit ke bumi itu ialah turunnya qadak dan qadar. Setengah qaul mengatakan ianya turunnya wahyu yang dibawa oleh malaikat Jibril.

Tadi di dalam ayat ke 4 Allah sebut bahwa Allah ciptakan langit dan bumi. Selepas diciptakan langit dan bumi, dan setelah diciptakan segala makhluk yang ada di antaranya, maka Allah tidak membiarkan dengan begitu saja. Iaitu membiarkan bumi nak berpusing keliling matahari sebanyak mana, di landasan apa, pohon-pohon nak membiak bagaimana, manusia nak menjalani hidup yang macam mana dan sebagainya. Itu semua Allah tidak membiarkan tanpa peraturan.  Allah mentadbirkan pula alam ini dengan mengikut segala peraturan dan kehendakNya.

Kalau pentadbiran alam ini diserahkan kepada manusia umpamanya, tidak usahkan alam, mari kita tengok pentadbiran manusia di dalam sesebuah syarikat saja. Seorang CEO syarikat pasti akan terlepas pandang untuk menilai ribuan kakitangannya yang bekerja di dalam syarikatnya. Ada yang mendapat kenaikan pangkat dengan cepat walaupun kerja yang dilakukan tidaklah seberapa. Manakala pekerja-pekerja biasa yang bertungkus lumus setiap hari memajukan syarikat hanya diberi imbuhan yang sedikit saja. Malah ada yang tidak diberikan langsung.

Allah ta’ala ini yang menguruskan bukan seorang dua perjalanan makhluknya seperti matahari dan bulan, pergerakan planet-planet lain yang bergerak dengan begitu laju, Allah menguruskan semuanya sehingga tidak berlakunya pertembungan atau pergeseran di antara keduanya. Allah saja yang mengawal. Dengan tidak dibantu oleh benda-benda lain.

Dengan alam yang begitu luas sehinggalah kepada pentadbiran kepada ikan-ikan yang berada di lautan yang sekian banyak jumlah dan jenisnya dengan rezekinya masing-masing, manusia  yang berada di bumi ini dari awal kejadian manusia sehinggalah ke hari kiamat, setiap nafas yang disedut dengan gas oksigen dan dihembus balik bertukar menjadi gas karbon dioksida pula, termasuklah biji benih yang berada di dalam tanah, lalu tumbuh mengeluarkan pucuk kemudian bercambahnya daun dan ranting lembut kemudian menjadi keras bertukar menjadi dahan kecil, dan setelah itu dahan yang besarnya, hujan yang turun, matahari yang bersinar mengeluarkan cahaya, pendekata segala urusan ini Allah ta’ala yang mentadbirkannya. Juga tanpa dibantu oleh makhluk-makhluk lain.

Maka tentulah bila kita memikirkan segala ini dengan sedalam-dalamnya dengan menggunakan akal yang sihat, maka kita pasti akan mengakui bahwa tidak ada tuhan yang paling berkuasa dan layak untuk disembah melainkan Allah.  Tidak ada tempat untuk kita meminta bantuan hanyalah kepada Allah saja. Tidak ada peraturan yang mesti kita ikut lebih daripada peraturan dan ketentuan yang telah diturunkan oleh Allah melalui nabiNya Muhammad saw.

Jadi Allah mengurus dan mentadbirkan urusan dunia ini dari mula ianya dijadikan sehinggalah tiba akirnya iaitu pada hari kiamat. Setelah kiamat, urusan pentadbiran yang tadinya turun dari langit akan balik semula ke langit kembali kepada Allah untuk dihitung dan diadili. Segala amal perbuatan manusia akan disimpan di dalam buku catatan yang akan disimpan di langit dunia. Jarak antara tempat buku catatan amal di langit dengan bumi ini adalah seukuran 500 tahun perjalanan. Mujahid, Qatadah dan Adh-Dhahhak mengatakan bhwa turunnya sesuatu menurut perhitungan manusia dari langit ke bumi menempuh perjalanan selama 500 tahun lamanya. Dan sebaliknya, naiknya sesuatu dari bumi juga menempuh jarak 500 tahun perjalananya. Namun perjalanan selama itu dapat ditempuhi hanya sekejap mata saja.

Oleh sebab itu Allah berfirman di dalam ayat 5 ini “pada hari yang anggarannya seribu tahun mengikut perhitungan kamu. “ Maksudnya Allah lah yang mengatur semua itu. Dialah yang menjadi saksi atas segala amal perbuatan hambaNya. Seluruh amal perbuatan, baik yang bernilai tinggi ataupun yang nilainya hina, baik yang kecil mahupun yang besar, semuanya diserahkan dan dilaporkan kepadaNya.

Sebenarnya lafaz seribu tahun di dalam ayat ini bukanlah hendak menunjukkan yang masanya adalah panjang dan lama. Bukanlah 1000 tahun tepat bilangannya. Kerana bagi kita apabila menyebutkan perkataan seribu tahun itu membawa makna yang ianya pasti tinggi dan lama.

Sebenarnya semua ini bergantung kepada amalan kita. Bagi orang-orang yang beriman tempoh untuk berada di padang mahsyar itu hanya sekejap cuma. Tetapi bagi orang-orang yang kufur , mereka akan merasakan ianya tersangat lama dan menyeksakan. Sebab itulah di akhir ayat Allah kata ianya “mengikut perhitungan kamu.” Bermakna ianya adalah mengikut perhitungan amal yang kita lakukan.









As Sajdah Ayat 6 Dan 7

ذَلِكَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
6 - Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani;

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الْإِنْسَانِ مِنْ طِينٍ
7 - Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

Itulah Tuhan yang menciptakan dan mengatur perjalanan alam. Allah bersifat Maha Tahu akan perkara-perkara ghaib atau tersembunyi kerana tidak dapat dilihat oleh mata, hanya dipercayai dalam hati samada telah wujud atau bakal wujud di kemudian hari. Dan juga mengetahui perkara yang nyata dengan terang kerana dapat dilihat oleh mata.

Allah itulah yang akan menyeksa orang-orang yang syirik, kufur dan mendustakan rasul Nya. Kerana Alalh maha Perkasa untuk menyeksa. Dan juga Allah maha Penyayang kepada sesiapa saja yang mahu kembali bertaubat dari kesesatan dan kesalahannya lalu kembali untuk beriman dengan Allah dan rasulNya.

Maka Allah lah juga yang menjadikan makhluk-makhluk ini dengan sebagus-bagus dan serapi-rapinya. Iaitu ciptaan Allah tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun tentang kebagusan bentuk dan rupanya. Sangat rapi dan halus buatannya serta awet dan besar pula kegunaannya.

Maka setelah itu disebutkan pula tentang kejadian manusia. Bangsa manusia yang mula-mula diciptakan Allah ialah Nabi Adam. Beliau menjadi bapa kepada semua manusia, yang asal kejadiannya adalah daripada tanah. Mungkin juga dimaknakan tanah yang bercampur dengan air, kemudian digaul dan dibentuk berupa manusia lalu ditiupkan roha ke dalamnya.

Sedangkan anak-anak Adam pula asal kejadiannya adalah daripada setitis air mani. Air mani ini berasal dari zat makanan yang dimakannya. Samada makanan itu dari jenis haiwan mahupun dari jenis tumbuh-tumbuhan. Sedangkan haiwan pula hidup dengan memakan tumbuh-tumbuhan. Begitu juga lah tumbuhan wujud dengan sebab adanya air dan tanah. Maka dengan ini dapatlah difahami bahawa manusia itu asal kejadiannya adalah daripada tanah.









As Sajdah Ayat 8 Dan 9

ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلَالَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ
8 -  Kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani).

ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلًا مَا تَشْكُرُونَ
9 -  Kemudian Dia menyempurnakan dan meniupkan ke dalam (tubuh) nya roh (ciptaan) -Nya dan Dia menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati; (tetapi) kamu sedikit sekali bersyukur.

Kemudian manusia berkembang semakin lama menjadi semakin ramai. Mereka dari semasa ke semasa menurunkan zuriat atau keturunan dengan beranak pinak bagi mengekalkan kewujudan bangsa manusia tersebut. Dan kejadian zuriat ini pula adalah asalnya dari setitis air mani yang hina. dialah pati air yang dipancutkan dari anggota kelamin lelaki yang berpunca dari tulang sulbi. Air mani itu ditemukan dengan telur orang perempuan di dalam rahimnya yang berpunca dari taraib. ini bererti air mani lelaki dengan telur perempuan dihimpunkan menjadi satu ibarat benih yang telah disemaikan di dalam rahim. Apabila terjadinya persenyawaan (talqih) maka benih itu pun tumbuh menjadi janin.

Proses menurunkan zuriat dengan air yang memancutkan ini ada disebut dengan jelasnya pada ayat 7 surah At Tariq yang bermaksud:
“air yang keluar dari antara tulang punggung lelaki dan tulang dada perempuan.”

Lalu Allah menciptakan semaian benih manusia yang telah tumbuh di dalam rahim itu dan di sanalah dibentuk dengan bentuk yang amat baik lagi sempurna, lalu ditiupkan ke dalam janin itu nyawa yang boleh menjadikan janin itu hidup. Apabila roh telah berada di dalam janin, maka berlakulah gerakan-gerakan dari semasa ke semasa, sehingga apabila dia lahir ke dunia, dia akan dapat hidup terus bergerak dengan lebih teratur dan akhirnya daripada berbaring terlantar, kemudian boleh mengiring, merangkak, berjalan, bercakap dan berlari.

Bayi yang dilahirkan ke dunia ini dari perut ibunya tidak tahu apa -apa untuk menyatakan sesuatu. Kecuali yang tahu hanyalah menangis saja apabila lapar atau bila tidak selesa. Allah telah mengurniakan beberapa pancaindera yang yang dibekalkan kepada manusia, di antaranya yang terpenting ialah pendengaran untuk menangkap suara, dan penglihatan untuk memerhatikan rupa, dan juga hati untuk memahami sesuatu yang didengar dan dilihat.

Adapun pertumbuhan bayi itu pula berperingkat-peringkat. Mula-mula hanya dapat mendengar saja, belum dapat melihat. Dalam masa 3 hari dilahirkan baru mulai dapat melihat, kemudian beransur-ansur akan dapat memahami dan membezakan mana yang baik dan mana yang buruk sebagaimana yang dapat disaksikan.

Maka kejadian manusia yang digambarkan seperti ini dengan menerima hakikat dan kurnia yang tidak terkira banyaknya daripada Allah swt, maka manusia telah membalas budi yang diterimanya itu dengan keengkaran dan tidak mahu berterima kasih pula? Kalaupun ada sedikit, terlalu sekali di antara mereka itu yang bersyukur lantaran kurang menginsafi tentang nikmat-nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Adapun syukur yang dimaksudkan di sini iaitu hendaklah mereka menggunakan nikmat dan kurnia Allah itu dengan mentaati suruhan Allah, beramal mengikut keredhaanNya.








As Sajdah Ayat 10 Dan 11

وَقَالُوا أَئِذَا ضَلَلْنَا فِي الْأَرْضِ أَئِنَّا لَفِي خَلْقٍ جَدِيدٍ بَلْ هُمْ بِلِقَاءِ رَبِّهِمْ كَافِرُونَ
10 - Dan mereka berkata: "Apakah bila kami telah lenyap (hancur) di dalam tanah, kami benar-benar akan berada dalam ciptaan yang baru. Bahkan (sebenarnya) mereka ingkar akan menemui Tuhannya.

قُلْ يَتَوَفَّاكُمْ مَلَكُ الْمَوْتِ الَّذِي وُكِّلَ بِكُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ تُرْجَعُونَ
11 - Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.

Setelah Allah menyebutkan perkara “kenabian” iaitu dasar keimanan yang ketiga di mana Nabi Muhammad itu telah dilantik menjadi nabi dan rasul serta ditugaskan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya sepertimana ayat 3, maka kini Allah sebut pula tentang dasar keimanan yang kedua iaitu beriman pada hari kiamat. Kerana ada orang-orang yang kufur itu tidak percaya tentang adanya hari kebangkitan dengan menganggap apabila mereka mati maka badan mereka telah hancur ditelan tanah jadi mereka pun habis di situ juga. Tidak ada apa-apa lagi. Dan bagi mereka adalah mustahil untuk dapat disatukan semula dan dibangkitkan semula dalam keadaan asal. Tak mungkinlah pada anggapan mereka.

Kehairanan mereka ini, menyebabkan mereka menganggap bahawa tidak masuk akal orang yang sudah mati akan dihidupkan semula. Mereka telah tersilap menyamakan kudrat Allah dengan kudrat manusia. Malah pada hakikatnya kedua-dua ini sangatlah jauh berbeza. Kudrat yang ada pada Allah, apabila Allah hendak melakukan urusanNya, Allah hanya kata, ‘jadilah engkau’ maka akan jadilah ia.

Orang-orang yang kufur ini bukan saja mereka menyangkal yang mereka akan dibangkitkan semula malah mereka juga tidak percaya bahwa kelak mereka akan dipertemukan dengan Allah juga. Sebenarnya mereka tidak percaya ini adalah kerana mereka takut untuk bertemu dengan Allah disebabkan oleh perbuatan mereka semasa di dunia semuanya adalah bercanggah dengan ajaran dan perintah Allah. Bak kata pepatah, berani kerana benar, takut kerana salah.

Lalu Allah menyuruh RasulNya supaya mengatakan kepada kaumya yang kufur itu, supaya mereka tahu bahwa nantinya, bila mereka mati, mereka akan dimatikan oleh Malaikat Maut yang bertugas mencabut nyawa mereka. Dan kemudiannya mereka akan dikembalikan juga kepada Tuhan yang menciptakan mereka iaitu Allah. Bukannya tuhan yang mereka sembah.

Kata ‘mematikan’ dalam ayat 11 ini bermakna Malaikat Maut akan menunaikan tugasnya dengan tepat mengikut waktunya, tidak tercepat ataupun terlambat. Bermakna malaikat maut yang mencabut nyawa telah menjalankan tugasnya mengikut bilangan umur yang ditetapkan mengenai kematian seseorang. Apabila sudah sampai ajalnya tidak dapat diundurkan dan tidak dapat dipercepatkan walau sesaat, bahkan mengikut waktunya yang telah ditetapkan.

Kemudian apabila mereka itu telah dimatikan, mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat berkeadaan hidup sebagaimana hidup sebelum mereka dimatikan. Di akhirat mereka akan diberi pembalasana, siapa yang baik dibalas baik dan siapa yang jahat pasti dibals jahat.

Ayat ini pula menjadi dalil akan adanya hari kebangkitan, dan merupakan ancaman kepada sesiapa yang mengingkarinya. Begitu juga ianya menjadi bukti bahawa Alalh yang berkuasa mematikan makhlukNya. Dialah juga yang berkuasa menghidupkan semula segalanya.   









As Sajdah Ayat 12

وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".

Allah menceritakan kepada orang-orang yang mengingkari akhirat kerana mengatakan bahwa badan mereka telah hancur lebur ditelan tanah, maka bagaimana mungkin mereka akan dikembalikan semula? Orang-orang ini nanti di akhirat kelak, mereka akan berdepan dengan kenyataan yang mereka engkari sendiri.

Kelak di hadapan Allah mereka akan tertunduk malu tidak dapat mengangkatkan muka mereka lagi kerana merasa berdosa dan malu yang teramat sangat . Pada masa itu barulah mereka mahu mengaku bahwa hari kebangkitan itu adalah benar belaka. Dan bahawa seruan Rasul juga benar. Sekarang barulah mereka yakin. Dengan itu mereka meminta untuk dikembalikan ke dunia semula supaya dapat mereka mengerjakan amal kebaikan.

Allah bagitahu di dalam ayat ini bahwa sungguh, orang-orang yang kufur ini akan berkata begitulah apabila hari kebangkitan itu nanti. Mereka nak kembali semula ke dunia. Tetapi masakan Allah mengizinkan. Kerana dunia sudah tidak ada. Sudah berlalu. Kehidupan dunia sudah habis dan tidak ada lagi. Yang ada hanyalah hari pembalasan. Dan mereka kekal berada di dalam penyesalan yang tak ada gunanya lagi.







As Sajdah Ayat 13 Dan 14

وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
13 - Dan kalau Kami menghendaki niscaya Kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk (bagi) nya, akan tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripadaku; "Sesungguhnya akan aku penuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama.

فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
14 - Maka rasailah olehmu (siksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini (Hari Kiamat); sesungguhnya Kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan".

Allah menyatakan seandainya Allah mahu atau berkehendak untuk memberi hidayat dan petunjuk yang menyebabkan setiap orang dapat beriman dan beramal soleh, pasti Alalh dapat melakukan demikian. Tetapi pentadbiran Allah itu terhadap makhluk-makhlukNya adlaah mengikut peraturanNya yang sempurna bagi menjamin kepentingan hamba-hambNya. Maka Alalh akan letakkan seseorang itu di tempat dan di darjat yang sesuai dengan persiapan, persediaan dan kelayakannya, bukan dengan sembarangan saja.

Kalau manusia, misalnya diberikan organ mata yang ada ini lalu diletak di bahagian anggota yang bukan selayaknya, sebalinya kuku atau tangan pula diletakkan di situ. Ataupun diberikan organ perut letaknya juga di bahagian anggota yang bukan selayaknya, di letak di bahagian jantung umpamanya. Tentulah ianya tidak sesuai. Jadi begitulah juga Allah, meletakkan hamba-hambaNya sesuai dengan apa yang telah ia usahakan.

"Sesungguhnya akan aku penuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama.”
Allah telah terlebih dahulu membuat ancaman untuk memenuhkan neraka Jahanam itu dengan semua bangsa jin dan bangsa manusia, yang sememangnya mereka layak untuk dimasukkan ke sana. Ini kerana ianya sesuai dengan persediaan yang ada pada mereka. Sedangkan syurga itu pula tidak sesuai bagi mereka.

Umpamanya binatang seperti nyamuk dan lalat, hanya sesuai tinggal di tempat yang gelap dan lembap dan berbau. Kalaulah nyamuk dan lalat itu diletakkan di dalam istana yang indah lagi bersih dari sebarang pencemaran,pasti ia tidak dapat hidup di sana kerana tiada ada bekalan yang akan menjadi makanannya dan tidak ada persediaan untuk membiak.

Demikianlah mereka itu apabila melihat kepada alam yang cerah dan bersinar, penuh dengan cahaya yang gemerlapan serta kehidupan yang baik di dalam syurga, nescaya orang-orang yang tidak ada persiapan untuk memasukinya tentulah tidak dapat masuk dan tidak akan dapat hidup di sana.

Alalh menempelak mereka yang kufur ini dengan mengatakan ‘rasakanlah oleh kamu seksa neraka itu disebabkan kamu mendustakan adanya hari kebangkitan dan disebabkan dosa-dosa yang kamu anggap tidak ada hukumannya. Sebab kamu menyangka tidak akan bertemu lagi dengan Tuhanmu.’

Sesungguhnya Allah tidak sesekali akan melupakan setiap hambaNya. Baik yang beramal soleh mahupun yang engkar padaNya. Malah Allah tidak akan memberikan layanan yang baik kepada mereka yang engkar, tidak akan memberikan belas kasihan. Mereka ini tidak akan dipedulikan oleh Allah. Mereka akan dibiarkan begitu saja di dalam neraka, sebagai balasan kerana di dunia dahulu mereka melupakan dan tidak mempedulikan ajaran orang yang menyeru mereka supaya beriman tentang adanya hari pembalasan.








As Sajdah Ayat 15 Dan 16

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
15 -  Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri.

تَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
16 -  Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdo`a kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka

Kini Allah sebut tentang orang-orang yang beriman pula. Orang-orang yang beriman ini apabila diberiakn ajaran dan nasihat, mereka segera merendahkan diri, meniarap kepada Allah dengan sujud kerana takutkan seksa Alalh. Mereka menghinakan diri mereka dengan menyembah Allah. Mengikrarkan diri mereka sebagai hamba Allah. Dan sujudnya mereka itu adalah bererti sebagai hamba yang benar-benar mengabdikan diri kepada Allah dengan mensucikanNya dari disekutukan oleh orang-orang yang kufur.

Mereka tidak sedikit pun ada rasa sombong untuk bermegah-megah dan membesarkan diri di dalam mentaati Allah. Lain halnya dengan orang fasik dan jahat lagi berdosa, apabila mendengarkan ayat-ayat dan keterangan-keterangan Allah mereka berpaling ke belakang, menyombongkan diri , seolah-olah mereka tidak mendengar sama sekali keterangan-keterangan Allah itu.

Mereka ini selalu berenggang dari tempat tidur mereka. Maksudnya mereka akan kurangkan tidur mereka di malam hari, untuk beribadat dan berdoa kepada Allah kerana takutkan kemurkaan Allah dan seksaanNya. Mereka juga memohon rahmat Allah dan keampunanNya. Di samping itu mereka tidak lupa untuk bersedekah, berderma dan membelanjakan sebahagian dari harta mereka untuk digunakan di dalam perkara-perkara kebajikan.

Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dari Ibnu `Abbas berkata: maksud "lambung mereka jauh dari tempat tidur mereka" ialah beribadat kepada Allah adakalanya bangun dengan mengingat Allah, adakalanya salat, berdiri, duduk atau tidur, mereka selalu mengingat Allah.








No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.