Friday, December 11, 2015

Surah Al Ahzab Ayat 41 - 53







Al Ahzab Ayat 41 Dan  42


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا الَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
41 - Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.


وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
42 - Dan sucikanlah Dia pagi dan petang.

Di akhir dari ayat 35 ada menyebutkan tentang keutamaan lelaki dan perempuan yang banyak berzikir mengingati Allah. Sekarang ini diulang lagi di dalam ayat ini supaya ianya lebih jelas.  Asal daripada berkataan zikir ialah ingat. Tetapi di dalam mengingati Allah dalam hati diikrarkan pula ingatan itu dengan ucapan lidah. Sembahyang pun adalah zikir juga. Allah berfirman di dalam surah Taha ayat 14 :

إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
“Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingat Aku.”

Selain sembahyang, mengingat sambil menyebut nama Allah dalam diri sendiri dan perlahan-lahan, tidak perlu dengan bersuara kuat, sebab Allah mendengar walaupun suara kita yang sehalus-halusnya, bahkan walaupun hanya dengan kata hati.

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ
Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Al A’raf :205)

Itulah yang dimaksudkan di dalam ayat ini sebagai “...berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.”

Dapatlah kita fahami bahwa sembahyang itu juga merupakan zikir. Ayat dari surah Taha tadi itu diturunkan semasa Allah memperkenalkan dirinya  kepada nabi Musa. Maka bagi kita umat Nabi Muhammad pula, ianya telah dijadikan sebagai rukun Islam kedua. Bahkan sembahyang lima waktu itu telah diibaratkan sebagai tiang di dalam agama. Sebab itu sekurang-kurangnya lima waktu sehari semalam seseorang yang beriman itu pasti wajib mengingati Allah. Dan setelah itu dianjurkan pula untuk kita mengerjakan sembahyang sunat nawafil yang lain. Dianjurkan kita untuk sembahyang tahiyyatul masjid, sembahyang selesai wudhuk, sembahyang sunat taubat, sembahyang sebelum atau sesudah sembahyang yang wajib, sembahyang sunat fajar, sembahyang sunat dhuha, qiyamul lail ataupun tahajud.

Duduk bersama-sama melingkar mengelilingi seorang guru menerima pelajaran agama, mengaji perintah dan larangan Allah, hikmat ajaran rasul, itu pun dikira zikir juga.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو سَعِيدٍ مَوْلَى بَنِي هَاشِمٍ، حَدَّثَنَا شَدَّادٌ أَبُو طَلْحَةَ الرَّاسِبِيُّ، سَمِعْتُ أَبَا الْوَازِعِ جَابِرَ بْنَ عَمْرٍو يُحَدِّثُ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "مَا مِنْ قَوْمٍ جَلَسُوا مَجْلِسًا لَمْ يَذْكُرُوا اللَّهَ فِيهِ، إِلَّا رَأَوْهُ حَسْرَةً يَوْمِ الْقِيَامَةِ."
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa'id maula Bani Hasyim, telah menceritakan kepada kami Syaddad Abu Talhah Ar-Rasi; ia pernah mendengar Abul Wazi' alias Jabir ibnu Amr menceritakan hadis berikut dari Abdullah ibnu Amr r.a. yang mengatakan bahwa Rasulullah Saw. pernah bersabda: Tidak sekali-kali suatu kaum duduk di suatu majlis tanpa berzikir menyebut nama Allah padanya, melainkan mereka akan menyaksikan majlis itu menjadi penyesalan kelak di hari kiamat.

Oleh sebab itu maka bagi kaum mukmin, majlis apa pun yang mereka adakan, baik majlis pengajian ataupun majlis jamuan, majlis musyawarah, majlis seminar atau diskusi, pesta perkahwinan atau pun walimah, hendaklah ditimbulkan suasana ingat mengingati Allah. Agar ianya tidak menjadi majlis main-main dan membuang masa belaka kerana tidak mendapat manafaat.

Zikir kepada Allah ini tidak ada uzurnya. Maksudnya tidak ada batas waktu. Tidak diberi keuzuran kepada seseorang itu untuk mengingati Allah. Bila-bila masa saja ia boleh berzikir mengingati Allah. Bahkan ada disebutkan di dalam surah Ali Imran di ayat-ayat terakhir, tentang mengingati Alalh ketika berdiri, ketika duduk dan ketika berbaring, malam dan siang, pagi dan petang, di darat dan di laut, dalam perjalanan, tetap di dalam rumah, dalam keadaan kaya dan juga keadaan miskin kedana, dalam keadaan sakit ataupun sihat, dalam rahsia ataupun dlaam kenyataan dan juga dalam keadaan apa saja.  

“Dan sucikanlah Dia pagi dan petang.”
Sucikan Allah dengan mengucapkan Subhanallah. Di dalam sembahyang telah diajarkan oleh Rasulullah sendiri bagaimana cara untuk mengucapkan kesucian atau bertasbih. Dalam rukuk kita baca  سُبْحَانَ رَبِّيَ الْعَظِيْمِ subhanarabbiyal azim yang bermaksud  “Maha Suci Allah Tuhan yang maha Agung.”

Dan di dalam sujud pula kita baca سُجُوْدِهِ سُبْحَانَ رَبِّيَ الأَعْلَى subhanarabbiyal a’la yang bermaksud ‘Maha suci Allah Tuhan yang maha Tinggi.”  Ataupun ada juga yang membaca سُبْحَانَ رَبِّيَ الْأَعْلَى وَبِحَمْدِهِ subhanarabbiyal a’la wabihamdih.

Ataupun boleh dibaca sebagai سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي  Subhaa-nakallahumma rabbanaa wa biham-dika allaahum-maghfil-lii  yang bermaksud ‘Maha suci Allah Engkaulah tuhan kami, dan dengan segenap pujian kepada Engkaul Ya Tuhanku ampunilah aku.”

Dengan mengambil sikap selalu mengingati Allah , iaitu ingat di dalam hati dan sentiasa disebut di mulut, dengan penuh kesedaran, maka Allah juga akan membalas zikir kita itu dengan selawa Allah terhadap kita.






Al Ahzab Ayat 43 Dan 44


هُوَ الَّذِي يُصَلِّي عَلَيْكُمْ وَمَلَائِكَتُهُ لِيُخْرِجَكُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۚوَكَانَ بِالْمُؤْمِنِينَ رَحِيمًا
43 - Dialah yang memberi rahmat kepadamu dan malaikat-Nya (memohonkan ampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman.

تَحِيَّتُهُمْ يَوْمَ يَلْقَوْنَهُ سَلَامٌ ۚوَأَعَدَّ لَهُمْ أَجْرًا كَرِيمًا
44 - Salam penghormatan kepada mereka (orang-orang mu'min itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah: "salam"; dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.

Makanya dengan ini, orang-orang yang beriman seharusnya selalulah mengingati Allah. Apabila selalu mengingati Allah dalam fikiran mereka, dalam hati mereka, dalam setiap lafaz kata mereka, maka Allah pun akan selalu mengingati mereka. Menyambut baik mereka dengan kurniaNya. Bukan dengan semata-mata kurnia harta benda, emas perak, tetapi ianya adalah kurnia yang lebih tinggi daripada itu semua. Iaitu kurniaan pembersihan jiwa di dalam menjalani hidup sehari-hari yang dilindungi Allah. Mereka akan mendapat rezeki yang halal. Jika mendapat keturunan mereka akan mendapat keturunan yang baik-baik dan rumahtangga yang aman bahagia. Jika mendapat suami pun mereka akan dapat suami yang soleh.

Di samping itu malaikat-malaikat juga akan memohon keampunan dari Allah untuk mereka. Adapun lafaz يُصَلِّي yusolli itu bermakna selawat yang kalau dari Allah ertinya adalah memberi rahmat, dan jika dari malaikat ertinya memohon keampunan.

Dengan sebab rahmat Allah dan doa malaikat itu, maka mereka sebagai orang-orang mukmin yang selalu berzikir mengingati Allah dalam siang dan malam, akan dikeluarkan dari suasana gelap kekufuran,kesesatan dan kejahilan. Dari gelap menjadi terang. Terang dengan cahaya iman, keselamatan ilmu pengetahuan.

Dan adalah Allah ini sangat penyayang kepada orang-orang yang beriman samada di dunia mahupun di akhirat. Di dunia mereka diberikan petunjuk,untk melalui jalan yang hak lagi benar, sebab sebelumnya mereka berada di dalam kejahilan dan kesesatan. Kemudian di akhirat pula mereka didatangi rasa aman dan tenteram dalam masa orang ramai merasakan takut yang amat sangat dan kegemparan kiamat yang besar. Dengan itu malaikat akan menggembirakan mereka dengan syurga untuk menjadi tempat mereka dan terselamat dari azab neraka.

Semasa berada di syurga, para malaikat pula sebagai mewakili Allah, apabila bersua dengan mereka di dalam syurga, sentiasa memberikan ucapan selamat sejahtera. Hal yang serupa ini telah dinyatakan di dalam surah Ar Ra’du ayat 23 dan 24. Sister boleh rujuk ye.

Dan Allah menyediakan kepada mereka pahala yang mulia pula. Iaitu apa saja yang berkenan di hati dan diingini oleh selera semuanya akan disediakan Allah di akhirat tanpa diminta, baik dari jenis makanan, minuman, pakaian mahupun tempat tinggal,iaitu suatu kurnia yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan tdak pernah pun untuk terlintas di hati manusia.








Al Ahzab Ayat 45 HIngga 47


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَرْسَلْنَاكَ شَاهِدًا وَمُبَشِّرًا وَنَذِيرًا
45 - Hai Nabi sesungguhnya kami mengutusmu untuk jadi saksi, dan pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan,

وَدَاعِيًا إِلَى الَّهِ بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيرًا
46 - dan untuk jadi penyeru kepada Agama Allah dengan izin-Nya dan untuk jadi cahaya yang menerangi.

وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ بِأَنَّ لَهُمْ مِنَ الَّهِ فَضْلًا كَبِيرًا
47 - Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mu'min bahwa sesungguhnya bagi mereka karunia yang besar dari Allah.

Allah menjelaskan kepada Nabi bahwa baginda diutus adalah untuk menjadi saksi terhadap orang-orang (umat) yang pernah mendapat risalahnya. Yang pernah mendengar seruan dan ajarannya. Nabi akan mengemukakan kesaksian bahwa perintah Allah itu telah pun disampaikan dengan tidak mengurangi barang satu huruf ataupun menambah mengikut keinginannya sendiri. Sehingga mereka ini tidak akan dapat mengatakan nanti di akhirat bahwa mereka tidak pernah diseru atau disampaikan apa-apa ajaran oleh nabi.

Dan nabi juga diutus adalah sebagai pembawa khabar gembira bagi orang-orang yang membenarkan risalahnya dan mengamalkan petunjuk-petunjuk yang dibawanya bahwa mereka kelak akan dimasukkan ke dalam syurga. Di samping itu tugas nabi juga adalah sebagai pemberi ancaman, peringatan ataupun perintah kepada orang-orang yang mengingkari risalahnya, bahwa mereka akan diazab dengan siksa api neraka di akhirat nanti.

Dapatlah kita fahami di sini bahwa kedatangan nabi yang diutus oleh Allah ini adalah untuk memberikan tuntutnan yang seimbang di antara khabar gembira dengan khabar ancaman. Sebagaimana di akhirat pun tersedia dua tempat yang kekal iatu syurga dan neraka.

Nabi ini adalah sebagai penyeru kepada Allah iaitu untuk menyeru manusia kepada Allah. Untuk mengingatkan manusia bahwasanya mereka datang dari Allah, hidup di dunia atas kehendak Allah dan atas jaminan Allah. Dan mereka semua ini akan kembali juga kepada Allah dan akan berada di tempat asal mereka.

Baginda ini adalah laksana obor atau lampu yang terang benderang, memberi suluhan yang menyinari manusia dan membawa mereka dari keadaan yang gelap gulita kepada cahya ilmu pengetahuan dan keimanan.

Maka sesungguhnya Rasulullah itu tugasnya adalah untuk menyampaikan seruannya, atau dakwahnya kepada manusia dengan izin Allah. Dalam menyampaikan dakwah itu, tidak semualah yang akan mengikuti dan menyahut seruan Rasulullah dengan jujur dan ikhlas.. Ada juga dari mereka yang menentang.

Maka Allah menyuruh Rasulullah menyampaikan kepada orang-orang yang beriman itu yang mahu menyahut seruan nabi bahwa sokongan mereka itu tidaklah sia-sia saja. Allah akan memberikan kepada mereka kurnia yang besar. Mereka akan dimasukkan dalam golongan barisan Penegak Agama Allah. Mereka adalah mulia di sisi Allah, meskipun rintangan akan ditimpakan kepada diri mereka ada kalanya tersangat berat dan hebat. Dan ada kalanya juga ringan dan tidak membebankan.








Al Ahzab Ayat 48


وَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَالْمُنَافِقِينَ وَدَعْ أَذَاهُمْ وَتَوَكَّلْ عَلَى الَّهِ ۚوَكَفَىٰ بِالَّهِ وَكِيلًا
Dan janganlah kamu menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik itu, janganlah kamu hiraukan gangguan mereka dan bertawakkallah kepada Allah. Dan cukuplah Allah sebagai pelindung.

Seperti yang kita tahu, pada ayat yang pertama sekali di dalam surah ini persoalan inilah yang dikemukakan terlebih dahulu oleh Allah. Iaitu supaya Rasul memperkuatkan dirinya dan meneguhkan ketakwaannya. Dan jangan Rasul itu bersikap lemah menghadapi orang-orang kaifr dan munafik. Kerana orang-orang seperti itu, mereka akan memberi seribu alasan dan syarat untuk mereka beriman. Seolah-olah kedatangan mereka ke dalam Islam itu sangat-sangat ditunggu dan diharap-harapkan oleh Rasul.

Hal ini pun samalah juga dengan keadaan Nabi Nuh dengan kaumnya terdahulu. Kaum nabi Nuh ini memberikan syarat kalau Nabi Nuh inginkan mereka untuk masuk Islam, mereka meminta supaya nabi Nuh menyingkirkan orang-orang yang telah beriman. Kerana orang-orang yang telah sedia beriman dengan Nabi Nuh itu adalah dari golongan yang rendah darjatnya dari mereka. Jadi mereka tidak mahu darjat mereka disamakan dengan golongan berdarjat rendah. Tetapi adakah Nabi Nuh mendengar kata mereka dan mengikuti kehendak mereka? Tidak. Malah Nabi Nuh tidak pun mempedulikan mereka semua. Ini kerana orang-orang yang telah beriman dengan Nabi Nuh itu telah pun mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah berbanding mereka yang kafir dan belum lagi nak masuk Islam itu. Apatah lagi mereka yang munafik, yang berpura-pura kata akan masuk Islam tetapi ternyata bohong.

Maka dalam ayat 48 ini Allah menyuruh Rasulullah agar berjiwa besar. Agar sentiasa tabah dengan segala bentuk gangguan-gangguan dari si kafir dan munafik itu. Mentang-mentanglah kehendak mereka tidak dipedulikan, mereka bertindak membuat segala macam ancaman dan tentangan pula terhadap Rasulullah. Jadi Allah kata kepada Rasulullah, bertahan dan jangan pedulikan mereka.

Maksud Allah menyuruh RasulNya berjiwa besar itu supaya Rasul adalah berpandangan jauh. Kalau gangguan orang-orang seperti itu hendak dilayan semuanya, maka kesudahan waktu akan habis dengan soal-soal yang tidak berkesudahan begitu saja. Mereka akan mencari bermcam-macam alasan dan tak akan kunjung habisnya. Jadi Allah kata biarkan saja mereka. Usah dilayani. Serahkan saja bulat-bulat semua itu kepada Allah. Kerana Pelindung yang sejati itu tidak ada yang lain, kecuali Allah saja. Dengan berlindungkan diri kepada Allah, iaitu dengan bertawakkal, jiwa akan menjadi tenang dalam menghadapi karenah-karenah mereka dari yang sekecil-kecil gangguan sehinggalah ke sebesar-besar ancaman dari mereka.









Al Ahzab Ayat 49


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖفَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا
Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya maka sekali-kali tidak wajib atas mereka `iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya, Maka berilah mereka mut`ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.

Di dalam ayat ini menjelaskan bahwa sekiranya perempuan itu baru dinikahi saja, dan perempuan itu belum lagi dicampuri oleh suaminya, maksudnya bersetubuh dengan suaminya, maka sekiranya perempuan itu diceraikan, iaitu ditalak, maka perempuan itu tidak ada iddah. Setelah ditalak, perempuan itu terus boleh berkahwin dengan lelaki lain pada masa itu juga. Tanpa menunggu masa-masa tertentu.

Kegunaan iddah di sini adalah untuk menjelaskan apakah ada benih si suami yang akan menjadi kandungan dari perempuan yang telah dsetubuhinya. Kalau perempuan itu belum lagi disetubuhi maka sudah tentulah tidak akan ada air mani yang akan menjadi benih di dalam kandungan perempuan tersebut.

Yang ada cuma iddah wafat,sekiranya si suami tadi meninggal sebelum sempat menyetubuhi isterinya. Itu mesti dikenakan iddah wafat atau pun iddah berkabung. Tetapi sekiranya si suami mentalakkan si isteri sebelum melakukan apa-apa persetubuhan maka si isteri itu bebas dari iddah. Dan boleh terus mengahwini pasangan lain sebaik saja lafaz talak dijatuhkan.

“Maka berilah mereka mut`ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.”
Maksud ayat ini adalah setelah talak dijatuhkan ke atas si isteri yang belum digaulinya, hendaklah si suami segera membayar mut’ah kepada si isteri yang diceraikan itu. Mut’ah itu ialah bayaran saguhati bagi si perempuan kerana telah ditalak.

Pengertian mut'ah di sini lebih umum samada boleh berikan separuh dari maskawin yang telah disebutkan, ataupun lebih mengikut persetujuan kedua pihak. Sehubungan dengan separuh dari maskawin itu, kita telah pelajari sepertimana yang disebut di dalam ayat 237 dari surah Al Baqarah:

وَإِنْ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ وَقَدْ فَرَضْتُمْ لَهُنَّ فَرِيضَةً فَنِصْفُ مَا فَرَضْتُمْ
“Jika kamu menceraikan isteri-isterimu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu sudah menentukan maharnya, maka bayarlah seperdua dari mahar yang telah kamu tentukan itu.”(Al-Baqarah: 236)

Dan untuk pada ayat 237 dari surah Al Baqarah juga ada menyebutkan bahwa mut’ah itu boleh juga diberikan lebih dari separuh daripada maskawin dan ianya ditetapkan atas persetujuan kedua belah pihak.


لا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ
“Tidak ada sesuatu pun (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan istri-istrimu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya. Dan hendaklah kamu berikan suatu mut'ah (pemberian) kepada mereka. Orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula.), yaitu pemberian menurut yang patut. Yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang yang berbuat kebajikan.’ (Al-Baqarah: 237)
Si isteri yang telah ditalak ini, ia tidak lagi boleh untuk tinggal di rumah bersama si suami. Maka si suami hendaklah melepaskan si isteri pergi secara baik-baik. Tidak mendatangkan mudharat, iaitu keluarnya dengan menyediakan kenderaan yang sepatutnya dan bekalan mereka serta layanan yang baik, yang akan menyenangkan hati mereka dan hati keluarga mereka sebagai pengubat rasa sedih kerana berpisah.

Di dalam kitab Sahih Bukhari disebutkan melalui Sahl ibnu Sa'd dan Abu Usaid r.a. yang mengatakan bahwa sesungguhnya Rasulullah Saw. pernah mengawini Umaimah binti Syurahbil, tetapi ketika beliau masuk ke kamarnya dan menghulurkan tangannya kepadanya, kelihatanlah Umaimah tidak suka. Maka Rasulullah pun. keluar dan memerintahkan kepada Abu Usaid untuk mengemas barang-barang Umaimah, lalu baginda memberinya sepasang pakaian sebagai mut'ahnya. Ali ibnu Abu Talhah mengatakan bahwa jika Nabi telah menyebutkan mahar kepada Umaimah, maka diberikan kepada Umaimah separuh dari mahar tersebut sebagai saguhatinya. Dan jika baginda masih belum menentukan maharnya, maka Umaimah hanya mendapatkan mut'ah yang sesuai dengan kemampuan baginda saat itu; dan itulah yang dinamakan melepaskan dengan cara yang sebaik-baiknya.”







Al Ahzab Ayat 50


يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِنَّا أَحْلَلْنَا لَكَ أَزْوَاجَكَ الَّاتِي آتَيْتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ مِمَّا أَفَاءَ الَّهُ عَلَيْكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّاتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَالَاتِكَ الَّاتِي هَاجَرْنَ مَعَكَ وَامْرَأَةً مُؤْمِنَةً إِنْ وَهَبَتْ نَفْسَهَا لِلنَّبِيِّ إِنْ أَرَادَ النَّبِيُّ أَنْ يَسْتَنْكِحَهَا خَالِصَةً لَكَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۗقَدْ عَلِمْنَا مَا فَرَضْنَا عَلَيْهِمْ فِي أَزْوَاجِهِمْ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ لِكَيْلَا يَكُونَ عَلَيْكَ حَرَجٌ ۗوَكَانَ الَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Hai Nabi, sesungguhnya Kami telah menghalalkan bagimu isteri-isterimu yang telah kamu berikan mas kawinnya dan hamba sahaya yang kamu miliki yang termasuk apa yang kamu peroleh dalam peperangan yang dikurniakan Allah untukmu, dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu dan perempuan mu'min yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengawininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mu'min. Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah menyampaikan seruan kepada nabiNya, bahwa dihalalkan baginya untuk menggauli isteri-isteri yang telah baginda berikan mahar ataupun maskawin untuk mereka. Maskawin yang diberikan oleh baginda nabi kepada isteri-isterinya adalah sebanyak 12 setengah uqiah yang menyamai 500 dirham. Kecuali maskawin yang diberikan kepada isterinya Ummu Habibah binti Abu Sufyan sebanyak 400 dirham kerana maskawin untuknya itu telah dibayar oleh raja Najasyi.

Dan juga terkecuali ialah Shafiyyah binti Huyay, kerana baginda memilihnya dari tahanan perang Khaibar, kemudian baginda memerdekakan Shafiyyah dan baginda jadikan kemerdekaan itu sebagai maskawin. Begitu juga dengan Juwairiyah binti Al Harits al Musthaliqiyyah yang diperisterikan oleh baginda nabi dengan cara menebusnya melalui bakian dari Tsabit bin Qais bin Syammas. Semoga Allah meredhai isteri-isteri baginda Nabi seluruhnya.

Dan Allah juga telah menghalalkan bagi baginda memiliki perempuan -perempuan yang diperoleh dari tawanan perang kerana mereka itu termasuk sebagai harta rampasan perang sebagai kurnia Allah kerana memenangkan Islam di dalam peperangan dengan orang-orang kafir.  Nabi pernah memiliki Shafiyyah binti Huyay dan Juwairiyah sebagai hamba sahayanya, kemudian keduanya dimerdekakan dan dijadikan isteri. Baginda pun memliki Raihanah binti Syam’um an Nadhariyah dan Mariyah al Qibthiyyah, ibu dari anak baginda, iaitu Ibrahim. Keduanya adalah hamba sahaya baginda.

“dan (demikian pula) anak-anak perempuan dari saudara laki-laki bapakmu, anak-anak perempuan dari saudara perempuan bapamu, anak-anak perempuan dari saudara laki-laki ibumu dan anak-anak perempuan dari saudara perempuan ibumu yang turut hijrah bersama kamu

Hukum dalam ayat ini sangat adil dan mampu menangani dan menggantikan hukum yang terlalu longgar dan hukum yang terlalu ketat. Di mana orang-orang nasrani tidak membolehkan seorang lelaki untuk menikah dengan sepupu mereka ataupun kerabat perempuan mereka kecuali bila keduanya terhalang oleh tujuh keturunan atau lebih. Sementara orang yahudi pula sangat longgar, hingga seorang lelaki dari kalangan mereka boleh menikah dengan puteri saudara lelaki itu sendri ataupun puteri saudara perempuannya.

Syariat yang sempurna dan suci ini datang dengan menghapuskan hukum-hukum orang nasrani yang terlalu ketat, hingga ditetapkan bolehnya utnuk menikah dengan puteri dari saudara lelaki bapa, puteri dari saudara perempuan bapa, puteri dari saudara lelaki ibu dan puteri dari saudara perempuan ibu.

Syariat Islam juga mengharamkan kelonggaran yang ditetapkan oleh golongan Yahudi yang membolehkan menikahi puteri kepada saudara lelaki ataupun puteri kepada saudara perempuan. Ini kerana perilaku yang seperti ini adalah dianggap sebagai perilaku yang sangat buruk dan keji.

“dan perempuan mu'min yang menyerahkan dirinya kepada Nabi kalau Nabi mahu mengawininya, sebagai pengkhususan bagimu, bukan untuk semua orang mu'min.”
Allah menghalalkan juga untuk mengahwini perempuan-perempuan yang beriman, yang mana mereka itu telah datang mehibahkan iaitu yang menyerahkan diri mereka supaya Nabi mengahwininya tanpa mahar sekiranya baginda suka.

Kelulusan di sini adalah khusus untuk nabi saja. Dan tidak untuk orang-orang mukmin yang lain. Bermakna jika ada seorang perempuan datang kepada seorang lelaki dan menghibahkan dirinya kepada lelaki itu, wajiblah lelaki itu membayar mas kawin yang biasa dibuat keapda perempuan-perempuan lain. Hal ini sesuai dengan hukum yang telah ditetapkan oleh baginda nabi kepada Barwa’ binti Wasyiq semasa ia menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki. Setelah mereka menikah dan tidak lama kemudian lelaki itu telah meninggal. Maka Rasulullah menetapkan bahwa Barwa itu berhak untuk mendapatkan maskawin yang harus dibayar oleh keluarga si mati ataupun ahli waris suaminya.

Dengan demikian hak wanita untuk mendapatkan maskawin berlaku kepada permpuan yang suaminya telah mencampurinya, baik ia masih hidup, mahupun yang telah meninggal. Hak mendapatkan maskawin hanya bagi perempuan yang menyerahkan dirinya kepada lelaki kecuali nabi.

Adapun nabi, baginda tidak diwajibkan untuk mengeluarkan maskawin untuk mengahwini perempuan yang datang menyerahkan diri kepada baginda. Kerana nabi dibolehkan untuk menikah tanpa maskawin, tampa wali dan tanpa saksi sebagaimana nabi bernikah dengan Zainab binti Jahsy. Oleh sebab itu Qatadah mentafsirkan ayat ini bahwa Allah tidak memperkenankan bagi seorang perempuan untuk menyerahkan dirinya kepada seorang lelaki untuk dinikahi tanpa wali dan maskawin selain dari Rasulullah. Kerana di antara syarat untuk menikah mestilah mempunyai wali dan berakad nikah.

“Sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada mereka tentang isteri-isteri mereka dan hamba sahaya yang mereka miliki supaya tidak menjadi kesempitan bagimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”

Allah sudah pun mengetahui apa yang patut untuk dijadikanNya sebagai hukum kepada orang-orang yang beriman itu. Bahwasanya syarat bagi mereka yang hendak bersuami isteri mestilah dengan berakad nikah. Dan tidak hala dengan lafaz hibah iaitu secara menyerahkan diri saja tanpa maskawin, tanpa wali dan tanpa saksi. Dan begitu juga hendaklah mengahwini tidak lebih dari 4 orang isteri.

Ubay ibnu Ka'b, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, serta Ibnu Jarir mengatakan bahwa barisan ayat ini bermaksud hukum bagi mereka hanya dibolehkan untuk mengawini empat orang wanita merdeka saja dan berapa orang wanita pun yang mereka kehendaki dari kalangan budak-budak perempuan. Ianya juga berkaitan dengan persyaratan adanya wali dan maskawin serta para saksi bagi mereka, yang hal ini berlaku untuk semua kaum muslimin.

Namun bagi diri Rasulullah adalah dikecualikan dari syarat-syarat yang dikenakan kepada orang-orang mukmin yang lain, supaya baginda tidak berada dalam kesulitan mengenai perkahwinannya.








Al Ahzab Ayat 51


تُرْجِي مَنْ تَشَاءُ مِنْهُنَّ وَتُؤْوِي إِلَيْكَ مَنْ تَشَاءُ ۖوَمَنِ ابْتَغَيْتَ مِمَّنْ عَزَلْتَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكَ ۚذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ تَقَرَّ أَعْيُنُهُنَّ وَلَا يَحْزَنَّ وَيَرْضَيْنَ بِمَا آتَيْتَهُنَّ كُلُّهُنَّ ۚوَالَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي قُلُوبِكُمْ ۚوَكَانَ الَّهُ عَلِيمًا حَلِيمًا
Kamu boleh menangguhkan (menggauli) siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (isteri-isterimu) dan (boleh pula) menggauli siapa yang kamu kehendaki. Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu cerai, maka tidak ada dosa bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka, dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka. Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.

Ayat ini adalah satu kelulusan dariapda Allah bagi nabi untuk melayan isteri-isteri baginda yang berbilang-bilang itu mengikut apa yang dikehendakinya. Samada menangguhkan iaitu tidak mahu meniduri mereka ataupun menggauli mereka. Dan tidak wajib bagi baginda memberikan giliran menginap di rumah isteri-isterinya. Sebaliknya urusan membuat giliran itu adalah terpulang kepada kehendak baginda sendiri. Namun demikian, baginda ada memberikan giliran kepada semua isteri-isterinya.

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Bisyr, telah menceritakan kepada kami Hisyam ibnu Urwah, dari ayahnya, dari Aisyah r.a., bahwa Siti Aisyah r.a. selalu merasa cemburu terhadap wanita-wanita yang menghibahkan dirinya iaitu menyerahkan dirinya kepada Rasulullah Saw. (untuk dikawini tanpa maskawin). Siti Aisyah mengatakan: "Apakah tidak malu seorang wanita menyerahkan dirinya tanpa maskawin?" Maka Allah menurunkan ayat ini. Siti Aisyah berkata, "Sesungguhnya aku melihat Tuhanmu selalu memenuhi kesukaanmu."

Dalam pembahasan yang lalu telah disebutkan bahwa Imam Bukhari meriwayatkannya melalui hadis Abu Usamah, dari Hisyam ibnu Urwah, “Hal ini menunjukkan bahwa makna yang dimaksud oleh firman-Nya: “Kamu boleh menangguhkan. “(Al-Ahzab: 51) Maksudnya, boleh mengakhirkan. siapa yang kamu kehendaki di antara mereka. (Al-Ahzab: 51) Yakni di antara wanita-wanita yang menyerahkan dirinya kepadamu. dan (boleh pula) menggauli siapa yang kamu kehendaki. (Al-Ahzab: 51) Kamu boleh menerima wanita yang kamu kehendaki, boleh pula menolak wanita yang tidak kamu kehendaki di antara wanita-wanita yang menyerahkan dirinya kepadamu itu. Dan terhadap wanita yang telah kamu tolak, kamu masih boleh memilih sesudahnya; jika kamu menginginkannya, kamu boleh kembali kepadanya dan menggaulinya. Karena itulah disebutkan oleh firman-Nya: Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu pisahkan, maka tidak ada dosa bagimu. (Al-Ahzab: 51)”

Maksud dari hadis ini ialah di antara perempuan-perempuan yang menyerahkan dirinya kepada nabi itu, nabi boleh menggauli siapa-siapa yang nabi kehendaki, nabi juga boleh menerima perempuan mana yang nabi kehendaki, dan nabi juga boleh menolak perempuan-perempuan mana saja yang nabi tidak kehendaki.

Dan setelah nabi menolak perempuan-perempuan itu, nabi masih juga boleh untuk memilih perempuan itu kembali setelah nabi menolaknya, jika sekiranya nabi menginginkannya. Nabi boleh kembali kepada perempuan itu dan menggaulinya semula. Kerana itulah disebutkan oleh Allah di dalam ayat ini “Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu cerai, maka tidak ada dosa bagimu.”

Sementara ulama lainnya mengatakan bahawa yang dimaksud dengan kata ‘Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka…...” hingga ke akhir ayat ini maksudnya ialah, mengenai isteri-isteri nabi. Maksudnya tidak ada dosa bagi nabi bila nabi tidak membuat pembahagian giliran terhadap isteri-isteri nabi. Untuk itu nabi boleh mendahulukan isteri-isteri mana saja yang nabi kehendaki dan menangguhkan isteri mana saja yang nabi kehendaki. Dan nabi boleh menggauli isteri yang nabi kehendaki, dan membiarkan isteri-isteri yang tidak dikehendaki.

Hal yang sama telah diriwayatkan dari Ibnu Abbas, Mujahid, Al-Hasan, Qatadah, Abu Razin, dan Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam serta lain-lainnya.

Sekalipun demikian, Nabi tetap juga mengadakan giliran terhadap semua isterinya. Kerana itulah ada segolongan ulama dari kalangan mazhab Syafii dan ulama lainnya yang mengatakan bahawa menggilirkan isteri itu tidak wajib bagi Nabi. Mereka mengatakan demikian dengan berdalilkan ayat ini.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Hibban ibnu Musa, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnul Mubarak, telah menceritakan kepada kami Asim Al-Ahwal, dari Mu'az, dari Aisyah bahwa “ Rasulullah selalu meminta izin kepada kami setiap harinya (untuk pindah giliran) setelah diturunkan ayat ini, yaitu firman-Nya: Kamu boleh menangguhkan menggauli siapa yang kamu kehendaki di antara mereka (istri-istrimu) dan (boleh pula) meng­gauli siapa yang kamu kehendaki. Dan siapa-siapa yang kamu ingini untuk menggaulinya kembali dari perempuan yang telah kamu pisahkan, maka tidak ada dosa bagimu. (Al-Ahzab: 51) Nabi. bersabda kepada Aisyah, "Bagaimanakah menurut pendapatmu?" Siti Aisyah menjawab, "Jika hal itu diserahkan kepadaku, maka sesungguhnya aku tidak menginginkan engkau, hai Rasulullah, direbut oleh seorang wanita pun."   

Hadis ini yang bersumber dari Aisyah menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ayat ini ialah tidak ada kewajiban menggilirkan istri. Sedangkan hadis Aisyah yang pertama menunjukkan kepada pengertian bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan wanita-wanita yang menyerahkan dirinya kepada Nabi Saw. Merujuk kepada pengertian inilah maka Ibnu Jarir berpendapat bahwa makna ayat bersifat umum mencakupi perempuan-perempuan  yang menyerahkan dirinya kepada Nabi Saw. dan perempuan-perempuan yang telah menjadi isterinya.

Bahwa Nabi boleh memilih antara menggilirkan masing-masing dari mereka ataupun tidak. Jika nabi mahu mengadakan giliran terhadap mereka, maka ianya dibolehkan. Dan jika nabi tidak mahu mengadakan giliran terhadap mereka, juga dibolehkan bagi nabi untuk tidak membuat giliran. Pendapat yang dipilih oleh Ibnu Jarir ini baik lagi kuat, yang di dalamnya telah menggabungkan pengertian semua hadis mengenai masalah ini.

Kerana itulah disebutkan dalam firman selanjutnya: “Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk ketenangan hati mereka, dan mereka tidak merasa sedih, dan semuanya rela dengan apa yang telah kamu berikan kepada mereka. “
Maksudnya hati mereka akan menjadi tenang apabila mereka telah mengetahui bahawa Allah telah menghapuskan dosa dari mereka dalam hal pembagian giliran. Untuk itu nabi bolehlah melakukan giliran, dan nabi boleh juga tidak melakukan giliran jika nabi menyukainya. Mana-mana saja di antara kedua pilihan yang nabi pilih itu, nabi tidaklah berdosa.

Walaupun tidak ada perintah dari Allah untuk nabi membuat giliran tersebut, akan tetapi nabi tetap mengadakan giliran terhadap isteri-isterinya dengan kerelaan dirinya sendiri. Jadi ini adalah bukan sebagai suatu kewajiban yang dibebankan atas diri nabi. Maka sudah pastilah mereka isteri-isteri nabi itu akan merasa gembira dengan keputusan nabi itu. Dan mereka akan merasa berterima kasih kepada nabi atas tindak tanduk nabi yang adil kepada mereka. Mereka pasti akan merasa terhutang budi kepada nabi kerana sanggup mengadakan giliran untuk mereka. Padahal mengadakan giliran itu bukan merupakan suatu kewajiban bagi nabi. Nabi memang menyedari dan faham sangat dengan tabiat wanita dan nabi tetap melayan mereka dengan adil.

“Dan Allah mengetahui apa yang (tersimpan) dalam hatimu. Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.’
Imam Ahmad mengatakan, dari Yazid, dari Hammad ibnu Salamah, dari Ayyub, dari Abu Qilabah, dari Abdullah ibnu Yazid, dari Aisyah yang menceritakan bahwa Rasulullah Saw. mengadakan giliran kepada semua isterinya dengan adil, kemudian nabi bersabda: “Ya Allah, inilah perbuatanku terhadap apa yang aku miliki. Maka janganlah Engkau mencela ku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya.”

Arba'ah telah meriwayatkannya melalui hadis Hammad ibnu Salamah, dan Imam Abu Daud (salah seorang dari Arabah) menambahkan dalam riwayatnya sesudah sabda Nabi Saw. yang maksudnya : “Maka janganlah Engkau mencelaku terhadap apa yang Engkau miliki, sedangkan aku tidak memilikinya (yakni hati).”

Keran itulah disebutkan dalam firman berikutnya:”Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun.” Maksudnya Allah Maha Mengetahui semua isi hati dan rahsia yang tersimpan di dalam dada nabi tentang kasih sayang nabi terhadap isteri-isterinya. Dan Allah juga Maha Pengampun kepada hamba-hambaNya yang sedia untuk bertaubat kepadaNya.











Al Ahzab Ayat 52


لَا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِنْ بَعْدُ وَلَا أَنْ تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ ۗوَكَانَ الَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ رَقِيبًا
Tidak halal bagimu mengawini perempuan-perempuan sesudah itu dan tidak boleh (pula) mengganti mereka dengan isteri-isteri (yang lain), meskipun kecantikannya menarik hatimu kecuali perempuan-perempuan (hamba sahaya) yang kamu miliki. Dan adalah Allah Maha Mengawasi segala sesuatu.

Ulamak-ulamak seperti Ibnu Abbas, Mujahid, Ad-Dahhak, Qatadah, Ibnu Zaid, Ibnu Jarir serta yang lainnya menyebutkan bahwa ayat ini diturunkan berkaitan dengan balasan Allah dan redha-Nya kepada isteri-isteri Nabi kerana sikap mereka yang baik. Isteri-isteri nabi semuanya telah rela dan lebih memilih Allah dan Rasul-Nya serta pahala akhirat.

Setelah mereka memilih Rasulullah, maka sebagai imbalan dari Allah tehadap sikap baik mereka, maka kini dengan turunnya ayat ini Allah telah membataskan bilangan perkahwinan Nabi. Maksudnya, setelah turunnya ayat ini maka Nabi tidak boleh lagi berkahwin dengan mana-mana perempuan lain. Hanya mereka saja yang boleh menjadi isteri Nabi kini. Dan Allah telah mengharamkan baginya untuk kawin lagi dengan perempuan lain, atau menggantikan mereka dengan isteri-isteri yang lain selain mereka. Walaupun kecantikan perempuan lain itu mempesonakan hati baginda nabi. Kecuali  dengan hamba-hamba perempuan dan para tawanan perempuan, maka dibolehkan baginya mengawini mereka.

Dan kemudiannya Allah telah menghapuskan dosa-dosa Nabi untuk menikah dengan perempuan-perempuan selain isteri-isteri nabi yang kini tanpa terkecuali, Allah menghapuskan hukum ayat ini dan membolehkan Nabi menikah dengan perempuan-perempuan selain isteri baginda kini.

Namun meskipun dibolehkan nabi berkahwin dengan perempuan-perempuan selain isterinya kini, tetapi nabi tidak menikahi perempuan lain selain isterinya yang sedia ada. Itu adalah tidak lain agar kasih sayang nabi hanya tertumpah kepada mereka saja.







Al Ahzab Ayat 53


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَدْخُلُوا بُيُوتَ النَّبِيِّ إِلَّا أَنْ يُؤْذَنَ لَكُمْ إِلَىٰ طَعَامٍ غَيْرَ نَاظِرِينَ إِنَاهُ وَلَٰكِنْ إِذَا دُعِيتُمْ فَادْخُلُوا فَإِذَا طَعِمْتُمْ فَانْتَشِرُوا وَلَا مُسْتَأْنِسِينَ لِحَدِيثٍ ۚإِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ يُؤْذِي النَّبِيَّ فَيَسْتَحْيِي مِنْكُمْ ۖوَالَّهُ لَا يَسْتَحْيِي مِنَ الْحَقِّ ۚوَإِذَا سَأَلْتُمُوهُنَّ مَتَاعًا فَاسْأَلُوهُنَّ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ ۚذَٰلِكُمْ أَطْهَرُ لِقُلُوبِكُمْ وَقُلُوبِهِنَّ ۚوَمَا كَانَ لَكُمْ أَنْ تُؤْذُوا رَسُولَ الَّهِ وَلَا أَنْ تَنْكِحُوا أَزْوَاجَهُ مِنْ بَعْدِهِ أَبَدًا ۚإِنَّ ذَٰلِكُمْ كَانَ عِنْدَ الَّهِ عَظِيمًا
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu ke luar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

Di dalam ayat ini diterangkan tentang beberapa panduan bagi umat Islam cara untuk bergaul dengan nabi. Ini bertujuan untuk mengajar mereka berbudi pekerti yang mulia dan beradab sopan yang baik, lebih-lebih lagi di dalam pergaulan mereka dengan nabi di dalam berumahtangga.

Orang-orang yang beriman dari para sahabat nabi yang kerap berdamping dengan nabi adakalanya ingin keluar masuk ke dalam rumah nabi dengan bebas. Kebebasan ini telah dibatasi oleh Allah dengan turunnya ayat ini. Allah bagitahu jika mereka diberi izin untuk menghadiri jamuan makan sebagai orang yang diundang, itpun sekiranya makanan telah masak dan siap untuk dihidangkan, barulah mereka dibenarkan masuk. Maka janganlah mereka datang lebih awal sehingga ianya merumitkan penghuni rumah nabi, yang sedang sibuk menyiapkan makanan kerana mereka akan terpaksa pula melayani tetamu sebelum waktunya. Dan ada kalanya mereka sedang memakai pakaian basahan saja ataupun pakaian yang tidak sempurna , maka tentulah tidak manis dan kurang elok jika dilihat oleh para tetamu.

Dan apabila mereka telah diundang oleh nabi ke majlis jamuan di rumah baginda, maka barulah mereka itu dibenarkan masuk, dan apabila dipersilakan menikmati hidangan, makanlah hidangan yang tersedia. Kemudian apabila telah selesai segeralah beredar meninggalkan majlis tersebut dan janganlah pula duduk di situ menunggu lama-lama dan asyik berbual saja.

Perbuatan menunggu lama-lama sambil duduk-duduk asyik berbual di rumah nabi seperti itu sebenarnya adalah mengganggu dan menyakiti nabi. Kerana ianya boleh menyebabkan baginda terhalang dari menunaikan sesuatu hajat, di samping menyulitkan keadaan ahli rumahnya. Hanyasanya nabi malu untuk menyuruh mereka semua beredar atau meminta mereka jangan menyusahkannya. Tetapi Allah tidaklah malu, untuk menyatakan kebenaran dengan menyuruh mereka supaya keluar dari rumah nabi dan segera beredar.

Ayat ini memberikan isyarat keapda orang-orang beriman, bahwa perbuatan para tetamu yang menunggu lama-lama di majlis jamuan walhal mereka telah selesai menikmati hidangan hukumnya adalah HARAM jika perbuatan itu bakal mengganggu tuan rumah. Meski pun hal itu bukan di rumah baginda nabi sekali pun seandainya seseorang itu memberatkan atau tidak bertimbangrasa kepada orang lain, memanglah tercela dan dikeji di sisi setiap manusia.

Bermakna di sini para undangan yang menghadiri sesuatu jamuan makan, mereka dikenakan peraturan-peraturan, adab-adab dan etiket yang khusus untuk mereka ikuti yang mesti mereka jaga. Terutamanya di zaman kemajuan dan bertamadun ini. Memang ada peraturan-peraturan yang merupakan kelulusan dan ada pula yang merupakan tegahan semuanya itu adalah termasuk dalam perkara tatasusila dan budi pekerti yang harus diikuti.

“Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir.’
Mereka diingatkan bilamana di antara mereka ada yang mempunyai keperluan seperti barang yang hendak mereka manafaatkan atau pertolongan yang dapat membantu mereka, semasa meminta dari isteri-isteri nabi itu ataupun dari perempuan-perempuan yang beriman yang bukan isteri mereka, hendaklah mereka memintanya atau bercakap dengan perempuan-perempuan ini dari sebalik tabir. Iaitu tabir yang membatasi antara mereka yang berlainan jantina. Bukannya dengan terdedah tanpa tabir bebas melihat sesama mereka.

Bermakna tidak dibenarkan mereka mengadakan pergaulan yang bebas dan bercakap-cakap dengan isteri-isteri nabi ataupun dengan isteri-isteri orang lain juga, walaupun semasa meminta bantuan ataupun berhajatkan pertolongan dari mereka. Melainkan mestilah ada hijab yakin tabir yang membatasinya, ataupun yang menutup aurat di antara mereka.

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdullah Ar-Raqqasyi, telah menceritakan kepada kami Mu'tamir ibnu Sulaiman yang mengatakan bahawa ia pernah mendengar ayahnya mengatakan bahawa telah menceritakan kepada kami Abu Mijlaz, dari Anas ibnu Malik r.a. yang mengatakan :      "Ketika Rasulullah menikahi Zainab binti Jahsy, nabi mengundang sejumlah orang, lalu menjamu mereka, kemudian mereka bercakap-cakap di majlis itu. Kemudian kelihatan nabi hendak bangkit, dan kaum masih duduk-duduk saja. Melihat keadaan itu nabi pun terus bangkit. Ketika nabi bangkit, sebahagian orang pun bangkit juga, tetapi masih ada tiga orang yang tetap duduk. Nabi datang lagi dan hendak masuk (ke kamar pengantin), tetapi ternyata masih ada sejumlah orang yang masih duduk dan belum pergi. Tidak lama kemudian mereka bangkit dan pergi. Lalu Aku (Anas ibnu Malik) menghadap dan menceritakan kepada Nabi bahwa para tetamu semuanya telah pergi. Lalu Nabi bangkit hendak masuk, dan aku pergi mengikutinya. Tetapi tiba-tiba nabi menurunkan hijab antara nabi dan aku, lalu turunlah ayat 53 ini.

Maka tidak patutlah orang-orang beriman itu melakukan sesuatu yang akan menyakiti perasaan dan hati nabi ataupun menganggu ketenteraman baginda, seperti duduk berlama-lama menunggu dalam rumahnya atau asyik berbual-bual di sana sebagaimana yang pernah dilakukan oleh sebahagian mereka. Walhal baginda telah berjuang bermati-matian dan membela maslahat serta kepentingan umatnya semata-mata untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat. Maka balaslah dengan amal bakti yang baik kepada bagina serta menghormati dan memuliakannya sebagai mengenang jasa-jasa baginda.

“Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengawini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah ia wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.”
Oleh kerana nabi telah berlaku setia terhadap isteri-isterinya maka Allah telah menggesa para isteri nabi agar mereka pun juga turut setia  kepada nabi walaupun setelah nabi wafat. Iaitu dilarang siapa pun jua dari isteri-isteri nabi ini untuk mengahwini lelaki lain selama-lamanya selepas berpisah dengan nabi. Samada kerana sebab nabi wafat ataupun dengan sebab diceraikan. Ini adalah sebagi menambahkan lagi kemuliaan dan kebesaran serta kehormatan baginda, dan disebabkan isteri-isteri nabi pun sudah dianggap sebagai ibu kepada sekalian orang-orang yang beriman. Ummahatul Mukminin. Maka Allah melarang isteri-isteri nabi ini dikahwini oleh orang lain selepas ketiadaan nabi kelak.

Semua perkara yang telah dinyatkan oleh Allah seperti umpamanya menyakiti nabi dan mengahwini isteri-isterinya selepas wafatnya nabi adalha merupakan suaut perkara yang besar di sisi Allah. Yang mana dosanya juga adalah besar jika ianya dilanggar. Oleh sebab itu, wajiblah sekalian umat Islam menghormati Rasulullah s.a.w. dan memuliakan baginda sebagai pemimpin yang dijunjung tinggi samda dalam masa hayatnya mahupun sesudah wafatnya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.